warga tani terus dibela -...

16

Upload: lyhuong

Post on 06-Mar-2019

230 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN

Kemajuan sektor pertanian yang dilihat semakin ketara masa kini telah memberi impak kepada

usahawan-usahawan pertanian melalui peningkatan kegiatan ekonomi berasaskannya.

Matlamat kerajaan untuk merealisasikan sektor pertanian dan industri asas tani sebagai Enjin Pertumbuhan Ekonomi Negara yang ketiga penting perlu mendapat sokongan setiap warga tani. Kerajaan telah menjalankan pelbagai usaha dan sentiasa berikhtiar dengan bermacam-macam cara bagi membela golongan peladang, penternak dan nelayan agar ekonomi mereka dapat ditingkatkan.

Kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini baru-baru ini telah menganjurkan

2

Warga Tani Terus Dibela

Perhimpunan Warga Tani dengan objektif untuk memberi pendedahan kepada warga tani bahawa kerajaan mahu peningkatan sektor pertanian diteruskan agar setanding dengan sektor lain.

Peranan kerajaan dalam membela golongan peladang, penternak dan nelayan ini tidak perlu dipertikaikan lagi. Segala yang dilakukan oleh kerajaan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemiskinan tegar yang selama ini membelenggu mereka. Setiap organisasi dan individu yang terlibat secara langsung perlu memainkan peranan dalam usaha membantu kerajaan membela golongan tersebut melalui program-program yang menjurus kepada bidang pertanian.

Oleh: Rohman Jasmani (Ibu Pejabat LPP)

“Gandingan ICT dan bioteknologi serta ditokok pula dengan pembangunan modal insan secara berterusan di kalangan peserta sektor pertanian, akan mewujudkan amalan pertanian baik, penghasilan benih bermutu , baja dan pengeluaran makanan, ubat-ubatan dan barangan persolekan. Keyakinan kerajaan terhadap sektor pertanian bukanlah angan-angan kosong kerana keyakinan itu berlandaskan

kepada usaha dan strategi kerajaan memajukan sektor itu”.

Y.A.B Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad BadawiPerdana Menteri Malaysia,Perhimpunan Warga Tani

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 3

Berbekalkan transformasi teknologi sudah pasti usaha yang dilakukan oleh peladang, penternak dan nelayan akan dapat dipertingkatkan. Seluruh warga tani harus lebih inovatif meningkatkan kepakaran dan berusaha dengan lebih gigih lagi merebut peluang-peluang pelaburan dalam sektor pertanian yang sedang bergerak pantas seiring dengan kemajuan teknologi pertanian pada masa kini.

Produk-produk yang dihasil perlu mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta peningkatan nilai rantaian. Kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan merupakan satu peluang yang perlu digapai oleh setiap warga tani dalam usaha menjadikan sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi negara.

Sektor pertanian kini semakin diberi penekanan melalui tumpuan kepada usaha-usaha meningkatkan nilai rantaian dan keperluan makanan negara serta industri asas tani yang mempunyai nilai pulangan yang lumayan. Kerajaan juga mengukuhkan aktiviti perladangan komersial secara besar-besaran melalui potensi bidang sains dan teknologi dalam pertanian seperti ICT, bioteknologi dan penyelidikan secara berterusan. Malah penggunaan teknologi dan peralatan yang moden akan menjadikan sektor pertanian setanding dengan sektor lain.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memainkan peranan untuk memajukan sektor pertanian negara terutama dalam menjamin bekalan makanan negara mencukupi dan selamat. Melalui pelbagai program dan peruntukan yang disediakan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini telah dapat menjana pembangunan sektor pertanian di negara ini sebagai jentera pertumbuhan ekonomi. Kerajaan juga telah menjalankan pelbagai usaha dan memberikan banyak insentif dalam memajukan bidang pertanian supaya lebih produktif, inovatif, dinamis serta progresif bagi meningkatkan taraf hidup warga tani di seluruh negara.

Semua peladang, penternak, nelayan, pertubuhan peladang dan sektor swasta boleh memainkan peranan dalam menjayakan usaha kerajaan dalam menjamin peningkatan hasil dan kualiti pengeluaran bahan makanan dan pertanian bagi keperluan negara dan juga untuk dieksport. Masyarakat peladang, penternak dan nelayan dengan sokongan kerajaan perlu mempergiatkan lagi pertumbuhan sektor agro-makanan sebagai satu sektor yang moden seiring dengan arus kemajuan sains dan teknologi serta kepesatan ekonomi global.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN4

Penanaman Pisang Daripada Pembiakan Tisu Kultur

Penggunaan teknologi saintifik seperti bioteknologi dalam bidang pertanian tidak boleh dinafikan

kerana selain membantu meningkatkan hasil ia juga mampu membiak baka agar lebih berkualiti dari segi tumbesaran dan daya tahan daripada serangan penyakit.

Pelbagai teknik pembiakan tanaman telah digunakan bagi menghasilkan baka yang menyerupai pokok induk seperti kaedah catuman, tut, keratan batang dan lain-lain lagi. Kaedah tersebut lebih banyak dipraktikkan oleh pengusaha kerana ia lebih mudah, murah dan cepat.

Terdapat kaedah selain di atas yang sering dipraktikkan tetapi memerlukan sedikit perbelanjaan untuk menghasilkannya. Teknik pembiakan melalui kaedah tisu kultur merupakan kaedah yang mampu mempercepatkan tumbesaran pokok dan pengeluaran hasil.

Walaupun kaedah ini boleh dipraktikkan oleh pengusaha tanaman tetapi bukan semua pokok mampu dibiakkan melalui teknik tersebut kerana hanya tumbuhan yang berbatang lembut dan mempunyai sulur sahaja boleh dibiakan menggunakan kaedah ini.

Pokok pisang dan beberapa pokok tanaman hiasan boleh dibiakan melalui tisu kultur. Tanaman pisang merupakan tanaman sampingan jangka pendek yang selalu diusahakan oleh pekebun kecil. Pokok pisang

ditanam sebagi selingan kepada tanaman kekal seperti getah dan kelapa sawit. Anak pokok pisang boleh diperolehi daripada pokok induk dalam kuantiti yang sedikit. Berbekalkan masa yang terhad dan jika kawasan yang hendak diusahakan luas, benih tanaman akan sukar diperolehi.

Melalui keadah pembiakan tisu kultur, anak pokok pisang boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak dan sesuai untuk tujuan komersial. Untuk tujuan ini, sulur pisang boleh digunakan sebagai sumber tisu bagi pengkulturan. Teknik pembiakan melalui tisu kultur ini mampu menghasilkan 500 – 2,000 anak pokok pisang daripada satu pokok induk dalam setahun berbanding hanya 10-15 anak pokok pisang daripada pokok induk biasa. Pokok pisang daripada jenis Berangan, Mas, Tanduk dan Nangka biasa dibiakkan menggunakan kaedah ini kerana ia diusahakan secara komersial.

Bagi pengusaha komersial, pembiakan melalui kaedah tisu kultur mampu mengatasi kekurangan bekalan benih. Selain daripada itu terdapat banyak lagi kelebihan menggunakan anak benih pisang tisu kultur ini. Antaranya ialah:

· Benih mudah diperolehi dalam kuantiti yang banyak.· Pokok pisang cepat berbuah iaitu 6 hingga 7 bulan selepas ditanam dengan saiz buah yang seragam.· Kurang risiko serangan penyakit kerana

Oleh: Rohman Jasmani (Ibu Pejabat LPP)

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 5

anak pokok pisang yang dihasilkan bebas daripada jangkitan mikroorganisma.· Hasil buah berkualiti dan bermutu tinggi dengan berat buah yang diperolehi meningkat.· Anak pokok pisang yang dihasilkan tulen atau serupa pokok induk dan cepat membesar.· Saiz atau ketinggian pokok sederhana iaitu 7-8 kaki yang memudahkan kerja-kerja pembungkusan buah.· Pokok yang tidak berkualiti mudah dikenalpasti ketika kecil lagi berbanding kaedah konvensional yang perlu menunggu sehingga pokok tersebut besar.· Penuaian atau penghasilkan buah boleh dilakukan sebanyak tiga kali dalam tempoh 18 bulan.

Amalan pertanian yang baik perlu dipraktikkan bagi mendapatkan hasil yang tinggi dalam penanaman pisang. Pokok pisang boleh hidup dikesemua jenis tanah yang bersaliran baik kecuali tanah berpasir dan liat padat. Bagi tanah yang bercerun, tahap kecerunan yang paling sesuai adalah kurang daripada 120 dengan kandungan pH antara 5.5 – 8.0.

Sepanjang tumbesaran pokok pisang dan pengeluaran hasil, bekalan air diperlukan secukupnya

dengan suhu sekitar 21 - 320 dan kadar kelembapan bandingan melebihi 60%.

Cara penanaman juga mesti mengikut amalan pertanian yang disyorkan. Lubang tanaman berukuran 45 cm x 45 cm x 45 cm perlu disediakan seminggu sebelum menanam. Semasa menanam anak pokok pisang tisu kultur perlu dimasukkan ke dalam lubang sedalam 25 – 30 cm yang diisi dengan 1 kg baja organik, 250 gm baja CIRP, 100 gm furadan dan hormon penggalak akar serta racun antikulat. Jarak tanaman 3 m x 3 m dengan kapasiti 1,100 pokok/hektar disyorkan.

Bagi memastikan pokok pisang tumbuh sekata, pembajaan berjadual perlu diikuti. Umur pokok 1 – 3 bulan selepas ditanam, baja NPK Hijau (15:15:15) perlu ditabur dengan kadar 250 gm/pokok. Manakala setelah pokok berumur empat bulan hingga jantung pisang keluar, baja NPK Biru diberi dengan kadar 250 gm/pokok.

Untuk memastikan tumbesaran pokok boleh dilakukan secara berperingkat, digalakkan hanya tiga pokok dibiarkan tumbuh pada setiap lubang iaitu pokok induk, sulur dan sulur bungsu. Sulur yang dibiarkan membesar adalah jenis sulur pedang yang mempunyai daun tirus dan panjang. Sulur yang lain harus dipangkas dan dibuang.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN6

Pokok induk dan dua sulur yang dibiarkan membesar akan menghasilkan tiga tandan pisang secara berperingkat dalam masa 18 bulan. Pokok pisang berangan akan mula mengeluarkan jantung apabila berumur 7 – 8 bulan selepas ditanam. Bagi memperolehi buah yang berkualiti, tandan pisang perlu dibalut dan ini boleh dilakukan selepas sisir terakhir pada tandan terbentuk 10 – 14 hari selepas pengeluaran jantung. Tandan pisang boleh dibalut menggunakan pelastik khas. Di samping memperolehi buah yang berkualiti, buah pisang juga terhindar daripada serangan serangga pengorek buah atau lalat buah dan binatang seperti monyet serta burung.

Dengan menggunakan anak benih pisang daripada kaedah pembiakan tisu kultur, buah pisang boleh dituai hasil 80 hari selepas jantung terbit. Kerja-kerja pengambilan buah pisang juga perlu dilakukan

dengan berhati-hati kerana hentakan yang kuat semasa penebangan pokok dan pengangkutan akan mengakibatkan kecederaan pada buah yang boleh mengurangkan kualiti dan harga. Selepas penuaian buah-buah pisang perlu dibersihkan daripada kotoran dan dibungkus sebelum boleh disimpan selama enam minggu pada suhu 140 celcius.

Banyak kelebihan yang mampu diperolehi melalui penggunaan benih pisang daripada kaedah tisu kultur bagi pengusaha ladang pisang secara komersial. Selain masa penanaman yang singkat dan pendapatan yang tinggi, buah yang dihasil juga berkualiti dan memenuhi standard eksport. Pertubuhan peladang dan ahli pertubuhan peladang yang terlibat dalam mengusahakan tanaman pisang perlu menggunakan kaedah tersebut jika mahukan pulangan setimpal dengan modal yang dilaburkan.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 7

PPK SEPANG ANJUR KARNIVAL USAHAWAN PELADANG

Pemasaran merupakan aktiviti terakhir yang dilakukan dalam memastikan setiap projek atau

industri memberi keuntungan dan menjadi kayu pengukur ke atas barangan yang dihasilkan sama ada ia diterima pengguna atau sebaliknya.

Sebelum sesuatu aktiviti atau projek dijalankan ruang pasaran perlu diteliti terlebih dahulu agar barangan yang dihasilkan dapat dipasarkan dan projek memberi keuntungan serta berdaya saing.

Melihat kepada keperluan tersebut dan bagi membolehkan ahli yang mengusahakan dan mengeluarkan pelbagai produk berasaskan pertanian memasarkan barangan, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sepang telah menganjurkan Karnival Usahawan Peladang selaras dengan salah satu antara sepuluh perkhidmatan yang disediakan iaitu Perkhidmatan Pemasaran.

Di bawah pengendalian PPK Sepang, terdapat seramai 52 orang usahawan yang telibat dalam pelbagai sektor seperti pertanian, pemprosesan, perkhidmatan dan pembuatan. Bagaimanapun kebanyakannya terdiri dari pengusaha kuih tradisional dan makanan berasaskan ubi kayu yang begitu sinonim di daerah Sepang di mana terdapat banyak perusahaan kecil dan sederhana yang telah berjaya mencapai isipadu perniagaan mencecah jutaan ringgit setahun seperti Agro Chips, Sepang Maju, Temuan Rezki dan lain-lain lagi.

Daripada 52 orang usahawan yang telah diwujudkan oleh PPK, 27 orang daripadanya terlibat dalam sektor pengeluaran makanan, 24 orang terlibat dalam sektor pemprosesan dan seorang dalam sektor perkhidmatan. Usahawan-usahawan ini telah mendapat peruntukan di bawah program keusahawanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan telah dibiayai melalui pelbagai program seperti Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Pembangunan Usahawan Peladang (PUP) dan Pembangunan Unit Peladang. Jumlah usahawan ini telah dapat membantu LPP untuk mewujudkan sekurang kurangnya 10 orang usahawan setahun bagi setiap pertubuhan peladang seterusnya menyumbang kepada matlamat LPP untuk mewujudkan 10,000 orang usahawan di bawah RMK9 menjelang tahun 2010.

Menyedari semakin bertambahnya usahawan-usahawan yang tumbuh bagai cendawan di dalam daerah Sepang ini, PPK tergerak untuk menganjurkan satu program yang boleh membantu mereka mempromosi dan memasarkan produk dan perkhidmatan dalam satu kelompok usahawan-usahawan samada berbentuk pengeluaran makanan, bidang pertanian dan juga keperluan harian seperti pakaian, aksesori, kenderaan dan sebagainya melalui Karnival Usahawan Peladang.

Oleh: Abd. Razak b. Mat Yusuff

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN8

Karnival Usahawan Peladang ini berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos 2008 di Padang Awam Salak, Sepang Selangor. Inilah julung-julung kali karnival seumpamanya diadakan sejak penubuhan PPK 32 tahun yang lalu. Kebiasaannya pada setiap penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri dan Kebangsaan, peranan PPK Sepang hanyalah sebagai peserta samada menyertai gerai-gerai pameran dan jualan menerusi penglibatan PPK sendiri atau melalui usahawan- usahawan.

Hasrat PPK untuk menganjurkan karnival ini telah dirancang sejak akhir tahun 2007 tetapi tidak dapat direalisasikan disebabkan masalah pemilihan tapak, kesuntukan masa dan kewangan. Bagi menjayakan karnival ini perancangan telah dibuat sejak awal tahun 2008. Antara faktor yang perlu diambil kira termasuklah pemilihan lokasi yang strategik, masa yang sesuai seperti hari minggu dan cuti sekolah, kemampuan kewangan pengunjung seperti hari gaji, masa menuai hasil ladang kelapa sawit dan juga pengisian program karnival.

Dengan komitmen daripada beberapa orang Ahli Jemaah Pengarah PPK dan Wakil Rakyat Parlimen Sepang dan Ahli Undangan Negeri Sg. Pelek, Karnival Usahawan Peladang telah berjaya diadakan melalui sumbangan daripada wakil-wakil rakyat tersebut, di

samping peruntukan daripada LPP Negeri Selangor dan PPK Sepang. Sumbangan juga diperolehi daripada syarikat swasta dan perniagaan melalui tempahan iklan dalam buku cenderamata sempena karnival tersebut. Satu lagi elemen yang penting untuk menarik pengunjung dalam promosi dan jualan adalah publisiti. Melalui peranan yang dimainkan oleh beberapa orang Ahli Jemaah Pengarah, telah menarik lebih ramai pengunjung datang ke karnival. Satu lagi cara untuk menyampaikan mesej kepada pengunjung ialah menggunakan kaedah hebahan melalui kain rentang, fliers, suratkhabar, sistem pesanan ringkas (SMS) dan juga melalui Jawatan-jawatan Kuasa Unit Peladang. Untuk lebih menyakinkan lagi fliers telah dihantar melalui rumah ke rumah dan melalui sisipan akhbar. Hebahan ini bukan sahaja berjaya untuk menarik pengunjung hadir tetapi menjemput usahawan-usahawan yang berminat untuk turut serta mengambil bahagian.

Program atau aturcara karnival juga menjadi satu aspek penting untuk menarik pengunjung hadir. Antara aturcara yang diadakan ialah demontrasi silat, senamrobik, demontrasi masakan, pertandingan melukis, sukaneka dan forum perdana.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 9

Perasmian acara karnival telah disempurnakan oleh Tuan Haji Nadzli bin Che Long, Pengarah LPP Selangor. Beliau mengucapkan tahniah kepada PPK kerana berjaya menganjurkan Karnival Usahawan Peladang buat julung-julung kali di PPK Sepang dan juga di Negeri Selangor. Dalam majlis perasmian tersebut, penyampaian hadiah kepada usahawan jaya baru bagi kategori Usahawan Muda Jaya, Usahawan Baru PKS dan PUP turut diadakan. Hadiah Usahawan Jaya Baru telah diberi kepada Puan Hajah Partiwi binti Zainal, Encik Misdar bin Tumiran Usahawan Baru di bawah kategori PUP dan Usahawan Muda Encik Rizal bin Jamaludin.

Selepas majlis peramian lawatan ke gerai-gerai pameran dilakukan yang disertai oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, usahawan PPK dan swasta. Antara barang-barang yang dipamer dan dijual termasuklah produk makanan, pakaian, kenderaan, input pertanian, peralatan elektrik, insuran dan gerai makanan. Demontrasi masakan berasakan ubi kayu juga telah diadakan oleh usahawan Puan Hajah Shamsiah binti Juremi dari Unit Peladang Kg. Bonon yang juga usahawan makanan sejuk beku.

Sepanjang 4 hari 3 malam karnival diadakan, tidak ada hari yang tidak terluang. Bermula dengan majlis peramian dikuti dengan penganjuran Forum Perdana Ehwal Islam pada malamnya dan diikuti dengan sukaneka, demontrasi silat, pemeriksaan

kesihatan, pertandingan teka berat ubi kayu, demontrasi masakan dan ujirasa telah memeriahkan lagi karnival ini. Pihak PPK juga telah mendapat kerjasama yang baik daripada Polis Di Raja Malaysia dan RELA bagi mengawal lalulintas dan keselamatan barangan usahawan. Dalam program yang sama PPK juga berkesempatan mengadakan Hari Bertemu Pelanggan untuk memperkenalkan PPK pada pengunjung seterusnya menarik mereka menjadi ahli. Program tersebut telah berjaya mencapai sasarannya untuk menarik ahli baru menyertai PPK. Majlis penutupan karnival ini telah disempurnakan oleh wakil Ahli Parlimen Sepang pada 24 hb. Ogos 2008.

Impak daripada program Karnival Usahawan Peladang ini sedikit sebanyak membuka mata ahli, jabatan kerajaan dan orang ramai bahawa peranan PPK bukanlah setakat berniaga mencari keuntungan semata-mata tetapi lebih jauh daripada itu. Walaupun PPK telah membelanjakan hampir RM16,000.00 untuk karnival ini tetapi ianya dirasakan berbaloi untuk mengetengahkan usahawan-usahawannya dan PPK sendiri ke tengah-tengah masyarakat serta merealisasikan 10 perkhidmatan sepertimana yang digariskan oleh LPP. Bagi PPK penganjuran karnival adalah satu titik permulaan dan terdapat kelemahan-kelemahan yang perlu diatasi. Mungkin selepas ini akan ada program-program yang seumpamanya lagi yang lebih teratur dan meriah.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN10

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kini mempunyai tanggungjawab yang lebih besar

bagi menjadikan pertanian sebagai sumber makanan terpenting negara.

Matlamat yang digariskan selama ini menerusi agenda mengangkat martabat pertanian iaitu lebih komersial dan meningkatkan pengeluaran hasil pertanian serta mengurangkan import makanan negara. Dasar ini telah digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan ( RMK – 9 ) dan Dasar Pertanian Negara Ketiga ( DPN3 ) yang akan tamat pada tahun 2010. Perlaksanaan sedang rancak dijalankan dengan melibatkan peruntukan kos sebanyak RM 7 Bilion.

Namun, sesuai dengan perkembangan semasa, kerajaan pada Mei lalu mengumumkan perlaksanaan Dasar Jaminan Bekalan Makanan bagi memastikan bekalan bahan makanan rakyat mencukupi pada tahun ini . Dasar ini merangkumi langkah jangka masa pendek dan perlaksanaan jangka masa sederhana sehingga tahun 2010 yang akan dilaksanakan serta merta.

Langkah-langkah Meningkatkan Pengeluaran Makanan Negara

Langkah-langkah proaktif telah dilakukan oleh kerajaan dalam sektor pertanian bagi meningkatkan

pengeluaran makanan negara melalui peningkatan pengeluaran beras iaitu:

Penyelenggaraan dan menaiktiraf insfrastruktur pengairan dan saliran. Pengurusan ladang yang optimum melalui perataan tanah, pengawalan perosak, penggunaan baja dan input berkesan serta mekanisasi ladang. Penyediaan peruntukan tambahan bagi membiayai insentif dan subsidi tambahan dengan peningkatan pengeluaran padi. Peruntukan sebanyak RM803 juta telah disediakan bagi program ini pada tahun 2008.

Pewujudan Stok Penimbal Beras juga bertujuan meningkatkan pengeluaran makanan Negara. Langkah-langkah yang diambil ialah:

Stok penimbal beras ditingkatkan kepada bekalan 3 bulan secara beransur melibatkan semua jenis beras. Sebanyak RM1005 Juta disediakan bagi tahun 2008. Program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan perikanan turut diambil. Peranan yang dilakukan adalah:

DASAR JAMINAN BEKALAN MAKANANOleh : Raja Muhammad Shafiq bin Raja Ahmad (Ibu Pejabat LPP)

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 11

Pengeluaran dan produktiviti sayur-sayuran, buah-buahan, daging lembu dan kambing serta akuakultur ditingkatkan melalui program- program Taman Kekal Pengeluaran Makanan, Zon Industri Akuakultur, Pembangunan HATCHERI benih udang / ikan serta perolehan baka lembu dan kambing. RM90 Juta telah diperuntukkan bagi peningkatan pengeluaran pada tahun 2008.

Pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian akan dilakukan bagi memberi galakan dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan. Pemberian insentif adalah berdasarkan perkara-perkara berikut:

Kos pengeluaran telah meningkat dengan ketara mulai tahun 2007, komponen utama yang mengalami kenaikan ialah baja dan racun.

Kerajaan telah bersetuju untuk memberi insentif pengeluaran kepada pengusaha- pengusaha pertanian yang menghasilkan bahan-bahan asas pertanian bagi menampung sebahagian peningkatan kos. Peruntukan sebanyak RM513 Juta telah diluluskan bagi tahun 2008.

Kerajaan akan mengukuhkan peranan FAMA bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian dapat dijalankan dengan lebih berkesan. Langkah-langkah yang diambil ialah: FAMA akan meningkatkan keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian melalui pembangunan pusat pengedaran, pusat pengumpulan serta peningkatan bilangan sebanyak 50 pasar tani di seluruh negara sebagai tambahan kepada 230 pasar tani sedia ada.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN12

FAMA telah diluluskan peruntukan sebanyak RM39 Juta bagi melaksanakan program ini. Wang urus niaga berjumlah RM 25 Juta telah diperuntukkan untuk membolehkan pembelian hasil pertanian dilakukan.

Perlaksanaan Program Buku Hijau akan dilaksanakan secara menyeluruh diperingkat kebangsaan dalam memberi penerangan tentang komitmen kerajaan terhadap pengeluaran makanan dalam negara dan mengurangkan pergantungan daripada luar. Antara peranan yang dijalankan adalah:

Program ini meliputi kawasan bandar dan desa dengan menggalakkan penduduk bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk menampung keperluan keluarga dan selebihnya boleh dijual. Mengambil kira konsep kitchen garden dan edible landskap, kementerian akan mengedarkan biji benih sayuran terpilih , baja serta manual perlaksanaan kepada seluruh lapisan masyarakat. Peruntukan yang diluluskan bagi program ini pada tahun 2008 adalah sebanyak RM 20 Juta.

Pengurusan kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran komoditi sekuriti akan dilakukan selaras dengan dasar tersebut. Tanah-tanah terbiar milik individu yang terdapat di seluruh negara akan dibaikpulih dan diusahakan secara optimum dengan projek-projek tertentu bagi meningkatkan pengeluaran makanan melalui tindakan berikut:

Tanah terbiar boleh dibangunkan dalam masa yang singkat bagi meningkatkan pengeluaran hasil-hasil pertanian. Tumpuan akan diberikan terhadap tanah hak milik persendirian yang terletak berhampiran diantara atu sama lain melalui kaedah profit sharing dengan pihak swasta yang dikenal pasti. RM20 juta disediakan untuk membangunkan kira-kira 1000 hektar kawasan pertanian dan kolam terbiar pada tahun 2008.

Peranan yang dilakukan oleh kerajaan ini dilihat sebagai momentum kepada peningkatkan pengeluaran makanan negara bagi menampung permintaan domestik seterusnya mampu mengurangkan pergantungan bahan makanan dari luar. Di samping itu langkah tersebut juga akan mengurangkan kesan daripada krisis makan dunia seperti yang berlaku sekarang j ika ianya berulang lagi pada masa hadapan.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 13

Tanaman Kacang Panjangsahut kempen bumi hijauOleh: Rohman Jasmani (Ibu Pejabat LPP)

Kempen Bumi Hijau yang dilancarkan oleh kerajaan jika diteliti keberkesanannya ternyata

memberi impak yang menyeluruh baik dari segi ekonomi negara, masyarakat dan keluarga, lebih-lebih lagi semasa krisis makanan dan ekonomi yang melanda dunia pada masa kini.

Kempen ini dapat mewujudkan kesedaran dan minat rakyat terhadap pertanian terutama dikalangan penduduk-penduduk taman perumahan di bandar. Kempen ini juga diharap dapat mewujudkan kesedaran terhadap makanan segar, berkhasiat dan selamat dimakan di samping persekitaran perumahan yang cantik dan menarik.

Kempen Buku Hijau lebih kepada tujuan menggalakkan rakyat bercucuk tanam sebagai langkah berjimat cermat khususnya dalam mengatasi masalah kenaikan harga barang makanan. Dalam usaha kerajaan menggalakkan rakyat berjimat cermat, sayur-sayuran boleh ditanam untuk kegunaan sendiri. Menanam sayur di sekeliling rumah bukan sahaja menjimatkan belanja malah boleh dijadikan hobi untuk mengisi masa lapang, ia juga merupakan aktiviti kesihatan badan.

Bagi menjimatkan ruang dan masa khususnya orang ramai yang tinggal di kawasan bandar, kaedah pertanian hidroponik yang tidak memerlukan kawasan bercucuk tanam yang luas dan lebih mudah boleh diamalkan. Selain daripada itu ruang yang sedikit boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan tanaman untuk keperluan harian seperti sayur-sayuran yang

boleh diselang selikan antara sayur-sayuran jenis buah dan daun.

Bagi keperluan sayur-sayuran, tanaman kacang panjang adalah antara jenis yang mudah, cepat mengeluarkan hasil dan merupakan antara keperluan harian yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Terdapat pelbagai jenis kacang panjang dipasaran yang boleh ditanam menggunakan biji benih. Biji benih daripada jenis terpilih boleh dibeli kedai-kedai input pertanian berdaftar atau daripada Jabatan Pertanian dan MARDI.

Penyediaan kawasan tanaman merupakan aspek penting yang perlu diperhatikan kerana ia mempengaruhi tumbesaran pokok dan pengeluaran hasil. Pokok kacang panjang amat sesuai ditanam pada tanah yang mengandungi 40-60% pasir, 15% tanah liat dan kaya dengan bahan organik dengan kandungan pH 5.0-7.0. Tanah mineral, gambut dan bekas lombong merupakan jenis tanah yang dikategorikan sesuai untuk tanaman kacang panjang.

Selain daripada itu, faktor suhu sekeliling dan taburan hujan juga menyumbang kepada tumbesaran pokok kacang panjang. Suhu antara 18-35 darjah celcius dengan taburan hujan 138-168 mm/bulan membolehkan pokok hidup subur.

Kawasan yang hendak ditanam perlu dibersihkan kemudian digembur dahulu sebelum batas tanaman

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN14

dibuat. Seelok-eloknya batas tanaman hendaklah berukuran 1.2 meter lebar dan 20-30 cm tinggi. Panjang batas terpulang kepada pengusaha dan selalunya berpandukan keluasan kawasan dan pengurusan. Bagi kawasan sekitar rumah kediaman, batas yang berukuran 3-5 meter panjang akan memudahkan penjagaan.

Bagi kawasan tanaman yang luas kerja-kerja pengapuran perlu dilakukan terlebih dahulu jika kandungan pH lebih daripada 5 dan ditabur tidak kurang 14 hari sebelum menanam dengan kadar 3-7.5 metrik tan/hektar bagi tanah mineral.

Semasa menanam biji benih yang telah dirawat dengan racun kulat (Thiram) dengan kadar 3 gm/1,000 biji benih perlu diletakkan sebanyak 2 biji setiap lubang sedalam 2-3 cm serta ditimbus. Jarak tanaman yang disyorkan adalah 60 cm x 50 cm yang akan menghasilkan kepadatan sebanyak 21,333 pokok sehektar. Penjarangan pokok perlu dilakukan selepas 7 hari menanam dengan membiarkan satu sahaja anak benih pokok terbaik tumbuh membesar.

Para atau junjung bagi menyokong pokok menjalar perlu disediakan 2 minggu selepas menanam kerana pada masa ini pokok kacang sudah mula menjalar dan memanjat. Kelewatan penyediaan junjung akan mengakibatkan pokok rebah ke tanah dan meningkatkan kos pengurusan. Tiang junjung yang berukuran 2.5 meter panjang dan bergaris pusat 6 cm dipacak dihujung batas dengan jarak 4 meter persegi yang meliputi 3 batas tanaman. Dawai kasar diikat pada setiap tiang merentasi batas tanaman yang akan kelihatan seperti para-para. Apabila pokok mencapai ketinggian 20 cm dan mula menjalar, tali akan dipasang pada setiap pokok dan diikat pada para-para. Pokok kacang akan tumbuh menjalar dan menyusur mengikut tali yang akan memudahkan penjagaan dan memunggut hasil.

Pokok kacang panjang memerlukan 30-50 cm air semusim atau 2 bulan dengan kekerapan pengairan 4-4 kali sehari. Sistem springkler atau alur disyorkan untuk kawasan yang luas bagi memastikan pokok mendapat air secukupnya.

Pembajaan pokok kacang dilakukan seawal seminggu selepas ditanam bergantung kepada jenis tanah, selain daripada itu jenis baja yang digunakan, kadar baja, masa membaja dan cara membaja juga berdasarkan jenis tanah. Jadual pembajaan boleh dilihat pada jadual 1.

Sementara itu pokok kacang amat mudah diserang perosak dan penyakit jika kerja-kerja penjagaan tidak dilakukan dengan sempurna. Pelbagai perosak dan penyakit kan menyerang pokok kacang tetapi ia boleh dikawal atau dihapuskan melalui kaedah konvensional dan mekanikal. Pengawalan perosak dan penyakit dinyatakan melalui jadual 2.

Pengawalan rumpai seperti merumput secara manual dilakukan 4-8 minggu selepas menanam. Pengawalan melalui semburan racun rumpai disyorkan 4-15 hari selepas menanam dengan berhati-hati agar semburan tidak terkena pokok.

Pokok kacang panjang mula berbuah dan boleh dipetik 42-49 hari selepas ditanam. Dengan tempoh kutipan hasil antara 18-26 hari pokok kacang panjang mampu mengeluarkan antara 10-20 metrik tan sehektar melalui penjagaan yang disyorkan.

Pokok kacang bukan sahaja mudah ditanam dan dijaga tetapi ia dapat menyumbang kepada keperluan makanan seisi keluarga jika diusahakan dipersekitaran rumah selaras dengan Kempen Bumi Hijau. Selain itu lebihan keperluan boleh dijual untuk menambah pendapatan sampingan dan mengurangkan perbelanjaan keluarga.

BERITA TRANSFORMASI PERTANIAN 15

Mineral Tahi Ayam 5 1 minggu sebelum menanam Gaul dalam tanah

NPK 12:12:17:2+TE 0.7 2, 4, dan 6 minngu selepas menanam Tabur sekeliling pokok

Gambut NPK 12:12:17:2+TE 0.7 2, 4, dan 6 minngu selepas menanam Tabur sekeliling pokok

Bris Rudua Tahi Ayam 6 1 minggu sebelum menanam Gaul dalam tanah

NPK 12:12:17:2 + TE 0.7 2, 4, dan 6 minggu selepas menanam Tabur sekeliling pokok

Baging Tahi Ayam 25 1 minggu sebelum menanam Gaul dalam tanah

NPK 12:12:17:2+TE 1.0 2, 4, dan 6 minggu selepas menanam Tabur sekeliling

Bekas Lombong Tahi ayam 25 1 minggu sebelum menanam Gaul dalam tanah

NPK 12:12:17:2+TE 1.0 2, 6, 10 dan 14 minngu selepas menanam Tabur sekeliling pokok

Jenis tanah Jenis baja Kadar baja (t/ha/musim) Masa membaja Cara membaja

Jadual PembajaanJadual 1

PerosakUlat pengorek buah(Maruca testulis Gayer)

Pemakan buah kacang (Euchrysops cnejus)

Lalat kacang (Melanagromyza phaseoli)

Kutu Daun(Aphis craccivora)

PenyakitAntraknos(Colletotrichum indemuthianum)

Bintik daun(Cercospora canescens)

Karat(Uromyces appendiculatus)

__Lecuh anak benih(Pythium sp.)

Mozek daun(Mosaic virus)

Reput pangkal(Rhizoctonia solani)

Kutip dan musnahkan buah yang diserangRacun kimia lambada, cyhalothrin dan carbary

Racun kimia carbaryl

Racun kimia diazinon dan dimonthoate

Racun kimia diazinon dan dimonthoate

Kutip dan musnahkan pokok yang berpenyakitRacun kimia captan dan mancozeb

Kutip dan musnahkan daun yang diserangRacun kimia mancozeb dan maneb

Kutip dan musnahkan bahagian yang diserangKawal rumpaiRacun kimia cyproconzole dan oxyclorideRacun kimia mancozeb gilir dengan amistarPastikan saliran baik, siraman air tidak berlebihanRacun kimia captan

Amalkan kebersihan kawasanRacun kimia malathionCabut dan bakar pokok yang berpenyakitRacun kimia quintozene dan pencycuron

Cara mengawal

Pengawalan Prosak dan PenyakitJadual 2

Penaung Dato’ Haji Abd. Rahim bin Haji Ahmad

Penasihat Haji Arpan Shah bin Satu

Hajah Mariam Mas bte Yaacob

Ketua Pengarang Haji Abd. Nasir bin Haji Ismail

Penyunting Azizan bin Othman

Rohman bin JasmaniShahzunizam bin Zulkafli

Edisi InternetHaninah bte Abd. Rahman

Diterbitkan Oleh:Lembaga Pertubuhan Peladang,

Blok C Utara, Pusat Bandar Damansara, Bukit Damansara,50990 Kuala Lumpur.

Berita Transformasi Elektronikboleh dilayari di

http://www.lpp.gov.my

Grafik/IllustratorRohman bin JasmaniKamaruzzan bin Hanif

Kepada Y. Bhg. Dato’ Dr. Baharom bin Jani

Atas

Perlantikan Sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan)

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Berkuatkuasa

6 Oktober 2008Daripada

Ketua Pengarahdan

Anggota Lembaga Pertubuhan Peladang

Tahniah