Transcript

Perangkaan kes babit golongan pelajar naik sekali ganda tahun lalu

KUALA LUMPUR: Perlakuan jenayah di kalangan remaja termasuk pelajar sekolah semakin membimbangkan apabila perangkaan menunjukkan peningkatan hampir sekali ganda bagi kes yang dilaporkan sepanjang tahun lalu, berbanding 2009.

Perangkaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sepanjang 2009, sebanyak 3,654 kes di kalangan remaja termasuk jenayah berat seperti rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan dilaporkan dengan 1,409 kes membabitkan pelajar sekolah.

Bagi sepanjang tahun lalu pula, 5,165 kes di kalangan remaja dilaporkan, masing-masing 1,947 kes membabitkan pelajar dan 3,218 kes oleh bukan pelajar, iaitu peningkatan 38 peratus dan 43 peratus berbanding 2009.

Perangkaan pada 2009 juga menunjukkan 3,263 kes membabitkan pelajar dan 4,497 kes bukan pelajar ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah di seluruh negara, manakala 3,701 pelajar dan 4,404 bukan pelajar ditahan tahun lalu.

Sementara itu, bagi lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 585 kes jenayah dilaporkan di kalangan pelajar, manakala 1,048 bukan pelajar dengan masing-masing membabitkan 2,426 tangkapan.

Berikutan peningkatan kes di kalangan remaja termasuk pelajar yang semakin membimbangkan, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata Mesyuarat EXCO MCPF bersetuju menjadikan belia sebagai fokus dalam program anjurannya tahun ini.Katanya, tumpuan utama program yang akan dilaksanakan adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan mengambil berat serta mengetahui aktiviti anak mereka kerana didikan awal bermula dari rumah.

Beliau berkata, sebagai permulaan, MCPF menganjurkan satu perhimpunan membabitkan remaja dan belia di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 23 Julai ini, yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Program besar-besaran itu bertemakan Remaja Bersatu, Memerangi Jenayah bertujuan memberi kesedaran kepada golongan terbabit supaya menjauhkan diri terbabit dalam aktiviti tidak sihat, katanya.

Sementara itu, dalam usaha menangani masalah sosial di kalangan remaja dan kanak-kanak, Lee berkata, beliau sendiri menghantar kakitangan MCPF membuat pemantauan di kafe siber sekitar Lembah Klang dan hasilnya amat membimbangkan apabila ia sering dikunjungi golongan terbabit yang menghabiskan masa bermain permainan video dalam talian.

Hasil pemantauan itu, kita akan membuat rumusan sebelum mengkaji jalan penyelesaian bersama pihak berkaitan termasuk ibu bapa dalam usaha menangani masalah sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja, katanya


Top Related