kejayaan regu sepak takraw negara mengakhiri kemar

Upload: sitiharijah

Post on 02-Mar-2016

244 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

chill

TRANSCRIPT

KEJAYAAN regu sepak takraw negara mengakhiri kemarau kemenangan dengan Thailand sejak sedekad lalu iaitu Sukan SEA Filipina 2005, membuktikan tiada tembok yang mustahil untuk dipecahkan sekiranya semua pihak dan segala usaha digembleng untuk satu matla

KEJAYAAN regu sepak takraw negara mengakhiri kemarau kemenangan dengan Thailand sejak sedekad lalu iaitu Sukan SEA Filipina 2005, membuktikan tiada tembok yang mustahil untuk dipecahkan sekiranya semua pihak dan segala usaha digembleng untuk satu matlamat Menjayakan Malaysia!

Kemenangan luar biasa 2-0 (21-7, 21-19) dalam perlawanan akhir Siri Super Istaf 2/2014-15 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, Ahad lalu itu turut melenyapkan kata-kata sinis pengkritik dalam kalangan bekas pemain negara sendiri yang sering memperlekehkan tekad dan tanggungjawab Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam memartabatkan sukan warisan Melayu ini.

Menariknya sejarah manis itu berjaya dicatat di bumi bersejarah di mana bertapaknya sukan sepak takraw (atau sepak raga) yang dimainkan sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka, lebih 600 tahun lalu negeri yang turut menyaksikan bagaimana bijaknya Tun Perak mengusir percubaan serangan oleh bala tentera Siam.

Tidak keterlaluan untuk mengalungkan pujian kepada yang sateria negara yang berhak menerimanya Syahir Rosdi, Hanafiah Dolah, Khairol Zaman Hamir Akhbar dan Farhan Adam serta Ahmad Aizat Nor Azmi mahupun ketua jurulatih mereka, Abd. Talib Ahmad dan Najib Iman di samping pengurus pasukan, Zambri Abdul Rahman.

Mereka bagaikan mendapat inspirasi Tun Perak itu dengan menunaikan amanah yang terpikul di bahu apabila menumbangkan tentera gajah putih yang membariskan tekong utamanya, Siriwat Sakha (masuk menggantikan muka baharu, Kritsanapong Nontakote) selain diapit oleh Thawisak Thongsai dan Panupong Petlue (Suriyon Koonpimon).

Jelas sekali, regu ini belajar daripada sejarah! Tepat kata pujangga bahawa sejarah mampu mendewasakan kita.

Syahir dan Zaman nyaris lebih awal mengejutkan Thawisak dan Suriyon ketika perlawanan akhir Siri Super Istaf 1 di Nay Pyi Taw, November lalu sebelum tewas tipis 20-22, 21-18, 21-23 ketika semakin kurang peminat di tanah air memberikan mereka harapan apatah lagi baru pulang daripada Sukan Asia Incheon, sebulan sebelumnya dengan sekadar dua pingat gangsa selain diaibkan Indonesia dan Korea Selatan malah dikecam pula pelbagai pihak.

Hanafiah pula mempamerkan kebangkitan dan membalas kepercayaan PSM khususnya Presidennya, Datuk Ahmad Ismail kepadanya biarpun pernah digantung tiga bulan atas sebab disiplin malah diketepikan daripada skuad Sukan Asia.

Dia mengambil iktibar, jika pernah jatuh, tidak bermakna akan terus rebah buat selama-lamanya.

Dalam Siri Super Istaf 3 musim 2013-14 dan bersaksikan ribuan penyokong di Kota Kinabalu, Sabah, apit kanan kelahiran Terengganu ini juga dengan gandingan Noor Azman Hamid dan Syazreenqamar Salehan, nyaris meleburkan ego dan kejaguhan Thailand yang memiliki Panupong, biarpun akhirnya terpaksa akur dalam pertarungan lima set, 15-12, 15-11, 4-15, 12-15, 7-15.

Syahir baru berusia 19 tahun, Zaman hanya 21 tahun, Hanafiah dan Aizat 24 tahun serta Farhan, 26, membayangkan betapa cerahnya masa depan sepak takraw negara dan tepatnya landasan yang dibentuk PSM dalam membawa mereka mengalungkan semula negara dengan pingat emas Sukan SEA Malaysia 2017.

Namun begitu, banyak pihak pasti mahu kejayaan lebih cepat dicapai apabila tibanya temasya dwitahunan Asia Tenggara itu yang ke-28 di Singapura, Jun ini.

Menurut bekas jurulatih negara, Haris Abdul Rahman, prestasi mereka menunjukkan kematangan daripada hasil pendedahan yang ditimba dalam banyak pertandingan besar.

Katanya, kejayaan memang tidak boleh datang dalam sekelip mata. Proses ke arah itu sentiasa memerlukan pengalaman menempuh saat kalah dan dihentam banyak pihak.

Saya pernah melatih Korea Selatan dalam lapan bulan sebelum Sukan Asia Doha 2006 dan hasilnya lihatlah di mana mereka sekarang (empat teratas bersama Thailand, Malaysia, Indonesia atau Myanmar).

Syahir matang dengan servisnya yang kerap menepati sasaran dan konsisten kerana pendedahan besar antarabangsa pada usia yang begitu muda, kata Haris.

Haris sebelum ini pernah berkelana sebagai jurulatih Iran dan Singapura selepas membantu mengalungkan Malaysia dengan pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Hiroshima 1994 selain emas berganda Sukan SEA Manila 1991.

Bagi Ahmad atau dikenali sebagai Tok Mat, beliau tidak sesekali berdendam dengan pengkritiknya terutama dalam kalangan bekas pemain negara yang juga anak didik Haris yang sentiasa menanti bola tanggung di depan jaring untuk menghentamnya habis-habisan menerusi laman sosial sebelum ini setiap kali skuad negara kecundang di tangan lawan mahupun apabila PSM mengumumkan sebarang program pertandingan atau dasar baharu pembangunan sepak takraw.

Apa faedahnya kita asyik berbalah dan terus mengata? Idea, pandangan dan tenaga waima kritikan pemain legenda sepak takraw ini sepatutnya dihalakan bersama-sama kami kepada satu matlamat iaitu untuk melihat kejayaan sukan warisan budaya bangsa ini. Akhirnya yang untung nanti saudara sebangsa, seagama dan senegara anda juga, tegasnya.

Sementara itu, menurut bekas apit kiri negara, Suhaimi Yusof, Thailand tidak akan berdiam diri begitu sahaja dengan kekalahan ini.

Memang mereka hanya menurunkan seorang tekong utama (Siriwat) tetapi itu ada muslihatnya. Thailand ikut pengalaman saya, lebih bertumpu kepada temasya sukan macam Sukan SEA dan Sukan Asia. Di Melaka mereka cuma beruji kaji.

Satu persembahan terbaik tetap saya tujukan kepada regu kita (juara Siri Super Istaf kelmarin). Kepada PSM, jagalah baik-baik gandingan ini dan cubalah cari satu dua lagi gandingan setaraf mereka menjelang ke Sukan SEA atau lain-lain kejohanan besar sebab masih ramai yang berbakat besar.

Untuk berjaya dan demi negara, kadangkala perlu dikorbankan seketika ego masing-masing, katanya.

Sebagai rekod, Thailand masih tidak menurunkan regu utama ketika menjuarai Siri Super 1 di Nay Pyi Taw dan Siriwat yang longlai dan serba tumpul di Melaka, biasanya diapit raja libas mereka, Pornchai Kaokaew dan pengumpan terbaik, Pattarapong Yupadee selain dua simpanan hampir setaraf, Anuwat Chaichana dan Sittipong Khamchan yang bergelar juara Sukan Asia Incheon, Kejohanan Dunia Piala Raja Thai dan Sukan SEA Myanmar 2013.