dalam mahkamah rayuan malaysia di …m)-220-08-2015c.pdftelah menjual kereta mpv naza pfu 651 yang...
TRANSCRIPT
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
1
DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA DI PUTRAJAYA
[BIDANGKUASA RAYUAN]
RAYUAN JENAYAH NO: K-05(M)-220-08/2015
ANTARA
SHAHRIL BIN JAAFAR … PERAYU
DAN
PENDAKWA RAYA …RESPONDEN
(Dalam Perbicaraan Jenayah Mahkamah Tinggi Alor Setar No: 45B-17-04/2012
Antara
Pendakwa Raya
Lawan
Shahril Bin Jaafar)
KORUM:
MOHD. ZAWAWI SALLEH, HMR
AHMADI HJ. ASNAWI, HMR
KAMARDIN HASHIM, HMR
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
2
PENGHAKIMAN Latar belakang [1] Ini adalah rayuan perayu terhadap sabitan dan hukuman mati
yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar dengan
kesalahan membunuh di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
[2] Butir-butir pertuduhan dimana perayu telah disabitkan ialah seperti
berikut:
“Bahawa kamu di antara 14 Januari 2006, jam 5.30 petang hingga
15 Januari 2006, jam 3.05 pagi, di Kawasan Kelab Cinta Sayang,
Sungai Petani, di dalam daerah Kuala Muda, di dalam Negeri Kedah
Darulaman, telah membunuh Chee Gaik Yap, KP: 810831-02-5220
dengan itu kamu telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di
bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan.”
[3] Kami telah mendengar dan menimbangkan rayuan perayu pada
29.11.2016. Kami telah dengan sebulat suara menolak rayuan perayu
dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan
perayu dengan kesalahan yang dipertuduhkan. Kami juga mengekalkan
hukuman mati yang dijatuhkan ke atas perayu. Kini kami menzahirkan
alasan-alasan kami dalam menolak rayuan perayu.
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
3
Kes Pendakwaan [4] Seramai 15 orang saksi telah dipanggil memberi keterangan untuk
membentangkan naratif kes pihak pendakwaan. Tiada saksi mata
(eyewitness) yang melihat kejadian pembunuhan si mati dalam kes ini.
Oleh itu, kes pihak pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada
keterangan mengikut keadaan.
[5] Hakim bicara yang bijaksana telah menyimpulkan fakta ringkas
kes pendakwaan sebagaimana keterangan saksi-saksi yang dipanggil
memberi keterangan seperti berikut. Pada 14.1.2006, jam lebih kurang
5.00 petang, Chee Gaik Chun (SP6) iaitu adik kepada si mati telah pergi
berjoging bersama-sama si mati di kawasan Kelab Cinta Sayang. Pada
mulanya, mereka berjoging secara bersama. Bagaimanapun, pada satu
peringkat, si mati telah berjoging dengan laju meninggalkan SP6 di
belakang. Akhirnya, SP6 tidak lagi dapat melihat si mati yang telah
berada jauh di hadapan. Selanjutnya, SP6 melihat sebuah kereta jenis
Naza berwarna hitam dengan bercermin gelap (tinted) membuat
pusingan U di hadapan SP6 dan kemudiannya dipandu laju menuju ke
arah si mati berjoging (m/surat 87 RR Jld.2A).
[6] SP6 berasa pelik melihat kereta Naza tersebut tetapi beliau terus
berjoging. Selepas itu, SP6 ternampak getah ikat rambut bersama kasut
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
4
si mati yang mempunyai kesan darah yang agak banyak. SP6 menjadi
cemas dan terus menghubungi seorang lagi kakak sulungnya, Chee
Gaik Fong, supaya datang ke tempat kejadian untuk bersama-sama
mencari si mati. Kemudiannya, SP6 bersama Chee Gaik Fong dan
seorang adik lelaki mereka, Chee Han Keong (SP5), telah berusaha
untuk mencari si mati namun gagal menemui si mati. Mereka
kemudiannya balik ke rumah dan berbincang bersama ahli keluarga
sebelum akhirnya SP6 membuat satu laporan polis (D2 di m/surat 523
RR Jld.3) di Balai Polis Sg. Petani pada 8.30 malam hari yang sama.
[7] Hasil maklumat dari orang awam, Inspektor Hashim bin Ismail
(SP1) telah menemui mayat si mati pada 15.1.2006 pada jam 3.05 pagi.
Mayat si mati ditemui dalam keadaan bogel dan terlentang di luar pagar
Kelab Cinta Sayang.
[8] Semasa siasatan dijalankan, pihak polis telah menahan beberapa
orang yang disyaki terlibat dalam pembunuhan si mati. Perayu turut
dipanggil oleh Supt. Law Tiang Huat (SP12) untuk dirakamkan
percakapannya pada 1.3.2009 bagi membantu siasatan. Ini berlaku 3
tahun selepas mayat si mati ditemui. Pada 5.3.2009, perayu telah pergi
ke Australia dan berada di negara itu selama hampir 3 tahun. Perayu
telah ditangkap di KLIA Sepang apabila kembali ke tanah air dan telah
dipertuduhkan dengan kesalahan membunuh si mati.
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
5
[9] Pakar Forensik, Dr. Mohd Suhani bin Mohd Noor (SP4), telah
melakukan bedah siasat terhadap jasad si mati pada 15.1.2006, mulai
jam 8.20 pagi. SP4 telah menemui 50 kecederaan luaran pada jasad si
mati yang disenaraikan dalam laporan Bedah Siasat (P3 dan P4 di m/s
394 – 415 RR Jld.3). SP4 membuat rumusan bahawa kematian si mati
berpunca dari luka tikaman di bawah leher kanan. Kematian si mati
dijangkakan telah berlaku antara 9 – 15 jam sebelum bedah siasat
dilakukan.
[10] SP4 dalam keterangannya juga menyatakan bahawa terdapat
kesan kecederaan pada kemaluan dan dubur si mati. SP4 menyatakan
bahawa kecederaan-kecederaan itu telah berlaku ketika si mati masih
hidup. Saksi SP4 turut menemui bahan berwarna putih berkrim yang
dipercayai krim rambut pada kemaluan dan dubur si mati. Selain itu,
SP4 telah mengambil sejumlah 22 sampel dari badan si mati,
termasuklah contoh darah, rambut, bulu kemaluan serta swab pada
dubur dan kemaluan si mati dan telah menyerahkan sampel-sampel
tersebut kepada Pegawai Penyiasat, DSP Lim San Aik (SP 15).
[11] Sampel-sampel yang diterima dari SP4 telah kemudiannya di
hantar oleh SP 15 kepada Ahli Kimia DNA Forensik, Bakhtiar bin Kassim
(SP14), untuk dianalisis. Hasil analisis perbandingan profil DNA yang
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
6
dijalankan, SP14 mengesahkan bahawa terdapat DNA perayu pada
swab yang diambil pada kemaluan dan dubur si mati.
[12] Siasatan oleh SP15 menunjukkan bahawa keluarga perayu
memiliki sebuah kenderaan jenis Naza Ria berwarna hitam bercermin
gelap dengan nombor pendaftaran PFU 651 (kereta Naza tersebut).
Siasatan juga menunjukkan perayu tinggal bersama dengan
keluarganya di kawasan Kelab Cinta Sayang dan sering menggunakan
kereta Naza tersebut. SP 15 menyatakan bahawa siasatan lanjut tidak
menemui sebarang kesan darah atau kesan air mani di dalam kereta
Naza tersebut.
Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan [13] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara telah membuat dapatan
bahawa keterangan-keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan
oleh pihak pendakwaan iaitu bahawa keluarga perayu memiliki kereta
Naza tersebut berwarna hitam dan bercermin gelap, perayu tinggal
dalam kawasan tempat kejadian, penemuan air mani perayu pada
kemaluan dan dubur si mati serta fakta perayu telah meninggalkan
Malaysia untuk ke Australia dan berada di Negara Australia selama 3
tahun setelah pihak polis memulakan siasatan terhadap perayu, tidak
mencukupi untuk membuktikan satu kes prima facie terhadap perayu.
Hakim bicara juga menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
7
menunjukkan bahawa perayu adalah orang yang telah mendatangkan
kecederaan-kecederaan terhadap tubuh badan si mati yang telah
membawa kepada kematian ke atas si mati.
[14] Hakim bicara berpendapat bahawa keterangan kukuh terhadap
perayu ialah keterangan DNA. Namun begitu, memandangkan
terdapatnya alel 8 dan alel 9 pada lokus STR THOI pada sampel yang
diperolehi melalui palitan di kemaluan dan dubur si mati, terdapat
kemungkinan orang lain yang ada kaitan dengan kematian si mati. Di
dalam keputusannya, hakim bicara menyatakan seperti berikut (di m/s
214 RR Jld.2A):
“Saya dapati keterangan DNA ini tidak dapat menghilangkan keraguan
bahawa terdapat orang lain selain dari OKT yang ada kaitan dengan
apa yang berlaku ke atas si mati. Selepas menilai keseluruhan
keterangan saya dapati keterangan-keterangan ini tidak membuktikan
sama ada secara langsung atau secara mengikut keadaan bahawa
OKT telah mengenakan kecederaan yang menyebabkan kematian si
mati. Di dalam keadaan sedemikian pihak pendakwa telah gagal
membuktikan kes prima facie terhadap OKT. OKT dilepaskan dan
dibebaskan dari pertuduhan di bawah Seksyan 302 Kanun Keseksaan.”
[15] Pihak pendakwaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan
terhadap perintah pembebasan perayu oleh hakim bicara. Panel
Mahkamah Rayuan (Linton Albert, HMR; Mohtarudin Bin Baki, HMR dan
Abdul Rahman Sebli, HMR) telah pada 13.10.2014 membenarkan
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
8
rayuan Pendakwa Raya dan memerintahkan agar perayu membuat
pembelaan di hadapan hakim bicara yang sama atas pertuduhan di
bawah Sekeysn 302 KK (Perintah Mahkamah Rayuan di m/s E1 dan E2
RR Jld.1).
Kes Pembelaan [16] Setelah tiga (3) pilihan untuk membela diri diterangkan kepada
perayu, dia telah membuat pilihan untuk memberi kenyataan dari
kandang tertuduh, tanpa bersumpah. Perayu telah membaca kenyataan
bertulis dari kandang tertuduh seperti yang tertera di m/s 525 – 534 RR
Jld.3 mengandungi 38 perenggan.
[17] Teras pembelaan perayu ialah bahawa beliau tidak membunuh si
mati walaupun dia mengakui ada menemui si mati untuk tujuan
mengadakan hubungan seksual secara sukarela. Perayu menyatakan
bahawa dia telah melanggan si mati melalui seorang rakan bernama
“Wayne” dengan bayaran RM350. Perayu seterusnya menyatakan dia
dan si mati telah mengadakan hubungan seksual di bahagian belakang
MPV Naza yang dia pandu pada hari kejadian. Setelah selesai
hubungan seksual, perayu menyatakan dia telah meninggalkan si mati
dalam keadaan masih hidup tanpa sebarang kecederaan sebelum dia
bergegas pergi menjemput ibunya, Datin Nor Bahrian bt Ibrahim (SP11),
di Rumah Kelab Golf Cinta Sayang. Perayu menafikan terlibat dengan
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
9
kematian si mati dan menafikan telah melarikan diri ke Australia semasa
siasatan polis sedang dijalankan.
[18] Pihak pembelaan telah memanggil bapa perayu, Dato’ Jaafar bin
Jamaludin (SD3/SB2) sebagai saksi. Saksi ini menyatakan bahawa dia
telah menjual kereta MPV Naza PFU 651 yang dipandu oleh perayu
pada hari kejadian kerana mahu membeli kenderaan yang lebih besar
untuk kegunaan ahli keluarganya. Saksi ini turut menafikan telah
membuang pisau yang telah dijumpai di dalam kereta yang dikatakan
telah digunakan oleh perayu untuk menikam si mati. Pihak pendakwaan
telah mencabar kebolehpercayaan saksi ini kerana keterangannya di
Mahkamah bercanggah dengan percakapannya yang dirakamkan di
bawah seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (KAJ). Satu perbicaraan
dalam perbicaraan telah diadakan. Hakim bicara mendapati saksi ini
telah gagal untuk memberikan penjelasan yang munasabah dan boleh
diterima mengenai percanggahan-percanggahan yang material dalam
percakapan bawah seksyen 112 KAJ dengan keterangannya di
Mahkamah. Kenyataan saksi yang didapati bercanggah secara material
adalah terhadap tiga perkara seperti yang terdapat dalam jawapan
diberikan semasa rakaman percakapan di bawah seksyen 112 KAJ:
“Q : Kenapa kamu menjual kereta tersebut?
A : Saya jual kereta itu kerana ada kes pembunuhan
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
10
…..
Q : Adakah kamu pergi bersama Shahril semasa buang pisau
yang digunakan untuk bunuh perempuan Cina itu?
A : Ya, saya pergi bersama isteri saya dan Shahril.
…..
Q : Di mana pisau itu dibuang?
A : Di dalam tong sampah berdekatan tapak pasar malam
Taman Ria Jaya, Sg. Petani, Kedah.”
Keputusan hakim bicara di akhir kes pembelaan [19] Hakim bicara memutuskan bahawa SD3 ialah seorang saksi yang
tidak boleh dipercayai kerana terdapat percanggahan yang material
antara keterangan lisan SD3 di Mahkamah dengan rakaman
percakapan yang diberikan kepada pihak polis di bawah seksyen 112
KAJ. Hakim bicara mendapati SD3 telah gagal untuk memberikan
penjelasan yang munasabah dan boleh diterima mengenai
percanggahan tersebut.
[20] Hakim bicara seterusnya telah membuat pertimbangan terhadap
keterangan yang telah diberikan oleh perayu dari kandang tertuduh
sepertimana diputuskan dalam kes PP v. Chong Soon Wah [2009] 7
MLJ 865; Teuku Nawardin Syamsuar v. PP [2011] 3 CLJ 353 dan PP
v. Muhamad Rasid bin Hashim [2011] 7 MLJ 845.
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
11
[21] Hakim bicara telah menolak versi pembelaan perayu bahawa dia
telah melakukan hubungan seksual dengan si mati secara sukarela
sebagai tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai. Hakim bicara
mendapati bahawa tujuan si mati ke tempat kejadian bersama SP6
adalah semata-mata untuk berjoging setelah diajak oleh SP6 dan bukan
untuk mengadakan hubungan seksual dengan perayu. Keterangan ini
tidak dicabar oleh pihak pembelaan.
[22] Hakim bicara juga menerima keterangan SP6 bahawa terdapat
darah yang banyak pada kasut (P46A-B) dan pengikat rambut (P45A)
milik si mati yang ditemui di tempat kejadian tidak lama selepas si mati
hilang dari pandangan SP6. Keterangan ini juga tidak dicabar oleh
pihak pembelaan. Keterangan tanpa sumpah perayu bahawa dia telah
melakukan hubungan seksual secara sukarela dengan menggunakan
“cecair daripada tubuh masing-masing”, tidak boleh dipercayai.
[23] Hakim bicara akhirnya memutuskan bahawa pembelaan perayu
telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah
terhadap kes pihak pendakwaan. Hakim bicara mendapati perayu telah
melakukan pembunuhan terhadap si mati dengan mendatangkan
kecederaan luka tikaman terhadap tubuh badan si mati yang mana
kecederaan yang diniatkan itu dalam keadaan biasa dan lazimnya akan
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
12
membawa kepada kematian si mati. Perayu telah disabitkan dan
dihukum gantung di leher hingga mati.
Rayuan perayu [24] Di hadapan kami, peguambela terpelajar telah berhujah atas satu
isu pokok bahawa hakim bicara terkhilaf dalam mensabitkan perayu
dengan hanya bergantung kepada tiga aspek keterangan mengikut
keadaan. Selanjutnya dihujahkan bahawa hakim bicara telah terkhilaf
dalam membuat penilaian terhadap pembelaan perayu yang diputuskan
oleh hakim bicara telah gagal untuk menimbulkan keraguan yang
munasabah terhadap kes pihak pendakwaan. Tiga aspek keterangan
mengikut keadaan yang diterima oleh hakim bicara dalam mensabitkan
perayu dengan pertuduhan ialah seperti berikut:
(a) berkaitan dengan kereta Naza Ria berwarna hitam dan
bercermin gelap;
(b) hubungan seks dengan kekerasan; dan
(c) perayu melarikan diri ke Australia.
[25] Mengenai aspek keterangan yang berkaitan dengan penglibatan
kereta Naza Ria berwarna hitam dan bercermin gelap, peguambela
menghujahkan bahawa keterangan SP6 mengenainya adalah tidak
kredibel atas alasan bahawa pihak polis pada awalnya telah merampas
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
13
sebuah pick-up truck berwarna hitam. Pihak polis hanya mencari kereta
Naza Ria milik keluarga perayu setelah DNA perayu ditemui pada
simati. Laporan polis (D2) yang dibuat oleh SP6 juga langsung tidak
ada menyebutkan tentang penglibatan sebuah kereta dalam
pembunuhan si mati.
[26] Secara alternatifnya, peguambela terpelajar berhujah bahawa jika
benar keterangan SP6 melihat Naza Ria yang dipandu oleh perayu
dalam keadaan laju dan tergesa-gesa, perayu telahpun memberikan
penjelasan bahawa selepas mengadakan hubungan seks secara
sukarela dengan si mati, perayu perlu segera untuk mengambil ibunya
(SP11) di rumah Kelab untuk dibawa pulang ke rumah. Dihujahkan
bahawa keterangan kereta Naza Ria dipandu sedemikian rupa oleh
perayu tidak dapat membuktikan bahawa perayu bersalah.
[27] Mengenai aspek keterangan yang sama, peguambela terpelajar
menghujahkan bahawa keterangan SP15 menunjukkan terdapat dua
buah kereta MPV Naza Ria berwarna hitam berada dalam kawasan
Kelab Cinta Sayang. SP12 mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti
ditemui yang dapat mengaitkan kes pembunuhan si mati dengan kereta
Naza Ria yang dimiliki oleh keluarga perayu.
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
14
[28] Mengenai aspek keterangan yang berkaitan dengan hubungan
seks antara perayu dengan si mati, peguambela terpelajar
menghujahkan bahawa perayu tidak menafikan hubungan seks tersebut
berlaku tetapi dengan sukarela. Dihujahkan bahawa tiada bukti yang
boleh menunjukkan telah berlaku hubungan seks secara kekerasan atau
keganasan. Peguambela turut mempersoalkan aspek keterangan pakar
patologi forensik yang diberikan oleh SP4 mengenai terdapatnya
kecederaan terhadap kemaluan dan dubur si mati yang dikatakan
sebagai tidak kredibel.
[29] Mengenai aspek keterangan bahawa perayu melarikan diri ke
Australia semasa siasatan polis masih dijalankan, peguambela berhujah
bahawa perayu telah terlebih dahulu dengan secara sukarela
memberikan specimen DNAnya kepada pihak polis. Peguambela
selanjutnya menghujahkan bahawa perayu tidak perlu memberikan
DNAnya jika dia ingin melepaskan diri dari jenayah yang dipertuduhkan.
Lagipun, perayu ke Australia dengan penuh pengetahuan pihak
Imigresen Malaysia. Dihujahkan perayu ke Australia untuk memenuhi
keperluan mengekalkan taraf penduduk tetap (PR) Negara Australia.
Akhirnya, dihujahkan bahawa keterangan DNA perayu pada kemaluan si
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
15
mati tidak membuktikan bahawa perayu telah mendatangkan lain-lain
bencana tubuh yang telah membawa kepada kematian si mati.
Keputusan Kami [30] Mengenai hujahan peguambela perayu bahawa hakim bicara telah
gagal membuat pertimbangan dengan sewajarnya terhadap pembelaan
perayu, kami tidak bersetuju dengan dakwaan tersebsut. Meneliti
Penghakiman hakim bicara, kami mendapati bahawa hakim bicara yang
bijaksana telah membuat pertimbangan yang teliti terhadap pembelaan
perayu. Dalam penghakimannya, hakim bicara telah menyatakan
seperti berikut mengenai keterangan yang diberikan oleh perayu dari
kandang tertuduh:
“[28] Dengan mempertimbangkan keputusan kes-kes duluan di atas
saya berpendapat kenyataan tanpa sumpah Tertuduh dari kandang
Tertuduh adalah keterangan yang boleh ditimbangkan oleh Mahkamah
ini sebagai satu pembelaan Tertuduh. Selanjutnya saya perlu
menimbangkan keberatan (weight) yang boleh diberikan kepada
keterangan tersebut. Di dalam Teuku Nawaardin Syamsuar v. PP
[2011] 3 CLJ 353 Heliliah HMP mengatakan:-
[15] In the present appeal the appellant had chosen to furnish an
unsworn statement from the dock and no other witness was called for
the defence. The decision in Mohammed Salleh v. PP [1968] 1 LNS 80
is useful. In the words of Wee Chong Jin CJ:
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
16
In our judgment, the right of an accused at his trial on a criminal
charge to make an unsworn statement from the dock is not a
procedural right but a substantive right of an accused and
accordingly does not depend on whether or not there is a
specific provision for it in the Criminal Procedure Code.
[29] Selanjutnya Mahkamah Persekutuan melalui Heliliah FJ
membuat Penghakiman berikut:-
[16] While that case pertains to a trial with a jury nevertheless the
guidelines established is still applicable with respect to the probative
value to be accorded to the unsworn statement that is a judge will
naturally not be inclined to give so much weight to what he said in the
dock as you would if he gave evidence as there was no opportunity of
cross examining him in order to test veracity of his evidence as
opposed to that of the prosecution.
[30] Di dalam mempertimbangkan kenyataan tanpa sumpah Tertuduh
Pertama sebagai pembelaan, Mahkamah harus mempertimbangkannya
secara menyeluruh kenyataan tersebut bersama-sama kesemua
keterangan yang telah dikemukakan di dalam kes ini. Kenyataan tanpa
sumpah sedemikian tidak boleh ditimbangkan secara berasingan dari
keterangan-keterangan lain. Di dalam Public Prosecutor v
Muhammad Rasid bin Hashim [2011] 7 MLJ 845 Abang Iskandar J.
(beliau pada masa itu) telah menimbangkan kanyataan tanpa sumpah
pembelaan dan memutuskan:-
“In order to properly appreciate that unsworn statement made by the
accused from the dock (D64) it ought not however, to be considered in
isolation. Rather, it must be juxtaposed side by side with the evidence
led by the prosecution witnesses. In so doing, the court must also
consider the inherent credibility or otherwise of such statement as
contained in D64. This court must also compare it with the credible
evidence led by the prosecution…”
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
17
…..
[33] Dengan membuat dapatan bahawa kenyataan tanpa sumpah
Tertuduh tidak boleh dipercayai dan perlu ditolak, saya masih perlu
menilai sama ada pembelaan sedemikian telah berjaya menimbulkan
keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan. Ini mesti
dilakukan walaupun keseluruhan keterangan pembelaan tidak dapat
dipercayai (Mat v. Public Prosecutor [1963] 1 LNS 82; [1963] MLJ
263.”.
[31] Kami mendapati tiada apa-apa kekhilafan dalam dapatan hakim
bicara dalam membuat pertimbangan terhadap pembelaan perayu
dalam kes ini. Hakim bicara telah berpegang kepada prinsip undang-
undang yang betul dalam membuat penilaian terhadap keterangan
membela diri perayu yang telah diberikan dari kandang tertuduh tanpa
bersumpah dan tidak diuji dalam pemeriksaan-balas.
[32] Berkaitan dengan aspek keterangan mengenai hubungan seksual
yang didakwa oleh perayu telah dilakukan dengan sukarela dan tanpa
keganasan dan paksaan, kami bersetuju dengan dapatan hakim bicara
yang menolak pembelaan perayu. Kami mendapati tiada kekhilafan
dalam dapatan hakim bicara mengenai isu ini. Kami perturunkan
dapatan hakim bicara seperti berikut (di m/s 35 – 37 RR Jld.1):
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
18
“[31] Saya dapati kenyataan tanpa sumpah ini walaupun berupa satu
keterangan namun nilai pembuktiannya rendah kerana kebenaran
kenyataan ini tidak dapat diuji melalui pemeriksaan balas oleh mana-
mana pihak. Saya meragui kebenaran kenyataan Tertuduh tentang dia
hanya melakukan hubungan seks dengan si mati secara sukarela. Jika
benar hubungan seks tersebut dilakukan dengan sukarela kenapa si
mati perlu pergi ke situ bersama-sama SP6. Adalah tidak munasabah
untuk si mati menyerlahkan rahsia sebagai seorang yang memberi
perkhidmatan seks atas panggilan. Rahsia ini akan terserlah apabila
SP6 ikut bersamanya ke tempat kejadian, walaupun disamarkan oleh
aktiviti jogging di situ. Keterangan SP6 dengan jelas mengatakan si
matilah yang mengajaknya berjogging di tempat kejadian. Keterangan
SP6 tentang perkara ini tidak dicabar dan ini secara langsungnya
membawa inferens bahawa tujuan si mati dan SP6 ke tempat kejadian
adalah semata-mata untuk berjoging dan bukan bertujuan untuk
mengadakan hubungan seksual dengan Tertuduh. Secara
langsungnya saya dapati kebenaran kenyataan tanpa sumpah Tertuduh
tentang perkara ini tidak dapat dipercayai sama sekali.
[32] Kenyataan tanpa sumpah Tertuduh dan profil DNA membuktikan
berlaku hubungan seksual d antara Tertuduh dan si mati.
Bagaimanapun saya tidak mempercayai kenyataan Tertuduh bahawa
hubungan seksual tersebut berlaku secara sukarela dan tidak terdapat
unsur (sic) keganasan. Dalam hal ini saya juga pertimbangkan
keterangan SP6 tentang beliau ternampak getah ikat rambut kepunyaan
si mati bersama sebelah kasut si mati dan kesan darah yang agak
banyak pada barang-barang peribadi si mati. Keterangan ini juga tidak
pernah dicabar melalui pemeriksaan balas ke atas SP6. Keterangan ini
menunjukkan terdapat perlakuan yang ganas terhadap si mati
berdasarkan kehadiran darah yang banyak tersebut dan kenyataan
Tertuduh bahawa hubungan seks yang berlaku di antara dia dan si mati
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
19
secara sukarela tidak dapat dipercayai apabila dipertimbangkan
bersama keterangan ini. Sayugia diingat, penemuan barang-barang
peribadi si mati yang berdarah ini berlaku tidak lama selepas si mati
hilang dari pandangan SP6. Saya tidak pertimbangkan perkara ini
semasa memutuskan kes pendakwaan kerana pada masa itu saya
dapati pihak pendakwa gagal membuktikan Tertuduh adalah satu-
satunya orang yang terlibat. Keterangan tersebut menjadi berkaitan
sekarang bagi mempertimbangkan benar atau tidak kenyataan tanpa
sumpah Tertuduh bahawa dia telah melakukan hubungan seksual
secara sukarela dengan si mati. Keterangan ini menunjukkan
kenyataan tanpa sumpah Tertuduh tidak dapat dipercayai.”.
[33] Kami ingin menambah, dapatan hakim bicara adalah disokong
dengan keterangan yang telah diberikan oleh SP4 yang menyatakan
bahawa terdapat kecederaan terhadap kemaluan dan dubur si mati
selain terdapat kesan air mani perayu serta krim rambut pada kemaluan
dan dubur si mati. Kesan-kesan kecederaan ini dan kehadiran krim
rambut yang digunakan sebagai pelincir sekaligus menolak dakwaan
perayu bahawa hubungan seksual dilakukan secara sukarela.
Keterangan material SP4 mengenai perkara ini dapat dilihat seperti
berikut:
(i) “A : Hasil pemeriksaan luaran, saya dapati kaku mayat telah
terbentuk dengan sepenuhnya dan ada bahan berlendir
yang pekat, putih seperti krim di bahagian kemaluan dan
dubur mayat. Saya dapati ada sehelai rambut hitam
yang berketak yang berada di atas bahagian abdomen
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
20
mayat.” (m/s 55 RR Jld. 2A);
(ii) “17. Ada kesan lebam dan melecet di bahagian belakang
selaput dara dan bibir kecil kemaluan sebelah kanan.
18. Ada luka koyak kecil di bahagian belakang dubur.” (m/s
56 RR Jld.2A);
(iii) “A : Untuk nombor 6, merujuk pendapat saya kecederaan-
kecederaan yang saya lihat di bahagian kemaluan dan
di dubur adalah bersifat berlaku ketika si mati masih
hidup. Untuk nombor 7 pendapat saya kemungkinan
bahan putih berkrim yang terdapat di kemaluan dan di
dubur berkemungkinan satu bahan pelincir.” (m/s 60 RR
Jld. 2A).”
[34] SP4 seterusnya memberikan pendapat beliau bahawa si mati telah
ditikam menggunakan pisau ketika berada dalam keadaan terbaring.
[35] Walau bagaimanapun, kami mendapati bahawa hakim bicara telah
terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa si mati yang telah mengajak
SP6 untuk berjoging pada hari kejadian. Kami telah meneliti Rekod
Rayuan dan mendapati keterangan yang tidak dicabar menunjukkan
sebenarnya SP6 yang telah bersungguh-sungguh mengajak si mati
untuk pergi berjoging dan bukan sebaliknya (m/s 84 RR Jld.2A).
Kekhilafan ini pada pandangan kami bukanlah merupakan satu
kekhilafan yang mewajarkan rayuan dibenarkan.
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
21
[36] Hakim bicara turut mempertimbangkan aspek keterangan yang
berkaitan dengan kereta Naza Ria hitam bercermin gelap dan tindakan
perayu melarikan diri ke Australia sebagai keterangan mengikut
keadaan yang boleh menyokong sabitan terhadap perayu. Dapatan dan
keputusan hakim bicara dapat dilihat di m/s 37 – 39 RR Jld.1, seperti
berikut:
“[34] Didalam mempertimbangkan perkara tersebut saya perlu
menyentuh kedudukan kes prima facie dan keterangan yang
dikemukakan oleh pihak pendakwa. Pada asasnya keterangan yang
dikemukakan oleh pihak pendakwaan sebenarnya keterangan mengikut
keadaan. Secara intipatinya terdapat tiga aspek di dalam keterangan
mengikut keadaan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa untuk
membuktikan kes terhadap Tertuduh iaitu terdapatnya kereta Naza
berwarna hitam yang digunakan, terdapat hubungan seksual yang
berlaku dengan si mati secara kekerasan dan akhirnya tingkah laku
Tertuduh melarikan diri ke Australia tidak lama selepas dia dipanggil
untuk tujuan siasatan. Keterangan mengikut keadaan ini termasuklah
keterangan profil DNA. Saya mendapati keterangan ini tidak
mencukupi untuk membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh.
Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membuat perintah supaya Tertuduh
membela diri, yang menunjukkan bahawa Mahkamah Rayuan telah
mendapati keterangan ini telah membuktikan satu kes prima facie
terhadap Tertuduh.
[35] Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah membuat peruntukkan
mengenai tugas Mahkamah untuk mempertimbangkan keseluruhan
keterangan yang dikemukakan sebelum membuat keputusan
muktamad pada akhir sesuatu perbicaraan. Bagaimanapun, dengan
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
22
latar belakang di atas, saya perlu mengingatkan diri saya bahawa
Mahkamah Rayuan telah membuat keputusan bahawa pihak pendakwa
telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Tertuduh pada
akhir kes pendakwaan. Seperti yang difahami dari keputusan kes-kes
PP V. Mohd Radzi bin Abu Bakar [2006] 1 CLJ 457, Balachandran v
Public Prosecutor [2005] 1 CLJ 85 dan Lee Kwan Who v. PP [2009] 5
MLJ 301, Mahkamah Rayuan semestinya telah mempertimbangkan
keseluruhan keterangan tersebut dengan pertimbangan yang maksima
dan pembelaan perlu mengemukakan keterangan yang boleh
menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes prima facie
tersebut ke atas ketiga-tiga keterangan mengikut keadaan yang
dikemukakan pihak pendakwa.
[36] Saya telah membuat penilaian secara berhati-hati ke atas
pembelaan Tertuduh melalui kenyataan tanpa sumpah beliau dan
mempertimbangkannya bersama-sama keterangan yang dikemukakan
oleh pihak pendakwa. Berasaskan pertimbangan sedemikian saya
dapati pembelaan tertuduh telah gagal menimbulkan keraguan yang
munasabah ke atas kes pendakwaan ke atas ketiga-tiga aspek yang
menjadi asas kes prima facie tersebut.
[37] Berasaskan keseluruhan keterangan yang dikemukakan saya
dapati pihak pendakwa telah berjaya membuktikan kes terhadap
Tertuduh bagi kesalahan di bawah seksyen 302 Kanun Keseksaan
melampaui keraguan yang munasabah dan dengan yang demikian
saya mendapati Tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan
tersebut.”.
[37] Kami telah meneliti keseluruhan keterangan dan berpendapat
bahawa hakim bicara adalah betul dalam mensabitkan perayu
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
23
berdasarkan kepada keterangan mengikut keadaan yang terdapat
dalam kes ini. Keterangan mengikut keadaan tersebut hanya menjurus
kepada satu kesimpulan iaitu perayu adalah orang yang
bertanggungjawab menyebabkan kematian si mati (Farose Tamure
Mohamad Khan v. PP & Other Appeals [2016] 9 CLJ 769; Jitweer
Singh Ojagar Singh v. PP [2016] 1 LNS 784; Hasyim Rahman v. PP
[2016] 1 LNS 506; Hanif Mohamad Ali v. PP [2016] 7 CLJ 487).
Kesimpulan [38] Berdasarkan alasan-alasan yang dihuraikan di atas, kami dengan
sebulat suara mendapati bahawa rayuan perayu tidak bermerit. Sabitan
terhadap perayu oleh hakim bicara adalah selamat. Oleh itu, rayuan
perayu terhadap sabitan ditolak. Kami mengekalkan sabitan dan
hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi ke atas perayu.
Bertarikh: 7 Februari 2017 t.t
(KAMARDIN BIN HASHIM) Hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia
MRJ NO:K-05(M)-220-08/2015
24
Peguam Cara Bagi Pihak Perayu: Shamsul Bin Sulaiman Tetuan Shamsul Sulaiman No. 4, Jalan P16D, Presint 16 62150 Putrajaya Bagi Pihak Responden: Hamdan Bin Hamzah Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara Putrajaya.