spt.docx

15
BAB I PENGENALAN 1.1 Pengenalan Data-data lubang jara geoteknikal (Geotechnical Boreholes) merupakan salah satu informasi Geoteknik yang penting dalam setiap pembinaan seperti bangunan, terowong, jambatan, empangan ataupun perlindungan cerun. Data-data ini menggambarkan tentang keadaan semulajadi kedudukan galas tanah atau batu keras, aras air bumi, profail tanah, nilai Standard Penetration Test (SPT) dan beberapa keputusan ujian yang dilakukan pada lubang jara di tapak bina.

Upload: redz00

Post on 05-Sep-2015

219 views

Category:

Documents


1 download

DESCRIPTION

spt

TRANSCRIPT

2

9

BAB I

PENGENALAN

1.1Pengenalan

Data-data lubang jara geoteknikal (Geotechnical Boreholes) merupakan salah satu informasi Geoteknik yang penting dalam setiap pembinaan seperti bangunan, terowong, jambatan, empangan ataupun perlindungan cerun. Data-data ini menggambarkan tentang keadaan semulajadi kedudukan galas tanah atau batu keras, aras air bumi, profail tanah, nilai Standard Penetration Test (SPT) dan beberapa keputusan ujian yang dilakukan pada lubang jara di tapak bina.

Keputusan dan data-data Geoteknik ini akan mempengaruhi struktur asas bangunan serta rekabentuk struktur yang hendak dibina. Data-data tersebut terdiri daripada peta, pelan, buku log dan laporan ujian ke atas sampel tanah yang diperolehi daripada lubang jara. Kerja-kerja lubang jara geoteknikal banyak dilakukan dalam suatu projek untuk tujuan rekabentuk, faktor keselamatan serta susun atur struktur yang hendak dibina. Data-data yang diperolehi itu disimpan secara teratur di dalam kabinet fail dan juga laci lukisan.

Namun kebelakangan ini, penyimpanan data-data Geoteknik mengalami kesusutan dari segi keberkesanannya. Data yang dicari sukar diperolehi atau hilang daripada rekod yang ada dan hal ini secara langsung telah menjejaskan masa serta kos yang terlibat dalam satu-satu projek.

Pengambilan data-data Geoteknik daripada lubang jara di tapak melibatkan satu perbelanjaan yang sangat besar. Oleh itu, pengurusan data-data penting ini memerlukan sistem yang kukuh dan teratur. Aplikasi Sistem Maklumat Geografi, SMG dalam pengurusan data-data lubang jara geoteknikal mampu menyimpan data-data penting dan mahal itu secara teratur dan lebih berfaedah. Secara ringkasnya, kajian ini adalah bertujuan untuk mengaplikasikan SMG sebagai pangkalan data lubang jara dalam skop Kejuruteraan Geoteknik.

1.2Objektif Kajian

Objektif-objektif utama kajian ini ialah :-

i.Mengumpulkan data-data lubang jara daripada beberapa kawasan terpilih di Sabah.

ii.Membangunkan pangkalan data lubang jara geoteknikal di kawasan terpilih di Sabah dengan menggunakan program SMG.

iii.Menggunakan kemudahan SMG dalam pengurusan data-data lubang jara geoteknikal agar lebih mudah dirujuk, disimpan, dipamir dan dicetak untuk tujuan laporan.

1.3Masalah Kajian

Kerja-kerja lubang jara geoteknikal akan menghasilkan banyak output seperti profail tanah, kedudukan aras air bumi, kedudukan batu keras ataupun galas tanah, nilai SPT dan laporan ujian sampel tanah yang diperoleh daripada lubang jara.

Data-data yang diperolehi hasil daripada penyiasatan dan ujian-ujian yang dilakukan ke atas tanah atau batu akan disimpan sebagai rujukan serta panduan dimasa hadapan. Peta, pelan, buku log dan laporan perincian ujian sampel tanah untuk titik-titik tertentu pada permukaan bumi merupakan bentuk data kerja-kerja lubang jara geoteknikal. Menyimpan, mencari dan mengeluarkan data-data lubang jara geoteknikal untuk tujuan rujukan merupakan perkara yang sering dilakukan oleh badan-badan berkuasa seperti Makmal Pengujian Bahan JKR, Kumpulan IKRAM atau juga perunding dan kontraktor binaan.

Pendekatan konvensional terhadap cara penstoran atau penyimpanan data-data ini memerlukan ketekunan yang tinggi. Peta, pelan, buku log dan laporan perincian ujian sampel tanah yang berbentuk hardcopy ini disimpan di dalam kotak, kabinet fail dan juga laci lukisan seperti pada Rajah 1.1. Mencari lokasi pelan spesifik dan juga laporan perincian ujian sampel tanah untuk lubang-lubang jara geoteknikal yang dikehendaki akan memerlukan masa yang lama dan panjang.

Kerja-kerja pencarian data yang dikehendaki ini juga bergantung kepada daya ingatan personel yang bertanggungjawab untuk menyimpan serta menyusun data-data tersebut pada tempat yang dikhaskan. Sering kali data yang dikehendaki itu sukar untuk dicari, malah ada juga yang gagal dijumpai. Memandangkan pencarian data-data yang diperlukan itu mengambil masa yang panjang serta memerlukan tekad dan usaha yang tinggi ketika kerja-kerja awalan Kejuruteraan Geoteknik, maka masa yang digunakan untuk tujuan analisis data turut berkurangan.

Penghasilan output kerja juga mengambil masa yang sama panjangnya dengan masa mencari dan mengumpul data. Penggunaan SMG sebagai kemudahan utama dalam penyimpanan data iaitu sebagai pangkalan data lubang jara geoteknikal dalam skop Kejuruteraan Geoteknik ini dapat memberi kesan yang amat signifikan dalam meningkatkan kecekapan serta keberkesanan dalam membuat analisis dan keputusan.

Rajah 1.1 Data-data Berbentuk Hardcopy Disimpan Di Dalam Kabinet Fail dan Kotak Lukisan

1.4Skop Kajian

Skop kajian adalah bertujuan untuk mewujudkan satu cara pengurusan yang lebih moden bagi data-data lubang jara geoteknikal. Pangkalan data lubang jara dibangunkan dan direkabentuk dengan menggunakan perisian SMG ArcView yang boleh didapati di pasaran pada hari ini.

Sabah merupakan lokasi kajian untuk tujuan pengumpulan data-data lubang jara. Sekurang-kurangnya satu lubang jara diperolehi daripada setiap bahagian utama di Sabah iaitu Bahagian Pantai Barat, Bahagian Kudat, Bahagian Pedalaman, Bahagian Sandakan dan Bahagian Tawau. Secara keseluruhannya, sebanyak 17 lubang jara lengkap dengan laporan terperinci dapat dikumpulkan dan digunakan sebagai sampel data kepada pembangunan pangkalan data yang dimaksudkan.

Antara contoh data-data lubang jara yang diperolehi termasuklah Deep Boring Log, Graf Standard Penetration Test Summary of Laboratory Tests, laporan ujian tanah di tapak, laporan ujian tanah di makmal, pelan lokasi dan gambar-gambar berkaitan.

Diakhir kajian, pangkalan data yang telah dibangunkan dengan bantuan perisian SMG ini, dapat membuktikan kepada peningkatan kualiti kerja dari segi keberkesanan, penyimpanan data dan kebolehdapatan semula data-data lubang jara yang kehendaki untuk tujuan rujukan ataupun analisis.

1.5Lokasi Kajian

Kawasan kajian yang dimaksudkan ialah Sabah, Negeri Di Bawah Bayu. Sabah merupakan negeri kedua terbesar di Malaysia dan terletak di utara pulau Borneo iaitu pulau ketiga terbesar di dunia. Negeri Di Bawah Bayu ini meliputi kawasan seluas 72,500 km2 dengan pantai sepanjang 14,400 km dengan Laut Cina Selatan di sebelah Pantai Barat, Laut Sulu di Timur Laut dan Laut Celebes di bahagian Selatan (lihat Rajah 1.2).

Bersebelahan dengan sempadan Sabah ialah Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan Kalimantan, Indonesia. Sabah terbahagi kepada 5 bahagian iaitu :

i.Bahagian Pantai Barat (Papar, Kota Kinabalu, Ranau, Kota Belud)ii.Bahagian Kudat (Kudat, Kota Marudu, Pitas, Banggi)iii.Bahagian Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Keningau, Tambunan)iv.Bahagian Sandakaniv.Bahagian Tawau

Sabah terdiri daripada kawasan yang berbukit-bukau dan bergunung-ganang diselangi dengan sungai-sungai yang mengalir melalui lembah-lembah menerusi dataran tanah yang subur. Gunung yang tertinggi di Asia Tenggara dengan ketinggian 4,101 m juga terletak di negeri ini iaitu di Daerah Ranau.

Daerah Ranau merupakan sebuah daerah yang terletak di bahagian Pantai Barat. Topografinya yang berbukit-bukau dan keadaan yang sejuk membuatkan ia terkenal dengan tanah yang sangat subur sesuai untuk tanaman sayur-sayuran. Daerah di kaki gunung ini merupakan kawasan yang sangat rumit untuk dibangunkan ekoran daripada bentuk muka buminya yang memerlukan banyak maklumat tanah khususnya lubang jara geoteknikal bagi tujuan penyiasatan tanah.

Rajah 1.2 Peta Sabah

1.6Kepentingan Kajian

Sabah merupakan salah satu kawasan yang sukar untuk dibangunkan ekoran daripada keadaan topografinya yang berbukit-bukau dan kawasan datar yang kurang. Pembinaan struktur di kawasan berbukit amat memerlukan banyak data geoteknikal bagi membantu dalam rekabentuk dan hal keselamatan struktur asas bangunan.

Namun demikian, kaedah penstoran data-data penyiasatan tapak khususnya lubang jara geoteknikal bagi negeri Sabah belum mempunyai cara yang teratur dan efektif. Oleh itu, kajian ini adalah untuk membangunkan satu pangkalan data lubang jara geoteknikal bagi seluruh Sabah secara teratur dan berfaedah dengan menggunakan SMG.

Kajian ini amat penting demi kemajuan dan perancangan pembangunan negeri Sabah. Ia membolehkan data-data lubang jara geoteknikal tersebut tidak hilang dan sentiasa dihargai serta boleh diperolehi dengan cepat dan kos efektif setiap kali data diperlukan.

1.7 Ringkasan Aliran Bab

Bab 1 merupakan halaman pengenalan kepada tajuk kajian. Di dalam bab ini, perkara-perkara seperti objektif, masalah, skop, lokasi dan kepentingan kajian dinyatakan secara umum.

Bab 2 iaitu Kajian Literatur, menyatakan tentang latar belakang atau sejarah dan juga definisi Sistem Maklumat Geografi. Selain itu, huraian ringkas tentang Kejuruteraan Geoteknik dan lubang jara geoteknikal turut diberi untuk tujuan pengenalan awal terhadap komponen-komponen yang terlibat di dalam kajian ini.

Metodologi Kajian pada bab 3 pula menerangkan tentang cara kajian dilaksanakan. Kajian ialah berhubung tentang pengurusan sistem penstoran data-data lubang jara. Pembangunan pangkalan data lubang jara menggunakan perisian SMG ini diterangkan secara mudah dan ringkas.

Bab 4 iaitu Keputusan Dan Analisis menerangkan tentang hasil kajian. Output yang diperolehi hasil daripada pembangunan pangkalan data lubang jara dan cara ia dimanfaatkan turut dinyatakan dengan ringkas pada bab ini.

Bab 5 atau juga dikenali sebagai Kesimpulan, merupakan penutup kepada kajian yang dijalankan. Pelbagai masalah yang dihadapi ketika kajian serta cadangan terhadap kajian bagi masa hadapan turut diselitkan sebagai penggulungan.