Download - STRATEGIK MEMPERKASAKAN - TSIS
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 1
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
STRATEGIK MEMPERKASAKAN
INDUSTRI BULUH TEMPATAN
NOR SUZANA BINTI YUSOF
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 2
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pendahuluan
Buluh merupakan salah satu sumber Hasil Hutan Bukan Kayu (HHBK) yang penting di Malaysia dan
berpotensi besar untuk dikomersialkan. China yang menguasai sumber hutan bukan kayu menjadikan
buluh antara salah satu eksport penting yang mampu menyumbang ekonomi negara mereka. Perkara
ini juga tidak terkecuali di Malaysia apabila banyak kajian dilakukan sebelum ini menyatakan bahawa
sumber hasil hutan bukan kayu seperti buluh adalah antara penyumbang ekonomi negara.
Namun begitu, potensi buluh di Malaysia masih belum diteroka secara meluas dan berada di takuk
lama. Antara faktor yang menjadi halangan industri buluh tidak dibangunkan secara meluas sebelum
ini kerana Malaysia berdepan dengan cabaran kekurangan bahan mentah selain tidak mempunyai
ladang buluh yang besar seperti sawit dan getah untuk dibangunkan dan dieksport. Dalam pada itu,
industri buluh hanya digunakan secara tradisional sejak turun-temurun tanpa ke arah evolusi yang
hebat. Bukan itu sahaja, Malaysia juga tidak memiliki teknologi yang canggih untuk membangunkan
industri buluh. Tambahan pula, industri buluh dilihat kurang mendapat sambutan dalam kalangan
pengusaha industri perkayuan selain kekurangan kesedaran dan pengetahuan yang luas berhubung
dengan potensi buluh yang mampu untuk dikomersialkan (Ahmad, 2016).
Di Malaysia, jumlah eksport industri buluh mengalami kadar penurunan tiga tahun berturut-turut dari
tahun 2018 hingga 2020 apabila mencatatkan RM9.97 juta, RM 9.16 juta dan RM 8.28 juta. Bahkan,
industri buluh di Malaysia masih dianggap terkebelakang dan tidak dibangunkan secara serius apabila
nilai pasaran dunia industri buluh ialah AS$68 bilion (RM295 bilion) pada 2018 (MTIB, 2021).
Sehubungan itu, Malaysia masih belum terlambat lagi untuk membangunkan industri buluh secara
meluas dan bersaing dalam pasaran antarabangsa sekiranya mempunyai pelan tindakan yang
berstrategik dalam mengatasi cabaran dan isu yang menjadi halangan untuk tumbuhan ini
dikomersialkan. Kerajaan melalui agensi yang terlibat terutama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia
(MTIB) juga telah berusaha untuk membangunkan industri buluh dengan beberapa langkah dan ia
termasuklah menambahbaikan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2030 yang bakal
dilancarkan pada Jun 2021. Sehubungan itu, penulisan ini mengetengahkan antara tiga pelan strategik
utama yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam pembangunan industri buluh selain beberapa saranan
yang perlu diberikan penekanan. Dalam pada itu, penulisan ini juga sedikit sebanyak berhubung
dengan pengenalan terhadap pokok buluh di Malaysia dan cabaran dalam industri ini.
Rajah 1: Eksport Buluh di Malaysia (Sumber: MTIB)
9.979.16
8.28
2018 2019 2020
Nilai Eksport (RM juta)
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 3
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pengenalan Pokok Buluh
1. Latar Belakang
Buluh merupakan tumbuhan yang tidak berkayu dan mempunyai struktur yang berongga di bahagian
tengah. Tumbuhan ini dikelaskan sama dengan keluarga rumput iaitu Gramineae dan terbentuk dalam
kumpulan Bambuseae daripada subfamili Bambusoideae (Norhazaedawati Baharuddin et al., 2011).
Pokok buluh tumbuh semula jadi di Afrika, Asia, Amerika Selatan, Amerika Utara dan Australia.
Tumbuhan ini mampu membiak dengan baik di kawasan yang beriklim lembap dan panas dengan
mendapat sumber matahari dan bekalan air yang mencukupi. Ia juga dikatakan mempunyai jangka
hayat yang lama sehingga mampu hidup lebih daripada 100 tahun dengan bergantung kepada spesies.
Kebanyakan jenis pertumbuhan buluh di Malaysia ialah simpodial iaitu berumpun dan tumbuh di iklim
tropika atau iklim yang tidak kering.
Merujuk kepada data Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), dianggarkan taburan buluh
di Malaysia ialah 58 juta rumpun buluh dengan keluasan seluas 32.9 juta hektar. Selain itu, daripada
jumlah keluasan tersebut, 18.21 juta hektar adalah kawasan yang meliputi hutan. Selain itu, 24 peratus
buluh pula didapati di Sabah, 31 peratus di Semenanjung Malaysia dan 45 peratus di Sarawak.
Terdapat kira-kira 70 spesies dan 10 genera buluh di Malaysia dan 45 daripadanya adalah spesies
tempatan yang membiak di kawasan hutan secara semula jadi iaitu di kawasan hutan asli dan bekas
kawasan pembalakan (Ahmad, 2016).
2. Dasar dan Perundangan
Dalam Seksyen 2 Akta Perhutanan Negara (Akta 313) mendefinisikan buluh sebagai hasil hutan
sekiranya dikeluarkan daripada Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan Tanah Kerajaan. Selain itu, buluh
yang sedia ada untuk dikeluarkan dari HSK di Semenanjung Malaysia perlu melalui pelesenan secara
lesen kecil. Perkara ini selari dalam Seksyen 28 bagi Akta 313 yang menyatakan Pihak Berkuasa
Negeri boleh membenarkan pengambilan dengan lesen kecil apa-apa hasil utama hutan yang tidak
melebihi tujuh meter padu atau mana-mana hasil kecil hutan dari mana-mana hutan simpanan kekal
atau tanah Kerajaan.
Sementara itu, dalam Akta Industri Berasas Kayu (Kekuasaan Badan Perundangan Negeri) 1984
mendefinisikan kilang buluh sebagai suatu jentera atau sekumpulan jentera yang berupaya mengawet,
memproses dan menukar buluh, mengikut mana-mana yang berkenaan kepada keluaran pelbagai
bentuk dan reka bentuk.
24%
31%
45%
Peratus Taburan Buluh Di Malaysia
Sabah Semenanjung Malaysia Sarawak
Rajah 2: Peratus Taburan Buluh di Malaysia (Sumber: JPSM)
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 4
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
3. Kebaikan Pokok Buluh
Banyak kelebihan penanaman pokok buluh antaranya tumbuhan yang cepat membiak tanpa
memerlukan penjagaan yang rapi serta mempunyai tempoh matang yang singkat antara tiga hingga
lima tahun. Menurut Norhazaedawati Baharuddin et al. (2011), buluh juga mudah membiak di kawasan
hutan seperti bekas pembalakan, tebing sungai dan kawasan kaki gunung. Di samping itu, pokok buluh
juga memainkan peranan yang penting terhadap alam sekitar. Buluh boleh dijadikan sebagai agen
pengurangan pencemaran udara apabila ia mampu menyerap 35 peratus lebih banyak karbon dioksida
dan mengeluarkan lebih banyak gas oksigen di persekitaran (Atanda, 2015). Akar buluh juga
memainkan peranan secara semula jadi dalam mengawal hakisan daripada berlaku.
4. Spesies Buluh
Antara spesies buluh yang tinggi nilai komersialnya di Malaysia:
Nama Tempatan Nama Saintifik Kegunaan
Buluh Semantan Gigantochloa Scortechinii Rebung dan batang
Buluh Duri Bambusa blumeana Rebung dan batang
Buluh Lemang Schizostachyum brachycladum Rebung dan batang
Buluh Betong Dendrocalamus asper Rebung dan batang
Buluh Galah Bambusa heterospachya Bambusa Batang
5. Kegunaan buluh
Buluh merupakan sumber alternatif bagi menggantikan kayu selain mempunyai nilai pasaran.
Kegunaan buluh bukan sahaja secara tradisi untuk lemang dan rebungnya sahaja tetapi juga buluh
dihasilkan sebagai produk lain seperti kraftangan, bubu, sumpitan, perabot, bidai, pencungkil gigi, lidi
sate, anyaman dan banyak lagi. Selain itu, rumpun buluh juga boleh dijadikan sebagai landskap di
kediaman persendirian mahupun taman-taman rekreasi awam (JPSM,2019).
Jadual 1: Antara Spesies Buluh Komersial di Malaysia (Sumber: JPSM)
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 5
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh 2021-2030
Rangka Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia (PTIBM) 2021-2030 mempunyai lima
teras strategik yang utama dalam memastikan industri buluh dapat dikomersialkan bukan sahaja di
pasaran domestik malah antarabangsa juga secara kukuh dan sistematik. Strategi ini telah dirangka
oleh MTIB dalam industri buluh yang akan dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2030. Dalam pelan
tersebut MTIB telah menfokuskan enam sasaran iaitu dari segi penggunaan, produk, teknologi,
penglibatan perniagaan, penanaman buluh serta peningkatan eksport dan penggunaan domestik yang
perlu ditingkatkan.
Begitu juga dalam teras strategik PTIBM, MTIB juga telah menggariskan lima teras. Teras strategik
pertama iaitu pengukuhan dasar dan perluasan sumber telah mengambil kira penyelarasan polisi,
piawaian, garis panduan mahupun penguatkuasaan dalam industri buluh sama ada di peringkat
kerajaan Persekutuan dan Negeri. Selain itu, penyediaan kepelbagaian dana atau insentif juga
ditekankan bagi menggalakkan lebih ramai pihak menceburi industri ini pada masa akan datang. Teras
strategik kedua adalah meningkatkan modal insan, kepakaran dan kapasiti pekerja tempatan terutama
golongan belia. Oleh itu, pelbagai program mahupun aktiviti dilaksanakan dalam mengukuhkan lagi
kemahiran dan kompetensi pekerja selain memberi pendedahan awal berkaitan potensi industri buluh
kepada golongan sasar.
Teras strategik ketiga pula berkaitan dengan pengukuhan inovasi, teknologi serta penyelidikan dan
pembangunan dan pengkomersialan (R & D & C) dalam memastikan produk nilai tambah industri buluh
ditingkatkan selaras dengan pasaran antarabangsa. Antara perkara yang dilaksanakan seperti
mengadakan pusat pemprosesan dan penghasilan buluh yang sesuai dengan penyediaan teknologi
yang moden untuk memastikan kajian dan penyelidikan dapat dilaksanakan dengan baik. Pada masa
yang sama, dalam teras ini juga menekankan penggunaan produk buluh secara meluas terutama dalam
industri pembinaan selain menekankan konsep National Occupational Skills Standard (NOSS), modul
latihan dan sebagainya bagi melahirkan tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam industri buluh
kelak.
Sementara itu, teras strategik keempat memberi fokus dalam memperkasakan rantaian dan jaminan
kualiti penghasilan buluh. Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah mengukuhkan jalinan kerjasama
strategik dengan pelbagai pihak yang berkepentingan bagi memastikan industri buluh dapat
Rajah 3: Sasaran Pencapaian PTPIBM 2021-2030 (Sumber: MTIB)
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 6
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
dikembangkan. Dalam memastikan kualiti penghasilan buluh terjamin, Prosedur Operasi Standard
(SOP) dalam pemprosesan dan mekanisme pemantauan dilaksanakan selaras dengan pematuhan
standard nasional dan antarabangsa. Akhir sekali berkaitan teras strategik kelima iaitu pengukuhan
dalam strategi pemasaran dan pengkongsian pintar. Dalam memantapkan strategik pemasaran,
kerajaan akan memastikan aplikasi buluh dalam projek berkaitan pembangunan infrastuktur
ditingkatkan. Selain itu, kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta yang mempunyai pejabat di luar
negara diwujudkan dengan mempromosikan produk berasaskan buluh Malaysia ke luar negara
Kelima-lima teras strategik pembangunan industri buluh yang dirangka bagi tahun 2021-2030
mempunyai hala tuju yang jelas selain pelan tindakan yang bersistematik untuk masa akan datang.
Namun begitu, bagi memastikan industri buluh dapat dikomersialkan secara meluas sama ada di
peringkat domestik mahupun antarabangsa, ianya memerlukan penyelesaian terhadap cabaran utama
industri ini tidak dapat dibangunkan sama ada dalam mahupun luar negara.
Pertama, berhubungan dengan sumber bahan mentah yang terhad antara faktor industri ini tidak dapat
dibangunkan lagi. Jika sebelum ini, bekalan buluh diperolehi daripada orang asli di dalam hutan, tetapi
kini industri buluh perlu ditanam secara ladang sama ada di kawasan tanah terbiar mahupun bekas
kawasan hutan yang telah musnah. Ini bagi memastikan tanah-tanah kerajaan mahupun individu dapat
dimanfaatkan sebaik mungkin tanpa pencerobohan terhadap hutan simpan kekal yang harus
dipelihara. Kedua, tahap pengetahuan dan kesedaran masyarakat terutama pengusaha buluh yang
masih rendah. Perkara ini boleh mempengaruhi kelima-lima teras strategik yang dirangka sekiranya
tidak diambil tindakan secara proaktif.
Cabaran Terkini Industri Buluh
Merujuk kepada MTIB, cabaran dalam industri buluh pada masa ini terbahagi kepada dua iaitu dalam
dan luar negara. Antara cabaran industri buluh dalam negara yang pertama adalah kekangan bahan
mentah. Dalam industri buluh yang berlaku pada hari ini, kerajaan masih lagi bergantung kepada
sumber hutan asli. Buluh yang tumbuh di hutan adalah berselerakan dan tidak teratur. Hal ini
menyebabkan kos yang tinggi terpaksa ditanggung jika melibatkan proses menuai untuk mendapatkan
gred rumpun buluh yang berkualiti. Sekiranya ladang buluh diwujudkan, ia boleh dikawal dari segi
penanaman rumpun buluh dan memudahkan proses menuai kelak. Buluh-buluh yang ditanam di ladang
dapat dikawal apabila buluh yang membiak dengan subur akan ditinggalkan sehingga mencapai
tempoh matang manakala buluh yang rosak pula akan ditebang berbanding buluh-buluh yang tumbuh
di hutan.
Kedua, kekurangan tenaga kerja mahir dan separa mahir dalam industri buluh yang menyebabkan
industri ini tidak dapat dibangunkan. Negara kita terlalu bergantung kepada pekerja asing apabila
merujuk statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan pekerja asing separuh
mahir meningkat iaitu 56.4 peratus pada 2018 berbanding 55.2 pada tahun 2013. Usaha kerajaan yang
akan meningkatkan 35 peratus pekerja dalam tenaga kerja mahir menjelang 2030 merupakan sesuatu
tindakan yang dilihat ketinggalan kerana Singapura sudah mempunyai lebih 52 peratus tenaga kerja
mahir.
Ketiga, Malaysia ketinggalan agak jauh dari segi penggunaan teknologi berbanding dengan negara-
negara lain. Dalam industri buluh memerlukan penggunaan teknologi yang tinggi terutama dalam
proses penghasilan produk-produk nilai tambah. Penggunaan teknologi ini perlu bergerak seiringan
dengan peredaran masa dan negara kita tidak boleh ketinggalan dalam hal ini. Antara cabaran keempat
dalam industri buluh iaitu produk yang berinovasi kurang mendapat sambutan di Malaysia. Hal ini
kerana, dalam pembelian secara talian seperti straw mahupun sudu buluh yang mudah untuk dihasilkan
tidak mampu dijual secara meluas di kedai-kedai Malaysia melainkan pembeli terpaksa menempahnya
dari China. Oleh itu, produk-produk buluh yang berinovasi ini perlu dihasilkan lebih banyak dan dijual
secara meluas dengan harga yang berpatutan di pasaran dalam negara.
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 7
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Kelima, permasalahan dalam pasaran industri buluh yang menyebabkan tumbuhan ini tidak dapat
dikomersialkan secara meluas. Sistem dalam pasaran yang perlu ditambahbaik agar pengusaha buluh
mendapat pendedahan dan kefahaman yang jelas sebelum menanam buluh. Selain itu, kilang-kilang
yang mengusahakan buluh juga perlu mengetahui pasaran produk yang dihasilkan untuk dijual.
Sementara itu, cabaran luar negara dalam industri buluh adalah persaingan produk, harga jualan dan
jaringan pasaran yang bersaing tinggi dengan negara-negara pengeluar buluh seperti China, Thailand
dan Indonesia. Negara kita seharusnya membawa identiti negara tersendiri dengan menghasilkan
produk yang berkualiti tinggi sekali gus dapat bersaing dengan negara-negara lain. Selain itu,
kepelbagaian produk yang memenuhi keperluan juga antara cabaran luar negara yang dihadapi dalam
industri buluh. Hal ini terjadi kerana, negara kita masih belum lagi dapat menghasilkan produk buluh
dalam pembinaan yang tersendiri terutama papan laminasi secara meluas. Cabaran yang terakhir
adalah kecekapan pengurusan sumber dan penyelenggaraan yang perlu ditambah baik dari semasa
ke semasa terutama penjagaan ladang buluh yang lebih sistematik dan teratur.
Meskipun industri buluh negara berhadapan dengan cabaran dan permasalahan yang menghalang
industri ini daripada dibangunkan secara komersial, namun demikian industri ini dapat melepasi segala
cabaran sama ada dalam dan luar negara sekiranya pelan strategik yang dirangka dilaksanakan secara
komprehensif dan inklusif. Dalam pada itu, jalinan kerjasama semua pihak sama ada kerajaan
Persekutuan dan Negeri, agensi kerajaan, pengusaha atau syarikat industri buluh tempatan dan semua
pemain taruh dalam industri ini seharusnya diperkukuhkan lagi sekali gus dapat mengurangkan
cabaran dan isu dalam industri tumbuhan ini. Selain itu, dasar dan polisi dalam industri ini juga perlu
disemak semula dengan melibatkan semua pihak bagi memastikan industri buluh dapat bersaing di
pasaran global. Sementara itu, dana yang diperuntukkan dalam industri ini juga perlu ditingkatkan
selaras dengan objektif yang ingin dibawa oleh kerajaan bagi mengatasi cabaran dan isu dalam industri
ini.
Strategi Pembangunan Industri Buluh
1. Memperluaskan Tanaman Buluh
Pada masa kini, ladang buluh merupakan satu keperluan utama diwujudkan bagi memastikan industri
ini dapat dikomersialkan dalam dan luar negara. Apatah lagi, konflik dalam isu kekurangan bahan
mentah di Malaysia juga antara salah satu sebab ladang buluh perlu diwujudkan. Usaha kerajaan dalam
penubuhan ladang contoh buluh merupakan satu langkah permulaan yang baik bagi pengusaha buluh
untuk memulakan penanaman ladang buluh. Model ladang buluh pertama telah dibangunkan di
Kampung Teris, Kuala Berang yang bermula pada Januari 2021. Pada masa yang sama, penubuhan
ladang buluh juga boleh meningkatkan keyakinan kepada pelabur-pelabur untuk menceburi industri ini.
Antara garis panduan dalam penubuhan ladang buluh yang tidak mengganggu kawasan Hutan Simpan
Kekal (HSK) merupakan satu langkah yang baik dalam menjaga khazanah biodiversiti hutan simpan
tersebut selain memelihara aset hutan yang semakin mengecil. Oleh itu, kerajaan telah mengutamakan
penanaman buluh di kawasan hutan yang mengalami kemusnahan demi melestarikan alam sekitar
(Parlimen, 2020). Usaha ini merupakan langkah yang baik dalam mewujudkan ladang buluh di negara
ini, namun begitu kategori penanaman buluh dalam hutan yang mengalami kemusnahan perlu diteliti.
Pada masa yang sama, pandangan daripada persatuan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan
alam sekitar juga amat diperlukan dalam mengimbangi strategik pembangunan industri buluh selain
memastikan industri ini dilaksanakan secara mampan untuk jangka masa yang panjang.
Sementara itu, kerajaan juga menggalakkan sama ada individu mahupun syarikat yang mempunyai
kawasan tanah terbiar untuk mengusahakan ladang buluh selain kerajaan juga turut memanfaatkan
tanah-tanah kerajaan yang terbiar untuk industri ini. Usaha ini merupakan sesuatu yang baik dengan
memanfaatkan sebaik mungkin tanah yang terbiar demi menjana pendapatan penduduk luar bandar
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 8
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
dan menyumbang ekonomi negara. Di Bintulu Sarawak, hanya tiga daripada sepuluh syarikat tempatan
yang telah memulakan penanaman industri buluh. Langkah ini perlu ditingkatkan lagi dari segi hebahan
dan kempen kesedaran agar lebih ramai rakyat mahupun syarikat tempatan menceburi industri buluh
ini.
Selain pembukaan ladang buluh, penyediaan dana dan insentif termasuk skim pinjaman kepada mana-
mana pengusaha buluh juga diteruskan dan diperbaharui bagi memudahkan urusan pinjaman
sekaligus menggalakkan lebih ramai syarikat menceburi industri ini. Sebelum ini, Kementerian
Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia telah
melaksanakan Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) yang bertujuan untuk mengurangkan
kebergantungan kepada kayu-kayan sekali gus membangun ladang hutan secara komersial termasuk
industri buluh tempatan. PPLH sebenarnya telah lama diperkenalkan iaitu pada tahun 2007 dengan
peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebanyak RM1.05 bilion. Dalam program PPLH, kerajaan telah
menyediakan skim pinjaman mudah bagi tujuan membantu syarikat-syarikat swasta, koperasi dan
agensi kerajaan yang berkelayakan untuk membangunkan industri buluh di Malaysia.
Walaupun sehingga ke hari ini, industri buluh masih tidak mendapat sambutan seperti mana industri
perkayuan, insentif pinjaman ini masih lagi diteruskan dengan beberapa penambahbaikan. Dalam
memperkasakan industri buluh tempatan ke pesada dunia selain dijadikan sebagai alternatif kepada
sumber kayu-kayan, kerajaan meneruskan insentif pinjaman mudah (soft loan) di bawah PPLH dengan
sistematik. KPPK juga telah memohon RM500 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12)
dengan sasaran keluasan hutan sebanyak 50,000 hektar demi membangunkan industri ini.
Selain itu, pinjaman tersebut diberikan sebanyak RM10,000 per hektar untuk penanaman buluh dan
pengusaha yang mengambil pinjaman tersebut perlu menjelaskan bayaran selepas tujuh tahun
memperoleh keuntungan. Perkara ini tidak akan membebankan peminjam disebabkan penanaman
buluh yang dilakukan secara komersial dianggarkan akan mendapat keuntungan bersih sekitar
RM36,000 dalam tempoh masa empat hingga lima tahun. Dalam pada itu, pinjaman ini juga telah
disediakan dalam tiga pembangunan ladang yang berskala kecil (20-40 hektar), skala sederhana (41-
2,499 hektar) dan skala besar (2,500 hektar ke atas). Antara spesies yang akan dibangunkan di bawah
PPLH ialah buluh betung, buluh semantan, buluh beting, buluh beti dan buluh hitam (Parlimen, 2020).
Dalam insentif ini, kerajaan juga melaksanakan beberapa penambahbaikan seperti:
i. penukaran konsep pinjaman konvensional kepada pinjaman patuh Syariah
ii. konsep pinjaman ditukarkan kepada dana pusingan (revolving fund) supaya PPLH dapat
dilaksanakan secara berterusan
iii. memendekkan tempoh matang pinjaman bagi memastikan lebih ramai yang mendapat skim ini
(Parlimen, 2020).
Meskipun terdapat banyak penambahbaikan skim pinjaman dalam PPLH dilakukan oleh kerajaan
dalam membangunkan industri buluh, tetapi terdapat beberapa kelompangan dalam skim tersebut yang
perlu diperbaharui pada masa akan datang. Pertama sekali, berkaitan isu tanah yang menyebabkan
pengusaha industri buluh tidak dapat memohon skim pinjaman tersebut. Kebanyakan pemohon
mahupun syarikat yang ingin mendapatkan pinjaman tersebut tidak mempunyai tanah sendiri untuk
mengusahakan ladang buluh. Malah, mereka mengharapkan MTIB yang bertanggungjawab
menguruskan skim pinjaman ini menyediakan tanah untuk mereka. Perkara ini telah digariskan oleh
pihak MTIB bahawasanya jika pemohon ingin memohon skim pinjaman di bawah PPLH, pemohon perlu
mempunyai tanah sendiri sekurang-kurangnya 4 hektar. Sehubungan itu, permasalahan ini perlu
menyelesaian segera dengan mewujudkan langkah-langkah yang boleh membantu pengusaha
tempatan untuk membangunkan industri buluh negara ini.
Kerajaan juga perlu memastikan skim ini diberi peluang kepada pengusaha tempatan terutama
golongan belia dalam menceburi industri ladang buluh ini dan bukannya kepada syarikat besar
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 9
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
mahupun swasta semata-mata. Insentif pinjaman patuh syariah yang diperkenalkan dalam program
PPLH ini juga perlu dilaksanakan secara sistematik dan tersusun agar bukan sahaja memudahkan
urusan peminjam tetapi juga golongan yang disasarkan dapat menerima skim ini tanpa dipinggirkan.
Selain itu, hebahan tentang skim pinjaman ini juga perlu ditingkatkan kepada rakyat tempatan dengan
menggunakan media massa dan media elektronik sebaik mungkin.
Di samping itu, sistem pelaksanaan penyediaan anak benih buluh dan baja secara subsidi bagi
pengusaha industri buluh juga perlu diperkemaskan agar ianya tidak menjadi isu seperti benih padi
pada masa akan datang. Pelantikan syarikat yang bertanggungjawab dalam penyediaan benih buluh
dan baja juga perlu diambil kira pelbagai aspek demi memastikan pengusaha tidak menanggung
kerugian selain memastikan industri ini dapat dikomersialkan seiring dengan industri komoditi sawit dan
getah.
Tindakan kerajaan memperluaskan tanaman buluh dengan penubuhan ladang buluh, skim pinjaman di
bawah program PPLH serta pelaksanaan baja dan benih buluh yang sistematik merupakan langkah-
langkah yang diusahakan dalam pembangunan industri ini. Sehubungan itu, pelaksanaan langkah-
langkah ini memerlukan hebahan dan kempen kesedaran secara besar-besaran sama ada melalui
media massa dan elektronik mahupun aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bagi memastikan lebih ramai
pengusaha buluh menceburi industri ini secara konsisten.
2. Memperkasakan Kerjasama R&D&C Buluh
Selain itu, antara inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan
dalam memperkasakan lagi industri buluh adalah dengan
memperkukuhkan hubungan kerjasama penyelidikan,
pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) industri
buluh dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia
(FRIM), institusi pengajian tinggi awam dan swasta.
Kerjasama ini mampu menyumbang kepada kualiti dalam
pemprosesan dan pembangunan produk industri buluh.
Sementara itu, selain masjid buluh yang sedia ada di Gua
Musang dan Kuala Kangsar, kerajaan juga telah membina
surau buluh di Dataran Tenusu, Kuala Nerus. Pembinaan
surau buluh ini antara usaha kerajaan dalam
memperkasakan lagi pusat penyelidikan dan kajian buluh.
Keunikan surau buluh yang mempunyai keluasan 3,000 kaki
persegi itu bukan sahaja diperbuat daripada buluh tetapi
produk yang dihasilkan juga daripada buluh. (Syazwani,
2020).
Pada masa yang sama, kerajaan juga telah membangunkan Pusat Latihan Industri Perkayuan
Terengganu (TTITC) sebagai model ladang buluh dengan menandatangani Memorandum Perjanjian
antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) pada tahun lalu. Perjanjian ini bertujuan untuk
melaksanakan penyelidikan dan kajian terhadap industri buluh. Selain itu, TTITC juga akan dijadikan
sebagai pusat rujukan semua pihak yang terlibat selain sebagai pusat eko-pelancongan ladang buluh
negara. Seluas 15 hektar kawasan di TTITC juga dijadikan sebagai penanaman beberapa spesies
buluh yang berpotensi untuk dikomersialkan seperti buluh betung, beting, beti, semantan dan hitam
(Bakar, 2020).
FRIM merupakan salah satu platform agensi kerajaan yang berperanan penting dalam penyelidikan
dan pembangunan industri buluh. Hubungan kerjasama ini wujud sejak tahun 1990-an lagi dengan
melaksanakan beberapa penyelidikan berhubung dengan pembiakan buluh di Malaysia. Namun begitu,
Rajah 4: Hasil Penggunaan Venir Buluh (Sumber: Zhangzhou Pingxin kayu dan
buluh Co., Ltd )
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 10
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
beberapa kekangan yang berlaku seperti kawasan penanaman biji benih buluh dan bahan tanaman
yang sukar diperoleh telah menyukarkan industri ini untuk dikembangkan. Oleh itu, permasalahan ini
boleh di atasi sekiranya kerjasama dalam R&D diperkukuhkan dalam pelbagai peringkat.
Meskipun terdapat pelbagai cabaran dalam R&D&C industri buluh, namun begitu perkara ini perlu
dipergiatkan lagi dengan kerjasama semua pihak bagi menghasilkan benih buluh yang berkualiti
melalui kultur tisu buluh. Hal ini demikian kerana, benih buluh yang berkualiti adalah penting dalam
penghasilan produk-produk nilai tambah yang tinggi.
3. Melaksanakan Evolusi Kepelbagaian Produk
Industri buluh sebenarnya mampu menghasilkan pelbagai jenis produk yang bermutu tinggi dengan
pemilihan spesies buluh yang berpotensi untuk dikomersialkan dan menggunakan teknologi serta
inovasi keluaran yang bernilai. Evolusi dalam pembangunan kepelbagaian produk ini bukan sahaja
menjana pendapatan penduduk luar bandar tetapi mampu menyumbang kepada ekonomi negara
seperti mana negara-negara luar. Sebagai contoh, dalam industri pengeluaran kraftangan buluh perlu
dipelbagaikan produk yang bermutu dengan merangka strategik pemasaran yang mampu bersaing
sama ada dalam domestik mahupun antarabangsa. Antara kraftangan yang banyak dihasilkan di
Malaysia adalah anyaman seperti bakul, tudung saji, tikar dan sebagainya. Jika melihat kepada
pengusaha tempatan industri buluh, majoritinya banyak menghasilkan produk anyaman buluh
berbanding dengan produk-produk yang bernilai tinggi untuk dikomersialkan. Perkara ini sudah tentu
memerlukan perubahan dalam mengembangkan industri buluh ke peringkat perdagangan
antarabangsa pada masa akan datang.
Selain melakukan inovasi pada kraftangan buluh, pengusaha tempatan juga perlu meningkatkan
produktiviti buluh dalam industri pembinaan mahupun pembuatan yang mendapat tempat dalam dan
luar negara. Sebagai contoh, China telah mengeluarkan produk berasaskan buluh dalam industri
pakaian, kertas, pembinaan rumah seperti lantai, tiang, pintu, dinding dan sebagainya, perabot rumah
dan peralatan farmasi (Atanda, 2015). Dalam pada itu, penggunaan buluh juga terus dikembangkan
dengan menghasilkan papan tikar buluh di China, Vietnam, Thailand dan India. Di Malaysia, ada
segelintir pengusaha tempatan yang membangunkan perabot buluh seperti Impian Bumi Casa Sdn Bhd
dan Istana Bambu Enterprise secara domestik.
Usaha ini perlu ditingkatkan lagi secara sistematik
agar bukan sahaja perabot malah papan buluh juga
mampu dihasilkan sendiri oleh negara Malaysia.
Sehubungan itu, pembangunan berasaskan produk
buluh yang bermutu bukan hanya tertumpu kepada
kraftangan semata-mata tetapi dalam sektor
pembuatan dan pembinaan juga perlu ditingkatkan.
Pada masa yang sama, dalam penghasilan produk
hiliran buluh yang bermutu tinggi, penggunaan
teknologi yang canggih juga amat diperlukan lebih-
lebih lagi zaman abad ke-21 ini. Merujuk
Norhazaedawati Baharuddin et al. (2011) selain
menggunakan tenaga mahir, teknologi yang canggih
juga amat diperlukan dalam menghasilkan produk
buluh yang berkualiti tinggi.
Dalam pada itu, pengkomersialan produk buluh yang dihasilkan juga perlu ditingkatkan agar mendapat
sambutan dalam dan luar negara. Oleh itu, agensi kerajaan yang berkaitan terutama Lembaga
Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) perlu meningkatkan aktiviti mempromosikan kepelbagaian produk
Rajah 5: Industri Perabot Buluh (Sumber: MTIB)
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 11
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
buluh yang dihasilkan sama ada ke pasaran tempatan mahupun antarabangsa (Norhazaedawati
Baharuddin et al., 2011).
Strategi ini dilihat begitu penting dalam memastikan produk industri buluh mendapat tempat di pesada
dunia. Walaupun negara kita masih belum mampu menghasilkan produk buluh dalam pembinaan,
papan laminasi, tekstil dan sebagainya secara meluas. Setidak-tidaknya industri ini mempunyai hala
tuju dan pelan strategik yang ingin dicapai pada masa akan datang.
Penutup
Buluh merupakan tumbuhan yang mudah untuk membiak dan berpotensi untuk dibangunkan secara
besar-besaran sekiranya dilaksanakan secara berstrategik. Di Malaysia terdapat begitu banyak spesies
buluh dengan kegunaan yang pelbagai. Antara spesies buluh yang tinggi nilainya seperti buluh duri,
buluh semantan, buluh lemang dan sebagainya. Kebanyakan buluh ini diperolehi di dalam hutan asli
dan produk yang dihasilkan pula majoritinya kraftangan jenis anyaman. Buluh di Malaysia kurang
mendapat perhatian seperti industri sawit dan getah sedangkan ia mempunyai nilai komersial yang
tinggi. Secara tradisi, buluh kebanyakan dijadikan lemang dan dimakan rebungnya sejak dahulu lagi.
Apatah lagi, pengusaha buluh juga kurang menghasilkan inovasi dalam pengeluaran produk buluh yang
nilai tambah tinggi.
Khazanah bernilai ini masih lagi belum dimanfaatkan sepenuhnya dalam negara kita. Apatah lagi, nilai
eksport industri buluh juga berlaku penurunan berikutan pandemik Covid-19. Banyak cabaran dan
faktor-faktor yang menghalang industri ini dikembangkan. Industri buluh ini bukan sahaja memberi
manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negara tetapi juga mampu menjana pendapatan masyarakat
luar bandar. Sehubungan itu, industri ini perlu dipulihkan segera dan dilakukan evolusi yang hebat
seperti negara-negara luar yang mampu menghasilkan kepelbagaian produk nilai tambah untuk
pasaran dunia. Usaha kerajaan dalam penambahbaikan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh
2021-2025 adalah satu tindakan yang positif dan memerlukan sokongan semua pihak.
Pada masa yang sama, strategi memperkasakan industri buluh banyak ditekankan dalam pelan
tersebut. Antara pelan strategik yang dihuraikan adalah tanaman buluh yang perlu diperluaskan,
kerjasama R&D&C buluh yang perlu diperkasakan lagi dan evolusi kepelbagaian produk nilai tambah
buluh yang dilaksanakan secara konsisten bagi memastikan industri buluh negara kita dapat bersaing
dengan negara-negara luar.
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 12
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)
Senarai Rujukan
Ahmad, A. F. (2016). MTIB Rangka Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh. Utusan Malaysia, 23.
Ahmad, A. F. (2016, September 26). ABS 2016 Perkasa Industri Buluh. Utusan Malaysia, 23.
Akta Perhutanan Negara 1984 (2019). 12–30.
Akta Industri Berasas Kayu (Kekuasaan Badan Perundangan Negeri) 1984 (2011). 6.
Atanda, J. (2015). Environmental impacts of bamboo as a substitute constructional material in Nigeria. Case Studies in Construction Materials, 3, 33–39. https://doi.org/10.1016/j.cscm.2015.06.002
Bakar, B. (19 Disember, 2020). Pinjaman mudah RM500 juta untuk Program Pembangunan Ladang
Hutan. Retrieved from Berita Harian:
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/12/766765/pinjaman-mudah-rm500-juta-
untuk-program-pembangunan-ladang-hutan
Baharuddin, N. (2020). Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020. Kuala
Lumpur: Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Baharu, M. (30 Mac, 2021). Kerajaan sedia pinjaman mudah untuk tanaman buluh secara komersial.
Retrieved from Berita RTM: https://berita.rtm.gov.my/index.php/nasional/26465-kerajaan-sedia-
pinjaman-mudah-untuk-tanaman-buluh-secara-komersial
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) (2019). Buluh & Rotan.
https://www.forestry.gov.my/my/buluh-dan-rotan
JPSM. (2013). Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/kesalahan-hutan
Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) (2021). Peladangan Hutan Latar Belakang Program. https://www.mtib.gov.my/perkhidmatan/peladangan-hutan/pembangunan-ladang-hutan
MTIB. (2021). Pelan tindakan pembangunan industri buluh malaysia 2021-2030.
Norhazaedawati Baharuddin et al. (2011). Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2011-2020.
Parlimen Malaysia. (2020). Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH). https://www.parlimen.gov.my/files/jindex/pdf/JDR05112020.pdf
JPSM. (2013). Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia. https://www.forestry.gov.my/my/perkhidmatan/info-perhutanan/kesalahan-hutan
MTIB. (2021). Pelan tindakan pembangunan industri buluh malaysia 2021-2030.
Siti Ayu Jantan, & Wan, A. (2021). Industri Buluh Malaysia.
Syazwani, F. (29 Ogos, 2020). Surau buluh jadi pusat penyelidikan buluh pertama di Malaysia. Retrieved from Sinar Harian: https://www.sinarharian.com.my/article/98839/BERITA/Nasional/Surau-buluh-jadi-pusat-penyelidikan-buluh-pertama-di-Malaysia
Strategik Memperkasakan Industri Buluh Tempatan| 13
Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS)