Download - Kelemahan & Kekuatan teori konstruktivisme
KEKUATAN TEORI KONSTRUKTIVISME
Berfikir merupakan alam proses membina pengetahuan baru, melalui teori
konstruktivisme kita dapat lihat bahawa murid perlu berfikir sendiri bagi
menyelesaikan masalah. Hal ini akan menjana idea murid-murid dalam membuat
sesuatu keputusan. Teori ini menitikberatkan penglibatan murid-murid berfikir secara
aktif dalam menyelesaikan masalah yang mana menuntut kebolehan berfikir pelajar
yang lebih tinggi. Sebagai contoh guru memberi sesuatu topik yang umum untuk
mereka bincangkan secara kritis dan kreatif. Guru hanya sebagai pemerhati dan
pembimbing. Murid-murid sendiri yang perlu melahirkan dan melontarkan idea-idea
mereka.
Kekuatan seterusnya bagi teori ini ialah murid lebih mudah memahami sesuatu ilmu
baru. Hal ini kerana, guru merupakan penolong, pemudahcara dan perancang. Guru
hanya berperanan menyampaikan teori pengajaran dan menghubungkait dengan
pengalaman murid untuk pemahaman. Guru memilih idea yang terdekat dengan
prinsip yang hendak diajar kepada murid. Ini bermakna, pelajar memainkan peranan
utama dalam aktiviti pembelajaran. Mereka melibatkan diri secara langsung dengan
penyelesaian masalah yang dilaksanakan dalam kelas. Sudah tentu ini
membolehkan mereka lebih memahami pelajaran tersebut dan boleh mengapliksikan
pelajaran tersebut dalam kehidupan.
Kekuatan atau kelebihan yang terdapat di dalam teori ini ialah nilai koperatif dan
kolaboratif diterapkan di dalam diri murid-murid. Hal ini kerana, murid akan diminta
bekerjasama dalam kumpulan untuk memberikan hipotesis mereka sendiri berkaitan
dengan sesuatu topik pelajaran yang dipelajari. Kaedah ini adalah sangat bagus
kerana boleh memotivasikan pelajar, membimbing, dan menggalakkan pelajar
melibatkan secara aktif dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Oleh kerana
murid terlibat secara langsung dengan aktif, mereka akan ingat lebih lama semua
konsep yang dipelajari mereka.
Selain itu, kemahiran sosial juga dapat diperolehi melalui teori ini. Hal ini kerana
kemahiran sosial ini diperolehi apabila berinteraksi dengan rakan dan guru dalam
membina pengetahuan baru sebagai contoh aktiviti berdiskusi atau berbincang. Ini
akan menjadikan murid lebih kendiri dan berfikiran matang dalam mengetengahkan
pedapat dan berfikiran terbuka menerima pendapat orang lain. ia juga dapat
menanamkan sikap sosial yang positif dalam kalangan murid-murid.
Tambahan lagi, teori konstruktivisme ini juga tidak menggunakan kaedah atau teknik
tradisional seperti syarahan, menghafal dan mengingat. Murid mendapat ilmu
pengetahuan berdasarkan pengalaman yang dibina di dalam minda mereka
bukannya yang wujud luar daripada minda mereka. Aktiviti yang dilaksanakan dan
alat bantu mengajar yang menarik serta pelbagai juga akan membuatkan murid
mudah faham dan berasa lebih seronok ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.
Oleh kerana mereka terlibat secara terus, mereka faham, ingat, yakin dan
berinteraksi dengan sihat, maka mereka akan berasa seronok belajar dalam
membina pengetahuan baru.
Teori konstruktivisme ini juga dapat meningkatkan penguasaan teknik lisan dan
bukan lisan dalam diri murid-murid. Dalam teori ini, guru hanya membentangkan teori
dan pelajar akan mengadaptasinya sendiri berdasarkan pengalaman sendiri. Mereka
akan memberi idea-idea mereka sendiri berdasarkan pengalaman tersebut.
Manakala aktiviti dalam kelas memperkukuhkan lagi pemahaman murid tersebut. Hal
ini bermakna, guru dan murid menggunakan kaedah timbal balik, di mana
penggunaan serta penguasaan teknik lisan dan bukan lisan diaplikasikan.
KELEMAHAN TEORI KONSTRUKTIVISME
Menurut Mok Soon Sang (2006), antara kelemahan teori ini adalah ketidaksediaan
murid untuk merancang strategi, berfikir dan menilai sendiri teori pengajaran
berdasarkan pengalaman sendiri. Tidak semua murid mempunyai pengalaman yang
sama atau menepati apa yang akan diajar oleh guru. Masalah ini, kadang kala
menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi tidak berkesan. Guru
sedar bahawa idea-idea sedia perlu diubahsuai, diperkembangkan atau diganti
dengan idea yang lebih saintifik oleh murid. Perkara inilah yang kadang-kadang tidak
difahami oleh murid. Tambahan pula, murid terpaksa mengenalpasti idea-idea
alternatif dan memeriksa secara kritis idea-idea sedia ada sebelum mereka
memahaminya.
Selain itu, teori konstruktivisme juga menjadi penghalang kepada kefahaman
konsep dalam pembelajaran kerana tidak selaras dengan pandangan saintifik. Oleh
yang demikian ia menimbulkan kesusahan kepada murid untuk mengasimilasikan
dan menyusun idea saintifik baru.
Kelemahan seterusnya ialah guru merasakan mereka tidak mengajar. Ini kerana
pembelajaran konstruktivis menekankan pembelajaran berpusatkan murid iaitu murid
aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi, guru hanya bertindak
sebagai tutor atau pembimbing sahaja. Murid yang memainkan peranan sendiri
dalam setiap pembelajaran yang dijalankan.
Selain itu, amalan yang dimajukan dalam pembelajaran secara konstruktivis
dianggap tidak realistik. Ini kerana kurikulum yang dibina melihatkan peranan murid
dan guru saling memberikan maklum balas dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran. Guru juga merasakan penerangan mereka tidak penting lagi. Oleh itu,
guru hanya bertindak sebagai agen pemerhati yang hanya akan membantu apabila
murid memerlukan sokongan bantuan daripada pihak lain dalam membina konsep-
konsep baru.
Di samping itu, kawalan kelas agak merosot. Hal ini kerana semua murid bergerak
secara aktif dalam membina pengetahuan mereka sendiri. Pergerakan murid
menyebabkan suasana kelas dalam kawalan menjadi tidak terkawal. Seterusnya,
guru yang sedang menukar cara pengajaran kepada pendekatan konstruktivisme
memerlukan sokongan profesionalisme serta pengukuhan keyakinan daripada pihak
sekolah.