untaian pantun oleh watak merak dalam hikayat isma yatim

17
e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK journal homepage: http://ejbl.kuis.edu.my MEI 2021 | VOL. 3| NO. 1 eISSN: 2682-8987 1 Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim Pantun by The Peacock Character in Isma Yatim’s Tale Ayu Nor Azilah Mohamad 1 , Wayu Nor Asikin Mohamad 2 , Mohamed Ali Haniffa 3 ABSTRAK Artikel ini membincangkan tentang puisi tradisi Melayu, iaitu pantun yang diucapkan oleh watak merak dalam Hikayat Isma Yatim. Kajian ini menggunakan metodologi kepustakaan dan filologi konvensional terhadap teks Hikayat Isma Yatim. Filologi ialah ilmu yang menyediakan metodologi dan langkah-langkah pendekatan yang teruji serta sesuai untuk mengkaji hasil sastera tradisional. Dengan menggunakan kaedah filologi konvensional, didapati bahawa terdapat 54 rangkap pantun yang diucapkan oleh watak-watak dalam Hikayat Isma Yatim. Terdapat jenis pantun dua kerat dan yang paling banyak ialah pantun empat kerat. Watak-watak yang menguntaikan pantun ini bukan hanya watak manusia malah melibatkan watak-watak bukan manusia khususnya merak jantan dan merak betina. Hasil kajian mendapati bahawa untaian pantun yang digunakan oleh merak sebanyak 41 rangkap bertujuan untuk menyampaikan perasaan kasih sayang, perasaan gembira, hasrat di hati secara kiasan, mengutarakan rahsia yang tersembunyi dan sebagainya. Pemilihan gaya bahasa pantun ini bersesuaian dengan masyarakat Melayu yang lebih berkias dalam menyampaikan apa jua maksud apabila berbicara agar perhubungan yang terbina lebih utuh dan harmoni. Kata kunci: Hikayat, Isma Yatim, puisi pantun, merak. ABSTRACT This article discusses the Malay traditional poem, pantun recited by the peacock character portrayed in Isma Yatim’s tale. This study uses the library methodology and conventional philology in Isma Yatim’s tale. Philology is the science that provides a methodology and steps of a tested and appropriate approach to study traditional literary results. By using the conventional philology, it is found that there are 54 pantun recited by characters in Isma Yatim’s tale. There are two types of pantun which are two and four stanzas. Meanwhile, the characters reciting these pantun were 1 Ayu Nor Azilah Mohamad, Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan, Pusat Pengajian Teras, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. [email protected] 2 Wayu Nor Asikin Mohamad, Jabatan Pengajian Bahasa. Bahagian Pembangunan Usahawan dan Pengajian Bahasa. Kolej Universiti Bestari. Setiu. Terengganu. [email protected] 3 Mohamed Ali Haniffa (PhD), Jabatan Tamadun dan Falsafah. Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah.Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. [email protected].

Upload: others

Post on 18-Oct-2021

20 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK

journal homepage: http://ejbl.kuis.edu.my

MEI 2021 | VOL. 3| NO. 1 eISSN: 2682-8987

1

Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

Pantun by The Peacock Character in Isma Yatim’s Tale

Ayu Nor Azilah Mohamad1, Wayu Nor Asikin Mohamad2, Mohamed Ali Haniffa3

ABSTRAK

Artikel ini membincangkan tentang puisi tradisi Melayu, iaitu pantun yang diucapkan

oleh watak merak dalam Hikayat Isma Yatim. Kajian ini menggunakan metodologi

kepustakaan dan filologi konvensional terhadap teks Hikayat Isma Yatim. Filologi

ialah ilmu yang menyediakan metodologi dan langkah-langkah pendekatan yang

teruji serta sesuai untuk mengkaji hasil sastera tradisional. Dengan menggunakan

kaedah filologi konvensional, didapati bahawa terdapat 54 rangkap pantun yang

diucapkan oleh watak-watak dalam Hikayat Isma Yatim. Terdapat jenis pantun dua

kerat dan yang paling banyak ialah pantun empat kerat. Watak-watak yang

menguntaikan pantun ini bukan hanya watak manusia malah melibatkan watak-watak

bukan manusia khususnya merak jantan dan merak betina. Hasil kajian mendapati

bahawa untaian pantun yang digunakan oleh merak sebanyak 41 rangkap bertujuan

untuk menyampaikan perasaan kasih sayang, perasaan gembira, hasrat di hati secara

kiasan, mengutarakan rahsia yang tersembunyi dan sebagainya. Pemilihan gaya

bahasa pantun ini bersesuaian dengan masyarakat Melayu yang lebih berkias dalam

menyampaikan apa jua maksud apabila berbicara agar perhubungan yang terbina

lebih utuh dan harmoni.

Kata kunci: Hikayat, Isma Yatim, puisi pantun, merak.

ABSTRACT

This article discusses the Malay traditional poem, pantun recited by the peacock

character portrayed in Isma Yatim’s tale. This study uses the library methodology and

conventional philology in Isma Yatim’s tale. Philology is the science that provides a

methodology and steps of a tested and appropriate approach to study traditional

literary results. By using the conventional philology, it is found that there are 54

pantun recited by characters in Isma Yatim’s tale. There are two types of pantun

which are two and four stanzas. Meanwhile, the characters reciting these pantun were

1 Ayu Nor Azilah Mohamad, Jabatan Kenegaraan dan Pengajian Ketamadunan, Pusat Pengajian Teras,

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. [email protected] 2 Wayu Nor Asikin Mohamad, Jabatan Pengajian Bahasa. Bahagian Pembangunan Usahawan dan

Pengajian Bahasa. Kolej Universiti Bestari. Setiu. Terengganu. [email protected] 3 Mohamed Ali Haniffa (PhD), Jabatan Tamadun dan Falsafah. Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan

Falsafah.Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah. [email protected].

Page 2: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

2

not just human characters but also involved non-human characters especially

peacocks and peahens. The research found that 41 pantun werevused by the peacock

to convey a sense of love, feeling of excitement, intentions of the heart, revealing

hidden secrets and so forth. The selection of pantun language is appropriate with the

Malay community who is more figurative in expressing any intentions verbally in

order to build a stronger and more harmonious relationship.

Keywords: Hikayat, Isma Yatim, poem poetry, peacock.

Pendahuluan

Hikayat Isma Yatim merupakan sebuah hikayat Melayu lama. Dalam Hikayat Isma

Yatim (1881), watak utamanya ialah Isma Yatim. Melalui watak Isma Yatim ini,

pengarang memperlihatkan kesantunan, kebijaksanaan, ketaatan dan

bertanggungjawab kepada para pemimpin negerinya. Di samping watak utama Isma

Yatim, terdapat watak-watak sampingan lain yang muncul dalam mengembangkan

plot cerita termasuk watak bukan manusia. Antara watak bukan manusia yang

terdapat dalam hikayat ini ialah watak Merak Jantan dan Merak Betina. Watak Merak

Jantan dan Merak Betina ini diberi kelebihan, iaitu boleh bercakap seperti manusia.

Sudah pasti bahasa yang dituturkan boleh difahami oleh watak-watak yang terdapat

dalam hikayat ini. Bentuk komunikasi pula melibatkan penggunaan gaya bahasa yang

digunakan oleh pengarang hikayat. Antaranya ialah pemilihan gaya bahasa puisi

Melayu lama, iaitu pantun. Untaian pantun dalam hikayat ini bukan hanya diucapkan

oleh watak manusia malah Merak Jantan dan Merak Betina juga turut berpantun.

Merak Jantan dan Merak Betina ini berpantun untuk menyampaikan hajat di hati,

perasaan kasih sayang, nasihat, teka teki dan sebagainya. Untaian pantun oleh Merak

Jantan dan Merak Betina ini menjadi penggerak kepada plot cerita dalam Hikayat

Isma Yatim malah menjadikan plot cerita lebih menarik.

Objektif Kajian

Artikel ini memfokuskan tentang untaian pantun yang diucapkan oleh watak merak

dalam Hikayat Isma Yatim. Watak merak ini melibatkan Merak Jantan dan Merak

Betina ini. Kedua-dua merak ini akan berpantun untuk menyampaikan sesuatu perkara

yang lebih berbentuk kiasan daripada berterus-terang dan untuk menyampaikan

perasaan kasih sayang, perasaan gembira, hasrat di hati secara kiasan, mengutarakan

rahsia yang tersembunyi dan sebagainya. Secara langsung, puisi pantun ini telah

menjadikan plot cerita dalam Hikayat Isma Yatim lebih menarik.

Metodologi Kajian

Bagi mencapai tujuan penulisan artikel, manuskrip Hikayat Isma Yatim perlu melalui

proses pembacaan dan kemudiannya membuat analisis. Memandangkan Hikayat Isma

Yatim yang diperoleh, satu pembacaan yang teliti harus dilakukan. Selepas kaedah

pembacaan, penelitian terhadap ungkapan pantun yang diucapkan oleh Merak dikupas

dengan mengemukakan kewajaran untuk menjawab objektif kajian. Ini menggunakan

kaedah filologi konvensional mengikut kesesuaian versi Hikayat Isma Yatim.

Page 3: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

3

Resensi Kepustakaan

Teks Hikayat Isma Yatim telah dikaji dalam bentuk Latihan Ilmiah oleh Hashim bin

Jasa dan Mohd Rashid bin Md. Noor dari Jabatan Pengajian Melayu, Universiti

Malaya pada tahun 1966 dan 1967. Namun, rujukan terhadap Latihan Ilmiah itu tidak

dapat ditemui kerana tidak terdapat dalam simpanan pihak Perpustakaan Za’ba,

Universiti Malaya. Menurut Siti Hawa Haji Salleh, kedua-dua kajian tersebut

menggunakan dua mikrofilem yang asalnya daripada koleksi di London. Didapati

ceritanya tidak selesai. Kajiannya juga tidak menghurai atau mengupas isi hikayat ini.

(Siti Hawa Haji Salleh, 1987)

Terdapat satu makalah yang ditulis oleh Jelani Harun “bertajuk Manuskrip

‘Panthong’ dari Sri Lanka.” Isi perbincangan artikel ini tentang pantun Melayu yang

tersebar di Sri Lanka secara tulisan, iaitu melalui khazanah manuskrip. Antara

manuskrip Melayu yang disebut ialah Hikayat Isma Yatim yang disalin oleh

Muhammad Yusuf Jailani Jurangppati pada 1881 di Kandi dan sebuah lagi disalin

oleh Kapitan Salimuddin pada 1871 di Kampung Kertel, Kolombo. Dinyatakan

bahawa hikayat ini mempunyai berpuluh pantun Melayu. Sebilangan kecil daripada

salinan manuskrip Melayu yang berasal dari Sri Lanka telah berjaya dikumpul dan

disimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur.

Akan tetapi kupasan dan contoh pantun yang dikemukan dalam artikel ini diambil dari

hikayat lain dan tidak diambil dari Hikayat Isma Yatim. Sekadar diberikan contoh

manuskrip yang mempunyai pantun yang banyak (Jelani Harun.

http://pantun.usm.my)

Terdapat kajian tentang Hikayat Isma Yatim yang dikaji dan diperkenalkan

oleh Muhammad Haji Salleh yang diterbitkan oleh Yayasan Karyawan, Kuala

Lumpur pada tahun 2017. Naskhah yang digunakan oleh Muhammad Haji Salleh

untuk ditransliterasi dan membuat kajian ialah naskhah yang tersimpan di Muzium

Terengganu, Kuala Terengganu (f 82. 363 (1)). Menurut beliau lagi, naskhah ini

diperoleh daripada koleksi Tengku Ampuan Mariam, isteri kepada Sultan Sulaiman,

Sultan Terengganu (1920-1942), pada tahun 1982 (Muhammad Haji Salleh, 2017:

xviii). Terdapat 30 rangkap pantun yang diungkapkan oleh merak jantan dan betina

dalam teks Hikayat Isma Yatim versi ini.

Berdasarkan kepada resensi kepustakaan, didapati tiada satu artikel yang

mengupas secara mendalam tentang untaian pantun yang terdapat dalam Hikayat Isma

Yatim. Lantas, timbul inisiatif untuk menghasilkan artikel yang menghuraikan

peranan dan kepentingan pantun yang diungkapkan oleh watak Merak dalam hikayat

ini secara mendalam. Ini bagi menampung dan menambahkan kelompangan daripada

kajian-kajian lepas.

Pantun dalam Masyarakat Melayu

Kesusasteraan sebagai suatu fenomena sosial mencerminkan perhubungan yang erat

antara masyarakat dengan kesusasteraan yang dilahirkan. Sebagai salah satu cabang

kesusasteraan Melayu yang tertua, pantun telah lama berkembang dan tersebar dalam

kalangan rakyat secara lisan serta sesuai dengan masyarakat Melayu pada zaman

Page 4: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

4

lampau yang belum mengenal huruf. Sejak zaman-berzaman, puisi rakyat ini

dianggap menjadi milik bersama, menjadi mainan bibir dan dikenali oleh semua

peringkat usia serta golongan masyarakat. Malah pantun turut menjadi salah satu cara

berkomunikasi tidak berterus terang tetapi berkias (Mohd. Taib Osman, 1996).

Pembahagian yang dilakukan terhadap sastera rakyat itu sendiri menjelaskan bahawa

terdapat dua bentuk sastera, iaitu sastera yang berbentuk cerita (naratif) dan sastera

berbentuk cerita. Sastera berbentuk cerita pula terbahagi kepada tiga, iaitu cerita

mitos, cerita legenda dan cerita rakyat; manakala sastera berbentuk bukan cerita

termasuklah pantun, gurindam, seloka, peribahasa, teka-teki, perbilangan dan

sebagainya (Kurik Kundi Merah Saga, 2005).

Masyarakat Melayu memang terkenal dan kaya dengan pelbagai jenis hasil

kesusasteraan berbentuk puisi seperti syair, gurindam, seloka, nazam, dan sajak.

Semua hasil kesusasteraan ini adalah berasal dari negara luar seperti Parsi, Arab,

India, dan Barat. Hal ini berbeza dengan pantun yang merupakan satu-satunya hasil

kesusasteraan rakyat yang benar-benar tulen dicipta oleh orang Melayu. Malahan,

pantun telah diiktiraf oleh para sarjana Barat sebagai milik masyarakat Melayu di

Nusantara ini. Pendeta Zainal Abidin Ahmad mengakui bahawa pantun merupakan

rangkap yang tertua dan memang asalnya kepunyaan orang Melayu. Malahan keaslian

hak cipta orang Melayu tidak pernah diragui. Justeru itu kita tidak dapat menafikan

bahawa pantun ialah warisan tradisi lisan bangsa Melayu yang tidak disandar daripada

mana-mana bangsa (Harun Mat Piah, 1989).

Orang Melayu mewarisi penciptaan pantun sejak turun-temurun. Antara

keistimewaan pantun ialah untuk menyerlahkan daya kreativiti masyarakat dan

ketajaman pemikiran masyarakat Melayu. Hal ini demikian kerana pantun dipenuhi

dengan seni, nilai rasa, pemikiran, dan penglihatan orang Melayu. Pantun merupakan

puisi lama untuk melahirkan fikiran, mengungkap rasa hati dan untuk berkomunikasi.

Pantun dianggap mempunyai keunikan tersendiri kerana masyarakat Melayu dahulu

dapat dan berupaya mencipta pantun secara spontan. Malah pantun mempunyai nilai-

nilai keindahan dan ciri-ciri keistimewaan tersendiri. Pantun juga dituturkan dengan

nada yang lembut, beralun, harmoni dan sedap didengar. “Pantunlah yang jelas sekali

memperlihatkan kebijaksanaan (genius) dan kesempurnaan seni sastera bangsa

Melayu. Pantun mengandungi jiwa, seni, kebijaksanaan, dan budi bahasa Melayu”

(Muhammad Haji Salleh, 1986).

Pantun menggariskan pengungkapan dan pengucapan secara meluas serta

murni. Pantun tidak terlibat dengan apa juga halangan dan batasan, kelas dan hierarki

sosial. Oleh itu, pantun dapat memainkan peranannya sebagai penghubung yang intim

antara golongan yang memerintah dengan golongan rakyat jelata. Pantun juga mampu

berkomunikasi secara langsung dalam kalangan masyarakat Melayu itu sendiri. Sejak

zaman-berzaman, pantun memainkan peranannya sebagai suatu bentuk hiburan, di

samping berperanan dalam upacara adat istiadat seperti merisik, meminang, dan

istiadat nikah kahwin. Malahan, pantun juga memainkan peranan untuk memulakan

satu-satu pertarungan dan perlawanan antara panglima dengan pahlawan dahulu kala.

Pantun memberikan suatu ruang dan bidang pengucapan yang cukup luas untuk

difahami. Pada keseluruhannya pantun merupakan suatu bentuk pengucapan dengan

fungsi sosial dan unsur psikologi yang cukup berkesan (Kurik Kundi Merah Saga,

2005).

Page 5: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

5

Pantun yang kita kenal hari ini terdiri daripada pelbagai bentuk dan jenis,

namun kesemuanya berkongsi ciri yang sama. Pantun dianggap unik kerana terbahagi

kepada dua bahagian iaitu pembayang atau disebut sebagai sampiran dan maksud.

Pembayang lazimnya merupakan ilham pencetus daripada alam sekeliling masyarakat

yang menciptanya. Manakala maksudnya pula ialah mesej yang ingin disampaikan

oleh mereka. Setiap perkataan dalam pantun kebiasaannya mempunyai hubungan

yang akrab dengan kehidupan orang Melayu. Malah jika pantun itu mengandungi

perlambangan dengan maksudnya tersirat di sebalik kiasan, maka perlambangan itu

adalah dalam konteks yang difahami dan digunakan oleh masyarakat Melayu (Mohd

Rashid Md Idris, 2011).

Pantun sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional terbentuk dalam rangkap-

rangkap. Rangkap pantun tidak begitu terbatas kepada hanya empat baris serangkap

seperti syair walaupun itulah bentuk yang terbanyak. Ini bermakna pantun juga

terbentuk daripada jumlah baris yang selain daripada empat baris serangkap.

Rangkap-rangkap pantun mesti terbentuk secara berpasangan dalam jumlah baris

yang genap. Bermula dari pantun dua baris serangkap sampailah kepada pantun 16

baris serangkap. Ini jelas menunjukkan bahawa pantun mempunyai aturan

pembentukan baris berbanding dengan mantera, gurindam dan perbilangan adat yang

tidak mementingkan jumlah baris serta tidak juga mempunyai aturan rima dalam

rangkap-rangkapnya (Zainal Abidin Bakar, 1991).

Dalam sejarah perkembangan pantun Melayu, banyak pantun termuat dalam

cerita-cerita Melayu lama. Ini dapat dilihat misalnya dalam Hikayat Pelandok,

Hikayat Awang Sulong Merah Muda, Hikayat Malim Deman, Hikayat Raja Muda dan

Hikayat Anggun Che Tunggal. Kemunculan pantun dalam bentuk tulisan dapat

dikesan di sekitar abad kelima belas iaitu dalam Sejarah Melayu. Dalam Sejarah

Melayu sendiri ada tercerna dengan jelas peristiwa sejarah dan gambaran yang

melampaui garis-garis yang membayangi masalah sosiobudaya, etika serta adat

istiadat masyarakat Melayu. Contohnya penggunaan pantun seperti berikut;

“Pada suatu riwayat, daripada deras lompat todak itu, datang ke atas gajah,

kena Paduka Seri Maharaja, carik lengannya, maka dibuatkan nyanyi:

Carik baju raja,

Dilompati todak;

Bukan disahaja,

Sebab akal budak.”

(W.G. Shellabear, 1977: 51-52).

Malah R.J. Wilkinson dan R.O. Winstedt pernah menyarankan bahawa untuk

memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya. Mereka

berpendapat bahawa satu daripada perkara penting yang boleh membawa seseorang

itu berjaya memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan dan aliran fikiran

orang-orang Melayu sendiri ialah melalui pantun, malahan seseorang itu tidak akan

dapat menduga aliran fikiran orang Melayu kalau tidak memahami pantunnya (Mohd

Rashid Md Idris, 2011).

Page 6: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

6

Sorotan Hikayat Isma Yatim

Menurut Harun Mat Piah (2000:133) hikayat mengandungi makna cerita, kisah,

riwayat dan sebagainya. Kamus Dewan mendefinisikan hikayat itu ialah cerita

(khasnya cerita-cerita lama, cerita-cerita lama dalam bentuk prosa atau riwayat dan

sejarah (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005).

R.O. Winstedt menggolongkan Hikayat Isma Yatim sebagai contoh hikayat

zaman peralihan dan mengandungi pengaruh Hindu serta Jawa yang telah menipis.

Hal ini demikian kerana Winstedt pernah mengutip beberapa adegan dalam Hikayat

Isma Yatim yang mengandungi ungkapan-ungkapan bukan Melayu. Situasi ini terjadi

kerana sastera Melayu telah mengalami proses penterjemahan dan jatuh ke tangan

penyadur yang meniru contoh-contoh dari Parsi serta Arab (Liaw Yock Fang, 1975)

Naskhah Hikayat Isma Yatim terdapat di Jakarta, Leiden dan London. Hikayat

Isma Yatim pernah dua kali dicetak, iaitu pertama di Jakarta pada tahun 1821 oleh

P.P. Roorda van Eysinga dan yang kedua ialah di Singapura pada tahun 1921.

Cetakan Singapura itu dicap khusus kepada kanak-kanak yang belajar bahasa Melayu.

Di Great Britain sahaja terdapat sekurang-kurangnya sepuluh versi Hikayat Isma

Yatim yang telah disalin oleh pengumpul-pengumpul manuskrip Melayu seperti

Anderson, Crawfurd, Johd Leyden, Marsden dan Valentijn. Penyalinan hikayat ini

telah berlaku seawal-awalnya antara tahun 1676 hingga 1718 hingga tahun 1849.

Di Leiden, terdapat lima salinan dan di Jakarta sebanyak empat salinan lagi.

Antara sepuluh versi yang disebutkan oleh Ricklefs dan Voorhoeve itu hanya

beberapa versi sahaja yang lengkap ceritanya kerana bahagian akhirnya tertinggal.

Werndly dalam tahun 1736, ada menyebut teks ini ada dalam senarainya. Manakala

yang terawal menyebutnya ialah Valentijn dalam tahun 1726. William Marsden dan

Roorda van Eysinga apabila membuat kesimpulan tentang hikayat ini hanya

melihatnya daripada satu sudut sahaja dan dengan itu hanya memperlihat satu aspek

sahaja daripada isinya. Dalam tahun 1827, Marsden menyimpulkan bahawa hikayat

ini sebagai “suatu cerita romantik”. Van Eysinga pula mengatakan hikayat ini ialah

“syarat segala raja-raja dan menteri dan hulubalang dan sekaliannya.” (Ricklefs &

Voorhoeve, 1997)

Filologi Konvensional

Dalam bidang pengkajian ilmiah, hasil sastera tradisional yang dimaksudkan sering

disebut secara umum sebagai manuskrip, naskhah dan teks walaupun daripada segi

ilmiah itu membawa makna yang berbeza serta tertumpu kepada sesuatu hal tertentu.

Ilmu filologi bukan ilmu sastera tetapi satu-satunya ilmu yang menyediakan

metodologi dan langkah-langkah pendekatan yang teruji serta sesuai untuk mengkaji

hasil sastera tradisional. Dalamnya terangkum kedua-dua motodologi konvensional

yang memberi perhatian kepada isi sesuatu teks secara dalaman (intrinsik) dan

pendekatan-pendekatan moden yang mementingkan masyarakat, perkembangan

sejarah, kebudayaan dan sebagainya yang dianggap sebagai soal-soal luaran

(ekstrinsik) (Siti Hawa Haji Salleh, 1999).

Page 7: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

7

Filologi berasal dari kata Yunani iaitu philos yang bererti ‘cinta’ dan kata logos

yang bererti ‘kata’. Pada perkataan filologi, kedua kata tersebut membentuk erti ‘cinta

kata’ atau ‘senang bertutur’. Maksud ini berkembang menjadi ‘senang belajar’,

‘senang ilmu’ dan ‘senang kesusasteraan’ atau ‘senang kebudayaan.’ Filologi telah

digunakan sejak abad ke-3 S.M. oleh sekelompok ahli dari Aleksandria yang

kemudian dikenal sebagai filologi. Eratothenes menjadi orang yang pertama

menggunakan kaedah ini. Ketika itu mereka berusaha mengkaji teks-teks lama yang

berasal dari Bahasa Yunani. Pengkajian mereka terhadap teks-teks tersebut bertujuan

menemukan bentuknya yang asli untuk mengetahui maksud pengarangnya dengan

cara menyisihkan kesalahan-kesalahan yang terdapat di dalamnya. Pada masa itu,

mereka menghadapi teks dalam sejumlah naskhah yang masing-masing menunjukkan

bacaan yang berbeza (varian) bahkan ada yang menunjukkan bacaan yang rosak

(korup).

Kegiatan pengkajian teks ternyata telah menumbuhkan kesedaran bahawa untuk

mengetahui bentuk teks yang asli, mereka perlu meneliti naskhah-naskhah itu untuk

mendapatkan naskhah yang mendekati teks yang asli dan naskhah yang menyimpang.

Ekoran kegiatan itu pula dapat disedari pentingnya pengkajian secara mendalam

terhadap bahasa dan kebudayaan yang melatarbelakangnya. Kegiatan filologi yang

menitikberatkan penelitiannya kepada bacaan yang rosak ini kemudian disebut

filologi tradisional (Siti Baroroh Baried et.al, 1985).

Terdapat tujuan umum dan khusus filologi. Tujuan umum filologi ialah: i)

memahami sejauh mungkin kebudayaan suatu bangsa melalui hasil sasteranya sama

ada secara lisan mahupun tulisan; ii) memahami makna dan fungsi teks bagi

masyarakat penciptanya; iii) mengungkap nilai-nilai budaya lama sebagai alternatif

pengembangan kebudayaan. Bagi tujuan khusus filologi pula: i) menyunting sebuah

teks yang dipandang mendekati teks aslinya; ii) mengungkap sejarah terjadinya teks

dan sejarah perkembangannya; iii) mengungkap resepsi pembaca pada setiap kurun

penerimaannya (Trie Utari Dewi, 2018). Dengan melakukan kegiatan filologi melalui

pelestarian dan penggarapan terhadap naskhah-naskhah kuno, maka akan terungkap

nilai-nilai yang terkandung di dalam naskhah sehingga akan terungkap pula sejarah

bangsa.

Untaian Pantun oleh Merak dalam Hikayat Isma Yatim

Gaya bahasa dan bentuk corak Hikayat Isma Yatim amat menghampiri kesusasteraan

Parsi-Arab. Hikayat Isma Yatim boleh dijadikan contoh untuk melihat bagaimana

keadaan bentuk corak hasil-hasil sastera ciptaan pada zaman kerajaan Melayu Melaka

dahulu.

Terdapat pelbagai bentuk gaya bahasa yang digunakan dalam Hikayat Isma

Yatim. Ada yang berbentuk gurindam, pantun, syair, seloka dan sebagainya. Cara

penyampaiannya pula tidak khusus kepada watak utama Isma Yatim sahaja, tetapi

diucapkan oleh watak-watak lain yang terlibat. Misalnya diucapkan oleh Merak

Jantan, Merak Betina, kandil dan Dang Saji. Akan tetapi fokus perbincangan artikel

Page 8: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

8

ini hanya kepada pantun yang diucapkan oleh merak sahaja. Untaian pantun ini

diucapkan atas beberapa faktor, antaranya ialah;

1) Menyatakan kehadiran

Pantun ini diucapkan mengikut kesesuaian keadaan oleh watak yang terlibat.

Contohnya pantun yang diucapkan oleh Merak Jantan dan Merak Betina selepas

rahsia tersembunyi telah terbongkar, iaitu tentang keisimewaan peti kaca

persembahan Isma Yatim kepada Tuanku Syah Alam Raja negeri Musapan. Rahsia itu

terbongkar di hadapan tuanku, semua para menteri, hulubalang dan rakyat yang

sedang mengadap sembah kepada tuanku. Hal ini kerana sebaik sahaja permata kecil

itu diletakkan di atas talam emas, kedua-dua merak itu keluar mengigal sambil

berpantun dan berseloka. Kedua-dua merak sedar bahawa tindakannya itu telah

menimbulkan perasaan tidak senang kepada Isma Yatim. Bagi menutup kesilapan itu,

merak jantan itu berpantun:

Indera jati telah diikat,

Pergi mengail ikan pari,

Tuanku seperti bunga terikat,

Sahaja dapat akan dicari.

Susuh baru dibeli raja,

Janjinya zamrud diasah-asah,

Sungguh pun suka-sukanya ini,

Ada sedikit mendapat susah.

(Hikayat Isma Yatim, 1881;106-107)

Rima akhir pantun rangkap kedua tidak mengikut disiplin rima akhir pantun

iaitu a-b-a-b. akan tetapi rima akhirnya ialah a-b-c-b. Pantun rangkap kedua juga

memberi peringatan bahawa kehadiran merak dan puteri yang berada di dalam nila

kendi itu memang sesuatu yang berharga dan boleh menghiburkan hati semua. Akan

tetapi kehadiran mereka khususnya tuan puteri akan menimbulkan sedikit masalah

dalam perhubungan tuanku suami isteri. Penggunaan perkataan ‘zamrud’ pada baris

kedua itu menunjukkan ketinggian nilai. Hal ini kerana semua masyarakat maklum

bahawa batu permata zamrud adalah batu permata yang berharga, penting dan mahal.

Selain itu, pantun juga digunakan oleh merak untuk menyampaikan maksud

kehadiran Tuan Puteri Mehran Langkawi yang bersembunyi di dalam peti kaca

bersama-sama dengan merak tersebut. Kehadiran itu dinyatakan secara kiasan

menggunakan pantun oleh merak tersebut:

Sumbu ini tiga batang,

Yang sebatang ditutuh sunyi,

Jam ini tiga yang datang,

Yang seorang lagi bersembunyi.

(Hikayat Isma Yatim,1881:110)

Maksud pantun di atas ialah merak memberitahu kepada tuanku baginda dan

permaisuri bahawa sebenarnya mereka datang bertiga, iaitu bukan sekadar Merak

Jantan dan Merak Betina sahaja. Akan tetapi yang seorang lagi menyembunyikan diri.

Page 9: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

9

Namun, tuanku baginda dan Tuan Puteri Permaisuri tidak dapat memahami maksud

yang hendak disampaikan oleh Merak Jantan itu. Menyedari bahawa maksudnya tidak

difahami oleh baginda berdua, Merak Jantan itu berpantun lagi:

Dari sawah ke permatang,

Tetak tegar akan kemudi,

Dari jauh patik nan datang,

Mendengar tuanku baik budi.

(Hikayat Isma Yatim,1881:110)

Merak Jantan ini menyatakan bahawa mereka bertiga itu datang dari tempat

yang jauh, iaitu Pulau Langkawi. Kebaikan budi tuanku baginda memerintah negara

telah tersebar ke merata tempat. Kedatangan mereka dibawa oleh nakhoda kapal dan

mengahdiahkan kepada baginda tuanku. Mereka berada di istana itu atas faktor baik

budi tuanku baginda. Isma Yatim menasihatkan tuanku baginda agar membenarkan

naskhoda kapal tersebut terus tinggal di negeri tuanku. Malah nakhoda diberikan

hadiah berupa pakaian, makanan dan dibenarkan memilih kampung yang disukai

sebagai tempat tinggal. Ini adalah sebagai tanda terima kasih tuanku baginda kepada

nakhoda tersebut yang menghadiahkan kendi mengandungi merak jantan dan merak

betina seperti pantun ini:

Pisang kaki buah angki,

Bawa orang pulang ke China;

Budi jangan dibawa mati,

Terlebih kurang balas di dunia.

(Zainal Abidin Bakar, 1991:74)

Merak itu berpantun lagi berbunyi;

Tebang buluh pagar Dang Nata,

Tanam keladi di bawahnya,

Jika sungguh bagai dikata,

Apatah pula akan salahnya?

(Hikayat Isma Yatim,1881:111)

Pantun di atas sedikit berbeza kerana pengakhiran pada baris keempat terdapat

‘tanda baca soal.’ Seolah-olah menjelaskan bahawa ada yang mempertikai kepada apa

yang diungkapkan oleh merak dalam pantun-pantun sebelum ini terutamanya dalam

pantun yang diucapkan oleh Dang Saji bahawa kehadiran merak ini sebagai penghibur

hati kepada semua orang. Persoalan dalam pantun di atas dijelaskan lagi oleh pantun

Dang Siti yang menyatakan bahawa kehadiran merak bukan semata-mata sebagai

tetamu yang bijaksana tetapi turut untuk berkhidmat kepada tuanku baginda.

2) Kasih sayang

Seterusnya, pantun juga menggambarkan kasih sayang. Tuanku baginda dan Tuan

Puteri sangat gembira mendengar pantun merak di atas lalu merak berpantun lagi;

Dang Siti pergi ke tanjung,

Serta tiba membeli lada,

Seperti dian di dalam tanglung,

Tuanku diriba oleh kakanda.

Page 10: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

10

Gerang puri gerang serbi,

Buah padi di dalam puan,

Sedang molek di mata kami,

Tuan dipangku kakanda nan tuan.

Air hitam buihnya putih,

Mari dilanda dengan perahu,

Kakanda hitam dinda putih,

Seperti bulan ditangkap rahu.

(Hikayat Isma Yatim,1881:112)

Ketiga-tiga rangkap pantun di atas menunjukkan perasaan kasih sayang. Tiga

rangkap pantun di atas mempunyai rima akhir yang sama iaitu a-b-a-b mengikut

syarat rima akhir pantun. Terdapat perkataan “seperti” dalam rangkap pantun pertama

yang terletak pada baris yang ketiga iaitu “Seperti dian di dalam tanglung.” Juga

terdapat perkataan seperti pada rangkap pantun yang keempat iaitu pada baris

keempat; “Seperti bulan ditangkap rahu.” Penggunaan kias dan ibarat yang lazimnya

ditandai dengan ungkapan ‘seperti’ dalam sesebuah rangkap pantun mampu

memperkaya keindahan dan kehalusan bahasa pantun. Untuk itu, apa yang terhasil

ialah karya sastera yang bukan sahaja mempunyai konvensi yang khusus, yang

dicorakkan dengan pola rima yang khusus tetapi seni pantun mempunyai keupayaan

daya ubah atau flexibility, variasi dan ciptaan kata dwimakna selain sifat-sifat unik

yang lain (Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 2011).

Seterusnya pantun untuk menggambarkan hubungan yang telah lama terbina

tidak akan berubah dengan kehadiran orang yang baharu. Misalnya pantun yang

diungkapkan oleh merak seperti berikut:

Bulan purnama jadikan suluh,

Bintang timur pembuka hati,

Yang lama itu sahajakan sungguh,

Yang baru penghibur hati.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:130)

Pembayang dalam pantun di atas menggunakan unsur alam semester iaitu

‘bulan purnama’ dan ‘bintang timur’ sebagai inspirasi dalam menghasilkan pantun.

Ini menggambarkan kekreatifan masyarakat Melayu yang menjadikan objek alam

dalam berpantun. Pada bahagian maksud pula, terdapat pengulangan perkataan ‘yang’

pada permulaan ayat iaitu ‘Yang lama sahajakan sungguh, Yang baru penghibur

hati.”

Pantun kesetiaan di atas menyampaikan maksud bahawa kasih sayang tuanku

kepada tuan puteri adalah kasih sejati walaupun dengan kemunculan Tuan Puteri

Mehran Langkawi. Hal ini kerana kehadiran Tuan Puteri Mehran Langkawi yang

muncul dari nila kendi hanyalah sebagai penghibur hati malah tidak menggugat

perhubungan tuanku dengan tuan puteri.

Mendengarkan Merak Jantan berkata demikian, maka disahut pula oleh Merak

Betina. Demikian bunyi pantunnya;

Page 11: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

11

Puspa ralam Kuala Jambi,

Pitam dewa ertinya,

Melihat bunga cempaka kembang,

Bunga sekendai digilakan.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:131)

Pantun di atas menunjukkan perasaan tidak senang Merak Betina dengan

Merak Jantan. Hal ini kerana sikap lelaki yang sudah memiliki isteri tetapi masih

menyukai perempuan lain. Penggunaan perkataan ‘bunga’ di dalam rangkap pantun di

atas diibaratkan sebagai seorang perempuan.

Plot Hikayat Isma Yatim diteruskan lagi dengan pantun merak yang keluar

dari permata nila kendi. Merak berpantun apabila melihat kesungguhan Permaisuri

yang hendak berjaga malam untuk menanti kemunculan Tuan Puteri Nila Kendi dari

permata nila kendi. Demikian bunyi pantun merak itu;

Sudah gaharu cendana pula,

Ketumbar dalam puan,

Sudah tahu bertanya pula,

Hendak bertemu gerangan tuan.

Kain putih dicuci putih,

Belum sudah jarum pun hilang,

Sudah terpandang wajah yang persih,

Tak sedarlah nyawa akan hilang.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:132)

Pantun dalam rangkap pertama di atas jelas menyatakan maksud bahawa

kehadiran Tuan Puteri Mehran Langkawi ialah hendak berjumpa dengan tuanku

baginda. Pada pantun rangkap kedua menjelaskan bahawa apabila tuanku baginda

berjumpa dengan Tuan Puteri Mehran Langkawi, ‘tak sedarlah nyawa akan hilang.’

Ini menunjukkan bahawa tuanku baginda begitu terpesona dan asyik dengan

pertemuan tersebut sehingga tanpa menghiraukan hal diri sendiri. Ini jelas bahawa

bahasa yang digunakan dalam pantun berkaitrapat dengan jiwa masyarakat Melayu.

Bahasa jiwa bangsa (Wan Abdul Kadir Wan Yusoff, 2005: 134).

Seterusnya, Merak Betina menyatakan kehadirannya dalam istana tersebut

ialah kerana mengikut Tuan Puteri Mehran Langkawi. Pantunnya berbunyi;

Bangun berjudi dinihari,

Sukai samban di dalam serahi,

Bukannya sahaja patik ke mari,

Mengikut puteri di dalam peti.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:134)

Pantun di atas telah menimbulkan perasaan curiga di hati permaisuri terhadap

tuanku baginda. Permaisuri beranggapan bahawa tuanku baginda menyukai

perempuan lain tanpa pengetahuannya. Memahami keadaan itu, merak berpantun lagi;

Gajah langgar kuda perkasa,

Mayang di mana dihempaskan,

Sama lebar sama binasa,

Page 12: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

12

Dayang nan tidak abang lepaskan.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:134)

Pantun di atas mengambarkan perasaan marah permaisuri kepada tuanku

baginda. Permaisuri memahami bahawa tuanku baginda menyukai perempuan selain

darinya. Dalam situasi itu, merak mengiyakan lagi anggapan permaisuri melalui

serangkap pantun. Pantun merak itu berbunyi:

Sukai samban di dalam serahi,

Inderakala di padang temu,

Puteri dendam raja berahi,

Bila gerangan kita bertemu.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:135)

Mendengar sahaja pantun di atas, tuanku baginda menyedari bahawa pantun

merak telah menyebabkan kemarahan permaisuri. Sedangkan merak berpantun lebih

untuk menyampaikan maksud hati Tuan Puteri Mehran Langkawi. Lalu tuanku

baginda menawarkan kepada merak air minuman manis. Kemungkinan ini juga

sebagai satu helah agar merak tidak meneruskan lagi pantun yang berkaitan seperti di

atas. Pemberian tuanku baginda disambut oleh merak dengan pantun;

Bunga tanjung dikarang indah,

Gagak bersarang di serambi,

Kurnia tuanku patik junjung,

Akan penghibur hati berahi.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:135)

Pantun merak di atas menggambarkan bahawa pemberian dari tuanku baginda

sangat bermakna dan dihargai walaupun hanya air minuman manis. Malah pemberian

itu boleh menggembirakan hati.

3) Menyatakan hasrat hati

Selain itu, pantun juga berfungsi untuk menyatakan hasrat hati yang tidak diucapkan

secara terus terang. Antaranya ialah seperti Tuan Puteri Mehran Langkawi

mengharapkan tuanku dan tuan puteri sudi menjamah makanan yang disediakan.

Namun harapan itu tidak dinyatakan secara terangan kerana kehadirannya sendiri

tidak disedari oleh tuanku baginda dan tuan puteri. Pantun menjadi medium dalam

situasi ini;

Kain bersuji di atas atap,

Pakaian raya hari raya,

Jika sudi tuanku santap,

Jikalau tidak apakan daya.

(Hikayat Isma Yatim,1881:115)

Selepas itu, pantun diucapkan lagi sebagai tanda hendak meninggalkan tempat

persinggahan. Hendak memberitahu secara terus terang akan dianggap tidak sopan.

Page 13: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

13

Hasrat itu dinyatakan secara berkias dan diungkap menggunakan pantun yang

berbunyi;

Matahari rambang memukul lari,

Jelatik terbang dari Bali,

Tuanku tinggal laki isteri,

Patik ini mohon kembali.

Selepas itu merak pula yang berpantun;

Tun Kadri tuanku mimpi,

Patah cangkir dalam cerana,

Tuankulah sedar bermimpi,

Melihat bulan ada purnama.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:118)

Pantun di atas menjelaskan keadaan tuanku baginda yang merasai kehadiran

Tuan Puteri Mehran Langkawi seolah-olah sedang bermimpi kepada dayang yang

bernama Tun Kadri. Tun Kadri muncul kerana tugasnya, iaitu menjaga tempat makan

baginda suami isteri. Apatah lagi kehadiran Tuan Puteri Mehran Langkawi itu

menerangi tempat sekeliling.

Lalu disahut pantun oleh merak jantan seperti berikut;

Bulan purnama benderang semalam,

Sampai di dalam bintang seroja,

Bersinar-sinar gerangan tuan,

Beroleh semayam di dalam syurga.

(Hikayat Isma Yatim,1881:119)

Pembayang dalam pantun di atas menggunakan unsur alam. Ini menunjukkan

bahawa masyarakat Melayu sangat rapat dengan alam sekeliling. Maksudnya pula

mengambarkan kebahagiaan tuanku raja memerintah dan mentadbir negeri tersebut.

Tuanku akan memperoleh balasan ‘syurga.’ Penggunaan perkataan ‘syurga’ ini

berkaitan dengan agama. Syurga dan neraka merupakan makhluk Allah SWT yang

telah diciptakan, dan telah wujud pada masa sekarang. Inilah aqidah Ahlussannah wal

Jamaah sebagaimana yang ditegaskan para ulama sejak zaman berzaman berdasarkan

dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk

mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang

bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang

yang bertakwa.”

(Al-Quran, Ali ‘Imran:133)

4) Pemimpin

Tradisi pantun menurut Ungku Aziz berusia lebih 700 tahun dalam kalangan

masyarakat Melayu Nusantara merupakan penghasilan minda yang istimewa.

Kreativiti yang memungkinkan terhasilnya pantun datang dari pemerhatian dan

pengalaman yang luar biasa (Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, 2011: ix).

Page 14: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

14

Pantun juga berfungsi untuk memberi dorongan supaya berusaha dalam mendapatkan

sesuatu cita-cita. Contohnya pantun oleh merak seraya mengigal demikian bunyinya:

Ketika berperang Datuk Laksamana,

Masakan berbaki ubat peluru,

Jika tidak bijaksana,

Sampai mati tidakkan dapat.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:119)

Pemillihan perkataan yang sesuai apabila ‘berperang’ itu dikaitkan dengan

‘Datuk Laksamana’ kerana tugas utama Laksamana ialah menjadi ketua hulubalang.

Dikaitkan juga dengan kebijaksaan akal dan strategi untuk memenangi dalam

perlawanan. Jika tidak bersungguh-sungguh, kemenangan tidak akan tercapai.

Selepas itu, merak betina pula menyahut pantun merak jantan;

Daun derdap dalam bahtera,

Perahu tembaga disangkanya,

Tuanku semayam di atas geta,

Masing-masing persembahkan jasa.

(Hikayat Isma Yatim,1881:107)

Pantun di atas menjelaskan kedudukan seorang raja yang bersemayam di atas

takhta. Raja akan menerima sembah daripada semua rakyat jelata yang menyatakan

taat setia kepada baginda sebagai pemimpin. Malah rakyat berusaha untuk menabur

jasa kepada raja dan negara.

5) Ucapan terima kasih

Mendengar sahaja pantun Merak Betina ini, tuanku terus memuji kepandaian merak

berpantun. Sebagai tanda berterima kasih dengan kata pujian tersebut, merak itu

menghamparkan sayapnya di atas talam seperti kelakuan orang mengadap sembah

sambil berpantun:

Dang Sedian orang bestari,

Mengenang bunga di dalam puan,

Selama kian beta cari,

Baharulah temu dengan tuan.

(Hikayat Isma Yatim,1881:108)

Penggunaan perkataan ‘bestari’ pada baris pertama bermaksud cerdas, pandai,

berpendidikan, berpengetahuan dan berbudi pekerti yang baik (Kamus Dewan Edisi

Keempat: 175). Ini adalah sebagai tanda kata pujian. Hal ini bersesuaian dengan

kedudukan pantun di atas sebagai pantun pujian dengan menggunakan bahasa yang

sopan. Sikap begini memang tatasusila masyarakat Melayu yang memuji dengan

menggunakan kata-kata kiasan. Pada baris ketiga dan keempat dalam pantun di atas

menyatakan bahawa raja adalah seseorang yang dicari selama ini. Pencarian itu

barulah sekarang berjumpa.

Mendengar sahaja pantun Merak Betina ini, tuanku terus memuji kepandaian

merak berpantun. Sebagai tanda berterima kasih dengan kata pujian tersebut, merak

Page 15: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

15

itu menghamparkan sayapnya di atas talam seperti kelakuan orang mengadap sembah

sambil berpantun:

Dang Sedian orang bestari,

Mengenang bunga di dalam puan,

Selama kian beta cari,

Baharulah temu dengan tuan.

(Hikayat Isma Yatim,1881:108)

Penggunaan perkataan ‘bestari’ pada baris pertama bermaksud cerdas, pandai,

berpendidikan, berpengetahuan dan berbudi pekerti yang baik (Kamus Dewan Edisi

Keempat: 175). Ini adalah sebagai tanda kata pujian. Hal ini bersesuaian dengan

kedudukan pantun di atas sebagai pantun pujian dengan menggunakan bahasa yang

sopan. Sikap begini memang tatasusila masyarakat Melayu yang memuji dengan

menggunakan kata-kata kiasan. Pada baris ketiga dan keempat dalam pantun di atas

menyatakan bahawa raja adalah seseorang yang dicari selama ini. Pencarian itu

barulah sekarang berjumpa.

Selain itu, pantun juga digunakan untuk menggambarkan perasaan gembira.

Tuanku baginda sangat gembira apabila permaisuri boleh menerima kehadiran Tuan

Puteri Mehran Langkawi dengan baik. Merak berpantun;

Candan talinya muri,

Nobat dipangku oleh Dang Saji,

Tuanku berdua bijak bestari,

Sukanya kakanda tiada terperi.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:172)

Pada tuanku baginda, kedua-duanya adalah ‘bijak bestari.’ Sikap menerima

antara satu sama lain secara baik tanpa pergaduhan adalah perbuatan yang bijak.

6) Menggambarkan kecantikan

Selain itu, pantun merak juga menggambarkan dayang-dayang yang

tercengang melihat kemunculan dan kecantikan Tuan Puteri Mehran Langkawi dari

permata nila kendi.

Layang-layang bertali benang,

Benang dipintal dengan rami,

Mengapakah dayang-dayang tercengang,

Melihat kepada tuan kami.

(Hikayat Isma Yatim, 1881:165)

Pantun di atas berbentuk pertanyaan ‘mengapakah’ walaupun tidak ditandai

dengan tanda tanya pada pengakhiran baris ketiga.

Penggunaan pantun dalam menyampaikan maksud menggambarkan betapa

sifat orang Melayu yang sukar untuk berterus terang kerana mementingkan tertib dan

sopan santun dalam sesuatu perbualan. Untuk itu, bercakap secara tidak langsung atau

secara berlapik merupakan ciri penting dalam budaya orang Melayu. Masyarakat

Melayu banyak menggunakan kaedah ini dalam situasi sosial terutamanya apabila

Page 16: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

16

menunjukkan kesopanan. Situasi ini sebenarnya melibatkan sikap, pandangan, dan

sanjungan orang Melayu terhadap orang lain (Mohd Rashid Md Idris, 2011:76).

Kesimpulan

Secara kesimpulannya jelas menunjukkan bahawa pantun yang digunakan oleh merak

dalam Hikayat Isma Yatim berfungsi dalam pelbagai aspek dalam mengembangkan

plot hikayat. Pantun untuk menggambarkan kasih sayang, kepahlawanan,

kegembiraan hati, menghormati ketua dan menyatakan hasrat hati. Pemilihan

perkataan juga bersesuaian untuk menyatakan maksud pantun tersebut. Malah untaian

pantun yang diucapkan oleh Merak Jantan dan Merak Betina dalam Hikayat Isma

Yatim ini berperanan sebagai penggerak kepada plot cerita. Merak Jantan dan Merak

Betina menggunakan pantun untuk menyampaikan perasaan kasih sayang, perasaan

gembira, hasrat di hati secara kiasan, mengutarakan rahsia yang tersembunyi dan

sebagainya. Ternyata, dengan menggunakan pantun yang digunakan oleh watak

merak dalam hikayat ini adalah suatu kreativiti oleh pengarang dalam menyampaikan

maksud tertentu. Bukan hanya sekadar watak manusia yang boleh menghidupkan plot

cerita hikayat, akan tetapi watak selain manusia juga berupaya menjadikan sesuatu

karya itu tetap menarik. Keistimewaan pantun daripada segi bahasa dan

perbendaharaan kata, struktur serta kehebatan nilai tersurat dan tersirat yang terlihat

pada pembayang serta maksud. Jelaslah bahawa seni pantun menjadi sebahagian

daripada teras pembinaan masyarakat Melayu khususnya dan alat untuk proses

sosialisasi. Malah pantun juga menggambarkan daya akal dan kebijaksanaan orang

Melayu.

Bibliografi

Al-Afkar #106: Adakah Syurga Dan Neraka Telah Wujud Pada Masa Sekarang?. 27

Mac 2020. Laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-afkar/4385-al-afkar-106-adakah-

syurga-dan-neraka-telah-wujud-pada-masa-sekarang. Dirujuk pada 4 Mac

2021.

Al-Quran Nul Karim Rasm Uthmani.

Ayu Nor Azilah Mohamad. (2003). Hikayat Isma Yatim: Satu Kajian Teks. Tesis

Sarjana. Bangi, Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Harun Mat Piah. (1989). Puisi Melayu Tradisional: Satu Perbicaraan Genre dan

Fungsi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Harun Mat Piah et.al. (2000). Kesusasteraan Melayu Tradisional Edisi Kedua. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hashim Musa (Editor). Wan Abdul Kadir Wan Yusoff. (2005). ‘Bahasa dan

Pemikiran Budaya’ dalam Bahasa & Pemikiran Melayu. Universiti Malaya:

Akademi Pengajian Melayu.

Jelani Harun. “Manuskrip ‘Panthong’ dari Sri Lanka.” Dalam

http”//pantun.usm.my/makalah. Sekretariat Pantun Antarabangsa, Universiti

Sains Malaysia. Tarikh layari 11 Januari 2018.

Kamus Dewan Edisi Keempat. (2005). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kurik Kundi Merah Saga; Kumpulan Pantun Lisan Melayu. Edisi Kedua. (2005).

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Page 17: Untaian Pantun oleh watak Merak dalam Hikayat Isma Yatim

e-JURNAL BAHASA DAN LINGUISTIK MEI 2021|VOL. 3|NO. 1 eISSN: 2682-8987

17

Liaw Yock Fang. (1975). Sejarah Kesusasteraan Melayu Klasik. Singapura: Pustaka

Nasional.

Mohd Rashid Md Idris. (2011). Nilai Melayu dalam Pantun. Tanjong Malim, Perak:

Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Mohd Taib Osman (Penye.) Wan Ab. Kadir Wan Yusoff. (1996). ‘Pantun Sebagai

Pencerminan Minda Melayu’ dalam Pantun Menisfestasi Minda Masyarakat.

Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

Muhammad Haji Salleh. (1986). Cermin Diri. Petaling Jaya: Fajar Bakti.

Muhammad Haji Salleh (Editor oleh) Zainal Abidin Borhan. (2017). Hikayat Isma

Yatim. Kuala Lumpur: Yayasan Karyawan.

Ricklefs, M.C. & Voorhoeve, P.. (1997). Indonesian Manuscripts in Great Britian: A

Catalogue of Manuscripts in Indonesian Languages in British Public

Collections. London: Oxford University Press.

Shellabear W.G. 1977. Sejarah Melayu. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Siti Baroroh Baried et.al. (1985). Pengantar Teori Filologi. Jakarta: Pusat Pembinaan

dan Pengembangan Bahasa, Departemen Pendidikan dan Kebudayaan.

Siti Hawa Haji Salleh. (1987). Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Siti Hawa Haji Salleh. (1999). “Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Peranan

Filologi” dalam Akademika 54 (Januari) 1999:147-155.

Trie Utari Dewi. (2018). “Pembelajaran Filologi Sebagai Salah Satu Upaya dalam

Mengungkap dan Membangun Karakter Suatu Bangsa” dalam Jurnal

Pendidikan Sejarah dan Riset Sosial Humaniora (KAGANGA), Volume 1, No

1, Juni 2018; 48-61.

Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. (2011). Pantun dan Kebijaksanaan Akal

Budi Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Bakar. (1991). Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa dan Pustaka.