pembunuhan tidak sengaja dan kesannya terhadap...

Download Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya Terhadap …ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2015/10/Bab-06-Dr-Ahmad... · Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya Terhadap Pewarisan

If you can't read please download the document

Upload: phungmien

Post on 09-Feb-2018

246 views

Category:

Documents


4 download

TRANSCRIPT

  • Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya Terhadap Pewarisan Harta Pusaka Menurut

    Undang-Undang Pusaka Islam

    Ahmad Muhammad Husni, Md Yazid Ahmad, Mohd Zamro Muda, Noor Lizza Mohamed Said & Zaini Nasohah

    Jenayah dalam bahasa Arab disebut dengan perkataan al-jinayah atau al-jarimah. Perkataan al-jinayah ditakrifkan sebagai segala bentuk tindakan yang dilarang dan merosakkan, sama ada tindakan itu dilakukan ke atas badan, harta atau sebagainya. Manakala al-Mawardi (1989) mentakrifkan al-jarimah sebagai kesalahan menurut syariah yang jika dilakukan boleh dikenakan hukuman hudud atau takzir. Menurut Abd al-Qadir Awdah (1964) konsep asas kedua-duanya adalah sama dan hanya digunakan jenayah bagi merangkumkan kedua-duanya. Sehubungan dengan itu, artikel ini hanya menumpukan kepada jenayah pembunuhan sahaja.

    Ulama telah mengkategorikan jenis-jenis pembunuhan kepada tiga, empat dan lima jenis, bergantung kepada pandangan-pandangan ulama secara tersendiri. Secara umumnya, terdapat tiga jenis pembunuhan iaitu pembunuhan dengan niat atau sengaja (al-qatl al-amd), pembunuhan menyerupai sengaja (al-qatl shibh al-amd) dan pembunuhan tanpa niat atau tidak sengaja (al-qatl al-khata). Jenis-jenis pembunuhan ini akan mengakibatkan hukuman yang berbeza sekaligus turut memberikan kesan yang berbeza terhadap pewarisan harta pusaka.

    Dalam ilmu faraid, pusaka dikenali sebagai al-tarikah iaitu dari segi bahasa bermaksud segala apa yang ditinggalkan oleh si mati daripada hartanya (al-Mujam al-Wasit 1972: 105). Manakala dari sudut istilah, perkataan pusaka bermaksud segala apa yang ditinggalkan oleh seseorang selepas dia mati daripada harta dan hak-hak harta yang diberikan kepada warisnya (Shalabi 1978: 37). Manakala perkataan al-mirath menurut istilah syarak pula bermaksud perpindahan hak milik orang yang meninggal dunia kepada ahli warisnya yang masih hidup sama ada harta yang ditinggalkan itu berbentuk harta alih atau harta tidak alih menurut hukum syarak (Muhammad al-Zuhayli 2001: 56).

    Para ulama telah bersepakat mengatakan bahawa pembunuhan merupakan salah satu daripada halangan pewarisan. Oleh itu, ahli waris yang membunuh pewarisnya tidak boleh mewarisi harta pusaka pewaris yang dibunuhnya itu. Walau bagaimanapun, para ulama berselisih pendapat tentang jenis pembunuhan yang boleh menghalang seseorang itu mewarisi harta pusaka pewarisnya. Selaras dengan itu, artikel ini akan menjelaskan jenis-jenis pembunuhan berserta implikasinya

  • Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya terhadap Pewarisan 71

    terhadap pewarisan harta pusaka berdasarkan kepada pandangan imam empat mazhab iaitu Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad ibn Hanbal. Tambahan lagi, tinjauan juga dilakukan dari aspek perundangan yang diamalkan di sesetengah negara terhadap isu ini.

    Halangan Mewarisi dan Dindingan Mempusakai

    Seseorang yang telah memenuhi sebab-sebab mempusakai tetapi apabila terdapat halangan-halangan maka dia akan kehilangan hak untuk mempusakai. Halangan yang dimaksudkan di sini ialah halangan kerana sesuatu sebab atau faktor, bukannya halangan kerana pendindingan (hijab).1

    Perbezaan antara halangan dengan pendindingan ialah halangan menegah ahli waris daripada mempusakai disebabkan oleh sesuatu sebab atau faktor seperti dia membunuh pewaris dan kewujudannya itu dianggap seperti orang asing atau dianggap seperti ia tidak wujud langsung dalam pembahagian pusaka tersebut serta tidak mempengaruhi kedudukan ahli waris yang lain.

    Manakala dindingan pula ialah ahli waris tertegah daripada mewarisi pusaka sama ada keseluruhannya ataupun sebahagian disebabkan kehadiran ahli waris lain yang lebih hampir dengan si mati (Wahbah al-Zuhayli 1985: 254). Contohnya, saudara-saudara (lelaki atau perempuan) boleh mempengaruhi bahagian ibu daripada 1/3 kepada 1/6 walaupun mereka didinding oleh bapa.

    Antara halangan mempusakai kerana sesuatu sebab atau faktor yang disepakati oleh ulama ada tiga iaitu (al-Zuhayli 1989: 255-256):

    1. Pembunuhan.

    2. Perhambaan.

    3. Perbezaan agama.

    Di samping itu, terdapat beberapa lagi halangan mempusakai iaitu ulama mazhab Hanafi menambah berlainan negara sementara ulama mazhab Maliki menambah pembunuhan sengaja, anak lian, anak zina dan janin (hingga ia dilahirkan).

    Perbahasan Fuqaha terhadap Kesan Jenayah Pembunuhan ke atas Pewarisan Harta Pusaka

    Pertama: Pendapat Imam Abu Hanifah

    Menurut mazhab Hanafi, pembunuhan yang menjadi penghalang untuk mendapatkan dan mewarisi harta pusaka waris adalah pembunuhan secara sengaja (al-qatl al-amd), pembunuhan kerana tersilap (al-qatl al-khata), pembunuhan menyerupai sengaja (shibh al-amd) dan pembunuhan yang dianggap silap (al-jari majra al-khata). Kaedah yang digunapakai di sini ialah setiap jenis pembunuhan yang

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 72

    diwajibkan kaffarah maka ia menghalang daripada memeperoleh dan mewarisi harta pusaka waris. Oleh itu, apabila jenis pembunuhan itu tidak dikenakan kaffarah maka ia tidak menjadi penghalang untuk mendapatkan dan mewarisi pusaka tersebut (al-Sabuni 1989: 39).

    Dalil yang menjadi sandaran pandangan ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasai daripada sabda Rasulullah s.a.w:

    Maksudnya: Si pembunuh tidak sedikitpun mempunyai hak pada harta pewarisnya.

    Penafian dalam hadis ini adalah bermaksud untuk penegahan atau pengharaman. Hal ini adalah kerana orang yang melakukan pembunuhan dengan sengaja dan menyerupai sengaja (shibh al-amd) adalah mempunyai qasad untuk menyegerakan dirinya mewarisi harta pusaka sebelum sampai waktunya dengan melakukan perkara yang ditegah. Oleh itu, hukuman yang dikenakan ke atasnya adalah dengan mengharamkan daripada apa yang dia qasadkan itu adalah bertujuan sebagai amaran dan ugutan terhadapnya berdasarkan apa yang dilakukan. Hal ini, kerana jika Islam membenarkan mewarisi pusaka dengan adanya pembunuhan, maka ini akan membawa kepada kerosakan di muka bumi, sekaligus memberanikan manusia melakukan kekejaman sedangkan Allah s.w.t. tidak suka kepada kerosakan. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah, ayat 64:

    Maksudnya: ... dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.

    Tambahan lagi, pembunuhan secara tersalah dan yang menyerupainya adalah dianggap sebagai pembunuhan secara hakiki. Hal ini seperti melakukan kecuaian dan tidak berjaga-jaga sehingga menyebabkan kematian. Di sini boleh timbul tuduhan pada qasadnya untuk melakukan pembunuhan bertujuan bagi menyegerakan untuk mewarisi harta pusaka. Oleh yang demikian, perbuatan tersebut berhak dihukum dan disifatkan dengan haram, maka sebab itulah diwajibkan kaffarah ke atasnya. Sekiranya Islam mengharuskan mewarisi pusaka dengan adanya pembunuhan seperti ini, maka ia akan membuka pintu dan ruang kepada penjenayah untuk sampai kepada tujuan mereka iaitu untuk menyegerakan mewarisi pusaka dengan melakukan pembunuhan seperti ini kemudian mereka mendakwa bahawa mereka membunuh secara tersalah sedangkan mungkin mereka membunuh dengan sengaja atau membunuh dengan tersalah. Oleh itu, mengikut pendapat mazhab ini, pembunuhan seperti ini disifatkan sebagai benar-benar membunuh dan kaedah ini digunapakai untuk menutupi dan menghalang jalan ke arah pintu kejahatan dan kerosakan (sadd al-dharai).

  • Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya terhadap Pewarisan 73

    Manakala pembunuhan yang tidak menghalang daripada mewarisi harta pusaka ialah pembunuhan yang tidak diwajibkan qisas atau kaffarah. Selagi mana pembunuhan itu tidak mewajibkan qisas dan kaffarah, maka ia tidak menjadi penghalang untuk mewarisi harta meskipun pembunuhan itu secara sengaja seperti pembunuhan dengan sesuatu hak, pembunuhan dengan keuzuran, pembunuhan dengan melakukan sebab serta pembunuhan yang dilakukan oleh yang tidak mukallaf.

    Pembunuhan dengan sesuatu hak ialah membunuh secara qisas seperti ahli waris itu membunuh pewarisnya menurut tugasnya sebagai melaksanakan hukuman dari qadi untuk membunuhnya. Selain itu, membunuh sebagai menjalankan sesuatu hukuman had seperti membunuh orang yang murtad serta membunuh bagi tujuan mempertahankan diri jika tidak ada cara lain lagi bagi mempertahankan nyawa sendiri. Dalam situasi ini, syarak mewajibkan ke atas seseorang itu membunuh pewarisnya atau diharuskan untuk membunuhnya berdasarkan sandaran dalil daripada al-Quran, surah al-Anam ayat 151:

    Maksudnya: Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak).

    Sabda Rasulullah s.a.w:

    Maksudnya: Tidak halal darah seseorang muslim yang menyaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawasanya Aku adalah pesuruh Allah (iaitu membunuhnya) melainkan dengan tiga perkara iaitu, nyawa dengan nyawa, janda yang berzina, dan yang meninggalkan agama seterusnya berpisah daripada jamaah (menjadi murtad). (Muslim t.th, 5: 107)

    Pembunuhan dengan keuzuran pula adalah seperti suami membunuh isterinya dalam keadaan isterinya sedang berzina. Hal ini mungkin berlaku apabila suami terserempak atau melihat isterinya sedang berzina dengan seseorang yang lain, dia akan kehilangan pertimbangan akal dan perasaan, lalu melakukan pembunuhan. Di sini mempertahankan kehormatan adalah sesuatu keuzuran syari yang mengharuskan pembunuhan tersebut. Oleh yang demikian, pembunuhan dengan keuzuran ini tidak akan menghalang daripada mewarisi harta pusaka mengikut pandangan mazhab ini. Analoginya sama seperti seorang ahli waris mempertahankan dirinya daripada serangan pewarisnya dengan menggunakan sesuatu benda yang kebiasaannya tidak membunuh seperti tongkat, kemudian yang

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 74

    menyerangnya iaitu pewaris itu mati disebabkan oleh pertahanan yang dilakukan oleh ahli waris tadi, maka dengan itu tidaklah dikira sebagai sesuatu pembunuhan yang boleh menyebabkan terhalangnya untuk mewarisi pusaka. Ulama telah bersepakat bahawa pembunuhan untuk mempertahankan diri itu dianggap sebagai membunuh dengan hak. Hal ini adalah kerana pembunuhan seperti ini adalah semata-mata untuk mempertahankan diri. Maka jika bukan semata-mata untuk mempertahankan diri, seseorang itu dikira bersalah menurut apa yang sesuai dengan jenayah yang dilakukannya sekaligus menghalang daripada mewarisi harta pusaka.

    Pembunuhan dengan melakukan sebab yang membawa kepada pembunuhan pula adalah pembunuhan yang tidak dilakukan secara langsung oleh pembunuh. Ia sekadar melakukan sesuatu perbuatan yang dia tidak berhak melakukannya, kemudian berikutan dengan itu berlakulah kematian pewarisnya. Sebagai contoh, seseorang menggali sebuah perigi atau meletakkan batu yang bukan pada tanah miliknya, kemudian pewarisnya terjatuh ke dalam perigi itu, atau tergelincir di atas batu tadi lalu menyebabkan kematiannya. Orang yang menggali perigi dan yang meletakkan batu itu tidak disifatkan sebagai pembunuh secara hakiki. Hal ini kerana ia melakukan perbuatan tersebut di atas tanah yang bukan miliknya. Sekiranya orang yang menggali perigi tadi telah mati dahulu sebelum orang yang terjatuh di dalamnya, maka tidak boleh dikatakan bahawa kematian itu adalah dilakukan oleh penggali. Tidak mungkin pembunuh telah mati dahulu sebelum membunuh seseorang. Oleh yang demikian, ia tidaklah menghalang daripada mewarisi harta, akan tetapi ia sekadar menanggung dosa kerana perbuatannya yang menggali perigi itu bukan di tanah miliknya atau di tempat-tempat yang tidak sepatutnya (Awdah 1993).

    Seterusnya, pembunuhan yang dilakukan oleh orang yang tidak mukallaf juga tidak akan menghalang daripada mewarisi harta pusaka. Sebagai contoh orang yang tidak mukallaf ialah kanak-kanak dan orang gila. Perbuatan yang dilakukan oleh golongan ini tidaklah disifatkan dengan tegahan menurut syarak kerana perbuatan yang ditegah itu ialah apa yang wajib ditinggalkan dengan perintah syarak, sedangkan syarak tidak sabit ke atas golongan yang tidak mukallaf ini. Oleh itu, pembunuhan yang dilakukan oleh golongan ini tidak menghalangnya daripada mewarisi harta pusaka (Awdah 1993).

    Kedua: Pendapat Imam Malik

    Menurut mazhab Maliki, jenis pembunuhan yang menghalang dan menegah seseorang untuk mewarisi harta pusaka waris hanyalah pembunuhan dengan sengaja (qatl al-amd). Oleh yang demikian, pembunuhan selain daripada itu tidak menjadi penghalang dan larangan untuk mempusakai harta waris (al-Sabuni 1989: 40). Menurut Imam Malik, hikmah pengharaman mempusakai harta oleh pembunuh bertujuan menafikan pembunuh mencapai maksudnya melalui

  • Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya terhadap Pewarisan 75

    pembunuhan itu. Oleh itu, pembunuhan yang sengaja sahaja terhalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya (Abdul Rashid 2009: 99).

    Secara lebih terperinci, mazhab Maliki dan yang sependapat dengannya menyatakan bahawa pembunuhan yang menghalang daripada mewarisi pusaka ialah pembunuhan dengan sengaja dan secara permusuhan sahaja. Hal ini sama ada pembunuhan tersebut secara langsung atau secara melakukan sebab. Ini juga merupakan pendapat golongan mazhab al-Hadi dan pengikutnya daripada golongan Syiah al-Zaydiyyah dan Syiah Imamiyyah. Oleh itu, elemen yang diambil kira menurut pendapat ini mestilah berhimpunnya dua perkara iaitu sengaja dan ada permusuhan.

    Menurut pendapat ini, membunuh dengan melakukan sebab adalah sama dengan mereka yang membunuh secara langsung meskipun yang membuat dan mewujudkan sebab itu tidak dikira sebagai pelaku atau pembunuh asal. Hal ini kerana apabila sudah cukup padanya keadaan sengaja dan permusuhan, maka status hukumnya adalah seperti hukum orang yang melakukannya dengan sengaja. Oleh itu, dia dihalang daripada mewarisi harta dan diyat orang yang kena bunuh itu, kerana dia telah mempunyai niat (qasad) untuk membunuh di samping menjadi penolong dan berusaha melaksanakan pembunuhan tersebut. Maka dengan itu dia berhak dihukum atas perbuatannya dengan sesuatu yang bertentangan dengan qasadnya iaitu dengan dihalang dan diharamkan daripada mewarisi pusaka tersebut.

    Sebagai contoh orang yang melakukan sebab adalah orang yang menyuruh, orang yang memberangsang, orang yang menunjuk, orang yang memberi kemudahan untuk melakukan perbuatan yang berkaitan dengan pembunuhan, orang yang bersyarikat atau bersubahat dengan pembunuh, orang yang meletakkan racun di dalam makanan atau minuman tanpa disedari oleh orang yang dibunuh, orang yang mengawal, menjaga dan memerhati jalan pada waktu pembunuhan itu dilakukan, orang yang menjadi saksi palsu yang menyebabkan pewarisnya dihukum bunuh dan dilaksanakan hukuman tersebut berdasarkan persaksian palsu tersebut. Oleh yang demikian, diwajibkan qisas ke atas yang menyuruh itu kerana ia melakukan sebab dan ke atas yang kena suruh kerana ia melakukan pembunuhan secara langsung.

    Selain itu, pembunuhan secara tidak sengaja dan tidak memusuhi tidak menjadi penghalang dan penegah daripada menerima pusaka. Sebagai contoh, seseorang menggali perigi untuk pewarisnya kemudian pewarisnya terjatuh dan mati di dalamnya, atau dia meletakkan batu di tengah jalan kemudian pewarisnya terlanggar lalu mati. Ini jika penggalian perigi dan perletakan batu tersebut tidak dimaksudkan untuk membunuh pewarisnya, walaupun ia menjadi sebab kepada kematian tersebut, maka situasi ini tidaklah menjadi tegahan daripada mewarisi pusaka kerana ia tidak mempunyai qasad untuk membunuh dan juga tidak mempunyai perasaan permusuhan pada ketika itu.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 76

    Tambahan lagi, pembunuhan yang tersalah dan pembunuhan yang menyerupainya juga tidak menjadi penghalang untuk mewarisi pusaka. Sebagai contoh, seseorang itu melepaskan tembakan ke sesuatu bayangan yang disangkakannya binatang buruan kemudian didapati terkena pewarisnya, atau dia melepaskan tembakan ke sesuatu sasaran yang dimaksudkan tetapi terpesong daripada sasaran itu dengan tidak diqasadkan kemudian terkena pewarisnya sehingga menyebabkan kematian, atau ia tertindih pewarisnya ketika tidur sehingga menyebabkan kematian, atau terjatuh dari tempat tinggi lalu menghempap pewarisnya sehingga mati atau memukul pewarisnya dengan qasad untuk memberi didikan pengajaran yang diharuskan dan akhirnya menyebabkan kematian. Oleh yang demikian, segala bentuk pembunuhan yang dilakukan dalam keadaan-keadaan ini tidaklah menjadi penghalang dan menegah daripada mewarisi harta pusaka kerana berbalik kepada hikmah tegahan iaitu untuk menolak qasad yang jahat terhadap pewarisnya iaitu berqasad untuk melakukan pembunuhan dan menyegerakan untuk mewarisi harta pusaka. Oleh itu, apabila terbukti di sisi hakim melalui dalil-dalil yang menunjukkan bahawa apa yang berlaku daripadanya adalah tersalah, maka hendaklah dikenakan hukuman takzir sahaja di atas kecuaian yang dilakukan itu. Walau bagaimanapun, ia tidak menjadi penghalang dan tegahan untuk mewarisi harta pusaka pewarisnya (Awdah 1993).

    Ketiga: Pendapat Imam Syafie

    Mazhab Syafie berpendapat bahawa segala bentuk pembunuhan yang dilakukan oleh ahli waris kepada pewarisnya akan menjadi penghalang secara mutlak untuk mewarisi harta pusaka (al-Sabuni 1989: 40). Meskipun pembunuhan dengan hak ataupun pembunuhan yang dilakukan oleh golongan yang tidak mukallaf iaitu pembunuhan yang dilakukan oleh orang yang tidak berakal atau belum baligh. Sebagai contoh pembunuhan dengan hak adalah seperti seseorang hakim telah menjatuhkan hukuman bunuh ke atas anaknya yang didapati bersalah kerana membunuh.

    Tambahan lagi, pembunuhan tidak sengaja juga turut menjadi penghalang untuk ahli waris mewarisi pusaka warisnya itu. Sebagai contoh, seorang lelaki membawa ibunya menaiki kereta. Akibat kecuaiannya maka berlaku kemalangan yang mengakibatkan ibunya terbunuh. Keadaan tersebut menyebabkan lelaki itu tertegah daripada mewarisi pusaka ibunya menurut mazhab Syafie. Hal ini kerana mereka berhujah dengan bersandarkan pada hadis riwayat al-Nasai dan al-Bayhaqi dalam al-Sunan al-Kubra:

    Maksudnya: Si pembunuh tidak sedikitpun mempunyai hak pada harta pewarisnya.

  • Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya terhadap Pewarisan 77

    Oleh yang demikian, dapatlah difahami dengan mudah bahawa semua jenis pembunuhan boleh menjadi penghalang kepada ahli waris daripada mewarisi harta pusaka pewarisnya.

    Keempat: Pendapat Imam Ahmad ibn Hanbal

    Menurut mazhab Hanbali, jenis pembunuhan yang melarang dan menghalang untuk mendapat pusaka waris adalah setiap jenis pembunuhan yang dikenakan hukuman qisas,2 diyat3 atau kaffarah.4 Selain itu tidak menjadi larangan dan penghalang untuk mewarisi harta pusaka daripada pewaris (al-Sabuni 1989: 40).

    Oleh yang demikian, pembunuhan yang menjadi penghalang untuk mewarisi pusaka oleh ahli waris ialah pembunuhan dengan sengaja, pembunuhan yang menyerupai sengaja, pembunuhan dengan tidak sengaja, pembunuhan bersebab dan pembunuhan yang dilakukan oleh kanak-kanak kecil atau yang belum mukallaf, orang gila dan orang yang sedang tidur (al- Zuhayli 1985: 305). Pembunuhan-pembunuhan tersebut termasuklah pembunuhan tanpa sebarang alasan yang sah menurut syarak ataupun pembunuhan yang bukan dengan sesuatu hak.

    Manakala pembunuhan yang tidak menjadi penghalang untuk ahli waris mewarisi harta pusaka pewarisnya ialah pembunuhan secara hak dan juga pembunuhan kerana uzur. Sebagai contoh pembunuhan dengan hak adalah seperti ahli waris menjatuhkan hukuman qisas yang menyebabkan kematian terhadap pewarisnya. Tambahan lagi, jika pembunuhan yang diakui sah oleh syarak seperti mempertahankan diri dan harta sehingga menyebabkan kematian pewarisnya, maka ini tidak menjadi penghalang kepada ahli waris untuk mewarisi harta pusaka pewaris yang dibunuhnya itu.

    Undang-Undang Pusaka Mesir 1943 Berhubung Pembunuhan yang Menjadi Penghalang dan Tidak Menjadi

    Penghalang untuk Mewarisi Harta Pusaka

    Kedudukan pembunuh dalam undang-undang pusaka Islam di sesetengah negara kini adalah lebih cenderung untuk mengambil pandangan mazhab Maliki. Hal ini adalah kerana penekanannya terhadap niat sebenar pembunuhan dalam melakukan perbuatannya. Maka perkara tersebut yang akan diambil kira sebagai halangan untuk mewarisi pusaka di samping penilaian tersebut dianggap lebih sesuai dan menepati kehendak hukum syarak (Undang-undang Pusaka Mesir 1943, 77/5).

    Oleh yang demikian, Undang-undang Pusaka Mesir 1943 telah mengambil pandangan mazhab Maliki berkaitan dengan pembunuhan dan kesannya terhadap pewarisan harta pusaka. Dalam Fasal 5 undang-undang tersebut turut menerangkan, antara lain menyatakan bahawa:

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 78

    Maksudnya: Antara halangan untuk menerima pusaka ialah pembunuhan terhadap pewaris yang dilakukan dengan sengaja iaitu sama ada pembunuhan itu dilakukan secara sendiri atau bersama-sama dengan orang lain atau dia menjadi saksi palsu sehingga dikenakan hukuman bunuh dan dilaksanakan hukuman itu (terhadap pewarisnya) sedangkan pembunuhan itu dilakukan tanpa hak atau uzur dan pembunuhan tersebut dilakukan oleh seseorang yang berakal dan seseorang yang dewasa yang telah mencapai umur 15 tahun. Dan dianggap sebagai sebahagian daripada keuzuran melampaui hak mempertahankan diri yang dibenarkan oleh syarak.

    Faktor kesengajaan dalam melakukan pembunuhan adalah antara sebab yang menjadi penghalang terhadap pembunuh daripada mendapat hak untuk mempusakai harta si mati yang dibunuh itu. Undang-undang yang hampir sama juga turut diamalkan dan terdapat dalam Undang-undang Perseorangan Maghribi 1958, Fasal 229 dan Undang-undang Perseorangan Tunisia 1958, Fasal 88. Tambahan lagi, Mahkamah Tinggi Lahore turut memutuskan bahawa pembunuh dan keturunannya juga turut ikut terhalang daripada mewarisi harta si mati (pewaris) yang dibunuhnya itu. Hal ini adalah dirujuk berdasarkan kes di Pakistan iaitu kes Baguman lwn. Saru (PLD, 1964, Lahore 451).

    Kesimpulan

    Kesimpulannya, dapat difahami bahawa ulama sepakat menyatakan bahawa pembunuhan menjadi penghalang untuk mewarisi pusaka kepada ahli waris yang melakukan pembunuhan terhadap pewarisnya. Walau bagaimanapun, ulama berselisih pendapat tentang jenis pembunuhan tersebut.

    Mazhab Hanafi menyatakan bahawa pembunuhan yang menjadi penghalang untuk mewarisi harta pusaka waris ialah semua pembunuhan yang dikenakan hukuman qisas atau kaffarah seperti pembunuhan sengaja, seumpama sengaja, tidak sengaja (tersalah) dan disyaratkan pembunuh itu baligh dan berakal. Tetapi sekiranya pembunuhan secara tidak langsung (bersebab) dan yang dilakukan dengan hak, maka ia tidak menghalang daripada mempusakai. Mazhab Maliki pula menyatakan pembunuhan yang menghalang daripada mempusakai ialah pembunuhan secara sengaja sama ada secara langsung atau tidak langsung (bersebab) dan disyaratkan pembunuh itu sudah baligh dan berakal juga. Selain itu, menurut mazhab Syafie pula, semua jenis pembunuhan menjadi penghalang daripada mempusakai walaupun pembunuhan itu dilakukan secara hak. Manakala menurut pendapat mazhab Hanbali pula, pembunuhan yang menjadi penghalang

  • Pembunuhan Tidak Sengaja dan Kesannya terhadap Pewarisan 79

    untuk mewarisi ialah segala bentuk pembunuhan tanpa hak yang boleh dikenakan hukuman qisas, kaffarah atau diyat. Pembunuhan ini termasuklah pembunuhan sengaja, seumpama sengaja, tidak sengaja (tersalah), secara langsung atau tidak langsung (bersebab). Tetapi jika sekiranya pembunuhan-pembunuhan selainnya yang diakui sah oleh syarak seperti mempertahankan diri dan harta atau kerana melaksanakan hukuman qisas adalah tidak menghalang daripada mempusakai.

    Manakala secara adatnya pembunuhan secara sengaja sahaja yang menjadi penghalang secara mutlak daripada mewarisi harta pusaka. Tambahan lagi, kebanyakan negara lebih cenderung untuk menggunapakai pandangan mazhab Maliki dalam melaksanakan undang-undang berkaitan pewarisan pusaka ini. Hal ini kerana mazhab Maliki mengambil pendekatan bahawa pembunuhan secara sengaja serta pelaku yang sudah baligh dan berakal ataupun mukallaf sahaja yang akan menjadi penghalang untuk mewarisi. Manakala pembunuhan selain daripada itu tidak menghalang waris daripada mewarisi pusaka pewarisnya.

    Nota Hujung 1. Hijab ialah terhalangnya ahli waris daripada mempusakai kerana terdapat ahli waris

    lain yang lebih dekat dan lebih kuat daripadanya seperti seorang anak lelaki

    mendinding cucu lelaki, bapa mendinding datuk serta saudara dan lain-lain.

    2. Qisas ialah hukuman balas yang dikenakan serupa dengan perlakuan yang

    dilakukan seperti pembunuhan sengaja maka hukumnya dibunuh balas.

    3. Diyat ialah ganti rugi berupa harta yang dibayar kepada ahli waris kerana

    melakukan pembunuhan. Pembunuhan yang dikenakan diyat ialah pembunuhan

    seumpama sengaja dan tersalah.

    4. Kaffarah ialah cara penebusan dosa yang telah ditetapkan oleh syarak seperti

    pembebasan hamba, berpuasa, memberi makan orang-orang miskin dan lain-lain

    lagi.

    Rujukan

    al-Quran al-Karim.

    Abdul Rashid Abdul Latiff. 2009. Undang-Undang Pusaka dalam Islam: Suatu Kajian Perbandingan. Kuala Lumpur: al-Hidayah Publication.

    Awdah, Abd al-Qadir. 1964/1384H. al-Tashri al-Jinai al-Islami. Mesir: Maktabat Dar al-Urubah.

    al-Mawardi, Abu al-Hasan Ali ibn Muhammad ibn Habib al-Basri al-Baghdadi. 1989/1409H. al-Ahkam al-Sultaniyyah wa al-Wilayat al-Diniyyah. Mesir: Dar al-Wafa li al-Tibaah wa al-Tawzi.

    Mohd Zamro Muda & Ridzuan Awang. 2006. Undang-Undang Pusaka Islam: Pelaksanaan di Malaysia. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

  • Isu Syariah & Undang-undang Siri 20 80

    Majma al-Lughah al-Arabiyyah. 1972. al-Mujam al-Wasit. Mesir: Dar al-Maarif.

    al-Sabuni, Muhammad Ali. 1989/1399H. al-Mawarith fi al-Shariah al-Islamiyyah fi Daw al-Kitab wa al-Sunnah. Damsyik: Dar al-Qalam.

    Shalabi, Muhammad Mustafa. 1978. Ahkam al-Mawarith bayn al-Fiqh wa al-Qanun. Beirut: Dar al-Nahdah al-Arabiyyah.

    Undang-Undang Pusaka Mesir 1943.

    al-Zuhayli, Muhammad. 2001/1422H. al-Faraid wa al-Mirath wa al-Wasaya. Beirut: Dar al-Kalim al-Taiyyib.

    al-Zuhayli, Wahbah. 1985. al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Jil. 8. Damsyik: Dar al-Fikr.