kelebihan pengangkutan awam

Upload: suriana-kadir

Post on 02-Apr-2018

331 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

  • 7/27/2019 Kelebihan Pengangkutan Awam

    1/4

    Pengangkutan Alaf Ini (Buku Teks m.s. 48)

    Soalan Contoh

    Masyarakat hari ini digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak

    kelebihannya.

    Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara kita.

    Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda

    telah menyumbang kepada faktor perubahan sistem pengangkutan awam secara drastik.

    Menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, pengangkutan awam dapat

    didefinisikan sebagai sistem pengangkutan bermotor seperti teksi, bas dan kereta api yang

    digunakan oleh orang ramai di kawasan tertentu dengan kadar tambang yang telah

    ditetapkan. Pada zaman yang serba canggih ini, sistem pengangkutan moden kian

    mempengaruhi kehidupan masyarakat. Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh,

    didapati bahawa kenderaan awam tidak terhad dalam sistem perhubungan di darat malah di

    udara juga di laut. Apakah kepentingan pengangkutan awam kepada pengguna dan

    persekitaran negara kita? Antara tamsilan pengangkutan awam yang selalu digunakan oleh

    pengguna ialah bas, teksi, LRT, monorel dan kapal terbang. Umum mengetahui bahawa

    bas awam merupakan kemudahan awam yang paling meluas digunakan di seluruh negara

    termasuklah di bandar dan di kawasan pedalaman. Oleh itu, kelebihan-kelebihan

    pengangkutan awam yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci

    demi kebaikan bersama.

    Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana menyediakan

    perkhidmatan pengangkutan awam kepada semua. Bertitik tolak daripada itu, dengan

    menggunakan pengangkutan awam sebenarnya dapat menjimatkan masa seseorang untuk

    sampai ke sesuatu destinasi seterusnya dapat menjimatkan kos perjalanan. Sebagai

    contohnya, jika dahulu perjalanan ke Ipoh dengan memandu kereta mungkin memakan

    masa hingga tiga jam dan kadangkala meletihkan kerana terpaksa menempuh kesesakan

    yang tidak diduga sepanjang perjalanan. Namun, pada hari ini anda boleh menikmati kopi

    panas dan membaca buku kegemaran anda dengan menaiki kereta api elektrik (ETS)

    yang hanya mengambil masa dua jam lima minit sahaja perjalanan pada kadar tambang

    yang berpatutan. Sudah jelas di sini bahawa penggunaan ETS dapat menjimatkan masa

    seseorang lebih kurang 50 minit berbanding penggunaan kereta persendirian. Impaknya,

    pengangkutan awam dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan dengan tambang yang

    berpatutan seperti juga pengangkutan awam yang lain iaitu LRT (Light Rail Transit) dan

    MRT(Mass Rail Transit) yang menjadi pilihan ramai terutamanya golongan pertengahan di

    kawasan bandar. Malahan kita boleh pergi ke mana-mana destinasi tanpa perlu memikirkan

    kos petrol yang semakin meningkat dan pengguna tidak perlu memikirkan bayaran tol serta

    bayaran tempat meletak kenderaan. Seterusnya, kos yang dapat dijimatkan itu boleh

    digunakan untuk membeli barang keperluan yang lebih penting. Peribahasa yang bertepatan

    dengan situasi di atas ialah Ingat Sementara Belum Kena, Jimat Sebelum Habis dan Masa

    Itu Ibarat Emas. Sudah Terang Lagi Bersuluh, pengangkutan awam dapat menjimatkanmasa dan kos perjalanan seseorang.

  • 7/27/2019 Kelebihan Pengangkutan Awam

    2/4

    Secara realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat perlu

    menggunakan pengangkutan awam agar dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    Perkhidmatan bas telah lama menerima persepsi negatif umum sebagai pengangkutan bagi

    golongan miskin. Perkhidmatan bas semasa tidak mampu menandingi kelajuan, keupayaan

    dan kekerapan perkhidmatan rel yang tinggi kerana bas perlu meredah kesesakan lalu lintas

    bersama-sama ribuan kenderaan lain. Bagi mengatasi masalah ini, tiga usaha utamamerentasi 12 koridor menuju ke bandar utama iaitu Bus Expressway Transit (BET), Bus

    Rapid Transit (BRT), dan Lorong Bas telah disediakan. Perkhidmatan BET akan dilancarkan

    di empat lebuh raya di Lembah Klang yang tidak digunakan sepenuhnya. Pengguna akan

    menikmati pengurangan kesesakan lalu lintas daripada perkhidmatan ini kerana

    pengangkutan awam ini mempunyai jumlah hentian yang terhad dan laluan khas di kawasan

    tol bagi melancarkan perjalanan. Selain itu, pengguna yang mengutamakan perkhidmatan

    pengangkutan awam dan tidak mementingkan diri sendiri, Bagai Enau Dalam Belukar

    Melepaskan Pucuk Masing-Masing dapat mengurangkan bilangan kenderaan di jalan raya.

    Kekurangan kenderaan persendirian di jalan raya secara langsungnya dapat mengurangkan

    kesesakan lalu lintas yang kronik. Secara implisitnya, kadar kemalangan dapat dikurangkansekali gus. Dengan ini, diharapkan masyarakat sedar akan kelebihan pengangkutan awam

    yang dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

    Pengangkutan Awam sebenarnya mempunyai perkaitan yang amat kuat dengan

    pembinaan bandar lestari atau bandar hijau malah mengurangkan pencemaran alam. Mahu

    atau tidak, pengangkutan awam akan menjadi nadi penting dalam memperkasakan bandar

    yang bersih atau mampu mengurangkan karbon atau gas beracun di kawasan bandar.

    Kawasan bandar yang kurang kenderaan persendirian bermaksud akan bertambah

    kurangnya karbon dilepaskan. Tambahan pula, LRT, MRT dan Monorel digerakkanmenggunakan tenaga elektrik. Pembinaan pengangkutan awam yang efisyen membolehkan

    bandar raya dibangunkan dengan sempurna. Kajian masa depan perlu dilakukan untuk

    memikirkan kesesakan bandaraya pada masa akan datang. Walaupun adanya bandar

    satelit yang membantu mengurangkan kesesakan bandar utama, perancangan

    pengangkutan awam yang sempurna perlu difikirkan. Kenderaan bermotor yang padat di

    kawasan bandar menyumbang kepada pencemaran udara dan pencemaran bunyi. Dari satu

    segi, fenomena ini menunjukkan kemajuan ekonomi sesebuah negara. Manakala dari sisi

    alam sekitar pula, hal ini menunjukkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan yang

    bercanggah inilah yang sepatutnya diselarikan supaya kenderaan bermotor bukan sahaja

    boleh digunakan sebagai petunjuk kemajuan ekonomi negara, bahkan turut menyumbangkepada kelestarian alam sekitar. Bagaimanakah kedua-duanya dapat diselarikan?

    Jawapannya adalah dengan memperkenalkan Sistem Pengangkutan Hijau yakni satu

    sistem pengangkutan awam yang bukan sahaja menawarkan perkhidmatan yang berkualiti

    iaitu cepat, cekap dan selesa bahkan mengurangkan pencemaran alam sekitar. Sekiranya

    sistem pengangkutan hijau berjaya dilaksanakan dengan sepenuhnya di kawasan bandar

    tanpa gangguan daripada kenderaan persendirian dan motosikal sudah pasti matlamat

    untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di bandar akan tercapai. Hal ini kerana

    gangguan dari segi tekanan, ketidakselesaan, kerumitan, kelewatan jadual perjalanan,

    kesesakan lalu lintas telah berjaya diatasi. Keselesaan dan kesejahteraan penduduk dalam

    berinteraksi di jalan raya juga merupakan sumbangan kepada peningkatan kualiti hidup

  • 7/27/2019 Kelebihan Pengangkutan Awam

    3/4

    penduduk. Izharlah bahawa sistem pengangkutan awam yang moden di negara kita mampu

    melestarikan alam sekitar seterusnya pencemaran udara tidak akan menjadi masalah lagi.

    Sebagaimana yang kita ketahui, penggunaan pengangkutan awam moden dapat

    memudahkan perjalanan. Hal ini dapat dibuktikan dengan penggunaan kapal terbang

    sebagai pengangkutan utama bagi masyarakat Islam yang ingin menunaikan haji.

    Penggunaan kapal terbang dapat mempercepat perjalanan di samping memudahkan

    jemaah haji yang ingin menunaikan tuntutan rukun Islam yang kelima. Jika dibandingkan

    pada tahun 1950-an, jemaah haji yang menunaikan haji akan mengambil masa lebih kurang

    dua bulan untuk sampai ke destinasinya. Hal ini amat menyusahkan, berbanding sekarang

    hanya 8 jam sahaja, seseorang itu telah sampai ke Mekah. Situasi ini jelas menunjukkan

    penggunaan pengangkutan awam moden telah memudahkan perjalanan bagi jarak yang

    amat jauh melangkaui sempadan antarabangsa. Selain itu, Sistem Transit Aliran Ringan

    (LRT), komuter, monorel dan KLIA Ekspress telah terbukti dapat memudahkan perjalanan

    kerana bebas daripada kesesakan lalu lintas. Hal ini disebabkan pengangkutan awam ini

    mempunyai laluan atau rel yang tersendiri. Selain itu, keistimewaan pengangkutan awam ini

    juga memudahkan perjalanan kerana mempunyai jadual perjalanan yang telah ditetapkan.

    Sekali gus, orang ramai dapat merancang perjalanan mereka dan membuat persediaan

    awal seperti peribahasa Sediakan Payung Sebelum Hujan. Tegasnya, perjalanan akan

    menjadi lebih mudah bagi pengguna apabila pengangkutan awam ini tidak dipinggirkan.

    Penggunaan pengangkutan awam juga dapat menjimatkan masa dan kos

    perjalanan. Sebagai contohnya, ERL dapat memendekkan masa perjalanan jika

    dibandingkan dengan penggunaan kereta. Tambang pengangkutan awam seperti komuter

    dan LRT juga amat berpatutan jika dibandingkan dengan masa perjalanannya yang telah

    disingkatkan. Oleh itu, jika dibandingkan antara pengangkutan awam dengan kenderaan

    biasa, masyarakat akan mendapat manfaat sekiranya menggunakan pengangkutan awam.

    Harga petrol yang tidak menentu di pasaran global telah memberikan impak yang negatif

    kepada rakyat yang menggunakan kenderaan peribadi. Oleh hal yang demikian, banyak

    perbelanjaan boleh dijimatkan sekiranya orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

    Kesimpulannya, pengangkutan awam banyak mendatangkan manfaat dalammemudahkan manusia menjalani urusan seharian. Semua lapisan masyarakat Malaysia

    digalakkan menggunakan pengangkutan awam. Sekiranya langkah yang drastik dan

    efektif ini tidak diikuti, sudah tentu banyak masalah akan timbul dalam kehidupan kita di

    bumi yang fana ini. Jika dikaji sehingga ke akar umbi, masalah ini berpunca daripada asap

    kenderaan. Oleh itu, pihak kerajaan juga hendaklah memainkan peranan yang penting

    dengan menaik taraf perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia agar setanding dengan

    negara-negara gergasi yang lain bak peribahasa Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah.

    Oleh hal yang demikian, anggota masyarakat perlu menyokong langkah kerajaan yang

    berstrategi serampang dua mata bagi menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

    Sesungguhnya, kemajuan dalam pengangkutan awam yang disokong sepenuhnya oleh

  • 7/27/2019 Kelebihan Pengangkutan Awam

    4/4

    rakyat Malaysia akan dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan insan seiring

    dalam memenuhi aspirasi negara menjelang pencapaian Wawasan 2020.