tanah oh tanah

16
TANAH OH TANAH : SIRI KE 40 ANTARA KEPENTINGAN INDIVIDU DAN KEPENTINGAN AWAM DALAM PENGAMBILAN TANAH (BAHAGIAN KEDUA) 6. KEDUDUKAN DOKTRIN KEPENTINGAN AWAM DALAM UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN TANAH Selepas penubuhan negara bangsa di dunia, doktrin kepentingan awam telah diterapkan dalam undang-undang tanah. Kepentingan awam menjadi tunjang kepada setiap pengambilan tanah secara paksa. Penerapan ini berlaku di semua negara yang berdaulat dan menjadikan pengambilan tanah secara paksa atas prinsip kepentingan awam hak mutlak serta diiktiraf oleh kebanyakan negara. Pada zaman moden ini, hak ini dijangka akan menjadi bertambah penting berikutan dengan peningkatan tanggungjawab bagi sektor awam untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkesan. Ini adalah suatu keperluan yang praktikal. Perkara ini juga dilaksanakan di negara-negara demokrasi berkapitalis. Misalnya, di Amerika, di bawah terma eminent domain, tanah diambil bagi tujuan kepentingan awam. Di Amerika ia dinamakan dengan pembelian secara paksa (compulsory purchase). Bagi tujuan penulisan ini, beberapa buah negara seperti England, India, Australia dan Malaysia telah dipilih untuk melihat kedudukan kepentingan awam dalam undang-undang pengambilan tanah. 6.1 Undang-undang Pengambilan Tanah di England Penerapan doktrin kepentingan awam dalam undang-undang pengambilan tanah yang terawal di England bermula apabila tertubuhnya undang- undang yang dikenali sebagai Magna Carta. Menurut Harju dan Clauretie (1984) di bawah perundangan tersebut, tujuan pengambilan tanah adalah untuk kepentingan awam. Undang-undang pengambilan tanah terus berkembang di England dengan memperkenalkan beberapa buah statut lagi yang memberi kuasa kepada pihak kerajaan untuk mengambil tanah. Dua statut awal yang telah diluluskan ialah Bill for Conyettes di Gloucester dan Bill in London berkuat kuasa mulai tahun 1541. Kedua-dua statut ini diperkenalkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil mana-mana tanah bagi tujuan pemasangan paip air tertakluk kepada pemberi pampasan yang mencukupi kepada pemilik-pemiliknya (Ensiklopedia Brainy, 2005). Sebuah lagi akta berkaitan dengan pengambilan tanah telah diluluskan pada tahun 1708 bagi membolehkan pihak kerajaan mengambil tanah-tanah rakyat bagi tujuan pembinaan kubu-kubu perang. Sehingga tahun 1817, The Metropolitan Paving Act telah diperkenalkan di England bagi tujuan pembinaan jalan awam (Brown, 1972).

Upload: rong-hui

Post on 23-Dec-2015

26 views

Category:

Documents


6 download

DESCRIPTION

land

TRANSCRIPT

TANAH OH TANAH : SIRI KE 40ANTARA KEPENTINGAN INDIVIDU DAN KEPENTINGAN AWAM DALAM PENGAMBILAN TANAH(BAHAGIAN KEDUA) 6. KEDUDUKAN DOKTRIN KEPENTINGAN AWAM DALAM UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN TANAH Selepas penubuhan negara bangsa di dunia, doktrin kepentingan awam telah diterapkan dalam undang-undang tanah. Kepentingan awam menjadi tunjang kepada setiap pengambilan tanah secara paksa. Penerapan ini berlaku di semua negara yang berdaulat dan menjadikan pengambilan tanah secara paksa atas prinsip kepentingan awam hak mutlak serta diiktiraf oleh kebanyakan negara. Pada zaman moden ini, hak ini dijangka akan menjadi bertambah penting berikutan dengan peningkatan tanggungjawab bagi sektor awam untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih berkesan. Ini adalah suatu keperluan yang praktikal. Perkara ini juga dilaksanakan di negara-negara demokrasi berkapitalis. Misalnya, di Amerika, di bawah terma eminent domain, tanah diambil bagi tujuan kepentingan awam. Di Amerika ia dinamakan dengan pembelian secara paksa (compulsory purchase). Bagi tujuan penulisan ini, beberapa buah negara seperti England, India, Australia dan Malaysia telah dipilih untuk melihat kedudukan kepentingan awam dalam undang-undang pengambilan tanah. 6.1 Undang-undang Pengambilan Tanah di England Penerapan doktrin kepentingan awam dalam undang-undang pengambilan tanah yang terawal di England bermula apabila tertubuhnya undang-undang yang dikenali sebagai Magna Carta. Menurut Harju dan Clauretie (1984) di bawah perundangan tersebut, tujuan pengambilan tanah adalah untuk kepentingan awam. Undang-undang pengambilan tanah terus berkembang di England dengan memperkenalkan beberapa buah statut lagi yang memberi kuasa kepada pihak kerajaan untuk mengambil tanah. Dua statut awal yang telah diluluskan ialah Bill for Conyettes di Gloucester dan Bill in London berkuat kuasa mulai tahun 1541. Kedua-dua statut ini diperkenalkan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil mana-mana tanah bagi tujuan pemasangan paip air tertakluk kepada pemberi pampasan yang mencukupi kepada pemilik-pemiliknya (Ensiklopedia Brainy, 2005). Sebuah lagi akta berkaitan dengan pengambilan tanah telah diluluskan pada tahun 1708 bagi membolehkan pihak kerajaan mengambil tanah-tanah rakyat bagi tujuan pembinaan kubu-kubu perang. Sehingga tahun 1817, The Metropolitan Paving Act telah diperkenalkan di England bagi tujuan pembinaan jalan awam (Brown, 1972). Perkembangan Revolusi Industri telah memaksa kerajaan Inggeris mengambil lebih banyak tanah bagi tujuan pembinaan kilang-kilang perusahaan. Revolusi ini juga telah menyumbang kepada pembinaan landasan kereta api dan memaksa kerajaan untuk terus mengambil tanah secara besar-besaran di Britain. Apabila penduduknya menjadi semakin bertambah ramai, pengambilan tanah pula terpaksa dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membolehkan penyediaan kemudahan gas, air dan perparitan. Pada masa yang sama, tanah juga diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan (local council) bagi menyediakan kemudahan-kemudahan awam tempatan seperti perumahan, kesihatan, pelajaran, pertahanan, polis dan sebagainya dan perkembangan ini telah direkodkan terus berlaku dengan meluas di Great Britain pada awal abad ke sembilan belas (Corfield & Camwath, 1978). Doktrin kepentingan awam memberi manfaat yang besar. Pembinaan landasan keretapi tidak mungkin akan menjadi sempurna tanpa bantuan daripada pihak kerajaan dengan menyediakan kaedah bersesuaian untuk mewajibkan pemilik tanah yang enggan untuk melepaskan tanah mereka bagi tujuan pembinaan landasan keretapi. Selain daripada pembinaan landasan keretapi, terdapat banyak lagi contoh yang jelas di England terutamanya yang berkaitan dengan pembangunan semula pusat-pusat perniagaan, pembinaan jalanraya untuk mengurangkan masalah lalulintas. Khublall (1984) pula melihat sejarah pengenalan undang-undang pengambilan tanah untuk kepentingan awam bermula apabila diperkenalkan enclosure statute di England. Sistem ini cuba untuk memecahkan hak pemegangan tanah di bawah sistem feudal. Menurut beliau, enclosure bermaksud proses memagari tanah ladang bagi memastikan sempadan pemilikan tanah. Pemerintah mahukan tanah ladang dipagari dan ditetapkan sempadan masing-masing dengan sempurna pada awal abad ke 12 melalui peruntukan enclosure statute pada tahun 1235. Perundangan tersebut dibentuk bagi membolehkan penyusunan semula tanah-tanah bagi tujuan mewujudkan sistem perladangan yang lebih cekap. Sebagai balasan, pemilik-pemilik tanah akan memperoleh tanah baru atau dibayar pampasan kepada mereka yang terpaksa melepaskan hak mereka. Pada peringkat awal, enclosure statute hanya digunakan oleh pihak kerajaan sahaja bagi melaksanakan sistem memagar tanah. Namun demikian, enclosure statute ini telah diperluaskan kepada pihak swasta bagi membolehkan pihak swasta mewujudkan statut persendirian masing-masing dan seterusnya mewujudkan sistem penyusunan tanah mereka sendiri secara lebih sistematik. Akhirnya, pelbagai pihak swasta telah menggunakan akta persendirian masing-masing bagi tujuan pengambilan tanah seperti untuk memperluaskan pembinaan terusan dan menjadi usahawan kereta api. Tindakan ini akhirnya telah menimbulkan bantahan keras dari pemilik-pemilik tanah yang tidak mahu tanah-tanah mereka terus diambil oleh usahawan-usahawan yang tamak. Proses menanda dan memagar kawasan-kawasan pertanian terus bergerak aktif sehingga ke abad 15 dan 16 apabila penternakan biri-biri mula berkembang pesat bagi menghasilkan kain bulu benang. Perkembangan ini dibantu oleh tindakan kerajaan meminta jasa baik pihak gereja membuat pengumuman supaya pemilik-pemilik tanah terus menentukan sempadan tanah masing-masing. Sistem memagar tanah telah diperkemaskan lagi dengan memperkenalkan General Enclosure Act 1801. Tujuan akta ini adalah bagi memastikan ladang terus diurus dengan lebih sistematik dan tidak lagi dihuni oleh penyewa-penyewa tanah secara kecil-kecilan. Pada tahun yang sama kerajaan juga telah meluluskan General Enclosure (Consolidated) 1801 bagi menggantikan General Enclosure Act 1801. Akta ini menggabungkan peruntukan yang ada di dalam General Enclosure Act 1801 dengan akta-akta persendirian yang lain. Tujuannya untuk menghapuskan penggunaan terlalu banyak akta persendirian. Akta baru ini juga memberi garis panduan kepada mana-mana pihak berkuasa swasta mengenai perkara-perkara yang mesti dipatuhi apabila hendak menggubal sebarang akta persendirian masing-masing. Walau bagaimanapun, Enclosure (Consolidated) 1801 ini telah diganti oleh perundangan baru yang dikenali sebagai Enclosure Act 1845. Enclosure Act 1845 ini telah memperuntukkan bahawa sebuah Suruhanjaya Enclosure perlu ditubuhkan bagi meluluskan semua permohonan untuk memagar tanah-tanah ladang bagi seluruh England dan Wales. Setelah akta tersebut dikuatkuasakan, permohonan untuk mewujudkan undang-undang persendirian telah tidak dibenarkan lagi. Akhirnya, akta ini telah menjadi asas kepada kes-kes pengambilan tanah sama ada di England dan negara jajahannya yang lain (Khublall, 1984). Menurut Ghosh (1973), selain daripada Enclosure Act 1845, terdapat satu lagi akta yang telah diperkenalkan iaitu Land Clauses Consolidation Act 1845. Akta ini juga membolehkan pihak berkuasa mengambil mana-mana tanah yang diperlukan bagi tujuan awam. Beberapa undang-undang tambahan terus diperkenalkan di England seperti Land Clauses Consolidated (Amendment) Act 1860 dan Land Clauses Act 1869. Walau bagaimanapun, suatu perubahan mendadak telah berlaku apabila Land Acquisition (Amendment) Act Tanah 1919 dibentuk bagi membolehkan pihak swasta untuk pengambilan tanah. Syarikat-syarikat swasta dan orang perseorangan kini boleh mengambil mana-mana tanah bagi tujuan menjalankan sebarang urusan perniagaan yang bermotifkan keuntungan seperti membina landasan kereta api, gas atau air bersih. Pada masa yang sama akta ini juga membenarkan pengambilan mana-mana tanah bagi tujuan awam oleh mana-mana jabatan kerajaan, perbadanan awam atau pihak berkuasa tempatan. Land Acquisition (Amendment) Act 1919 ini memberi peruntukan baru tentang tatacara menentukan bayaran pampasan tanah, tuntutan-tuntutan sampingan yang dibenarkan serta kaedah penyampaian notis-notis pengambilan tanah. Walau bagaimanapun akta ini telah dipinda bagi menjadikan Land Tribunal Act 1949 dengan ciri-ciri utama akta baru ini telah memperuntukkan Jawatankuasa Tribunal Tanah sebagai pihak berkuasa yang menentukan pampasan tanah. Namun demikian, Land Tribunal Act 1949 tidak bertahan lama kerana dikatakan mempunyai beberapa kelemahan tertentu. Akhirnya Acquisition of Land (Assessment of Compensation) Act 1919 telah digabungkan bersama-sama dengan Land Tribunal Act 1949 bagi membentuk Land Compensation Act 1961 (Brown, 1972). Sehingga kini terdapat beberapa akta yang telah diguna pakai di England. Bagi membuat rujukan mengenai prosedur pengambilan tanah, Compulsory Purchase Act 1965 perlu digunakan. Sementara itu, bagi tujuan merujuk mengenai kaedah penentuan pampasan, Land Compensation Act 1961 pula perlu digunakan. Lazimnya Compulsory Purchase Act 1965 dan Land Compensation Act 1961 merupakan dua akta yang kerap dirujuk bagi kes-kes pengambilan tanah di England. Bagi memperluaskan skop pihak berkuasa tempatan di dalam hal-hal pengambilan tanah, maka Town and Country Planning Act 1947 boleh digunakan termasuklah Planning and Compulsory Purchase Act 2004 dan Housing Act 2004. 6.2 Undang-undang Pengambilan Tanah di Australia Sejarah perundangan di Australia bermula apabila Akta Mahkamah Australia 1828 telah memperuntukkan bahawa undang-undang yang sepatutnya diguna pakai di New South Wales sebenarnya perlu berdasarkan kepada prinsip asas perundangan Inggeris (Brown, 1972). Oleh yang demikian, bagi tujuan pengambilan mana-mana tanah, undang-undang pengambilan tanah yang pertama diguna pakai ialah Land Clauses Act 1845 yang diambil daripada England. Akta ini dikatakan mampu mewujudkan keseragaman dalam prosedur pengambilan tanah bagi seluruh Australia. Walaupun Australia menerima prinsip-prinsip asas undang-undang pengambilan tanah Inggeris, namun atas inisiatif penggubal undang-undang sendiri, mereka telah mula meminda beberapa peruntukan yang ada dalam Land Clauses Act 1845 bagi membentuk undang-undang pengambilan tanah mengikut negeri masing-masing. Australia mempunyai enam negeri sendiri iaitu New South Wales, Tasmania, Victoria, Queensland, South Australia dan Western Australia sehinggalah mendapat kedaulatan untuk membentuk undang-undang mereka sendiri daripada Great Britain pada tahun 1942. Dua buah wilayah lain turut mendapat kuasa separa autonomi dikenali sebagai Australian Capital Territory di mana terletaknya Bandar Canberra dan kawasan Northern Territory di sebelah utara (Raff, 2002). Perundangan yang diguna-pakai adalah berbentuk statut yang telah memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk mengambil mana-mana tanah untuk tujuan awam. Sembilan statut yang digunakan dan menurut Brown (2004) ia meliputi (i) Land Acquisition Act 1989 Commonwealth; (ii) Land Acquisition (Just Terms Compensation) Act 1991 New South Wales; (iii) Land Acquisition and Compensation Act 1986 Victoria; (iv) Acquisition of Land Act 1967 Western Australia; (v) Land Acquisition Act 1969 South Australia; (vi) Land Acquisition Act 1993 Tasmania; (vii) Land Acquisition Act 1978 Northern Territory; dan (vii) Land Acquisition Act 1969 Australian Capital Territory. Undang-undang terawal yang berkaitan dengan pengambilan tanah untuk tujuan awam di New South Wales bermula dengan diperkenalkan Resumption of Lands by Crown Act 1829. Undang-undang ini sebenarnya memberi penekanan terhadap pemberian semula tanah untuk diduduki oleh pihak kerajaan ataupun di bawah peruntukan tanah Perbadanan Gereja dan Tanah-tanah Sekolah. Peruntukan berkaitan hal-hal pengambilan tanah adalah agak terhad. Walau bagaimanapun, perundangan ini kurang digunakan kemudiannya kerana tanah simpanan kerajaan sudah menjadi semakin berkurangan. Akhirnya, Public Road Act 1833 telah digubal bagi memberi kuasa kepada pihak kerajaan untuk mengambil mana-mana tanah bagi tujuan pembinaan jalan awam. Tidak lama kemudian, The Ministry Defense Lands Act 1854 telah diperkenalkan bagi membolehkan pihak tentera mengambil mana-mana tanah bagi tujuan pertahanan negara kerana undang-undang sebelum ini tidak membenarkan pihak tentera untuk mengambil mana-mana tanah. Kemudian, Sydney Corporation Act 1879 telah diperkenalkan bagi membolehkan mana-mana perbadanan mengambil mana-mana tanah untuk tujuan pembinaan jalan awam, menyediakan bekalan air dan parit di dalam kawasan bandar dengan bayaran pampasan yang sewajarnya. Namun demikian perundangan buat pertama kali berkaitan dengan pengambilan tanah bagi tujuan menyediakan perkhidmatan bekalan air, sekolah, jalan, perpustakaan, kubu tentera dan tujuan awam ialah Lands for Public Purposes Acquisition Act 1880. Akta ini kemudiannya telah digantikan oleh Public Work Act 1880 yang mana beberapa kandungannya adalah berasaskan kepada Land Clauses Act 1845 (UK). Undang-undang pengambilan tanah terawal di Victoria pula adalah Akta Perbadanan Melbourne Pindaan 1853. Akta ini memberi kuasa kepada mana-mana perbadanan mengambil tanah untuk membina parit, longkang dan saliran dengan pembayaran pampasan yang sewajarnya. Namun demikian, akta ini telah diganti dengan Land Clauses Act 1845 yang mula diguna pakai oleh pihak berkuasa di Victoria untuk mengambil mana-mana tanah bagi tujuan menyediakan kemudahan awam seperti menyediakan bekalan gas, landasan kereta api dan bekalan air. Land Clauses Act 1845 kemudiannya telah digantikan oleh Victoria Land Compensation Statute 1869 yang kemudiannya telah digantikan oleh Land Compensation Act 1890. Akta 1890 ini telah dikaji semula sebanyak tiga kali pada tahun 1915, 1928 dan 1958. Undang-undang awal yang mula diguna pakai di South Australia bagi tujuan pengambilan tanah adalah Land Clauses Act 1845. Akta ini kemudiannya diubahsuai bagi mewujudkan Land Clauses Act (South Australia) 1847. Akta ini telah diguna pakai lebih 80 tahun sebelum diganti dengan Land Acquisition Act (South Australia) 1925. Akta ini turut mengalami pelbagai perubahan tetapi masih terus mengekalkan konsep perundangan Inggeris terutama sekali berkaitan kontrak pembeli dengan penjual, penyampaian notis pengambilan tanah dan kaedah penentuan pampasan yang perlu ditentukan oleh pihak mahkamah (Brown, 1972). Queensland pula mewarisi perundangan awalnya daripada New South Wales dan undang-undang awal tentang pengambilan tanah yang diguna pakai di sini ialah Public Works Lands Resumption Act 1878. Kandungan utamanya akta berkenaan adalah berasal daripada Land Clauses Act 1845. Namun demikian, terdapat perubahan besar dan berbeza apabila Seksyen 10 akta berkenaan telah membenarkan pemilik-pemilik tanah membuat bantahan sekiranya mereka tidak berpuas hati terhadap tanah yang diambil sedangkan tiada peruntukan berkenaan di bawah Land Clauses Act 1845. Menteri pula akan melantik satu badan untuk mendengar rayuan pemilik-pemilik tanah dan mereka boleh diwakili oleh peguam. Seksyen 11 pula memperuntukkan bahawa semua keputusan adalah tertakluk kepada Majlis Gabenor. Perbezaan lain daripada Land Clauses Act 1845 adalah pihak berkuasa yang mengambil tanah dikehendaki memberi notis sekurang-kurangnya sepuluh hari sebelum mengambil tanah berkenaan. Walau bagaimanapun, Public Works Lands Resumption Act 1878 telah dibatalkan dan diganti dengan Public Works Land Resumption Act 1906 yang baru tetapi pada kali ini hak pemilik tanah untuk membuat bantahan terhadap pengambilan tanah tidak dibenarkan semula. Hak membuat bantahan hanya dikembalikan apabila Land Acquisition Act 1967 telah diperkenalkan dan akta ini telah berkuasa sehingga ke hari ini. Land Clauses Act 1857 pula telah diperkenalkan di Tasmania. Akta ini adalah berasal daripada Land Causes Act 1845 (UK) dengan membuat sedikit pindaan. Perundangan tersebut telah mengalami beberapa perubahan dan sehingga hari ini, Tasmania telah mengguna pakai dua akta yang berasingan bagi tujuan pengambilan tanah iaitu Land Resumption Act 1957 dan Public Authorities Land Acquisition Act 1949. Walau bagaimanapun, intipati kedua-dua undang-undang tersebut tidak banyak berubah dan kebanyakan peruntukan yang ada pada Land Resumption Act 1957 mempunyai banyak persamaan dengan Land Acquisition Act 1955 (Commonwealth). Sementara itu, Public Authorities Land Acquisition Act 1949 dan Land Resumption Act 1957 telah dikaji semula sehingga membentuk Land Acquisition Act 1993. Tujuan pembentukan undang-undang baru ini adalah untuk membuat peruntukan pengambilan tanah bagi pihak kerajaan, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan untuk menjalankan pengambilan tanah bagi sesuatu tujuan awam. Perundangan ini telah diluluskan oleh Majlis Perundangan dan Dewan Perhimpunan Tasmania setelah diperkenankan oleh Baginda Queen dan mula berkuat kuasa pada 3 Jun 1993. Perundangan pertama yang mula diperkenalkan di Western Australia bagi tujuan menyediakan cara pembayaran pampasan tanah ialah Resumption of Town Lands (Compensation) Act 1854. Mengikut akta ini notis-notis pengambilan tanah perlu dikeluarkan terlebih dahulu dan satu badan khas akan dilantik sekiranya terdapat perbalahan tentang jumlah pampasan yang ditawarkan. Walau bagaimanapun, terdapat akta yang boleh digunakan bagi tujuan pengambilan tanah di negeri ini iaitu Akta Parit Perth 1874. Akta ini memberi kuasa kepada pihak kerajaan untuk mengambil mana-mana tanah bagi tujuan pembinaan parit-parit manakala Railway Acts 1897 pula telah diluluskan bagi membolehkan pihak kerajaan mengambil mana-mana tanah bagi tujuan pembinaan jalan kereta api. Sebuah lagi perundangan diperkenalkan bagi membolehkan pengambilan tanah iaitu Land Resumption Act 1894. Oleh sebab terdapat banyak akta digunakan bagi tujuan-tujuan pengambilan, maka sebuah akta baru telah diperkenalkan pada tahun 1902 yang dikenali sebagai Public Works Act yang berfungsi untuk menyelaras dan memperkukuhkan sembilan buah Railway Act dan tiga buah Land Resumption Acts yang ada. Public Work Act 1902 (Western Australia). Menurut Frickle (1972), perundangan Public Work Act 1902 merupakan perundangan yang panjang, janggal dan membingungkan. Sehingga kini, Western Australia telah menggunakan Land Administration Act 1997 sebagai perundangan bagi tujuan-tujuan pengambilan tanah. Commonwealth pula meliputi kawasan-kawasan di Australia yang tidak termasuk dalam mana-mana Kerajaan Negeri. Setiap negeri mempunyai kuasa dalam bidang tertentu seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 51 Perlembagaan Australia tetapi Commonwealth hanya mempunyai kuasa terhadap wilayah-wilayahnya sahaja. Wilayah-wilayah Commonwealth adalah terdiri daripada Mainland Territories dan External Territories. Mainland Territories meliputi Australian Capital Territory (Canberra), Northern Territory (Darwin) dan Jervis Bay Territory manakala External Territories adalah meliputi Ashmore and Cartier Island, Norfolk Island, Christmas Island, Cocos and Keeling Island, Coral Sea Islands Territories, Heard and McDonald Islands serta Australia Antarctic Territory. Kuasa dalam bidang pengambilan tanah, hospital, polis, mahkamah, kerajaan tempatan dan pengangkutan awam diperuntukkan di bawah Seksyen 51 Perlembagaan Australia. Perundangan pertama yang digunakan di Commonwealth Australia bagi tujuan pengambilan tanah adalah Acquisition of Property for Public Purposes Act 1901. Akta ini diubahsuai daripada Public Work Act New South Wales 1900. Penggunaan Acquisition of Property for Public Purposes Act 1901 adalah tidak lama dan telah digantikan oleh Land Acquisition Act 1906 yang kemudiannya telah digantikan pula oleh Land Acquisition Act 1955. Melalui Land Acquisition Act 1955 ini, wilayah-wilayah yang tergolong di bawah jajahan Commonwealth telah menggunakan konsep pampasan saksama (just term) yang melarang pengambilan tanah yang telah dirizabkan khas sebagai taman rekreasi awam. Sehingga kini, akta yang digunakan bagi wilayah-wilayah ini adalah Land Acquisition Act (Commonwealth) 1989. Menurut Brown (1972), walaupun Australia menerima asas perundangan Inggeris, namun terdapat dua prinsip utama yang membezakan undang-undang pengambilan tanah Inggeris berbanding dengan undang-undang Australia. Pertama, harta tidak boleh diambil balik oleh kerajaan kecuali dengan peruntukan perundangan yang diluluskan oleh akta parlimen. Kedua, pampasan tidak boleh hanya ditaksir oleh penilai kerajaan tetapi memerlukan sebuah badan bebas yang berasingan. Kedua-dua asas ini diterima di mana-mana mahkamah dan badan perundangan di Australia. Walaupun terdapat pelbagai akta yang diperkenalkan di Australia adalah berasal daripada England, namun negara ini tidak menerima pakai kesemua perundangan Inggeris berkenaan. 6.3 Undang-undang Pengambilan Tanah di India Sejarah undang-undang pengambilan tanah untuk public purpose di India bermula apabila diperkenalkan Peraturan 1 Kod Bengal 1824. Undang-undang ini mula diterima pakai bagi seluruh Wilayah Bengal bagi membolehkan kerajaan membuat pengambilan tanah bagi public purpose seperti pembinaan jalan raya, terusan dan lain-lain. Seksyen 9 sehingga 15 Kod Bengal ini telah memberi kuasa kepada pihak kerajaan untuk mengeluarkan lesen pendudukan sementara terhadap mana-mana tanah yang akan digunakan bagi tujuan menghasilkan garam. Undang-undang berkenaan juga membolehkan pihak kerajaan membayar pampasan munasabah kepada pemilik-pemilik tanah yang terpaksa kehilangan tanah mereka disebabkan hasrat pihak Kolonial Inggeris hendak menggunakan sesuatu kawasan sebagai pusat pengeluaran garam (Ramachandran, 1978). Kod Bengal 1824 ini tidak kekal lama dan telah digantikan dengan Akta 1850. Akta ini mula diguna pakai di Bengal dan telah diperluaskan penggunaannya ke Culcutta bagi membolehkan Inggeris terus mengambil mana-mana tanah bagi apa-apa maksud menyediakan kemudahan awam. Akta 1850 ini sebenarnya telah diubahsuai daripada Kod Bengal 1824. Walau bagaimanapun, perundangan ini memperuntukkan bahawa sebarang pengisytiharan pengambilan mana-mana tanah hanya boleh dilakukan oleh Gabenor Jeneral Bengal sahaja. Pengenalan Akta Bangunan XXVIII 1859 kemudiannya merupakan kesinambungan daripada Akta 1850. Akta bangunan ini telah diperkenalkan bagi membolehkan pengambilan tanah dilakukan bagi tujuan pembesaran dan penukaran mana-mana jalan awam, lorong atau parit di Bombay dan Colaba. Undang-undang ini juga menggariskan prosedur yang jelas mengenai proses pengambilan tanah secara paksa di sisi-sisi undang-undang bagi tujuan berkenaan. Akta 1870 kemudiannya telah diperkenalkan bagi memperbaiki kelemahan yang ada pada akta-akta sebelumnya. Akta 1870 ini telah menghapuskan kuasa budi bicara yang tidak terkawal yang diberikan kepada penimbangtara dalam menentukan jumlah pampasan yang perlu dibayar. Kuasa budi bicara ini kemudiannya diserahkan kepada Pemungut Hasil Tanah mengikut kawasan masing-masing. Sebarang bantahan pula perlu dirujuk ke Mahkamah Daerah dan tidak lagi diserahkan kepada penimbangtara. Proses mahkamah akan diadili oleh seorang hakim yang turut dibantu oleh seorang penilai atau lebih. Sekiranya terdapat perbalahan yang masih belum selesai, maka rujukan akan dibuat ke Mahkamah Tinggi. Walau bagaimanapun, Akta 1870 masih didapati kurang berkesan dalam melindungi kepentingan pemilik-pemilik tanah terutamanya yang melibatkan perbalahan pampasan yang kecil apabila pemilik-pemilik tanah terpaksa membayar kos mahkamah yang terlalu banyak melebihi nilai pampasan tanah yang dipertikaikan. Pemungut tidak mempunyai kuasa membuat keputusan terhadap pertikaian-pertikaian kecil dan terpaksa merujuk semua kes ke mahkamah. Tindakan merujuk semua pertikaian atau tuntutan kecil adalah tidak praktikal. Pada masa yang sama, kegagalan mana-mana pihak untuk menghadiri perbicaraan berkenaan boleh meningkatkan kos mahkamah. Perbalahan di mahkamah biasanya akan memakan masa yang lama kira-kira tiga tahun dan menyebabkan faedah akan terkumpul meningkat sehingga pertikaian selesai di mahkamah. Kos yang banyak ini akan membebankan pihak kerajaan dan wang awam (Ghosh, 1973). Oleh itu, timbul satu cadangan untuk meminda akta yang ada bagi menjadikan keputusan pemungut sebagai muktamad bagi kes-kes yang melibatkan perbalahan yang kecil disebabkan Pemungut tidak mempunyai sebarang kuasa budi bicara. Pemilik yang hendak merujuk ke mahkamah perlu berfikir panjang kerana jumlah tuntutan yang sangat kecil boleh merugikan masa dan kos mereka. Sementara itu, kaedah penentuan pampasan di mahkamah boleh menimbulkan beberapa bermasalah kerana hakim perlu dibantu oleh seorang atau beberapa orang penilai. Akibatnya, perkhidmatan penilai yang sangat diperlukan bagi tujuan penilaian tanah terganggu kerana pada masa yang sama mereka terpaksa membantu hakim dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi atau mahkamah yang lebih tinggi. Adalah sesuatu yang membazir masa dan wang apabila penilai terpaksa membuat penilaian untuk Pemungut dan pada masa lainnya terpaksa diminta oleh hakim untuk menentukan pula nilai pasaran yang sedang menjadi perbalahan. Oleh hal demikian, beberapa cadangan telah dibuat untuk meminda Akta 1870. Hasilnya, Akta 1 Tahun 1894 telah diluluskan oleh Gabenor-General India dan mula berkuat kuasa pada 1 Mac 1894. Akta ini bertujuan menyelesaikan beberapa kelemahan yang ada di dalam Akta 1870. Akta Pengambilan Tanah 1894 ini terus berkuat kuasa dan diguna pakai sehingga sekarang (The Land Acquisition Act, 1894 (Act No. I of 1894). Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah 1894 menyatakan bahawa tanah boleh diambil untuk public purpose. Teks penuh seperti di bawah. Isunya ialah tiada definisi yang diberikan terhadap public purpose dan tiada juga had untuk membuktikan kegunaan public purpose. Ia bergantung penuh kepada budi bicara kerajaan. Land may be taken for any bona fide public purpose a term which has been widely interpretect. 6.4 Undang-Undang Pengambilan Tanah di Singapura Pada peringkat awal, polisi tanah bagi pentadbiran penjajah di Singapura adalah untuk mengelakkan sebahagian besar daripada negara itu terus diseliputi oleh hutan serta keinginan untuk meningkatkan pendapatan negara. Pentadbiran kolonial British telah meluluskan Indian Act VI of 1857 untuk digunapakai di Negeri-negeri Selat (Singapura, Melaka dan Pulau Pinang) seperti yang digunapakai di India. Akta ini digunakan untuk membolehkan pembinan jalan raya aliran dan landasan keretapi. Akta 1857 ini dipinda dari masa ke semasa. Pada tahun 1863, The Indian Act XXII telah digubal bagi membolehkan tanah diambil secara paksa untuk kegunaan awam. Akta 1863 ini kemudiannya digantikan dengan Ordinan Negeri-Negeri Selat 1889, diikuti dengan Straits Settlements Acquisition of Land for Public Purpose Ordinnce 1920. Ia digubal berasaskan kepada India Land Acquisition Act, 1894 (Act No. I of 1894. Tujuannya adalah bagi membolehkan kes-kes di India boleh dipetik dan dirujuk sebagai panduan dan asas pertimbangan. Keadaan sosial pada ketika itu agak berbeza. Penduduk Singapura makin bertambah ramai. Bagi memastikan perumahan mencukupi untuk semua penduduk, maka permintaan terhadap tanah bagi tujuan pembinaan rumah dan flat meningkat. Dalam masa yang sama, pihak swasta rancak membina rumah kediaman untuk warga asing dan mereka yang berhijrah ke Singapura. Populasi yang bertambah secara cepat menuntut jumlah pertambahan peluang pekerjaan. Tanah diperlukan untuk tujuan perindustrian, tanah diperlukan untuk pembinan pusat memeli belah, pejabat dan lain lain kemudahan untuk padagang, usahawan asing dan pelabur. Kemasukan modal asing dan syarikat multi-nasional juga memberi tekanan kepada kerajaan untuk menyediakan tanah secukupya untuk memenuhi keperluan tersebut. Pada tahun 1959, Singapura bebas daripada cengkaman British. Ketika itu Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu dan Malaysia mulai pada tahun 1963. Namun pada 9 Ogos 1965, Singapura telah meninggalkan Malaysia dan menjadi sebuah negara berdaulat. Semasa Singapura berada dalam Malaysia, Singapura tertakluk kepada Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan bagi isu berkaitan pengambilan tanah secara paksa. Sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat, sebuah perlembagaan baru digubal. Peruntukan perlembagaan yang digunapakai oleh Singapura semasa Singapura berada dalam Malaysia telah menjadi asas kepada perlembagaan baru. Merujuk kepada seksyen 6(1) Republic of Singapore Independent Act, peruntukan kebebasan asas yang terkandung dalam Perlembagan Persekutuan (Malaysia) telah diserap ke dalam perlembagaan baru Singapura kecuali peruntukan yang terkandung dalam Perkara 13. Peruntukan ini dikecualikan bagi mengelakkan sebarang pertikaian berkaitan dengan kecukupan bayaran pampasan. Salah satu alasan bagi pengecualian Perkara 13 ini adalah kerana kerajaan India sendiri telah meminda peruntukan sebegini yang terkandung dalam perlembagaan mereka pada ketika itu untuk memudahkan pembaharuan undang-undang tanah dilakukan. Bagi Singapura pengaplikasian Perkara 13 akan mengundang masalah yang sama seperti yang telah berlaku di India sebelum ini. Sekitar awal tahun 1960an, perundangan yang sedia ada tidak mencukupi bagi memenuhi tuntutan dan keperluan masyarakat yang berkaitan dengan pengambilan tanah. Pada tahun 1964, terdapat kecenderungan untuk meminda Land Acquisition Orninance apabila Rang Undang-Undang Pengambilan Tanah (PIndaan 2) di perkenalkan. Di Parlimen, Rang undang-undang ini telah mencadangkan beberapa perubahan berkaitan dengan pengambilan tanah orang ramai secara paksa untuk public purpose. Walau bagaimanapun perjalanan rang undang-undang terbabit telah ditangguhkan dan akhirnya tidak dapat diaplikasikan kerana kesulitan perlembagaan. Maka pada tahun 1966, Rang undang-undang yang baharu berkaitan dengan pengambilan tanah secara pakdsa telah diperkenalkan di Parlimen. Rang Undang-undang ini telah diluluskan pada tahun 1966 setelah satu jawatankuasa terpilih dilantik untuk menjalankan kajian yang terperinci dan membuat cadangan berkaitan dengan pelbagai peruntukan. Land Acquissition Act 1966 yang mula berkuatkuasa pada 17 Jun 1967. Meskipun terdapat perbezaan antara perundangan asal dengan Akta yang telah dipinda, namun kebanyakan peruntukan-peruntukannya masih lagi berdasarkan Indian Land Acquisition Act 1894. Akta 1966 telah diperkukuhkan lagi dalam 1970 Edition of Singapore Statutes dan diperkukuhkan sekali lagi pada tahun 1985. Pengambilan tanah untuk public purpose dalam Akta 1966 dinyatakan pada seksyen 5(1) seperti berikut: Notification that land is required for specific acquisition.5. (1) Whenever any particular land is needed (a) for public purpose;(b) by any persons, corporation or statutory board, for any work or undertaking which, in the option of the Minister, is of public benefic or of public utility or in the public interest; or( c ) for any residential commercial or industrial purpose, The President may, by notification published in the Gazette, declare the land to be required for the purpose specified is the notification. Jika diperhatikan, sub-seksyen 5(1)(a) dan (b) mempunyai elemen public purpose. Disebabkan pengertiannya terma public purpose terlalu luas, dilihat bahawa sub-seksyen 5(1)(b) sebenarnya tidak perlu wujud atau tidak diperlukan. Apa juga matlamat pengambilan yang dibuat di bawah sub-seksyen (b) sebenarnya telah terangkum di bawah sub-seksyen 5(1)(a) iaitu untuk apa jua public purpose. Namun demikian pengubalan sub-seksyen 5(1)(b) adalah untuk mengelakkan mahkamah daripada menggunakan ujian objektif (an objective test) dalam menentukan sama ada apa jua kerja adalah tergolong di antara manfaat awam/kegunaan awam/kepentingan awam berdasarkan kuasa yang telah diberikan kepada Menteri yang berkaitan. Sub-seksyen 5(1)(c) mempunyai pentafsirannya amat luas. Ia berkaitan dengan pengambilan tanah bagi tujuan perumahan, perdagangan, dan penindustrian tanpa perlu memenuhi elemen awam. Seksyen ini telah diambil daripada seksyen 3(1)( c ) Akta Pengambilan Tanah 1960 (Malaysia) tetepi telah diubah sedikit di mana perkataan perdagangan telah menggantikan perkataan perlombongan. Seksyen ini diambil sepenuhnya daripada perundangan sebelumnya dan telah mengundang pelbagai kritikan. Penggubalan sub-seksyen ini dikritik kononnya peruntukan ini tidak diperlukan lagi kerana matlamatnya telah pun tercapai melalui sub-seksyen 5(1)(a). Kritikan ini wujud kerana pelaksanaan Pemberitahuan Presiden (President Notification) dalam warta kerajaan. Sebenarnya, sehingga sekarang, tiada lagi usaha yang dilakukan untuk membezakan pengambilan yang dibuat di bawah sub-seksyen 5(1)(a)(b) dan (c) kerana pemberitahuan dalam warta kerajaan selalunya hanya digambarkan dengan kenyataan pengesahan di bawah seksyen 5. Sekarang ianya kelihatan bagaikan suatu tradisi untuk menerangkan kegunaan tanah yang diambil di dalam president notification tersebut. Sub-seksyen 5(1(c) juga dibidas kerana pentafsirannya amat luas. Ianya berpotensi untuk disalahgunakan oleh seseorang individu tanpa menyumbangkan apa-apa manfaat terhadap masyarakat. Maka, ianya telah diperkatakan bahawa tahap kejujuran yang terkandung di dalam peruntukan ini boleh dipertikaikan kerana sub-seksyen ini terlalu luas untuk membenarkan pengambilan dilakukan. Walaupun setiap pengambilan memerlukan kebenaran kerajaan terlebih dahulu, namun kaedah kawalan ini tidak mampu untuk menghilangkan kerisauan/sifat syak wasangka yang ada dalam jiwa sesetengah rakyat. Kerajaan mempunyai kuasa budi bicara dan dalam melaksanakan kuasa budi tersebut, kemungkinan kerajaan tersilap dan terlepas pandang yang menjurus kepada penyalahgunaan kuasa. Ini kerana walau apa jua kawalan yang diperuntukkan, meraka yang berniat jahat pasti mempunyai jalan mereka yang tersendiri untuk meminda kawalan tersebut. Namun begitu, kawalan terhadap prosedur pengambilan amat diperlukan terutamanya untuk membendung perbuatan tidak bermoral di kalangan pegawai-pegawai kerajaan yang melaksanakan polisi kerajaan ini. Dalan keadaan sekarang, mereka boleh berlindung di bawah seksyen 5(3) iaitu sesuatu pengesahan yang menyatakan sesuatu tanah itu diperlukan untuk sesuatu tujuan tertentu dikatakan adalah konklusif (conclusive). Seksyen 5(1) mengandungi 3 sub-seksyen iaitu (a)(b) dan (c). Maka, walau apa pun jua tujuannya, jika ianya masih lagi di bawah pertimbangan seksyen 5(1) dan terbukti tidak mempunyai niat jahat (mala fide), pengambilan tersebut tidak boleh dicabar. Diharapkan pada suatu masa hari nanti, kerajaan akan melihat semula kepada kepentingan terhadap kuasa pengambilan. Secara semulajadi, tanpa pembatasan tersebut, masyarakat akan menjadi semakin bimbang kerana kerajaan berpotensi besar untuk menyalahgunakan kuasa tersebut. 6.5 Undang-Undang Pengambilan Tanah di Malaysia Sejarah pengambilan tanah secara paksa bermula di Malaysia apabila FMS Enactment No. 20 of 1922 diperkenalkan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada Tahun 1922. Enakmen ini kemudiannya ditukar kepada Land Acquisition Enactment (FMS Cap. 140). Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu juga memperkenalkan undang-undang pengambilan tanah secara paksa masing-masing seperti: (i) Land Acquisition Enactment of the State of Johore 1936 (16 of 1936); (ii) Land Acquisition Enactment (No.57) of the State of Kelantan; (iii) Acquisition of Land for the railway Purpose of the State of Perlis (8 of 1934); (v) Land Acquisition (Extension to Perlis) Enactment 1958 of the State of Perlis. (6 0f 1332); (v) Land Acquisition (Extension to Terengganu) Ordinance 1952 (9 of 1952); dan (vi) Land Acquisition Ordinance of the Straits Settlements (Cap.128) Bagi maksud keseragaman undang-undang dan dasar, Perkara 76 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Kerajaan Persekutuan melalui Parlimen untuk membuat undang-undang seragam bagi setiap negeri-negeri di Tanah Melayu. Justeru, pada 12 September 1960, suatu Rang Undang-Undang mengenai pengambilan tanah secara paksa telah dibentangkan di Parlimen oleh YAB Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri. Katanya dalam sidang Dewan Rakyat itu bahawa: ..saya suka menjelaskan kepada Dewan ini bahawa ini adalah suatu Rang Undang-Undang Persekutuan yang diperkenalkan di bawah Perkara 76(1) Perlembagaan Persekutuan bagi maksud menjamin keseragaman dalam kesemua Negeri dalam perkara pengambilan tanah secara paksa. Undang-undang mengenai pengambilan tanah secara paska ini diberi nama sebagai Akta Pengambilan Tanah 1960 (Land Acquisition Act 1960). Bila APT 1960 berkuatkuatkuasa pada 13 Oktober 1960, maka lapan (8) enakmen pengambilan tanah negeri-negeri tidak berkuatkuasa lagi. Oleh sebab APT 1960 ini dibuat oleh Parlimen, maka ia menjadi federal law. Dewan Undangan Negeri tidak mempunyai sebarang kuasa lagi ke atas APT 1960. Kuasa negeri untuk memindanya sudah terhapus dan secara tidak langsung dibatalkan. Sebarang pindaan ke atas APT 1960 hanya boleh di buat Parlimen sahaja. Dengan kata lain, sebagai undang-undang Persekutuan, pihak Kerajaan Negeri tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membuat apa-apa pindaan, baik yang berupa pemansuhan mahupun tambahan kepada seksyen-seksyen yang ada dan sebagainya. Sehingga kini, APT 1960 telah beberapa kali mengalami pindaan seperti berikut: (i) Perintah Kanun Tanah Negara (Pemansuhan-pemansuhan dan Pindaan) 1965. L.N. 47/1965, berkuatkuasa mulai 23 Disember 1965;(ii) Peraturan-peraturan Perlu (Pengambilan Tanah) 1969. P.U (A) 515/960, berkuatkuasa mulai 19 Disember 1969;(iii) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1971. Akta A49, berkuatkuasa mulai 30 April 1971;(iv) Perintah Wilayah Persekutuan (Penggubahsuaian Akta Pengambilan Tanah 1960) 1974. P.U. (A) 81/1974, berkuatkuasa mulai 1 Februari 1974;(v) Perintah Wilayah Persekutuan (Penggubahsuaian Akta Pengambilan Tanah 1960), 1975. P.U. (A) 184/1975, berkuatkuasa mulai 1 Februari;(vi) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1973. Akta A216, berkuatkuasa mulai 13 Oktober 1973;(vii) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1976. Akta A336, berkuatkuasa mulai 26 Februaril 1976; (viii) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1977. Akta A387, berkuatkuasa mulai 18 Mac 1977;(viii) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1977. Akta A388, berkuatkuasa mulai 27 Februari 1976 bagi seksyen 2 dan mulai 18 Mac 1977 bagi lain-lain seksyen;(ix) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1984. Akta A575, berkuatkuasa mulai 20 Januari 1984;(x) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1991. Akta A804, berkuatkuasa mulai 12 Septembeer 1991;(xi) Akta Pengambilan Tanah (Pindaan) 1997. Akta A999, berkuatkuasa mulai 31 Julai 1997. Undang-undang Persekutuan seperti APT 1960 ini tidak boleh diterima dan dilaksanakan secara automatik di negeri-negeri. Ia perlu terlebih dahulu dibentang dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri, barulah APT 1960 boleh dikuatkuasakan. Perlu dinyatakan bahawa penggubalan APT 1960 ini berasaskan kepada model Akta Pengambilan Tanah 1894 India. Akta India ini pula sebenarnya berasaskan kepada English Land Clauses Act, 1845 yang telah diterimapakai sesuai dengan keadaan dan suasana di India. Undang-undang pengambilan tanah yang digunakan di Singapura juga berpandukan model Akta Pengambilan Tanah 1894 ini. Oleh itu Akta Pengambilan Tanah di Malaysia, Singapura dan India mempunyai peruntukkan yang hampir sama di antara satu sama lain. Dalam ketiga-tiga negara tersebut, konsep atau istilah kepentingan awam disebut dengan tujuan/ maksuad awam. Dalam Bahasa Inggeris di sebut dengan public purpose. Oleh itu, dalam perbincagan seteruskan, penulis akan menggunakan istilah public purpose. Walaupun Perkara 76 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan membolehkan Kerajaan Persekutuan menggubal satu undang-undang tanah yang seragam, namun kuasa ini tidak boleh dilaksanakan di Sabah dan Sarawak. Ini adalah kerana penggubalan itu dihalang oleh Perkara 95D, Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi demikian: 95D Mengenai sesuatu negeri Sabah atau Sarawak, Fasal 4 Perkara 76 tidak boleh dipakai, dan perenggan B Fasal 1(Perkara 76) tidak membolehkan Parlimen membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang tersebut dalam Fasal 4 ( Perkara 76.) Akibat daripada penghalangan ini, APT 1960 hanya terpakai di Malaysia Barat sahaja, tidak di Sabah dan Sarawak. Di Sabah, undang-undang yang digunakan ialah Land Acquisition [Sabah Cap 69]. Di Sarawak, tidak ada undang-undang pengambilan secara khusus. Walau bagaimanapun tatacara dan prosedur pengambilan dinyatakan pada seksyen 46 hingga 83, Sarawak Land Code [ Cap 81]. Dalam pemakaian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, APT 1960 ini telah diubahsuai oleh Federal Territory (Modification of Land Acquisition Act, 1960) Order 1974. Perintah ini berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai daripada 1 Februari, 1974. Ia telah diterbitkan sebagai P.U.A. 81 bertarikh 7 Mac 1974 dan dipinda oleh P.U.A. 184 bertarikh 26 Jun 1975. Dalam pemakaian Akta ini di Wilayah Persekutuan: (i) Sebutan mengenai Negeri hendaklah diertikan sebagai sebutan mengenai Wilayah Persekutuan;(ii) Sebutan mengenai Pihak Berkuasa Negeri hendaklah diertikan sebagai sebutan mengenai Yang Di Pertuan Agong:(iii) Sebutan mengenai Pihak Berkuasa Negeri hendaklah diertikan sebagai sebutan mengenai Pesuruhjaya Tanah Persekutuan;(iv) Sebutan mengenai tanah Negeri hendaklah diertikan sebagai sebutan mengenai tanah Persekutuan;(v) Sebutan mengenai undang-undang tanah Negeri hendaklah diertikan sebagai sebutan mengenai Kanun Tanah Negara seperti yang diubahsuai oleh Perintah Wilayah Persekutuan (Pengubahsuaian Kanun Tanah Negara) 1974; dan(vi) Sebutan mengenai Kerajaan Negeri hendaklah diertikan sebagai sebutan mengenai Kerajaan Persekutuan.

(BERSAMBUNG DI BAHAGIAN KETIGA)