Teater Natrah – Pementasan Amal Yayasan AIDS Malaysia
Sejarah telah terpahat pada penghujung lembaran 2010 yang lalu apabila buat julung kalinya, Yayasan AIDS Malaysia telah menjalin
kerjasama dengan Istana Budaya untuk menganjurkan pementasan amal Teater Natrah yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana
Budaya bermula dari 25 November hingga 5 Disember 2010.
Teater Natrah merupakan hasil nukilan pengarah filem dan teater tersohor negara, Pn Eirma Fatima yang membariskan pelakon
ternama antaranya adalah Maya Karin, Remy Ishak, Susan Lancaster, Datin Paduka Umie Aida, Datin Sofia Jane, Liana Jasmay,
Nabila Huda, Aaron Aziz, Fizz Fairuz dan ramai lagi. Pementasan kali ini merupakan kesinambungan daripada pementasan pertama
teater Natrah yang telah dipentaskan pada tahun 2009. Teater ini dipentaskan sekali lagi pada tahun 2010 bagi memenuhi permintaan
yang tinggi peminat teater tanah air.
Teater Natrah memaparkan rentetan kehidupan Nadra Maarof, atau nama Belandanya, Maria
Bertha Heartogh. Anak gadis ini menjadi mangsa perebutan hak penjagaan antara Che
Aminah, ibu angkat Natrah yang telah membesarkannya mengikut ajaran Islam serta Nor
Louisenya dan Sarjan Adrianus Petrus Hertogh, ibu bapa kandung Natrah yang berketurunan
Belanda dan menganut ajaran Katolik. Konflik hidup Natrah dirumitkan lagi dengan episod
percintaan antara Natrah dan Mansor Adabi. Polemik Natrah telah mencetuskan ketegangan
di antara umat Islam dengan pentadbir kolonial sehingga terjadi rusuhan besar yang
mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda di Singapura.
Yayasan AIDS Malaysia turut menganjurkan Malam Amal Di Raja Teater Natrah pada 26 hb
November 2010. DYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah telah berkenan untuk mencemar duli bagi
menghadiri pementasan teater berkenaan. Kehadiran DYMM telah disambut oleh barisan Pemegang Amanah Yayasan AIDS Malaysia yang
diterajui oleh Professor Dr Adeeba Kamarulzaman selaku Pengerusi Yayasan dan juga oleh Datuk Mohd Zaman Khan sebagai Presiden
Majlis AIDS Malaysia.