kajian sambutan deepavali
DESCRIPTION
jurnalTRANSCRIPT
FAKULTI PENDIDIKAN DAN BAHASA
JANUARI 2013
HBEF 2803 PROFESSIONAL DEVELOPMENT
PERAYAAN HARI DEEPAVALI
JURNAL REFLEKTIF
NO. MATRIKULASI : 800709025279
NO. KAD PENGNEALAN : 800709-02-5279
NO. TELEFON : 017-6262973
E-MEL : [email protected]
PUSAT PEMBELAJARAN : OUM SHAH ALAM
JURNAL REFLEKTIF
Di Malaysia terdapat banyak sambutan perayaan agama yang diamalkan. Saya telah
memilih untuk mengkaji secara mendalam tentang salah satu perayaan yang popular di negara
kita iaitu perayaan Deepavali. Saya telah memilih kajian perayaan ini kerana ia bersesuaian
dengan tarikh yang terdekat dengan keperluan kehendak soalan yang diminta oleh pihak
EPIC. Sekali gus memberi peluang kepada saya untuk mengkaji dan meneliti pelbagai aspek
perayaan daripada sudut sejarah dan cara meraikannya.
Kajian tentang Deepavali memerlukan pemahaman awal tentang perayaan itu. Maka saya
berusaha untuk meneliti pelbagai sumber rujukan termasuklah majalah-majalah, jurnal-jurnal
dan sumber carian internet. Saya dapati kebanyakan maklumat yang diperoleh mempunyai
hubung kait yang banyak persamaan. Namun ada juga maklumat yang berselisih dengan
dapatan melalui temu bual dengan beberapa orang penganut agama Hindu. Terutamanya
tentang sejarah sambutan Deepavali. Mungkin disebabkan oleh penerangan atau pemahaman
secara turun-menurun yang menyebabkan ada sedikit perbezaan tentang sejarah sambutan
Deepavali itu.
Melalui kajian secara pembacaan bahan bercetak dan bahan internet, saya menjadi lebih
mengetahui tentang sambutan Deepavali. Saya telah mengetahui sejarah dan bagaimana
Deepavali itu sepatutnya disambut oleh penganut agama Hindu. Mereka mempunyai agenda
perayaan yang agak berbeza dengan perayaan-perayaan lain dalam bentuk kemestian seperti
mandi minyak. Beberapa perkara perlu dilakukan sebelum perayaan Deepavali dan amalan
pantang larang dalam sambutan. Pakaian tradisional masih lagi menjadi kebanggaan dalam
merayakan Deepavali. Pengutamaan kaum India di Malaysia menghidangkan juadah kuih-
muih tradisional masih diutamakan. Kajian saya tentang kuih-muih ini membuatkan saya
mengetahui pelbagai jenis nama kuih-muih kaum India yang sebelum ini tidak langsung saya
ketahui. Seperti Idhili, Jillebhi, Athirasam, Maisur Pahku, Alva, Paal Guva dan Ladhu.
Semasa saya membuat kajian tentang sambutan Deepavali, saya telah terfikir bahawa kita
perlu mengkaji perayaan agama sendiri iaitu Islam. Kita perlu mengkaji dengan lebih
mendalam tentang perayaan-perayaan yang disambut dalam Islam. Termasuklah sambutan
Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha, Sambutan Maulidur Rasul agar kecintaan dan
pengamalan menjadi lebih tepat dan bukan hanya ikutan-ikutan sahaja. Ini penting kerana
amalan tanpa ilmu adalah menjadi satu kesalahan. Biarlah amalan Islam yang dilakukan itu
menjadi tepat dengan berguru dengan guru-guru agama yang mursyid dan mutqin.
Setelah saya meneliti dan mengkaji sambutan Deepavali, terfikir di pemikiran saya untuk
mengkaji dan meneliti perayaan yang disambut dalam agama Islam. Saya berasa gembira dan
senang hati membuat tugasan saya sendiri. Saya telah meneroka bahan-bahan bacaan dan
melayari internet untuk mendapatkan bahan tentang perayaan dalam Islam. Sememangnya
banyak perbezaan sama ada dalam bentuk sambutan mahu pun pemahaman tentang sambutan
dalam Islam dengan agama-agama lain.
Sebelum temu bual dijalankan saya telah membuat persiapan tentang persoalan yang akan
diutarakan. Saya berasa teruja dan sedikit bimbang adakah proses temu bual itu berjalan
dengan lancar. Adakah nanti semua persoalan itu dapat dijawab berketepatan dengan kajian
pembacaan saya? Semua persoalan itu terus bermain di fikiran saya sehinggalah selesai temu
bual dengan tiga generasi kumpulan umur.
Saya telah menemu bual seorang wanita yang beragama Hindu. Puan Krishna Dewi
a/p Subramaniam. Beliau yang berumur 56 tahun telah menyatakan tentang Deepavali
mengikut pemahaman dan kepercayaannya. Ada sedikit perbezaan antara sambutan perayaan
Deepavali semasa di kampung dengan sambutan di bandar. Di kampung dahulu lebih meriah
dan menyeronokkan. Ada sedikit perbezaan dari segi sejarah perayaan. Beliau menyatakan
pernyataan Deepavali disambut untuk merayakan tuhan Hindu yang bernama Mega Lejmi.
Namun dalam pembacaan saya, nama sebenarnya ialah Dewi Lakshmi. Mungkin ini
disebabkan cerita yang diperoleh adalah melalui turun-temurun dan berlaku pengurangan
ketepatan maklumat.
Temu bual saya dengan kumpulan generasi kedua iaitu dengan Puan Primila a/p
Aplanadu. Beliau lebih sukakan sambutan Deepavali semasa di kampung. Kesibukan di kota
menyebabkan semua dilakukan dengan tergesa-gesa mengejar masa atas kesibukan bekerja.
Berbeza semasa di kampung semuanya berjalan dengan lancar dan tenang.
Dari segi sejarah pula, beliau menyatakan Deepavali disambut bersempena dengan
peristiwa kekejaman seorang raja pada zaman dahulu. Semua rakyat pada masa itu dalam
keadaan gelap gelita. Seorang yang dikatakan tuhan Krisna telah membunuh raja kejam yang
bernama Nagasura. Selepas itu keadaan dunia menjadi terang semula dengan nyalaan lampu.
Melalui pembacaan saya, ada persamaan dengan penyataan beliau iaitu tentang
lagenda pembunuhan Narakasura. Namun yang membunuh Narakasura adalah dilakukan oleh
ibunya iaitu Bhudevi. Peristiwa itu dijadikan pengajaran bahawa ibu bapa perlu menghukum
anak-anak mereka sekiranya mereka melakukan perkara yang salah. Masyarakat Hindu
menyalakan lampu pelita sebagai tanda kematian Narakasura dan pada hari itu ialah hari pesta
Deepavali.
Persamaan yang diutarakan dengan temu bual generasi kedua ini berkemungkinan
besar beliau mempunyai pembacaan yang tinggi juga dan memahami sejarah Deepavali yang
asal. Saya berasa lega sebab apa yang saya baca ada persamaan dengan pernyataannya.
Temu bual saya dengan generasi umur ke-3 iaitu antara berumur 7 hingga 18 tahun
bersama-sama adik Anaes Patel a/l Amres yang berumur 11 tahun. Beliau menyatakan
sambutan Deepavali lebih kepada keseronokan dan pernah ke tahan India untuk menziarahi
datuk dan neneknya di sana.
Saya berasa amat lega setelah selesai mengadakan sesi temu bual dengan jayanya.
Saya dapat berkongsi maklumat dengan mereka. Bahkan mereka menunjukkan sikap ramah
mesra yang sangat baik. Saya dilayan dengan baik dan jawapan yang diberi dapat saya
simpulkan bahawa sambutan Deepavali masih menjadi kebanggaan kepada kaum India yang
beragama Hindu.
Namun daripada hasil temu bual menampakkan satu hakisan nilai ziarah-menziarahi.
Atas kesibukan jalan raya, masing-masing ingin bergegas-gegas. Takut lewat ke tempat kerja,
kebanyakannya berusaha untuk pulang awal ke bandar. Sedikit sebanyak telah mengurangkan
masa untuk amalan ziarah-menziarahi saudara – mara terdekat. Bahkan amalan membuat
‘kolum’ juga telah mula terhakis di kawasan bandar. Ini disebabkan tempat tinggal yang tidak
sesuai untuk membuat hiasan ‘kolum’ di halaman rumah yang berkongsi dengan rumah jiran
yang lain. Kedudukan rumah seperti rumah flat sememangnya tidak sesuai untuk membina
‘kolum’ disebabkan ruang halaman yang sempit dan berkongsi ruang dengan jiran sebelah.
Boleh dicadangkan di sini agar masyarakat setempat mengadakan majlis sambutan
perayaan mengikut kaum dan dihadiri oleh lapisan masyarakat agar proses ziarah-menziarahi
dapat disingkatkan dan dapat berjumpa dengan sahabat-handai yang telah berkumpul. Di
kalangan murid sekolah juga pemahaman kepentingan ziarah-menziarahi perlu dipupuk
dengan baik. Manakala di persekitaran tempat kerja juga amalan makan bersama-sama dapat
memupuk semangat bekerjasama dan tolong-menolong.
Dalam penelitian saya, dewasa ini ada segelintir masyarakat yang tidak begitu
mengindahkan amalan ziarah-menziarahi di musim perayaan. Banyak masa dihabiskan di
pusat-pusat hiburan dan pasar raya. Mereka lebih seronok menghabiskan masa di tempat-
tempat seperti itu. Ini amat membimbangkan kerana sedikit sebanyak amalan ziarah-
menziarahi telah mulai terhakis.
Sebagai salah seorang yang mencintai perdamaian dan keamanan, saya berusaha untuk
bersama-sama hadir dalam persekitaran muhibah dalam masyarakat. Di sekolah sebagai
contoh ada pelbagai kaum di situ. Para guru telah membangkitkan sifat persefahaman antara
kaum dan menghormati amalan dan kepercayaan kaum masing-masing. Perayaan turut
disambut dalam suasana sederhana dan muhibah. Hal ini akan menjadi contoh ikutan kepada
murid-murid yang perlu ditanamkan sikap hormat-menghormati dan bertoleransi.
Saya sempat berpeluang menziarahi rakan saya yang beragama Hindu. Beliau telah
merayakan Deepavali bersama-sama keluarganya. Saya berasa agak kekok pada awalnya
kerana inilah kali pertama saya menghadiri sambutan Deepavali sebenar pada hari pertama
sambutan. Saya seolah-olah begitu asing dalam sambutan itu. Namun, tuan rumah telah
memuliakan saya dan rakan-rakan yang lain dengan menghidangkan makanan dalam
bungkusan dan air kotak. Mereka seolah-olah telah memahami kami tidak makan makanan
seperti hidangan ayam dan kambing masakannya.
Saya berusaha untuk berbual dengan ahli keluarga rakan saya. Mereka berasa gembira
dan melayan perbualan saya dengan baik. Saya mulai selesa dan tidak kekok lagi. Saya
melihat mereka menghidangkan makanan seperti tose dan meruku. Namun saya tidak melihat
kuih-muih tradisional kaum India yang lain. Mereka menyatakan kuih-muih kaum India sukar
untuk menyiapkannya kerana mereka sendiri tidak mahir untuk membuatnya. Maka fahamlah
saya di sini bahawa makanan tradisional juga jika tidak dikembangkan kemahiran
membuatnya akan terjejas satu ketika nanti.
Pada hari itu saya dapati mereka cukup mesra antara satu sama lain. Saya seolah-olah
merayakan perayaan saya sendiri. Mereka memakai pakaian yang baharu dan amat sesuai
dengan majlis sambutan Deepavali. Kaum wanita ramai yang memakai sari. Manis dipandang
dan mereka nampak sopan dan pemalu. Manakala kaum lelaki memakai pakaian biasa. Saya
tidak dapat melihat mereka memakai dothi. Mungkin kerana mereka tinggal berjauhan dan
selesa dengan pakaian harian biasa. Ini menampakkan lagi kesan hakisan amalan-amalan
pemakaian pakaian tradisional.
Saya perhatikan selepas mereka mandi minyak, mereka akan bersujud di hadapan ibu
bapa mereka. Menampakkan ketaatan mereka kepada ibu bapanya. Saya teringat bahawa apa
yang saya baca sebelum ini memang benar-benar berlaku dalam rumah tangga rakan saya ini.
Mereka masih mengamalkan amalan tradisional mengikut kepercayaan mereka. Namun ada
beberapa perkara yang agak berlainan dengan pembacaan saya berbanding dengan amalan
mereka. Dalam pembacaan saya, selepas mereka mandi minyak, mereka akan pergi ke kuil
untuk bersembahyang. Namun sebahagian besar anak-anak muda mereka tidak hadir ke kuil.
Hanya ayah dan ibunya sahaja yang ke kuil berserta cucu dan anak-anak yang masih kecil.
Hal ini memberi idea kepada saya untuk berusaha memastikan anak-anak muda Islam
tidak meninggalkan solat sunat Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha. Ini penting
agar mereka tidak terikut-ikut dengan arus pemodenan yang menepikan ibadah solat. Bahkan
amalan ziarah-menziarahi perlu menjadi amalan agar silaturahim terus terjalin dalam keluarga
dan sahabat handai.
Secara keseluruhannya saya berasa gembira dapat membuat kajian ini. Banyak
maklumat yang dapat saya peroleh. Banyak amalan tradisi yang masih diamalkan oleh kaum
India dalam menyambut Deepavali. Mereka menjadikan Deepavali sebagai masa yang sesuai
untuk berkumpul sesama adik-beradik dan saudara-mara.
Saya juga berpeluang melihat dengan lebih dekat amalan mereka yang menampakkan
satu kelainan. Hakikatnya saya berasa agak kekok berada di kalangan mereka, namun adanya
saya bersama rakan-rakan yang lain, saya berusaha untuk membiasakan diri.
Saya ingin mencadangkan satu kajian yang mendalam untuk perayaan kaum dan
agama sendiri. Kesan daripada itu, kita akan lebih memahami dan mendalami secara
terperinci dan ilmiah tentang agama Islam.
Sebagai seorang individu saya berpendapat bahawa amalan perayaan perlu diteruskan
untuk memupuk perpaduan. Sebagai seorang ayah atau ibu, perlu menerapkan nilai sebenar
kepada anak-anak mereka. Masyarakat majmuk di negara kita perlu dipelihara
keharmoniannya. Sebagai seorang guru, kami amat berperanan memberi pendedahan sebenar
kepada anak-anak murid agar perayaan yang ada tidak pupus ditelan masa.
Sekian, terima kasih.