semangat kejiranan (dimensi ibu bapa)

6
Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun kita mengasihi adik-beradik dan saudara- mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran, sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun, dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota masyarakat, semakin meluntur. Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat? Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa

Upload: wanda-john

Post on 03-Dec-2015

22 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

semangat kejiranan

TRANSCRIPT

Page 1: Semangat Kejiranan (Dimensi Ibu Bapa)

Semangat kejiranan semakin hari semakin luntur dalam kalangan masyarakat. Jelaskan peranan ibu

bapa dalam usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

         

Dalam kehidupan sehari-hari, keluar dari rumah, sama ada memandang ke kanan, ke kiri atau

memandang hadapan atau belakang, rumah yang kita lihat ialah rumah jiran. Betapa pun kita mengasihi adik-

beradik dan  saudara-mara, namun jarak yang jauh menyebabkan pergantungan kita terhadap jiran lebih besar

berbanding dengan orang yang dekat dengan kita sejak lahir. Menurut perspektif Islam, konsep jiran meliputi

skop yang lebih luas sehingga menjangkau empat puluh buah rumah atau keluarga yang tinggal berhampiran

dengan kita. Semangat kejiranan pula membawa pengertian jiran tetangga yang hidup berbaik-baik, bertolak

ansur dan bekerjasama antara satu sama lain. Dalam kehidupan kita, kita dilarang menyakiti hati jiran,

sebaliknya diminta mengambil berat antara satu sama lain dan hidup berlandaskan kasih sayang sesama

individu tanpa mengira keturunan, usia, agama atau pangkat. Pepatah Melayu ada mengatakan bahawa “Jiran

Sepakat Membawa Berkat”. Jadi, kita perlulah mengutamakan jiran kita dalam kehidupan dan mengukuhkan

semangat kejiranan supaya kita sentiasa bersatu padu dalam melakukan sesuatu perkara. Walau bagaimanapun,

dalam era globalisasi yang dipenuhi pelbagai pancaroba moden, semangat kejiranan dalam kalangan anggota

masyarakat, semakin meluntur.  Oleh itu, semua lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengambil

langkah untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Persoalannya, apakah langkah-

langkah yang elektif wajar diambil oleh ibu bapa untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan

masyarakat?

Menyedari hakikat betapa pentingnya semangat kejiranan diamalkan oleh masyarakat majmuk di negara

ini, maka usaha perlu dilakukan oleh ibu bapa agar nilai yang berharga ini tidak lenyap daripada amalan hidup

masyarakat kini. Ibu bapa haruslah menyertai  aktiviti gotong-royong yang dianjurkan oleh komuniti atau

masyarakat setempat. Dalam hal ini. ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai aktiviti tersebut bersama.

Melalui aktiviti gotong-royong, semua penduduk setempat dapat berkumpul bersama sambil berbincang tentang

aktiviti yang akan dilakukan. Apabila  berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berbual-bual dan

berkenal-kenalan antara satu sama lain dan sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati budi jiran

mereka dengan lebih baik dan dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui pepatah Melayu yang mengatakan

bahawa “ tak kenal maka tak cinta”. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh dijalankan secara bergotong-royong

ialah membersihkan kawasan taman, menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Aktiviti-

aktiviti yang dijalankan secara bergotong-royong memerlukan masyarakat bekerjasama bagai aur dengan tebing

agar aktiviti-aktiviti tersebut dapat dijalankan dengan lancar dan baik. Melalui cara ini, setiap ahli keluarga

dapat menjalinkan hubungan mesra sesama jiran. Mereka juga  sedar akan peranan masing-masing dalam

sesuatu komuniti. Apabila dewasa kelak, anak-anak akan melakukan perkara yang sama untuk mengeratkan

Page 2: Semangat Kejiranan (Dimensi Ibu Bapa)

ikatan kejiranan. Jelasnya, ibu bapa haruslah mengadakan aktiviti gotong-royong agar dapat memupuk

semangat kejiranan dalam masyarakat.

Selain itu, ibu bapa perlulah menjadi suri teladan atau ‘role model’ yang baik kepada anak-anak

sekiranya mahu anak-anak mengamalkan semangat kejiranan dalam diri sendiri. Ibu bapa perlulah

mengamalkan cara hidup seperti ‘aur dengan tebing’ atau ‘ke bukit  sama di daki, ke lurah sama dituruni’ dan

‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah ’untuk mencapai keberkatan dalam hidup. Sebagai  anggota

dalam sesebuah masyarakat, ibu bapa  mesti mempunyai semangat kekitaan dan keprihatinan terhadap  jiran

mereka.. Apabila  mengambil berat akan hal-hal jiran, bukanlah bermaksud kita hendak menjaga tepi kain

mereka atau mengambil tahu hal rumah tangga mereka, tetapi kita mengambil tahu masalah-masalah yang

dihadapi oleh jiran  dan cuba membantu mereka supaya dapat meringankan beban yang ditanggung oleh jiran.

Hal ini demikian kerana, dalam kehidupan berkeluarga, setiap keluarga pasti akan menghadapi masalah dan

masalah itu hanya boleh diatasi atau dikurangkan  dengan bantuan orang lain.  Misalnya, ketika ketua keluarga

sakit tenat, maka ahli-ahli keluarga itu memerlukan bantuan daripada jiran untuk menghantar ketua keluarga itu

ke hospital, memberitahu keluarganya yang tinggal berjauhan daripada mereka, mendapatkan bantuan nasihat

ataupun kewangan dan sebagainya. Sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh ibu bapa terhadap jiran, akan

menyebabkan anak-anak juga turut mengambil berat tentang jiran mereka. Tegasnya, ibu bapa yang berjaya

menjadi suri teladan yang baik, sudah pasti mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.

Di samping itu, ibu bapa juga mestilah mengadakan atau menghadiri majlis-majlis rumah terbuka

sempena sesuatu sambutan perayaan. Amalan mulia ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim,

tetapi juga mampu mengukuhkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat. Melalui majlis rumah

terbuka, ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama. Dalam majlis tersebut,  masyarakat dapat berkumpul dan

mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat. Mereka juga berpeluang untuk berkongsi pendapat tentang

sesuatu perkara dan bertanya khabar sambil menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Dengan itu,

masyarakat akan lebih memahami adat resam, agama dan budaya masing-masing di negara ini.  Sebagai contoh,

majlis-majlis rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Hari Krismas dan Hari

Deepavali hendaklah dijadikan acara tahunan. Kehadiran ibu bapa bersama ahli keluarga dalam majlis rumah

terbuka, bukan sahaja dapat memperkenalkan anak-anak mengenali lebih dekat adat resam sesuatu budaya

malah dapat menanamkan semangat hormat-menghormati dalam diri anak-anak dan mengamalkan semangat

perpaduan. Tegasnya, majlis-majlis rumah terbuka mestilah diadakan setiap tahun agar mampu mendekatkan

ahli masyarakat untuk bertemu muka dan membentuk masyarakat yang bersatu-padu.

Page 3: Semangat Kejiranan (Dimensi Ibu Bapa)

Seterusnya, ibu bapa hendaklah menyemarakkan budaya ziarah-menziarahi dalam kalangan masyarakat

sebagai langkah untuk memupuk dan meningkatkan semangat kejiranan dalam diri anak-anak. Dalam hidup

bermasyarakat, ibu bapa digalakkan membawa anak-anak-anak  menziarahi jiran tetangga pada  masa-masa

yang sesuai. Dengan menziarahi jiran, kita akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh jiran

kita. Semua masalah boleh diselesaikan bersama dan hal ini akan menjadikan hidup mereka lebih aman dan

harmoni walaupun dalam keadaan yang serba kekurangan. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa anak-anak

berkunjung ke hospital jika kita mendapat tahu bahawa jiran kita telah dimasukkan ke hospital kerana

menghidap sesuatu penyakit atau mendapat kemalangan. Amalan ini dapat membentuk sifat kasih sayang dan

sikap ambil berat serta membuang sejauh-jauh sikap mementingkan diri sendiri dan hidup diibaratkan ‘seperti

enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan bahawa

‘berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya’, namun sebagai jiran, kita mestilah berpegang teguh pada

prinsip “cubit paha kiri, paha kanan terasa juga”. Jadi, melalui lawatan kita, sekurang-kurangnya kita dapat

meringankan penderitaan yang dialami oleh jiran kita dan secara tidak langsung, mereka dapat hidup dengan

lebih selesa, aman dan tenang. Anak-anak turut mengambil berat tentang jiran yang ditimpa masalah sama

seperti ibu bapa mereka. Jelasnya, ibu bapa boleh menyemarakkan budaya kunjung-mengunjungi dalam diri

anak-anak untuk memupuk semangat kejiranan.

Akhir sekali, ibu bapa bolehlah menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam aktiviti sosial

seperti Hari Keluarga. Setiap komuniti, sering mengadakan aktiviti Hari Keluarga untuk mengukuhkan

hubungan dalam kalangan masyarakat setempat. Aktiviti kerap diadakan sama ada di padang, taman rekreasi

atau di tepi pantai. Ibu bapa boleh membawa anak-anak bersama dan setiap ahli keluarga boleh menyertai

permainan yang disediakan.  Selain itu, ibu bapa boleh mendedahkan kepada anak-anak tentang kepentingan

hidup berpersatuan dalam masyarakat setempat yang mempunyai satu sistem organisasi yang teratur. Persatuan

atau pertubuhan ini hendaklah melibatkan semua penduduk tempatan sebagai ahli. Dewasa ini, banyak

pertubuhan sukarela ditubuhkan dalam masyarakat seperti  Pertubuhan Rukun Tetangga, Jawatankuasa

Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Pertubuhan Khairat Kematian dan sebagainya. Sebagai contoh, melalui

Pertubuhan Rakan Tetangga, masyarakat setempat secara bergilir-gilir mengawasi keselamatan kawasan tempat

tinggal atau taman untuk mengelakkan berlakunya kejadian-kejadian yang tidak diingini seperti membunuh,

merogol, merompak dan sebagainya. Hal ini dapat kita lihat dalam peribahasa Melayu, iaitu ibarat aur dengan

tebing yang mementingkan semangat sandar-menyandar atau saling membantu antara satu sama lain dalam

kehidupan. Jelasnya, ibu bapa berperanan penting untuk menggalakkan anak-anak supaya melibatkan diri dalam

aktiviti sosial sebagai langkah untuk memupuk  semangat kejiranan.

Page 4: Semangat Kejiranan (Dimensi Ibu Bapa)

Berdasarkan perbincangan di atas, dapat saya simpulkan bahawa semangat kejiranan dalam setiap

individu amat penting untuk melahirkan  masyarakat yang prihatin dan membentuk perpaduan kaum.  Walau

apa pun keadaan dan di mana-mana pun kita tinggal, kita perlulah mempunyai jiran yang baik hati, iaitu jiran

yang menjadi tempat untuk memohon bantuan ketika kita dalam keadaan yang susah dan sentiasa

menghulurkan bantuan dengan senang hati dan menghiburkan ketika kita senang. Jadi, untuk mempunyai jiran

yang baik, maka kita perlu menjadikan diri kita sebagai jiran yang baik kepada jiran kita. Sekiranya kita

berbaik-baik dengan jiran, maka jiran juga akan berbaik-baik dengan kita. Cogan kata “ Jiran Sepakat

Membawa Berkat” perlu terus diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari. Jangan kita berasa susah dalam

usaha mengamalkan budaya murni ini. Amalkan dengan hati yang ikhlas, barulah kita memperoleh keberkatan

dalam kehidupan. Oleh itu, dengan meningkatkan semangat kejiranan, perpaduan kaum akan bertambah utuh

dan teguh. Jadi, dalam setiap masa, kita mestilah sentiasa berusaha untuk memastikan semangat kejiranan

sentiasa terpelihara supaya negara kita sentiasa aman, harmoni dan sejahtera. Allah berfirman yang maksudnya,

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan

menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal-mengenali”.