sarmesirazizisupyan

14

Click here to load reader

Upload: aziziumar

Post on 29-Jun-2015

98 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

Page 1: SARMesirAZIZISUPYAN

1

1HUBUNGAN MALAYSIA DAN MESIR DALAM MEMBANGUNKAN KURIKULUM DINIAH DI SEKOLAH AGAMA RAKYAT : SUATU KAJIAN

PERKEMBANGAN DAN CABARAN DI KELANTAN

Oleh :

Azizi Umar & Supyan Hussin Pengenalan Perkembangan pendidikan Islam di Malaysia sering dikaitkan dengan perkembangan matapelajaran pendidikan Islam dalam arus pendidikan perdana. Pembinaan kurikulumnya pula dihubungkan dengan falsafah pendidikan negara berbanding dengan falsafah pendidikan Islam. Perkembangan sekolah agama juga adalah sebahagian daripada proses pendidikan Islam. Ia mempunyai mekanisme dan pendekatan sendiri dalam menggerakkan pembangunan pengetahuan pelajar khususnya dalam pembinaan pengisian kurikulum matapelajaran yang diajar di sekolah-sekolah khususnya di sekolah agama Sejarah awal pendidikan Islam dikaitkan hubungannya dengan perkebangan di Timur Tengah dan kawasan Asia Barat khususnya negara Mesir. Ini adalah kerana di Mesir terletaknya Universiti Al-Azhar, universiti terulung yang menjadi rujukan dan panduan pembinaan kerangka awal kurikulum di Sekolah Agama Rakyat (SAR). Kajian dalam kertas kerja ini akan membentangkan perkembangan pembinaan tersebut hasil hubungan pihak-pihak yang terlibat dan penulis juga akan memberikan beberapa contoh cabaran-cabaran hasil daripada pembangunan dan perkembangan sekolah tersebut melalui pelbagai pendekatan yang telah membawa kepada kesan baik dan buruk dari pelbagai aspek juga akan dibincangkan.

Sebelum memulakan perbincangan, ada tiga perkara yang perlu dijelaskan dalam tajuk di atas iaitu pertama, hubungan Malaysia dan Mesir. Kedua, pengertian kurikulum matapelajaran Diniah dan ketiga ialah Sekolah Agama Rakyat itu sendiri. Hubungan Kelantan, Malaysia dengan Mesir Dalam kertas kerja ini, penulis lebih memfokuskan hubungan Kelantan dengan Mesir dan tidak Malaysia secara umumnya memandangkan ia merupakan negeri pertama yang mengambil model Al Azhar sebagai rujukan pengajian Islam yang berpengantar bahasa Arab. Kelantan adalah salah sebuah negeri dalam sistem Persekutuan Tanah Melayu yang mempunyai kuasa autoriti ke atas hal ehwal Islam. Hubungan kerjasama pada peringkat awal telah dimulakan oleh Majlis Ugama Islam Kelantan sejak 1937 melalui penubuhan bahagian pelajaran bahasa Arab di Madrasah Muhammadiah. Perlu disebutkan di sini, Kelantan pada masa ini dipimpin oleh YAB Dato’ Nik Mahmud Ismail yang merupakan Perdana Menteri Paduka Raja Kelantan. Negara Malaysia masih belum terbentuk sepenuhnya sepertimana sistem persekutuan hari ini. Hubungan dengan kerajaan British juga longgar kerana ia sebahagian daripada negeri-negeri yang tidak bersekutu dengannya (Muhammad Yunan, 1997).

1 Kertas Kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Kebangsaan „Malaysia-West Asia Relations: Prospect &

Challenges‟ anjuran Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) pada 1 hingga 2 Disember 2008 bertempat di

Bilik Senat UKM.

Page 2: SARMesirAZIZISUPYAN

2

Penubuhan maahad ini dengan nama Al-Madarasah Al-Muhammadiah Al-Arabiah adalah berasaskan peraturan dan undang-undang sekolah Mesir di bawah panduan Sayid Abu Bakar Al-Attas sebagai guru besar yang pertama. Graduan Al-Azhar pertama yang berkhidmat di sini ialah Haji Wan Yusoff bin Haji Wan Hassan manakala Tuan Haji Hassan Idris pula pelajar pertama yang mendapat biasiswa Majlis Agama Islam Kelantan untuk belajar di Mesir sebelum pulang untuk berkhidmat dengan sekolah tersebut. Sebagai bukti hubungan ini, pada tahun 1937, Yang Mulia Sayid Abu Bakar Al-Attas telah menerima hadiah daripada Al-Fadhil Al-Ustaz Al-Akbar Shaikh Al-Jame’ Al Azhar Mustapha. Dalam hadiah tersebut mengandungi kitab-kitab peraturan dan undang-undang Jame’ Al Azhar. Antara buku tersebut ialah buku Peraturan Menerima Masuk Pelajar Bagi Orang Luar Daripada Mesir. Hasil daripada peraturan tersebut, sekolah Maahad mempunyai undang-undang dan paraturannya yang tersendiri selepas pengubahsuaian termasuklah berkaitan dengan matapelajaran yang diajar. Bagaimanapun terdapat kekaburan mengenai sukatan pelajaran yang ditentukan di sekolah ini dari sudut bab-bab, tajuk-tajuk dan tahap kelas. Adalah dipercayai buku-buku yang dipakai oleh sekolah-sekolah di Mesir berdasarkan lawatan Sayid Abu Bakar Al Attas ke Mesir. Dalam majalah pengasuh bil. 604, ada menyebut bahawa sekolah Arab ini mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh Menteri Pelajaran Mesir.

Menurut Nabir Adullah (1976), pertumbuhan Sekolah Agama Rakyat mula maju hasil teguran daripada Kaum Muda di Malaysia yang pengaruhnya juga datang dari Timur Tengah iaitu mengambil contoh Jame’ AlAzhar, Mesir sebagai sumber ilham. Ia telah menjalar ke “Serambi Makkah”. Idea-idea ini juga boleh dilihat dengan jelas dalam akhbar-akhbar sealiran yang diterbitkan pada masa itu seperti Seruan Azhar (1925-1928). Bagaimanapun di Kelantan majalah Pengasoh banyak tersebar hasil reaksi daripada Kaum Tua. Perbezaan ini telah banyak membawa perbincangan kontroversi. Suasana ini membuktikan bahawa hubungan kerjasama ini telah lama wujud sebelum negara Malaysia terbentuk lagi seolah-olah negeri Kelantan telah memainkan peranan keantarabangsaaannya dalam kontek perkembangan pendidikan Islam. Oleh itu, Kerajaan Malaysia sewajarnya menyedari hakikat hubungan kebudayaan yang sangat penting dan berasa bertuah dengan kesediaan Kelantan berada dalam sistem persekutuan. Semangat persekutuan ini sangat perlu difahami, dihayati dan diperkukuhkan. Pengertian Pelaksanaan Kurikulum Matapelajaran Diniah Kurikulum Diniah memberi maksud kurikulum matapelajaran Diniah yang menjadi identiti penting di sekolah-sekolah agama. Melalui beberapa kajian yang diperolehi, penulis cuba merangkumkan pengertian pelaksanaan kurikulum matapelajaran Diniah tadi seperti berikut ;

”Satu kumpulan matapelajaran dalam bidang pengajian Islam, bahasa dan Kesusasteraan

Arab, berpengantar dalam bahasa Arab, mengikut model kurikulum Ma’ahad Bu’uth Al-

Azhar, Mesir, diajar dalam tempoh pengajaran yang tertentu di samping kurikulum

kebangsaan, dengan susunan jadual secara gabungan selang-seli, dilaksanakan di peringkat

menengah rendah hingga ke peringkat menengah atas, diperakui oleh Jawatankuasa

Kurikulum Pendidikan Islam peringkat negeri dan dinilai pengetahuannya melalui

peperiksaan pada tahap thanawi dan ’aliyah”(Azizi Umar & Supyan Hussin, 2007).

Sekiranya berlaku kekurangan dan kekangan kepada kurikulum tersebut, ia akan dianggap satu perkara yang sangat sensitif dan perlu ditentang. Keperluan penubuhan sekolah agama dalam sistem madrasah atau nizami di mana-mana pelosok tanah air kita ini hanya kerana pembinaan kerangka kurikulum tersebut. Berdasarkan pengalaman awal di Maahad Muhammadi,

Page 3: SARMesirAZIZISUPYAN

3

terdapat 14 matapelajaran sahaja yang diwujudkan iaitu Al-Quran, Tauhid, Ibadat, Akhlak, Bahasa Arab, Qiraah, Nahu, Khat, Imla’, Sirah Nabawiyyah, Inya’, Geografi, Khitabah, Mahfuzah, Hisab, Bernasyid dan Riadhah Badaniyyah. Matapelajaran ini terdapat dalam senarai Sukatan Pelajaran Madrasah Muhammadiah Arabiah.

Matapelajaran ini sebenarnya adalah kurikulum matapelajaran yang termoden pada masa itu. Tanggapan masyarakat dan orang ramai bahawa sistem pengajian di SAR masih pada takuk kerana hanya menumpukan kepada pengajian agama semata-mata adalah satu kesilapan. Ini adalah disebabkan SAR tidak menolak perkembangan masa dan ia boleh dilihat dalam beberapa matapelajaran yang ditawarkan seperti di atas. Sebagai contoh, matapelajaran seperti ilmu hisab, geografi, ko-kurikulum, kemahiran pidato dan menulis telah ada sejak sebelum kemerdekaan di awal penubuhannya lagi. Masyarakat sebenarnya tidak didedahkan asas pembinaan kurikulum sekolah tersebut. Jika adapun kelemahan dan kemerosotan SAR selepas kemerdekaan, ia bukanlah kerana kelemahan pembinaan kurikulum tersebut tetapi kekangan kewangan yang sangat terhad hasil daripada bilangan pelajar yang kecil dan nilai ekonomi yang tidak diberikan kepada pelajar lepasan SAR. Kewangan yang terhad bukan bermaksud tiada punca kewangan sahaja tetapi juga ilmu tentang bagaimana untuk menjana kewangan sedia ada yang boleh menampung segala perbelanjaan pendidikan. Sejarah pendidikan Islam membuktikan sumber kewangan melalui zakat dan waqaf telah membawa kepada kecemerlangan tamadun umat Islam sejak dahulu lagi. Berdasarkan maklumat daripada informer, tiada nama yang jelas diberikan kepada matapelajaran ini. Kebanyakannya menamakan kurikulum agama dan bahasa Arab sahaja atau matapelajaran agama. Ia juga disebut matapelajaran bukan akademik bagi membezakannya dengan matapelajaran umum yang lain seperti Bahasa Melayu, Matematik, Geografi dan sebagainya (Nik Abdul Kadir Muhammad, 2008). Status Sekolah Agama Rakyat Kebanyakan penulis-penulis sebelum ini membahagikan sekolah agama kepada empat jenis iaitu berdasarkan pihak yang mentadbir sekolah tersebut iaitu Lembaga Pengelola Sekolah, Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak swasta bagi sekolah yang berdaftar sebagai sebuah syarikat (Ismail Abdul Rahman, 1993). Ada informer yang menambah kepada lima jenis iaitu dengan menambah satu lagi jenis di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam dan mengkategorikan sebagai sebuah Sekolah Agama Negeri (Muhammad Ya, 2007). Perlu disebutkan di sini, Majlis Agama Islam negeri tidak ditadbir oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya kerana ia tertakluk kepada Enakmen negeri masing-masing.

Dalam kontek untuk memahami kertas kerja ini, penulis membahagikan sekolah agama kepada dua sahaja iaitu Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN) sahaja. Manakala dari sudut pengurusan dan pentadbiran sekolah di negeri, penulis membahagikanya kepada dua iaitu kerajaan negeri dan majlis agama negeri. Adalah perlu ditekankan di sini bahawa sekolah agama yang ditadbir oleh majlis agama mempunyai sumber kewangan yang telah ditetapkan iaitu melalui pengagihan zakat di bawah asnaf fi sabilillah. Manakala melalui pentadbiran kerajaan negeri pula pengagihan kewangan dibuat berdasarkan sumber perbendaharaan negeri dan perkapita daripada persekutuan.

Pada pandangan penulis, pembahagian kewangan kepada dua jenis sekolah sahaja berasaskan kepada ciri awal perubahan daripada sistem pondok kepada sistem madarasah yang memakai sistem nizami . Ciri-ciri yang sesuai bagi SAR adalah seperti berikut ;

Page 4: SARMesirAZIZISUPYAN

4

i. menawarkan kurikulum matapelajaran Diniah bermodelkan Al-Azhar atau

sebahagian besar daripadanya dengan penyesuaian kurikulum tempatan ii. pihak pentadbir sekolah mempunyai kuasa autonomi dengan kerjasama daripada

pihak berkuasa agama negeri iii. memperolehi sumber kewangan daripada waqaf dan zakat

Asas pertama dan kedua merupakan asas terpenting dalam sesebuah sekolah tersebut dalam mengekalkan identitinya manakala asas ketiga pula ialah asas yang seharusnya dikembalikan semula kepada sekolah tersebut dalam mengulangi zaman kegemilangannya. Dalam perkembangan pembangunan dan perbelanjaan pendidikan hari ini, sumber tersebut juga tidak mampu untuk menjana perbelanjaan kemudahan pendidikan di SAR. Tambahan pula tiadanya satu sistem yang sistematik dalam penjanaan sumber wang tersebut seperti mana di zaman awal kecemerlangan pendidikan sekolah pada zaman Abbasiyah.

Jika kita merujuk kepada ketiga-tiga perkara di atas, penulis mengganggap bahawa Sekolah Agama Swasta (SAS), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) sebagai bukan ”sekolah agama” dalam ertikata sebuah madrasah seperti mana dahulu yang menjadi identiti utama, kemegahan dan matlamat utama ia ditubuhkan. Bagaimanapun ia tidak bermakna penulis menolak seratus peratus penubuhannya sebagai sebuah sekolah yang juga boleh dikategorikan sebagai sekolah agama. Asas penolakan penulis ialah penubuhannya mungkin dengan pemilihan dan prosider tertentu sebagai contoh ia hanya memilih pelajar-pelajar yang cemerlang sahaja dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Ini bermakna sekolah ini adalah kes tertentu yang tidak termasuk dalam asas perbincangan kita mengenai pembinaan kurikulum yang bermodelkan Al-Azhar kepada masyarakat umum. Kewujudannya juga sudah pasti ada tujuan dan matlamat yang telah ditetapkan.

Dengan memahami ketiga-tiga asas di atas akan mengingatkan peserta dan pembaca

dalam memahami kertas kerja ini mengenai perkembangan dan cabaran-cabaran yang bakal dihadapi dalam pembinaan kurikulum Diniah di Sekolah Agama Rakyat hasil daripada jalinan hubungan yang sudah lama terbina sejak sebelum kemerdekaan lagi. Oleh kerana sudah banyak penulisan mengenai perkembangan pendidikan Islam, penulis akan lebih memfokus kepada cabaran-cabaran yang dihadapi pihak yang terlibat pada masa lepas, sekarang dan akan datang. Perkembangan pendidikan Islam hanya akan ditekankan dari sudut perkembangan struktur sekolah agama rakyat itu sendiri secara umum. Kesedaran Pemerintah Dalam Mentadbir Sekolah Agama Seperti mana yang sedia maklum, penubuhan SAR di peringkat awal dibina dengan penuh gigih, berdedikasi dan telah melalui pengorbanan yang sangat tinggi oleh pihak lembaga masyarakat setempat tanpa sebarang bantuan daripada pihak kerajaan (Khoo Kay Kim, 1980). Usaha mereka akhirnya telah berjaya menyedarkan pelbagai masyarakat dan pihak pemerintah sendiri dalam mewujudkan sekolah agama. Bermula pada tahun 1970-an barulah kerajaan negeri bersedia untuk membantu dan mewujudkan sekolah agama di bawah pentadbirannya sendiri.

Pada akhir tahun 1970-an pula, tanggungjawab tersebut mula dipikul oleh Kerajaan Persekutuan. Kebanyakan sekolah-sekolah yang menjadi milik kerajaan samada negeri ataupun persekutuan bukanlah sekolah yang dibina terus tetapi sekolah yang diserahkan oleh pihak sekolah melalui proses pengambilalihan. Ini dapat dibuktikan apabila kerajaan negeri Kelantan hanya mula mentadbir SAR pada tahun 1976 melalui penubuhan Jabatan Sekolah-sekolah Agama (JASA). Manakala Kerajaan Persekutuan pula mula mentadbir SAR pada tahun 1965 melalui

Page 5: SARMesirAZIZISUPYAN

5

proses penyerahan Kolej Islam Malaya dan proses pengambilalihan SAR di seluruh Malaysia pada tahun 1977 dengan mengambil sebuah sekolah bagi setiap negeri sebagai langkah permulaan. Pengambilalihan ini hasil daripada keputusan kabinet (Azizi Umar, 2001). Di Kelantan, kerajaan persekutuan telah bersetuju untuk mengambil alih dua buah SAR di Kelantan iaitu Madrasah Falahiah di Pasir Pekan bagi pelajar lelaki dan Madrasah Naim Lilbanat bagi pelajar perempuan. Kesedaran pemerintah dalam mewujudkan sekolah agama meningatkan penulis tentang kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh Nizamul Mulk semasa pemerintahan Abbasiyah dengan memperkenalkan Madrasah Nizamiyyah. Penubuhan madarasah ini sebenarnya hasil daripada wujudnya Madarasah Baihaqiyyah yang muncul sebelum itu lagi hasil daripada usaha masyarakat setempat. Sistem madrasah Nizammiyyah ini menjadi model dan contoh kepada sekolah lain pada masa itu. Ia juga merupakan sekolah pertama dalam Islam (Hassan Ibrahim Hassan 1979). Pada pandangan penulis, sebuah sekolah agama di Malaysia akan berjaya dengan cemerlang apabila adanya kerjasama yang erat antara pihak lembaga masyarakat dengan pihak pemerintah sebagai penjana kewangan. Kesedaran Penyelarasan Kurikulum dan Sijil Agama Pengenalan Sijil Tinggi Ugama (STU) di Kelantan telah mengalami beberapa period perubahan bermula daripada Syahadah Maahad Muhammadi hinggalah kepada sijil STU yang dikenali sebelum ini. Sijil tersebut mula dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan Kelantan pada tahun 1969 dan diperakui oleh Universiti Al-Azhar sebagai persamaan dengan Sijil Peringkat Thanawi Maahad Al Bu’uth Al Islamiyyah Azhar yang melayakkan pemegang-pemegang memasuki tahun pertama kuliah universiti tersebut.

Mulai tahun 1999, Al-Azhar Al Syarif telah membuat perjanjian persefahaman dengan Kerajaan Malaysia dalam menyelaraskan pelbagai jenis sijil agama di Malaysia. Sebelum tahun 1999, Al-Azhar menerima lebih kurang 25 jenis sijil agama sebagai syarat kemasukan ke universiti tersebut. Jumlah sijil agama yang banyak ini telah diamalkan sejak sebelum kemerdekaan lagi. Persefahaman sijil ini telah dibuat dalam satu Majlis Menandatangani Memorendum Perjanjian antara Kementerian dan Al- Azhar Syarif pada 18 November 1999. Malaysia di wakili oleh Tan Sri Dr. Johari Mat, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan manakala Al-Azhar diwakili oleh Dr. Fawzey Fadel Alzeftaf. Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang mempunyai nilai sama dengan Sijil A’liyah dalam sistem lama seperti Sijil Tinggu Ugama (STU) kepada semua Sekolah-sekolah Menengah Agama. Cadangan keseragaman kurikulum agama telah lama disyorkan iaitu sejak tahun 1984 lagi (Ismail Abdul Rahman, 1993). Sekarang, ia telah diletakkan di bawah struktur Lembaga Peperiksaan Malaysia dan menerima pakai sukatan pelajaran Ma’ahad Bu’uth Al-Azhar sebagai syarat diterima masuk bagi melanjutkan pelajaran.

Semasa penyelarasan tersebut dibuat, Kelantan adalah negeri yang paling lewat menerima

keseragaman tersebut. Penolakan terhadap penyelarasan tersebut bukanlah bermaksud mereka tidak bersetuju dengan usaha yang telah dibuat tetapi memandangkan pembinaan kurikulum Al-Azhar di sekolah agama telah melalui proses yang panjang dan telah dianggap mencapai standard yang terbaik dalam melahirkan pelajar yang berkualiti. Ini diperkuatkan lagi dengan kurikulum yang disediakan oleh mereka turut diambil oleh pelajar di luar negeri Kelantan seperti Selangor, Sarawak bahkan dari Singapura. Hampir 80 % daripada kurikulum STAM yang telah diselaraskan telah mengambil contoh daripada kurikulum di Kelantan (Zakaria Muhammad, 2007).

Pengiktirafan sijil STAM ini juga telah dibuat oleh pihak universiti melalui pengiktirafan

matapelajaran-matapelajaran agama sebagai kredit kemasukan pelajar untuk memasuki fakulti

Page 6: SARMesirAZIZISUPYAN

6

agama. Perkara tersebut pernah dilaksanakan pada awal tahun 1970-an ke atas matapelajaran agama dalam peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang dahulunya dikenali sebagai Higher School Certification (HSC). Pengiktirafan tersebut juga dilaksanakan bagi memasuki fakulti-fakulti lain selain daripada fakulti agama di universiti-universiti tempatan seperti ilmu-ilmu sains sosial dan seumpamanya. Perlu diingatkan bahawa sebelum penyelarasan dibuat, Al-Azhar dan kerajaan persekutuan tidak menghadapi masalah besar dalam melahirkan pelajar yang cemerlang dan berkualiti. Sebaliknya , setelah hampir 10 tahun STAM diperkenalkan, mutu dan kualiti lepasan Al-Azhar telah mula dipersoalkan oleh pelbagai pihak. Bagi penulis, penyelarasan sijil bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk mengatasi masalah melahirkan pelajar berkualiti tetapi sejauh mana persekitaran yang dirangka ke atas SAR dan sekolah agama dari pembangunan kurikulumnya khususnya kurikulum Diniah dibangunkan terlebih dahulu. Adakah kurikulum tersebut telah dibangunkan dengan baik oleh kerajaan persekutuan dan negeri pada hari ini. Penulis sudah menyediakan jawapan tersebut dalam penulisan-penulisan sebelum ini (Azizi Umar & Supyan Hussin, 2007).

Cabaran dan Masa Depan Pembentukan dan Pengekalan Identiti Dwi-Kurikulum Pendidikan orang-orang Melayu umumnya terbahagi kepada dua sistem iaitu sistem aliran tradisional dan sistem aliran kebangsaan. Ia telah mendatangkan krisis besar dalam masyarakat umat Islam bukan sahaja di Kelantan bahkan seluruh Tanah Melayu. Jalan penyelesaian telah difikirkan untuk menyatukan dua sistem yang berbeza ini Akhirnya sistem pondok di Kelantan telah menerima perubahan selepas Perang Dunia Kedua iaitu pada awal abad ke-20. Terdapat pondok-pondok yang bersistem umumi bertukar menjadi nizami (madrasah). Perubahan ini juga adalah rentetan daripada kelemahan sistem sekolah petang atau Sekolah Al-Quran (Abdullah Ishak, 1995).

Tokoh-tokoh ulama Islam yang bersikap radikal dan progresif telah melakukan reformasi

dalam bidang pendidikan dengan cara menyebarkan fahaman menerusi tulisan dalam majalah Al-Imam. Golongan ini juga dikenali sebagai golongan reformis yang mempelopori Kaum Muda di Tanah Melayu seperti Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Usaha ini telah berjaya mengasaskan sekolah agama moden untuk bersaing dengan sekolah-sekolah Melayu dan Inggeris yang masih belum meluas lagi.

Idea penubuhan madrasah atau SAR merupakan salah satu daripada usaha tajdid kaum muda.

Dalam sistem madrasah telah dimasukkan subjek akademik dan tidak terikat kepada pelajaran agama semata-mata. Garis pemisah di antara zaman yang didominasi oleh sekolah pondok dengan zaman pertumbuhan madrasah ialah sejak Perang Dunia pertama lagi. Kemungkinan besar antara faktor perubahan ini disebabkan oleh perubahan nilai masyarakat terutama sosio ekonomi, politik dan kebudayaan. Madrasah yang didirikan tersebut berbeza dengan sekolah sekular kerana pelajaran agama tidak dikesampingkan. Ia menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar. Manakala sekolah Melayu yang berorientasi sistem kebaratan dan sekular telah dianggap oleh orang Melayu sebagai satu ancaman kepada agama dan budaya hidup mereka tersebut.

Dalam tahun 1960-an, pelajar-pelajar sekolah agama telah diberi kesempatan untuk

mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Ini terbukti apabila peperiksaan STPM dalam tahun 1971 merupakan satu pembaharuan kepada pelajar sekolah agama untuk memasuki universiti. Oleh itu,

Page 7: SARMesirAZIZISUPYAN

7

sekolah agama masih belum memperkenalkan sijil kebangsaan untuk pelajar-pelajarnya. Susulan daripada fenomena di atas, satu lagi perubahan besar-besaran kepada SAR apabila sekolah tersebut telah memperkenalkan matapelajaran akademik seperti mana dalam Akta Pelajaran yang membentuk kurikulum kebangsaaan. Pihak SAR telah mula menerima pakai konsep Dwi-kurikulum iaitu kurikulum Diniah dan kurikulum kebangsaan serentak.Usaha ini telah dipelopori oleh Tuan Haji Hassan Idris, lepasan Al Azhar, pelajar pertama yang mendapat biasiswa Majlis Agama Islam Kelantan berkhidmat dengan Maahad Muhammadi. Ini menjadikan sekolah tersebut dapat menarik minat ramai pelajar dari luar Kelantan. Selepas proses pengambilalihan SAR pada tahun 1977 oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, didapati kurikulum asal SAR yang mengandungi kurikulum Diniah sudah tidak ada lagi dan hilanglah identiti asal sekolah tersebut sepertimana yang dikehendaki oleh pihak lembaga pengelola sekolah itu sendiri. Kehilangan boleh dilihat selepas proses pengambialihan Madrasah Naim Lilbanat dan Madarasah Falahiah, Pasir Pekan apabila kedua-dua buah sekolah telah diambilalih oleh Kementerian Pelajaran. Pengambilaihan tersebut bukan setakat memberi kesan kepada kurikulum Diniah, bahkan termasuk perkhidmatan guru dan pentadbir lain yang pernah mengajar di sekolah tersebut (Nik Zaharah Nik Yahya, 2006). Perkara yang sama berlaku ke atas Madrasah Wataniah di Machang yang diambilalih agak lewat sedikit iaitu pada tahun 1984 (Mohd. Zain Abdul Rahman, 2007). Kes-kes ini telah memberi kesan kepada pihak lembaga SAR dalam usaha untuk bersikap lebih terbuka kepada penyerahan pengurusan SAR kepada kerajaan Persekutuan.

Polemik untuk mendaftarkan SAR sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebagaimana yang dicadangkan oleh Laporan Tan Sri Murad mulai tahun 2004 menghadapi dilema yang sama. Walaupun ada yang sudah mendaftar, tanggapan dan perasaan kebimbangan terhadap kehilangan identiti SAR tersebut masih dirasai. Ini terbukti apabila selepas lebih 4 tahun cadangan Laporan Tan Sri Murad dilaksanakan, Kerajaan Kelantan masih belum bersedia untuk mendaftar sekolah tersebut. Selepas satu kajian dilaksanakan oleh Yayasan Islam Kelantan (YIK), barulah mereka bersedia melalui proses pendaftaran tersebut tetapi dengan syarat-syarat tertentu yang pada peringkat awalnya ditolak oleh pihak kerajaan persekutuan. Hanya sentimen dan persekitaran politik kedua-dua pihak telah menentukan perubahan ini. Pada pandangan penulis, penyelesaian pendidikan Islam yang bersifat sentimen politik tidak akan menjayakan pendidikan Islam itu sendiri kerana sentimen politik yang sama akan merosakkannya. Lebih parah lagi jika ia melibatkan pembinaan identiti sekolah agama itu sendiri. Penyelesaian masalah identiti iaitu pembinaan kurikulum Diniah di SAR wajar difikirkan oleh pakar-pakar pendidikan Islam dan bukan ditentukan oleh pakar-pakar dalam ilmu politik. Penulis tidak menafikan bahawa ahli politik juga mempunyai medan dan pengaruhnya dalam pendidikan Islam tetapi dalam soal kerangka pembinaan kurikulum khususnya konsep Dwi-kurikulum yang diamalkan sejak sekian lama di SAR bukan perkara yang boleh dikorbankan. Ia adalah satu mekanisme dan pendekatan hasil daripada falsafah yang telah disusun dengan penuh kebijaksanaan oleh ulamak silam dalam pembangunan Islam dan pembentukan peribadi masyarakat Islam di Malaysia. Tiadanya Kesungguhan dan Komitmen Pembuat Polisi Kerjasama Kerajaan Persekutuan Malaysia melalui Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Negeri dalam menyelaraskan sistem pengajian sekolah agama di seluruh Malaysia telah membawa kepada satu penyeragaman yang menyeluruh. Sebelum kerjasama dilaksanakan dengan Kementerian Pelajaran, sudah wujud institusi perantara negeri dan persekutuan iaitu Lembaga Penyelarasan

Page 8: SARMesirAZIZISUPYAN

8

Pembangunan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) yang diletakkan di bawah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Jabatan Perdana Menteri. (JPM). Seperti mana yang telah disebut sebelum ini, satu perjanjian untuk menyelaraskan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah dilaksanakan melalui usaha kementerian terbabit dan sekali gus mencerminkan kerjasama dua hala yang penting dalam membangunkan pendidikan Islam keseluruhannya dan sekolah agama khususnya.

Bagaimanapun hubungan ini agak rapuh kerana ia tidak berasaskan semangat tradisi yang sedia ada. Maksud penulis ialah walaupun kita melihat kerjasama melalui perjanjian tersebut tetapi cuba kita selidiki sedikit bagaimana sesebuah kerajaan tersebut menentukan polisi ke atas pembinaan kurikulum Diniah atau matapelajaran agama. Penulis tidak mengkaji dengan mendalam sumber dari Mesir tetapi asas penting yang perlu diketahui ialah pentadbiran Universiti Al-Azhar itu sendiri pernah memberikan pinjaman wang kepada Kerajaan Mesir dalam membuat pembangunan. Ini bermaksud Kerajaan Mesir telah memelihara, melindungi dan memartabatkan Al-Azhar sebagai universiti terulung. Soalnya apakah ada universiti yang sama atau hampir sama dengan Al-Azhar di Malaysia yang boleh dijadikan model kepada lepasan sekolah agama sehingga kita terpaksa berhubung dengan universiti luar. Kita akur bahawa dalam sejarah pendidikan Islam, sudah ada kolej yang bertaraf universiti pada tahun 1964 yang berjaya mengeluarkan graduan dan seterusnya layak untuk belajar di peringkat sarjana di Universiti tersebut. Semasa kajian dibuat sebelum ini, penulis telah menemui bagaimana British cuba untuk menyembunyikan status Sekolah Agama Rakyat di Kelang sebagai sebuah kolej bertaraf sekolah sahaja. Diskriminasi Pengagihan Sumber Perbendaharaan Dalam Pendidikan

Dari sudut yang lain pula, sejauh mana kerajaan persekutuan memainkan peranan dalam membangunkan kurikulum agama di Malaysia sejak dari kemerdekaan lagi. Apabila disebut membangunkan kurikulum Diniah atau agama, ia memberi maksud membangunkan semua prasarana, polisi, persekitaran dan peruntukan yang sesuai bagi kurikulum tersebut termasuk perbelanjaan guru-guru, pembangunan fizikal, pembangunan pengurusan dan seumpama dengannya. Sebelum bantuan per kapita dihentikan pada tahun 2002, nilai per kapita bagi setiap pelajar ialah seperti mana yang ditunjukkan dalam jadual di bawah ;

TAHUN

PERINGKAT 1956

1977 1983 1996

Rendah 10.00 20.00 30.00 60.00

Menengah

Rendah

14.00 30.00 45.00 90.00

Menengah

Atas

20.00 40.00 60.00 120.00

Rajah 1 : Jadual Nilai Per Kapita Ke Atas SAR Persoalan yang boleh dibangkitkan di sini, adakah SAR mampu bergerak dengan bantuan

per kapita yang telah diperuntukan di atas. Nilai per kapita yang diagihkan oleh kerajaan persekutuan berdasarkan jumlah pelajar. Bagaimana pula dengan nilai per kapita bagi matapelajaran dan bukan matapelajaran yang ditawarkan di sekolah tersebut sepertimana yang diperolehi oleh sekolah aliran kebangsaan lain. Ini masih belum dikira pelbagai nilai per kapita lain lagi. Sekiranya SAR tidak layak mendapatkan nilai per kapita kerana tidak mendaftar dengan kerajaan, mengapa pula ia dibenarkan oleh perlembagaan dan undang-undang pendidikan negara.

Page 9: SARMesirAZIZISUPYAN

9

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, adalah wajar demokrasi pendidikan juga turut subur dengan segala perbelanjaan dan pengagihan ekonomi negara diagih dengan adil kepada semua pihak.

Adakah tempoh yang sudah melangkau lebih 50 tahun boleh dianggap kerajaan

persekutuan dan negeri telah membuktikan kesungguhan komitennya dalam meletakkan SAR dalam arus pendidikan perdana hari ini? Bagi membangunkan kurikulum Diniah, ia bukan sekadar memberikan bantuan kepada sekolah agama tetapi adakah bantuan yang diberikan setanding dengan sekolah aliran kebangsaan yang lain. Jika tidak, atas alasan apakah diskriminasi itu wujud sejak sekian lama? Jika Malaysia dianggap sebagai sebuah negara Islam dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tidak wajarlah ia mengenepikan perkembangan pendidikan sekolah agama dan pendidikan Islam ini. Jika wujud juga peminggiran tersebut kepada siapakah harus dipersalahkan? Begitu juga dengan sumber kewangan pihak berkuasa agama negeri. Tidak dinafikan untuk mengendalikan satu pembangunan pendidikan yang besar agak sukar bagi sebuah negeri di Malaysia untuk memikul sepenuhnya memandangkan sumber kewangan yang sangat terhad sepertimana majlis agama itu sendiri. Bahkan kesungguhan pihak berkuasa agama negeri dalam merancang, menyusun dan mentadbir sekolah agama adalah satu pengorbanan yang sangat besar. Melihat kepada kedudukan sumber kewangan sistem persekutuan di Malaysia, bebanan pendidikan adalah di bawah tanggungjawab bidang kuasa persekutuan. Pengorbanan pihak berkuasa agama negeri sebelum ini perlu dipandang serius oleh kerajaan persekutuan kerana negeri telah memikul bebanan tersebut atas sebab tiadanya kefahaman yang jelas dan kesungguhan komitmen oleh pihak persekutuan dalam membangunkan pendidikan Islam. Kurang Graduan Pengajian Islam Yang Berkualiti Hari ini kita melihat semakin ramai pelajar yang sudah tidak mengambil Sijil ’Aliah (sila baca Sijil Tinggu Ugama/Arab) bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi samada dalam negeri atau luar negeri dalam bidang pengajian Islam. Ini menyebabkan nilai identiti dan ekonomi yang ada pada sijil tersebut sudah hilang. Ada dua faktor yang menyebabkan kehilangan identiti tersebut. Faktor pertama ialah peluang yang diberikan oleh kerajaan persekutuan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk menyambung pelajaran. Ini menyebabkan tidak ramai pelajar yang masih menunggu untuk mengambil STU dan seterusnya ke Mesir atau Timur Tengah.

Manakala faktor yang kedua pula ialah kesukaran memahami silibus dan peperiksaan yang tidak mampu dikuasai oleh pelajar yang sedia ada ditambah pula dengan buku-buku teks yang berbeza. Kelemahan ini menyebabkan hanya segelintir sahaja mencapai tahap kecemerlangan untuk memasuki pengajian di Mesir dan juga semasa belajar di sana. Natijahnya nanti ialah Malaysia akan menghadapi cabaran dalam mengeluarkan graduan pengajian Islam yang berkualiti sesuai dengan zamannya. Selain itu, ramai lepasan graduan pengajian Islam cemerlang yang dilahirkan daripada sistem madrasah diberikan peluang yang luas dalam skim perkhidmatan awam persekutuan sedangkan mereka tidak boleh berkhidmat dalam membantu perjalanan kurikulum Diniah. Ini adalah kerana kurikulum tersebut tidak wujud dalam sistem kurikulum kebangsaan. Logiknya, merekalah yang lebih berkelayakan dalam mengajar kurikulum tersebut. Melihat kepada ketidakseimbangan ini, penulis bimbang matlamat ini semakin jauh untuk dicapai. Tanggapan masyarakat bahawa penubuhan SAR ialah untuk melahirkan ulamak, ustaz dan bukan ahli profesional adalah satu kesilapan besar. Matlamat SAR untuk mengeluarkan

Page 10: SARMesirAZIZISUPYAN

10

ulamak adalah benar tetapi bukanlah ulamak dalam erti kata yang sempit seperti mana difahami oleh sebahagian besar di kalangan rakyat yang masih kurang faham tentang Islam itu sendiri. Pada pengamatan awal penulis, ulamak telah meletakkan asas kerangka kurikulum Diniah atau dwi-kurikulum bukanlah bersifat mutlak. Ia boleh berlaku keanjalan mengikut kebijaksanaan dan kemampuan pihak lembaga pengelola, guru, pengurus dan pemimpin dalam memahami keadaan semasa yang pasti akan berubah pada masa depan. Kerangka ini adalah alternatif kepada kurikulum sedia ada yang terbukti tidak mampu melahirkan pelajar yang berakhlak sepertimana yang digariskan dalam falsafah pendidikan Islam (Yahya Othman, 2007). Sijil Agama Yang Sukar Diberikan Pengiktirafan Walaupun lepasan sekolah agama semakin berkurangan untuk meneruskan pengajian tetapi pelaksanaannya bukan bermakna mereka mengenepikan kurikulum dan sijil agama kerana struktur kurikulum Diniah telah dirangka sejak tahun pertama hinggalah ke tahun enam. Bezanya ialah mereka tidak sempat untuk menguasai semua ilmu pengetahuan yang disediakan oleh jawatankuasa kurikulum pendidikan Islam negeri disebabkan oleh sistem dan polisi yang ditetapkan oleh kerajaan persekutuan. Sistem yang dimaksudkan ialah sistem pengajian lima tahun di peringkat menengah dengan pembahagian tiga tahun di peringkat menengah rendah dan dua tahun lagi di peringkat menengah atas. Sistem persekolahan telah menetapkan pada tahun yang kelima, pelajar dikehendaki mengambil Sijil Peperiksaan Malaysia. Kedudukan sijil ini dalam sijil peperiksaan di Malaysia adalah sangat penting. Oleh yang demikian, usaha untuk meletakkan sijil ’Aliyah dan kandungan kurikulum Diniah di peringkat yang lebih awal akan menghadapi jalan yang sangat rumit. Usaha tersebut memerlukan kandungan silibus Diniah selama tiga tahun dikurangkan menjadi satu tahun. Cadangan penulis kepada pihak lembaga SAR dan pihak berkuasa agama negeri supaya membuat penyusunan semula kandungan kurikulum agar Sijil ’Aliyah dapat diadakan lebih awal daripada SPM. Cara ini mungkin akan memaksa sistem peralihan diwujudkan semula di sekolah agama. Bagaimanapun ini banyak bergantung kepada polisi sistem struktur tahap pengajian di peringkat negara yang juga akan mengalami beberapa perubahan pada masa depan. Usaha ini juga akan lebih mudah jika pelajar diberi pilihan samada untuk mengambil SPM atau STAM dengan persetujuan daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia. Cadangan ini agak sukar sedikit setelah mengambil kira kemampuan pihak yang berautoriti mengenai sekolah agama dalam sistem persekutuan hari ini. Jika tidak ada usaha yang berterusan ini untuk jangka masa yang panjang, saya bimbang sijil agama yang sudah hampir mempunyai potensi yang cerah dalam arus pendidikan negara akan merosot kembali disebabkan kelalaian kita. Terdapat dua langkah besar yang dilakukan oleh Al-Azhar yang membimbangkan pihak lembaga Sekolah Agama Rakyat dan pihak-pihak yang berkaitan. Pertama, Al-Azhar telah mula membatalkan mu’adalah iaitu program kerjasama berkembar dengan institusi agama di Malaysia bermula pada tahun ini. Pembatalan ini telah memberi kesan kepada pelajar itu sendiri. Langkah yang kedua ialah memperkenalkan imtihanul qabul (peperiksaan kemasukan) bagi pelajar asing khususnya Malaysia dan seolah-seolah mengenepikan lepasan pelajar yang mengambil STAM. Sedangkan pengiktirafan STAM telah melalui proses yang panjang bahkan melibatkan perjanjian antara sebuah kerajaan dengan sebuah kerajaan. Ramai bertanya apakah usaha Al-Azhar ini adalah satu usaha yang baik? Bagaimana dengan masa depan pembangunan pendidikan Islam keseluruhannya? Penulis merasa bimbang jika langkah-langkah yang buat tadi bukan datang daripada Al-Azhar sendiri sebaliknya datang daripada pegawai-pegawai pelajaran yang tidak berpandangan jauh. Ketidakseriusan ini menimbulkan masalah dan kecurigaan kepada pihak pentadbir sekolah terhadap jalinan kerjasama dan persefahaman yang dibina sebelum ini. Adakah

Page 11: SARMesirAZIZISUPYAN

11

persefahaman yang dibina itu ke arah memajukan sekolah agama atau meruntuhkan sekolah agama. Tiada Hubungan Kerjasama Yang Erat Cabaran yang terakhir yang dihadapi oleh aliran pendidikan Islam di Malaysia ialah tiadanya hbungan yang erat antara pihak yang membuat polisi di peringkat persekutuan dan negeri dengan pihak yang melaksanakan sistem persekolahan agama yang juga disebut pihak Lembaga Pengelola Sekolah, sebuah lembaga masyarakat yang sangat berautoriti menentukan kedudukan SAR dan falsafah pendidikannya. Dalam masa kita membincangkan hubungan antara Malaysia dan Mesir melalui perantaraan Universiti Al-Azhar, sudah tentu hubungan yang telah lama wujud ini memberikan satu kekuatan dan perpaduan yang kuat antara kedua-dua buah negara bukan setakat dalam hal ehwal pendidikan tetapi juga dalam bidang lain yang telah dan bakal diterokai. Namun hubungan ini boleh terjejas apabila pegawai di Malaysia sendiri tidak menunjukkan satu penyatuan fikrah dalam pembangunan dan perkembangan pendidikan Islam.

Dalam kutipan data penulis sepanjang dua tahun melalui kaedah temubual, banyak perkara yang penulis temui berkaitan krisis hubungan keyakinan ini. Selain daripada isu SAR yang dianggap sangat sensitif, terdapat juga tanggapan negatif pihak lembaga sekolah terhadap pegawai negeri dan persekutuan. Begitu juga sebaliknya, tanggapan yang kurang baik diberikan oleh pihak negeri dan persekutuan kepada pihak yang mengusahakan SAR ini. Lebih parah lagi apabila pihak berkuasa negeri dan persekutuan juga berbeza tanggapan antara satu sama lain. Sesama pegawai persekutuan juga tidak dapat dielak percanggahan pendapat dalam pengurusan dan pentadbiran SAR dan akhirnya wujud tanggapan negatif di kalangan mereka. Pada pandangan penulis, sebelum kita membincangkan kerjasama dua hala yang lebih baik dengan Al-Azhar dalam hal ehwal pandidikan Islam ini, adalah lebih baik kita menyatukan terlebih dahulu kepelbagaian perselisihan ini. Perbezaan pendapat adalah satu kebaikan dan jalan keluar dalam Islam tetapi tidak wajar perbezaan pendapat tersebut membawa kepada kerugian dalam pembinaan masa depan anak-anak di sekolah agama. Kesimpulan

Bagi memastikan hubungan kedua-dua belah negara kukuh, adalah amat wajar sekali persefahaman dan kerjasama yang dijalinkan selama ini diperhalusi agar ia benar-benar membawa kepada semangat dan kehendak yang sama menuju falsafah pendidikan Islam yang ditetapkan. Kegagalan kita dalam menterjemahkan idealisme falsafah yang dibina tersebut, dalam bentuk dasar dan pembuatan polisi, usaha dan perancangan yang dilaksanakan tidak memberikan sebarang makna dan jauh sekali untuk melihat hasilnya. Sebagai contoh, pihak lembaga SAR yang banyak terlibat dalam pembinaan kurikulum seringkali diketepikan pandangan mereka. Bahkan sangat wajar kelompok tersebut diberikan kuasa autoriti bahkan autonomi tanpa menjejaskan kehendak pihak berkuasa agama negeri dan persekutuan. Masyarakat Islam sudah boleh memulakan anjakan pradigma baru dengan meletakkan agenda pendidikan Islam sebagai keutamaan yang lebih utama mengatasi kepentingan-kepeningan lain.

Pentadbir dan pengurus SAR juga perlu didedahkan dengan sistem pengurusan dan pentadbiran moden hari ini agar mereka tidak terkebelakang dalam menggerakkan sekolah tersebut. Keperluan SAR berada dalam arus pendidikan nasional sangat mustahak pada masa depan. Tinggal lagi, sejauh mana kebijaksanaan kita meletakkannya dalam keadaan dan persekitaran yang sesuai. Penulis percaya dan yakin, sistem pengurusan yang memberikan

Page 12: SARMesirAZIZISUPYAN

12

keutamaan kepada pihak lembaga masyarakat dan pengagihan yang adil akan membawa kepada kejayaan kita mengembalikan kegemilangan silam sepertimana yang dicita-citakan.

RUJUKAN

A.Hasjmy. 1979. Mengapa Umat Islam Mempertahankan Pendidikan Agama Dalam Sistem Pendidikan Nasional ?. Jakarta : Bulan Bintang, cet. 1

Al-Faruqi, Ismail Raji. 1982. Islamization Of Knowlwdge. Washington : Internetional

Institute Of Islamic Thought. Azizi Umar & Supyan Hussin. 2007. Konflik sekolah agama rakyat dalam dasar pendidikan kebangsaan : suatu analisis awal. Kertas Kerja Seminar Kebangsaan Isu-isu Pendidikan Negara Kali Ke-Tiga. Anjuran Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia. Bangi, Selangor, 13-14 Februari. Azizi Umar. 2001. Pengambilalihan sekolah agama rakyat oleh kementerian pendidikan : suatu kajian mengenai sejarah dan tujuan. Disertasi Sarjana Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Azizi Umar & Supyan Hussin. 2008. “Pembangunan Sekolah Agama Rakyat di Malaysia :

Suatu Kajian Perbandingan Dengan Tamadun di Andalusia”, Kertas Kerja Seminar Andalusia 1300 Year di USM, Penang pada 5 Mac 2008 Azizi Umar & Supyan Hussin.2007. Kekangan Kurikulum Diniah Dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan Pasca Kemerdekaan. dalam Mazlan Ibrahim & Kamaruddin, Islam Pasca Kemerdekaan, Jabatan Usuluddin dan Falsafah, FPI UKM, Bangi Azizi Umar. 2007. “Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat : Suatu Kajian dan Sejarah dan Tujuan Asal”dalam Journal of Al-Tamaddun, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam UM, Zulhijjah 1427 / Disember-Januari 2007. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, KPM (1996). Laporan Kajian Kadar Bantuan Per Kapita Mata Pelajaran Sains Sosial dan Bahasa Sekolah Menengah.

Buku Cenderamata Menyambut 10 Tahun Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan

(YPTIK), pada 16 - 18 Julai 1979.

Hassan Ibrahim Hassan .1979. Tarikh al-Islami : al-Siyasi Wa al-Din Wa al-Thaqafi Wa al-

Ijtimaic. Qahirah : Maktabah al-Nahdhah al-Misriyyah. Cet. 9. Juz. 3.

Hassan Langgulung.1991. Asas-asas Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan

Pustaka KPM. Cet. 1.

Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan, Laporan Tahunan. 1977. Kertas Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan Antara Kementerian Pendidikan Malaysia Dengan Al-Azhar Al-Syarif Republik Arab Mesir. Kuala Lumpur. 18 November 1999

Laporan Bahagian Pelajaran Ugama. 1979. Kementerian Pelajaran Malaysia. K.P (5) 0111/39.

Page 13: SARMesirAZIZISUPYAN

13

Laporan Tahunan Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan ( YPINK ) 1979. Muhammad Yunan Mahmood. 1997. Sejarah Maahad Muhammadi 1917-1997. Kota Bharu : Maahad Muhammadi. Nabir Haji Abdullah. 1976. Maahad Il Ihya Assyariff Gunung Semanggol 1934-1959. Kuala Lumpur : Jabatan Sejarah UKM. Cet. 1.

Report Of The Comettee To Consider Financial Aids To Non – Government Islamic Religious Schools. 1956. Bab VII, No. 60 - 63, hlm. 7.

Ringkasan Penyata Laporan Mengenai MAIK Oleh Ismail Nih Hussin (Setiausaha MAIK ),

Jun 1978.

S.S. Hussain & S.A. Ashraf. 1980. Crisis In Muslim Education. Jeddah : Hodder &

Stoughton, King Abdul Aziz University. Cet. 1.

Temubual

Abrar Idris. (Penolong Pengarah Unit SABK, JAPIM, KPM), Putrajaya. 16 Mei 2006.

Ahmad Abdul Rahman,. (Bekas Pegawai Kemajuan Sekolah Ugama, Bahagian Pelajaran

Ugama 1978 ). 28 Mac 2007.

Dziaruddin Abdul Rahman. (Ketua Penolong Pengarah BPPI, JAKIM atau LEPAI). 2 Julai

2006. Junaidi Abdullah. (Penolong Pengarah Pentadbiran Yayasan Islam Kelantan). 30 April 2007. Mohd Amar Abdullah. (Exco Pendidikan Kerajaan Kelantan). Kota Bharu. 29 April 2007 di Pejabat beliau, Kota Darulnaim.

Muhamad Ya. (Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Sekolah Yayasan Islam Kelantan) . Kota Bharu 18 Februari 2006. Muhammad Yunan Mahmood (Mantan Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Yayasan Islam Kelantan), Kota Bharu. 5 Oktober 2008(Ahad) jam 5.00 petang. Nik Abdul Kadir Nik Mohamad (Mantan Ketua Penolong Pengarah (Pentadbiran) Yayasan Islam Kelantan), Kota Bharu. 28 September 2008.

Yahya Othman. (Mantan Exco Pendidikan Kerajaan Kelantan). di rumah beliau, Machang 1 Mei.2007. Zahari Abdul Latif. (Mantan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pendidikan Islam & urusetia LEPAI, JAKIM). Putrajaya 23 Mac 2006.

Page 14: SARMesirAZIZISUPYAN

14

Zakaria Muhammad. (Ketua Penolong Pengarah Kurikulum Yayasan Islam Kelantan), Kota Bharu. 20 Februari 2006.