gbm teks bahasa

8
1 TEKS UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO’ KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSI A MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011 SEKTOR PENDIDIKAN 17 OKTOBER 2011 Bismillahirrahmanirrahim. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia. Yang Berbahagia DatoIbrahim Mohamad Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana BBK Sektor Bahasa, Pengarah-Pengarah Bahagian Ketua-ketua Jabatan, dif-dif kehormat dan seterusnya YBhg Dato’/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. 1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama berhimpun dalam majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Sektor Pendidikan Tahun 2011 pada hari ini. 2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak urus setia kerana menjemput saya hadir ke

Upload: chaneytta-chieecc

Post on 21-Nov-2015

14 views

Category:

Documents


3 download

DESCRIPTION

:)

TRANSCRIPT

  • 1

    TEKS UCAPAN PERASMIAN YBHG DATO KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA

    MAJLIS PELANCARAN BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011

    SEKTOR PENDIDIKAN

    17 OKTOBER 2011

    Bismillahirrahmanirrahim.

    Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, salam sejahtera dan

    salam 1Malaysia.

    Yang Berbahagia Dato Ibrahim Mohamad

    Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, merangkap Pengerusi

    Jawatankuasa Pelaksana BBK Sektor Bahasa,

    Pengarah-Pengarah Bahagian

    Ketua-ketua Jabatan, dif-dif kehormat

    dan seterusnya YBhg Dato/Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati

    sekalian.

    1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah

    s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurnia-Nya, kita dapat bersama-sama

    berhimpun dalam majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat

    Sektor Pendidikan Tahun 2011 pada hari ini.

    2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi

    terima kasih kepada pihak urus setia kerana menjemput saya hadir ke

  • 2

    majlis sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini. Terima kasih

    juga saya ucapkan kepada pegawai-pegawai Kementerian dan pihak urus

    setia yang telah berusaha menjayakan sambutan Bulan Bahasa

    Kebangsaan, serta warga sektor pendidikan yang hadir pada pagi ini untuk

    turut sama memeriahkan acara penting ini.

    3. Sesungguhnya, sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan yang

    berlangsung sepanjang bulan Oktober ini memberikan kesempatan

    kepada kita untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan bahasa dan

    persuratan kebangsaan. Pelbagai acara yang dianjurkan sepanjang bulan

    ini memberikan kita peluang untuk menghayati dan menghargai khazanah

    bahasa dan persuratan kebangsaan kita sebagai bahasa utama di negara

    ini. Melalui cara ini, kita bukan sahaja dapat memupuk rasa cinta kepada

    Bahasa Kebangsaan, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang betapa

    pentingnya kita menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam urusan

    seharian.

    1Bahasa 1Bangsa 1Negara

    4. Tema Bulan Bahasa Kebangsaan pada tahun ini ialah 1Bahasa

    1Bangsa 1Negara. Tema ini mengajak kita warga Malaysia untuk

    menghayati dan menghargai bahasa kebangsaan sebagai tonggak bangsa

    kita dan cerminan jati diri kita. Sesungguhnya kekuatan sesuatu bangsa itu

    dapat dilihat pada bahasanya. Pada bahasa itulah tergambar etos atau

  • 3

    semangat kita sebagai satu bangsa dalam satu lingkungan tanah air yang

    dipunyai secara bersama.

    5. Ini bermakna, bahasa yang kita martabatkan itulah yang akan

    membentuk negara kita sebagai satu bangsa. Sekiranya bahasa yang kita

    martabatkan adalah bahasa kebangsaan, maka yang akan terpancar

    daripada bangsa kita ialah jiwa kebangsaannya. Jika kita sentiasa

    memandang tinggi kepada bahasa kebangsaan kita, bersinarlah jiwa

    kebangsaan kita, dan berjayalah pembentukan jati diri kita sebagai bangsa

    yang bermaruah.

    6. Di negara kita, Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan

    terhadap kedudukan istimewa Bahasa Melayu sebagai Bahasa

    Kebangsaan. Kedudukan istimewa ini kemudiannya diterjemahkan pula

    melalui penggubalan dan pelaksanaan pelbagai dasar kerajaan yang

    memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Dasar Bahasa Kebangsaan

    misalnya mengiktiraf Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa rasmi yang

    mesti digunakan dalam setiap urusan rasmi kerajaan. Dasar pendidikan

    kita juga menetapkan bahawa Bahasa Kebangsaan adalah bahasa

    pengantar utama dalam sistem pendidikan kebangsaan. Dengan

    melaksanakan dasar-dasar ini, kita dapat memastikan bahawa kedudukan

    istimewa Bahasa Kebangsaan tidak hanya termaktub dalam

    Perlembagaan, tetapi dapat dihayati dan diamalkan secara meluas oleh

    rakyat.

  • 4

    7. Selain itu, tidak kurang pentingnya juga ialah hakikat bahawa

    Bahasa Kebangsaan adalah milik semua rakyat tanpa mengira kaum,

    agama, budaya dan bahasa ibunda. Ini menjadikan Bahasa Kebangsaan

    sebagai wahana perpaduan yang penting dalam masyarakat majmuk

    seperti Malaysia. Dengan menggunakan satu bahasa, kita akan dapat

    memupuk dan menyuburkan perasaan kebersamaan antara kita dan

    sekaligus melupakan perbezaan. Sekiranya ini dapat kita lakukan secara

    bersama dan bersungguh-sungguh, gagasan 1Bangsa 1Negara atau

    1Malaysia yang dicetuskan oleh Perdana Menteri kita YAB Dato Seri

    Mohd. Najib Tun Abdul Razak boleh kita jayakan melalui penghayatan dan

    penggunaan satu bahasa.

    Memartabatkan Bahasa Kebangsaan

    8. Dalam usaha untuk memartabatkan bahasa kebangsaan, kerajaan

    telah melaksanakan dasar baru dalam sistem pendidikan kita iaitu Dasar

    Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris

    (MBMMBI). Dasar ini bertujuan untuk memartabatkan bahasa Malaysia

    sebagai bahasa ilmu, dan pada masa yang sama memperkukuh

    penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Dasar ini adalah

    selari dengan hasrat Penyata Razak 1956 yang bercita-cita untuk

    menyatupadukan rakyat Malaysia melalui sistem pelajaran kebangsaan

    dengan menggunakan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar

    utama.

  • 5

    9. Selain daripada itu, komitmen kita untuk memartabatkan Bahasa

    Malaysia, baik dalam bidang pendidikan atau dalam bidang-bidang yang

    lain, adalah berdasarkan kepada keyakinan kita terhadap keupayaan

    bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Keyakinan

    ini berasaskan kepada bukti bahawa keluaran sistem pendidikan kita yang

    berteraskan pendidikan bahasa kebangsaan telah berjaya menjadi

    pemangkin kepada kemajuan negara selama ini. Persepsi bahawa bahasa

    kebangsaan tidak berupaya untuk menjadi bahasa ilmu dan bahasa

    kemajuan merupakan tanggapan yang meleset. Pemartabatan sesuatu

    bahasa sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, bukanlah semata-

    mata bergantung kepada sistem bahasa itu, tetapi turut berkait dengan

    faktor peradaban dalam kalangan pengguna bahasa itu sendiri.

    10. Jika kita mengimbas sejarah peradaban berbahasa Melayu, tradisi

    keilmuan dan persuratan bangsa kita cukup gemilang. Kalau di Barat ada

    Chaucer, di Alam Melayu ada Hamzah Fansuri dan kalau di Barat pada

    kurun ke 14 ada Canterbury Tales, di Alam Melayu ada Hikayat Raja-Raja

    Pasai. Ini menunjukkan bahasa kita pada ketika itu bukan sekadar

    digunakan sebagai alat pertuturan sahaja, tetapi telah berjaya

    mengungkapkan falsafah dan budaya tinggi yang menggambarkan tahap

    intelektual bangsa kita sejak zaman-berzaman. Hukum Kanun Melaka dan

    Hikayat Hang Tuah adalah antara contoh karya agung bangsa kita yang

    diungkapkan dalam bahasa Kebangsaan. Ini sekali gus membuktikan

    bahawa bahasa Kebangsaan kita telah mencapai tahap bahasa ilmu tinggi.

  • 6

    Bahasa Kebangsaan Sebagai Bahasa Ilmu

    11. Maka, tanggungjawab kita sekarang ini ialah untuk

    mempertingkatkan fungsi bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan

    bahasa kemajuan. Kita tidak perlu terus bernostalgia tentang kegemilangan

    masa lampau, tanpa melakukan usaha yang bersungguh-sungguh untuk

    mencapai matlamat ini. Kita perlu sedar bahawa jika bahasa kebangsaan

    kita tidak lagi menjadi bahasa ilmu dan bahasa kemajuan, lama kelamaan

    bahasa kita akan hilang kepentingannya, tidak lagi relevan dengan

    keperluan semasa, dan akhirnya akan pupus. Tidak guna lagi kita

    bernostalgia dengan keagungan dan kehebatan lampau bahasa kita, jika

    ianya sudah tidak sesuai lagi dengan kemajuan zaman.

    12. Justeru, usaha-usaha yang lebih agresif dan tersusun perlu

    dilakukan untuk meningkatkan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa

    ilmu dan bahasa kemajuan. Ini termasuklah dengan menghasilkan lebih

    banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan, terutama sekali

    dalam bidang sains dan teknologi. Institusi-institusi pengajian tinggi,

    agensi-agensi pelaksana dasar bahasa seperti Dewan Bahasa dan

    Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), serta

    para ilmuwan perlu mewujudkan sinergi bagi menghasilkan karya-karya

    ilmiah bermutu tinggi dalam bahasa kebangsaan. Bagi saya inilah cabaran

    paling besar dalam usaha kita untuk memartabatkan bahasa kebangsaan

    sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.

  • 7

    Kesedaran

    13. Sempena Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor

    Pendidikan pada hari ini, suka saya mengingatkan bahawa segala usaha

    kita untuk memartabat dan memperkasakan bahasa kebangsaan tidak

    akan berhasil sekiranya kita khususnya pegawai kerajaan tidak mempunyai

    kesedaran yang tinggi untuk menghormati dan menggunakan bahasa

    kebangsaan dalam urusan seharian. Segala usaha kita akan menjadi sia-

    sia jika kita tidak menanamkan keyakinan yang tinggi tentang kepentingan

    dan keupayaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa komunikasi dan

    bahasa ilmu yang utama.

    14. Justeru, dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat

    tentang kepentingan bahasa kebangsaan, kerajaan telah membuat

    keputusan untuk mengisytiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa

    Kebangsaan. Sehubungan itu, semua kementerian, kerajaan negeri dan

    agensi kerajaan akan melaksanakan program Bulan Bahasa Kebangsaan

    pada peringkat masing-masing sepanjang bulan Oktober. Kegiatan-

    kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan

    sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa

    kebangsaan di kalangan masyarakat kita.

    15. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga

    kepada semua pihak yang telah menjayakan sambutan Bulan Bahasa

    Kebangsaan 2011 ini, khususnya kepada Jawatankuasa Pengelola di

  • 8

    peringkat urus setia KPM, kementerian-kementerian dan agensi lain yang

    terlibat. Sekali lagi saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada

    semua pihak yang telah berpadu tenaga dan daya usaha untuk

    menganjurkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat

    Sektor Pendidikan ini. Mudah-mudahan dengan adanya usaha-usaha

    seperti ini, kita akan lebih menghargai keindahan dan ketinggian nilai

    bahasa kita.

    Yang kurik itu kendi,

    Yang merah itu saga,

    Yang elok itu budi,

    Yang indah itu bahasa.

    16. Dengan lafaz Bismillahhirahmanirahim, saya dengan sukacitanya

    melancarkan sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Sektor

    Pendidikan Tahun 2011

    Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamualaikum wa rahmatullahi wa

    barakatuh.