teks pidato

21
Karya Pelajar (contoh Penulisan Rencana) Disiplin Asas kejayaan Akademik Oleh : Hamidah Hashim Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan Akademik". Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala- gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.

Upload: tze-ming-voon

Post on 21-Feb-2016

524 views

Category:

Documents


9 download

DESCRIPTION

skrip pidato

TRANSCRIPT

Page 1: teks pidato

Karya Pelajar (contoh Penulisan Rencana)

Disiplin Asas kejayaan Akademik

Oleh : Hamidah Hashim

Alah bisa tegal biasa, sememangnya amat sukar untuk menanam disiplin yang tinggi dalam diri seseorang apatah lagi bagi seseorang yang bergelar pelajar. Namun, sekiranya pelajar tersebut telah dididik dan diasuh oleh ibu bapa agar terdidik dengan disiplin yang tinggi, pastinya amat sukar untuk menafikan bahawa pelajar tersebut akan terus-menerus mencipta kejayaan dalam akademik. Malangnya, harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Kita dapat lihat anak muda pada hari ini begitu angkuh dan bangga sekiranya mereka melakukan perkara-perkara yang melanggar prinsip disiplin. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), ada menyentuh mengenai pembangunan modal insan iaitu aset negara yang perlu disuntik nilai tambahnya. Perkara seumpama ini memberi gambaran kepada kita bahawa kerajaan sendiri telah menyedari bahawa tahap disiplin para pelajar pada hari ini semakin kronik. Sememangnya, tiada bukti yang cukup padu untu menafikan bahawa "Disiplin Asas Kejayaan Akademik".

Disiplin mampu melatih pelajar supaya lebih peka dan bijak dalam mengatur serta menyusun masa. Malah apa-apa yang lebih bernilai ialah disiplin mengajar para pelajar bagaimana untuk mematuhi masa tersebut. Pujangga Arab melalui kata-katanya Masa itu ibarat pedang, jika kamu tidak memotongnya, dia akan memotong kamu , jelas memberitahu kita bahawa masa itu amat penting untuk ditepati agar tidak terbuang begitu sahaja. Oleh sebab itulah disiplin perlu dipupuk dalam jiwa setiap pelajar kerana merekalah yang bakal mencorak landskap pembangunan material, fizikal dan sosial pada era revolusi digital akan datang. Namun sesiapapun dapat berfikir bahawa sikap malas adalah musuh ketat amalan hidup berdisiplin. Olah sebab itulah, sokongan daripada ibu bapa serta usaha padu daripada pihak kerajaan adalah sesuatu yang amat diperlukan bagi mengubah perspektif pelajar tersebut sekali gus mengikis perasaan malas. Sekiranya para pelajar diasuh dengan norma hidup berdisiplin, secara tidak langsung mereka akan menyedari betapa berharganya setiap saat yang dilalui dalam hidup mereka. Hal ini akan menjadi satu inisiatif kepada mereka agar tidak menyia-yiakan masa tersebut dengan gejala-gejala sosial yang semakin menjerat remaja kita kini. Oleh itu, jelaslah di sini bahawa masa itu ibarat emas bagi diri seseorang yang memiliki serta mengenali apa itu erti disiplin yang sebenarnya.

Tidak cukup dengan itu, disiplin turut dapat memupuk jati diri yang ampuh dalam diri pelajar. Disiplin mengajar pelajar supaya tegas dengan prinsip dan nilai moral pelajar itu sendiri. Sebagai contoh, di kem tentera, matlamat utama ialah membentuk jati diri bagi menanam semangat cinta akan tanah air serta berani dan tegas dalam perjuangan menentang musuh. Sebab itulah mereka dilatih supaya memiliki tahap disiplin yang tinggi bagi mencapai matlamat tersebut. Bagi seseorang pelajar pula, disiplin akan menjadikan mereka ini sebagai seorang yang rajin, tekun , berkeyakinan tinggi dan gemar menyahut cabaran yang secara tidak langsung akan lahirlah pelajar yang memiliki jati diri dalam rohani dan jasmani mereka. Kualiti seumpama inilah yang amat diperlukan oleh seorang pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan mempraktikkan amalan hidup yang penuh dengan disiplin, pelajar itu sendiri tidak akan terpesong daripada norma hidup yang teratur serta memberi banyak faedah kepada pelajar. Melalui jati diri yang diperoleh hasil daripada norma hidup yang teratur dan berdisiplin, pelajar pastinya akan bersungguh-sungguh menimba ilmu bagi mencapai matlamat yang satu sebagai pelajar. Justeru, jelaslah di sini bahawa, disiplin ibarat tiang tumah yang menjadi tunjang utama kekukuhan jati diri dalam diri para pelajar.

Page 2: teks pidato

Seterusnya, disiplin turut mampu memelihara para pelajar supaya tidak terjebak dalam gejala-gejala sosial yang mampu memusnahkan masa depan tanpa disedari oleh pelajar itu sendiri. Tanpa disiplin, pelajar tidak akan ada matlamat yang jelas serta tidak tahu tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Tanpa matlamat yang jelas ini, pelajar cenderung untuk mencari keseronokan hidup bersama rakan-rakan yang berpendirian sama seperti mereka yang tidak meletakkan pelajaran sebagai sesuatu yang amat bernilai dalam minda dan jiwa mereka. Ternyata hasrat Perdana Menteri yang bercita-cita mahu melahirkan warga glokal yang berakar nasional dan berakal internasional tidak akan tercapai sekiranya tahap disiplin para pelajar semakin terus -menerus menunjukkan penurunan. Kita dapat lihat pada hari ini, terlalu ramai anak muda yang majoritinya ialah pelajar telah terjebak dalam kancah sosial yang akhirnya pasti akan merugikan negara. Mereka inilah yang tidak memiliki disiplin untuk mengawal diri mereka daripada terjebak dalam perkara tersebut. Sudah pastilah pelajar yang langsung tidak melakukan aktiviti-aktiviti ini akan menjadi pelajar yang cemerlang rohani, jasmani dan intelek. Sekali lagi, hal ini menjadi bukti yang cukup ampuh untuk menyatakan bahawa disiplin asas kejayaan akademik. Justeru , jelaslah bahawa disiplin adalah kontra kepada gejala-gejala sosial.

Kita telah menyedari bahawa disiplin dapat membuka mata pelajar tentang nilai sesaat masa, disiplin juga telah melahirkan bakal pmimpin yang memiliki jati diri yang cukup ampuh untuk mentadbir negara suatu hari nanti, malah disiplin dapat membantu pelajar menentukan wawasan dan hala tuju yang jelas. Tokoh falsafah Barat, Cecil B. De Mille melalui kata-katanya, Orang yang berjaya ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang . Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa tanpa disiplin itu, tidak perlulah kita bermimpi untuk meraih kejayaan. Para pelajar harus mengetahui bahawa sememangnya menentukan wawasan serta hala tuju adalah amat penting seperti yang dinyatakan dalam buku teks Pendidikan Sivik dan kewarganegaraan Tingkatan Empat. Dengan adanya disiplin, pelajar tersebut akan terus berusaha dan berusaha untuk mencapai wawasan tersebut. Pelajar yang tidak memiliki disiplin pastinya tidak terfikir untuk menentukan matlamat hidup. Oleh sebab itulah, ramai pelajar yang hanya memikirkan keseronokan hidup semata-mata tanpa memikirkan impak perbuatan mereka terhadap masa depan. Sebagai intiha, sememangnya disiplin amat penting dalam menentukan wawasan hidup serta berusaha mengejar wawasan tersebut. Tahap disiplin yang tinggi membantu pelajar mengukir sejarah yang tersendiri.

Natijahnya, tidak ada jalan pintas yang lain untuk meraih kecemerlangan dan kegemilangan tanpa memiliki serta mempraktikkan amalan hidup berdisiplin. Hakikatnya, walau berapa banyak cara yang kita ketahui untuk mencapai kejayaan, tetapi tanpa adanya disiplin, kita tidak akan mampu untuk melaksanakan cara itu dengan teratur apatah lagi dengan berkesan. Pujangga Melayu ada mengatakan bahawa belia pada hari ini adalah cerminan negara pada masa akan datang. Sesekali kita melihat sekali lalu remaja kita pada hari ini yang begitu ghairah dengan kemewahan serta keseronokan yang ada. Hari ini telah timbul berbagai-bagai jenis masalah sosial seperti dadah, merokok, ponteng sekolah, buli, pergaduhan dan lain-lain. Kadangkala, perkara-perkara ini membuat saya terfikir, inikah generasi cerminan negara pada masa akan datang? kita menyedari, semua pihak tidak sesekali memandang enteng masalah ini. Namun , kita sendiri pastinya bersetuju bahawa amat sukar untuk mengembalikan seseorang kembali ke pangkal jalan.

Page 3: teks pidato

DISIPLIN TERAS KEJAYAAN

Mendepani realiti baru era milenium yang pantas berubah dan berkembang ini, masyarakat dinamik, madani serta inovatif amat diperlukan untuk mencapai kejayaan agar dapat anak watan di negara ini mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara gergasi seperti Jepun, Amerika Syarikat dan Perancis. Hal ini demikian, disiplin merupakan cerucuk fundamental bagi kejayaan sesebuah bangsa. Secara holistik, disiplin merupakan pemangkin bagi melahirkan sebuah komuniti yang progresif, berketerampilan dan berupaya mendepani setiap kekangan untuk mengharungi arus perubahan dunia yang semakin mencabar. .

Disiplin dapat melahirkan pelajar yang mempunyai keinsanan yang syumul. Hal ini demikian, disiplin merupakan asas bagi sesebuah kejayaan. Contohnya, seseorang pelajar yang ingin berjaya mestilah rajin untuk mengulang kaji pelajaran, bangun awal ke sekolah, membuat semua kerja sekolah yang diberikan dan mematuhi peraturan sekolah. Tanpa disiplin, tidak mungkin seseorang pelajar dapat melakukan perkara-perkara tersebut. Malahan, budaya pesimistik dalam kalangan pelajar mestilah dikikis demi menyambut gamitan menara impian. Tamsilnya, Nik Nur Madihah yang merupakan pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2008 mendapat 20 A dalam peperiksaan awam. Beliau tidak menjadikan kemiskinan yang membelenggu hidupnya sebagai batu penarung. Sebaliknya, disebabkan kerajinan, kegigihan, ketekunan dan yang paling perdana iaitu disiplin beliau yang tinggi dan minda yang positif telah menyuntik semangat dirinya untuk menggapai kejayaan persis kata tokoh terkemuka, Cecil B. DeMille iaitu orang yang berjaya dalam hidup ialah orang yang nampak tujuannya dengan jelas dan menjurus kepada tujuan itu tanpa menyimpang. Jelaslah bahawa disiplin merupakan formula yang paling manjur untuk anak watan ini meraih kegemilangan dalam kehidupan.

Selain itu, ibu bapa juga memerlukan disiplin yang tinggi untuk melahirkan sebuah keluarga sakinah. Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang berat dalam sesebuah institusi keluarga. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik anak-anak agar menjadi warganegara yang berguna kerana anak yang baru lahir ibarat kain putih dan ibu bapalah yang mencorak, mewarnai dan membentuk keperibadian cahaya mata mereka. Tidak lain tidak bukan, disiplinlah yang diterapkan dalam diri ibu bapa untuk membentuk diri anak mereka yang gemilang. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga mestilah berupaya menjadi rol model yang baik kerana segala perwatakan ibu bapa akan dicontohi anak-anak bak kata peribahasa, bagaimana acuannya, begitulah kuihnya. Malahan, ibu bapa bukan sahaja perlu mendidik anak-anak, mereka juga perlu menyediakan segala keperluan serta membesarkan anak-anak. Izharnya, ibu bapa juga hendaklah mempunyai disiplin diri untuk mewujudkan sebuah keluarga bahagia dan melahirkan anak yang membudayakan sifat-sifat mahmudah dan menghindari segala unsur mazmumah..

Sementelahan itu, pekerja-pekerja sektor kerajaan mahupun swasta juga tidak terlepas daripada mempunyai disiplin dan komitmen yang tinggi terhadap amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Golongan pekerja berkolar putih dan biru ini mestilah menepati masa, bertanggungjawab dan amanah. Contohnya, seorang pegawai bank mestilah menepati masa untuk

Page 4: teks pidato

datang ke tempat kerja. Beliau juga hendaklah bertanggungjawab melakukan segala tugas yang diberikan dan berintergriti terhadap bidang tugas yang melibatkan kewangan. Usahlah kita diibaratkan seperti dalam peribahasa harapkan pagar, pagar makan padi. Dalam abad ini, ketuanan dan keterbilangan sesebuah negara bersandarkan kehebatan ekonominya. kita mahukan generasi yang diibaratkan duduk meraut ranjau, tegak meninjau jarak bukannya pemimpin yang hanya tahu menakik darah di batu. Kita perlu lakukan transformasi ekonomi melalui generasi yang bijak meneroka dan mencuba sesuatu yang baru dan hasilnya mengagumkan seluruh planet ini Ternyata bahawa, dalam melakukan sesuatu pekerjaan disiplin diri amat penting kerana kejayaan tidak datang bergolek.

Seterusnya, sebagai pengguna jalan raya, kita mestilah berdisiplin dan memandu secara berhemah. Disiplin yang diamalkan dalam pemanduan dapat mengurangkan kadar kemalangan yang semakin hari semakin meningkat. Seorang pemandu mestilah mematuhi peraturan jalan raya dengan memasang tali pinggang keledar, mematuhi had laju dan peka terhadap papan tanda di tepi jalan. Secara tidak langsung, kadar kamalangan yang sudah mencapai tahap mencemaskan ini lebih-lebih lagi semasa musim perayaan dapat dikurangkan. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan tiada mahu langsung kemalangan jalan raya pada musim perayaan walaupun ramai menganggapnya mustahil. Menurutnya,keadaan "nahas sifar" ini boleh dicapai kerana kajian menunjukkan kebanyakan kemalangan jalan raya disebabkan oleh faktor manusia dan bukannya faktor kenderaan atau jalan tidak elok. Memang Ops Sikap itu membantu kerana tanpa Ops Sikap, kita tidak dapat membayangkan betapa banyak lagi yang akan mati di atas jalan raya. Persoalannya takkan sehingga kita terpaksa mengharapkan Ops Sikap sepanjang tahun, tetapi pemandu itu sendiri tidak mahu mengubah sikap mereka sendiri. Slogan "Anda Mampu Mengubahnya" memang tepat sebagai peringatan kepada semua pengguna jalan raya.

Jelaslah bahawa, pemandu yang berdisiplin dan berhemah dapat membantu mengurangkan kehilangan nyawa yang lebih banyak dan ini bertepatan dengan slogan, pandu cermat, jiwa selamat.

Di samping itu, sebagai pengguna mestilah bijak mengutamakan disiplin ketika berbelanja. Dalam dunia yang serba canggih dan wujudnya Internet, masyarakat dapat membeli dan berbelanja dengan hanya mengakses maklumat hanya di hujung jari sahaja. Masyarakat yang naïf dengan mata kebendaan yang melalaikan akan memboros dan berbelanja berpaksikan hawa nafsu dan bukannya keperluan. Oleh sebab itu, golongan ini mestilah mempunyai disiplin diri agar dapat berjimat-cermat dan bijak merancang keperluan mereka. Secara tidak langsung, golongan ini dapat mengelakkan diri daripada berhutang dengan bank atau lintah darat yang sentiasa mengintai peluang untuk mengaut keuntungan . Mukhtasarnya, individu yang dapat mengawal diri daripada terlalu mengikut hawa nafsu dan berlatih untuk mendisiplinkan diri agar berbelanja secara berhemat pasti dapat mengecapi kehidupan yang sempurna dan mempunyai sumber kewangan yang stabil bak kata peribahasa beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Akhirulkalam, disiplin merupakan cerucuk utama pembangunan negara kerana dengan disiplin kita mampu untuk mengadun satu kombinasi usaha yang cukup padu agar nama Malaysia gah di seluruh pojok dunia. Siapa menyangka bahawa tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia. Perkara-perkara ini menunjukkan bahawa orang yang berdidiplin dan memiliki minda yang positif ialah orang yang tidak gentar akan perubahan dan menyesuaikan dirinya dengan perubahan

Page 5: teks pidato

tersebut. Dengan itu, sifat itu dengan sendirinya mampu membina sebuah masyarakat yang kreatif dasawarsa ini. Oleh itu, marilah kita bergabung sinergi dan merencanakan langkah sederap untuk mengotakan iltizam serta aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 yang bakal tiba

Page 6: teks pidato

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis yang budiman, yang sudi memberi laluan, barisan panel hakim yang bijaksana, pastinya cendiakawan, para guru yang disanjungi, seterusnya, teman rakan yang disayangi. Assalamualaikum w.b.t. Salam sejahtera juga Salam 1 Malaysia.

Terlebih dahulu saya panjatkan kesyukuran kehadrat IIlahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita dipertemukan dalam majlis pada pagi ini. Izinkan saya para hadirin sekalian untuk beraksi menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, ‘Disiplin Menjana Kecemerlangan’.

Sidang dewan yang saya muliakan,

Sebelum saya meneruskan bicara, menyusun kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan disiplin merupakan satu latihan pemikiran dan kelakuan supaya seseorang individu dapat mengawal diri dan patuh pada peraturan atau tata tertib. Menjana pula adalah penggerak atau pemacu, manakala kecemerlangan didefinisikan sebagai kegemilangan atau kejayaan yang dicapai oleh individu. Rumusannya; kepatuhan kepada peraturan dan tata tertib dapat menjadi penggerak atau pemacu ke arah kejayaan atau kegemilangan hidup seseorang.

Hadirin sekalian,

Hujah saya yang pertama. Individu yang berjaya adalah individu berdisipin. Sejarah membuktikan bahawa seseorang yang berdisiplin, yang patuh kepada peraturan dan undang-undang akan mengapai kejayaan. Kenapa saya katakan begitu?? Nik Nor Madhihah contohnya, pelajar cemerlang SPM 2008 membuktikan bahawa seorang individu yang dhaif, serba kekurangan tetapi dapat berada di kemuncak kejayaan kerana memiliki disiplin diri yang tinggi. Beliau bukan sahaja mempunyai jadual yang ketat, malahan amat mematuhi peraturan yang dibinanya sendiri. Kejayaan Nik Nor Madhihah ini membuktikan bahawa, dengan adanya disiplin, kejayaan dapat dicipta dan dibentuk!!

Orang yang berdisiplin akan sentiasa mengawal diri dari mengambil pemakanan yang kurang sihat. Demikian hujah saya yang kedua. Pemakanan amat penting untuk melahirkan individu yang bersih diri dan minda. Individu yang berdisiplin akan sentiasa mengelak daripada mengambil makanan berbahan perasa, berpengawet malahan berkarbonat. Pengambilan makanan seperti ini bukan sahaja menyebabkan kegemukan dan obesiti malahan melemahkan daya ingatan dan menyukarkan proses menghafal. Persolannya sejauh manakah kenyataan ini benar?? Menurut Adi Putera, seorang kanak-kanak genius Matematik ketajaman ingatannya adalah kerana beliau tidak mengambil sebarang makanan ringan tetapi mengamalkan kismis dan kurma!! Nah..., hadirin sekalian apa lagi yang kita fikirkan, tepuk dada tanyalah jiwa.

Sidang dewan sekalian,

Individu yang berdisiplin adalah individu bermotivasi tinggi. “Di mana ada kemahuan di situ ada jalan”. “Memilih untuk berdisiplin, anda pasti terpimpin”. “Hendak seribu daya, tak hendak seribu auta”. Orang yang bermotivasi sentiasa mempunyai semangat juang dan inginkan persaingan. Sekiranya kita berada dalam zon selesa, tanpa sebarang persaingan, mana mungkin kita dapat membina kejayaan! Contohnya saudara-saudari sekalian, saya tidak akan berdiri di sini kalau saya

Page 7: teks pidato

tidak ada motivasi! Saya tidak akan menyertai pertandingan ini jika saya tidak ingin merasai nikmat persaingan! Melalui pertandingan ini saya belajar berdisiplin. Mana tidaknya?? Saya perlu menghafal, perlu mencari isi, perlu belajar berintonasi? Perlu menghilangkan rasa gentar. Perlu juga membahagikan masa. Jadi dengan adanya motivasi diri yang tinggi saya dapat membentuk disiplin diri.

Orang yang berdisiplin tinggi seperti Dato’ Lee Cheong Wei, Dato’ Nicol Ann David, Dato' Sharifah Mazlina dan Dato’ Dr, Sheikh Muzaffar contohnya adalah individu berdisiplin dan mempunyai kemahuan tinggi. Sedarkah anda bahawa percubaan dan ujikaji ribuan kali dilakukan oleh Thomas Adison untuk mencipta lampu yang dapat kita nikmati faedahnya sehingga kini dan ratusan kali Colonel Sanders menguji resepi KFCnya sehingga kita semua menjamahnya sekarang sampai menjilat jari. Kepatuhan kepada disiplin telah membolehkan mereka mengharumkan nama negara. Siapa sangka seorang wanita seperti Datuk Mazlina dapat menawan Antartika? Siapa sangka Dato’ Dr. Sheikh Muzaffar boleh sampai ke angkasa? Siapa sangka semua mereka ini boleh berjaya. Lihatlah saudara, lihatlah dunia – orang yang berdisiplin, kejayaan milik mereka!! “Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnya”.

Hadirin sekalian,

Resepi kejayaan telah saya suapkan, ambil, kunyah dan telan dalam diri. Akhir kata sebelum mengundurkan diri saya tegaskan sekali lagi, disiplin diri yang jitu mampu membawa seorang individu ke gerbang kejayaan. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata!!

Sekian, wabillahitaufik walhidayah WSLM.

Page 8: teks pidato

Dimohon agar sesiapa sahaja yang berminat mengekstrak teks pidato atau bahan-bahan lain dari blog ini untuk memohon keizinan terlebih dahulu daripada penulis. Sila perkenalkan diri selengkapnya dengan memaparkan nama penuh & nama institusi dan bukannya hanya nama timangan atau pengenalan diri yang samar. Hormatilah hakcipta dan integriti keilmuan. Terima kasih.]

Bismillahirrahmannirrahim,

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Terima kasih peneraju acara, dif-dif kehormat berkarisma, panel juri teguh saksama dan seluruh warga dewan berbahagia. Salam 1Malaysia.

Sungguh hairan, melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya, memperkemas dadanya tetapi tidak pernah menyucikan hatinya, menggilap kasutnya tetapi tidak akalnya. Walhal, kejayaan sesuatu perkara itu bukanlah bergantung kepada penampilan zahir semata-mata tetapi juga ketinggian pemikirannya. Atas pedoman yang sama, percayalah bahawa Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia.

Sesungguhnya, mentaliti kelas pertama bolehlah ditakrifkan sebagai anjakan paradigma pemikiran manusia yang tinggi akal budinya, cemerlang gaya hidupnya dan teguh nilai moralnya sehingga mampu menghijrahkan dirinya daripada gelita kemunduran kepada cahaya kemajuan.

Maka, prakarsa merakyatkan mentaliti kelas pertama diyakini mampu mengharmonikan perpaduan disulami penghayatan terhadap prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan demi menjayakan gagasan 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Persoalannya, bagaimanakah kita dapat menjadikan mentaliti kelas pertama sebagai tonggak kejayaan 1Malaysia?

Maka, hayatilah cetusan minda kurniaan Allah, pragmatik pertama;

Budaya Ilmu Disemai, Insan Berkualiti Dicanai.

Hadirin sekalian,

Kita sedar bahawa kalimah iqra’, kalam Pencipta mentamsilkan ilmu sebagai cahaya, pelita hidup manusia. Dengan menguasai ilmu berguna, mentaliti kita tidak akan terkongkong bagai katak di bawah tempurung sebaliknya mampu melihat dunia dengan pandangan mata burung.

Lantaran itulah, transformasi ke arah pendidikan global yang kita laksanakan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 banyak mengubah persepsi dan mentaliti rakyat kita dalam membudayakan ilmu. Akses kepada pembelajaran sepanjang hayat kita sediakan, gerakan membaca kita perkasakan, program i-Think dan Permata Negara kita arusperdanakan, kemahiran

Page 9: teks pidato

dwibahasa kita tekankan, penguasaan ICT kita utamakan, semuanya atas nama pendemokrasian pendidikan demi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang kita impikan.

Hakikatnya, Laporan Daya Saing Global 2012, Forum Ekonomi Dunia meletakkan kualiti pendidikan kita di tangga ke-14 daripada 142 buah negara dengan kadar literasi 95.7% dan indeks kebolehpasaran graduan 88.4%. Angka-angka kejayaan ini membuktikan bahawa dengan keterbukaan minda rakyat menguasai ilmu berguna, terbentuklah mentaliti kelas pertama menunjangi keadilan sosial teras gagasan 1Malaysia.

Hadirin sekalian, pragmatik kedua; Budaya Inovasi Dijulang, Mentaliti Rakyat Cemerlang,

Dalam melakar kejayaan 1Malaysia, warga Jepun dan Korea Selatan menjadi idola berteraskan inovasi dalam aspek pengurusan masa, disiplin diri dan etika kerja, lambang mentaliti kelas pertama mereka.

Lantaran itulah, pelbagai inovasi telah kita perkenalkan. Menerusi Program Transformasi Ekonomi misalnya, inovasi keusahawanan mampu menganjakkan pemikiran rakyat – daripada mentaliti pengguna kepada budaya pencipta dan daripada mentaliti subsidi kepada semangat berdikari, sekaligus memungkinkan rezeki secupak boleh menjadi segantang asalkan kita bijak merebut peluang. Dalam Program Transformasi Kerajaan pula, kualiti perkhidmatan awam sentiasa ditingkatkan selaras dengan indeks pencapaian utama dan bidang keberhasilan utama negara.

Hasilnya kini, permit pembantu rumah dapat diuruskan dalam tempoh hanya 3 hari, pendaftaran perniagaan baru pula kurang 6 jam, bahkan MyKad boleh siap diproses dalam tempoh 1 jam. Bukankah inovasi budaya kerja cemerlang sebegini mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan kualiti pencapaian? Hakikatnya jelas, mentaliti rakyat yang inovatif inilah yang mampu menunjangi kejayaan 1Malaysia kelak.

Hadirin sekalian, pragmatik ketiga; Nilai-Nilai Murni Dihayati, Kesejahteraan Negara Dinikmati.

Pujangga Melayu selalu berpesan;

Tegak rumah kerana sendi, runtuh sendi rumah binasa,

Tegak bangsa kerana budi, runtuh budi runtuhlah bangsa.

Dalam kita mengejar mentaliti kelas pertama, nilai-nilai murni adalah pelengkapnya ibarat isi dengan kuku, irama dengan lagu, cinta dengan rindu.

Maka, demi mengubah mentaliti masyarakat 1Malaysia agar menjiwai nilai-nilai murni, subjek Sivik dan Kewarganegaraan kita mantapkan, kempen budi bahasa kita jayakan, budaya integriti kita amalkan bahkan pembinaan sahsiah kita pergiatkan, semuanya atas kesedaran bahawa apalah gunanya ketinggian akal fikir manusia tanpa keluhuran budi bahasa.

Tatkala indeks jenayah seluruh negara dilaporkan menurun 11.1% dan indeks keamanan global meletakkan Malaysia di tangga ke-20 paling aman daripada 158 buah negara, apakah yang memungkinkan semua ini berlaku? Pastinya nilai kesefahaman dan prinsip penerimaan menyuburkan mentaliti kelas pertama yang memacu perpaduan bangsa dan kemakmuran negara ke arah kejayaan 1Malaysia.

Page 10: teks pidato

Ya, hadirin sekalian. Secara tuntasnya, prakarsa membentuk mentaliti kelas pertama menuntut kepada pembudayaan ilmu yang berguna, aplikasi inovasi yang bermakna dan penghayatan nilai-nilai murni sepanjang masa. Apabila kesemua ramuan ini mampu kita adun bersama-sama, maka transformasi minda rakyat dapat kita jana sekaligus menjayakan hasrat pembinaan citra gagasan 1Malaysia. Benarlah bahawa “Mentaliti Kelas Pertama Tonggak Kejayaan 1Malaysia”.

Teks disediakan oleh : En. Harmi bin Mohammad Jamil

Disampaikan oleh : Sdr. Muhammad Misykat bin Abdul Rahman

Johan Pertandingan Pidato Piala Diraja Kali Ke-28,

Peringkat Kebangsaan Tahun 2012

Page 11: teks pidato

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang saya kasihi sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Di sini ingin saya lahirkan rasa kesyukuran kerana di beri peluang keemasan di dalam dewan yang serba indah, dalam negara yang sentiasa aman, damai, suasana pagi yang gelap pada zahirnya bertukar cerah terus memberi laluan mudah kepada saya untuk menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, ‘Disiplin Asas Kecemerlangan Diri’. Sidang dewan yang saya hormati, Sebelum saya meneruskan bicara menutur kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk saya pada hari ini.‘Disiplin Asas Kecemerlangan Diri’. Disiplin membawa maksud kepatuhan kepada peraturan. Asas pula ialah tapak. Dasar merupakan satu permulaan. Manakala kecermelangan merupakan satu kegemilangan diri seseorang. Jadi, kepatuhan kepada peraturan merupakan tapak permulaan kepada kegemilangan diri seseorang. Tanpa membuang masa merata-rata, izinkan saya rungkaikan beberapa misteri kecemerlangan dan kegemilangan diri yang sememangnya cukup mudah dikecapi, jika apa yang akan saya perkatakan sebentar lagi dipraktikkan dalam kehidupan. Hadirin sekalian, ‘Akal yang cerdas terletak kepada tubuh badan yang sihat’. Tubuh yang sihat dan cergas memang diperlukan untuk menjalankan aktiviti seharian. Antara salah satu faktor yang perlu diambil berat ialah faktor kesihatan. Kesihatan dapat dijaga apabila pemakanan diawasi. Makanan yang banyak bahan perasa, bahan pengawet dan berkarbonat mestilah dihindari bagi memastikan safat otak berjalan lancar kerana bahan seperti inilah yang melemahkan ingatan dan menyebabkan sukar untuk menghafal sesuatu. Makanan seperti ini juga boleh menyebabkan kegemukan dan obesiti berlaku. Jika terjadi sedemikian, proses pembelajaran sukar untuk dijalankan. Oleh itu, sewajarnya kepada sesiapa yang mencari-cari kecemerlangan diri dan kehidupan berdisiplin perlulah menjaga pemakanan harian. Jaga pemakanan anda, ‘Makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan’. Peraturan semestinyanya ada di sekeliling kita. Hidup tanpa peraturan, mati. Factor yang akan saya tegaskan sebentar lagi berdasarkan aspek mematuhi peraturan iaitu patuh kepada arahan. Jalan raya trafik, rumah ibu bapa, sekolah guru, atau dimana sahaja kita berada pasti ada arahan dan peraturan tersendirinya. Pelajar yang cemerlang merupakan pelajar yang patuh kepada arahan gurunya. Anak yang soleh, meupakan anak yang mendengar arahan ibu bapanya. Dan pengguna jalan raya yang berhemat adalah pengguna yang akur dengan arahan dan peraturan jalan rayanya. Kajian akal menunjukkan individu yang cemerlang ialah individu yang akur dengan arahan. Contohnya, guru menyuruh pelajar mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah tetapi pelajar ini bukan seorang yang patuh pada arahan dan pasti tidak diendahkan kata-kata guru tersebut. Bagaimana ingin cemerlang jika berlaku sedimikan rupa? Ingat, patuh pada arahan, kecemerlangan dalam tangan! Sidang dewan yang saya hormati sekalian, Faktor terakhir yang ingin saya tegaskan pada hari ini adalah factor yang paling penting berkisarkan aspek dalaman individu itu sendiri. ‘Dimana ada kemahuan, di situ ada jalan’. ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’. Penat saya menyusun kata, tapi iltizam, keinginan, daya usaha, daya saing sedikit pun tidak terbit dalam hati, macam mana mahu cemerlang? Terletak pada individu, semangat juang untuk berjaya, untuk cemerlang semestinya ditanam dalam diri masing-masing. Orang cemerlang, orang punyai semangat juang. Datuk Azhar Mansor dan Datuk Sharifah Mazlina contohnya, keinginan yang tinggi, kemahuan membuak-buak untuk mengharumkan nama negara inilah, resepi utama yang membolehkan mereka mengecapi kemanisan kejayaan dan kecemerlangan. Lihatlah dunia, mana- mana pemimpin yang berdisiplin, yang bersungguh-sungguh, yang punyai wawasan dan cita-cita tinggi pasti disanjung masyarakat. ‘Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnyanya. Siapa yang bersungguh-sungguh dia akan dapat kejayaannya.’ Hadirin sekalian, Resepi kejayaan telah saya suapkan, keluarkan sedikit tenaga kunyah dan telan akan meresap ke dalam diri Akhir kata sebelum dewan ini kembali sunyi, saya mahu tegaskan sekali lagi, disiplin yang jitu dalam diri seseorang, mampu membawanya ke gerbang kejayaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sekian wabillahitaufik walhidayah WASSALAM

Page 12: teks pidato

Bismillahirahmanirrahim

Amerika Syarikat bertamadun tinggi berdiri kukuh sebagai kuasa besar dunia, namun kebejatan sosialnya semakin menggila sekaligus menidakkan nilai-nilai insani yang seharusnya menunjangi kehidupan keluarga bahagia. Institusi keluarga tergugat, lantaran akhlak yang mulia telah diabaikan, sebaliknya digantikan dengan konsep matlamat menghalalkan cara dalam segala aspek kehidupan keluarga. Nantikan natijahnya, renungkan.

Assalamualikum WBT dan salam keluarga bahagia.

Sejambak kasih seharum kasturi buat saudara peneraju majlis, jemaah hakim yang berintegriti, warga pendidik yang disanjungi seterusnya rakan-rakan seperjuangan yang dihormati.

Akhlak Mulia Keluarga Bahagia, demikianlah bingkisan wacana saya pada pagi ini.

Hadirin yang bervisi,

Manyusuri konsep AKHLAK MULIA KELUARGA BAHAGIA mempunyai kolerasi tersendiri. Ramai percaya bahawa AKHLAK MULIA adalah kuasa kebahagiaan keluarga, masyarakat dan Negara. Justeru, hadirin sekalian, saya ingin mengajak anda menghayati TIGA focus bicara intipati wacana saya pada hari ini.

Pertama senarioa semasa institusi keluaraga hari ini, . Kedua cabaran yang dihadapi oleh istitusi keluarga dan ketiga , langkah mewujudkan keluaraga bahagia melalui pembentukan akhlak mulia.

Putera-puteri anak pertiwi

Masih segar di ingatan, kita disentak dengan peristiwa duka si bapa menikam mati si isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil, isteri tua menyimbah asid kepada suami tersayang kerana isu berpoligami, si anak pula membunuh ibu kandung angkara dadah yang menghantui diri.Statistik kes sumbang mahram, harapkan pagar, pagar makan padi yang dikeluarkan oleh kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga menunjukkan ada peningkatan kes setiap tahun iaitu 2503 kes pada tahun 2010 kepada 2952 kes pada tahun 2011. Senario reality masyarakat Malaysia sebegini amat menakutkan kita kerana seolah-olah masyarakat kita kehilangan rentak memacu bahtera keluarga. Anak-anak muda di bangku persekolahan sudah mempraktikkan gejala sumbang yang ditonton melalui kemajuan teknologi. Persoalannya, mempukah kita membentuk akhlak mulia dalam kalangan masyarakat kita dan seterusnya melahirkan keluarga yang bahagia dalam situasi sebegini.

Warga dewan budiman,

Page 13: teks pidato

Cabaran dalam membentuk keluarga bahagia. Kehidupan moden hari ini bukan sahaja menuntut manusia untuk bekerja keras bagi menampung kehidupan, namun manusia mula melupakan asas pembinaan keluarga menurut lunas dan akhlak yang mulia. Pembentukan keluarga nukleus tidak lagi menjadi keutamaan dalam era kemodenan ini. Para ibu bapa begitu sibuk bekerja sehingga anak-anak dibiarkan membesar tanpa ada pengawasan. Statistik kes lari dari rumah yang dikeluarkan oleh PDRM Bukit Aman menunjukkan 87 peratus kes lari rumah kerana kelalian ibu bapa. Pakej Keluarga bahagia berteraskan yang muda disayangi, yang tua dihormati, Konsep Rumahku Syurgaku tidak lagi menjadi ikutan bahkan dipandang sepi dalam masyarakat. Sungguh sedih melihat kehancuran akhlak dalam kalangan remaja. Imam Al Ghazali pernah berkata, untuk melihat kemajuan sesuatu bangsa, lihatlah remajanya hari ini. Namun, sayang seribu kali sayang, kes-kes moral terus meningkat saban tahun dan dilihat tiada kesudahannya.

Hadirin yang dikasihi,

Pepatah Melayu ada mengatakan, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Peranan dan tanggungjawab membentuk masyarakat berkualiti diperkasakan melalui pelbagai médium di peringkat akar umbi. Agensi-agensi yang prihatin menyahut pelan strategik kerajaan mengajak masyarakat mengubah paradigma. Kursus pra perkahwinan diwajibkan kepada pasangan yang seia sekata mengikat janji Agar memperolehi kemahiran keibubapaan yang secukupnya. Amalan Budi Bahasa Budaya Kita, disemarakkan Agar jutaan rakyat Malaysia bersama-sama menghayati konsep jati diri dan membetulkan organisasi lantas menanam dan mengkambus jauh telunjuk lurus kelingking berkait. Didikan ágama dan kerohanian disemaisuburkan dalam diri setiap ahli keluarga dengan akhlak-akhlak mulia dan mahmudah agar sikap sayang menyayang dalam keluarga dan masyarakat tidak bertepi. Sudah tentulah puncak kasih akan berpanjangan. Jelas menunjukkan usaha-usaha telah dilakukan bagi membentuk akhlak mulia dan akhinya membentuk keluarga bahagia.

Anak-anak bangsaku

Saya dapat menyimpulkan bahawa bangsa Malaysia mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Nilai-nilai tradisi dan akhlak mulia masih utuh mendasari prinsip keluarga bahagia. Ayuhlah anak-anak bangsaku, kita kekalkan warisan gemilang selagi hayat di kandung badan. Marilah kita lakarkan potret kegemilangan Malaysia pada masa hadapan. Sekian Salam keluarga Bahagia. Wabillah hitaufiq walhidayah wassalamualikum WBT.

Disediakan oleh : SHAHNUN BIN ABDUL GHANI

Disampaikan oleh : DINIE ZHAFRI BIN ZAINUDDIN

(Naib Johan Pertandingan Pidato Piala KPM Peringkat Negeri Perak 2012)

Page 14: teks pidato

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad pernah mengingatkan bahawa tanpa semangat patriotik, kita tidak boleh yakin bahawa kita dapat bertahan dan mengekalkan hak kita, kemungkinannya ialah Malaysia akan tinggal nama dalam sejarah cuma.

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh dan salam 1 Malaysia

Yang saya hormati saudari pengerusi,

Kombinasi intelektual kehakiman yang penuh berintegriti,

Rakan – rakan seperjuangan yang cukup berkredibiliti

Seterusnya warga dewan yang dekat di hati.

Berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana menerusi mauduk pidato saya, ‘Pembentukan Remaja yang Patriotik Tanggungjawab Bersama’

Remaja merujuk kepada individu yang berumur lingkungan 16 hingga 21 tahun manakala frasa patriotik berasal daripada perkataan Greek, patris yangbermaksud perasaan dan semangat cinta akan negara dan bersedia berkorban untuk mempertahankan tanah air. Tanggungjawab bersama pula saya takrifkan sebagai peranan yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak di Malaysia secara bersinergi. Ijmalnya, saya ingin membawa anda semua untuk sama-sama kita fahami akan langkah – langkah yang dapat kita laksanakan bagi membentuk generasi muda yang cinta akan tanah air.

Pragmatik dewan sekalian,

Mantan Presiden Indonesia, Sukarno pernah berkata ‘Berikan aku sepuluh orang tua, dan aku cuma akan mampu menggoncangkan perahu yang terlangkup namun berikan aku sepuluh orang pemuda, dan aku akan mampu menakluk dunia’. Lantas, ayuhlah bersama-sama saya kita rungkai satu persatu prakarsa ke arah melahirkan golongan patriot muda yang berwibawa menerusi 3 prima kata, inspirasi mahakarya.

Page 15: teks pidato

Pertama – peranan ibu bapa dalam mendidik anak – anak mencintai negara. Mungkin kini sudah begitu lama untuk kita bangkitkan, untuk kita ungkitkan betapa untuk kita bangun meratapi muram durja, meratapi keagungan bumi Parameswara gugur rebah dimamah penjajah durjana. Namun, hakikatnya manusia yang tidak mengetahui, tidak mungkin akan memahami dan menghayati seterusnya mengaplikasi. Lantas, perlu bagi ibu bapa tonggak keluarga untuk mendedahkan anak – anak dengan pelbagai bahan bacaan sejarah negara. Alangkah manisnya apabila anak-anak kita menjadikan Dato’ Onn Jaafar sebagai idola dan bukannya Abraham Lincoln, alangkah indahnya apabila kanak – kanak kecil yang baru berdikit mengatur kata namun sudah petah bercerita tentang Rombongan Merdeka dan alangkah seronoknya andai anak – anak muda kita lebih senang membincangkan tentang strategi perjuangan Tunku Abdul Rahman berbanding Alexander the Great.

Kedua – ayuh hadirin, kita maju selangkah untuk menilai juga merungkai peranan para seniman dan karyawan dalam industri seni negara. Masihkah hadirin semua ingat bait-bait lagu Warisan nyanyian Belasungkawa Sudirman Haji Arshad? Masihkah terbayang di mata anda, saat Leftenan Adnan Saidi lakonan Hairie Othman ditikam berkali-kali dengan bayonet oleh tentera Jepun. Semuanya cukup untuk membakar api di dada, menyemarakkan semangat yang membara, cuma satu suara yang bergema di dalam diri kita, ‘Aku Bangga Menjadi Anak Malaysia’. Kalaulah dengan kemudahan yang serba kurang pada tahun 90-an pun kita mampu menghasilkan filem Leftenan Adnan, Bukit Kepong, Anak Satria dan sebagainya. Kenapa tidak pada hari ini, kita giatkan lagi penerbitan pelbagai filem nasionalisme serta lagu – lagu patriotik? Hakikatnya, inilah langkah paling proaktif untuk mendekati serta menyelami hati budi Generasi Y yang sukakan hiburan.

Sidang saksi bermisi, saudara dan saudari,

Ketiga – Penggubalan undang – undang yang lebih ketat untuk memelihara maruah negara. Menjelang sambutan jubli perak kemerdekaan negara iaitu pada tahun 2007 lalu, seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Taiwan seolah-olah merentap keharmonian yang kita kecapi selama ini apabila memuat naik video yang menghina lagu Negaraku, lagu kebangsaan kita. Ayuh kita renung bersama saudara dan saudari, andainya Allahyarham Tunku Abdul Rahman masih berada bersama kita, apa kata beliau? Mungkinkah akan menitis air mata Bapa Kemerdekaan Negara? Di sinilah perlunya untuk kita merangka pelan tindakan terhadap segelintir golongan muda yang cuba mencemarkan keamanan serta kedamaian yang kita kecapi selama ini. Mereka ini sewajarnya dihantar ke pusat – pusat pemulihan akhlak dan menjalani sesi kaunseling bagi menyedarkan mereka bahawa ini negara kita, buruk,baik,cantik atau jelik, ini tanah tumpah darah kita. Tempat kita dilahirkan dan besar kemungkinan tempat kita akan disemadikan.

Hadirin,

Page 16: teks pidato

Pada penghujung bicara,jelas tertera, tatkala kita jadikan patriotisme sebagai budaya dan pegangan, maka impaknya bangsa yang dulu tertiarap dimamah, kini kembali tegak bermaruah. 502 tahun lalu kita dijajah selama 446 tahun. Seandainya saat ini, kemerdekaan yang ada tidak kita hargai dengan patriotisme, ingatlah, bahawa taktala ayam direban disambar helang, padi di tangan menjadi lalang, sejarah mungkin akan berulang.