gwp 1092 - pelan pembangunan pendidikan malaysia (pppm) 2013-2025

10

Click here to load reader

Upload: samihah96

Post on 14-Dec-2015

50 views

Category:

Documents


9 download

DESCRIPTION

Penulisan Akademik Subjek Wacana Penulisan

TRANSCRIPT

Page 1: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

1

1.0 PENGENALAN

Pendidikan merupakan perkara yang perlu diperoleh oleh setiap lapisan

masyarakat. Dalam konteks rakyat Malaysia, setiap orang tidak kira bangsa, agama dan

budaya layak menikmati pendidikan khususnya asas membaca, menulis dan mengira.

Pendidikan yang diperoleh akan menjadi tapak dalam mengorak langkah bagi mencapai

apa-apa sahaja dalam kehidupan. Pendidikan juga tidak terhad di peringkat sekolah dan

institut pengajian tinggi sahaja malah menjangkau lebih tinggi daripada itu. Pendidikan

yang dimaksudkan ialah pembelajaran sepanjang hayat yang boleh dicari secara formal

atau tidak formal. Dalam proses pendidikan, sememangnya wujud suatu interaksi iaitu

perhubungan dan komunikasi antara manusia dan manusia sama ada secara formal atau

tidak formal, terancang atau tidak yang mana akhirnya membawa kepada perkembangan

keseluruhan manusia dan kumpulan – kumpulan manusia. (Akhmal Annas Hasmori,

2011)

Pendidikan adalah bertujuan bagi meningkatkan nilai diri seseorang terhadap ilmu

pengetahuan yang boleh diamalkan yang menjadi kelebihan pada diri. Pendidikan juga

boleh merubah tingkah laku seseorang menjadi lebih baik serta menyedari kebaikan yang

ada di dunia ini. Orang yang berpendidikan juga akan lebih memahami banyak perkara

yang sedang berlaku dan boleh membuat keputusan bagi merancang masa hadapan.

Menerusi pendidikan juga, banyak inovasi dan perubahan boleh dilakukan di setiap

peringkat bermula daripada bawah seperti rakyat, bangsa dan negara. Perubahan yang

dilaksanakan bakal memudahkan urusan sesuatu perkara contohnya perubahan dalam

teknologi komunikasi akan menyebabkan perhubungan manusia lebih mudah dijalankan.

Begitu juga dalam aspek yang lain. Oleh hal yang demikian, bagi memastikan tujuan itu

dicapai, kerajaan Malaysia telah menggubal banyak pelan dan dasar bagi memenuhi

aspirasi negara.

Dasar yang digunakan dalam pendidikan di Malaysia ialah dasar pendidikan

kebangsaan atau Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang ingin menghasilkan

warganegara yang seimbang dalam sudut jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial. Bagi

memastikan falsafah tersebut direalisasikan, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan

(PIPP) 2001-2010 telah dilaksanakan walaupun kemudiannya di ganti dengan Pelan

Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)2013-2025. Hal ini bagi menambah baik

sistem pendidikan yang ada di negara kita bagi memastikan pelajar yang dilahirkan lebih

dinamik dan setaraf dengan pelajar antarabangsa yang lain. Justeru, perkara yang diberi

fokus dalam tugasan ini ialah anjakan pertama dalam PPPM tersebut ke arah

mentransformasikan pendidikan negara.

Page 2: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

2

2.0 PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013-2025 (PPPM)

PPPM ini telah digubal oleh Kementerian Pendidikan Malaysia bagi menaik taraf

sistem pendidikan di negara ini bagi menepati Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) atau dulu dikenali sebagai Falsafah Pendidikan

Negara (FPN) merupakan panduan dalam melaksanakan sesuatu program dan

pembelajaran di sekolah bagi memastikan setiap aspek dalam FPK tercapai. Falsafah

Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha

berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan

bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,

rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan,

berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai

kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran

keluarga, masyarakat dan negara. (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2012)

Berdasarkan falsafah tersebut, anjakan demi anjakan dirancang dalam PPPM

bagi memastikan falsafah tersebut dipenuhi. Terdapat sebelas anjakan yang dirancang

iaitu anjakan pertama; menyediakan kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti

bertaraf antarabangsa, anjakan kedua ; memastikan setiap murid menguasai kemahiran

dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa

tambahan. Anjakan ketiga ; melahirkan rakyat yang menghayati nilai, anjakan keempat ;

mentransformasikan profesion keguruan menjadi profesion pilihan, anjakan kelima ;

memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, anjakan

keenam ; mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus

berasaskan keperluan, anjakan ketujuh ; memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti

pembelajaran di Malaysia, anjakan kelapan ; mentransformasikan kebolehan dan

keupayaan penyampaian kementerian, kesembilan ; bekerjasama dengan ibu bapa,

komuniti, dan sektor swasta secara meluas, anjakan kesepuluh ; memaksimumkan

keberhasilan murid bagi setiap ringgit dan anjakan kesebelas ialah meningkatkan

ketelusan untuk kebertanggungjawaban awam secara langsung.

Kesemua anjakan ini diharapkan dapat memberi kesan kepada lima keberhasilan

sistem meliputi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan walaupun tidak

kesemuanya. Anjakan yang dilakukan adalah menyentuh arah tuju pendidikan di negara

ini dalam sudut pelaksanaan ataupun kaedah yang cuba untuk ditransformasikan setiap

masa.

Page 3: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

3

2.1 Anjakan 1 : Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan

Berkualiti Taraf Antarabangsa

Kesamarataan akses yang dimaksudkan ialah semua pelajar tidak mengira latar

sosioekonomi dapat menikmati pendidikan yang di naik taraf supaya selaras dengan

kualiti pendidikan di negara-negara yang berkualiti pendidikannya. Hal ini merupakan

refleksi kepada pentaksiran antarabangsa (PISA dan TIMS) yang dilaksanakan bagi

menguji pelajar dalam aspek bacaan, Sains dan Matematik. Demi menyamatarafkan

pendidikan di Malaysia dengan negara antarabangsa yang lain, pelajar mula diukur

berdasarkan kebolehan mereka dalam mengaplikasikan pengetahuan kepada kemahiran

untuk berfikir di luar kotak dan melaksanakan sesuatu perkara berdasarkan proses

berfikir tersebut. Untuk itu, beberapa perubahan dalam pendidikan telah dirancang

melibatkan lapan perkara seperti yang dijelaskan di bawah.

2.1.1 Menanda aras pembelajaran bahasa, Matematik dan Sains

dengan standard antarabangsa

Menerusi pembacaan dan bahasa, seseorang dapat meningkatkan

pengetahuannya dan meluaskan skop penggunaan bahasa. Ia juga akan dapat

meluaskan pandangannya dan merangsang proses berfikir. Seseorang yang boleh

menguasai bidang matematik dan sains pula akan dapat menguasai banyak bidang

melibatkan inovasi dan teknologi. Perkara ini perlu dicapai bagi memastikan sesebuah

negara boleh bergerak ke arah sebuah negara maju dan berwawasan. Oleh hal yang

demikian, kementerian bersungguh-sungguh bagi memastikan aras pembelajaran subjek-

subjek tersebut selaras dengan piawaian antarabangsa, bentuk kurikulum pembelajaran

telah dirombak dan ditambah dengan aspek baru yang memerlukan pelajar berfikir dalam

konteks yang lebih luas yang bukan sahaja perkara yang terdapat dalam silibus

pembelajaran.

Asas literasi iaitu pembacaan dan numerasi iaitu operasi asas matematik serta

mata pelajaran sains pula merupakan perkara yang perlu di terapkan dan menjadi

perkara utama yang ditekankan kepada pelajar. Hal ini bagi memastikan kedudukan

negara Malaysia dalam pentaksiran antarabangsa PISA dan TIMS meningkat dan

membuktikan ketinggian intelek berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Melalui

anjakan ini, pelajar Malaysia akan lebih berdaya saing dalam aspek tersebut dan boleh

dibandingkan dengan pelajar antarabangsa jika kaedah dan program yang dilaksanakan

di sekolah adalah tepat dan sistematik. Hal ini disebabkan bidang Matematik dan Sains

Page 4: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

4

merupakan asas kepada pengembangan pembelajaran mata pelajaran lain seperti

ekonomi, keusahawanan, kejuruteraan, dan sebagainya. Apabila asas ini berjaya

diperkukuhkan, langkah untuk memahami perkara yang selanjutnya dalam bidang ini

akan menjadi lebih mudah.

2.1.2 Melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)

dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak

semula pada 2017

Kurikulum merupakan skop dan isi kandungan sesuatu mata pelajaran di sekolah

dan lain-lain atau senarai kesemua mata pelajaran (kursus pengajian) di sekolah.

(Noresah, 2007). Di Malaysia, sehingga 2015, kurikulum yang dilaksanakan ialah KBSR

dan KBSM, namun bermula pada tahu 2016, KBSR akan digantikan dengan KSSR

manakala KBSM akan ditukar dengan KSSM. Kedua-dua kurikulum ini yang

menggantikan kurikulum sedia ada adalah bagi meningkatkan mutu pendidikan negara

selaras dengan aspirasi negara dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Kurikulum yang

sedia ada ini akan dilaksanakan secara holistik di samping mempergiatkan proses

penyediaan kurikulum baru itu dengan menyediakan guru ke arah teknik penyampaian

yang berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Kurikulum yang bakal dilaksanakan ini banyak menekankan pengaplikasian ilmu

pengetahuan dalam kehidupan serta memperluaskan minda ke arah pemikiran kreatif dan

kritis serta inovatif. Hal ini memerlukan mereka peka dengan keadaan semasa dan

mengambil peluang bagi mengembangkan potensi masing-masing dengan menceburkan

diri dalam pelbagai bidang termasuk aktiviti kokurikulum dan kegiatan sukan. Selain itu,

aspek yang diterapkan berdasarkan kurikulum baru ini ialah kemahiran berfikir bagi

menyelesaikan masalah dan melaksanakan tugasan berbentuk projek, dan di taksir

secara formatif. Kurikulum baru ini juga akan memansuhkan penilaian kepada murid

sekolah rendah yang kini hanya dinilai menerusi UPSR iaitu ujian bertulis yang hanya

menggunakan kemahiran mengimbas semula kandungan mata pelajaran yang dipelajari.

Selain itu, bagi KSSM, pelajar berprestasi tinggi yang berpotensi besar akan dilayakkan

menghabiskan pengajian di sekolah menengah hanya dalam masa empat tahun. Hal ini

akan menjimatkan masa pelajar tersebut dan boleh menumpukan perhatian kepada

peringkat pengajian yang seterusnya. Jika kedua-dua kurikulum ini berjaya dilaksanakan

secara telus dan menyeluruh, banyak aspek dalam diri murid tersebut dapat dipertingkat

seperti sahsiah, kemahiran berfikir, hasil kerja, perhubungan dengan orang sekeliling dan

banyak lagi.

Page 5: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

5

2.1.3 Merombak peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran

berasaskan sekolah (PBS) untuk meningkatkan secara berperingkat

peratusan soalan yang mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi pada

2016

Murid pada mengikut sistem pendidikan sekarang dinilai berdasarkan sistem

peperiksaan kebangsaan yang hanya berpusatkan kepada peperiksaan tanpa mengambil

kira pelbagai aspek secara keseluruhan. Walaupun wujud penilaian terhadap aspek lain

seperti yang dikehendaki dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, namun aspek itu tidak

dinilai benar-benar secara keseluruhan menyebabkan penilaian itu tidak telus. Soalan

dalam peperiksaan tersebut juga adalah lebih mudah dan tidak begitu merangsang

pemikiran aras tinggi. Jika mengikut peratusan, bagi SPM hanya 20% sahaja soalan aras

tinggi yang diwujudkan. Justeru, dengan bermulanya pada tahun 2016 apabila KBSR

dimansuhkan dan diganti dengan KSSR, soalan yang disediakan bagi peperiksaan juga

berubah dalam segi peratusan tahap soalan iaitu soalan aras tinggi adalah 40% dari

keseluruhan soalan. Hal yang sama juga berlaku kepada KBSM yang ditukar kepada

KSSM apabila peratus soalan aras tinggi adalah 50%, iaitu separuh daripada keseluruhan

soalan.

Hal ini benar-benar akan menguji kemahiran pelajar dalam mengaplikasikan ilmu

pengetahuan semasa proses pembelajaran ke dalam situasi dan keadaan yang tertentu.

Melalui perubahan ini, pelajar akan terlatih untuk berfikir berdasarkan silibus yang

terdapat dalam pembelajaran dan bukan sekadar menghafalnya. Pengaplikasian

pengetahuan tersebut itu juga boleh disesuaikan dengan isu semasa yang difahami

secara menyeluruh. Dengan cara ini, murid dan pelajar tersebut akan lebih terdorong

untuk keluar daripada zon selesa dan cuba untuk lebih memahami isu-isu dalam dan luar

negara seterusnya memikirkan cara bagi mengatasinya di masa akan datang. Mereka

juga akan bersifat lebih matang dan mempunyai boleh berfikir mengikut panduan yang

diberikan oleh guru-guru dan pengalaman sendiri.

2.1.4 Meningkatkan kualiti pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan,

dan Matematik (STEM)

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik adalah penanda aras

bagi kemajuan sesebuah negara yang bermula dengan pendidikannya. Pengaplikasian

ilmu pengetahuan dan proses menyelesaikan masalah dalam bidang ini lebih penting

Page 6: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

6

berbanding hanya kebolehan untuk mengingati dan memahaminya. Justeru, kementerian

telah mengambil langkah bagi meningkatkan mutu mata pelajaran bagi merangsang

murid berfikir dan mengaplikasikannya. Oleh hal yang demikian bagi meningkatkan kualiti

mata pelajaran – mata pelajaran tersebut, masa bagi pengajaran dan pembelajaran telah

ditambah dan pengaplikasian ilmu tersebut dilaksanakan dalam bentuk amali makmal

bagi mata pelajaran sains dan tugasan berdasarkan projek bagi teknologi, kejuruteraan

dan matematik. Hal ini bagi merangsang kemahiran dan pengetahuan mereka

berlandaskan sifat inovasi dan pemikiran yang kreatif dan kritis. Guru-guru juga akan

dikenal pasti kaedah pengajarannya dan diberi kursus bagi disesuaikan dengan modul

yang bakal diperkenalkan kementerian dalam meningkatkan kemahiran khusus berkaitan

dengan pedagogi tersebut. Kementerian juga akan menggunakan model pembelajaran

mod menggunakan teknologi bagi merangsang minat pelajar untuk belajar.

Pengaplikasian secara terus ketika pembelajaran boleh mencetuskan semangat ingin

tahu dan ingin mencuba kepada pelajar menyebabkan mereka cuba untuk berfikir bagi

melaksanakannya. Hal ini membuktikan bahawa setiap murid berpeluang menggunakan

ilmu dan kemahirannya bagi mencipta sesuatu yang berguna dan berinovatif seperti

murid lain di luar negara.

2.1.5 Memperluas akses dan meningkatkan kualiti laluan pendidikan,

bermula dengan pendidikan vokasional

Berikutan setiap pelajar mempunyai minat dan potensi yang berbeza, penting bagi

mereka mengetahui setiap laluan yang sesuai dengan kehendak dan kebolehan mereka.

Justeru, kementerian telah memasukkan perkhidmatan kaunseling dan kerjaya ke dalam

jadual waktu sekolah bermula pada akhir tahun 2013 bagi memandu pelajar membina

laluan pendidikan dan kerjayanya sendiri. Sebelum ini, hanya pelajar yang mempunyai

kesedaran sahaja yang bertindak mendapatkan khidmat kaunseling ini, namun dengan

wujudnya penambahan ini, setiap pelajar telah mendapat hak yang sama dalam

mendapatkan informasi tentang masa depannya. Bermula dengan laluan kepada

pendidikan vokasional iaitu bagi pelajar yang mempunyai kemahiran teknikal melebihi

kemahiran intelek, sesi kaunseling bersama guru kaunseling boleh membuka mata

mereka tentang peluang pendidikan yang boleh meletakkan mereka di tempat yang

sepatutnya. Selain pendidikan vokasional, terdapat juga program pembelajaran pintas

bagi pelajar berprestasi tinggi dan pintar cerdas, di samping sekolah seni dan sekolah

sukan bagi pelajar yang mempunyai bakat dalam aktiviti fizikal dan kemahiran kognitif

dan psikomotor. Selain itu, bagi program lepasan SPM yang boleh diperoleh khidmat

Page 7: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

7

kaunselingnya ialah program matrikulasi, persediaan ijazah, dan Tingkatan enam. Oleh

hal yang demikian, pelajar akan lebih peka dengan peluang yang terdapat bagi

memanfaatkan potensi dan kelebihan yang ada pada diri masing-masing. Justeru, tidak

akan muncul isu bahawa mana-mana pelajar yang tidak mendapat informasi tentang

peluang pendidikan atau ketidakadilan dalam memperoleh pendidikan jika perkhidmatan

kaunseling ini dilaksanakan secara bersungguh-sungguh. Hal ini semata-mata bagi

memastikan kesamarataan akses pendidikan setaraf dengan antarabangsa.

2.1.6 Meningkatkan kualiti prasekolah dan menggalakkan enrolmen

sejagat menjelang 2020

Pendidikan awal bagi seorang murid amat penting bagi memastikan murid

tersebut bersedia melangkah ke alah persekolahan. Murid perlu didedahkan dengan

pendidikan formal agar pada peringkat sekolah, proses pemantapan boleh dilaksanakan.

Dasar kerajaan ini menunjukkan bahawa pendidikan perlu dimulakan oleh seseorang

murid bermula pada umur lima tahun di peringkat prasekolah. Mereka perlu dihantar ke

prasekolah bagi menerima pendidikan sekalipun ibu bapanya tidak berkemampuan.

Namun, kementerian akan memberi bantuan kewangan berdasarkan keperluan bagi

memastikan setiap murid mendapatkan pendidikan yang sama. Guru-guru yang mengajar

kanak-kanak ini juga dipastikan agar mempunyai kelulusan yang sepadan iaitu sekurang-

kurangnya diploma bagi menjamin kualiti pendidikan tersebut. Dalam hal tersebut, institut

prasekolah itu mestilah menepati piawaian kualiti kebangsaan dan akan di periksa secara

konsisten oleh pihak yang berwajib seperti Kementerian Pendidikan Malaysia atau Majlis

Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Perkara ini penting bagi memastikan

pendidikan yang diterima di peringkat awal ini adalah seragam dan hak setiap murid

adalah sama.

Jika kualiti prasekolah dapat ditingkatkan iaitu dengan pelantikan guru prasekolah

yang mendapat pendidikan sekurang-kurangnya peringkat diploma, kadar kelahiran murid

celik huruf adalah lebih tinggi dalam hal yang sepatutnya. Hal ini disebabkan guru-guru ini

telah mendapat latihan mengajar atau kursus yang berkenaan bagi membolehkan

seseorang mengendalikan anak muridnya begitu, kualiti guru dan prasekolah yang

cemerlang boleh melahirkan murid yang hebat dan cemerlang.

Oleh hal yang demikian guru-guru boleh mengajar menggunakan kaedah baru

yang tidak membosankan murid seperti menyanyi, buat persembahan wajah dan

sebagainya.

Page 8: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

8

2.1.7 Meningkatkan pelaburan dalam sumber fizikal dan sumber

pengajaran untuk murid berkeperluan khusus

Murid berkeperluan khusus adalah seperti murid kaum orang asli dan murid

berkeperluan khas atau murid kelainan upaya. Mereka mempunyai cara hidup yang agak

berbeza berbanding murid normal yang lain. Kebanyakan daripada mereka pada masa

kini agak ketinggalan berbanding pelajar lain yang tinggal di bandar atau mempunyai

fizikal dan mental yang normal (bagi murid berkeperluan khas). Murid orang asli

khususnya yang kurang mendapat infrastruktur yang lengkap berikutan kawasan

penempatan mereka yang agak jauh di pedalaman menyebabkan pengajaran dan

pembelajaran tidak dapat dilaksanakan secara optimum. Hal ini juga turut berlaku kepada

murid-murid berkeperluan khas atau kelainan upaya ini. Alatan dan kemudahan yang

tidak lengkap berserta kekurangan guru yang mahir menyebabkan pendidikan tidak dapat

dilaksanakan untuk mereka. Justeru, bagi menangani hal ini, kementerian akan

memberikan bantuan tambahan seperti kemudahan yang lengkap dan tambahan guru

yang dilatih khusus bagi mengajar menggunakan alat dan kemudahan tersebut bagi

murid berkeperluan khas iaitu murid orang asli dan murid kelainan upaya. Hal ini bagi

menimbulkan suasana belajar yang selesa dan praktikal kepada murid-murid

berkeperluan khas tersebut. Kemudahan dan bantuan tersebut akan membantu kepada

teknik pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Hal ini kemudiannya menyebabkan

semua murid tidak kira tempat dan keperluan boleh menikmati pendidikan setaraf dengan

murid lain sama ada di luar atau dalam negara. Maka, tiada murid yang akan tercicir

daripada menikmati pendidikan di negara ini.

2.1.8 Melanjutkan pendidikan wajib daripada 6 tahun kepada 11 tahun

bermula pada umur 6 tahun

Sebelum ini, pendidikan wajib bagi setiap murid adalah selama 6 tahun sahaja

iaitu bermula pada darjah satu hingga darjah enam di sekolah rendah. Namun hal ini

dilihat sudah tidak relevan dengan status negara Malaysia yang ingin bergerak ke depan

menjadi negara maju apabila rakyatnya hanya mempunyai pendidikan wajib yang sangat

minimum. Justeru, dengan wujudnya transformasi kementerian ini, setiap pelajar perlu

menghabiskan pendidikan di sekolah rendah dan menengah dan mempunyai sijil SPM

atau kelayakan vokasional yang setara. Dasar ini akan meningkatkan pendaftaran pelajar

di sekolah menengah dan rendah. Maka, kementerian juga akan menambah bilangan

Page 9: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

9

sekolah dan guru bagi menampung pertambahan ini. Namun, bagi murid yang tercicir

dalam mengikuti pendidikan atas faktor kewangan atau sahsiah, akan dibantu menerusi

bantuan kaunseling kepada ibu bapa dan murid itu sendiri serta diberi bimbingan

menerusi pelbagai inisiatif. Hal ini bagi memastikan tahap pendidikan rakyat Malaysia

secara keseluruhan adalah lebih meningkat dari masa sebelumnya. Pencapaian pelajar

Malaysia juga akan turut meningkat dan hal ini boleh menggalakkan persaingan dengan

pelajar lain di peringkat antarabangsa.

Page 10: GWP 1092 - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025

10

3.0 PENUTUP

Kesimpulannya, setiap warganegara Malaysia akan diberi peluang bagi mendapat

peluang pendidikan yang sama tanpa mengira keadaan fizikal dan mental, tempat,

bahasa, budaya, agama dan bangsa. Hal ini merupakan salah satu dasar negara dalam

menjadikan negara Malaysia sentiasa bergerak maju dan dapat menyaingi negara-negara

yang lain. Hal ini juga bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai minda kelas pertama

dan mempunyai keperibadian yang mulia serta boleh menjadi modal insan negara yang

berkualiti.

Dasar kementerian menerusi PPPM ini menjadi bukti bahawa pendidikan di

negara ini sentiasa dalam perubahan ke arah lebih baik yang boleh memberi manfaat

kepada seluruh rakyat dan negara ini sendiri. Menerusi kesamarataan akses pendidikan,

kesemua murid boleh menjadi penggerak kepada kemajuan negara Malaysia dalam

bidang pendidikan. Namun, PPPM yang berjaya adalah apabila dilaksanakan dengan

telus dan bersungguh bermula daripada pihak penggubal dasar lagi seterusnya kepada

pelaksana dasar tersebut iaitu para pentadbir sekolah dan para guru.