ravi.pdf
TRANSCRIPT
PROGRAM KAJIAN TINDAKAN NEGERI PERAK PERINGKAT SEKOLAH
2007
Meningkatkan Kehadiran Kokurikulum Pelajar Melalui ’Program Magnet’
Oleh
En. Ravichanthiran a/l Retnam
Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting 34600 Kamunting
Jun 2007
Kelolaan
UNIT KURIKULUM JABATAN PELAJARAN PERAK
Isi Kandungan
Penghargaan i
Sinopsis ii
1.0 Pendahuluan 1
2.0 Refleksi Kehadiran Pelajar Untuk Aktiviti Kokurikulum 6
3.0 Fokus Kajian 7
4.0 Metodologi 5
4.1 Reka Bentuk Kajian 5
4.2 Lokasi Kajian 5
4.3 Populasi Dan Sampel Kajian 6
4.4 Instrumen Kajian 6
4.4.1 Bahagian A – Maklumat Demografi 7
4.4.2 Bahagian B – Kepentingan Kokurikulum, Sebab-sebab Ketidakhadiran Dan Cadangan Aktiviti 8 4.5 Kaedah Penganalisaan Data 8
5.0 Dapatan Kajian 9
5.1 Latar Belakang Responden 9
5.2 Kepentingan Dan Sebab Ketidakhadiran Kegiatan Kokurikulum 11
5.3 Cadangan Aktiviti Untuk Meningkatkan Kehadiran Pelajar 16
5.4 Pelaksanaan Aktiviti Kuiz 18
5.5 Refleksi Kajian 21
6.0 Rumusan 22
7.0 Cadangan Untuk Kajian Seterusnya 24
Lampiran – Soal Selidik 25
Rujukan 26
Penghargaan
Bersyukur kepada Tuhan Yesus Yang Maha Berkuasa di atas limpah
kurniaNYA saya dapat menyiapkan kajian tindakan ini dengan jayanya. Terlebih dahulu
saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para fasilitator yang
mengendalikan kajian tindakan di Pusat Kegiatan Guru Bukit Jana, Kamunting, di atas
bimbingan dan motivasi dari masa ke semasa untuk menyiapkan kajian ini.
Setinggi-tinggi penghargaan juga dirakamkan kepada guru-guru penasihat
Persatuan Sejarah & Geografi iaitu, Pn. Lokesvari a/p Krishnan dan Pn. Norizah Bt.
Jaafar serta Penolong Setiausaha Kokurikulum SMK Kamunting iaitu, Pn. Kamsiah Bt
Mohamed di atas kerjasama yang cukup baik dalam merealisasikan kajian ini.
Tidak dilupakan En. Shafie Bin Othman, Pengetua Kanan, Sekolah
Menengah Kebangsaan Kamunting dan Pn. Salbiah Bt. Bakar, Penolong Kanan
Kokurikulum di atas segala kerjasama menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk
kajian ini.
Akhir sekali ribuan terima kasih kepada para pelajar yang telah menjadi
responden kajian ini. Tanpa kerjasama mereka, kajian ini tidak mampu disiapkan dalam
tempoh masa yang ditetapkan. Semoga Tuhan memberkati semua pihak yang terlibat
secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan kajian ini.
Abstrak
Kajian ini bertujuan mengkaji sebab-sebab ketidakhadiran pelajar untuk aktiviti kegiatan
kokurikulum dan merangka satu program yang mampu menarik minat pelajar (Program
Magnet) untuk menghadiri aktiviti kokurikulum. Objektif kajian ini adalah untuk
meningkatkan kehadiran pelajar untuk aktiviti kokurikulum. Melalui kaedah persampelan
kelompok, Persatuan Sejarah & Geografi terpilih untuk dikaji. Soal selidik dan kaedah
perpustakaan telah digunakan untuk mendapatkan maklumat dan data yang diperlukan
untuk kajian. Semua data telah diproses dan dianalisis menggunakan frekuensi, peratus
dan min. Kajian menunjukkan responden berminat dan menganggap kegiatan kokurikulum
penting untuk mereka. Faktor kerja rumah yang banyak, membantu keluarga, masalah
pengangkutan dan kegiatan persatuan yang membosankan merupakan punca utama pelajar
tidak menghadiri kegiatan kokurikulum. Program Magnet yang dirangka berdasarkan
cadangan pelajar merangkumi empat aktiviti utama yang mencabar minda dan fizikal
pelajar iaitu, aktiviti permainan dalam bilik darjah (kuiz dan teka silangkata), permainan di
luar bilik darjah (explorasi), lawatan sambil belajar dan tayangan dokumentari. Hasil
kajian menunjukkan Program Magnet mendapat sambutan yang menggalakkan dan
berjaya meningkatkan kehadiran pelajar untuk kegiatan Persatuan Sejarah & Geografi.
1.0 PENDAHULUAN
Aktiviti kokurikulum adalah pemangkin kepada perpaduan dan pelengkap
kepada pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Hasrat Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) adalah untuk memastikan pelaksanaannya dibuat secara cekap bagi
mendapat penyertaan menyeluruh agar dapat melahirkan pelajar yang seimbang
perkembangan jasmani, emosi, rohani dan inteleknya. Laporan Jawatankuasa Kabinet
1979 memperakukan kepentingan kegiatan kokurikulum pada semua peringkat
persekolahan. Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya
satu kelab atau persatuan mata pelajaran/gabungan, pasukan beruniform dan aktiviti
permainan/sukan.
Memorandum Langkah Untuk Memantapkan Program Kurikulum pada
tahun 2005 memutuskan penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum menyumbang
sebanyak 10 peratus kepada syarat kelayakan masuk ke Institusi Pengajian Tinggi Awam
(IPTA), Sekolah Bantuan Penuh (SBP) dan Sekolah Menengah Teknik (SMT).
Memorandum ini juga turut mencadangkan penerusan wajaran 10 peratus merit kurikulum
bagi pemilihan guru pelatih untuk Kursus Perguruan Lepasan Ijazah, PPC, PISMP serta
untuk memasuki Kolej Matrikulasi.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 menggariskan
penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti kokurikulum dan sukan membantu menyediakan
pendidikan holistik daripada segi :
a. meningkatkan perkembangan kemahiran sosial pelajar dan seterusnya
mengukuhkan interaksi dan integrasi di kalangan mereka;
b. melengkapkan pelajar dengan sifat-sifat kecemerlangan diri seperti
kepimpinan, daya saing, jati diri, kreatif, kritis, berkeyakinan tinggi dan
daya tahan;
c. meningkatkan tahap disiplin pelajar melalui penyemaian dan pemupukan
nilai-nilai murni dan sikap positif selaras dengan hasrat Rukun Negara;
d. mengukuh dan meningkatkan pengetahuan, kemahiran, minat dan bakat
pelajar dalam pelbagai bidang;
e. mencungkil bakat dan potensi pelajar;
f. meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental pelajar; dan
g. menyediakan dan mendedahkan pelajar untuk Program Latihan Khidmat
Negara (PLKN) secara lebih aktif dan berkesan.
Walaupun program kokurikulum diwajibkan, masih terdapat sekolah yang
tidak memberi keutamaan dan perhatian serius kepada program tersebut. Ini bermakna
nilai-nilai murni, kepimpinan, disiplin dan perpaduan tidak dapat diterapkan secara
berkesan. Di samping itu, sikap ibu bapa dan masyarakat yang lebih mementingkan
pencapaian akademik mengakibatkan aktiviti kokurikulum di sekolah tidak berjalan lancar
(PPIP, KPM 2006). Menurut Mohd Anuar Hamid, Ketua Unit Kokurikulum Bahagian
Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysai, ada juga segelintir ibubapa tidak membenarkan
anak mereka menyertai kegiatan kokurikulum kerana lebih mementingkan program sendiri
seperti mengikuti kelas tuisyen atau muzik (Berita Harian, 25 April 2007). Justeru itu,
kehadiran pelajar untuk kegiatan kokurikulum yang dijalankan luar waktu sekolah merosot
dengan pelbagai alasan. Jadi kajian tindakan ini dijalankan untuk mengetahui punca-punca
ketidakhadiran pelajar untuk aktiviiti kokurikulum dan cuba menarik kembali minat
pelajar untuk hadir dan mengambil bahagian yang aktif dalam kegiatan kokurikulum
melalui ’Program Magnet’. ’Program Magnet’ adalah gabungan beberapa aktiviti yang
berupaya menarik minat pelajar untuk menghadiri kegiatan kokurikulum. Aktiviti-aktiviti
’Program Magnet’ dalam kajian ini akan ditentukan melalui maklumbalas pelajar dalam
soal selidik yang diedarkan.
2.0 Refleksi Kehadiran Pelajar Untuk Aktiviti Kokurikulum
Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting (SMKK) merupakan sekolah
gred A, kategori luar bandar dan mengamalkan dua sesi persekolahan. Oleh yang
demikian ruang untuk aktiviti kokurikulum pada hari persekolahan adalah amat terhad.
Justeru itu, sebahagian besar aktiviti kokurikulum terpaksa dilaksanakan pada hari Sabtu.
Jadual 2.1 Menunjukkan Purata Kehadiran Kokurikulum Pelajar SMKK
Mengikut Unit Kokurikulum Tahun 2006
Unit Kokurikulum 2006
Sukan / Permainan
47.6 %
Kelab / Persatuan
40.4%
Unit Uniform
71.4%
Mengikut statistik kokurikulum SMKK dalam Jadual 2.1, kehadiran pelajar
untuk aktiviti kokurikulum kurang memuaskan terutamanya untuk aktiviti sukan /
permainan ( 47.6% ) dan kelab / persatuan ( 40.4 %). Walaupun aktiviti sukan / permainan
dijalankan pada hari persekolahan iaitu pelajar petang melaksanakan aktiviti dari pukul
8.00 – 9.30 pagi dan pelajar pagi dari pukul 4.00 – 5.30 petang, kehadiran masih kurang
memuaskan. Cuma pelajar-pelajar yang menyertai pasukan sekolah sahaja hadir untuk
latihan permainan berkenaan.
Begitu juga dengan kehadiran untuk kelab/persatuan yang kurang
memuaskan secara keseluruhannya. Kadang-kadang cuma guru penasihat dan ahli
jawatankuasa sahaja yang hadir. Ini menyebabkan aktiviti yang dirancang tidak dapat
dilaksanakan. Dalam keadaan ini bukan sahaja guru penasihat tertekan tetapi ahli-ahli
yang hadir kecewa dan hampa kerana tidak dapat menjalankan aktiviti persatuan. Lama-
kelamaan situasi begini boleh melumpuhkan perjalanan aktiviti kokurikulum di sekolah.
Justeru itu, perlu satu kajian yang sistematik untuk mengenal pasti sebab-sebab
ketidakhadiran pelajar untuk aktiviti kokurikulum dan merangka satu program berdasarkan
maklumbalas dari soal selidik untuk menarik minat pelajar supaya hadir dan mengambil
bahagian yang aktif dalam aktiviti kokurikulum.
3.0 Fokus Kajian
Kajian ini akan memberi fokus kepada isu ketidakhadiran pelajar dari
persatuan yang bakal dipilih oleh pengkaji. Pengkaji akan mengenal pasti faktor-faktor
yang menyebabkan ketidakhadiran pelajar untuk aktiviti persatuan berkenaan dan
merangka satu program (Program Magnet) yang mengandungi beberapa aktiviti menarik
yang dicadangkan oleh pelajar-pelajar dengan ganjaran untuk menarik minat pelajar
menghadiri perjumpaan persatuan. Pengkaji akan membuat perbandingan kehadiran ahli
persatuan semasa dan selepas Program Magnet.
4.0 Objektif Kajian
4.1 Objektif Am
Meningkatkan kehadiran pelajar untuk aktiviti kokurikulum.
4.2 Objektif Khusus
Meningkatkan kehadiran pelajar untuk aktiviti Persatuan Sejarah &
Geografi melalui ’Program Magnet’.
5.0 Metodologi Kajian
Bahagian ini akan menerangkan bagaimana kajian ini dilaksanakan dari
segi kaedah pengumpulan data, menganalisa dan memproses data.
5.1 Reka Bentuk Kajian
Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan membuat tinjauan
untuk menyelidik dan mengenal pasti sebab-sebab ketidakhadiran pelajar untuk kegiatan
kokurikulum persatuan yang terpilih dan seterusnya merangka satu program berdasarkan
cadangan aktiviti dari para pelajar yang tidak hadir aktiviti persatuan. Kajian perpustakaan
dan soal selidik akan digunakan untuk mendapatkan data-data yang diperlukan.
5.2 Lokasi Kajian
Pengkaji memilih Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting (SMKK)
sebagai lokasi kajian memandangkan pengkaji bertugas di sekolah berkenaan. SMKK
terletak di pekan perindustrian Kamunting dalam Daerah Larut Matang dan Selama. Ia
merupakan sekolah gred A, kategori luar bandar dan mengamalkan dua sesi persekolahan.
Jumlah pelajar di sekolah ini adalah seramai 1583 orang. Majoriti pelajar terdiri daripada
kaum Melayu 1304 orang (82.4%) dan diikuti dengan pelajar India 217 orang (13.7%) dan
Cina 62 orang (3.9%).
5.3 Populasi dan Sampel Kajian
Populasi dalam kajian ini merupakan pelajar-pelajar dari SMKK yang
tidak hadir perjumpaan kokurikulum. Sampel dipilih berdasarkan persampelan kelompok
(cluster). Persampelan kelompok adalah memilih populasi secara rawak dalam bentuk
kumpulan dan bukannya secara inidividu. (Gay & Airasian, 2003). Ini bermakna pelajar-
pelajar yang menjadi ahli dan tidak menghadiri perjumpaan persatuan yang terpilih di
SMKK akan terpilih secara automatik menjadi sampel kajian.
Berdasarkan persampelan kelompok semua persatuan di SMKK
mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai sampel kajian. Pengkaji telah
mengelompokkan semua persatuan dan memilih secara rawak sampel dari kelompok
berkenaan. Persatuan Sejarah & Geografi terpilih sebagai sampel kajian. Ini bermaksud
ahli-ahli Persatuan Sejarah & Geografi yang tidak hadir perjumpaan persatuan secara
automatik terpilih sebagai sampel kajian.
5.4 Instrumen Kajian
Instrumen kajian tertumpu kepada soal selidik untuk mendapatkan
maklumat dan data bagi kajian. Soal selidik merupakan tulang belakang bagi sesuatu
kajian lapangan (Babbie, 1995). Dengan menggunakan teknik soal selidik, maklumat dan
data yang lebih tepat dan boleh dipercayai dapat dikumpul sebab arahan dan soalan yang
diberi dalam soal selidik adalah piawai dan serupa terhadap semua subjek yang dikaji
(Majid, 1998). Ini mempercepat kerja-kerja pengumpulan dan pemprosesan data.
Soal selidik ini mengandungi dua bahagian (16 item) iaitu, demografi,
kepentingan kokurikulum , sebab-sebab ketidakhadiran kegiatan kokurikulum dan
cadangan aktiviti kokurikulum yang menarik . Soal selidik ini menggunakan empat Skala
Likert seperti dalam jadual di bawah.
Jadual 5.1 Skala Likert
Pilihan Kenyataan
Skor
Sangat Setuju
4
Setuju
3
Tidak Setuju
2
Sangat Tidak Setuju
1
Taburan soalan dalam soal selidik adalah seperti berikut:
5.4.1 Bahagian A – Maklumat Demografi
Bahagian ini berkaitan dengan maklumat demografi responden yang
merangkumi aspek jantina, kaum dan tingkatan.
5.4.2 Bahagian B – Kepentingan Kokurikulum, Sebab-sebab Ketidakhadiran
Dan Cadangan Aktiviti.
Bahagian B mengandungi item-item yang menguji pandangan pelajar
terhadap kepentingan kegiatan kokurikulum, penilaian pelajar terhadap aktiviti persatuan,
minat pelajar terhadap kegiatan kokurikulum, sebab-sebab ketidakhadiran untuk aktiviti
persatuan dan cadangan aktiviti untuk menarik minat pelajar untuk menghadiri kegiatan
persatuan.
5.5 Kaedah Penganalisaan Data
Sebanyak 50 borang soal selidik diedarkan kepada responden, dan
semuanya telah dikembalikan. Pengukuran dilakukan dengan mencampurkan maklum
balas responden di dalam soal selidik bagi setiap item. Setiap maklum balas bagi setiap
soalan diberikan nilai dari 1 hingga 4 di atas skala Likert. Nilai pemarkahan adalah seperti
berikut:
Jadual 5.2 Pemarkahan Skala Likert
Pilihan Kenyataan
Markah
Sangat Setuju
4
Setuju
3
Tidak Setuju
2
Sangat Tidak Setuju
1
Bagi menentukan aras persetujuan dalam penganalisisan data, pengkaji
menggunakan skala penentuan skor seperti berikut:
Jadual 5.3 Skala Penentuan Skor Aras Persetujuan
Aras Persetujuan
Skor Min
Sangat Tidak Setuju
1.00 – 1.75
Tidak Setuju
1.76 – 2.50
Setuju
2.51 – 3.25
Sangat Setuju
3.26 – 4.00
6.0 Dapatan Kajian
6.1 Latar Belakang Responden
Jadual 6.1 Menunjukkan Bilangan Responden Mengikut Kaum dan Jantina.
Jantina
Kaum
Lelaki Peratus Perempuan Peratus Bilangan
Peratus
Melayu
21
42
13
26
34
68
Cina
2
4
6
12
8
16
India
3
6
5
10
8
16
Jumlah
26
52
24
48
50
100
Jadual 6.1 menunjukkan taburan pelajar yang telah mengambil bahagian
dalam kajian ini. Dari segi kaum, pelajar Melayu merupakan bilangan yang paling ramai
iaitu sebanyak 68 % dan diikuti oleh kaum Cina dan India masing-masing sebanyak 16 %.
Dari sudut jantina pula, 52 % adalah lelaki iaitu Melayu 42 %, Cina 4 % dan India 6%
manakala responden perempuan pula adalah 48 % iaitu Melayu 26 %, Cina 12 % dan
India 10 %. Kesemua responden adalah dari Persatuan Sejarah dan Geografi yang tidak
hadir kegiatan kokurikulum.
6.2 Kepentingan dan Sebab Ketidakhadiran Kegiatan Kokurikulum
Jadual 6.2 Menunjukkan Min Untuk Kepentingan Dan Sebab-sebab
Ketidakhadiran Pelajar Untuk Kegiatan Kokurikulum.
Soalan
Perkara STS
1
TS
2
S
3
SS
4 Min
4 Kegiatan kokurikulum penting.
3 1 38 8 3.02
5 Aktiviti Persatuan amat menarik.
3 41 5 1 2.08
6 Minat aktiviti kokurikulum.
1 12 25 12 2.96
7
Tidak hadir kegiatan kokurikulum kerana :
a. tuisyen.
11 18 14 7 2.34
b. membuat kerja sambilan.
11 18 14 7 2.34
c. membantu keluarga.
3 16 19 12 2.80
d. masalah pengangkutan.
6 13 19 12 2.74
e. berada di Cybercafe.
24 17 7 2 1.74
f. tidak banyak dipelajari.
7 18 19 6 2.48
g. kegiatan kelab membosankan.
6 19 16 9 2.56
h. kokurikulum membebankan.
9 20 13 8 2.40
i. banyak kerja rumah.
2 8 25 15 3.06
Dalam Jadual 6.2, STS bermaksud Sangat Tidak Setuju, TS bermaksud
Tidak Setuju, S bermaksud Setuju dan SS bermaksud Sangat Setuju.
Dapatan kajian berdasarkan Jadual 5.2, menunjukkan pelajar yang tidak
menghadiri kegiatan kokurikulum berpendapat kegiatan kokurikulum memang penting
(Min = 3.02) walaupun mereka tidak pernah menghadiri kegiatan persatuan. Kajian
menunjukkan pelajar berpendapat aktiviti persatuan Sejarah & Geografi tidak menarik. Ini
mungkin merupakan salah satu punca ketidakhadiran pelajar yang ramai untuk aktiviti
persatuan. Kehadiran memang banyak dipengaruhi oleh jenis aktiviti yang dianjurkan oleh
persatuan. Sekiranya aktiviti yang dirancang tidak berupaya menarik minat pelajar maka
pelajar akan hilang minat atau motivasi untuk menghadiri aktiviti kokurikulum. Walau
bagaimanapun, kajian menunjukkan pelajar secara keseluruhannya berminat terhadap
aktiviti kokurikulum (Min = 2.96).
Berhubung dengan sebab-sebab ketidakhadiran pelajar untuk aktiviti
kokurikulum, kajian menunjukkan tuisyen bukanlah satu sebab utama bagi mereka untuk
tidak hadir aktiviti kokurikulum (Min = 2.34), walaupun sebahagian pelajar memberi
alasan tuisyen sebagai sebab ketidakhadiran untuk kegiatan kokurikulum. Memang tidak
dinafikan tuisyen sebagai input tambahan yang penting untuk mengorak langkah kejayaan
dalam bidang kurikulum tetapi ini tidak bermakna kegiatan kokurikulum tidak penting
memandangkan Kementerian Pelajaran Malaysia memutuskan penglibatan pelajar dalam
aktiviti kokurikulum diambilkira sebanyak 10 peratus sebagai syarat kelayakan masuk ke
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Sekolah Bantuan Penuh (SBP) dan Sekolah
Menengah Teknik (SMT). Justeru itu, pelajar harus belajar mengagihkan masa dengan
bijak untuk kurikulum dan kokurikulum supaya ianya seimbang.
Faktor kerja sambilan juga didapati tidak mempengaruhi ketidakhadiran
pelajar untuk aktiviti kokurikulum (Min = 2.34) walaupun ada sebahagian kecil pelajar
membuat kerja sambilan untuk menyara keluarga dan diri sendiri. Membantu keluarga
didapati salah satu sebab utama pelajar tidak menghadir kegiatan kokurikulum (Min =
2.80). Memandangkan tiada pengajaran dan pembelajaran kurikulum pada hari Sabtu,
sebahagian besar ibu bapa meminta anak mereka membantu di rumah samada untuk
menjaga anak lain yang masih kecil atau membantu perniagaan keluarga seperti menjual
kuih-muih atau nasi lemak untuk menyara hidup. Keadaan ini sukar diubah kerana faktor
sosio-ekonomi yang rendah di kawasan ini, di mana sebahagian besar penduduk bekerja
makan gaji dan di kilang-kilang. Pendapatan yang rendah ini memaksa pelajar
berkenaan membantu keluarga untuk meringankan beban mereka. Kerajaan harus
melakukan sesuatu untuk mengubah nasib mereka. Sekiranya masalah ini berterusan maka
pelajar-pelajar akan menjadi mangsa keciciran pelajaran akibat kesukaran hidup.
Masalah pengangkutan merupakan satu lagi sebab ketidakhadiran pelajar
untuk aktiviti kokurikulum (Min = 2.74). Walaupun ramai pelajar datang ke sekolah
dengan basikal tetapi kajian menunjukkan responden menghadapi kesukaran dari segi
pengangkutan untuk datang ke kegiatan kokurikulum. Pelajar-pelajar ini dikenalpasti
bergantung kepada ibu bapa dan bas sekolah untuk datang ke sekolah. Justeru itu, mereka
menghadapi masalah pengangkutan akibat tiada bas sekolah mengangkut pelajar pada hari
Sabtu. Menurut responden yang bergantung pada ibu bapa untuk pengangkutan, ibu bapa
tidak dapat hantar mereka kerana sibuk dengan urusan harian. Mungkin pihak sekolah
boleh mempertimbangkan dari segi masa dan hari perjumpaan supaya aktiviti
kokurikulum dilaksanakan pada hari persekolahan. Ini mungkin dapat mengatasi masalah
pengangkutan yang dihadapi oleh para pelajar.
Cybercafe merupakan tempat para remaja menghabiskan masa lapang
untuk keseronokan. Hasil kajian menunjukkan responden tidak menghabiskan masa
mereka di Cybercafe semasa kegiatan kokurikulum walaupun tidak hadir kegiatan
kokurikulum (Min = 1.74). Lanjutan itu, boleh dirumuskan bahawa Cybercafe bukanlah
satu faktor yang mempengaruhi ketidakhadiran pelajar untuk kegiatan kokurikulum.
Kegiatan kokurikulum adalah pelengkap kepada aktiviti kurikulum. Ini
bermakna proses pengajaran dan pembelajaran tidak terhenti di bilik darjah, bahkan
dimantapkan melalui aktiviti kokurikulum samada di dalam bilik darjah atau di luar bilik
darjah. Kajian menunjukkan pelajar tidak setuju dengan kenyataan bahawa tidak banyak
dipelajari dari kegiatan kokurikulum (Min = 2.34). Ini bererti majoriti pelajar mempelajari
sesuatu apabila menghadiri kegiatan kokurikulum dan terus menolak faktor ini sebagai
satu penyebab ketidakhadiran pelajar untuk kegiatan kokurikulum.
Aktiviti yang sesuai dan menarik adalah daya penarik kepada pelajar untuk
menghadiri kegiatan kokurikulum. Mengikut responden kajian, aktiviti Persatuan Sejarah
& Geografi agak membosankan (Min = 2.56). Lantaran itu, ia telah mendorong kepada
ketidakhadiran sebahagian pelajar untuk aktiviti persatuan. Hasil perbincangan dengan
guru-guru penasihat Persatuan Sejarah & Geografi, beberapa aktiviti telah dirancang untuk
menarik minat pelajar yang tidak menghadiri aktiviti persatuan. Guru-guru penasihat telah
memberi kerjasama yang baik kepada pengkaji untuk merangka beberapa aktiviti yang
berupaya menarik minat pelajar melalui ’Program Magnet’. Jelas bahawa aktiviti
persatuan yang menarik merupakan nadi kepada penentu kehadiran pelajar untuk kegiatan
kokurikulum. Faktor ini harus diberi keutamaan oleh semua unit kokurikulum dalam
merangka aktiviti mingguan supaya pelajar mahu menghadiri kegiatan kokurikulum,
bukan merancang aktiviti ala kadar sahaja bagaikan ’lepas batuk di atas tangga’ iaitu
merancang aktiviti untuk memenuhi keperluan rancangan tahunan sahaja.
Persoalan berhubung dengan kegiatan kokurikulum membebankan pelajar
didapati tidak benar (Min = 2.40). Majoriti pelajar tidak menganggap kegiatan
kokurikulum sebagai membebankan mereka walaupun ia dilaksanakan di luar waktu
persekolahan. Walau bagaimanapun, sebilangan kecil pelajar mendapati kegiatan
kokurikulum agak membebankan kerana dilaksanakan di luar waktu persekolahan. Pelajar
lebih gemar pada aktiviti yang berbentuk permainan di mana mereka tidak perlu membuat
sebarang kerja rumah. Aktiviti berbentuk buku skrap atau menghasilkan model dan
sebagainya dianggap membebankan kerana pelajar terpaksa melaksanakan tugasan
berkenaan di rumah. Jadi guru-guru penasihat harus bijak merancang aktiviti kokurikulum
yang tidak membebankan pelajar atau melibatkan masa pelajar yang banyak.
Hasil kajian menunjukkan kerja rumah yang banyak merupakan punca
utama ketidakhadiran pelajar untuk aktiviti kokurikulum(Min = 3.06). Walaupun dapatan
ini agak mengejutkan tetapi ia adalah realiti yang harus direnung demi kebaikan pelajar.
Kerja rumah yang terlalu banyak dalam usaha memperkasa dan mempertingkatkan
keupayaan pelajar dalam bidang kurikulum telah menjadi satu beban yang menyebabkan
pelajar tidak berupaya menangani atau menguruskannya dengan efisien. Senario yang
berterusan ini boleh menyebabkan pelajar tertekan dan hilang minat terhadap pelajaran,
yang akhirnya akan menyebabkan pelajar terjebak dalam gejala sosial yang negatif.
Misalnya, merokok, menagih dadah, melepak di karaoke, ponteng sekolah dan sebagainya
jalan keluar atau untuk melepaskan diri dari tekanan. Pihak sekolah harus merancang
bilangan kerja rumah bagi setiap subjek supaya tidak membebankan pelajar hingga tidak
menghadiri kegiatan kokurikulum atau seumpamanya semata-mata kerana mahu
menyiapkan kerja rumah.
6.3 Cadangan Aktiviti Untuk Meningkatkan Kehadiran Pelajar.
Jadual 6.3 Menunjukkan Cadangan Aktiviti Oleh Pelajar Untuk Meningkatkan
Kehadiran Pelajar Untuk Aktiviti Kokurikulum.
Aktiviti
Bilangan
Peratus
Permainan
18
36
Lawatan
17
34
Kuiz
8
16
Tayangan Dokumentari
7
14
Jumlah
50
100
Jadual 6.3 menunjukkan cadangan aktiviti yang diminati oleh para pelajar
yang tidak hadir aktiviti Persatuan Sejarah & Geografi. Aktiviti berbentuk permainan (36
%) merupakan pilihan utama para pelajar sebagai aktiviti yang paling menarik , diikuti
dengan aktiviti lawatan (34 %), kuiz (16 %) dan tayangan dokumentari (14 %).
Berdasarkan pilihan pelajar ini, pengkaji bersama guru-guru penasihat Persatuan Sejarah
& Geografi telah merangka beberapa aktiviti yang menarik di bawah ’Program Magnet’.
Antara aktiviti yang dirangka ialah kuiz, ’explorace’, lawatan ke Eko-Pendidikan Paya
Bakau Matang & Makam Ngah Ibrahim dan tayangan dokumentari. Malangnya tidak
semua aktiviti yang dirancang dapat dijalankan kerana banyak hari Sabtu yang sepatutnya
digunakan untuk aktiviti persatuan telah digunakan untuk Merentas Desa, Hari Sukan
Tahunan, Perkembangan Staf, Hari Profesionalisme, Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan
Guru (PIBG) dan sebagainya. Mengikut pekeliling Kementerian Pelajaran Malaysia, pihak
sekolah hanya boleh menggunakan mana-mana dua Sabtu dalam sebulan untuk aktiviti
sekolah. Ini telah menyebabkan perjumpaan kokurikulum tertangguh beberapa kali untuk
memberi laluan kepada aktiviti lain yang dirancang oleh pentadbiran sekolah. Sehingga
awal bulan Jun, perjumpaan kokurikulum hanya dilaksanakan sebanyak tiga kali sahaja
termasuk Mesyuarat Agung. Jadi pengkaji hanya dapat melaksanakan satu aktiviti sahaja
dari ’Program Magnet’ iaitu kuiz.
6.4 Pelaksanaan Aktiviti Kuiz
Jadual 6.4 Menunjukkan Fasa Pelaksanaan Aktiviti Kuiz.
Fasa Pelaksanaan
Aktiviti
Tempoh Masa
1
Taklimat , pengumuman dan mengambil kehadiran.
15 minit
2
Penerangan pelaksanaan kuiz.
5 minit
3
Guru Penasihat mengedar kertas soalan kuiz.
5 minit
4
Pelajar menjawab soalan kuiz.
20 minit
5
Kertas jawapan dikutip dan diedarkan semula kepada pelajar yang berlainan.
10 minit
6
Perbincangan soalan dan jawapan. Pelajar menyemak kertas jawapan dan dipungut semula oleh Guru Penasihat.
20 minit
7
Pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah.
10 minit
8
Upacara penutup dan pengumuman aktiviti akan datang.
5 minit
Aktiviti kuiz dipilih sebagai aktiviti pertama sebab ia tidak memerlukan
persediaan yang banyak dan tidak membebankan pelajar kerana ia hanya melibatkan
pengetahuan am bagi mata pelajaran sejarah dan geografi. Guru-guru penasihat Persatuan
Sejarah & Geografi bersama seorang guru pelatih dari Universiti Pendidikan Sultan Idris
(UPSI) telah menyediakan satu set soalan dengan aras kesukaran yang sederhana
mencakupi bidang sejarah dan geografi. Jadual 5.4 menunjukkan fasa pelaksanaan aktiviti
kuiz di bawah ’Program Magnet’. Tepat pada jam 10.00 pagi pada 10 Februari 2007, ahli-
ahli Persatuan Sejarah & Geografi telah berkumpul di Bilik Sejarah & Geografi. Ketua
guru penasihat Pn.Lokesvari mengalu-alukan kehadiran ahli yang agak
memberangsangkan. Guru memperingatkan pelajar kepentingan menghadiri aktiviti
kokurikulum selain daripada memenuhi keperluan kemasukan IPTA. Ahli juga diingatkan
supaya membayar yuran persatuan agar aktiviti-aktiviti yang lebih menarik dengan
ganjaran yang setimpal dapat dilaksanakan. Setiausaha mengambil kehadiran ahli yang
hadir.
Tepat jam 10.15 pagi guru memberi penerangan bagaimana aktiviti kuiz
akan dilaksanakan. Untuk membolehkan semua pelajar mengambil bahagian dalam kuiz,
guru penasihat telah mencetak banyak kertas soalan kuiz dan pemenang akan ditentukan
berdasarkan markah tertinggi. Hadiah disediakan untuk semua kategori iaitu dari tingkatan
satu hingga tingkatan lima. Hadiah berbentuk makanan ringan. Hadiah bukan sahaja
disediakan untuk para pemenang yang menjadi johan, naib johan dan ketiga bagi setiap
kategori bahkan untuk semua ahli yang hadir, cuma saiz dan kuantiti berbeza.
Sebelum kertas soalan kuiz diedarkan, hadiah dipamerkan di atas meja.
Para ahli tidak tahu bahawa semua ahli akan menerima ganjaran, mereka cuma
dimaklumkan hadiah akan diberi kepada tiga peserta dari setiap kategori untuk mendorong
pelajar mengambil bahagian secara bersungguh-sungguh. Kertas soalan diedarkan oleh
guru-guru penasihat kepada para ahli yang hadir. Masa sebanyak 20 minit diberikan untuk
menjawab soalan-soalan kuiz. Semua ahli dengan tekun dan gigih menjawab kertas soalan
kuiz. Cukup 20 minit guru penasihat mengarahkan ahli-ahli berhenti menjawab. Guru
penasihat meminta semua ahli menyemak kertas jawapan kuiz agar nama dan tingkatan
ditulis. Selepas itu, guru penasihat mengutip semua kertas jawapan dan diagihkan semula
kepada ahli-ahli yang berlainan tingkatan untuk menyemak jawapan.
Guru penasihat memberikan jawapan secara lisan bersama dengan
penerangan supaya ahli faham sebab pemilihan jawapan tersebut. Ahli-ahli dengan tekun
mendengar dan menyemak kertas jawapan yang diterima. Setelah menyemak kertas
jawapan, semua ahli dikehendaki mengira dan menulis bilangan jawapan yang betul di
atas penjuru kanan kertas jawapan. Selepas itu, guru-guru penasihat mengumpul kertas
jawapan mengikut tingkatan dan memilih tiga ahli yang mencapai markah tertinggi bagi
setiap tingkatan.
Upacara yang dinanti-nantikan oleh para ahli akhirnya tiba iaitu upacara
penyampaian hadiah. Semua ahli dengan penuh debaran menanti pengumuman keputusan
para pemenang bagi setiap kategori. Upacara penyampaian hadiah telah disempurnakan
oleh pengkaji selaku Setiausaha Kokurikulum Sekolah. Para ahli dengan penuh
kegembiraan menerima hadiah dari Setiausaha Kokurikulum. Sebelum upacara
penyampaian hadiah tamat, ahli-ahli yang telah memenangi hadiah telah mula berkongsi
hadiah dengan ahli lain yang tidak menjadi pemenang tanpa menyedari guru penasihat ada
menyediakan ganjaran untuk ahli-ahli lain. Ini menunjukkan sikap positif dalam kalangan
ahli Persatuan Sejarah dan Geografi yang tidak mementingkan diri sebaliknya sanggup
berkongsi ganjaran yang diterima dengan ahli yang lain. Sikap ini harus dicontohi oleh
pelajar-pelajar lain supaya mewujudkan satu masyarakat sekolah yang penyayang dan
berteladan baik.
Apabila guru penasihat mengumumkan bahawa ganjaran ada juga
disediakan untuk semua ahli yang telah mengambil bahagian dalam kuiz, suasana berubah
menjadi lebih meriah. Guru-guru penasihat mengedarkan ganjaran berbentuk makanan
ringan dan gula-gula kepada semua pelajar yang telah mengambil bahagian dalam kuiz.
Ahli-ahli sungguh gembira dan mahukan lagi pertandingan seumpama itu dilaksanakan
lagi. Sebelum guru penasihat menamatkan perjumpaan, ahli-ahli dimaklumkan tentang
aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan pada perjumpaan akan datang termasuk lawatan
ke Eko-Pendidikan Paya Bakau Matang dan Makam Ngah Ibrahim. Semua ahli begitu
berminat untuk melawat Eko-Pendidikan Payau Bakau Matang dan Makam Ngah Ibrahim.
Bahkan pelajar-pelajar yang bukan ahli Persatuan Sejarah & Geografi turut mahu
menyertai lawatan berkenaan, selepas mengetahui dari rakan-rakan mereka yang menjadi
ahli Persatuan Sejarah & Geografi. Ini menunjukkan aktiviti-aktiviti yang diselitkan dalam
’Program Magnet’ mampu menarik minat pelajar untuk menghadiri perjumpaan mingguan
persatuan.
6.5 Refleksi Kajian
Jadual 6.5 Menunjukkan Kehadiran Semasa Dan Selepas Program Magnet
Program Magnet Persatuan
Semasa % Selepas %
Sejarah & Geografi
50
51
11
11.2
Pada pandangan pengkaji, aktiviti kuiz yang dilaksanakan oleh Persatuan
Sejarah & Geografi berjaya menarik minat pelajar untuk menghadiri perjumpaan
mingguan berkenaan. Jadual 6.5 menunjukkan seramai 50 (51%) orang ahli telah
menghadiri perjumpaan berkenaan. Ini adalah satu peningkatan dari segi kehadiran ahli
persatuan berkenaan kerana perjumpaan selepas ini yang tidak melibatkan ’Program
Magnet’ disebabkan perjumpaan minggu berkenaan digunakan untuk memilih peserta-
peserta yang bakal menyertai aktiviti Minggu Kokurikulum. Kehadiran pelajar pada
minggu berkenaan iaitu pada 14 April 2007 telah merosot dengan agak mendadak akibat
pelajar menyedari tiada aktiviti yang menarik untuk minggu berkenaan. Cuma 11 (11.2%)
orang sahaja yang hadir daripada 98 orang ahli. Jadi jelas bahawa pelajar lebih berminat
menghadiri aktiviti kokurikulum berunsur pertandingan yang disertai dengan hadiah
sebagai ganjaran.
7.0 Rumusan
Program Magnet ialah gabungan empat aktiviti yang menarik minat pelajar
untuk menghadiri aktiviti kokurikulum iaitu pertandingan berunsur permainan seperti
’explorace’ (luar bilik darjah), kuiz (permainan dalam bilik darjah), lawatan sambil belajar
dan tayangan video atau dokumentari. Keempat-empat aktiviti ini dipilih berdasarkan
minat pelajar dalam soal selidik yang diedarkan. Kajian ini membuktikan bahawa pelajar
mahukan aktiviti yang mencabar minda dan fizikal mereka. Sebagai remaja, pelajar
mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneroka pelbagai bidang semasa di alam
persekolahan. Aktiviti yang terancang, mantap dan penuh dengan informasi mampu
membentuk generasi pelajar yang berakhlak mulia, berhala tuju, berdaya kepimpinan,
dinamik, berketrampilan dan cekal menghadapi cabaran hidup untuk kesejahteraan diri
dan negara. Jadi guru-guru disaran supaya merancang lebih banyak aktiviti-aktiviti yang
mencabar minda dan fizikal pelajar dengan gabungan empat unsur utama iaitu jasmani,
emosi, rohani dan intelek agar mereka mahu menghadiri perjumpaan kokurikulum.
Kajian ini juga membuktikan pelajar memang berminat dan menganggap
aktiviti kokurikulum sebagai penting. Cuma beberapa kekangan seperti banyak kerja
rumah, kegiatan persatuan yang membosankan, masalah pengangkutan dan membantu
keluarga didapati menjadi faktor utama ketidakhadiran pelajar untuk aktiviti kokurikulum.
Faktor seperti tuisyen, membuat kerja sambilan, cybercafe, tidak banyak dipelajari semasa
aktiviti kokurikulum dan kegiatan kokurikulum membebankan, didapati tidak menjadi
faktor utama ketidakhadiran pelajar untuk kegiatan kokurikulum.
Salah satu cara terbaik untuk memastikan kehadiran pelajar sepenuhnya
ialah mengadakan aktiviti kokurikulum pada sesi persekolahan. Misalnya, bagi pelajar sesi
pagi dua waktu pertama pada sesuatu hari persekolahan dalam seminggu boleh digunakan
untuk kegiatan kokurikulum. Ini bukan sahaja dapat menjamin kehadiran pelajar yang
100 % tetapi semua pelajar dapat manfaat daripada kegiatan kokurikulum. Begitu juga
dengan pelajar sesi petang menggunakan dua waktu terakhir untuk kegiatan kokurikulum
dalam sesuatu minggu. Dengan demikian, pelajar tidak perlu lagi menghadiri kegiatan
kokurikulum pada hari Sabtu atau di luar waktu persekolahan. Ini bukan sahaja memberi
lebih masa kepada pelajar untuk mengulangkaji dan menyiapkan kerja rumah bahkan
mengurangkan tekanan yang dialami mereka. Ibu bapa dan guru-guru juga dapat
menghabiskan lebih banyak masa bersama anak-anak dan mudah merancang cuti hujung
minggu bersama keluarga, seperti melancong dan membeli-belah sesuai dengan hasrat
kerajaan untuk membentuk keluarga bahagia dan menjana pembangunan negara.
8.0 Cadangan Untuk Kajian Seterusnya
Kajian ini tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya mengikut perancangan akibat
pertembungan beberapa aktiviti sekolah dengan perjumpaan kokurikulum pada hari Sabtu.
Sehubungan itu, pengkaji mencadangkan kajian ini dilaksanakan sepenuhnya dengan
melaksanakan beberapa aktiviti di bawah Program Magnet untuk menentukan
keberkesanan program ini. Kajian juga boleh dilakukan dalam bidang unit uniform dan
sukan / permainan supaya guru dapat mengenalpasti apakah sebenarnya menarik minat
pelajar dalam bidang-bidang berkenaan. Kajian seumpama ini dapat memantapkan lagi
kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah.
Bibliografi
1. Babbie, E.R. (1995). The Practice of Social Research. Belmont: Wadsworth
Publishing.
2. Kegiatan Kokurikulum Bantu Masuk IPTA, Berita Harian, 25 April 2007.
3. Buku Laporan Persatuan Sejarah & Geografi 2006 / 2007, Sekolah Menengah
Kebangsaan Kamunting.
4. Data Kokurikulum 2006, Sekolah Menengah Kebangsaan Kamunting.
5. Gay, L.R., Airasian Peter (2003). Educational Research: Competencies For
Analysis and Applications, 7th Edition, United States Of America, Merrill
Prentice Hall.
6. Mohd. Majid Konting (1998). Kaedah Penyelidikan Pendidikan, Cetakan
Keempat, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka.
7. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 -2010. Kementerian Pelajaran
Malaysia, Edisi Pelancaran PIPP 2006.
SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KAMUNTING
34600 KAMUNTING, PERAK.
Maklumat soal selidik ini hanya digunakan untuk tujuan Kajian Tindakan sahaja.
BORANG SOAL SELIDIK
RESPONDEN
Bahagian A
Tandakan ( √ ) bagi jawapan yang berkaitan. 1. Jantina : Lelaki Perempuan 2. Bangsa : Melayu Cina India Lain-lain 3. Tingkatan : Ting. 1 Ting. 2 Ting. 3 Ting. 4 Ting. 5
Bahagian B
Bulatkan jawapan anda berdasarkan skala di bawah untuk soalan 4 hingga 7 : 1 - Sangat tidak setuju 2 - Tidak setuju 3 - Setuju 4 - Sangat setuju 4. Kegiatan kokurikulum adalah penting kepada pelajar. 1 2 3 4 5. Saya berminat dengan aktiviti kokurikulum. 1 2 3 4 6. Aktiviti Persatuan Sejarah & Geografi amat menarik. 1 2 3 4 7. Saya tidak hadir kegiatan kokurikulum kerana : a. tuisyen 1 2 3 4 b. membuat kerja sambilan 1 2 3 4 c. membantu keluarga 1 2 3 4 d. masalah pengangkutan 1 2 3 4 e. berada di Cybercafe 1 2 3 4 f. tidak banyak yang dipelajari 1 2 3 4 g. kegiatan kelab membosankan. 1 2 3 4 h. kegiatan kokurikulum membebankan. 1 2 3 4 i. banyak kerja rumah. 1 2 3 4 8. Cadangkan bagaimana untuk menarik minat pelajar untuk menghadiri aktivtiti Persatuan Sejarah & Geografi. ……………………………………………………………………………………………………………… ……………………………………………………………………………………………………………… ………………………………………………………………………………………………………………