Download - rantai makanan (1) cth AR.pdf
-
MENINGKATKAN KEFAHAMAN MURID 5 INTAN BAGI TAJUK
RANTAI MAKANAN MENGGUNAKAN ECOLOGY PYRAMIDA
SERTA PERMAINAN MY FOOD.
Oleh :
Mohamad Kamil Faizzudin Bin Mashor@Nasir & Pn. Suriany Binti Mat Noor
Jabatan Sains IPG Kampus Dato Razali Ismail [email protected] & [email protected]
ABSTRAK
Hasil daripada refleksi pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan, pengkaji
mendapati murid menghadapi masalah dalam tajuk rantai makanan. Justeru itu,
kajian ini telah dijalankan untuk meningkatkan kefahaman murid dalam membina
rantai makanan. Hasil daripada tinjauan masalah yang dilakukan, murid tidak dapat membezakan antara pengeluar, pengguna primer, pengguna sekunder dan
pengguna tertier dalam sebuah rantai makanan. Hal ini memnyebabkan murid
tidak dapat membina rantai makanan dengan baik. Justeru itu, kajian ini telah dilakukan untuk membantu murid lemah Tahun 5 Intan dalam meningkatkan
kefahaman membina rantai makanan dengan menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood. Seramai 5 orang murid yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2 orang perempuan dari kelas 5 Intan dari Sekolah Kebangsaan Ladang
telah dipilih sebagai peserta kajian. Perancangan tindakan memfokuskan kepada
penggunaan alat bantu mengajar Ecology Pyramida serta permainan MyFood terhadap peserta kajian tersebut. Instrumen yang telah digunakan sepanjang menjalankan kajian ini ialah pemerhatian, soal selidik, analisis dokumen dan juga
ujian pra dan pasca. Dapatan kajian menunjukkan perubahan berlaku kepada
murid-murid tersebut selepas intervensi dijalankan. Mereka sudah dapat memahami tajuk tersebut serta dapat membina rantai makanan dengan baik
selepas intervensi dijalankan. Cadangan bagi menambah baik kajian ialah
menambahkan bilangan haiwan di kawasan tertentu.
Kata Kunci : Meningkatkan, kefahaman, rantai makanan, Ecology Pyramida,
permainan MyFood.
REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
Pada minggu ketiga, pengkaji telah mengajar tajuk Rantai Makanan kepada murid tahun 5 Intan
di Sekolah Kebangsaan Ladang. Pengkaji mendapati bahawa masalah utama murid 5 Intan ini
ialah mereka tidak dapat menguasai kemahiran mengelas bagi tajuk Rantai Makanan. Murid
sering tertukar antara pengeluar, pengguna primer, sekunder dan tertier dalam sebuah rantai
makanan. Ini menyebabkan mereka tidak dapat membina sebuah rantai makanan dengan baik.
-
Di samping itu, murid tidak dapat menguasai tajuk tersebut dengan baik menyebabkan
kurangnya minat terhadap sesi pengajaran dan pembelajaran. Hal ini menjadikan pengajaran dan
pembelajaran tidak dapat berjalan dengan lancar. Justeru itu, pengkaji telah merancang kaedah
untuk membuat satu alat bantu mengajar yang dapat menarik minat murid-murid dalam tajuk
Rantai Makanan. Pengkaji telah memilih 5 orang peserta kajian hasil daripada ujian diagnostik
yang dijalankan. Pengkaji memilih murid-murid yang mendapat markah paling rendah dalam
ujian tersebut. Peserta kajian ini tidak dapat menguasai tajuk Rantai Makanan dengan baik
menyebabkan mereka mendapat markah rendah dalam ujian dianostik.
Oleh hal demikian, setelah pengkaji mempertimbangkan kesemua faktor di atas, pengkaji membuat keputusan untuk mengaplikasikan alat bantu mengajar dengan menggunakan alat bantu
mengajar yang sesuai bagi tajuk rantai makanan bagi meningkatkan kefahaman murid dalam
mengelas haiwan mengikut kelas pengguna dalam rantai makanan. Melalui alat bantu mengajar tersebut dapat membantu murid untuk mengelaskan haiwan dalam kelas pengguna seperti
pengguna primer, pengguna sekunder dan pengguna tertier. Penggunaan alat bantu mengajar ini
juga dapat merangsang minat murid serta proses pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih seronok.
SOROTAN LITERATUR
Mok Soon Sang (2008), alat bantu mengajar biasanya digunakan untuk menarik perhatian murid
serta menimbulkan minat mereka untuk belajar. Selain itu alat bantu mengajar juga dapat
membantu murid dalam membuat pengelasan bagi sesuatu tajuk. Dalam tajuk Rantai makanan, murid dapat membuat pengelasan haiwan dengan menggunakan alat bantu mengajar ini. Alat
bantu mengajar amat penting dalam sesi pengajaran kerana dapat membantu guru untuk
menyampaikan isi pengajaran dengan baik. Alat bantu mengajar boleh terdiri daripada pelbagai bahan yang dicipta. Sesetengah alat bantu mengajar hanya diperbuat daripada bahan kitar semula
tetapi dapat membantu guru dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dengan baik.
Shahabudin (2007), tujuan menggunakan bahan bantu mengajar adalah bagi membolehkan
pelajar memahami isi pengajaran dengan lebih mudah. Hal ini kerana bahan bantu mengajar
mengandungi pelbagai gambar menarik yang dapat merangsang murid untuk memahami
sesebuah isi pengajaran. Selain itu, imej atau gambar lebih mudah diingat daripada perkataan.
Hal ini kerana murid lebih tertarik kepada gambar berbanding dengan perkataan. Gambar-
gambar yang menarik dapat menarik perhatian murid untuk belajar topik tersebut. Contohnya,
topik rantai makanan akan lebih menarik untuk diajar jika disertakan dengan gambar-gambar
haiwan. Murid juga dapat membuat pengelasan haiwan dalam topik Rantai makanan dengan
lebih baik lagi.
Piaget dalam Haliza (2009), menyatakan tahap operasi konkrit adalah tahap ketiga dalam
perkembangan kanak-kanak. Pada tahap ini murid banyak mempelajari dan memperolehi
pengetahuan melalui penggunaan pelbagai deria seperti deria penglihatan dan deria sentuh.
Seperti yang sedia maklum bahawa murid belajar melalui pelbagai cara. Mereka dapat
menggunakan pelbagai deria untuk mendapatkan sesuatu maklumat. Murid dapat menggunakan
pelbagai deria mereka untuk membuat pengelasan dalam topik Rantai Makanan seperti deria
penglihatan.
-
Sivaraja ( 2011), dalam kajiannya menyatakan bahawa pendekatan visual melalui penggunaan
gambar akan dapat membantu memudahkan proses pengelasan dan meningkatkan keberkesanan sesuatu kaedah yang digunakan. Dengan menggunakan gambar-gambar yang mempunyai
pelbagai warna dapat menarik perhatian murid untuk membuat pengelasan kepada sesuatu objek.
Murid juga dapat mengenalpasti persamaan dan perbezaan sesuatu objek melalui penggunaan gambar berwarna. Ini akan memudahkan murid untuk mengenalpasti perbezaan tersebut.
Rahil Mahiyuddin (2009), pendekatan main sambil belajar sebagai sebuah situasi yang dilakukan
secara spontan dengan arahan. Melalui kaedah permainan, murid juga dapat membuat pengelasan dengan baik bagi sesuatu tajuk. Pendekatan bermain dalam pengajaran ini juga dapat
meningkatkan respon murid terhadap sesuatu situasi. Murid akan lebih tertarik untuk belajar
melalui pendekatan yang dilakukan ini. Hal ini kerana murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam permainan tersebut sekaligus dapat menarik perhatian mereka untuk memahami subjek
tersebut.
Jean Piaget dalam Mok Sook Sang (2008), aktiviti dan permainan yang menarik mampu
memberi pemahaman yang lebih berkesan kepada murid. Hal ini kerana murid dapat membina
pemahaman yang baru daripada sesebuah permainan yang dilakukan oleh guru. Murid akan
membina pemahaman mereka sendiri setelah bermain permainan tersebut. pembelajaran juga bukan hanya tertumpu kepada bilik darjah sahaja. Malah, konsep belajar sambil berhibur juga
mampu meningkatkan kualiti pembentukan dan pendidikan kepada kanak-kanak.
TUJUAN KAJIAN
Tujuan Kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kefahaman murid 5 Intan Sekolah
Kebangsaan Ladang Kuala Terengganu dalam tajuk Rantai Makanan dengan menggunakan
Ecology Pyramida serta permainan MyFood.
Objektif
1.Meningkatkan minat murid 5 Intan dalam topik rantai makanan menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood..
2.Membantu meningkatkan kemahiran murid 5 Intan dalam membina Rantai Makanan
menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood.
3.Membantu meningkatkan kefahaman murid 5 Intan dalam topik Rantai Makanan menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood
Persoalan Kajian
1.Adakah penggunaan Ecology Pyramida serta permainan MyFood dapat meningkatkan minat murid dalam topik Rantai Makanan?
2.Bagaimanakah penggunaan Ecology Pyramida serta permainan MyFood dapat meningkatkan kemahiran murid 5 Intan dalam membina Rantai Makanan?
3.Bagaimanakah Ecology Pyramida serta permainan MyFood dapat meningkatkan kefahaman murid 5 Intan bagi topik Rantai Makanan?
-
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini melibatkan 5 orang murid tahun 5 Intan yang terdiri daripada 3 orang lelaki dan 2
orang perempuan. Kesemua peserta kajian dipilih berdasarkan kepada pencapaian dalam ujian
diagnostik dan markah ujian TOV dan OTI. Pengumpulan data telah dibuat dengan
menggunakan beberapa instrumen yang berbeza seperti pemerhatian, soal selidik, analisis
dokumen serta ujian pra dan pasca.
Dalam instrumen pemerhatian, pengkaji telah membuat pemerhatian terhadap tingkah laku
peserta kajian di dalam kelas. Pengkaji juga telah membuat pemerhatian terhadap hasil kerja
murid, kerjasama dalam kumpulan, kepatuhan kepada arahan guru serta penglibatan murid
dalam aktiviti yang dirancang sebelum dan selepas penggunaan intervensi. Semua tingkah laku
murid telah dicatat dan direkodkan. Pengkaji telah membuat banding beza antara sebelum dan
selepas intervensi dilaksanakan. Bagi instrumen soal selidik pula, pengkaji telah mengedarkan
borang soal selidik kepada semua peserta kajian. Borang soal selidik tersebut digunakan untuk
mengukur minat serta kemahiran murid sebelum dan selepas intervensi dijalankan. Pengkaji
telah merekodkan hasil soal selidik tersebut di dalam jadual dan graf supaya perbezaan dapat
dikenalpasti dengan mudah.
Pengkaji juga telah membuat analisis dokumen terhadap hasil kerja murid di dalam kelas.
Pengkaji telah memberi lembaran kerja kepada peserta kajian untuk menilai sejauhmanakah
kemahiran murid dalam membina rantai makanan. Semua hasil kerja murid telah dianalisis oleh
pengkaji untuk membuktikan bahawa berlaku peningkatan terhadap kemahiran membina rantai
makanan. Berlaku peningkatan yang positif terhadap hasil kerja murid yang ditunjukkan selepas
intervensi dijalankan. Bagi ujian pra dan pasca pula, pengkaji telah menjalankan ujian tersebut
kepada kesemua peserta kajian. Dalam ujian yang dilaksanakan berlaku peningkatan yang positif
yang ditunjukkan oleh peserta kajian sebelum intervensi dilaksanakan dan selepas intervensi
dilaksanakan. Markah ujian pra dan pasca ini telah direkodkan di dalam jadual dan juga graf
untuk memudahkan perbandingan dibuat oleh pengkaji.
-
SPESIFIKASI INTERVENSI
Dalam meningkatkan kefahaman murid 5 Intan bagi tajuk Rantai Makanan, pengkaji telah
membina alat bantu mengajar yang sesuai digunakan untuk menerangkan tajuk tersebut kepada
murid-murid. Alat intervensi yang dimaksudkan ialah Ecology Pyramida serta Permainan
MyFood. Alat bantu mengajar ini amat sesuai digunakan oleh guru dalam mengajar tajuk
Rantai Makanan kerana alat ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Ecology Pyramida
telah dibina oleh pengkaji bagi menerangkan perbezaan antara pengeluar, pengguna primer,
sekunder dan tertier pada murid-murid. Memandangkan piramid tersebut mempunyai empat
permukaan yang berbeza, pengkaji telah membuat empat habitat yang berbeza bagi rantai
makanan. Terdapat rantai makanan di kawasan sawah padi, kolam, padang serta ladang bagi
memudahkan murid untuk membezakan haiwan yang terdapat dalam rantai makanan tersebut.
Alat ini boleh digunakan dalam fasa penstrukturan idea dalam pengajaran sains di sekolah. Guru
boleh menyuruh murid untuk mengenalpasti haiwan yang terdapat di kawasan habitat yang telah
dibina pada piramid tersebut. Selain itu, Ecology Pyramida ini juga amat menarik kerana
mempunyai gambar-gambar yang berwarna. Ini akan dapat menarik minat murid untuk belajar
tajuk tersebut. Selain itu, alat intervensi ini juga bersaiz besar untuk memudahkan murid-murid
mengenalpasti haiwan. Murid akan lebih jelas dengan gambar-gambar yang dilekatkan pada alat
intervensi tersebut.
Rajah 1 : Ecology Pyramida
-
Dalam pada itu juga,bagi menguji kefahaman murid dalam membina rantai makanan, pengkaji
juga telah membuat satu permainan yang dinamakan sebagai permainan MyFood seperti gambar diatas. Permainan ini mengkehendaki murid untuk membina rantai makanan berdasarkan
habitat yang diberikan. Murid akan membina rantai makanan menggunakan alat tersebut dan
guru akan memeriksa rantai makanan yang dibina oleh murid samada betul atau tidak.
DAPATAN KAJIAN
Dengan menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood telah dapat meningkatkan kefahaman peserta kajian dalam membina rantai makanan. Murid telah dapat mengenalpasti
pengeluar, pengguna primer, pengguna sekunder dan pengguna tertier dengan baik.
Rajah 2: Papan permainan MyFood
Rajah 3: Rantai Makanan yang telah dibina oleh
murid
-
DAPATAN KAJIAN
Dalam dapatan kajian ini pengkaji telah menggunakan beberapa instrumen seperti pemerhatian,
soal selidik, analisis dokumen serta ujian pra dan pasca. Bagi instrumen pemerhati pengkaji telah
merekodkan hasil pemerhatian yang telah dilakukan di dalam jadual 1. Dalam menilai minat peserta kajian ini, pengkaji telah menggunakan 5 kriteria untuk menilai sejauhmanakah
peningkatan minat yang ditunjukkan oleh peserta kajian sebelum dan selepas intervensi
dijalankan.
Jadual 1 : Kriteria Minat Murid
Bil Kriteria Minat Murid Kekerapan sebelum intervensi (%)
Kekerapan selepas Intervensi
(%)
1. Memberi fokus di dalam kelas 30 90
2. Seronok belajar dengan kaedah pengajaran guru.
40 80
3. Membuat aktiviti yang diberikan
oleh guru. 40 70
4. Bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh guru.
50 70
5. Memberikan kerjasama yang baik
kepada guru dan rakan-rakan 50 90
Daripada hasil analisis pemerhatian yang telah dibuat, pengkaji mendapati peserta kajian telah
dapat memberi fokus yang baik di dalam kelas. Pengkaji telah memerhatikan tingkah laku yang
ditunjukkan oleh murid di dalam kelas dan merekodkan tingkah laku yang ditunjukkan tersebut.
Pengkaji mendapati murid telah dapat memberi fokus di dalam kelas dengan baik kerana berlaku komunikasi dua hala iaitu di antara pengkaji dan juga peserta kajian. Sebelum penggunaan
intervensi kepada peserta kajian, mereka tidak memberi respond kepada soalan yang ditanya
oleh pengkaji, namun selepas penggunaan intervensi tersebut peserta kajian sudah dapat memberi respon terhadap kesemua soalan yang ditanya oleh pengkaji.
-
Bagi istrumen kedua pula pengkaji telah menggunakan borang soal selidik. Berikut merupakan
kekerapan dan peratus peserta kajian menjawab soal selidik ini.
Jadual 2 : Analisis borang soal selidik
Bil Item Pengajaran sebelum
intervensi
Pengajaran selepas
intervensi
1. Saya amat menyukai mata pelajaran
Sains.
YA TIDAK
3(60%) 2(40%)
YA TIDAK
5(100%) 0(0%)
2. Saya berasa seronok belajar Sains
2(40%) 3(60%) 5(100%) 0(0%)
3. Saya suka mempelajari Topik Rantai
Makanan selepas menggunakan
Ecology Pyramida serta permainan
MyFood.
4(80%) 1(20%) 5(100%) 0(0%)
4. Saya amat suka aktiviti yang diberikan
oleh guru semasa mengajar tajuk Rantai
Makanan menggunakan Ecology
Pyramida serta permainan MyFood
3(60%) 2(40%)
5(100%) 0(0%)
5. Saya amat tertarik dengan cara
pengajaran guru.
2(40%) 3(60%)
4(80%) 1(20%)
Daripada analisis soal selidik yang dijalankan, pengkaji mendapati perubahan yang positif
berlaku terhadap peserta kajian. Minat peserta kajian telah meningkat jika dibandingkan sebelum
penggunaan intervensi dan selepas penggunaan intervensi. Buktinya peningkatan yang telah
dicatatkan dalam item 1 sehingga item 5. Bagi item 1 sehingga 5 pengkaji telah membuat
kategori tahap pencapaian minat peserta kajian. Bagi item 1 sehingga 4 pengkaji telah
mengkategorikan dalam tahap amat berjaya kerana telah mencapai tahap 100 peratus dalam soal
selidik yang dijalankan. Sebelum intervensi dijalankan tahap minat murid amatlah
mendukacitakan kerana pengkaji mengkategorikan dalam tahap kurang memuaskan.
Kebanyakkan peserta kajian tidak menyukai mata pelajaran sains dan tajuk Rantai Makanan,
namun setelah intervensi dijalankan minat peserta kajian telah meningkat. Jawapan positif
daripada peserta kajian ini menunjukkan mereka lebih berminat belajar tajuk Rantai Makanan
dengan menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood.
-
Bagi analisis dokumen pula, pengkaji telah menganalisis lembaran kerja yang diberikan kepada
peserta kajian. Hasil kerja murid disemak dan dibuat perbandingan bagi menilai keberkesanan
alat bantu mengajar yang telah digunakan. Berikut merupakan hasil kerja murid sebelum dan
selepas alat bantu mengajar ini digunakan.
SEBELUM INTERVENSI
Sebelum intervensi dilaksanakan, peserta kajian satu tidak dapat membina rantai makanan
dengan baik. Peserta kajian 1 tidak dapat menyusun susunan hidupan dengan betul. Ini
menunjukkan peserta kajian ini tidak faham untuk membina rantai makanan dengan betul.
Namun, selepas intervensi dijalankan peserta kajian 1 sudah menunjukkan perubahan yang
positif. Peserta kajian ini telah dapat membina rantai makanan dengan betul. Peserta kajian ini
sudah dapat melukis anak panah dengan baik.
SELEPAS INTERVENSI
PK 1: SUSUNAN HIDUPAN TIDAK BETUL
PK 1: SUSUNAN HIDUPAN DAN ANAK PANAH BETUL
-
Dalam analisis ujian pra dan pasca juga menunjukkan perubahan yang positif terhadap kesemua
peserta kajian. Pengkaji telah membuat perbandingan markah ujian pra dan pasca terhadap peserta kajian. Perkara ini dilakukan bagi menentukan keberkesanan alat bantu mengajar yang
telah digunakan oleh pengkaji terhadap kesemua peserta kajian. Pengkaji telah merekodkan
markah dan tahap pencapaian peserta kajian seperti dalam jadual 3 di bawah.
Jadual 3 : Markah Ujian Pra dan Pasca
PESERTA KAJIAN
PRA %
GRED PASCA %
GRED PENINGKATAN %
M1 13 E 50 C 37
M2 40 C 65 B 25 M3 46 C 60 B 14 M4 26 D 65 B 39 M5 33 D 45 C 12
Dalam ujian pra dan pasca yang telah dilaksanakan, pengkaji mendapati bahawa peserta kajian 1
telah meningkat markah dalam kedua-dua ujian tersebut. Dalam ujian pra peserta kajian 1 hanya
mendapat gred E sahaja namun dalam ujian pra peningkatan telah ditunjukkan dengan
peningkatan kepada gred C. Ini menunjukkan bahawa Ecology Pyramida serta permainan
Myfood telah membantu meningkatkan prestasi peserta kajian 1 dalam tajuk rantai makanan.
Peserta kajian 1 juga telah menyatakan bahwa dia lebih faham belajar menggunakan alat
intervensi yang diperkenalkan oleh pengkaji.
KESIMPULAN
Penggunaan alat intervensi Ecology Pyramida serta permainan MyFood telah dapat
membantu meningkatkan kefahaman peserta kajian dalam tajuk rantai makanan. Ini kerana
setelah penggunaan intervensi tersebut kepada semua peserta kajian, pengkaji mendapati bahawa
berlaku perubahan yang positif terhadap peserta kajian. Perkara ini dibuktikan dalam dapatan
kajian yang telah dinyatakan. Minat peserta kajian juga telah bertambah hasil penggunaan alat
intervensi ini. Menurut Lim King Hong (2010), mengatakan minat adalah satu yang anda
lakukan dengan penuh perasaan suka. Hasil daripada pemerhatian yang telah dibuat, pengkaji
mendapati bahawa peserta kajian amat suka terhadap alat yang digunakan oleh pengkaji semasa
mengajar tajuk rantai makanan ini. Perkara ini juga ditunjukkan dengan
Dalam pada itu juga, Ecology Pyramida serta permainan MyFood ini juga amat istemewa
kerana dilengkapi dengan gambar-gambar yang menarik dan berwarna. Perkara ini dapat
memudahkan murid untuk membuat perbezaan dan membina sebuah rantai makanan. Selain itu,
permainan MyFood juga dapat membuatkan murid berasa seronok untuk belajar. Nurul Amirah
dan Zaidatun (2009), permainan merupakan ekspresi kendiri yang kreatif dan perkembangannya
paling jelas pada peringkat kanak-kanak. Kanak-kanak akan memperoleh pengetahuan baru
berdasarkan permainan yang dijalankan. Kanak-kanak sememangnya amat menyukai permainan
lebih-lebih lagi permainan tersebut dapat mencabar diri mereka untuk menjadi semakin baik.
-
Kajian ini juga telah meningkatkan tahap profesionalisme keguruan kerana kajian ini melibatkan
kreadibiliti dan juga kesungguhan guru dalam menyiapkan kajian ini. Guru menunjukkan
kesungguhan yang tinggi dalam mengumpul data-data yang diperlukan. Guru juga perlu bersabar
dengan karenah murid-murid serta peserta kajian sepanjang menjalankan kajian ini. Hal ini
kerana terdapat segelintir murid yang tidak dapat memberikan kerjasama yang baik kepada guru.
Justeru itu, guru perlu lebih kreatif dalam mengawal dan melayan karenah murid-murid ini.
Selain itu, kajian ini juga dapat meningkatkan profesionalisme keguruan kerana kajian ini
dilakukan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh murid. Pengaji mencuba pelbagai
kaedah dan juga strategi yang sesuai bagi memastikan masalah pembelajaran murid dapat diatasi
dengan baik. Oleh itu, pengkaji telah menggunakan pelbagai instrumen bagi meningkatkan
kesahan dan kebolehpercayaan kajian yang dilakukan. Kajian ini juga boleh dijadikan rujukan
kepada guru-guru lain jika menghadapi masalah yang sama. Guru dapat merujuk kaedah dan
strategi yang dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Maka, hal ini akan memudahkan
kerja guru bagi menyelesaikan masalah pembelajaran murid-murid.
Dalam kajian ini juga, pengkaji mendapati beberapa kelemahan dan kekurangan yang perlu
ditampung supaya kajian akan datang menjadi lebih baik. dalam kajian ini pengkaji hanya
menggunakan Ecology Pyramida serta permainan MyFood dalam topik Rantai Makanan
sahaja. Maka, pengkaji mencadangkan agar penggunaan intervensi ini digunakan dalam
pengajaran topik- topik lain. Memandangkan intervensi ini menggunakan pelbagai warna dan
gambar-gambar yang menarik, maka pengkaji juga mencadangkan supaya intervensi ini
digunakan kepada murid-murid tahap 1. Hal ini kerana penggunaan gambar dapat menarik minat
murid-murid untuk belajar.
Seterusnya, cadangan lain ialah agar penggunaan instrumen diperbanyakkan lagi dalam kajian
seterusnya. Instrumen yang dapat ditambah lagi seperti temu bual bagi mendapatkan respon
yang lebih mendalam lagi tentang keberkesanan intervensi yang dijalankan. Akhir sekali,
pengkaji ingin mencadangkan agar tempoh masa kajian dipanjangkan lagi mendapatkan data-
data kajian yang lebih tepat dan sesuai.
-
RUJUKAN
Haliza Hamzah & Samuel J. N (2009). Perkembangan Kanak-kanak. Kuala Lumpur :
Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Lee Kim Hong (2010). Pengajaran dan Pembelajaran Sastera dalam sukatan
pelajaran pengajiam cina KDPM, Maktab Perguruan Raja Melewar
Mok S.S (2008). Psikologi pendidikan & pedagogi murid dan alam belajar.
Selangor Darul Ehsan; Penerbit Multimedia Sdn. Bhd
Nurul Amirah Razali dan Dr Zaidatun Tasir (2009). Rekabentuk Sistem
Pembelajaran konsep nombor berasaskan Pendekatan Permainan
Prosiding seminar pendidikan kanak-kanak. Halaman 106-121
Rahil Mahiyuddin, Habibah Elias & Kamariah Abu Bakar (2009). Amalan
Pengajaran Berkesan. Siri Pendidikan Guru. Shah Alam :
Karisma Publication Sdn. Bhd.
Shahabudin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi :
Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd
Sivaraja a/l Subramaniam (2011). Mempertingkatkan kemahiran membuat
pengelasan menggunakan kit pembelajaran. Tesis Sarjana Muda Tidak
Diterbitkan. IPG KDRI Kuala Terengganu, Terengganu.
Shahabudin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Pedagogi :
Strategi dan Teknik Mengajar Dengan Berkesan. Kuala Lumpur: PTS
Profesional Publishing Sdn. Bhd.