Download - Puisi melayu (1)
Puisi Melayu Tradisional
Pendahuluan
Kesusasteraan ialah satu hasil karya seni yang menggambarkan keindahan bahasa yang
dilahirkan dalam bentuk lisan dan tulisan. Perkataan kesusasteraan itu sendiri bermaksud
"kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya. Sejak zaman berzaman
Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan
juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk
kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita
Walau bagaimana maju sekalipun sesuatu masyarakat, ia masih memerlukan maklumat
daripada hasil-hasil kesusasteraan lamanya. Hasil-hasil kesusasteraan itu merupakan dokumen
maklumat penting tentang tamadun masa lampau masyarakat. Pemikiran di dalamnya
disanjung dan dianggap sebagai pemberi pedoman kepada masyarakat silam. Begitu juga
dengan corak pemerintahan serta nilai-nilai tinggi mesyarakat tersebut.
Terdapat dua kategori puisi dalam bahasa Melayu, iaitu puisi terikat dan puisi bebas.
Kelahiran puisi yang bersifat tempatan, kemasukan pelbagai bentuk dan jenis puisi dari luar
telah memperkaya puisi Melayu hingga berjumlah lebih kurang 30 jenis puisi. Dalam
perkembangan puisi tradisional Melayu terdapat jenis-jenis seperti pantun, syair, gurindam,
seloka, pantun seloka, teromba, peribahasa berangkap, talibun, mantera, nazam, rubai, qit’ah,
masnawi, ghazal, dikir@zikir, berzanji, teka-teki, endoi, rejang, hadrah, dabus, perbilangan,
perbilangan adat, kata-kata adat, terasul, tambo, jampi, bait, marhaban, dan berzanji.
DEFINISI
Kesusasteraan
Perkataan sastera berasal daripada bahasa sanskrit iaitu "castra". Susastera yang bermaksud
kata yang membawa maksud khusus iaitu : Su indah, baik,, lebih berfaedah . Sastera huruf
atau buku (ke) susastera (an) kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya.
Manakala Kamus Dewan ( Edisi keempat) mentakrifkan kesusasteraan sebagai hasil
seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan
yang tertentu.
Puisi Tradisional
Puisi tradisional merujuk kepada susunan perkataan dalam bentuk karangan berangkap
atau suatu bentuk pengucapan dalam susunan yang istimewa berbanding dengan pengucapan
biasa seperti yang digunakan dalam pertuturan sehari-hari serta bahasa yang mementingkan
kebenaran daya intelektual dan logika. Bentuk, pemikiran dan fungsi Melayu tradisional
masih dikekalkan oleh masyarakat seperti keadaan tradisionalnya. Puisi tradisional juga
dikenali sebagai puisi lisan yang berkembang dalam kesenian rakyat. Sesetengah bentuk puisi
tradisional seperti mantera dan teromba mengandungi unsur ritual dan bersifat magis.
CIRI-CIRI
Pada umumnya, puisi tradisional mempunyai ciri-ciri yang berikut:
i. Memperlihatkan penggunaan bahasa yang lebih baik, ekspresif, kental,
mengandungi nilai keindahan serta menimbulkan rangsangan dan kesan kepada pengalaman
dan perasaan.
ii. Mempunyai bentuk tertentu, berkerat-kerat atau berurutan dalam baris yang sejajar.
iii. Ungkapan kata dan bahasa dipengaruhi unsur muzik, lagu, itonasi, kadensa, rentak,
irama dan keharmonian bunyi.
iv. Baris, rima dan irama disusun membentuk pola atau ikatan tertentu yang dipengaruhi
jumlah baris, jumlah perkataan, keseimbangan bunyi dan panjang-pendek perkataan.
v. Wujud pembahagian unit dalam menyatakan idea, misalnya dua baris serangkap atau
beberapa baris seuntai.
vii. Bersifat lisan, diwarisi dan disebarkan melalui tradisi lisan dengan fungsi kolektif
kehidupan masyarakat tradisional.
viii. Binaanya terikat oleh aturan tertentu yang memberikan bentuk dan strukturnya.
ix. Digunakan dalam kehidupan seharian masyarakat sebagai pengajaran, hiburan,
keramaian, ritual, keagamaan dan sebagainya.
x. Ada puisi yang dianggap suci dan berhubung rapat dengan sistem kepercayaan dan
adat istiadat, misalnya adat perpatih.
xi. Bahasa yang padat kental mengandungi unsur perlambangan, imejan, kiasan dan
perbandingan yang bersifat tradisional untuk menyatakan sesuatu dan melahirkan perasaan
hati.
JENIS-JENIS PUISI TRADISIONAL
Puisi tradisional terbahagi kepada beberapa jenis. Antaranya ialah pantun, syair, gurindam,
talibun, endoi, rejang dan seloka. Ini akan dihuraikan dengan lebih terperinci seperti di bawah.
Pantun
Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa pantun adalah satu-satunya puisi Melayu
tradisional yang paling asli dan lahir di rantau Alam Melayu. Banyak pendapat dikemukakan
oleh pengkaji-pengkaji tentang asal usul istilah pantun, antaranya oleh Pijnappel, Hoessein
Djajadiningrat, Zainal Abidin Ahmad(Za’ba), Wilkinson, Winsteadt dan Van Ophuijsen.
Menurut Harun Mat Piah (1989), dari segi tema dan isi, pantun dapat dibahagikan keada tujuh
iaitu pantun kanak-kanak, pantun cinta dan kasih sayang, telatah dan cara hidup masyarakat,
pantun teka-teki, pantun puji-pujian atau sambutan, pantun nasihat, agama dan adat, dan
pantun naratif atau cerita.
Pantun mempunyai unsur estetika alamiah yang bersifat bertentangan, berpasangan, dan
berangkapan. Sebab itu, antara ciri-ciri pantun ialah berskema rima a/b /a/b yang terdiri
daripada dua komponen, iaitu pembayang atau sampiran dan maksud. Setiap serangkap dapat
menyelesaikan keseluruhan idea.
Jenis-jenis Pantun
Penjenisan pantun berdasarkan bentuk dan strukturnya yang tetap. Setiap barisnya
mempunyai antara lapan hingga sepuluh suku kata yang sesuai dengan pernafasan normal, dan
mempunyai antara empat hingga lima perkataan. Setiap pantun mempunyai rangkap-rangkap yang
berlainan. Maksudnya berdiri sendiri (kecuali pantun berkait), dan setiap rangkap membawa
persoalan yang sempurna. Contohnya:
Sapu tangan berkaki merah,
kakinya diletak dalam perahu, Pembayang
Luka di tangan berdarah merah, Maksud
Luka di hati tak dapat nak tahu.
Oleh itu, istilah-istilah yang merujuk kepada jenis-jenis pantun, seperti “pantun kanak-
kanak”, “pantun kasih-sayang”, “pantun budi” dan sebagainya bukanlah tergolong sebagai
jenis tetapi lebih jelas sebagai pengelasan tema yang boleh berubah-ubah menurut tafsiran dan
penumpuan pengkaji. Bagi setiap baris pantun ada jeda di dalamnya. Pantun-pantun ini
memiliki gaya bahasa dan lambang yang sesuai dengan norma dan nilai masyarakat setempat.
Terdapat juga pantun-pantun yang pembayangnya mempunyai hubungan dengan maksudnya.
Pantun sebagai milik semua lapisan masyarakat, mampu membawa berbagai-bagai tema,
persoalan dan mesej. Contohnya :
Pantun Budi
Bunga Cina di atas batu,
Jatuh daunnya ke dalam ruang,
Adat dunia memang begitu,
Sebab emas budi terbuang.
Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbuah lagi,
Sudah dapat gading bertuah,
Tanduk tidak berguna lagi.
Baik bergalas baik tidak,
Buli-buli bertali benang,
Baik berbalas baik tidak,
Asal budi sama dikenang.
Sumber: Zainal Abidin Bakar (penye), 1991. pantun Melayu, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Contoh-contoh lain ialah :
Teka-teki
Kelip-kelip disangka api,Kalau api di mana puntungnya;Hilang ghaib disangka mati,Kalau mati di mana kuburnya?
Jenaka
Orang Rengat menanam betik,Betik disiram air berlinang;Hilang semangat penghulu itik,Melihat ayam lumba berenang
KasihSayang
Burung merbuk membuat sarang,Anak enggang meniti di paya;Tembaga buruk di mata orang,Intan berkarang di hati saya
Nasihat
Air melurut ke tepian mandi,Kembang berseri bunga senduduk;Elok diturut resmi padi,Semakin berisi semakin tunduk
Nasib
Payang retak tali bersimpul,Kendi lokan airnya tumpah;
Hidup tidak kerana kaul,Mati bukan kerana sumpah.
Perantauan
Pungut teritip di tiang batu,Batu pecah dilanda karang;Beginilah nasib dagang piatu,Kain basah kering di pinggang.
Adat.
Buah berangan di rumpun pinang,Limau kasturi berdaun muda;Kalau berkenan masuklah meminang,Tanda diri beradat budaya.
Kepahlawanan.
Patah rotan tali bersilang,Batang meranti rimbun berjejal;Langkah pahlawan di tengah gelanggang,Berpantang mati sebelum ajal.
Peribahasa.
Punggur rebah puyuh mendengut,Dengut melata di tengah padang;Sedangkan bah kapal tak hanyut,Inikan pula kemarau panjang.
Fungsi Pantun dalam masyarakat.
Untuk menyampaikan pengajaran kepada masyarakat
Pengajaran untuk hidup harmoni dan kolektif
Hiburan/keseronokan terutamanya pantun cinta sesama manusia
Penamat/akhiran percintaan- gembira atau duka
Pantun dapat disulami dalam puisi melayuu yang lain bagi
mempelbagaikan ungakapan. Contohnya dalam nyanyian rakyat,
gurindam, bahasa berirama dan lain-lain.
Membantu mempertingkatkan daya estetika (keindahan) puisi-puisi lain.
Menjadi pemanis kata dan pengindah bicara dalam ungkapan-ungkapan
bahasa yang puitis.
Melambangkan budaya tinggi dalam ciptaan sastera.
Gurindam
Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa istilah Gurindam berasal daripada bahasa
Sanskrit dan masuk ke bahasa Melayu menerusi bahasa tamil, tetapi pengisiannya tidak
menurut puisi Sanskrit atau Tamil (Za’ba: 1965). Ia merupakan pinjaman dari segi istilah saja.
Gurindam merupakan sejenis puisi yang tidak terikat atau tiada tentu bentuknya (sama ada
terikat atau tidak). Bentuk yang terikat biasanya terdiri daripada dua baris serangkap, hampir
sama dengan syair dua baris atau nazam. Bentuk yang tidak terikat tergolong sebagai puisi
bebas,sama ada berangkap atau tidak; jika berangkap tidak tentu jumlah baris serangkap,
jumlah perkataan sebaris; dan mempunyai rima atau tidak.
Puisi jenis gurindam dirujuk kepada “Gurindam Dua Belas” karya Raja Ali Haji.
Meskipun terdapat unsur bebas dalam gurindam berkenaan, seperti tidak ditentukan jumlah
perkataan bagi setiap baris, tetapi unsur-unsur terikatnya lebih banyak. Gurindam adalah puisi
dua-dua baris, rima akhir bagi dua baris adalah sama dan tiada had bagi jumlah keseluruhan
barisnya. Dalam setiap dua baris itu terdapat timbal antara baris pertama dan baris kedua.
Dalam gurindam juga kadang-kadang terdapat ciri puisi seperti asonansi, aliterasi, dan gaya
bahasa tertentu. Sesebuah gurindam sarat dengan tema dan perutusan yang bersifat nasihat,
keagamaan, dan pengajaran. Contohnya:
Ini Gurindam Fasal yang Kesembilan
Tahu pekerjaan tak baik tetapi dikerjakan,Bukannya manusia iaitulah syaitan.Kejahatan seorang perempuan tua,Itulah iblis punya penggawa.Kepala keadaan hamba-hamba raja,Di situlah syaitan tempatnya manja.Kebanyakan orang yang muda-muda,Di situlah syaitan tempat berkuda.Perkumpulan lelaki dengan perempuan,Di situlah syaitan punya jamuan.Adapun orang tua yang hemat,Syaitan tak suka membuat sahabat.Jika orang muda kuat berguru,Dengan syaitan jadi berseteru.
Sumber: dipetik daripada Harun Aminurrashid, (penye.), 1990 dalam Kajian Puisi Melayu. Singaura: Pustaka Melayu.
Syair
Walaupun berasal dari Arab-Parsi namun syair Melayu tidak beracuan syair daripada tradisi
Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu
(Harun Mat Piah, 1989).
Orang Melayu mula berkenalan dengan syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam
Melayu melalui pengkajian kitab yang terdapat bentuk syair seperti kitab Al-Luma’, Fusus al-
Hikam, Al-Insan al-Kamil yang dibawa oleh pengembang agama Islam ke Melaka. Syair
berbahasa Arab yang terawal ialah catatan batu nisan Sultan Malik al-Saleh (1297 M) di
Pasai.
Selepas itu terdapat syair berbahasa Melayu yang pertama di batu bersurat atau prasasti Minye
Tujuh (1380 m). Dalam Sulalatus Salatin Sejarah Melayu terdapat penggunaan syair, sama
ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu. Dalam perkembangan persuratan Melayu
selanjutnya, Hamzah Fansuri, seorang tokoh ulama dan pujangga melayu merupakan individu
yang telah menghasilkan syair dalam bentuk yang lebih Melayu dengan cukup berkesan dan
ilmiah temanya. Selepas itu, syair terus berkembang pesat dengan bentuk yang lebih mantap
dan tekal. Semenjak itu, syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab yang
menjadi tiruannya.
Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a.
Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat juga variasi-
variasi bentuk yang lain.
Menurut Harun Mat Piah (1989), syair dalam bahasa melayu mempunyai beberapa variasi
yang bergantung kepada bentuk rimanya iaitu:
i. Dua baris serangkap dengan rima a/b, (memerlukan beberapa rangkap)
ii. Tiga baris serangkap dengan rima a/a/b.
iii. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/a.
iv. Empat baris serangkap dengan rima a/b/a/b.
v. Empat baris serangkap dengan rima a/a/b/b.
vi. Empat baris serangkap dengan rima a/a/a/b, c/c/c/d, d/d/d/d dan seterus nya.
vii. Empat baris seirama (monorhyme).
viii. Empat baris berkait.
Menurut Harun Mat Piah(1983), variasi bentuk syair ini membuktikan bahawa syair tidak
terhad kepada satu bentuk sahaja walaupun bentuk empat baris serangkap, dengan rima a/a/a/a
lebih luas digunakan. Berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema
yang berbentuk cerita(bukan naratif) iaitu syair romantis, syair panji, syair sejarah, syair
keagamaan, dan syair kiasan. Manakala syair bukan cerita ialah syair agama, syair nasihat dan
tema-tema lain yang berasingan. Contohnya:
Syair Kelebihan Ilmu: Ilmu Itu Bekalan Hidup
Berkata ilmu akulah sultan,Kerajaan aku darat dan lautan,Jahil berseru akulah syaitan,Ikutlah aku merata hutan.Ilmu itu gemala sakti,Sinarnya cerah cahaya sejati,Asal puncanya lamun didaati,Sukar bercerai sehingga mati.Harganya tidak dapat ternilaikan,Sebuah dunia belinya bukan,Kuasanya bersukat digunakan,Di laut, di darat, di rimba dan pekan.Jasa seorang ialah taulan,Teman berbeka suluh berjalan,Jasa berhimun ialah pengenalan,Hiasan penyata polan si polan.
Sumber: dituturkan oleh Haji Abd. Rahim Shafie, Langkawi, Kedah keada Wahyunah Haji Abd. Gani dan Mohamad Shaidan (peny.), 2000 dalam Puisi Melayu Lama Berunsur Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Fungsi syair dalam masyarakat
i. Sebagai hiburan – sesuai dengan sifatnya yang demikian maka syair sering dilagukan
dalam majlis-majlis tertentu seperti dalam pesta dan keramaian, dipertandingkan atau
dalam upacara-upacara adat.
ii. Alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang
menyentuh aspek pengajaran agama Islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat,
puasa dan sebagainya. Kemerduan suara “tukang lagu” dan kelembutan nada syair
berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam.
iii. Berfungsi dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan masyarakat/
iv. Ketika sambutan maulud/
v. Dinyanyikan atau dilagukan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dalam
dabus dan boria.
vi. Digunakan dalam adat perkahwinan
Endoi
Endoi berasal daripada kata “endul” yang bermaksud buaian (Harun Mat Piah, 1989). Endoi
merupakan tradisi lisan berbentuk perbuatan yang disambut oleh masyarakat Melayu dalam
majlis keramaian seperti kenduri kahwin untuk memeriahkan suasana. Endoi sebagai bentuk
puisi tumpang menggunakan bentuk syair, nazam dan juga antun sebagai wadah
penyampaiannya.
Antara persoalan yang disampaikan dalam puisi endoi ialah menceritakan salasilah dan
riwayat hidup Rasulullah s.a.w. menceritakan kisah-kisah nabi, menyampaikan nasihat kepada
anak-anak agar berbuat baik, berbudi bahasa dan menghormati ibu bapa, dan memperkatakan
tentang pengajaran Islam seperti rukun islam, dan kitab suci al-Quran.
Secara khususnya, endoi berfungsi untuk menyatakan rasa kesyukuran ibu bapa atas kelahiran
anak sulung yang diadakan ketika upacara bercukur rambut anak yang berusia tujuh hari.
Selain itu, puisi ini juga bertujuan untuk memberikan panduan dan pengajaran kepada
masyarakat khalayaknya. Contohnya:
Ucapan Mencukur Rambut Budak Kecil
BismillahirrahmaanirrahimLailahaillallah, Muhammadar RasullullahBismillah itu permulaan nama,
Keadaan zatnya bersama-sama,Zahirnya sifat menyatakan isma,Kadim dan taat setia lama.Hai segala nur-ul-khatam,Dipecahnya empat nazirnya Adam,Dipecahnya pula sekian alam.Rahim bapamu turun ke ibumu,Empat puluh hari nutfah namamu,Delapan puluh hari alqah namamu,Seratus dua puluh hari alamah namamu.
Sumber: Dipetik daripada Majlis Peperiksaan Malaysia (peny.) 1996 dalam Warna Sari Sastera Melayu Tradisional. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Fajar Bakti.
Rejang
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun yang menggunakan nama hari atau hari bulan
berdasarkan firasat, reaksi dan kepercayaan tertentu. Hari atau hari bulan dikaitkan dengan
nama-nama binatang, buah-buahan dan tumbuh-tumbuhan.
Istilah rejang mengikut Wilkinson, ada kaitannya dengan ramalan bintang atau astrologi
(Mohd. Yusof Md. Nor dan Abd. Rahman Kaeh, 1985). Biasanya , masyarakat di Nusantara
ini mempunyai cara-cara yang tertentu untuk meramal hari-hari yang baik dalam sebulan. Hal
ini dapat dilihat dalam puisi rejang seperti Ketika Rejang yang dikatakan ada hubungan
dengan hubungannya dengan ramalan waktu manakala Rejang Ketika dikaitkan pula dengan
raksi (nasib baik atau buruk mengikut perkiraan waktu).
Rejang menumpang bentuk syair atau pantun. Oleh itu, genre ini hampir menyerupai bentuk
pantun dan syair, Cuma berbeda pada rima akhir yang tidak tetap, sedangkan pantun atau
syair memiliki rima yang tetap.
Ciri-ciri rejang ialah rejang terdiri daripada empat baris serangkap, dua baris pertama
merupakan pembayang dan dua baris berikutnya merupakan maksud. Bahkan kalau diteliti
lebih lanjut, rejang ini hampir sama dengan pantun berkait. Selain itu, dua baris pertama tidak
berhubungan langsung, tetapi ada pula yang berhubungan seperti syair. Biasanya, pengisian
dalam rejang membicarakan hal-hal yang berhubungan dengan agama, nasihat, teladan dan
pengajaran.
Contohnya:
Rejang Hari Bulan
Tujuh hari bulan rejangnya tikus,Tikus jantan masuk penjara,Kalau terkenang sifat yang bagus,Hilanglah akal lenyap bicara.Tikus jantan masuk penjara,Penjara besar besi kursani,Hilanglah akal lenyap bicara,Dendam oi apa selaku ini.Penjara besar besar besi kursani,Perbuatan Maharaja Jaya Dewata,Dendaru oi apa selaku ini,Tidur berendam airnya mata.
Sumber: dipetik daripada Ampuan Hj. Brahim bin Ampuan Hj. Tengah, 1999 dalam “Syair Rejang, Penyelenggaraan dan Analisis Teks” Disertasi Ph.D. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nazam
Nazam berasal daripada istilah Arab nazam yang bererti puisi. Sejenis puisi yang terikat.
Bentuk puisi ini biasanya digubah oleh ulama menurut kaedah dan pertimbangan puisi Arab.
Temanya selalu berhubung dengan keagamaan, pendidikan, dan keilmuan. Antara ciri-ciri
khasnya ialah terdiri daripada dua baris serangkap dengan jumlah perkataan dan suku kata di
dalam sebaris antara 10-12 suku kata. Yang kedua, skema rimanya ialah a/a, b/b, c/c, serima
(monorhyme) dan seterusnya. Isinya pula menyentuh tentang hal-hal agama. Isinya tidak
sempurna dalam dua baris; dan puisi bentuk nazam ini boleh dibawa secara berlagu seperti
nasyid dan qasidah. Tema dalam puisi nazam selalunya berhubung dengan persoalan
keagamaan, pendidikan, dan keilmuan. Ada juga yang bertemakan nasihat, akhlak dan
sebagainya.
Mesej yang terkandung dalam nazam menggambarkan fungsinya yang tersendiri antaranya
menyampaikan peristiwa sejarah seperti hal-hal yang berkisar dengan perjalanan hidup atau
riwayat Nabi muhammad s.a.w, menyamaikan pengajaran agama seperti ilmu tauhid, dan
menyampaikan nesihat dan pendidikan.
Penyebaran dan fungsi nazam dalam kehidupan masyarakat Melayu tidaklah seluas pantun
dan syair. Pada umumnya nazam digunakan dalam menyampaikan ajaran Islam yang meliputi
perihal Nabi Muhammad s.a.w., pelajaran tauhid, fikah, dan rukun iman. Bentuk nasyid dan
zikir menjadi wadah penyebaran nazam dan biasanya disamakan dalam majlis-majlis
keagamaan seperti sambutan awal Muharam, Maulidur Rasul, khatam al-Quran, berendoi dan
sebagainya. Contohnya:
Nazam Ajal
Kalau sungguh kamu yakin,Jangan kamu lalai pada nafsu hati.Benar tidak bila ada amal kamu,Puas hati tidak sesalkan dirimu.Ingat-ingat hai saudara masa itu,Nyawa sampai batang leher baru tentu.Kita ini akan matilah sudahnya,Tidak tahu bila samaikan ajalnya.Pahit mati itu bukan macam jadam,Bukan pula macam api boleh padam.Oleh itu mari kita sama-sama,Buat amal jangan leka jangan lena.Pada Tuhan kita datanglah asalnya,Pada Tuhan kita kembalilah sudahnya.Sumber: dipetik daripada Md. Ali Bachik (Iladam), 1989. himpunan Puisi Klasik. Shah Alam: Marwilis Publisher.
Dikir/Zikir
Menurut Harun Mat Diah (1989), dikir berasal daripada perkataan Arab, zikir yang bermakna
puji-pujian terhadap Allah s.w.t. dan rasul-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Dalam perkembangan
puisi Melayu tradisional, puisi dikir/zikir bermakna puisi puji-pujian. Dikir/zikir juga
merupakan puisi yang mengandungi isi tentang unsur-unsur agama, sama ada tentang ibadat,
puji-pujian, pengajaran atau tentang Nabi Muhammad s.a.w. dan ajaran-ajarannya.
Dari segi bentuk, dikir/zikir merupakan puisi bebas. Jumlah baris dalam serangkap, jumlah
perkataan dan suku kata dalam sebaris, tidak tentu. Begitu juga rangkapnya; mungkin
mempunyai atau tidak mempunyai rangkap. Dikir/zikir biasanya terdiri daripada ungkapan-
ungkapan sejajar yang puitis, dan tidak terikat kepada bentuk yang tertentu. Kadang-kadang
dikir/zikir mengambil bentuk-bentuk puisi yang lain seperti pantun, syair, mantera dan nazam.
Puisi ini dinamakan dikir kerana setiap ungkapan atau kata-kata maksud atau isi puisi yang
dipaparkan diselang-selikan dengan kata-kata atau ungkapan puji-pujian terhadap Allah s.w.t.
dan Nabi Muhammad s.a.w. Pada permulaan puisi, ungkapan puji-pujian (zikir) terhadap
Allah s.w.t. dan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w. (selawat) disusun sehingga
membentuk satu rangkap yang tersendiri. Rangkap ini diulang-ulang sehingga adakalanya
beberapa rangkap sebelum rangkap isi.
Dikir/zikir tergolong dalam kesusasteraan rakyat kerana penyebarannya dilakukan secara
lisan. Berdasarkan isinya, dikir/zikir berfungsi sebagai alat pendidikan atau didaktik iaitu
mengingati khalayaknya tentang perkara-perkara yang baik dan yang perlu diikuti, serta
menjauhi perkara-perkara yang buruk atau dilarang sama ada dari aspek agama (Islam) atau
nilai masyarakat.
Selain itu, dikir/zikir juga sebagai ejen penyebaran dan pemantapan nilai-nilai positif dan
akhlak yang baik keada masyarakat khalayaknya, di samping sebagai pengawal nilai sosial
dalam masyarakat seperti nilai kerjasama, hormat-menghormati, bertolak ansur dan
sebagainya.
Dikir/zikir dituturkan dalam upacara yang tertentu, seperti dalam tarian dabus, permainan
kompang/hadrah, dan upacara sambutan maulidur Rasul. Dikir/zikir yang diucapkan atau
yang dinyanyikan dalam upacara maulidur Rasul biasanya mengandungi unsur dakwah, dan
isinya penuh dengan puji-pujian dan kemuliaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. selain itu
dikir/zikir sebagai alat hiburan di majlis-majlis sosial seperti majlis sambutan pembesar,
majlis perkahwinan dan sebagainya. Akhir sekali, dikir/zikir sebagai gambaran masyarakat
terutama dalam aspek kebahasaan dan nilai-nilai estetika. Contohnya:
Dikir Dabus
Allah hee Allah huu ya Allah,Baddal hee ya maula,Allah hee Allah huu ya Allah,Hudal le ma ti habur sere ya Allah.Allah humma salli Allah,Allah he salli dona Allah,Allah Muhammadun sahu ya Allah,Hee Allah Allah wabiza aalihi.Pada kasih penghulu kita Muhammad,Cahaya bulan empat belas petunjuk yang sempurna,Hati rindu kepada Nabi Muhammad,Sentiasalah didapat daripada yang sempurna. Allah hee Allah huu ya Allah,Baddal hee ya maula,Allah hee Allah huu ya Allah,Hudal le ma ti habur sere ya Allah.
Sumber: didokumentasikan oleh Ahmad Ali Salikin, 1996. Lumut, Perak.
Rubai
Rubai berasal daripada sastera Parsi dan merupakan puisi tertua dalam bahasa tersebut.
Apabila Parsi menerima Islam, puisi tersebut menjadi sebahagian daripada puisi warisan
Islam. Tokoh yang identik dengan rubai ialah Omar Khayyam (1132). Puisi rubai diterjemah
ke dalam bahasa Inggeris oleh Edward Fitzgerald (1809-1883) dan ini menjadikan rubai Omar
Khayyam begitu terkenal. Rubai dalam bahasa Melayu pertama kali diperkenal oleh Bukhari
al-Jauhari dalam teks Taj al-Salatin. Rubai karya Omar Khayyam pula telah diterjemah ke
bahasa Melayu oleh tokoh bahasa dari Johor iaitu Mejar Dato’ Muhammad Said bin Haji
sulaiman (1868-1955) berdasarkan versi Inggeris yang diterjemah oleh Edward Fitzgerald.
Dalam Kamus Umum Indonesia, rubai dikatakan sebagai puisi Arab empat baris. Ada sarjana
mengatakan rubai berbentuk sajak yang terdiri daripada empat baris (a/a/a/a) yang selalunya
bertujuan falsafah atau tasawuf serta membentuk epigram. Daripada segi cirinya, pola rima
a/a/b/a atau a/a/a/a; jumlah barisnya terdiri daripada empat baris serangkap; menakala suku
katanya ialah antara lapan hingga dua belas suku kata. Isinya dalam satu rangkap, dan
temanya membawa persoalan yang bersifat falsafah, agama, nasihat dan sejarah.
Dalam puisi Melayu tradisional, pengisian dalam rubai selalunya bertemakan falsafah,
persoalan tasawuf, agama, nasihat, dan sejarah. Puisi rubai bertujuan untuk panduan
pendidikan. Contohnya:
Kemuliaan Insan
Peri permulaan keadaan insan,Itulah ingatkan dirimu yang berirfan,Supaya mengetahui perinya ini,Dengan takdir lagi dengan ihsan.
Masnawi
Masnawi identik dengan penyair terkenal Parsi, Jalaluddin al-Rumi (1207-1273 M), terutama
dalam karya agungnya Mathnawi Ma’nawi. Sebagai puisi yang bersumberkan puisi Arab-
Parsi, masnawi tidak popular dalam kalangan masyarakat Melayu, dan Oleh sebab itu, genre
ini tidak berkembang.
Masnawi dalam bahasa Melayu diperkenalkan oleh Bukhari al-Jauhari menerusi karangannya
Tajus Salatin. Puisi ini berbentuk bebas dari aspek baris, perkataan dan suku kata dalam
sebaris. Walaupun begitu, terdapat pengawalan pada rima akhirnya seperti a/a, b/b, c/c, dan
seterusnya. Genre puisi ini bertemakan puji-pujian tentang kehandalan, kekuatan, kepandaian,
dan kemayhuran seseorang tokoh.
Secara keseluruhannya, masnawi berfungsi sebagai panduan, pengajaran, dan nasihat kepada
khalayaknya. Contohnya:
Budi
Dengarlah olehmu, hai yang budiman,Budi itulah sungguh pohon ahsan,Kerana ahsan itu puri budilah,Jika lain maka lain jadilah,Orang yang berbudi itu kayalah,Yang bukan berbudi itu papalah,Jikalau kau dapat harta alam ini,Dan budi kurang padamu di sini,Bahawa ke sini jua namamu,Dan segala ke sini pun adamu,Jika kamu mahu menjadi kaya,Mintalah budi bagimu cahayai,Hai Tuhanku, Bukhari yang biasa,Minta selamat budi sentiasa,Sudah taju’ssalatin fi’lawhir,Dan Bukhari dengan taju itu fakir,Seribu syukur keada Tuhannya.
Sumber: Khalid M. Hussain(penye.), 1996. Karangan Bukhari al-Jauhari, Tajus Salatin, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ghazal
Ghazal bermaksud puisi bersifat cinta. Puisi yang berasal dari Parsi ini merupakan sejenis
nyanyian dalam kalangan orang muda yang dalam percintaan. Sajak puisi ini terdapat pada
kata yang di belakang.
Bagaimanapun, secara umumnya puisi ini berpolarimakan a/a, yang diulang-ulang.
Perulangan juga secara a b, b c, c d dan seterusnya; baris-barisnya terdiri dariada ayat yang
panjang-panjang. Perkataannya tidak disukat banyaknya, dan terdiri dariada 20 hingga 22
suku kata. Panjangnya dalam lingkungan belasan baris. Pada bahagian akhir, pengubahnya
menyelitkan namanya sebagai peleraian (takhallus). Tema ghazal berkaitan dengan persoalan
cinta, sama ada cinta sesama manusia ataupun cinta manusia terhadap Tuhan.
Pada umumnya, puisi ghazal berperanan sebagai alat komunikasi yang menyatakan cinta dan
kasih sayang.
Berzanji
Pada dasarnya, berzanji boleh didapati dalam bentuk iaitu berzanji nathar (bentuk prosa
berirama) dan bentuk puisi. Sebagai puisi tumpang, berzanji menggunakan bentuk nazam dan
syair yang dilagukan. Rima akhir sesuatu rangkap atau rawi dalam bacaan berzanji ini adalah
a/a/a/a, sama ada dalam ejaan asalnya (jawi) mahupun dalam terjemahan bahasa Melayu.
Berzanji bertemakan keagungan Allah dan puji-pujian terhadap Nabi Muhammad s.a.w.
Berzanji biasanya dilagukan untuk majlis-majlis seperti sambutan mauludur Rasul, majlis
perkahwinan (ucapan untuk pasangan pengantin), majlis bercukur rambut dan majlis khatam
al-Quran.
Qit’ah
Qit’ah mula diperkenalkan dalam bahasa Melayu melalui Tajus Salatin. Qit’ah bererti
potongan, keratan atau sebahagian. Justeru, bentuknya ringkas; minimum dua baris dan tidak
sampai sepuluh baris. Sungguhpun begitu, terdapat juga qit’ah yang ditulis dalam keadaan
terkawal, yakni empat baris dalam satu rangkap.
Puisi qit’ah ini diletakkan dalam kategori sajak yang separuh terikat. Cirinya hampir seperti
syair dari segi pola rimanya, namun kadang-kadang ada kelainan rima pada baris yang
tertentu. Jumlah perkataan dalam satu-satu baris pula tidak ditentukan dan kadang-kadang
tidak seimbang, iaitu ada yang panjang dan ada yang pendek.
Tema qit’ah bersifat pemikiran dan renungan yang selalu membawa mesej yang bersifat luhur
dan berfikiran tinggi (falsafah). Sungguhpun begitu, makna qit’ah sukar ditafsirkan kerana
qit’ah menggunakan banyak perkataan Arab secara langsung, dan tidak menterjemahkannya.
Hal ini menyebabkan banyak orang tidak dapat memahami qit’ah lalu menyebabkan puisi itu
kurang digemari. Fungsi qit’ah ialah untuk memberikan nasihat dan pengajaran, khususnya
tentang pemikiran dalam agama. Contohnya :
Ehwal Insan
Jika kulihat dalam tanah itu pada ehwal segala yang insan,Tiadalah dapat kubezakan,Pada antara hamba dan sultan,Fana juga segala yang ada,Dengarkan olehmu Kulluman ‘alaihi fan.
Seloka
Dari segi istilah, seloka berasal daripada perkataan Sanskrit, seloka iaitu sejenis puisi yang
terdiri daripada yang terdiri daripada dua baris atau dua kerat, yang setiap satunya
mengandungi 16 suku kata, yang disusun dalam empat unit. Dalam kesusasteraan Melayu
tradisional, seloka merupakan sejenis puisi bebas dari segi rangkap (sama ada berangkap atau
tidak berangkap). Jika berangkap, tidak tentu barisnya dalam serangkap dan tidak tentu
jumlah perkataan dalam sebaris. Seloka juga boleh jadi mempunyai rima atau tidak. Seloka
biasanya memerlukan beberapa baris atau rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea
(Harun Mat Piah, 1989).
Dari segi bentuk, seloka sama sahaja seperti puisi bebas yang lain seperti gurindam, talibun
atau teromba. Walaupun begitu, jika dilihat aspek isi, puisi ini berbeza antara satu sama lain.
Dari segi isi, seloka biasanya mengutarakan isinya secara mengejek, sindiran atau dalam nada
jenaka, dan kadang-kadang mengandungi nada atau perasaan yang asyik dan berkhayal.
Oleh sebab seloka biasanya digunakan untuk menyindir atau berkias, tidaklah menghairankan
mengapa seloka mengandungi banyak peribahasa yang selalunya disusun dengan cara yang
senada atau mempunyai irama, sehingga kadang-kadang seloka sama dengan peribahasa
berirama.
Dalam hal ini, pengenal kepada peribahasa berirama ialah nada yang dibawa olehnya.
Peribahasa berirama tidak mengandungi nada-nada ejekan atau sindiran yang sinis tetapi
seloka mengandungi ejekan dan nada-nada sinis; menyindir terhadap sesuatu kelakuan
sesetengah anggota masyarakat melalui peribahasa yang disusun secara sejajar untuk
menghasilkan irama tersebut. Secara keseluruhan, seuntai seloka merujuk keada cerita jenaka
yang benar-benar dikenali dalam masyarakat seperti cerita Pak Kaduk, cerita Pak Pandir,
cerita Labai Malang dan cerita Emak Si Randang. Seloka tersebut bertujuan untuk menyindir
masyarakat yang berperangai seperti watak-watak tersebut.
Seloka biasanya mengandungi bahasa yang penceritaannya meleret-leret dan lanjut, sindir
giatnya selalu tajam dan bisa seperti mengejek, menyindir dan menempelak, dan
mengandungi perasaan yang hiba dan rawan.
Fungsi seloka amat terbatas. Secara umumnya, seloka dapat menggambarkan masyarakat
yang melahirkannya iaitu masyarakat yang amat mementingkan keharmonian dan
ketatasusilaan. Bersesuaian dengan sifat halus orang Melayu, puisi seloka digunakan untuk
mengkritik sebarang perlakuan negatif anggota masyarakat tanpa menyinggung perasaan
individu sasaran. Puisi seloka tidak digunakan secara meluas sebagaimana peribahasa atau
teromba. Fungsinya amat bergantung kepada isinya iaitu untuk menyindir, mengejek,
menempelak seseorang, melahirkan rasa benci terhadap sesuatu kelakuan manusia, memberi
pengajaran dan panduan kepada seseorang dan sebagai alat kawalan sosial atau protes sosial.
Teromba
Teromba merupakan susunan adat yang disampaikan dalam bentuk puisi. Puisi ini dikenali
juga sebagai puisi adat. Teromba dikatakan berasal daripada masyarakat Melayu
Minangkabau. Isinya mengandungi adat dan peraturan serta norma-norma hidup mesyarakat
khususnya tentang undang-undang adat yang diamalkan dalam kehiduan sosial masyarakat
yang melahirkan dan mengamalkannya.
Berdasarkan struktur visualnya, teromba tergolong sebagai puisi tidak terikat kepada
perbilangan adat atau kata perbilangan. Teromba ini ada yang berangkap dan ada yang tidak.
Jumlah perkataan dan suku katanya dalam sebaris tidak tentu. Demikian juga rima dan
jedanya, juga tidak tentu. Teromba kadangkala menggunakan juga puisi Melayu tradisional
yang lain seperti pantun, syair, rubai, talibun, dan ungkapan tradisional (peribahasa
berangkap).
Secara ringkas teromba berfungsi memberi panduan dan pendidikan tentang cara hidup atau
sistem hidup bermasyarakat yang baik dan harmoni melalui adat, peraturan dan undang-
undang dibentuk, membentuk dan membina satu masyarakat yang harmoni, mengekal norma
yang tertentu di dalam masyarakat yang telah dipersetujui oleh anggota masyarakat sejak
turun-temurun. Selain itu teromba berfungsi sebagai alat kawalan sosial terutamanya dengan
adanya adat, peraturan dan undang-undang tentang apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan
dalam hidup bermasyarakat, menggambarkan corak dan pola hidup bermasyarakat pada satu-
satu masa dan zaman, menggambarkan corak pemikiran masyarakat yang mengamalkannya,
kerana pembentukan teromba jelas berdasarkan kebijaksanaan dan pemikiran yang dalam dan
tinggi tentang falsafah hidup masyarakatnya.
Talibun
Harun Mat Piah (1989), Ismail Hamid (1987) mendefinisikan talibun sebagai puisi berangkap
tentang perincian sesuatu objek atau peristiwa, dan umumnya terdapat dalam genre lipur lara
(cerita kaba) dalam kalangan masyarakat Minangkabau.
Mohd. Taib Osman (1979) mula menamakan talibun ini sebagai “ikatan puisi bebas”. Puisi ini
menurut beliau merupakan puisi yang memakai kata-kata yang menimbulkan gambaran mata
kerana kata-kata yang digunakan dapat menimbulkan pemikiran dan pendengaran tentang
imej yang lantang dan bermakna. Baris-barisnya memberikan dua macam gambaran, iaitu
gambaran bunyi seolah-olah kita mendengarnya, dan gambaran objek-objek dalam situasinya
masing-masing. Kedua-dua gambaran ini berlatarbelakangkan alam Melayu.
Terdapat pelbagai tema talibun yang terungkap dalam cerita-cerita lipur lara Melayu yang
didasarkan kepada fungsi puisi tersebut di dalam karya atau cerita tersebut iaitu memerikan
kebesaran, kehebatan dan keagungan sesuatu tempat seperti ibu kota dan bandar, memerikan
keadaan dan kesibukan atau keajaiban sesuatu peristiwa dan suasana, memerikan kehebatan
dan kecantikan sesuatu objek seperti pakaian, manusia, sikap dan kelakuan manusia.
Selain tema, talibun juga boleh dikenal melalui penggunaan bahasa berulang yang menjadi
lumrah dalam pembentukannya. Teknik pengulangan ini bukan sahaja wujud dalam
penggunaan gaya bahasa tetapi pengulangan seluruh puisi tersebut. Wilkinsin menamakan
puisi tersebut sebagai runs, yang merujuk kepada konsep pengulangan ini. Pengulangan ini
ditambah pula dengan bentuk-bentuk pemerian yang lain sehingga terdapat pelbagai variasi
dalam bentuk seperti engulangan di bahagian permulaan tetapi di bahagian akhir telah
ditambah dengan ungkapan puisi yang lain.
Menurut Ismail Hamid (1987) pengulangan ini terjadi kerana talibun sangat mementingkan
bahasa yang berirama yang menjadi kegemaran masyarakat terutamanya dalam kalangan
masyarakat Minangkabau. Bahasa yang berirama ini digunakan secara meluas seperti
berpidato atau semasa bergurau senda.
Fungsi utama dan khusus talibun ialah untuk memerikan secara terperinci tentang sesuatu
gambaran seperti suasana, benda dan sifat manusia dalam bentuk yang ringkas, teliti dan
menyeluruh. Umumnya, talibun merupakan gambaran pemikiran masyarakat khalayak yang
mementingkan perincian tentang sesuatu, tetapi disusun dan dibentuk dengan keindahan
terutamanya dalam penggunaan gaya bahasa.
Peribahasa Berangkap
Peribahasa atau ungkapan tradisional yang mempunyai subgenre seperti bidalan, pepatah,
perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil tidak tergolong dalam genre
puisi kerana strukturnya bukan merupakan ungkapan atau kata-kata yang berangkap. Namun,
dalam pustaka puisi Melayu tradisional terdapat sejumlah besar peribahasa yang wujud dalam
bentuk puisi. Oleh itu, Za’ba (1966), Mohd. Taib Osman (1979) menamakan puisi ini sebagai
peribahasa berangkap atau peribahasa berirama.
Menurut Harun Mat Piah (1989), peribahasa berangkap ialah ungkapan peribahasa yang
terdiri sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih.
Kemungkinan baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam hubungan
yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada yang lain.
Seperti puisi-puisi Melayu yang lain, peribahasa berangkap juga boleh dikenal pasti
berdasarkan ciri-ciri yang terdapat ada aspek struktur, tema, isi, dan fungsinya.
Asas pembentukan peribahasa berangkap ialah peribahasa. Seperti bahasa lisan yang lain,
peribahasa berangkap berfungsi sebagai alat komunikasi, sama ada secara formal (digunakan
dalam adat istiadat tertentu) atau tidak formal (terutamanya untuk menyindir, menegur atau
mengkritik seseorang) dan sebagai alat pendidikan atau didaktik. Selain itu ia berfungsi
sebagai “pembebas tanggungjawab perseorangan terhadap suatu kekuasaan” (Alan Dundes,
1989). Maksud daripada kata-kata ini ialah jika mengkritik (terutamanya menunjukkan
kesalahan atau mencela) seseorang dengan menggunakan peribahasa, individu sasaran akan
lebih mudah menerima daripada dikritik atau dicela secara langsung.Oleh: Qamarul Arifin
Abdullah
Fungsi yang seterusnya ialah sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem
sosial dalam masyarakatnya. Selain itu sebagai media yang mempamerkan kebijaksanaan
penutur atau pewarisnya (juga melambangkan kebijaksanaan masyarakat khalayaknya).
Pewarisnya yang terhad menyebabkan mereka dianggap sebagai golongan yang eksklusif dan
istimewa. Semakin banyak mereka mewarisi puisi ini semakin tinggi sanjungan masyarakat
khalayaknya dan dapat menggambarkan ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya.
Peribahasa berangkap terhadap dalam teromba. Teromba hanya dimiliki oleh indivividu yang
memegang kunci adat seperti ketua adat atau ketua lembaga. Oleh itu penguasaan uisi ini
sekali gus dapat menunjukkan ketinggian status seseorang dalam masyarakatnya.
Mantera
Mantera dikenali sebagai jampi, tawar, sembur, cuca, uja, seru, dan tangkal. Genre ini
merupakan antara puisi Melayu tradisional yang popular di kalangan masyarakat Melayu
selain pantun dan syair, walaupun penggunaannya lebih eksklusif, kerana mentera hanya
dipunyai dan dituturkan oleh orang tertentu sahaja seperti pawang dan bomoh. Apabila
dituturkan, mantera dipercayai dapat menimbulkan kuasa ghaib atau konotasi magis untuk
tujuan perubatan seperti untuk menyembuhkan penyakit (Harun Mat Piah, 1989).
Dari segi bentuk, mantera merupakan jenis puisi bebas yang tidak terikat sama ada dari segi
rangkap, baris, dan jumlah perkataan dalam sebaris atau urutan rimanya. Dari segi
penggunaan bahasanya, mantera digubah bahasa khusus dan sukar difahami oleh kebanyakan
orang. Malahan, pawang atau bomoh sendiri pun, jika ditanya makna bahasa tersebut tidak
dapat menerangkannya. Oleh itu, mantera sangat terbatas penggunaannya. Mantera juga tidak
boleh dituturkan sewenang-wenangnya tanpa bersebab kerana bahasa mantera dianggap
keramat dan tabu.
Mantera biasanya dicipta oleh pawang atau bomoh yang kemudiannya diturunkan kepada
orang yang dipercayai dan orang yang akan menggantikan mereka dalam bidang perpawangan
atau perbomohan. Pawang atau bomoh ini merupakan orang perantaraan antara manusia dan
kuasa ghaib yang dipercayai dapat memberikan kesan kepada kehidupan masyarakat.
Mantera juga merupakan puisi yang diwarisi daripada zaman purba yang sangat bergantung
hidup dengan unsur-unsur alam. Tetapi jika berdasarkan perkembangan tamadun sekarang,
mantera mungkin tidak lagi dicipta; tidak seperti pantun dan syair yang masih terus dicipta
dan digunakan dengan meluas. Walaupun mantera telah tercipta sejak zaman bahari lagi,
namun dengan kedatangan Islam, pengaruh Islam telah diserapkan ke dalam bentuk mantera
dengan menambah nama-nama atau istilah-istilah yang ada kaitannya dengan Islam.
Mantera dapat dibahagikan keada empat jenis berdasarkan tujuan mantera tersebut diucapkan
iaitu perubatan, pakaian diri, pekerjaan dan adat istiadat.
Isi mantera biasanya mengandungi kata-kata puji-pujian yang mengandungi irama dan nada
yang tertentu. Tujuan mantera ialah untuk menyembuhkan penyakit dan menghalau makhluk
halus yang dipercayai mendiami sesuatu tempat atau yang mengganggu kehidupan seseorang
dan masyarakat. Mantera juga dijadikan pemanis, pengasih dan pembenci. Terdapat juga
penggunaan mantera dalam upacara-upacara seperti adat dan istiadat.
Mantera tidak boleh digunakan secara sembarangan, secara umumnya, mantera masih lagi
menepati fungsi puisi iaitu sebagai alat pendidikan, alat pemantapan sesuatu sistem, nilai, dan
norma masyarakat khalayaknya, gambaran sistem projeksi masyarakat termasuklah aspek
keindahan dan alat pengesahan sesuatu institusi masyarakatnya.
Mantera untuk perubatan berfungsi untuk menyembuhkan penyakit, mantera pendinding
berfungsi untuk melindungi khalayaknya daripada sebarang unsur jahat atau berfungsi untuk
memberi keluarbiasaan dan keistimewaan kepada pengamal dan khalayaknya, mantera
pekerjaan digunakan dalam pekerjaan supaya setiap usaha yang dilakukan dapat
menghasilkan sesuatu yang lumayan, dan mentera adat istiadat pula digunakan dalam upaca-
upacara adat dan istiadat. Perwarisan mantera haruslah melalui upacara-upacara yang tertentu
sesuai dengan genre mantera itu sendiri sebagai puisi yang bercorak sakral dan penuh dengan
pantang larang.
Teka-teki
Berbeza dengan puisi-puisi yang lain, teka-teki merupakan puisi lisan yang popular. Teka-teki
dalam sastera tradisional terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu prosa dan puisi. Teka-teki
yang tergolong dalam bentuk puisi mungkin ditemui dalam bentuk syair dan pantun atau
dalam ungkapan-ungkapan puitis yang lebih bebas seperti talibun, sesomba atau gurindam.
Sejenis puisi yang tidak terikat; terdiri daripada sebaris atau beberapa baris yang berturutan,
sama ada berangkap atau tidak. Jika berangkap, tidak tentu jumlah baris serangkap, jumlah
perkataan sebaris, mempunyai rima atau tidak. Tiap-tiap baris atau serangkap dapat
menyatakan satu keseluruhan idea.
Secara umumnya, teka-teki berfungsi sebagai bahan hiburan dan pengisi masa lapang bersama
keluarga atau sahabat handai. Kadang-kala teka-teki membawa nada jenaka, ada juga yang
menguji kecerdikan dan akal fikiran, malahan dapat meningkatkan daya kreativiti kanak-
kanak juga orang dewasa.
Sesuai dengan fungsinya, teka-teki membawa pelbagai tema. Bagaimanapun, penumpuan
lebih kepada benda-benda yang paling hampir dengan kehidupan manusia sehari-hari dan
alam sekeliling. Pencita teka-teki adalah seorang pemerhati yang peka dan seniman yang
aktif.
Dua buah antologi teka-teki yang terkenal ialah Teka-Teki yang diselenggara oleh O.T.
Dessek(1918) dan Kitab Gemala Hikmat oleh Sulaiman bin Muhammad, Nur oleh Munsyi
Sulaiman(1907) dan Teka-Teki Warisan oleh Inon Shaharuddin Abdul Rahman(1988).
Kesimpulan
Puisi adalah karya sastra padat yang sangat hemat menggunakan kata-kata. Kekuatannya
terletak pada kata-kata yang dipilih, dengan prinsip sedikit kata tapi banyak makna. Dengan
kata lain, bisa disimpulkan bahwa puisi adalah karangan yang terikat oleh pemilihan diksi,
rima dan suku kata dengan bentuk yang berangkap. Karakter puisi yang seperti ini
mengharuskan penulis atau pengarangnya memiliki pemikiran yang dalam, dengan sensitifitas
perasaan yang tinggi. Disamping kedalaman makna, dalam puisi juga terkandung keindahan
kata.
Pertumbuhan puisi dimulai dari ungkapan dengan susunan kata dan makna estetis yang
sederhana, seperti: ada ubi ada talas, ada budi ada balas. Seiring perkembangan, susunan
kata dan makna estetisnya semakin dalam dan rumit. Dalam kehidupan sehari-hari, puisi
tersebut diciptakan dan berkembang bukan sekedar untuk hiburan, tapi juga sebagai alat
pengajaran dan alat berkomunikasi, baik secara umum maupun khusus untuk ritual
keagamaan dan upacara adat. Ada banyak jenis puisi yang berkembang dalam masyarakat
Melayu. Berdasarkan aspek keasliannya, jenis puisi dapat dibagi dua: puisi asli Melayu dan
yang berasal dari tradisi asing.
Secara umum, genre puisi Melayu asli adalah pantun, gurindam, seloka, mantra, teromba
(puisi adat) dan peribahasa. Sedangkan puisi Melayu yang mendapat pengaruh asing adalah
syair, nazam, rubai, ghazal, barzanji dll. Berdasarkan bentuknya, ada puisi yang berbentuk
bebas dan ada pula yang terikat. Puisi bebas adalah puisi yang tidak terikat pada rangkap,
baris, jumlah perkataan, suku kata dan rima yang tetap. Sedangkan puisi terikat sebaliknya,
terikat pada rangkap, baris, jumlah perkataan, suku kata dan rima yang tetap.
RUJUKAN.
Ahmad Kamal Abdullah. (2011). Puisi Melayu Puisi Dunia. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2007). Esok Yang Cemilang . Sebuah Antologi Peraduan Menulis Cerita Kanak-kanak Hari Guru 2004. Kuala Lumpur. DBP.
Dewan bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan ( Edisi Keempat). Kuala Lumpur. DBP.
Hashim Awang. (1985). Mendekati kesusasteraan Melayu. Kuala Lumpur. Penerbitan Fajar Bakti.
Siti Aisah Murad. (2010). Kesusasteraan Melayu Moden 1970-1979. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.