sesungguhnya mereka itu orang-orang mudaucapan, kertas kerja, rencana, kolum dan bahagian buku,...

52
1

Upload: others

Post on 23-Oct-2020

14 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

  • 1

  • 2

    Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda

    yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.

    - Al-Kahfi: 13

    Belajar sambil mencabar Pengetahuan tidak terjuntai seperti pisang Bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin

    Berpengalaman (mencabar) DAN terpelajar. - Prof. Ungku A. Aziz (1973)

  • 3

    KANDUNGAN

    Prakata 4

    Pendahuluan 5

    BAHAGIAN 1: GERAKAN MAHASISWA Tulisan tentang Gerakan Mahasiswa 7 Analisa ringkas Gerakan Mahasiswa 9 Gerakan Mahasiswa 1960-an hingga 1974 13 Gerakan Mahasiswa selepas 1974 19 AUKU 1975 23 Gerakan Mahasiswa IPTS 30

    BAHAGIAN 2: GOVERNANS PEMBANGUNAN MAHASISWA 3 Langkah Transformasi Negara 31

    AUKU 2009 32 Akta IPTS 1996 (Pindaan 2008) 33 Kerangka Baru Gerakan Mahasiswa 34 Governans Baru pembangunan mahasiswa 40 100 Hari Pertama di KPT 47 Hala Tuju Baru HEP 48 Penutup 49

    Bibliografi 50

    Penulis 52

  • 4

    PRAKATA

    Sejak 1981, saya mempunyai pendirian dan pendapat sendiri yang amat saya yakini akan kebenarannya tentang universiti, budaya ilmu, kesepaduan dan keseimbangan antara akademik dan kokurikulum, gerakan mahasiswa dan governans pembangunan mahasiswa. Saya bertekad untuk terus mempertahankan pendirian dan pendapat saya ini, malahan untuk mengembangkan dan memperkayakannya.

    Kerana itu, sempena genap 100 hari saya menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi pada 19 Julai 2009, saya membentangkan pemikiran saya ini dalam bentuk e-book ini untuk dikongsi bersama oleh sesiapa sahaja yang sudi membacanya.

    Buku ini adalah luahan pemikiran dan perasaan dalaman saya tentang idealisme dan

    gerakan mahasiswa, apa yang saya lihat pada hari ini, iaitu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), dan apa yang saya perlu lakukan sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Ia saya paparkan seadanya dan dengan kesedaran bahawa saya mungkin juga tidak mampu melakukan segala-galanya.

    Buku ini tidaklah lengkap dan tentulah tidak sunyi daripada kelemahannya. Justeru,

    saya amat mengalu-alukan maklum balas tentangnya, termasuk kritik dan debat. Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada anggota pasukan saya Nazri

    Noh, Khaidir Jamal, Shamsul Qamar Abd Rani, Halimatun Sa’adah Othman, Mohd Yusuf Mohd Saad, Ahmad Muhaimin bin Samsudin, Siti Fairuz binti Md Akhir, Nor Anis Aliza binti Khalid, Jassilan Nur bin Ja’afar Sidek, Mohd Khairul Sham bin Jamaluddin, Khalil Akashah Julaihi, Abu Hanipah Majid, Sahazuddin Abu Ruddin, Norhayati Muda, Norhaliza Abd Hamid, Ridzuan Hazimin Ramli, Ishak Mat Bakar, Suhaimi Tan, Au Tong Hai, A Shivalingam, Ahmad Othman dan Abdul Halim Ishak.

    Saya juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada rakan-rakan yang

    banyak memberikan input dalam perbincangan-perbincangan tentang hala tuju baru pembangunan mahasiswa. Antaranya, Prof Dr. Rahim Md Sail, Mohd Khair Ngadiron, Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Dr Sarjit Singh, Loka Ng Sai Kai, Dr. Lee Yoke Fee, Khalek Awang, Saiful Amin Jalun, Muhaimad Haizuan Rozali, Mohd Suji Bilang Nordin dan ramai lagi.

    Tribut juga untuk Sdr Wan Ahmad, pelukis lukisan “Hafiz dan Merpati Putih” yang

    menghiasi kulit hadapan buku ini. Ucapan terima kasih paling istimewa tentulah saya tujukan buat sepasang mawar

    wangi dalam taman nyaman kehidupan saya, iaitu isteri tercinta, Norlin Shamsul Bahri dan anak tersayang, Nur Madihah, yang dengan penuh kefahaman memberikan segala sokongan dan dokongan kepada saya, termasuk memahami jiwa saya yang adakalanya seakan-akan memberontak apabila apa yang saya ingin laksanakan tak dapat dilaksanakan akibat karenah dan birokrasi yang punah dan basi yang diluar bidang kuasa saya. Saifuddin Abdullah Putrajaya 21 Julai 2009

  • 5

    PENDAHULUAN

    Gerakan mahasiswa adalah suatu kuasa yang mesti diberikan perhatian dan diambil

    perhitungan (a force to be reckoned with). Dalam lipatan sejarah universiti, masyarakat dan negara, sama ada dilihat secara universal atau secara perbandingan, misalnya, antara Asia dengan benua-benua lain, atau antara dunia ketiga dengan dunia-dunia lain, atau jika di negara ini, sama ada di peringkat sesebuah universiti atau di peringkat nasional, gerakan mahasiswa punya sejarahnya yang tersendiri. Kadang-kadang ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, manakala kadang-kadang pula ia hanya tercatat sebagai sejarah di kalangan aktivis dan pendokongnya sahaja. Jika ia diakui dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada sejarah universiti, masyarakat dan negaranya, kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang baik, manakala kadang-kadang ia mendapat penafsiran yang kurang baik.

    Walaupun apapun pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang diberikan terhadap gerakan mahasiswa, hakikatnya ialah ia adalah satu proses yang amat dinamik dan progresif, sama ada kepada proses pembangunan universiti, masyarakat dan negara, atau sekurang-kurangnya kepada para aktivis dan pendokongnya. Kerana itu, ia perlu dilihat dan dirakam dengan bijaksana. Sebagai sejarah dan penunjuk arah. Bagi gerakan dan pembangunan mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara.

    Kemasukan mahasiswa baru IPTA bagi sesi 2009/2010 pada Jun/Julai 2009 menjanjikan sesuatu yang baru dalam gerakan mahasiswa negara. Ini kerana mereka adalah kumpulan pertama yang memasuki IPTA selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dipinda dengan agak sempurna pada 2009. Manakala bagi IPTS pula, tahun ini, buat pertama kalinya, para pemimpin Student Representative Council (SRC) dari majoriti IPTS menganjurkan IPTS Student Leaders’ Summit. Di samping itu, lancarnya proses transformasi universiti tempatan melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang diketuai Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohd Khaled Nordin dan, terutamanya, segarnya gelombang 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak, menuntut diadakan pemikiran baru bagi memperkasa dan menentukan hala tuju baru gerakan dan governans pembangunan mahasiswa negara.

    Saya berpendapat bahawa langkah memperkasa gerakan mahasiswa banyak bergantung kepada mahasiswa sendiri. Ini selaras dengan konsep dan pendekatan penghakupayaan mahasiswa (student empowerment). Pada masa yang sama, kerajaan dan universiti perlu memulakan pendekatan-pendekatan baru dalam governans pembangunan mahasiswa.

    Buku ini adalah catatan pengalaman dan pengamatan saya tentang gerakan dan governans pembangunan mahasiswa sejak tahun 1981 hingga sekarang.

    Partisipasi saya bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Mahasiswa Islam

    Universiti Malaya (PMIUM), Presiden Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM), Presiden Ikatan Pengkajian Islam Pahang (IKATAN), Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Setiausaha Agung dan kemudiannya Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Di peringkat antarabangsa, saya pernah menjadi Konsultan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Asia Pasifik (ESCAP) dan Ahli Panel Tertinggi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pekerjaan

  • 6

    Untuk Belia. Kini, saya Pengerusi Akademi Belia, Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Salam dan Penasihat Alumni Debat IPT (ADI).

    Di samping itu, saya pernah bertugas sebagai pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP)

    Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selama sembilan tahun (1985-1994). Di sana, saya mengasaskan dan menjadi jurulatih pertama pasukan debat dan bola keranjangnya. Saya juga antara pengasas Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) serta Debat Di-Raja Antara Universiti dan adalah Ketua Hakim Bahasa Melayunya yang pertama.

    Sebelum di KPT, selaku Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan

    dan Koperasi (MECD), saya diamanahkan mengetuai program-program pembangunan keusahawan mahasiswa.

    Sebahagian besar kandungan buku ini pernah disiarkan sebelum ini dalam bentuk

    ucapan, kertas kerja, rencana, kolum dan bahagian buku, terutamanya buku keempat saya (2008), Politik Baru. Ia saya susun semula dengan ditambah dengan inisiatif-inisiatif awal saya sejak di KPT dan diterbitkan dalam bentuk e-book ini sempena genap 100 hari pertama saya di KPT.

    Matlamatnya ialah untuk berkongsi pengalaman dan perjuangan bagi memperkasa

    dan menentukan hala tuju baru gerakan mahasiswa dan governans pembangunan mahasiswa yang lebih kaya idealisme, aktivisme dan idealismenya, untuk mengembalikan atau mencipta kegemilangan baru gerakan mahasiswa nasional dan untuk membina pemikiran dan pelaksanaan pembangunan mahasiswa yang benar-benar bersepadu dan seimbang, yang benar-benar membangun dan menggilap potensi mahasiswa, demi agama, bangsa dan tanah air.

    Buku ini dibahagikan kepada dua bahagian utama. Bahagian pertama: Gerakan

    Mahasiswa, membuat analisa ringkas tentang gerakan mahasiswa, gerakan mahasiswa sebelum dan selepas 1974, AUKU 1975 dan gerakan mahasiswa IPTS. Bahagian kedua: Governans Pembangunan Mahasiswa, merakamkan langkah-langkah transformasi negara, AUKU 2009, Akta IPTS 1996 (Pindaan 2008), kerangka baru gerakan mahasiswa, governans baru pembangunan mahasiswa, 100 Hari Pertama di KPT dan hala tuju baru HEP.

    Saya antara mereka yang sedang merapatkan hubungan mahasiswa IPTA dan IPTS.

    Seharusnya, kita tidak membeza-bezakan mereka, kecuali dari segi undang-undang tubuhnya sahaja. Kerana itu, saya menyokong inisiatif MADUM untuk melibatkan semua universiti (iaitu IPTA dan IPTS) dalam pertandingan-pertandingan debatnya, menggerakkan liga bola keranjang University College Basketball League (UCBL) yang melibatkan semua universiti dan mencadangkan agar ditubuhkan sebuah organisasi mahasiswa nasional yang menggabungkan IPTA dan IPTS.

    Justeru, dalam buku ini, seboleh-bolehnya saya mengelakkan daripada menggunakan

    “mahasiswa IPTA” atau “mahasiswa IPTS” dan hanya menggunakan “mahasiswa” sahaja. Di mana-mana yang saya terpaksa menggunakan istilah yang seolah-olah membeza-bezakan mereka, ia semata-mata kerana terpaksa dan bersifat sementara sahaja.

  • 7

    BAHAGIAN 1

    GERAKAN MAHASISWA TULISAN TENTANG GERAKAN MAHASISWA

    Tidak banyak telah ditulis tentang gerakan mahasiswa. Kebanyakan buku tentang

    gerakan mahasiswa tidak ditulis dalam bahasa kebangsaan dan bukannya oleh penulis Malaysia. Antaranya ialah Donald Rogan (1966) The Campus Apocalypse: The Student Search Today; Saymour Martin Lipset (Ed.) (1967) University Students and Politics In Underdeveloped Countries; Lewis S. Feuar (1969) The Conflict of Generation: The Character and Significant of Student Movements; Philip G. Altbach (Ed.) (1970) The Student Revolution: A Global Analysis; Helen Lefkowitz Horowitz (1987) Campus Life: Undergraduate Cultures from the end of the Eighteenth Century to the Present; dan, Mark Edelman Boren (2001) Student Resistance: A History of the Unruly Subject.

    Penulis-penulis tersebut sering dirujuk kerana membuat analisa yang bersifat agak universal, walaupun amat jarang menyentuh perkembangan gerakan mahasiswa di negara ini. Dalam hal ini, di samping bukunya di atas, Altbach pernah membentangkan kertas kerja bertajuk “Student Politics in the Third World” di Bengkel Pentadbiran Universiti yang diadakan di Universiti Malaya pada 1-2 Ogos 1983.

    Di Malaysia, menurut Ungku Aziz, buku yang mencerminkan kegiatan mahasiswa di lapangan politik tulisan Mohammed Abu Bakar (1973) Mahasiswa Menggugat, adalah bersifat peneroka. Kata Ungku Aziz, “Oleh itu wajib ia dibaca oleh semua orang yang ada hubungan dengan masalah pelajaran umumnya atau universiti khususnya dan pemuda-pemudi umumnya serta mahasiswa khususnya”. Puisi Ungku Aziz yang memulakan buku ini diambil daripada Kata Pengantarnya bagi buku tersebut.

    Selepas karya Mohammed Abu Bakar, terbit buku-buku, misalnya, oleh Hassan Karim dan Siti Nor Hamid (Ed.) (1984), With the People!: The Malaysian Student Movement 1967-74, Zainah Anwar (1987), Islamic Revivalism in Malaysia: Dakwah Among Students, Junaidi Abu Bakar (1993), Mahasiswa, Politik dan Undang-undang dan Abdul Razaq Ahmad (Ed.) (2005), Mahasiswa Abad 21.

    Terdapat juga latihan-latihan ilmiah, misalnya, Noordin Abd. Razak (1972) tentang Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, Ahmad Faiz (1979) tentang Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung, Abdul Ghani Che Amat (1980) dan Anizah Abdullah (1994) tentang Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia dan Baharudin Ali Masrom (1988) tentang Mahasiswa Selepas Akta.

    Di samping itu, banyak seminar tentang dunia kemahasiswaan telah dianjurkan.

    Sebahagian daripada prosidingnya telah dibukukan. Antaranya ialah anjuran badan serantau seperti Asia Pacific Student Services Association (APSSA), Proceeding of the Third Asia Pacific Conference on Student Affairs (15-17 Jun 1992, Bali, Indonesia); anjuran Biro Tatanegara, USM dan Jabatan Pendidikan Tinggi, Mahasiswa Pewaris Negara: Prosiding Kongres Mahasiswa 2003 (10-12 April 2003, USM); dan anjuran KPT, Prosiding Konvensyen Kebangsaan Majlis Perwakilan Pelajar IPTA 2009 (15-19 Mei 2009, UTHM).

  • 8

    Manakala di kampus-kampus, terdapat pelbagai majalah, surat khabar, risalah, laporan dan sebagainya. Media cetak sering menerbitkan rencana-rencana dan media elektronik pula menyiarkan rancangan-rancangan tentangnya. Mutakhir ini, terbit pula media baru seperti laman web dan blog mahasiswa.

    Oleh kerana gerakan mahasiswa tidak beroperasi dalam hampagas, maka rujukan

    mengenainya tidak seharusnya terbatas kepada bahan-bahan yang mengkhusus atau menjurus terhadap mahasiswa semata-mata. Kerana itu, rujukan perlu juga dibuat terhadap bahan-bahan yang membincangkan, misalnya, gerakan belia, gerakan masyarakat sivil, generasi-generasi “X”, “Y”, “net”, “next” dan “milenium”, partisipasi, penghakupayaan, politik baru, governans baru dan sebagainya.

    Di samping kekurangan bahan rujukan tentang gerakan mahasiswa, kita juga

    kekurangan tulisan tentang universiti, khususnya pengurusan universiti kita. Dalam hal ini, tidak salah jika kita mencontohi penghasilan tulisan di luar negara. Contohnya, Arthur W. Chickering, (1969), Education and Identity, Jon Nixon, (2008), Towards the Virtuous University dan Sarah J. Mann, (2008), Study, Power and the University. Contoh lain ialah bagaimana ramai Presiden atau bekas Presiden universiti di US menulis, seperti bekas Presiden George Washington University, Stephen Joel Trachtenberg, (2008), Big Man on Campus, atau bekas Presiden Universiti Harvard, Derek Bok yang telah menulis tujuh buah buku tentang pendidikan universiti.

    Dalam konteks ini, antara Naib Canselor kita yang prolifik ialah Prof. Tan Sri Dr.

    Dzulkifli Abd Razak yang menulis tentang “University of the Future”, Prof. Dato’ Dr. Zaini Ujang yang menulis buku Mengangkasa Pengajian Tinggi, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah yang menulis buku Menyingkap Pengurusan Universiti, serta Prof. Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Tan Sri Dr. Nordin Kardi yang sering menulis tentang hal ehwal universiti.

    Pokoknya, adalah diharapkan agar lebih banyak buku dan bahan-bahan media lain,

    termasuk media baru atau alternatif yang berasaskan IT, tentang gerakan mahasiswa di negara ini diterbitkan, termasuk yang berasaskan latihan-latihan ilmiah, dan jika dapat, sebahagiannya diterbitkan dalam bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa antarabangsa yang lain agar ia bukan sahaja menambahkan bahan rujukan tempatan, tetapi juga turut menjadi rujukan di peringkat antarabangsa. Supaya sejarahnya dapat diberikan pengakuan, pengiktirafan dan penafsiran yang benar-benar bijaksana.

  • 9

    ANALISA RINGKAS GERAKAN MAHASISWA

    Jika menggunakan istilah “pelajar Islam”, maka gerakan pelajar di Malaysia telah bermula pada tahun 1900-an. Ia ditandai oleh beberapa orang tokoh pelajar seperti Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh al-Hadi, Syed Salim al-Kalali dan Abas Mohamad yang pulang dari menuntut di Timur Tengah dan dipengaruhi pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Muhamad Abduh, yang telah memulakan gerakan keilmuan umat Islam ke arah pembangunan sosio-ekonomi, iaitu gerakan reformis-agama yang terawal.

    Jika menggunakan istilah “pelajar” pula, ia ditandai oleh peranan tokoh-tokoh pelajar Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) pada 1930-an seperti Ibrahim Yaakub dan Hasan Manan yang telah menggerakkan kesedaran politik tanah air. Mereka kemudiannya bekerjasama dengan tokoh-tokoh lain seperti Ishak Muhammad, bekas pelajar The Malay College Kuala Kangsar (MCKK), dan Ahmad Boestamam untuk menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM), iaitu parti politik Melayu yang terawal dan radikal.

    Pada tahun 1948, lahir Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Antara tokoh pengasasnya ialah Abdul Wahab Arief, Aminuddin Baki dan Siti Hasmah Mohd Ali. Ia memperjuangkan hak di bidang pendidikan dan menjalankan usaha-usaha meningkatkan pencapaian pelajar Melayu dalam bidang tersebut. Ia berperanan menanamkan kesedaran di kalangan pelajar Melayu dan terlibat secara langsung dalam perjuangan menuntut dan mengisi kemerdekaan tanah air.

    Manakala, jika menggunakan istilah “mahasiswa”, tanda permulaannya tentunya merujuk kepada peranan mahasiswa Universiti Malaya (UM) di Singapura (ditubuhkan pada 1949), dan kemudiannya UM cawangan Kuala Lumpur (dirasmikan pada 14 September 1957), iaitu universiti yang pertama di negara ini.

    Pada tahun 1950-an, semasa di Singapura, sebahagian daripada mahasiswa UM

    mempunyai hubungan yang rapat dengan gerakan anti-kolonial, seperti wartawan dan kesatuan sekerja. Jadi, mahasiswa telah terlibat dalam gerakan kemerdekaan tanah air.

    Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di Kuala Lumpur ditubuhkan pada tahun 1958. Pengerusinya ialah Gurnam Singh, manakala Setiausaha Umumnya ialah V. Selvaratnam. Jumlah mahasiswa UM di Kuala Lumpur pada masa itu ialah lebih kurang 300 orang.

    Sehingga penubuhan beberapa buah universiti yang lain, iaitu Institut (kini Universiti) Teknologi MARA (ITM, kini UiTM) pada 1967, Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1969, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 dan Universiti Pertanian (kini Putra) Malaysia (UPM) pada 1971, dan masing-masing dengan Persatuan Mahasiswanya, PMUM adalah satu-satunya gerakan mahasiswa yang wujud untuk lebih kurang sedekad lamanya. Kerana itu, dengan kelebihan pengalaman dan tradisinya, maka adalah tidak menghairankan jika PMUM dilihat mengetuai gerakan mahasiswa dalam beberapa peristiwa dari pertengahan 1960-an hingga 1974, yang dianggap sesetengah pihak sebagai zaman kemuncak gerakan mahasiswa di negara ini.

    Di samping PMUM, antara persatuan mahasiswa yang awal ditubuhkan dan kemudiannya menjadi persatuan yang amat dominan, dan adakalanya bersaing dengan lain,

  • 10

    bahkan jika di UM ia menyaingi PMUM, ialah Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM). Ia telah ditubuhkan semasa UM di Singapura, iaitu pada tahun 1955. Ini adalah di samping beberapa persatuan lain yang telah ditubuhkan lebih awal seperti Persatuan Ekonomi dan Persatuan Sejarah.

    PBMUM lahir akibat tiga faktor. Pertama, sebagai persatuan mahasiswa Melayu yang mempunyai minat yang sama, iaitu di Jabatan Pengajian Melayu. Kedua, ekoran cabaran menjawab tuduhan kepada mahasiswa yang ketika itu pernah dikatakan sebagai anak-anak penjajah. Dan ketiga, didorong oleh pergolakan politik orang Melayu pada masa itu, seperti penubuhan UMNO pada tahun 1946, penubuhan ASAS 50 pada Ogos 1950, penubuhan Lembaga Bahasa Melayu (LBM) pada Oktober 1950, dan, lebih-lebih lagi, Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kedua pada 1954 yang mendesak pemerintah Inggeris menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

    Pada tahun-tahun awal UM di Kuala Lumpur, kebanyakan aktiviti kemahasiswaan terfokus kepada kehidupan di kampus, terutamanya yang berkaitan dengan kebajikan mahasiswa. Bagaimanapun, bibit-bibit gerakan mahasiswa yang diungkapkan sebagai “tradisi mencabar” itu telah mulai kelihatan. Ini ditandai, misalnya, dengan perjuangan PMUM mendapatkan rawatan perubatan yang lebih baik untuk mahasiswa dan desakan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) supaya kerajaan membina sebuah masjid berhampiran dengan UM.

    Beberapa protes terbuka telah berlaku sejak tahun 1961, di mana mahasiswa menghantar telegram kepada Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman bagi mendapatkan semula kelulusan mengadakan perarakan dalam Minggu Kebajikan yang telah dilarang oleh polis.

    Pada tahun 1963, berlaku lagi beberapa protes. Pertama, mahasiswa memprotes

    apabila Naib Canselor Sir Alexander Oppenheim “campur tangan” dalam satu mesyuarat antara freshie dan jawatankuasa orientasi. Kedua, mahasiswa mendesak Majlis Universiti agar menerima perwakilan mereka untuk duduk dalam pentadbiran universiti. Ketiga, PMUM membuat protes kepada kerajaan Singapura atas perletakan jawatan Naib Canselor Universiti Singapura Dr. B.K. Sreenivasam kerana padanya ia berlaku akibat campur tangan dari luar (kerajaan). Dan keempat, dan terpenting, PMUM mengadakan perarakan bagi menyatakan taat setia kepada kerajaan dalam konfrontasi yang dilancarkan Indonesia ke atas Malaysia.

    Ini telah diikuti kemudiannya dengan tunjuk perasaan pada tahun 1964, apabila 1,000 orang mahasiswa tampil menuntut agar dimaafkan 5 orang sahabat mereka yang hendak dipecat universiti kerana menjalankan ragging. Protes-protes lain yang diadakan mahasiswa ialah menentang tindakan kerajaan memperkenalkan Sijil Kelayakan dan demonstrasi menentang lawatan Duke of Edinburgh. Dalam masa yang sama, pada tahun 1958, telah ditubuhkan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia (PKPM) yang menggabungkan pelajar-pelajar pelbagai kaum. Ia bertujuan untuk menjaga kepentingan-kepentingan pelajar dan memperbaiki kebajikan mereka dengan tanpa mengira jantina, bangsa, agama serta kedudukan sosial dan ekonomi.

    Ini diikuti dengan penubuhan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Asrama Kedua UM pada tahun 1961. PKPIM menggabungkan mahasiswa dan pelajar Islam. Tujuan asalnya ialah untuk menggabungkan semua persatuan pelajar Islam

  • 11

    negara ini dan menjalankan aktiviti-aktiviti bagi kepentingan pelajar Islam. Ia juga bertujuan menjadi wakil tunggal pelajar Islam negara ini apabila membuat perhubungan dengan persatuan pelajar Islam luar negara.

    PKPIM ditubuhkan kerana merasakan GPMS dan PKPM tidak dapat mewakili

    kepentingan dan hasrat mahasiswa dan pelajar Islam dengan sepenuhnya. Penubuhan PKPIM direstui oleh GPMS. Bagaimanapun hubungan baik PKPIM-GPMS itu hanya wujud di peringkat permulaan sahaja. Kedua-dua persatuan ini kemudiannya tidak dapat sekata kerana masing-masing mempunyai pendirian yang berbeza dalam beberapa isu yang kontroversial antara pertengahan 1960-an hingga 1974. Hubungan PKPIM-GPMS kembali baik pada pertengahan 1980-an terutamanya kerana kerjasama dalam Majlis Belia Malaysia (MBM), walaupun selepas akhir 1990-an, ia bergantung pada isu-isu semasa yang berlaku. Ketiga-tiga persatuan mahasiswa/pelajar di peringkat nasional itu, iaitu GPMS, PKPM dan PKPIM menjadi sebahagian daripada badan gabungan MBM yang ditubuhkan pada 23 Julai 1948, iaitu badan induk bagi gerakan belia di peringkat kebangsaan, yang badan-badan gabungannya terbahagi kepada lima kategori, iaitu organisasi pelajar, organisasi agama, organisasi sosio-ekonomi, badan beruniform dan Majlis-majlis Belia Negeri. Dalam keadaan tertentu, kerjasama ataupun persaingan di antara ketiga-tiga buah persatuan ini turut sama mencorakkan MBM pada zaman pertengahan 1960-an hingga 1974 itu.

    Pada 1975, AUKU telah dipinda. Ia mengongkong gerakan mahasiswa. Di peringkat kebangsaan, PKPM terkubur. Kerana itu, kerjasama dan persaingan persatuan mahasiswa/pelajar di peringkat nasional dalam MBM dari 1975 hingga ke hari ini hanya melibatkan GPMS dan PKPIM. GPMS dan PKPIM pula terputus hubungannya dengan mahasiswa.

    Di peringkat universiti, Persatuan Mahasiswa secara definisinya tidak lagi wujud. Ia

    digantikan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). MPP dipilih melalui pilihan raya kampus. Tetapi, adakalanya, pilihan raya kampus dimanipulasi oleh sesetengah HEP kerana ingin memenangkan calon-calon tertentu.

    Di samping itu, dalam keadaan tertentu, kelihatan terdapat percubaan untuk mengurangkan kedudukan dan peranan MPP. Ini dilakukan, misalnya, dengan memberikan fokus yang lebih kepada jawatankuasa pelajar di peringkat kolej kediaman dan dengan menyamakan MPP dengan persatuan-persatuan mahasiswa yang lain. Kewujudan IPTS mulai pertengahan 1990-an telah menambahkan warna gerakan mahasiswa nasional. Sebahagian besar daripadanya mempunyai MPP dan pelbagai persatuan mahasiswa yang lain. Dari akhir 1990-an hingga hari ini, telah muncul beberapa buah persatuan atau organisasi mahasiswa yang bersifat kebangsaan atau sekurang-kurangnya tidak terhad kepada dalaman atau sesuatu kampus sahaja. Antaranya ialah Barisan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMN), Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA, Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), Universiti Bangsar Utama dan lain-lain. Tetapi, oleh kerana sebahagiannya tidak berdaftar atau terlalu bergantung kepada individu, isu atau matlamat tertentu, maka ada yang tidak kekal atau kurang berkembang. Namun, peranan dan sumbangan mereka perlu diambil kira.

  • 12

    Pada tahun 1999, kerajaan telah menubuhkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dianggotai oleh MPP-MPP dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri. Ia adalah platform perundingan yang mengiktiraf peranan pemimpin mahasiswa sebagai rakan kepemimpinan bersama-sama dengan kerajaan. Ia membincangkan pelbagai isu dan perkara yang melibatkan dunia kemahasiswaan, universiti dan pembangunan negara. Terdapat beberapa resolusinya yang telah diambilkira oleh kerajaan untuk tindakan yang sewajarnya. MPPK adalah satu pendekatan governans baru pembangunan mahasiswa yang perlu diperluaskan lagi.

    Tahun 2009 adalah amat penting lagi strategik buat gerakan mahasiswa. Dari satu segi, AUKU 1975 telah dipinda dengan komprehensif dan hampir sempurna. Ini bermakna gerakan mahasiswa IPTA telah diberikan lebih banyak kebebasan. Saya telah mencadangkan kepada semua MPP IPTA untuk mereka menubuhkan sebuah gabungan MPP nasional. Dari segi yang lain, gerakan mahasiswa IPTS telah menubuhkan IPTS Student Caucus. Alangkah baiknya, jika semua MPP IPTA dan IPTS bergabung untuk membentuk sebuah gerakan mahasiswa nasional.

  • 13

    GERAKAN MAHASISWA 1960-AN HINGGA 1974 Tahun-tahun dari 1965 (atau menurut pendapat-pendapat lain, dari 1966 atau dari

    1967) hingga 1974 dianggap sesetengah pihak sebagai zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara ini. Zaman ini disorot oleh Mohammed Abu Bakar, iaitu dari pertengahan 1960-an hingga September 1971, manakala oleh Hassan Karim, iaitu dari 1967 hingga 1974. Baharuddin Ali Masrom pula menggunakan tahun 1975, iaitu apabila beberapa pindaan dibuat pada AUKU 1971, sebagai garis pemisah bermulanya zaman malap mahasiswa.

    Jika tahun 1965 dianggap tahun bermulanya zaman kemuncak gerakan mahasiswa, maka ia adalah berikutan peranan PBMUM. Noordin Abd. Razak menyifatkan tahun tersebut sebagai bermulanya “Zaman Perubahan dan Perjuangan PBMUM”. Sebelum tahun tersebut, PBMUM terbatas dalam bidang-bidang bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan. Sebaliknya, bermula pada 1965, PBMUM telah memberikan pengertian yang lebih luas terhadap kebudayaan, iaitu merangkumi setiap aspek perjuangan, termasuk politik, ekonomi, pendidikan, sosial dan sebagainya. PBMUM telah berubah corak dan bentuk gerakannya. Program-program bersama masyarakat, seperti ceramah, forum dan diskusi mula dianjurkan. Mahasiswa Melayu mula berkecimpung dengan masalah penderitaan penoreh getah, petani dan nelayan. Kesadaran ini menggerakkan nadi mahasiswa Melayu untuk memimpin bangsa Melayu yang mundur dan miskin itu ke arah kemakmuran, keadilan dan kebahagiaan.

    Mohammed Abu Bakar pula menyifatkan tahun 1965 sebagai “Tahun Pemisahan

    PBMUM”, di mana soal identifikasi dengan rakyat menjadi bertambah jelas. Hal ini seterusnya dipengaruhi oleh kehadiran mahasiswa Melayu yang semakin bertambah, yang umumnya terdiri daripada golongan miskin dari kawasan desa, terutamanya dari Pantai Timur. Isu kemiskinan mula menjadi isu yang utama yang diperjuangkan gerakan mahasiswa.

    Pada bulan Oktober tahun tersebut, TV Malaysia telah menayangkan drama bersiri “Oh! Awangku Sayang” yang mengisahkan seorang mahasiswa Melayu telah mencabul kehormatan seorang gadis kampung dan menyebabkan gadis itu mengandung. PBMUM berpendapat yang drama itu boleh menjatuhkan maruah mahasiswa, menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap mahasiswa dan merosakkan imej bakal pemimpin masyarakat itu. PBMUM telah mendesak supaya siri 3-5 drama tersebut dibatalkan siarannya dan mencabar penerbit dan pengarangnya ke perbahasan terbuka. Protes PBMUM ini berjaya dan penayangan drama itu dihentikan.

    Yang menariknya, protes oleh PBMUM ini telah dikritik oleh PMUM. Kritik PMUM itu mungkin disebabkan ia mula terasa bahawa kedudukannya sebagai badan mahasiswa yang dianggotai semua mahasiswa di kampus telah dicabar oleh sebuah badan mahasiswa yang dianggotai oleh sebahagian kecil mahasiswa sahaja. Ini adalah permulaan kepada beberapa pergeseran lain yang kemudiannya berlaku antara kedua-dua buah badan mahasiswa ini.

    Pada tahun yang sama juga, PBMUM dengan secara terang-terang mengeluarkan kenyataan dan poster-poster menentang konsep “Malaysian Malaysia” yang dikemukakan oleh Lee Kuan Yew.

    Jika tahun 1966 diambil sebagai tahun bermulanya zaman kemuncak gerakan mahasiswa, ia adalah berasaskan fungsi Sudut Pidato (Speaker’s Corner) yang ditubuhkan

  • 14

    pada 27 Mei tahun tersebut. Ia penting kerana hampir semua demonstrasi yang diadakan, terutamanya oleh mahasiswa UM, selepas tarikh tersebut bermula dari sudut itu.

    Sudut Pidato itu turut diberikan jolokan sebagai Hyde Park Malaysia. Hal ini adalah

    kerana di sanalah nantinya para mahasiwa mengadakan dialog dan perbahasan mengenai pelbagai isu dan masalah yang menyentuh mahasiswa, universiti, masyarakat dan negara dengan begitu bebas sekali. Iaitu bersesuaian dengan cita-cita pengasasnya yang mahu mahasiswa menggunakannya dengan sepenuhnya bagi menyuarakan pemikiran mereka.

    Manakala jika tahun 1967 digunakan sebagai tahun bermulanya zaman kemuncak gerakan mahasiswa, ia adalah kerana, pada bulan Disember tahun tersebut, Kelab Sosialis telah ditubuhkan, iaitu pertubuhan politik yang pertama di kampus. Ini menandakan bermulanya, untuk beberapa tahun, penguasaan mahasiswa yang beraliran sosialis di UM, misalnya, dengan Syed Hamid Ali menjadi Setiausaha Agung PMUM dan Sanusi Osman menjadi Presiden PBMUM pada tahun tersebut, dan kemudiannya diikuti pula oleh Hishamuddin Rais Pada peringkat ini, harus juga diingatkan tentang kewujudan beberapa buah persatuan mahasiswa yang bergabung dengan PMUM, iaitu selain daripada PBMUM, yang amat aktif. Ia adalah Persatuan Bahasa China UM, Persatuan Bahasa Tamil UM dan PMIUM. Kelab Sosialis tidak bergabung dalam PMUM.

    Jika terdapat pendapat yang berbeza tentang tahun permulaan zaman kemuncak gerakan mahasiswa, tetapi, dalam menentukan tahun akhirnya, terdapat pendapat yang sama, iaitu tahun 1974. Walaupun ramai penulis yang menggunakan tahun 1974 dalam tulisan mereka, sedangkan Mohammed Abu Bakar dan Noordin Abd. Razak menggunakan tahun 1971, tetapi tahun 1971 yang digunakan kedua-duanya adalah kerana faktor teknikal. Mohammed Abu Bakar menyiapkan tulisannya pada Jun 1972 dan ia diterbitkan pada 1973. Manakala Noordin Abd. Razak menyiapkan tulisannya untuk menamatkan pengajiannya pada tahun 1972. Ini dapat dinyatakan dengan demikian kerana melalui ungkapan-ungkapan kedua-duanya selepas tahun 1974, pendapat mereka jelas menunjukkan bahawa tahun 1974 dikira sebagai tahun akhir zaman tersebut. Pendapat ini turut dikongsi oleh ramai pemerhati gerakan mahasiswa yang lain.

    Yang menjadikan tahun 1974 adalah tahun akhir zaman kemuncak gerakan

    mahasiswa ialah kerana setelah peristiwa demonstrasi Baling pada Disember 1974, pindaan telah dibuat terhadap AUKU 1971 pada awal tahun 1975 (dikenali sebagai Pindaan 1975), dan setelah itu, jelas kelihatan berlaku perubahan yang besar dari segi bermulanya zaman kelembapan gerakan mahasiswa.

    Bagi pendapat yang mengatakan bahawa tempoh masa dari tahun 1965 hingga tahun

    1974 adalah zaman kemuncak gerakan mahasiswa negara, ia diukur dari segi tindakan-tindakan mahasiswa yang bercorak politik. Menurut Mohammed Abu Bakar, ini termasuklah:

    (1) Seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan

    sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

    (2) Resolusi-resolusi bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan

    umum dan kerajaan.

  • 15

    (3) Penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana

    mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.

    (4) Demonstrasi di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan ideal perjuangan mereka.

    (5) Sesetengah mahasiswa mengambil bahagian dengan memegang jawatan dalam

    parti-parti politik, seperti Parti Rakyat.

    Sama ada ukuran politik yang sedemikian rupa adalah ukuran paling tepat untuk zaman tersebut, dan sama ada pemilihan zaman tersebut itu sendiri adalah pemilihan yang tepat, ia terserah kepada pandangan masing-masing individu. Ini adalah kerana tidak wujud satu kayu ukur, indikator atau kriteria yang saintifik tentang keaktifan, kelembapan atau kemuncak gerakan mahasiswa. Bagi mereka yang mengukurnya dengan ukuran politik, antara hujah utamanya ialah gerakan mahasiswa harus berbeza daripada sekadar penganjuran aktiviti kokurikulum oleh pelajar sekolah menengah tinggi.

    Kerana tiada ukuran yang tepat, maka persepsi pihak-pihak yang berlainan adalah

    berlainan. Lantaran itu, ada pihak yang menggunakan beberapa cetusan, yang luar dari kebiasaan (tidak semestinya yang luar biasa), oleh mahasiswa sebagai ukuran keaktifan gerakan mahasiswa. Contohnya, jika mahasiswa berdemonstrasi, dan demonstrasi itu dianggap bersifat anti-establishment, maka akan dianggap adalah aktif dan positif, manakala satu pihak yang lain pula melihatnya sebagai negatif.

    Oleh kerana zaman dari tahun 1965 hingga tahun 1974 itu telah banyak dibincangkan

    oleh penulis-penulis lain, buku ini sekadar mencatatkan beberapa isu atau peristiwa utama yang berlaku dalam tempoh masa tersebut:

    (1) Isu Antarabangsa

    Isu ini bermula dengan demonstrasi menentang pengeboman AS ke atas

    Hanoi-Haiphong (pada tahun 1966). Ia diikuti kemudiannya oleh beberapa siri demonstrasi atas beberapa isu antarabangsa yang lain. Antaranya: demonstrasi menentang pendudukan Soviet Union ke atas Czechoslavakia (1968); demonstrasi mengutuk tuntutan Filipina ke atas Sabah (1968); demonstrasi menentang kerajaan British kerana menjual senjata kepada Afrika Selatan yang mengamalkan dasar apartheid (1970); demonstrasi menentang lawatan Perdana Menteri Thailand Thanom Kittikachorn kerana melakukan penindasan terhadap orang Islam di Patani, yang merupakan demonstrasi yang pertama diadakan selepas AUKU 1971 diluluskan, dan di mana buat pertama kalinya terdapat mahasiswa, iaitu seramai 12 orang, telah cedera akibat bertembung dengan polis (1971): dan, demonstrasi menyokong perjuangan rakyat Palestin (1973).

    (2) Isu Bahasa Kebangsaan

    Pada tahun 1966, telah bermula gerakan PBMUM memperjuangkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar di UM. Ia dimulakan

  • 16

    dengan pameran, forum dan simposium. Kemuncaknya ialah Demonstrasi Papan Tanda pada 1970 yang berakhir dengan Naib Canselor Prof. Ungku Aziz mengumumkan bahasa kebangsaan menjadi bahasa rasmi di UM.

    (3) Isu Sijil Kelayakan

    Demonstrasi mahasiswa UM menentang Sijil Kelayakan yang dianggap membantut kebebasan mahasiswa dan autonomi universiti serta berlawanan dengan prinsip demokrasi, pada tahun 1966.

    (4) Isu Kemiskinan

    Pada tahun 1967, PBMUM menganjurkan Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar dengan tujuan mencari penyelesaian terhadap masalah rakyat luar bandar seperti petani, nelayan dan buruh, yang miskin dan terkebelakang.

    Pada tahun 1967 juga, berlaku Peristiwa Teluk Gong atau Hamid Tuah. Dalam

    peristiwa ini, Hamid Tuah dan pengikutnya telah membina rumah di atas tanah yang diterokai mereka. Hamid Tuah dan pengikutnya telah ditahan manakala rumah dan harta bendanya dimusnahkan. Ini menyebabkan mahasiswa berganding bahu membela Hamid Tuah dan pengikutnya. Bermula dengan ucapan di Sudut Pidato, ia diikuti dengan perarakan dan piket di depan pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor serta kutipan derma membantu peneroka tersebut.

    Pada tahun 1970, PMUM mula menganjurkan “Projek Perkhidmatan

    Masyarakat”. Dengan perbelanjaan sebanyak $8,000, 40 orang mahasiswa telah pergi ke-4 buah kampung iaitu: Pulau Kundur, Kota Bharu; Manek Urai, Kuala Krai; Gaong, Kuala Brang; dan Chalok di Terengganu. Objektif projek ini ialah untuk memahami masalah yang dihadapi penduduk desa dan membantu mereka menyelesaikan masalah itu.

    Pada tahun 1971, PBMUM, PMIUM dan PKPIM telah memulakan program

    “Gerakan Kempen Kesadaran”. Kawasan yang dikunjungi ialah Pulau Langkawi, Kedah; Kroh dan Grik, Perak; Bacok, Kelantan; Pekan, Pahang; dan Rembau, Negeri Sembilan. Tujuan projek ini ialah untuk menimbulkan kesedaran di kalangan mahasiswa dan pelajar, membantu usaha menggalakkan masyarakat desa supaya dapat menikmati projek-projek pembangunan negara dengan cara yang lebih positif, dan menyampaikan dakwah Islamiah serta menekankan keperluan perubahan sikap di kalangan umat Islam sesuai dengan tuntutan masa.

    Pada September 1974, berlaku Peristiwa Tasik Utara. Sebelum Pilihan Raya

    Umum 1974, beberapa orang miskin telah membina rumah setinggan di Tasik Utara. Mereka tidak dihalang kerajaan, malah peraih undi Barisan Nasional (BN) berjanji akan membantu mereka. Mereka malahan menamakan petempatan itu Kg. Barisan Nasional. Tetapi, selepas pilihan raya, mereka diberi notis supaya keluar dan rayuan mereka supaya diberikan tapak ganti juga gagal. Rumah mereka kemudiannya diruntuhkan. Pemimpin-pemimpin mahasiswa turut merayu tetapi gagal dan beberapa orang ditahan selama sehari. Peristiwa itu berlarutan untuk beberapa hari sehingga

  • 17

    mahasiswa berdemonstrasi dan beberapa orang lagi ditahan untuk beberapa ketika, manakala ramai yang tercedera akibat bertempur dengan polis.

    Pada November-Disember 1974, berlaku Peristiwa Baling. Pada 19 November

    1974, lebih 1,000 orang petani yang miskin di Baling mula mengadakan demonstrasi. Pada 21 November, jumlahnya menjadi lebih 13,000 orang dan menjadi 30,000 pada 1 Disember. Seramai 5,000 orang mahasiswa mengadakan demonstrasi pada 3 Disember di Kuala Lumpur sebagai menyokong nasib mereka dan mendesak kerajaan supaya dengan segera menyelesaikan masalah inflasi; menaikkan harga getah ke tahap yang munasabah; dan, mendedahkan dan menghukum semua Menteri dan Menteri Besar yang rasuah. Seramai 1,128 orang mahasiswa telah ditahan.

    (5) Isu Penubuhan Universiti Kebangsaan

    Simposium Dasar Pelajaran Kebangsaan telah dianjurkan PBMUM pada tahun 1968. Walaupun terdapat beberapa tujuan bagi menganjurkan simposium ini, tetapi, tujuan dan kesannya yang paling penting ialah desakan supaya ditubuhkan sebuah Universiti Kebangsaan.

    (6) Kempen Pilihan Raya Umum 1969

    PMUM memainkan peranan dalam Pilihan Raya Umum pada Mei 1969 dengan mengadakan 13 perhimpunan umum dalam bulan April dan Mei, iaitu sebelum pilihan raya diadakan. Jumlah kehadiran ialah seramai 100,000 orang, manakala 100,000 naskah manifesto PMUM telah diedarkan.

    (7) Kempen anti-Tunku

    Selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969, mahasiswa dengan diketuai PBMUM

    telah menuntut Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman supaya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Pada 22 September 1970, Tunku telah meletakkan jawatan.

    (8) AUKU

    Pada 18 Mac 1971, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah diluluskan oleh Parlimen. Mahasiswa telah bangkit menentang AUKU kerana merasakan ia bertujuan menyekat kebebasan bersuara di kalangan mahasiswa, menamatkan autonomi universiti dan berlawanan dengan prinsip demokrasi. Berdasarkan catatan di atas, adalah jelas bahawa isu utama yang menjadi dasar

    gerakan mahasiswa pada zaman kemuncak gerakan mahasiswa itu adalah isu kemiskinan. Pada waktu yang sama, jika diteliti dengan mendalam isu-isu dan peristiwa-peristiwa yang dicatatkan itu, iaitu dengan merujuk bahan-bahannya yang berkenaan, akan didapati bahawa sebahagian daripada reaksi radikal mahasiswa, seperti dengan mengadakan demonstrasi, adalah akibat reaksi negatif terlebih awal daripada pihak-pihak atasan terhadap pandangan dan permintaan mahasiswa yang pada mulanya adalah bersifat sederhana.

  • 18

    Walaupun tempoh masa itu dianggap zaman kemuncak gerakan mahasiswa, ini tidak bermakna bahawa tidak wujud sebarang kelemahan dalam gerakan mahasiswa itu sendiri. Sebagai contohnya, tidak semua tindakan yang kontroversial sentiasa mendapat sokongan majoriti daripada mahasiswa. Malahan, adakalanya, di kalangan badan mahasiswa yang radikal itupun terdapat konflik dalam isu-isu tertentu. Satu perkara lagi ialah hakikat bahawa mahasiswa yang benar-benar aktif hanyalah sebilangan kecil sahaja, iaitu the active few. Ini sebenarnya adalah fitrah dalam mana-mana zaman dan mana-mana badan. Di samping itu, terdapat polarisasi kaum terutamanya dalam isu-isu tertentu di mana mahasiswa daripada kaum tertentu lebih kehadapan manakala yang daripada kaum yang lain tidak begitu terlibat.

  • 19

    GERAKAN MAHASISWA SELEPAS 1974

    Kesan pertama Peristiwa Baling 1974 yang dirasai gerakan mahasiswa ialah penahanan ramai pemimpin mahasiswa dan pelajar. Ini menyebabkan sebahagian badan mahasiswa hampir lumpuh untuk seketika. Kesan kedua ialah pindaan terhadap beberapa seksyen AUKU 1971 yang diluluskan oleh Parlimen pada 8 April 1975. Antara lain, Pindaan 1975 itu yang merujuk kebebasan mahasiswa ialah, pertama, mahasiswa dilarang memberikan sokongan kepada pihak-pihak di luar kampus. Ini termasuklah larangan membuat kenyataan akhbar. Kedua, mahasiswa dilarang menganggotai mana-mana pertubuhan di luar kampus. Sebelum Pindaan 1975, walaupun dengan AUKU 1971, mahasiswa hanya dilarang memegang jawatan dalam parti politik dan kesatuan sekerja. Ketiga, persatuan mahasiswa dilarang bergabung dengan mana-mana pertubuhan di luar kampus. Akibatnya, PKPM terkubur, GPMS dan PKPIM tinggal anggota dan badan gabungan bukan mahasiswa, manakala MBM terputus jembatannya dengan gerakan mahasiswa.

    Menurut Baharudin Ali Masrom, Pindaan 1975 terhadap AUKU 1971 menandakan “Zaman Malap Mahasiswa”. Pandangan ini banyak dikongsi oleh ramai aktivis dan pendokong gerakan mahasiswa, sama ada di kalangan yang menjadi mahasiswa pada masa sebelum atau selepas AUKU 1971 dan Pindaan 1975.

    Pindaan tersebut secara tidak langsung telah mengubah gerakan mahasiswa daripada

    sikap lantang dan radikal kepada sikap yang lebih sederhana. Sudut Pidato berkubur dan demonstrasi tidak lagi menjadi buah mulut. Mahasiswa tidak lagi bebas berpolitik seperti dahulu.

    Sesetengah pihak berpendapat bahawa, secara keseluruhannya AUKU 1971 dan

    Pindaan 1975 telah mewujudkan budaya takut (culture of fear) di kalangan mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam gerakan mahasiswa. Walaupun terdapat mereka yang mengambil sikap berani, tetapi perasaan bimbang tetap menghantui mereka.

    Kerana itu, beberapa badan mahasiswa, terutamanya Persatuan-persatuan Mahasiswa,

    PMIUM-PMIUM, PBMUM serta PKPIM dan MBM telah berulang-ulang kali mendesak kerajaan supaya meminda beberapa Seksyen dalam AUKU 1975 yang menyekat kebebasan mahasiswa. Dalam perbahasan mengenai AUKU, umumnya terdapat tiga pandangan yang utama. Pandangan yang pertama ialah yang menerima bulat-bulat AUKU 1975. Pandangan yang kedua ialah yang menolak bulat-bulat AUKU. Kedua-dua pandangan ini adakalanya mencerminkan pendirian politik yang dianuti oleh pemegang pandangan tersebut. Adakalanya pula, pandangan pertama mempunyai hujah-hujah yang bernas tetapi sukar dibentangkan kepada khalayak. Manakala, adakalanya pandangan kedua terbit daripada kurang membuat penelitian terhadap AUKU itu sendiri. Dalam hal ini, wujud pandangan ketiga, iaitu yang sederhana. Pandangan ini menerima kewajaran mewujudkan AUKU 1971, tetapi meminta agar beberapa Seksyen, sama ada pada AUKU 1971 atau pada Pindaan 1975 itu dipinda supaya mahasiswa dapat kembali kebebasan mereka. Saya berpegang kepada pandangan ini.

  • 20

    Pada sesuatu ketika sebelum pindaan dibuat kepada AUKU pada tahun 2009, ia kembali dibincangkan di kalangan khalayak. Seorang bekas Menteri Pendidikan mencadangkan supaya, jika perlu, ditambah syarat tertentu atau baru supaya dipastikan yang mahasiswa benar-benar belajar. Syarat baru ini mungkin sahaja termasuk dalam maksud AUKU diperketatkan. Jika ini berlaku, tentu ramai yang akan menentang. Persoalannya bukan menyokong atau menentang. Persoalannya, bekas Menteri Pendidikan itu mempunyai ukuran tersendiri yang berasaskan nilai tertentu yang dianggapnya benar sejak beliau menjadi Menteri Pendidikan dahulu. Baginya, nilai yang dipegangnya tidak berubah.

    Ini berbeza dengan seorang lagi bekas Menteri Pendidikan. Sebelum menjadi Menteri Pendidikan, atau lebih jelas lagi sebelum menjadi orang kerajaan, beliau begitu kuat menentang AUKU yang dianggapnya tidak kondusif untuk gerakan mahasiswa. Semasa menjadi orang kerajaan, iaitu tidak terhad kepada tempoh masa beliau menjadi Menteri Pendidikan sahaja, tidak pula terdapat rekod mengenai usaha-usaha seriusnya untuk meminda AUKU supaya menjadi lebih kondusif. Kini, setelah tidak lagi menjadi orang kerajaan, beliau kembali mengkritik AUKU. Jadi, ukuran positif atau negatifnya adalah berlandaskan nilai yang dipegangnya yang kelihatan berubah-ubah. AUKU tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak bergerak. Walaupun ia sering dijadikan faktor dan hujah, tetapi, wujud juga beberapa faktor lain yang turut mempengaruhi gerakan mahasiswa menjadi tidak sehebat zaman sebelum AUKU.

    Antara faktor tersebut ialah: (1) Kemunculan lebih banyak universiti, bermula dengan Universiti Teknologi

    Malaysia (UTM) pada 1975. Ini diikuti dengan mula tertubuhnya secara serentak IPTS. Jumlah mahasiswa yang semakin besar ini tidak lagi menjadikan mereka yang bergelar mahasiswa itu istimewa lagi. Lalu, tarikannya tidak begitu menggamit masyarakat.

    (2) Pengenalan Sistem Semester dan CGPA menyebabkan mahasiswa perlu

    bertungkus lumus untuk menghadapi peperiksaan pada setiap semester. Masa lapang untuk bergerak yang dinikmati di bawah Sistem Penggal tidak wujud lagi. Jika semasa Sistem Penggal dahulu, kebanyakan mahasiswa aliran liberal arts lazimnya lebih aktif daripada mahasiswa aliran sains, kini semuanya berhadapan dengan beban akademik yang hampir sama.

    (3) Beberapa kekurangan dan kelemahan mahasiswa, seperti prestasi akademik

    yang merosot di kalangan sebahagian daripada mahasiswa, terutamanya mahasiswa Melayu, kemerosotan akhlak dan fenomena graduan menganggur, iaitu isu-isu yang tidak begitu ketara sebelum tahun 1974, telah menghambat para pengikut gerakan mahasiswa dan ibu bapa untuk lebih berhati-hati untuk terlibat dengan gerakan mahasiswa.

    (4) Terdapat lebih ramai pegawai universiti dan kerajaan, pemimpin masyarakat

    dan korporat yang terdiri daripada graduan serta bekas aktivis dan pendokong gerakan mahasiswa. Sekiranya gerakan mahasiswa semasa tidak berjaya mengadakan sesuatu yang lebih kreatif dan lebih baik daripada apa-apa yang pernah mereka lalui dan ikuti pada zaman mahasiswanya, maka gerakan mahasiswa semasa tidak akan dapat meninggalkan impak yang diinginkan.

  • 21

    (5) Badan-badan masyarakat sivil (CSO) telah menjadi semakin mengkhusus dan profesional. Sebahagian daripadanya dipimpin oleh bekas aktivis dan pendokong gerakan mahasiswa. Organisasi ini mula menyaingi, dan dalam keadaan tertentu, menenggelamkan gerakan mahasiswa semasa yang tidak dapat menyaingi pengkhususan dan profesionalisme mereka.

    (6) Lebih ramai pemimpin parti-parti politik terdiri daripada bekas aktivis dan

    pendokong gerakan mahasiswa. Ini menyebabkan bukan lagi gerakan mahasiswa yang mempengaruhi parti politik, tetapi sebaliknya, parti politik yang mempengaruhi gerakan mahasiswa.

    (7) Dasar-dasar dan strategi-strategi pembangunan negara telah dirancang dan

    dilaksanakan dengan lebih baik. Pada waktu yang sama, isu kemiskinan yang merupakan dasar utama gerakan mahasiswa pada zaman kemuncaknya telah tidak lagi menjadi isu. Kecuali dalam beberapa isu kecil dan terpencil, tidak menonjol apa-apa kesalahan besar kerajaan atau ketidakpuasan besar rakyat.

    (8) Gerakan mahasiswa masih belum dapat menyelesaikan masalah polarisasi

    kaum di kalangan mahasiswa, yang telah wujud sejak zaman kemuncak gerakan mahasiswa lagi. Ini menggugat perpaduan dan kesepaduan gerakan mahasiswa.

    (9) Perpecahan di kalangan mahasiswa Melayu atas dasar siapa lebih Islamik,

    yang tidak berlaku pada zaman kemuncak gerakan mahasiswa dahulu, melemahkan gerakan mahasiswa.

    (10) Terdapat pandangan bahawa mahasiswa kebelakangan ini kurang artikulatif

    dalam menyuarakan pendapat mereka jika dibandingkan dengan mahasiswa dahulu, dan ini dianggap tidak membantu memperkuatkan gerakan mahasiswa semasa.

    Sebenarnya, gerakan mahasiswa selepas 1974 tidaklah mati. Cuma, ia tidak sehebat

    pada zaman kemuncaknya itu. Sementara itu, dalam keadaan tertentu, misalnya semasa krisis politik dan ekonomi pada akhir tahun 1990-an, gerakan mahasiswa kelihatan bangkit semula.

    Umumnya, apabila membincangkan gerakan mahasiswa, akan terjumpa beberapa

    ungkapan yang sinonim dengannya, seperti: “kumpulan pendesak (pressure group)”, “ watch dog”, “tradisi mencabar”, “student rebellion”, “ student revolt”, ” student resistance”, “ student power”, “bersama rakyat” dan sebagainya. Ada waktunya, masyarakat memberikan pula ungkapan yang tidak begitu sesuai sebagai reaksi: “rebel without cause” dan “angry young men”.

    Buku ini tidak berhajat untuk membahaskan ungkapan-ungkapan tersebut. Ia sekadar

    menyatakan bahawa ungkapan-ungkapan tersebut mencerminkan pemikiran, pandangan dunia (world view), perspektif, set minda atau ideologi – kerangka tertentu. Dalam konteks ini, kerangkanya ialah yang bersifat anti-establishment atau konfrontatif.

    Pihak-pihak yang berpegang kepada kerangka ini tentunya punya alasan dan hujah-

    hujah bagi mempertahankan alasan tersebut. Tetapi, jika keadaan dapat diubah atau telah berubah, jika sistem dapat diubah atau telah berubah, dan jika budaya dapat diubah atau telah

  • 22

    berubah, apakah tidak mungkin diwujudkan suatu kerangka baru yang lebih baik untuk semua?

    Kerangka baru yang dimaksudkan ialah kerangka konsultatif, iaitu kerangka

    governans baru pembangunan mahasiswa yang merupakan intipati bahagian kedua tulisan ini.

  • 23

    AUKU 1975

    Saya antara mereka yang memperjuangkan supaya sesetengah peruntukan AUKU Pindaan 1975 dipinda. Ini kerana ia jelas mengongkong dan mengawal gerakan mahasiswa sehingga menjadikannya lesu.

    Peruntukan yang dimaksudkan itu, antaranya, ialah Seksyen 15(1), 15(2), 15(3), 15(4), 15(5), 15A, 15B, 15C, 15D(1), 15D(2), 16, 16B(1), 16B(2), 16B(3) dan 16C(1).

    Manakala kongkongan dan kawalan tersebut, antaranya, ialah:

    (1) Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada memanggil, berhimpun atau mengorganisasikan perhimpunan seramai lebih dari lima orang tanpa terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis dari Naib Canselor atau wakilnya.

    (2) Mahasiswa tidak boleh menyertai mana-mana perhimpunan yang diadakan kecuali

    mendapat kebenaran dari Naib Canselor atau orang yang diberi kuasa olehnya. (3) Mahasiswa, pertubuhan, badan atau kumpulan mahasiswa tidak dibenarkan

    mempunyai atau mengguna pembesar suara atau seumpamanya. (4) Melarang mahasiswa menggunakan bendera, sepanduk, pelekat, poster dan

    seumpamanya. (5) Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada menjalankan sebarang

    ativiti di luar kampus kecuali dengan kebenaran bertulis Naib Canselor (6) Melarang mahasiswa dari mengambil bahagian dalam apa-apa perniagan,

    pekerjaaan atau aktiviti lain secara sepenuh masa atau sambilan yang menurut Naib Canselor adalah tidak diingini.

    (7) Melarang mahasiswa dan pertubuhan mahasiswa daripada menjadi ahli atau

    bersekutu dengan mana-mana persatuan, parti politik, kesatuan sekerja dan lain-lain kecuali sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Universiti atau diluluskan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor.

    (8) Melarang mahasiswa dan pertubuhan mahasiswa daripada menyatakan sokongan,

    simpati atau bangkangan terhadap mana-mana parti politik, kesatuan sekerja dan badan-badan lain.

    (9) Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada memungut wang. (10) Pemegang jawatan atau orang yang menguruskan kumpulan mahasiswa adalah

    disifatkan melakukan kesalahan sekiranya kesalahan dilakukan atas nama atau bagi pihak persatuan atau kumpulan mahasiswa itu, melainkan dapat dibuktikan bahawa kesalahan itu dilakukan tanpa pengetahuannya dan dia /mereka telah berusaha mencegah kesalahan itu. Dia/mereka boleh didakwa atas kesalahan itu walaupun dia/mereka tidak mengambil bahagian dalam melakukan kesalahan itu.

  • 24

    (11) Melarang mahasiswa mengorganisasikan, mengapikan atau menyertai pemboikotan sesuatu peperiksaan, kuliah, tutorial, kelas atau aktiviti lain yang sah dijalankan oleh atau di bawah arahan atau dengan kebenaran universiti.

    (12) Melarang mahasiswa atau pertubuhan mahasiswa daripada membuat rayuan

    atau apa-apa perhubungan lain dengan pihak akhbar atau orang ramai berkaitan dengan universiti sama ada secara lisan, tulisan atau apa jua cara sekalipun.

    (13) Melarang menerbit atau mengedar dokumen di dalam atau di luar kampus

    kecuali dibenarkan oleh naib Canselor. (14) Jika seseorang mahasiswa tidak mematuhi atau melanggar sesuatu arahan atau

    kehendak yang sah diberi atau dibuat oleh mana-mana pegawai atau pekerja Universiti yang diberi kuasa untuk memberi atau membuatnya dalam kampus maka mahasiswa itu adalah bersalah atas kesalahan tatatertib.

    Adakah semua mahasiswa menentang peruntukan-peruntukan tersebut? Mungkin

    tidak. Tidak semua menentangnya pada 1971 dan pada 1975.

    Ini kerana tidak semua tahu AUKU. Ada yang tidak tahu langsung. Ada yang tahu, tetapi tidak ambil kisah. Ada yang tahu, tetapi tidak pernah membacanya. Ada yang tahu, tetapi tidak membacanya, tetapi bercakap tentangnya, sama ada menyokong, membangkang atau saja-saja bercakap. Ada yang tahu, membacanya, tetapi tidak bercakap pun. Ada yang tahu, membacanya dan bercakap tentangnya, sama ada menyokong, membangkang atau saja-saja bercakap. Ada yang menyokong atau membangkang seratus peratus atau membabi buta. Ada yang tahu, membacanya dan menjadikannya alasan untuk tidak aktif. Ada yang tahu, membacanya, aktif dan mencari jalan menanganinya. Perjuangan Meminda AUKU 1975

    Mereka yang menganggap AUKU 1975 tidak menyekat gerakan mahasiswa lazimnya menggunakan, antara lain, data tentang banyaknya program yang dilaksanakan mahasiswa. Tetapi, banyaknya jumlah program tidak semestinya menunjukkan gambaran suatu gerakan mahasiswa.

    Ini kerana program terdiri daripada tiga jenis. Pertama, ialah “aktiviti”. Ada organisasi mahasiwa hanya melaksanakan aktiviti. Aktiviti tidak semestinya bersiri, ada yang bersifat sekali buat, ada yang bersifat mengisi jadual tahunan semata-mata, ada yang disuruh buat dan sebagainya. Aktiviti yang sekadar aktiviti kurang meninggalkan kesan.

    Kedua, ialah “bakti”. Ada organisasi mahasiswa tidak hanya menganjurkan aktiviti sekadar aktiviti. Sebaliknya, ia menganjurkannya dalam satu siri atau pakej yang punya matlamat tertentu. Bakti begini perlu perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian lebih sistematik serta meninggalkan kesan yang lebih.

    Dan ketiga, ialah “advokasi”. Ada organisasi mahasiswa menjalankan advokasi, iaitu proses pembuatan atau mempengaruhi pembuatan keputusan. Ia dilakukan melalui memorandum, perundingan, melobi dan sebagainya. Ada masanya ia melibatkan proses

  • 25

    mempengaruhi pandangan khalayak seperti melalui kenyataan akhbar, seminar, perhimpunan, perarakan, demonstrasi dan lain-lain.

    Ada aktiviti yang sekadar aktiviti. Ada aktiviti yang bersifat bakti. Ada aktiviti yang bersifat bakti dan advokasi. Manakala, ada aktiviti yang bersifat advokasi sahaja, dan ada yang bersifat advokasi dan bakti sekaligus, tetapi jarang terdapat advokasi dan aktiviti sekadar aktiviti.

    Gerakan mahasiswa ditandai oleh sifat atau ciri advokasi. Kerana itu, data mentah yang tidak diklasifikasi atau digunakan secara sembrono untuk mengatakan bahawa AUKU 1975 tidak menyekat gerakan mahasiswa tidak dapat diterima.

    Ada juga hujah yang mengatakan bahawa AUKU 1975 tidak menyekat gerakan mahasiswa kerana terdapatnya data yang menunjukkan banyaknya jumlah mahasiswa yang menyertai program-program yang dijalankan. Sekali lagi, jika data itu mentah dan tidak diklasifikasi mengikut klasifikasi program di atas, maka ia tidak dapat diterima.

    Ada pula yang berhujah bahawa AUKU 1975 perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik, kerana zaman mahasiswa adalah zaman belajar bukan zaman memimpin. Selepas tamat belajar nanti, barulah berperanan sebagai pemimpin.

    Sayugia dijelaskan bahawa mereka sebenarnya mempunyai paradigma yang salah tentang kepemimpinan. Mereka terpengaruh dengan ayat yang tidak lengkap, iaitu: “mahasiswa adalah pemimpin masa depan”. Jadi, wahai mahasiswa, tunggu!

    Ayat itu perlu dilengkapkan dengan menyambungnya dengan, pertamanya, “mahasiswa adalah pemimpin hari ini iaitu kepada yang lebih muda daripada mereka”. Ini termasuk mahasiswa yang lebih muda, pelajar matrikulasi, pelajar sekolah dan belia bukan-pelajar di luar kampus. Kedua, “mahasiswa adalah pemimpin hari ini iaitu kepada yang seangkatan dengannya”. Ini termasuk mahasiswa seangkatan dari kampusnya dan kampus-kampus lain di dalam dan di luar negara serta belia di luar kampus. Dan ketiga, “mahasiswa adalah rakan kepemimpinan dalam pembangunan” bersama-sama dengan universiti, badan-badan masyarakat sivil (CSO) yang lain dan juga kerajaan.

    Sektor masyarakat sivil ini selanjutnya menjadi rakan pembangunan bersama-sama

    dua lagi sektor pembangunan iaitu sektor kerajaan dan sektor perniagaan lalu membentuk satu kerangka baru yang dipanggil governans baru yang menggabungkan perkongsian (yang benar-benar bijak) antara ketiga-tiga sektor itu, iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil.

    Kerana itu, apa salahnya jika mahasiswa berpolitik ketika di kampus, jika ia dilihat sebagai proses pendidikan dan pendedahan pembinaan dan penjanaan kepemimpinan yang bersifat experiencial learning dalam dunia sebenar. Tentu pendekatan ini lebih berkesan daripada membaca dan berteori semata-mata.

    Jika mahasiswa melakukan kesalahan, dan mahasiswa memang dibenarkan melakukan kesalahan, maka diperbetulkanlah, bukannya dihukum. Apabila tidak boleh diperbetulkan, maka barulah dihukum. Tetapi, hukuman mestilah dibuat dan dilihat sebagai dibuat dengan adil, bukannya secara terlalu keras seperti peruntukan AUKU 1975.

  • 26

    Ada yang berpendapat bahawa AUKU 1975 perlu untuk mengawal mahasiswa daripada berpolitik kerana bimbang mahasiswa menentang kerajaan. Persoalannya, mengapakah tidak ditanya mengapakah kerajaan ditentang oleh mahasiswa?

    Tetapi, bukankah ada waktunya yang, sebahagian kalaupun tidak seluruh, gerakan mahasiswa kelihatan menyokong kerajaan, seperti sejak akhir-akhir ini? Di samping itu, bukankah sejarah menunjukkan bahawa pendirian politik mahasiswa mungkin berubah apabila meninggalkan kampus? Jadi, apa masalahnya?

    Di samping itu, ada juga yang berhujah secara double standard dengan mengatakan bahawa tugas sebenar mahasiswa ialah belajar kerana mahasiswa hendaklah bertanggungjawab terhadap biasiswa atau bantuan kewangan yang disediakan kerajaan melalui wang daripada rakyat. Masalahnya, orang yang sama lazimnya menyokong pula Kelab UMNO ditubuhkan dan dianggotai oleh mahasiswa yang belajar di luar negara dengan sebahagian besarnya menggunakan biasiswa dan bantuan kewangan yang jauh lebih besar jumlahnya. Kesan Buruk AUKU 1975

    Pindaan terhadap beberapa peruntukan AUKU yang dikuatkuasakan pada 13 Mei 1975 meninggalkan kesan buruk. Akibatnya, PKPM terkubur, GPMS dan PKPIM tinggal anggota dan badan gabungan bukan mahasiswa, manakala MBM terputus jembatannya dengan gerakan mahasiswa.

    Menurut Baharudin Ali Masrom, AUKU 1975 menandakan Zaman Malap Mahasiswa; membantutkan peranan mahasiswa sebagai “kumpulan pendesak” (pressure group); mengubah trend kegiatan mahasiswa daripada sikap “radikal dan lantang” kepada lebih “sederhana”; Sudut Pidato berkubur; demonstrasi tidak lagi menjadi buah mulut; dan mahasiswa tidak lagi bebas berpolitik seperti dahulu.

    Pandangan ini banyak dikongsi oleh ramai aktivis dan pendokong gerakan

    mahasiswa, sama ada di kalangan yang menjadi mahasiswa pada masa sebelum atau selepas AUKU dan Pindaan 1975. Sesetengah pihak berpendapat bahawa, secara keseluruhannya AUKU 1975 telah mewujudkan “budaya takut” (culture of fear) di kalangan mahasiswa untuk terlibat secara aktif dalam gerakan mahasiswa. Walaupun terdapat mereka yang mengambil sikap berani, tetapi perasaan bimbang tetap menghantui mereka.

    Baharudin yang menganalisis perkembangan gerakan pelajar Islam pada 1975-1985

    membuat pemerhatian yang menarik, iaitu PMIUM berusaha memulihkan suasana gerakan pelajar Islam yang telah dilumpuhkan oleh AUKU 1975. PMIUM telah mengubah kaedah perjuangannya yang agresif kepada usaha peningkatan kualiti peribadi yang selaras dengan Islam dan trend kebangkitan Islam di seluruh dunia pada masa itu. Orientasi dakwah Islamiah yang mengambil tempat dan kepemimpinan pelajar ketika itu telah memberi nafas baru kepada gerakan mahasiswa.

    Dalam nada yang hampir sama, Zainah Anwar mengatakan bahawa akibat sekatan-

    sekatan AUKU, aktiviti-aktiviti GKK menjadi berkurangan dan PKPIM terdorong untuk lebih banyak mempromosi aktiviti dakwah di kalangan mahasiswa. Dengan sekatan

  • 27

    partisipasi politik, Islam menjadi landasan yang selamat yang melaluinya mahasiswa dapat menyuarakan rasa tidak puas hati, menyalurkan tenaga, memenuhi keinginan berbakti kepada masyarakat dan mencari ketenangan daripada tekanan kehidupan kampus dan kota.

    Zainah seterusnya mengatakan bahawa sekatan-sekatan yang ditambah apabila

    AUKU dipinda pada tahun 1975 hanya menyebabkan perjuangan Islam meningkat. Gerakan dakwah masih belum diketahui sangat pada masa itu. Kerajaan yang dihantui oleh agitasi mahasiswa atas isu-isu sosio-ekonomi tidak melihat Islam sebagai satu ancaman terhadap kawalannya ke atas kegiatan mahasiswa atau sebagai ancaman terhadap kuasanya.

    Jika politik menjadi tanda yang digunakan untuk melihat tahun 1974 sebagai tahun

    akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa, maka, ternyata bahawa AUKU setakat yang dikuatkuasa pada 30 April 1971 tidak berjaya memadamkan api gerakan mahasiswa. Ini kerana pada 14 Jun 1971, mahasiswa mengadakan demonstrasi membantah lawatan Perdana Menteri Thailand Thanum Kittikachorn yang menindas penduduk Islam di Thailand Selatan. Begitu juga, ia tidak memadamkan api gerakan mahasiswa dalam demonstrasi Baling pada Disember 1974.

    Pindaan-pindaan utama yang dibuat pada tahun 1975, seperti Seksyen 15, 15A, 15B,

    15C, 15D, 16, 16B, 16C dan lain-lain adalah jelas merujuk kegiatan politik gerakan mahasiswa. Selepas tarikh tersebut, adalah jelas bahawa partisipasi gerakan mahasiswa dalam politik menjadi berkurangan.

    Kerana itu, ia menjelaskan dua perkara. Pertama, jelaslah bahawa politik menjadi

    tanda utama yang digunakan untuk mengukur gerakan mahasiswa. Ini digunakan oleh pihak mahasiswa yang terlibat dalam gerakan mahasiswa, oleh pemerhati gerakan mahasiswa, dan juga oleh kerajaan yang menggubal AUKU untuk menyekat gerakan mahasiswa. Ini tidak menghairankan kerana politik adalah salah satu daripada kaedah operasi advokasi, iaitu ciri yang menentukan organisasi atau aktiviti mahasiswa itu bersifat gerakan mahasiswa. Dan kedua, jelaslah bahawa tahun 1974 sebagai tahun akhir zaman kemuncak gerakan mahasiswa.

    Dalam konteks politik kampus, sejak sesi 2001/2, satu peraturan baru pilihan raya

    kampus IPTA telah dilaksanakan. Peraturan ini boleh dibuat kerana AUKU 1975 membenarkannya. Dalam rencana Utusan Malaysia pada 3 Disember 2001, saya telah menyoal: sejauhmanakah peraturan baru itu menjana iklim dan budaya serta pendidikan politik yang berhikmah? Sejauhmanakah ia berada di landasan menyediakan demokrasi yang matang seperti yang dikehendaki oleh Wawasan 2020? Adakah ia bertujuan membantu calon-calon tertentu? Adakah ia bertujuan menutup kelemahan pihak-pihak tertentu pada masa lalu? Adakah ia berjaya menamatkan wujudnya calon-calon yang bertanding secara kumpulan?

    Dua tahun kemudian, apabila media memberikan liputan yang begitu meluas terhadap

    kemenangan besar calon-calon pilihan raya kampus yang dikatakan pro-kerajaan, atau dengan bahasa yang lebih politically correct, pro-aspirasi, dalam rencana Utusan Malaysia pada 8 September 2003, saya menyoal: adakah ini tanda-tanda mahasiswa akan kembali menggugat?

    Idris Ahmad (2004) telah membuat analisis tentang politik mahasiswa dekad 80-an

    dan 90-an. Beliau menyoal hipokrasi kerajaan dan sesetengah pemimpin universiti yang menghalang parti pembangkang daripada memasuki kampus atau mahasiswa daripada menyertai programnya, tetapi, pada masa yang sama, parti kerajaan bebas keluar masuk

  • 28

    kampus dan ada pula dua orang Naib Canselor yang secara terbuka menyokong UMNO. Walaupun kenyataan Idris ini ada kebenarannya, tetapi, pada masa yang sama, parti pembangkang seperti PAS, sekurang-kurangnya mengikut pengakuan Wan Norhayati Wan Alias, turut dan dapat juga bertapak di kampus.

    Idris mahu mahasiswa dibenarkan bergerak bebas di kampus, termasuk menubuhkan

    parti politik masing-masing seperti yang pernah diamalkan sebelum ini. Jika tidak, ia akan merugikan mahasiswa, kerana mahasiswa mengundi bukan lagi atas sentimen dasar perjuangan, isu-isu yang dibangkitkan dan manifesto yang ditawarkan, tetapi atas dasar kawan, kenalan, rupa paras atau mengundi entah siap-siapa, sehingga menyebabkan mereka tidak tahu apa tujuan mengundi dan akhirnya minat untuk turun mengundi hilang.

    Apabila terdapat mahasiswa yang berani kehadapan untuk memperjuangkan sesuatu

    isu, maka terdapat kemungkinan yang mereka akan didapati bersalah dan dihukum oleh AUKU 1975. Ada masanya, beliau akan dihadapkan juga kepada undang-undang lain seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

    Ini antara yang disorot oleh Ahmad Fadzli Yusof (2004) apabila menyentuh kes Mohd

    Rizal Mohd Adnan yang digantung pengajian kerana didapati bersalah atas tuduhan menjatuhkan reputasi universiti, dan kemudiannya didenda kerana bekerja tanpa kebenaran universiti ketika menghadapi hukuman gantung itu; Lee Yen Ting yang didapati bersalah kerana mengeluarkan kenyataan akhbar; Nor Helmi Mohd Jamil yang didapati bersalah kerana terlibat dengan BBMN; sebilangan mahasiswa yang didapati bersalah kerana terlibat dengan perhimpunan anjuran Gerakan Mahasiswa Mansuhkan ISA; dan lain-lain lagi.

    Jika wajar dan jelas kesalahannya dan telus pula prosedur yang menyebabkan thabit

    kesalahannya, ia tidak menjadi persoalan. Yang menjadi persoalan, sehingga menimbulkan tuduhan bahawa AUKU 1975 dan pelaksanaannya adalah tidak adil, ialah kerana terdapatnya kes mahasiswa yang dithabitkan dengan kesalahan yang tidak wajar atau tidak jelas atau perbicaraan terhadapnya pula tidak dijalankan dengan betul.

    Kerana semua kesan yang negatif itu, maka, terdapat satu perjuangan yang panjang

    yang mendesak kerajaan supaya meminda dan memansuhkan beberapa peruntukan dalam AUKU 1975, yang dianggap drakonian dan menyekat gerakan mahasiswa.

    Antara perbincangan AUKU yang terakhir yang saya terlibat ialah Forum AUKU anjuran PKPIM di Gombak, Selangor, pada 14 Okt 2006. Dua buah kertas kerja dibentangkan iaitu “Sejarah Gerakan Mahasiswa Malaysia 60-an Sehingga Kini: Penglibatan Mencorak Lanskap Sosio-Politik Negara” oleh Prof. Emiretus Datuk Khoo Kay Kim dan “Kesan AUKU kepada Corak Politik dan Ekonomi Tanahair” oleh Azuan Effendi Zaira. Ini diikuti dengan diskusi bertajuk “Sejauhmana relevannya AUKU pada masa ini” yang melibatkan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dan saya. Antara tulisan saya yang terakhir tentang AUKU ialah dalam kolum saya di Berita Harian, “Perspektif”, iaitu sebaik sahaja selepas pilihan raya kampus sesi 2007/2008. Dalam rencana itu, saya menyatakan bahawa apa yang paling menyerlah ialah pengundian di Kolej Ke-12 UM, iaitu universiti tertua dan pendahulu calon Universiti Apex (ketika itu, belum tahu lagi universiti mana yang akan dipilih sebagai Universiti Apex) serta peneraju gerakan mahasiswa negara, terpaksa diadakan semula akibat kewujudan pengundi hantu.

  • 29

    Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula, tempoh penamaan calon terpaksa dilanjutkan akibat bantahan mahasiswa yang tidak puas hati terhadap masa yang diberikan untuk mengemukakan calon dan persediaan menghadapi pilihan raya itu.

    Kali ini, dua insiden itu menenggelamkan sedikit cerita tentang rungutan mahasiswa terhadap pilihan raya kampus pada setiap tahun seperti pengaruh parti kerajaan dan ahli politik tertentu, pihak HEP berat sebelah, peraturan dan pendekatan yang membudaksekolahkan mahasiswa dan sebagainya.

    Dari satu segi, ini menimbulkan tanda tanya terhadap keberkesanan pengurusan dan pelaksanaan pilihan raya kampus yang terbit daripada undang-undang induknya, iaitu AUKU Pindaan 1975nya tentang hal ehwal mahasiswa, khususnya dari segi politik.

    Insiden di UM dan UIAM itu menunjukkan AUKU 1975 tidak menjadikan pilihan raya kampus lebih licin atau menjadikan pegawai pilihan rayanya lebih cekap.

    AUKU 1975 tidak meningkatkan partisipasi mahasiswa dalam politik kampus. Kali ini, peratusan membuang undi merosot di tujuh buah IPTA manakala langkah universiti tertentu menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada mahasiswa yang keluar mengundi adalah satu penghinaan terhadap keilmuan di samping mengembangkan politik wang.

    AUKU 1975 juga tidak membantu penjanaan kepemimpinan mahasiswa. Sekiranya terdapat sebilangan kecil kerusi dimenangi tanpa bertanding, maka itu adalah adat politik. Tetapi, sehingga lebih seratus kerusi dimenangi tanpa bertanding dan tiga IPTA tidak perlu mengadakan pengundian kerana semua kerusi menang tanpa bertanding bukanlah sesuatu yang baik, kecualilah jika rekod Saddam Hussein sentiasa menang tanpa bertanding sebagai pemimpin Iraq dahulu itu dianggap sebagai sesuatu yang baik.

  • 30

    GERAKAN MAHASISWA IPTS

    Seperti yang telah saya sebutkan dalam pendahuluan buku ini, kita perlu dengan segera mengikis perbezaan antara IPTA dan IPTS, kecuali dari segi undang-undang tubuhnya sahaja. Di negara-negara maju seperti di US misalnya, apabila disebut nama-nama universiti, ia tidak diberikan label universiti awam atau swasta, kecuali dalam hal-hal yang amat memerlukan sahaja. Program-program mahasiswa melibatkan semua jenis universiti. Cuma, sekadar untuk sementara waktu, buku ini terpaksa, sesekali, akur akan kewujudan dua jenis universiti ini.

    Umumnya, gerakan mahasiswa IPTS mempunyai ciri-ciri yang hampir sama dengan

    IPTA. Namun demikian, oleh kerana IPTS wujud kemudian daripada IPTA, iaitu hanya sejak pertengahan 1990-an, maka, sejarah gerakan mahasiswa IPTS adalah tidak sepanjang sejarahnya di IPTA. Di samping itu, oleh kerana buat masa ini wujud perbezaan yang nyata antara kedua-duanya, dan hubungan antara pertubuhan mahasiswanya (bukan antara mahasiswa secara individu) masih belum begitu akrab, maka, sekurang-kurangnya dari segi pemikiran dan isu-isu yang mendapat tempat di kalangan para pemimpin gerakan mahasiswa, di sana kelihatan ada sedikit perbezaan di antara IPTA dan IPTS.

    Antara isu-isu yang sering dibincangkan oleh pemimpin mahasiswa IPTS ialah:

    (1) KPT perlu membuat dasar yang tidak membezakan antara IPTA dan IPTS yang

    menyebabkan IPTS terasa kurang diberikan perhatian.

    (2) Kerajaan perlu memberikan bantuan kepada IPTS untuk membeli peralatan mengajar tertentu yang mahal harganya yang tidak mampu dibeli sendiri oleh IPTS.

    (3) KPT perlu memastikan IPTS menawarkan semua perkara yang dijanjikannya dalam

    iklan mereka di luar negara. Ini kerana terdapat sesetengah IPTS yang iklannya adalah indah khabar dari rupa dan terdapat mahasiswa luar negara yang tertipu.

    (4) Terdapat sesetengah IPTS yang tidak mempunyai pengurusan HEP yang memuaskan jika dibandingkan dengan IPTA.

    (5) Terdapat aduan pemimpin mahasiswa bahawa Akta IPTS 1996, yang lebih dikenali

    sebagai Akta 555, dan sesetengah pemimpin IPTS, mengongkong kebebasan mahasiswa.

  • 31

    BAHAGIAN 2

    GOVERNANS PEMBANGUNAN MAHASISWA TIGA LANGKAH TRANSFORMASI NEGARA Saya memang sejak dari tahun 1981 kurang bersetuju dengan banyak perkara yang berlaku dalam HEP. Semasa menjadi pegawai HEP di UIAM pada 1985-1994, saya cuba sedaya upaya untuk melaksanakan sesuatu yang baru yang saya anggap benar, walaupun saya turut melakukan beberapa perkara yang sekarang saya kesali. Kerana itu, dalam banyak forum, saya sentiasa mencadangkan supaya diwujudkan pendekatan-pendekatan yang baru.

    Hari ini, terdapat tiga langkah utama transformasi negara yang sedang berjalan serentak, iaitu gagasan 1Malaysia, PSPTN dan AUKU yang telah dipinda pada 2009. Ini seharusnya menyebabkan kita lebih serius dan segera melaksanakan pendekatan-pendekatan baru dalam pembangunan mahasiswa, termasuk dari segi governansnya.

    Kebanyakan idea tentang governans baru dalam bahagian ini telah dibincangkan juga

    dalam buku saya sebelum ini, iaitu Politik Baru.

  • 32

    AUKU 2009 Akhirnya, iaitu setelah sekian lama diperjuangkan, maka AUKU 1975 dipinda.

    Bermula dengan kerja-kerja awal oleh Datuk Mustapa Mohamad selaku Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini, maka, pada Khamis, 17 Julai 2008, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin telah membentangkan cadangan meminda AUKU di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama. Ia kemudiannya diluluskan dan digazetkan pada Februari 2009. Saya berasa lega kerana ketika berada dalam pentadbiran kerajaan BN hari ini, ia bersetuju memindanya.

    Ini bermakna bahawa perjuangan meminda akta ini yang digerakkan, misalnya, oleh

    PKPIM, iaitu organisasi paling lama dan konsisten dalam hal ini, hampir berhasil. Saya katakan hampir berhasil kerana masih terdapat sekurang-kurangnya satu peruntukan yang belum dipinda, iaitu berhubung dengan kebebasan mahasiswa menjadi anggota parti politik. Saya tetap berpendirian bahawa mahasiswa perlu diberikan kebebasan untuk menjadi anggota parti politik walaupun saya bersetuju jika mereka tidak dibenarkan memegang jawatan dalam parti politik. Menurut Prof. Dr. Shad Saleem Faruqi (2009) dan Prof. Dr. Shaik Md Noor Alam SM Hussain (2009), daripada 109 peruntukan AUKU 1975, sebanyak 61 peruntukan telah dipinda, dibuang atau dimasukkan. Matlamat utama pindaan tersebut yang secara langsung berkaitan dengan gerakan mahasiswa ialah untuk memberikan mahasiswa hak dan kebebasan yang lebih luas untuk berpartisipasi, berpersatuan, bersuara dan terlibat dalam struktur dan proses membuat keputusan tertentu universiti. Antaranya ialah:

    (1) Mahasiswa diberikan hak perwakilan dalam jawatankuasa tertentu di universiti, seperti Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa dan Senat.

    (2) Mahasiswa, sama ada secara individu atau kumpulan, dibenarkan menjadi ahli,

    berhubung dan bergabung dengan mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan di luar kampus, tanpa perlu mendapatkan kelulusan Universiti terlebih dahulu, kecuali parti politik dan yang bersalahan dengan undang-undang.

    (3) Mahasiswa dibenarkan berinteraksi dengan ahli politik dan parti politik.

    (4) Mahasiswa lebih bebas bersuara termasuk dibenarkan membuat kenyataan

    mengenai politik pada mana-mana majlis, seminar atau simposium dengan syarat ia tidak dianjurkan oleh mana-mana parti politik.

    (5) Kaedah-kaedah tata tertib adalah lebih adil daripada sebelum ini.

  • 33

    AKTA IPTS 1996 (PINDAAN 2008)

    Berbeza dengan pelajar-pelajar IPTA, mahasiswa IPTS tertakluk kepada Akta Institusi Pengajian Tinggi Swasta 1996 (Akta 555). Akta 555 ini tidak jauh bezanya dengan AUKU kerana intipatinya turut menyentuh soal penubuhan, pendaftaran, pengurusan dan pengawalseliaan serta kawalan kualiti pendidikan yang disediakan di IPTS. Sebelum pindaan dibuat melalui Rang Undang-Undang IPTS (Pindaan) 2008, mahasiswa di IPTS juga hanya mampu bersuara dan berpartisipasi dalam ruang lingkup yang begitu sempit dan tertutup. Mahasiswa IPTS dikatakan tidak begitu berminat memperjuangkan isu-isu seperti yang disuarakan oleh rakan-rakan mereka di IPTA. Ada yang berpendapat mungkin senario ini berlaku dek kerana mereka terpaksa menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik memandangkan kos pengajian yang begitu tinggi di IPTS.

    Pindaan terhadap Akta 555 yang dibuat pada tahun 2008 telah memberi nafas baru kepada gerakan mahasiswa di IPTS. Kini, mahasiswa dibenarkan berpolitik dengan kebenaran Ketua pendaftar. Mahasiswa juga dibenarkan membuat kenyataan mengenai politik pada mana-mana majlis, seminar atau simposium dengan syarat ia tidak dianjurkan oleh mana-mana parti politik.

    Seperti juga AUKU, sudah pastinya pindaan ini masih belum cukup untuk mengembalikan peranan mahasiswa negara di tempatnya. Akan tetapi, pindaan ini perlu dilihat sebagai permulaan yang signifikan dalam mengangkat semula suara mahasiswa di IPTS sebagai rakan kepemimpinan kerajaan. Pihak pengurusan IPTS perlu menzahirkan bait-bait pindaan yang dibuat ke dalam bentuk amalan dan tindakan. Jangan pula nanti, paksa terkukur padi rebah paksa tikus lengkiang terbuka!

  • 34

    KERANGKA BARU GERAKAN MAHASISWA

    Sebelum membicarakan kerangka baru gerakan mahasiswa, dan selanjutnya

    governans baru pembangunan mahasiswa, terdapat beberapa kekeliruan di kalangan masyarakat, universiti dan kerajaan, termasuk sesetengah pegawai HEP, dari segi persepsinya terhadap mahasiswa, yang perlu dibetulkan.

    Pertama, mahasiswa sering dilihat sebagai penerima manfaat daripada pembangunan.

    Memang mahasiswa, seperti juga golongan lain, adalah penerima manfaat pembangunan. Tetapi, seperti juga kebanyakan golongan yang lain, mahasiswa juga mampu menjadi rakan penyumbang kepada pembangunan.

    Kedua, mahasiswa sering dikatakan sebagai pemimpin masa depan. Tetapi,

    sebenarnya, pada hari ini juga, mahasiswa adalah pemimpin – pemimpin kepada generasi yang lebih muda daripadanya; pemimpin bagi generasi yang seangkatan dengannya; dan rakan kepemimpinan bersama generasi pemimpin hari ini.

    Ketiga, persatuan mahasiswa sering dilihat sebagai seperti persatuan-persatuan lain,

    misalnya persatuan mi, nasi lemak dan roti canai, atau sebagai persatuan pelajar sekolah menengah tinggi. Sebenarnya, persatuan mahasiswa adalah satu gerakan dan satu perjuangan yang punya idealisme, aktivisme dan intelektualisme yang tersendiri.

    Dan keempat, persatuan mahasiswa sering dianggap perlu melaksanakan “aktiviti”

    dan “bakti” sahaja. Tetapi, sebagai gerakan perjuangan, persatuan mahasiswa juga perlu melaksanakan “advokasi”.

    Governans baru adalah antara persoalan fundamental yang sedang diperjuangkan

    supaya dibudayakan dan diamalkan secara tulin dan sistematik dalam sistem bernegara dan berkerajaan di negara ini. Banyak perbincangan mengenainya telah dimulakan dalam banyak peringkat. Ia diyakini diimpikan oleh majoriti mahasiswa, dan ia dikongsi bersama oleh golongan belia dan anggota masyarakat sivil, yang mahu tiga permintaan utamanya diraikan, iaitu: mahasiswa mahu suaranya didengar, isunya ditangani dan peranannya diiktiraf.

    Kekeliruan perlu diselesaikan. Sebaliknya, perlu wujud suatu kefahaman tentang

    keunikan dan keistimewaan dunia mahasiswa itu sendiri. Iaitu, antaranya, tentang makna kedewasaan dari segi umur, tentang erti kebebasan dari kawalan ibu bapa serta pakaian seragam, dan tentang keberadaan di gedung ilmu.

    Persoalan kefahaman ini amat luas. Ia melibatkan pelbagai perkara. Antaranya ialah,

    ia melibatkan falsafah dan fungsi universiti. Adakah universiti hanya sekadar, dengan meminjam kata-kata seorang pemimpin mahasiswa hari ini, “3K”, iaitu kuliah, kolej (penginapan) dan kafetaria? Atau, terdapat banyak lagi ruang lain. Dan ruang ini mungkin tidak cukup terbuka kepada mahasiswa. Sama ada kerana sesetengah pentadbir universiti yang tidak terbuka, atau kerana sesetengah mahasiswa sendiri yang tidak terbuka?

    Satu daripada cara melihat kefahaman pihak tertentu terhadap dunia kemahasiswaan ialah apabila dianjurkan forum di kampus dan di atas pentas terdapat dua orang ahli panel yang mewakili dua pihak yang bertentangan. Ahli panel pertama berhujah dengan mengatakan bahawa mahasiswa perlu belajar dahulu dan apabila telah lulus nanti barulah

  • 35

    berkhidmat kepada masyarakat. Manakala ahli panel kedua berhujah dengan mengatakan bahawa di samping belajar, mahasiswa perlu sedar bahawa masyarakat memerlukan khidmat mereka ketika mereka masih belajar lagi.

    Kefahaman ahli panel manakah yang lebih tepat dan dekat? Tepat dan dekat dari sudut pandangan mahasiswa. Bukan tepat dan dekat dari sudut pandangan bukan-mahasiswa.

    Ahli panel pertama itu tidak akan menjamin mahasiswa di depannya akan lulus

    dengan cemerlang. Manakala ahli panel kedua tidak pula menggalakkan mahasiswa untuk tidak lulus dengan cemerlang. Bezanya, ialah salah seorang daripada ahli panel itu akan lebih didekati oleh mahasiswa. Dan yang lebih didekati itu akan lebih didengar nasihatnya, termasuk supaya belajar dan lulus cemerlang. Mahasiswa/Masyarakat Sivil

    Perbincangan ini tidak bermaksud untuk memberikan definisi terperinci atau terlibat dalam discourse akademik atau polemik epistimologikal mengenai makna masyarakat sivil. Bagaimanapun, adalah dimaklumi tentang dua perspektif utama yang popular kini mengenai masyarakat sivil. Pertama, ialah masyarakat sivil sebagai satu bentuk masyarakat atau tamadun yang diimpikan, iaitu seperti yang terkandung dalam makna civility atau madani. Dan kedua, ialah masyarakat sivil yang merujuk kepada sektor bukan kerajaan atau perniagaan, iaitu merujuk suatu ruang dalam konteks governans baru. Perbincangan ini ialah lebih mengenai perspektif yang kedua.

    Istilah masyarakat sivil digunakan secara wawenang, iaitu dari segi ruang, kedudukan dan peranannya dalam sistem bermasyarakat dan bernegara. Dalam sistem bermasyarakat dan bernegara, terdapat 3 sektor utama. Pertama, ialah kerajaan yang dikenali juga sebagai Sektor Pertama. Kedua, ialah perniagaan yang dikenali juga sebagai Sektor Kedua. Dan ketiga, ialah masyarakat sivil yang dikenali juga sebagai Sektor Ketiga atau istilah-istilah lain seperti “rakyat” dan “social enterprise”.

    Dalam konteks ini, masyarakat sivil ialah rakyat yang secara kedudukan dan

    peranannya tidak tergolong dalam kerajaan atau perniagaan. Anggota masyarakat sivil termasuk kanak-kanak, belia, mahasiswa, warga tua, wanita, pekerja, karyawan, profesional, akademia, media dan lain-lain.

    Setiap anggota masyarakat sivil ini mempunyai gerakannya yang tersendiri yang diwakili oleh persatuan atau organisasi masing-masing. Belia diwakili oleh MBM. Warga tua diwakili beberapa buah persatuan yang sedang berusaha mewujudkan sebuah organisasi induk. Wanita diwakili oleh pelbagai persatuan yang bergabung dalam Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO). Pekerja diwakili terutamanya oleh MTUC dan CUEPACS. Karyawan diwakili beberapa buah persatuan peringkat kebangsaan seperti GAPENA, TEMA, MAHKOTA dan lain-lain. Golongan profesional diwakili oleh pelbagai persatuan profesional termasuk yang bergabung dalam Balai Ikhtisas Malaysia (BIM). Akademia diwakili misalnya oleh persatuan peringkat kampus dan akademi-akademi. Para wartawan diwakili oleh NUJ dan beberapa buah persatuan lain.

    Di samping itu, terdapat juga organisasi-organisasi yang mewakili kepentingan-

    kepentingan tertentu seperti FOMCA untuk pengguna dan kepenggunaan, Majlis Kebajikan

  • 36

    dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia yang menggabungkan majoriti persatuan dan organisasi yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan, Majlis AIDS Malaysia yang menggabungkan persatuan dan organisasi untuk menangani masalah AIDS, PEMADAM untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah, beberapa buah persatuan untuk pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar, beberapa persatuan dan yayasan untuk kemajuan pendidikan dan perguruan, PENGASIH untuk bekas penagih dadah, Persatuan Ibu Tunggal untuk wanita yang terpaksa menjadi ibu tunggal, persatuan untuk kumpulan minoriti seperti keturunan Orang Asli, Sikh, Thai Malaysia, Portugis Melaka dan India Muslim serta lain-lain lagi.

    Dalam hal ini, wujudkah organisasi peringkat kebangsaan yang mewakili gerakan mahasiswa? Semasa berdialog dengan para pemimpin mahasiswa di Konvensyen Kebangsaan MPP IPTA 2009 pada bulan Mei 2009, saya telah mencadangkan supaya ditubuhkan sebuah badan mahasiswa yang menggabungkan semua MPP IPTA. Apa yang menarik ialah, di kalangan MPP IPTS yang menghadiri IPTS Student Leaders’ Summit 2009 pada bulan Julai 2009, di mana saya merasmikannya dan mengadakan dialog, mereka telahpun menubuhkan IPTS Student Caucus yang merupakan gabungan MPP IPTS. Kini, tentulah sesuai sekali sekiranya semua MPP dari IPTA dan IPTS dapat bergabung dalam satu organisasi mahasiswa nasional dengan corak, cara dan citra yang ditentukan sendiri oleh mereka.

    Rukun Perjuangan

    Sebagai sebuah gerakan, mahasiswa/masyarakat sivil, malahan dalam apa bidang sekalipun, perlu mempunyai rukun perjuangan. Dalam hal ini, saya percaya, ia terdiri daripada tiga perkara, iaitu, idealisme, aktivisme dan intelektualisme. Perkara-perkara ini banyak saya pelajari daripada bekas Presiden ABIM, Dr. Siddiq Fadhil.

    Idealisme merujuk pegangan atau prinsip fundamental yang berasaskan dua perkara pokok. Pertama, kecintaan terhadap nilai yang muluk, mulia dan murni. Contohnya, kecintaan terhadap kebenaran, keadilan dan keharmonian. Manakala yang kedua ialah kebencian terhadap unsur yang murah, muak dan mual, contohnya, kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuru-haraan. Ini diambil daripada ajaran Islam tentang berbuat makruf dan melarang kemungkaran.

    Aktivisme pula ialah proses merealisasikan idealisme. Ini termasuk kebijaksanaan menerjemah idealisme agar menjadi langkah-langkah atau tindakan-tindakan yang praktikal. Di sini lahirnya hal ehwal perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan. Dalam Islam, ini ditandai oleh konsep berlumba-lumba berbuat kebajikan.

    Manakala intelektualisme tidak merujuk menara gading. Sebaliknya, ia merujuk penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga pri