assgmn bmm3173e.docx

25
Pengenalan Bidang pengajaran sama seperti bidang pertahanan dan perniagaan, perlu mempunyai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang rapi agar perancangan yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat yang diingini. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, perancangan terperinci seseorang guru melibatkan sumber dan peralatan, iaitu bahan bantu mengajar, keadaan bilik darjah, pencahayaan, pengaliran udara dan tempat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain strategi yang disusun lebih mengambil kira objektif jangka panjang dan segala aspek pembelajaran termasuklah pemilihan bahan, masa dan keadaan bilik darjah. Apa yang paling penting ialah bagaimana guru dapat menyediakan dan melaksanakan langkah-langkah pengajaran yang berurutan, berterusan dan saling berkait. Terdapat tujuh klasifikasi strategi pengajaran dalam bahasa iaitu : Strategi berpusatkan guru Strategi berpusatkan murid Strategi berpusatkan bahan Strategi berpusatkan masalah Strategi berpusatkan projek Strategi berpusatkan situasinal / senario Strategi berpusatkan permainan Dalam konteks bahasa, konsep pendekatan bermakna cara mendekati atau approach sesuatu. Manakala dalam konteks pendidikan, pendekatan merujuk kepada beberapa teori yang berkaitan dengan sifat-sifat semula jadi pembelajaran yang menjadi pegangan dalam sesuatu pengajaran. Dengan kata lain, pendekatan merujuk kepada bagaimana cara sesuatu

Upload: juliana-zainul

Post on 30-Sep-2015

238 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Pengenalan

Bidang pengajaran sama seperti bidang pertahanan dan perniagaan, perlu mempunyai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang rapi agar perancangan yang dilaksanakan berjaya mencapai matlamat yang diingini. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran, perancangan terperinci seseorang guru melibatkan sumber dan peralatan, iaitu bahan bantu mengajar, keadaan bilik darjah, pencahayaan, pengaliran udara dan tempat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Dengan kata lain strategi yang disusun lebih mengambil kira objektif jangka panjang dan segala aspek pembelajaran termasuklah pemilihan bahan, masa dan keadaan bilik darjah. Apa yang paling penting ialah bagaimana guru dapat menyediakan dan melaksanakan langkah-langkah pengajaran yang berurutan, berterusan dan saling berkait. Terdapat tujuh klasifikasi strategi pengajaran dalam bahasa iaitu :

Strategi berpusatkan guru Strategi berpusatkan murid Strategi berpusatkan bahan Strategi berpusatkan masalah Strategi berpusatkan projek Strategi berpusatkan situasinal / senario Strategi berpusatkan permainan

Dalam konteks bahasa, konsep pendekatan bermakna cara mendekati atau approach sesuatu. Manakala dalam konteks pendidikan, pendekatan merujuk kepada beberapa teori yang berkaitan dengan sifat-sifat semula jadi pembelajaran yang menjadi pegangan dalam sesuatu pengajaran. Dengan kata lain, pendekatan merujuk kepada bagaimana cara sesuatu mata pelajaran di ajar untuk mencapai objektif. Pendekatan pengajaran boleh digolongkan kepada beberapa aspek, iaitu mengikut cara pengelolaan murid, cara fakta disampaikan, keaktifan murid dan pengajaran bahasa. Dalam pengajaran bahasa, pendekatan diertikan sebagai satu kumpulan andaian yang berhubungan, yang memperkatakan tentang hakikat bahasa, hakikat pengajaran bahasa dan hakikat pembelajaran bahasa. Justeru, terjelmalah beberapa pendekatan dalam pengajaran bahasa seperti :

Pendekatan induktif Pendekatan deduktif Pendekatan elektik Pendekatan komunikatif Pendekatan tematik

Jika strategi bermaksud keseluruhan perancangan dan perlakuan guru, maka kaedah merupakan huraian cara-cara yang akan diambil oleh guru untuk menyampaikan pengetahuan, memindahkan bahan dan memupuk nilai dalam diri murid. Lazimnya, kesemua perkara ini dibuat berpandukan kepada prinsip-prinsip pembelajaran atau amalan yang biasa diterima dalam bidang pedagogi. Dalam erti kata lain, kaedah ialah satu prosedur yang mengandungi bahan, yang tersusun dan diikuti untuk disampaikan kepada murid berdasarkan kehendak pendekatan yang dipilih. Prosedur ini menentukan langkah-langkah yang harus diikuti oleh guru. Terdapat lapan jenis kaedah dalam pengajaran Bahasa Melayu iaitu :

Kaedah Natural Kaedah Tatabahasa Terjemahan Kaedah Terus Kaedah Ajuk Hafaz Kaedah Linguistik Kaedah Kod Kognitif Kaedah Bahasa Komuniti Kaedah Oral Aural

Teknik merupakan satu set himpunan kelakuan atau cara dalam kaedah. Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012:105) merumuskan teknik merupakan alat yang digunakan oleh guru bahasa untuk menyampaikan sesuatu bahan pengajaran yang telah dipilih. Bahan yang dipilih haruslah sejajar dengan teknik yang digunakan, selain seirama atau selaras dengan kaedah. Tuan Jah Tuan Yusof (2011:61) pula meringkaskan teknik membawa maksud amalan strategi yang diguna pakai oleh guru dalam bilik darjah.

Teknik pengajaran merupakan elemen yang sangat penting untuk menarik minat dan mengekalkan perhatian serta membangkitkan inkuiri murid. Selain itu, penggunaan teknik adalah untuk mengoptimumkan kemampuan murid di samping membantu mengembangkan daya intelek yang sempurna. Berdasarkan pernyataan di atas, jelas menunjukkan bahawa teknik merupakan cara yang paling berkesan untuk mencapai sesuatu objektif. Ia wujud dalam pemikiran dan dirangka dalam jangka masa yang panjang ataupun dicipta pada masa sebelum sesuatu perlakuan itu dijalankan oleh individu. Terdapat empat jenis teknik yang sering diaplikasi dalam pengajaran bahasa, iaitu :

Teknik drama Teknik permainan bahasa Teknik latih tubi Teknik bercerita

Berdasarkan semua istilah yang telah dibincangkan di atas, iaitu strategi, pendekatan, kaedah dan teknik dapat disimpulkan seperti berikut :

Strategi: Perancangan yang menyeluruh Pendekatan: Cara dan langkah-langkah Kaedah: Satu siri tindakan penyampaian bahan Pengajaran dan pembelajaran yang sistematik dan tersusun. Teknik: Cara melaksanakan kedah.

Dalam variasi ini, akan diterangkan lima teknik pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu iaitu improvisasi, main peranan dan teater bercerita yang terangkum dalam komponen teknik drama. Manakala dua lagi teknik ialah permainan bahasa dan bercerita.

Teknik Drama

Teknik improvisasi, main peranan dan teater bercerita merupakan komponen kepada teknik drama. Teknik drama melibatkan pergerakan tubuh badan, selain berkait rapat dengan segala bentuk perlakuan yang meliputi semua kegiatan tentang kehidupan manusia. Watak-watak yang dilakonkan menggambarkan keadaan sebenar dengan meniru cara dan kegiatan-kegiatan yang berlaku dalam masyarakat. Murid-murid diberikan peranan untuk berdialog, menzahirkan pendapat dan pandangan, bergaya serta beraksi sesama sendiri, berhibur dengan telatah rakan-rakan sebaya, melibatkan diri dan bekerjasama menjayakan sesuatu drama.

Pelaksanaan aktiviti seperti ini dapat meningkatkan kemahiran berbahasa murid melalui pengaplikasian unsur bahasa, paralinguistik iaitu jeda, nada dan intonasi. Manakala bukan linguistik pula melibatkan mimik muka, gerak tangan, kepala dan sebagainya. Melalui drama juga, murid bebas meluahkan perasaan, membuat penemuan, memberi dan berkongsi sesuatu selain menimbulkan keseronokan dan menyuburkan sahsiah murid. Keterangan mengenai teknik improvisasi, teknik main peranan dan teknik teater bercerita diberikan seterusnya.

(i)Teknik ImprovisasiImprovisasi ialah lakonan spontan yang terdiri daripada kumpulan kecil, yang skripnya diolah daripada isi atau peristiwa yang terdapat dalam genre sastera yang diajar seperti drama, cerpen, novel dan prosa klasik. Lakonan ini mengisahkan kejadian, peristiwa atau situasi sebenar. Biasanya, murid-murid akan diberi masa 10 hingga 15 minit untuk berfikir dan menyusun dialog. Teknik ini dilaksanakan secara berkumpulan antara dua hingga lima orang murid.

Dalam pengajaran cerpen misalnya, guru boleh meminta murid menyediakan skrip secara berkumpulan bagi menceritakan peristiwa yang berlaku dalam permulaan cerpen, konflik dan peleraian dalam cerpen berkenaan.

(ii)Teknik Main PerananMain peranan merupakan suatu teknik yang melibatkan murid memainkan sesuatu peranan, sama ada sebagai dirinya sendiri ataupun individu lain. Dalam teknik ini, murid yang memainkan sesuatu peranan yang diberi, akan beraksi atau berlakon seperti watak yang dimainkannya itu. Murid juga perlu menghayati dan berlagak seperti watak dengan menggunakan laras bahasa yang sesuai. Teknik ini juga membabitkan penguasaan murid dalam aspek komunikasi dan seni lakon.Pelaksanaan teknik ini melibatkan kumpulan murid terdiri daripada empat hingga lima orang. Genre seperti sajak, pantun, syair, gurindam, cerpen, novel dan seloka amat sesuai dilaksanakan dengan teknik ini. Dalam pengajaran tentang isi atau perwatakan dalam novel atau cerpen, teknik ini boleh digunakan untuk memudahkan murid memahami isi atau perwatakan secara lebih berkesan melalui watak yang dimainkan.

(iii)Teknik Teater BerceritaTeater bercerita menggabungkan beberapa orang pelakon dan seorang pencerita. Tegasnya, pencerita akan menyampaikan cerita, manakala pelakon akan melakonkan aksi mengikut watak yang diceritakan oleh pencerita. Walau bagaimanapun, guru atau murid boleh menyediakan skrip terlebih dahulu supaya cerita serta watak yang akan dilakonkan berjalan lebih lancar sekaligus menjadikan jalan cerita lebih teratur dan mudah difahami sama ada oleh pelakon itu sendiri atau murid-murid lain yang menjadi penonton.

Teknik ini juga dilaksanakan dalam kumpulan antara tiga hingga enam orang murid dalam satu kumpulan. Bagi murid lain yang tidak terlibat, mereka boleh mencatat maklumat berdasarkan arahan yang telah diberi oleh guru. Secara umumnya, teknik bercerita boleh digunakan untuk mengajar genre-genre sastera berbentuk naratif seperti cerpen, novel, prosa klasik dan drama.

Teknik Permainan BahasaPermainan bahasa ialah cara mempelajari bahasa melalui permainan. Penglibatan murid secara interaktif dalam permainan berupaya memberikan ruang dan peluang kepada murid untuk memperoleh latihan intensif, pembelajaran bermakna daan sebagai alat diagnostik.

Permainan bahasa mempunyai tujuan berganda iaitu untuk memperoleh kegembiraan sebagai fungsi bermain dan untuk melatih ketrampilan berbahasa sebagai bahan pelajaran. Menurut Siti Hajar Abd. Aziz (1996), terdapat tujuh unsur dalam permainan bahasa iaitu : Meningkatkan motivasi Interaksi Pertandingan yang sihat Kerjasama berpasukan Pembelajaran semula jadi Peraturan permainan Penamat permainan

Aktiviti permainan bahasa boleh dijalankan secara berkumpulan, berpasangan atau secara individu bergantung kepada kesesuaian permainan tersebut. Sebelum sesuatu permainan dijalankan, terdapat lima aspek pengendalian aktiviti perlu diambil kira, iaitu : Perancangan permainan Bentuk permainan Waktu pengendalian permainan Tunjuk cara Arahan dan peraturan permainan

Contoh aktiviti permainan bahasa : Mencari perkataan tersembunyi Permainan silang kata dua suku kata Permainan roda kata Permainan telefon siber Teka unsur bunyi Teka gaya bahasa Pemintal lidah Pasangan minimal Menulis skrip lakonan

Teknik BerceritaTeknik bercerita sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu penyampaian yang dapat menarik minat dan perhatian murid. Melalui teknik ini, pemahaman, perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan secara berkesan.

Dalampendidikansecara formal, teknik bercerita itu mempunyai banyak tujuan yang telah digariskan oleh beberapa tokohpendidikan. Ee Ah Meng (1993:143) menggariskan dua belas tujuan becerita dan Mook Soon Sang (1993:107) menggariskan lapan tujuan. Antaranya ialah : Dapat memotivasikan murid untuk belajar dalam suasana yang menggembirakan. Pembelajaran yang berlaku melalui cerita adalah lebih kekal dan diingati lebih lama. Penerapan nilai-nlai murni. Dapat memperluaskan pengalaman murid jika cerita dapat dikaitkan dengan kehidupan seharian. Meningkatkan daya kemahiran mendengar dan kreativiti murid. Melatih murid menyusun idea dengan teratur sama ada secara lisan atau tulisan.

Langkah-langkah persediaan teknik bercerita1. Pilih cerita yang sesuai dengan umur, kecerdasan dan minat murid serta sesuaikan pula dengan isi pelajaran yang hendak disampaikan.2. Kaji sesuatu cerita dan cuba masukkan aspek-aspek bahasa.3. Hafazkan frasa atau ayat-ayat penting.4. Latih murid bercerita untuk memastikan kelancaran penceritaan.5. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa.6. Guru boleh menggunakan gambar atau alat bantu lain.7. Sediakan bahan-bahan bahasa yang hendak disampaikan.

Guru perlu memberi fokus kepada beberapa aspek penceritaan, seperti : Plot cerita yang mudah Penggunaan carta aalir Penyediaan alat bantu sesuai Penghasilan mutu suara dan intonasi serta penampilan gaya. Berdasarkan kelima-lima teknik yang telah diterangkan di atas, saya memilih teknik bercerita yang akan dijelaskan dengan lebih terperinci pada bahagian yang seterusnya.

Teknik Bercerita

Teknik ini bukanlah sesuatu yang baru, ia sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anak. Suatu ketika dahulu, teknik bercerita ini merupakan teknik yang dominan dalam menyampaikan warisan budaya daripada suatu generasi ke generasi yang seterusnya. Kamus dewan mendefinisikan cerita adalah jalinan dan susunan mengenai kejadian dan hal-hal yang berlaku sama ada benar ataupun merupakan khayalan pencerita sahaja. Bercerita merupakan suatu kaedah mengajar yang membolehkan guru menyampaikan isi pelajarannya melalui penggunaan teknik bercerita.Teknik bercerita sesuai digunakan untuk membina kecekapan berbahasa kerana cerita merupakan sesuatu penyampaian yang dapat menarik minat dan perhatian murid. Menurut Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012:209), bercerita membolehkan murid menyuarakan pendapat dan perasaan secara lisan. Perkara ini berlaku apabila murid diberikan peluang untuk bercerita semula setelah guru berbuat demikian. Latihan pemahaman, keluasan perbendaharaan kata dan tatabahasa dapat disampaikan secara berkesan. Impak daripada teknik ini mampu meningkatkan penguasaan dalam kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Walau bagaimanapun, perkembangan cerita perlulah diberikan perhatian supaya ada peringkat permulaan, puncak dan peleraian. Selain itu, teknik persembahan, suara, gerak laku dan kawalan mata juga menjadi elemen penting dalam bercerita bagi mengelakkan kebosanan di kalangan murid.Murid-murid akan cepat menumpukan perhatian sekiranya sesuatu pelajaran itu disampaikan dalam keadaan yang dapat menyentuh dan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri. Hal ini kerana murid-murid dapat mencipta dunia dan membina organisasi acara, pengalaman dan fakta mereka sendiri. Selain itu, cerita-cerita yang menarik dapat menimbulkan keyakinan dan menyemai minat dalam kalangan murid-murid bercerita kembali kepada guru mereka.Guru boleh menggunakan pelbagai cara menyampaikan cerita di dalam kelas. Antaranya ialah secara lisan, atau murid mendengar pita rakaman, atau menonton sambil mendengar cerita dengan menggunakan boneka. Cerita yang baik perlu mengambil kira semua aspek imaginasi dan kreativiti di samping menggunakan plot yang baik dan mengandungi mesej yang menarik supaya diselesaikan.

Prosedur Menjalankan Teknik Bercerita

Aktiviti bercerita biasanya mengandungi tiga fasa yang utama iaitu perancangan dan persediaan, sesi bercerita dan penutup. Dalam peringkat perancangan dan persediaan, guru memilih cerita yang sesuai, menghafaz isi pentingnya dan menyediakan alat bantu mengajar yang berkaitan. Semasa sesi bercerita, guru memulakannya dengan memperkenalkan tajuk cerita, kemudian menggunakan teknik bercerita dan menyampaikan isi kandungannya dengan suara yang menarik. Peringkat penutup digunakan untuk aktiviti susulan, misalnya perbincangan tema cerita dan moral yang terkandung dalam cerita itu.Dalam fasa pertama, guru perlu memilih sebuah cerita yang sesuai. Tema cerita harus mempunyai nilai moral yang murni. Isi cerita hendaklah menarik dan perkataan yang digunakan hendaklah sesuai dengan pengalaman murid. panjang atau pendek sesuatu cerita hendaklah sepadan dengan peruntukan masa bercerita. Selepas cerita dipilih, guru hendaklah cuba menghafaz dan bercerita secara sendiri, sekurang-kurangnya sekali. Di samping itu, guru perlu menyediakan alat bantu mengajar seperti kad perkataan, kad gambar atau topeng-topeng yang perlu digunakan untuk murid-murid berlakon selepas bercerita. Beberapa soalan hendaklah disediakan untuk menguji kefahaman murid selepas sesi bercerita. Sebelum memulakan sesi bercerita, guru hendaklah menyusun tempat duduk murid bagi memastikan setiap murid dapat mendengar dan melihat ekspresi guru. Tempat bercerita hendaklah dihias dengan alatan seperti gambar-gambar yang sesuai dengan isi cerita supaya dapat membawa murid-murid ke dalam situasi yang seakan-akan alam cerita itu.Langkah perlaksanaan perancangan bercerita ini hendaklah dimulakan dengan suatu set induksi yang menarik serta ada kaitan dengan cerita yang hendak disampaikan. Semasa bercerita, guru boleh menggunakan suara, gaya dan alat bantu mengajar yang dapat menarik perhatian serta membantu murid-murid memahami isi cerita yang disampaikan. Guru juga perlu memastikan setiap murid memberi perhatian sepenuhnya semasa sesi bercerita dijalankan. Guru juga boleh melibatkan murid dalam sesi bercerita dengan menggunakan soalan-soalan membimbing mereka mengikut tahap perkembangan cerita dari peringkat permulaan sehingga peringkat penutup.Aktiviti penutup cerita perlu dilaksanakan dalam teknik ini. Tujuan penutup sesi bercerita ialah membantu murid-murid memperkukuhkan nilai murni yang diterapkan dalam isi cerita itu. Terdapat palbagai aktiviti penutup boleh digunakan dalam sesi penutup bercerita ini, antaranya ialah menyoal murid tentang isi-isi cerita yang telah disampaikan, menyuruh murid mengulang isi cerita dengan menggunakan perkataan sendiri, berbincang dengan murid tentang tema dan nilai murni yang terkandung dalam isi cerita, membimbing murid berlakon berdasarkan isi cerita yang telah disampaikan dan meminta murid menulis karangan berdasarkan isi cerita yang telah mereka dengar. Secara ringkasnya, dapat disimpulkan seperti berikut :

Fasa pengelolaan teknik bercerita

Prinsip-Prinsip Teknik BerceritaDalam melaksanakan teknik bercerita, terdapat beberapa prinsip yang telah digariskan sebagai panduan. Ini bertujuan memastikan keberkesanan bercerita dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Banyak perkara yang perlu difikirkan sewaktu mengatur sesuatu sesi bercerita bersama murid. Antaranya, guru perlu memberi fokus kepada :

Cerita yang hendak digunakan perlu mempunyai tema yang sesuaiSebelum bercerita, guru perlu menyediakan diri selengkapnya dari segi pemilihan cerita yang sesuai, penentuan fokus cerita, soalan-soalan yang boleh dikemukakan, perkataan atau frasa yang perlu ditumpukan dan catatan rangka cerita sebagai panduan. Selain itu, objektif mendidik tidak boleh diabaikan di samping mesti mengandungi isi yang sesuai dengan murid terutamanya dari segi kematangan berbahasa, umur, latar belakang, minat, kecerdasan otak dan pengalaman mereka.

Menggunakan bahasa yang sesuai dengan tahap muridBahasa yang digunakan perlu mengandungi perkataan atau rangkaai kata yang tepat, sesuai dan berkesan. Gunakan perkataan sendiri untuk bercerita dengan mengekalkan konsep-konsep kesesuaian pilihan perkataan. Pengucapan cerita harus dilakukan dengan jelas, ringkas dan tidak mengelirukan di samping mengelakkan menggunakan perkataan dan rangkai kata yang mengandungi beberapa pengertian.

Plot cerita dan penyampaian perlu menarikGuru perlu mempermudah plot cerita bagi menyesuaikan dengan murid. Jalan cerita yang tersusun serta ada kesudahannya menjadikan sesuatu penceritaan lebih menarik. Semasa menyampaikan cerita, guru perlu menggunakan pelbagai gaya yang menarik seperti gaya isyarat, pergerakan, pertanyaan, menggunakan cakaap ajuk dan melakonkan peristiwa atau watak tertentu. Benar atau salah sesuatu cerita bukanlah perkara terpenting, tetapi jika guru dapat bercerita dengan baik sehingga murid-murid dapat menerima cerita tersebut, itu dikatakan sudah berjaya.

Penyediaan alat bantu sesuaiSekiranya perlu, guru boleh menyediakan alat bantu untuk ddigunakan sewaktu sesi bercerita. Tujuannya supaya murid berasa seronok. Misalnya gambar-gambar haiwan, pemandangan, atau apa sahaja yang berkaitan dengan cerita boleh menjadikan sesi bercerita lebih menarik minat. Warna-warni gambar juga menjadi pelengkap kepada penceritaan yang menarik.

Penghasilan mutu suara dan intonasi serta penampilan gayaAspek ini ialah perkara paling penting dalam sesebuah sesi bercerita. Sekiranya suara yang monotonous dengan gaya yang hambar dan intonasi yang mendatar, murid akan jemu dan gagallah guru tersebut. Keadaan akan menjadi lebih serius jika guru berterusan tiada gaya bercerita, lama-kelamaan murid menjadi bosan dan tidak berminat mengikuti sesi bercerita yang dikendalikan oleh guru. Sesi bercerita juga mungkin boleh bertukar menjadi bising dan tidak terkawal.

Penglibatan murid secara menyeluruh dan maksimumSeseorang guru yang ingin melaksanakan sesi bercerita perlu bijak dan pandai melibatkan murid-muridnya seperti mengaitkan jalan cerita dengan intelek, emosi dan fizikal murid-murid semasa sesi bercerita. Dengan cara ini, tumpuan murid dapat dikekalkan dan keadaan pembelajaran akan terkawal.

Penggunaan carta alirPembinaan carta alir bertujuan untuk mengelakkan sesi bercerita tersekat-sekat akibat lupa. Semua ini perlu dilakukan sebagai panduan untuk memudahkan cerita dan mengelakkan lupa, tambahaan pula jika ada murid yang suka mencelah atau menimbulkan masalah semasa sesi bercerita berlangsung. Oleh itu penting sekali bagi guru menyediakan carta alir agar sebarang permasalahan dapat dielakkan.

Terdapat dua kemahiran yang perlu dikuasai oleh seseorang guru jika hendak melaksanakan teknik bercerita. Kemahiran tersebut ialah :

Kemahiran verbalKemahiran ini merangkumi penggunaan bahasa dan kosa kata yang mudah kepada abstrak. Beberapa ungkapan penting perlu disebut berulang-ulang sebagai penekanan bahagian yang perlu diberi lebih perhatian oleh murid. Suara yang jelas, lantang dan bervariasi seperti meniru suara kanak-kanak, orang tua atau suara haiwan dapt membezakan watak-watak dalam cerita yang disampaikan. Sebutan yang jelas, tepat dan kelajuan yang sesuai serta nada dan intonasi perlulah sesuai dengan watak dan situasi yang diceritakan.Kemahiran non-verbalGuru perlulah membuat mimik muka agar sesuai dengan emosi cerita yang disampaikan. Hubungan mata berperanan penting untuk menarik perhatian dan mengekalkan tumpuan murid terhadap cerita yang disampaikan oleh guru. Tidak ketinggalan juga bahasa badan iaitu gerak anggota untuk menjelaskan lagi cerita supaya lebih berkesan. Guru juga hendaklah peka terhadap reaksi murid serta gangguan lain yang mungkin berlaku ketika sesi bercerita berlangsung.

Kriteria pemilihan cerita Mempunyai mesej, pengajaran dan nilai-nilai murni Tema yang mudah, menarik dan sesuai dengan minat kanak-kanak Plot yang mudah, kronologi dan happy ending. Bahasa yang mudah, pengulangan kata dan ayat mudah serta pendek Kosa kata baru dapat ditambah atau dikembangkan Menonjolkan watak yang boleh dicontohi Dapat merangsang minda untuk idea kreatif (KBKK) Mudah dihafaz dan disampaikan dalam jangka masa pendek Bersifat universal

Pengajaran Bahasa Melayu sekolah rendah memberi tumpuan kepada kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Kemahiran bahasa ini membolehkan murid menggunakan Bahasa Melayu secara berkesan dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup bagi perhubungan sosial, pemerolehan ilmu serta bagi tujuan rekreasi (Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu, 2003). Dalam pengajaran bahasa, komitmengurusecara lebih kreatif sangat dituntut dalam berkomunikasi. Salah satu komunikasi ialah melalui teknik bercerita. Bercerita merupakan salah satu sumberpendidikanyang amat rapat dengan dunia kanak-kanak. Bercerita semacam satu budaya yang sangat hidup dalam masyarakat.Pendidikan awal tidak formal kanak-kanak banyak diperolehi melalui komunikasi bercerita. Melaluinya, informasi diperolehi begitu cepat kerana dalam proses bercerita komunikasi wujud lebih daripada satu hala. Pencerita bercerita, yang mendengar akan menyoal dan bertanya pada waktu tertentu.

Dalam pengajaran Bahasa Melayu tahun tiga, telah dinyatakan dengan jelas hasil pembelajaran yang bersesuaian dengan teknik bercerita. Hasil pembelajaran 2.0 iaitu murid dapat bercerita dan melaporkan sesuatu perkara yang didengar, ditonton, dibaca atau dialami. Manakala hasil pembelajaran 2.1 menjelaskan murid dapat bercerita dengan menggunakan kata, frasa, ayat serta sebutan dan intonasi yang baik dan jelas. Bagi menerangkan dengan lanjut hasil pembelajaran tersebut, terdapat tiga aras yang perlu dikuasai oleh murid melalui teknik bercerita yang digunakan oleh guru, iaitu :

Aras 1i) Menceritakan cerita yang didengar dengan menggunakan sebutan dan intonasi yang betul.Aras 2i) Mengenal pasti isi penting daripada cerita yang didengar atau ditonton.ii) Menyampaikan cerita berdasarkan isi pentingAras 3i) Bercerita dengan menggunakan sebutan, intonasi yang betul dan gaya penyampaian yang sesuai.

Bagi merealisasikan hasil pembelajaran tersebut, teknik bercerita yang dijalankan oleh guru amat berperanan penting kerana bagi mencapai aras satu murid perlu menonton cerita dan menceritakannya pula kepada orang lain. Sebagai contoh, guru bercerita kisah teladan arnab dan kura-kura berlumba lari. Selepas selesai sesi bercerita oleh guru, secara berpasangan guru boleh meminta murid menceritakan cerita yang telah didengar kepada pasangannya dan sebaliknya. Murid bebas bercerita mengikut krativiti masing-masing tanpa terkeluar daripada cerita asal. Dengan cara ini, hasil pembelajaran satu akan dapat dicapai. Di samping itu, murid juga perlu mengenal pasti watak-watak yang terdapat dalam cerita yang disampaikan dan berbincang perkara-perkara menarik tentang watak utama dalam cerita tersebut. Justeru, murid akan dapat bercerita berdasarkan isi hasil daripada perbincangan yang telah dijalankan. Secara tidak langsung, hasil pembelajaran aras dua akan tercapai.Bagi mencapai hasil pembelajaran aras tiga, guru boleh menganjurkan pertandingan bercerita antara kumpulan atau individu. Pemarkahan adalah berdasarkan bahasa, gaya, intonasi dan sebutan. Pengadilan adalah terdiri daripada murid sendiri. Setiap kumpulan perlu menilai kumpulan lain. Melalui pendedahan sebegini, murid akan mendapat pengalaman bercerita dan mengadili pertandingan bercerita mereka sendiri. Secara tidak langsung, guru dapat mencungkil dan mengenal pasti murid-murid yang berbakat dalam bercerita untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi khususnya dalam pertandingan ko-akademik.

Bercerita menggunakan kad gambar atau gambar bersiri, gambar kartun, keratan akhbar dan keratan majalah juga dapat digunakan dalam mencari suasana baru dalam bercerita. Melaluinya murid-murid dibimbing membina cerita sendiri berdasarkan bahan-bahan rangsangan seperti gambar kartun dan keratan akhbar. Dengan menggunakan gambar-gambar kartun atau keratan akhbar murid-murid disuruh memerhati dan kemudian menceritakan mengenai gambar atau keratan akhbar itu. Mereka akan bercerita kepadagurudan rakan-rakan sedarjah. Cerita tidak perlu panjang. Murid-murid dapat dilatih menyampaikan maklumat dengan berkesan secara bersahaja. Ini membolehkan murid-murid berkomunikasi dengan lebih berkesan. Dengan ini, kemahiran berbahasa murid-murid dapat dipertingkatkan.

Impilkasi teknik bercerita dalam pengajaran Bahasa Melayu sekolah rendah

Sebagai suatu teknik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, bercerita bermanfaat kepada murid dalam memperkembangkan aspek kognitif, afektif dan psikomotor. Hal ini demikian kerana menerusi cerita, murid boleh mendapatkan maklumat tentang fakta, konsep atau pengetahuan yang digabungjalinkan dalam sesuatu kisah. Cerita juga menampilkan model-model tingkah laku yang ditunjukkan oleh para pemegang watak atau tokoh.

Bercerita boleh dijadikan alat untuk melatih kemahiran mendengar dan bertutur secara yang menyeronokkan. Hal ini demikian kerana sewaktu bercerita, kanak-kanak atau guru juga tidak terikat dengan nada dan intonasi perbualan yang biasa. Setiap patah perkataan perlu diucapkan bersesuaian dengan cerita. Suasana bercerita dan mendengar cerita ini dapat membina satu suasana yang menyenangkan dan mengasyikkan selain dapat memotivasikan murid untuk belajar. Kemahiran mendengar yang baik dapat dipraktikkan. Guru mungkin boleh memberi arahan awal supaya kanak-kanak mendengar dengan baik, barulah guru akan mula bercerita. Jika murid pula diberi peluang bercerita, sesi tersebut dapat menjadi sesi melatih mereka bertutur dan menyebut perkataan dengan betul.

Selain itu, bercerita juga membolehkan murid menyuarakan pendapat dan perasaan secara lisan. Perkara ini berlaku apabila murid diberi peluang untuk bercerita semula setelah guru berbuat demikian. Guru boleh bertanya kepada murid apakah yang mereka fikir akan berlaku selepas sesuatu kejadian dalam cerita. Dengan cara ini, murid dengan daya imaginasi mereka akan dilatih memberikan pendapat dan pandangan. Guru pula perlu menerima cadangan murid tersebut tanpa prejudis. Dari situ guru boleh membantu murid mengembara ke dalam dunia imaginasi dengan mendengar dan berkongsi cerita tersebut dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Aktiviti bercerita juga dapat memperkenalkan kosa kata baru bersesuaian dengan isi. Seboleh-bolehnya guru perlu berusaha untuk memperkenalkan beberapa perkataan baru setiap kali bercerita kepada murid. Hal ini kerana murid akan mudah belajar makna kata apabila digunakan dalam konteks yang sesuai. Banyak perkataan yang mempunyai lebih daripada satu makna. Dengan menggunakan dalam cerita, murid dapat menyesuaikan kegunaan kata dengan konteks yang sesuai. Walau bagaimanapun, guru perlu elakkan memperkenalkan terlalu banyak perkataan dalam satu-satu masa kerana ianya mungkin akan mengelirukan. Sekiranya ada perkataan baru yang telah diperkenalkan, guru bolehlah membuat sedikit persediaan dengan menuliskannya pada kertas imbasan dan dilekatkan di papan flannel atau dinding kelas supaya mudah diingat oleh murid.

Daya imaginasi sewaktu bercerita dapat merangsang penggunaan bahasa yang baik. Murid lebih cepat belajar perkara yang diminati dan bercerita sangat menarik perhatian mereka. Bercerita menggunakan pelbagai seni bahasa itu sangat mendukung perkembangan kosa kata dan kepekaan murid kepada seni bahasa dan budaya mereka. Syair, pantun, sajak, seloka, gurindam, hikayat dapat digunakan untuk menambah variasi pengajaran dan pembelajaran.Guruboleh mereka sebuah syair yang berbentuk cerita umpamanya riwayat hidup seseorang, kisah-kisah sejarah yang bersesuaian dan sebagainya. Syair yang berbentuk cerita hendaklah disampaikan dengan penuh penghayatan. Ini akan menimbulkan minat di kalangan murid-murid lebih-lebih lagi mereka jarang mendengar syair dan dapat menarik minat murid terhadap pelajaran yang hendak disampaikan.

Sewaktu sesi bercerita, guru dapat menunjukkan contoh kepada murid untuk dijadikan panduan dan pedoman hidup. Guru juga dapat menerapkan nilai-nilai murni yang perlu diamalkan seperti taat kepada ibu bapa, mendengar nasihat adik-beradik, berkongsi kemudahan dalam kelas atau di rumah, dan pelbagai lagi bergantung kepada kreativiti guru. Namun perlu diingat iaitu elakkan memberi penekanan yang terlalu berat terhadap pemupukan nilai sehinggakan sesi bercerita bertukar menjadi sesi ceramah. Keadaan ini tidak dapat meninggalkan impak yang positif terhadap pelajar. Sekiranya keadaan ini berlaku, pelajar akan berasa bosan dan enggan memberi kerjasama pada masa-masa akan datang. Misalnya terdapat watak tertentu dalam cerita yang boleh dijadikan panduan kepada murid, guru bolehlah mengaitkannya dengan mengambil murid-muridnya. Secara tidak langsung murid itu akan merasa dihargai kerana dilibatkan dalam penceritaan. Perkara ini dapat menaikkan imej kendiri mereka.

Di samping itu, bercerita dapat menjadi cara yang sesuai untuk mengenali keunikan individu. Sewaktu aktiviti bercerita dijalankan, guru dapat mengenal pasti ciri-ciri tertentu dalam setiap pelajarnya. Ada kanak-kanak yang dapat duduk dan mendengar dengan baik, ada kanak-kanak yang hanya boleh duduk diam selama beberapa minit sahaja, ada kanak-kanak yang suka mengganggu rakan sewaktu sesi berlangsung, ada kanak-kanak yang suka mengambil bahagian dalam bercerita, dan sebagainya. Secara tidak langsung, guru dapat mengenal perangai setiap pelajar di bawah penyeliaannya. Perkara ini penting bagimereka untuk mengawal kelas sewaktu pengajaran berlangsung.

Menurut Adenan Ayob dan Khairuddin Mohamad (2012:211), teknik bercerita memiliki beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan teknik-teknik yang lain. Kebaikan tersebut meliputi : Guru dapat membina suasana yang menyenang dan mengasyikkan kerana cerita merupakan seni sastera yang memiliki keindahan serta keunikan. Cerita yang sarat dengan nilai-nilai murni mampu menanamkan sikap jujur, berani, setia ramah daan sikap positif yang berguna dalam pembentukan peribadi murid. Murid dapat mengenali fakta alam sekitar mahupun pengetahuan sosial yang berguna bagi perkembangan kognitif. Terdapat banyak aspek yang boleh dipelajari oleh murid dalam satu-satu masa. Penggabungjalinan kemahiran berbahasa seperti mendengar, bertutur, menulis dan membaca yang berlaku ketika murid mendengar ataau membaca cerita dapat membantu mereka menajamkan kemahiran-kemahiran yang terlibat.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam melaksanakan teknik bercerita ini. Sekiranya guru tidak bijak dan peka, dikhuatiri aktiviti bercerita tidak dapat membantu mencapai objektif yang diharapkan. Antara kelemahan-kelemahan yang perlu dielakkan dan diambil kira ialah : Terdapat jalan penceritaan yang terlalu berimaginatif sehingga membawa murid melebihi ke alam fantasi dan lari dari alam nyata. Keadaan ini mampu mendorong murid untuk selalu berkhayal dan berada dalam dunianya sendiri. Pencerita memerlukan kemahiran verbal dan non-verbal yang baik untuk mengelakkan murid merasa bosan. Memerlukan penghayatan yang tinggi untuk menghidupkan suasana penceritaan. Pencerita mungkin sekali hanyut dan seronok bercerita tanpa menghiraukan respons murid. Pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum memulakan penceritaan seperti kadar masa, tahaap kognitif murid, daya tarikan, penggunaan bahasa, nilai-nilai murni dan sebagainya. Penutup

Berdasarkan huraian yang diberikan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa dengan menggunakan teknik bercerita banyak aspek bahasa yang boleh disampaikankan umpamanya empat kemahiran asas iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Begitu juga dengan memasukkan isi-isi pelajaran ke dalam cerita, simpulan bahasa, perkataan berlawan, cakap ajuk, cakap pindah selain dari pengajaran karangan, kefahaman, tatabahasa, kosa kata dan sebagainya. Di samping itu, guru juga seharusnya menyerapkan nilai-nilai murni melalui cerita. Dengan ini, prinsip bahasa merentas kurikulum dapat dipraktikkan. Di samping mereka seronok mendengar cerita, mereka juga memperolehi pelajaran dan lebih memahami pengajaran cerita yang ingin disampaikan.

Selain daripada itu teknik ini juga dapat mencungkil bakat murid-murid dan memberi latihan kepada mereka untuk berhadapan dengan khalayak ramai. Namun begitu kita haruslah ingat bahawa teknik bercerita hanyalah satu jalan untuk menyalurkan pengetahuan kepada murid dengan cara yang menarik agar menimbulkan minat mereka untuk belajar. Panduan ini hanya diharapkan menjadi titik tolak untuk diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu dan pelajaran lain yang difikirkan sesuai oleh guru.