kerancuan bahasa di sekolah
DESCRIPTION
Kerancuan BahasaTRANSCRIPT
PENDAHULUAN
Pengenalan
Bahasa merupakan lambang serta maruah sesuatu bangsa. Pada zaman sekarang Bahasa
Melayu akan terus menghadapi cabaran dalam memenuhi peranannya sebaga wahana
kebudayaan moden. Bahasa juga boleh dikatakan sebagai satu tonggak tamadun bangsa atau jati
diri bangsa dan ianya tidak boleh tercicir malah mesti diperkukuh dan diperluas peranannya.
Objektif tugasan ini adalah untuk membincangkan bagaimana wujudnya kerancuan
Bahasa Melayu di kalangan murid-murid di sekolah, factor-faktor yang menyebabkan kerancuan
serta cadangan atau langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu murid-murid
menguasai Bahasa Melayu standard.
Definisi Konsep
Kamus Dewan mentakrifkan “rancu” sebagai keadaan yang tidak teratur atau kekacauan.
Kerancuan bahasa ialah penggunaan bahasa yang melanggar peraturan-peraturan bahasa yang
telah dipersetujui sama ada pada peringkat sebutan, ejaan, peristilahan, kosa kata serta tatabahasa
dan laras bahasa. Perkataan-perkataan yang sama maksud ialah pencemaran, kecelaruan,
kesalahan dan kesilapan.
Dr. Nik Safiah Karim (1986), Pencemaran bahasa ialah penggunaan bahasa yang
melanggar peraturan-peraturan bahasa yang telah dipersetujui sama ada pada peringkat sebutan,
pilihan kata atau susunan frasa dan ayat.
BAHAGIAN A
Kerancuan bahasa di kalangan murid-murid sekolah
1. Pengaruh Bahasa Ibunda.
Pengaruh bahasa ibunda merupakan satu faktor berlakunya kerancuan bahasa di kalangan
murid sekolah. Satu daripada kesalahan umum penutur bukan melayu ialah kegagalan mereka
mengenali perbezaan antara bunyi ẻ dan e semasa membaca dan menulis. Misalnya sepak dan
sẻpak. Selain itu, kebanyakan penutur Cina juga tidak dapat menyebut bunyi sengau lelangit
keras ny dan lelangit lembut ng dengan tepat. Oleh sebab ejaan setiap bunyi itu mempunyai dua
lambang maka ia sering disebut sebagai dua bunyi. Masalah ini bukan sahaja terjadi kepada
murid-murid Cina bahkan ia juga melibatkan kepada murid-murid Melayu. Kesalahan ini sering
berlaku apabila huruf gabung ny diucapkan sebagai dua bunyi iaitu n dan y/i. Contohnya dalam
banyak atau ban-niak (sepatutnya ba-nyak), nia-a-muk atau n-ya-muk (sepatutnya nya-muk). Hal
yang sedemikian juga berlaku dalam sebutan ng, dimana n diasingkan daripada g seperti dalam
ung-gu atau un-gu (sepatutnya u-ngu). Contoh yang lain adalah seperti tan-gan yang sepatutnya
ta-ngan dan lain-lain lagi.
Selain itu, masalah kerancuan bahasa juga sering berlaku dimana murid-murid Cina ini
menggunakan terjemahan langsung daripada bahasa ibunda mereka. Begitu juga masalah ini
tidak terkecuali kepada murid-murid India. Antara contoh-contoh terjemahan langsung tanpa
mengambil kira struktur Bahasa Melayu yang betul ialah “Ni hau ma” dimana apabila
diterjemahkan menjadi “Awak apa khabar”. Kerancuan bahasa yang melibatkan pengaruh
bahasa ibunda ini tidak dapat tidak mempengaruhi perkembangan bahasa dalam sistem
pendidikan di negara kita.
2. Pengaruh Bahasa Pasar
Bahasa pasar ini merupakan bahasa yang digunakan oleh murid dalam percakapan harian.
Sebagai contoh, orang Melayu sememangnya terkenal dengan sifat merendah diri dan sikap ini
secara tidak langsung terbawa-bawa dalam berkomunikasi dengan kaum asing. Hal ini,
menyebabkan mereka menjadi model yang salah kepada orang bukan Melayu. Contohnya ketika
berkomunikasi di pasar, orang Melayu lebih suka menuturkan bahasa Melayu yang bertaraf
rendah atau bahasa rojak. Tindakan ini menyebabkan kaum asing meniru model yang salah ini.
Akhirnya sampai bila-bila pun kaum asing tersebut sukar untuk menguasai bahasa Melayu
dengan betul. Kadang-kadang pengaruh bahasa pasar ini terbawa-bawa pula ke sekolah dimana
murid-murid Melayu contohnya akan bercakap dengan murid bukan Melayu menggunakan
bahasa pasar atau rojak tersebut. Antara contoh kerancuan bahasa yang melibatkan bahasa pasar
di sekolah adalah seperti berikut :
Murid Melayu : Sikalang pukul belapa?
Murid Cina : Sikalang pukul lua belas.
Murid Melayu : Mali kita ke toilet.
Murid Cina : Mali.
Hal sedemikian menyebabkan bahasa Melayu sukar untuk dimartabatkan. Penggunaan
bahasa pasar di sekolah akan menjadi satu model yang tidak baik untuk murid bukan Melayu
khususnya dalam memahami penggunaan struktur bahasa yang betul.
3. Pengaruh Bahasa Dialek/Daerah.
Bahasa dialek bermaksud satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau
oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, loghat, pelat daerah, negeri dan lain-
lain lagi. Pemilihan kepada penggunaan bahasa daerah ini disebabkan oleh beberapa faktor.
Sebagai contoh di sekolah, guru sendiri mengambil jalan mudah dan cenderung menggunakan
bahasa dialek atau daerah sebagai bahasa pengantar dengan alasan murid lebih mudah
memahami sesuatu yang disampaikan oleh guru dan suasana pengajaran akan bersifat
menghiburkan serta mudah menimbulkan situasi kemesraan antara guru dan murid itu sendiri.
Hal ini tanpa disedari akan melahirkan murid-murid yang lemah dalam penguasaan bahasa
Melayu itu sendiri. Murid-murid merupakan aset yang berharga kepada negara serta mereka
inilah yang akan memegang jawatan penting dan berpengaruh seperti doktor, guru dan
sebagainya. Disamping itu, komunikasi antara murid di sekolah juga sering menggunakan bahasa
daerah sesama mereka. Antara contoh bahasa daerah yang sering digunakan :
Bahasa Daerah/Dialek Bahasa Baku
Awat Mengapa
Pi Pergi
Pasai apa? Kenapa
Lagu mana? Bagaimana
Besaq Besar
Selain itu, contoh ayat yang menggunakan bahasa dialek dikalangan murid sekolah pula adalah :
i) Hang mai sini. ( Kamu datang kesini. )
ii) Jom pi ke kantin. ( Mari kita ke kantin. )
iii) Hang nak pi mana? ( Awak hendak ke mana? ) dan sebagainya.
4. Pengaruh Bahasa Inggeris dan Bahasa Lain.
Pengaruh bahasa Inggeris dan bahasa lain juga menyebabkan berlakunya masalah
kerancuan bahasa di kalangan murid-murid di sekolah. Hal ini berlaku kerana mereka sering
menggunakan terjemahan langsung dari bahasa asal tersebut sama ada perkataan demi perkataan
ataupun frasa, tanpa mengambil kira struktur bahasa Melayu yang betul. Antara contoh
kerancuan bahasa akibat daripada pengaruh bahasa Inggeris dan bahasa lain di kalangan murid
sekolah adalah :
a. “What is your name?” menjadi “Apa nama awak?”
b. “Dhosthi kya hai?” menjadi “Persahabatan apakah itu?”
5. Kerancuan dalam tatabahasa.
Disamping pengaruh-pengaruh di atas, terdapat juga kerancuan dalam tatabahasa di
kalangan murid-murid di sekolah. Hal ini terjadi mungkin disebabkan kekeliruan dalam
penggunaan bahasa dalam tatabahasa. Contoh kesilapan dalam tatabahasa di kalangan murid
sekolah adalah termasuk kesilapan penggunaan kata pemeri adalah dan ialah, kata sendi nama
di, ke, dari dan daripada, di antara dan antara dan banyak lagi. Kerancuan dalam penggunaan
tatabahasa yang betul ini boleh merubah makna dalam sesuatu ayat jika hal ini tidak diambil
berat oleh guru. Antara contoh kesilapan-kesilapan yang sering dilakukan oleh murid adalah :
a). Kesilapan penggunaan adalah atau ialah.
Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala
adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh
kesalahan yang sering dilakukan oleh murid,
Salah Betul
Beliau adalah orang yang pertama ke angkasa
lepas.
Beliau ialah orang yang pertama ke angkasa
lepas.
Anak adalah anugerah Allah. Anak ialah anugerah Allah.
Majlis ini ialah untuk kaum wanita. Majlis ini adalah untuk kaum wanita.
Kata pemeri adalah hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang
bersifat huraian sahaja. Kata pemeri ialah pula hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa
nama yang bersifat persamaan sahaja.
b). Kesilapan Penggunaan kata sendi di
Murid-murid sekolah juga sering terkeliru antara penggunaan di sebagai kata sendi dan di
sebagai imbuhan. Bentuk ini berbeza dari segi penggunaan dan ejaannya.
i. Kata sendi nama di
Kata sendi nama digunakan khususnya di hadapan kata nama atau frasa nama yang
menunjukkan tempat dan ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutnya.
Contohnya :
Salah Betul
disana di sana
dilaut di laut
dirumah di rumah
Selain itu, kata sendi nama di juga tidak boleh digunakan dihadapan kata
nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman.
Antara contoh kesalahan yang dilakukan oleh murid-muriod sekolah
adalah :
Salah Betul
Di saat ini Pada saat ini
Di zaman ini Pada zaman ini
ii. Kesilapan Penggunaan Kata Dalam Ayat
Penggunaan kata dalam ayat amat penting kerana penggunaan kata yang tidak tepat boleh
menyebabkan berlakunya perubahan makna. Berikut disenaraikan kesalahan yang sering
dilakukan oleh murid-murid sekolah dalam penggunaan bahasa Melayu.
Salah Betul
Haikal dihadiahkan sebuah buku Haikal dihadiahi sebuah buku.
Sebuah buku dihadiahkan kepada Haikal.
Saya tidak menyebelahi kedua belah pihak. Saya tidak menyebelahi kedua-dua pihak.
Di antara yang hadir ke majlis tersebut ialah
bapa saya.
Antara yang hadir ke majlis tersebut ialah bapa
saya.
6. Pengaruh Media masa, Majalah,Buku dan Teknologi
Pengaruh media masa juga merupakan faktor terpenting yang menyebabkan kerancuan
bahasa terjadi. Bahasa yang digunakan oleh radio, televisyen atau akhbar sering menjadi ikutan
pengguna bahasa khususnya murid-murid sekolah. Contohnya penggunaan istilah “Sure Heboh’
yang digunakan suatu masa dahulu. Istilah ini jelas menunjukkan penggunaan bahasa rojak iaitu
penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu. Istilah ini sering digunakan oleh murid sekolah
yang tidak mengerti apa-apa tentang penggunaan istilah yang betul. Pencipta istilah ini
sebenarnya tidak mngetahui bagaimana istilah baru dibentuk seperti yang ditetapkan oleh DBP
dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia (DBP, 1975) yang sudah
menggariskan tujuh langkah dalam pembentukan istilah.
Selain itu, pengaruh teknologi juga memainkan penting yang menyebabkan berlakunya
masalah kerancuan bahasa. Jika dilihat pada masa sekarang dengan perkembangan teknologi
terutamanya penggunaan bahasa singkatan seperti SMS, email dan sebagainya sedikit sebanyak
mempengaruhi murid sekolah dalam menggunakan bahasa Melayu yang betul. Bahasa SMS atau
singkatan yang digunakan telah terbawa-bawa dalam penulisan karangan murid sekolah itu
sendiri. Contoh penggunaan singkatan dalam penulisan adalah seperti ;
a. Jgn pergi ke kwsn itu.
b. Kamu nk makan?
Penggunaan singkatan seperti ini semakin meruncing di kalangan murid-murid sekolah kerana
mereka tidak sedar bila masa yang sesuai untuk menggunakannya kerana sudah terbiasa dengan
perkara tersebut.
Kerancuan bahasa juga berlaku akibat daripada buku yang berbeza huraian atau
pegangan. Di negara kita khususnya, ada pelbagai buku , baik buku tatabahasa ataupun buku teks
Bahasa Melayu yang digunakan di sekolah. Pelajar sekolah biasanya didedahkan kepada aspek
tatabahasa berdasarkan buku tatabahasa pegangan , iaitu Tatabahasa Dewan. Kekeliruan berlaku
berpunca daripada ketidakseragaman huraian dari segi ejaan, golongan kata dan juga tatabahasa.
BAHAGIAN B
Sebagai seorang guru Bahasa Melayu, jelaskan dengan contoh tertentu langkah-langkah yang
diambil untuk membantu murid-murid menguasai Bahasa Melayu standard.
Masalah kerancuan bahasa dikalangan murid-murid sekolah yang semakin meruncing
pada masa sekarang boleh diatasi sekiranya semua guru khususnya dan masyarakat amnya
mengambil berat tentang masalah tersebut. Semua pihak seharusnya bekerjasama dalam
memartabatkan Bahasa Melayu menjadi bahasa standard. Antara langkah-langkah yang boleh
diambil untuk mengatasi masalah ini ialah menambah guru Bahasa Melayu di sekolah. Guru
Bahasa Melayu yang terlatih seharusnya ditempatkan di sekolah mengikut jumlah keperluan
murid-murid di sekolah. Dengan adanya guru yang terlatih dan pakar dalam bahasa, secara tidak
langsung penekanan akan lebih diberikan sama ada dari segi tatabahasa, struktur ayat, ejaan,
peristilahan, kosa kata dan sebagainya. Dengan ini, murid-murid akan lebih mendapat maklumat
atau panduan penggunaan bahasa yang betul.
Selain itu, pihak pentadbiran sekolah juga boleh memainkan peranan penting dalam
meningkatkan penggunaan bahasa Melayu yang betul di kalangan murid-murid sekolah. Panitia
Bahasa Melayu khususnya boleh mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh menarik minat murid
untuk mempelajari bahasa Melayu serta menjadikan satu bahasa yang menarik. Antara aktiviti
yang boleh dilakukan ialah seperti mengadakan aktiviti minggu bahasa yang mana di dalamnya
mengandungi aktiviti-aktiviti yang menekankan aspek berbahasa yang betul serta aktiviti yang
boleh menarik minat murid seperti pantun, kuiz, perbahasan. Teka silang kata dan sebagainya.
Dengan ini secara tidak langsung, aktiviti yang dilakukan itu, akan meninggalkan kesan yang
mendalam kepada murid-murid tentang penggunaan bahasa yang betul.
Disamping itu, pihak pentadbiran juga perlu peka dalam memantapkan guru-guru Bahasa
Melayu. Guru-guru ini perlu dimantapkan dengan kemahiran terkini serta perubahan-perubahan
terbaharu dalam Bahasa Melayu. Antara langkah yang boleh diambil ialah memberi kursus
kepada guru-guru ini untuk memantapkan penguasaan mereka dari semasa ke semasa sama ada
dari segi kandungan bahasa itu sendiri mahupun kaedah-kaedah yang sesuai serta menarik yang
boleh diterjemahkan ke dalam bilik darjah.. Dengan itu, pengetahuan yang baharu ini dapat
disebarkan kepada murid-murid dan tidak hanya berdasarkan kepada pengetahuan semasa guru
tersebut belajar di institut perguruan sahaja.
Seterusnya guru-guru juga perlu didedahkan dengan teknologi yang terkini dalam kaedah
pengajaran mereka. Penggunaan internet, laptop dan juga ipad dalam pengajaran dan
pembelajaran amat penting kerana ianya sedikit sebanyak dapat menarik minat murid untuk
mempelajari bahasa Melayu dengan lebih berkesan. Dengan kemajuan teknologi seperti ini,
maklumat-maklumat terkini dapat diperolehi seperti pembelajaran di atas talian bersama sekolah-
sekolah lain, soalan-soalan terbaharu dapat dikongsi bersama.
Kaedah-kaedah pengajaran juga memainkan peranan penting untuk mengatasi masalah
kerancuan bahasa ini. Guru seharusnya merancang kaedah-kaedah yang lebih menarik serta
menyeronokkan untuk menarik minat murid dalam mempelajari Bahasa Melayu. Dengan
penggunaan kaedah yang sesuai, penggunaan bahasa Melayu secara tidak langsung, dapat
dipertingkatkan di kalangan murid-murid sekolah tersebut. Kaedah-kaedah seperti permainan,
kuiz, simulasi dan sebagainya boleh diselitkan dalam pengajaran guru untuk memantapkan
penggunaan bahasa Melayu di kalangan murid-murid sekolah.
Kesimpulan
Kesimpulan yang dapat diambil tentang hal ini ialah masalah kerancuan bahasa
dikalangan murid-murid sekolah adalah berpunca daripada beberapa faktor seperti pengaruh
daripada bahasa ibunda, bahasa dialek, pengaruh bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain,
pengaruh teknologi dan sebagainya. Hal ini berlaku kerana murid-murid mudah mengikut tanpa
mengetahui maksud sebenar apa yang menjadi ikutan mereka itu. Secara tidak langsung, masalah
ini akan merosakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul kerana bahasa Melayu ini
sebenarnya mempunyai sistem tertentu, baik dari segi ejaan, morfologi, mahupun sintaksis.
Murid-murid sekolah sbenarnya merupakan aset negara yang penting kerana generasi inilah yang
akan menerajui negara pada masa akan datang. Sekiranya masalah kerancuan bahasa ini tidak
dibendung dengan segera, berkemungkinan bahasa Melayu tidak akan menjadi satu bahasa yang
mempunyai standardnya yang tersendiri.
Untuk mengatasi masalah ini, semua pihak seharusnya bersatu dan bekerjasama untuk
membantu murid-murid menguasai Bahasa Melayu standard dengan baik. Antara langkah-
langkah yang boleh diambil ialah memantapkan guru-guru bahasa Melayu, menambah bilangan
guru bahasa Melayu di sekolah mengikut keperluan murid, mengadakan aktiviti-aktiviti yang
menarik, mempelbagaikan kaedah dalam pengajaran dan pembelajaran, serta penggunaan
teknologi terkini semasa pengajaran guru. Banyak lagi tindakan yang boleh diambil oleh guru
bagi membantu murid menguasai bahasa Melayu dengan baik. Semoga dengan langkah-langkah
ini, kerancuan bahasa Melayu di kalangan murid-murid sekolah dapat di atasi serta
memantapkan penggunaan bahasa dikalangan murid seterusnya menjadikan bahasa Melayu
sebagai satu bahasa antarabangsa pada masa akan datang.
BIBLIOGRAFI
Aeu (2013). ESP 313 Sejarah dan Perkembangan Bahasa Melayu. Kuala Lumpur.
Farid M. Onn, PHD. Ajid che Kob. (1981). Pengaruh Bahasa Daerah Dalam Proses
Pembelajaran Bahasa Malaysia di Kalangan Pelajar-Pelajar Melayu.
Abdul Rashid Melebek, amat Johari Moain. (2005). Sejarah Bahasa Melayu. Selangor Darul
Ehsan, Utusan Publications &Distributors Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan (1987). 30 Tahun , Perancangan Bahasa Malaysia. Kuala Lumpur,
Dewan Bahasa Dan Pustaka.
KANDUNGAN
Pengenalan
Definisi Konsep
Masalah Kerancuan Bahasa Di Kalangan Murid Sekolah
1. Pengaruh Bahasa Ibunda
2. Pengaruh Bahasa Pasar
3. Pengaruh Bahasa Dialek/Daerah
4. Pengaruh Bahasa Inggeris Dan Bahasa Lain
5. Kerancuan Dalam Tatabahasa
6. Pengaruh Media Masa, Majalah, Buku Dan Teknologi
Langkah-langkah mengatasi masalah kerancuan bahasa di kalangan murid sekolah
Kesimpulan
Bibiliografi