holako

6
Holako bersama dengan bala tenteranya yang besar melanggar dan menyerang bumi ummat Islam, membunuh dan menghalau ribuan daripada mereka. Holako juga menyebabkan ketakutan dan kebingungan di seluruh bumi ummat Islam ketika itu. Pada hari itu, beberapa orang pemerintah dan pemimpin telah membuka pintu dan sempadan bagi dimasuki oleh tentera Tartar yang zalim itu. Para pemimpin dan pemerintah itu merasakan bahawa mereka tidak mampu untuk menghalang serangan tentera Tartar yang menggila bagaikan taufan. Mereka berpendapat, Holako dan tentera Tartar adalah bahaya dan ancaman yang tidak boleh ditolak serta kemusnahan yang tidak boleh diselamatkan lagi. Mereka juga berpendapat mereka tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali berdamai dengannya, atau bersikap hipokrit atau menyerah diri sahaja dan tunduk kepadanya dengan harapan agar Holako masih memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan, atau paling kurangpun ia menjadi sebab untuk mendapat kasihan belasnya, atau untuk memperoleh keampunannya. Seolah-olah mereka tidak percaya bahawa Holako dan bala tenteranya tidak sekali-kali akan kasihan terhadap bangsa Arab dan ummat Islam, yang hanya akan merampas hak mereka untuk hidup, yang hanya akan menguasai negara mereka dan mengecapi sumber kekayaan mereka dan seterusnya bergembira di atas mayat- mayat dan runtuhan rumah-rumah mereka. Ketika itu, tiada seorangpun yang percaya dengan penuh yakin terhadap kudrat Ilahi untuk menghalang taufan bala tentera Tartar kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dan percaya serta yakin terhadap pertolongan Allah yang telah memberikan janji yang benar. Firman Allah SWT (Ali Imran: 173) yang bermaksud: "Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya."Maka berita itu makin

Upload: azraai-ahmad

Post on 26-Sep-2015

220 views

Category:

Documents


4 download

DESCRIPTION

Cerpen

TRANSCRIPT

Holako bersama dengan bala tenteranya yang besar melanggar dan menyerang bumi ummat Islam, membunuh dan menghalau ribuan daripada mereka

Holako bersama dengan bala tenteranya yang besar melanggar dan menyerang bumi ummat Islam, membunuh dan menghalau ribuan daripada mereka. Holako juga menyebabkan ketakutan dan kebingungan di seluruh bumi ummat Islam ketika itu.

Pada hari itu, beberapa orang pemerintah dan pemimpin telah membuka pintu dan sempadan bagi dimasuki oleh tentera Tartar yang zalim itu. Para pemimpin dan pemerintah itu merasakan bahawa mereka tidak mampu untuk menghalang serangan tentera Tartar yang menggila bagaikan taufan. Mereka berpendapat, Holako dan tentera Tartar adalah bahaya dan ancaman yang tidak boleh ditolak serta kemusnahan yang tidak boleh diselamatkan lagi. Mereka juga berpendapat mereka tidak mempunyai pilihan yang lain kecuali berdamai dengannya, atau bersikap hipokrit atau menyerah diri sahaja dan tunduk kepadanya dengan harapan agar Holako masih memberikan peluang kepada mereka untuk meneruskan kehidupan, atau paling kurangpun ia menjadi sebab untuk mendapat kasihan belasnya, atau untuk memperoleh keampunannya. Seolah-olah mereka tidak percaya bahawa Holako dan bala tenteranya tidak sekali-kali akan kasihan terhadap bangsa Arab dan ummat Islam, yang hanya akan merampas hak mereka untuk hidup, yang hanya akan menguasai negara mereka dan mengecapi sumber kekayaan mereka dan seterusnya bergembira di atas mayat-mayat dan runtuhan rumah-rumah mereka.

Ketika itu, tiada seorangpun yang percaya dengan penuh yakin terhadap kudrat Ilahi untuk menghalang taufan bala tentera Tartar kecuali orang-orang yang benar-benar beriman dan percaya serta yakin terhadap pertolongan Allah yang telah memberikan janji yang benar. Firman Allah SWT (Ali Imran: 173) yang bermaksud:

"Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: "Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya."Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: "Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)."

Mereka juga sedia untuk mengorbankan harta dan jiwa raga. Mereka percaya kepada kemampuan, kekuatan dan kuasa ummat mereka jika barisannya dapat disatukan dan para pemimpin dapat berada di dalam satu barisan dengan rakyat mereka, mempunyai keazaman yang satu bagi menuju matlamat yang satu iaitu menolak kehinaan dan berusaha memperoleh keredhaan tuhan serta bersungguh-sungguh untuk mendapat kemenangan dan balasan yang besar.

Realiti tragedi yang berlaku hari ini mengingatkan kita kepada realiti tragedi yang telah menimpa ummat ini dahulu.

Holako dan bala tenteranya yang ganas telah menyerang bahagian timur dunia Islam. Mereka menyerang Baghdad dan mengharungi sungai darah bangsa Arab dan ummat Islam. Mereka mengkhianati khalifah dan para menterinya. Mereka membunuh banyak jiwa dan menyeberangi Sungai Tigris di atas timbunan kitab-kitab yang pernah digunakan untuk mengimarahkan perpustakaan-perpustakaan di Baghdad. Kemudian mereka melanda pula bumi Syam. Tiada kawasan yang dilalui, melainkan mereka akan memusnah dan meruntuhkannya. Tiada kaum yang mereka temui, melainkan mereka akan membunuhnya. Kemudian dalam perjalanan ke Mesir, mereka menuju ke Palestin, sebuah tempat yang mempunyai peranan tersendiri dalam sejarah.

Presiden Bush hari ini samalah dengan Holako semalam. Dia mengutuskan para utusan untuk memberikan ancaman dan ugutan kepada para pemerintah ummat Islam dan negara mereka agar menyerah dan menerima segala undang-undang dan peraturan untuk digunakan kepada diri dan rakyat mereka. Ada di antara para pemimpin itu yang menerima dan tunduk kepada ugutan tersebut, maka akibatnya amat pahit dan jelek. Tetapi sebaliknya ada di antara mereka yang menolak dan bersiap sedia dengan segala kelengkapan dengan menyusun semula rumah tangganya sendiri dengan memerangi rasuah dan kezaliman, mengukuhkan persamaan, mendahului rakyatnya dalam mengorbankan harta, kekayaan dan batu-batu permatanya. Itu dilakukannya demi mengharapkan kemenangan. Dia juga menyatukan barisan dan mengukuhkan hubungan dengan rakyat. Oleh itu, dia selamat dan sejahtera dan merealisasikan kemenangan bagaikan mukjizat dengan bantuan Allah.

Antara kandungan surat Holako yang diutuskan kepada pemerintah Mesir, Sultan Qutz pada ketika itu ialah menuntutnya agar menyerah kerana dia tidak mempunyai pilihan lain lagi. Holako menyifatkan pedang tentera Tartar di dalam surat itu bagaikan petir dan lembing mereka bagaikan pemusnah. Holako juga menyifatkan tentera Tartar sebagai golongan yang tidak ada kasihan belas terhadap sesiapa yang mengadu dan hati mereka tidak akan menjadi lembut kepada sesiapa yang menangis.

Lalu Sultan Qutz yang beriman dan percaya kepada pertolongan tuhannya dan yakin kepada kekuatan iman rakyatnya, mengumpulkan para pemimpin, ulama dan cedikiawan. Ada di antara para pemimpin itu yang berpendapat bahawa mereka mesti berlembut dengan para utusan Holako, menunjukkan ketundukan dan mengambarkan persetujuan untuk membayar ufti. Lalu Sultan Qutz berkata kepada mereka yang lemah itu:

"Sesungguhnya pedang yang dimiliki oleh seorang yang pengecut daripada mengharungi peperangan adalah lebih layak untuk dipatahkan."

Kemudian beliau mengisytiharkan bahawa beliau menolak kehinaan, bahkan berazam mahu menghapuskan kejahatan dan meneguhkan kemuliaan serta kebanggaan dan membangkitkan semangat rakyat untuk melaksanakan amanah mempertahankan tanah air. Di samping itu beliau juga bertujuan membalas dendam terhadap ratusan ribu nyawa ummat Islam tidak berdosa yang telah dirampas hak kehidupan mereka oleh Holako di bumi dan negara mereka sendiri.

Sultan Qutz tidak mencuaikan kewajipannya. Beliau tidak gentar untuk menghadapi seorang yang gemar menjilat darah mangsa-mangsanya. Beliau juga tidak mundur berhadapan dengan ugutan. Beliau juga tidak digerunkan oleh barisan dan kumpulan musuh yang besar. Dalam masa yang sama, beliau tidak mengenepikan rakyatnya yang menjadi sumber kekuasaannya, penentu keputusan dan sumber pengorbanan. Anak-anaknya pula adalah terdiri daripada para tentera yang penuh percaya dan beriman serta mampu menghalang musuh.

Sultan Qutz bergantung kepada para ulama yang bagaikan bintang itu untuk menggerak dan menanam hakikat iman serta menggerakkan sifat memberi, berkorban dan berusaha. Para ulama itu diketuai oleh al-'Izz bin Abdul Salam yang telah memberikan fatwa kepada sultan dan rakyat bahawa jihad adalah wajib dan menolak kehinaan juga adalah wajib. Sultan Qutz juga telah menubuhkan satu jabatan yang besar bagi melakukan seruan ke arah jihad pada jalan Allah dan menghalang serangan tentera yang zalim itu. Beliau mengumpulkan para ulama dan khatib masjid untuk bergerak di seluruh negara Mesir. Mereka semua digerakkan oleh caj keimanan dan jihad untuk menyemarakkan semangat jihad di dalam hati rakyat jelata, hingga menjadikan seluruh bumi Mesir sebagai sel berdenyut yang sentiasa bergerak dan bersedia untuk mengharungi peperangan.

Sultan Qutz juga telah mengutuskan surat-surat kepada para pemerintah di Syam agar menyatukan barisan dan mengumpulkan seluruh kekuatan bagi menghadapi musuh bersama. Beliau juga menegaskan bahawa sekarang bukan masanya untuk berusaha menjatuhkan mana-mana pemimpin atau menentang pemerintahannya atau mengugutnya agar melucutkan dirinya daripada singgahsana pemerintahan.

Sultan Qutz juga melakukan reformasi dalaman dengan melebar luaskan keadilan dan mencabutkan segala akar umbi kerosakan serta kezaliman. Beliau berkata kepada sesiapa yang cenderung untuk berdamai dengan musuh atau haloba kepada harta:

"Pendirian paling keji adalah pendirian kamu. Demi Allah, pendirian ini kamu ambil hanya kerana kamu takut dan kecut kepada pedang-pedang tentera Tartar yang akan memotong kepala dan tengkuk kamu yang digemukkan oleh harta yang kamu ambil daripada rakyat. Tidakkah kamu tahu wahai pemimpin yang jahat bahawa apabila sesuatu kaum itu diperangi di dalam negara mereka sendiri maka mereka akan mendapat kehinaan?"

Sebelum melangkah ke medan perang, beliau berkata kepada para pemimpin:

"Wahai pemimpin ummat Islam! Kenapakah kamu sanggup memakan harta daripada baitul mal, sedangkan kamu bencikan jihad? Alangkah serupanya kamu dengan golongan munafiqin pada zaman Rasulullah (SAW)! Demi Allah, aku dan orang-orang yang bersamaku akan memerangi musuh Allah. Sesiapa yang memilih untuk berjihad dari kalangan kamu, maka ikutilah aku. Sesiapa yang tidak mahu, pulanglah ke rumah. Pemergiannya tidak akan ditangisi dan dikesali, dan Allah maha tahu apa yang ada di dalam dirinya."

Seruan beliau disambut dengan tangisan. Tentera Mesir bertakbir dalam pertempuran, lalu bumi menggegarkan tapak-tapak kaki pihak musuh yang zalim dan melampau batas, lalu mereka berjaya mengalahkan musuh dan mendapat kemuliaan. Sultan Qutz rebah melakukan sujud yang panjang kepada Allah. Kemudian beliau mengangkat kepala dengan air mata bercucuran keluar. Beliau berucap kepada tenteranya:

"Wahai tenteraku! Awaslah kamu daripada perasaan takbur terhadap kejayaan yang kamu peroleh. Tetapi bersyukurlah kepada Allah dan tunduklah kepada kekuatan dan kebesaranNya. Siapa tahu, mungkin doa yang diucapkan oleh saudara-saudara kamu di atas mimbar pada hari yang mulia ini, iaitu hari Jumaat dan di bulan Ramadhan yang mulia ini, ketika kamu menyerang musuh-musuh kamu, lebih tajam daripada pedang dan panah yang kamu gunakan untuk menikam dan memanah musuh kamu. Ketahuilah bahawa jihad kamu masih belum berakhir, tetapi kamu baru saja memulakannya, sehinggalah kamu dapat menunaikan hak Islam dengan menghalau musuh-musuhnya daripada seluruh tanah air kamu. "

"Dan pada ketika itu, orang-orang yang beriman bergembira, dengan kemenangan yang diberikan Allah. Dia memberikan kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia lah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani." (al-Rum: 4-5)