rj p05-303-12-2012 p05-304-12-2012 - zulkefle bin ismail v ... · [6] di akhir kes pembelaan, t1...

32
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: P05-303-12/2012 ANTARA ZULKEFLE BIN ISMAIL PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA RAYUAN JENAYAH NO: P05-304-12/2012 ANTARA NASIR BIN JUSOH PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN ______________________________

Upload: others

Post on 28-Oct-2019

23 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

1

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA

(BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: P05-303-12/2012

ANTARA

ZULKEFLE BIN ISMAIL … PERAYU

LAWAN

PENDAKWA RAYA … RESPONDEN

DIDENGAR BERSAMA

RAYUAN JENAYAH NO: P05-304-12/2012

ANTARA

NASIR BIN JUSOH … PERAYU

LAWAN

PENDAKWA RAYA … RESPONDEN

______________________________

Page 2: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

2

(Mahkamah Tinggi Di Pulau Pinang

Perbicaraan Jenayah No. 45-1-2011, 45-2-2011 & 45-3-2011)

Di antara

Pendakwa Raya

Lawan

1. Zulkefle bin Ismail

2. Nasir bin Jusoh

CORAM:

MOHD HISHAMUDIN YUNUS, HMR

BALIA YUSOF HAJI WAHI, HMR

ZAKARIA SAM, HMR

ALASAN PENGHAKIMAN

[1] Terdapat 4 pertuduhan dalam rayuan ini:

Kes No: 45-3-2011

[2] Perayu pertama, Zulkefle Bin Ismail (T1) dan perayu kedua, Nasir

Bin Jusoh (T2) telah dipertuduh bersama-sama dengan pertuduhan

seperti berikut:

Page 3: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

3

Pertuduhan Pertama:

“Bahawa kamu bersama-sama pada 2.3.2006, jam lebih kurang 4.30

petang, di rumah No. 10, Lorong Jentayu 9, Taman Jentayu, Simpang

Ampat, Di Dalam Daerah Seberang Perai Selatan, Di Dalam Negeri

Pulau Pinang, dalam mencapai niat bersama kamu telah

memperedarkan dadah berbahaya iaitu sejumlah berat 325.6 gram

(14.3 gram Heroin dan 311.3 gram monoacetylmorphines) dan dengan

itu kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1) (a)

Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen

39B(2) Akta yang sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun

Keseksaan.”

Pertuduhan Kedua:

“Bahawa kamu bersama-sama pada 2.3.2006, jam lebih kurang 4.30

petang, di rumah No. 10, Lorong Jentayu 9, Taman Jentayu , Simpang

Ampat, Di Dalam Daerah Seberang Perai Selatan, Di Dalam Negeri

Pulau Pinang, dalam mencapai niat bersama kamu telah

memperedarkan dadah berbahaya iaitu sejumlah berat 195,284 gram

Cannabis dan dengan itu kamu telah melakukan satu kesalahan di

bawah seksyen 39B(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh

dihukum di bawah seksyen 39B(2) Akta yang sama dibaca bersama

seksyen 34 Kanun Keseksaan.”

Kes No: 45-1-2011

[3] T2 telah dituduh dengan satu pertuduhan seperti berikut:

“Bahawa kamu pada 2.3.2006, jam lebih kurang 4.30 petang, di rumah

No. 10 Lorong Jentayu 9, Taman Jentayu, Simpang Ampat , Di Dalam

Daerah Seberang Perai Selatan, Di Dalam Negeri Pulau Pinang, telah

ada dalam milikan kamu tanpa sebarang kebenaran sejumlah berat

Page 4: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

4

7.5 gram Monoacetylmorphines dan dengan itu kamu telah melakukan

satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952

dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2)(c) Akta yang sama.”

Kes No: 45-2-2011

[4] T1 telah dituduh dengan satu pertuduhan berikut:

“Bahawa kamu pada 2.3.2006, jam lebih kurang 4.30 petang, di rumah

No. 10, Lorong Jentayu 9, Taman Jentayu, Simpang Ampat, Di Dalam

Daerah Seberang Perai Selatan, Di Dalam Negeri Pulau Pinang, telah

ada dalam milikan kamu tanpa sebarang kebenaran sejumlah berat

7.7 gram Monoacetylmorphines dan dengan itu kamu telah melakukan

satu kesalahan di bawah seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952

dan boleh dihukum di bawah seksyen 39A(2)(c) Akta yang sama.”

[5] Di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, kesemua pertuduhan telah

dibicarakan serentak.

[6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas

kesemua pertuduhan dan disabitkan.

[7] Bagi pertuduhan di bawah s.12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952

(ADB), T1 dan T2 dihukum penjara 5 tahun dan 10 sebatan.

[8] Bagi pertuduhan di bawah s.39B(1) ADB, mereka dijatuhkan

hukuman gantung sehingga mati.

[9] Terhadap keputusan ini, mereka merayu kepada Mahkamah

Rayuan.

Page 5: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

5

Kes Pendakwaan

[10] Bertindak di atas maklumat, pada 2.3.2006, lebih kurang jam 4.30

petang SP2 (ASP Abdul Latiff Bin Mehat) telah mengetuai sepasukan

anggota polis dari Ibu Pejabat Polis, Daerah Seberang Perai Tengah

dan Selatan, membuat serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di

No. 10 Lorong Jentayu 9, Taman Jentayu, Simpang Ampat, Seberang

Perai Selatan.

[11] SP2 telah memasuki halaman rumah melalui pintu pagar yang

tidak berkunci dan mendapati pintu grill besi dan pintu papan hadapan

rumah tersebut berkunci. SP2 telah mengetuk pintu rumah beberapa

kali tetapi tidak dibuka. SP2 kemudian telah melihat melalui tingkap

hadapan rumah tersebut dan melihat dua orang lelaki Melayu berada di

ruang tamu rumah sedang menonton televisyen.

[12] SP2 menjerit perkataan ‘Polis’ tetapi pintu hadapan masih tidak

dibuka. SP2 seterusnya telah mengarahkan dua orang anggotanya iaitu

D/Kpl Aziz bin Chak (SP6) dan R/F Azizi bin Bidin, mengumpil pintu grill

besi dan kemudian menendang pintu kayu. Pada masa yang sama SP2

melihat melalui kaca tingkap hadapan dua orang lelaki Melayu tersebut

melarikan diri ke tingkat atas rumah.

[13] Setelah pintu gril besi dan pintu kayu berjaya dibuka, SP2 dan dua

orang anggotanya masuk ke dalam rumah dan terus mengejar dua

orang lelaki Melayu tersebut ke tingkat atas rumah. Semasa mengejar,

SP2 telah menjerit perkataan ‘Polis, jangan lari’. SP2 melihat kedua-dua

lelaki Melayu tersebut telah memanjat grill besi tingkap dan

memecahkan siling, serta naik ke atas dan membuka genting bumbung.

Page 6: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

6

[14] SP2 dan dua orang anggotanya turut memanjat naik ke atas siling

rumah tersebut dengan memanjat grill besi tingkap dan melalui siling

yang telah dipecahkan oleh dua orang lelaki Melayu tadi.

[15] Setelah SP2 naik, beliau dapati dua orang lelaki Melayu tadi telah

berada di atas bumbung dan salah seorang daripada mereka telah

membaling sesuatu seperti atap genting kearahnya namun berjaya

dielakkan. SP2 kemudiannya telah melepaskan tembakan ke udara

sebagai amaran dan ini telah menyebabkan dua orang lelaki Melayu itu

berhenti dan meniarap atas atap bumbung.

[16] SP2 dan dua orang anggotanya telah berjaya menahan dua orang

lelaki Melayu tersebut selepas berlaku pergelutan di antara mereka di

atas bumbung. Kedua-dua orang lelaki Melayu itu dibawa turun ke bilik

di tingkat atas melalui lubang yang mereka naik tadi di siling bilik rumah

tersebut. Kedua-dua lelaki tersebut adalah T1 dan T2.

[17] Hasil pemeriksaan badan yang dijalankan ke atas T1, SP2 telah

menemui:

i. dari poket hadapan sebelah kanan seluar jeans T1: 1

bungkusan plastik lutsinar besar mengandungi 15 paket

plastik lutsinar; dan

ii. dari poket belakang sebelah kanan seluar jeans T1: 1

bungkusan plastik lutsinar besar yang mengandungi 15

paket plastik lutsinar.

Di dalam setiap satu 30 paket plastik lutsinar tersebut terdapat bahan

ketulan dan serbuk yang disahkan oleh ahli kimia sebagai

Page 7: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

7

monoacetylmorphine seberat 7.7 gram - Pertuduhan dalam kes No.

45-2-2011 terhadap T1.

[18] Hasil pemeriksaan badan ke atas T2 pula, SP2 telah menemui:

i. dari poket hadapan sebelah kanan seluar jeans yang dipakai

T2: 1 bungkusan plastik lutsinar besar mengandungi 15

paket plastik lutsinar; dan

ii. dari poket belakang sebelah kanan seluar jeans yang

dipakai T2: 1 bungkusan plastik lutsinar besar yang berisi 15

paket plastik lutsinar.

Di dalam setiap satu 30 paket plastik lutsinar tersebut terdapat bahan

ketulan dan serbuk yang disahkan oleh ahli kimia sebagai

monoacetylmorphine seberat 7.5 gram - Pertuduhan dalam kes No.45-1-2011 terhadap T2.

[19] T1 dan T2 digari. Barang-barang kes yang dirampas pada setiap

masa dikawal oleh SP2. Seterusnya SP2 dan anggotanya membawa

turun T1 dan T2 ke tingkat bawah rumah tersebut.

[20] Di bahagian ruang tamu tingkat bawah (tempat di mana SP2

pertama kali melihat T1 dan T2 berada), dengan disaksikan oleh T1 dan

T2, SP2 menemui di atas lantai:

(i) 8 bungkusan plastik lutsinar besar, setiap satu mengandungi

bahan dan ketulan yang disyaki dadah heroin;

(ii) 5 bungkusan plastik lutsinar besar, setiap satu mengandungi

40 paket kecil plastik lutsinar yang mengandungi bahan dan

ketulan serbuk yang disyaki dadah heroin; dan

Page 8: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

8

(iii) 1 paket plastik lutsinar besar mengandungi 25 paket plastik

kecil lutsinar yang mengandungi serbuk dan ketulan yang disyaki

dadah heroin.

[21] Dadah yang dirampas di ruang tamu telah disahkan oleh ahli kimia

sebagai 14.3 gram heroin, dan 311.3 gram monoacetylmorphine,

kesemuanya seberat 325.6 gram - Pertuduhan Pertama Kes No. 45-3-

2001, terhadap T1 dan T2.

[22] Menurut SP2, barang kes yang disyaki dadah heroin yang

dijumpai dari atas lantai di ruang tamu dapat dilihat dengan mata kasar

oleh kerana bungkusan plastik tersebut tidak bertutup.

[23] Turut dijumpai di atas lantai adalah 1 telefon bimbit jenama LG, 1

telefon bimbit jenama Samsung, 3 rangkai anak kunci, 1 jam tangan

jenama G-Shock, 1 alat timbang, 1 tikar plastik berjalur, 1 dompet

jenama Pierre Cardin, 1 alat Impulse Sealer, dan wang sejumlah

RM690.00 yang berada dalam kotak.

[24] SP2 seterusnya mengarahkan Cif Inspektor Shahidan Bin Mansor

untuk mengawal barang kes yang dijumpai di ruang tamu.

[25] Seterusnya, SP2, SP6 dan R/F Azizi Bin Bidin telah membawa T1

dan T2 untuk membuat pemeriksaan bilik di tingkat bawah. Menurut

SP2, pintu bilik tersebut bertutup tetapi tidak berkunci.

[26] Sebaik sahaja SP2 membuka pintu bilik tersebut, SP2 terus terbau

dadah ganja di dalam bilik tersebut. Hasil dari pemeriksaan di dalam

bilik tersebut, SP2 dan SP6 telah menemui sebanyak 202 ketulan

Page 9: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

9

mampat yang disyaki dadah ganja yang dijumpai dari pelbagai bekas di

atas lantai di bilik tersebut, iaitu:

(i) 52 ketulan dalam kotak jenama Instar Life;

(ii) 6 ketulan dalam tong simpan ais warna biru/putih;

(iii) 17 ketulan dalam guni plastik jenama Royal Umbrella;

(iv) 10 ketulan dalam dalam beg biru jenama Castrol;

(v) 5 ketulan dalam beg plastik hitam;

(vi) 15 ketulan dalam beg hitam/biru jenama X-Zone; dan

(vii) 97 ketulan dari atas lantai dalam bilik tersebut.

[27] Ahli kimia mengesahkan dadah tersebut adalah cannabis seberat

195,284 gram - Pertuduhan Kedua dalam Kes No. 45-3-2011 terhadap

T1 dan T2.

[28] SP2 juga telah merampas barang-barang peribadi milik T1 dan T2

yang berada dalam dompet yang dijumpai di atas lantai ruang tamu

seperti kad pengenalan, lesen memandu dan kad ATM. Juga turut

dirampas adalah seluar jeans biru yang dipakai oleh T1 (P53) dan

seluar jeans biru yang dipakai oleh T2 (P54).

[29] T1 dan T2 beserta barang-barang kes yang dirampas dibawa balik

ke IPD Seberang Perai Selatan. SP2 telah menyerahkan T1 dan T2

kepada pegawai penyiasat ASP Zailani b. Mohd Yusof (SP8). SP2

seterusnya telah membuat tandaan ke atas barang kes, laporan polis

(P12), Senarai Pemeriksaan (P13) dan Akuan Serah Menyerah Barang

Kes (P16).

Page 10: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

10

[30] SP2 menyerahkan semua barang-barang kes kepada SP8 pada

jam 2.20 pagi pada 3.3.2006. SP8 seterusnya membuat tandaan pada

barang-barang kes.

[31] Pada jam 10.30 pagi hari yang sama, SP8 bersama anggotanya

telah membawa kesemua barang kes untuk sidang akhbar yang

diadakan di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis, Daerah Seberang Perai

Selatan.

[32] Pada jam 4.00 petang hari yang sama, SP8 telah mengarahkan

jurugambar untuk mengambil gambar barang kes di pejabatnya. Setelah

itu, SP8 telah membungkus barang-barang kes ke dalam dua buah

kotak. Barang-barang kes yang disyaki heroin telah dimasukkan ke

dalam sebuah kotak, manakala ketulan mampat yang disyaki ganja

telah dimasukkan ke dalam sebuah kotak yang lain (kotak kayu).

Barang-barang kes ini disimpan di stor Ibu Pejabat Polis, Daerah

Seberang Perai, Selatan.

[33] Pada 6.3.2006, SP8 telah menyerahkan barang-barang kes

tersebut kepada Ahli Kimia, Rosni Bt. Hamid untuk dianalisa. Pada

7.10.2006, SP8 telah menerima semula barang-barang kes beserta

Laporan Kimia dari Ahli Kimia.

Dapatan Di Akhir Kes Pendakwaan

[34] Hakim bicara telah memutuskan bahawa untuk pertuduhan

memiliki dadah di bawah s.12 (2) ADB di bawah pertuduhan di dalam

kes No. 45-1-2011 dan No. 45-2-2011, iaitu, dadah yang ditemui dalam

poket seluar jeans, T1 dan T2 mempunyai milikan terus dan milikan

fizikal tanpa bergantung pada anggapan di bawah s.37(d) ADB.

Page 11: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

11

[35] Sementara itu, untuk dua pertuduhan mengedar dadah di bawah

pertuduhan di dalam kes No. 45-3-2011, hakim bicara memutuskan

bahawa kelakuan T1 dan T2 melarikan diri ke bumbung rumah serta

membaling genting kepada SP2 menunjukkan mereka tahu dan sedar

bahawa ada barang salah dalam milikan mereka dan juga di rumah itu.

Masing-masing didapati mempunyai kawalan dan jagaan dan

pengetahuan terhadap dadah tersebut; dan memandangkan kuantiti

yang terlalu banyak, anggapan di bawah s.37(da) ADB terpakai.

[36] T1 dan T2 telah diperintahkan membela diri di atas kesemua

pertuduhan terhadap mereka.

Kes Pembelaan

Pembelaan T1

[37] T1 memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

[38] Menurut T1, abangnya Othman bin Ismail (SD5) telah menyewa

rumah tempat kejadian dan menyerahkan kunci rumah tersebut

kepadanya. T1 telah pulang ke Kuala Besut, Terengganu, kerana

menjalani Perintah Sekatan.

[39] Pada 2.3.2006, T1 telah berjumpa dengan SD5 di Mahkamah

Sungai Petani. SD5 ketika itu sedang menghadapi pertuduhan jenayah.

SD5 telah meminta T1 untuk pergi ke rumah sewanya di alamat No. 10,

Lorong Jentayu 9, Taman Jentayu, Simpang Ampat, untuk

mengeluarkan peralatan elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan

Page 12: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

12

peti sejuk milik SD5 dari rumah tersebut. T1 pun bersetuju untuk

mengeluarkan barang-barang elektrik tersebut.

[40] T1 telah menelefon T2 dan meminta pertolongan T2 untuk

membantunya mengeluarkan peralatan-peralatan elektrik tersebut. T1

dan T2 telah ke rumah sewa SD5 dengan menaiki kereta yang

berasingan.

[41] Apabila sampai di halaman rumah tersebut, T1 telah memberi

salam dengan memanggil nama Rozy yang tinggal di alamat tersebut.

Apabila tiada jawapan, T1 telah periksa di atas kotak hitam fius dan

menjumpai serangkai 3 kunci untuk rumah tersebut. SD5 ada

memberitahu T1, jika Rozy tiada di rumah, T1 boleh mengambil kunci

dari kotak hitam fius.

[42] T1 dan T2 telah masuk ke dalam rumah tersebut dan sebaik

sahaja menutup pintu kayu, rumah tersebut telah diserbu oleh pihak

polis dan mereka telah ditangkap semasa sedang bersembunyi di atas

bumbung rumah tersebut.

[43] Apabila mereka dibawa turun dari bumbung ke tingkat bawah,

badan mereka telah diperiksa dan tiada apa-apa dadah dijumpai pada

pakaian yang dipakai mereka. Kedua-dua mereka telah dipukul oleh

pihak polis. Mata T2 telah ditutup, kaki dan tangannya telah digari.

Manakala T1 digari tangannya dan disuruh duduk berhampiran dapur

menghala ke ruang tamu. Pihak polis seterusnya telah menjumpai

dadah dari bilik bawah.

[44] Pihak pembelaan juga telah memanggil SD5. Menurut SD5,

selepas beliau ditangkap, rumah tersebut didiami oleh anak

Page 13: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

13

perempuannya, rakan kongsi dalam perniagaan dadah bernama Rozy

dan teman wanita Rozi. Anak perempuannya kemudian telah keluar dari

rumah tersebut kerana berselisih faham dengan teman wanita Rozy.

Inilah sebabnya SD5 meminta T1 pergi ke rumah tersebut untuk

mengeluarkan peralatan elektrik miliknya.

[45] Menurut SD5, semasa beliau tinggal di rumah tersebut, beliau

telah membuat beberapa set kunci pendua rumah tersebut yang diberi

kepada bakal isterinya Rozi, anak perempuannya, dan rakan-rakannya

dari Thailand dan Acheh.

[46] Bernand See Hock Chuan (SD3), wartawan dari akhbar The Star

dalam keterangannya memaklumkan pada 3.3.2006, beliau ada

menghadiri sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis, Daerah Seberang Perai

Selatan. SD3 telah menyediakan laporan akhbar yang diterbitkan

keesokan harinya di mana dilaporkan selain dari dadah yang dirampas,

turut dirampas adalah kereta Volvo, Perodua Kelisa dan sebuah

motosikal.

Pembelaan T2 [47] T2 juga memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.

[48] Pada tengah hari 2.3.2006 ketika berada di rumahnya di Kampung

Mengkuang Berapit, Bukit Mertajam, beliau telah menerima panggilan

telefon dari T1 yang berada di Mahkamah Sungai Petani. T1

memintanya datang ke Simpang Ampat untuk menolongnya

mengangkat barang-barang elektrik dari rumah abangnya. Mereka akan

berjumpa di Tol Simpang Ampat.

Page 14: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

14

[49] Beliau telah bertolak ke Simpang Ampat dengan menaiki

keretanya. Dari sana, beliau mengekori kereta T1. Jam 4.30 petang

mereka sampai kesebuah rumah. Itulah pertama kali beliau ke rumah

tersebut. T1 membuka pintu rumah tersebut dengan anak kunci rumah

yang T1 ambil dari kekotak elektrik.

[50] T1 membuka pintu rumah dan mereka masuk ke rumah tersebut.

T1 mengunci pintu grill dan menutup pintu kayu. Pada masa itu beliau

terdengar seperti ada orang di hadapan rumah. Melalui tingkap beliau

dan T1 melihat ada beberapa orang lelaki masuk ke hadapan rumah

memegang pistol dan besi. T1 tidak mengenali orang-orang itu. T1

mengajaknya pergi bersembunyi. T1 mengajaknya naik ke tingkat atas.

Di tingkat atas, T1 memberitahunya ada siling pecah dan T1

mengajaknya naik ke atas bumbung. Mereka berdua bersembunyi di

bumbung. Dari atas bumbung mereka mendengar orang memecah

masuk ke dalam rumah.

[51] Semasa mereka bersembunyi di bumbung, mereka terdengar

bunyi orang sebut ‘Polis’ dan bunyi tembakan. Lalu dia mengajak T1

turun. Semasa hendak turun dari siling rumah, polis telah naik ke atas

dan mengacukan pistol ke arah mereka. Mereka dibawa turun.

[52] Badannya telah diperiksa oleh polis tetapi tidak ada barang salah

ditemui. Matanya telah ditutup dengan kain dan dibawa ke tingkat

bawah. Dia disuruh meniarap di atas lantai. Tangan dan kakinya digari.

Dia ada terdengar polis mengatakan mereka telah menemui dadah di

rumah tersebut. Dia tidak ditunjukkan dadah di tempat kejadian.

[53] Dia menafikan mengetahui mengenai dadah-dadah yang dijumpai

di rumah tersebut.

Page 15: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

15

Dapatan Di Akhir Kes Pembelaan

[54] Hakim bicara memutuskan pembelaan T1 dan T2 adalah bersifat

penafian semata-mata. Mereka juga telah gagal menyangkal anggapan

di bawah s.37(da) ADB. Mereka telah gagal menimbulkan keraguan

munasabah ke atas kesemua pertuduhan.

Rayuan

[55] Di hadapan kami, peguam bagi T1 membangkitkan 6 isu, iaitu:

(i) laporan kimia tidak ditandakan sebagai eksibit;

(ii) dadah yang dirampas tidak ditandakan sebagai eksibit;

(iii) adakah analisa telah dijalankan;

(iv) rumah boleh diakses oleh orang lain;

(v) ketinggalan fakta penting (omission) dan percanggahan

keterangan di antara saksi-saksi pendakwaan; dan

(vi) close proximity

[56] Peguam T2 pula, di samping menerima pakai isu-isu di atas

mengemukakan isu tambahan iaitu:

(vii) Pihak pendakwaan gagal membuktikan kedua-dua perayu

adalah penghuni (occupant) rumah tersebut

Page 16: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

16

Keputusan Kami

Isu Pertama – Penerimaan Masuk Laporan Kimia Sebagai Eksibit

[57] Ahli kimia, Puan Rosni bt. Harun, telah meninggal dunia sebelum

perbicaraan bermula. Laporan tersebut telah diserahkan kepada T1 dan

T2 pada 14.2.2007. Pihak pendakwaan mengemukakan laporan kimia

itu sebagai keterangan di bawah s.32 (1)(b) Akta Keterangan. Ini

dibantah oleh pihak perayu.

[58] Untuk kemudahan rujukan dipetik peruntukan s.32 (i)(b) Akta

Keterangan:

32. Cases in which statement of relevant fact by person who is

dead or cannot be found, etc., is relevant.

“(1) Statements, written or verbal, of relevant facts made by a person

who is dead or who cannot be found, or who has become incapable of

giving evidence, or whose attendance cannot be procured without an

amount of delay or expense which under the circumstances of the

case appears to the court unreasonable, are themselves relevant facts

in the following cases:

(a) ………….

(b) when the statement was made by any such person in the

ordinary course of business, and in particular when it consists of

any entry or memorandum made by him in books kept in the

ordinary course of business or in the discharge of profesional duty;

or of an acknowledgement written or signed by him of the receipt of

money, goods, securities or property of any kind; or of a document

used in commerce, written or signed by him, or of the date of a

letter or other document usually dated, written or signed by him;”

Page 17: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

17

[59] Laporan kimia oleh Puan Rosni, telah dibawa masuk melalui SP7,

Pengarah Jabatan Kimia Pulau Pinang (Ketua Bahagian Forensik

Jabatan Kimia Pulau Pinang pada ketika itu). Menurut SP7, Puan Rosni

adalah seorang Ahli Kimia dan Ketua Seksyen Makmal Narkotik, di

bawah seliaan beliau. Menurut SP7, diantara tugas Puan Rosni sebagai

Ahli Kimia adalah menjalankan analisa ke atas dadah-dadah berbahaya

seperti heroin, monoacetylmorphene, cannabis dan lain-lain lagi (di m/s

581-583 RR3).

[60] SP7 telah memeriksa worksheet (P702) yang disediakan oleh

Puan Rosni. Berdasarkan worksheet tersebut, menurut SP7, Puan

Rosni telah menjalankan analisa ke atas barang-barang kes untuk

menentukan cannabis dan beratnya, heroin dan beratnya dan

monoacetylmorphene dan beratnya mengikut piawaian Jabatan Kimia

Malaysia. Seterusnya Puan Rosni telah menyediakan satu laporan kimia

(P703).

[61] Menurut SP7, Puan Rosni telah meninggal dunia pada 12.4.2009

akibat penyakit barah paru-paru.

[62] Adalah jelas bahawa permohonan pihak pendakwaan untuk

membawa masuk laporan kimia yang disediakan Puan Rosni melalui

SP7 telah memenuhi pra-syarat di bawah s.32(i)(b). Kami berpuas hati

laporan kimia yang disediakan oleh Puan Rosni yang telah meninggal

dunia, telah disediakan oleh beliau dalam perjalanan biasa urusannya

(in the ordinally course of her business). Kami memutuskan penerimaan

masuk laporan kimia tersebut di bawah s.32(i)(b) oleh hakim bicara

telah dibuat dengan betul.

Page 18: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

18

[63] Peguam T1 juga membantah kemasukan laporan kimia tersebut

kerana menurutnya laporan tersebut hanyalah pendapat pakar yang

tertakluk kepada s.45 dan juga s.90A Akta Keterangan, oleh itu tidak

boleh dibawa masuk di bawah s.32(1)(b). Laporan tersebut yang

ditandakan sebagai ID703 hanya ditandakan P703 ketika hakim bicara

membuat keputusan di akhir kes pendakwaan. Untuk menyokong

hujahannya, peguam tersebut telah merujuk kepada kes-kes Vaynar

Suppiah & Sons v. KMA Abdul Rahim & Anor [1974] 2 MLJ 183 dan

Munusamy v. PP [1987] Rep 221.

[64] Dalam menerima masuk laporan kimia sebagai P703, hakim

bicara memutuskan:

‘[72] Saya telah membenarkan Laporan Kimia dan worksheet

diterima sebagai eksibit menurut seksyen 32(1)(b) Akta Keterangan

1950 atas alasan Rosni Bt. Hamid telah meninggal dunia dan analisa

ke atas bahan yang dikemukakan oleh SP8 telah dijalankan olehnya.

Ini telah disahkan oleh SP7 yang merupakan ketuanya dan telah

menyemak worksheet yang disediakan oleh Rosni bt. Hamid. Laporan

Kimia adalah dapatan fakta dan bukanlah pendapat seperti mana yang

diperuntukkan oleh seksyen 45 Akta Keterangan 1950’.

[65] Mengenai isu sama ada laporan kimia adalah keterangan

berbentuk pendapat oleh ahli kimia seperti yang dihujahkan oleh

peguam T1, kami hanya perlu merujuk kepada ratio di dalam kes Khoo

Hi Chiang v. PP and another appeal [1994] 1 MLJ 265 di mana Abdul

Hamid Omar, KHN dalam menyampaikan keputusan Mahkamah Agong

(pada ketika itu) telah memutuskan:

Page 19: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

19

Di m/s 271: ‘…..it is clear that the evidence of the chemist on the identity and weight of

the drug constitutes evidence of fact and not of opinion. (see also the case of

State of Gujarat v. Shantaben at p. 138). The chemist’s evidence on the

identity of the drug is factual evidence and not opinion evidence within the

meaning of s.45 of the Evidence Act 1950. Such evidence is therefore

admissible in a court of law either given by him orally like any other witness

or, as it specially provided by law, can be set out in a report admissible

pursuant to and in accordance with s.399 of the Criminal Procedure Code

(FMS Cap 6) (‘the Code’). At the risk of repetition, we would say that in our

judgment, the question of adducing evidence to show the expertise of the

chemist does not arise.’

Di m/s 272: ‘What was really required for the prosecution to show for the admission of the

chemist’s evidence on the identity of the drug was merely to adduce evidence

as to his qualification in the field of chemistry and that he was a chemist in

the employment of any Government in the Federation and had examined or

analysed the drugs. His evidence may then be given orally or be set out in a

report made by him to be admitted under s.399 of the Code.’

[66] Dalam isu yang sama, Mahkamah Rayuan di dalam kes

Sathiamoorty a/l Ramakireshina v. PP [2013] 2 MLJ 811 di muka surat 823

telah memutuskan:

‘[29] In our judgment, SP5’s evidence was confined ‘to the evidence of fact

and not of opinion’. That being the case, SP5’s evidence need not show her

expertise and experience as a government chemist. There was also no

necessity for SP5 to show in detail what she did in her laboratory.

[30] Since the evidence of SP5 as a government chemist is factual, she is to

be treated like any other witness. The fact that SP5 described herself as a

chemist employed by the Government of Malaysia, it must be inferred that

she is qualified in the field of chemistry and there is no necessity to adduce

evidence as to her qualification in the field of chemistry. Government

chemists working for the Government of Malaysia are considered as persons

Page 20: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

20

to whom s399(2) of the CPC applies and by virtue of sub-s (3) to s.399 of the

CPC, she is bound to state the truth in her chemist report marked as exh.

P12.’

[67] Dengan ini kami dapati bantahan perayu tidak mempunyai merit.

Isu kedua - Dadah yang dikemukakan masih bertanda ID.

[68] Isu ini telahpun dijawab oleh hakim bicara di muka surat 109-111

RR1:

‘[110] Dadah yang dianalisa oleh Ahli Kimia, Rosni bt. Hamid pada

awalnya di tanda ID oleh sebab pihak pembelaan membantah

penerimaan masuk Laporan Kimia sebagai eksibit. Di akhir kes

pendakwaan, saya telah memutuskan untuk membenarkan Laporan

Kimia menjadi eksibit P703. Serentak dengan itu, barang kes dadah

juga diterima menjadi eksibit. Walau bagaimanapun, saya telah

terlepas pandang untuk mengarahkan jurubahasa untuk menukarkan

tandaan ID kepada P. Perkara ini disedari setelah dibangkitkan oleh

pihak pembelaan dalam hujahannya di akhir kes pembelaan.

[111] Pada pendapat saya, tandaan itu hanyalah untuk maksud

identification saja.

[112] Identiti dadah dalam kes ini telah dibuktikan melalui keterangan

SP2 (Pegawai Serbuan), SP7 (Pengarah Jabatan Kimia) dan SP8

(Pegawai Penyiasat) dengan disokong oleh gambar barang kes (P15).

Dengan penjelasan SP7, adalah jelas identiti barang kes dadah yang

dikemukakan di Mahkamah adalah barang kes yang sama yang

dirampas oleh SP2 pada hari kejadian. Malah penandaan yang dibuat

ke atas barang kes telah dicam oleh SP2 dan SP8 di Mahkamah.

Tanda-tanda yang dibuat oleh SP2 dan SP8 menyokong bahawa

barang kes yang dikemukakan adalah barang kes yang sama

Page 21: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

21

berdasarkan tandaan-tandaan yang dibuat oleh SP2 dan SP8 masih

ada sehingga hari ini.

[113] Keterangan SP2 menjelaskan beliau mengawal barang kes

dadah Cannabis dari masa dirampas daripada kedua-dua OKT

sehingga diserah kepada SP8.

[114] SP8 telah menyimpan barang kes dalam pejabatnya dan

mengesahkan semasa menerima barang kes tersebut terdapat

tandaan dibuat oleh SP2.

[115] Dadah yang diserahkan oleh SP8 kepada Ahli Kimia, Rosni bt.

Hamid untuk analisa dan diterima balik daripada Rosni dan diserahkan

kepada SP4 (penjaga stor)….’

[69] Ahli Kimia melalui laporan kimianya (P703) dan worksheetnya

(P702) telah menjelaskan langkah yang diambilnya untuk memastikan

tiada kesilapan identiti barang kes (lihat perenggan 116 penghakiman

hakim bicara).

[70] Seterusnya hakim bicara memutuskan (di muka surat 119 dan 120

RR1) bahawa:

‘[121] Sebelum barang dadah tersebut dibuka di Mahkamah, keadaan

sealnya masih intact dengan seal Jabatan Kimia dan ini mengesahkan

bahwa ia tidak pernah diganggu dalam tempoh masa penyimpanan

eksibit tersebut sehinggalah dibuka di Mahkamah ini.

[122] Oleh yang demikian, pada pendapat saya tiada isu mengenai

identiti barang kes melainkan mengenai kesilapan kerana tidak

ditukarkan tandaan dari ID kepada P.’

Page 22: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

22

[71] Dari penjelasan hakim bicara ini, adalah jelas tiada terputusnya

rantai pergerakan barang-barang kes dari masa ditemui di tempat

kejadian sehingga di analisa dan seterusnya dikemukakan ke

Mahkamah seperti mana yang diputuskan dalam kes Gunalan a/l

Ramachandaran & 2 Ors v. PP [2004] 4 MLJ 489.

[72] Kami menerima penjelasan hakim bicara. Oleh itu isu yang

dibangkitkan oleh peguam T1 ditolak.

Isu Ketiga – Adakah Analisa Telah dijalankan

[73] Keraguan sama ada analisa telah dilakukan kerana di atas

worksheetnya (P702) yang disediakan oleh ahli kimia, telah sedia

bertaip perkataan Cannabis walaupun ujian belum dilakukan.

[74] Semasa perbicaraan ahli kimia yang menganalisa dadah-dadah

dalam rayuan ini, Rosni bt. Hamid telah meninggal dunia. Laporan kimia

yang disediakannya (P703) dan juga lembaran kerja (P702) telah

dikemukakan melalui SP7, Ketua Jabatan kepada Puan Rosni.

[75] Dalam isu ini, hakim bicara telah memutuskan (di muka surat 82

RR 1) bahawa:

‘[68] Shaharudin Bin Hasan (SP7), Pengarah Jabatan Kimia Pulau

Pinang telah mengesahkan Ahli Kimia, Rosni Bt Hamid telah

menjalankan analisa ke atas bahan-bahan yang diserahkan oleh SP8.

Menurut SP7, analisa yang dijalankan oleh Rosni Bt. Hamid adalah

mengikut piawai Jabatan Kimia Malaysia. Pada ketika itu, SP7 adalah

Ketua Bahagian Forensik dan sebagai ketua kepada Rosni Bt. Hamid,

beliau telah menyemak worksheet yang disediakan oleh Rosni Bt.

Hamid dan turunkan tandatangannya.

Page 23: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

23

[69] SP7 juga sahkan Rosni Bt. Hamid adalah seorang Pegawai

Sains dan telah penuhi segala syarat untuk menjadi Ahli Kimia.

Semasa analisa dijalankan Rosni Bt. Hamid adalah Ketua Bahagian

unit Dadah di Jabatan Kimia Pulau Pinang.’

[76] Puan Rosni juga di dalam laporan kimia dan worksheetnya setebal

126 helaian telah mencatikan ‘setelah dianalisis’ berulang kali. Ini

menunjukkan beliau telah menjalankan analisa yang sewajarnya.

[77] Ini disokong oleh keterangan SP7 yang menyatakan (di muka

surat 614 RR3):

‘Mengikut worksheet Puan Rosni, beliau telah menjalani pemeriksaan

dan ujian ke atas kesemua barang kes’.

[78] Oleh itu, hujahan peguam perayu bahawa analisa tidak dijalankan

adalah tidak berasas sama sekali.

Isu Keempat – rumah boleh di akses oleh orang lain

Isu Ketujuh – adakah perayu-perayu penghuni rumah tersebut

[79] Kedua-dua isu ini berkaitan dan bertindan, oleh itu akan dijawab

bersama.

[80] Pihak pembelaan menghujahkan rumah tersebut boleh diakses

oleh orang lain berdasarkan fakta-fakta berikut:

(i) Rumah tersebut disewakan kepada SD5, bukan T1 dan T2.

Kunci telah diserahkan oleh pemilik rumah (SP1) kepada SD5;

Page 24: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

24

(ii) SP1 mengakui ada seorang perempuan yang membayar

sewaan rumah tersebut kepadanya. Siasatan SP8 juga

menunjukkan seorang perempuan ada membayar untuk bulan

yang terakhir sebelum serbuan dibuat; dan

(iii) Menurut SP8, ketika ke rumah tempat kejadian pada

7.3.2006 untuk mengambil gambar, beliau mendapati barang-

barang di dalam rumah tersebut telah tiada.

[81] Peguam tersebut juga menghujahkan T1 dan T2 tidak mempunyai

kaitan dengan rumah tersebut selain daripada mereka berada dalam

rumah tersebut sementara sahaja.

[82] Isu-isu yang dibangkitkan oleh peguam tersebut telah dijawab oleh

hakim bicara melalui perenggan 55-64 (muka surat 75-80 RR1)

penghakiman beliau:

‘[55] Mengenai rumah tempat kejadian, rumah tersebut dimiliki oleh

Ng Bak Ooi (SP1). Menurut SP1, rumah tersebut disewakan kepada

seorang yang bernama Othman Bin Ismail (SD5). Menurut Perjanjian

Sewa (P8), sewaan adalah tempoh dari 3.10.2005 hingga 30.9.2006.

[56] Menurut SP1, urusan penyewaan rumah tersebut diuruskan

oleh OKT1 yang mengaku sebagai sepupu kepada Othman Bin Ismail.

OKT1 juga adalah saksi kepada Perjanjian Sewa. SP1 hanya

berjumpa dengan Othman Bin Ismail pada hari Perjanjian Sewa

ditandatangan di antara mereka.

[57] Menurut SP1, SP1 telah serahkan kunci rumah tersebut kepada

OKT1 kerana OKT1 lah yang menguruskan sewaan rumah tersebut.

Sewaan bulanan juga dibayar oleh OKT1 dan SP1 keluarkan resit di

atas nama Othman Bin Ismail.

Page 25: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

25

[58] Siasatan oleh SP8 menunjukkan Othman Bin Ismail telah

ditangkap oleh pihak polis pada 14.10.2005. OKT1 dan OKT2 pula

telah ditangkap pada 2.3.2006 iaitu hampir 5 bulan selepas Othman

Bin Ismail ditangkap.

[59] Dari siasatan SP8, rumah tersebut tidak dilengkapi dengan

perabot yang lengkap dan tiada pakaian atau makanan untuk

menunjukkan adanya penghuni. Lokasi rumah tersebut juga agak

sunyi.

[60] Saya telah rujuk gambar rumah (P10A-U). Berdasarkan

gambar, rumah tersebut kelihatan penuh dengan sampah sarap. Di

ruang tamu kelihatan ada 1 cerek eletrik, 1 bangku dan 1 balang gas.

Di bilik tingkat bawah kelihatan ada rak dan sedikit pinggan mangkuk.

Di tingkat atas pula kelihatan seperti selimut atau tilam (gambar M dan

S).

[61] Berdasarkan keadaan di dalam rumah tersebut, saya

berpendapat rumah itu tiada penghuni tetap.

[62] Oleh sebab OKT1 yang menguruskan sewaan rumah, OKT1

yang membayar sewa rumah, rumah tidak dilengkapi seperti ada

penghuni tetap dan 3 rangkai anak kunci yang dijumpai berada di atas

lantai di ruang tamu, inferens yang boleh dibuat, OKT1 adalah orang

yang menggunakan rumah tersebut dan ada kawalan eksklusif ke atas

rumah tersebut dan rumah tersebut digunakan untuk menyimpan

dadah.

[63] Rujuk kes PP v. Zulkifli Arshad [2010] 6 CLJ 131 di mana

diputuskan:

“It was clearly proved that cannabis was recovered from a

house that was under the sole control and management of the

accused. The latter was proved by the following undisputed

facts;(i) that the accused was the tenant of PS31-3. (ii) that the

Page 26: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

26

accused had possession of the keys to PS31-3 and the 3rd

bedroom, and, (iii) that PS31-3 was a bare and empty house

totally berefit of all sign or articles of any human habitation or

occupation, which codition and state of PS31-3 said that there

could not have been other tenant, other occupied or other users

of PS31-3, and further said that the accused must have had

exclusive possession of PS31-3. That the accused had

exclusive possession of PS31-3 and the keys to the 3rd bedroom

must lead to the inevitable deduction that the accused had

possession of the drugs in the 3rd bedroom.”

[64] Berdasarkan keseluruhan keterangan dan rujukan kepada nas-

nas, saya berpendapat OKT1 dan OKT 2 mempunyai jagaan atau

kawalan dan pengetahuan ke atas dadah Cannabis yang dijumpai di

dalam bilik tingkat bawah rumah tersebut.’

[83] Ulasan hakim bicara ini telah menjawab kritikan peguam bela

yang bijaksana.

[84] Mengenai kehilangan beberapa perabot dari rumah tersebut

beberapa hari selepas tangkapan dibuat, ianya tidak relevan kepada

pertuduhan. Kehilangan berlaku selepas tangkapan dan tidak

menjejaskan siasatan polis.

[85] Seterusnya hakim bicara telah mengulas keterangan T1 dan T2

dalam isu sama ada mereka penghuni rumah tersebut (di muka surat

103-108 RR1) penghakimannya:

[108] Keterangan OKT1 dan OKT 2 telah saya nilai, saya mendapati

keterangan mereka tidak logik dan tidak munasabah atas alasan

seperti berikut:

Page 27: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

27

[i] OKT1 dan OKT2 datang ke rumah tersebut untuk membawa

keluar peralatan eletrik. Persoalannya bagaimana mereka akan

membawa keluar peralatan seperti peti sejuk dan mesin basuh

kerana mereka datang dengan kereta masing-masing. Tiada

keterangan OKT 1 ada menyewa lori atau sebagainya untuk

membawa peralatan eletrik yang besar.

[ii] Seterusnya apa perlu OKT1 mengunci grill besi dan menutup

pintu kayu jika kedatangan mereka ke sana hanya untuk

keluarkan peralatan eletrik. Berdasarkan keterangan SP2 dan

SP6, bukan sahaja grill besi dikunci, pintu kayu juga dikunci

sehingga SP6 dan R/F Azizi Bin Bidin terpaksa menendang

pintu hingga terbuka.

[iii] OKT1 mengunci grill besi dan sebaik sahaja menutup pintu

kayu, OKT1 dan OKT2 terdengar bunyi tapak kaki di halaman

rumah. Dalam tempoh beberapa saat, tiba-tiba ada 5-6 orang

lelaki di halaman rumah. Semasa mengunci grill besi, OKT1

sudah pastilah menghadap ke halaman rumah, bagaimana pula

OKT1 langsung tidak melihat kelibat 5-6 orang lelaki tersebut.

[iv] Menurut OKT1 dan OKT2, mereka tidak mengenali 5-6

orang lelaki tersebut, jadi mengapa perlu mereka melarikan diri

hingga ke atas bumbung. Menurut OKT1, OKT1 lari kerana

tidak mahu ditangkap atas kesalahan melanggar Perintah

Sekatan. OKT1 tidak tahu pun 5-6 orang lelaki tersebut adalah

anggota polis, mengapa pula OKT1 berfikir OKT1 akan

ditangkap atas kesalahan melanggar Perintah Sekatan.

[v] Menurut OKT1, 5-6 orang lelaki itu juga bersenjatakan besi

dan pistol dan kelihatan bengis. Adalah tidak logik langsung,

tiba-tiba adanya orang yang tidak dikenali datang untuk

bergaduh dengan OKT1 dan OKT2.

Page 28: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

28

[vi] Dadah yang dijumpai dalam rumah tersebut dalam kuantiti

yang banyak. Harga pasaran semasa sudah tentulah tinggi.

Amatlah tidak logik jika kunci rumah diletakkan atas kotak fius

hitam kerana boleh mengundang pihak lain untuk memasuki

rumah tersebut dan mengambil dadah tersebut.

[vii] Keterangan SD5 telah dicabar oleh pihak pendakwaan

melalui proses impeachment. Saya mendapati keterangan SD5

di Mahkamah jelas bertentangan dengan kenyataan di dalam

percakapan beramarannya (D713). Dalam D713, SD5

menyatakan rumah tersebut disewa untuk kegunaan dirinya

sendiri. Di Mahkamah, lain pula ceritanya. Kononnya rumah

tersebut turut didiami anak perempuannya, rakan kongsinya

bernama Rozy dan teman wanitanya di samping rakan-

rakannya dari Acheh dan Thailand yang ada kalanya bermalam

di situ. Oleh kerana ada percanggahan yang material ini, saya

telah memutuskan untuk expunge keseluruhan keterangan

SD5. SD5 adalah abang kepada OKT1, sudah pastilah SD5

adalah saksi yang ada kepentingan yang mana keterangannya

bertujuan untuk menyelamatkan adiknya dan rakan adiknya.

Semasa OKT1 dan OKT2 ditangkap, SD5 dalam tahanan. SD5

tidak akan tahu apa yang berlaku kepada rumah tersebut selain

dari mendengar dari pihak lain.’

[86] Kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara ini.

Isu Kelima – ketinggalan fakta penting dan percanggahan

keterangan di antara saksi-saksi pendakwaan

[87] Walaupun isu ini disenaraikan, ianya tidak dihujahkan oleh

peguam kepada T1 di hadapan kami. Kami menganggap isu ini tidak

ingin diteruskan.

Page 29: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

29

Isu Keenam – close proximity

[88] Isu ini telah dihujahkan oleh peguam T2. Menurut beliau berada

berhampiran (close proximity) tidak memadai untuk membuktikan

kawalan, milikan dan pengetahuan. Isu ini gagal dipertimbangkan oleh

hakim bicara.

[89] Dengan hormat, kami berpendapat bahawa hujahan peguam

berkenaan tidak berasas kerana isu close proximity ini telah pun diulas

oleh hakim bicara dengan mendalam di perenggan 47 hingga 49 (di

muka surat 68-70 RR1) penghakimannya:

‘[47] Bagi pertuduhan pertama, ia melibatkan dadah yang dijumpai di

atas lantai ruang tamu di mana 8 bungkusan paket plastik besar

lutsinar yang mengandungi serbuk dan ketulan, 5 bungkusan plastik

lutsinar besar berisi 40 paket kecil plastik lutsinar mengandungi bahan

serbuk dan ketulan disyaki dadah dan juga 1 bungkusan plastik besar

lutsinar berisi 25 paket plastik kecil lutsinar berisi serbuk dan ketulan

disyaki dadah.

[48] Menurut SP2, 14 paket plastik lutsinar besar tersebut tidak

dibungkus, tidak terlindung atau disembunyikan. Oleh itu, tiada

sebarang halangan untuk OKT1 dan OKT2 untuk melihat kandungan

dalam 14 bungkusan plastik lutsinar tersebut.

[49] Tempat di mana 14 bungkusan plastik lutsinar besar tersebut

dijumpai adalah tempat yang sama SP2 melihat OKT1 dan OKT2

menonton televisyen. Berdasarkan kedudukan ini, adanya elemen

close proximity. Saya setuju dengan hujahan peguam bela OKT1 dan

OKT2 bahawa close proximity tidak bermakna ada pengetahuan.

Walau bagaimanapun, oleh sebab tiada apa yang menghalang

pandangan OKT1 dan OKT2 terhadap 14 bungkusan plastik lutsinar

besar tersebut dan isi kandungannya, saya berpendapat OKT1 dan

Page 30: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

30

OKT2 ada close proximity dengan dadah yang terkandung dalam 14

bungkusan plastik lutsinar tersebut. Oleh yang demikian, saya

berpendapat OKT1 dan OKT2 ada jagaan dan kawalan dan

seterusnya ada pengetahuan mengenai dadah tersebut.”

[90] Mengenai kehadiran 202 ketulan mampat cannabis seberat

195,284 gram di dalam bilik di tingkat bawah rumah tersebut, hakim

bicara mengulas di perenggan 52 hingga 54 (di muka surat 74-75 RR1)

penghakimannya:

‘[52] Bagi pertuduhan kedua pula, ia melibatkan 202 ketulan mampat

daun kering disyaki dadah ganja. 202 ketulan mampat ini dijumpai di

bilik tingkat bawah rumah tersebut. Ketulan mampat ini diletakkan

dalam pelbagi bekas dan ada 97 ketulan mampat diletakkan di atas

lantai begitu sahaja.

[53] Menurut SP2, pintu bilik tingkat bawah tidak berkunci. Sebaik

sahaja pintu dibuka, SP2 dapat menghidu bau ganja begitu juga SP6.

[54] Berdasarkan bau ganja yang kuat, adalah tidak munasabah untuk

OKT1 dan OKT2 tidak mengetahui mengenai kewujudan ketulan

mampat yang begitu banyak di bilik tersebut. OKT1 dan OKT2 berada

di rumah tersebut dalam keadaan santai dan grill besar dan pintu kayu

dikunci. Dalam keadaan ini, tiada halangan untuk OKT1 dan OKT2

mencari di mana punca bau ini. Mereka boleh sahaja pergi ke bilik

tingkat bawah memandangkan pintu bilik tingkat bawah tidak berkunci.’

[91] Dalam isu close proximity ini, hakim bicara dengan betul telah

merujuk kepada kes PP v. Foo Jua Eng [1966] 1 MLJ 197 dan keputusan

Mahkamah Persekutuan di dalam kes Khairudin B. Hassan v. PP [2010] 7

CLJ 129.

[92] Kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara dalam isu ini.

Page 31: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

31

[93] Isu close proximity yang menjurus kepada kawalan, milikan dan

pengetahuan ini diperkuatkan lagi dengan tindakan kedua-dua perayu

melarikan diri ke atas bumbung rumah dan membaling genting bumbung

ke arah SP2 dalam usaha mereka untuk melarikan diri dan hanya

berhenti apabila satu das tembakan dilepaskan.

Kesimpulan

[94] Berdasarkan alasan di atas, kami sebulat suara berpendapat

rayuan oleh kedua-dua perayu ini tidak mempunyai merit. Rayuan

perayu-perayu ditolak. Sabitan dan hukuman oleh hakim bicara

dikekalkan.

t.t

ZAKARIA SAM

Hakim

Mahkamah Rayuan Malaysia

Tarikh 22 Mei 2015

Page 32: RJ P05-303-12-2012 P05-304-12-2012 - Zulkefle bin Ismail v ... · [6] Di akhir kes pembelaan, T1 dan T2 telah didapati bersalah di atas kesemua pertuduhan dan disabitkan. [7] Bagi

32

MEWAKILI PERAYU PERTAMA/T1:

S. Rethinakumar

(Tetuan Rethinakumar & Assoc.)

MEWAKILI PERAYU KEDUA/T2:

G. Ravi Shankar

(Tetuan R. Shankar Gandhi & Assoc)

MEWAKILI RESPONDEN:

TPR Yusaini Amir bin Yaacob

Jabatan Peguam Negara