pemberontakan taiping

28
Nama : Danang Indra Utama NIM : 12407141024 Prodi : Ilmu Sejarah Pemberontakan Taiping 1851-1864 Pengenalan Pemberontakan Taiping meletus pada tahun 1851-1864 di bawah pimpinan Hung Hsiu Chuan. Beliau dilahirkan pada 1 Januari 1814 di Huah Hsien dekat Canton dalam wilayah Kwangtung. Kegagalan menjadi pegawai sarjana telah menyebabkan beliau melibatkan diri dalam hal keagamaan. Beliau mengkaji ajaran Kristian melalui buku yang dipinjamkan dari Liang Ah Fa yang baru memeluk agama Kristian. Hung Hsiu Chuan juga berdamping rapat dengan seorang mubaligh I.J. Robert dan seterusnya memeluk agama Kristian. Beliau bercita-cita untuk menyebarkan satu ajaran baru iaitu campuran ajaran Kristian dengan kepercayaan China. Pada tahun 1844 bersama-sama dengan Feng Yun Shan, beliau telah menubuhkan Pertubuhan Penyembah- pemyembah Tuhan yang dikenali sebagai Shang Ti Hui. Pemberontakan Taiping meletus berikutan peristiwa pada Disember 1850 di mana tentera Menchu telah memaksa penduduk Kweilin membayar cukai 2 kali ganda sedangkan dewasa itu mereka mengalami kebuluran. Secara kebetulan majoriti penduduk Kweilin adalah anggota Shang Ti Hui. 1 1 Abdullah Zakaria Ghazali Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan AsiaTimur 1800 - 1963. Sejarah Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam, 2000. hlm. 17-18.

Upload: insanul-ain-muttaqin

Post on 26-Oct-2015

70 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

gdfsgfdsgkl;asdl;sakdsal;dksalkldkasl;kdsal;kdaskdk[saod[psaod[pasodoaspdosad

TRANSCRIPT

Page 1: Pemberontakan Taiping

Nama : Danang Indra Utama

NIM : 12407141024

Prodi : Ilmu Sejarah

Pemberontakan Taiping 1851-1864

 

Pengenalan

Pemberontakan Taiping meletus pada tahun 1851-1864 di bawah pimpinan Hung

Hsiu Chuan. Beliau dilahirkan pada 1 Januari 1814 di Huah Hsien dekat Canton dalam

wilayah Kwangtung. Kegagalan menjadi pegawai sarjana telah menyebabkan beliau

melibatkan diri dalam hal keagamaan. Beliau mengkaji ajaran Kristian melalui buku yang

dipinjamkan dari Liang Ah Fa yang baru memeluk agama Kristian. Hung Hsiu Chuan juga

berdamping rapat dengan seorang mubaligh I.J. Robert dan seterusnya memeluk agama

Kristian. Beliau bercita-cita untuk menyebarkan satu ajaran baru iaitu campuran ajaran

Kristian dengan kepercayaan China. Pada tahun 1844 bersama-sama dengan Feng Yun Shan,

beliau telah menubuhkan Pertubuhan Penyembah-pemyembah Tuhan yang dikenali sebagai

Shang Ti Hui. Pemberontakan Taiping meletus berikutan peristiwa pada Disember 1850 di

mana tentera Menchu telah memaksa penduduk Kweilin membayar cukai 2 kali ganda

sedangkan dewasa itu mereka mengalami kebuluran. Secara kebetulan majoriti penduduk

Kweilin adalah anggota Shang Ti Hui.1

 

Jalan Pemberontakan

Pemberontakan Taiping meletus secara rasminya pada 11 Januari 1951 di Chientien

dalam wilayah Kwangsi. Pada September 1851, mereka berjaya menawan Yung An yang

dijadikan sebagai ibu kota sementara Taiping. Dari Yung An, mereka mara ke Utara dan

menawan bandar-bandar seperti Kweilin, Changhwa, Changsha, Liling, Wuchang, Hankow,

Kiukiang, Anking dan sebagainya.2 Semakin jauh tentera Taiping bergerak, semakin ramai

yang menyertai pemberontakan kerana terpengaruh dengan janji-janji Hung Hsiu Chuan serta

kejayaan-kejayaan awal Taiping. Antara tahun 1851-1853, mereka berjaya menawan 600

1 Abdullah Zakaria Ghazali Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan AsiaTimur 1800 - 1963. Sejarah Fajar Bakti Sdn Bhd, Shah Alam, 2000. hlm. 17-18.

2 Abdullah Zakaria Ghazali. op.cit,. hlm. 22

Page 2: Pemberontakan Taiping

bandar dalam 16 wilayah. Pada 19 Mac 1853, mereka berjaya menawan Nanking yang

dijadikan ibu kota Taiping menggantikan Yung An. Pada 21 Mac 1853, Hung Hsiu Chuan

menubuhkan Kerajaan Taiping Tien Kao yang bermaksud “Kerajaan Kesyurgaan Aman

Damai”. Beliau mengisytiharkan dirinya sebagai maharaja kesyurgaan bergelar Tien Wang.

Selepas menubuhkan Kerajaan Taiping di Nanking, Hung Hsiu Chuan mula melaksanakan

rancangan pembaharuan yang terkandung dalam dokumen Tien Chou, Tien Mou, Chih Tu.

      Dari Nanking, satu pasukan tentera seramai 60-70 ribu orang di bawah pimpinan Lin

Feng Hsing dan Li Kai Feng telah dihantar ke Utara untuk menawan ibu kota Peking. Walau

bagaimanapun, pasukan ini berjaya dihancurkan oleh tentera Manchu di Tientsin. Satu lagi

pasukan tentera seramai 50 ribu orang di bawah Lo Ta Kang dihantar ke Barat China.

Pasukan ini juga tidak banyak mencapai kejayaan. Pemimpin-pemimpin Taiping selain dari

Hung Hsiu Chuan ialah Yang Hsiu Ching, Li Hsiu Cheng, Shih Ta Kai, Wei Chang Hui,

Hsiao Chao Kuei, Hung Ta Chuan, Hung Jen Fa, Hung Jen Kao dan sebagainya.

            Kerajaan Taiping kekal sehingga 19 Julai 1864 di mana ia ditumpaskan oleh tentera

Manchu pimpinan Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang

yang mendapat bantuan daripada tentera upahan Barat yang dikenali sebagai “Ever

Victorious Army” di bawah pimpinan Frederick T. Ward dan Charles George Gordon.3

 

Sebab-sebab

1.         Anti Manchu

Wolfgang Franke dalam bukunya “ A Century of Chinese Revolution 1851-1949”

mendakwa semangat kebangsaan khususnya perasaan anti Manchu merupakan faktor utama

yang mengakibatkan meletusnya Pemberontakan Taiping pada tahun 1851. Manchu

merupakan dinasti asing dari Manchuria yang memerintah negeri China sejak tahun 1644.

Akibatnya pemerintahan Manchu tidak disukai oleh orang-orang Cina terutamanya penduduk

wilayah Selatan seperti Kwangtung, Kwangsi dan Fukien. Dalam usaha untuk menentang

Kerajaan Manchu mereka menubuhkan kongsi gelap seperti White Lotus Society, Heaven

and Earth Society, Big Sword Society, Small Sword Society, Long Hair Bandits, Eight

Diagrams dan sebagainya. Mereka melakukan rompakan dan serangan hendap ke atas tentera

Manchu dalam usaha untuk melemahkan Kerajaan Manchu. Bila Hung Hsiu Chuan

mencadangkan satu pemberontakan menentang Manchu, cadangan tersebut mendapat

sokongan ramai orang Cina yang sememangnya anti Manchu. Akibatnya, didapati banyak

kongsi gelap menyertai Taiping dalam usaha menumpaskan Manchu.

3 Abdullah Zakaria Ghazali. op.cit,. hlm. 28

Page 3: Pemberontakan Taiping

2.         Kesengsaraan ekonomi dan sosial

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” dan

Frans Micheal dalam bukunya “The Taiping Rebellion: History and Documents” menegaskan

kesengsaraan ekonomi dan sosial juga merupakan faktor penting mengakibatkan meletusnya

Pemberontakan Taiping.4 Antara tahun 1826-1850, berlaku pelbagai bencana alam seperti

banjir, kemarau dan gempa bumi yang telah merosakkan tanaman. Pada tahun 1840-an, banjir

besar berlaku di sekitar Sungai Tangtze dan kemarau panjang di wilayah Hunan. Selain itu,

penduduk Kwangsi mengalami kebuluran. Pertambahan penduduk yang tidak seimbang

dengan pertambahan tanah pertanian telah menambahkan penderitaan rakyat China.

Penduduk China yang berjumlah 181 juta pada tahun 1751 telah meningkat menjadi 432 juta

pada tahun 1851. Keadaan ini sudah tentu mengakibatkan kemiskinan dan kemerosotan taraf

hidup. Ramai petani kehilangan tanah kerana gagal membayar cukai yang tinggi. Pada

pertengahan abad ke-19, kira-kira 60-90% petani tidak memiliki tanah. Kemarahan orang

China terhadap Kerajaan Manchu disebabkan Menchu tidak berusaha untuk membantu

orang-orang China terutamanya mangsa-mangsa bencana alam. Selain itu, orang-orang China

menganggap bencana alam yang berlaku menandakan Tuhan telah menarik balik mandat

yang diberikan kepada Dinasti Manchu untuk memerintah negeri China.

3.         Kelemahan pentadbiran

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of the Taiping Rebellion”

menganggap korupsi politik menjadi punca Pemberontakan Taiping. Sejak akhir abad ke-18,

terdapat kemerosotan sistem pentadbiran Manchu akibat perbuatan rasuah, penyelewengan

serta ketidakcekapan dalam pentadbiran. Ramai pegawai mengamalkan rasuah untuk

kepentingan diri. Contohnya, Ho Shen seorang pegawai tinggi kerajaan semasa pemerintahan

Maharaja Chien Lung (1736-1796) telah berjaya mengumpul harta sebanyak 800 juta taels.

Jumlah tersebut merupakan separuh daripada pendapatan negeri China dalam tempoh 20

tahun. Selain itu, berlaku penyelewengan dalam jabatan-jabatan kerajaan di mana peruntukan

telah disalahgunakan untuk kepentingan pegawai. Antara jabatan yang terlibat ialah “Yellow

River Conservancy” dan “ Grand Canal Administration”.5

4.         Kelemahan tentera

4 Gilbert Khoo dan Dorothy Loo, Asia Dalam Perubahan- Sejarah Tenggara, Selatan dan Timur Asia, Heinemann Education Books (Asia) Singapura, 1981.

5 Gilbert Khoo dan Dorothy Loo. op.cit,. hlm. 25

Page 4: Pemberontakan Taiping

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of the Taiping Rebellion”

mendakwa sejak akhir abad ke-18, terdapat kelemahan dalam sistem ketenteraan Manchu.

Tentera Manchu tidak berdisiplin, tidak teratur dan tidak bersemangat. Selain itu, terdapat

penyelewengan dalam pentadbiran tentera di mana peruntukan disalahgunakan untuk

kepentingan pegawai-pegawai. Kelemahan tentera Manchu terbukti bila mereka begitu

mudah dikalahkan di Kweilin. Pada Disember 1850, kekalahan ini memberi keyakinan

kepada pengikut-pengikut Taiping bahawa perjuangan mereka untuk menumpaskan Manchu

akan berjaya. Sebelum itu, kelemahan tentera Manchu telah terdedah apabila mereka begitu

mudah dikalahkan oleh British dalam Perang Candu 1839-1842.

5.         Kemasukan Barat

Kemasukan Barat telah mendedahkan Manchu. Buktinya Manchu begitu mudah

dikalahkan oleh British dalam Perang Candu 1839-1842. Selepas Perang Candu, kuasa Barat

mula campur tangan dalam hal ehwal China. Mereka telah menuntut pelbagai keistimewaan

dari Kerajaan Manchu. Kegagalan Manchu untuk menyekat kegiatan Barat menyebabkan

kemarahan orang ramai terhadap Manchu.

Kemasukan Barat juga telah menyebabkan banyak wang China mengalir keluar.

Kemasukan Candu semakin bertambah selepas Perang Candu 1839-1842. Kemasukan Candu

menjejaskan China dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dari segi politik, berlaku

ketidakcekapan dalam pentadbiran, rasuah serta penyelewengan kerana ramai pegawai

kerajaan telah menjadi penagih candu. Dari segi ekonomi, banyak wang China mengalir

keluar kerana mengimport candu. Nilai import candu melebihi nilai eksport barang-barang

lain. Keadaan ini sudah tentu memberi bebanan ekonomi kepada Kerajaan China. Dari segi

sosial, timbul masalah kesihatan dan keruntuhan akhlak kerana ramai rakyat China yang

menjadi penagih candu. Kegagalan Manchu untuk menyekat perdagangan candu telah

menyebabkan kemarahan orang ramai terhadap Manchu.

Pembukaan 5 pelabuhan China kepada pedagang asing iaitu Canton, Foochow, Amoy,

Ningpo dan Shanghai telah mengakibatkan kemasukan barang-barang Barat yang menjadi

saingan barang-barang China. Kemasukan barang-barang Barat telah menjejaskan pasaran

barang-barang tempatan sehingga menyebabkan banyak industri tempatan terpaksa ditutup.

Kedatangan Barat juga telah membawa kepada pengenalan sistem pengangkutan

moden terutamanya kapal yang telah menjejaskan mata pencarian mereka yang bergantung

kepada sistem pengangkutan kuno seperti tongkang dan kereta lembu. Pembukaan Shanghai

Page 5: Pemberontakan Taiping

kepada orang-orang asing pada tahun 1842 juga menjejaskan mata pencarian mereka yang

selama ini menjalankan pengangkutan barang-brang eksport terutamanya teh dan sutera dari

Lembah Yangtze ke Canton.

Kedatangan Barat telah menyebabkan kemasukan agama Kristian yang telah

memecahbelahkan rakyat China. Hung Hsiu Chuan telah menjadikan agama Kristian sebagai

ilham dalam rancangan untuk membentuk satu susunan sosio-ekonomi baru di negeri China.

Beliau juga menjadikan agama Kristian sebagai alat untuk menyatupadukan orang China

menentang Kerajaan Manchu. Beliau telah menyakinkan pengikut-pengikutnya bahawa

peperangan menentang Manchu sebagai peperangan agama. Beliau juga menggunakan agama

Kristian dalam usaha untuk mendapatkan sokongan orang-orang Barat terutamanya

mubaligh-mubaligh.

6.         Diskriminasi Manchu

Dalam menjalankan pentadbiran, Manchu mengamalkan diskriminasi terhadap orang-

orang Cina. Orang-orang Cina tidak diberi peluang untuk memegang jawatan-jawatan

penting. Peluang dalam pentadbiran terbuka luas kepada orang-orang Manchu di mana

mereka dapat hidup dengan mewah dan menikmati pelbagai keistimewaan. Orang-orang Cina

juga terpaksa mematuhi beberapa arahan sebagai tanda taat setia terhadap Kerajaan Manchu.

Di antara arahan itu ialah memakai rencana, membotakkan bahagian hadapan kepala bagi

lelaki dan membungkus kaki bagi wanita. Perkahwinan campuran di antara Manchu dan Cina

diharamkan.

7.         Kezaliman Manchu

Kerajaan Manchu juga melakukan kezaliman terhadap orang-orang Cina terutama

semasa pemerintahan Maharaja Yung Cheng (1723-1736) dan Maharaja Chien Lung (1736-

1796). Contoh, semasa pemerintahan Maharaja Yung Cheng ramai cerdik pandai telah

dibunuh kerana bimbang mereka akan mempengaruhi orang Cina menentang Kerajaan

Manchu. Tindakan tersebut bukan sahaja menyebabkan Manchu tidak dapat kerjasama orang

Cina tetapi juga menimbulkan kebencian orang Cina terhadap Kerajaan Manchu.

8.         Cukai

Sejak 1840-an, Kerajaan Manchu telah mengenakan cukai 2 kali ganda daripada biasa

dengan tujuan untuk menghadapi masalah ekonomi akibat bencana alam, perbelanjaan

peperangan, bayaran ganti rugi dan sebagainya. Tindakan tersebut telah mendapat bantahan

orang-orang Cina wilayah Selatan terutama Kwangtung, Kwangsi, lebih-lebih lagi ramai di

antara mereka mengalami kebuluran.

9.         Ketokohan pemimpin

Page 6: Pemberontakan Taiping

Vincent Y.C. Shih dalam bukunya “The Taiping Ideology” menegaskan ketokohan

pemimpin khususnya pemimpin utama Hung Hsiu Chuan dan Yang Hsiu Ching merupakan

faktor penting mengakibatkan meletusnya Pemberontakan Taiping pada tahun 1851. Hung

Hsiu Chuan merupakan seorang yang berkebolehan dalam mempengaruhi orang ramai

menyertai Pemberontakan Taiping. Beliau berjaya merangka satu program dan ideologi

Taiping yang berjaya menarik sokongan ramai. Malah beliau dianggap sebagai keramat yang

diutuskan untuk membebaskan orang ramai daripada penderitaan. Yang Hsiu Ching

merupakan seorang panglima tentera yang berkebolehan dalam menyusun strategi

peperangan. Beliau berkebolehan dalam mengawal dan mengarahkan pengikut-pengikutnya.

Selain daripada mereka, Taiping juga mempunyai pemimpin-pemimpin lain yang

berkebolehan seperti Lin Fang Sing, Yang Hsiu Ching, Hsio Chuo Kuei, Hung Jen Fa.

Pemberontakan Taiping juga meletus kerana bilangan tentera Taiping lebih ramai, teratur,

berdisiplin, bersemangat dan mereka amat patuh kepada arahan ketuanya. Tentera Taiping

dikawal oleh 62 artikel undang-undang tentera. Selain daripada peraturan-peraturan yang

berkaitan dengan khemah dan ekspedisi tentera.

10.     Kawasan Selatan

Kawalan Kerajaan Manchu di kawasan Selatan amat lemah kerana tumpulan mereka

ialah di Utara khususnya di ibu kota Peking. Keadaan ini menyedarkan pengikut-pengikut

Taiping bahawa mereka akan berjaya. Akibatnya kita dapat Pemberontakan Taiping bermula

di kawasan Selatan.

11.     Masalah lain

Pada tahun 1840-an dan 1850-an, Kerajaan Manchu menghadapi pelbagai masalah

seperti bencana alam, Pemberontakan Nien, Pemberontakan Muslim, masalah ekonomi dan

sebagainya. Walaupun Perjanjian Nanking telah ditandatangani, hubungan di antara British

dan China masih lagi runcing sehingga mengakibatkan peperangan pada tahun 1856-1860.

Perkembangan ini menyedarkan pengikut-pengikut Taiping bahawa perjuangan mereka akan

berjaya kerana Kerajaan Manchu tidak akan dapat menumpukan sepenuh perhatian bagi

menghadapi Taiping.

12.     Rancangan pembaharuan

Rancangan pembaharuan Taiping yang terkandung dalam dokumen Tien Chau Tien

Mou Chih Tu mengandungi idea-idea progresif yang menarik sokongan ramai. Dasar

pembahagian tanah dan hak milik bersama ke atas harta telah menarik sokongan petani-petani

miskin di Selatan China. Selain itu, rancangan pembaharuan Taiping idea-idea progresif lain

seperti persamaan seks, serta penghapusan perbuatan-perbuatan buruk seperti pelacuran,

Page 7: Pemberontakan Taiping

perjudian, menghisap candu, menghisap tembakau dan sebagainya. Idea-idea tersebut telah

menyatupadukan pengikut-pengikut Taiping dalam rancangan mereka untuk membentuk satu

susunan ekonomi baru di negeri China.

 

Rancangan Pembaharuan

Rancangan pembaharuan Taiping terkandung dalam dokumen Tien Chou Tien Mou chih Tu.

1.         Politik

Sistem pentadbiran Taiping berdasarkan teks klasik China Chou Li. Pemerintahan

tertinggi ialah Maharaja Kesyurgaan bergelar Tien Wang. Baginda menjadi ketua bagi hal

keduniaan dan akhirat. Di bawahnya terdapat 5 orang raja yang menjadi ketua awam dan

tentera. Di bawah mereka terdapat menteri digelar Cheng Hsiang, penyelia Chien Tien,

komander – Chih Hui dan jenaral – Chiang Chun. Semua pengikut Taiping adalah tentera

tidak kira lelaki atau wanita. Semasa peperangan, mereka menjadi tentera dan semasa aman

menjadi petani.6 Walau bagaimanapun, terdapat juga tentera Taiping sepenuh masa. Tentera

Taiping dikawal oleh 62 artikel undang-undang tentera selain daripada peraturan-peraturan

yang berkaitan dengan khemah atau ekspedisi tentera. Unit yang paling kecil dalam

pentadbiran Taiping ialah keluarga. 25 keluarga digabungkan di bawah satu pentadbiran yang

dikenali sebagai keluarga 25. Tiap-tiap keluarga 25 akan mempunyai sebuah gereja dan

sebuah gudang. Keluarga 25 akan diketuai seorang pegawai berpangkat Sarjan bergelar Liang

Ssi Maa. Beliau menjadi ketua awam dan tentera serta menjadi guru, hakim dan sebagainya.

Peperiksaan awam akan diadakan setahun sekali untuk mengisi jawatan-jawatan dalam

pentadbiran.

2.         Ekonomi

Kegiatan ekonomi asas Taiping ialah pertanian. Tanah dibahagikan kepada 9 gred

mengikut mutu dan diserahkan kepada setiap keluarga berdasarkan bilangan ahli. Tanah

dibahagikan sama rata dan tidak kira lelaki atau wanita. Mereka yang berumur 16 tahun ke

atas mendapat satu bahagian dan yang berumur di bawah 16 tahun mendapat separuh

bahagian. Harta menjadi hak milik bersama dan hak milik persendirian diharamkan. Taiping

juga mempunyai sebuah kenderaan yang akan menguruskan perkahwinan, kelahiran dan

kematian. Pengikut-pengikut Taiping juga digalakkan terlibat dalam kegiatan ekonomi lain

seperti pertukangan tangan dan penternakan bagi menambahkan pengeluaran. Wolfgang

6 Shih, Vincent, Y.C The Taiping Ideology , University of Washington Press,Seattle, 1967.

Page 8: Pemberontakan Taiping

Franke, Paul H. Cylde dan Burtan F. Beers menegaskan dasar tanah Taiping hanya dijalankan

di wilayah-wilayah tertentu untuk tempoh yang terhad.7

3.         Sosial

Taiping mengamalkan persamaan taraf di antara lelaki dan wanita. Undang-undang

telah dikeluarkan untuk menjatuhkan hukuman berat ke atas mereka yang memperkosa

wanita. Wanita dibenarkan mengambil peperiksaan dan dilantik sebagai pegawai seperti

lelaki. Taiping menghapuskan amalan-amalan tradisional seperti pelacuran dan membungkus

kaki. Poligami diharamkan dan Taiping mengamalkan monogami. Perkahwinan di gereja

mengikut adat Barat dijalankan di Taiping juga akan menghapuskan amalan buruk seperti

perjudian, menghisap candu, menghisap tembakau dan sebagainya. Agama Kristian dijadikan

agama rasmi Kerajaan Taiping. Mereka akan memusnahkan tokong-tokong dan patung-

patung agama Buddha dan ajaran Tao. Taiping menggunakan kalendar baru berdasarkan

peredaran bulan dan matahari.

 

Sebab berjaya

1.         Rancangan pembaharuan

Rancangan Pemberontakan Taiping yang terkandung dalam dokumen Tien Chou Tien

Mou Chih Tu mengandungi idea-idea progresif yang menarik sokongan ramai. Dasar

pembahagian tanah dan hak milik bersama ke atas harta telah menarik sokongan petani-petani

miskin di Selatan China. Selain itu, rancangan pembaharuan Taiping juga mengandungi idea-

idea progresif lain seperti persamaan seks serta menghapuskan perbuatan buruk seperti

perjudian, pelacuran, menghisap candu, menghisap tembakau dan sebagainya. Idea-idea

tersebut telah menyatupadukan pengikut-pengikut Taiping dalam rancangan mereka untuk

membentuk satu susunan sosioekonomi baru di negeri China.

2.         Kekuatan tentera/ketokohan pemimpin

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of The Taiping Rebellion”

mendakwa bahawa tentera Taiping merupakan faktor yang menjayakan Pemberontakan

Taiping. Bilangan tentera Taiping adalah lebih ramai, teratur, berdisiplin, bersemangat dan

mereka patuh kepada arahan ketuanya. Tentera Taiping dikawal oleh 62 artikel undang-

undang tentera selain daripada peraturan-peraturan yang berkaitan dengan khemah dan

ekspedisi tentera. Vincent Y.C. Shih pula dalam bukunya “The Taiping Ideology”

7 Shih, Vincent, Y.C. op.cit,. hlm. 22

Page 9: Pemberontakan Taiping

menegaskan ketokohan pemimpin utama Hung Hsiu Chuan dan Yang Hsiu Ching telah

mempercepatkan kejayaan Pemberontakan Taiping. Hung Hsiu Chuan merupakan seorang

yang berkebolehan dalam mempengaruhi orang ramai menyertai Pemberontakan Taiping.

Beliau berjaya merangka satu program dan ideology Taiping yang dapat menarik sokongan

ramai. Malah beliau dianggap sebagai keramat yang diutuskan untuk membebaskan orang

Cina daripada penderitaan.8 Yang Hsiu Chuan pula merupakan seorang panglima tentera

yang berkebolehan dalam menyusun strategi peperangan. Beliau berkebolehan dalam

mengawal dan mengarahkan pengikut-pengikutnya. Selain itu, Taiping juga mempunyai

pemimpin-pemimpin yang berkebolehan yang lain seperti Li Hsiu Cheng, Wei Chang Hui,

Shih Ta Kai, Hsio Chao Kuei, Hung Jen Fa, Hjng Jen Kao dan sebagainya. Terdapat

kerjasama yang erat antara pemimpin-pemimpin Taiping pada tahap awal pemberontakan.

Dewasa itu, tentera Manchu tidak berdisiplin, tidak bersemangat, tidak teratur dan tidak

terdapat kerjasama antara pemimpin-pemimpin Manchu. Semasa berlakunya Pemberontakan

Taiping, tentera Manchu belum lagi pulih daripada kekalahan di tangan British dalam Perang

Candu 1839-1842.

3.         Anti-Manchu

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949”

menegaskan dasar anti Manchu yang diperjuangkan telah membolehkan populariti Taiping.

Dasar tersebut telah mendapat sokongan orang-orang Cina di Selatan terutamanya penduduk

wilayah Kwangtung, Kwangsi dan Fukien yang sememangnya anti Manchu. Dasar anti

Manchu ini juga telah menarik sokongan kongsi gelap yang selama ini menjalankan gerakan

anti Manchu. Akibatnya, banyak kongsi gelap menyertai Taiping. Antaranya ialah White

Lotus Society, Heaven and Earth Society, Big Sword Society, Small Sword Society, Eight

Diagrams dan sebagainya.

4.         Agama

Tanping memperjuangkan agama Kristian. Perjuangan ini dapat sokongan orang-

orang Cina kerana mereka menganggap agama baru ini akan membawa harapan yang lebih

baik kepada kehidupan mereka. Akibatnya, Taiping dapat sokongan ramai orang Cina yang

baru memeluk agama Kristian. Selain itu, pengikut-pengikut Taiping telah diyakinkan

bahawa perjuangan menentang Manchu sebagai peperangan agama.

5.         Dasar berkecuali kuasa Barat

8 MacAleavy, Henry.The Modern History of China, Weidenfeld and Nicholson,London,1977.

Page 10: Pemberontakan Taiping

Dasar berkecuali kuasa Barat pada tahap awal pemberontakan telah membolehkan

Taiping berkembang tanpa menghadapi banyak halangan kerana Manchu terlalu lemah untuk

menghancurkan mereka. Terdapat pedagang-pedagang terutamanya pedagang British dan

Perancis yang memberi bantuan senjata kepada Taiping kerana mereka tidak berpuas hati

dengan tindakan Kerajaan Manchu yang masih menekan perdagangan asing. Selain itu,

Taiping juga dapat sokongan mubaligh-mubaligh kerana Taiping memperjuangkan agama

Kristian.

6.         Kawasan Selatan

Kawalan Kerajaan Manchu di kawasan Selatan amat lemah kerana tumpuan mereka

ialah di Utara, khususnya di ibu kota Peking. Menyedari hakikat ini, Hung Hsiu Chuan telah

memulakan pemberontakan di kawasan Selatan dan dengan mudah mereka telah berjaya

menawan tempat-tempat tersebut. Antara 1851-1853, mereka berjaya menawan 600 bandar

dalam 16 wilayah.

7.         Masalah lain

Pada tahun 1840-an dan 1850-an, Kerajaan Manchu telah menghadapi pelbagai

masalah seperti bencana alam, Pemberontakan Nien, Pemberontakan Muslim, masalah

ekonomi dan sebagainya. Walaupun Perjanjian Nanking telah ditandatangani, hubungan

British dan China masih runcing sehingga mengakibatkan peperangan pada tahun 1856-1860.

Perkembangan ini telah memberi peluang kepada pengikut-pengikut Taiping untuk

meneruskan perjuangan mereka tanpa menghadapi tekanan daripada Kerajaan Manchu.

8.         Strategi yang betul

Strategi perjuangan Taiping menjadi faktor penting yang menjayakan perjuangan

mereka. Taiping memulakan serangan di kawasan di mana kawalan Kerajaan Manchu amat

lemah. Keadaan ini membolehkan mereka mudah menguasai kawasan-kawasan yang

diserang. Kejayaan mudah ini juga telah menaikkan semangat mereka dan menambahkan

keyakinan pemimpin dan pengikut terhadap perjuangan Taiping.

9.         Gudang senjata

Pada tahun 1853, Taiping berjaya menawan gudang senjata tentera Manchu di

Wuchow. Kejayaan ini membolehkan mereka menggunakan senjata-senjata tersebut untuk

menentang Manchu.

 

Sebab gagal

1.         Tidak mendapat sokongan sarjana ningrat

Page 11: Pemberontakan Taiping

Paul H. Clyde dan Burtan F. Beers dalam buku mereka “The Far East” mendakwa

kegagalan Taiping berpunca daripada ketiadaan sokongan golongan sarjana ningrat. Malah

wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949” dan

Fairbank dalam bukunya “East Asia: Modern Transformation” menegaskan Kerajaan

Manchu telah diselamatkan daripada Pemberontakan Taiping oleh golongan sarjana ningrat.

Golongan ini amat berpengaruh dalam masyarakat China tradisional. Mereka menentang

Taiping kerana ideologi Taiping mengandungi konsep Kristian dan juga kerana Taiping

menentang birokrasi Confucius yang dianggap sebagai korup. Selain itu, sistem pentadbiran

Taiping mengancam susunan sosial tradisional di mana golongan sarjana ningrat mempunyai

kedudukan yang tinggi dan menikmati pelbagai keistimewaan. Akibatnya, ramai sarjana

ningrat menyokong Kerajaan Manchu untuk menumpaskan Taiping. Antara mereka ialah

Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang. Tseng Kao Fan

telah menubuhkan pasukan tentera moden dan handal di Hunan. Beliau berjaya menawan

kawasan Yangtze tengah termasuk Hupei dan Hanyang daripada Pemberontakan Taiping. Li

Hung Chang pula telah menubuhkan pasukan tentera yang moden dan dilengkapkan dengan

senjata Barat di Anhwei. Dengan bantuan orang-orang Barat, beliau berjaya menawan

kawasan Yangtze hilir daripada Taiping. Malah keruntuhan sebenar Kerajaan Taiping

berpunca daripada tindakan golongan sarjana ningrat. Pada 19 Julai 1864, Tseng Kao Chuan

telah berjaya menawan Nanking yang merupakan ibu kota dan kubu terakhir Taiping.

Pengganti Hung Hsiu Chuan, iaitu Hung Fu ditawan dan dibunuh.

2.         Korupsi politik

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of The Taiping Rebellion”

mendakwa korupsi politik juga merupakan faktor penting yang menggagalkan perjuangan

Taiping. Selepas tertubuhnya Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853, pemimpin-

pemimpin Taiping mula melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ideologi.

Mereka menjadi malas, boros, mengamalkan kehidupan mewah dan melakukan perbuatan

maksiat seperti perjudian, menghisap candu, menghisap tembakau, mengambil minuman

keras dan sebagainya. Walaupun poligami diharamkan, tetapi terdapat pemimpin Taiping

yang mengamalkannya. Sebagai contoh, Hung Hsiu Chuan mempunyai 300 orang isteri

selain daripada gundik-gundik. Ramai di antara mereka menyimpan gundik dan menyimpan

harta untuk kepentingan diri sedangkan ia bertentangan dengan ideologi. Cara hidup yang

sedemikian telah mengakibatkan kemerosotan pengaruh serta disiplin pemimpin dan

menghilangkan keyakinan pengikut terhadap perjuangan Taiping.

3.         Kelemahan pemimpin

Page 12: Pemberontakan Taiping

Vincent Y.C. Shih dalam bukunya “The Taiping Ideology” menegaskan kelemahan

pemimpin juga mengakibatkan kegagalan Taiping. Mereka berkebolehan dalam menyusun

strategi peperangan, tetapi mereka tidak berkebolehan dalam pentadbiran. Sebagai contoh,

Hung Hsiu Chuan sendiri gagal dalam peperiksaan untuk menjadi pegawai sarjana.

Akibatnya, selepas tertubuh Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853, pentadbiran yang

berkesan tidak dapat dijalankan. Mereka bukan sahaja tidak melaksanakan rancangan

pembaharuan, tetapi juga melakukan kesilapan ketenteraan. Selepas tahun 1856, Taiping

telah kehilangan pemimpin-pemimpin yang berkebolehan seperti Feng Yun Shan, Yang Hsiu

Ching, Li Hsiu Cheng, Wei Chang Hui, Hsia Chao Kuei, Lin Feng Hsing, Li Kai Feng, Lo Ta

Kang dan sebagainya kerana terbunuh dalam pertempuran dengan Manchu, terbunuh dalam

pertempuran sesama Taiping atau membunuh diri. Tanpa pemimpin-pemimpin yang

berkebolehan telah mempercepatkan kehancuran Kerajaan Taiping. Hung Hsiu Chuan

merupakan seorang yang degil dan tidak akan menerima nasihat orang lain. Beliau

mengamalkan nepotisme di mana jawatan-jawatan penting diserahkan kepada kaum

keluarganya. Beliau telah melantik saudara-saudaranya menjadi pemerintah wilayah-wilayah

yang ditawan oleh Taiping. Malah beliau telah memecat seorang pemimpin yang berjasa,

iaitu Shih Ta Kai dan digantikan dengan adik-adiknya iaitu Hung Jen Fa dan Hung Jen Kao.

Tindakan Hung Hsiu Chuan menyebabkan ramai pemimpin dan pengikut meninggalkan

perjuangan Taiping. Terdapat sebahagian mereka menyebelahi Manchu untuk menentang

Taiping.

4.         Sokongan tidak menyeluruh

Wolfgang Franke dalam bukunya “A Century of Chinese Revolution 1851-1949”

menegaskan Taiping tidak mendapat sokongan yang menyeluruh dan tidak dianggap sebagai

kebangkitan nasional. Taiping hanya dapat sokongan petani-petani miskin di selatan China.

Golongan menengah seperti tuan tanah dan pegawai sarjana tidak menyokong kerana

pentadbiran Taiping akan menjejaskan kepentingan mereka. Walaupun pemberontakan

Taiping merupakan kebangkitan orang Cina menentang Manchu, tetapi masih ramai orang

Cina terutamanya penduduk wilayah Utara menyokong Manchu. Malah pegawai-pegawai

sarjana yang bertanggungjawab menumpaskan Taiping seperti Tseng Kao Fan, Tseng Kao

Chuan, Tso Tsung Tang dan Li Hung Chang adalah terdiri daripada orang Cina.9 Franz

Micheal dalam bukunya “The Taiping Rebellion: History and Documents” menegaskan

Taiping gagal mendapat sokongan yang menyeluruh dan berterusan daripada petani-petani.

Petani-petani hanya menyokong Taiping pada tahap awal pemberontakan. Mereka

9 MacAleavy, Henry .op.cit,. hlm. 22

Page 13: Pemberontakan Taiping

kemudiannya menarik balik sokongan apabila mendapati pemimpin-pemimpin Taiping tidak

melaksanakan rancangan pembaharuan, terutamanya pembaharuan ekonomi seperti yang

dijanjikan. Petani-petani tidak berpuas hati kerana kebajikan mereka diabaikan. Perasaan

tidak puas hati petani bertambah bila mereka mendapati pemimpin-pemimpin Taiping

mengamalkan kehidupan mewah dan mengumpul harta untuk kepentingan diri sedangkan ia

bertentangan dengan ideologi. Akibatnya ramai petani meninggalkan perjuangan Taiping.

5.         Pergelutan sesama Taiping

Pergelutan yang berlaku semasa Taiping juga mengakibatkan kehancuran Kerajaan

Taiping. Pendapat ini disokong oleh Vincent Y.C. Shih dalam bukunya “The Taiping

Ideology”. Pergelutan pertama berlaku antara kongsi gelap Small Sword Society dengan

Shang Ti Hui kerana Hung Hsiu Chuan lebih mengutamakan Shang Ti Hui. Akibatnya Small

Sword Society meninggalkan Taiping dan menguasai Shanghai. Pergelutan kedua berlaku

antara puak Kwongtung pimpinan Hung Hsiu Chuan dengan puak Kwangsi pimpinan Yang

Hsiu Ching kerana Hung Hsiu Chuan mengutamakan puak Kwangtung. Hung Hsiu Chuan

juga bimbang terhadap perkembangan pengaruh pemimpin lain di Nanking yang dianggap

boleh mencabar kekuasaannya. Pada 2 September 1856, beliau mengarahkan Wei Chang Hui

membunuh Yang Hsiu Ching serta pengikut-pengikutnya. Selepas peristiwa tersebut, Wei

Chang Hui pula dibunuh oleh Hung Hsiu Chuan. Pergelutan sesama Taiping telah

mengorbankan kira-kira 30 ribu pengikut. Dalam usaha untuk menghapuskan pengaruh

pimpinan lain di Nanking, Hung Hsiu Chuan mengarahkan Lin Feng Hsing dan Li Kai Feng

menyerang Peking dan Lo Ta Kang menyerang Barat China. Akibatnya, ketiga-tiga

pemimpin tersebut terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Manchu. Tanpa perpaduan

yang erat antara pemimpin-pemimpin Taiping seperti pada tahap awal pemberontakan telah

mempercepatkan kehancuran Taiping.

6.         Sokongan Barat

Pada tahap awal pemberontakan, pihak Barat menyokong Taiping. Mereka

kemudiannya menarik balik sokongan selepas tertubuh Kerajaan Taiping di Nanking pada

tahun 1853. pedagang-pedagang menarik balik sokongan kerana pentadbiran Taiping

menjejaskan kegiatan perdagangan mereka di China. Mubaligh-mubaligh menarik balik

sokongan kerana Kristian yang diperjuangkan oleh Taiping bertentangan dengan ajaran

Kristian yang sebenarnya. Terdapat pedagang-pedagang Barat terutamanya pedagang British

dan Perancis memberi bantuan kepada Manchu untuk menumpaskan Taiping. Malah kuasa-

Page 14: Pemberontakan Taiping

kuasa Barat tetapi menubuhkan tentera upahan yang terdiri daripada orang Cina dikenali

sebagai “Ever Victoriuos Army” untuk menentang Taiping. Tentera ini dipimpin oleh

Frederick T. Ward dan sejak 21 November 1862, pimpinan oleh Charles George Gordon.

“Ever Victorious Army” bertanggungjawab menumpaskan Taiping di Shanghai, Soochow,

Ningpo dan Chekiang.

7.         Kelemahan tentera

Ssu Yu Teng dalam bukunya “New Light on the History of the Taiping Rebellion”

mendakwa kelemahan tentera juga mengakibatkan kegagalan Taiping. Tentera Taiping yang

terdiri daripada petani-petani bukan sahaja tidak terlatih, tetapi juga menggunakan senjata-

senjata kuno seperti pedang, lembing dan panah. Menjelang tahun 1860-an, tentera Manchu

lebih terlatih serta menggunakan senjata-senjata moden bantuan Barat. Selepas tahun 1856,

terdapat kemerosotan disiplin serta semangat tentera Taiping akibat perkembangan yang

berlaku dalam pergerakan tersebut.

8.         Ideologi kabur

Ideologi Taiping terlalu kabur bukan sahaja kepada pengikut tetapi juga kepada

pemimpin. Ideologi Taiping yang merupakan campuran ajaran Kristian dengan kepercayaan

orang Cina sukar difahami. Malah tindakan mencampuradukkan ajaran Kristian dengan

kepercayaan Cia dianggap sebagai percubaan untuk menghancurkan Tamadun China.

9.         Masalah lain

Menjelang tahun 1860-an, beberapa masalah yang dihadapi oleh Manchu telah

berjaya diselesaikan. Masalah hubungan yang runcing dengan kuasa-kuasa Barat telah

ditamatkan dengan termeterainya Perjanjian Tientsin (26 Jun 1858) dan Perjanjian Peking

pada 24 Oktober 1860. Keadaan ini membolehkan Manchu menumpukan sepenuh perhatian

untuk menumpaskan Taiping.

10.     Kesilapan strategi

Kesilapan strategi juga mengakibatkan kegagalan Taiping. Pada tahap awal

Pemberontakan Taiping, Taiping begitu mudah menumpaskan tentara Manchu. Akibatnya

mereka beranggapan tentera Manchu terlalu lemah. Anggapan ini semakin mereka yakini

kerana antara 1851-1853, mereka berjaya menawan 600 bandar dalam 16 wilayah.10 Akibat

anggapan ini, mereka tidak berusaha untuk mengukuhkan pertahanan wilayah-wilayah yang

ditawan. Keadaan ini membolehkan Manchu kemudiannya menawan semula wilayah-

10 Michael, Franz, The Taiping Rebellion History and Documents, Seattle and London,University of Washington, 1966

Page 15: Pemberontakan Taiping

wilayah ersebut satu per satu. Tindakan Hung Hsiu Chuan membiarkan Small Sword Society

yang keluar dari Taiping menguasai Shanghai dianggap sebagai satu kesilapan. Shanghai

kemudiannya digunakan oleh Manchu dan pihak Barat sebagai pangkalan untuk menyerang

Taiping di Nanking. Tindakan Hung Hsiu Chuan tidak meneruskan serangan ke Utara dan

menawan ibu kota Peking dianggap sebagai kesilapan strategi. Kejayaan Taiping menawan

kawasan Selatan dan menubuhkan kerajaan di Nanking tidak banyak menjejaskan

pentadbiran Manchu yang berpusat di Peking. Pihak Manchu kemudiannya menyusun

strategi dan menawan kembali wilayah-wilayah yang dikuasai oleh Taiping.

11.     Kemusnahan

Kemusnahan yang dilakukan oleh Taiping bukan sahaja tidak dapat sokongan Barat

tetapi juga orang Cina. Taiping dianggap lebih banyak membawa penderitaan daripada

kebajikan. Akibatnya ramai orang Cina menyokong Manchu untuk menumpaskan Taiping.

12.     Rancangan pembaharuan

Sejak tahun 1861, Kerajaan Manchu di bawah Maharaja Tung Chih melaksanakan

pembaharuan yang dikenali sebagai Gerakan Memperkuatkan Diri dengan bantuan orang-

orang Barat. Di antara tokoh yang menjayakan rancangan pembaharuan ini ialah Li Hung

Chang, Tseng Kao Fan, Tseng Kao Chuan, Tso Tsung Tang dan Putera Kung. Rancangan

pembaharuan ini merangkumi bidang politik, ekonomi, sosial dan ketenteraan. Dari segi

politik, China menamatkan dasar isolasi dan seterusnya mengadakan hubungan diplomatik

dengan kuasa-kuasa Barat. Dalam bidang ekonomi, banyak kilang telah didirikan. Dalam

bidang sosial, pelajaran Barat diperkenalkan dan terdapat rakyat China yang dihantar

melanjutkan pelajaran di seberang laut. Dalam bidang ketenteraan, tentera China dilatih

mengikut teknik Barat dan menggunakan senjata-senjata moden. Rancangan pembaharuan ini

dianggap akan memberi banyak kebaikan kepada orang-orang Cina. Akibatnya mereka

menyokong Manchu untuk menumpaskan Taiping supaya rancangan pembaharuan akan

dijalankan tanpa gangguan.

13.     Kematian Hung Hsiu Chuan

Kematian Hung Hsiu Chuan kerana membunuh diri pada 1 Jun 1864 telah

menyebabkan Taiping kehilangan pemimpin agung. Puteranya Hung Fa yang dilantik sebagai

Maharaja baru merupakan pemerintah yang lemah dan tidak dapat menjalankan pentadbiran

dengan berkesan. Pada 19 Julai 1864, beliau ditangkap dan dibunuh.

 

Page 16: Pemberontakan Taiping

Kesan-kesan

1.         Kemusnahan harta benda dan nyawa

Pemberontakan Taiping telah mengakibatkan kemusnahan banyak harta benda dan

nyawa. Ahli-ahli sejarah telah menganggarkan sebanyak 20 juta hingga 40 juta orang yang

terkorban dalam tempoh pemberontakan selama 11 tahun.

2.         Jenayah

Pemberontakan Taiping juga menimbulkan kesulitan ekonomi disebabkan berlakunya

kemusnahan tanaman. Akibatnya, kehidupan rakyat China semakin terhimpit menyebabkan

mereka terlibat dalam kongsi gelap serta melakukan pelbagai jenayah seperti merompak,

mencuri, memeras ugut dan sebagainya.

3.         Tempat bersejarah

Banyak tempat bersejarah juga musnah dalam Pemberontakan Taiping. Antaranya

ialah Pagoda Tembikar yang mempunyai ketinggian sebanyak 260 kaki yang berada di

Nanking, perpustakaan-perpustakaan, rumah-rumah ibadat dan sebagainya. Pemusnahan

tersebut telah menyebabkan pihak China kehilangan banyak benda yang berharga

terutamanya buku-buku dan karya yang bernilai.

4.         Penghijrahan

Selepas Pemberontakan Taiping, ramai rakyat China mula berhijrah ke seberang laut,

terutamanya ke Asia Tenggara. Penghijrahan rakyat China semakin hebat apabila British

menjalankan perdagangan kuli bagi memenuhi keperluan tenaga buruh di Asia Tenggara.

Orang-orang China sanggup berhijrah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap

Kerajaan Manchu serta untuk melarikan diri daripada penderitaan di negeri China. Bekas-

bekas pengikut Taiping pula berhijrah ke seberang laut untuk melarikan hukuman Kerajaan

Manchu.

5.         Perasaan anti asing

Pemberontakan Taiping telah menambahkan perasaan anti asing di kalangan rakyat

China. Mereka telah menjalankan kegiatan menentang kegiatan orang Barat serta pengaruh

mereka di China. Misalnya pada 21 Jun 1870, mereka telah menyerang rumah kanak-kanak

yatim Kristian di Tientsin menyebabkan 20 orang terbunuh termasuk 10 orang rahib. Pada

tahun 1875, Raymond Margary serta 5 orang China yang menjadi pengikutnya telah dibunuh

semasa menjalankan penyelidikan untuk mencari jalan darat dari Burma ke China.

6.         Penglibatan orang Barat

Page 17: Pemberontakan Taiping

Sejak tahun 1861, ramai orang Barat terlibat dalam hal-ehwal pentadbiran orang

China. Mereka dilantik untuk membantu China memodenkan pentadbiran mengikut sistem

pentadbiran Barat. Semasa perlaksanaan “Gerakan Memperkuatkan Diri” pihak China telah

mengambil ramai pegawai Barat untuk memodenkan China dari segi politik, ekonomi dan

sosial. Antara mereka ialah Robert Hart, Horatio N. Lay dan W.A.P. Martin.

7.         Pemberontakan lain

Pemberontakan Taiping turut mempengaruhi kepada berlakunya pemberontakan-

pemberontakan lain di China. Misalnya Pemberontakan Nien 1853-1868, Pemberontakan

Muslim 1855-1872 dan Revolusi 1911 yang dipimpin oleh Dr. Sun Yat Sen untuk

menggulingkan Kerajaan Manchu. Karl Marx telah menganggap pemberontakan ini sebagai

kebangkitan rakyat yang tertindas menentang Kerajaan Manchu yang kejam. Mao Tze Tung

pula menggunakan strategi Pemberontakan Taiping untuk menjayakan perjuangan Parti

Komunis China (PKC).

8.         Komunis primitif

Ahli-ahli sejarah menganggap Pemberontakan Taiping sebagai permulaan komunis

yang berbentuk primitif. Pendapat ini disebabkan terdapat persamaan antara perjuangan

Taiping dengan komunisme. Misalnya dari segi strategi peperangan, mereka memulakan

usaha penawanan wilayah dengan menguasai kawasan di mana kawalan kerajaan pusat

adalah lemah. Dari segi struktur sosial pula mereka mengamalkan dasar hak milik bersama

dalam soal harta serta mengharamkan hak milik persendirian.

9.         Orang Cina

Kesan daripada Pemberontakan Taiping, Kerajaan Manchu mula memberi perhatian

kepada orang Cina di mana mereka diberi peluang yang lebih luas untuk memegang jawatan-

jawatan dalam pentadbiran. Tindakan Manchu bukan sahaja ingin mengenang jasa orang

China kerana membentu menumpaskan Pemberontakan Taiping, malah juga bertujuan untuk

mengelakkan kebangkitan Cina bagi menggulingkan Manchu. Akibatnya, bilangan orang

Cina yang memegang jawatan pentadbiran bertambah. Misalnya, antara 1861-1894, seramai

34 orang Cina dilantik sebagai Gabenor Jeneral dan 104 orang sebagai Gabenor.

10.     Kemerosotan ekonomi

Pemberontakan Taiping juga menjejaskan ekonomi China. Dalam menghadapi

pemberontakan, China terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak. Selain itu, pihak

China juga kehilangan hasil cukai kerana tidak dapat memungut cukai di wilayah-wilayah

Selatan yang dikuasai oleh Taiping selama 11 tahun. Kemusnahan tanaman akibat daripada

pemberontakan telah menjejaskan lagi ekonomi China.

Page 18: Pemberontakan Taiping

11.     Pemimpin wilayah

Selepas Pemberontakan Taiping, pengaruh pemimpin wilayah mulai menonjol.

Golongan ini memainkan peranan yang amat penting dalam usaha menumpaskan Taiping.

Antara mereka ialah Tso Tsung Tang, Tseng Kao Fan, Li Hung Chang dan Tseng Kao

Chuan. Bagi mengenang jasa mereka, pihak Manchu telah mengiktiraf kuasa mereka.

Berikutan dengan itu, pengaruh mereka bertambah kukuh. Keturunan golongan ini

kemudiannya menjadi hulubalang dalam Zaman hulubalang 1916-1927.

12.     Kelemahan Manchu

Berlakunya Pemberontakan Taiping juga mendedahkan kelemahan Manchu. Buktinya

Manchu gagal mematahkan Pemberontakan Taiping menyebabkan pengikut-pengikut

Taiping berjaya menawan banyak tempat di wilayah Selatan dan seterusnya menubuhkan

Kerajaan Taiping di Nanking pada tahun 1853. Kerajaan Taiping kekal selama 11 tahun dan

hanya ditumpaskan pada tahun 1864. Kerajaan Manchu hanya berjaya menumpaskan

Kerajaan Taiping selepas mendapat bantuan daripada pegawai wilayah seperti Tseng Kao

Fan dan Li Hung Chang serta bantuan dari pihak Barat. Hal ini jelas menunjukkan Kerajaan

Manchu tidak akan mampu menghadapi Taiping secara penderitaan.