esei.odt

Download esei.odt

If you can't read please download the document

Upload: fatiniskandar

Post on 25-Sep-2015

26 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Tajuk: Nilai-nilai mata pelajaran Sejarah Kurikulum Standar Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) pendorong pengukuhan
perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

1.0 Pendahuluan

Pada dasarnya nilai merupakan sesuatu yang abstrak, bukan konkret. Nilai merujuk kepada perlakuan positif yang dianggap mampu memberi ketenangan kepada orang lain. Jules Henry (1975), mendefinisikan nilai sebagai sesuatu yang dikira baik seperti kasih sayang, baik hati, kepuasan hati, keseronokan, kejujuran, kesopanan, ketenangan dan kesederhanaan. Menurut Raths, Harmin dan Simon (1980), nilai sebagai garis panduan umum terhadap tingkah laku seseorang. Manakala, mengikut Redfield (1953), nilai ialah suatu konsep tersurat atau tersirat bagi individu atau sifat-sifat bagi suatu kelompok yang dikehendaki yang mempengaruhi pemilihan ragam, maksud dan segala tindakan. Garis panduan ini memberikan satu arah kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan harmonis. Setiap individu mempunyai cara tersendiri dalam mendidik diri sendiri untuk menghayati nilai-nilai yang ada. Penghayatan nilai ini bukannya secara terang-terangan namun disampaikan secara halus agar orang sekeliling berasa selesa dan seronok apabila bersama. Penerapan nilai sejak di peringkat sekolah sememangnya sangat tepat kerana nilai merupakan penentu dalam diri manusia seterusnya mempengaruhi pilihannya dalam kehidupan dan akan menentukan tingkahlaku. Hal ini bertepatan dengan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk melahirkan warganegara yang berakhlak mulia.

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Maka, konsep perpaduan dalam konteks negara ini perlu difahami dengan jelas. Perpaduan didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara seluruhnya melalui ideologi negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identiti dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama di kalangan mereka. Di samping itu juga,definisi perpaduan menurut Kamus Dewan, 1994 mentakrifkan sebagai penggabungan, peleburan, persesuaian, kecocokan dan perihal berpadu iaitu bergabung menjadi satu, sepakat dan sebagainya. Menurut Hj. Samat Buang (2003), perpaduan sebagai satu penyatuan tenaga, fikiran, cita-cita dan pengorbanan dalam satu ikatan yang sepadu, kuat dan maju. Tuntasnya, perpaduan dapat didefinisikan sebagai satu proses yang menyatupadukan seluruh masyarakat dan negara supaya dapat melahirkan perasaan cinta dan banggakan tanah air. Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu: Edisi Ekonomi, 2002:1335, perpaduan sebagai persatuan, perhubungan yang erat, percantuman, penyatuan, permuafakatan, persesuaian dan penyebatian.

Berdasarkan kepada mata pelajaran Sejarah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), kedua-dua dokumen ini merupakan asas kepada pembentukan perpaduan antara kaum dengan nilai-nilai yang positif yang terkandung di dalamnya. Oleh itu, langkah-langkah proaktif dan pragmatik telah diambil oleh pihak kerajaan bagi menggubal satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri. Hal ini bertujuan untuk memastikan hasrat negara untuk memupuk perpaduan dan membentuk identiti kebangsaan di kalangan rakyat berbilang kaum tercapai. Konsep 1Malaysia yang acap kali diuar-uarkan bersesuaian dan selari dengan kedua-dua dokumen ini bagi memupuk dan membentuk perpaduan dalam kalangan generasi muda di peringkat sekolah lagi. Tema perpaduan yang diterapkan dalam mata pelajaran Sejarah merujuk kepada kepentingan hubungan erat yang terbentuk hasil daripada toleransi dalam kalangan penduduk Malaysia. Tema ini sesuai diajarkan kepada murid-murid dalam usaha memastikan semangat perpaduan tercapai di antara kaum.
2.0 Kandungan

2.1Pendidikan yang terdapat di Malaysia mempunyai hubungkait serta pertalian yang erat bagi mencapai sebuah negara yang makmur dan maju berlandaskan Wawasan 2020. Perpaduan antara kaum merupakan antara tali perhubungan yang penting dalam mencapai hasrat negara. Bagi tujuan tersebut, salah satu langkah yang diambil adalah dengan menerapkan nilai berbangga dengan lambang dan simbol negara dalam dokumen KSSR dan KSSM. Menurut Kamus Pelajar edisi kedua, bangga didefinisikan sebagai senang dan besar hati. Sebagai seorang warganegara Malaysia, lambang dan simbol negara menggambarkan identiti dan dianggap simbolik sebagai seorang rakyat walaupun berbeza dari segi latar budaya dan bangsa. Sebagai contoh, sejarah penciptaan jalur gemilang yang mempunyai maksud-maksud tersendiri di sebalik warna dan bentuk yang dihasilkan. Maksud yang tersirat di sebalik penghasilan ini merujuk kepada sebuah negara yang mempunyai satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini. Selain jalur gemilang, jata negara juga merupakan salah satu lambang dan simbol negara yang perlu dibanggakan. Jata negara merujuk kepada negeri-negeri yang berada di Malaysia. Tambahan pula, bunga raya juga merupakan antara contoh lain. Bunga raya yang unik dengan warna dan kelopaknya melambangkan sifat keberanian menempuh cabaran serta memberi maksud lima prinsip Rukun Negara yang wajib diketahui oleh semua rakyat. Di samping itu, lagu kebangsaan Negaraku yang membawa maksud untuk membangkitkan semangat patriotik terhadap negara bahkan melambangkan sosiobudaya serta memaparkan cita-cita, hasrat dan harapan bangsa negara juga dianggap sebagai satu yang berharga dan perlu dibanggakan. Maka, berdasarkan satu lambang dan logo yang sama bagi semua rakyat, perpaduan dapat diwujudkan tanpa mengenal latar belakang kaum yang berbeza.

2.2Tambahan pula, semangat kekitaan, keharmonian dan hormat-menghormati telah dimuatkan dalam kedua-dua kandungan dokumen pendidikan Sejarah. Semangat kekitaan merujuk kepada semangat bekerjasama dalam sesuatu kumpulan. Manakala, keharmonian bermaksud usaha yang baik dan membina yang dilakukan bersama pada peringkat individu, komuniti atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat (Philip Lim Chee Rong), sementara hormat-menghormati pula didefinisikan sebagai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan dan berhemah kepadanya. Dalam konteks ini, beberapa peristiwa sejarah dapat dikaitkan. Salah satu daripadanya adalah peristiwa 13 Mei yang menjadi catatan suram di negara ini. Tragedi ini mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan Pilihan Raya Umum 1969 yang merupakan satu titik hitam dalam sejarah negara Malaysia. Peristiwa ini memperlihatkan bahawa hubungan kaum akan menjadi rapuh jika sikap hormat-menghormati tidak diamalkan. Peristiwa berdarah ini juga menjadi iktibar bahawa keharmonian negara akan tergugat sekiranya sesetengah pihak gemar untuk menjaja isu sensitif bagi meraih sokongan politik. Selain itu, peristiwa pemisahan antara Malaysia dan Singapura juga merupakan salah satu contoh lain. Dalam peristiwa ini, Parti Tindakan Rakyat (PAP) enggan bertolak ansur dengan kerajaan Malaysia pimpinan Tunku Abdul Rahman. Lee Kuan Yew mencuba ketika itu agar PAP menggantikan MCA sebagai parti sekutu perikatan. Perkara yang sama juga dalam projek perumahan, apabila perkampungan Melayu di Singapura telah dihapuskan. Akibatnya, beberapa pergaduhan berlaku. Melihat daripada peristiwa yang berlaku, nilai hormat-menghormati dan semangat kekitaan antara semua kaum penting bagi melahirkan sebuah negara yang harmoni yang seterusnya dapat melahirkan rakyat yang berkualiti kelas pertama dan mengelakkan persengketaan antara kaum.

2.3Seterusnya ialah nilai bertanggungjawab. Sebagai seorang warganegara Malaysia, adalah menjadi satu tanggungjawab penting bagi mengetahui dan memahami tanggungjawab sebenar sebagai seorang rakyat. Secara umumnya, tanggungjawab bermakna sesuatu yang mesti dilakukan. Sebagai contoh, pada tahun 1951, pilihan raya pertama di Tanah Melayu telah dijalankan untuk Majlis Perbandaran Pulau Pinang. Pilihan raya Bandaran ini bertujuan untuk memberi pengalaman politik kepada penduduk di Tanah Melayu sebelum pilihan raya peringkat negeri dan persekutuan diadakan bagi memilih kerajaan sendiri. Dalam pilihan raya tersebut, ramai rakyat telah melakukan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi calon yang bertanding. Perkara ini menyaksikan bahawa rakyat telah memainkan tanggungjawab mereka dalam memastikan negara diketuai oleh pihak yang layak bagi memastikan kemakmuran negara. Selain itu, nilai ini juga jelas ditunjukkan oleh Siti Rahmah yang telah memberikan gelang emas hadiah perkahwinan pemberian ayahnya kepada Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj hanya bagi membantu mendapatkan dana bagi rombongan Tunku ke London untuk rundingan menuntut kemerdekaan. Turut sama tokoh sejarah iaitu Bendehara Tun Perak yang telah diarah oleh Sultan Muzaffar Shah pada ketika itu untuk mempertahankan Melaka daripada serangan Angkatan Tentera Siam yang kuat. Amanah yang dipikul beliau dilaksanakan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi memastikan negeri Melaka terlepas dari serangan mana-mana pihak. Oleh itu, nilai bertanggungjawab sebagai seorang rakyat penting dalam usaha mempertahankan negara. Tanggungjawab yang dibicarakan ini tidak mengenal bangsa dan agama sebaliknya demi memastikan kemakmuran negara. Jadi, wajar bagi semua rakyat mengukuhkan hubungan perpaduan dalam kalangan mereka agar dapat turut sama-sama untuk bersatu dalam mempertahankan negara dengan cara menjalankan tanggungjawab sebagai seorang rakyat dengan ikhlas dan amanah.

2.4Nilai yang berikutnya ialah kesetiaan dan ketaatan kepada raja dan negara. Setia dapat diertikan sebagai teguh hati. Dalam konteks ini, sebagai seorang rakyat yang mengimpikan sebuah negara yang terdiri daripada mereka yang bersatu padu antara satu sama lain, rakyat perlulah memberikan kesetiaan yang penuh kepada raja dan negara. Kepentingan perkara ini jelas apabila tekandung dalam prinsip kedua Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara. Hal ini jelas apabila pejuang-pejuang tanah air pada masa lampau sanggup menentang kuasa asing yang menjajah demi membela negara dan mempertahankan kuasa sultan pada ketika itu. Mengambil contoh daripada peristiwa Dato' Bahaman yang telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Tindakan Dato Bahaman yang enggan mempedulikan larangan British turut disokong penduduk yang tidak mahu bertuankan bangsa asing di tanah air sendiri. Hal ini memperlihatkan Dato' Bahaman sebagai seorang pejuang bangsa yang mempertahankan bangsa dan kuasa sultan dari direndahkan dan dilanggar oleh kuasa asing sewenang-wenangnya. Perkara yang sama ditonjolkan oleh Tok Janggut untuk memperjuangkan nasib orang Melayu di Kelantan. Beliau juga telah menentang penjajah inggeris dan siam demi memastikan keselamatan dan keamanan di kawasan beliau. Perkara ini jelas bahawa sebagai seorang rakyat yang ingin mengekalkan keamanan di negara sendiri perlulah taat dan setia kepada raja dan negara mereka dengan sanggup berkorban dan mempertahankan negara. Hal ini hanya boleh tercapai sekiranya perpaduan dan kerjasama antara kaum dapat diwujudkan untuk sama-sama membangunkan negara dan menghalang kemasukan kuasa-kuasa asing yang tidak diingini.

2.5Nilai yang turut dimuatkan dalam dokumen KSSR ialah memelihara warisan negara. Khazanah negara yang berharga hendaklah dipelihara agar dapat dipertontonkan kepada generasi masa akan datang sebagai bukti kewujudan peristiwa-peristiwa yang diceritakan. Warisan artifak yang paling berharga sebagai contoh adalah Kota A Famosa, Melaka. Kota A' Famosa Melaka merupakan kubu pertahanan rakyat Melaka pada ketika itu. Kota A' Famosa yang pada ketika ini hanya tinggal bahagian pintu gerbangnya sahaja dianggap merupakan satu sejarah yang bermakna tentang penjajahan Portugis di Melaka pada tahun 1511 dan menjadi penanda aras berakhirnya zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka serta gambaran kewujudan peristiwa Perang Tiga Segi yang berlaku. Melalui peristiwa sebegini, masyarakat akan berhati-hati dalam menjaga kemerdekaan negara daripada dicabul oleh bangsa asing. Melalui peninggalan bangunan ini juga, murid-murid mendapat gambaran dan pengajaran untuk menghayati dengan lebih mendalam lagi. Begitu juga dengan warisan peninggalan iaitu Stadium Merdeka yang merupakan bangunan lama yang telah diberi nafas baru bagi mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Stadium Merdeka telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara. Laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abd. Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di stadium ini. Sekiranya bangunan ini tidak dipelihara berkemungkinan besar generasi muda akan melupakan sejarah-sejarah penting negara. Usaha memelihara warisan negara ini dapat mengenang sejarah penting yang berlaku di negara kita. Warisan negara juga dapat memupuk semangat patriotik dalam jiwa generasi pada masa kini. Semangat ini akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Maka dengan itu, lahirlah semangat bersatu padu jika mereka memahami kepentingan untuk bersatu dalam menguasai dan mempertahankan negara.

3.0 Penutup

Pendidikan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan manusia tetapi juga untuk meningkatkan perpaduan antara kaum. Institusi pendidikan di Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai tempat untuk belajar dan menduduki peperiksaan agar berjaya, tetapi juga merupakan tempat yang penting untuk membimbing pelajar untuk hidup bermasyarakat dan bernegara dengan pelbagai budaya dan adat yang ada di negara ini. Bertitik tolak daripada perihal ini, pendidikan Sejarah KSSR dan KSSM memainkan peranan penting dalam memupuk nilai-nilai murni pada peringat sekolah agar lahirnya semangat perpaduan dalam kalangan warganegara Malaysia. Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan juga membawa makna bahawa semua rakyat dalam negara Malaysia digelar bangsa Malaysia tanpa mengira agama, warna kulit mahupun keturunan. Oleh itu, jelaslah bahawa nilai-nilai yang terkandung dalam dokumen yang diperbaharui ini merupakan salah satu usaha terpenting bagi memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.