bahagian a
DESCRIPTION
notaTRANSCRIPT
BAHAGIAN A : Analisiskan secara kritis mengenai maksud dan kepentingan peristiwa hijrah
Nabi Muhammad s.a.w dari Makkah ke Madinah sehingga tertubuhnya Daulah Islamiyah di
Jazirah Arab dan huraikan hujah-hujah anda terhadap pandangan para Orientalis Barat
mengenai tanggapan negatif mereka terhadap peristiwa tersebut.
MAKSUD HIJRAH
Hijrah merupakan suatu perkara penting yang disarankan oleh Allah S.W.T kepada seluruh
umat Islam. Hijrah ialah perkataan Arab yang bermakna berpindah. Pada umumnya,
perpindahan berlaku dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Namun dalam konteks Islam,
hijrah bermaksud perpindahan orang Islam dari kota Makkah ke Madinah dalam usaha untuk
memperkukuhkan kedudukan Islam serta merupakan strategi baru untuk menyebarkan agama
Islam. Peristiwa hijrah orang Islam dari kota Makkah ke Madinah berlaku pada 1 Rabiulawal
bersamaan 12 September tahun 622 M. Penghijrahan ini dilakukan secara rahsia dan
berperingkat-peringkat. Nabi Muhammad S.A.W berhijrah bersama-sama sahabatnya iaitu
bersama Abu Bakar Al-Siddiq selepas penghijrahan orang Islam yang lain. Perjalanan baginda
dan Abu Bakar Al-Siddiq ke Madinah memakan masa selama lebih kurang 12 hari.
Hijrah berasal daripada perkataan "Hajara-Yahajiru-Uhjur” bermakna tinggalkan atau
menjahuinya daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji. Perkara ini menjelaskan
bahawa, orang Arab jahiliah hendaklah meninggalkan amalan menyembah berhala.
Bagaimanapun dalam pengertian yang luas, umat islam hendaklah menjauhi segala perkara
yang membawa kepada dosa seperti mengagung-agungkan harta, nama dan pangkat,
membuat publisiti untuk diri sendiri, membunuh anak prempuan, kemewahan dunia (yang
melupakan Allah) dan sebagainya.
Dari segi istilah Zulkarnain Yunus dan Mohd Salam Kamil (2006) menyatakan bahawa
hijrah bermaksud perpindahan atau perubahan daripada satu keadaan kepada keadaan yang
lebih baik. Hijrah juga bermaksud perpindahan Rasulullah SAW dan orang-orang Islam dari
Makkah ke Madinah untuk menyebarkan agama Islam (Zulkarnain Yunus dan Mohd. Salam
Kamil, 2006). Penghijrahan juga mempunyai pengertian yang lebih luas dan mendalam iaitu
perjuangan untuk menegakkan kebenaran dan meninggalkan keburukan dan kejahatan. Hijrah
juga boleh dilambangkan dengan semangat ingin berubah dan perubahan ini boleh berlaku
dalam pelbagai keadaan seperti perubahan dari segi sikap, cara berfikir dan tingkah laku (Muhd
Bukhari Lubis, 1981).
Secara umumnya, hijrah merupakan suatu perjuangan hidup yang harus dilakukan oleh
setiap umat Islam untuk mempertahankan jati diri secara individual ataupun kelompok. Dalam
konteks luas, hijrah merupakan keupayaan untuk melakukan perubahan dan peningkatan
dalam sesuatu perkara.