tesis usm lengkap

105
JMS 418 KAJIAN SURAT PERMOHONAN DAN KEBENARAN : PENANAMAN PADI DI MUKIM AYER BALOI, PONTIAN DARI TAHUN 1929 -1935 OLEH HASMAH BINTI ISMAIL 710804-01-5184 JM8767/06 PENYELIA DR. HJ. ISHAK BIN SAAT 1

Upload: brandon-williams

Post on 24-Nov-2015

65 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

JMS 418

JMS 418

KAJIAN SURAT

PERMOHONAN DAN KEBENARAN :

PENANAMAN PADI

DI MUKIM AYER BALOI, PONTIAN

DARI TAHUN 1929 -1935

OLEHHASMAH BINTI ISMAIL

710804-01-5184

JM8767/06

PENYELIA

DR. HJ. ISHAK BIN SAAT

Projek akhir yang diserahkan untuk memenuhi keperluan bagi Ijazah Sarjana Muda

Januari 2010

PENGAKUAN

Saya akui projek akhir ini adalah hasil kerja saya sendiri kecuali nukilan dan ringkasan yang tiap-tiap satunya telah saya jelaskan sumbernya.Januari 2010

HJH. HASMAH BINTI ISMAIL

JM8767/06SEKAPUR SIRIH

Segala puji bagi Allah, tuhan semester alam dan selawat atas junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. Saya panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dengan limpahan rahmat dan inayahnya maka projek tahun akhir ini berjaya disempurnakan. Kajian dan penulisan tesis ini disempurnakan dengan bantuan banyak pihak. Pertamanya, pihak Universiti Sains Malaysia yang telah memberi saya peluang untuk menuntut ilmu selama empat tahun walaupun hanya sebagai pelajar jarak jauh, kaki tangan di Arkib Negeri Johor yang banyak membantu dalam pencarian dokumen asal dan individu-individu tertentu yang terlibat secara langsung dengan kajian ini.

Santap berulam daun selasih, kata bersulam terima kasih untuk pensyarah pembimbing, Dr. Ishak b. Hj. Saat. Keprihatinan, ketelitian tunjuk ajar dan bimbingan beliau menjadi pemangkin kepada ketepatan kajian ini seperti yang dikehendaki. Kekayaan idea dan ketajaman mindanya membolehkan saya menimba banyak pengetahuan dan pengalaman yang amat berharga sebagai seorang mahasistua di universiti APEX ini. Seterusnya, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada suami, ibu, ayah dan anak-anak tercinta kerana masa-masa bersama terpaksa dikorbankan untuk memenuhi tuntutan ilmiah ini. Kalianlah insan-insan yang tidak pernah jemu menyayangi dan menjadi sumber inspirasi untuk saya terus mengorak langkah menuju kegemilangan.

Saya sembahkan kasih sayang dan perasaan terhutang budi kepada semua yang telah memberi bantuan dari segi tenaga, masa dan kewangan serta sokongan dan keprihatinan yang tidak berbelah bagi. Segala yang sempurna itu datangnya daripada Allah S.W.T dan segala kekurangan itu terbitnya daripada kejahilan saya sendiri. Sekian, saya sudahi dengan lafaz yang mulia wabillahitaufiq walhidayah wassalamualaikum wbt.

HASMAH ISMAIL

Universiti Sains Malaysia,

Pulau Pinang, 2010

ISI KANDUNGAN MUKA SURAT

TAJUK i

PENGAKUAN ii

SEKAPUR SIRIH iiiSENARAI PETA DAN RAJAH vSENARAI KATA SINGKATAN v

SENARAI LAMPIRAN vi

BAB 1 : PENGENALAN 1

1.1. Justifikasi Pemilihan Tajuk

1.2. Tinjauan Bacaan dan Sumber / Bahan Kajian

1.3. Kaedah KajianBAB 2 : LATAR BELAKANG SURAT KAJIAN

2.1. Latar Belakang Fizikal Surat Kajian 3

2.2. Latar Belakang Kajian 5BAB 3 : ISI KANDUNGAN SURAT 6

3.1. Fail CLR Kukup 183/29 7

3.2. Fail CLR Kukup 215/30 16

3.3. Fail CLR Kukup 163/34 18

3.4. Catatan Lokasi Dalam Surat Kajian 25

3.5. Aktiviti Penanaman Padi Huma atau Tugal 29

BAB 4 : HURAIAN DAN KESIMPULAN 37PENUTUP 41

LAMPIRAN 43

BIBLIOGRAFI vii

SENARAI KATA SINGKATAN

hj.

haji

jln.

jalan

kg.

kampung

pt.

parit

sg.

sungai

CLR

Collector of Land RevenueCLM(s)

Commisioner of Land, Mines and Survey

SENARAI PETA PETA 1

Kawasan Padi Berhampiran Sungai

Sanglang Pada Tahun 1930 21

PETA 2

Pembahagian Mukim Daerah Pontian 26

PETA 3

Peta Kawasan Mukim Ayer Baloi 27

PETA 4

Kawasan Banjir Untuk Projek Johor

Barat 33SENARAI RAJAH

RAJAH 1

Senarai Nama Penghulu Mukim Ayer

Baloi 9

RAJAH 2

Ani-ani Alat Yang Digunakan Untuk

Menuai Padi 36

SENARAI LAMPIRANLAMPIRAN 1

Surat Permohonan Penghulu Hussin b. Abdul Latif

Kepada Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup. 43

LAMPIRAN 2

Pelan Kawasan Penanaman Padi di Tebing Sungai

Ayer Baloi. 44

LAMPIRAN 3

Surat Pemberitahuan Pegawai Pemungut Hasil Tanah

Kukup Kepada Pegawai Perhutanan Johor. 45

LAMPIRAN 4

Surat Maklum Balas Pegawai Perhutanan kepada

Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup. 46

LAMPIRAN 5

Surat Pemberitahuan Pegawai Pemungut Hasil Tanah

Kepada Pesuruhjaya Tanah dan Galian Johor. 47

LAMPIRAN 6

Senarai Nama Penanaman Padi di Mukim Ayer

Baloi. 48

LAMPIRAN 7

Surat Kebenaran daripada Pejabat Tanah Kukup

Untuk Penanaman Padi Huma. 51

LAMPIRAN 8

Laporan oleh Penghulu Hussin b. Abdul Latif

Tentang Aktiviti Penanaman Padi di Ayer Baloi. 53

LAMPIRAN 9

Surat Permohonan Penanaman Padi di Pekan

Sanglang. 58

LAMPIRAN 10Surat Permohonan Bekas Penghulu Jemaat b.

Awang Mewakili Anak-anak Buahnya bagi

Menanam Padi di Tebing Sungai Sanglang. 59

LAMPIRAN 11Surat Makluman daripada Pejabat Tanah Kukup

Kepada Bekas Penghulu Jemaat b. Awang. 61

BAB 1 : PENGENALAN

Kajian Surat Permohonan dan Kebenaran Penanaman Padi di Mukim Ayer Baloi, Pontian dari tahun 1929 hingga 1935 berjaya membuktikan kewujudan kawasan dan aktiviti penanaman padi huma atau tugal di kawasan tersebut. Skop kajian meliputi latar belakang surat kajian secara fizikal, kajian lepas, Undang-undang Tanah 1910, isi kandungan surat kajian, catatan lokasi dalam surat, aktiviti penanaman padi huma atau tugal dan implikasi surat permohonan dan kebenaran tersebut pada masyarakat setempat.

1.1. Justifikasi Pemilihan Tajuk

Kajian surat ini cuba membongkar khazanah bangsa yang selama ini tersimpan di sebalik lipatan sejarah yang terkandung dalam surat-surat rasmi di Arkib Negeri Johor. Justifikasi pemilihan kajian surat ini adalah kerana belum ada kajian yang terperinci tentang surat yang menjurus kepada aktiviti pertanian terutamanya padi huma secara khusus di Mukim Ayer Baloi kerana terdapat perbezaan yang ketara antara aktiviti pertanian pada tahun 1929 hingga tahun 1935 dengan aktiviti pertanian yang dijalankan pada masa kini. Lebih-lebih lagi apabila kajian yang terperinci tentang isi kandungannya maka kita dapat menilai apakah realiti kehidupan para penanam padi huma atau tugal di Mukim Ayer Baloi. Di samping itu, dapat menghargai dan memelihara khazanah bangsa iaitu tulisan jawi lama dengan membaca dan menterjemahkannya dalam tulisan rumi untuk bahan tatapan umum.

1.2. Tinjauan Bacaan dan Sumber / Bahan Kajian

Langkah pertama dalam pemilihan dokumen yang hendak dikaji, penulis telah membaca beberapa contoh tesis, latihan ilmiah dan buku-buku yang berkaitan untuk mendapatkan gambaran awal. Antara tajuk tesis dan buku yang dibaca ialah Sejarah Mukim Ayer Baloi hingga 1990-an, Penghulu-penghulu di Mukim Ayer Baloi, Kedatangan Orang-orang Jawa dan Bugis dan Jurnal Warisan Johor. Oleh kerana kajian yang dijalankan adalah kajian dokumen maka lokasi yang dipilih ialah Arkib Negeri Johor yang terletak di bangunan Wisma Persekutuan, Johor Bahru. Di sinilah sumber utama iaitu surat permohonan dan kebenaran penanaman padi di Mukim Ayer Baloi dari tahun 1929 hingga 1935 diperolehi daripada fail Pejabat Tanah Pontian iaitu CLR Kukup 183/29, 215/30 dan 163/34.

1.3. Kaedah Kajian.

Kaedah kajian ini melibatkan pentafsiran surat-surat yang dipilih dalam usaha menguji ketulenan dan kebenaran fakta yang terkandung di dalamnya. Oleh kerana tulisan jawi lama yang digunakan maka penulis sentiasa merujuk kepada warga emas yang sememangnya telah sebati dan mahir membaca bentuk-bentuk hurufnya. Dalam hal ini, rujukan utamanya ialah Haji Selamat b. Toyemen, lahir pada tahun 1934 yang beralamat di No. 1, Kg. Pt. Sulaiman, Ayer Baloi dan En. Jayus b. Ngasipan lahir pada tahun 1951, beralamat di No.6, Kg. Pt. Kahar 6/15, Ayer Baloi. Manakala rujukan daripada kamus serta buku yang berkaitan dengan pertanian dilakukan untuk menterjemahkan surat-surat yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Selain daripada kaedah pentafsiran surat-surat kajian, satu temuramah telah dilaksanakan pada tanggal 19 Julai 2009 bersama Hajah Kamsiah binti Haji Salleh, lahir pada tahun 1919 dan kini menetap di No.6, Kampung Parit Kahar 6/15, Ayer Baloi. Hajah Kamsiah merupakan sumber pertama dalam kajian ini kerana beliau merupakan salah seorang daripada generasi pertama penanam padi di Sungai Sanglang. Sejak berumur 15 tahun lagi beliau telah terlibat dalam aktiviti penanaman padi huma bersama kaum keluarganya. Akhir kata, penulis mengharapkan agar Projek Tahun Akhir ini dapat menanamkan rasa cinta generasi muda kepada keluarga dan leluhur mereka melalui kesedaran tentang cabaran dan dugaan untuk membina suatu kehidupan dengan latar belakang sebagai petani yang membanting tulang membuka tanah dan mengusahakan tanaman secara tradisional tetapi mampu menyara keluarga sehingga terbentuknya institusi kekeluargaan yang berjaya pada masa kini.

BAB 2 : LATAR BELAKANG SURAT KAJIAN

2.1. Latar Belakang Fizikal Surat Kajian

Kewujudan kawasan dan aktiviti penanaman padi huma atau tugal di Mukim Ayer Baloi pada suatu ketika dahulu boleh dibuktikan melalui kajian surat-surat permohonan dan kebenaran yang diperolehi dari Arkib Negeri Johor iaitu fail Pejabat Tanah; CLR Kukup 183/29, CLR Kukup 215/30 dan CLR Kukup 163/34. CLR Kukup 183/29 pula mengandungi 90 keping surat yang bermula dengan permohonan daripada Penghulu yang mewakili anak-anak buahnya sehinggalah ke laporan tentang perjalanan aktiviti berkenaan. Pada tahun-tahun kajian, Mukim Ayer Baloi terletak di bawah pengawasan Pejabat Tanah Kukup kerana dahulunya pusat pentadbiran daerah Pontian adalah di Kukup Laut berhampiran pelabuhan Kukup yang ada sekarang.

Surat-surat permohonan yang diajukan oleh Penghulu ditulis dalam Bahasa Melayu menggunakan tulisan Jawi. Oleh itu, terdapat sedikit kesukaran untuk mentafsirkannya kerana menggunakan sistem ejaan jawi lama serta stail penulisan dengan bentuk huruf yang unik dan ada kalanya mengelirukan. Seratus peratus daripada surat tersebut ditulis oleh Penghulu dengan tulisan tangan menggunakan dakwat hitam pada kepingan kertas kajang bersaiz F4. Lebih-lebih lagi, keadaan surat yang uzur kerana terlalu lama tersimpan menyebabkan kertasnya mulai nipis, reput, bertukar warna kemerah-merahan serta tulisannya agak kabur akibat dimakan hari. Hanya beberapa catatan nama sahaja yang boleh dibaca dengan jelas. Dalam jangka masa hampir lapan dekad iaitu selama tujuh puluh sembilan tahun dari tahun 1930 hingga 2009 menyukarkan kajian tentang latar belakang penama-penama yang tercatat di dalam surat.

Manakala surat-surat yang ditulis oleh pegawai kerajaan kepada pegawai kerajaan yang lain adalah dalam Bahasa Inggeris menggunakan tulisan Rumi yang ditaip dengan kemas. Manakala surat daripada pegawai kerajaan seperti Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup kepada Penghulu adalah dalam tulisan Jawi yang juga bertaip. Oleh itu, tulisannya lebih jelas, kemas dan mudah ditafsir kerana bentuk hurufnya yang terbentuk dan mudah dibaca. Namun begitu, penggunaan istilah tertentu dalam Bahasa Inggeris memerlukan rujukan sama ada melalui kamus atau pakar. Apa yang dikhuatiri, istilah yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu tidak menepati kehendak atau definisi yang sebenarnya. Secara fizikalnya pula, kertas yang digunakan untuk menulis surat daripada pegawai kerajaan adalah lebih berkualiti jika dibandingkan dengan kertas yang digunakan oleh Penghulu. Walaupun seusia dengan surat permohonan tetapi kertasnya masih utuh dan warnanya masih baik.

Jika ditinjau dari segi sejarah, bermula pada tahun 1904 penggunaan Bahasa Melayu tulisan Jawi mulai beransur-ansur dikurangkan dan tempatnya digantikan dengan penggunaan Bahasa Melayu tulisan rumi dalam semua dokumen rasmi. Sungguhpun demikian, Bahasa Melayu tulisan Jawi masih tetap ditekankan seperti terbukti pada tahun 1914. Sebelum kuasa Inggeris ditingkatkan lagi di Johor pada tahun itu, Sultan Ibrahim telah berurusan dengan Gabenor Arthur Young bagi membincangkan beberapa perkara. Antaranya, baginda bertitah agar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris digunakan dalam perundangan dan mahkamah serta di semua jabatan kerajaan. Namun begitu, apabila berkaitan dengan penulisan dalam Bahasa Melayu maka tulisan Jawi amat digalakkan.

Sungguhpun soal tulisan telah dipersetujui pada tahun 1914, namun secara beransur-ansur berlaku penekanan ke arah menggunakan tulisan Rumi terutamanya mulai tahun 1929 apabila pelajaran Rumi diperkenalkan. Fenomena ini mendapat tentangan daripada pemimpin-pemimpin Melayu. Ekoran daripada rungutan orang ramai maka persoalan ini dibangkitkan oleh Setiausaha Kerajaan, Datuk Abdullah Esa iaitu Pesuruhjaya Kerajaan Negeri, Segamat telah mencadangkan agar tulisan Rumi tidak langsung digunakan dalam sebarang borang (form) kerajaan, sebaliknya hanya menggunakan Bahasa Melayu tulisan Jawi dan Bahasa Inggeris. Begitu juga, minit-minit kerajaan hendaklah ditulis dengan tulisan Jawi. Namun, Winstedt berpendapat bahawa tulisan Rumi mesti digunakan apabila menulis kepada ataupun mengeluarkan pemberitahuan (notis) untuk bangsa Cina dan India, yang tidak mengetahui Bahasa Inggeris ataupun mengenali tulisan Jawi. Dasar inilah yang digunakan pada tahun-tahun berikutnya sehinggalah kini tulisan Jawi terkubur begitu sahaja dan hanya digunakan dalam hal-hal tertentu sahaja.2.2. Latar Belakang Kajian

Secara umum boleh dikatakan bahawa dari segi teorinya, masyarakat Melayu telahpun mempunyai sistem tanah dengan hak dan obligasi yang difahami oleh semua pihak, sungguhpun dari segi praktiknya mungkin terdapat sedikit perbezaan. Dalam masyarakat Melayu tradisional, tanah merupakan sumber penting untuk modal dan kehidupan. Tanah adalah terjalin ke dalam keseluruhan struktur sosioekonomi dan politik masyarakat. Di Johor, terdapat surat-surat tertentu yang dikeluarkan oleh pihak pemerintah tradisi bagi menunjukkan bahawa seseorang penduduk itu telah memperoleh kebenaran untuk meneroka hutan dan seterusnya bercucuk tanam di situ. Lazimnya, surat-surat tersebut diperolehi daripada Penghulu. Bagi penanam padi huma di Ayer Baloi tanah hutan yang dikurniakan adalah di sepanjang tebing dua batang sungai utamanya.

Lantaran itu, terdapat beberapa bentuk pemilikan tanah dalam Dasar Tanah dan Undang-undang Tanah 1910. Antaranya: (i) tanah yang dimiliki untuk selama-lamanya dan tidak tertakluk kepada apa-apa syarat penanaman dan tidak perlu bayar sewa, (ii) tanah yang diberi semata-mata untuk menanam gambir-lada. Kebenaran diberi hanya untuk bercucuk tanam dan tidak terdapat hak milik, (iii) tanah yang diperolehi berdasarkan sewaan jangka panjang. Biasanya diberikan kepada orang Eropah dan (iv) tanah saiz kecil diduduki oleh golongan Melayu berdasarkan Undang-undang adat. Dalam konteks kajian ini, surat-surat kajian tersebut terletak pada dasar ke-(ii) iaitu tanah yang diberi semata-mata untuk menanam padi dan hanya hak milik sementara sahaja diberikan dalam tempoh setahun dengan membayar sejumlah cukai yang ditentukan.

2.3. Dasar Tanah dan Undang-undang Tanah 1910

Ketiga-tiga surat yang dikaji terletak bawah penyelarasan Pejabat Tanah Kukup mengikut undang-undang tanah bagi tahun 1910. Oleh itu, dasar dalam undang-undang tanah tersebut perlu difahami untuk dijadikan asas kepada kesimpulan dan hujah-hujah kepada permasalahan yang mungkin dihadapi oleh para penanam padi huma di Mukim Ayer Baloi akibat dasar penjajah British pada ketika itu.

Dasar ekonomi penjajah bagi memajukan industri pertanian untuk eksport di Johor berkehendakkan satu sistem baru pemilikan tanah diperkenalkan iaitu satu sistem yang sesuai dan dapat menggalakkan eksploitasi ke atas sumber-sumber tanah oleh pihak kapitalis atau peniaga. Sistem cara milik tanah peribumi berdasarkan pertanian sara diri dianggap tidak mencukupi serta mempunyai banyak kelemahan untuk menjalankan fungsi baru itu. Lagipun wujud kepercayaan bahawa tanah di Johor hanya boleh dimajukan dengan menggunakan modal asing dan tenaga asing. Oleh itu, apabila British berjaya menguasai Johor dan melantik seorang Penasihat Am, telah terbentuk satu peluang untuk pegawai British mewujudkan suatu undang-undang baru mentadbir tanah. Pentadbiran tanah di Johor telah diletakkan di bawah kawalan British yang telah berusaha menyusunnya semula.

Secara umum, pentadbir penjajah Inggeris mempunyai tanggapan bahawa sistem cara milik tanah Melayu (i) mengandungi potensi untuk autoriti dan kuasa yang berkaitan dengan tanah yang disalahgunakan oleh Sultan atau pegawai-pegawainya, dan (ii) kemungkinan runtuhnya norma-norma yang diamalkan berkaitan dengan tanah. Hal ini bermakna bahawa mereka mempunyai peluang untuk memperkenalkan dan mengenakan perubahan untuk faedah penduduk dengan menghapuskan unsur-unsur yang tidak jelas yang terkandung dalam sistem peribumi itu. Inggeris juga beranggapan sistem cara milik tanah dan hal-hal yang berkaitan dengan tanah yang wujud pada abad ke-19 mengelirukan kerana penilaian tidak dilakukan dan tidak terdapat cara permohonan tanah yang betul. Akibatnya, kerajaan mempunyai sedikit saja kuasa atau juga tidak berupaya untuk mengenakan haknya. Dengan itu, kerajaan mengalami kerugian dari segi hasil yang seharusnya dikutip dalam bentuk cukai tanah.

Bagi mengatasi masalah ini suatu sistem moden Undang-undang Tanah dirasakan perlu diperkenalkan untuk menjadikan negeri Johor lebih menarik kepada modal dan perusahaan, terutama sekali untuk menarik pelaburan pihak Eropah. Surat akuan dan surat-surat yang lain perlu dihapuskan dan diganti dengan hak milik yang lebih khusus. Tanah perlu dinilai terlebih dahulu dan perbelanjaan untuk menjalankan kerja mengukur itu akan ditanggung oleh pihak pemohon hak milik itu. Undang-undang yang bakal diperkenalkan itu seharusnya dibentuk mengikut konsepsi Inggeris (Barat) tentang pemilikan tanah secara persendirian. Undang-undang tanah ini nanti akan membolehkan seorang Pesuruhjaya Tanah dilantik untuk menyelidik dan membuat keputusan tentang sesuatu permohonan untuk memiliki tanah.

Pegawai penjajah telah berjaya meyakinkan kerajaan tentang perlunya suatu perumusan dan pelaksanaan dasar tanah yang jelas lagi konsisten untuk pembangunan negeri Johor. Hasilnya, atas gesaan D.G.Campbell iaitu Penasihat Am Inggeris, sebuah Undang-undang Tanah telah diterima dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor pada 17 September 1910 bagi menggantikan peraturan tanah mengikut adat resam Melayu. Penerimaan Undang-undang Tanah ini meletakkan Johor sejajar dengan Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Selat dari segi pentadbiran tanah. Undang-undang baru ini membawa masuk satu sistem cara milik tanah yang sesungguhnya asing dan mengenepikan sistem pribumi Melayu. Undang-undang ini adalah berdasarkan prinsip-prinsip dan konsep yang mungkin telah berakarumbikan zaman feudal di England dengan itu, tidak berkaitan dengan keadaan yang wujud di Johor.

Undang-undang Tanah ini menggunakan konsep undang-undang Barat tentang cara milik tanah. Undang-undang ini menyatukan undang-undang pemberimilikan tanah (land alienation), pendaftaran tanah, hasil tanah, beberapa arahan pentadbiran kepada pegawai penilai tanah dan Pendaftar Hak Milik. Undang-undang ini juga memudahkan proses perolehan dan pemindahan hak milik dan dengan itu, memberikan gambaran pemilikan yang lebih terjamin dan lebih meyakinkan pelabur. Ringkasnya, undang-undang ini mengandungi matlamat memeriksa dan mendaftar semua tanah yang telah diduduki, menilai semua tanah di Negeri Johor dan mengeluarkan sijil hak milik kepada semua pemilik tanah Melayu dengan menyatakan jenis serta jumlah cukai yang perlu dibayarnya.

Sistem ini dilaksanakan menerusi Jabatan Tanah, yang diberi tugas mengesahkan tanah yang telah lama diduduki secara haram, meningkatkan daftar sewa tahunan, mengawal tanah supaya tidak lagi diduduki secara haram dan mendaftar tanah yang mempunyai surat-surat milikan yang lama. Sistem geran diwujudkan untuk pemegangan yang besar, sementara kebun kecil (10 ekar ke bawah) didaftarkan di bawah Daftar Mukim. Dengan ini, semua blok tanah yang besar saiznya untuk tanaman getah dan tanaman lain diberi milik melalui pemberian geran. Kedua-dua jenis pemegangan ini adalah tertakluk kepada cukai tanah tahunan. Melalui cara ini semua tanah milik persendirian diharap dapat didaftarkan dan sempadan semua pemegangan dinilai dan dimasukkan ke dalam peta. Dengan cara ini juga membolehkan seorang penduduk memiliki tanahnya sendiri dan setelah memilikinya mempunyai kuasa untuk menjual tanah itu, membuat pinjaman dengan bersandarkannya atau mewariskannya tanpa terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak atau menghadapi formaliti undang-undang yang kompleks.

Selain itu, semua tanah yang belum diberi milik atau disimpan untuk tujuan awam atau bukan merupakan hutan simpanan, dianggap sebagai tanah state dengan hak milik berpegang kepada Sultan Johor. Tanah state ditukar kepada hak milik persendirian oleh pegawai yang bertindak bagi pihak Sultan. Amalan menduduki tanah tanpa mematuhi peraturan ini berakhir apabila sistem pendaftaran hak milik diperkenalkan. Mereka yang menduduki tanah tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran atau dengan tidak mempunyai hak yang sah dianggap sebagai penduduk tanpa izin. Diskusi seterusnya, kajian ini akan merungkaikan secara rinci isi kandungan surat permohonan dan kebenaran yang berkaitan dengan aktiviti penanaman padi dalam jangka masa dari tahun 1929 hingga tahun 1934 di Mukim Ayer Baloi.

BAB 3 : ISI KANDUNGAN SURAT KAJIAN

Daerah Pontian yang terletak di Pantai Barat Johor sememangnya terkenal dengan kegiatan penanaman nanas yang utama di Malaysia. (Rujuk Peta 1) Sebut sahaja Pekan Nanas maka terbayanglah replika nanas gergasi yang menjadi daya penarik di samping ladang-ladang nanas yang diusahakan secara besar-besaran. Seterusnya, apabila menyelusuri jalan-jalan utama di Pontian yang mempunyai sebelas buah mukim akan kelihatan sama ada kebun-kebun kecil atau ladang-ladang kelapa sawit di samping tanaman lain seperti kelapa dan kopi. Sementara itu, di kawasan pedalaman yang terpencil masih terdapat beberapa kebun kecil yang menanam getah walaupun kelihatan seolah-olah tidak diusahakan lagi.

Begitu juga halnya di Mukim Ayer Baloi, Pontian yang keseluruhannya menjalankan aktiviti penanaman yang sama. Aktiviti pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama kerana Ayer Baloi merupakan kawasan dataran tanah gambut yang luas dan subur. Kawasan pertanian di sini

diairi oleh tiga batang sungai utama yang merentangi Mukim Ayer Baloi iaitu Sungai Sanglang, Sungai Jelutung dan Sungai Ayer Baloi. Namun begitu, sejak tahun 1990-an lagi, sungai-sungai tersebut sentiasa dibersihkan melalui aktiviti memperdalam sungai yang dilaksanakan pada setiap tahun. Usaha-usaha ini adalah bagi menangani masalah banjir yang sering berlaku di daerah Pontian terutamanya pada musim tengkujuh.

Oleh itu, segala aktiviti pertanian yang dijalankan di tebing sungai pada suatu masa dahulu tidak lagi dibenarkan bagi mengelakkan kedalaman sungai menjadi tohor. Oleh itu, dewasa ini tebing-tebing sungai kelihatan sentiasa dalam keadaan bersih dan airnya mengalir deras. Sekiranya adapun, hanya tertumpu kepada kegiatan penternakan seperti lembu dan kambing secara kecil-kecilan di mana menggunakan kawasan lapang berhampiran tebing sungai sebagai padang ragut sementara. Ironinya, pada suatu masa dahulu terdapat penanaman yang berbeza dan tidak dijalankan lagi pada masa kini iaitu padi yang diusahakan oleh petani daripada etnik Jawa dan Bugis serta kaum cina terutamanya di tebing Sungai Sanglang dan kampung yang berhampiran dengan Sungai Ayer Baloi.

Tanaman padi di Mukim Ayer Baloi ini telah dijalankan sejak tahun 1920-an sehingga tamatnya perang dunia kedua. Selepas tarikh tersebut kegiatan penanaman padi sudah tidak dijalankan lagi kerana tanahnya sudah tidak sesuai untuk tanaman padi disebabkan tanah gambutnya mulai kering dan tidak dapat menakung air. Oleh itu, petani merasakan bahawa tanaman tersebut adalah merugikan jika dibandingkan dengan tanam-tanaman yang lain. Lebih lebih lagi apabila kerajaan tidak menggalakkan penanaman padi huma tetapi sebaliknya kemudahan dan berbagai-bagai jenis keperluan ditawarkan kepada penanam-penanam padi sawah sahaja. Ironinya, melalui kajian terhadap surat-surat tersebut menceritakan hakikat yang sebenarnya.3.1. Fail CLR Kukup 183/29.

CLR Kukup 183/29 yang bertarikh 29 April 1929 adalah merupakan surat permohonan yang diajukan oleh Penghulu Hussin bin Abd Latif kepada Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup untuk aktiviti penanaman padi di Kampung Parit Panjang berhampiran Tebing Sungai Ayer Baloi. Penghulu Hussin ialah Penghulu pertama bagi Mukim Ayer Baloi setelah Zon Sanglang bergabung dan menjadi salah satu daripada kawasan jajahan dalam Mukim Ayer Baloi pada tahun 1925. Beliau telah dilantik sebagai Penghulu Mukim Ayer Baloi dari Tahun 1925 hingga Tahun 1952. Oleh itu, tempoh kajian surat permohonan dan kebenaran penanaman padi di Mukim Ayer Baloi dari Tahun 1929 hingga Tahun 1934 adalah bawah pengurusan Penghulu Hussin bin Abd. Latif. (Rujuk Rajah 1).

Surat ini diajukan kepada Tuan Pemungut Hasil Tanah Kukup. Melalui surat tersebut, Penghulu Hussin menyatakan, Tuan, adalah saya dengan hormatnya mengirimkan bersama-sama ini senarai nama orang-orang yang memohon tanah hutan kerajaan di Parit Panjang, Ayer Baloi pada tujuan masing-masing itu kerana hendak membuat tempat bertanam padi. Sebagaimana senarai nama-nama yang saya kembarkan bersama-sama ini, yang demikian haraplah dengan ehsan dan peruntukan tuan dapat membenarkan permohonan ini. Para pemohon bersedia dan taat terhadap apa-apa bayaran yang ditetapkan oleh kerajaan. Yang demikian, diharapkan hasil bagaimana permohonannya itu. Demikianlah tabik juga adanya. (Rujuk lampiran 1).

Bersama surat permohonan tersebut, Penghulu Husin telah melampirkan pelan kedudukan dan keluasan tanah yang dipohon. (Rujuk lampiran 2) Tanah yang dipohon adalah seluas 399 ekar dan setiap pemohon akan diperuntukkan tanah seluas tiga ekar untuk setiap orang . Pelan tanah yang memanjang dan menganjur dari Barat Daya ke Timur Laut hanyalah lakaran kasar tanpa menunjukkan persempadanan untuk setiap tiga ekar tanah mengikut hak pemilikan kerana persempadanan dilakukan menurut budi bicara Penghulu melalui pemuafakatan. Tanah terbahagi

RAJAH 1

SENARAI NAMA PENGHULU MUKIM AYER BALOI

Penghulu Mukim Ayer BaloiPenghulu Sanglang

Sebelum 1925Sebelum 1925

1. Muhamad Tahir b. Kesang1. Abd. Manan

(1885 - 1910)( 1855 - 1912 )

2. Abu Bakar b. Muhamad Tahir2. Abdullah b. Abd. Manan

(1910 - 1912 )( 1912 - 1925 )

3. Muhamad Tahir b. Kesang

( 1912 - 1914 )

4. Yamun b. Abu Bakar

( 1914 - 1925 )

Selepas 1925

5. Husin b. Abdul Latiff ( 1925 - 1952 )

6. Ibrahim b. Yamun ( 1953 - 1973 )

7. Sirat b. Haji Safuan ( 1974 - 1984 )

8. Tahir b. Nordin (1984 - 1986 )

9. Omar (1986 - 1988 )

10. Abd. Rahman b. Mohsin (1988 1990)

Sumber : Rudiah Sanwikarto, Sejarah Mukim Ayer Baloi hingga 1990-an,

Tesis Jabatan Fakulti Sains Kemasyarakatan, UKM, Bangi 1995/96, h. 40.

kepada dua bahagian secara bersebelahan dengan tanah tersebut seluas 300 ekar bawah pendaftaran CLR Kukup 183/29 dan juga terdapatnya kawasan penanaman padi seluas 99 ekar bawah pendaftaran CLR Kukup 184/29.

Surat permohonan daripada Penghulu Hussin telah mendapat perhatian daripada Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup. Oleh kerana tanah yang dipohon merupakan tanah hutan maka pegawai tersebut kemudiannya telah memanjangkan permohonan beliau kepada Pegawai Perhutanan yang bertanggungjawab atas pemeliharaan hutan di dalam daerah Johor Bahru melalui surat rasmi yang bertarikh 24 Julai 1929 untuk mendapatkan kebenaran dan kepastian sekiranya terdapat apa-apa bantahan terhadap permohonan ini. (Rujuk lampiran 3). Antara lain, pada perkara pertama suratnya menyatakan, Tuan, saya dengan segala hormatnya ingin memberitahu bahawa saya telah menerima permohonan atas tanah hutan seluas 399 ekar untuk tujuan penanaman padi yang sesuai dengan kehendak C.L & Ms ( Commisioner of Lands, Mines and Survey ) yang terkandung dalam surat pengumuman 983/26 seperti yang telah dicetak dan diedarkan.

Seterusnya, pada perkara kedua dan ketiga, beliau menyatakan bahawa tanah hutan di Sanglang boleh dirujuk terus melalui Penghulu Hussin bin Haji Abdul Latiff. Bersama surat ini dikembarkan pelan lokasi kawasan yang dipohon untuk makluman pegawai tersebut. Oleh kerana permohonan ini melalui saluran yang benar iaitu dengan sokongan penghulu maka usaha mereka mendapat perhatian daripada pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungjawab. Sehubungan dengan itu, satu lagi surat rasmi telah ditulis oleh Pegawai Perhutanan yang bertanggungjawab atas pemeliharaan hutan di dalam daerah Johor Bahru yang ditujukan kepada Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup pada tanggal 28 Ogos 1929 sebagai surat balasan dengan menyatakan, Tuan, dengan segala hormatnya merujuk surat permohonan CLR Kukup 183/29 dan untuk memberitahu bahawa tiada bantahan daripada saya untuk memindah milik. (Rujuk lampiran 4).

Berdasarkan keizinan daripada Pegawai Perhutanan yang bertanggungjawab atas pemeliharaan hutan di dalam daerah Johor Bahru, Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup telah mengajukan pula surat pemberitahuan kepada Pesuruhjaya Tanah dan Galian, Johor Bahru pada tarikh 7 September 1929. (Rujuk lampiran 5). Antara kandungan dalam surat tersebut menyatakan, Dengan sukacitanya saya ingin memaklumkan kepada tuan tentang permohonan Penghulu Hussin yang mewakili seratus tiga puluh tiga penduduk kampung untuk penanaman padi di Mukim Ayer Baloi dan setiap pemohon akan diperuntukkan tanah seluas tiga ekar. Tanah ini terletak di dalam kawasan hutan dan Pegawai Pemeliharaan Perhutanan tidak membantah untuk melaksanakan proses memindah milik atas tanah kerajaan yang dipohon kepada penduduk setempat. Sekiranya tuan bersetuju, saya akan mengusulkan untuk memproses dan mengeluarkan lesen pekerjaan bersifat sementara dengan sewa berjumlah RM0.60 seekar.

Lanjutan daripada pertimbangan yang telah dicapai oleh pegawai-pegawai yang bertanggungjawab seperti yang telah dibincangkan tadi maka surat kebenaran yang mengandungi syarat-syarat tertentu telah dikeluarkan kepada setiap pemohon. Contohnya, CLR Kukup 183/29 yang bertarikh 15 Oktober 1929 adalah merupakan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Kukup kepada salah seorang daripada seratus tiga puluh tiga orang pemohon dari Kampung Ayer Baloi. (Rujuk lampiran 6). Sebenarnya, terdapat seratus tiga puluh tiga surat kebenaran seumpama ini kerana setiap orang pemohon telah mendapat surat yang sama untuk simpanan masing-masing kerana tanah yang diberi bukannya hak milik kekal tetapi sebaliknya perlu diperbaharui setiap tahun dan sekiranya pemohon tidak berupaya mengerjakan tanah atau tidak dapat membayar cukai maka tanah boleh dipindah milik kepada orang lain dengan keizinan Pegawai Pemungut Hasil Tanah Kukup melalui sokongan Ketua Kampung atau Penghulu.

Bersama-sama surat ini juga dikepilkan senarai nama seratus orang pemohon sebagai rujukan. Masalahnya, nama-nama yang terdapat dalam senarai tersebut sukar dibaca dan hanya beberapa nama sahaja yang boleh ditafsirkan. (Rujuk lampiran 7). Contohnya, surat yang bernombor 38407 dikeluarkan kepada pemohon yang bernama Sarbini bin Sidek di mana namanya tertulis pada bilangan keenam. Manakala surat yang bernombor 38451 dikeluarkan kepada pemohon yang bernama Mohammad Yusuf bin Hamzah di mana namanya tertulis pada bilangan kelima puluh tujuh daripada keseluruhan senarai nama seratus tiga puluh tiga orang petani yang memohon kebenaran untuk menanam padi secara beramai-ramai.

Saudara Sarbini dan saudara Mohammad Yusuf serta pemohon-pemohon lain telah mendapat kebenaran menduduki tanah yang telah ditentukan seluas tiga ekar untuk setiap orang di Parit Panjang bagi penanaman padi sehingga akhir bulan Disember tahun tersebut dengan syarat telah membayar sewa berjumlah RM1.80 setahun iaitu RM0.60 bagi setiap ekar tanah seperti yang disebut dalam surat kebenaran. Di samping itu, saudara Sarbini dan rakan-rakannya perlu akur dengan syarat-syarat yang termaktub di dalam Peraturan tanah bagi tahun 1910. Jika diteliti dengan terperinci, petani sudah pastinya menghadapi masalah dengan bayaran yang dikenakan kerana surat kebenaran dikeluarkan pada bulan Oktober dan berakhir pada bulan Disember. Tempoh yang diberi hanya tiga bulan sedangkan tanaman padi hanya mengeluarkan hasil setelah tujuh bulan. Sekiranya petani mula menanam pada bulan Oktober maka mereka akan menuai hasilnya pada bulan April tahun berikutnya.

Secara keseluruhannya, nama-nama yang terdapat di dalam surat tersebut adalah didominasi oleh petani-petani daripada golongan kaum lelaki. Namun begitu, terselit juga nama petani wanita dengan anggaran nisbah 1 : 20. Antaranya, seperti Mutiah binti Abdul Rahman yang tercatat namanya pada bilangan ke-36 dan Samirah binti Muhammad yang tercatat namanya pada bilangan yang ke-52. Berkemungkinan besar, petani wanita bernama Mutiah dan Samirah ini adalah ibu tunggal yang mengusahakan sendiri tanahnya untuk mencari nafkah. Selain itu, kedapatan juga petani wanita yang menjadi ketua keluarga apabila suami atau anak lelaki mereka tidak berkemampuan untuk turut serta.

Selain itu, terdapat juga kelompok penanam padi yang terdiri daripada satu keluarga seperti hubungan adik beradik yang berpakat untuk bersama-sama mengajukan permohonan. Antaranya, keluarga Haji Nor yang tercatat pada bilangan 1 dan 2 iaitu Haji Alias dan Sarip; keluarga Guna yang tercatat pada bilangan 7 dan 8 iaitu Kasan Maruf dan Abdul Karim; keluarga Abdul Muin yang tercatat pada bilangan 16 dan 17 iaitu Hamim dan Halil; keluarga Mohammad Han yang tercatat pada bilangan 41 dan 42 iaitu Sugiran dan Moh; anak-anak Haji Sidek yang tercatat pada bilangan 58, 59 dan 60 iaitu Lan, Ahmad dan Haji Adan serta keluarga Haji Kasan yang tercatat pada bilangan 74 dan 75 iaitu Mat Sir dan Samiran. Catatan ini sekadar menyebutkan beberapa nama sahaja sebagai contoh.

Pada tahun-tahun kajian, Mukim Ayer Baloi terletak di bawah pengawasan Pejabat Tanah Kukup kerana dahulunya pusat pentadbiran daerah Pontian adalah di Kukup Laut berhampiran pelabuhan Kukup yang ada sekarang. Seluruh penduduk di daerah Pontian dikehendaki membayar cukai tanah ke atas hasil-hasil tanaman (termasuk padi) mereka yang berpusat di Kukup. Mulai tahun 1926, tanah-tanah konsesi Kukup ditadbir oleh Pegawai Pemungut Hasil Tanah. Pegawai Pemungut Hasil Tanah yang pertama untuk Kukup ialah Encik Wan Hussein b. Endut. Bayaran cukai tanah ialah sebanyak 0.60sen seekar tanpa mengira jenis tanaman yang diusahakan sama ada kelapa, pinang, nanas, dusun atau padi. Contohnya, penanam padi di Kampung Ayer Baloi dikenakan bayaran berjumlah RM1.80 untuk tiga ekar tanah yang dibenarkan mengikut catatan dalam CLR Kukup 183/29.

Tanah yang telah dikurniakan ini tidak boleh diserahkan, dipindahmilikkan atau dijualkan kepada bangsa lain dengan apa cara sekalipun. Peraturan dan syarat ini dikuatkuasakan bagi mengelakkan tanah rizab Melayu tergadai kepada bangsa bukan Melayu terutamanya Cina kerana pada ketika itu kedapatan orang Melayu atau pun Jawa memajakkan tanah mereka untuk diusahakan oleh kaum Cina. Kebenaran ini juga boleh dibatalkan pada bila-bila masa sekiranya berlaku pelanggaran syarat atau perubahan dasar dengan tiada dikenakan apa-apa bayaran oleh pegawai-pegawai kerajaan yang dipertanggungjawabkan melalui Pejabat Tanah Daerah. Oleh kerana setiap orang petani mendapat sebidang tanah seluas tiga ekar, maka kesimpulannya terdapat seluas 399 ekar tanah yang diusahakan untuk penanaman padi pada tahun 1929 di Parit Panjang berhampiran Sungai Ayer Baloi.

Jelasnya, penanaman padi ini dijalankan secara meluas dan berkelompok kerana adat penduduk kampung yang mengamalkan semangat bergotong-royong bagi menjayakan sesuatu aktiviti. Lebih-lebih lagi, kegiatan pertanian secara tradisional memerlukan tenaga yang ramai kerana ketiadaan teknologi pertanian moden untuk memudahkan proses penanaman sehinggalah ke proses pemasaran hasil tanaman. Walaupun pada pengetahuan umum, penanaman padi di kawasan ini merupakan penanaman sara diri namun terdapat juga sistem pertukaran barang yang menggunakan beras sebagai barang pertukaran untuk mendapatkan barangan harian ataupun peralatan penanaman itu sendiri seperti benih dan baja. Namun begitu, pembinaan jalan raya yang menghubungkan Ayer Baloi dengan pekan Pontian Kecil membolehkan hasil tanaman padi dipasarkan kepada penduduk di sekitarnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dokumen yang dikaji, populasi etnik Jawa lebih ramai membuka tanah untuk penanaman padi berbanding populasi kaum lain seperti etnik Bugis dan kaum cina dalam aktiviti penanaman padi di kawasan tersebut. Buktinya, nama-nama penanam padi di Parit Panjang seperti Haji Ilias bin Haji Nor, Haji Falil, Safar, Saniman, Haji Muhd. Soleh, Sarpan, Sarbini, Muhammad Yusuf, Kasan, Jemain, Sufaat, Soleh, Sugiran, Suradi, Baharom, Mutiah, Samirah, Rasipan dan ramai lagi sememangnya identiti bagi etnik Jawa. Kenyataan ini tidak boleh dinafikan, lebih-lebih lagi sistem parit yang digunakan itu sendiri sering dikaitkan dengan orang Jawa dengan mengidentitikan bahawa kampung-kampung yang diawali dengan perkataan parit adalah kampung orang Jawa atau kampung yang dibuka oleh orang Jawa.

Walaupun Surat kebenaran telah dikeluarkan, namun hakikatnya tugas Penghulu Hussin tidak bernoktah di sini sahaja kerana beliau perlu menyelesaikan segala masalah yang timbul antara anak buahnya bukan hanya dalam hal permohonan tetapi juga pemilikan dan pertukaran hak milik tanah yang sedang diusahakan. Misalnya dalam surat aduan bertarikh 24 Ogos 1931 yang ditulis oleh Penghulu Hussin apabila berlakunya permohonan untuk memindah milik antara anak buahnya. (Rujuk lampiran 8). Surat pertama menyatakan pertukaran nama pemilik daripada daftar 531/29 iaitu Mohamad Seh yang memohon supaya dibaharukan lesennya dengan menukarkan nama kepada Jamal bin Kecik kerana katanya dia tidak lagi berupaya untuk mengusahakan tanah kurniaan itu. Begitu juga halnya dengan pemilik daripada daftar 532/29 iaitu Kasban yang memohon supaya dibaharukan lesennya dengan nama pemilik baru iaitu Rusniah binti Samat.

Begitu juga dengan tugas-tugas memantau yang perlu dilaksanakan oleh Penghulu Hussin terhadap aktiviti yang dijalankan oleh anak-anak buahnya atas tanah yang dikurniakan agar tidak berlaku penyelewengan. Oleh itu, beliau sentiasa turun padang dan mendekatkan dirinya dengan penduduk kampung. Buktinya, beliau menulis kenyataan berbentuk laporan untuk kedua-dua kawasan yang dipohon melalui CLR Kukup 183/29 dan CLR Kukup 184/29 setelah membuat pemantauan pada tanggal 10 Oktober 1931 iaitu setelah dua tahun berlangsungnya aktiviti penanaman padi di atas tanah yang dipohon. (Rujuk lampiran 9).

Laporan berdasarkan CLR Kukup 183/29 dan 184/29, bahawa pemeriksaan telah dijalankan di Kampung Parit Lancang dan Kampung Parit Limin. Penghulu Hussin mendapati kebanyakan tanah sudah dibersihkan dan kerja-kerja penanaman padi telah dilaksanakan di samping pembinaan parit-parit dan jalan-jalan perhubungan. Namun begitu, beliau mendapati ada dua orang petani yang mengusahakan penanaman pinang sebagai tanaman sampingan di atas jalur antara batasan tanaman padi di Parit Lancang. Tindakan dua orang petani ini adalah salah kerana menanam tanaman selain daripada padi tanpa kebenaran bertulis di atas tanah kurniaan tersebut. Penghulu Hussin telah mengambil tindakan dengan menasihati kedua-dua petani itu agar memberhentikan aktiviti tersebut. Mereka akur dan taat dengan arahan Penghulu Hussin tanpa mempersoalkannya. Namun begitu, timbul pula masalah tanah gambut yang kurang subur untuk penanaman padi di Kampung Parit Limin. Oleh itu, beberapa tindakan susulan perlu dilaksanakan dan diajukan kepada Pejabat Tanah Kukup untuk membantu para petani di sana.

Seperkara lagi, hal pembayaran cukai dan tindakan memperbaharui lesen pada setiap tahun amat dititik beratkan oleh Penghulu Hussin agar anak-anak buahnya sentiasa mematuhi syarat-syarat yang ditentukan untuk mengelakkan daripada kehilangan hak atas tanah kurniaan. Dalam laporannya, beliau mencatatkan bahawa pada tahun 1929 semua petani di kedua-dua kampung telah membayar cukai tanah mengikut tarikh dan jumlah yang ditentukan. Namun begitu, pada Tahun 1930 dan Tahun 1931 hanya lima puluh peratus daripada petani yang memohon untuk mengikuti aktiviti penanaman padi di kedua-dua kampung bertindak untuk memperbaharui lesen dan sekali gus membayar cukai. Tindakan lima puluh peratus lagi petani yang engkar amat mendukacitakan Penghulu Hussin seperti katanya, Saya berasa amat susah hati kerana tidak dapat mengumpulkan semua orang kerana masing-masing sibuk mencari nafkah. Pada pandangannya, beliau perlu mengumpulkan semua petani pada satu masa dan tempat untuk mengambil kata sepakat berhubung perkara tersebut.

3.2. Fail CLR Pontian 215/30.

Surat tersebut merupakan surat permohonan yang terkandung dalam jadual satu peraturan dua oleh seorang petani berbangsa cina iaitu saudara Leo Tan yang telah memohon untuk mengusahakan penanaman padi di atas tanahnya sendiri. Surat ini dihantar oleh saudara Leo Tan pada 14 Ogos 1930 dan diterima oleh Pemungut Hasil Tanah Pontian pada 21 Ogos 1930. Saudara Leo Tan memohon untuk menanam padi di atas sebidang tanah miliknya seluas lima ekar yang berhampiran dengan Sungai Sanglang. (Rujuk lampiran 10).

Menurut surat permohonan ini, saudara Leo Tan tinggal di Bandar atau Pekan Sanglang. Dia menyatakan bahawa segala surat-menyurat yang berkaitan dengan permohonan ini boleh dihantarkan kepadanya melalui pos ke alamat yang dinyatakan. Surat ini berbeza dengan dua surat yang dikaji kerana ditujukan ke CLR Pontian dan bukannya CLR Kukup. Dia juga memahami dan berjanji akan mematuhi syarat-syarat pembayaran yang perlu dilunaskan untuk segala yang berkaitan dengan pengurusan yang meliputi keperluan untuk meluluskan permohonannya seperti cukai, kos penyelenggaran dan demarcation yang bermaksud penandaan dan penentuan batas atau sempadan serta pembatasan atau pemisahan yang perlu dilaksanakan oleh pegawai dari Pejabat Tanah Pontian.

Hakikatnya, saudara Leo Tan telahpun menjalankan aktiviti penanaman padi terlebih dahulu barulah dia memajukan permohonan kepada pejabat tanah. Perkara ini lazim dilakukan oleh petani-petani di kawasan ini. Selain itu, kaum Cina yang diwakili oleh saudara Leo Tan merupakan peniaga yang lazimnya menjadi pembekal peralatan pertanian dan keperluan penanaman. Kaum cina bukan sahaja mengusahakan penanaman padi secara individu dengan keluasan yang lebih besar malah mengambil pekerja-pekerja daripada kalangan orang-orang Melayu untuk bekerja dengan mereka. Menurut pandangan orang tua-tua tempatan, orang-orang Cina di Ayer Baloi pada mulanya hanya mempunyai bidang tanah yang kecil dan ada yang tidak bertanah langsung. Mereka yang tidak bertanah akan memujuk orang-orang Melayu agar membenarkan mereka menumpang bertanam sayur.

Setelah tanah itu mengeluarkan hasil, pemilik tanah biasanya dibenarkan mengambil seberapa banyak untuk mereka makan. Daripada hasil jualan tersebut membolehkan mereka mengumpulkan wang dan meminta lagi supaya kawasan yang diusahakannya itu dapat diperluaskan sedikit. Mereka juga menggalakkan orang-orang Melayu untuk meminjam wang. Dari masa ke semasa hutang tersebut semakin banyak dan tidak dapat dibayar balik. Oleh kerana keadaan ekonomi yang sempit, pemilik tanah itu biasanya tidak mampu untuk membayar balik hutangnya. Akhirnya, tanah itu terpaksa ditukarkan miliknya kepada orang Cina yang menumpang. Daripada keadaan inilah caranya ramai orang Cina di Ayer Baloi mendapatkan tanah untuk dijadikan kawasan petempatan dan kegiatan pertanian mereka. Lebih malang, apabila akhirnya banyak kawasan tanah orang Melayu berpindah tangan kepada bangsa asing.

Menurut Haji Selamat b. Toyemen, dia sendiri pernah berpengalaman bekerja menanam padi di atas tanah milik cina yang dikenali sebagai Cina So Hang yang terletak di Kampung Parit Sulaiman berdekatan dengan Sungai Sanglang dalam tahun 1940-an. Cina So Hang berasal dari Kampung Parit Limin mengusahakan tanah seluas 5 ekar untuk penanaman padi. Haji Selamat mendapat upah sebanyak RM3 satu hari. Manakala keperluan makan tengah hari ditanggung oleh majikannya seperti sajian bubur dan keledek untuk mengalas perut bagi mendapatkan tenaga. Jelasnya, kaum cina mengusahakan penanaman padi secara perseorangan dan tidak seperti kaum Melayu yang menjalankannya secara berkelompok.

3.3. Fail CLR Kukup 163/34.

Surat permohonan CLR Kukup 163/34, merupakan surat yang diajukan oleh bekas penghulu Jemaat bin Awang bagi mewakili anak-anak buahnya seramai 8 orang untuk memohon tanah di kawasan tebing Sungai Sanglang untuk penanaman padi. (Rujuk lampiran 11). Surat permohonan ini telah dihantar oleh bekas Penghulu Jemaat pada tanggal 23 Mac 1934 kepada Pemungut Hasil Tanah Kukup. Antara nama anak buah Penghulu Jemaat yang dapat dikesan ialah Sanuri, Gading bin Kadim dan Sahnan. Jika diteliti daripada nama-nama tersebut, kita boleh mengagak bahawa bekas Penghulu Jemaat dan anak-anak buahnya ini berketurunan Bugis.

Namun begitu, permohonan ini tersimpan begitu sahaja selama setahun lebih di pejabat tanah tanpa diproses sehingga surat ini mendapat perhatian daripada pegawai yang bertanggungjawab dan memberi maklum balas pada tarikh 30 November 1935. (Rujuk lampiran 12). Antara faktor yang menyumbang kepada fenomena ini adalah kerana tiada seorangpun daripada pemohon yang disenaraikan datang sama ada untuk menguruskan hal surat menyurat mahupun mendapatkan penjelasan seperti yang dinyatakan di dalam surat. Walau bagaimanapun, pegawai yang bertanggungjawab telahpun diarahkan untuk turun padang dengan datang meninjau ke kawasan berkenaan.

Berdasarkan catatan yang bertarikh 9 Disember 1935, pegawai pejabat tanah mendapati bahawa kawasan tersebut terletak di Batu 35, jalan di antara Kulai dengan Air Hitam. (Rujuk lampiran 13). Oleh hal yang demikian, pemohon dikehendaki membuat permohonan semula kepada Pemungut Hasil Tanah, Johor Bahru. Dengan itu, menurut catatan yang ditulis pada 19 Disember 1935, pegawai tersebut telahpun menemui Penghulu Jumaat bin Awang untuk memaklumkan kepada beliau bahawa pelan lokasi tanah yang diajukan sebenarnya terletak di dalam tanah jajahan daerah Johor Bahru. Lanjutan daripada catatan tersebut, satu lagi surat peringatan telah dikirimkan kepada bekas Penghulu Jemaat bin Awang pada tarikh 24 Disember 1935 untuk memaklumkan perkara tersebut. (Rujuk lampiran 14)

Menurut Haji Selamat bin Toyemen, kemungkinan besar kawasan yang dipohon oleh bekas penghulu Jemaat ini terletak di Hulu Sungai Sanglang. Oleh itu, tidak salah jika dikatakan kawasan ini terletak di sempadan antara daerah Pontian dengan daerah Batu Pahat. Tidak mustahil sekiranya kaum Bugis mencari tapak penanaman padi lebih jauh ke pedalaman berbanding dengan petani Jawa. Ini kerana, petani Jawa datang lebih awal dan telah bertapak di kawasan yang lebih strategik. Lebih-lebih lagi, jumlah petani Jawa secara keseluruhannya lebih ramai berbanding petani Bugis. Seterusnya, catatan bertarikh 23 Disember 1935 menyatakan bahawa surat menyurat kepada bekas Penghulu Jemaat bin Awang boleh dihantar melalui Penghulu Ismail pada tanggal 5 Januari 1936.

Surat permohonan ini mempunyai persamaan dengan surat kedua kerana lokasinya berhampiran tebing Sungai Sanglang. Seperti Saudara Leo Tan, bekas Penghulu Jemaat bersama anak-anak buahnya juga telah menjalankan terlebih dahulu aktiviti penanaman sebelum memohon kebenaran daripada Pejabat Tanah Kukup. Walau apapun, aktiviti penanaman padi telah dijalankan sepanjang tempoh menunggu kelulusan daripada pejabat tanah. Sementara itu, penghulu memainkan peranan yang penting sebagai fasilitator kepada anak-anak buahnya dari segi pembahagian tanah dan khidmat nasihat sekiranya berlaku pertikaian antara pemohon sehinggalah mendapat hak ke atas tanah yang diperuntukkan secara rasmi. Keadaan ini boleh disamakan dengan peranan yang telah dilaksanakan oleh Penghulu Hussin bin Hj. Abdul Latiff terhadap anak-anak buahnya di Kampung Parit Panjang, Parit Limin dan Parit Lancang.

Buktinya bersama-sama surat permohonan telah disertakan dengan pelan lokasi kawasan penanaman padi. (Rujuk peta 2). Berdasarkan pelan yang disertakan, kawasan bertanam padi terletak di Lot 1058 dengan keluasan perimeter lima puluh lima kaki tambah seratus sepuluh kaki di sepanjang tebing Sungai Sanglang dan di Lot 1891 yang ditanam bersama tanaman pokok pinang. Penanaman pokok pinang tersebut sebenarnya salah di sisi undang-undang kerana tanah tersebut merupakan tanah kurnia untuk penanaman padi sahaja. Keadaan ini sama seperti hal yang terjadi di Kampung Parit Lancang. Selain itu, kawasan padi ini bersebelahan dengan Lot 1892, Lot 1893 dan lot 2588 yang telah ditanam dengan pokok getah. Jika hendak dibandingkan dengan jenis tanaman lain, kawasan penanaman padi ini lebih kecil dan terletak betul-betul di tebing Sungai Sanglang.

Sebagai ketua kampung, Penghulu Jemaat sama seperti Penghulu Husin bin Hj. Abd. Latif memainkan peranan sebagai penasihat, penunjuk ajar dan pembimbing kepada masyarakat kampung ke arah kemajuan dan keamanan kampungnya. Lebih-lebih lagi, jawatan penghulu adalah satu jawatan tradisi yang mulia dan terhormat serta dipandang tinggi oleh masyarakat. Dalam proses pembukaan tanah, kawasan yang hendak dibuka perlu dipohon melalui Penghulu yang diberi kuasa oleh kerajaan untuk menentukan kawasan yang dibenarkan sahaja. Kelulusan daripada Pejabat Tanah adalah sangat penting untuk mengelakkan daripada pelanggaran undang-undang tanah 1910. Setiap tanah yang ingin diterokai hendaklah dipastikan terlebih dahulu sebelum diusahakan. Sekiranya tanah diusahakan dahulu tanpa kelulusan, peneroka berkenaan boleh didakwa sebagai menceroboh tanah kerajaan. Oleh itu, peranan penghulu mahupun ketua kampung sangat penting untuk memberi penerangan kepada anak buahnya agar sentiasa mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Berbeza dengan peranan orang Bugis dari sudut pandangan Haji Selamat. Seperti orang Jawa, orang-orang Bugis juga meneroka dan membuka kebun mengikut kelompok dari daerah asal mereka semasa di Tanah Bugis, Sulawisi. Di Sanglang umpamanya, kebanyakannya didiami oleh orang-orang Bugis dari Wajo. Menurutnya, orang Bugis juga turut menanam padi sebagai pertanian sara diri, namun kaum Jawa dan Bugis begitu kurang berinteraksi kerana kaum Bugis lebih agresif dan kurang bercampur dengan orang Jawa. Manakala kaum Jawa lebih berlembut dan bersabar. Malah ada kalanya wujud pertelingkahan antara mereka apabila memiliki tanah yang bersebelahan. Lebih-lebih lagi, kedatangan orang-orang Jawa lebih awal daripada kedatangan orang-orang Bugis. Jadi, tidak salah jika orang-orang Jawa yang mendominasi kawasan penanaman padi pada ketika itu.

Berbalik kepada perbincangan tentang pembukaan tanah, En. Jayus b. Ngasipan mengatakan bahawa pada ketika itu kerajaan negeri Johor menjalankan dasar Bumi Hijau. Di mana, penduduk digalakkan bercucuk tanam di sepanjang Sungai Sanglang untuk menjadi tanaman penutup bumi dengan syarat tiada aktiviti yang boleh mengakibat hakisan tanah dan tebing sungai runtuh. Oleh kerana beras menjadi makanan asasi penduduk maka mereka mengambil keputusan untuk menanam padi. Pengalaman menanam padi huma atau tugal ini juga merupakan warisan turun temurun yang dibawa oleh masyarakat Jawa yang datang dari tanah seberang. Oleh itu, mereka cuba menyesuaikan pengalaman yang ada dengan suasana yang dihadapi di sini.

Seperkara lagi, tiada had keluasan yang ditentukan untuk setiap penanam padi tetapi sebaliknya mengikut kemampuan iaitu sesiapa yang rajin dan kuat maka mendapat keluasan yang lebih. Di sinilah Penghulu memainkan peranan sebagai orang tengah agar tiada perselisihan antara penduduk dalam penentuan kawasan. Perkataan Penghulu adalah kata dasar hulu yang bererti sebagai pangkal, permulaan, kepala atau ketua. Dengan imbuhan awalan peng maka terbentuklah perkataan penghulu yang boleh ditafsirkan sebagai pemula, pengasas, perintis atau pelopor. Ini merujuk kepada peranan penghulu pada zaman itu yang mengetuai penerokaan dan pembukaan sesebuah kawasan.

Walaupun dalam Undang-undang Tanah 1910 kuasa penghulu dalam mengagih-agihkan tanah telah ditarik balik lalu diserahkan kepada Pemungut Hasil Tanah namun di peringkat kampung, penghulu masih berkuasa dan lazimnya melalui penghulu inilah surat permohonan diajukan seperti yang dilakukan oleh bekas penghulu Jemaat bin Awang dan Penghulu Hussin bin Hj. Abdul Latiff yang mewakili anak-anak buah mereka. Mengikut undang-undang ini juga, Penghulu merupakan kakitangan kerajaan yang bergaji. Bermula pada tahun 1925, Kampung Sanglang yang sebelumnya mempunyai penghulunya sendiri telah disatukan dan menjadi sebahagian daripada mukim Ayer Baloi dan di bawah penguasaan Penghulu Ayer Baloi iaitu Penghulu Hussin bin Hj. Abdul Latiff.

Perbincangan dalam tajuk ini tidak boleh lari daripada mengiktiraf jasa dan khidmat yang dihulurkan oleh penghulu pada ketika itu sebagai ketua atau pengawas yang menjaga sesebuah kampung bagi mewakili Raja atau Sultan yang memerintah negeri. Sebagai Wakil Raja Penghulu bertanggungjawab kepada raja. Penghulu mempunyai kuasa mengagih-agihkan tanah, memungut cukai, meluaskan kawasan perkampungan dan melantik naib atau penolongnya. Lebih dari itu, Penghulu adalah penasihat, penunjuk ajar dan pembimbing masyarakat kampung ke arah kemajuan dan keamanan kampung. Di samping itu, Penghulu juga bertindak menyampaikan maklumat daripada pihak kerajaan kepada rakyat dan sebaliknya menerima pengaduan rakyat untuk disampaikan kepada pihak kerajaan melalui wakil rakyat. Di sisi lain, Penghulu juga membantu Ketua Kampung atau kawasan dan orang-orang kampung dalam urusan tentang tanah di Pejabat Tanah dan Daerah.

Tidak kurang pentingnya penghulu juga membantu menyelesaikan masalah-masalah yang tidak dapat diselesaikan oleh orang-orang kampung dengan Ketua Kampung termasuklah hal-hal peribadi. Sesungguhnya jawatan Penghulu adalah satu jawatan tradisi yang mulia dan terhormat serta dipandang tinggi oleh masyarakat. Amat tepat sekali ungkapan yang mengatakan bahawa, Penghulu adalah penyambung lidah rakyat dan kerajaan. Bukan itu sahaja, malah penghulu juga memainkan peranan sebagai pawang yang akan mengetuai beberapa acara tolak bala. Pada malam pembukaan tanah akan diadakan kenduri doa selamat ataupun Majlis Buka Bumi mengikut kepercayaan orang Jawa. Seterusnya, oleh kerana tiada teknik pengukuran tanah yang sistematik maka terdapat kawasan pelbagai bentuk dan susun aturnya. Tiada persempadanan secara rasmi tetapi hanya dengan tanda batasan. Adat bergotong-royong diamalkan dan kata sepakat diambil untuk menentukan kawasan. Penentuan ini menggunakan batas sebagai sempadan untuk setiap orang petani. Justeru itu, setelah semua pihak berpuas hati dengan hak milik sementara dan persempadanan maka bermulalah proses penanaman padi.3.4. Catatan Lokasi Dalam Surat Kajian

Secara umumnya, kawasan kajian berdasarkan surat tersebut meliputi Mukim Ayer Baloi, Pontian yang berada 14KM dari bandar Pontian, Johor bersebelahan dengan Mukim Sungai Pinggan di sebelah utara dan Mukim Api-api di sebelah selatannya. (Rujuk peta 3). Mukim ini terletak di kawasan tanah rata jenis gambut kerana berada di sepanjang pantai Selat Melaka. Kawasan ini dihubungkan dengan jalan raya ke pekan Pontian Kecil sejak tahun 1921 dan dengan Bandar Johor Bahru mulai tahun 1929 lagi.

Tambahan pula, dengan adanya pembinaan jalan raya dari Pontian ke Batu Pahat yang melalui kawasan Mukim Ayer Baloi pada tahun 1925 adalah merupakan titik permulaan pembaharuan-pembaharuan dalam aktiviti pertanian termasuklah penanaman padi. Di samping itu, perubahan dalam sistem ekonomi seperti penggunaan wang menggalakkan lagi perusahaan penanaman getah, kelapa, padi, nenas dan sebagainya. Oleh itu, akibat pembinaan sistem pengangkutan dan perhubungan moden seperti jalan raya telah menyebabkan hasil tanaman dapat dipasarkan dengan lebih cepat dan mudah. Lebih banyak kawasan penanaman padi dapat diusahakan dengan berlandaskan kaum Cina sebagai orang tengah untuk memasarkan hasil pertanian hingga ke Batu Pahat.

Mukim Ayer Baloi adalah terbahagi kepada 3 batang sungai utama iaitu Sungai Sanglang, Sungai Ayer Baloi dan Sungai Jelutung yang merentanginya dari Selat Melaka di bahagian Barat dan menganjur ke arah Timur. ( Rujuk Peta 4 ). Berasaskan kepada ketiga-tiga batang sungai ini menyebabkan munculnya tiga kawasan penting iaitu bahagian Kampung Jelotong, Kampung Ayer Baloi dan Kampung Sanglang. Bahagian-bahagian kampung-kampung ini juga mempunyai cabang-cabang yang diberi nama parit yang dihubungkan dengan jalan-jalan tambak tanah merah.

Cabang-cabang itu terbahagi kepada tiga bahagian. Pertama, Kampung Ayer Baloi yang meliputi cabang dari Kampung Parit Panjang hingga ke Kampung Parit Mohayat. Kedua, Kampung Jelotong yang meliputi cabang dari Kampung Parit Jelotong hingga ke Kampung Parit Kongsi. Ketiga, Kampung Sanglang yang meliputi cabang dari Kampung Parit Gantong hingga ke Kampung Parit Puteri Menangis. Sebahagian besar penduduk dari kampung-kampung yang tersebut di atas menjalankan aktiviti penanaman padi secara berkelompok.

Berdasarkan cerita lisan oleh generasi tua, pada suatu ketika dahulu ketiga-tiga batang sungai ini menjadi tumpuan peneroka-peneroka awal yang lazimnya membina penempatan mereka di samping menjalankan aktiviti pertanian sara diri serta memanfaatkannya sebagai jalan perhubungan. Jalan perhubungan melalui sungai adalah lebih afektif kerana penggunaan sampan berupaya membawa barangan yang lebih banyak jika dibandingkan dengan penggunaan jalan darat yang terpaksa menempuhi jalan bertanah gambut yang mudah becak dan rosak. Perbincangan seterusnya akan menjurus kepada dua batang sungai yang menjadi tumpuan dalam surat yang dikaji iaitu Sungai Sanglang yang terletak 9KM dari pekan Ayer Baloi dan Sungai Air Baloi yang terletak 1KM dari pekan Ayer Baloi adalah merupakan kawasan penanaman padi yang utama.

Kedua-dua sungai ini dikelilingi oleh beberapa buah kampung yang dikenali menerusi sistem perparitan kerana proses penerokaan dan pembukaan tanah bagi dijadikan kampung halaman adalah dengan membina parit besar. Antara nama kampung yang tercatat di dalam peta ialah kampung Parit Baran, Parit Serong, Parit Sanglang, Parit Rambai, Parit Sulaiman, Parit Limin dan Parit Batu Ampar terletak di sepanjang Sungai Sanglang. Manakala Kampung Parit Panjang, Parit Ali, Parit Hj. Abd. Karim dan Parit Mohyat dibangunkan di sepanjang Sungai Air Baloi. Susun atur atau pola petempatan secara berjajar terbentuk di sepanjang sungai dari kuala membawa ke hulunya.

Bertitik tolak daripada hasil kajian terhadap surat-surat yang dikaji, tidak lengkap rasanya jika tidak disertai dengan kajian terhadap aktiviti penanaman padi yang menjadi pokok utama dalam kajian surat tersebut. Oleh hal yang demikian, tiada salahnya jika kajian ini juga menyentuh tentang aktiviti penanaman padi untuk mengukuhkan lagi hujah-hujah yang telah dibincangkan pada bab-bab yang terdahulu. Oleh itu, diskusi seterusnya cuba menyelusuri aktiviti penanaman padi daripada proses memulakan penyemaian benih padi sehingga aktiviti pemasaran. Diharap dengan paparan realiti kehidupan penanam padi di Mukim Ayer Baloi, pengkaji dapat menyelami dan turut merasai cabaran dan jerit perih mereka. 3.5. Aktiviti Penanaman Padi Huma atau Tugal

Penanaman padi pada ketika itu hanya dijalankan setahun sekali. Ini kerana tanpa teknologi pertanian moden, pokok padi memerlukan tempoh selama enam atau tujuh bulan baru cukup matang untuk dituai. Oleh itu, dengan kata sepakat seluruh penduduk kampung maka mereka menanam padi secara berperingkat-peringkat. Di mana ada beberapa keluarga menanam padi terlebih dahulu dan selang beberapa bulan kemudian barulah diikuti oleh beberapa keluarga lagi yang memulakan penanaman padi. Dengan ini, bekalan padi dapat dikeluarkan secara berterusan dan terjamin tidak akan terputus bekalan beras penduduk kampung. Jelasnya, cara ini dapat memenuhi keperluan apabila padi dituai secara berperingkat-peringkat.

Di mukim Ayer Baloi, padi yang ditanam adalah daripada jenis padi huma dan padi tugal. Padi ini jenis kering iaitu padi yang ditanam di kawasan yang tanahnya mengandungi kurang air atau kawasan-kawasan yang kering. Menurut Hajah Kamsiah pula beberapa nama padi yang dikenalpasti pernah ditanam olehnya adalah seperti padi rotan, jarum mas, padi wangi, padi putih dan tanaman sampingannya iaitu pulut janggut yang mempunyai bau yang lebih wangi. Pada ketika ini, benih padi yang ditanam kurang baik berbanding dengan padi Malinja kerana mudah rosak akibat cuaca mahupun serangan makhluk perosak. Cara pertaniannya pula berasaskan kepada teknologi tradisional. Mereka masih lagi menggunakan cangkul , tajak, sabit, lembu, kayu tugal atau dalam bahasa Jawanya pencuk untuk membuat lubang bagi mengisi biji benih padi, ani-ani iaitu alat khas untuk menuai padi dan sebagainya.

Menurut Hajah Kamsiah lagi, lazimnya pada ketika ini penghulu memainkan peranan penting dalam menentukan tarikh penanaman. Kebanyakan penghulu di Mukim Ayer Baloi adalah merangkap pawang yang akan mengetuai sebarang majlis dan keraian. Dalam masyarakat Jawa terdapat kalendar yang menentukan hari-hari tertentu sama ada boleh atau tidak, baik atau buruk dan sesuai atau tidak sesuai sesuatu perkara yang hendak dilakukan. Hari-hari mengikut perkiraan dalam kalendar Jawa tersebut dikenali dengan nama-nama tertentu seperti Keliwon, Legi, Wageh, Paing dan Pon. Dalam kalendar Jawa hanya mengandungi lima hari sahaja iaitu kurang dua hari daripada hari-hari dalam kalendar Masihi iaitu tujuh hari seminggu. Oleh itu, pertembungan antara hari kalendar Jawa dengan hari-hari dalam kalendar Masihi mewujudkan makna tertentu.

Setelah pemilihan hari dilakukan, barulah penduduk kampung memulakan proses penanaman. Malahan, mengikut kepercayaan orang tempatan, petani-petani harus mematuhi arahan penghulu atau pawang kerana kemungkinan besar padi yang ditanam tidak akan menjadi atau akan musnah dimakan oleh tikus dan burung seandainya arahan pawang diingkari. Keadaan ini boleh disamakan dengan perbuatan melanggar pantang larang. Antara hari yang dikatakan baik untuk melakukan sesuatu pekerjaan ialah jika hari Isnin hingga Ahad yang bertembung dengan hari Wageh, Keliwon dan Legi. Manakala hari yang sempurna dan mendatangkan tuah ialah apabila hari Sabtu bertembung dengan hari Paing. Sebaliknya, hari Isnin hingga Ahad yang bertembung dengan hari Pon merupakan hari yang tidak baik untuk melakukan sesuatu pekerjaan yang penting dan perlu dielakkan.

Apabila urusan pemilihan tarikh telah dipersetujui maka kawasan yang diteroka ditebas menggunakan sabit rumput secara bergotong-royong. Setelah bersih, tanah digembur menggunakan cangkul atau bajak yang ditarik oleh lembu. Tanah yang bergumpal-gumpal dicincang menggunakan parang agar lebih peroi untuk memudahkan pembinaan batas dan penanaman benih kelak. Oleh kerana tiada pintu air yang dibina untuk mengalirkan air dari sungai ke tapak penanaman maka air diambil secara mencedok menggunakan cerek atau alat penyiraman yang dicipta sendiri oleh penanam untuk membasahkan lalu melembutkan tanah. Keadaan inilah yang menyebabkan kerja-kerja menyediakan batasan mengambil masa yang panjang.

Sumber air utama adalah dari Sungai Sanglang di samping mengharapkan air hujan yang turun sepanjang tahun. Seterusnya, batas-batas dibina secara berpetak-petak yang mempunyai keluasan 3 X 3 kaki persegi setiap satu. Petak-petak ini lebih kecil keluasannya berbanding dengan petak-petak padi sawah. Seiring dengan kerja-kerja menyediakan batasan dijalankan, benih-benih padi disemai di tapak semaian. Setelah benih padi cukup matang, maka anak padi dipindahkan ke batas. Tugas ini lazimnya digalas oleh kaum perempuan. Lubang-lubang pada batasan dibuat menggunakan kayu yang ditajamkan pada hujungnya atau dikenali sebagai pencuk. Nama padi huma atau tugal itu sendiri diperoleh daripada cara penanaman dengan menugal tanah menggunakan kayu pencuk untuk memasukkan anak padi.

Selepas penanaman anak padi dijalankan dengan sempurna, sekali lagi kerja-kerja mencedok air dari Sungai Sanglang dilakukan untuk aktiviti penyiraman. Namun begitu, ada ketikanya nasib penanam agak baik apabila berlakunya limpahan air banjir sewaktu air pasang besar dari perairan Selat Melaka atau limpahan air sungai pada musim hujan. (Rujuk peta 5). Namun begitu, sekiranya berlaku banjir sudah pastinya mendatangkan masalah kepada petani kerana jenis padi tugal ini tidak boleh ditenggelami air kerana boleh menyebabkan pokok padi mati. Sepanjang tempoh anak padi membesar, tugas-tugas membaja dijalankan sekali dalam masa dua minggu atau dua kali dalam masa sebulan. Kerja-kerja membersihkan batasan daripada ditumbuhi rumput-rumpai juga perlu dijalankan melalui pemerhatian agar anak padi dapat membesar tanpa bersaing dengan rumput untuk mendapatkan baja. Pada ketika itu tiada penggunaan racun rumput, dengan ini penanaman ini tidak menjejaskan kualiti air Sungai Sanglang.

Sementara menunggu pokok padi matang maka petani menjalankan penanaman lain seperti pisang, nanas dan sayur-sayuran. Mereka juga mendapatkan bekalan protin dengan menjala atau menangkap ikan di Sungai Sanglang. Bersebelahan kawasan penanaman padi, diusahakan juga tanaman lain seperti getah, pinang dan kelapa biasa sebagai tanaman utama untuk jualan. Oleh

kerana, penanaman padi dijalankan secara berperingkat-peringkat maka ada kalanya sewaktu padi membesar di suatu kawasan tetapi ada juga aktiviti penuaian dijalankan di kawasan penanaman

yang telah dimulakan lebih awal. Walaupun jenis tanaman lain tidak dibenarkan ditanam atas tanah kurniaan itu namun pengecualian diberikan kepada penanaman tanaman sementara dan jangka pendek seperti sayur-sayuran, jagung dan tebu.

Tiada penggunaan racun rumpai mahupun racun serangga kerana penjagaannya juga secara tradisional. Oleh itu, penanam padi di sini juga menghadapi masalah dengan serangan haiwan-haiwan perosak terutamanya tikus padi, burung dan belalang yang dikenali sebagai Walang Kunyit. Beberapa cara tradisional digunakan untuk mengatasi masalah haiwan perosak. Antaranya, penggunaan loceng tin iaitu tin yang diikat secara bersambung-sambung dan diikat dengan tali untuk menghalau kehadiran burung seperti burung pipit melalui bunyi-bunyian bising apabila tin itu digerak-gerakkan dengan menarik tali berulang-ulang kali. Cara yang paling popular ialah pemasangan orang-orangan di tengah-tengah sawah.

Haiwan perosak seperti tikus pula dihapuskan tanpa menggunakan racun tetapi sebaliknya dengan membela anjing peliharaan. Anjing-anjing ini dibiarkan berkeliaran di dalam kawasan sawah untuk memburu tikus. Selain itu, para petani memasang perangkap dan membunuh tikus yang berjaya ditangkap. Begitu juga dengan masalah Walang Kunyit di mana petani terpaksa memusnahkan pembiakan belalang ini daripada telurnya lagi. Namun begitu, Walang Kunyit ini boleh dijadikan bahan makanan kerana ada antara petani di sini memang menggemarinya kerana rasanya yang lemak seperti udang apabila dibakar dan mengeluarkan bau yang wangi. Walau bagaimanapun, keadaan ini sebenarnya tetap menjadi masalah besar kepada petani kerana cara-cara tradisional yang dilaksanakan sebahagian besarnya tidak memberikan kesan menyebabkan haiwan perosak terus membiak dengan cepat.

Selain serangan haiwan perosak, terdapat juga jenis-jenis penyakit tanaman yang menyerang pokok padi. Antaranya penyakit yang menyebabkan padi bertukar warna menjadi putih-putih dan bertompok-tompok. Serangan penyakit ini menyebabkan buah padi mudah kering lalu gugur sebelum cukup matang untuk dituai. Kedua-dua masalah ini iaitu serangan haiwan perosak dan serangan penyakit padi menjadi masalah utama dan penyumbang utama kegagalan penanam padi mendapatkan hasil tuaian yang lumayan. Akibatnya, para petani sering berputih mata. Malangnya, nasib penanam padi pada ketika itu kurang mendapat perhatian daripada pihak kerajaan tempatan. Dengan itu, tiada bantuan kerajaan secara khusus yang disalurkan sehinggalah selepas tahun-tahun 1950-an tetapi sejak tahun itu tiada lagi penanaman padi tugal sebaliknya digantikan dengan padi yang lebih lumayan hasilnya dan boleh ditanam dua kali setahun seperti padi Malinja. Keadaan ini mungkin berlaku kerana penanaman padi pada ketika itu hanyalah sebagai tanaman sara diri.

Oleh itu, penanam padi terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan bekalan benih, baja, racun dan termasuk peralatan penanaman daripada peniaga Cina yang lazimnya tinggal di kampung bersama-sama masyarakat Melayu. Peniaga Cina ini bukan sahaja menyediakan kemudahan belian secara tunai tetapi juga secara berhutang. Menurut Hajjah Kamsiah terdapat beberapa kisah petani Jawa yang sering berhutang tanpa menyedari hutang mereka bertambah dari sehari ke sehari. Akibatnya, hutang tidak mampu dibayar dan lebih malang untuk melangsaikan hutang itu mereka terpaksa menyerahkan tanah milik mereka kepada peniaga Cina sebagai cagaran. Kedapatan juga petani Jawa yang menjual padi mereka kepada peniaga Cina sebagai pertukaran barang untuk mendapatkan keperluan harian seperti gula, garam dan bahan makanan yang lain.

Sekiranya para penanam padi berjaya melepasi segala halangan selepas tujuh bulan berhempas pulas, maka sampailah tempoh matang buah padi untuk dituai. Selepas majlis kenduri selesai, satu mesyuarat diadakan untuk mendapatkan kata sepakat agar kerja-kerja menuai pada keesokan harinya berjalan lancar. Contohnya, pembahagian tugas mengikut kelompok dan jantina. Lazimnya, kaum wanita akan menyediakan makanan dan minuman untuk kaum lelaki manakala kaum lelaki menjalankan tugas-tugas yang lebih berat. Keesokan harinya, padi dituai menggunakan alat khas yang dicipta dan dibuat sendiri oleh penanam padi di sana yang dipanggil Ani-ani. (Rujuk rajah 2). Alat ini berupa sebilah pisau kecil yang

RAJAH 2

TAJUK: ANI-ANI ALAT YANG DIGUNAKAN UNTUK MENUAI PADI HUMA

tajam dan digapit dengan papan serta mempunyai pemegang kayu yang boleh diletakkan di celah antara jari telunjuk dengan jari hantu. Kelebihan alat ini ialah membolehkan petani memilih satu persatu tangkai padi yang benar-benar matang sahaja untuk dituai. Proses penuaian ini juga dijalankan secara bergotong-royong di mana semua yang terlibat menuai padi secara bergilir-gilir dari satu petak ke satu petak hingga selesai tanpa mengira tanah kepunyaan siapa.

Begitu juga sewaktu proses penghasilan beras dengan menggunakan lesung dan anak lesung yang diperbuat daripada kayu leban. Padi ditumbuk secara beramai-ramai di suatu kawasan lapang dan kemudiannya dianginkan untuk memisahkan antara hampa dengan beras. Aktiviti bergotong-royong ini menimbulkan suasana meriah di samping mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara

mereka. Namun begitu, ada juga antara penanam padi menghantar padi mereka kepada peniaga Cina sama ada untuk diproses menjadi beras dan diambil semula setelah membayar upahnya atau dijual begitu sahaja untuk mendapatkan keperluan harian. Dengan ini selesailah satu peringkat penanaman padi dan setelah kerja-kerja pembersihan berjaya dilaksanakan maka penanaman padi yang seterusnya akan menyusul. Begitulah rutin yang perlu digalas oleh petani dari satu musim penanaman ke satu musim penanaman yang menagih kesabaran dan komitmen yang tinggi walaupun adakalanya hasil yang dituai tidak setimpal dengan pengorbanan sewaktu membanting tulang empat kerat untuk memenuhi kelangsungan hidup.BAB 4 : HURAIAN DAN KESIMPULAN

Berdasarkan kajian surat-surat tersebut, dapatlah kita rumuskan bahawa dalam jangka masa dari tahun 1929 hingga tahun 1934, aktiviti penanaman padi dijalankan dengan giatnya di Mukim Ayer Baloi walaupun lebih cenderung kepada penanaman padi huma atau tugal sebagai pertanian sara diri. Ini kerana aktiviti ini dijalankan di atas tanah di sepanjang tebing dua sungai utama di Mukim Ayer Baloi. Namun begitu, hanya hak pemilikan sementara yang diberi dan lesen penanaman perlu diperbaharui pada setiap tahun. Kerajaan negeri mengurniakan kawasan ini umpama serampang dua mata. Di samping menyediakan tempat untuk rakyat bercucuk tanam, kawasan tebing sungai juga akan menjadi lebih terurus dan bersih daripada semak samun. Malangnya, keperluan dan tindakan yang selanjutnya diserahkan bulat-bulat kepada para penanam mengikut budi bicara Penghulu atau Ketua Kampung.

Oleh hal yang demikian, wujud pelbagai masalah yang terpaksa dihadapi oleh penanam-penanam padi pada masa itu. Buktinya, hasil yang dikeluarkan tidak dapat menampung permintaan waima untuk keperluan masyarakat setempat. Sedangkan sebelum tempoh kajian iaitu pada 25 Februari 1919 Kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan bahawa pekerjaan bersawah padi adalah amat mustahak dan perlu diperluaskan aktivitinya ke seluruh daerah dalam negeri Johor. Sekiranya sebelum ini sesebuah mukim mempunyai seekar kawasan yang bertanam padi maka wajiblah digandakan hingga sepuluh ekar. Seterusnya, jika anak-anak buah atau penanam itu sendiri tidak berupaya mengeluarkan kos untuk pembinaan tali air maka hendaklah Orang Kaya, Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung sesebuah mukim itu menulis surat kepada kerajaan bagi memohon pertolongan. Namun hakikatnya, kenyataan itu hanya dokumentasi tetapi pada tahap akar umbinya tiada tindakan yang efektif daripada pemimpin tempatan. Tambahan pula, dasar ini hanya untuk penanaman padi sawah dan bukannya padi huma.

Ketiadaan bantuan dan sokongan daripada kerajaan dari segi khidmat nasihat dan keperluan fizikal ditambah lagi dengan karenah birokrasi telah membunuh minat petani untuk meneruskan usaha-usaha memajukan sektor pertanian terutamanya padi. Cuba kita renung sejenak, permohonan daripada Penghulu Hussin hanya diluluskan setelah mengharungi proses kelulusan dalam tempoh lima bulan iaitu dari proses permohonan pada bulan April sehinggalah pada bulan Ogos barulah surat kebenaran berjaya diperolehi. Permohonan terpaksa dijalankan dari satu peringkat ke satu peringkat melalui beberapa orang pegawai kerajaan. Sekiranya berdasarkan proses permohonan Penghulu Hussin seramai 4 orang pegawai yang perlu meluluskan setiap peringkat permohonan barulah proses permohonan itu selesai. Senario ini membuktikan betapa masalah birokrasi sebenarnya mendatangkan kesulitan kepada rakyat. Dalam tempoh menunggu sepatutnya aktiviti penanaman telahpun boleh dijalankan dan dalam konteks penanaman padi huma, para petani sepatutnya sudah boleh menarik nafas lega kerana hanya tinggal dua bulan sahaja lagi untuk menuai hasilnya.

Begitu juga halnya dengan masalah yang dihadapi oleh bekas Penghulu Jemaat bin Awang apabila permohonannya tidak diproses dalam tempoh dua tahun. Ini membuktikan dalam tempoh tersebut tiada pegawai di pejabat tanah yang prihatin dengan keperluan masyarakat awam. Alasannya cukup mudah iaitu tiada sesiapa yang datang berjumpa untuk mendapatkan maklum balas. Sebaliknya, apabila ada pegawai atasan yang bertindak mengarahkan pegawainya membuat pemantauan barulah ada yang mengambil tindakan susulan untuk melawat ke kawasan yang dipohon. Oleh itu, karenah birokrasi seumpama ini perlu dibanteras dan diperbaiki agar kehidupan rakyat lebih terjamin. Lebih-lebih lagi dalam penghasilan sumber makanan asas kepada kelompok masyarakat setempat seperti beras.

Tambahan lagi, pemilikan tanah secara hak milik sementara menyebabkan para petani kurang meletakkan komitmen untuk mengusahakan tanaman secara komersial dan berterusan. Buktinya, hampir lima puluh peratus penanam padi di tebing Sungai Sanglang terutamanya dari Kampung Parit Limin dan Parit Lancang tidak memperbaharui lesen penanaman padi pada tahun kedua dan ketiga. Malah ada antara mereka lebih rela melepaskan hak pemilikan kepada penanam lain. Keadaan ini berbeza dari sudut pandangan petani Cina yang diwakili oleh Saudara Leo Tan. Leo Tan mengusahakan tanaman padi seluas lima ekar di atas tanahnya sendiri. Selain daripada mendapat kemudahan dari segi baja dan peralatan, petani Cina juga mempunyai rangkaian pemasaran yang lebih luas kerana mereka mempunyai persatuan peniaga-peniaga Cina yang sentiasa bekerjasama untuk memajukan kelompok mereka.

Selain itu, lazimnya kawasan penanaman padi terletak berdekatan dengan tebing sungai tetapi terletak agak jauh daripada kawasan petempatan waima rumah-rumah penanam padi itu sendiri. Buktinya, penanam-penanam padi yang mengusahakan penanaman padi di tebing Sungai Ayer Baloi kebanyakannya tinggal di Kampung Parit Panjang yang terletak lebih kurang 2KM dari sungai tersebut. ( Rujuk lampiran 1 : CLR Kukup 183/1929). Begitu juga dengan penanam-penanam padi di tebing Sungai Sanglang seperti Saudara Leo Tan yang menetap di Pekan Sanglang dan penanam padi Melayu yang kebanyakannya tinggal di Kampung Parit Sulaiman, Parit Kahar dan Parit Limin yang terletak sekurang-kurangnya 1KM dari sungai tersebut.

Sebenarnya, jarak antara rumah dengan kawasan penanaman padi juga menyumbang kepada faktor kemunduran dan kelembapan aktiviti tersebut. Jalan perhubungan yang dipanggil denai sering mendatangkan masalah apabila tibanya musim hujan kerana keadaan tanah gambut yang mudah becak dan lembik menyukarkan pergerakan para penanam padi untuk membawa masuk peralatan dan juga membawa keluar hasil tanaman. Selain itu, tanaman padi tidak dapat diawasi secara berterusan menyebabkan serangan-serangan makhluk perosak menjadi masalah besar kepada petani. Terutamanya serangan kawanan burung, tikus mahupun belalang yang terpaksa dihadapi secara tradisional tidak mampu untuk mengatasi masalah ini kerana kekurangan sumber untuk mendapatkan racun serangga.

Berdasarkan kajian, kita tidak boleh menafikan peranan yang dimainkan oleh penjajah Inggeris pada masa itu terutamanya apabila menyentuh perbincangan tentang permasalahan dan kekangan yang dihadapi oleh penanam padi huma di Mukim Ayer Baloi. Hal ini demikian kerana dasar ekonomi penjajah pada tahun-tahun kajian lebih menjurus kepada memajukan industri pertanian untuk eksport di Johor iaitu suatu sistem yang sesuai dan diharap dapat menggalakkan eksploitasi ke atas sumber-sumber tanah oleh pihak kapitalis atau peniaga. Kemudahan yang diberikan hanya kepada penanaman eksport seperti getah, gambir, lada hitam dan padi sawah yang boleh dikomersialkan dan mendatangkan keuntungan kepada pemerintah Inggeris melalui penjualan hasil pertanian dan pungutan cukai kerana dijalankan secara besar-besaran. Kesimpulannya, dalam hal ini petani-petani kecil seperti penanam padi huma sentiasa dianaktirikan. Namun, apa yang lebih malang apabila masyarakat Melayu tidak pernah sedar akan penindasan secara halus ini. Jika tidak, tiadalah tanah milik Melayu berpindah tangan kepada pemilikan kaum lain terutamanya Cina sama ada secara disedari ataupun tidak.

PENUTUP

Ironinya, dewasa ini para penanam padi di Malaysia tidak lagi dibiarkan sendirian dalam menghasilkan bekalan makanan negara yang utama ini. Kemenjadian institusi-institusi seperti BERNAS yang bertanggungjawab meluaskan perkhidmatan keluar dari kawasan utama penanaman padi, menyediakan kredit, kumpul hasil, menguruskan subsidi baja kimia dan racun serangga serta menjamin harga minimum dan membantu petani memasarkan padi; MARDI yang menjalankan kajian untuk menghasilkan benih padi yang tahan kemarau, cepat masak dan hasil tinggi seperti MR52, MR53 dan MR77; Jabatan Pertanian yang sentiasa menyuburkan ilmu kepada petani tentang penggunaan jentera, baja kimia dan racun serangga serta Bank Pertanian yang sentiasa bersediakan menghulurkan bantuan kewangan begitu mesra petani.

Hakikatnya, Kita tidak mahu lagi situasi dan kepayahan yang dihadapi oleh para penanam padi di Mukim Ayer Baloi pada suatu ketika dahulu terus diwarisi oleh generasi demi generasi dan seharusnya memori itu hanya tinggal dalam lipatan sejarah. Untuk itu, jika negara mempunyai tanaman padi yang banyak dan mencukupi, sudah tentu negara boleh menghasilkan produk baru daripada sumber padi pada masa hadapan dan ini akan meningkatkan lagi pendapatan pesawah di

seluruh negara. Banyak kelebihannya jika Malaysia mempunyai sumber beras sendiri kerana bukan sahaja pendapatan dalam negara dapat ditingkatkan malah dapat mengurangkan pengaliran keluar mata wang Malaysia. Lebih-lebih lagi, penanaman padi bukan hanya untuk mendapatkan beras tetapi juga pada ketika ini sudah ada kajian yang menunjukkan bahawa dedak padi mempunyai khasiat tinggi dan boleh menghasilkan vitamin E. Manakala batang dan daun padi juga boleh diproses dan dijadikan kertas seperti di Jepun. Ini adalah ruang dan peluang terbaik yang boleh diceburi sebagai nilai tambah kepada industri padi di negara kita.

Walaupun generasi baru tidak lagi mengenal apa itu penanaman padi huma yang berakhir selepas perang dunia ke-2 namun kajian seumpama ini sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran yang jelas tentang corak aktiviti ekonomi yang jauh berbeza dengan apa yang dilihat kini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab semua warga negara Malaysia yang mencintai tanah airnya menjalankan kajian dengan menyelongkar dokumen-dokumen yang tersimpan di arkib negeri masing-masing. Pastinya pelbagai rahsia dan khazanah bangsa yang boleh dicedok dan dijadikan bahan rujukan bukan sahaja kepada pengkaji sejarah waima untuk pelajar-pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi. Menjadi suatu kerugian sekiranya dokumen-dokumen itu terus tersimpan tanpa usaha-usaha untuk memelihara dan pemuliharaan seperti dilaminate atau mewujudkan sistem fail yang tersusun.

Pengajaran dan pedoman dapat dicanai apabila mengimbau kembali kelemahan dan kesilapan yang wujud dalam masyarakat Melayu mahupun badan-badan kerajaan pada suatu ketika dahulu agar kekurangan itu tidak diulangi lagi malah perlu diperbaiki walaupun dalam keadaan ekonomi dan sosial yang berbeza. Akhir kata, besarlah harapan penulis agar usaha-usaha mengkaji dokumen seumpama ini diteruskan oleh para cendikiawan dan individu-individu yang sentiasa mencintai ilmu demi memperkaya khazanah sejarah negara.

BIBLIOGRAFI

SUMBER AWALAN

DOKUMEN

Fail Pejabat Tanah Pontian, CLR Kukup 183 / 29, Permohonan Tanah di Kawasan Tebing Sungai Sanglang Bagi Mewakili Anak Buah Untuk Penanaman Padi.

Fail Pejabat Tanah Pontian, CLR Kukup 215 / 30, Permohonan Untuk Bertanam Padi.

Fail Pejabat Tanah Pontian, CLR Kukup 163 / 34, Permohonan Tanah di Parit Panjang , di Tebing Sungai Ayer Baloi Bagi Mewakili Anak Buah Untuk Penanaman Padi.

WAWANCARA : 19 JULAI 2009Hajah Kamsiah bt. Hj. Salleh (Lahir pada tahun 1919) beralamat di No. 6, Kg. Parit Kahar 6/15. Haji Selamat b. Toyemen ( Lahir pada 1934 ) beralamat di No.1, Kampung Parit Sulaiman. En. Mohd. Jayus b. Ngasipan ( Lahir pada 1951 ) beralamat di No.6, Kampung Parit Kahar 6/15.SUMBER KEDUA

TESISAbdul Razak Abdullah, 1968, Penghulu-penghulu di Mukim Ayer Baloi, Latihan ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Rudiah Sanwikarto, 1996, Sejarah Mukim Ayer Baloi hingga 1990-an, Tesis Jabatan Fakulti Sains Kemasyarakatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Sukiman b. Bohari, 1996, Orang-orang Jawa di Pontian 1884 1957, Peranan di Bidang Ekonomi, Politik dan Sosial, Tesis Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

BUKUMd. Ismail Zamzam, 2000, Warisan Johor, Memelihara Warisan Budaya. Jilid IV, Johor Bahru : Yayasan Warisan Johor.

Kassim Thukiman, 2001, Menelusuri Sejarah Tempatan Johor, Johor Bahru : Yayasan Warisan Johor.

Rahimah Abdul Aziz, 2000, Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis

Sosiologi Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Rahimah Abdul Aziz, Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hal. 140.

Ibid., hal. 144.

Ibid., hal. 164.

Rahimah Abdul Aziz, Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hal. 164 -169.

Rudiah Sanwikarto, Sejarah Mukim Ayer Baloi hingga 1990-an, Tesis Jabatan Fakulti Sains Kemasyarakatan, UKM, Bangi 1995/96, hal. 81.

Kassim Tukiman, Menelusuri Sejarah Tempatan Johor, Johor Bahru : Yayasan warisan Johor, 2001, hal. 371.

CLR Kukup 183/1929, Senarai nama penanam padi di Mukim Ayer Baloi.

Kassim Tukiman, Menelusuri Sejarah...h. 373

Khalid M.Hussain, Kamus Dewan edisi ke-7, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, hal. 99.

Temubual dengan warga emas, Hj. Selamat b. Toyemen pada Ahad, 19 Julai 2009 di N0.1, Kampung Parit Sulaiman, Ayer Baloi, Pontian.

Abdul Razak Abdullah, Penghulu-penghulu di Mukim Ayer Baloi, Latihan Ilmiah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 1968, h. 22.

Ibid, h. 374.

Tanah seberang adalah merujuk kepada Kepulauan Melayu atau Nusantara seperti Indonesia.

Md. Ismail Zamzam, 2000, Warisan Johor, Memelihara Warisan Budaya. Jilid IV, Johor Bahru : Yayasan Warisan Johor, h. 75.

Md. Ismail Zamzam, 2000, Warisan Johor, Memelihara Warisan Budaya. Jilid IV, Johor Bahru : Yayasan Warisan Johor, h. 86.

Kassim Tukiman, Menelusuri Sejarah Tempatan Johor, Johor Bahru : Yayasan warisan Johor, 2001, hal. 372.

Wawancara bersama Hajah Kamsiah bt. Hj. Salleh di Kg. Pt. Kahar 6/15 pada 19 Julai 2009.

Rudiah Sanwikarto, Sejarah Mukim Ayer Baloi hingga 1990-an, Tesis Jabatan Fakulti Sains Kemasyarakatan, UKM, Bangi 1995/96, hal. 81.

Rahimah Abdul Aziz, Pembaratan Pemerintahan Johor (1800-1945) Suatu Analisis Sosiologi Sejarah, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2000, hal. 190.

PAGE 74