506
TEMA-TEMA MAZHAB SYIAH MENGENAI IMAMAH DALAM MUQADDIMAH
IBN KHALDUN: SATU PERBAHASAN RINGKAS
Rushda Amirah Binti Ishaki & Wan Mohd Fazrul Azdi Bin Wan Razaliii
i (Corresponding author). Calon Sarjana, Pengajian Akidah dan Agama, Universiti Sains Islam Malaysia.
[email protected] ii Pengarah, Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia. [email protected]
Abstrak
Ibn Khaldun merupakan sejarawan dan ahli sosiologi Islam yang telah mendapat pengiktirafan dunia
Islam dan Barat. Menerusi kitab Muqaddimah, beliau membentangkan sejarah bangsa Arab, Ajam dan
Barbar, termasuk penelitian mengenai beberapa firāq Islam seperti Muktazilah, Al-Ashʿariyyah dan
Syiah. Ibn Khaldun mengkhususkan sebuah subtopik bertajuk Mazhab Syiah mengenai Imamah di
bawah bab atau fasal yang ketiga dalam Muqaddimah untuk menjelaskan mengenai Syiah. Makalah ini
membentangkan beberapa pandangan Ibn Khaldun mengenai Syiah seperti yang terkandung dalam
Muqaddimah. Melalui kaedah kajian kualitatif iaitu kajian kandungan secara semantik ke atas kitab
Muqaddimah Ibn Khaldun (1984) mengenai Syiah, terdapat empat tema utama mengenai Syiah yang
dapat dibincangkan dalam makalah ini. Empat tema utama mengenai Syiah ini adalah seperti berikut:
pertama, definisi Syiah. Kedua, kategori teks (Nusus) dalam Syiah. Ketiga, Imamah. Dan keempat,
pecahan kumpulan dalam Syiah. Makalah ini menghuraikan dan menganalisis keempat-empat tema tadi
dengan pandangan-pandangan daripada para ulama firāq Ahli Sunnah Waljamaah seperti al-Ashāʿirah,
al-Shahrastanī dan Muḥammad Abū Zahrah. Terdapat beberapa kritikan yang telah diberikan oleh Ibn
Khaldun kepada pandangan-pandangan Syiah mengenai isu kepemimpinan yang wajar diambil iktibar
dan teladan kepada para peneliti moden mengenai kajian firāq Islamiyyah.
Kata kunci: Ibn Khaldun, Muqaddimah, firāq, Syiah, Imamah.
PENDAHULUAN
Nama Ibn Khaldun bukanlah satu nama yang asing dalam tradisi keilmuan Islam
mahupun Barat. Nama tokoh ini dan karya penulisannya telah menjadi rujukan serta
kajian oleh ilmuwan pelbagai bidang kepakaran termasuk bidang kajian Ilmu Agama.
Ibn Khaldun (732H-808H) atau nama penuh beliau ialah al-ʿAllāmah Walī al-Dīn Abū
Zayd ʿAbd al-Raḥmān Ibn Muḥammad Ibn Khaldūn al-Tūnisī al-Haḍramī (Enan, 2007,
507
p. 4; Razali, 2018, p. 2; Alatas, 2011, p. 12; Ibn Khaldūn, 1984, p. 5) telah dilahirkan di
Tunisia pada 1 Ramadhan 732H/ 27 Mei 1332M dan meninggal dunia pada 26 Ramadhan
808H/ 16 Mac 1406M (Enan, 2007, pp. 4, 72; Razali, 2018, pp. 3-4; Mahdi, 2014, p. 11).
Beliau disemadikan di Perkuburan Sufi di luar Bāb al-Naṣr di Kaherah, Mesir (Enan,
2007, p. 83; Swiney, 2015, p. 2).
Nama Ibn Khaldun masyhur melalui magnum opusnya iaitu Muqaddimah yang
telah banyak memberikan sumbangan kepada sejarah peradaban bangsa Arab, Ajam dan
Barbar sehinggakan Nathaniel Schmidt menggelarkan beliau sebagai Sejarawan, Ahli
Sosiologi dan Ahli Falsafah (Enan, 2007, p. 129; Schmidt & Smith, 1931, p. 594).
Muqaddimah merupakan jilid pertama atau pengenalan kepada Kitāb al-ʿIbar wa Diwān al-
Mubtadā wa al-Khabar fi Ayyām al-ʿArab wa al-ʿAjam wa al-Barbar wa Man ʿĀṣarahum min
Dhawī al-Sulṭān al-Akbar atau Tarīkh Ibn al-Khaldūn. Ketelitian dan keintelektualan Ibn
Khaldun jelas diperlihatkan melalui kandungan dan garapan beliau mengenai sejarah
bangsa Arab, Ajam dan Barbar yang ditulis dengan begitu sistematik. Hal ini diakui oleh
Arnold Toynbee, seorang orientalis dan pakar sejarah yang menyifatkan Ibn Khaldun
sebagai seorang genius yang cemerlang dalam bidang kajian morfologi sejarah (Toynbee,
1988, p. 490).
Antara kandungan Muqaddimah yang menarik minat penulis adalah pandangan
Ibn Khaldun mengenai firāq Islamiyyah atau kumpulan-kumpulan dalam Islam seperti al-
Asyaʿirah, al-Muktazilah, al-Khawarij dan Syiah. Di dalam bab atau fasal ketiga
Muqaddimah yang bertajuk al-Faṣl al-Thālith min al-Kitāb fi al-Duwal wa al-Muluk wa al-
Khilāfah wa al-Marātib al-Sulṭāniyyah atau Dinasti, Raja, Khalifah, Pangkat dan Pemerintahan,
Ibn Khaldun mengkhususkan satu subtopik membincangkan mengenai Syiah. Subtopik
tersebut merupakan subtopik yang ke-27 bertajuk Faṣl fi Madhāhib al-Syīʿah fi Hukm al-
Imāmah atau Mazhab Syiah Mengenai Imamah. Oleh itu, makalah ini memfokuskan huraian
tema-tema yang dapat dikeluarkan mengenai Syiah khususnya Imamah menurut
pandangan Ibn Khaldun berdasarkan subtopik yang ke-27 tersebut. Huraian tema-tema
tersebut disokong berdasarkan karya penulisan ulama firāq Ahli Sunnah Waljamaah
yang menukilkan Syiah dalam penulisan mereka seperti al-Ashāʿirah, al-Shahrastanī dan
Muḥammad Abū Zahrah.
METODOLOGI
Makalah ini secara asasnya menggunakan kaedah kualitatif iaitu analisis kandungan
secara semantik melibatkan penggunaan sumber pertama dan sumber kedua. Sumber
pertama bagi makalah ini ialah al-Qur’an al-Karīm, al-Hadith al-Sharīf dan karya penulisan
Ibn Khaldun iaitu Muqaddimah. Manakala sumber kedua merupakan buku, jurnal
508
akademik, artikel dan kajian tesis lepas yang berkaitan dengan Syiah. Kedua-dua sumber
ini merupakan sumber yang penting bagi mengumpulkan maklumat dan pemahaman
mengenai isu Syiah khususnya Imamah. Makalah ini juga akan menggunakan kaedah
analisis deskriptif untuk menganalisis fakta yang dikemukakan oleh Ibn Khaldun
melalui kaca mata sarjana Syiah dan Ahli Sunnah Waljamaah. Oleh itu, kaedah ini
digunakan bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman yang lebih mendalam
mengenai mazhab Syiah.
DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN
Perbincangan mengenai firāq dalam Islam bukanlah satu perbincangan baru mahupun
lapuk kerana pengetahuan yang jelas mengenai firāq Islamiyyah mampu memberikan
gambaran yang jelas mengenai akidah yang benar menurut Islam, sekaligus memelihara
akidah seorang muslim daripada jauh terpesong. Justeru, perbincangan mengenai firāq
Islamiyyah dibincangkan secara terperinci oleh ulama Ahli Sunnah Waljamaah
khususnya dalam bidang akidah dan Ibn Khaldun tidak terkecuali dalam
membincangkan perkara ini dalam Muqaddimah beliau.
Namun demikian, makalah ini hanya menumpukan perbincangan ke atas mazhab
Syiah dan konsep Imamah daripada sudut pandang Ibn Khaldun. Seperti yang disebut
pada bahagian pengenalan, Ibn Khaldun mengkhususkan satu subtopik
membincangkan mengenai Syiah. Subtopik tersebut merupakan subtopik yang ke-27
bertajuk Faṣl fi Madhāhib al-Syīʿah fi Hukm al-Imāmah atau Mazhab Syiah Mengenai Imamah.
Berdasarkan analisis terhadap subtopik tersebut, terdapat empat tema yang dapat
dikeluarkan iaitu pertama, definisi Syiah. Kedua, kategori teks (Nusus) dalam Syiah.
Ketiga, Imamah. Dan keempat, pecahan kumpulan dalam Syiah.
Tema Pertama: Definisi Syiah
Ibn Khaldun mendefinisikan Syiah kepada dua kategori iaitu etimologi dan terminologi.
Menurut bahasa, Syiah bererti sahabat dan pengikut. Manakala menurut istilah fuqaha
dan mutakallimin samada klasik (salaf) dan kontemporari (khalaf), Syiah adalah
pengikut Ali bin Abi Talib dan putera-puteranya (Ibn Khaldūn, 1984, p. 250; Ibn Khaldun,
2002, p. 209). Definisi Syiah daripada sudut bahasa atau etimologi umumnya tiada
percanggahan dan disepakati oleh Sunni dan Syiah dengan menyebut erti Syiah sebagai
kumpulan, partisan, pengikut, penyokong, penolong dan pencinta (Ṭabāṭabā'ī, 2010, p.
xlii; Nanji & Daftary, 2007, p. 1; Almaany.com, 2020; Teh, as-Saadi, & al-Athrasy, 2012,
pp. 4-5; Izzah, 2008, pp. 11).
509
Daripada segi terminologi pula, pendapat Ibn Khaldun juga dipersetujui oleh
ulama Sunni dan Syiah. Antaranya al-Shahrastānī menyebut Syiah sebagai golongan
yang memberi penghormatan kepada Ali secara khusus, dan mereka mengatakan
pelantikan Ali sebagai imam berdasarkan dalil nas dan wasiat Rasulullah samada secara
eksplisit (jaliy) atau implisit (khafiy). Dan mereka percaya bahawa imamah tidak
berpindah kepimpinan kepada selain daripada keturunan Ali kerana sekiranya berlaku
demikian, ia merupakan satu kezaliman daripada pihak yang menerima kepimpianna
itu atau sebagai taqiyyah daripada keturunan Ali (al-Shahrastānī, 1992, p. 144; Teh, as-
Saadi, & al-Athrasy, 2012, p. 6). Pernyataan ini disokong oleh Ṭabāṭabā'ī dan artikel
daripada The Institute of Ismaili Studies (Ṭabāṭabā'ī, 2010, p. xlii; Nanji & Daftary, 2007, p.
1) sekaligus menjadikan tiada percanggahan daripada segi etimologi mahupun
terminologi dalam mendefinisikan Syiah.
Tema Kedua: Kategori Teks (Nusus) dalam Syiah
Bagi tema kedua ini, kategori teks yang dimaksudkan adalah dalil-dalil yang
dikemukakan oleh Syiah dalam pelantikan Ali sebagai imam atau khalifah selepas
kewafatan Rasulullah serta pewaris selepasnya. Ibn Khaldun menjelaskan bahawa Syiah
membawa bukti teks-teks hadis dan al-quran yang telah dikutip dan ditakwil oleh
mereka sesuai dengan keinginan mereka. Teks-teks tersebut tidak dikenali oleh ulama
Ahli Sunnah Waljamaah bahkan tidak terdapat dalam kitab-kitab hadis yang sebahagian
besarnya berstatus palsu dan terdapat cela dalam sanadnya (Ibn Khaldūn, 1984; Ibn
Khaldun, 2002; Kadir, 2014, p. 3).
Menurut Ibn Khaldun lagi, Syiah membahagikan teks tersebut kepada dua
kategori iaitu eksplisit atau tersurat (jaliy) dan implisit atau tersirat (khafiy) (Ibn Khaldūn,
1984, p. 250; Ibn Khaldun, 2002, p. 209; Kadir, 2014, p. 3). Antara contoh teks eksplisit
menurut Syiah yang diambil berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
من كنت مولاه ف علي مولاه. “Barangsiapa menganggap aku sebagai Mawla-nya, maka Ali adalah Mawla-nya”.
Menurut Syiah, penguasaan hanya diserahkan kepada Ali. Oleh yang demikian, Umar
berkata kepada Ali, “Kamu telah menjadi ketua bagi setiap mukmim lelaki dan perempuan”.
Dan contoh yang lainnya, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Ali bertugas
memutuskan hukum kepada kalian”.
Berdasarkan dua dalil eksplisit ini, Imamah bermaksud melaksanakan hukum-
hukum Allah yang merujuk kepada ūlī al-amr yang wajib ditaati segala perintahnya (Ibn
510
Khaldūn, 1984, p. 250; Ibn Khaldun, 2002, pp. 209-210) berdasarkan firman Allah SWT
(Al-Qur’an. Al-Nisā’. 4:59):
زعتم : وأط�يعوا ٱلراسول وأول�ي ٱ�مر� م�نكم� فإ�ن تن أي�ها ٱلاذ�ين ءامنوا أط�يعوا ٱللا ف�ي شيء فرد�وه إ�لى ٱللا� ير�� ذل�ك خير وأحسن تأو�ي� وٱلراسول� إ� 9ن كنتم تؤم�نون ب�ٱللا� وٱليوم� ٱ�خ�
Maksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah
kamu kepada Rasulullah dan kepada " ūlī al-amr" (orang-orang yang berkuasa) dari
kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu
perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (kitab) Allah (al-quran)
dan (sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.
Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.
Manakala teks implisit yang menunjukkan pelantikan Ali sebagai imam atau
khalifah pula apabila Ali diutuskan semula oleh Rasulullah SAW untuk membacakan
surah Baraah selepas Abu Bakar membaca surah tersebut. Hal ini kerana baginda
menerima wahyu memerintahkan supaya Rasulullah mengutuskan seorang lelaki dalam
kalangan keluarga atau suku baginda. Ekoran daripada ini mereka mendakwa Ali lebih
layak menjadi imam berbanding Abu Bakar dan belum pernah terjadi Rasulullah
mendahulukan orang lain berbanding Ali. Namun, terdapat juga teks lain yang tidak
masyhur dan sukar difahami (Ibn Khaldūn, 1984, pp. 250-251; Ibn Khaldun, 2002, p. 210).
Tema Ketiga: Imamah
Secara keseluruhan daripada subtopik yang ke-27, dapat dikeluarkan tiga isu penting
mengenai Imamah. Pertama, Ali dilantik oleh Rasulullah menjadi imam selepas
kewafatan baginda. Kedua, Syiah berbeza pandangan mengenai status Ali sebagai imam.
Dan ketiga, Syiah berbeza pandangan mengenai pewaris imam selepas Ali. Secara
umumnya, Syiah bersepakat bahawa imamah bukan termasuk kepentingan umum yang
pemilihannya ditentukan oleh pandangan umum dan pelaksanaanya dipilih atas
kehendak mereka.
Hal ini kerana, Imamah merupakan rukun dan ajaran dalam Islam, dan seorang
nabi tidak boleh mengambil mudah dan menyerahkannya kepada ummah sebaliknya
wajib ke atas nabi menentukan seorang imam yang akan menjadi pemimpin mereka.
Syiah menggariskan bahawa seorang imam mestilah maksum atau terbebas daripada
dosa besar dan kecil. Dan mereka menyatakan Ali telah dipilih oleh Rasulullah sebagai
imam berdasarkan dua jenis dalil yang telah dibincangkan pada tema kedua.
Namun demikian, terdapat sebahagian daripada golongan Syiah yang ekstrim
dalam mengagungkan Ali sehingga menolak Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah,
511
menganggap Ali sebagai nabi bahkan setaraf dengan tuhan. Dan ada yang menyebut
imam mereka sebagai manusia yang memiliki sifat tuhan atau tuhan dalam bentuk
jelmaan manusia. Pendapat mereka ini menyerupai kepercayaan Kristian terhadap nabi
Isa (Ibn Khaldūn, 1984, p. 251). Ini merupakan isu pertama dan kedua yang dapat dilihat
mengenai imamah. Hal ini juga disokong oleh Jād al-Haq Ali Jād al-Haq dan Hasanain
Muhammad Makhlūf yang menyebut antara perkara usul al-Imāmiyyah adalah
mengkafirkan sahabat dan mencaci mereka khususnya Abu Bakar dan Umar. Hal ini juga
turut disebut oleh Muhibbuddin al-Khatib sebagai perasaan benci dan dendam yang
tidak berkesudahan (Ahmad, 2017, pp. 26, 31; al-Khatib, 1980, p. 19).
Al-Ashʿariyyah berpendapat bahawa Imamah adalah wajib berdasarkan syarak
dan menegaskan ke atas perkara ini, al-Baghdādī mengatakan bahawa adalah wajib
menentukan imam pada setiap keadaan yang tidak memiliki imam yang jelas, dan
sekiranya dilihat jelas maka wajib mentaatinya. Manakala, al-Jūwainī mengatakan
Imamah bukanlah ketetapan dalam akidah tetapi merupakan sepenuhnya amanat umum
(Marjūnī, 2014, p. 388). Selain itu, penggunaan kata imam hanya digunakan oleh Syiah
dan tidak dijumpai penggunaan istilah tersebut oleh Ahli Sunnah Waljamaah kerana
istilah imam adalah lebih umum berbanding khalifah dan syiah berpendapat sebaliknya
(al-Taftazani, 2017, pp. 258-259).
Merujuk kepada isu khalifah diwasiatkan secara naṣ kepada Ali merupakan sebuah penyelewengan Syiah daripada sudut akidah kerana tidak terdapat naṣ al-quran mahupun hadis sahih yang jelas mengenai kekhalifahan Ali selepas kewafatan Rasulullah. Seterusnya kepercayaan mereka terhadap kemaksuman imam mereka yakni sunyi daripada dosa besar dan kecil serta tidak lupa juga menyimpang jauh daripada pegangan akidah yang benar (Mas'od, 2015, pp. 136-137). Menjawab kepada pelantikan imam adalah wajib daripada kalangan Syiah, al-Taftazani menggariskan beberapa syarat yang mesti ada pada seorang imam seperti berikut (al-Taftazani, 2017, pp. 259-264):
1. Imam mestilah nyata zahir di sisi orang ramai. 2. Imam mestilah tidak tersembunyi. 3. Iman mestilah tidak ditunggu-tunggu. 4. Imam mestilah daripada Quraish dan tidak boleh selain daripadanya, dan tidak
dikhususkan untuk berasal daripada Bani Hasyim dan keturunan Ali. 5. Tidak disyaratkan kepada imam untuk menjadi maksum. 6. Tidak disyaratkan untuk menjadi orang yang terbaik pada zamannya. 7. Imam disyaratkan untuk menjadi sebahagian daripada golongan yang memiliki
kewibawaan yang mutlak dan sempurna (ahli wilayah). 8. Imam ialah seorang yang mahir mentadbir dan berkemampuan melaksanakan
hukum-hakam, menjaga sempadan wilayah Islam dan menyelamatkan orang yang dizalimi daripada orang yang zalim.
9. Imam tidak dilucutkan dengan sebab kefasikan dan kezaliman.
512
Isu yang ketiga pula, menunjukkan perbezaan pendapat mereka mengenai
pelantikan imam selepas Ali dan disinilah dapat dilihat perpecahan kumpulan Syiah
mula berlaku. Perpecahan ini berlaku khususnya semasa pemilihan imam baru selepas
kematian tiga imam mereka iaitu Hussein (imam ketiga), Ali Zainal Abidin (imam
keempat) dan Jaafar Sadiq (imam keenam). Jadual dibawah menjelaskan secara ringkas
kumpulan-kumpulan yang terbentuk berdasarkan perbezaan mereka mengenai
pengganti tiga imam yang telah disebutkan:
Peristiwa Kumpulan Keterangan
Penggantian imam yang ketiga
iaitu Hussein
Al-Kaisāniyyah Berpendapat bahawa yang lebih
berhak untuk gantikan Hussein
ialah anak Ali (bukan daripada
Fatimah) iaitu Muhammad Abu
Hanafiah
Golongan lain Berpendapat bahawa pengganti
Hussein ialah Ali Zainal Abidin
Penggantian imam yang keempat
iaitu Ali Zainal Abidin
Al-Zaidiyyah Berpendapat bahawa harus
menggantikan dengan Zaid bin
Ali
Al-Imāmiyyah Berpendapat bahawa pengganti
Ali Zainal Abidin ialah Jaafar
Muhammad al-Baqir
Penggantian imam yang kelima
iaitu Jaafar Sadiq
Al-Ismāʿīliyyah Berpendapat bahawa Ismail bin
Jaafar sebagai imam yang
ketujuh
Al-Ithnā
ʿAshariyyah
Berpendapat bahawa Musa al-
Kazim sebagai imam yang
ketujuh
Jadual 1: Peristiwa perpecahan kumpulan Syiah (Ibn Khaldūn, 1984, pp. 251-255; Rasjidi, 2005, pp. 54-61).
Tema Keempat: Pecahan Kumpulan dalam Syiah
Pecahan kumpulan dalam Syiah ini (rajah 1) disusun berdasarkan turutan pendapat
Syiah mengenai Imamah seperti yang terkandung dalam Muqaddimah. Perpecahan
513
kumpulan dalam Syiah berlaku disebabkan mereka berbeza pandangan daripada segi
prinsip dan ajaran dan perbezaan dalam menentukan imam disebabkan oleh keturunan
Ali serta puteranya yang ramai sehinggakan mereka berselisih pendapat dalam
menentukan siapa yang layak menjadi imam. Namun demikian, pecahan kumpulan
dalam Syiah boleh dibahagikan kepada empat kumpulan besar (Rasjidi, 2005, p. 8; Teh
& Nasih, 2014, pp. 28-29). Pertama, al-Ghulāh. Kedua, al-Kaisāniyyah. Ketiga, al-Zaidiyyah.
Dan keempat, al-Imāmiyyah (Teh, as-Saadi, & al-Athrasy, 2012, pp. 29-34). Manakala
Muḥammad Abū Zahrah membahagikan Syiah kepada tiga kumpulan iaitu ekstrim (al-ghulāt), sederhana dan liberal (Zahrah M. A., 1996, p. 39; Zahrah M. A., 1963, p. 35).
Rajah 1: Pecahan Kumpulan dalam Syiah (Ibn Khaldūn, 1984, pp. 251-255).
Pada akhir subtopik yang ke-27 dalam bab ketiga Muqaddimah, Ibn Khaldun
mencadangkan kepada para pembaca yang mahu mendapatkan pengetahuan dan
pemahaman yang lebih mendalam mengenai Syiah supaya merujuk kitab al-Milal wa al-
Nihal karangan Ibn Hazm dan al-Shahrastānī serta penulisan-penulisan yang lain. Ibn
Khaldun menegaskan bahawa beliau hanya mengambil pendapat yang popular
mengenai Syiah. Akhir sekali, belau menukilkan kata-kata berikut sebagai penutup
kepada subtopik yang ke-27 tersebut:
“Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk
kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya”.
Pecahan Kumpulan dalam Syiah
Al-Wāqifiyyah
Al-Kaisāniyyah Al-Hāshimiyyah
Al-Zaidiyyah
Al-Imāmiyyah
Al-Ithnā ʿAshariyyah
Al-Ismāʿīliyyah / Al-Bāṭiniyyah / Al-Mulhidah
514
KESIMPULAN
Makalah ini menghuraikan perbahasan tema-tema mazhab Syiah mengenai Imamah
secara ringkas berdasarkan subtopik ke-27 dalam Muqaddimah Ibn Khaldun. Namun
demikian, makalah ini tidak membincangkan secara terperinci mengenai isu-isu yang
diketengahkan sebaliknya hanya menyentuh pendapat-pendapat yang masyhur
mengenai imamah berdasarkan isu-isu yang dapat dikeluarkan melalui tema yang
dibentuk.
Secara ringkasnya, penulisan makalah ini bermula dengan pengenalan yang
menceritakan sedikit latar belakang Ibn Khaldun, perihal Muqaddimah dan skop kajian
makalah ini. Kemudian, makalah ini mengemukakan kaedah kajian yang digunakan
seterusnya memasuki intisari utama makalah ini iaitu hasil kajian dan perbincangan.
Berdasarkan penelitian penulis ke atas subtopik yang ke-27, terdapat empat tema utama
yang dapat dikeluarkan.
Empat tema tersebut adalah pertama, definisi Syiah merangkumi dua bahagian
iaitu etimologi dan terminologi. Kedua, kategori teks (Nusus) dalam Syiah yang juga
mengandungi dua bahagian itu eksplisit (jaliy) dan implisit (khafiy). Ketiga, Imamah yang
merupakan topik utama perbahasan Ibn Khaldun mengenai Syiah. Tema ketiga ini
mengandungi tiga isu penting mengenai imamah iaitu Ali dilantik oleh Rasulullah
menjadi imam, Syiah berbeza pandangan mengenai status Ali sebagai imam dan Syiah
berbeza pandangan mengenai pewaris imam selepas Ali. Dan tema yang keempat,
pecahan kumpulan dalam Syiah.
Kajian yang lebih mendalam masih diperlukan bagi mengupas secara terperinci
mengenai mazhab Syiah khususnya pandangan mereka terhadap Imamah seperti apa
yang dinukilkan oleh Ibn Khaldun. Kemudian membandingkan dan mencari persamaan
pandangan Syiah terhadap isu Imamah dengan pandangan ulama Ahli Sunnah
Waljamaah yang muktabar serta mengambil sumber daripada kitab-kitab klasik yang
terkenal seperti Tarīkh al-Ṭabarī dan karya penulisan tokoh yang sezaman dengan Ibn Khaldun.
RUJUKAN
Buku
Al-Qur’an.
Ahmad, S. (2017). Fatwa Ulama al-Azhar terhadap Syiah 12. Sungai Buloh: Santai Ilmu
Publication.
515
al-Khatib, M. (1980). Asas-asas Mazhab Syiah Imam Dua Belas (Imamiah). (S. Abdullah,
Trans.) Kuala Lumpur: Utusan Printcorp.
al-Shahrastānī, A. a.-F.-K. (1992). Al-Milal wa al-Niḥal. Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
al-Taftazani, S. (2017). Huraian al-Aqaid al-Nasafiyyah. (M. H. Marjunit, A. Yusof, & F.
Affandi, Trans.) Rawang: Awal Nahdah Resources.
Enan, M. A. (2007). Ibn Khaldūn: His Life and Works (Revised ed.). Petaling Jaya: The Other
Press.
Izzah, K. (2008). Meniti Titian Kebenaran. Al-Muntazar Resources.
Ibn Khaldūn. (1984). Al-Muqaddimah. Tunis: Dār al-Qalam.
Ibnu Khaldun. (2002). Mukadimah Ibn Khaldun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mahdi, M. (2014). Falsafah Sejarah Ibnu Khaldun: Kajian tentang Dasar Falsafah Ilmu Budaya.
(A. A. Rahman, Trans.) Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku Malaysia
Berhad.
Marjūnī, K. a.-D.-D. (2014). Al-ʿAqīdah al-Islāmiyyah wa al-Qaḍāyā al-Khilāfiyyah ʿinda
ʿUlamā' al-Kalām: Dirāsah Muqāranah (1st ed.). Beirut: Dār al-Kutub al-ʿIlmiyyah.
Mas'od, M. A. (2015). Diskusi Isu Aqidah dan Pemikiran Semasa di Malaysia. Putrajaya:
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Rasjidi, H. M. (2005). Apa itu Syiah? Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.
Ṭabāṭabā'ī, S. M. (2010). Shiʿite Islam. (S. H. Nasr, Trans.) Kuala Lumpur: Islamic Book
Trust.
Teh, W. Z., & Nasih, M. S. (2014). Mengenal Hakikat Syiah. Putrajaya: Pejabat Mufti
Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri.
Teh, W. Z., as-Saadi, A. R., & al-Athrasy, R. J. (2012). Hakikat Syiah. Putrajaya: Pejabat
Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri.
Toynbee, A. (1988). A Study of History. London: Thame and Hudson.
Zahrah, M. A. (1963). Tārīkḥ al-Madhāhib al-Islāmiyyah fī al-Siyāsah wa al-ʿAqāi’d wa Tāríkh
al-Madhāhib al-Fiqhiyyah. Kaherah: Dār al-Fikr al-ʿArabiyy.
Zahrah, M. A. (1996). Aliran Politik dan 'Aqidah dalam Islam. (A. R. Dahlan, & A. Qarib,
Trans.) Batu Caves: Penerbit Edaran Kalam.
516
Jurnal
Alatas, S. F. (2011). Ibn Khaldūn. In G. Ritzer, & J. Stepnisky (Eds.), The Wiley-Blackwell
Companion to Major Social Theorists (1st ed., Vol. I, pp. 12-29). Oxford: Blackwell
Publishing. doi:10.1002/9781444396621
Razali, W. M. (2018). Al-Ashʿariyyah Menurut Ibn Khaldun: Sejarawan dan Ahli
Sosiologi Islam. Prosiding Seminar Kebangsaan Asyairah Ahli Sunnah Waljamaah 2.0
(pp. 1-19). Bangi: Pusat Akidah dan Keamanan Global.
Schmidt, N., & Smith, P. (1931). Ibn Khaldun: Historian, Sociologist and Philosopher. The
Philosophical Review, 40(6), 594-595. doi:10.2307/2180052
Swiney, C. (2015). Ibn Khaldun (1332-1406). In M. T. Gibbons (Ed.), The Encyclopedia of
Political Thought (1st ed., pp. 1-5). West Sussex: John Wiley & Sons.
doi:10.1002/9781118474396.wbept0562
Internet
Almaany.com. (2020, September 24). Taʿrīf wa Maʿnā Shīʿah fī Muʿjam al-Maʿānī al-Jāmiʿ - Muʿjam ʿArabiyy ʿArabiyy. Retrieved from Almaany.com:
https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%B4%D9%8A%D8%B9%D8%A9/
Kadir, I. (2014). Kesesatan Syiah Menurut Ibn Khaldun. Retrieved from Academia.edu:
https://www.academia.edu/37658840/Kesesatan_Syiah_Menurut_Ibn_Khaldun
Nanji, A., & Daftary, F. (2007). What is Shi‘a Islam? Retrieved from The Institute of Ismaili
Studies: https://www.iis.ac.uk/academic-articles/what-shi-islam
517
LAMPIRAN
HU
RA
IAN
TE
MA
-TE
MA
ME
NG
EN
AI
MA
ZH
AB
SY
IAH
ME
NU
RU
T I
BN
KH
AL
DU
N D
AL
AM
M
UQ
AD
DIM
AH
DEFINISI SYIAH
ETIMOLOGI
TERMINOLOGI
KATEGORI TEKS (NUSUS) DALAM SYIAH
EKSPLISIT (JALIY)
IMPLISIT (KHAFIY)
IMAMAH
ALI DILANTIK OLEH RASULULLAH MENJADI IMAM
SYIAH BERBEZA PANDANGAN MENGENAI STATUS ALI SEBAGAI IMAM
SYIAH BERBEZA PANDANGAN MENGENAI PEWARIS IMAM SELEPAS
ALI
PECAHAN KUMPULAN DALAM SYIAH
AL-ZAIDIYYAH
AL-KAISĀNIYYAH AL-HĀSHIMIYYAH
AL-WĀQIFIYYAH
AL-IMĀMIYYAH
AL-ITHNĀ ʿASHARIYYAH
AL-ISMĀʿĪLIYYAH / AL-BĀṬINIYYAH / AL-
MULHIDAH