teks ucapan yang hormat profesor dato’ sri naib …

13
1 TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI TS. DR. DAING NASIR IBRAHIM NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG SEMPENA MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN ALUMNI SEMSAS DAN ANUGERAH KECEMERLANGAN SULTAN HAJI AHMAD SHAH 2018 PADA HARI SABTU, 21 APRIL 2018; PUKUL 8:00 MALAM DI DEWAN AL-KHAWARIZMI, SEKOLAH MENENGAH SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KUANTAN SALUTASI Saudara pengacara majlis; Yang Berusaha Dr Haji Tajuddin Mohd Yunus, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang; Yang Berusaha Puan Hajah Safiah Awang, Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah; Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Razali Mustafar, Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan; Yang Berusaha Encik Mohd Fuad Kamal Ariffin, Presiden Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS;

Upload: others

Post on 03-Oct-2021

18 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

1

TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI TS. DR. DAING NASIR IBRAHIM

NAIB CANSELOR UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN ALUMNI SEMSAS DAN ANUGERAH KECEMERLANGAN SULTAN HAJI AHMAD SHAH 2018

PADA HARI SABTU, 21 APRIL 2018; PUKUL 8:00 MALAM DI DEWAN AL-KHAWARIZMI,

SEKOLAH MENENGAH SAINS SULTAN HAJI AHMAD SHAH, KUANTAN

SALUTASI

Saudara pengacara majlis;

Yang Berusaha Dr Haji Tajuddin Mohd Yunus,

Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang;

Yang Berusaha Puan Hajah Safiah Awang,

Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah;

Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Razali Mustafar,

Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan;

Yang Berusaha Encik Mohd Fuad Kamal Ariffin,

Presiden Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS;

Page 2: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

2

Ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS;

Yang Hormat Dato’-dato’ dan Yang Berbahagia Datin-datin;

Warga alumni SEMSAS yang dikasihi;

Tuan-tuan dan puan-puan;

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Negaraku Sehati Sejiwa.

KATA PEMBUKA

1. Alhamdulillah, sukalah saya merafakkan setinggi-tinggi

kesyukuran ke hadrat Allah Ta’ala kerana dengan limpah,

rahmat, kurnia dan izin-Nya, maka saya dapat bersama hadirin

sekalian dalam Majlis Makan Malam Persatuan Alumni SEMSAS

ini.

Page 3: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

3

2. Justeru terlebih dahulu, saya ingin mengucapkan jutaan terima

kasih kepada Persatuan Bekas Pelajar SEMSAS atau EXSAS

yang diterajui sahabat saya, Encik Mohd Fuad Kamal Ariffin

sebagai Presiden atas undangan untuk saya merasmikan acara

pada malam ini.

3. Pada hemat saya, acara pada malam ini bukan sahaja istimewa

dalam konteks reunion dan imbasan kenangan warga EXSAS

sekalian, tetapi lebih dari itu turut signifikan untuk mengekalkan

keakraban para alumni SEMSAS dengan alma mater mereka.

4. Keakraban tersebut pada hemat saya, tidaklah sekadar terhad

kepada bentuk-bentuk acara seumpama ini semata-mata, tetapi

merangkumi pelbagai inisiatif dan aktiviti lain yang berimpak

tinggi serta bernilai tambah kepada sumbangan bakti alumni

SEMSAS kepada para juniors anda yang masih menuntut di sini.

Page 4: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

4

5. Hal ini tentu sekali memerlukan satu jalinan hubungan yang

harmoni di antara persatuan alumni dan pentadbir sekolah.

Berdasarkan pengamatan saya, SEMSAS amat bertuah kerana

persatuan alumninya iaitu EXSAS sentiasa proaktif membantu,

menyokong dan mendukung pelbagai program atau projek yang

dijalankan oleh pihak sekolah sama ada yang berbentuk

pembangunan fizikal, pengupayaan modal insan dan lonjakan

akademik.

SEMANGAT SUMBANGSIH ALUMNI

6. Tuan-tuan dan puan-puan,

Dengan sejarah panjangnya yang kini menjangkau usia 45

tahun, saya percaya bahawa SEMSAS telahpun mencapai satu

tahap kematangan yang tersendiri sebagai antara Sekolah

Berasrama Penuh yang kanan di negara ini.

Page 5: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

5

7. Kematangan ini tidak hanya terpancar pada usia tersebut, tetapi

juga terletak pada keupayaan SEMSAS untuk melahirkan

generasi alumni cemerlang yang silih berganti sejak

penubuhannya pada bulan Januari 1973.

8. Dalam hubungan tersebut, saya percaya bahawa pentadbir

sekolah dan EXSAS sentiasa memantau dan meneliti

perkembangan bekas-bekas pelajar sekolah ini sama ada yang

masih menuntut di peringkat yang lebih tinggi mahupun yang

telah bekerjaya.

9. 45 tahun usia SEMSAS juga pastinya mengemukakan cabaran

kepada EXSAS khususnya untuk menguruskan jurang interaksi

antara generasi alumni yang pelbagai. Cabaran ini pada

pandangan saya, memerlukan strategi dan inisiatif yang khusus

serta kepimpinan yang bijaksana di pihak EXSAS.

Page 6: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

6

10. Maka penganjuran Majlis Makan Malam dan Anugerah

Kecemerlangan Sultan Haji Ahmad Shah (AKSHAH) seperti ini

merupakan satu langkah yang amat berkesan bagi

menghimpunkan para alumni SEMSAS merentasi pelbagai

generasi.

11. Saya percaya bahawa setiap generasi alumni tersebut punya

kenangan masing-masing yang unik dan tersendiri mengenai

zaman dan pengalaman mereka menuntut di sini. Tidak kira apa

jua latar zaman pengajiannya, kehadiran anda pada malam ini

disatukan oleh semangat SEMSAS yang tunggal dan unggul.

12. Keakraban yang dicorakkan oleh semangat kesatuan inilah yang

mengekalkan kejelekitan anda dan menginspirasikan pula para

juniors anda untuk menuruti jejak langkah kejayaan seniors

mereka.

Page 7: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

7

13. Justeru, selepas 45 tahun penubuhannya, maka adalah penting

untuk EXSAS dan pentadbir SEMSAS saling bersinergi dalam

memperkasa jati diri generasi pelajar SEMSAS hari ini dengan

mengembalikan ingatan mereka terhadap falsafah asal

penubuhan sekolah ini dan sejarah gemilang yang

ditempuhinya.

14. SEMSAS boleh berbangga dengan nama-nama besar yang

dilahirkannya dan hari ini kita dapat melihat bahawa ada dalam

kalangan anak-anak bekas pelajar sekolah ini turut menuntut di

sini sebagaimana yang ditempuhi oleh ibu bapa mereka suatu

ketika dahulu.

15. Kitaran inspirasi sebeginilah pada hemat saya, begitu signifikan

bagi memupuk dan mengekalkan perasaan cinta yang

mendalam dalam kalangan warga sekolah ini terhadap

SEMSAS.

16. Satu lagi dimensi cabaran yang turut memerlukan perhatian

EXSAS ialah untuk memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar

dan alumni sedia ada untuk kembali berbakti kepada sekolah ini.

Page 8: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

8

17. Para alumni yang telah berjaya dalam bidang dan kerjaya

masing-masing perlu digembleng secara konsisten untuk

kembali berbakti kepada SEMSAS dalam apa jua bentuk yang

wajar.

18. Saya melihat bahawa kesedaran sedemikian boleh sahaja

dimunculkan sekiranya warga pelajar dan alumni SEMSAS

menginsafi akan semangat asal penubuhan sekolah-sekolah

sains berasrama penuh sebegini oleh kerajaan suatu ketika

dahulu.

19. Memetik kata-kata Tan Sri Omar Mohd Hashim iaitu mantan

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, ”daripada

sekolah sains seperti inilah kita berharap dapat melahirkan anak-

anak watan yang peka kepada perubahan-perubahan ekonomi,

sosial dan pendidikan, yang berdisiplin dan bersistem, serba

boleh serta berorentasikan sains. Mereka juga mempunyai

pegangan yang kukuh kepada tradisi dan nilai kebudayaan serta

agamanya dan tahu akan tanggungjawab dan peranannya.”

Page 9: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

9

20. Oleh yang demikian, kita dapat melihat bahawa kesedaran dan

keinsafan yang saya sebutkan tadi adalah sebahagian daripada

cabaran suntikan nilai patriotisme melalui sistem pendidikan

kepada generasi hari ini.

21. Mana mungkin generasi SEMSAS pada hari ini dapat disedarkan

mengenai falsafah dan semangat asal penubuhannya sekiranya

suka duka pengalaman sejarah dan pengorbanan generasi silam

sekolah ini tidak diceritakan kembali kepada mereka. Sebagai

generasi lebih berusia yang telah melalui proses tersebut,

tanggungjawab tersebut sewajarnya kita pikul bersama.

Page 10: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

10

UMP DAN SEMSAS

22. Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebagai Naib Canselor UMP, saya juga melihat SEMSAS

sebagai rakan dan jiran yang penting buat Universiti ini. Bukan

sahaja kerana kedudukan SEMSAS yang berdekatan dengan

UMP Kampus Gambang, tetapi ramai juga alumni SEMSAS

yang melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang di UMP, dan

ada juga yang berkhidmat di Universiti ini.

23. Saya juga amat sukacita kerana sejak tahun 2012, SEMSAS

juga merupakan salah sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan

yang ditindikkan Kementerian Pendidikan Malaysia kepada

UMP.

24. Perkembangan tersebut membolehkan SEMSAS dan UMP

menjalinkan hubungan yang lebih erat dan akrab khususnya

dalam konteks pembangunan akademik dan pembudayaan

inovasi.

Page 11: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

11

25. Dengan sinergi yang berterusan antara kedua-dua pihak dari

semasa ke semasa, saya amat positif bahawa lebih banyak lagi

inisiatif kerjasama yang dapat dirintis dan diteroka oleh SEMSAS

dan UMP dalam bidang-bidang yang berkaitan.

26. Hal ini saya percaya dapat dimudahcara dengan lebih berkesan

memandangkan Presiden EXSAS kini iaitu Encik Mohd Fuad

Kamal Ariffin juga merupakan salah seorang tokoh yang dilantik

Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai Ahli Lembaga Pengarah

UMP.

27. Maka, saya amat sukacita apabila dimaklumkan Encik Mohd

Fuad bahawa SEMSAS telah mencatatkan keputusan

cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

tahun 2017 dan muncul sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan

yang terbaik di negeri Pahang dengan rekod pencapaian Gred

Purata Sekolah (GPS) 2.00.

Page 12: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

12

28. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada warga SEMSAS

kerana sekolah ini telah berjaya melahirkan calon tunggal di

negeri Pahang yang memperolehi straight A+ dalam semua

subjek bagi peperiksaan SPM 2017.

29. Sehubungan dengan itu, komitmen dan dedikasi yang telah

diperlihatkan para guru, alumni, pelajar dan ibu bapa dalam

mengangkat kecemerlangan SEMSAS sewajarnya diberikan

penghargaan dan pengiktirafan.

30. Oleh yang demikian, pihak pengurusan UMP telah bersetuju

untuk menaja wang saguhati dan cendera kenangan kepada dua

pelajar terbaik SEMSAS bagi peperiksaan SPM 2016 dan 2017

dengan nilai hadiah RM1,000.00 setiap seorang. Tajaan ini

merupakan sebahagian daripada Anugerah Kecemerlangan

Sultan Haji Ahmad Shah 2018 (AKSHAH) yang akan

disampaikan pada malam ini.

Page 13: TEKS UCAPAN YANG HORMAT PROFESOR DATO’ SRI NAIB …

13

KATA PENUTUP

31. Tuan-tuan dan puan-puan,

Sebelum mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi ingin

merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada

EXSAS atas peluang yang diberikan kepada saya untuk

berinteraksi dengan warga SEMSAS pada malam ini.

32. Saya berdoa mudah-mudahan Allah Ta’ala memberkati usaha

murni ini dan melimpahkan rahmat peliharaan-Nya kepada kita

semua dengan naungan kesejahteraan, kemakmuran, kesihatan

dan kejayaan, Amin.

33. Justeru, dengan harapan dan doa tersebut serta lafaz yang mulia

Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Majlis

Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar SEMAS dan Anugerah

Kecemerlangan Sultan Haji Ahmad Shah 2018.

Sekian, Wabillahi taufiq walhidayah,

wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.