za'ba: pendeta yang retorik
TRANSCRIPT
Za’ba: Pendeta yang Retorik
1.0 PENGENALAN
Za’ba adalah seorang sarjana dan ahli fikir Melayu. Za’ba ketika hidupnya menulis berkenaan
dengan berbagai-bagai tajuk iaitu bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, agama,
serta etika dan ekonomi orang Melayu. Namun demikian, perhatian dan minat beliau lebih
besar dalam bidang bahasa lantas mendorong kesungguhan beliau dalam perjuangan
memartabatkan bahasa Melayu, iaitu memperluas dan mengekalkan darjat bahasa Melayu di
mata masyarakat yang diperkukuhkan oleh kesedaran serta keyakinan mendalam.
Za’ba dikenali, disanjung dan dikenang sebagai pejuang bangsa, ilmuan pendidikan
dan bahasa, tokoh agama dan politik. Za’ba merupakan tokoh intelektual ulung Melayu dalam
pembinaan kemajuan pemikiran bangsa dan pembangunan dan pencetus kesedaran politik
Negara. Beliau diiktiraf sebagai pengasas paling dinamik dalam perkembangan Pengajian dan
Persuratan Melayu dan peningkatan keintelektualan Melayu. Beliau juga mempunyai
kesedaran betapa pentingnya strategi penyelesaian masalah kepada perkembangan ekonomi,
sosial dan budaya bangsa.
Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim (2004) mengemukakan pandangan yang berikut:
Orang Melayu khususnya terhutang budi kepada Za’ba. Pendeta Za’ba ialah seorang tokoh
Pendidikan, Bahasa, Persuratan, Sasterawan, Budayawan, dan Nasionalis. Di seluruh
Malaysia dan Alam Melayu, beliau tersohor sebagai Bapa Bahasa Melayu Moden dan
penulis yang sangat disegani. Himpunan ratusan karyanya, dari Pelita Bahasa Melayu
hinggalah ke rencana-rencana dalam pelbagai penerbitan mengenai sejarah, kesusasteraan,
kebudayaan, sosial dan politik, telah dan terus meniupkan semangat juang bangsa.
1
Za’ba: Pendeta yang Retorik
2.0 LATAR BELAKANG
Za’ba atau nama penuhnya Tan Sri Dr. Zainal Abidin Bin Ahmad dilahirkan pada 16
September 1895 di Kampung Kerdas, Jempol, Batu Kikir, Negeri Sembilan Darul Khusus.
Mendapat pendidikan di Sek. Melayu Linggi dalam tahun 1907. Kemudian ke St. Paul
Institution, Seremban sehingga lulus Senior Cambridge.
Beliau pernah bekerja sebagai Guru Bahasa Melayu di English College, Johor Bahru,
sebagai penterjemah pengarang Berita Radio, penulis Setiausaha Agung UMNO, pensyarah
Bahasa Melayu di Universiti London dan terakhir sekali sebagai Ketua Jabatan Pengajian
Melayu, Universiti Malaya, Singapura.
Di antara karya yang telah dihasilkan oleh beliau ialah Pelita Bahasa Melayu, Ilmu
Mengarang Melayu dan Daftar Ejaan Melayu Jawi/Rumi yang menjadi rujukan dalam
penggunaan tatabahasa Bahasa Melayu. Di antara rencana beliau yang terkenal ialah Modern
Developments of Malay Literature dan Malay Journalism in Malaya.
Di samping buku bahasa Melayu, beliau turut bergiat menterjemahkan buku-buku
asing ke Bahasa Melayu untuk mengisi kekosongan buku-buku pengetahuan dalam Bahasa
Melayu. Di antara nama pena yang digunakan oleh beliau ialah Anak Melayu Jati, Patriot;
yang bermaksud, orang yang kasihkan bangsa dan tanah airnya, Za’ba, Z Penjelmaan, Z
Penjelmaan c/o Patriot, Melayu yang beragama Islam, Z dan Melayu, Yang Hina Patriot.
Jasa-jasa beliau sangat besar dan telah dikurniakan beberapa anugerah seperti Doktor
Persuratan dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia. Pada tahun 1962,
beliau telah dianugerahkan pingat PMN yang membawa gelaran Tan Sri oleh Yang Di
Pertuan Agong. Gelaran Pendeta dikurniakan ketika berlangsungnya Kongres Bahasa Melayu
dan Persuratan Melayu Ketiga di Johor Bahru tahun 1956.
Za’ba telah kembali ke rahmatullah pada 23 Oktober 1973.
2
Za’ba: Pendeta yang Retorik
3.0 DEFINISI BAHASA
Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, bahasa bermaksud sistem lambang bunyi suara yang
dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia, antara seorang
individu dengan individu yang lain.
4.0 DEFINISI LINGUISTIK
Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, linguistik pula diertikan sebagai kajian saintifik tentang
bahasa; berkaitan dengan bahasa.
5.0 SUMBANGAN
5.1 SISTEM EJAAN MELAYU
Minat beliau terhadap penulisan bermula dalam tahun 1918 lagi semasa menjadi guru Bahasa
Melayu merangkap penterjemah di Maktab Melayu Kuala Kangsar, beliau telah mula
mengumpul senarai perkataan Melayu dalam tulisan Jawi. Dalam tahun 1924 pula, beliau
telah menjemput sebilangan orang Melayu dari kalangan pegawai kerajaan yang
berpendidikan Inggeris datang ke Kuala Lumpur untuk membantu menubuhkan sebuah "Pan-
Malayan Malay Literary Society" yang matlamat utamanya ialah untuk menyatukan pelbagai
kelainan sistem ejaan Melayu, di samping memajukan perkembangan kesusasteraan Melayu
Moden.
Nama Pendeta Za’ba juga terukir sebagai pencipta Sistem Ejaan Baru Bahasa Melayu
yang disebut sebagai Sistem Ejaan Za’ba. Beliau menggubal sistem ejaan dalam tahun 1933
dan menggantikan sistem ejaan oleh R.J. Wilkinson yang telah digunakan dalam tahun 1914.
Oleh sebab Sistem Ejaan Za’ba digunakan di sekolah-sekolah sejak tarikh penggubalannya
sehinggalah tahun 1972 dengan dilaksanakan Sistem Ejaan Baharu, maka sistem berkenaan
juga dikenali sebagai Sistem Ejaan Sekolah.
3
Za’ba: Pendeta yang Retorik
Walau bagaimanapun, Za’ba menaruh harapan untuk kemudian kelak menjadikannya
sebuah kamus dengan tiap-tiap perkataan itu diberi tidak sahaja makna tetapi juga contoh ayat
memakainya dan simpulan-simpulan bahasa yang terbit daripadanya, "sebagai membanyak
dan menambah elokkan kamus-kamus kita yang sedia ada". Oleh kerana itulah, beliau digelar
“Bapa Bahasa Melayu Moden” selepas Munsyi Abdullah.
Za’ba turut berusaha memperkembang dan meningkatkan penggunaan Bahasa Melayu
dan turut terlibat sebagai anggota Lembaga Menggubal Perkataan Melayu bersama-sama
Ibrahim Mahmud, Dato’ Haji Muhammad Said, Abdul Rahim Kajai dan Osman Kalam.
5.2 DAFTAR EJAAN JAWI
Za’ba telah memperkenalkan kaedah ejaan Jawi dalam tahun 1929 dan menerbitkan pula
Rahsia Ejaan Jawi dan dalam tahun 1931, sebahagian daripada buku yang dinamakan Rahsia
Ejaan Jawi itu telah dicetak. Ertinya, pada tahun 1918 beliau memulakan projek pensenaraian
kata-kata dalam tulisan Jawi; pada tahun 1924 beliau mengambil inisiatif menubuhkan sebuah
persatuan yang salah satu matlamatnya ialah untuk menyeragamkan ejaan Jawi; pada tahun
1931 beliau merumuskan undang-undang ejaan Jawi dalam sebuah buku Rahsia Ejaan Jawi;
dan pada tahun 1938 beliau menyiapkan Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi).
Menurut Za'ba, undang-undang ejaan Jawi yang diberinya dalam buku Daftar Ejaan
Melayu itu "hanyalah ringkasan atau pati daripada apa-apa yang telah dipanjang-lebarkan
di sana sahaja”. Kemuncak yang diimpikannya ialah sebuah kamus lengkap bahasa Melayu
dalam tulisan Jawi. Dalam tahun 1933 hingga 1935, beliau mengubah rancangan asalnya
dengan mengemukakan hanya sebuah daftar ejaan, dan bukannya kamus, yang susunannya
ialah menurut susunan abjad Jawi, dan pada setiap perkataan dalam ejaan Jawi itu diberi pula
persamaan ejaan Ruminya.
4
Za’ba: Pendeta yang Retorik
5.3 BAHASA DAN FIKIRAN
Za’ba jelas berpendirian bahawa bahasa adalah “alat mengeluarkan fikiran”. Perkaitan di
antara kedua-duanya itu sangat erat, dalam erti kata bahasa yang digunakan itu hendaklah
dengan tepat menggambarkan fikiran. Za’ba mengatur pedoman penggunaan bahasa,
khususnya dalam karang-mengarang. Katanya :
Bahasa itu alat mengeluarkan fikiran supaya dapat diketahui orang dengan
mendengar atau membacanya. Maka jika bahasa yang dipakai itu tidak menepati
betul-betul seperti maksud yang di dalam hati, tentulah orang tersalah faham atau
tiada dapat oleh mereka tujuan yang dikehendakkan itu.
(Bab Permulaan, Ceraian 4)
Za’ba mengajar bukan setakat bahasa sahaja, tetapi menanamkan semangat dan
kedudukan Bahasa Melayu itu sendiri. Za’ba juga pernah mengkaji penggunaan bahasa dalam
akhbar pada tahun 1900-1941. Bahasa sekitar tahun ini menggunakan bahasa mudah, bahasa
pengarang dan tersendiri. Ada juga yang cenderung menggunakan perkataan lama dan
ungkapan pinjaman dari Bahasa Arab.
5.4 NAHU DAN TATABAHASA
Za’ba dengan jelas membezakan pengetahuan nahu dengan kemahiran bahasa. Pandai
menggunakan bahasa tidak semestinya pandai menjelaskan hal-hal yang berhubung dengan
nahu. Untuk belajar bahasa, orang tidak perlu terlebih dahulu belajar tentang selok belok
nahu. Za’ba melihat penggunaan bahasa sebagai satu kemahiran, dan kemahiran memerlukan
latihan. Kemahiran dalam penggunaan bahasa setiap hari itu dilanjutkan kepada kemahiran
mengarang. Fikiran Za’ba tentang kemahiran bahasa seperti itu tidaklah bermakna beliau
tidak menitikberatkan nahu. Beliau melihat peranan nahu pada dua peringkat pembelajaran,
iaitu pada peringkat bahasa pertama dan pada peringkat bahasa kedua.
5
Za’ba: Pendeta yang Retorik
Pada peringkat bahasa pertama, nahu berguna untuk mengukuhkan pengetahuan
pengguna bahasa tentang susunan ayat dan fungsi-fungsi perkataan, dan dengan itu nahu
boleh menjadi pedoman dalam penyelidikan mereka. Oleh itu, sumbangan sebuah rumusan
besar nahu Melayu (Pelita Bahasa Melayu (1941) dalam tiga jilid) telah membawa perubahan
yang besar kepada dunia linguistik Melayu. Menurut Za’ba di dalam bukunya Ilmu
Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu, dengan adanya ilmu nahu, pengguna bahasa
boleh mendalami lagi hal ehwal bahasa mereka. Pada peringkat belajar bahasa asing, nahu
perlu diutamakan supaya jangan terikut kaedah nahu bahasa sendiri.
Sebenarnya, aspek tatabahasa yang dikemukakan oleh Za’ba dalam Pelita Bahasa
Melayu sebanyak 3 jilid itu dari segi rangka asasnya sudah lengkap dan menyeluruh sesuai
dengan saranannya agar orang selepasnya menokok-tambah mana-mana yang tidak lengkap.
Analisis Za’ba tentang tatabahasa dapat dibahagi kepada dua komponen utama, iaitu
morfologi dan sintaksis, walaupun beliau tidak menggunakan istilah tersebut. Selaras dengan
pengaruh tatabahasa tradisional yang ketika itu mendominasi disiplin linguistik, analisis
Za’ba ternyata banyak yang terikat oleh pendekatan tersebut. Oleh sebab itu, istilah-istilah
tatabahasa yang digunakannya dan cara beliau menjelaskan sesuatu konsep tatabahasa
seluruhnya berdasar pada makna, iaitu ciri utama linguistik tradisional.
6
Za’ba: Pendeta yang Retorik
5.5 KARANGAN SEBAGAI SISTEM WACANA
Za’ba melihat karangan sebagai satu wacana yakni wacana bertulis yang berbeza dengan
wacana lisan.
Karya-karya Za’ba dikatakan penting kerana telah meletakkan asas pengetahuan Bahasa
Melayu dari berbagai-bagai segi. Berikut merupakan antara karangan-karangan Za’ba :-
i) Pelita Bahasa Melayu II (Rumi)
Memberi latihan mengarang bagi darjah rendah.
ii) Pelita Bahasa Melayu III (Rumi)
Bicara mengarang bagi darjah tinggi.
iii) Ilmu mengarang Melayu (Jawi)
Bicara mengarang bagi penuntut-penuntut di kolej.
iv) Daftar Ejaan Melayu (Jawi-Rumi)
Daftar perkataan-perkataan Melayu dengan ejaan jawi dan rumi serta undang-
undang ejaannya.
v) Kata-kata yang Tidak Tetap dalam Tulisan Melayu Rumi dan Kitab Rahsia Ejaan
Jawi (1930)
vi) Kaedah Karangan Bahasa Melayu terangkum dalam Kitab Pelita Mengarang
(1931)
vii) Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia (1958)
viii) Bahasa Melayu Kelebihan dan Kekurangan (1954)
ix) Bahasa Melayu dengan Tulisannya (1958)
7
Za’ba: Pendeta yang Retorik
6.0 PENUTUP
Amat banyak dan amat besar perjuangan serta sumbangannya kepada bangsa dan negara kita
ini. Pendeta Za’ba serta semua karyanya adalah sebenar-benarnya Warisan Bangsa yang amat
berharga khususnya di dalam bidang bahasa dan kesusasteraan yang harus dikenang oleh
generasi masa kini dan juga yang akan datang.
Dalam perspektif sejarah penulisan tatabahasa Bahasa Melayu, Za’ba lah satu-satunya
ahli bahasa tempatan yang menghasilkan tatabahasa Bahasa Melayu dalam bahasanya sendiri.
Jika dipertalikan dengan cita-cita Abdullah Abdul Kadir Munshi yang ingin menghasilkan
karya tatabahasa Bahasa Melayu sejak akhir abad kesembilan belas tetapi tidak kesampaian,
Za’ba lah yang menyempurnakan cita-cita tersebut. Demikian juga jika dikaitkan percubaan
Raja Ali Haji menulis tatabahasa Bahasa Melayu mengikut acuan tatabahasa Bahasa Arab
termasuk istilah-istilah yang digunakan, Za’ba lah juga yang menyempurnakan dengan cara
tersendiri sebagaimana bukti nyata kitab Pelita Bahasa Melayu sebanyak tiga penggal itu.
(Ismail Salleh, 2001)
Selaras dengan semangat yang ditunjukkan oleh Za'ba dalam dunia linguistik Melayu,
maka semua pihak yang mendokong kepentingan Bahasa Melayu perlulah memadu tenaga
untuk tidak menggugat kedaulatan Bahasa Melayu dengan kepentingan kecil-kecilan yang
tidak dapat dipertahankan secara rasional kerana sikap kitalah yang menjadi punca kita
menolak Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Jika, dari segi rasionalnya, sistem yang
disempurnakan itu masih belum sempurna, maka aspek-aspek yang belum sempurna itu
hendaklah dikenalpasti dan penyelesaian ke atasnya dicari secara rasional pula dan bukannya
ditolak begitu sahaja dengan tidak dicari jalan bersama-sama untuk memperbaiki lagi apa
yang telah dicuba-sempurnakan.
8
Za’ba: Pendeta yang Retorik
7.0 KESIMPULAN
Usaha dan sumbangan Za’ba mesti dikaji kerana semuanya itu dapat menyemai bibit-bibit
semangat cintakan negara dan bangsa Melayu untuk bebas dari kongkongan pemerintah
tradisional dan kolonial British khusus kepada generasi muda hari ini yang jauh dan buta
daripada perjuangannya itu kerana perjuangan beliau sentiasa ditunjangi oleh ketabahan,
kecekalan dan keyakinan. Walaupun Za’ba berpendidikan Inggeris tetapi beliau tetap
berjuang gigih untuk memartabatkan Bahasa Melayu, sama seperti pejuang bahasa pada hari
ini. Usaha Universiti Pendidikan Sultan Idris mewujudkan Kursi Za’ba dalam rangka
mengimarahkan dunia kesarjanaan dalam bidang pengajian Melayu merupakan usaha yang
terpuji, bukan sahaja sebagai mengenang jasa bakti beliau sebagai antara tokoh yang menjadi
tonggak Sultan Idris Training College yang merupakan institusi awal universiti tersebut,
malah sebagai penghargaan yang hak baginya sebagai perintis bahasa Melayu baharu.
Demikian juga usaha kerajaan Negeri Sembilan mewujudkan Teratak Za’ba yang
bersifat muzium tokoh seakan-akan Muzium Hemingway di England; dan tertubuhnya
Yayasan Pendeta Za’ba pada 7 November 1986 oleh Badan Kebajikan Anak-Anak Melayu
Negeri Sembilan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu akan dapat mengabadikan
sumbangan Za’ba dalam melanjutkan tradisi keilmuan di rantau berbahasa Melayu ini. Bagi
Za’ba, bahasa adalah mencerminkan keunggulan budaya kita dan jati diri bak kata pepatah,
“Hilang bahasa lenyaplah bangsa”.
9
Za’ba: Pendeta yang Retorik
8.0 BIBLIOGRAFI
Asmah Haji Omar. 2002. “Pengenalan” Ilmu Mengarang Melayu Edisi Ejaan Rumi Baharu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
_______________. 2004. Buku Cenderamata Sempena Majlis Jamuan Makan Malam dan
Perasmian Seminar Kebangsaan Memartabatkan Warisan Pendeta Za’ba. Petaling Jaya:
Yayasan Pendeta Za’ba.
Awang Sariyan. 2004. Sumbangan Pemikiran Za’ba Dalam Pelanjutan Tradisi Linguistik
Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Azeman Ariffin. 1990. Mempelopori Persuratkhabaran Melayu Moden. Kuala Lumpur:
Utusan Malaysia.
Bakiah Haji Thani. 1985. Imbuhan Pasif BM: Masalah Penggunaan Dan Cara-Cara
Mengatasi . Serdang: Jabatan Bahasa, Fakulti Pengajian Pendidikan,UPM.
Dharmawijaya & Kamaruzaman Kadir. 2004. “Perjuangan Za’ba Memartabatkan Bahasa
Melayu”. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Memartabatkan Warisan Pendeta Za’ba (15-16
September 2004), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Ismail Salleh. 2001. Sejarah Bahasa: Tatabahasa Za’ba Dalam Perspektif Sejarah Penulisan
Tatabahasa Bahasa Melayu. Seremban: Lembaga Muzium Negeri Sembilan.
Kamus Dewan Edisi Empat.
Persatuan Penulis Negeri Sembilan. 1990. Biografi Penulis Negeri Sembilan Darul Khusus:
Edisi Pertama. Seremban: Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan.
10
Za’ba: Pendeta yang Retorik
Taib Osman & Wan Abu Bakar Wan Abas. 2004. “Penghayatan Karya Pendeta Za’ba: Ilmu
Mengarang Melayu”. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Memartabatkan Warisan Pendeta
Za’ba (15-16 September 2004), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Zainal Abidin Ahmad. 1958. Pelita Bahasa Melayu Penggal I: Permulaan Nahu Melayu.
Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zainal Abidin Ahmad. 2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I-III: Edisi Baharu. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
11