negara dan pemimpin dalam sulalatus salatin

19
Negara dan Pemimpin Dalam Sulalatus Salatin Negara dan Pemimpin Dalam Sulalatus Salatin KARYA-KARYA tradisional Melayu akan berfokus kepada raja yang diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Keagungan raja dan negara diangkat menjadi persoalan utama dalam karya-karya kesusasteraan. Oleh itu, raja di diberikan gambaran-gambaran hebat termasuklah diwarnai dengan unsur- unsur dongeng dan mitos. Sulalatus Salatin misalnya; mengaitkan nasab raja-raja Melaka dengan Iskandar Dzulkarnain dari Makadunia. Selain itu, keagungan raja juga digambarkan oleh pengarang-pengarang sastera Melayu tradisional melalui peristiwa yang dianggap penting. Dalam Hikayat Raja- raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong Mahawangsa misalnya, terdapat peristiwa-peristiwa ajaib tentang proses pengislaman raja- rajanya. Misalnya, mereka bermimpi bertemu Nabi Muhammad, diludahi mulut mereka oleh Baginda dan tiba-tiba boleh mengucap dua kalimah syahadat dan juga kejadian brrkhatan melalui mimpi. Definisi pemimpin, kepimpinan dan kenegaraan Rosalynn Carter mendefinisikan pemimpin sebagai “Seorang pemimpin biasa membawa orang lain ke tempat yang ingin mereka tuju”. Seorang pemimpin yang luar biasa membawa para pendukung ke tempat yang mungkin tidak ingin mereka tuju, tetapi yang harus mereka tuju. Jim Collin menyebut bahawa pemimpin memiliki beberapa tingkatan, terendah adalah pemimipin yang andal, kemudian pemimpin yang menjadi bagian dalam tim, lalu pemimpin yang memiliki visi, tingkat yang paling tinggi adalah pemimpin yang bekerja bukan berdasarkan ego pribadi, tetapi untuk kebaikan organisasi dan bawahannya. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga ( 2000 )menyatakan, pemimpin adalah orang yang memimpin dan difahamkan bertindak sebagai juru tunjuk.

Upload: cyrilraincream

Post on 04-Dec-2015

76 views

Category:

Documents


7 download

DESCRIPTION

sulalatus salatin

TRANSCRIPT

Negara dan Pemimpin Dalam Sulalatus Salatin

Negara dan Pemimpin Dalam Sulalatus Salatin

KARYA-KARYA tradisional Melayu akan berfokus kepada raja yang diletakkan pada

kedudukan yang tinggi. Keagungan raja dan negara diangkat menjadi persoalan

utama dalam karya-karya kesusasteraan. Oleh itu, raja di diberikan gambaran-

gambaran hebat termasuklah diwarnai dengan unsur-unsur dongeng dan mitos.

Sulalatus Salatin misalnya; mengaitkan nasab raja-raja Melaka dengan Iskandar

Dzulkarnain dari Makadunia. Selain itu, keagungan raja juga digambarkan oleh

pengarang-pengarang sastera Melayu tradisional melalui peristiwa yang dianggap

penting. Dalam Hikayat Raja-raja Pasai, Sejarah Melayu dan Hikayat Merong

Mahawangsa misalnya, terdapat peristiwa-peristiwa ajaib tentang proses

pengislaman raja-rajanya. Misalnya, mereka bermimpi bertemu Nabi Muhammad,

diludahi mulut mereka oleh Baginda dan tiba-tiba boleh mengucap dua kalimah

syahadat dan juga kejadian brrkhatan melalui mimpi.

Definisi pemimpin, kepimpinan dan kenegaraan

Rosalynn Carter mendefinisikan pemimpin sebagai “Seorang pemimpin biasa

membawa orang lain ke tempat yang ingin mereka tuju”. Seorang pemimpin yang

luar biasa membawa para pendukung ke tempat yang mungkin tidak ingin mereka

tuju, tetapi yang harus mereka tuju. Jim Collin menyebut bahawa pemimpin memiliki

beberapa tingkatan, terendah adalah pemimipin yang andal, kemudian pemimpin

yang menjadi bagian dalam tim, lalu pemimpin yang memiliki visi, tingkat yang

paling tinggi adalah pemimpin yang bekerja bukan berdasarkan ego pribadi, tetapi

untuk kebaikan organisasi dan bawahannya. Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga

( 2000 )menyatakan, pemimpin adalah orang yang memimpin dan difahamkan

bertindak sebagai juru tunjuk. 

Secara umumnya pemimpin boleh ditakrifkan sebagai individu yang dilantik secara

formal atau tidak formal oleh satu kumpulan orang atau organisasi yang berusaha

menjayakan matlamat atau objektif yang dipersetujui bersama. Pemimpin ini

diberikan mandat untuk memandu arah kumpulan atau organisasi yang melantiknya

bagi mencapai objektif dan matlamat penubuhan kumpulan atau organisasi tersebut.

Kepimpinan pula sebagaimana dijelaskan dalam Kamus Dewan Edisi (2000) adalah

keupayaan memimpin melalui teladan. Secara umumnya kepimpinan ditakrifkan

sebagai satu seni atau pendekatan bagi mempengaruhi orang lain di dalam kumpulan

atau organisasi agar mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang di arahkan secara rela

bagi mencapai matlamat kumpulan atau organisasi. Ralph M. Stoghill pula

menyatakan bahawa kepimpinan dalam pengurusan adalah sebagai proses mengarah

dan mempengaruhi aktiviti-aktiviti para anggota yang berkaitan dengan tugas.

Harold Koontz & Heinz Weihrich pula mendefinisikan kepimpinan sebagai satu

pengaruh seni atau proses mempengaruhi orang lain supaya mereka akan berjuang

dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan dan

definisi ini dipersetujui bersama oleh Cyril O’Donnel. Manakala Robert Tannenbaum,

Irving R. Weschler dan Fred Massarik melihat kepimpinan sebagai satu pengaruh

antara personal yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi menerusi proses

komunikasi ke arah pencapaian satu matlamat yang khas. 

Kepimpinan ataupun disebut ‘the way to lead’ secara asasnya mempunyai tiga

komponen utama iaitu sifat, perilaku dan kebolehan menghadapi perkara-perkara

luar jangka. Memandangkan kebiasaannya di dalam organisasi , para pemimpin

diletakkan di puncak hierarki sesebuah organisasi, maka pemimpin haruslah

mempunyai perawakan yang ‘extra-ordinary’ berbanding individu lain di dalam

sesebuah organisasi.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) mendefinisikan "negara" sebagai suatu

masyarakat yang menduduki kawasan tertentu dan diperintah oleh sesebuah

kerajaan, kawasan yang dibawah kekuasaan kerajaan tertentu dan segala yang

berkaitan dengan negara (masyarakat dan kawasan di bawah satu kerajaan). Istilah

"negara" atau state selalunya dihubungkan dengan bangsa, masyarakat, kerajaan

dan sebagainya. Namun dalam pengertian ilmu sains politik, istilah-istilah itu

mempunyai definisi yang berbeza bergantung kepada konteks penggunaannya.

Maksud negara juga merujuk kepada sekumpulan manusia yang mendiami wilayah

atau daerah tertentu di bawah undang-undang dan kuasa pemerintahan. Konsep

negara menurut undang-undang antarabangsa ialah sesuatu masyarakat politik atau

wilayah layak dianggap sebagai sebuah negara sekiranya mempunyai ciri-ciri

berikut: Sempadan (Wilayah); Penduduk tetap ; Kerajaan, dan Kedaulatan

Dalam soal kenegaraan pula, bangsa Melayu mempunyai konsep khas untuk

negeri(negara) Kewujudan sesebuah negeri hanya diiktiraf jika negeri itu mempunyai

raja. Raja yang tidak bernegeri tidak diterima kerajaannya. Dengan kata lain,

keagungan sesebuah negeri itu bergantung kepada kehebatan rajanya. Kewujudan

sesebuah negeri dikaitkan dengan peristiwa aneh atau menakjubkan, misalnya

pembukaan Melaka yang berdasarkan kejadian pelanduk menendang anjing

perburuan Parameswara.

Sulalatus Salatin menggambarkan perkisahan raja Melaka yang berasal dari

keturunan Raja Iskandar Zulkarnain. Kehebatan Raja Iskandar Zulkarnain dilukis

melalui kegagahan dan keberanian baginda menakluk negeri Kida Hindi lalu baginda

mengislamkan pemerintah dan rakyat di negeri tersebut melalui perkahwinan

baginda dengan Puteri Syahrul Bariyah. Melalui keturunan ini digambarkan

keagungan dan ketinggian martabat Raja-raja Melayu yang dikaitkan dengan

pertalian Raja Iskandar Zulkarnain yang Agung. Kelebihan yang jelas tergambar

melalui jurai keturunan ini memperlihatkan bahawa keturunan raja-raja Melaka

berasal dari raja besar,gagah serta terkenal. Ini secara tidak langsung mengangkat

martabat raja-raja Melayu dimata seluruh Alam Melayu dan dunia. 

Kemasukan Islam ke Alam Melayu juga bertujuan untuk memartabatkan dan

memuliakan keturunan raja. Kemasukan Islam ke Alam Melayu banyak digambarkan

melalui unsur-unsur metos. Unsur-unsur metos ini sebenarnya memberi pengertian

dan pandangan yang besar terhadap kehebatan dan kemuliaan raja-raja Melaka.

Antara contoh metos ialah Raja Iskandar Syah iaitu raja Melaka telah bermimpi

bertemu dengan Rasulullah. Di dalam mimpi baginda itu, baginda telah

berpandangan dengan rasulullah dan telah diajar dua kalimah syahadat serta

namanya telah ditukarkan kepada Sultan Muhammad Syah. Kelebihan yang cuba

ditonjolkan ialah bagi memuliakan golongan raja yang diislamkan sendiri oleh

junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w. Kelebihan ini menggambarkan bahawa raja-

raja Melayu memiliki darjat yang tinggi berbanding golongan lain dan bermula dari

peristiwa inilah Islam telah berkembang di negeri Melayu khususnya di Melaka.

Keistimewaan dan kelebihan raja ditonjolkan melalui pakaian, perhiasan,senjata dan

peralatan raja yang mempunyai unsur kesaktian dan hikmat. Hal ini dapat disaksikan

melalui peristiwa pengembaraan Seri Teri Buana ke Tanjung Bemban dan Temasik.

Sewaktu pelayaran ke Temasik, perahu rombongan raja telah dipukul ribut dan

gelombang. Bagi menyelamatkan keadaan baginda telah membuang mahkota

baginda ke laut bagi menyelamatkan pelayaran akhirnya keadaan menjadi tenang

kesan dari tindakan baginda. Peristiwa seterusnya ialah semasa pengembaraan Seri

Teri Buana dari Palembang ke Bintan. Dalam pelayaran sampai ke kuala Inderagiri

rombongan baginda mengalami masalah air. Bagi mengatasi masalah tersebut Seri

Teri Buana telah membuat lingkaran rotan lalu dicampakkan ke dalam laut

seterusnya dicelupkan ibu kaki baginda ke dalam lingkaran rotan tersebut. Akibatnya

air masin dalam lingkaran rotan tersebut menjadi tawar.

Susun Lapis Masyarakat Melaka

Susun lapis masyarakat adalah berkaitan dengan bentuk hiraki masyarakat. Terdapat

bentuk berbeza antara masyarakat zaman dahulu dengan zaman moden. Dalam

masyarakat tradisional, raja mempunyai kedudukan tertinggi dalam masyarakat.

Kemudian diikuti dengan kumpulan-kumpulan lain yang terdiri daripada pembesar,

rakyat jelata dan hamba. Bagi masyarakat moden pula, susun lapis masyarakat

adalah bergantung kepada kedudukan kumuniti, kampung, daerah, negeri dan

negara. Bagi peringkat negara, peringkat tertinggi hiraki adalah terdiri daripada

pemimpin negara yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya. Raja pula diletakkan

pada satu institusi lain yang tersendiri dan berfungsi mengikut konsep raja

berpelembagaan. Setiap lapis masyarakat yang ada akan memainkan peranan

penting dalam usaha membangunkan masyarakatnya. samada dari segi ekonomi,

politikdan sosial.

Corak pemerintahan dan pentadbiran di negeri Melaka telah mempengaruhi

pembentukan susun lapis masyarakat. Setiap lapisan masyarakat mempunyai

kedudukan dan fungsinya yang tersendiri. Secara umum, masyarakat Melayu

tradisional Melaka dapat dibahagikan kepada dua golongan utama iaitu golongan

yang memerintah dan golongan yang diperintah. Biasanya golongan yang

memerintah ini mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dan istimewa daripada

golongan yang diperintah.

Golongan yang memerintah

1. Raja atau sultan

Raja atau sultan merupakan asas terpenting dalam susun lapis masyarakat Melayu

tradisional. Baginda mempunyai kedudukan yang paling tinggi dalam piramid

organisasi sosial. Baginda mempunyai kuasa dan wibawa yang paling tinggi bagi

memerintah seluruh negeri dan jajahan taklukannya. Baginda dianggap sebagai

dewa raja dan baginda merupakan tunggak menyatupadukan rakyat dan merupakan

orang yang bertanggungjawab memelihara keamanan dan memajukan negeri.

Seseorang raja dilantik melalui pertabalan di atas persetujuan semua pembesar dan

biasanya putera sulong atau adik lelaki raja yang akan menggantikan raja yang

mangkat.

2. Kerabat raja

Raja sebagai seorang pemimpin, maka dirinya serta keluarganya akan dihormati oleh

masyarakat malah kadang-kala rasa penghormatan ini diseliputi oleh perasaan sakral

yang tinggi. Mereka dianggap sebagai suci dan amat berbeza dengan golongan

rakyat biasa. Mereka juga mempunyai hak-hak istimewa, namum hak mereka adalah

tidak boleh melebihi hak istimewa seseorang sultan yang memerintah. Antara

keistimewaan yang dinikmati oleh kerabat raja ialah mengguna payung berwarna

kuning dan penggunaan bahasa dalaman.

3. Bangsawan dan pembesar

Bangsawan juga dikenali sebagai anak baik-baik. Mereka menggunakan bahasa

dalaman untuk mengekalkan identiti mereka. Golongan bangsawan ini terdiri

daripada kerabat diraja dan bukan kerabat raja. Mereka adalah berpengaruh di

kalangan pemerintah dan pentadbir. Mereka bertanggungjawab mengandalikan

jentera pemerintahan dan pentadbiran negeri. Pembesar pula merupakan golongan

yang mempunyai kedudukan yang hampir sekali dengan sultan. Biasanya, golongan

ini terdiri daripada bukan kerabat raja. Golongan ini akan dianugerahkan suatu

kawasan yang menjadi pegangannya dan sumber pendapatannya di mana seseorang

pembesar itu dibenarkan mengutip cukai dan mengawal tenaga manusianya.

Biasanya mereka dilantik secara turun-temurun.

4. Golongan pemimpin agama

Pemimpin agama dan pendeta juga termasuk dalam golongan bangsawan. Mereka

merupakan golongan cerdik pandai yang memegang jawatan mufti dan kadi.

Terdapat juga pemimpin agama yang dianugerahkan gelaran kebesaran seeperti

Maharaja Kadi, Dato’ Mufti Seri Utama dan Dato’ Mufti Imam Maharaja. Mereka

menjadi penasihat raja dan kerajaan dalam hal-hal tentang hukum syarak dan selok-

belok agama termasuk mengeluarkan fatwa tentang isu agama. Golongan ini

merupakan pakar dalam hal-hal kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, adat-istiadat

dan salasilah raja-raja. Mereka juga menjadi pakar rujuk kepada raja serta menjadi

penulis dan perawi diraja.

Golongan yang diperintah

1. Rakyat biasa

Rakyat biasa terdiri daripada masyarakat pribumi yang bermastautin tetap dan

bilangannya adalah ramai. Mereka selalu menjadi pengikut pembesar di peringkat

pusat dan penyokong pentadbir di peringkat jajahan takluk. Mereka terdiri daripada

pedagang dan peniaga. Mereka menjalankan perdagangan di pelabuhan. Selain itu,

terdapat juga mereka yang menjadi buruh kasar dan tukang mahir dalam pembuatan

alat perhiasan dan senjata. Rakyat biasa ini juga terlibat dalam kegiatan pertanian

dan penangkapan ikan untuk sara diri.

2. Orang asing

Orang asing selalunya adalah orang bukan Melayu yang hanya mengunjungi Tanah

Melayu untuk tujuan tertentu. Mereka terdiri daripada pedagang, perantau,

mubaligh atau santeri. Secara amnya, orang asing ini dapat digolongkan kepada dua

kumpulan iaitu orang yang menetap terus dan orang yang mengunjung sekali-sekala.

Selain itu, terdapat juga masyarakat Tamil-Islam yang berdagang dan bergaul bebas

dengan orang pribumi. Keadaan ini telah mendorong kepada kewujudan masyarakat

majmuk. Masyarakat majmuk ini dapat digolongkan kepada dua iaitu masyarakat

asing yang menyerapkan diri ke dalam masyarakat pribumi dan masyarakat asing

yang masih mengekalkan cara hidup dan identiti masing-masing. Walau

bagaimanapun, mereka tidak terlepas daripada undang-undang tempatan.

3. Hamba

Dalam masyarakat Melayu, golongan hamba menduduki susun lapis masyarakat yang

paling bawah. Golongan ini dapat dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu :

a. Hamba raja

Hamba raja terdiri daripada mereka yang menawarkan diri untuk menjadi hamba di

istana. Mereka melakukan semua jenis pekerjaan dan taraf mereka juga lebih tinggi

kalau dibandingkan dengan hamba yang lain. Terdapat juga bekas tahanan perang

atau banduan yang menjadi hamba raja.

b. Hamba berhutang

Hamba berhutang ini terdiri daripada rakyat biasa yang gagal membayar hutang

kepada pemiutang dalam jangka masa yang ditetapkan. Hamba ini juga disebut

sebagai masuk hulun. Mereka yang menjadi hamba berhutang terpaksa bersama

isteri dan anak-anaknya tinggal bersama si pemiutang dan bekerja sehingga hutang

dibayar. Mereka boleh dijual kepada pembesar-pembesar lain. Walau bagaimanapun,

mereka boleh menjadi rakyat biasa semula apabila ia setelah selesai berkhidmat

kepada si pemiutang dalam tempoh yang dijanjikan.

c. Hamba biasa

Hamba biasa menjadi hamba seumur hidup kepada pemiliknya secara turun-

temurun. Mereka dapat digolongkan kepada tiga jenis iaitu hamba abdi yang

membuat kerja yang berat dan kasar. Dengan merupakan hamba yang dibeli dan

biduanda yang merupakan orang suruhan yang selalunya dimiliki oleh raja. Sistem

perhambaan ini membawa makna bahawa pemilik hamba ini mempunyai taraf sosial

yang tinggi dan secara langsung ia menyediakan bekalan sumber tenaga manusia

bagi melaksanakan segala kerja.

Pemahaman terhadap susun lapis dan fungsi dalam masyarakat akan memudahkan

kita memahami bagaimana corak atau stail pentadbiran kerajaan Melaka. Struktur

masyatakat yang berpusat kepada dua strata iaitu orang yang memimpin dan orang

yang dipimpin menjelaskan bahawa pengaruh dan peranan raja sebagai kuasa mutlak

dan terunggul dalam pentadbiran kerajaan.

Ciri-ciri Pemimpin Dalam Sulalatus Salatin

Kepimpinan adalah melihat kepada kualiti perilaku, sikap dan pemikiran yang ada

pada seseorang raja sebagai pemerintah. Selain dari keagungan nasab, kelebihan

pakaian, dan kesaktian ciri-ciri kepimpinan ini menjadi acuan penting kejayaan dan

kegagalan kepimpinan dalam pentadbiran negeri. Ciri-ciri kepimpinan ini bukan saja

dipaparkan dalam Sulalatus Salatin tetapi karya-karya tradisional Melayu yang lain

seperti Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa dan sebagainya. 

Seseorang pemimpin atau raja perlu menyiasat aduan dengan teliti. Raja perlu

menyiasat setiap aduan dari pembesar atau rakyat dengan teliti sebelum

menjatuhkan hukuman. Kecuaian akan menyebabkan golongan tidak bersalah

dizalimi. Mangsa akan marah dan akan menentang raja. Sang Rajuna Tapa telah

menentang Raja Iskandar Syah kerana anaknya difitnah dan dihukum oleh raja.

Akibatnya kerajaan Singapura runtuh. 

Apabila seseorang pemimpin membuat keputusan atau menjatuhkan hukuman

hendaklah dengan setimpal. Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah perlu

setimpal. Ia tidak harus melampaui batas. Demang Lebar Daun telah meminta

hukuman dikenakan oleh raja biar bertepatan dengan syariat. Jangan memalukan

rakyat. Dalam kes pembunuhan Tuan Jana khatib di Singapura menunjukkan sikap

terburu-buru dan tanpa usul periksa raja membuat keputusan. Akibatnya Singapura

dilanggar todak dan beribu-ribu orang telah terbunuh akibat kesilapan raja.

Pemimpin hendaklah menjalankan dasar diplomatik yang cermat. Hubungan dengan

negara luar termasuk layanan terhadap utusan-utusan dari negara luar perlu

dilakukan dengan baik. Utusan luar jangan dilayan secara kasar. Dalam kes ‘tartar

dan menarah kepala budak’ di Singapura telah berlaku serangan oleh Majapahit ke

atas Singapura kerana Raja Singapura melayan utusannya secara kasar dan

menghina raja Majapahit. Begitu juga sebaliknya.

Raja perlu kuat. Raja tidak boleh dipilih dari kalangan yang lemah. Raja yang lemah

menyebabkan dia boleh dimanipulasi oleh pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

Raja Ibrahim yang masih kanak-kanak telah menjadi boneka kepada Raja Rekan di

Melaka. Bahkan akhirnya Raja Ibrahim atau Sultan Abu Syahid telah mati dibunuh

oleh Raja Rekan. Semasa pemerintahan Sultan Mansor Syah, baginda telah berhasrat

utuk meluaskan tanah jajahannya. Oleh itu, baginda telah menghantar Paduka Raja,

hulubalang, Tun Pikrama, Tun Menteri dan Seri Bija Diraja (Datuk Bongkok) ke

Pahang. Dalam peperangan ini Pahang telah berjaya dikalahkan oleh Melaka.

Maharaja Dewa Sura telah ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa ke Melaka

manakala anak Maharaja Dewa Sura, Puteri Wanang Seri telah dikahwini oleh Sultan

Mansor Syah.

Pemimpin jangan mengikut hawa nafsu syahwat. Sultan Mahmud Melaka

digambarkan terlalu mengikut hawa nafsu syahwatnya menyebabkan dia dibenci oleh

rakyatnya. Raja Pahang berhasrat untuk menyerang Melaka setelah tunangannya

Tun Teja dilarikan oleh Laksamana ke Melaka. Tun Biajid juga menimang lembing

untuk membunuh Sultan Mahmud yang telah berlaku curang dengan isterinya.

Semua ini menunjukkan bahawa kesan pemimpin yang hanya mengikut nafsu akan

membawa kecelakaan dan konflik dalam negeri.

Seorang raja mestilah berani dalam membuat sesuatu tindakan atau keputusan.

Sultan Alauddin Riayat Syah dapat dijadikan contoh yang tepat kerana baginda

berani meronda pada waktu malam di Melaka untuk menghapuskan kes pencurian.

Beliau telah mengejar dan berjaya membunuh beberapa orang pencuri. Akibat dari

tindakan berani itu masalah kecurian dapat diatasi di Melaka.

Pemimpin tidak bersifat pilih kasih. Sikap mengutamakan keluarga dalam

pemerintahan boleh mengundang bahaya terhadap kerajaan. Sultan Mansur Syah

telah sanggup mengeluarkan anaknya sendiri Raja Muhammad ke Pahang setelah

Raja Muhammad membunuh Tun Besar, anak Bendahara Tun Perak. Tindakan bijak

baginda berjaya menyelamatkan huru hara berlaku di Melaka.

Bijaksana dalam pentadbiran kerajaan. Nilai kebijaksanaan golongan raja ditonjolkan

melalui keagungan dan kewibawaan raja-raja Melayu. Sifat-sifat seperti adil, alim,

kebijaksanaan, berani dan gagah merupakan sifat-sifat yang perlu dimiliki oleh

seorang raja. Sifat ini secara tidak langsung meninggikan lagi imej raja-raja Melayu

dimata rakyat jelata. Kebijaksanaan raja digambarkan melalui watak Sultan Muzaffar

Syah menceraikan Tun Kudu bagi menyelamatkan keadaan dan mengembalikan

perpaduan dalam kalangan pembesar-pembesar Melaka. Seterusnya kebijaksanaan

Sultan Alau’ddin Riayat Syah yang digambarkan sebagai seorang pemimpin yang

bijak dalam merancang langkah-langkah kawalan dan mencegah masalah pencuri.

Pemimpin hendaklah prihatin terhadap golongan yang lemah. Orang yang kuat dan

berkuasa tidak boleh menindas golongan yang lemah sesuka hati. Negeri Kampar

tidak tunduk kepada Melaka. Ini menyebabkan Kampar telah diserang oleh Melaka.

Negeri Kampar kalah manakala rajanya Maharaja Jaya telah dapat dibunuh. Seri

Nara Diraja telah diberi kuasa untuk memerintah Kampar. Sultan Mahmud Syah

sanggup menyediakan jambatan emas dan perak merentangi dari istana Melaka ke

Gunung Ledang. Tindakan baginda menunjukkan sikap raja yang sanggup memeras

harta benda rakyat demi kepentingan dirinya. Raja sanggup "mendera" rakyat jelata

menyediakan sesuatu yang amat sukar dicari seperti hati nyamuk, air mata dan air

pinang muda. Balasan kepada tindakan zalim ini ialah Melaka diserang Feringgi.

Pantang Larang Sebagai Adat Istiadat dan Perundangan Negara

Dalam Sulalatus Salatin aspek adat istiadat dan pantang larang merupakan elemen

perundangan dalam pentadbiran negara. Ia hendaklah dipatuhi oleh semua pihak

demi melahirkan kententeraman dan kemakmuran Melaka.

Pantang larang berpakaian. Rakyat jelata ( orang keluaran ) dilarang dari

menggunakan pakaian yang berwarna kuning, di buat tepi tabir, ulasan bantal besar

dan tilam, bungkusan barang, dijadikan barang perhiasan, kain, baju dan destar,

Begitu juga sekiranya ingin masuk ke istana seseorang itu harus memakai kain

berpancung dan berkeris di hadapan serta bersebai sekiranya berkeris di belakang

akan dirampas.

Syarat memiliki emas. Rakyat jelata walau pun ia seorang yang berada dilarang

memakai barangan kemas yang dibuat daripada emas bergelang kaki emas dan

sekiranya berkeroncong emas berkepala perak pun tidak dibenarkan kecuali ia

dianugerahi oleh raja dapatlah dipakai untuk selama-lamanya. 

Pantang Derhaka.Rakyat jelata adalah ditegah sama sekali melakukan penderhakaan

kepada raja, ini sesuai dengan pepatah Melayu yang mengatakan raja merupakan

payung rakyat tempat berteduh, pantang Melayu menderhaka, sekiranya seseorang

itu menderhaka maka balasan buruk bakal menanti iaitu hukuman bunuh, bagi

penderhaka ia tidak layak untuk berada di atas bumi ini dapat di lihat dalam

peristiwa Hang Jebat yang mati di bunuh apabila bertindak menderhaka ke atas

Sultan Mansor menyebabkan beliau mati di bunuh di tangan sahabatnya sendiri

Hang tuah atas arahan sultan, begitu juga dengan bangkainya turut dibuang ke laut

serta segala anak bininya turut dibunuh manakala kaki tiang dan tanah bekas

rumahnya turut dibuang ke laut inilah betapa besarnya kesalahan menderhaka yang

dianggap tidak layak untuk berada di bumi.

Tidak biadap di hadapan Bendahara. Peristiwa ini dapat dilihat apabila Tun Perpatih

Hitam semasa dibicarakan oleh Bendahara Seri Maharaja maka Tun Hussain anak

Tun Perpatih Hitam datang dengan berkeris panjang untuk mendapatkan

ayahandanya dengan ini beliau telah berdiri sambil menguiskan tikar dengan kaki,

perbuatan ini dianggap satu perbuatan yang biadap menguis tikar di hadapan

bendahara dan menyebabkan ia mati dibunuh oleh Laksamana manakala anakndanya

juga turut dibunuh.

Membina rumah dan berperahu. Rakyat jelata dilarang membuat rumah

bermanjungan bertiang gantung, tidak berpijak ke tanah serta bertiang terus dari

atap dan peranginan, sekiranya berperahu tidak boleh bertingkap, berpenghadapan

dan tidak boleh memakai penduk dan teterapan keris.

Kepentingan Adat Istiadat dan Pantang Larang Bagi Melaka

Bertujuan untuk menggambarkan keagungan Kerajaan Melaka. Adat istiadat yang

tersusun rapi yang diperkenalkan oleh Sultan Muhammad Shah telah

menggambarkan Kerajaan Melaka merupakan sebuah kerajaan yang agung, besar

dan berdaulat. Sistem pemerintahan yang cukup kemas dan tersusun ( sistematik )

yang mana raja sebagai pemerintah yang dibantu oleh pembesar- pembesar yang

berwibawa bagi melicinkan pentadbiran dan pemerintahan, jika dibandingkan

dengan mana- mana kerajaan di kepulauan Melayu seperti Majapahit. Melaka adalah

sebuah kerajaan yang tersusun maju dan bersistemmatik.

Menggambarkan martabat raja yang tinggi. Kedudukan raja yang tinggi dalam

struktur pemerintahan dapat di lihat melalui segala adat istiadat dan juga pantang

larang yang menunjukkkan perbezaan yang ketara dengan golongan yang di perintah

contoh kedudukan raja semasa dalam balai penghadapan begitu juga dari segi

pemakaian emas adalah barangan yang amat berharga adalah khusus untuk

golongan raja sahaja. Ini jelas menunjukkan betapa tingginya martabat raja di

kalangan rakyat.

Menggambarkan Kerajaan Melaka sebuah kerajaan Islam yang unggul. Melalui adat

istiadat yang terdapat dalam Kerajaan Melaka dapat menggambarkan Melaka adalah

sebuah kerajaan Islam yang unggul di rantau Melayu ini dapat di lihat melalui

peristiwa bagaimana sebuah kitrab Darul Mazlum sebuah kitab dari negara Arab

yang telah diarak dengan penuh penghormatan sehingga sampai ke istana Melaka.

Begitu juga sambutan pada malam bulan Ramadan iaitu malam 7 likur dan ianya

patut dicontohi oleh setiap para pemerintah.

Menggambarkan rakyat yang taat setia. Melalui adat istiadat dan pantang larang

dapat menggambarkan masyarakat Melayu yang patuh dan sanggup menjunjung

segala perintah dan peraturan yang dikenakan oleh golongan pemerintah terhadap

golongan yang diperintah. Mereka beranggapan bahawa raja adalah golongan yang

berdaulat oleh itu mereka memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada

raja serta teguh memegang prinsip ‘Pantang Melayu Derhaka Kepada Raja’ 

Mengukuhkan Institusi istana dan pembesar Melayu. Melalui adat istiadat dan

pantang larang dapat menggambarkan institusi istana dan kuasa pembesar

dilindungi daripada ancaman- ancaman jahat yang cuba untuk menjatuhkannya

dengan adanya adat dan pantang larang seolah- olah golongan rakyat cuba dinafikan

hak mereka, walau pun ada di kalangan rakyat yang mampu memiliki kekayaan

tetapi disebabkan adanya peraturan yang mengatakan rakyat biasa tidak boleh

memiliki dan memakai barangan emas kecuali dianugerahi, maka secara tidak

langsung golongan istana dan pembesar akan di pandang tinggi dan mulia dan

tidaklah timbulnya perasaan bongkak akibat kekayaan di kalangan rakyat dan pada

satu masa mungkin bertindak mencabar institusi beraja

Teras Kenegaraan : Kesetiaan dan Kedaulatan Terhadap Negara

Waadat merupakan teras penting dalam hubungan kenegaraan rakyat dan raja di

alam Melayu. Dalam Sulalatus Salatin perisitiwa waadat ini tertulis dalam petikan

berikut :

Maka titah Seri Teri Buana, “Kabullah hamba akan janji paman itu, tetapi hambapun

hendak minta janji juga pada paman”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Janji

yang mana itu, patik pohonkan titah duli Yang Maha Mulia.” Maka titah Seri Teri

Buana, “Hendaklah oleh segala cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau

zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan

darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya

juga”.

Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah tuanku, tetapi jikalau anak cucu duli

tuanku dahulu mengubahkan, anak cucu patik pun berubahlah tuaku,” Maka titah

Seri Teri Buana, “Baiklah paman, kabullah hamba akan waad itu”. Maka bagindapun

bersumpah-sumpahlah dengan Demang Lebar Daun. Titah baginda, “Barang siapa

hamba Melayu derhaka mengubahkan perjanjiannya dibalikkan Allah bumbungan

rumahnya ke bawah kaki ke atas”. Maka sembah Demang Lebar Daun, “Jikalau raja

Melayu itu mengubahkan perjanjiannya dengan hamba Melayu, dibinasakan Allah

negerinya dan takhta kerajaannya,”. Itulah dianugerahkan Allah subhanahu wa taala

pada segala raja-raja Melayu, tiada pernah memberi aib kepada segala hamba

Melayu, jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada pernah memberi aib

kepada segala hamba Melayu. Jikalau sebagaimana sekalipun besar dosanya, tiada

diikat dan tiada digantung, difadihatkan dengan kata-kata yang keji hingga sampai

pada hokum mati, dibunuhnya. Jikalau ada seorang raja-raja Melayu itu memberi aib

seorang hamba Melayu, alamat negerinya akan binasa (Sulalatus Salatin, hal. 25-26).

Waadat menjadi teras kepada hubungan antara rakyat dan raja. Sebelum waad

berlaku, Seri Teri Buana telah berkahwin sebanyak 39 kali tetapi wanita yang

dikahwininya mendapat penyakit kedal. Seri Teri Buana ingin berkahwin dengan

anak Demang Lebar Daun iaitu Raden Cendera Puri. Demang Lebar Daun bersetuju

dengan syarat Raden Cendera Puri tidak dikeluarkan dari istana jika mendapat

kedal.

Syarat-syarat waad itu meliputi : Demang Lebar Daun sedia menjadi hamba atau

rakyat kepada Seri Teri Buana. Sebagai rakyat mesti dijaga oleh keturunan Seri Seri

Buana. Rakyat yang bersalah boleh dihukum tetapi tidak boleh difadihat, dinista atau

diaibkan

Jika anak cucu Seri Terti Buana atau raja bersalah atau berlaku zalim, jangan hamba

Melayu derhaka. Rakyat juga tidak boleh menitikkan darah raja ke bumi yakni

membunuh atau mencederakan raja. Jika hamba Melayu derhaka, ia akan mendapat

tulah atau dibalikkan Allah bumbung rumah ke bawah. Manakala jka raja zalim atau

melanggar waad dibinasakan negeri dan takhtanya dan raja kehilangan negeri

Persetiaan Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana ini dilanggari sama ada oleh

rakyat atau raja, Sulalatus Salatin telah menggambarkan kesan terhadap

perlanggaran waad itu. Seri Maharaja membunuh Tuan Jana Khatib mengakibatkan

Singapura dilanggar todak. Raja Iskandar Syah menyula anak Sang Rajuna Tapa di

hujung Pasar (mengaibkan) akhirnya Singapura alah kepada Majapahit yang dibantu

oleh Sang Rajuna Tapa. Kisah Raja Muhammad membunuh Tun Besar anak Tun

Perak. Tidak dilantik menjadi raja Melaka, sebalik hanya menjadi raja Pahang.

Kezaliman Sultan Mahmud membawa kepada kekalahan Melaka kepada Ferenggi

(Portugis). Bagi rakyat yang melanggar waad ini misalnya, Sang Rajuna Tapa belot

kepada Raja Iskandar Syah dengan membuka pintu kota semasa serangan Majapahit,

Sang Rajuna Tapa menjadi batu bersama isterinya. Hang Jebat menderhaka dan

beliau mati dibunuh Hang Tuah.

Kepentingan utama waad ini ialah lahirnya amalan kesetiaan dalam kalangan rakyat

semata-mata untuk mendaulatkan dan memartabatkan kerajaan Melaka. Kesetiaan

menjadi elemen perundangan penting dalam Sulalatus Salatin. Kesetiaan yang

membawa banyak kesan kepada kemakmuran dan kemasyhuran Melaka. 

Kesetiaan Hang Tuah. Hang Tuah merupakan laksamana Melaka, beliau dikatakan

seorang hamba Melayu yang menumpahkan kesetiaan kepada raja Melaka tanpa

berbelah bahagi, ini dapat dilihat semasa beliau dijatuhkan hukuman akibat dari

fitnah salah seorang pembesar yang begitu mencemburui kejayaan yang dicapai oleh

beliau ini telah membawa kepada hukuman bunuh, begitu juga kesanggupan beliau

menjalankan perintah raja dengan penuh ketaatan tanpa membantah untuk

membunuh rakan karibnya Hang Jebat. Tanpa adanya sifat kesetiaan yang

ditunjukkan oleh Hang Tuah sudah pasti Kerajaan Melaka akan mengalami

kekacauan akibat dari rasa tidak puas hati yang ditunjukkan oleh Hang Tuah dan

para pengikutnya. Begitu juga sekiranya Hang tuah tidak melaksanakan perintah

Sultan untuk membunuh Hang Jebat sudah pasti tidak ada orang yang berupaya

membunuhnya dan ini akan menghuruharakan kerajaan Melaka. 

Kesetiaan Bendahara Paduka Raja. Kesetiaan Bendahara Paduka Raja dapat dilihat

melalui peristiwa apabila beliau tidak bertindak balas atas kematian anakndanya Tun

Besar yang dibunuh oleh putera Sultan Mansor Raja Muhammmad, sewaktu Tun

Besar sedang bermain sepak raga tiba- tiba bola raga terkena pada dastar baginda,

ini telah menyebabkan Raja Muhammmad merasa murka lalu membunuh Tun Besar.

Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan pengikut Bendahara Paduka

Raja, tetapi atas dasar kesetiaan Tun Perak tidak bertindak balas kerana dirinya

sedar sekiranya beliau menggambil tindakan sudah pasti akan menyebabkan negeri

Melaka terdedah kepada kekacuaan dan sudah pasti pihak musuh akan mengambil

kesempatan dan akan menyebabkan Kerajaan Melaka menjadi tidak stabil, sikap Tun

Perak ini sebenarnya satu tindakan yang berpandangan jauh, malah beliau hanya

menyatakan ketidak sanggupan untuk bernaung di bawah Sultan Muhammad ini

menyebabkan baginda Sultan Mansor menghantarnya ke negeri Pahang untuk

dijadikan raja di sana.

Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja. Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja dapat

dilihat apabila beliau telah menjadi mangsa fitnah oleh Kitul, Raja Mendeliar dan

Laksamana Khoja Hassan yang mengatakan beliau telah mengumpulkan harta

kekayaan melebihi kekayaan sultan. Sultan Mahmud yang telah lama mendendami

Bendahara Seri Maharaja apabila Bendahara Seri Maharaja tidak menunjukkkan

anak gadisnya Tun Fatimah yang rupawan dan dikahwinkan dengan Tun Ali, ini

menyebabkan TunMutahir dan keluarganya telah dijatuhi hukuman bunuh dan

tindakan sultan ini telah menimbulkan kemarahan para pengikutnya tetapi

Bendahara Seri Maharaja telah memujuk para pengikutnya bersabar dan beliau

sanggup menerima hukuman bunuh. Tindakan beliau ini merupakan satu

pengorbanan yang ingin melihat keamanan yang berkekalan walaupun beliau tahu

yang dirinya tidak bersalah tetapi memandangkan ia lebih pentingkan kepada

ketenteraman beliau sanggup menghalang para pengikutnya dari terus

memberontak.

Perhatikan bagaimana tindak-tanduk Bendahara Seri Maharaja dalam petikan

berikut :

Maka Laksamana pun masuklah mengadap Sultan Mahmud; segala kata-kata Raja

Mendaliar itu semuanya dipersembahkannya ke bawah duli Sultan Mahmud. Setelah

Sultan Mahmud mendengar sembah Laksamana itu, kabullah pada hati baginda,

seperti orang mengantuk disorongi bantal; kerana baginda sedia menaruh dendam

akan Bendahara Seri Maharaja raja, sebab anaknya Tun Fatimah itu; seperti kata

Farsi: "Al mahabbat bain niyat, Wal 'asyiq fikr niyat," ertinya: "Yang kasih itu antara

tiada, dan berahi itu bicara tiada." Maka Sultan Mahmud Syah pun menyuruh

memanggil Tun Sura Diraja dan Tun Indera Segara; setelah keduanya datang, maka

dititahkan baginda membunuh Bendahara Seri Maharaja. Maka mereka keduanya

pun pergilah dengan segala hamba raja. Maka segala anak buah Bendahara dan

kaum keluarganya, dan segala orangnya semuanya berkampunglah pada Bendahara

Seri Maharaja, sekaliannya dengan alat senjatanya; Tun Hassan Temenggung hendak

melawan, ditegah oleh Bendahara Seri Maharaja, katanya, "Hei Hassan! Hendak

membinasakan nama orang tua-tua kitakah engkau? Kerana adat Melayu tiada

pernah derhaka." 

Setelah Tun Hassan Temenggung mendengar kata Benda¬hara itu, maka Tun

Hassan Temenggung pun membuangkan senjata dari tangannya, lalu berpeluk

tubuh; maka kata Bendahara Seri Maharaja pada segala kaum keluarganya, dan

kepada segala orangnya, "Barang siapa kamu melawan, hamba dakwa ia di akhirat."

Setelah mendengar kata Benda¬hara Seri Maharaja itu, sekaliannya pun

membuangkan Senjata dari tangan, lalu kembali ke rumah masing-masing. Maka

tinggallah Bendahara Seri Maharaja dua bersaudara dengan Seri Nara Diraja; segala

anak buahnya undur belaka. 

Kesetiaan Tun Biajid. Tun Biajid merupakan anak Laksamana Hang Tuah, beliau

telah ditugaskan oleh baginda sultan untuk menjaga kawasan Merba, sekembalinya

beliau dari bertugas menjaga kawasan didapati baginda Sultan Mahmud telah

berlaku curang dengan isterinya, peristiwa ini telah terserempak dengan Tun Biajid

yang sewaktu itu sedang membawa lembing. Tun Biajid telah menimbang- nimbang

lembing untuk di tikam ke dada baginda tetapi memikirkan sebagai seorang bangsa

Melayu yang pantang menderhaka kepada raja tambahan pula beliau anak kepada

Laksamana Hang Tuah yang terkenal dengan sikap kesetiaannya. Sekiranya Tun

Biajid menderhaka sudah pastilah Kerajaan Melaka akan menjadi huru- hara

memandangkan baginda Sultan Mahmud terkenal dengan seorang sultan yang lemah

dan tidak berwibawa dan sudah pasti orang akan memandang kepada Tun Biajid

seorang penderhaka dan tidak dapat mewarisi sikap ayahandanya Laksamana Hang

Tuah yang terkenal dengan kepatuhan dan kesetiaannya,malah beliau hanya

mengambil tindakan dengan memulau untuk tidak pergi ke istana

Kesetiaan utusan-utusan Melaka semasa melaksanakan tugas. Kemunculan Melaka

sebagai sebuah kerajaan yang mantap lagi unggul di mata dunia adalah dibantu oleh

golongan- golongan utusan Melaka yang dilantik oleh para sultan dalam menjalankan

wakil dari kerajaan Melaka. Para utusan tadi telah menunjukkan kesetiaan dan

kebijaksanaan yang tidak berbelah bahagi dalam melaksanakan tugas, contoh utusan

Melaka ke China yang diketuai oleh Tun Perpatih Putih telah menunjukkan kesetiaan

dan kebijaksanaannya apabila berjaya melihat wajah Maharaja China, Tun Bijaya

Sura telah berjaya mengangkat martabat Raja Melaka dan dalam masa yang sama

telah menjatuhkan maruah Betara Majapahit melalui permainan sapu- sapu rengit.

Menteri Jana Putera dan Tun Telanai berjaya menjaga imej Melaka melalui jawapan-

jawapan yang dikemukakan kepada Raja Siam manakala Hang Nadim berjaya

memberi tunjuk ajar kepada para pelukis kain di Benua Keling bagaimana untuk

menghasilkan corak kain yang baik. Sekiranya para utusan tadi tidak dapat

menunjukkan kesetiaan yang begitu tinggi sudah pasti matlamat untuk menjadikan

Melaka sebagai sebuah kerajaan yang di pandang mulia di kalangan negara serantau

sudah pasti tidak akan mencapai matlamatnya kerana kesetiaan merupakan kunci

untuk mewujudkan negara yang cemerlang lagi terbilang

Kesimpulan

Pemimpin yang adil serta berpegang kepada teras waadat serta kesetiaan rakyat

sebagai hamba yang mendokong kedaulatan negara menjadi intisari kepimpinan

kerajaan Melaka. Teras masyarakat yang berpegang kepada waadat pantang derhaka

dan keadilan dan kesaksamaan yang diberikan oleh kerajaan serta pegangan kuat

hukum hakam agama Islam menjadi penguat kepada kaedah berwargangera rakyat

Melaka. Kedaulatan dan kesetiaan terhadap negara menjadi amalan bersama dalam

usaha membina sebuah negara yang aman, makmur dan sejahtera.