tokoh fiqh ibnu katsir
TRANSCRIPT
TOKOH FIQH : IBNU KATSIR
Nama beliau Abu Al-Fida’ Ismail bin Omar bin Katsir. Nama Ibnu Katsir, disandarkan kepada
datuknya.
Beliau adalah seorang ulama Fiqh, yang mahir di kalangan ulama mazhab Syafi’i. Beliau juga
diberi gelaran al-Hafiz, kerana beliau adalah merupakan seorang ulama hadis. Dalam masa yang
sama juga, beliau merupakan seorang ulama sejarah. Beliau ini seorang tokoh yang serba-serbi
ketokohannya dalam berbagai bidang.
Lahir pada tahun 700H, di Damsyiq, Syria. Ayahnya meninggal 4 tahun sejurus kelahiran beliau,
beliau merupakan seorang anak yatim. Akhirnya, beliau membesar di kota Damsyiq dan
menuntut ilmu di situ.
Guru-guru Ibnu Katsir, adalah tokoh-tokoh yang hebat-hebat belaka.
1. Imam az-Zahabi (Wafat : 748H), seorang tokoh dalam sejarah, yang mengarang kitab
Siyar A’lam al-Nubala’.
2. Imam al-Hafiz al-Mizzi (Wafat : 742H), seorang tokoh dalam bidang Hadis,
mengarang kitab yang cukup terkenal “Tahzibul Kamal”, dalam bidang ilmu rijal.
Mana-mana ulama hadis pasti akan kembali kepada buku-buku asas ini, di dalam ilmu
hadis atau di dalam ilmu rijal (perawi hadis). Oleh kerana Ibnu Katsir merupakan
seorang anak murid yang gigih, terserlah kebijaksanaan dan kepandaiannya, akhirnya
beliau berkahwin dengan anak Imam al-Mizzi ini. Jadi, Ibnu Katsir adalah menantu
kepada Imam al-Mizzi.
3. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah (Wafat : 728H), wafat ketika Ibnu Katsir berumur 28
tahun. Disebutkan oleh Ibnu Hajar (Wafat : 852H), juga di antara tokoh besar yang
datang kemudian, Ibnu Hajar menyebutkan tentang sejarah Ibnu Katsir, dengan
mengatakan Ibnu Taimiyyah adalah gurunya. Beliau telah mengambil ilmu
daripadanya, sangat cinta kepadanya, dan akhirnya beliau diuji kerananya. Beliau diuji
kerana ilmu yang diambil daripada Ibnu Taimiyyah itu, sangat terkesan dan terikut
dengannya. Akhirnya, Ibnu Taimiyyah diuji, meninggal di dalam penjara, Ibnu Katsir
pun turut diuji kerana beliau mewarisi ilmu daripada gurunya itu.
Imam Ibnu Katsir hidup ketika zaman Mamaliga, kurun ke-8 iaitu 700H ke atas. Pada ketika itu,
musibah demi musibah menimpa umat Islam, bermula dengan serangan tentera Tartar, daripada
negara Mongolia yang menyerang kota Damsyiq, membunuh ribuan umat Islam, sehingga
sungai-sungai di Damsyiq bertukar menjadi merah. Ketika zamannya juga, banyak berlakunya
musim kemarau, kelaparan, ditambah lagi dengan persengketaan di antara pemerintah-
pemerintah Islam pada ketika itu. Berlakunya banyak pergolakan, serang-menyerang antara
pemerintah-pemerintah Islam, saling berbunuhan antara sesama mereka. Kesimpulannya, zaman
Ibnu Katsir penuh dengan cabaran dan dugaan, keadaan politik yang sangat tidak menentu.
Dalam masa yang sama, zaman Ibnu Katsir adalah zaman percambahan ilmu. Banyaknya kuliah-
kuliah ilmu, tempat-tempat pengajian, masakan tidak, kerana banyaknya tokoh-tokoh besar yang
telah kita sebutkan tadi, Imam az-Zahabi, Ibnu Taimiyyah, dan lain-lain.
Termasuk dalam kalangan anak muridnya pula adalah Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi (Wafat : 792H).
Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi adalah ulama yang mensyarahkan Aqidah al-Tahawiyah, yang menjadi
buku asas dalam mempelajari Aqidah. Aqidah al-Tahawiyah ditulis oleh seorang pengarang yang
bernama at-Tahawi, yang hidup pada zaman awal Islam, dan kemudian Ibnu Abi al-Izz yang
datang kemudian mensyarahkannya.
Ibnu Katsir banyak menulis, banyak buku dalam pelbagai bidang. Beliau ada buku karangan
dalam bidang Aqidah, ada buku dalam bidang Fiqh, ada buku dalam ilmu Quran, ada buku dalam
bidang Hadis, kerana beliau seorang tokoh Hadis. Antara bukunya yang paling terkenal ada 2.
1. Tafsir Ibnu Katsir. Judul asal kitab ini namanya Tafsir al-Quran al-Azim. Asal kitab
bahasa Arabnya dalam 3 jilid sahaja, dengan tulisannya yang cukup rapat dan padat.
2. Al-Bidayah wan-Nihayah (Permulaan & Kesudahan – The Beginning & The Ending).
Buku ini adalah buku dalam sejarah, merangkumi kesemua sejarah bermula daripada
Nabi Adam AS. Ibnu Katsir bukan sahaja seorang tokoh dalam bidang Hadis, malah
beliau juga seorang tokoh dalam sejarah. Hadis sebenarnya mempunyai kait rapat
dengan sejarah. Hadis adalah apa yang dilakukan dan diucapkan oleh Rasulullah
secara khasnya, itu sebenarnya sejarah dari satu sudut. Dan Ibnu Katsir adalah salah
seorang tokoh dalam bidang itu, dalam masa yang sama seorang tokoh yang pakar
dalam bidang sejarah manusia secara amnya, bermula dengan Nabi Adam, sampai ke
zamannya, beliau juga menceritakan tentang dirinya di dalam buku tersebut, kerana
beliau juga termasuk dalam sejarah. Buku ini pula dalam 7 jilid. Ilmu Ibnu Katsir ini
cukup hebat. Manakan tidak, beliau telah berguru dengan guru-guru yang cukup
hebat.
Ibnu Katsir wafat pada 774H. Ketika umurnya 74 tahun. Pada akhir hidupnya, beliau menjadi
buta, dan dikebumikan berhampiran dengan kubur gurunya Ibnu Taimiyyah.