strategi penyelesaian kes yang dianalisis
TRANSCRIPT
4.0 STRATEGI PENYELESAIAN KES YANG DIANALISIS
Berdasarkan kajian kes iaitu ‘Stealing Time’ yang kami telah kaji, kami
bersepakat untuk memilih strategi-strategi penyelesaian masalah yang dihadapi oleh
guru di dalam artikel ‘Stealing Time’ tersebut dengan berdasarkan Model Logikal
Dreikurs, Modifikasi Tingkah Laku Skinner, Model Disiplin Asertif dan Terapi Realiti
Glasser.
Kami akan mengaitkan kajian kes ini dengan model pengurusan bilik darjah iaitu
Model Akibat Logikal Dreikurs atau lebih dikenali sebagai Model Disiplin Sosial. Alasan
yang menyebabkan kami menggunakan model ini dengan kajian kes adalah kerana
David cuba mendapatkan perhatian gurunya dengan mengganggu proses pengajaran
dan pembelajaran, menghempas buku di lantai dan mengetuk pensel di meja. Fokus
utama Dreikurs ialah mewujudkan suasana bilik darjah yang bersifat demokratik di
mana murid-murid rasa dipunyai. Oleh itu, guru yang ingin kawalan bilik darjah yang
baik, tidak seharusnya menggunakan hukuman. Menurut beliau, masalah tingkah laku
dalam bilik darjah terdorong oleh motif-motif murid iaitu inginkan perhatian,
menggunakan kuasa, membalas dendam, dan memaparkan kekurangan.
Sikap David lebih ketara dalam motif pertama iaitu inginkan perhatian. Antara
cadangan yang disyorkan bagi mengurangkan motif ini adalah dengan mengalihkan
perhatian murid berkenaan. Cikgu Robert hendaklah mengubah strategi atau aktiviti
pembelajaran seperti menyanyi, bersoal jawab yang lebih menarik minat David serta
meninggalkan tingkah laku tersebut. Selain itu, mengubah kedudukan murid yang
berkenaan. Cikgu Robert meminta David duduk di tempat lain atau pergi ke “Sudut
Berfikir”. Guru juga perlu memberi galakan kepada murid bermasalah dengan memberi
peneguhan atas usaha mereka walaupun sedikit sahaja. Malahan, untuk mengelakkan
tingkah laku David berterusan, lakukan sesuatu yang bersifat luar jangkaan seperti
memasangkan lampu, atau mainkan alat muzik.
Berdasarkan kajian, kami berpendapat bahawa kajian ini berkait dengan
Modifikasi Tingkah Laku Skinner. Skinner telah menjalankan kajian dengan
menggunakan binatang seperti tikus dan burung merpati. Melalui kajian ini, Skinner
mendapati gerak balas boleh diperkuatkan (diulangi) atau dihapuskan (tidak diulangi),
jika diberikan peneguhan sebaik sahaja gerak balas itu ditunjukkan. Peneguhan
diberikan untuk memuaskan kehendak individu, mengurangkan tekanan dan
merangsang otak. Di sini, teknik modifikasi tingkah laku iaitu rancangan untuk
mengubah tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan
teknik atau kaedah yang sesuai. Guru perlu membuat pemantauan, penilaian serta
menyimpan rekod salah laku murid. Antara teknik modifikasi tingkah laku yang
digunakan adalah “time-out”, iaitu di mana murid akan dihantar ke satu lokasi yang
ditetapkan oleh guru kerana tidak menunjukkan tingkah laku yang dikehendaki guru
seperti satu sudut bilik darjah (murid menghadap dinding) atau bilik kecil di luar kelas.
Masa yang diperuntukkan ialah antara 1 hingga 10 minit bergantung kepada tahap
keseriusan masalah tingkah laku tersebut. Selepas masa ‘time-out’, guru perlu
menerangkan kepada murid mengapa dia telah memberikan hukuman sedemikian.
Arahan asal diberikan kepada murid tersebut. Jika murid itu masih ingkar, maka, masa
‘time-out’ ditambah. Bukti kajian adalah apabila Robert telah mengarahkan David untuk
pergi ke belakang bilik darjah supaya dia tidak menganggu rakan lain.
Selain itu, pembelajaran koperatif telah dijalankan dalam kajian ini. Model
pembelajaran koperatif bukan sahaja membantu pelajar dalam menguasai kandungan
pembelajaran, tetapi membantu mereka memperoleh kemahiran dalam aspek sosial
dan perhubungan manusia. Pembelajaran koperatif lebih menggalakkan pelajar-pelajar
berinteraksi dan bekerjasama dalam aktiviti pembelajaran. Pelajar akan mengajar dan
berbincang sesama sendiri untuk mencapai satu tahap yang sama tinggi. Malahan,
setiap individu bertanggungjawab dalam kumpulan masing-masing. Kebaikannya,
murid-murid akan melibatkan diri secara aktif dan koperatif dalam pembelajaran
kumpulan. Dalam kes ini, Robert telah menggunakan kaedah pembelajaran koperatif
ketika mengajar kelas Matematik.
Di samping itu, kami telah mendapati bahawa kajian kes ini juga berkait rapat
dengan Model Disiplin Asertif. Model ini melatih murid-murid untuk menerima
konsekuen bagi tindakan mereka. David telah menunjukkan tingkah laku yang tidak
diingini apabila David mengambil tugasan yang diberikan oleh Robert dan
menyimpannya ke dalam laci dan menunjukkan bahawa dia tiada keinginan untuk
menyelesaikannya. Di dalam kes ini, Robert boleh menggunakan kaedah penyelesaian
pelan disiplin asertif iaitu dengan lima langkah. Langkah pertama, membina jaringan
sokongan dengan pihak pentadbir dan ibu bapa iaitu dengan minta kebenaran pihak
pentadbir dan maklumkan kepada ibu bapa murid. Langkah kedua dengan membentuk
peraturan bilik darjah yang jelas dan spesifik, berkuatkuasa sepanjang waktu
persekolahan dan selaras dengan umur murid-murid. Seterusnya, guru disarankan
memberi pengukuhan positif untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran bilik darjah
yang positif dan mengurangkan kekerapan berlakunya masalah disiplin. Manakala
langkah keempat pula hendaklah bekalkan konsekuen setimpal dengan pelanggaran
peraturan bilik darjah yang telah ditetapkan dan langkah kelima ialah dengan
menetapkan pelan bagi kes salah laku yang serius contohnya, murid yang berkenaan
dihantar terus untuk berjumpa dengan guru besar.
Seterusnya, Model Terapi Realiti Glasser juga boleh digunakan bagi
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh guru di dalam kajian kes Stealing Time ini.
Teori ini berpegang kepada premis bahawa semua tingkah laku manusia sama ada
logik atau tidak logik, wajar atau tidak wajar bertujuan untuk memenuhi keinginan
individu yang berkenaan. Bagi kes David, Robert boleh menggunakan beberapa
langkah yang telah ditetapkan di dalam teori ini. Antara langkah-langkah yang boleh
digunakan Robert bagi mengatasi masalah David ialah langkah pertama iaitu apabila
berlaku tingkah laku bermasalah dalam bilik darjah, guru hendaklah melapangkan masa
untuk mengenal pasti punca tingkah laku tersebut. Hal ini disebabkan ada kemungkinan
guru adalah punca masalah, bukannya murid. Seterusnya, langkah yang kelima di
dalam teori ini juga boleh digunakan iaitu sekiranya masalah itu berlanjutan, guru
seharusnya mengadakan perbincangan dengan murid tersebut. Selain itu, guru juga
boleh menggunakan langkah keenam iaitu murid dikehendaki membentuk satu pelan
yang mengandungi tindakan positif dengan bantuan guru. Sebaik sahaja mereka
membuat komitmen untuk berubah, guru tidak lagi akan menerima sebarang alasan.
Akhir sekali, sekiranya langkah 1 hingga 6 kurang berkesan, guru disarankan
menggunakan langkah yang ketujuh iaitu dengan mengasingkan murid tersebut atau
lebih dikenali dengan time-out. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak dibenarkan
mengambil bahagian dalam aktiviti bilik darjah sehingga berupaya mengubah suai
pelan yang sedia ada atau membentuk pelan baru.
Di samping itu, kami ingin mencadangkan beberapa strategi penyelesaian
berdasarkan kes mengikut kefahaman kami terhadap kes ini. Pertama, peneguhan
positif boleh diberikan kepada David sekiranya dia dapat menyiapkan tugasan yang
diberikan dalam masa yang ditetapkan. Peneguhan positif berfungsi sebagai ganjaran
yang mendorong individu mengulangi tindakan yang dikehendaki. Tingkah laku berlaku
kesan daripada rangsangan atau peneguhan. Jenis ganjaran yang dapat diberikan iaitu
bentuk material atau sosial seperti puji-pujian. Namun, Robert harus mengelakkan
peneguhan berterusan kerana ia akan mengurangkan kualiti keberkesanannya.
Kedua, cikgu Robert boleh menggunakan motivasi secara bimbingan kaunseling
bagi meningkatkan kesediaan David untuk belajar. Motivasi terdiri terbahagi kepada
dua iaitu motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik. Motivasi ekstrinsik dapat
diaplikasikan terhadap David. Bentuk rangsangan contohnya memberi sokongan,
peneguhan positif seperi pujian, hadiah, gred dan membentuk iklim alam belajar yang
kondusif. Terlebih dahulu, Robert hendaklah memberi motivasi serta mengubah gaya
pemikiran David terhadap kelas serta rakan-rakannya.
Ketiga, mengadakan kaedah perbincangan. Kaedah ini merupakan satu kaedah
dan teknik mengajar yang melibatkan aktiviti perbualan serta aktiviti pembelajaran
secara bertukar-tukar fikiran atau idea dan berkongsi maklumat tentang sesuatu
perkara melalui perbualan. Perbincangan terbahagi kepada dua bentuk iaitu
perbincangan kumpulan kecil dan perbincangan keseluruhan kelas. Cikgu Robert
seharusnya mengadakan satu sesi perbincangan yang melibatkan semua anggota
kelas termasuk David bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Cikgu Robert
sepatutnya tidak mengadakan perbincangan dengan murid kelasnya sewaktu David
keluar kelas. Hal ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati David terhadap cikgu
Robert dan rakan-rakannya. Malahan, cikgu Robert perlulah memanggil ibu bapa David
untuk berbincang mengenai masalah anak mereka dan cara untuk mengatasi
kelemahan itu.