propaganda visual: satu antitesis simbolik...

10
17 e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH SPECIAL ISSUE (2019) PROPAGANDA VISUAL: SATU ANTITESIS SIMBOLIK PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU (1942-1945) Saiful Akram Che Cob, Phd [email protected] Jabatan Senireka Grafik, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA, Puncak Alam, Selangor Abstrak Makalah ini mencuba untuk membicarakan satu kaedah propaganda, yang telah digunakan oleh rejim militer Jepun (Dai Nippon), sewaktu kempen pembebasan Asia Timur Raya di Tanah Melayu (Malaya), yang berlangsung dari tahun 1942 sehingga 1945. Kaedah yang dimaksudkan, adalah melalui kuasa serta pengaruh visual, sebagai salah satu platform indoktrinasi yang berkesan. Ia dikenal dengan strategi Minshin Ha’aku (menarik hati rakyat) dan Senbu Kosaku (mengindoktrinasi dan menjinakkan rakyat). Pihak Jepun, melalui Jabatan Propaganda yang dikenal dengan nama Senden-Bu, merupakan sebuah unit yang bertanggungjawab melaksanakan polisi dan program propaganda, menerusi saringan serta tapisan yang ketat, agar sampai ke khalayak masyarakat. Penulisan ini melihat tatanan visual, sebagai salah satu entiti propaganda, yang berupaya memujuk rakyat massa, agar mendokong polisi-polisi Orde Baru (Shin Chitsujo) anjuran pentadbiran Jepun. Citra romantik seni visual, yang dimanifestasikan dalam bentuk poster, risalah, ilustrasi, mahupun kartun-kartun lerang propagandistik, telah memenuhi ruangan-ruangan bangunan, pejabat, sekolah dan di dada-dada akhbar, serta majalah. Nyatalah, di sebalik penulisan historiografi yang cenderung menggambarkan dampak dan sisi negatif pihak Jepun, justeru tulisan ini menghidangkan perspektif yang sebaliknya. Ertinya, terdapat juga sokongan daripada penduduk Malaya terhadap polisi-polisi pentadbiran Jepun, apabila visual menjadi naratif piktorial, yang membuahkan dukungan terhadap kuasa baharu dari timur ini. Kata Kunci : Propaganda, Visual, Orde Baru, Dai Nippon, Minshin Ha’aku, Senbu Kosaku “Sejarah adalah perkara-perkara lepas yang perlu dibawa ke hadapan, untuk diperiksa, diteliti, lantas diadili, dan tiada penghakiman yang sewajarnya melainkan hanya kebenaran serta keadilan”. Friedrich Nietzsche Pengenalan Pendaratan ketumbukan tentera Jepun di Tanah Melayu (istilah kolonial: “Malaya”), pada tanggal 8 Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan merakamkan satu lagi episod penjajahan Malaya kepada satu lagi kuasa asing. Kuasa tersebut pada kali ini datangnya dari timur, dari benua Asia sendiri, yang membawa slogan pembebasan “Asia untuk Asia”, “Hakko Ichiu” dan doktrin romantik “Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya”. Penyerahan British kepada kuasa Jepun, tanggal 15 Februari 1942 di Singapura, menandakan satu bentuk pemerintahan baharu dan asing kepada penduduk Malaya. Kita banyak didedahkan dengan cara pemerintahan fasis, keras dan autokratik pentadbiran tentera Jepun, sepanjang tiga tahun lapan bulan pendudukannya di Malaya. Namun, di sebalik soal itu, terdapat juga sokongan serta dukungan yang diberikan oleh penduduk Malaya, yang beranggapan kedatangan Jepun sebagai “rahmat pembebasandaripada kuasa kolonial, yang telah berkuasa sejak sekian lamanya. Misalnya, dukungan oleh siasah politik kiri, Kesatuan Melayu Muda (KMM),

Upload: others

Post on 26-Dec-2019

32 views

Category:

Documents


3 download

TRANSCRIPT

17

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

PROPAGANDA VISUAL: SATU ANTITESIS SIMBOLIK PENDUDUKAN JEPUN DI

TANAH MELAYU (1942-1945)

Saiful Akram Che Cob, Phd [email protected]

Jabatan Senireka Grafik, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, Universiti Teknologi MARA,

Puncak Alam, Selangor

Abstrak

Makalah ini mencuba untuk membicarakan satu kaedah propaganda, yang telah digunakan

oleh rejim militer Jepun (Dai Nippon), sewaktu kempen pembebasan Asia Timur Raya di

Tanah Melayu (Malaya), yang berlangsung dari tahun 1942 sehingga 1945. Kaedah yang

dimaksudkan, adalah melalui kuasa serta pengaruh visual, sebagai salah satu platform

indoktrinasi yang berkesan. Ia dikenal dengan strategi Minshin Ha’aku (menarik hati rakyat)

dan Senbu Kosaku (mengindoktrinasi dan menjinakkan rakyat). Pihak Jepun, melalui

Jabatan Propaganda yang dikenal dengan nama Senden-Bu, merupakan sebuah unit yang

bertanggungjawab melaksanakan polisi dan program propaganda, menerusi saringan serta

tapisan yang ketat, agar sampai ke khalayak masyarakat. Penulisan ini melihat tatanan

visual, sebagai salah satu entiti propaganda, yang berupaya memujuk rakyat massa, agar

mendokong polisi-polisi Orde Baru (Shin Chitsujo) anjuran pentadbiran Jepun. Citra

romantik seni visual, yang dimanifestasikan dalam bentuk poster, risalah, ilustrasi, mahupun

kartun-kartun lerang propagandistik, telah memenuhi ruangan-ruangan bangunan, pejabat,

sekolah dan di dada-dada akhbar, serta majalah. Nyatalah, di sebalik penulisan historiografi

yang cenderung menggambarkan dampak dan sisi negatif pihak Jepun, justeru tulisan ini

menghidangkan perspektif yang sebaliknya. Ertinya, terdapat juga sokongan daripada

penduduk Malaya terhadap polisi-polisi pentadbiran Jepun, apabila visual menjadi naratif

piktorial, yang membuahkan dukungan terhadap kuasa baharu dari timur ini.

Kata Kunci : Propaganda, Visual, Orde Baru, Dai Nippon, Minshin Ha’aku, Senbu Kosaku

“Sejarah adalah perkara-perkara lepas yang perlu dibawa ke hadapan, untuk diperiksa,

diteliti, lantas diadili, dan tiada penghakiman yang sewajarnya melainkan hanya kebenaran

serta keadilan”.

Friedrich Nietzsche

Pengenalan

Pendaratan ketumbukan tentera Jepun di Tanah Melayu (istilah kolonial: “Malaya”), pada

tanggal 8 Disember 1941 di Kota Bharu, Kelantan merakamkan satu lagi episod penjajahan

Malaya kepada satu lagi kuasa asing. Kuasa tersebut pada kali ini datangnya dari timur, dari

benua Asia sendiri, yang membawa slogan pembebasan “Asia untuk Asia”, “Hakko Ichiu”

dan doktrin romantik “Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya”. Penyerahan

British kepada kuasa Jepun, tanggal 15 Februari 1942 di Singapura, menandakan satu bentuk

pemerintahan baharu dan asing kepada penduduk Malaya. Kita banyak didedahkan dengan

cara pemerintahan fasis, keras dan autokratik pentadbiran tentera Jepun, sepanjang tiga tahun

lapan bulan pendudukannya di Malaya. Namun, di sebalik soal itu, terdapat juga sokongan

serta dukungan yang diberikan oleh penduduk Malaya, yang beranggapan kedatangan Jepun

sebagai “rahmat pembebasan” daripada kuasa kolonial, yang telah berkuasa sejak sekian

lamanya. Misalnya, dukungan oleh siasah politik kiri, Kesatuan Melayu Muda (KMM),

18

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

melalui penganjurnya yang progresif, Iberahim bin Hj. Yaacob, telah mengalukan-alukan

kehadiran rejim Nippon, ke atas Malaya.

Usaha-usaha dan polisi pihak Jepun, telah disebarkan secara meluas, melalui program

serta aktiviti propaganda, yang antara lain turut melibatkan penggunaan visual, di samping

media-media seumpamanya seperti siaran radio, penulisan-penulisan kreatif kesusasteraan,

berita-berita bertulis dan pementasan sandiwara. Pihak Jepun, seperti yang diketahui, turut

mengenakan kawalan ketat terhadap kebebasan bersuara. Jabatan Propaganda (Senden-Bu),

umumnya bertanggungjawab kepada sebaran maklumat dan propaganda untuk meraih

sokongan penduduk Malaya kepada pemerintah Jepun (Md. Sidin Ahmad Ishak, 1998).

Propaganda visual yang bersiaran menerusi media massa dan di tempat umum, biasanya akan

mendapat kelulusan, serta dikawal selia oleh Jabatan Di’ayah (propaganda), yang beribu

pejabat di Syonan-To (Singapura). Bagi mencapai matlamatnya, untuk menguasai hati dan

fikiran rakyat, pihak Jepun berpegang kepada dua prinsip utama yakni: bagaimana menarik

hati rakyat (Minshin Ha’aku), serta bagaimana untuk mengindoktrinasi, malah menjinakkan

mereka (Senbu Kosaku). Prinsip ini perlu dilaksanakan bagi memobilisasi rakyat massa, agar

mendukung kepentingan perang (Kempen Dai Toa Senso), di samping mengubah sistem

pemikiran mereka secara keseluruhan. Bersandarkan keyakinan Malaya perlu dibawa kepada

pola tingkah laku dan cara pandang Jepun, propaganda telah dijalankan untuk

mengindoktrinasi rakyat. Ia bermaksud, agar mereka menerima dan mendukung doktrin

“Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya”, “Lapan Benua di bawah Satu

Bumbung” (Hakko Ichiu) serta pelbagai kempen “Orde Baru” (Kurasawa, 1987). Lanjutan

daripada itu, makalah ini bertujuan mengutarakan pembicaraan secara kritis, peranan dan

perkembangan visual sebagai satu mekanisme dalam usaha penyebaran propaganda Jepun di

Malaya dari tahun 1942 sehingga 1945. Justeru, dapatlah ia ditanggapi sebagai sebuah

tatanan antitesis pensejarahan, yang selama ini cenderung melihat kebejatan, kezaliman,

malah kesengsaraan yang dilakukan oleh pihak Jepun, di sepanjang tempoh pendudukannya

di Malaya.

Propaganda Dirgahayu Maharaja Jepun

Visual 1: Ilustrasi Perayaan Tentyo Setsu di Syonan, akhbar The Syonan Sinbun,

30 April 1943

19

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Ilustrasi yang merakamkan suasana sambutan ulang tahun kelahiran Maharaja Tenno-Heika,

Hirohito atau sering disebut Tentyo-Setsu, telah disiarkan pada 30 April 1943. Ilustrasi

dihasilkan oleh propagandis Melayu, Abdullah Ariff. Ilustrasi ini membawa maksud

simbolisasi integrasi, sokongan, hubungan akrab dan kerjasama antara pihak Jepun serta

masyarakat, terutamanya bangsa Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Visual ini secara

halus merupakan usaha menarik hati khalayak dan seterusnya menyuntik racun indoktrinasi,

bagi menyokong pendudukan Jepun. Imej-imej pada ilustrasi, menggambarkan sikap

pentadbiran Jepun yang menghormati budaya serta adat lokal, pada tatanan propagandanya.

Semacamnya, rakyat di Malaya, lepas bebas mengamalkan cara hidup dan budaya masing-

masing, tanpa adanya sekatan daripada pihak pemerintah. Imej yang memaparkan aktiviti

kesenian, yang dipersembahkan sepanjang acara, memberi tanda kemeriahan, kerancakan dan

kegembiraan masyarakat, yang turut serta meraikan majlis anjuran pemerintah ini. Tiada

konotasi konflik, mahupun ketegangan perang, yang bertujuan untuk mengalihkan perhatian

khalayak, bahawa bejat perang telah pun berlalu. Hakikatnya, kini adalah masa untuk rakyat

menikmati hidup pada zaman aman, dalam kacamata Dai Nippon. Motivasi propaganda

diperkuatkan lagi, oleh imej kibaran bendera Jepun (Hinomaru), simbolisasi kedaulatan dan

kuasa pemerintah yang kini telah sah mentadbir seluruh kawasan di Malaya.

Propaganda Bahasa Jepun

Visual 2: Kartun Malai-Go For Nippon-Jin-An Object Lesson, akhbar Malai Sinpo,

24 April 1943

Kartun Malai-Go For Nippon Jin-An Object Lesson (terjemahan: bahasa Melayu untuk

Orang Jepun-Pembelajaran Objek) Kartun ini disiarkan pada hari Sabtu, 24 April 1943, karya

pelukis Chan dan Leong. Mesej propaganda pro-Jepun, yang jelas dipersembahkan oleh

pelukis, sebagai menyokong usaha dan ikhtiar pihak Jepun, bagi menyebarluaskan

penggunaan bahasa Jepun dalam kalangan penduduk Malaya. Begitu juga keadaan

sebaliknya, apabila orang berbangsa Jepun (Nippon-Jin), ingin pula mendalami bahasa

Melayu. Karakter lelaki Jepun dilukiskan dalam keadaan mesra dengan anak-anak kecil, tidak

kisah diperlakukan apa-apa sahaja oleh mereka. Ekspresi wajahnya yang tersenyum, sambil

20

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

menjeling mesra, membawa pemaknaan perhubungan yang sedang diperkukuh, antara pihak

yang menjajah, dengan bangsa yang dijajah. Lelaki Jepun seolah-olah merelakan anggota

badannya dipegang, dicucuk dan ditarik oleh ketiga-tiga anak kecil ini. Hal ini membawa

mesej propaganda yang sangat efektif, untuk menusuk masuk ke jiwa pembaca. Penjajah dan

orang Jepun, seringkali dimomokkan sebagai sebagai anasir yang jahat, bengis dan kasar,

namun kartun ini membawa pendekatan yang berbeza. Pelukis cuba melunakkan lagi

karakteristik lelaki Jepun ini, dengan melukiskan seorang anak perempuan memeluknya

dengan erat sekali, sambil menguntum senyum. Dalam konteks yang lebih mendalam, rasa

sayang dan selamatnya rakyat Malaya, dijamin pula oleh orang Jepun. Sebagai usaha

pemujukan, pihak Jepun sering mengumandangkan slogan mereka telah datang untuk

membebaskan Asia daripada cengkaman British – “Timur tinggal di Timur, Barat tinggal di

Barat; Timur semakin makmur, Barat semakin melarat”.

Visual 4: Poster “Belajarlah! Pakailah! Bahasa Nippon!”, 1943

Ilustrasi poster ini menggalakan penduduk Malaya mempelajari bahasa Jepun (Nippon-Go),

adalah merupakan karya pelukis Y. Kurakane (Yoshiyuki Kurakane). Poster ini berukuran 48

cm x 71 cm. Poster Nippon-Go, keluaran sekitar tahun 1943, adalah antara usaha bersungguh-

sungguh pemerintah, untuk memperkenalkan bahasa Jepun kepada penduduk Malaya. Pihak

Jepun berhasrat menjadikan Nippon-Go sebagai lingua franca, yang berupaya menjadi

medium pertuturan bangsa, dalam wilayah lingkungan kesemakmuran bersama Asia Timur.

Ia dikeluarkan oleh pihak Senden-Bu (Jabatan Propaganda), yang berpangkalan di Singapura.

Melengkapi pemaknaan poster bergambar ini, adalah teks dalam bahasa Melayu (rumi),

Inggeris dan Jepun (katakana), bagi membolehkan pemerhati menangkap maksud visual

dengan jelas. Pada sudut bawah di bahagian kanan poster, diletakkan simbol “Barisan

Propaganda”, sebagai tanda poster ini telah dikeluarkan oleh Jabatan Senden-Bu.

21

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Propaganda Agama

Visual 3: Fotografi pada halaman hadapan majalah Fajar Asia, 27 Mac 1943

Visual fotografi yang memaparkan aktiviti kerohanian umat Islam di ruangan lapang sebuah

masjid, mencuba mengaitkannya dengan peringatan hari kelahiran junjungan besar Nabi

Muhammad S.A.W. Pihak Jepun bijak mengambil peluang hari kebesaran umat Islam, untuk

disiarkan pada muka hadapan majalah yang menjadi antara organ penting propaganda Jepun.

Paparan visual dengan tajuk utama, “Peringatan Maulid Nabi” dan seruan “Hidup Islam”

menunjukkan usaha Jepun, bagi menggambarkan sikap pentadbirannya yang mesra, malah

tidak prejudis kepada penganut Islam. Sentimen keagamaan, telah berjaya dimanipulasi oleh

pihak Jepun, guna mewajarkan pendirian mereka, yang mengiktiraf amalan keagamaan oleh

penduduk Malaya, tanpa sebarang sekatan dan aturan yang ketat. Secara tidak langsung,

pentadbiran Jepun dilihat cuba mengambil hati penduduk Melayu, yang majoritinya

beragama Islam, untuk menyokong dan berkerjasama dengan mereka. Nabi Muhammad

(S.A.W.), merupakan ikon persaudaraan dan pembebasan buat umat Islam. Lalunya, peluang

ini telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pihak Jepun, untuk turut sama merayakan

hari kelahiran baginda rasul. Dalam konteks ini, visual digunakan sebagai senjata dan media

untuk mempengaruhi fikiran serta dukungan rakyat kepada Jepun. Bersesuaian dengan

konsepsi amalan Shintoisme anutan bangsa Jepun, yang bersifat tidak terlalu rigid dan

dogmatik, memungkinkan pihak Jepun, untuk turut serta meraikan hari kebesaran umat Islam

ini.

22

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Propaganda Kesemakmuran Ekonomi

Visual 4: Risalah Make Fortune By Co-Operating With Japan, 1943

Risalah Make Fortune By Co-Operating With Japan (terjemahan: Beroleh Keuntungan

Melalui Kerjasama Dengan Jepun), yang disebarkan sekitar tahun 1943, mengajak penduduk

di Malaya berkerjasama dengan pihak Jepun, melalui aktiviti perniagaan dan perdagangan.

Ilustrasi sekumpulan manusia, yang menyerbu premis perniagaan milik Jepun, dapat

diidentifikasikan, melalui imej bendera Hinomaru sebagai entiti, atau simbol mengenai tuan

punya premis tersebut. Teks bertulisan katakana yang menjadi papan tanda kedai, bertulis

“Kedai Jepun” dan “Barangan Jepun”. Kegiatan manusia pelbagai kaum yang membeli

keperluan harian, membawa pemaknaan kuasa beli masyarakat konsumer, dalam

merancakkan kegiatan perekonomian, semasa pemerintahan Jepun. Sekiranya diperhatikan

dengan lebih terperinci, pemerhati akan dapat melihat wang kertas Jepun yang dipegang oleh

para pembeli, gambaran kekukuhan nilai Yen Jepun berbanding Sterling Britain, walaupun

hakikat yang sebenar adalah di sebaliknya. Pada sudut atas risalah, terpapar imej seorang

lelaki yang bertubuh gempal, dengan ekspresi wajahnya yang muram, sambil menongkat

dagu menggambarkan perihal pihak British, yang dirundung malang kemuflisan. Kedai

British yang bangkrap, dijustifikasikan melalui imej kepingan papan bersilang yang terpaku

rapat, menutupi kedai perniagaan orang Inggeris. Sindiran sinis pelukis risalah, yang

menggunakan analogi konsepsi untung-rugi dalam perniagaan, kepada kekalahan memalukan

British dalam kempen Perang Besar Asia Timur Raya (Dai Toa Senso) kepada pihak Jepun.

23

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Propaganda Pencerahan Masa Depan

Visual 5: Poster Hiduplah Malai Baru, Februari 1944

Poster propaganda Hiduplah Malai Baru (Hiduplah Malaya Baharu) yang disambut pada 15

Februari 1944, siaran Nigatsu 2603 (Februari 1944,) menandakan ulang tahun kedua

kejayaan Dai-Nippon membebaskan Malaya (Malai) dan Singapura (Syonan To), daripada

belenggu penjajahan British. Imej seorang lelaki yang sedang mengusahakan sawah padi,

membawa pemaknaan kepada sokongan masyarakat kepada kempen dan polisi agrarian,

Pentadbiran Tentera Jepun. Sosok yang tegap dan gagah, membawa erti tenaga kerja belia,

yang sangat diperlukan, bagi menyumbang bakti kepada usaha-ushan pembaharuan serta

tranformasi, yang dianjurkan Jepun. Pemuda yang sihat dan bertenaga, menjadi aset penting

kepada pihak kerajaan, sebagai benteng mempertahankan pemerintahannya, daripada segala

aspek. Doktrin “Malai Baru” (Malaya Baharu), yang dicetuskan oleh pihak Jepun,

menggalakan aktiviti pertanian (bercucuk tanam), transformasi kebudayaan dan sistem

pendidikan yang baru. Doktrin yang berkiblatkan sistem dan ketatanegaraan Jepun, telah

direka bertujuan untuk menggantikan orde dan sistem lama dari Eropah. Pentadbiran tentera

Jepun menggalakan penduduk Malaya bercucuk tanam, lebih daripada usaha yang

dilaksanakan oleh pihak British.

24

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Propaganda Antiimperialisme Barat

Visual 6: Kartun “Freedom, Liberty & Co-Prosperity Via Nippon”, akhbar Syonan

Shimbun Fortnightly, 6 Jun 1945

Kartun yang menggunakan tajuk, “Freedom, Liberty & Co-Prosperity Via Nippon”

(“Kebebasan, Kemerdekaan & Kesemakmuran Bersama Jepun”), merupakan propaganda

visual yang beredar di pinggir-pinggir akhir Perang Dunia Kedua. Kartun yang bersiaran dua

bulan sebelum meledaknya letusan raksaksa bom atom, di kota Hiroshima, Jepun adalah

strategi pada saat-saat akhir perang, bagi memobilisasi rakyat massa, untuk terus bersama dan

menyokong pihak Jepun. Hakikat penghujung perang yang tidak memihak kepada Jepun,

masih lagi dimanipulasi melalui imej-imej visual, memaparkan dukungan yang tidak berbelah

bahagi rakyat Asia kepada mereka. Pihak Barat, seumpamanya, Amerika dan British,

dimanifestasikan sebagai manusia-manusia gasar, haiwan yang ganas, tetapi kecewa, malah

sedang menahan lapar pula, berakibat bejat perang yang membuana. Hal ini dapat

diperhatikan pada lukisan-lukisan yang bersimbolkan imej tengkorak dan tulang-temulang,

dampak kerakusan serta konflik kemanusiaan. Kerosakan ini, pada lensa pihak Jepun, adalah

kemudaratan yang ditimpakan ke atas negara-negara yang dijajah oleh pihak Barat, seperti di

Nanking, India, Afrika, Perancis, Kanada dan Australia. Satu pengolahan persetujuan, yang

menggunakan media visual, sebagai sebuah entiti yang ampuh, malah dirasakan cukup efektif

untuk memberi kesan kepada khalayak pemerhati.

Kesimpulan

Visual merupakan senjata peperangan non-militeris pentadbiran tentera Jepun, yang

mempunyai daya tarikannya tersendiri, dalam mengkonsepsikan pemahaman dan penerimaan

pemerhatinya. Propaganda Jepun telah menyerang Malaya, melalui slogan-slogan romantik

pembebasan “Asia untuk Asia”, “Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya”,

25

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Orde Baru zaman Dai Toa Senso, dan konsepsi Hakkoichiu (Lapan Sudut Dunia di Bawah

Satu Bumbung). Ertinya di sini, pihak Jepun mendakwa tindakan mereka di Asia, adalah

merupakan usaha pembebasan dan bukannya kuasa penjajah yang baharu (liberation not

occupation). Pihak Jepun melaungkan negara Asia, telah berjaya dilepaskan daripada

cengkaman kuasa imperialisme Barat. Sehubungan dengan itu, jabatan dan unit Senden-Bu

(Propaganda), dipercayai telah menjadi organ indoktrinasi terpenting pihak Jepun, di

sepanjang tempoh pendudukan. Ertinya, dengan mengorganisasi program-program

propaganda di seluruh Malaya, dari tahun 1942 hingga 1945. Salah satu pendekatannya,

adalah dengan menggunakan kuasa visual, bagi menarik sokongan, dukungan, perhatian dan

simpati massa, selain medium lainnya, seperti risalah bertulis, hebahan radio serta filem-filem

propaganda. Nyatalah bahawa visual telah berperanan menjadi alat yang efektif untuk

menarik perhatian, kuasa memujuk dan sumber indoktrinasi yang berguna. Hal ini berkait

rapat, dalam merubah sudut pandang dan reaksi massa terhadap isu atau pun soal kekuasaan

politik, sosial, ekonomi serta agama. Secara tidak langsung, pendudukan Jepun di Malaya,

sekiranya diperhalusi daripada sudut pandang yang berbeza (selain konotasi negatif

kemusnahan, kekejaman dan angka korban yang tinggi), menganjurkan semangat

nasionalisme yang mandiri, buat rakyat berbilang bangsa di seluruh benua Asia. Seruan

pembebasan, penentangan dan gema nasionalisme antikolonial, telah disemboyankan,

menyeru angin kemerdekaan dan sistem pemerintahan sendiri, dengan melawan habis-

habisan kuasa imperialisme Barat. Buktinya, setelah penyerahan kalah pihak Jepun, lalu

berakhirnya episod Perang Dunia Kedua, beberapa negara di benua Asia, telah memperoleh

dan menikmati kemerdekaan. Republik Indonesia mendeklarasikan kemerdekaannya pada 17

Ogos 1945, sebelumnya oleh India pada 15 Ogos 1947, Burma mengecapi kebebasannya,

pada 4 Januari 1948 dan seterusnya Malaya, telah mengisytiharkan “MERDEKA” daripada

takluk British, tanggal 31 Ogos 1957.

Sebagai penutup bicara, keberadaan visual yang berperanan sebagai media

propaganda sewaktu pendudukan Jepun di Malaya, dari tahun 1942 sehingga 1945, meneroka

pengalaman dan perspektif baharu mengenai pensejarahan Perang Dunia Kedua di Malaysia.

Kuasa visual yang mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri, mampu menjadi medium

saluran penyampaian informasi yang kreatif, sinergetik, keras, bersahaja, malah kadang-

kadangkala begitu kontradiktif, kontroversial di samping sifat persuasifnya.

Rujukan

Akhbar Malai Sinpo (Januari 1943 hingga September 1945).

Akhbar Penang Daily News (Julai 1942 hingga Oktober 1942).

Akhbar The Syonan Sinbun (Januari 1943 hingga September 1943).

Akhbar The Syonan Shimbun (Jun 1945 hingga Ogos 1945).

Kurasawa, Aiko (1987). Propaganda Media On Java Under the Japanese 1942-1945.

dalam jurnal Indonesia No. 44, Oktober 1987 (m/s 59-116): South East Asia

Program Publications Cornell University.

Lee Geok Boi (1992). Syonan: Singapore Under The Japanese 1942- 1945. Singapura:

Singapore Heritage Society.

26

e-ISSN: 2289-8042 JURNAL SULTAN ALAUDDIN SULAIMAN SHAH

SPECIAL ISSUE (2019)

Majalah Fajar Asia (Januari 1943 hingga April 1944).

Majalah Semangat Asia (Januari 1943 hingga Februari 1944).

Md. Sidin Ahmad Ishak (1998). Penerbitan & Percetakan Buku Melayu, 1807-1960.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Saiful Akram Che Cob (2018). Propaganda Visual Pada Era Penaklukan Jepun (1942-

1945): Manifestasi Simbolik, Retorik & Satira Radikal. Kuala Lumpur: Institut

Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).