impak pembangunan langkawi ke atas struktur guna … · di pulau besar langkawi. menurut saudah...

20
IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA TENAGA DAN CORAK PEKERJAAN PENDUDUK PULAU TUBA Ishak Yussof Mustaffa Omar Gusni Saat ABSTRAK Artikel ini menganalisis corak pekerjaan dan guna tenaga dalam kalangan penduduk Pulau Tuba di Langkawi, Malaysia. Analisis ini dianggap penting untuk melihat impak pembangunan Langkawi ke atas tahap penyertaan buruh dan masalah pengangguran, struktur guna tenaga dan jenis pekerjaan serta implikasinya ke atas tingkat pendapatan penduduk. Tumpuan analisis adalah ke atas penduduk dan tenaga buruh, taraf pendidikan, struktur guna tenaga mengikut sektor, ciri-ciri dan jenis pekerjaan yang diceburi (pekerjaan utama dan sampingan) serta tingkat pendapatan. Isu dan masalah berkaitan aspek pekerjaan dan guna tenaga di kawasan kajian turut dibincangkan. Pada akhirnya, makalah ini mengemukakan beberapa cadangan alternatif yang difikirkan sesuai untuk tujuan perancangan pembangunan masa hadapan. Kata Kunci: Impak pembangunan, corak pekerjaan, guna tenaga, penangguran, perancangan pembangunan PENGENALAN Sejak 1987, yakni selepas pengisytiharannya sebagai pulau bebas cukai dan destinasi pelancongan terkemuka negara, pelbagai rancangan pembangunan dan aktiviti pelancongan menarik telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan demi membawa semula Langkawi dalam arus perdana pembangunan negara. Semenjak itu, Langkawi telah mengalami suatu anjakan besar daripada segi ekonomi dan pembangunan hingga ke hari ini. Sebelum 1987, sumber utama pekerjaan penduduk di sini adalah bertani dan menangkap ikan. Kini, kegiatan tradisional ini telah diambil alih oleh sektor perniagaan dan perkhidmatan. Persoalannya,

Upload: others

Post on 09-Aug-2020

9 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTURGUNA TENAGA DAN CORAK PEKERJAAN

PENDUDUK PULAU TUBA

Ishak YussofMustaffa Omar

Gusni Saat

ABSTRAK

Artikel ini menganalisis corak pekerjaan dan guna tenaga dalam kalangan penduduk Pulau Tuba di Langkawi, Malaysia. Analisis ini dianggap penting untuk melihat impak pembangunan Langkawi ke atas tahap penyertaan buruh dan masalah pengangguran, struktur guna tenaga dan jenis pekerjaan serta implikasinya ke atas tingkat pendapatan penduduk. Tumpuan analisis adalah ke atas penduduk dan tenaga buruh, taraf pendidikan, struktur guna tenaga mengikut sektor, ciri-ciri dan jenis pekerjaan yang diceburi (pekerjaan utama dan sampingan) serta tingkat pendapatan. Isu dan masalah berkaitan aspek pekerjaan dan guna tenaga di kawasan kajian turut dibincangkan. Pada akhirnya, makalah ini mengemukakan beberapa cadangan alternatif yang difikirkan sesuai untuk tujuan perancangan pembangunan masa hadapan.

Kata Kunci: Impak pembangunan, corak pekerjaan, guna tenaga, penangguran, perancangan pembangunan

PENGENALAN

Sejak 1987, yakni selepas pengisytiharannya sebagai pulau bebas cukai dan destinasi pelancongan terkemuka negara, pelbagai rancangan pembangunan dan aktiviti pelancongan menarik telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan demi membawa semula Langkawi dalam arus perdana pembangunan negara. Semenjak itu, Langkawi telah mengalami suatu anjakan besar daripada segi ekonomi dan pembangunan hingga ke hari ini. Sebelum 1987, sumber utama pekerjaan penduduk di sini adalah bertani dan menangkap ikan. Kini, kegiatan tradisional ini telah diambil alih oleh sektor perniagaan dan perkhidmatan. Persoalannya,

Page 2: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

64

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

sejauhmanakah proses transformasi ekonomi yang berlaku di Pulau Langkawi telah berjaya membawa kesan positif kepada penduduk setempat, terutama dalam meningkatkan taraf sosioekonomi dan kualiti hidup penduduk. Dalam erti kata lain, apakah pembangunan Langkawi setakat ini telah berjaya membawa kemajuan kepada penduduk setempat daripada segi peluang pekerjaan, pendapatan dan mobiliti sosial? Jika sektor perniagaan dan sektor perkhidmatan, terutama dalam industri pelancongan dilihat sebagai tonggak kemajuan dan pembangunan Langkawi, isunya ialah sejauhmanakah pula penglibatan penduduk tempatan dalam sektor tersebut?

Kajian Ishak Yussof dan Mustaffa Omar (2005) sebelum ini menunjukkan bahawa kesan penitisan daripada pembangunan Langkawi ke atas masyarakat di Lembangan Kilim agak sederhana dan tidak menyeluruh. Persoalannya, apakah pengalaman yang sama turut berlaku ke atas penduduk setempat di beberapa pulau kecil lain yang terdapat di sekeliling pulau besar Langkawi. Bagi menjawab persoalan ini, maka penelitian terhadap aktiviti ekonomi khususnya mengikut jenis pekerjaan dan tingkat pendapatan penduduk adalah mustahak kerana ia mempunyai pertalian langsung dengan tingkat kebajikan, keadaan kemiskinan dan kesejahteraan mereka. Hal ini selaras dengan teori dan model pembangunan ekonomi seperti dikemukakan oleh Meier (1985), Thirwall (1989) dan Todaro (1994) yang menggunakan indikator struktur pekerjaan dan pendapatan penduduk untuk menilai proses transformasi ekonomi yang berlaku. Mengikut teori dan model ini juga, dalam sesuatu rancangan pembangunan, pembangunan ekonomi perlu dipastikan yang berlaku boleh memberi impak yang besar terhadap struktur pekerjaan penduduk. Untuk mencapai pembangunan yang lestari, penduduk harus ikut serta secara aktif dalam proses transformasi tersebut. Peminggiran penduduk dari arus pembangunan yang sedang berlangsung boleh menyebabkan matlamat asal pembangunan tidak kesampaian. Malah, keadaan ini boleh memburukkan suasana kehidupan masyarakat setempat kerana masalah tekanan hidup yang semakin meningkat yang dibawa oleh arus pembangunan semasa. Kegagalan masyarakat setempat mengadaptasi diri dengan persekitaran pembangunan yang berlaku boleh menyebabkan mereka terus dihimpit dengan kemelut kemiskinan.

Page 3: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

65

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

METODOLOGI KAJIAN

Tulisan ini memberi tumpuan istimewa kepada corak pekerjaan dan guna tenaga dalam kalangan penduduk Pulau Tuba, Langkawi. Pemilihan pulau kecil ini sebagai kawasan kajian adalah semata-mata untuk melihat kesan limpahan atau penitisan pembangunan Langkawi ke atas kawasan sekitarnya. Sehubungan itu, analisis dilakukan ke atas profil tenaga buruh di kawasan kajian dari segi struktur umur, pencapaian pendidikan, situasi pengangguran yang berlaku, kadar penyertaan mereka dalam pekerjaan utama dan sampingan, serta tingkat pendapatan isi rumah.

Memandangkan jumlah penduduk yang mendiami Pulau Tuba tidak ramai dan keadaan fizikal pulau yang sederhana kecil serta mudah dihubungi, kajian ini mengambil pendekatan bancian untuk mendapatkan profil data yang lebih berkualiti. Untuk maksud ini, satu bancian telah dijalankan pada bulan Mei hingga Jun 2005 ke atas 437 keluarga di Pulau Tuba, Langkawi. Berdasarkan pembancian tersebut, maklumat tentang 1,890 orang yang merupakan penghuni Pulau Tuba telah diperoleh. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding dengan apa yang dianggarkan oleh beberapa kajian sebelum ini (Majlis Daerah Langkawi, 2002; Saudah Ahmad, 2003). Analisis dibuat secara deskriptif dengan menggunakan data keratan rentas.

Latar Belakang Kawasan Kajian

Langkawi telah membangun dengan pesat hampir dua dekad yang lalu. Kalau dahulu, ia sangat bergantung kepada aktiviti berasaskan pertanian dan penangkapan ikan, tetapi kini kedudukan dominan kedua-dua sektor ini telah berkurangan dan semakin merosot. Sektor-sektor lebih moden seperti pembuatan, perniagaan dan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan kini didapati semakin berkembang dan dominan (Ishak Yussof & Mustaffa Omar, 2005). Buktinya, sekitar 1.8 juta pelancong dianggarkan setiap tahun telah mengunjungi pulau ini, dan jumlah ini merupakan 17.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong yang melawat negara ini setiap tahun (Majlis Daerah Langkawi, 2000). Situasi ini sekali gus membuktikan bahawa Pulau

Page 4: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

66

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

Langkawi berpotensi untuk muncul sebagai destinasi pelancongan terpenting di negara ini. Apatah lagi dengan pengisytiharan Langkawi sebagai Langkawi Geopark oleh UNESCO pada Jun 2007, maka hal ini telah meletakkan Langkawi dalam kedudukan lebih tinggi sebagai destinasi pelancongan tersohor di peringkat antarabangsa.

Berdasarkan pemerhatian di lapangan, Langkawi amat kaya dengan produk pelancongan yang mampu menarik lebih ramai pelancongan ke pulau ini. Usaha gigih oleh pihak berkuasa tempatan, terutamanya Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk membangunkan beberapa destinasi pelancong di pulau ini dilihat telah membantu ke arah pembangunan pesat industri pelancongan di pulau ini. Hal ini termasuklah usaha membangun dan mempopularkan beberapa destinasi pelancongan seperti Makam Mahsuri, Galeria Perdana, Dataran Lang, Taman Lagenda, Laman Padi, kereta kabel Gunung Machincang, kemudahan marina, pusat kraf tangan dan padang golf di pulau ini. Produk-produk ini bukan sahaja berupaya menarik kehadiran para pelancong tempatan, malahan juga pelancong dari luar negara. Langkawi juga terkenal dengan kewujudan pulau-pulau yang indah dan unik daripada segi geologi dan landskap. Kini, terdapat lebih 100 buah pulau dalam perairan Langkawi. Namun begitu, hanya lima buah pulau sahaja yang didapati berpenghuni, iaitu Pulau Besar Langkawi, Pulau Tuba, Pulau Dayang Bunting, Pulau Rebak dan Pulau Beras Basah (Anwar Abd Rahman & Nik Husni Nik Rashid, 2005). Di antara pulau-pulau ini, Pulau Besar Langkawi dilaporkan mempunyai kepadatan penduduk lebih tinggi dan kemudian diikuti pulau-pulau kecil lain seperti Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting.

Daripada segi pentadbiran, Pulau Tuba terletak di bawah pentadbiran Mukim Kuah. Pulau ini berkedudukan kira-kira 6 kilometer ke selatan Pekan Kuah. Ia boleh dihubungi melalui jalan laut dengan menggunakan bot penambang dengan masa perjalanan sekitar 25 minit. Kemudahan jeti ke pulau ini adalah baik, sekali gus memudahkan perhubungan penduduk dengan Pulau Besar Langkawi.

Struktur fizikal dan bentuk muka bumi pulau ini amat mempengaruhi aktiviti ekonomi penduduknya. Aktiviti utama penduduk tempatan adalah sangat berkait dengan hasil laut dan pertanian. Antara kegiatan pertanian yang diceburi ialah mengusahakan tanaman padi

Page 5: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

67

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

sawah, getah dan penternakan. Keterlibatan penduduk setempat dalam pekerjaan makan gaji terutama dalam sektor awam, perniagaan dan perkhidmatan didapati masih amat terhad. Cuma sebahagian kecil daripada penduduk yang melibatkan diri dalam sektor-sektor ini, terutamanya dari kalangan golongan muda yang sanggup berulang alik ke Pulau Besar Langkawi.

Pulau ini juga mempunyai beberapa produk pelancongan yang berpotensi untuk dimajukan seperti aktiviti homestay, memancing dan kemudahan penginapan (chalet dan motel) yang bertaraf sederhana murah. Namun, sambutan daripada pelancong tempatan dan luar negara amat berkurangan berbanding sambutan yang ditunjukkan di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau Tuba dan jirannya, Pulau Dayang Bunting. Separuh daripada mereka ini merupakan pelancong harian. Pemerhatian penulis sewaktu di lapangan mendapati usaha membangunkan produk pelancongan di pulau ini masih berada di tahap rendah. Memandangkan strategi pembangunan Langkawi adalah berasaskan industri pelancongan, maka usaha-usaha lebih agresif perlu dijalankan oleh pihak berkenaan untuk memajukan produk pelancongan di pulau ini. Sekiranya usaha ini boleh dilakukan, ia sudah tentu boleh membantu penduduk setempat memajukan dan membangunkan kedudukan ekonomi masing-masing.

HASIL KAJIAN

Bahagian ini mengemukakan analisis penelitian berhubung kesan pembangunan Langkawi ke atas masyarakat setempat. Analisis ditumpukan ke atas struktur tenaga buruh dan guna tenaga serta implikasinya ke atas tingkat pendapatan penduduk. Penelitian dilakukan dengan membandingkan status semasa pencapaian ekonomi penduduk kawasan kajian dengan status semasa ekonomi penduduk di Pulau Besar Langkawi. Dalam perkataan lain, sejauhmanakah pembangunan dan proses transformasi ekonomi yang berlaku di Pulau Besar Langkawi telah memberi impak ke atas struktur pekerjaan dan taraf hidup penduduk Pulau Tuba? Adakah berlaku peralihan ke atas struktur pekerjaan dalam kalangan penduduk setempat? Adakah wujud peluang-

Page 6: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

68

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

peluang pekerjaan baharu dalam sektor moden untuk mereka ceburi? Sejauhmanakah pula dampak pembangunan Langkawi telah memberi kesan penitisan ke bawah di kawasan kajian?

Profil Tenaga Buruh

Mengikut takrif ekonomi, tenaga buruh dirujuk sebagai penduduk dalam kumpulan umur produktif, iaitu berusia di antara 15 hingga 64 tahun. Sesuatu kawasan yang mempunyai ramai penduduk dalam kategori umur ini pada umumnya juga dianggap mempunyai kekuatan dari segi penawaran tenaga buruhnya. Jadual 1 menunjukkan Pulau Tuba memiliki komposisi penduduk dalam usia produktif yang besar, iaitu 59.9 peratus. Berdasarkan pecahan mengikut jantina, peratus penduduk wanita dalam kumpulan umur produktif ini adalah lebih tinggi (60.9 peratus) berbanding lelaki (58.9 peratus). Bagaimanapun, tidak semua penduduk wanita dalam kumpulan umur produktif ini aktif dalam pasaran buruh. Sebahagian daripada mereka yang memilih untuk berada di luar pasaran buruh ini didorong oleh keinginan untuk melanjutkan pelajaran, sedang mengikut latihan kemahiran tertentu, memilih menjadi suri rumah sepenuh masa, selain menghadapi masalah kesihatan dan lain-lain lagi.

Jadual 1 Taburan penduduk mengikut kumpulan umur di Pulau Tuba, 2005

Kumpulan Umur Jumlah Lelaki WanitaBil % Bil % Bil %

< 15 652 34.9 329 35.2 323 34.515 – 64 1,120 59.9 550 58.9 570 60.9

> 64 98 5.2 55 5.9 43 4.6Jumlah 1,870 100.0 934 100.0 936 100.0

Jadual 2 menunjukkan taburan lebih terperinci penduduk dalam kumpulan umur produktif di kawasan kajian. Peratus penduduk dari kedua-dua jantina yang berada dalam kategori umur produktif, iaitu 25 hingga 44 adalah lebih besar berbanding kumpulan-kumpulan umur produktif yang lain. Misalnya, sekitar 40 peratus daripada penduduk dalam kumpulan umur produktif ini berusia di antara 25 dan 44 tahun,

Page 7: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

69

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

diikuti (sekitar 30 peratus) oleh mereka dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun. Selebihnya, di sekitar 30 peratus, terdiri daripada mereka dalam kumpulan umur 45 tahun ke atas dengan 11 peratus daripadanya berusia 55 tahun dan ke atas.

Taburan penduduk mengikut kumpulan umur produktif ini membayangkan bahawa sebahagian besar (sekitar 70 peratus) tenaga buruh di Pulau Tuba adalah dalam usia aktif dan produktif (15 hingga 44 tahun). Oleh itu, sebarang usaha ke arah penjanaan peluang-peluang pekerjaan baharu di kawasan ini perlu mengambil kira fakta ini supaya penggunaan tenaga kerja setempat dapat dimanfaatkan pada tahap optimum.

Kadar Penyertaan Tenaga Buruh

Jadual 1 menunjukkan jumlah penduduk dalam kategori umur produktif (15 hingga 64 tahun) adalah seramai 1,120 orang di Pulau Tuba. Namun, seperti yang dinyatakan sebelum ini, tidak semua penduduk dalam kategori umur ini berada dalam pasaran buruh. Jadual 3 menunjukkan bahawa hanya 45.4 peratus daripada jumlah besar penduduk dalam kumpulan umur produktif di kawasan kajian yang bekerja. Daripada jumlah tersebut, 82.7 peratus adalah lelaki, sementara wanita yang bekerja adalah di sekitar 17.3 peratus sahaja. Hal ini menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada penduduk yang tidak bekerja di kawasan kajian terdiri daripada golongan wanita (78.9 peratus) dan sebahagian besar daripada mereka merupakan suri rumah sepenuh masa.

Jadual 2 Taburan penduduk mengikut kumpulan umur produktif (15 hingga 64 tahun) di Pulau Tuba, 2005

Kumpulan Umur Lelaki Perempuan JumlahBil. % Bil. % Bil. %

15–24 172 31.3 168 29.5 340 30.325–44 218 39.6 231 40.5 449 40.045–54 104 18.9 106 18.6 210 18.855–64 56 10.2 65 11.4 121 10.8Jumlah 550 100.0 570 100.0 1,120 100.0

Page 8: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

70

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

Jadual 3 Tenaga buruh bekerja/tidak bekerja mengikut jantina di Pulau Tuba, 2005

Jantina Ya Tidak Jumlah Bil. % Bil. % Bil. %

Lelaki 421 82.7 129 21.1 550 49.1Wanita 88 17.3 482 78.9 570 50.9Jumlah 509 100.0 611 100.0 1,120 100.0

Dalam bidang ekonomi buruh, terdapat beberapa sebab seseorang itu memilih untuk tidak bekerja atau berada di luar pasaran buruh. Selaras dengan penemuan dalam kajian oleh Zulkifly Osman (1989) dan Borjas (2005), antara sebab-sebab tersebut yang turut dikenal pasti yang juga berlaku di kawasan kajian ialah memilih menjadi suri rumah sepenuh masa, alasan melanjutkan pelajaran, atau akibat menghidapi masalah kesihatan.

Jadual 4 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh dan kadar pengangguran di Pulau Tuba. Kadar penyertaan buruh di pulau ini adalah sekitar 55.7 peratus, dan angka ini agak sebanding dengan data yang diperoleh di peringkat daerah Langkawi, iaitu 56.0 peratus (Majlis Daerah Langkawi, 2002), dan kajian sebelum ini di Lembangan Kilim, iaitu 54.0 peratus (Ishak Yussof & Mustaffa Omar, 2005). Namun, kadar berkenaan masih lagi rendah jika dibandingkan dengan data di peringkat nasional, iaitu sekitar 66.3 peratus (Malaysia, 2004).

Memandangkan jumlah mereka tidak bekerja adalah ramai (18.4 peratus) di kawasan kajian, maka hal ini boleh mempengaruhi kadar penyertaan tenaga buruh di kawasan berkenaan. Jika dibandingkan kadar penyertaan tenaga buruh di kawasan kajian dengan data di peringkat nasional, wujud persamaan mengikut trend. Bagaimanapun, merujuk kepada kadar penyertaan buruh mengikut jantina di kawasan kajian, kadarnya lebih rendah berbanding dengan angka nasional. Misalnya, di peringkat nasional, kadar penyertaan buruh wanita sememangnya lebih rendah berbanding lelaki, iaitu 45.0 peratus bagi wanita dan 86.1 peratus bagi lelaki (Malaysia, 2004). Trend yang sama juga ditunjukkan oleh data tentang kadar penyertaan tenaga buruh di kawasan kajian dengan jumlah kaum wanita yang memilih untuk bekerja masih jauh lebih rendah daripada kaum lelaki. Namun, bagi kes wanita bekerja di Pulau Tuba, kadar penyertaan mereka dalam pasaran

Page 9: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

71

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

pekerjaan juga didapati jauh ketinggalan dan lebih rendah berbanding kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan mengikut angka nasional. Oleh kerana kadar penyertaan tenaga buruh wanita di kawasan kajian masih rendah, sebarang usaha untuk menggiatkan aktiviti ekonomi penduduk di sini haruslah memberi perhatian kepada sektor-sektor yang bersesuaian supaya sumbangan dan penggunaan tenaga kerja wanita boleh dipertingkatkan.

Jadual 4 Kadar penyertaan tenaga buruh dan kadar pengangguran penduduk Pulau Tuba, 2005

Perkara Bil. %Bil. Penduduk Dalam Usia Bekerja (15 hingga 64 tahun) 1,120 59.9Bil. Tenaga Buruh Dalam Pasaran 624 55.7Bil. Tenaga Buruh Bekerja 509 81.6Bil. Tenaga Buruh Tidak Bekerja 115 18.4Kadar Penyertaan Tenaga Buruh 55.7Kadar Pengangguran 18.4

Jadual 5 Profil tenaga buruh mengikut peringkat persekolahan tertinggi di Pulau Tuba, 2005

Tahap Persekolahan Status Pekerjaan

Bekerja Tidak Bekerja Bil. % Bil. %

Tidak sekolah 35 6.9 17 14.8Sekolah Rendah 328 64.4 41 35.7Sekolah Menengah 142 27.9 49 42.6Maktab/Kolej 3 0.6 3 2.6Universiti 1 0.2 4 3.5Lain-lain 0 0.0 1 0.9 Jumlah 509 100.0 115 100.0

Jadual 5 pula memberi gambaran tentang profil tenaga buruh di pulau kajian dari segi taraf pendidikan. Analisis profil tenaga buruh mengikut taraf pendidikan ini dianggap penting untuk melihat kualiti tenaga buruh yang terdapat di kawasan kajian. Berdasarkan jadual ini didapati bahawa sebahagian besar tenaga buruh di kawasan kajian hanya memiliki tahap pendidikan, sama ada pada peringkat sekolah rendah atau sekolah menengah sahaja. Keadaan ini sudah tentu akan mencorakkan jenis pekerjaan yang boleh diceburi oleh mereka sesuai

Page 10: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

72

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

dengan kelayakan yang dimiliki. Hakikatnya, corak aktiviti ekonomi dan suasana pelaburan yang wujud setakat ini di pulau kajian didapati tidak sesuai atau selari dengan kelayakan yang mereka miliki. Pekerjaan makan gaji yang memerlukan tahap pendidikan tertentu hanya terdapat di Pulau Langkawi. Oleh itu, penduduk Pulau Tuba yang ingin menceburi pekerjaan ini, sama ada perlu berulang alik atau menetap di Pulau Langkawi. Dengan sebab itu, majoriti mereka yang tidak bekerja juga berada dalam kumpulan pendidikan yang sama. Ketiadaan peluang pekerjaan yang bersesuaian dan mencukupi di kawasan kajian juga menyebabkan mereka ini terpaksa menganggur, terutama dalam kalangan wanita.

Isu Pengangguran

Jadual 4 menunjukkan bahawa kadar pengangguran di kawasan kajian adalah agak tinggi, iaitu 18.4 peratus. Kadar ini dianggap tinggi kerana kadar pengangguran yang dicatatkan di daerah Langkawi pada tahun 2000 ialah sekitar 8.7 peratus sahaja (Majlis Daerah Langkawi, 2002), sementara itu di Lembangan Kilim pula mencatatkan kadar yang lebih rendah, iaitu sekitar 7.8 peratus (Ishak Yussof & Mustaffa Omar, 2005). Masalah pengangguran yang tinggi di kawasan kajian perlu diberi perhatian serius memandangkan ia boleh mengundang gejala negatif seperti jenayah, masalah kemiskinan dan masalah sosial lain. Oleh itu, analisis yang lebih mendalam perlu dibuat untuk mengenal pasti punca yang membawa kepada masalah pengangguran di kawasan berkenaan.

Jadual 6 menunjukkan bahawa antara sebab utama tenaga buruh di kawasan kajian menganggur adalah kerana ketiadaan pekerjaan yang sesuai. Keadaan ini berlaku berikutan tidak terdapat aktiviti ekonomi utama yang boleh menjana peluang pekerjaan di pulau berkenaan. Penduduk lebih banyak bergantung kepada pekerjaan sendiri atau bekerja dengan keluarga dengan mengusahakan tanah pertanian atau penangkapan udang dan ikan di laut. Turut diperhatikan bahawa sektor pembuatan dan perkhidmatan yang lazimnya berupaya menjana peluang pekerjaan yang lebih banyak kurang berkembang di pulau ini.

Page 11: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

73

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

Jadual 6 Sebab tenaga buruh tidak bekerja di Pulau Tuba, 2005Alasan Tidak Bekerja Bil. %Masalah kesihatan/cacat 11 9.6Akan lanjut pelajaran 7 6.1Akan mula kerja baru 13 11.3Tiada pekerjaan sesuai 45 39.1Tunggu jawapan kerja 12 10.4Diberhentikan kerja 1 0.9Bersara/sudah tua 23 20.0Lain-lain 3 2.6Jumlah 115 100.0

Keadaan ini mungkin disebabkan oleh masalah pengangkutan atau ketiadaan insentif dan peluang-peluang pelaburan yang mencukupi dalam sektor ini. Sebagai langkah alternatif, industri makanan yang berasaskan sumber laut atau pertanian mungkin boleh dimajukan setelah mengambil kira potensi sumber berkenaan yang wujud di kawasan kajian. Namun begitu, analisis kos dan faedah yang lebih terperinci perlu dilakukan supaya langkah untuk memajukan industri tersebut boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Data yang diperoleh juga menunjukkan bahawa di Pulau Tuba terdapat jumlah besar pesara, iaitu sekitar 20 peratus berada pada usia 56 – 64 tahun. Mengikut definisi ekonomi buruh, tenaga kerja pada kategori umur sebegini masih dianggap sebagai tenaga buruh yang produktif. Oleh itu, pengalaman dan tenaga kerja mereka ini masih boleh digembleng untuk membangunkan kegiatan ekonomi di kawasan kajian. Sebab lain tenaga buruh tidak bekerja adalah kerana sedang menunggu pekerjaan baharu atau disebabkan oleh masalah kesihatan.

Selain faktor ekonomi, isu pengangguran juga berkait rapat dengan ciri-ciri buruh itu sendiri misalnya faktor jantina, umur dan peringkat persekolahan yang dimiliki tenaga buruh tersebut. Hasil kajian mendapati bahawa sebahagian besar daripada tenaga buruh yang menganggur adalah daripada kalangan mereka yang berumur antara 15 dan 24 tahun, dan berpendidikan setakat sekolah menengah sahaja. Oleh yang demikian, sebarang strategi yang dicadangkan untuk mengatasi masalah pengangguran di kawasan kajian perlu mengambil kira faktor-faktor tersebut agar ia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Page 12: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

74

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

Struktur Pekerjaan dan Profil Guna Tenaga

Jadual 7 menunjukkan 67.1 peratus daripada tenaga kerja di Pulau Tuba bekerja dalam sektor perikanan dan pertanian. Penemuan kajian ini didapati tidak jauh berbeza dengan hasil kajian sebelum ini oleh Rehanstat Sdn. Bhd. (LADA, 1999). Malah, peratus mereka terlibat dalam sektor ini didapati bertambah sebanyak 4.9 peratus daripada 62.2 peratus seperti dicatatkan untuk tahun 1999. Sektor kedua terbesar yang melibatkan guna tenaga setempat ialah sektor perkhidmatan yang menawarkan khidmat komuniti, sosial dan personal. Namun, peratus guna tenaga setempat yang terlibat dalam sektor ini masih jauh lebih rendah berbanding apa yang berlaku di Pulau Besar Langkawi.

Kajian ini juga mendapati bahawa lebih dua pertiga daripada penduduk di kawasan kajian masih bekerja sebagai nelayan dan petani (lihat Jadual 8). Keterlibatan mereka dalam pekerjaan berorientasi perniagaan dan pelancongan pula didapati masih terlalu kecil. Hasil penemuan ini adalah bertentangan dengan arus pembangunan yang sedang berlaku di Pulau Besar Langkawi yang lebih menekankan perkembangan sektor perniagaan, restoran dan perhotelan. Bermakna, kesan pembangunan Langkawi tidak banyak memberi kesan limpahan kepada penduduk yang mendiami pulau ini, khususnya yang berkaitan dengan aktiviti ekonomi dalam industri pelancongan.

Hasil kajian turut menunjukkan bahawa lebih ramai penduduk di kawasan kajian yang bekerja sendiri berbanding makan gaji. Hal ini agak selari dengan ciri-ciri pekerjaan yang terdapat dalam sektor pertama yang lebih menekankan kepada ciri pekerjaan sendirian. Jadual 9 menunjukkan lebih 60 peratus penduduk di pulau berkenaan bekerja sendiri, manakala mereka yang bekerja makan gaji adalah sekitar 30 peratus sahaja. Peratusan ini adalah lebih kecil berbanding kajian sebelum oleh LADA (1999) yang mendapati kumpulan pekerja makan gaji adalah sebanyak 47.5 peratus.

Page 13: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

75

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

Jadual 7 Guna tenaga mengikut jenis industri berdasarkan pekerjaan utama responden di Pulau Tuba (%), 1999-2005

Jenis Industri1999*

(N=796)2005

(N=508)Pertanian, Perhutanan, Penternakan & Perikanan 62.2 67.1Pengeluaran & Pembuatan 2.8 1.2Elektrik, Gas & Air - 0.2Pembinaan 2.2 0.6Pemborong, Peruncitan, Restoran & Hotel 15.6 9.1Pengangkutan, Penstoran & Komunikasi 3.3 4.7Kewangan, Insurans, Hartanah & Perniagaan - -Khidmat Komuniti, Sosial & Personal 13.9 17.1Jumlah 100.0 100.0

* LADA (1999)–Rehanstat Sdn. Bhd.

Jadual 8 Guna tenaga mengikut jenis pekerjaan berdasarkan pekerjaan utama responden (%) di Pulau Tuba, 2005

Jenis Pekerjaan 1999*(N=716)

2005(N=508)

Profesional & Teknikal 7.2 1.6Pengurusan & Pentadbiran 1.7 0.0Perkeranian 0.6 0.4Penjualan 10.6 11.0Perkhidmatan 6.1 15.0Pertanian, Perhutanan, Penternakan & Perikanan 63.3 66.7Pengeluaran, Pembuatan, Pengangkutan & Buruh 10.6 5.3Jumlah (%) 100.0 100.0

* LADA (1999)–Rehanstat Sdn. Bhd.

Jadual 9 Status pekerjaan utama penduduk (%) di Pulau Tuba, 1999-2005

Status Pekerjaan 1999*(N=716)

2005(N=508)

Majikan 3.9 3.0Pekerja Bergaji/Upahan 47.5 30.1Bekerja Sendiri 45.1 64.4Pekerja Keluarga Tanpa Upah 3.4 2.4Lain-lain 0.0 0.2Jumlah 100.0 100.0

* LADA (1999) – Rehanstat Sdn. Bhd.

Page 14: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

76

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

Penurunan kadar penduduk yang bekerja makan gaji ini menunjukkan bahawa peluang-peluang pekerjaan sebegini sejak beberapa tahun ini telah berkurangan di kawasan kajian. Keadaan ini berlaku kerana pembangunan Pulau Langkawi tidak memberi kesan limpahan yang ketara ke atas Pulau Tuba. Malah, tidak ada projek pembangunan yang dibawa ke pulau ini. Sehubungan itu, penduduk pulau ini terpaksa kekal dalam pekerjaan asal dengan bekerja sendiri sebagai petani dan nelayan bagi menampung kehidupan seisi keluarga.

Selain itu, hasil analisis kajian juga menunjukkan bahawa peratus penduduk yang menjadi majikan juga adalah terlalu kecil, iaitu sekitar 3 peratus di Pulau Tuba. Peratusan ini seolah-olah memberi gambaran bahawa ciri-ciri masyarakat keusahawanan masih belum bertapak kukuh di kawasan kajian. Memandangkan pulau ini mempunyai banyak sumber dan potensi yang boleh dibangunkan terutamanya yang berkaitan dengan pelancongan, pengetahuan dan kemahiran, keusahawanan adalah sangat penting dan perlu dibangunkan demi memajukan masyarakat ini pada masa hadapan.

Hasil kajian juga mendapati bahawa tidak ramai penduduk yang terlibat dengan pekerjaan sampingan. Jadual 10 menunjukkan bahawa hanya sekitar 5 peratus penduduk mengatakan mereka memiliki pekerjaan sampingan. Pekerjaan sampingan adalah penting untuk menjana pendapatan tambahan kepada isi rumah, terutama kepada mereka yang bekerja dalam sektor pertama yang sering kali dikaitkan dengan pendapatan yang rendah. Pekerjaan sampingan termasuklah menjual kuih, menternak ayam itik, bercucuk tanam, bertukang, atau mencari hasil laut. Oleh itu, pekerjaan sampingan diperlukan untuk membantu keluarga menambah pendapatan menyara keluarga. Kekurangan pekerjaan sampingan ini mencerminkan bahawa aktiviti dan peluang-peluang ekonomi berlaku agak perlahan dan terbatas di kawasan kajian.

Jadual 10 Tenaga buruh yang memiliki pekerjaan sampingan di Pulau Tuba, 2005

Memiliki Pekerjaan Sampingan Bil. %Ya 25 4.9Tidak 483 95.1Jumlah 508 100.0

Page 15: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

77

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

Tingkat Pendapatan Penduduk

Tingkat pendapatan penduduk dipengaruhi oleh jenis pekerjaan yang mereka ceburi. Memandangkan sebahagian besar penduduk bekerja dalam sektor utama, maka pendapatan mereka dicorakkan oleh ciri-ciri yang lazimnya terdapat pada sektor berkenaan, iaitu berpendapatan rendah. Jadual 11 jelas menunjukkan bahawa lebih 90 peratus penduduk di kawasan kajian berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan dengan lebih separuh daripada mereka ini memperoleh pendapatan kurang RM500 sebulan.

Analisis ke atas min pendapatan pula menunjukkan rata-rata mereka yang terlibat dalam pekerjaan utama berpendapatan sekitar RM570 sahaja sebulan. Malah, apabila dicampur dengan pendapatan daripada pekerjaan utama ini dengan pendapatan dari sumber-sumber lain (pekerjaan sampingan, sewaan, pemberian anak, wang bantuan), min pendapatan ini masih lagi rendah, iaitu sekitar RM630 sebulan. Berdasarkan angka ini jelas membuktikan bahawa masih ramai dalam kalangan penduduk setempat yang menjalani kehidupan di bawah garis kemiskinan.

Jadual 12 menunjukkan analisis pola pendapatan penduduk mengikut jenis pekerjaan. Didapati, sebahagian besar mereka yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan bekerja sebagai nelayan pantai. Tingkat pendapatan yang rendah ini adalah berkait rapat dengan ciri-ciri nelayan pantai tradisional yang merupakan jenis pekerjaan utama bagi sebahagian besar penduduk. Nelayan di sini lebih tertumpu kepada aktiviti menangkap udang dan ikan secara bermusim di pesisiran pantai. Mereka menggunakan alatan kelengkapan menangkap udang dan ikan yang mudah dan bot yang bersaiz kecil, manakala aktiviti penangkapan ikan laut dalam hampir tidak kedapatan di pulau ini.

Bagi mereka yang mendapat pendapatan lebih tinggi, iaitu melebihi RM1,000 sebulan, rata-ratanya terlibat dalam pekerjaan perniagaan. Sebagai peniaga, golongan ini lebih berupaya menjana pendapatan yang lebih besar. Namun, jumlah peratusan mereka yang menceburi bidang ini masih sangat rendah, iaitu sekitar 6 peratus sahaja. Terdapat juga dalam kalangan penduduk yang bekerja dalam sektor

Page 16: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

78

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

perkhidmatan dengan bekerja makan gaji dan memperoleh pendapatan melebihi RM1,000 sebulan. Mereka ini terdiri daripada kakitangan awam dengan bekerja sebagai guru sekolah, polis, atau kakitangan sokongan pusat kesihatan yang beroperasi di pulau ini.

Jadual 11 Taburan responden mengikut jumlah pendapatan pekerjaan utama di Pulau Tuba, 2005

Tingkat Pendapatan (RM) Bil. % 500 ke bawah 288 56.6 501–1000 177 34.81001–2000 35 6.92001–3000 7 1.43001 ke atas 2 0.4Jumlah responden 509 100.0

Jadual 12 Taburan responden mengikut jenis pekerjaan utama dan tingkat pendapatan di Pulau Tuba, 2005

Jenis Pekerjaan

Sela pendapatan (RM) (%) JumlahResponden (%) 500 ke

bawah 501-1,000

1,000-2,000

2,001-3,000

3,001 ke atas

Guru 1.7 0.6 5.7 0.0 0.0 1.6Kerani Sektor Awam 0.0 0.6 0.0 0.0 0.0 0.2Kerana Swasta 0.0 0.6 0.0 0.0 0.0 0.2Pekerja Perniaga Keluarga 1.7 1.1 8.6 14.3 0.0 2.2Pemborong/Jualan Runcit 0.3 1.7 2.9 14.3 0.0 1.2Peniaga 4.2 4.0 17.1 42.9 100.0 5.9Pekerja Jualan Lain 1.4 2.3 2.9 0.0 0.0 1.8Tukang Gunting/Jahit 0.7 1.1 0.0 0.0 0.0 0.8Pekerja Kaunter 0.3 0.0 0.0 0.0 0.0 0.2Pengawal/Jaga 1.0 3.4 2.9 0.0 0.0 2.0Pekerja Hotel 1.0 0.6 5.7 0.0 0.0 1.2Polis/Posmen/Bomba/Askar 0.3 0.0 0.0 0.0 0.0 0.2Pekerja Perkhidmatan Lain 7.7 14.1 20.0 0.0 0.0 10.6Buruh Ladang 8.4 2.8 0.0 0.0 0.0 5.7Petani 2.1 1.1 0.0 0.0 0.0 1.6Nelayan 65.9 58.2 28.6 0.0 0.0 59.4Pemandu bas/teksi/lori 2.1 6.8 5.7 14.3 0.0 4.1Operator kilang 0.3 0.6 0.0 14.3 0.0 0.6Mekanik 0.3 0.6 0.0 0.0 0.0 0.4Pekerja Pengeluaran lain 0.3 0.0 0.0 0.0 0.0 0.2Jumlah responden (N) 287 177 35 7 2 508

Page 17: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

79

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

RUMUSAN DAN CADANGAN

Kesan pembangunan Langkawi ke atas komuniti Pulau Tuba masih jauh lebih kecil berbanding impaknya ke atas masyarakat di Lembangan Kilim (Mohd Shafeea Leman et al., 2005). Kedudukan Lembangan Kilim yang lebih hampir dengan pusat pertumbuhan di Kuah, Padang Lalang dan Padang Mat Sirat memungkinkan kawasan ini menerima kesan limpahan sederhana daripada pembangunan Langkawi (Ishak Yussof & Mustaffa Omar, 2005; Gusni Saat & Sharina Abdul Halim, 2005). Kedudukan Pulau Tuba yang agak terpisah lebih jauh dari pusat pertumbuhan Kuah oleh Selat Kuah menyebabkan kesan pembangunan yang berlaku di pusat bandar Kuah adalah jauh lebih kecil dan terhad. Hal ini menunjukkan bahawa pembangunan Langkawi setakat ini diperhatikan tidak banyak membawa kesan limpahan kepada pembangunan dan kemajuan di pulau-pulau kecil di sekitarnya, khususnya di Pulau Tuba.

Dari perspektif ekonomi buruh, pembangunan Langkawi telah membawa ‘kesan surutan’ ke atas sebahagian besar tenaga buruh produktif dari pulau ini. Mereka yang terlibat dalam pasaran buruh terpaksa berpindah atau berulang alik ke pulau besar Langkawi untuk bekerja. Keadaan ini disebabkan peluang pekerjaan banyak terdapat di sana, terutamanya di sekitar Pekan Kuah. Pemerhatian pengkaji semasa berada di lapangan menunjukkan bahawa tidak banyak aktiviti ekonomi moden yang berkembang dan berjaya dibangunkan di pulau ini. Akibatnya, aktiviti ekonomi penduduk lebih berkisar kepada kegiatan tradisional, terutama dalam sektor perikanan dan pertanian.

Merujuk kepada peratus tenaga buruh produktif di pulau ini, walaupun agak besar (melebihi 60 peratus), kadar penyertaan tenaga buruhnya masih rendah, khususnya dalam kalangan wanita. Ketiadaan peluang pekerjaan yang bersesuaian telah menyebabkan ramai dalam kumpulan umur produktif (25 hingga 44 tahun) berhadapan dengan masalah pengangguran. Secara perbandingan, kadar pengangguran yang dicatatkan di kawasan kajian adalah agak tinggi (18.4 peratus) berbanding dengan kawasan-kawasan lain di pulau besar Langkawi.

Untuk meningkatkan kadar penyertaan buruh dan mengatasi masalah pengangguran di kawasan kajian, langkah menggiatkan aktiviti

Page 18: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

80

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

ekonomi moden perlu dilakukan. Hal ini termasuklah menggalakkan pelaburan dalam perusahaan memproses makanan berasaskan sumber laut dan industri kraf tangan. Langkah ini dilihat dapat mengurangkan masalah pengangguran yang berlaku dan secara tidak langsung turut berupaya meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita yang masih rendah di kawasan kajian.

Pada umumnya, penduduk di pulau ini masih terlibat dalam pekerjaan tradisional yang berkaitan dengan sumber laut sebagai nelayan pantai atau petani sara diri. Kebanyakan dari mereka bekerja sendiri (64.4 peratus). Keadaan pekerjaan sebegini telah mempengaruhi tingkat pendapatan yang diperoleh dengan purata keseluruhan pendapatan isi rumah di sekitar RM600 sebulan (RM630). Berasaskan tingkat pendapatan sedemikian, jumlah isi rumah yang berada dalam kategori miskin juga dilaporkan tinggi di pulau ini.

Masalah kemiskinan di pulau ini hanya boleh diatasi jika tingkat pendapatan dari sumber pekerjaan utama dapat ditingkatkan. Sehubungan itu, langkah-langkah agresif dan berkesan ke arah menjadikan pekerjaan utama penduduk di pulau berkenaan lebih bersifat produktif perlu dilakukan. Misalnya, meluaskan aktiviti pekerjaan utama mereka sebagai nelayan kepada berskala besar. Langkah ini termasuklah dengan menggalakkan mereka menggunakan bot-bot dan peralatan yang lebih moden dalam kegiatan menangkap ikan atau udang. Galakan juga perlu diberikan untuk mereka terlibat dalam aktiviti menangkap ikan laut dalam kerana aktiviti sedemikian mampu membawa pulangan yang lebih besar berbanding aktiviti penangkapan ikan dan udang di pesisiran pantai sahaja. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa perlu dipertingkatkan bagi membanteras pencerobohan bot-bot asing di kawasan penangkapan ikan dan udang nelayan pantai.

Dalam kegiatan berasaskan pertanian pula, penggunaan biji benih, baja dan teknologi pengeluaran yang bersesuaian perlu diperkenalkan selaras dengan dasar terkini negara yang ingin memaju dan memodenkan sektor berkenaan. Di samping itu, usaha juga perlu dilakukan oleh pihak berkuasa bagi membantu para petani ini memasarkan hasil keluaran mereka. Dalam kegiatan penternakan, terutama yang berkaitan dengan hasil laut dan binatang ternakan, galakan perlu diberikan supaya aktiviti ini dapat diusahakan secara komersial. Pihak berkuasa tempatan,

Page 19: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

81

Impak Pembangunan Langkawi Ke atas Struktur Guna Tenaga dan Corak Pekerjaan Penduduk Pulau Tuba

khususnya LADA dan pejabat daerah boleh memainkan peranan penting membantu menyelaras dan menyalurkan projek-projek yang mempunyai nilai pengganda ekonomi kepada penduduk setempat supaya pendapatan penduduk dapat ditingkatkan. Dalam masa yang sama, pelaburan dalam pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan pengindahan kawasan pulau juga perlu diberi perhatian. Selain itu, aspek pemasaran dan pengiklanan tentang keindahan dan keunikan pulau ini juga perlu ditingkatkan. Pakej-pakej dan produk pelancongan berpotensi yang terdapat di pulau ini perlu dipromosi secara besar-besaran bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke pulau ini.

PENGHARGAAN

Kajian ini telah dilakukan di bawah biaya Projek Penyelidikan Fundamental UKM No. XX/001/2005. Ucapan terima kasih ditujukan kepada Pusat Penyelidikan Langkawi (PPL) LESTARI-UKM, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Majlis Daerah Langkawi, pengerusi-pengerusi JKKK dan penduduk-penduduk di Pulau Tuba dan Pulau Dayang Bunting yang membantu menjayakan kajian ini.

RUJUKAN

Anwar Abd. Rahman & Nik Husni Nik Rashid. 2005. Perancangan Pembangunan Sosio-Ekonomi dan Pelancongan untuk Kawasan Sekitar Kilim, Langkawi. Dlm. Mohd Shafeea Leman et al. (pynt.), Lembangan Kilim – Warisan Budaya dan Sumber Asli Langkawi. Bangi: LESTARI UKM.

Borjas, G. J. 2005. Labour Economics (3rd ed.). New York: McGraw-Hill Higher Education.

Gusni Saat & Sharina Abdul Halim. 2005. Tahap Urbanisasi di Kalangan Penduduk Tempatan Lembangan Kilim, Langkawi. Dlm. Mohd. Safeea Leman, Ibrahim Komo, A.Latiff & Hood Salleh (pnyt.), Warisan Budaya dan Sumber Asli Lembangan Kilim. Hlm. 81–98. Bangi: LESTARI UKM.

Ishak Yussof & Mustaffa Omar. 2005. Pembangunan Langkawi dan Mobiliti Pekerjaan Penduduk di Lembangan Kilim. Dlm. Mohd Shafeea Leman et al. (pynt.), Lembangan Kilim – Warisan Budaya dan Sumber Asli Langkawi. Bangi: LESTARI UKM.

Page 20: IMPAK PEMBANGUNAN LANGKAWI KE ATAS STRUKTUR GUNA … · di Pulau Besar Langkawi. Menurut Saudah Ahmad (2003), setiap tahun dianggarkan sekitar 6,000 pelancong telah melawat Pulau

82

Ishak Yussof, Mustaffa Omar & Gusni Saat

LADA. 1999. Kajian Kependudukan dan Sosio-Ekonomi Pulau Langkawi. Pulau Langkawi: Lembaga Pembangunan Langkawi.

Majlis Daerah Langkawi. 2002. Kajian Rancangan Tempatan Daerah Langkawi. Laporan Teknikal No. 3.0–Sosio Ekonomi. Pulau Langkawi: Majlis Daerah Langkawi.

Malaysia. 2004. Laporan Ekonomi 2004/05. Kementerian Kewangan Malaysia. Kuala Lumpur: Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Meier, G. M. 1985. Leading Issues in Economic Development (4th ed.). New York: Oxford University Press.

Mohd. Shafeea Leman, Ibrahim Komoo, A. Latiff & Hood Salleh (pynt.) 2005. Lembangan Kilim – Warisan Budaya dan Sumber Asli Langkawi. Bangi: LESTARI UKM.

Saudah Ahmad. 2003. Impak Industri Pelancongan ke atas Status Sosio-ekonomi Penduduk Tempatan: Kajian Kes di Pulau Tuba, Langkawi. Kertas Ilmiah Sesi 2002/2003, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.

Thirwall, A. P. 1989. Growth and Development (4th ed.). London: MacMillan.Todaro, M. P. 1994. Economic Development in the Third World. New York: Longman.Zulkifly Osman. 1989. Ekonomi Buruh: Teori Permintaan & Penawaran. Kuala

Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.