berani bertindak demi hak

8

Click here to load reader

Upload: azlanamirazhim

Post on 09-Nov-2015

228 views

Category:

Documents


6 download

TRANSCRIPT

Berani bertindak demi hak - Sikap berdiam diri merugikan mangsa keganasan rumah tangga

BERSAMA PROF. DATIN NOOR AZIAH MOHD. AWAL15 April 2015 2:15 PM

PENDERAAN ke atas isteri oleh suami pasti menjejaskan kesejahteraan hidup isteri. Ada isteri yang menanggung penderitaan sepanjang hayat, malah ada yang menemui ajalnya dalam usia muda. Sebenarnya mangsa keganasan rumah tangga boleh mendapat perlindungan daripada Akta Keganasan Rumahtangga 1994 dan akta ini terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Ini bermakna, seorang mangsa tidak perlu berdiam diri dan menanggung segala kesakitan sendirian tetapi perlu bertindak menamatkan penyeksaan dengan membuat laporan polis. Daripada laporan polis itu, mangsa juga boleh mendapatkan perintah perlindungan interim supaya dia tidak terus didera dan dicederakan.

Perintah interim sangat penting kerana ia melarang pesalah daripada mengulangi keganasan terhadap mangsa. Mahkamah semasa mengeluarkan perintah perlindungan interim boleh memasukkan dalam perintah tersebut suatu peruntukan yang melarang pelaku keganasan daripada menghasut orang lain untuk melakukan keganasan terhadap mangsa.

Seksyen 12 menyatakan bahawa perintah perlindungan interim hanya boleh diminta sementara menunggu penyiasatan yang melibatkan perlakuan suatu kesalahan keganasan rumah tangga. Mahkamah juga boleh meletakkan syarat tambahan dalam perintah tersebut untuk melarang pesalah daripada melakukan keganasan terhadap orang dilindungi.

Seksyen 13 memperuntukkan perintah perlindungan adalah satu syarat untuk membebaskan tertuduh dengan jaminan atau pada mana-mana peringkat prosiding itu, atau semasa mengkompaunkan kesalahan itu di bawah seksyen 260 Kanun Tatacara Jenayah.

Perintah tambahan sangat diperlukan oleh mangsa untuk memastikan ia mendapat perlindungan dan menjamin keselamatan diri.

Mangsa juga boleh memohon hak penghunian eksklusif di mana mangsa boleh terus tinggal di rumah perkahwinan dan tidak diganggu oleh pendera.

Seksyen 6(1)(a) memperuntukkan bahawa hak penghunian eksklusif kepada mangsa untuk menduduki tempat kediaman bersama secara keseluruhan atau bahagian tertentu dan mengeluarkan pendera walaupun rumah tersebut milik pendera.

Perintah tambahan boleh menghalang pelaku keganasan daripada memasuki tempat kediaman, tempat kerja atau sekolah atau institusi lain di mana mangsa ditempatkan. Perintah ini juga melarang pendera daripada menghampiri mangsa atau orang yang dilindungi pada jarak sekurang-kurangnya 50 meter atau apa-apa jarak yang munasabah.

juga melarang pendera daripada menghubungi mangsa secara persendirian kecuali dengan kehadiran seorang pegawai penguatkuasa atau orang lain yang dinyatakan.

Di samping itu, perintah juga boleh diberikan untuk mengkehendaki pendera membenarkan orang dilindungi memasuki kediaman dengan ditemani oleh pegawai penguatkuasa untuk mengambil barangnya.

Pendera atau suspek boleh dihalang daripada melakukan perhubungan dengan mangsa atau menyatakan hal keadaan terhad sahaja. Pelaku keganasan juga boleh dikehendaki supaya membenarkan orang dilindungi menggunakan kenderaan yang sebelum ini digunakan oleh mangsa.

Selain daripada perintah perlindungan interim dan kekal, seksyen 10 Akta 521 telah memperuntukkan tuntutan pampasan yang boleh dibuat oleh mangsa terhadap pelaku keganasan bagi kecederaan dan kerosakan yang dialami.

Mahkamah boleh memberi pampasan berkenaan kepada mangsa keganasan rumah tangga sebagaimana yang difikirkannya adil dan munasabah jika mereka mengalami kecederaan diri atau kerosakan kepada harta atau kerugian kewangan akibat daripada keganasan rumah tangga.

Faktor yang diambil kira dalam tuntutan pampasan;

(1) kesakitan dan penderitaan mangsa itu, dan jenis dan takat kecederaan fizikal atau penderaan psikologi yang termasuklah kecederaan emosi yang dialami;

(2) kos rawatan perubatan bagi kecederaan itu;

(3) apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit daripadanya;

(4) amaun atau nilai harta yang diambil atau dimusnahkan atau dirosakkan;

(5) perbelanjaan perlu dan munasabah yang ditanggung oleh atau bagi pihak mangsa apabila mangsa terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada pendera, seperti;

(a) perbelanjaan penginapan yang disumbangkan kepada tempat selamat atau tempat berlindung;

(b) perbelanjaan pengangkutan dan pemindahan;

(c) perbelanjaan yang dikehendaki untuk membina sebuah rumah yang berasingan, tertakluk kepada subseksyen (3), boleh meliputi amaun yang merupakan pembayaran pinjaman perumahan atau bayaran sewa atau sebahagian daripadanya, berkenaan dengan kediaman bersama atau kediaman alternatif, mengikut mana-mana yang berkenaan, bagi tempoh sebagaimana yang mahkamah fikirkan adil dan semunasabah perlu.

Semasa membuat pertimbangan tentang perbelanjaan perlu dan munasabah di bawah seksyen 10 (2)(e)(iii), mahkamah boleh mengambil kira tentang:

(a) kedudukan kewangan mangsa itu serta juga pendera itu;

(b) perhubungan yang wujud di antara pihak-pihak itu dan kemunasabahannya menghendaki defendan itu membuat atau menyumbangkan pembayaran sedemikian;

(c) kemungkinan prosiding lain diambil di antara pihak-pihak itu dan sama ada perkara itu lebih sesuai diperlakukan di bawah undang-undang relevan berhubungan dengan peruntukan kewangan bagi isteri atau suami atau bekas isteri atau suami dan orang tanggungan lain.

Pampasan yang diberikan dapat menampung kos perubatan, kos pengangkutan, kerugian dan kerosakan harta benda, kehilangan pendapatan, perbelanjaan penginapan dan sebagainya.

Rumah perlindungan

Selain itu, mahkamah juga boleh menimbangkan kemampuan pendera dan hubungan antara kedua-dua pihak supaya keputusan yang paling tepat dapat dibuat untuk meminimumkan kesengsaraan. Akta Keganasan Rumahtangga yang lengkap dan baik telah wujud sejak 1994 namun jarang digunakan.

Ini kerana mangsa keganasan tidak membuat laporan polis. Kebanyakan mangsa memilih untuk menangis dan menutup keaiban kerana malu, akui kekurangan, renda diri yang sekali gus mengakibatkan hilang keyakinan diri.

Undang-undang yang cantik di kertas akan terus tinggal cantik tetapi mangsa keganasan terus meningkat. Semua pihak seperti polis, pegawai kebajikan masyarakat, doktor dan ahli masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dalam melindungi wanita daripada terus menjadi mangsa keganasan.

Rumah perlindungan bagi mangsa keganasan juga perlu dibina kerana seorang mangsa keganasan tidak akan merasa selamat, apataha lagi selepas pembebasan suami.

Kebanyakan isteri meninggalkan rumah perkahwinan tetapi tidak mempunyai tempat lain untuk tinggal. Jika melarikan diri, isteri juga mahu membawa anak-anaknya bersama kerana merasa khuatir anak akan dicederakan. Persoalannya lari ke mana?

Undang-undang yang ada juga tidak menjamin keselamatan mangsa. Bagaimanakah meyakinkan mangsa selepas laporan polis dibuat? Realitinya, ia bukan perkara mudah. Oleh itu, ia sangat bergantung kepada keyakinan diri mangsa untuk melaporkan kes kepada polis dan berdoa polis akan mengambil tindakan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/berani-bertindak-demi-hak-1.81196#sthash.4jBlvM4G.dpuf