arkib : 06/05/2012 elektronik.pdf · arkib : 06/05/2012 pertandingan wau meriah kemaman 5 mei -...

113

Upload: others

Post on 25-Dec-2019

34 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

ARKIB : 06/05/2012

Pertandingan wau meriah

KEMAMAN 5 Mei - Bagi menyemai minat dan menyuburkan permainan wau, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Beris Nenas telah menganjurkan Pertandingan Wau Cantik dan Wau Naik 2012 di Mukim Kijal, dekat sini, semalam.

Meskipun pertama kali dianjurkan, ia berjaya menarik 60 penyertaan melibatkan pelbagai peringkat usia dan mereka mengetengahkan wau dalam pelbagai bentuk dan corak yang menarik.

Pengerusi penganjur, Che Wan Azlan Che Wan Abdul Ghani berkata, pertandingan anjuran bersama Syarikat Tubex, Pengkalan Bekalan Kemaman dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Daerah itu berlangsung selama dua hari.

"Kita juga dapat mencungkil bakat golongan muda dalam seni pembuatan wau di samping dapat menyuburkan tradisi permainan tradisional ini," katanya ketika ditemui semalam.

Juara bagi setiap kategori menerima hadiah bernilai RM400, naib juara (RM300), ketiga (RM200) manakala tempat keempat (RM100) dan kelima (RM50) sementara tempat keenam hingga ke-15 mendapat hamper.

Che Wan Azlan berkata, dengan sambutan menggalakkan yang diterima, pihaknya merancang untuk menjadikan pertandingan itu sebagai acara tahunan.

1  

ARKIB : 19/02/2012

'1 Langit 1 Budaya' keunikan festival layang-layang

PASIR GUDANG 18 Feb. - Festival Layang-Layang Sedunia Ke-17 di sini diserbu kira-kira 30,000 pengunjung setiap hari, sejak ia berlangsung pada 15 Februari lalu.

Festival yang disertai 225 peserta dari 34 negara itu amat dinanti-nantikan penduduk tempatan mahupun dari luar negeri yang mahu melihat kemahiran peserta mengendalikan layang-layang mereka.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan merasmikan festival itu hari ini yang akan berakhir esok.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melepaskan layang-layang

wau bulan sebagai gimik sempena perasmian Festival Layang-Layang

Sedunia Ke-17 di Pasir Gudang, semalam.

Pengerusi Jawatakuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang berkata, festival unik itu mencetuskan keharmonian sejagat melalui perkongsian minat yang sama dalam kalangan peserta yang datang dari pelbagai pelusok dunia.

"Ia ibarat persembahan pelbagai budaya dan bangsa yang dapat dilihat melalui rekaan layang-layang yang dimainkan.

"Sesuai dengan tema tahun ini iaitu '1 Langit 1 Budaya' yang bermaksud permainan layang-layang menjadi aktiviti sukan, budaya, pelancongan, rekreasi dan riadah yang unik dilakukan oleh semua kaum di dunia melalui persamaan satu budaya serta dimainkan di langit yang sama," katanya pada sidang akhbar selepas perasmian festival itu di sini hari ini.

Hadir sama ke festival yang bermula Rabu lalu itu ialah Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Obet Tawil.

2  

Malah, menurut Seong Chang, peminat sukan itu juga berpeluang menyaksikan pelbagai jenis layang-layang berterbangan di ruang udara negeri Johor.

3  

ARKIB : 18/02/2012

Festival beri peluang asah bakat

JOHOR BAHRU 17 Feb. - Pertandingan Membuat Wau Kebangsaan sempena Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang merupakan medan terbaik bagi pencipta dan peminat permainan tradisional itu mengasah bakat masing-masing.

Seorang peserta dari Terengganu, Amidi Muhammad, 42, berkata, acara sampingan seperti pertandingan tersebut mampu menggalak dan mendedahkan serba sedikit mengenai permainan itu.

"Pertandingan seperti ini diharap mampu menarik minat golongan muda yang dilihat semakin membelakangkan budaya dan warisan negara.

"Oleh itu, acara ini sangat membantu dalam usaha mempromosikan budaya dan warisan kepada generasi muda yang mengunjungi festival ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Amidi yang pernah empat kali menjuarai pertandingan tersebut berharap mampu memenanginya sekali lagi setelah empat tahun tidak menyertainya.

"Saya berehat selama empat tahun dan kali ini saya kembali untuk memberi saingan dan mengharapkan kemenangan," katanya.

Sementara itu, pasukan Kelantan yang merupakan juara bertahan pertandingan tersebut tahun lalu hadir dengan misi untuk mengekalkan kejuaraan mereka.

Wakilnya, Mohd. Azeimi Mohd. Nor memberitahu, kemenangan tahun lalu menyuntik semangat pasukannya supaya berusaha lebih keras bagi mengekalkan momentum dalam misi menjadi juara.

"Terengganu dan Perlis adalah pesaing yang sangat kuat termasuk tuan rumah Johor. Apatah lagi, ia adalah pertandingan mereka bentuk wau tradisi negeri ini iaitu Wau Merak.

"Ia bukan sahaja memerlukan kreativiti untuk mencipta wau yang cantik, malah perlu memastikan wau tersebut mampu terbang tinggi," katanya.

4  

ARKIB : 03/12/2011

Pantai Irama tumpuan peniaga kecil

MOHD. Khairuddin Ismail menggunakan waktu terluang sepanjang cuti persekolahan dengan menjual wau di Pantai Irama, Bachok, baru-baru ini.

BACHOK 2 Dis. - Musim cuti persekolahan yang panjang pada penghujung tahun ini lebih berbaloi jika digunakan untuk menambah sumber pendapatan melalui perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan terutama di kawasan yang menjadi tumpuan ramai.

Di Pantai Irama di sini, beberapa pelajar sekolah menengah mengambil kesempatan tersebut dengan menjual beraneka jenis wau yang laris dibeli pengunjung, apatah lagi keadaan cuaca yang semakin elok dan cerah mendorong ramai yang datang bersama keluarga menghirup udara segar dan nyaman.

Seorang pelajar yang ditemui Mohd. Khairuddin Ismail, 16, berkata, masa yang terluang sepanjang musim cuti sekolah digunakan untuk menjual wau yang mampu menjana keuntungan.

"Ramai pengunjung membelinya dan bermain wau di kawasan pantai yang berangin. Mereka yang berkunjung tidak mandi pantai kerana khuatir akan mengundang padah memandangkan keadaan laut yang masih bergelora dengan ombak yang besar.

5  

''Sebaliknya, mereka memilih wau untuk diterbangkan terutama pada sebelah petang ," ujarnya baru-baru ini.

Menurutnya, pelbagai jenis wau dengan saiz dan rekaan menarik dibelinya melalui pembekal dengan harga lebih murah menggunakan wang simpanan, kemudian dijual kepada pelanggan pada kadar yang berpatutan untuk memperoleh keuntungan.

Katanya, wau yang diperbuat daripada kain kanvas nipis diperoleh daripada pembekal yang mendapatkan barangan tersebut dari China dan dijual antara RM5 hingga RM15 bergantung kepada saiznya.

"Kami hanya mendapat keuntungan antara RM2 hingga RM5 bagi setiap wau yang dijual. Namun jumlah tersebut telah dilengkapkan dengan tali tangsi bagi memudahkan pengunjung bermain di tepi pantai," katanya.

Seorang lagi pelajar, Suhaila Majid, 15, yang turut berniaga berkata, selain menjual wau, pelajar yang tinggal berdekatan Pantai Irama turut membantu ibu bapa masing-masing menjual minuman kelapa muda dan makanan laut bagi memenuhi ruang senggang musim cuti persekolahan ini.

''Selain wau, ada yang memilih berniaga barangan lain seperti makanan ringan, minuman, kerepek dan air kelapa muda kerana pantai ini tetap dikunjungi ramai meskipun pada musim tengkujuh untuk menikmati makanan laut di medan selera yang berdekatan.

"Pengunjung patuh pada papan tanda amaran yang dipasang oleh Majlis Daerah Bachok (MDB) yang melarang mereka mandi pantai sepanjang musim tengkujuh bagi mengelak sebarang risiko kematian akibat lemas," ujarnya.

6  

ARKIB : 24/11/2011

150 murid sertai persidangan antarabangsa

SAID Manap (dua dari kanan) melihat wau yang dihasilkan oleh murid-murid yang menyertai Persidangan Antarabangsa Sekolah-sekolah Rendah 2011 di Perdana Resort, Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 23 Nov. - Persidangan Antarabangsa Sekolah-sekolah Rendah 2011 yang julung kali diadakan di sini berjaya menarik penyertaan 150 murid dari empat negara termasuk Malaysia.

Tiga negara lain ialah Korea Selatan, Brunei dan Indonesia yang menghantar murid sekolah rendah bagi berkongsi serta menimba pengalaman bersama-sama rakan sebaya mereka dari 21 sekolah rendah di negara ini.

Persidangan selama tiga hari berakhir semalam bertemakan ‘Meningkatkan Kepemimpinan Kanak-kanak Untuk Kepelbagaian Global’, dianjurkan Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab (2) dan berlangsung di Perdana Beach Resort, Pantai Cahaya Bulan, dekat sini.

Majlis penutup persidangan itu semalam disempurnakan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, Said Manap. Turut hadir, Guru Besar SK Zainab (2), Aidah Mohd. Salleh.

7  

Said ketika ditemui berkata, persidangan itu merupakan usaha ke arah pembentukan modal insan kelas pertama yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini merupakan julung kalinya sekolah rendah menganjurkan persidangan bertaraf antarabangsa dan ia merupakan cabaran kepada sekolah-sekolah menengah yang masih teragak-agak untuk menganjurkan program sebegini,” katanya.

Beliau berkata, persidangan tersebut memberi peluang kepada murid-murid untuk berkongsi pengalaman dan menimba pelbagai ilmu daripada rakan-rakan sebaya mereka dari luar negara.

“Mereka juga berpeluang melihat budaya luar pada usia kanak-kanak lagi, ini sudah tentu memberi impak positif kepada pembangunan minda mereka,” katanya.

Sementara itu, guru pengiring Sekolah Rendah Sindong, Seoul, Korea Selatan, Ye Kwang Jung, 27, berkata, pihaknya berbesar hati apabila diberi peluang menyertai persidangan tersebut yang julung kalinya membabitkan murid-murid sekolah rendah.

“Persidangan sebegini memberi impak yang besar kepada pembentukan jati diri serta daya kepimpinan murid-murid yang merupakan pemimpin masa depan. Ia sangat baik dan sewajarnya diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Seorang peserta, Seo Eun Moon, 11, teruja menyertai persidangan itu kerana selain mendapat rakan baharu, dia juga berpeluang mengenali budaya negara terlibat.

“Ia memberi pengalaman sangat berharga buat saya kerana dapat menimba pelbagai ilmu untuk dibawa pulang,” katanya.

8  

ARKIB : 29/10/2011

Aktiviti menarik di Festival Layang-Layang Selangor 2011

SHAH ALAM 28 Okt. - Sebanyak 10,000 pengunjung dijangka membanjiri taman tema teknologi, i-City di sini untuk menyaksikan Festival Layang-Layang Antarabangsa Selangor 2011 yang akan berlangsung selama dua hari bermula esok.

Pengerusi Persatuan Pelayang Selangor, Subani Marzuki berkata, pada festival itu pengunjung bukan sahaja dapat menyaksikan persembahan permainan layang-layang, malah berpeluang merasai sendiri pengalaman bermain permainan tradisional itu.

"Antara penampilan istimewa adalah persembahan istimewa wau Ketupat Gergasi berharga RM30,000 yang dijangka menjadi tarikan kepada para pengunjung pada festival itu nanti.

"Orang ramai terutama generasi muda turut berpeluang mencuba permainan tradisional masyarakat itu supaya ia dapat diwariskan kepada generasi akan datang," katanya pada sidang akhbar mengenai festival tersebut di sini semalam.

Subani berkata, para pengunjung juga berpeluang menyertai bengkel yang akan dikendalikan oleh pakar-pakar mengenai permainan tradisional tersebut.

Beliau berkata, festival tersebut juga akan menarik penyertaan daripada para pelajar termasuk dari sekolah antarabangsa di sekitar negeri ini bagi sama-sama memeriahkan festival berkenaan.

Subani menambah, pihaknya merancang menjadikan penganjuran festival berkenaan sebagai aktiviti tahunan yang akan dicatatkan di dalam kalendar pelancongan negeri ini.

Katanya, pengunjung bertuah juga akan berpeluang memenangi cabutan bertuah dengan hadiah utama wang tunai berjumlah RM1,000.

9  

ARKIB : 08/06/2011

Muzium Wau Kelantan pusat rujukan seni kraf wau sedunia 08/06/2011 3:33pm

TUMPAT 8 Jun – Kerajaan negeri Kelantan akan menjadikan Muzium Wau pertama yang terletak di Pantai Sri Tujuh dekat sini sebagai pusat rujukan dan maklumat mengenai sejarah perkembangan dan seni kraftangan wau seluruh dunia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, muzium itu akan turut mempamerkan pelbagai jenis wau dari seluruh dunia.

"Kita juga akan menyediakan buku-buku rujukan dan peralatan membuat wau, seperti buluh, kertas dan tali sebagai bahan asas pembuatan kraf tangan itu,” katanya di sini hari ini. –

10  

ARKIB : 25/05/2011

Pesta Wau sempena 30 tahun MSU, PTPL

KOTA BHARU 24 Mei - Kolej PTPL Kota Bharu telah menganjurkan Pesta Wau dan Layang-Layang di Pantai Irama, Bachok di sini sebagai salah satu acara untuk memeriahkan sambutan Ulang Tahun Ke-30, Management and Science University (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL pada 7 Mei lalu.

Seorang pelajar cuba menaikkan wau pada Pesta Wau dan Layang-Layang di Pantai Irama, Bachok, Kota Bharu, baru-

baru ini.

Pengarah program, Siti Roshafizawati Harun berkata, pihaknya memilih untuk menganjurkan pesta wau itu kerana ia adalah warisan negara yang sangat sinonim dengan negeri Kelantan.

Menurutnya, melalui penganjuran itu pihaknya berharap dapat menarik minat golongan muda dan pelajar kolej agar tidak melupakan permainan tradisi masyarakat Kelantan.

"Mungkin ada generasi muda hari ini tidak mengetahui bagaimanakah wau dan layang-layang dimainkan. Melalui program ini, kita dapat memupuk kembali minat bermain wau dan layang-layang yang merupakan kesenian warisan masyarakat tempatan.

"Selain itu, apa yang menarik mengenai penganjuran ini, setiap kumpulan perlu membuat sendiri wau yang paling kreatif dan mereka telah membuat persediaan dua minggu sebelum acara sebenar bermula," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Tambahnya, program itu secara tidak langsung merapatkan hubungan sesama warga kolej yang mana proses membuat wau itu sendiri memerlukan kerjasama jitu seperti menebang buluh, meraut, membuat rangka dan menerbangkannya.

Siti Roshafizawati memberitahu, program sehari itu telah dirasmikan oleh Pengetua Kolej PTPL Kota Bharu, Ahmad Masri Mokhtar dan disertai 240 pelajar dan kakitangan Kolej PTPL Kota Bharu.

11  

"Seramai 30 pasukan telah mengambil bahagian dan kesemua wau dinaikkan secara serentak di udara selama 30 minit sebagai simbolik 30 tahun sejarah penubuhan Kumpulan Kolej PTPL," katanya.

12  

ARKIB : 07/10/2009

Wujudkan muzium wau di Kelantan

KOTA BHARU 6 Okt. – Persatuan Pelayang Negeri Kelantan menyarankan kerajaan negeri supaya mewujudkan sebuah muzium wau bagi memelihara khazanah tradisi yang menjadi kebanggaan negeri dan negara.

Yang Dipertuanya, Nik Ariff Datuk Nik Hassan berkata, kerajaan negeri tidak harus melihat langkah seumpama itu sebagai suatu yang sia-sia sebelum negeri-negeri lain memulakannya.

‘‘Ia boleh membantu menambahkan lagi produk tarikan pelancongan di samping melengkapkan gelaran kota budaya di samping menyuburkan lagi permainan warisan di samping meningkatkan ekonomi penggiatnya melalui hasil jualan cenderamata.

‘‘Sejak berkurun wau amat rapat dengan masyarakat Kelantan malah diangkat menjadi salah satu khazanah tradisi negeri selain mak yong, dikir barat, kertuk dan gasing,” katanya kepada di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan wau tradisional dikaitkan dengan asalnya dari Kelantan iaitu wau bulan, wau kekek, wau puyuh, wau kucing, wau kebayak dan jala budi yang terkenal dengan keindahan dan kehalusan buatannya.

‘‘Wau kucing juga turut dipilih sebagai lambang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) manakala para pembuat wau yang mahir kebanyakannya dari Pantai Timur.

‘‘Ironi, muzium seumpama itu sudah wujud di Johor iaitu Muzium Layang-Layang Pasir Gudang, sedangkan hanya wau merak dikaitkan dengan tradisi negeri itu, namun ia cukup aktif dalam pelbagai bentuk penganjuran berkaitan dengan wau,” ujarnya.

Katanya, sebuah muzium wau bertaraf dunia boleh diwujudkan sekiranya kerajaan negeri mengambil pendekatan kreatif dalam menjayakan usaha itu.

Beliau menarik perhatian, pihak persatuan sendiri telah lama merancang mewujudkan muzium tersebut namun kekangan kewangan menjadi halangannya.

‘‘Persatuan berharap pihak kerajaan mampu merealisasikan usaha itu dan muzium boleh dijadikan aset untuk menjana ekonomi sekiranya ditadbirkan dengan berkesan,” ujarnya.

13  

14  

Katanya, dari segi pengisiannya, pihak persatuan akan memberikan kerjasama sepenuhnya termasuk menggerakkan aktiviti setempat, antaranya mengadakan bengkel asas membuat wau untuk mendidik generasi muda mengenal sejarah dan pembuatannya.

‘‘Bilik pameran pula akan diisi dengan hasil rekaan seni dan kreativiti wau tempatan oleh pembuat tersohor di samping himpunan layang-layang daripada seluruh dunia.

‘‘Berdasarkan lawatan saya ke beberapa buah negara untuk memperkenalkan wau tempatan melalui pameran dan pertandingan, rata-rata penggiat bertanya kenapa di negeri ini masih belum wujud muzium wau.

‘‘Sekiranya muzium tersebut dibina, penggiat di negara-negara tersebut berjanji akan menyumbang layang-layang mereka untuk dipamerkan,” katanya.

Katanya, hasil lawatan ke London beberapa tahun lalu juga telah menemukannya dengan beberapa peminat wau yang memberitahunya wau rekaan negara ini telah diketahui kewujudannya lebih 400 tahun lalu.

Sumber : http://www.utusan.com.my Tarikh Akses : 16 Mei 2012

Headline: Transformasi Pasar Seni

Publication: BM Date of publication: May 6, 2012 Section heading: Rona Page number: 004 Byline / Author: Oleh Alzahrin Alias

MALAYSIA mempunyai banyak tarikan pelancong dari kebudayaan, kesenian, tempat pelancongan tidak kira pantai atau tanah tinggi dan juga makanan. Malahan ibu negara Kuala Lumpur juga menyediakan banyak tarikan pelancongan seperti Menara Kuala Lumpur, Bangunan Berkembar KLCC, Bukit Bintang Walk dan juga Pasar Seni. Antara tarikan itu, Pasar Seni adalah kawasan yang wajib dikunjungi apabila berkunjung ke Kuala Lumpur. Mungkin ramai yang menganggap Pasar Seni hanya kawasan biasa yang menjual barangan cenderahati dan pernah suatu ketika dulu kawasan sekitarnya agak ditakuti kerana banyak kegiatan tidak bermoral berlaku di situ. Namun itu pandangan suatu masa dulu, sebelum Pasar Seni diangkat martabatnya sebagai pusat kebudayaan dan kesenian dan turut dipantau Kerajaan Pusat. Baru-baru ini RONA kembali menjengah ke Pasar Seni untuk melihat perubahan yang telah berlaku di sana selain menyingkap kembali sejarah Pasar Seni yang telah wujud selama 124 tahun. Sejarah awal Pasar Seni ketika tahun 1888 adalah kawasan pasar basah yang menjual segala keperluan seperti ikan, sayur dan daging. Ketika itu, segala urusan jual beli hanyalah di kawasan lapang sehinggalah pasar basah ini dinaiktaraf dan dibina bangunan pada tahun sekitar 1930. Boleh dikatakan kawasan ini adalah tumpuan utama warga kota untuk membeli barangan keperluan asas dan urus niaga yang berlaku berterusan sehinggalah sekitar tahun 1970. Ketika inilah Badan Warisan Malaysia mengeluarkan idea untuk mengubah Pasar Seni yang sebelum ini hanyalah pasar basah biasa menjadi hab kepada kebudayaan, seni

1  

dan kraf tangan Malaysia. Sehingga kini Pasar Seni terus menjadi hentian setempat kepada pelancong untuk mendapatkan barangan cenderahati dan juga kraf tangan Malaysia. Pengurus Kompleks Pasar Seni, Cheong Wai Mun, berkata jika sepuluh tahun dulu kawasan ini boleh dianggap sebagai kawasan hitam kerana kawasan sekitar dijadikan tempat melepak golongan gelandangan dan penagih dadah. "Tetapi kini kita telah menaik taraf dan tingkatkan penguatkuasaan di kawasan ini. Memandangkan ia tarikan utama pelancongan negara, jadi kita mahukan satu imej yang bersih untuk pelancong yang datang. "Malahan kawasan dalaman juga kita telah susunkan semula dan dikategori mengikut produk yang dijual. Terdapat sekitar 300 kedai dan lebih 100 kiosk di Pasar Seni," katanya. Walaupun telah diubah suai namun pihak pengurusan Pasar Seni masih lagi mengekalkan seberapa banyak struktur asal bangunan seperti rekaan dinding, lantai dan kawasan luar bangunan. Ini bagi menjaga nilai sejarah dan budaya yang telah lama berkembang di Pasar Seni. Kedai yang terdapat di dalam Pasar Seni sangat unik dan menyenangkan bagi pelancong yang datang. Ada beberapa kategori kedai yang terletak di dalam deretan sama seperti Lorong Melayu, Lorong India, Lorong Cina, Lorong Kolonial, dan Lorong Jonker Melaka. Setiap satu mempunyai tarikan tersendiri seperti Lorong Melayu yang banyak menjual barangan kraf tangan seperti ukiran kayu, patung wayang kulit, kompang, keris dan wau. Manakala di Lorong Cina dan India pula menjual barangan tarikan budaya dan kesenian bangsa mereka seperti tanglung, lampu, batu jed dan makanan tempatan. Secara tidak langsung ia memperkenalkan budaya tiga bangsa utama ini kepada pelancong luar dan barangan kesenian serta budaya tiga bangsa ini. Ada juga laluan yang menjual barangan antik dari perkakasan rumah hinggalah barangan peribadi. Seperti muzium gayanya kerana banyak barangan pelik dan jarang dijumpai boleh

2  

didapati di sini. Di satu bahagian pula ada jualan produk cenderahati buatan sendiri seperti cawan dan rantai kunci yang boleh ditulis nama atau diletakkan gambar anda. Sangat tersusun selain kawasan dalaman yang lebih selesa dan tidak perlu lagi sesat untuk mencari barangan yang diinginkan kerana semuanya berada dalam kedudukan yang strategik. Di bahagian belakang Pasar Seni ada sebuah lagi bangunan yang menempatkan penjualan hasil seni seperti lukisan, barangan antik dan unik termasuk menjadi pusat untuk aktiviti seni. Lebih dikenali sebagai Annexe Pasar Seni, bangunan empat tingkat ini memberikan anda satu persepsi baru dan mendalami ilmu seni halus dan seni lukis. Salah seorang peniaga, Abdul Hadi Ahmad, berkata dia telah lama memulakan perniagaan di Pasar Seni dan menjadi salah seorang peniaga asal di sini. Hadi kini boleh berbangga dengan lukisannya dan menjadi salah seorang pelukis yang sering mendapat tempahan terutama dari orang kenamaan. Abdul Hadi banyak mempamerkan lukisan orang kenamaan seperti gambar pemimpin negara dan Sultan berbeza dengan pelukis lain di sini. Berbicara lebih lanjut, dia menyatakan selain menjual hasil lukisannya, dia ingin memberi ilmu baru kepada pelancong asing mengenai tokoh dan pemimpin negara. "Selain mempamerkan lukisan saya, ada satu misi yang saya mahu tonjolkan iaitu memperkenalkan pemimpin negara seperti Perdana Menteri dan Sultan di Malaysia. "Biar mereka tahu dan kenal bagaimana muka pemimpin kita. Banyak juga pelancong yang bukan saja tertarik dengan lukisan saya malah ingin mengetahui mengenai latar belakang pemimpin negara yang saya lukis," katanya. Ada juga sebuah galeri yang bertindak sebagai muzium mini, Art House Gallery yang mempamerkan barangan mistik dan unik dari Nusantara. Anda bukan saja boleh membeli barangan yang dipamerkan di sini malah boleh mengenali dan mempelajari

3  

semua artifak dan barangan yang dipamerkan. Di kawasan luar Pasar Seni pula terdapat satu tarikan terbaru iaitu Kasturi Walk yang menempatkan kiosk menjual baju, makanan dan cenderahati. Kasturi Walk lebih bersifat santai dengan kawasan sekitar yang terbuka hanya ditutupi bumbung dengan rekaan wau dan ukiran Melayu. Malah di kawasan Kasturi Walk banyak diadakan persembahan kebudayaan dan hampir setiap hari ada persembahan kebudayaan dijalankan di sini seperti tarian, nyanyian dan persembahan silat. Ternyata Pasar Seni telah melalui banyak fasa perubahan dan apa yang ada kini adalah sebuah pusat setempat warisan kebudayaan dan kesenian yang perlu terus dikekalkan dan dikongsi kepada pelancong.

4  

Headline: Panorama Dabong

Publication: BH Date of publication: Apr 30, 2011 Section heading: Sabtu Page number: 010 Byline / Author: Oleh Syed Mohd Ridauwan Syed Ismail

PERJALANAN menaiki koc Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dari Kuala Lumpur menuju Dabong, Kelantan melalui Tanah Merah, tidak lama dulu memberi pengalaman baru kepada penulis. Menjejaki daerah asing termasuk lokasi bersejarah di sepanjang perjalanan 12 jam memberi peluang kepada penulis untuk menghayati keindahan alam, keunikan pekan kecil dan kehidupan masyarakat di tepi Sungai Kelantan selain tinggalan sejarah zaman British. Ternyata, laluan kereta api menuju Dabong punya cerita tersendiri. Sejarah pembinaan laluan kereta api serta projek Jambatan Guillemard yang pernah dibom tentera Inggeris bagi menahan kemaraan tentera Jepun, menarik untuk diselami. Tidak cukup itu, kisah pembinaan tujuh terowong yang masih utuh hari ini menjadi lambang daerah ini pernah membangun suatu ketika dulu. Di lokasi yang dikenali sebagai Batu 243.5 juga tercatat sejarah tersendiri. Ia adalah tempat pertembungan landasan kereta api yang dibina dari Gemas, Negeri Sembilan pada 1907 dan satu lagi, membabitkan laluan Tumpat pada 1913. Di lokasi ini, pengunjung boleh melihat sebatang tiang besi dari keratan rel kereta api setinggi kira-kira semeter, yang ditanam sebagai simbolik percantuman dua landasan ini. Dari aspek budaya, laluan kereta api ini juga menjadi medium pengangkutan utama penduduk sekitar malah menjadi `bas sekolah' kepada murid dan pelajar. Ikuti catatan Program Panorama Railway Tour ini yang dianjurkan oleh KTMB dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah (PTJTM). Seramai 30 wakil media termasuk dari Singapura turut serta dalam perjalanan menarik ini. Jumaat

5  

8 malam: Kami berkumpul di KL Sentral sebelum bergerak ke Tanah Merah, Kelantan menaiki Tren Senandung Wau. Aktiviti suai kenal di dalam tren bersama kakitangan KTMB dan media bermula dengan santai. 9 pagi: Selepas lebih 12 jam perjalanan, kami tiba di Stesen Tanah Merah Kelantan. Kami disambut kakitangan KTMB, kakitangan Tourism Malaysia Kelantan dan kakitangan D'Mawar Resort dengan paluan kertuk, sejenis alat permainan tradisional di Kelantan. 10 pagi: Selepas mendaftar di D'Mawar Resort dan bersarapan, rombongan media dibawa ke Pulau Raja. Dikatakan, lokasi ini menjadi penempatan terawal penduduk Cina di Kelantan. Ada 10 keluarga Cina yang menetap di sini dan kampung ini cukup dikenali dengan sebuah telaga yang didakwa berusia lebih 350 tahun. Lokasi ini juga dikatakan antara tempat terawal memiliki induk durian terbaik dari jenis durian kunyit atau lebih dikenali sebagai Musang King. Wakil media dibawa ke tapak pembinaan monumen penduduk Cina yang dikaitkan dengan penempatan awal kaum Cina di Kelantan. Kami kemudian disaji air kelapa muda sebelum bergerak ke lokasi seterusnya. 1 petang: Kami dibawa ke Restoran Selera Tepi Sungai, Tanah Merah untuk menikmati makan tengah hari dan solat. 2.30 petang: Kami melawat Pondok Moden Bukit Bunga yang diilhamkan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Pondok moden ini menjadi mercu tanda baru pembangunan agama dan dakwah bagi Parlimen Jeli. Menduduki tapak seluas dua hektar sejak dibangunkan pada 2007, pondok ini menyediakan pusat kegiatan keagamaan dan dakwah serba lengkap. 3 petang: Kami melawat Jambatan Persahabatan dan Kompleks Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bukit Bunga yang menghubungkan Jeli dan Buketa, Selatan Thailand. 3.30 petang: Kami dibawa ke Zainon Palace, hotel bajet yang menyediakan pakej penginapan menarik bagi mereka yang ingin melancong ke Tanah Merah. Media kemudian dibawa membeli-belah di Rantau Panjang yang terkenal dengan barangan yang ditawarkan pada harga berpatutan.

6  

5 petang: Kami mengambil kesempatan melawat Butik al-Wahida di Tanah Merah sebelum pulang ke D'Mawar Resort. 8.30 malam: Wakil media menyaksikan majlis perasmian Program Panorama Railway Tour yang antara lain dipenuhi dengan persembahan kebudayaan dan dikir barat daripada artis tempatan terkenal di Kelantan. Sabtu 8.30 pagi: Rombongan media berkumpul untuk bertolak ke Stesen Kereta Api Tanah Merah. Media dipertontonkan persembahan silat dan muzik tari silat. 10 pagi: Berlepas dari Stesen Keretapi Tanah Merah menuju ke Jambatan Guillemard. Sepanjang perjalanan, kami disajikan persembahan dikir barat dan muzik tari silat serta alunan serunai oleh pemain alat tradisional tempatan. Jambatan Guillemard adalah jambatan kereta api yang strukturnya dibina daripada besi. Jambatan ini merentasi Sungai Kelantan yang bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah. Jambatan ini mula dibina pada 1920 dan siap pada Julai 1924. Apa yang menarik, Jambatan Guillemard adalah jambatan kereta api terpanjang di Malaysia. Selepas dimusnahkan oleh tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun ke Kuala Krai, jambatan ini dibina semula dan dirasmikan pembukaannya pada 7 September 1948. 10.55 pagi: Kami tiba di Stesen Kereta Api Kuala Krai. Wakil media diberi taklimat berhubung operasi dan pengendalian kereta api. 11.30 pagi: Kami tiba di Terowong Kereta Api Dabong. Kereta api berhenti di Terowong nombor tiga dan kami berpeluang melihat dari jauh Gunung Stong. Lokasi ini adalah titik percantuman landasan kereta api dari Gemas dan Tumpat pada 5 September 1931. 1 petang: Rombongan tiba di Stesen Kereta Api Dabong. Taklimat diberi mengenai gaya hidup penduduk Dabong yang menjadikan kereta api sebagai kaedah pengangkutan utama sejak perkhidmatan rel diperkenalkan di sini. Dabong adalah pekan kecil yang terletak dalam jajahan Jeli, Kelantan. Pelancong

7  

tertumpu ke sini untuk menghayati keindahan Gunung Stong yang tersenarai di tempat kelima daripada 10 lokasi eko - tourism terbaik di Malaysia. Di sini, terletak Air Terjun Jelawang setinggi 305 meter dan menjadi air terjun tertinggi di Asia. Pengunjung juga boleh melawat tempat menarik seperti Gua Ikan, Gua Cha, Gua Keris, Gua Batu Susun dan Gua Pagar yang mempunyai sejarah tersendiri. Gua Cha misalnya, mempunyai kesan peninggalan sejarah zaman purba. Muzium Negara pernah menemui rangka manusia yang dipercayai hidup 2,000 tahun lalu di sini. 3 petang: Kami bertolak pulang dari Stesen Dabong ke Stesen Tanah Merah. Sekali lagi, perjalanan kami diserikan dengan persembahan dikir barat dan serunai. 4.30 petang: Kami tiba di Stesen Tanah Merah Kelantan dan mendaftar keluar pada jam 5 petang. Tibalah masa untuk pulang. Kereta api ke Kuala Lumpur kemudian bertolak kira-kira jam 6 petang meninggalkan 1,001 kenangan indah di Kelantan. Sepanjang perjalanan, kereta api berhenti di beberapa stesen seperti Gua Musang yang menjadi antara laluan menjejaki Taman Negara. Ingin berkongsi pengalaman percutian di mana-mana lokasi peranginan dalam negara? Hantarkan catatan anda mengikut format penulisan kolum 48 Jam ini berserta gambar menarik untuk disiarkan. Hantarkan catatan anda melalui e-mel kepada [email protected] atau pos ke alamat Pengelola Kolum 48 Jam, Berita Harian Sdn Bhd, 31, Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur atau faks ke 03-20567081/2. (END)

8  

Headline: `Wau Mas' teroka angkasa

Publication: BH Date of publication: Apr 25, 2012 Section heading: Skor Page number: 001 Byline / Author: Oleh Nas Norziela Nasbah

SHAH ALAM: Ciptaan kapal angkasa bermotifkan wau membawa tuah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Buloh, apabila diumumkan sebagai pemenang utama Pertandingan Reka Cipta Kapal Angkasa Suborbital Kebangsaan 2011 (NS2DC), di sini baru-baru ini. Kemenangan itu melayakkan sekumpulan pelajar sekolah terbabit bersama guru pengiring mereka menghadiri Kem Angkasa di California, Amerika Syarikat pada Jun ini dengan pakej lawatan bernilai RM 150 000. Ketua kumpulannya, Abu Dzar Mazlan, 18, berkata reka cipta `Wau Mas'teroka kapal angkasa yang dinamakan `Wau Mas' itu mengikut reka bentuk wau dilihat tepat memandangkan fungsi permainan rakyat itu yang berupaya terbang bebas di awan. Beliau berkata, pemilihan reka bentuk kapal angkasa bermotifkan wau itu dibuat selepas mendapat kata sepakat setiap ahli kumpulan. "Pada mulanya, kami memilih bangunan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sebagai model reka cipta kapal angkasa namun melihat pada aspek reka bentuk untuk dijadikan sebuah kapal terbang, kami bertukar rancangan dengan mengambil wau sebagai contoh terbaik. "Walaupun wau bukanlah pilihan pertama kami tetapi sifat sayap wau yang juga satu daripada identiti negara mendorong kami memilih ia sebagai rekaan kapal angkasa suborbital," katanya ketika ditemui di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam, di sini baru-baru ini. Abu Dzar yang juga bertindak sebagai pembentang utama pada pusingan akhir itu melahirkan rasa gembira dan terharu sebaik saja diumumkan sebagai pemenang utama selepas berhempas pulas menyertai pertandingan itu selama setahun.

9  

Beliau berkata, kemenangan SMK Bandar Baru Sungai Buloh, membuktikan usaha yang dijalankan oleh ahli kumpulan dan guru penasihat tidak sia-sia selain memperoleh pengalaman menarik sepanjang mengikuti pertandingan itu. "Selama setahun pertandingan ini berlangsung ia banyak membantu kami mempoleh ilmu pengetahuan yang mendalam untuk mereka cipta kapal angkasa," katanya. Pertandingan bermula awal Januari tahun lalu yang dianjurkan oleh Space Tourism Society Malaysia Chapter (STS-MC) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) itu menerima penyertaan daripada 10 buah sekolah di seluruh Malaysia. Memupuk minat terhadap industri angkasa lepas SHAH ALAM: Pertandingan Reka Cipta Kapal Angkasa Suborbital Kebangsaan 2011 (NS2DC), yang dianjurkan Space Tourism Society Malaysia Chapter (STS-MC) di sini, baru-baru ini bertujuan menyuntik kesedaran orang ramai terutama pelajar mengenai industri angkasa lepas. Pengarah program, Encik Amirul Safuan Mohd Ishak berkata, selain itu ia juga bagi memberi pengetahuan kepada pelajar mengenai industri pelancongan angkasa seterusnya meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi. Beliau berkata, setiap kumpulan perlu menghasilkan ilustrasi kapal angkasa dalam dua dimensi 2D) dengan membabitkan tiga peringkat iaitu menunjukkan pandangan hadapan, sisi dan atas subjek berkenaan. Katanya, lima sekolah yang dipilih menyertai pertandingan akhir ialah Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak, SMK Bandar Baru Sungai Buloh, SMK Seri Bintang Selatan dan SM Teknik (SMT) Tuanku Jaafar. "Pada pusingan akhir itu, kelima-lima buah sekolah terbabit berjaya membentangkan reka cipta kapal terbang angkasa suborbital dengan cara tersendiri," katanya. Encik Amirul Safuan berkata, setiap kumpulan diadili oleh kapten Mohd Rashidy Zulkifli selaku ketua juri, Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor (ANGKASA) dan Encik Mohd Izmir Yamin (Independence-X Aerospace).

10  

"Selain pembentangan, beberapa aspek lain yang turut dititikberatkan iaitu cara penyampaian, bahan pembentangan, reka cipta kapal angkasa dan juga soal jawab yang dikemukakan oleh juri," katanya. Beliau berkata, STS-MC berhasrat untuk mempelbagaikan produk dan kreativiti reka cipta kapal angkasa dari negara ini agar dapat dipamerkan dan diketengahkan pada peringkat antarabangsa. Selain itu, katanya, pihaknya juga berhasrat menjadikan pertandingan kali ini sebagai acara tahunan bagi menyuntik semangat dan menambah pengetahuan generasi muda mengenai angkasa lepas. Sementara itu, SMT Tuanku Jaafar yang muncul naib johan, tetap bangga apabila seorang pembentang mereka, Ameer Fahim Ameer Sharifudin dipilih sebagai penerima Anugerah Pembentang Terbaik. Hadiah dan sijil penyertaan disampaikan oleh Presiden STS-MC, Encik Norul Ridzuan Zakaria. Yang turut hadir ialah, Ketua Bahagian Maklumat & Penyelidikan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Encik Sarwani Abd Jalal.

11  

Headline: Anggota bomba juara pertandingan wau

Publication: HM Date of publication: Mar 2, 2012 Section heading: Metro Plus Page number: 003

SIK: Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Muda, Pulau Pinang, muncul johan selepas menewaskan 53 peserta dalam pertandingan layang-layang merebut Piala Naib Ketua Pemuda Umno di Kampung Setar, Mukim Jeneri, dekat sini, baru-baru ini. Naha Din, 30, dari Kampung Sungai Setar, berkata, dia gembira kerana dapat menghasilkan layang-layang terbaik dalam pertandingan itu, tetapi tidak menyangka muncul juara. Katanya, sebelum ini dia pernah menyertai beberapa pertandingan namun terkejut apabila muncul buat pertama kalinya "Saya amat bertuah kerana untuk mencipta wau bulan memerlukan kreativiti selain perlu mengambil masa yang lama untuk disiapkan. "Saya bertungkus-lumus mencari bahan membuat wau ini bersama rakan dalam masa seminggu untuk disiapkan, malah keluarga memberi sokongan," katanya yang menerima hadiah daripada Timbalan Ketua Umno Bahagian Sik, Dr Mansor Abd Rahman.

12  

Headline: Cuaca buruk tak halang jadi juara

Publication: HM Date of publication: Feb 21, 2012 Section heading: Main Section Page number: 024

PASIR GUDANG: Persaingan sengit dan cuaca buruk tidak mematahkan semangat pasukan Kelantan beraksi cemerlang hingga muncul juara keseluruhan peringkat kebangsaan sempena Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-17 berakhir, kelmarin. Presiden Pelayang Kelantan, Nik Arif Nik Hassan berkata, kemenangan itu membolehkan pasukannya merampas gelaran juara yang dimenangi pasukan Terengganu apabila memperoleh 18 mata. "Penyertaan tahun ini bukan saja sengit kerana membabitkan banyak pasukan, kami juga perlu bertarung dalam cuaca buruk. Bagaimanapun, kami bersyukur kerana mengungguli permainan menerusi pelbagai kategori dipertandingkan. "Cuaca buruk benar-benar menguji keupayaan pemain hingga menyebabkan pelayang profesional sukar menaikkan layang-layang apabila kebanyakan peserta hanya bergantung kepada tuah untuk menang," katanya. Pemenang kategori Wau Bulan Cantik dan Jalabudi Cantik/ Sobek Kebangsaan, Amidi Mohamad, 45, dari Terengganu menyifatkan kemenangan itu paling bermakna sejak mula terbabit dalam pertandingan wau tradisional 12 tahun lalu. "Saya gembira kerana kali pertama muncul juara dalam dua kategori sekali gus sedangkan sebelum ini, jika menang pun sekadar sagu hati atau tempat ketiga," katanya. Menurutnya, walaupun menang acara individu, dia tetap kecewa apabila pasukannya, Terengganu hanya mampu memenangi empat kategori utama termasuk Johan Wau Bulan Naik Tradisi dan Wau Kucing Naik Tradisi Kebangsaan dan gagal mempertahankan juara keseluruhan. "Jika diikutkan, pasukan kami membolot empat kategori utama, tetapi alasan penganjur

13  

adalah kami hanya berstatus pasukan jemputan dan kemenangan diberikan kepada Kelantan," katanya. Terengganu muncul Juara keseluruhan kategori kebangsaan pada 2006 hingga 2008 sebelum sekali lagi muncul juara keseluruhan tahun lalu. Penyampaian hadiah disempurnakan Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Obet Tawil di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini, kelmarin. Bagi kategori antarabangsa, pasukan Joel Gouppil dari Perancis muncul juara kategori Layang-layang Paling Kreatif, Tan Xi Bo dari China (kedua), Yu Mei Lan dari China (ketiga) dan Ong Cheng Her dari Singapura (keempat). Bagi kategori Layang-layang Paling Harmoni, ia dimenangi Marten Van Hieren dari Belgium, Liannawati dari Indonesia (kedua), Christian Novotny dari Austria (ketiga) dan Yu Mei Lan dari China (keempat).

14  

Headline: Ibarat perhimpunan seni

Publication: MA Date of publication: Feb 26, 2012 Section heading: Informasi Elektif Page number: 004 Byline / Author: Oleh Mohamad Fahd Rahmat

FLLSPG padat dengan penganjuran persembahan, pertandingan, pameran dan bengkel layang-layang membabitkan peserta pelbagai kaum, bangsa dan negara FESTIVAL Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-17 selamat melabuhkan tirainya minggu lalu selepas berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung, sekali gus menepati sasaran penganjur, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Jabatan Pelancongan Negeri walaupun cuaca buruk membantutkan kemeriahan festival tahun ini. FLLSPG sebelum ini dikenali sebagai Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang dan dianjurkan Johor Corporation (Jcorp) hingga edisi ke-15. Bagaimanapun, FLSSPG bertujuan memartabatkan permainan layang-layang dan meluaskan lagi penyertaan hingga berjaya menarik penyertaan pasukan daripada enam benua. Malah sejak mula diperkenalkan 17 tahun lalu, ia menjadi acara tahunan antarabangsa terbesar, sekali gus mempromosikan Bukit Layang-layang, Pasir Gudang, Johor serta Malaysia, khususnya di pentas dunia. Antara keistimewaan FLSSPG yang menjadikannya sungguh istimewa berbanding festival mahu pun kejohanan layang-layang lain di dunia ini ialah keharmonian dan penyertaan pelbagai bangsa seluruh dunia. Keharmonian itu terhasil berikutan sifat muhibbah semua peserta, penganjur dan pengunjung, selain keunikan penghasilan pelbagai reka bentuk layang-layang kreatif, termasuk wau tradisional tempatan, menghiasi langit Bukit Layang-layang iaitu lokasi festival diadakan. Malah, pemilihan Bukit Layang-layang sebagai lokasi dianggap peserta sebagai paling

15  

sesuai kerana ruang udaranya sentiasa mempunyai angin kencang, sekali gus membolehkan peserta menaikkan layang-layang tanpa masalah. Selain itu, festival ini dilihat sebagai satu perhimpunan kesenian melalui penganjuran persembahan, pertandingan, pameran dan bengkel layang-layang membabitkan peserta pelbagai kaum, bangsa dan negara. Pasukan Siu dari China yang terkenal kerana sering mengungguli pertandingan layang-layang di serata dunia, tidak melepaskan peluang mengambil bahagian dalam festival tahun ini. Pengasasnya yang juga jurutera bersara dari China, Siu Kuang Lee, 72, berkata pasukannya dianggotai empat anak saudara perempuannya dan mengambil bahagian dalam kategori Stunt Kite pada festival ini. Bagaimanapun, katanya, kehadiran mereka seolah-olah tidak dialu-alukan berikutan cuaca buruk ketika festival berlangsung. "Melihat cuaca kurang baik dengan hujan hampir setiap petang, mungkin harapan saya melihat anak buah menerbangkan layang-layang tidak kesampaian. "Bagaimanapun, saya tidak kecewa dan berharap dipanjangkan umur supaya dapat mengambil bahagian tahun depan kerana keadaan cuaca tidak menentu adalah perkara biasa. "Malah, dalam pertandingan disertai sebelum ini, pelbagai acara terpaksa dibatalkan berikutan keadaan cuaca, namun ia tidak mematahkan semangat, malah menyebabkan minat saya pada layang-layang semakin mekar setiap hari dan sanggup merantau jauh semata-mata menyertai festival layang-layang di serata dunia. "Malah, layang-layang menyebabkan saya terbang jauh hingga ke Korea Selatan, Thailand, Taiwan dan Malaysia untuk menyertai festival diadakan. "Saya juga bangga kerana mempunyai ramai kawan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya yang pernah menang tempat kedua acara Stunt Kite di Festival Layang-layang Antarabangsa Schenzen, China pada 2004. Peserta New Zealand, Elwyn Lynn, 63, berkata dia gembira dapat mengambil bahagian

16  

buat kali pertama dalam festival itu tahun ini, selepas hanya mengikutinya menerusi media massa dari negaranya. "Saya gembira kerana akhirnya dapat menyertai Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang bersama suami, Peter Lynn, 65, dalam kunjungan kali pertama kali ke negara ini. "Suasananya jauh berbeza berbanding New Zealand dan kami seronok bermain kerana dapat bermain layang-layang bersama peserta daripada pelbagai negara," katanya. Menurutnya, dia membawa empat layang-layang dari negaranya dan menyifatkan festival dianjurkan ini unik dan tiada tandingannya. "Walaupun hujan, suami saya tetap bersemangat menerbangkan layang-layang dibawanya dan kami bercadang mengambil bahagian tahun depan," katanya. Tahun lalu, penganjur cuba memahat nama di dalam Malaysia Book Of Records dengan menerbangkan 3,000 layang-layang pada masa sama yang dilakukan oleh pelajar sekolah rendah dan menengah, namun hasrat itu tidak tercapai berikutan cuaca buruk. Festival tahun ini turut menarik penyertaan 44 peserta pasukan Weifang International Kite Festival (WIKF) dari China yang popular di kalangan peminat layang-layang seluruh dunia berikutan kejayaannya pada setiap festival, selain pertunjukan dan bengkel rekabentuk layang-layang hasil budaya masyarakat China. Tahun ini, festival bertemakan 'Satu Langit Satu Budaya' menyediakan pelbagai program seperti pertandingan Wau Bulan, Wau Kucing Naik, Wau Bulan Sobek, Wau Bulan Naik, Wau Jalabudi Naik, Wau Jalabudi Sobek, Wau Merak, layang-layang dua dimensi dan tiga dimesni, Wau Daun Naik, Wau Jala Budi Moden, Train Kite dan Malay Kite Laga. Seramai 557 peserta membabitkan pelajar sekolah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan korporat menyertai pertandingan selain peserta luar negara yang membuat pertunjukan, sekali gus mencapai hasrat menjadikan layang-layang sebagai medium penyatuan satu budaya. Malah, festival tahun ini berjaya menarik penyertaan baru daripada Kepulauan Curacao,

17  

Colombia dan Turki selain mengekalkan pembabitan peserta daripada Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Macau, China, Jepun, Korea Selatan, England, Jerman, Sepanyol, Itali, Belgium dan Austria. Penganjuran festival tahun ini mendapat kerjasama syarikat korporat yang menyumbangkan dana, antaranya Johor Corporation (RM400,000), KFC Holdings Malaysia Sdn Bhd (RM350,000) selain KPJ Healthcare Berhad, Johor Land Berhad, Damansara Assets Sdn Bhd, TPM Technopark Sdn Bhd dan Tanjung Langsat Port Sdn Bhd masing-masing RM10,000. Walaupun festival terganggu apabila hujan lebat dan ribut menyebabkan lima khemah khas peserta antarabangsa runtuh, Jumaat minggu lalu, tiada kecederaan dilaporkan dan diharap semua peserta akan kembali tahun depan. SENARAI PEMENANG PERTANDINGAN FLLSPG KE-17 Juara Keseluruhan Kebangsaan - Kelantan Kategori Antarabangsa (Layang-layang Paling Kreatif) 1. Joel Gouppil (Perancis) 2. Tan Xi Bo (China) 3. Yu Mei Lan (China) 4. Ong Cheng Her (Singapura) Kategori Layang-layang Paling Harmoni 1. Marten Van Hieren (Belgium) 2. Liannawati (Indonesia)

18  

3. Christian Novotny (Austria) 4. Yu Mei Lan (China) Kategori Korporat 1. Hotel Silka 2. Majlis Daerah Labis, Segamat 3. Norlaila Agency Kategori Wau Bulan Naik 1. Mohamad Ammar Hashim, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senai 2. Malik Mohd Salleh, SMK Parit Betak, Benut, Pontian 3. Muhamad Amirul Raihan Ahmad Zamzuri, SMK Pekan Baru, Mu

19  

Headline: Tuah mainan tradisional Melayu

Publication: HM Date of publication: Feb 24, 2012 Section heading: Main Section Page number: 055

SHAH ALAM: Minat mendalamnya terhadap permainan tradisional Melayu, membawa tuah kepada Cheang Swee Ying, 20, apabila merangkul anugerah Most Creative Event dalam majlis Management & Sciene University (MSU)/Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPTL) GEmS Excellence Award 2011, yang berlangsung di MSU, di sini, semalam. Cheang berkata, keunikan permainan tradisional Melayu menarik perhatiannya menjadi sebahagian daripada urusetia Pesta Wau Layang-Layang Sempena 30 tahun MSU, di Pulau Bachok, Kelantan, tahun lalu. Dia yang melanjutkan pengajian di PTPTL Kota Bharu, Kelantan, berkata dalam pesta itu, dia mempelajari cara-cara pembuatan wau dan melakukan rujukan untuk memahami estetika di sebalik pembuatan wau itu. "Mempelajari pembuatan wau ilmu yang berharga buat saya. Walaupun dipandang dengan mata kasar, pembuatan wau kelihatan mudah, tetapi pembuatannya sangat sukar. "Setiap perincian dari segi jenis buluh, material kertas atau kain, corak dan warna yang digunakan harus diteliti. Wau berkenaan bukan saja perlu kelihatan cantik tetapi mampu untuk terbang," katanya ketika ditemui selepas majlis anugerah itu, di sini, semalam. Selain itu, tuah turut menyebelahi Abdul Qayyum Mahamod, 24, apabila merangkul tiga anugerah dalam majlis berkenaan iaitu Most Happening Programme; Malaysia Book of Records Programme dan Most Newsworthy Programme. Dia yang juga Presiden Kelab Gayong Patani, MSU, berkata anugerah itu adalah bukti minatnya dalam bidang mempertahankan diri berbaloi dan diiktiraf oleh institusi. "Saya menganjurkan pelbagai program bersama ahli kelab untuk mengeratkan

20  

silaturahim. Kekangan masa sememangnya tidak dapat dapat dielakkan, saya sentiasa memastikan kualiti masa digunakan sebaiknya," katanya ketika ditemui. Anugerah julung kali diadakan itu, turut dihadiri Presiden MSU, Profesor Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid. Dr Mohd Shukri ditemui berkata, MSU menganjurkan majlis penganugerahan itu untuk memupuk semangat membudayakan budaya kecemerlangan di kalangan pelajar MSU dan PTPTL. "Menyedari saingan pekerjaan sengit kini pelajar MSU dan PTPTL harus mempunyai kemahiran matang sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan," katanya.

21  

Headline: `Seronok buat wau'

Publication: HM Date of publication: Feb 18, 2012 Section heading: Main Section Page number: 024

JOHOR BAHRU: "Saya seronok kerana dapat mempelajari kaedah menghasilkan wau seperti merak, bulan dan burung selain berkenalan pada Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-17 ini," kata Mohd Azrul Azhan, 17, ketika ditemui di Bukit Layang-Layang, di sini, kelmarin. Menurut Mohd Azrul, ini kali kedua dia menghadiri festival yang dianjurkan bersama Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Jabatan Pelancongan negeri itu. "Tahun lalu saya menyertai festival ini dan mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjung Puteri Resort dan kali ini berpeluang sekali lagi menghadiri bengkel, selain bermain layang-layang dihasilkan sendiri. "Saya sudah mahir menghasilkan wau bulan, merak dan helang juga kaedah mengasah batang buluh bagi memastikannya mampu terbang tinggi, selain mengetahui jenis kertas iaitu minyak serta jagung untuk menghasilkan layang-layang," katanya. Menurut Mohd Azrul, festival layang-layang terbesar di dunia itu bukan saja dapat meneruskan kesinambungan tradisi menghasilkan wau diwarisi daripada nenek moyang, malah mengeratkan lagi silaturahim di kalangan peserta juga pengunjung. Sementara itu, seramai 123 murid Tadika Pintar Bestari dari Taman Scientex 1 dan 2 selain Kota Masai 1 dan 2 turut tidak melepaskan peluang menyertai festival berkenaan dengan mengambil bahagian dalam pertandingan mewarna. Menurut guru pengiring tadika berkenaan dari cawangan Taman Scientex, Norifah Md Ramli, kehadiran mereka bukan saja untuk memeriahkan festival malah menjadi medium terbaik membantu guru mengaplikasikan pembelajaran di luar kelas. "Kami hadir dalam kumpulan berbeza mengikut cawangan bermula sejak pagi hingga jam 2.30 petang. Selain menyertai pertandingan mewarna, mereka berpeluang melihat sendiri layang-layang gergasi yang diterbangkan," katanya.

22  

Pelbagai acara akan dijalankan seperti pertandingan Wau Daun Naik dan Wau Jala Budi peringkat kebangsaan, pertandingan melukis, bengkel layang-layang oleh peserta Indonesia, Korea Selatan dan Jepun selain pertunjukan 'stunt kite' serta pertandingan 'Rokakku' korporat. FLLSPG ke-17 membuka tirainya kelmarin hingga Ahad ini dengan pelbagai pengisian menarik menanti peserta dan pengunjung.

23  

Headline: Festival layang-layang tarik 557 peserta

Publication: MA Date of publication: Feb 12, 2012 Section heading: Main Section Page number: 018

JOHOR BAHRU: Festival Layang-layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) ke-17 pada Rabu hingga Ahad ini menyediakan pelbagai acara menarik kepada peserta dan pengunjung acara tahunan terbesar dunia itu. Walaupun pada edisi lalu, harapan memahat nama dalam Malaysia Book Of Records dengan menerbangkan 3,000 layang-lapada masa sama oleh pelajar sekolah rendah dan menengah tidak tercapai kerana faktor cuaca, hasrat itu tetap membara di hati penganjur. Acara gah ini disertai peserta dari dalam dan luar negara selain pelbagai peringkat usia membabitkan kakitangan jabatan kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan murid sekolah rendah dan menengah itu bermatlamat menjadikan layang-layang sebagai medium menyatukan budaya. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), On Jabbar berkata, tarikan festival kali ini adalah penyertaan 44 peserta Weifang International Kite Festival (WIKF) dari China yang popular di kalangan peminat layang-layang seluruh dunia. Mereka akan membuat pertunjukan dan bengkel berkaitan termasuk pengaruh reka bentuk layang-layang hasil budaya masyarakat di sana. "Festival kali ini bertemakan 'Satu Langit Satu Budaya'. Antara program menarik ialah pertandingan Wau Bulan, Wau Kucing Naik, Wau Bulan Sobek, Wau Bulan Naik, Wau Jalabudi Naik, Wau Jalabudi Sobek, Wau Merak, layang-layang dua dimensi dan tiga dimensi. "Seramai 557 peserta akan menyertai pertandingan dalam pelbagai kategori dipertandingkan. Penganjuran kali ini turut menarik penyertaan baru dari Kepulauan Curacao, Colombia dan Turki selain mengekalkan pembabitan Asia Tenggara serta Timur dan Eropah.

24  

"Antara negara terbabit kali ini ialah Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Macau, China, Jepun, England, Jerman, Sepanyol, Itali, Belgium dan Austria," katanya. Menurut On, penganjuran festival kali ini dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Johor turut mendapat dana RM400,000 sumbangan Johor Corporation (JCorp), KFC Holdings Malaysia (RM350,000) selain KPJ Healthcare Berhad, Johor Land Berhad, Damansara Assets Sdn Bhd, TPM Technopark Sdn Bhd dan Tanjung Langsat Port Sdn Bhd dengan masing-masing menyumbang RM10,000. On berkata, syarikat lain yang turut memberi sumbangan ialah Johor Port dan Cahaya Bumimas Sdn Bhd, masing-masing RM5,000. "Malaysia Marine & Heavy Engneering Sdn Bhd, Bank Rakyat, Binaree Tech, Metro Parking Malaysia Snd Bhd, Focal Aims Sdn Bhd, Senai Desaru Expressway Bhd dan D'Harmoni Telco Infra Sdn Bhd pula masing-masing menyumbang RM3,000," katanya.

25  

Headline: Otai wau

Publication: BH Date of publication: Sep 10, 2011 Section heading: Inspirasi Page number: 018 Byline / Author: Oleh Alzahrin Alias

KE mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Bidalan ini sangat sesuai untuk mencerminkan kesungguhan dan minat anak muda ini dalam seni membuat wau. Jika sebelum ini kita selalu melihat pembuat wau daripada kalangan mereka yang berusia, siapa sangka rupanya masih ada anak muda sanggup melupakan kerjaya di bandar untuk menjadi pakar pembuat wau. Membuka cerita, tamu XY - Ikon lelaki minggu ini, Muhammad Ariff Azlan, 26, berkata ketika zaman kanak-kanak, fikirannya tidak pernah terlintas hendak menjadi pembuat wau walaupun datuk dan ayahnya cukup dikenali sebagai pakar menghasilkan wau. Namun inilah yang dikatakan darah seni yang mengalir tidak akan putus, lalu secara tiba-tiba dalam usia remaja, Muhammad Ariff tergerak hati untuk mendalami ilmu pembuatan wau. Hasratnya disambut baik ayah. Dengan berguru ayah sendiri, Muhammad Ariff mula mempelajari teknik menekap, melukis dan memotong wau hinggalah teknik menampal serta membuat rangka wau. Mungkin bagi kebanyakan orang, membuat wau dilihat mudah dan tidak memerlukan ketelitian atau seni, namun hakikatnya, Muhammad Ariff mengambil masa lima tahun untuk mahir dalam pembuatan wau. "Sedari kecil lagi saya memang selalu melihat ayah membuat wau di rumah dan mengikutnya apabila ada pertandingan wau di Terengganu. Tapi pada masa itu, minat ini masih tidak timbul sehinggalah berusia 17 tahun. "Tetapi ketika itu, minat saya lebih kepada bermain wau. Minat ini timbul selepas seronok bermain wau ditambah pula dengan bunyi geseran ketika wau melayang di udara," katanya ketika anak muda ini berkongsi kemahiran membuat wau pada sesi demonstrasi di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

26  

Bertolak daripada minat, Muhammad Ariff dengan sokongan keluarga menyertai pertandingan permainan wau di seluruh negara sebelum beralih kepada ilmu pembuatan wau. Anak muda ini berkata, mempelajari teknik pembuatan wau tidak mudah yang disangka. "Untuk menjadi mahir, saya perlu mempelajari cara memotong ukiran menggunakan kertas warna terlebih dulu. Pada sesebuah wau, warna emas adalah warna utama atau digelar `tanah.' Ini diikuti warna hitam sebagai lapisan kedua sebelum ditambah dengan pelbagai warna mengikut kreativiti pembuat wau," katanya. Jelas anak muda ini lagi, ukiran wau itu sendiri ada banyak lapisan. "Wau ini sebenarnya ukirannya berlapis-lapis. Pada peringkat permukaan adalah warna emas sebelum ditambah dengan lapisan warna lain. "Kita perlu berhati-hati dalam memotong ukiran supaya tidak terkoyak dan padan apabila ditampal. Kertas yang digunakan lembut dan jika tidak teliti, kita tidak akan berjaya," katanya. Selepas menguasai teknik memotong ukiran, barulah Muhammad Ariff diajar mengukir pelbagai corak dan simbol yang mempunyai pelbagai maksud tersirat. Setiap ukiran mempunyai maksud yang tersirat dan walaupun ramai pembuat wau kini cenderung memasukkan elemen moden dalam ukiran, simbol atau ukiran asal masih lagi dikekalkan. "Belajar melukis ukiran sebenarnya mudah jika kita mahir dalam memotong ukiran. Disebabkan itu, dalam menguasai teknik membuat wau, prosesnya agak terbalik. Bermula dari memotong ukiran kemudian baru belajar melukis. "Ini kerana apabila sudah mahir memotong, secara semula jadi tangan kita akan senang melukis dan membuat ukiran bagi sesebuah wau," katanya.

27  

Muhammad Ariff berkata, dalam pelbagai proses menghasilkan wau, teknik menampal dianggap sangat mencabar. Ada kalanya ukiran dan tampalan yang dibuat tidak sepadan dengan rangka wau. "Ini disebabkan rangka wau selalunya dibuat awal menggunakan buluh yang diraut hingga nipis dan senang dilentur mengikut rekaan yang diinginkan. "Buluh yang besar itu kita raut sehingga nipis dan halus kemudian baru mudah untuk dilentur mengikut jenis wau. Dulu ketika mula-mula belajar, habis tangan saya terluka sebab terkena buluh. Tapi apabila sudah biasa, semuanya jadi mudah," katanya. IMPIKAN SEGULUNG IJAZAH DALAM usia muda, Muhammad Ariff menjelajah seluruh negara untuk berkongsi kepakaran menghasilkan wau melalui siri bengkel dan ceramah mengenai teknik membuat wau. Apa yang membanggakan, biarpun tidak memiliki kelayakan formal dalam menghasilkan wau, anak muda ini masih boleh menyaingi individu lain yang belajar secara formal. Kelebihan Muhammad Ariff sudah tentu berdasarkan ilmu yang diperturunkan keluarga dari generasi ke generasi. "Biarpun saya tidak belajar di universiti dalam teknik ukiran dan sebagainya, saya bangga kerana ilmu yang saya dapat ini tidak ternilai harganya. Tidak semua orang boleh menimba ilmu seperti yang saya miliki. "Nilainya bukan terletak kepada harga tapi semangat dalam memperjuang dan meneruskan budaya tradisional terutama alat tradisi seperti wau," katanya. Namun jauh dalam sudut hatinya, Muhammad Ariff menyimpan impian melanjutkan pengajian di universiti supaya ilmu yang dipelajarinya bertambah selain dapat berkongsi ilmu dengan orang lain. Ketika ditemuramah, beliau sudah hampir sebulan berkampung di pusat beli-belah di Petaling Jaya, Selangor untuk memberi ceramah dan demonstrasi mengenai teknik menghasilkan wau.

28  

Jejaka ini berkata, walaupun terpaksa berjauhan dari keluarga, hatinya gembira kerana dapat berkongsi ilmu dengan orang ramai serta membuktikan masih ada kumpulan pelapis yang menguasai skil menghasilkan kraf tradisional seperti wau. "Apa yang menariknya, ramai kaum lain yang menyatakan minat mempelajari teknik membuat wau. Malah mereka sanggup membeli wau yang dijual untuk dijadikan hiasan di rumah. "Ini menunjukkan yang alatan tradisional sebegini mampu menarik minat semua kaum dan golongan kerana kecantikan ukiran dan keunikan wau," katanya. Muhammad Ariff juga tidak lokek ilmu apabila beliau turut mengajar rakan-rakannya di Terengganu teknik membuat wau dan ramai antara mereka adalah generasi muda dan pelajar sekolah. Hasrat anak muda ini ialah membuka sebuah galeri yang mempamerkan wau hasil buatannya selain menganjurkan kelas membuat wau supaya seni ini terus hidup dan tidak ditelan arus kemodenan. (END)

29  

Headline: Semarak suasana desa

Publication: HM Date of publication: Aug 3, 2011 Section heading: Supplement Page number: 002 Byline / Author: Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

KEBANGGAAN terhadap warisan tradisi yang melambangkan keunikan budaya di negara ini mendorong pusat beli-belah terkenal, Sunway Pyramid di Subang Jaya, Selangor, menggunakan tema permainan tradisional orang Melayu iaitu wau bagi meraikan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi, bermula 29 Julai hingga 4 September ini. Sepanjang tempoh itu, Sunway Pyramid bukan saja dihias indah dengan wau pelbagai bentuk dan jenis, malah turut menjemput pakar pembuat permainan tradisional berkenaan khas dari Terengganu bagi mengendalikan bengkel dan memberi tunjuk ajar kepada pengunjung mengenai cara membuat wau. Lebih menarik, sambutan Aidilfitri kali ini seiring dengan jualan mega tahunan menjadikan ia sebagai 'Jualan Mega Raya', sekali gus memberi kelebihan kepada pengunjung mendapatkan pelbagai barangan persediaan raya dengan diskaun sehingga 70 peratus. Pengarah Pemasaran Sunway Pyramid, Phang Sau Lian berkata, tema wau dipilih bagi sambutan Aidilfitri tahun ini memandangkan ia melambangkan suasana di kampung halaman dan mengingatkan pengunjung mengenai keseronokan permainan tradisional yang juga digunakan penduduk kampung bagi menghalau gagak yang menyerang tanaman padi. Beliau berkata, wau juga mampu memberi peluang kepada golongan muda yang ada antaranya tidak pernah bermain atau memegang wau dapat melihat sendiri serta menghayati keunikan permainan tradisional Melayu itu. "Selain wau sebagai penyeri hiasan pusat beli-belah ini, kami juga mengadakan pelbagai aktiviti untuk meraikan pengunjung antaranya Tarian Muhibbah Raya yang akan dipersembahkan setiap minggu. "Penari akan bergerak ke serata kawasan pusat beli-belah untuk menghiburkan

30  

pengunjung manakala maskot Sunway Pyramid, Leo the Lion, turut akan bergerak memberikan dodol kepada pengunjung," katanya. Tidak ketinggalan, Sunway Pyramid juga menganjurkan peraduan 'Win iPad2', Kempen Penebusan Citibank dan Kempen Penebusan Eksklusif Raya sepanjang tempoh jualan mega itu berlangsung. Menerusi peraduan diadakan, tiga iPad 2 terbaru ditawarkan setiap minggu kepada pemenang bertuah yang berbelanja sekurang-kurangnya RM200 dalam satu resit. Selain itu, pengunjung yang juga ahli kad Citibank, hanya perlu berbelanja RM100 dalam satu resit untuk mengambil bahagian dalam Kempen Penebusan Citibank yang berlangsung sehingga 31 Ogos ini, bagi mendapatkan hadiah percuma daripada Citibank pada hari sama dengan pembelian. Tidak ketinggalan, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam Kempen Penebusan Ekslusif Raya, dengan berbelanja minimum RM100 dalam satu resit untuk mendapatkan satu set peket ang pau raya berwarna hijau yang eksklusif bertemakan wau. Perbelanjaan minimum RM500 dalam dua atau lebih resit juga melayakkan pengunjung mendapatkan baucar makanan gedung Marks & Spencer bernilai RM10, bermula dari 3 Ogos hingga 4 September ini.

31  

Headline: Wau ilham kreatif pelajar

Publication: BH Date of publication: May 12, 2011 Section heading: Varsiti Page number: 008

UNIVERSITI Malaysia Kelantan (UMK) menerusi Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW) bersama Majlis Pelayang Malaysia menganjurkan Festival Wau FTKWUMK 2011 di kampus UMK Tangok, Bachok, Kelantan, baru-baru ini. Festival disertai 139 mahasiswa FTKW bagi merebut pelbagai hadiah menarik yang disediakan menerusi tiga kategori dipertandingkan iaitu Wau Cantik (Di Bumi), Wau Naik dan Juara Wau 2011. Penyelaras Program, Mohd Nawi Mat Ali, berkata penganjuran Festival Wau FTKWUMK 2011 antara aktiviti tahunan bagi memenuhi keperluan pengisian kurikulum Kursus Asas Studio (CFT 1056) mahasiswa Pengajian Warisan dan Teknologi Kreatif yang memilih wau sebagai sebahagian daripada subjek kajian. Katanya, konsep dan metodologi dalam pembuatan wau menepati kepentingan pengajian dan peserta didedahkan dengan teknik membuat, meneliti dan menganalisa sejarah dan permainan wau secara akademik. "Peserta dikehendaki menyiapkan wau secara berkumpulan iaitu dua orang untuk satu wau di bawah bimbingan tenaga pengajar terpilih dari Majlis Pelayang Malaysia. "Konsep pengajian sebegini menjadi motivasi kepada mahasiswa yang datang dari pelbagai latar belakang selain satu kelainan berbanding teknik pembelajaran di studio," katanya lagi. Katanya, program festival kali ini mendapat kerjasama baik daripada Majlis Pelayang Malaysia yang menyokong penuh warisan dan mempertahankan seni permainan wau. "Festival turut menjadi lebih bermakna apabila penyertaan peserta bukan saja dalam kalangan bangsa Melayu, tetapi juga Cina, India selain peserta Sabah dan Sarawak. "Pertandingan berjaya memberi kefahaman terhadap elemen dan prinsip reka bentuk

32  

serta aplikasinya dalam perekaan sebagai agenda utama dalam pendidikan seni dan mempelajari wau," katanya.

33  

Headline: Terapi layang-layang

Publication: MA Date of publication: Feb 20, 2011 Section heading: Informasi Elektif Page number: 004 Byline / Author: Oleh Hayati Ibrahim

HATI mana tidak teruja tatkala melihat objek berbentuk berlian berwarna-warni dan corak indah berlenggang-lenggok di angkasa nan luas, seolah-olah satu tarian unik tanpa iringan irama gendang dan seruling. Hanya kedengaran siulan merdu busur yang diperbuat daripada riben di saat disapa lembut sang bayu yang memberi ketenangan kepada siapa saja. Itulah terapi semula jadi yang dirasai semua pelayang ketika menerbangkan layang-layang atau wau masing-masing. Siapa sangka menerbangkan layang-layang sebenarnya boleh memberi banyak kebaikan kepada kesihatan, terutama untuk menghilangkan tekanan selepas bertungkus lumus di tempat kerja. Malah, perkara itu diakui pakar perubatan kerana setiap langkah untuk menerbangkan layang-layang turut memerlukan kekuatan fizikal, terutama ketika menarik tali dan mengendalikannya ketika ia terbang tinggi di udara. Daripada segi psikologi pula, ia mampu menghilangkan tekanan dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti kencing manis dan darah tinggi. Presiden Persatuan Pelayang Putrajaya, Nasri Ahmad berkata, bermain layang-layang secara perubatan boleh menjadi terapi yang boleh mententeramkan jiwa, khasnya mereka yang sentiasa dilanda tekanan. "Ketika kita menerbangkan layang-layang, kita seolah-olah menari bersama apabila melihat gerakannya ke kiri ke kanan, malah kita lebih fokus untuk memastikan angin sentiasa ada demi memastikan layang-layang terus terbang tinggi. "Malah, seseorang juga akan terasa lebih tenang ketika bermain layang-layang kerana

34  

biasanya ia diterbangkan pada waktu petang sambil menghirup udara segar," katanya. Nasri berkata, bermain layang-layang juga menjadi aktiviti riadah terbaik untuk merapatkan hubungan silaturahim antara keluarga berbanding sukan atau aktiviti lain yang biasanya dilakukan secara individu atau bersama rakan. "Biasanya orang melakukan aktiviti lain seperti golf dan bola sepak secara individu atau bersama rakan, dan tidak boleh bawa anak dan isteri atau suami bersama-sama. "Namun seluruh keluarga boleh bermain layang-layang, lagi pun ia mudah dibawa di dalam kereta dan boleh dimainkan di mana-mana saja. "Kita boleh singgah di mana-mana saja, janji ada angin untuk menerbangkan layang-layang," katanya ketika ditemui pada Karnival Wow Putrajaya di Presint 2, Putrajaya yang diadakan sempena Hari Wilayah, hujung minggu lalu. Malah, layang-layang juga boleh diperoleh dengan mudah dan harga berpatutan iaitu RM4 hingga RM1,800 bagi layang-layang tradisional, manakala layang-layang moden boleh mencecah antara RM6,000 hingga RM20,000. Menurut Wikipedia, permainan layang-layang yang juga dikenali dengan nama wau adalah aktiviti menerbangkan layang-layang ke udara. Perkataan wau dikatakan berasal daripada perkataan kerajaan Melayu Patani (Thai) memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan itu. Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda serta kerabat diraja. Selain itu, nama wau juga dikaitkan dengan bunyi terhasil daripada busur yang diikat pada layang-layang. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur menghasilkan bunyi 'wau' secara berirama. Permainan wau diadakan sebagai hiburan untuk pelbagai peringkat umur serta

35  

dijadikan pertandingan. Ia biasanya dinilai mengikut kecantikannya yang diukur daripada segi keindahan bentuk, corak ciptaan, warna, keaslian ciptaan dan ukurannya. Nasri berkata, asal usul layang-layang tidak dapat dipastikan secara jelas, tetapi ia dipercayai bermula di China lebih 2,000 tahun lalu. Di Malaysia pula, ia dipercayai bermula sejak 800 tahun lalu, dan ia dibuktikan dengan lakaran kanak-kanak bermain layang-layang di sebuah gua di negara ini. "Justeru, pengkaji sejarah berpendapat kemungkinan permainan itu dibawa Laksamana Cheng Ho ketika datang ke negara ini. Mereka membawa permainan itu sekali untuk mengisi masa lapang. "Bukti itu mungkin dapat disokong dengan adanya pembekal layang-layang terbesar di China dikenali sebagai Wei Fang. Bagaimanapun, pembuatan layang-layang kini semakin meluas dan beberapa negara berlumba-lumba menghasilkan layang-layang terbaik," katanya. Menurutnya, ada tiga jenis layang-layang yang biasa dimainkan pelayang di negara ini iaitu tradisional, moden dan raja layang-layang (layang-layang gergasi). Layang-layang tradisional lebih dikenali sebagai wau dan ia boleh diterbangkan atau hanya dijadikan perhiasan di dalam rumah. Biasanya, layang-layang ini menerapkan ciri-ciri tradisional seperti menggunakan buluh, kertas minyak dan dihiasi sobek (hiasan yang ditampal di atas badan wau). Semuanya dilakukan menggunakan tangan, bermula daripada kerja-kerja meraut buluh, mengikat benang, menampal kertas serta menampal sobek. Sobek direka mengikut reka bentuk negeri layang-layang itu dibuat dan ada juga sobek dinamakan corak daun sireh, daun kopi dan kacang. Malah, untuk mencantikkan lagi layang-layang, pelayang biasanya menghiasinya dengan rambu di kiri kanak badan layang-layang, serta diletakkan busur untuk mengeluarkan bunyi dengung. Ada lima komponen asas bagi wau tradisional iaitu kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek (bahagian pinggang) dan ekor wau.

36  

Nasri berkata, layang-layang moden pula biasanya menjadi kegemaran anak muda kerana ia mudah dan senang dipasang serta boleh dibawa dengan mudah. Ada beberapa jenis layang-layang moden iaitu 'stunt', power, parafoil dan 'revolution'. Jenis layang-layang ini biasanya menggunakan material fiber karbon dan tidak mudah koyak. Layang-layang parafoil pula lebih besar seperti payung terjun, dan lebih sukar dikendalikan. Malah, ia menggunakan tali khas untuk menerbangkannya kerana saiz besar dan berat. "Raja layang-layang pula biasanya bersaiz lebih 100 kaki dan boleh diterbangkan sehingga 200 hingga 1,000 meter. Layang-layang ini mempunyai pelbagai bentuk menarik dan karakter mengikut kesukaan pelayang, termasuk gambar naga, upin ipin atau binatang lain. "Orang ramai lebih gemar melihat karakter pada badan layang-layang ini serta kemampuannya diterbangkan walaupun mempunyai saiz besar. "Malah, tali yang digunakan untuk menerbangkan layang-layang jenis ini juga istimewa iaitu jenis tali yang teranyam dan tidak mudah putus," katanya. Menurutnya, permainan wau popular di semua negeri di negara ini, dan masing-masing ada nama tersendiri bagi setiap layang-layang negeri, umpamanya Wau Kucing di Kedah, Merak (Johor), Puyuh (Kelantan), Kenyalang (Sarawak), Kapal (Selangor) dan Kotak (Pulau Pinang). Bagaimanapun, wau kebangsaan dikenali sebagai Wau Bulan yang juga dijadikan lambang pada duit syiling 50 sen. Nasri berkata, waktu bermain layang-layang bergantung kepada angin yang boleh dirasa pada badan atau pokok yang bergoyang. Selain itu, pelayang boleh menggunakan alat pengukur angin untuk mengetahui tahap kelajuan dan kekuatan angin. "Alat itu biasanya digunakan jika ada pertandingan. Ia dijadikan panduan kerana kebanyakan pertandingan menawarkan beberapa kategori.

37  

"Angin lembut biasanya untuk kategori layang-layang lebih ringan, angin biasa layang-layang bersaiz biasa dan angin kencang untuk parafoil," katanya. Sementara itu, pada karnival tiga hari itu, Persatuan Pelayang Putrajaya dengan kerjasama beberapa persatuan pelayang lain termasuk Persatuan Pelayang Pulau Pinang dan Bintulu Kite Flyers turut mempersembahkan aksi mereka dengan mengadakan pertunjukan layang-layang gergasi sepanjang 40 kaki (12 meter). Orang ramai juga dapat menyaksikan pertunjukan dan proses menghasilkan layang-layang tradisional bermula daripada membuat rangka sehingga siap. Orang ramai juga berkesempatan membeli layang-layang yang disediakan Dekitesjunction.

38  

Headline: 10,000 lihat layang-layang

Publication: HM Date of publication: Feb 18, 2011 Section heading: Main Section Page number: 044 Byline / Author: Oleh Mahaizura Abd Malik

JOHOR BAHRU: Cuaca baik dan berangin pada hari kedua Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-16 semalam, menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), A Rahim Nin, berkata sebanyak 200 layang-layang diterbangkan menerusi pertandingan layang-layang peringkat sekolah kebangsaan. "Johor menghantar paling ramai peserta dengan lebih 200 anggota daripada 51 pasukan, manakala Selangor menghantar dua pasukan dengan 10 anggota. "Pertandingan ini membabitkan tiga kategori iaitu wau bulan naik, ciptaan moden dan layang-layang Melayu," katanya. Rahim berkata, sebanyak 22 syarikat korporat, agensi dan jabatan di Johor berentap pada peringkat saringan pertama pertandingan Rokaku Korporat. "Penyertaan amat menggalakkan dengan 88 peserta daripada pelbagai agensi berentap dan menunjukkan kebolehan masing-masing. "Antara pihak yang turut serta ialah MPPG, Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Johor Land dan Sime Darby Engineering Sdn Bhd," katanya. Menurutnya, pelbagai bengkel dianjurkan dalam usaha memberi pendedahan mengenai cara pembuatan wau tradisional selaras usaha kerajaan untuk memelihara warisan budaya yang menjadi kebanggaan masyarakat Melayu zaman berzaman. "Tahun ini, buat pertama kalinya kami menganjurkan bengkel layang-layang membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini. "Ia sebahagian daripada usaha kami cuba membawa kelainan selain memberi peluang

39  

kepada PBT di seluruh negeri ini menyertai bengkel yang dianjurkan setiap tahun itu," katanya. Selain itu, bengkel layang-layang peringkat sekolah dianjurkan dengan membabitkan penyertaan sekolah di Pasir Gudang seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 1, SMK Pasir Gudang 2, SMK Pasir Gudang 3, SMK Taman Pasir Putih, SMK Kota Masai, SMK Kota Masai 2, SMK Tanjung Puteri dan SMK Nusa Damai.

40  

41  

Headline: 50,000 djangka kunjungi festival

Publication: BH Date of publication: Feb 14, 2011 Section heading: Main Section Page number: 041 Byline / Author: Oleh Md Nazri Jefri

FESTIVAL Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-16 bermula Rabu hingga Ahad ini di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang akan dipenuhi acara menarik untuk pelbagai peringkat umur. Pelbagai jenis pertandingan layang-layang dan wau dijangka mendapat perhatian pengunjung dengan 50,000 dijangka akan berkunjung ke festival tahunan itu. Pada festival kali ini, kategori layang-layang peringkat antarabangsa yang akan dipertandingkan adalah cabaran Rokaku, layang-layang paling kreatif, layang-layang paling harmoni warna-warni, layang-layang naga dan layang-layang keretapi yang membabitkan 221 pelayang dari 30 negara. Pada peringkat kebangsaan, 10 kategori wau dipertandingkan manakala empat kategori membabitkan sekolah menengah manakala kategori korporat menarik 24 agensi. Layang-layang dan wau bakal dipertandingkan kali ini membabitkan pelbagai saiz bermula sekecil tapak tangan hinggalah sebesar sebuah kenderaan pelbagai guna atau sebesar badan bas yang dibentuk menyerupai haiwan seperti sotong, jerung, petai, `big foot' dan ikan emas. Konsep festival kali ini memberi penekanan empat perkara utama iaitu persembahan, pertandingan, bengkel dan pameran membabitkan peserta antarabangsa, tempatan serta sekolah yang akan mewarnai langit Pasir Gudang.

Sumber : http://emedia.com.my/ Tarikh Akses : 16 Mei 2012

LEBIH 200 SERTAI PESTA WAU ANTARABANGSA BORNEO 2011

Date: 08-07-2011Author: / HI NH BINTULU-WAU BINTULU, 8 Julai (Bernama) -- Lebih 200 pelayang dari 33 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Pesta Wau Antarabangsa Borneo tahun ini yang akan diadakan selama empat hari mulai 22 Sept depan. Setiausaha jawatankuasa penganjur pesta itu, Mohamed Ansari Mohamed Syed Ahmad hari ini berkata jumlah terkini penyertaan pelayang itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun lepas. "Bagi penyertaan antarabangsa, setakat ini 119 pelayang telah mengesahkan penyertaan dan mungkin lebih ramai akan turut serta," katanya kepada Bernama. Pelayang dari Jepun, New Zealand, Australia, China, Switzerland dan Afrika Selatan itu akan menyertai 90 pelayang dari beberapa buah negeri dan kelab, katanya. Mohamed Ansari berkata pesta itu antara lain akan menyaksikan kejohanan wau dunia, pertunjukan wau moden dan tradisional peringkat kebangsaan dan antarabangsa, demonstrasi dan bengkel membuat wau selain diisi dengan ekspo perdagangan, pestaria dan persembahan kebudayaan. Pesta itu merupakan usaha untuk mempromosikan Bintulu sebagai destinasi pelancongan yang terkenal. -- BERNAMA HI NH

1  

MUZIUM WAU KELANTAN SEBAGAI PUSAT RUJUKAN SENI KRAF WAU SEDUNIA

Date: 08-06-2011 Author: / HNH MRA KHY HM MUZIUM WAU TUMPAT, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Kelantan akan menjadikan Muzium Wau pertama yang terletak di Pantai Sri Tujuh dekat sini sebagai pusat rujukan dan maklumat mengenai sejarah perkembangan dan seni kraftangan wau seluruh dunia. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata muzium itu akan turut mempamerkan pelbagai jenis wau dari seluruh dunia. "Kita juga akan menyediakan buku-buku rujukan dan peralatan membuat wau, seperti buluh, kertas dan tali sebagai bahan asas pembuatan kraf tangan itu," katanya kepada Bernama. -- BERNAMA HNH MRA KHY HM

2  

OKU JOHAN WAU ANTARABANGSA KELANTAN 2011

Date: 07-06-2011 Author: / HNH MRA KHY ROS WAU-OKU TUMPAT, 7 Jun (Bernama) -- Husmizi Ibrahim, yang kelainan upaya (OKU), muncul johan dalam tiga kategori sempena Pertandingan Wau Antarabangsa Kelantan2011, di Pantai Genting, dekat sini, semalam. Husmizi, 37, muncul johan kategori individu Wau Naik Kebangsaan (Grand Prix 1), Wau Tradisi dan Wau Sobek (cantik) dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,300, piala serta sijil penyertaan. Beliau menghasilkan 21 wau dalam masa dua bulan untuk menyertai pertandingan itu dengan dibantu isterinya, Zuriati Rohaida Harun, 33. Husmizi dari Pulai Chondong, Machang, lumpuh dari pinggang hingga kaki selepas ditimpa kemalangan jalan raya pada 2002. Ketika ditemui Bernama, beliau berkata baginya bukan hadiah yang menjadi buruan tetapi penghargaan terhadap hasil ciptaannya. "Saya berbangga sejak dibangku sekolah saya mencipta wau secara kecil-kecilan, kini menjadi pembuat wau sepenuh masa," kata Husmizi yang menceburi bidang itu sejak remaja. Beliau berazam memasarkan wau buatannya ke luar negara selepas beberapa waunya dijual di Jepun dan Korea melalui agensi pelancongan sebelum ini. -- BERNAMA HNH MRA KHY ROS

3  

TERENGGANU RANCANG ANJUR PERTANDINGAN WAU TARIK PELANCONG

Date: 02-03-2011 Author: / IB NSM SN PELANCONG-WAU KUALA TERENGGANU, 2 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri merancang untuk mengadakan pertandingan wau setiap bulan di Pulau Warisan bagi merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeriDatuk Rahin Mohd Said berkata program itu akan dimulakan akhir bulan ini. "Kita tahu ramai pelancong suka datang ke Pulau Warisan dan aktiviti ini akan menjadi tarikan kepada mereka," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Rahin berkata sebanyak 300 wau akan menyertai setiap pertandingan dan seramai 10 pemenang akan dipilih setiap kali pertandingan diadakan untuk ke peringkat akhir yang akan diadakan pada akhir tahun. Beliau berkata selain pertandingan wau, demontrasi membuat wau juga akan diadakan. Rahin berkata selain itu kerajaan negeri juga merancang mengadakan pertandingan wau peringkat Asia Pasifik di Pulau Warisan tahun depan. Pertama kali pertandingan itu diadakan di Manir tahun lepas dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000, katanya. -- BERNAMA IB NSM SN

4  

WAU MILIK HELMET GEORGI DARI AUSTRIA MUNCUL WAU BESAR PALING KREATIF

Date: 20-02-2011 Author: / PNAK HK SN WAU-KEPUTUSAN PASIR GUDANG, 20 Feb (Bernama) -- Layang-layang milik Helmet Georgi, 60, dari Austria memenangi hadiah layang-layang paling kreatif untuk kategori layang-layang besar peringkat antarabangsa Festival Layang-Layang Sedunia kali ke-16 di Bukit Layang-Layang di sini hari ini. Peserta dari New Zealand Simon Chisnall pula memenangi kategori layang-layang warna warni manakala layang-layang peserta dari China Chen Yong Xiong memenangi kategori layang-layang dragon kite dan peserta dari Malaysia, Norman Yahya memenangi kategori layang-layang train kite. Pasukan akhbar Utusan Malaysia, yang merupakan wakil tunggal media memenangipertandingan layang-layang Rokaku korporat apabila pelayangnya berjaya mengawal layang-layang paling lama, menjadikannya layang-layang yang paling akhir jatuh. Tempat kedua dimenangi pasukan pelayang Kelantan dan ketiga pasukan Maktab Sultan Abu Bakar. Seramai 221 pelayang dari 30 negara luar seperti United Kingdom, Kuwait, Hong Kong dan Indonesia serta 500 pelayang tempatan menyertai festival kali ini. Festival bertemakan "Mewarnai Langit" itu berlangsung selama lima hari, mulai Rabu lepas. -- BERNAMA PNAK HK SN

5  

FESTIVAL LAYANG-LAYANG SEDUNIA BAKAL CATAT REKOD TERBANGKAN 3,000 WAU SERENTAK

Date: 16-02-2011 FESTIVAl-WAU JOHOR BAHARU, 16 Feb (Bernama) -- Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang yang berlangsung mulai hari ini bakal mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records apabila 3,000 wau berlogo KFC diterbangkan serentak Sabtu ini. Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang A. Rahim Nin berkata acara itu akan tercatat sebagai jumlah layang-layang paling banyak diterbangkan pada waktu yang sama. "Acara menerbangkan 3,000 layang-layang itu akan disempurnakan oleh Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibrahim. Ia dilakukan selepas majlis pelancaran Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang oleh baginda Sultan Johor Sultan Ibrahim, pada pukul 2 petang, hari yang sama," katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Beliau berkata layang-layang tersebut akan diterbangkan oleh 3,000 pelajar dari sekolah sekitar Pasir Gudang. Mengulas mengenai festival yang berlangsung selama lima hari itu, A. Rahim berkata seramai 221 peserta dari 30 negara seperti Indonesia, China, Thailand, Jepun dan Austria mengambil bahagian. Katanya, festival itu yang sebelum ini dikenali sebagai Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang turut disertai 139 pasukan tempatan yangmembabitkan 707 peserta bagi kategori kebangsaan, sekolah dan korporat. Antara agensi korporat yang mengambil bahagian ialah Lembaga Pelabuhan Johor, Johor Corporation, KFC Holdings (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA). "Festival kali ini bertemakan 'Mewarnai Langit' yang membawa maksud sukan dan budaya permainan layang-layang merupakan aktiviti pelancongan, rekreasi dan riadah yang memberi keceriaan melalui warna-warni dan pelbagai bentuk layang-layang menghiasi langit," katanya. A.Rahim berkata Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang merupakan salah satu acara rasmi di dalam kalendar pelancongan Johor dan diiktiraf sebagai acara tahunan terbesar di dunia. Program lain yang berlangsung sepanjang festival itu katanya, termasuk bengkel layang-layang, pameran, pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, persembahan kebudayaan dan program 'home visit' untuk peserta antarabangsa. --BERNAMA SMK SMK NM

6  

KELANTAN PERLUAS PENYERTAAN NEGARA LUAR DALAM PERTANDINGAN WAU

Date: 25-07-2010 Author: / HNH MRA AZH KELANTAN-WAU KOTA BAHARU, 25 Julai (Bernama) -- Kerajaan negeri bersetuju memperluaskan penyertaan negara luar dalam pertandingan Pesta Wau Jemputan Antarabangsa ke-29tahun depan di samping menambahkan beberapa acara dalam pertandingan itu untuk menjadikan ia lebih menarik. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata langkah itu selaras dengan persetujuan kerajaan memperluaskan tapak pesta itu di Pantai Irama Bachok, di samping menjadikan ia sebagai tapak kekal pesta. Beliau berkata sebelum ini pesta berkenaan tidak mampu menerima penyertaan lebih ramai peserta dari luar negera kerana kawasan tapak pesta di Pantai Sri Tujuh, Tumpat itu yang amat terhad. Menurutnya mulai tahun depan, jumlah peserta dari negara luar yang akan dijemput mengambil bahagian dalam Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan ke-29 nanti, akan diperluaskan. "Kami juga akan menambah beberapa acara menarik, seperti pertandingan kategori wau tahan lasak dan pertandingan melayangkan wau di atas bot," katanya kepada Bernama, di sini, hari ini. Takiyuddin berkata perkara itu adalah antara beberapa keputusan yang dibuat selepas pihaknya selesai mengadakan mesyuarat penilaian mengenai penganjuran Pesta Wau Jemputan Antarangsa Ke-28 yang diadakan di Pantai Irama Bachok dari 15hingga 18 Julai lepas. Beliau berkata pesta Wau tahun depan dijangka lebih menarik kerana ia diadakan sempena pengenalan jajahan Bachok sebagai bandar pelancongan Islam. Menurutnya pembangunan beberapa pusat pengajian tinggi, termasuk Pusat Pengajian Pondok dan Kolej Islam Sains Teknologi (KIST) di kawasan itu akan mengubah wajah jajahan Bachok daripada sebuah perkampungan nelayan kepada sebuah bandar pelancongan Islam. -- BERNAMA HNH MRA AZH

7  

KELANTAN BERCADANG BINA MUZIUM WAU DI PANTAI IRAMA BACHOK

Date: 18-07-2010 Author: / HNH ZBI BK KELANTAN-MUZIUM WAU BACHOK, 18 Julai (Bernama) -- Kerajaan Kelantan bercadang membina sebuah muzium wau di Pantai Irama, di sini tahun depan selaras dengan pantai peranginan itu akan dijadikan tapak kekal pertandingan wau peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri,Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pembinaan muzium wau itu penting bagi menghidupkan permainan seni kebudayaan tradisional negeri ini yang kian pupus dan semakin dilupakan. "Kita bercadang membina muzium wau di sini tahun depan bagi mengumpul peminat dan mempamerkan seni reka permainan tradisional itu kepada pelancong sesuai dengan kedudukan Bachok dijadikan sebagai bandar pelancongan Islam," katanya pada majlis penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 di sini, petang ini. Majlis itu disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yacob, mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Hadir sama ialah, Timbalan Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Hussein Harun dan Presiden Persatuan Pelayang Kelantan (Pelayang), Nik Ariff Nik Hassan. Takiyuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa induk pertandingan itu meminta Majlis Daerah Bachok berunding dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan kerajaan negeri untuk mendapatkan kelulusan tanah kerana tapak berkenaan adalah milik anak syarikat kerajaan negeri itu. Menurutnya kuarters kerajaan negeri berhampiran pantai peranginan itu boleh juga dijadikan bangunan muzium wau sementara bangunan kekal dapat dilaksanakan tahun depan. Beliau yang juga Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri berkata, langkah kerajaan mewujudkan muzium dan tapak kekal pertandingan wau peringkat antarabangsa itu sesuai dengan usaha menarik pelancong asing ke negeri ini yang dijangka menepati sasaran 4.5 juta orang pada tahun ini. Pasukan dari Kelantan muncul johan kategori keseluruhan manakala pasukan Wilayah Persekutuan adalah naib johan. Seramai 281 peserta dari 14 negeri dan peserta jemputan dari Thailand menyertai pertandingan wau selama empat hari itu bermula Khamis lepas. -- BERNAMA HNH ZBI BK

8  

KELANTAN ANJUR PESTA WAU JEMPUTAN ANTARABANGSA 2010

Date: 30-06-2010 Author: / HNH MRA ROS PESTA-WAU KOTA BAHARU, 30 Jun (Bernama) -- Kerajaan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Pelayang Negeri Kelantan dan Majlis Pelayang Malaysia akan menganjurkan Pesta Wau Jemputan Antarabangsa Kelantan 2010 di pusat peranginanPantai Irama, Bachok, dekat sini mulai 15 Julai. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan NegeriDatuk Takiyuddin Hassan berkata 18 kategori pertandingan wau akan diadakan sepanjang pesta selama empat hari itu. Beliau berkata pesta wau itu diubah lokasinya ke Pantai Irama setelah sebelum ini diadakan di kawasan peranginan Pantai Seri Tujuh, Tumpat sejak ia diperkenalkan 27 tahun lepas. "Peserta luar negara dari Thailand merupakan peserta jemputan tunggal kerana lokasi yang dipilih itu tidak mampu menampung tempat untuk lebih banyak peserta dari luar negara sebelum ini, seperti Jepun, Korea, Singapura dan Brunei," katanya pada sidang akhbar di Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan, di sini hari ini. Takiyuddin berkata pesta wau ini juga bertujuan memperkenalkan cabang kesenian yang sihat kepada generasi muda di samping dapat mempertahankan warisanbangsa yang semakin terhakis oleh peredaran masa. Selain pertandingan wau ini, para pengunjung turut berpeluang acara sukan dan kesenian rakyat, seperti pertandingan ayam serama, pertandingan dikir barat serta pertandingan mewarna peringkat sekolah. -- BERNAMA HNH MRA ROS

9  

PELAYANG CADANG KERAJAAN WUJUDKAN MUZIUM WAU

Date: 27-12-2009 Author: / HNH MRA RHM WAU-MUZIUM KOTA BAHARU, 27 Dis (Bernama) -- Persatuan Layang-layang Negeri (Pelayang) Kelantan mencadangkan kerajaan negeri mewujudkan sebuah muzium wau bagi mempamerkan seni kraftangan itu. Presidennya Nik Ariff Nik Hassan berkata langkah itu dapat menarik kedatangan pelancong ke negara dan negeri ini selain boleh dijadikan tapak untuk menjual hasil kraftangan itu. "Pelayang sudah lama memikirkan perlunya diwujudkan muzium ini sebagai langkah memperkenalkan identiti Malaysia amnya dan Kelantan khususnya sebagai lambang negara berbudaya dan beridentiti ketimuran kepada dunia luar," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Beliau berkata cadangan mewujudkan muzium wau pernah disuarakan Presiden Pelayang Kebangsaan Tan Sri Mohd Ali Hashim di Pasir Gudang, Johor tetapi kerana tapak yang dicadangkan itu diambil alih oleh pihak pentadbiran Majlis Daerah Pasir Gudang, cadangan itu terbantut. Nik Ariff berkata beliau sedang berunding dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kelantan supaya salah satu blok bangunan baru Kompleks Budaya Negeri Kelantan di Tanjong Chat, berhadapan Taman Perbandaran Tengku Anis dijadikan muzium wau. -- BERNAMA HNH MRA RHM

10  

PEMBUAT WAU GUNA KEMAHIRAN UNTUK BANTU `JUAL' MALAYSIA

Date: 27-12-2009 Author: / HNH MRA RHM WAU-CACAT MACHANG, 27 Dis (Bernama) -- Disebalik kecacatannya, pembuat wau terkenal Husmizi Ibrahim berazam untuk menggunakan kepakaran dan kemahirannya untuk membantu 'menjual' Malaysia melalui wau yang dihasilkannya. Wau hasil rekaan Husmizi, 35, yang lumpuh dari pinggang hingga ke kaki akibat kemalangan jalan raya di Kuantan, Pahang 10 tahun lalu, setakat ini telah menembusi pasaran Scotland, China, England, Jepun dan Singapura. Menurutnya, hasil seni kraftangannya berjaya dijual di luar negara setelah beliau mencipta nama dengan menjuarai pertandingan wau di peringkat Kebangsaandan negeri dalam tempoh tiga tahun berturut-turut sejak 2007. "Saya berazam memperbanyakkan hasil kerjaya saya di bidang kraftangan ini untuk menembusi pasaran lebih luas ke luar negara," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Pulai Chondong, dekat sini. Husmizi menghasilkan kraftangan wau secara baring di atas katil ketika menampal kertas untuk waunya dan duduk bersila dengan bersandar kepada dinding, ketika melukis reka bentuk wau atau meraut buluh untuk membuat rangka wau. Setiap wau yang dihasilkannya berharga antara RM1,500 dan RM6,000 mengikut saiz dan reka bentuknya. "Saya bersyukur kerana dapat meneruskan kehidupan dengan kerjaya ini walaupun tergolong dalam kategori orang kurang upaya (OKU)," kata Husmizi yang mendirikan rumah tangga dengan Zuriati Rohaida Harun, 32, pada 2006. Selain menghasilkan wau untuk menyertai pertandingan, katanya beliau juga menerima tempahan daripada orang ramai dan Persatuan Layang-layang Malaysia (Pelayang) dari seluruh negara untuk dijual kepada pelancong. Husmini berkata beliau mampu menyiapkan lima buah wau sehari, bagaimanapun,ia bergantung kepada mutu dan saiz kraftangan terbabit. Beliau juga berazam untuk menyiapkan rumah idamannya yang kini sedang dalampembinaan. -- BERNAMA HNH MRA RHM

11  

PESTA WAU ANTARABANGSA TARIK LEBIH RAMAI PESERTA LUAR NEGARA

Date: 24-05-2008 Author: / MNR SHI ROS WAU-PESTA TUMPAT, 24 Mei (Bernama) -- Penyertaan banyak negara dalam Pesta Wau Antarabangsa Kelantan menandakan kejayaan negara menganjurkan pelbagai programbertaraf antarabangsa, kata Presiden Persatuan Layang-layang Kebangsaan (Pelayang) Tan Sri Mohd Ali Hashim. Pesta tiga hari bermula hari ini melibatkan 17 buah negara termasuk Perancis, Jepun, Korea Selatan, China, Indonesia dengan jumlah peserta luar negara seramai 60 orang, katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Pesta Wau Antarabangsa Kelantan yang diadakan di Pantai Geting di sini, hari ini. Majlis itu dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra yang turut dihadiri exco kerajaan negeri. Mohd Ali berkata selepas Pesta Wau Pasir Gudang di Johor, ia juga diadakan di Bintulu, Sarawak dan Tumpat di Kelantan dengan jumlah penyertaan negara luar semakin meningkat. Pesta Wau Antarabangsa Kelantan merupakan kali ke-25 diadakan dengan pembabitan semua negeri di Malaysia di samping beberapa negara Asean dan kini menjadi acara tahunan dalam mempelbagaikan seni budaya Kelantan kepada pelancong. -- BERNAMA MNR SHI ROS

12  

PESTA WAU ANTARABANGSA KELANTAN 2008 TERIMA PENYERTAAN 18 NEGARA

Date: 18-05-2008 Author: / NAA AZW FCL MAR MRA KAY KELANTAN-WAU KOTA BAHARU, 18 Mei (Bernama) -- Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2008 yangakan diadakan pada 23 hingga 27 Mei ini di Pantai Geting, Tumpat, sehingga kini telah menerima penyertaan daripada 18 negara. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata selain Malaysia, antara negara luar yang telah mengesahkan penyertaan adalah Australia, Kemboja, Jerman, Korea Selatan, Taiwan dan Vietnam " Penyertaan mereka ini bakal menjadi medium untuk kita memperkenal dan membawa seni keunikan wau ke mata dunia. Pada pesta kali ini juga lebih banyak wau yang akan dipertandingkan antaranya wau bulan tradisi, wau puyuh tradisi, wau kucing, wau darat, wau sobek, wau kikik, wau tradisi naik dan Rokaku Korporat," katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di sini hari ini. Takiyuddin berkata Rokaku yang diambil daripada bahasa Jepun membawa maksudwau yang direka bentuk dan ditampal logo syarikat-syarikat tertentu yang akan menyertai pertandingan itu. Selain itu, beliau berkata seramai 300 peserta tempatan akan mewakili negeri-negeri bagi mempamerkan keunikan pelbagai jenis wau yang terdapat di negara ini. "Penganjuran pesta ini dapat memberi banyak kebaikan kerana melaluinya para peminat wau dapat berkumpul, bertukar-tukar idea dan seterusnya mengembangkan lagi seni permainan wau ini," katanya. Dalam perkembangan lain, Takiyuddin berkata kerajaan negeri yakin sasaran untuk menerima kedatangan enam juta pelancong ke negeri ini akan tercapai. Katanya sehingga kini, Kelantan menerima kunjungan dua juta pelancong sempena Tahun Melawat Kelantan 2008 (TMK 08). -- BERNAMA NAA AZW FCL MAR MRA KAY

13  

JURUTERA TUKAR KERJAYA KERANA WAU BULAN

Date: 22-06-2007 Author: Noorzaihan Mohd Zin dan Hartini Mohamed Nuddin / NMZ HN ZUL RR

Rencana-Wau

KOTA BAHARU, 22 Jun (Bernama) -- Menyedari nilai komersil yang dimiliki wau bulan, jurutera Ahmad Kalimollah Abdul Hadi bertekad menukar kerjayanya kepada bidang pembuatan wau bagi mengembangkan seni tersebut. Kini pemegang diploma kejuruteraan awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengusahakan pembuatan wau bulan secara komersil selepas berhenti kerja di sebuah syarikat pembinaan di Terengganu pada 1997. "Pada mulanya, saya membuat wau bulan hanya untuk bermain sahaja tetapi setelah ada orang berminat untuk membeli wau tersebut, terlintas di fikiran mengapa tidak dijadikan pembuatan wau bulan ini sebagai satu aktiviti komersil," katanya. Beliau yang lebih senang dipanggil Kalimi, kini boleh tersenyum kerana hasil pembuatan waunya mendapat sambutan yang menggalakkan selain mendapatjemputan mengadakan bengkel membuat wau bulan di sekolah-sekolah seluruh negara. SOKONGAN KELUARGA Menurut Kalimi, beliau dapat menyiapkan tiga hingga empat wau bulan di seminggu bengkelnya yang juga terletak di rumahnya di Jalan Merbau di sini. Wau bulan tersebut dijual pada harga antara RM200 dan RM300 bergantung pada saiz dan hiasan, kata Kalimi yang muncul johan bagi kategori bengkel dalam Pesta Wau yang diadakan di Pantai Geting, Tumpat baru-baru ini. Kalimi juga bersyukur kerana isterinya Anita Kartini Abdul Aziz dan keluarganya turut memberi sokongan kepada bidang kerjaya yang dipilihnya. "Pada mulanya, memanglah isteri saya agak bising memandangkan kerjaya ini tidak menampakkan masa depan yang cerah. Tapi hari ini, bila tengok kejayaan saya, dia pun turut memberi galakan," kata Kalimi yang mempunyai empat orang anak. Beliau berkata, untuk menjadi seorang pembuat wau bukanlah mudah kerana ia memerlukan kesabaran dan kemahiran. "Walaupun seseorang itu mempunyai bakat, namun jika tidak diasah ia tidak akan ke mana juga," akui Kalimi yang mempelajari seni itu daripada 'sifunya' iaitu Sapie Jusoh dan Yasok Umat. BULUH DIRI Sapie dan Yasok sememangnya terkenal di dalam seni pembuatan wau bulan di Kelantan dan pernah mendapat jemputan untuk mengadakan membuat bengkel pembuatan wau bulan di peringkat antarabangsa. Bekalan buluh duri yang digunakan untuk membuat rangka wau diperolehi dari kampung berdekatan. Harga 100 batang buluh tersebut ialah RM250.

14  

Bagi Kalimi, harga itu amat berpatutan memandangkan buluh jenis itu sukar diperolehi dan kerja-kerja mengambilnya juga amat susah. Kalimi akan menjemur buluh-buluh tersebut kerana buluh yang lebih kering adalah lebih baik untuk membuat rangka wau kerana ia akan menjadi lebih ringan dan mudah untuk diterbangkan ke udara. BAKAT KEMAHIRAN Beliau menyertai Persatuan Pelayang Kelantan (PPK) pada tahun 2004 sebelum dihantar untuk menyertai pertandingan-pertandingan wau di seluruh Malaysia. Melalui bengkel anjuran PPK, kemahiran Kalimi dalam pembuatan wau terus berkembang sebelum menyertai pertandingan dalam kategori wau daun dan menjadi johan dalam acara tersebut. Bagi beliau, setiap wau yang dihasilkan perlu mempunyai motif dan di antara motif yang digunakan untuk membuat wau adalah motif bunga menjalar seperti bunga kacang, bunga labu dan kangkung serta pelbagai motif lain. Kalimi menyatakan bahawa beliau akan merasa puas apabila selesai menyiapkan sesebuah wau selepas segala idea yang ada dicurahkan ke dalam motif yang digunakan untuk menyobek wau tersebut. "Kepuasan membuat wau ini tiada batasnya. Semakin banyak wau yang dihasilkan, semakin tinggi tekad untuk menghasilkan lebih banyak wau," katanya. PROMOSI SENI MEMBUAT WAU "Kepuasan membuat wau ini tiada hentinya, jika orang yang menempah wau ini berpuas hati, itu sudah memadai bagi saya dan saya rasa puas hati apabila dapat menaikkan wau hasil kerja tangan sendiri," katanya. Minatnya terhadap seni warisan dan kebudayaan telah timbul sejak kecil lagi. Tambahan pula beliau berasal dari keluarga yang berdarah seni terutama datuk beliau yang merupakan seorang ahli kaligrafi istana, tukang ukir, pembuat perahu, tukang rumah dan kerja-kerja yang berkaitan dengan kesenian. Kalimi kini bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia mengadakan bengkel membuat wau di sekolah-sekolah di sekitar Damansara dan beliau akan ke Kuching dan Kota Kinabalu Ogos ini untuk tujuan yang sama. Katanya program seperti ini adalah sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum pelajar bagi mengisi masa lapang dengan aktiviti yang berfaedah dan sekaligus dapat meneruskan budaya dan seni kebudayaan Melayu. Beliau juga merancang untuk melawat negara-negara asing untuk mempromosikan seni tradisi ini di peringkat antarabangsa. -- BERNAMA NMZ HN ZUL RR

15  

PERSEMBAHAN WAU BERTARAF DUNIA DI SARAWAK BULAN INI

Date: 02-05-2007Author: / Wau-PersembahanKUCHING, 2 Mei (Bernama) -- Persembahan permainan wau bertaraf dunia adalah antara acara yang bakal berlangsung dalam pameran, pertandingan dan bengkel pembuatan wau pada 12 dan 13 Mei ini di Sarawak. Acara akan berlangsung di Kuching Family Park di Jalan Sultan Tengah di sini. Presiden Persatuan Wau Kuching Sarawak (Pewasa), Mustapha Marzuki berkata pasukan dari Perlis yang menduduki ranking kelapan dunia dalam kategori "stunt kite" turut dijemput untuk membuat persembahan. Selain persembahan, pameran pelbagai rekaan wau dari dalam dan luar negara akan turut diadakan termasuk rekaan wau satu dimensi yang popular di Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia, katanya kepada Bernama di sini hari ini. "Kita juga cuba untuk membawa Wau Naga dari China untuk dipamerkan kepada orang-ramai, selain mempamerkan wau rekaan tempatan seperti wau kenyalang dari Sarawak," kata Mustapha. Menurut kenyataan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), borang penyertaan boleh di dapati di Bahagian Perhubungan Awam DBKU atau menghubungi urusetia Bakeri Mohamad Ali di talian 082-446688 sambungan 132. Tarikh tutup permohonan ialah sebelum atau pada 11 Mei ini. -- BERNAMA

16  

BENGKEL PAKAR PEMBUAT WAU TRADISIONAL DIBERI WAJAH BARU

Date: 28-02-2007 Author: / NH NH ROS Wau-PerhatianKOTA BAHARU, 28 Feb (Bernama) -- Bengkel seorang pakar pembuat wau tradisional yang terkenal di negeri ini di Badang dekat sini yang daif dan menyedihkan akan diberikan wajah baru tidak lama lagi. Bengkel kepunyaan Sapie Jusoh, 60, yang layak dipanggil pondok itu, terletak di tepi jalan utama di kawasan zon pelancongan Pantai Cahaya Bulan di sini. Banyak daripada bahagian dinding dan tiang utama bengkel itu sudah buruk dan dimakan anai-anai dengan zink yang sudah usang boleh mencemarkanimej di mata pelancong asing terutama sepanjang Tahun Melawat Malaysia 2007. Pada 23 Feb lalu, Bernama menyiarkan laporan keadaan bengkel itu dan hari ini Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Pembangunan Masyarakat Kelantan Datuk Anuar Tan Abdullah memberi jaminan, bengkel itu dan beberapa infrastruktur pelancongan di negeri ini akan diberi wajah baru melalui peruntukan RM1.5 juta, tidak lama lagi. Selain bengkel, beberapa kawasan tumpuan pelancong turut berada dalam keadaan daif seperti bengkel buruk seorang penggiat seni wayang kulit dan kawasan industri mengeluar makanan tradisional di Kampung Laut, Tumpat. Infrastruktur yang daif itu juga membabitkan dua buah jeti yang daif di Kok Majid dan Pantai Suri di Tumpat yang sering digunakan pelancong asing dan penduduk tempatan. "Tindakan sedang diatur bagi membaikpulih bengkel itu siap dengan pelan bangunannya sekali dan sebaik status tanahnya diselesaikan, projek itu akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini hari ini. Dengan adanya bangunan baru yang cantik, Annuar Tan berkata Sapie akan dapat mempamerkan wau hasil kerjatangannya untuk tatapan pelancong. Katanya kerajaan negeri memberi perhatian terhadap keadaan infrastruktur pelancongan di negeri ini tetapi kerja-kerja membaikpulihnya tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai peruntukan. "Kita tahu apa yang berlaku dan kesan bengkel yang daif itu boleh merugikan kita dan memberi gambaran negatif di kalangan pelancong asing," katanya. Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri sedang mengenalpasti beberapa lokasi dan peserta bagi menyertai program homestay di negeri ini. "Program homestay yang menawarkan pelbagai bentuk program percutian berpotensi untuk dimajukan dan kerajaan negeri menggalakkan program seumpama itu bagi menambah pendapatan sampingan rakyat negeri ini dalam industri pelancongan," katanya. Dengan cara ini, pelancong asing akan dapat menghayati cara hidup dan adat resam penduduk di negeri ini, katanya.

17  

-- BERNAMA NH NH ROS BENGKEL PAKAR PEMBUAT WAU KELANTAN DALAM KEADAAN DAIF

Date: 22-02-2007 Author: / NH RON WaupKOTA BAHARU, 22 Feb (Bernama) -- Bengkel pembuat wau Sapie Jusoh, merupakan satu-satunya yang dikenali di Kelantan, dan pelancong akan dibawa berkunjung ke sini untuk melihat pembikinan wau dan membeli hasilnya. Bagaimanapun bengkel ini tidak seperti tempat tumpuan yang boleh dibanggakan kerana keadaan fizikalnya yang amat daif -- atap zinknya bocor dan dinding papannya berlubang-lubang. Bengkel ini kononnya dipanggil galeri bila dirujuk kepada pelancong yang ingin berkunjung apatah lagi ia terletak di tepi jalan utama di kawasan zon pelancongan Pantai Cahaya Bulan di sini. Sayang sekali galeri ini lebih layak dipanggil pondok buruk yang sedang dimakan anai-anai, tetapi tukang wau, Sapie, 60, selama 30 tahun tetapi gigih membuat pelbagai jenis wau, menerima tempahan dan menyambut pelawatyang berkunjung untuk melihat bagaimana beliau membuat wau di sini. "Saya buat sendiri bengkel ini selepas menambak kawasan sungai tanpa bantuan sesiapa," katanya kepada Bernama hari ini. Katanya beliau bukan seorang yang suka meminta-minta sebaliknya berusaha sendiri dan akan berasa lapang dada jika ada pihak yang sudi memberi bantuan. Sapie gembira jika dapat mewujudkan galeri sendiri bagi mempamerkan seni membuat wau itu dan buat masa ini beliau tidak sempat memberi perhatian kepada bengkel itu kerana sering memenuhi undangan seperti daripada Balai Seni Lukis Negara, Perbadanan Kraftangan Malaysia, Petronas dan orang perseorangan. "Kadang-kadang seminggu sahaja saya berada di bengkel ini dalam sebulan, kerana memenuhi undangan di luar Kelantan. "Saya mengajar seni ini di kalangan tiga empat remaja membuat wau pada sebelah petang, tanpa mengenakan sebarang bayaran tetapi mereka tidak mempunyai kesungguhan," katanya yang membayangkan seni itu akan pupus dengan sendiri selepas beliau meninggal dunia. Kebetulan semasa ditemubual, sepasang pelancong dari Ireland berkunjung ke bengkel Sapie untuk menempah wau bulan. Semasa ditanya pendapatnya, Helen Ward berkata pihak berkuasa perlu melakukan sesuatu untuk membantu pakar wau ini. "Kami datang dari jauh untuk membeli wau bagi perhiasan rumah kami, tetapi sayang sekali hasil seni yang cantik dan memerlukan kemahiran khusus ini, diabaikan dari segi pemeliharaan warisannya," katanya. Pengarah Tourism Kelantan Lijah Othman ketika dihubungi mencadangkan

18  

supaya golongan karyawan seni seperti Sapie diberi bantuan sewajarnya bagi memastikan kesinambungan kesenian itu tidak pupus. -- BERNAMA NH RON

19  

CHE GU KASMIN, TEMUI "PELANGI" DALAM MEMBUAT WAU

Date: 25-01-2007 Author: Mohd Bakri Darus / BD ZUL RR Rencana-WauMELAKA, 25 Jan (Bernama) -- Beberapa dekad dulu, seorang remaja belasan tahun, Kasmin Miron, sering kelihatan bermain layang-layang di tengah sawah ketika musim kemarau atau selepas padi dituai. Kasmin, dari Kampung Seberang Pekan, Baling, bermain layang-layang seperti wau bulan, sebagaimana rakan-rakan sebayanya pada waktu itu, sesuatu yang sinonim dengan zaman sebelum Merdeka. Walaupun tidak pernah belajar dengan mana-mana pembuat wau, layang-layang yang dibuat sendiri oleh Kasmin tetap terbang megah di angkasa dengan "dengungan" yang kuat. Sentuhan kerja tangan bekas guru yang sekarang berumur 63 tahun telah sering kali membuatkan wau ciptaan beliau dinobatkan sebagai juara dalam banyak pertandingan. Kasmin, mahir dalam membuat pelbagai jenis wau tradisi termasuk Wau Bulan, Wau Jalabudi, Wau Kangkang, Wau Merak dan Wau Helang. PASAR SENI, PELANCONG ASING Beliau secara aktif membuat wau sejak lapan tahun lalu, iaitu selepas bersara dan kini hasil ciptaannya yang halus dan unik melambangkan seni tradisi orang Melayu, mendapat sambutan hangat dari dalam dan luar negara. Bukan sahaja wau untuk pertandingan, beliau juga membuat wau hiasan yang begitu menarik dan menjadi buah tangan yang popular kepada pelancong asing. Di samping tempahan oleh pelbagai pihak, wau ciptaan Kasmin turut dipasarkan di Pasar Seni, Kuala Lumpur. Beliau juga sering dijemput oleh Lembaga Kraftangan Malaysia dan Tourism Malaysia untuk membuat pameran dalam dan luar negara, bagi memperkenalkan wau warisan negara agar tidak dilupai oleh generasi kini. Beliau pernah menyertai festival layang-layang di England dan tidak lama lagi akan menyertai pameran layang-layang di Oman. WAU TRADISI "Pembuat wau tradisi sudah ramai tiada. Kalau tengok dalam pasaran kini banyak layang-layang moden. Jadi kita hendak popularkan kembali wau tradisi," katanya yang juga Pengerusi Pembangunan Majlis Pelayang Malaysia (MPM). Kasmin bersama isteri, Azizah Mohd Nor, 57, serta beberapa pemain wau (pelayang) dari Kedah ditemuramah Bernama ketika menyertai Festival Layang-Layang China-Malaysia di Stadium Tun Fatimah, Bukit Serindit di sini, baru-baru ini. Bagi membolehkan wau ciptaannya yang bersaiz besar dibawa pulang oleh pelancong asing, beliau telah mereka bentuk wau yang boleh dilipat untuk dimasukkan dalam kotak serta beg.

20  

Untuk membuatkan wau ciptaannya lebih kukuh iaitu tidak mudah koyak, beliau menggunakan kain jenis ripstop nylon selain mengekalkan ukiran tradisi dengan pelbagai warna menarik. Kini beliau dibantu oleh 13 orang pekerja kebanyakannya lepasan sekolah menengah yang antara tujuannya untuk melahirkan generasi pelapis yang mahir membuat wau. Dengan matlamat utama untuk memartabatkan permainan warisan nenek moyangnya, Kasmin membuktikan bidang yang diceburinya tetap memberi pulangan lumayan apabila beliau memperolehi pendapatan bersih antara RM4,000 dan RM5,000 sebulan. Beliau bimbang seni wau tradisi akan hilang suatu hari nanti atau sekadar menjadi perhiasan sekiranya tiada usaha-usaha mengaktifkan semula permainan tersebut. MUZIUM LAYANG-LAYANG PASIR GUDANG Setiap negeri mempunyai wau tradisi masing-masing iaitu Johor boleh bangga dengan Wau Merak, Wau Puyuh (Kelantan), Wau Kikik (Melaka), Wau Cenderawasih (Pahang), Wau Seri Bulan (Perak), Wau Helang (Perlis), Wau Kotak (Pulau Pinang), Wau Kapal (Selangor), Wau Dodo Helang (Terengganu), Wau Kangkang (Kedah) dan Wau Seri Negeri (Negeri Sembilan). Banyak lagi maklumat mengenai wau dan layang-layang boleh diperolehi di Muzium Layang-Layang Pasir Gudang di Bukit Layang-Layang, Johor. Muzium layang-layang pertama di negara ini, telah diwujudkan sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan pelayang. Dibuka kepada orang ramai sejak Februari 2002, muzium ini antaranya mempamerkan sejarah layang-layang antarabangsa, mengadakan pameran layang-layang antarabangsa, kronologi Festival Layang-layang Antarabangsa Pasir Gudang, ruang cenderamata festival dan ruang audio visual. Pameran lain ialah sejarah mengenai wau tradisional, bentuk wau di Malaysia, peralatan wau, terminolgi mengenai wau, peralatan membuat wau, peralatan permainan wau dan bengkel demontrasi. Pengunjung boleh mempelajari kehalusan dan ketelitian membuat wau seperti Wau Bulan, Wau Kucing dan Wau Jalabudi. PRODUK PELANCONGAN Naib Presiden MPM Hussin Haron berkata wau berperanan mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum, untuk pembelajaran, kreativiti selain dijadikan produk pelancongan dan sukan. "Di bawah konsep 'One Sky One World', ia merupakan bahan untuk merapatkan hubungan global di peringkat antarabangsa dalam mempromosikan kedamaian dan keamanan," katanya. Wau tradisi hendaklah dipertahankan sebagai seni budaya bangsa yang tidak ternilai, di samping layang-layang moden yang tidak boleh diketepikan selaras dengan arus kemodenan, katanya. Beliau berkata pada tahun ini, MPM akan menganjurkan tiga festival layang-layang utama -- Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang

21  

ke-12 dari 5 hingga 11 Feb di Bukit Layang-Layang, Johor. Yang lain ialah Pesta Wau Kebangsaan Kelantan ke-25 (25-29 Mei) Pantai Sri Tujuh, Tumpat and dan Festival Layang-Layang Borneo-Sarawak-Bintulu ke3 (20-26 Ogos) di Lapangan Terbang Lama, Bintulu. -- BERNAMA BD ZUL RR

22  

JADIKAN PERMAINAN WAU DAN LAYANG-LAYANG IKON NEGARA

Date: 07-01-2007 Author: / BD BD SN RHM Wau-IkonMELAKA, 7 Jan (Bernama) -- Majlis Pelayang Malaysia hari ini mencadangkan supaya kerajaan menjadikan permainan wau dan layang-layangsebagai ikon negara kerana kesan dan peranannya yang banyak kepada kesejahteraan serta imej negara. Naib Presiden I Majlis Pelayang Malaysia, Hussin Haron berkata selain itu, permainan tradisi itu juga boleh memainkan peranan dalam mengeratkan hubungan masyarakat berbilang kaum, untuk pembelajaran, kreativiti, dijadikan produk pelancongan dan sukan. "Ia juga adalah bahan untuk merapatkan hubungan global di peringkat antarabangsa dalam mempromosikan kedamaian dan keamanan. Pelayang antarabangsa selalu menggunakan konsep One Sky One World," katanya ketikaberucap pada majlis perasmian Festival Layang-Layang Malaysia-China di Stadium Tun Fatimah dekat sini, hari ini. Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam merasmikan festival itu yang disertai 19 pelayang dari Malaysia dan China. Festival itu diadakan sempena Tahun Melawat Malaysia 2007. Hussin berkata Majlis Pelayang Malaysia akan menarik lebih ramai penggiat dan peminat melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan anggota gabungannya. "Wau tradisi kita seperti wau bulan, wau kucing, wau jalabudi dan lain-lain hendaklah dipertahankan sebagai seni budaya bangsa yang tidak ternilai, di samping layang-layang moden yang tidak boleh diketepikan selaras dengan arus kemodenan," katanya. Beliau berkata pada tahun ini, terdapat tiga festival layang-layang terbesar akan diadakan iaitu Festival Layang-Layang Antarabangsa Pasir Gudang ke-12 pada 5 hingga 11 Feb di Bukit Layang-Layang, Johor, Pesta WauKebangsaan Kelantan ke-25 pada 25 hingga 29 Mei di Pantai Sri Tujuh, Tumpatdan Festival Layang-Layang Borneo-Sarawak-Bintulu ke-3 pada 20 hingga 26 Ogos di Lapangan Terbang Lama, Bintulu. Sementara itu, Mohd Ali ketika berucap merasmikan festival itu, berkata Festival Layang-Layang Malaysia-China itu akan dijadikan aktiviti tahunan di Melaka. -- BERNAMA BD BD SN RHM

23  

BINTULU TUAN RUMAH FESTIVAL WAU ANTARABANGSA BORNEO 2006

Date: 19-08-2006 Author: / CJ CJ SP KHY WauBINTULU, 19 Ogos (Bernama) -- Bintulu, yang sedang giat berusaha bagi mencapai taraf Bandar Raya Industri Yang Mesra menjelang 2020, akan menjadi tuan rumah Festival Wau Antarabangsa Borneo 2006. Pengerusi jawatankuasa penganjur festival itu, Datuk Talib Zulpilip, hari ini berkata acara berkenaan akan diadakan dari 21 hingga 27 Ogos yang menarik minat peserta tempatan dan antarabangsa. "Kita akan dapat saksikan ruang udara Bintulu dipenuhi wau daripada pelbagai rupa, warna dan bentuk sepanjang festival itu yang telah mendapat pengiktirafan antarabangsa serta mampu merangsang pertumbuhan industri pelancongan Sarawak," katanya dalam kenyataan di sini. Talib, yang juga pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata beliau yakin festival itu akan terus mempamerkan kehebatannya serta menjadi acara istimewa di Bintulu. Festival tersebut yang kali pertama diadakan pada tahun lepas, dianjurkan oleh SEDC dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Residen Bintulu, Persatuan Wau Sarawak, Majlis Wau Malaysia, Kementerian Pelancongan, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pembangunan Bandar dan Kementerian Pelancongan Sarawak. -- BERNAMA CJ CJ SP KHY

24  

POS MALAYSIA LANCAR SETEM WAU

Date: 07-10-2005 Author: / AHB HK MFD RON Setem-WauKUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Pos Malaysia Berhad (PMB) mensasarkanRM600,000 kutipan jualan setem dan sampul surat hari pertama "Wau Tradisional". Pengurus Kanan Bahagian Filateli Wong Lai Kim memberitahu pemberita bahawa Pos Malaysia menjangkakan menjual 75 peratus daripada setem dan sampul surat hari pertama itu. Sejumlah 1,364,000 keping setem, sampul surat hari pertama, bungkusan cenderahati, fail dan kertas kecil disedikan herharga di antara 30 sen dan RM49.40. "Wau Jala Budi akan dijual pada pecahan setem 30 sen, Wau Bulan 50 sen, Wau Kucing RM1 dan Wau Merak dicetak pada kertas kecil 50mmx100mm padaharga RM2," katanya. Setem-setem wau tradisional itu akan dilancarkan pada Isnin 10 Okt bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia pada 9 Okt setiap tahun. "Tema tahun ini ialah "Mendekati Semua, Di mana Jua" dan wau adalah lambang yang sesuai untuk tema itu." katanya. Sempena sambutan Hari Pos Sedunia itu, Pos Malaysia akan mengadakan hari terbuka untuk pelanggan dan beliau menasihati para peminat setem supaya berdaftar dengan "Akaun Deposit Arahan Tetap (SODA) untuk menikmatikemudahan penerimaan setem dan juga barangan filateli yang lain tanpa perlu beratur di pejabat pos pada hari pengeluarannya. "Maklumat lanjut boleh didapati di laman web kami www.pos,com.my atau melawat pejabat-pejabat pos berhampiran," katanya Sementara itu kad eletronik masih tidak dapat menyaingi kad ucapan konvensional pada perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali yang masih banyak dikendalikan Pos Malaysia. Pengurus Korporat Komunikasi Pos Malaysia Sazali Muhamad Din berkata pihaknya menjangkakan peningkatan kad ucapan yang dihantar. Tahun lepas, Pos Malaysia mengendalikan sejumlah 10 juta kad di seluruh negara, katanya di sini. "Kami menjangkakan kenaikan walaupun dalam era Internet berikutan kad-kad yang bertambah setiap tahun," katanya. Beliau berkata jumlah penghantaran kad ucapan melonjak pada hari ke-10 setiap Ramadan dan pada masa ini Pos Malaysia mengambil 200 orang pekerjasambilan untuk mengendalikan kad-kad ucapan itu. Beliau menasihati orang ramai supaya menghantar kad ucapan seawal mungkin untuk mengelakkan kad sampai selepas musim perayaan. -- BERNAMA AHB HK MFD RON

25  

PELAJAR SK MACHANG 2 TERBANGKAN 48 WAU JALUR GEMILANG

Date: 17-08-2005 Author: / NH KAY AZH Merdeka-WauKOTA BAHARU, 17 Ogos (Bernama) -- Sempena sambutan bulan kemerdekaan yang bermula hari ini, para pelajar di Kelantan dengan bimbingan guru-guru mereka cuba menampilkan kelainan dalam sambutan masing-masing. Bagi 96 pelajar Sekolah Kebangsaan Machang 2 di sini, mereka melakukannnya dengan satu kenangan indah menerbangkan 48 buah wau Jalur Gemilang bersempena Kempen Kibarkan Jalur Gemilang petang ini. Pelajar Tahun Empat dan Enam sekolah itu menerbangkan wau itu yang diikuti sorakan kira-kira 1,000 pelajar dan guru sekolah berkenaan. Majlis itu adalah idea Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar Mohd Yasim Yaacob, 49, yang kebetulan merupakan pemain wau kebangsaan yang berkebolehan dalam mereka dan menerbangkan wau. Mohd Yasim berkata hasil bimbingannya, para pelajar terbabit mengambil masa dua minggu untuk menyediakan wau berkenaan, yang setiap satu berukuransatu meter yang dihiasi dengan Jalur Gemilang. Kos sebanyak RM1,800 untuk membuat wau itu adalah sumbangan sekolah. "Kesukaran membuat, melayangkan wau ke udara dan mengawalnya di udara dapat mendidik pelajar menghayati makna kemerdekaan. Wau melambangkan kebebasan, suatu perkara yang diperjuangkan oleh generasi dahulu untuk mendapatkan kemerdekaan," katanya. Sementara itu esok, lebih 700 pelajar Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 1 di sini akan membuat pulut semangat Jalur Gemilang sepanjang 7.2 meter dengan ketinggian 2.4 meter. Guru Besar sekolah Mohd Hanafi Majid berkata pulut berkenaan adalah sumbangan ibu bapa pelajar dengan setiap orang menyumbang satu kilogram pulut. Setiap sumbangan dibahagikan kepada beberapa kumpulan warna pulut untuk membuat pulut semangat Jalur Gemilang itu. -- BERNAMA NH KAY AZH

26  

PULAU WAU ADA POTENSI SEBAGAI DESTINASI BARU PELANCONGAN

Date: 30-06-2005 Author: Tuan Azam Tuan Johan / TAJ ERE AM RHM Pulau WauKUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Selain Perhentian, Redang, Bidong, Kapas dan Tenggol, Terengganu juga memiliki beberapa buah pulau dalam sungai yang terkenal sebagai destinasi pelancongan. Sebuah daripadanya ialah Pulau Duyung yang terletak di muara Sungai Terengganu. Selain tersohor sebagai sebuah pusat pertukangan tradisional kapal layar daripada kayu, ia juga adalah sebuah daripada pusat penyebaran Islam yang terkenal di rantau ini. Nama seperti Tok Sheikh Duyung (1802-1889), guru agama kepada tiga orang sultan Terengganu iaitu Sultan Omar, Sultan Ahmad Shah Ke II dan Sultan Zainal Abidin terpahat dalam bingkai sejarah Terengganu sebagai salah seorang anak pulau itu yang berperanan besar mengembangkan syiar Islam. Kunjungan pelancong tempatan dan luar negara ke pulau itu, yang telah dihubungi dengan tanah besar oleh Jambatan Sultan Mahmud, sama ada menerusi jalan raya atau bot, tidak pernah putus - sama ada untuk menyaksikan kemahiran tukang-tukang bot Melayu atau mengkaji sisa-sisa peninggalan Tok Sheikh Duyung. Selain Duyung, terdapat sebuah lagi pulau di tengah-tengah Sungai Terengganu yang juga berpotensi untuk dijadikan sebuah destinasi pelancongan baru, terutama dalam konteks perkhidmatan bot menyusuri sungai yang sedang dirancang oleh kerajaan negeri. Pulau yang dimaksudkan itu ialah Pulau Wau, terletak kira-kira 8km ke sebelah hulu Pulau Duyung, berhampiran Kampung Manir. Beberapa kalangan di sini berpendapat, pulau yang tidak berpenghuni itu boleh dijadikan sebuah pangkalan transit untuk pelancong yang terbabit dengan aktiviti menyusur sungai atau yang berminat dengan aktiviti agro-pelancongan. Beberapa kampung berhampiran pulau itu terkenal sebagai pusat pengeluaran buah-buahan tempatan, khususnya buah duku yang bermutu tinggi, termasuk Kampung Manir, Teluk Menara, Pulau Bahagia, Kuala Telemong, Pulau Rusa, Paloh dan Pulau Musang. Seorang bekas penduduk Pulau Wau, Mohamad Ismail, 63, berkata keindahan semulajadi pulau berbantuk wau (layang-layang) yang mempunyai keluasan kira-kira 1km panjang dan suku kilometer lebar itu merupakan satu keistimewaannya yang tersendiri. Katanya, pada suatu ketika dulu pulau itu pernah didiami sebanyak 12 keluarga. Bagaimanapun, kesulitan untuk berurusan dengan dunia luar, keperitan hidup, kepentingan pelajaran anak-anak dan hakikat bahawa tanah di pulau itu dimiliki oleh orang lain menyebabkan mereka berpindah ke tanah besar, sama ada ke Kampung Teluk Ketapang atau Teluk Menara. Mempercepatkan lagi proses perpindahan itu ialah satu tragedi yang

27  

mengorbankan empat nyawa penduduk apabila bot yang mereka naiki hanyut dan pecah terkena tiang sebuah jambatan di sebelah hilir pulau itu ketika banjir besar melanda Terengganu pada sekitar penghujung tahun 1960-an. Katanya adalah wajar bagi kerajaan Terengganu mengambil alih tanah-tanah di pulau itu dan membangunkannnya dengan kemudahan-kemudahan asas untuk pelancongan, daripada membiarkannya terus dipagari hutan pokok nipah serta diselimuti semak samun serta beberapa batang pokok duku dan pokok kelapa tua. Mohamad yang kini mengusahakan sebuah kedai makan di bandar ini berkata segala kemudahan itu boleh diwujudkan di Pulau Wau kerana Sungai Terengganu tidak lagi diancam banjir besar berikutan pembinaan Ampangan Hidro-Elektrik Sultan Mahmud di Kenyir pada 1984. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Teluk Menara, Awang Kodim Mohd Baki, 61, sependapat dengan Mohamad bahawa PulauWau sesuai dibangunkan sebagai pusat persinggahan pelancong, terutama yang menyusuri sungai daripada Pulau Duyung atau bandar ini untuk berkunjung ke Muzium Negeri yang terletak di pinggir sungai di sebelah hilirnya atau Tasik Kenyir di sebelah hulu, atau kebun buah-buahan di kampung-kampung sekitarnya. Beliau mencadangkan, antara infrastruktur yang boleh diwujudkan di situ ialah kemudahan rekreasi air, rumah penginapan dan restoran. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu Adzlan Mohd Dagang berkata, idea untuk membangunkan Pulau Wau sebagai satu produk pelancongan memang sangat praktikal. "Bahkan pada peringkat awal ini saya lihat salah satu komponen yang boleh menarik kunjungan ke pulau itu ialah mewujudkan sebuah taman rama-rama. "Bagaimanapun, semua itu memerlukan kajian yang teliti kerana ia memerlukan kos yang tinggi," katanya. Mungkin atas perkiraan kos itulah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Perindustrian dan Pelancongan Negeri, Datuk Mohamad Awang Tera berkata pihaknya belum lagi mempunyai rancangan untuk memajukan Pulau Wau. -- BERNAMA TAJ ERE AM RHM

28  

SUKAN: MALAYSIA SERTAI PERTANDINGAN WAU DUNIA

Date: 08-04-2004 Author: / IB HIS MOZ KUALA TERENGGANU, 8 April (Bernama) -- Persatuan Sukan Layang-layang Stunt Malaysia (Stack) akan menghantar lapan peserta bagi mewakili negara dalam pertandingan wau dunia di Berck Sur Mer di Perancis dari 17 hingga 27 April ini. Setiausaha Agungnya Abdul Halim Abdul Samad berkata tiga daripada peserta itu akan menyertai acara wau tradisi manakala lima lagi bagi wau stunt. "Selain itu persatuan juga akan membawa kira-kira 20 wau tradisi dan wau stunt Malaysia untuk dipertandingkan dan juga pameran di kejohanan itu," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Kejohanan itu merupakan anjuran bersama badan pelancongan di Burck SurMer, American Kite Association (AKA) dan All Japan Sport Kite Association (Ajaska). Abdul Halim berkata, peserta yang mewakili negara itu dipilih melalui pencapaian mereka dalam pertandingan wau di Pasir Gudang, Johor pada Februari lepas. -- BERNAMA IB HIS MOZ

29  

PERLIS CADANG PESTA WAU ASEAN DIMASUKKAN DALAM KALENDAR PELANCONGAN

Date: 08-06-2003 Author: / AD ROS Wau KANGAR, 8 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Perlis mencadangkan agar Festival Wau Asean anjurannya disenaraikan dalam kalendar pelancongan negara ini mulai tahun depan sebagai salah satu kegiatan memikat pelancong asing. Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan negeri, Datuk Abu Bakar Ismail berkata kegiatan itu bukan sahaja menyuburkan seni permainan tradisi di kalangan negara Asean malah dapat merapatkan hubunganserantau. Berucap pada majlis penutup Festival Wau Asean 2003 di Taman Budaya di sini malam tadi, beliau berkata kerajaan negeri akan mengemukakan cadangan itu kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Festival anjuran kerajaan negeri, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan serta Persatuan Pelayang Perlis itu yang membabitkan lebih 100 peserta turut disertai oleh para peserta Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand. Abu Bakar juga berharap golongan usahawan turut diberi peluang membabitkan diri dalam kegiatan-kegiatan seni tradisi bagi menyemarakkan kegiatannya. Katanya faktor kewangan sering dikaitkan dengan kelembapan kegiatan berkenaan dan masalah itu akan dapat ditangani jika ia membabitkan penyertaan usahawan sebagai pemimpinnya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Pelayang Perlis, Senator Wan Nordin Che Morat berkata festival itu akan dijadikan acara tahunan kerana ia membawa manfaat kepada semangat kerjasama Asean. Katanya kehadiran para peserta daripada negara-negara Asean jelas menunjukkan festival itu mempunyai pengaruh dalam mewujudkan hubungan itu. Wan Nordin, yang juga seorang usahawan berkata festival yang membawa mesej "terbang untuk keamanan" itu menjadi landasan kerjasama melalui kegiatan seni tradisi. Festival yang berlangsung selama empat hari itu berlangsung di Stadium Utama di sini turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan. -- BERNAMA AD ROS

30  

FESTIVAL WAU SERLAH SEMANGAT KERJASAMA ASEAN MELALUI BUDAYA

Date: 06-06-2003Author: / AD ZB Wau-AseanKANGAR, 6 Jun (Bernama) -- Festival Wau Asean 2003 yang sedang berlangsung di sini sejak Rabu lepas menyerlahkan semangat kerjasama negara-negara Asean melalui budaya. Festival yang disertai lebih 100 peserta daripada Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan negeri-negeri di Malaysia itu berlangsung di perkarangan Stadium Utama di sini. Festival yang akan berakhir esok dianjurkan bersama oleh kerajaan negeri Perlis, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan negeri dan Persatuan Pelayang Perlis. Ketua peserta Brunei, Haji Maidin Ahmad berkata, festival itu simbolik kepada kerjasama Asean yang sedia terjalin. "Kami sengaja mencipta wau yang menggabungkan warna bendera Perlis dan Brunei," kata Maidin yang juga Presiden Persatuan Kikik Daerah Brunei dan Muara kepada Bernama hari ini. Menurutnya, walaupun hakikatnya kesenian dan rekabentuk wau negara Brunei dan Perlis berbeza, ia mempunyai matlamat serupa, iaitu untuk dilayangkan ke udara. Beliau gembira dapat menyertai festival wau di Perlis, yang kini sedang melaksanakan program Tahun Melawat Perlis 2003-2005. Ketua peserta Indonesia, Bambang Widodo pula berkata, pertemuan pelayang rantau Asean ini adalah lambang keharmonian rantau ini melalui seni budaya yang sama. "Kami bukan sekadar melayangkan wau ke udara tapi membawa mesej kerjasama dan keamanan serantau," katanya yang juga seorang pegawai Persatuan Wau Indonesia ketika ditemui pada majlis perasmian festival itu hari ini. Festival itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Negeri Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu petang ini. Beliau menyifatkan festival itu sebagai simbolik "terbang untuk keamanan" dan Perlis adalah antara tempat terbaik di Malaysia untuk festival ini. Timbalan pengerusi pengelola festival Wau Asean, Senator Wan Nordin Che Morat berkata, festival itu adalah yang terbesar pernah diadakan di Perlis meskipun sebelum ini festival seumpamanya pernah diadakan. Katanya, semangat Asean melalui seni budaya itu terserlah kerana penyertaan yang besar daripada peserta serta kemesraan yang ditunjukkan. Beberapa acara sampingan turut diadakan sempena perasmian festival itu hari ini termasuk pertandingan hadrah yang membabitkan 12 pasukan. Hadrah adalah kesenian tradisi rakyat Perlis yang merupakan nyanyian berkumpulan yang diiringi paluan gendang. -- BERNAMA

31  

AD ZB FESTIVAL WAU ASEAN TURUT WARNAI SAMBUTAN TAHUN MELAWAT PERLIS

Date: 03-06-2003Author: / AD LAT WauKANGAR, 3 Jun (Bernama) -- Festival Wau Asean 2003 yang akan berlangsung selama empat hari di sini mulai esok akan menjadi salah satu kegiatan utama yang mewarnai sambutan Tahun Melawat Perlis 2003-2005. Timbalan Pengerusi Pelayang Perlis Senator Wan Nordin Che Morat berkata lebih 100 peserta termasuk dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand akan menyertai festival yang akan berlangsung di perkarangan Stadium Utama Kangar. Mereka akan mempamerkan serta melayangkan pelbagai jenis wau tradisi dan wau moden pada pesta yang dijangka akan turut menggamit kehadiran para pelancong asing, katanya pada sidang media di sini hari ini. Wan Nordin berkata festival itu yang akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan Kesenian dan Pelancongan, Datuk Paduka Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Jumaat ini akan turut diisi dengan pelbagai kegiatan sampingan. Antaranya, pertandingan hadrah, sebuah kesenian tradisi masyarakat Perlis iaitu permainan gendang secara berkumpulan sambil menyanyi, sukan rakyat dan persembahan pentas. Sebuah syarikat pengangkutan, Perlis Transport Company (PTC) Sdn Bhd juga menyediakan pengangkutan percuma kepada orang ramai pada hari perasmian mulai pukul 3 petang hingga tengah malam. Mengenai pertandingan, beliau berkata enam kategori diperkenalkan pada festival itu iaitu pertandingan wau bulan, wau jala budi, wau kucing, wau sobek, wau ciptaan dan wau moden. Para pemenang pertama bagi setiap kategori akan menerima hadiah wang tunai RM400, kedua RM300, ketiga RM200 dan keempat hingga tempat ke sepuluhmasing-masing sebanyak RM100. Selain itu, pameran wau cantik dan demontrasi mencipta wau tradisional akan turut diadakan. Wan Nordin berharap orang ramai dapat memeriahkan festival berkenaan yang turut menyediakan hadiah-hadiah cabutan bertuah berupa sebuah motosikal, tiga buah televisyen dan hamper. -- BERNAMA AD LAT

32  

SARS: PESTA WAU ANTARABANGSA KELANTAN TIADA PENYERTAAN LUAR

Date: 06-05-2003 Author: / ANM MOZ SARS-WauKOTA BAHARU, 6 Mei (Bernama) -- Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2003 yang dijadual berlangsung akhir bulan ini tidak akan disertai oleh peserta negara luar. Tiada negara luar dijemput menyertai pesta kali kerana masalah Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS), kata pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC), Rusli Yaakub. Pesta itu akan diadakan dari 29 hingga 31 Mei ini. Beliau berkata tahun lepas, pesta itu mendapat sambutan menggalakkan daripada peserta Singapura, China, Jepun, Thailand dan Australia. Rusli berkata sejajar dengan itu, TIC kali ini telah menukar konsep pesta dengan menjemput lebih banyak pasukan tempatan serta mengadakan pelbagai acara sampingan bagi kanak-kanak. "Kita percaya sambutan akan lebih meriah dengan penyertaan dari pasukan dalam negeri yang menggalakkan," katanya. Beliau berkata jemputan telah dibuat kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan syarikat swasta serta agensi kerajaan menyertai pesta itu. -- BERNAMA ANM MOZ

33  

PESTA WAU SEBAGAI TARIKAN BARU JOHOR

Date: 19-02-2003 Author: / SS KHY HM Wau-Tarikan/IJOHOR BAHARU, 19 Feb (Bernama) -- Wau tradisi Melayu yang terkenal dengan bentuk tiga segi berlian dijangka mendapat perhatian dunia apabila Johor menjadi tuan rumah kepada Festival Layang-layang Antarabangsa ke-8 Jumaat ini. Lebih 100,000 pelawat dijangka menyaksikan kehebatan pemain wau profesional mempamerkan kemahiran masing-masing memainkan pelbagai bentukwau atau layang-layang Melayu, di samping para peserta dunia pada pesta wau itu yang dianggap terbesar di dunia. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Johor, Datuk Dr Chua Soi Lek memberitahu pemberita hari ini, pesta itu yang diadakan sempena program Melawat Johor Tahun 2003 akan dijalankan secara menarik, berunsur pendidikan dan penuh hiburan. Dengan bertemakan "Wau Melayu", pesta itu yang akan mempamerkan pelbagai jenis wau seperti wau kapal, wau daun, wau merak, wau kangkang, wau dodo helang, wau kucing, wau jala budi dan wau bulan, menarik lebih 600 peserta daripada 20 buah negara dengan penyertaan terbesar adalah dari Jepun, katanya. "Dari segi hasil, pesta ini dapat mendatangkan pendapatan kepada negeri ini menerusi perbelanjaan pelancong sepanjang pesta," kata Chua. Acara tahunan itu yang telah diadakan sebanyak lapan kali akan diadakan di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, sebuah zon perindustrian yang sedang dipromosi sebagai daya tarikan pelancongan baru oleh Perbadanan Johor. Ia dianjurkan oleh Johor Corp menerusi Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang dan Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri dengan kerjasama Persatuan Pelayang Johor, Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Johor,Jabatan Pendidikan Johor dan Majlis Penerbangan Malaysia. Acara itu yang sedang berlangsung sejak Isnin lepas hingga Ahad ini, dijangka dirasmikan Sultan Johor pada Jumaat. Selain parmainan wau, bengkel membuat wau turut diadakan dan majlis pembukaan pesta ini akan diserikan dengan pertunjukan kebudayaan dan bunga api. Sementara itu Setiausaha Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang, Shahruni Aslam berkata, pesta itu akan dijadikan daya tarikan pelancong ke Pasir Gudang yang turut mempunyai satu-satunya muzium wau di negara ini yang sejak pembukaannya tahun lepas telah menarik 2,000 pelawat. -- BERNAMA SS KHY HM

34  

WAU DUGONG DAN KETUPAT ANTARA TARIKAN DI PESTA WAU ASEAN

Date: 31-05-2002Author: / AD ZB Wau-Pesta KANGAR, 31 Mei (Bernama) -- Dugong dan ketupat adalah antara wau ciptaan yang ditayangkan sempena Pesta Wau Asean 2002 di landasan terbang Sungai Batu Pahat dekat sini. Pesta selama enam hari bermula sejak 28 Mei lalu dan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Perlis, DatukAbu Bakar Ismail hari ini. Bagaimanapun para penonton agak hampa kerana wau berbentuk ikan dugongdan ketupat itu tidak dapat beraksi lama di udara kerana masalah angin. Pesta wau itu yang turut disertai peserta Singapura dan Thailand dianjurkan oleh kerajaan negeri Perlis dengan kerjasama Pejabat Kebudayaan dan Pelancongan Perlis dan Persatuan Layang-layang (Pelayang) Perlis. Sebanyak 68 peserta memperagakan kira-kira 310 wau pelbagai jenis pada pesta yang diadakan sempena sambutan bulan Citrawarna itu. Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Pelayang Perlis, Hamid Darus berkata, persatuan itu berhasrat menjadikan pesta wau itu sebagai acara tahunan melalui sokongan kerajaan negeri selaku penganjur utamanya. Beliau berharap, pesta itu akan menjadi salah satu tarikan pelancong menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Perlis 2003-2005. Pelayang Perlis akan cuba mendapatkan penyertaan daripada peserta negara Asean pada masa depan, katanya. Sementara itu, seorang peminat wau tempatan, Abdullah Mat Noh, 58, hairan dengan sambutan dingin masyarakat terhadap pesta wau yang julung kali diadakan itu. "Saya lihat kebanyakan yang ada di pesta ini adalah para peserta," katanya yang mendakwa berada di situ setiap hari sejak hari pertama pesta itu diadakan. Beliau percaya, publisiti yang kurang menyebabkan pesta itu tidak dikunjungi. -- BERNAMA AD ZB

35  

MALAYSIA SERTAI PERTANDINGAN DAN PAMERAN WAU SEDUNIA DI PERANCIS

Date: 26-03-2002 Author: / IB MRA MOZ KUALA TERENGGANU, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia akan menghantar pasukanbagi menyertai pertandingan dan pameran wau sedunia di Perancis pada 6 hingga 16 April ini. Pengerusi Biro Teknikal Majlis Pelayang Malaysia (MPM) Abdul Halim Abdul Samad berkata MPM akan menghantar 10 orang peserta dan kira-kira 50 buah wau ke pertandingan itu. Selain menyertai pertandingan dan pameran, pasukan itu akan mengadakan bengkel membuat wau bagi mempopularkan wau Malaysia. Di samping itu, pasukan tersebut akan memainkan peranan mempromosi negara sebagai destinasi pelancongan. "Kita akan mengambil peluang untuk memperkenalkan Malaysia...dengan mengedarkan risalah mengenai Malaysia," katanya. Sementara itu, Abdul Halim berkata MPM sedang mencari penaja bagi membantu membiayai penyertaan pasukan tersebut dan mana-mana syarikat yangberminat boleh menghubunginya menerusi talian 013-9212345. -- BERNAMA IB MRA MOZ

36  

TERENGGANU HANTAR PASUKAN SERTAI PERTANDINGAN WAU

Date: 02-02-2002Author: / IB MOZ KUALA TERENGGANU, 2 Feb (Bernama) -- Terengganu akan menghantar 23 orang peserta bagi menyertai pertandingan Wau Antarabangsa Pasir Gudang, Johor yang bermula Isnin ini. Presiden Persatuan Wau Terengganu Abdul Halim Abdul Samad berkata pasukan itu akan membawa sebanyak 60 buah wau. Beliau berkata penyertaan dalam pertandingan itu akan memberi peluang kepada pasukan itu menimba pengalaman kerana selain saingan pemain wau tempatan, pasukan dari 17 buah negara luar juga akan turut serta. Abdul Halim berkata enam orang pelajar akan turut mewakili Terengganu pada pertandingan wau peringkat sekolah menengah yang turut diadakan sempena pertandingan itu. Antara acara yang akan dipertandingkan ialah pertandingan wau sobek tradisi, wau naik wau merak, layang-layang wau ciptaan dan layang-layang laga, katanya. -- BERNAMA IB MOZ

37  

TIGA NEGARA UNDANG TERENGGANU SERTAI FESTIVAL WAU ANTARABANGSA

Date: 21-12-2001 Author: / IB MRA LAT Terengganu-WauKUALA TERENGGANU, 21 Dis (Bernama) -- India, Thailand dan Perancis mengundang Terengganu ke festival wau antarabangsa yang akan diadakan di ketiga-tiga buah negara itu mulai Januari ini. Presiden Pelayang Terengganu, Abdul Halim Abdul Samad berkata India akan mengadakan festival waunya pada bulan Januari ini, Thailand pada Mac manakala Perancis pada September. "Sekiranya tidak ada halangan, pada dasarnya kita bersetuju dan akan menghantar peserta untuk menyertai festival-festival itu bagi memperkenal dan mempopularkan wau Terengganu pada kacamata dunia," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. Beliau berkata setiap penyertaan Terengganu ke festival itu memerlukankan peruntukan kewangan antara RM4,000 dan RM5,000 bagi menyediakan wau dan tambang para peserta. Abdul Halim berkata Pelayang Terengganu akan berusaha mencari penaja dan syarikat swasta yang berminat untuk menaja, boleh menghubungi terus Pelayang Terengganu ditalian 09-6232458 atau 013-9212345. Abdul Halim berkata Pelayang Terengganu akan menghantar tiga atau empatpeserta dengan kira-kira 20 layang-layang ke Festival Wau India yang akan diadakan di bandar Ahmadabad pada 11 hingga 15 Jan. Dijangkakan 13 buah negara Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa buah negara di Asia akan mengambil bahagian pada festival itu, katanya. Beliau berkata Festival Wau Antarabangsa Thailand yang akan diadakan di Bangkok mulai 13 hingga 20 Mac dijangka disertai sekurang-kurangnya 23 negara. Abdul Halim berkata Pelayang Terengganu merancang menghantar lima peserta dan 20 buah wau tradisi dan wau ciptaan ke festival itu. Bagi festival wau Perancis yang merupakan pesta dwi-tahunan wau yang terbesar di dunia, Pelayang akan menghantar lebih ramai peserta dan wau ke festival itu, katanya. "Kita akan hantar tujuh peserta dan 40 hingga 50 buah wau memandangkan festival wau Perancis itu memakan masa hampir dua minggu dan hampir seluruhnegara di dunia akan menyertainya," katanya. -- BERNAMA IB MRA LAT

38  

TERENGGANU BERJAYA PERKENALKAN WAU MALAYSIA DI LUAR NEGARA

Date: 18-10-2001 Author: / IB MRA RHM KUALA TERENGGANU, 18 Okt (Bernama) -- Persatuan Wau Terengganu (Pelayang Terengganu) adalah di antara persatuan wau yang aktif memperkenalkan wau Malaysia di luar negara. Presiden Pelayang Terengganu Abdul Halim Abdul Samad berkata ini kerana persatuan itu sentiasa mendapat perhatian dan diundang menyertai festival wau di luar negara. "Pada tahun ini, kita menyertai festival wau di England, Amerika Syarikat dan Indonesia," katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata pada setiap festival itu, Pelayang Terengganu akan membawa sekurang-kurangnya 30 jenis wau Malaysia untuk tontonan peminat waudi negara-negara berkenaan. Abdul Halim berkata wau Malaysia sentiasa mendapat sambutan dan pujian peminat-peminat wau di luar negara kerana seni pembuatannya menarik dan halus. "Ada juga peminat-peminat wau di England dan Amerika Syarikat menempah wau Malaysia kerana mereka tertarik dengan seni pembuatan wau Malaysia itu," kata Abdul Halim. Beliau berkata wau Malaysia mempunyai potensi untuk menembusi pasaran di luar negara jika penyebaran wau Malaysia dibuat secara meluas oleh agensi pelancongan. -- BERNAMA IB MRA RHM

39  

TERENGGANU SERTAI FESTIVAL WAU JAKARTA

Date: 23-08-2001 Author: / IB MRA MOZ KUALA TERENGGANU, 23 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 30 buah wau dari siniakan dilayangkan di Jakarta sempena Festival Wau Antarabangsa Indonesia pada 29 dan 30 Sept depan. Presiden persatuan wau Terengganu (Pelayang), Abdul Halim Abdul Samad berkata sebanyak tujuh peserta mewakili Terengganu akan menyertai festival itu bagi memperkenalkan wau Terengganu di kalangan peminat-peminat wau dunia. "Kita mempunyai pelbagai jenis wau yang halus seni perbuatannya dan wau-wau ini kita akan hantar ke Jakarta untuk menarik perhatian peminat-peminat di sana," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata festival itu akan disertai peminat wau dari seluruh dunia terutama dari Eropah. Beliau juga berkata pasukan negeri juga akan menyertai pertandingan wau antarabangsa Perlis pada 13 dan 14 Sept ini dengan menghantar lima peserta dan 20 buah wau. Sementara itu, Abdul Halim berkata Pelayang akan mengadakan bengkel membuat wau di setiap daerah di negeri itu pada bulan depan, yang terbuka kepada semua peminat permainan itu. -- BERNAMA IB MRA MOZ

40  

2001 WAU ANTARABANGSA DI PANTAI CAHAYA BULAN

Date: 03-07-2001 Author: / MNR BD MAIKOTA BAHARU, 3 Julai (Bernama) -- Sebanyak 2,001 wau dari beberapa negara akan dapat dilihat di ruang angkasa Pantai Cahaya Bulan di sini pada Pesta Wau Antarabangsa selama empat hari bermula 12 Julai ini. Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan, Rusli Ya'acob berkata peserta-peserta dari Jepun, Thailand, Singapura, Brunei dan Eropah serta Malaysia akan terlibat dalam pesta itu yang merupakan satu daripada produk pelancongan Kelantan sejak 15 tahun lepas. Orang ramai yang hadir pada pesta itu akan berpeluang menaikkan wau, katanya ketika ditemui selepas menaikkan replika Wau Bulan berukuran 10 meter panjang dan 10 meter lebar berdekatan Bulatan Jam Jalan Ibrahim di sini hari ini. Rusli berkata sejak kebelakangan ini pesta wau Kelantan kurang mendapat sambutan peserta antarabangsa akibat kelembapan ekonomi. "Kita akan cuba menarik minat orang luar Kelantan menyertai pesta itu," katanya. -- BERNAMA MNR BD MAI

41  

TERENGGANU HANTAR 45 WAU KE PESTA WAU ANTARABANGSA KELANTAN

Date: 27-06-2001 Author: / IB SN PR KUALA TERENGGANU, 27 Jun (Bernama) -- Terengganu akan menghantar 18 peserta dengan 45 buah wau ke Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2001 yang akan diadakan di Pantai Cahaya Bulan dari 12 hingga 15 Julai ini. Presiden Pelayang Terengganu Abdul Halim Abdul Samad berkata Terengganumerupakan peserta tetap di pesta tahunan itu. "Kita tidak pernah ketinggalan menyertai pesta ini, kerana Terengganu dan Kelantan mempunyai kebudayaan yang serupa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. Beliau berkata selain wau wajib seperti Wau Bulan, Wau Jalabudi, Wau Kucing dan Wau Puyuh, Terengganu juga menghantar wau tradisi dan wau bebaske pesta itu. Abdul Halim berkata Terengganu yang terkenal dalam bidang pembuatan wau, juga telah mencipta beberapa jenis wau untuk pertunjukan bagi memeriahkan lagi Pesta Wau Antarabangsa Kelantan itu. Beliau berkata peserta-peserta Terengganu ke Pesta Wau Antarabangsa Kelantan tahun ini terdiri daripada gabungan muka baru dan mereka yang berpengalaman dalam bidang permainan wau. Pelayang-pelayang Terengganu kini menjalani latihan intensif di kampung Manir, kira-kira 20 km dari sini, bagi persediaan menghadapi pesta itu, katanya. -- BERNAMA IB SN PR

42  

PELAYANG TERENGGANU WUJUD BENGKEL WAU

Date: 25-06-2001 Author: / IB MRA LAT Wau-KrafKUALA TERENGGANU, 25 Jun (Bernama) -- Persatuan Pelayang Terengganu (PPT) merancang membina sebuah bengkel wau bagi membuat serta mempamerkankoleksi wau tempatan dan luar negeri, tahun ini. Presiden PPT Abdul Halim Abdul Samad berkata PPT sedang mencari satu kawasan strategik, terutama berhampiran Pasar Payang di sini untuk mendirikan bengkel itu. "Pelayang Terengganu mempunyai banyak koleksi wau dari serata dunia yang belum dilihat oleh peminat wau di negeri ini," katanya kepada Bernama hari ini. Beliau berkata Terengganu mempunyai ramai pakar dalam bidang pembuatan wau dan mereka akan di tempatkan di bengkel wau Pelayang Terengganu itu. Abdul Halim berkata sebelum ini, Terengganu banyak menerima tempahan wau dari dalam dan luar negara, tetapi wau-wau itu terpaksa dibuat oleh ahli persatuan di rumah. Katanya wau buatan Terengganu seperti Wau Kucing, Jala Budi dan Wau Bulan, dijual pada harga RM250 satu, bergantung kepada kualiti dan bahan yang digunakan. Abdul Halim berkata pada masa ini PPT tidak bercadang menjual atau mengedarkan wau-wau di kedai-kedai di negeri ini bagi memastikan mutunya tidak terjejas. Beliau berkata pelayang Terengganu sedang mengembangkan sayapnya ke seluruh negeri dengan menubuhkan cawangan di peringkat daerah. Setakat ini, katanya cawangan Pelayang Terengganu sudah ditubuhkan di daerah Kuala Terengganu dan Besut. -- BERNAMA IB MRA LAT

43  

MALAYSIA SERTAI FESTIVAL WAU DI ENGLAND DAN JAKARTA

Date: 21-06-2001 Author: / IB MRA RI Wau-FestivalKUALA TERENGGANU, 21 Jun (Bernama) -- Malaysia akan mengambil bahagiandalam Festival Wau Antarabangsa di Monas, Jakarta akhir bulan ini dan New Castle England bulan depan. Festival Wau Antarabangsa Monas Jakarta akan bermula pada 29 Jun hingga 1 Julai, manakala Festival Wau Antarabangsa New Castle, England diadakan pada 5 hingga 9 Julai. Anggota Majlis Pelayang Malaysia, Abdul Halim Abdul Samad berkata Malaysia akan menghantar 14 peserta dan 15 buah layang-layang, terutama wauciptaan ke Monas, Jakarta. Katanya 20 buah negara, kebanyakannya daripada Eropah dan Amerika Syarikat akan mengambil bahagian dalam festival itu. Beliau berkata untuk Festival Wau Antarabangsa di New Castle pula, Malaysia akan menghantar seorang peserta dan 20 buah wau untuk pertunjukan dan pameran di festival itu. "Kita akan hantar wau ciptaan, tradisi dan wau naga untuk tatapan peminat-peminat wau di sana," kata Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Wau dan Layang-layang Negeri Terengganu. Abdul Halim yang juga akan mewakili Malaysia ke festival itu berkata selain Malaysia, 15 buah negara lain yang popular dengan permainan wau juga turut diundang menyertai festival itu. Abdul Halim berkata penyertaan Malaysia di festival itu semata-mata untuk mengeratkan hubungan di kalangan peminat-peminat wau di dunia di samping mempopularkan wau Malaysia. -- BERNAMA IB MRA RI

44  

MALAYSIA HANTAR 30 WAU KE FESTIVAL WAU ANTARABANGSA DI ITALI

Date: 15-04-2001 Author: / IB SN LAT WauKUALA TERENGGANU, 15 April (Bernama) -- Malaysia akan menghantar 30 layang-layang ke Festival Wau Antarabangsa Cervia di Milan Itali pada 20 hingga 30 April ini. Ahli Majlis Pelayang Malaysia, Abdul Halim Abdul Samad berkata ia termasuk wau tradisi untuk pertunjukan dan wau untuk pertandingan. "Pemergian kita atas jemputan Persatuan Layang-layang Itali," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini. Abdul Halim berkata kira-kira 15 buah negara di Eropah dan Amerika Syarikat termasuk Indonesia dan Thailand mengesahkan penyertaan ke festivalitu. Beliau berkata Malaysia akan menghantar Abdul Halim Abdul Samad dan Jusoh Nong daripada Terengganu untuk membuat pertunjukan wau di festival itu. Pemilihan kedua-duanya dibuat berdasarkan kebolehan dan pengalaman mereka dalam permainan wau di peringkat antarabangsa, katanya. Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Wau/Layang-layang Negeri Terengganu berkata penyertaan negara di festival itu lebih bersifat mempromosikan Malaysia. Beliau berkata wakil negara akan membawa risalah mengenai destinasi pelancongan di Malaysia untuk diedarkan di sana. "Ini salah satu daripada usaha Majlis Pelayang Malaysia untuk membantu mempopularkan negara dalam bidang pelancongan," katanya. Abdul Halim berkata selain itu, Malaysia juga akan mengambil bahagian pada festival layang-layang New Castle di England, Jun ini. Malaysia akan menghantar dua wakil bersama-sama berpuluh-puluh wau ke festival itu, katanya. -- BERNAMA IB SN LAT

45  

EMPAT PULUH NEGARA DIUNDANG SERTAI PESTA WAU

Date: 03-03-2000Author: / ZI NMO LANGKAWI 3 Mac (Bernama) -- Sebanyak 40 negara diundang menyertai PestaWau Antarabangsa Langkawi 2000 di Pantai Tengah di sini dari 15 hingga 21 Julai, kata Setiausaha penganjur Jamaluddin Ahmad hari ini. Beliau berkata setakat ini 10 negara termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan New Zealand telah mengesahkan penyertaan mereka. Penganjur festival itu sedang memperhebatkan promosi di dalam dan luar negeri bagi menarik lebih banyak penyertaan bagi memeriahkan pesta itu, dan lebih banyak negara dijangka akan mengambil bahagian. Pesta yang dianjurkan bersama Persatuan Wau Negeri Kedah, Kerajaan Kedah dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) itu menawarkan pelbagaihadiah menarik termasuk wang tunai. Sementara itu, pertandingan Wau Perdana Langkawi 2000 yang dijadual diadakan di kawasan sawah di Ulu Melaka pada 4 Mac ditunda hingga April ini. Pengerusi pertandingan Mohd Zani Haji Ramli berkata penundaan itu dibuat bagi membolehkan ia dipertandingkan sebagai salah satu acara sempenaulang tahun ke-10 penubuhan LADA. -- BERNAMA ZI NMO

46  

PERTANDINGAN WAU UNTUK TARIK PELANCONG KE LANGKAWI

Date: 02-02-2000Author: / ZI MAI LANGKAWI, 2 Feb (Bernama) -- Pertandingan Wau Perdana Langkawi 2000 yang akan diadakan di kawasan sawah di Ulu Melaka pada 4 Mac ini bertujuan menggalakkan permainan tradisi itu selain menarik pelancong ke pulau peranginan ini. Pengerusi pertandingan itu Mohd Zani Ramli hari ini berkata hadiah menarik seperti tiket penerbangan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang selain hadiah penginapan hotel, wang tunai dan hamper, disediakan untuk pemenang. Mohd Zani berkata pertandingan itu membabitkan beberapa jenis wau seperti wau tradisional dan wau bebas. Mereka yang berminat menyertainya boleh menghubungi urusetia pertandingan di Pejabat Daerah Langkawi atau melalui talian 04-9666963 sebelum 29 Feb ini. Selain pertandingan itu, bengkel membuat wau akan turut diadakan dari 4 hingga 6 Feb untuk orang awam dan 7 hingga 8 Feb bagi pelajar yang akan dikendalikan oleh pembuat wau profesional. Pertandingan dan bengkel itu dianjurkan oleh Majlis Sukan Langkawi, Kompleks Budaya Kraf Langkawi dan Pejabat Belia dan Sukan Langkawi. -- BERNAMA ZI MAI

47  

KELANTAN ANJUR PESTA WAU ANTARABANGSA MALAYSIA 1999

Date: 23-05-1999 Author: / ANM NAKKOTA BAHARU, 23 Mei (Bernama) -- Kelantan akan menganjurkan Pesta WauAntarabangsa Malaysia 1999 selama dua hari mulai 27 Mei, di Pantai Sri Tujuh Tumpat. Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan (TIC) Sulaiman Ismail berkata setakat ini, seramai 150 peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak serta 20 peserta dari Jepun, Indonesia, Thailand dan Perancis telah mengesahkan penyertaan mereka. "Pesta itu diadakan bagi mempromosikan Kelantan untuk menarik lebih ramai pelancong walaupun Tahun Melawat Kelantan 1998 telah berakhir tahun lepas," katanya, di sini. Sulaiman berkata pertandingan kali ke-17 itu menjanjikan hadiah RM16,000. Beliau berkata pelbagai reka bentuk wau akan dipertandingkan pada pesta berkenaan. --BERNAMA ANM NAK

48  

MAIN WAU DI SAWAH JADI PRODUK BARU PELANCONGAN

Date: 14-05-1999Author: / ZI MAI LANGKAWI, 14 Mei (Bernama) -- Permainan wau boleh dijadikan satu lagi produk pelancongan lebih-lebih lagi jika dianjurkan semasa musim menuai padi, kata Setiausaha Parlimen Kementerian Pertanian Datuk Haji Abu Bakar Taib. Ini ialah antara usaha mempelbagai aktiviti tarikan pelancong ke pulau peranginan ini, katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan wau tertutup Langkawi di sini hari ini. Abu Bakar yang juga Anggota Parlimen Langkawi menyarankan agar pendudukLangkawi menganjurkan aktiviti itu pada musim menuai padi pada Januari dan Februari. "Permainan wau dalam sawah boleh menjadi tarikan baru kepada pelancong," katanya. -- BERNAMA ZI MAI

49  

PESTA WAU: NAFAS BARU KEPADA HOBI LAMA

Date: 02-04-1999 Author: D. Sundara Raja / DSR RR Rencana-WauKUALA LUMPUR: Hobi bermain wau tidak sahaja meriah di kawasan luar bandar di negara ini malah ia meletakkan Malaysia dalam peta dunia bagi pesta-pesta wau. Beberapa dekad lalu, bangunan-bangunan pencakar langit berceracak naik di merata-rata tempat di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur menghilangkan ruang untuk menerbangkan wau. Tetapi kini masyarakat yang terperangkap dalam kesibukan kota mencari ruang lebih luas untuk meluangkan waktu dengan hobi bermain wau di beberapa tempat seperti di Kuala Lumpur, Shah Alam dan Pasir Gudang di Johor Baru. Seluruh keluarga kelihatan meriah menerbangkan wau masing-masing di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil di sini; di Bukit Jelutong, Shah Alam dan Bukit Layang Layang di Pasir Gudang, Johor Baru; manakala di negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Kedah dan Perlis, permainan wau adalah permainan tradisional yang dimainkan tanpa gangguan. Satu bukti ketara menunjukkan minat mendalam dalam permainan wau ialah bila lebih daripada 50,000 orang membanjiri Bukit Layang Layang untuk menyaksikan Pesta Wau Antarabangsa Keempat di Pasir Gudang, bermula 20 hingga 28 Feb. Husin Harun, setiausaha Persatuan Wau Malaysia yang menyediakan bantuan teknikal untuk pesta berkenaan berkata, cuaca yang baik dan keadaan angin sepanjang pesta menyumbang kepada kejayaan pesta. Sebanyak 300 pemain wau menyertai pesta yang dianjurkan Perbadanan Negeri Johor dan dibiayai kumpulan perkasa. Pesta itu memukau perhatian para peserta luar negara di mana seramai 45 peserta daripada lapan buah negara mengambil bahagian dan ini meletakkan Malaysia dalam peta dunia untuk permainan wau. Setiausaha jawatankuasa penganjur pesta, Encik Ismail Mat Taib, berkata satu bengkel tiga-hari dan promosi bermula 20 Feb di kompleks membeli-belah di Johor Baru, diadakan sebagai membuka tirai bermulanya pesta. Beliau menjelaskan tarikan untuk penggemar tempatan termasuk pertandingan wau tradisional yang turut disertai wakil-wakil seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak. Antara wau yang dipamerkan ialah wau bulan, wau jalabudi, wau kucing dan wau merak. Turut menceriakan suasana ialah pertandingan yang disertai oleh 11 buah sekolah dari Kelantan, Johor dan Perlis. Husin berkata para penonton turut membeli wau-wau perhiasan seperti wau merak dan wau sobek yang berharga antara RM300 dan RM500, bergantung kepadareka bentuk dan kerja seninya. Kemuncak pesta ialah pada tiga hari terakhir bila tiga pemain wau tempatan, turut disertai oleh rakan-rakan dari negara-negara New Zealand, United Kingdom, Australia, Italy, Jepun, Thailand, Singapura dan Indonesia,

50  

mempamerkan pelbagai jenis wau mereka. Peminat wau juga berpeluang menyaksikan Megaray, wau terbesar di dunia yang diterbangkan oleh Peter Lynn, seorang warga New Zealand. Berukuran 100-meter panjang, ia dinamakan dan dibentuk sempena nama ikan pari, dan memerlukan dua trak penuh pasir untuk melabuhkannya. Pelbagai jenis wau tradisional dan moden bermacam warna, bentuk dan saiz menceriakan dan memukau perhatian para pemain dan penonton. Wau-wau moden berbentuk berbagai jenis burung, burung hinggap, ikan, sotong dan lain-lain objek -- semuanya memaparkan minat mendalam pemain wau. Tarikan besar ialah wau bersayap delta berlagak ngeri (delta-winged stunt) dan wau payung terjun jenis Nasawind yang diikat pada pemegang dengan dua atau empat talian, memerlukan tenaga daripada pemain untuk melayarinya. Husin berkata pesta itu menarik ramai pengunjung dari negara jiran Thailand, Indonesia dan Singapura. Bagi pemain wau warga Singapura, Pasir Gudang adalah syurga kerana bangunan konkrit di Singapura menyukarkan mereka untuk bermain wau. Bangunan-bangunan pencakar langit juga menghalang aliran angin, elemen penting untuk menggembirakan suasana permainan. Namun demikian, anggota-anggota Persatuan Wau Singapura kerap melintas Tambak Johor untuk sesi menerbangkan wau. Seorang pereka, pembuat dan pemain wau warga Malaysia yang menikmati keseronokan pada pesta itu ialah Leong Chee Wan menyatakan beliau berpeluang menyaksikan pesta itu setelah berbuat baik pada isterinya yang baru bersalin. Pesta itu memberi peluang kepada para peminat untuk membeli wau dan aksesorinya dan juga bertukar-tukar maklumat. Leong berkata beliau berjaya mendapat beberapa belian baik, termasuk membeli kereta terpakai untuk melakukan tarikan. Kereta itu dijual oleh Peter Lynn yang dikatakan sebagai pereka kereta moden yang boleh dikuasai oleh mana-mana wau yang dikawal termasuklah wau bertali dua atau empat, berbingkai atau berkeranjang, dengan tarikan penuh. Leong berkata wau-wau moden, yang semakin popular, dipamerkan dengan bentuk-bentuk baru setiap tahun. "Firestorm", miliknya memenangi tempat kedua dalam kategori individu wau. Walaupun wau-wau tradisional hanya memerlukan buluh, kertas, gam dan benang termasuklah sedikit kemahiran untuk membuat, wau-wau moden pula menggunakan alat-alat yang canggih. Leong berkata wau-wau moden meminjam teknologi daripada pelbagai bidang seperti reka bentuk dari industri angkasa lepas, Ripstop Nylon untuk berlayar dari payung terjun, bingkai dan aksesori-aksesori dari industri memanah, talian terbang dan penyepit dari pemancing dan tali dari mendaki gunung. "Saya pernah melihat wau berkembang dari menggunakan kayu kepada

51  

aluminium kepada kaca gentian dan sekarang kepada bingkai karbon," kata pengarah seni berumur 30 tahun yang belajar membuat waunya yang pertama pada usia tujuh tahun daripada ayahnya. Namun begitu, hanya pada 1993 bila minatnya dalam wau berteknologi tinggi hidup setelah beliau mengikuti kawannya untuk satu latihan menerbangkan wau di Cherating, dekat Kuantan pada hujung musim monsun bila angin amat sesuai untuk wau terbang. Leong, yang mereka-bentuk, menjual dan membeli wau juga menawarkan khidmatnya untuk pesta-pesta kecil dan komersil di televisyen serta ingin berhubung dengan pemain-pemain wau melalui e-melnya [email protected]. Sekarang, harga wau paling rendah ialah RM1 yang berbentuk kecil sehinggalah RM400 untuk jenis pertengahan dan boleh mencapai setinggi beberapa ribu ringgit untuk model-model pro. Sebuah industri kecil membuat wau juga wujud dengan munculnya kedai di Sarawak, Selangor, KL dan negeri-negeri di Pantai Timur. Sesetengahnya ada laman web dalam Internet untuk menjual dan mempromosikan hobi itu. Seorang lagi penggemar wau, Ho Teoh Hau berkata hobi ini mampu mengekalkan kepopularannya dalam era teknologi komputer bila kanak-kanak dighairahkan oleh permainan komputer. Seorang ahli farmasi berkata pada ketika permainan-permainan dan hobi-hobi lama seperti guli, kotak rokok, penutup botol, gelang getah telah luput, adalah sesuatu yang mengagumkan masih ada orang yang bermain dengan wau. -- Bernama DSR RR

52  

TERENGGANU ANJUR PESTA WAU '98

Date: 12-07-1998Author: / SBS RI MARANG, 12 Julai (Bernama) -- Majlis Kebudayaan Negeri Terengganu akan menganjurkan Pesta Wau Terengganu '98 mulai 15 hingga 17 Julai ini sebagai usaha mempromosikan permainan tradisional dan menarik lebih ramai pelancongke negeri ini. Yang Dipertuaya Abdul Rahman Bakar berkata pesta itu, yang pertama kali diadakan dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Datuk Sabbaruddin Chik pada 15 Julai ini di Pantai Peranginan Batu Buruk, Kuala Terengganu. "Dijangka seramai 200 peserta akan mengambil bahagian dalam tiga kategori yang diadakan iaitu kategori Wau Naik, Wau Sobek (berukiran) dan Wau Ciptaan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Bagi kategori Wau Naik ia terbuka kepada jenis wau bulan, wau kucing, wau jala budi dan wau helang; kategori Wau Sobek hanya untuk jenis wau bulan sahaja, manakala kategori Wau Ciptaan pula bagi semua jenis wau yang dicipta selain daripada kategori-kategori Wau Naik dan Wau Sobek. Beliau berkata johan untuk semua kategori akan menerima wang tunai RM250 dan saguhati, pemenang tempat kedua, wang tunai RM200 dan saguhatidan tempat ketiga, wang tunai RM150 dan saguhati. Abdul Rahman berkata penyertaan masih terbuka dan mereka yang berminat boleh menghubungi Majlis Kebudayaan negeri atau melalui talian 09-6224070. Sempena pesta itu juga, pelbagai acara sampingan akan diadakan antaranya peraduan melukis untuk kanak-kanak, pertandingan permainan dam, pertunjukan silat dan pertunjukan sukan tinju. -- BERNAMA SBS RI

53  

KELANTAN ANJUR PESTA WAU ANTARABANGSA 1998

Date: 24-05-1998Author: / ZI MAI KOTA BAHARU, 24 Mei (Bernama) -- Kerajaan Kelantan akan menganjurkan Pesta Wau Antarabangsa Malaysia 1998 selama lima hari bermula 28 Mei ini. Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan, Sulaiman Ismail berkata, pesta wau itu akan diadakan di Pantai Sri Tujuh, Tumpat, 30 kilometer dari sini. Selain Malaysia, enam negara lain terdiri United Kingdom, Perancis, Belanda, Australia, Jepun dan Thailand dijangka menyertai pesta itu. Sulaiman berkata, pesta wau berkenaan akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat diadakan sempena dengan Tahun MelawatKelantan 1998. Pelbagai acara lain yang akan turut diadakan ialah pertunjukan jet ski, kemahiran memandu kenderaan pacuan empat roda, silat, payung terjun dan persembahan tradisional. -- BERNAMA ZI MAI

54  

PELAYANG CADANGKAN FESTIVAL WAU IMT-GT

Date: 11-02-1998 Author: / AD NMOKANGAR, 11 Feb (Bernama) -- Persatuan Pelayang Malaysia (Pelayang) mencadangkan pembentukan sebuah jawatankuasa peringkat kawasan pertumbuhansegi tiga Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) bagi mengangkat martabat permainan wau. Setiausaha agungnya, Hamid Darus berkata selama ini festival permainan wau hanya dianjurkan secara berasingan oleh wilayah-wilayah dalam rantau pertumbuhan itu kerana belum wujud jawatankuasa seumpamanya. Katanya, selaras dengan konsep kepentingan bersama, festival seumpama itu perlu dilaksanakan di peringkat serantau atas nama IMT-GT manakala lokasinya dipilih secara bergilir-gilir antara wilayah terbabit. Katanya, kesenian tradisi yang masih segar itu boleh menjadi jambatan hubungan budaya yang kukuh antara penduduk di rantau IMT-GT. Sementara itu, Pelayang menyenaraikan 35 peserta untuk menyertai festival wau wilayah Satun, Thailand Selatan selama tiga hari mulai Jumaat ini. Festival kali ke-19 yang akan berlangsung di lapangan terbang Satun itu turut mengundang penyertaan dari Amerika Syarikat dan Jerman. -- BERNAMA AD NMO

55  

SEBANYAK 35 PELAYANG SERTAI FESTIVAL WAU DI THAILAND

Date: 05-02-1998Author: / AD AKD KANGAR, 5 Feb (Bernama) -- Persatuan Pelayang Malaysia (Pelayang) akan menghantar 35 pencipta dan pemain wau untuk membawa cabaran pada festivalwau wilayah Satun selama tiga hari mulai 13 Feb ini. Setiausaha Agung Pelayang, Hamid Darus berkata di sini hari ini festival kali ke-19 itu menjadi landasan hubungan budaya antara wilayah selatan Thai itu dengan negeri-negeri di Malaysia. Beliau berkata Kedah akan mengemukakan 15 pelayang, Perlis (6), Terengganu (6), Selangor (4) dan Pulau Pinang (4). Pelayang dari Amerika Syarikat dan Jerman juga dijangka menyertai festival itu yang diperkenalkan sejak 1980. Satun yang mempunyai kebanyakan penduduk yang mahir berbahasa Melayuterkenal dengan keunikan wau kerbau, wau kikit, wau kucing, wau ular, wau burung dan wau bulan. -- BERNAMA AD AKD

56  

WILAYAH SATUN UNDANG MALAYSIA SERTAI FESTIVAL WAU

Date: 04-02-1998Author: / AD MAI SATUN (Selatan Thailand), 4 Feb (Bernama) -- Satun hari ini mengundang Malaysia menyertai festival wau ke-19 anjuran wilayah itu yang akan berlangsung selama tiga hari mulai 13 Feb ini. Pengarah Jabatan Penerangan Satun, Somah Somanpitak berkata, Malaysia ialah antara negara paling banyak menghantar peserta sejak festival itu diperkenalkan pada 1980. Beliau yakin festival kali ini yang mempunyai acara pertandingan dan pertunjukan akan turut mendapat sambutan menggalakkan daripada pelayang Malaysia terutama dari negeri yang berjiran seperti Perlis. Selain Malaysia, penganjur turut mengundang pelayang dari Amerika Syarikat dan Jerman untuk memeriahkan festival itu, katanya kepada Bernama di sini hari ini. Juara pertandingan wau bagi setiap jenis akan menerima hadiah 3,000 baht dan piala, kedua 2,000 baht dan piala manakala tempat ketiga akan menerima hadiah 1,000 baht serta piala. Rakyat Malaysia yang berminat menyertai festival itu boleh mendapatkan keterangan lanjut daripada Pusat Kebudayaan Satun melalui telefon 006674-711955. -- BERNAMA AD MAI

Sumber : http://blis.bernama.com/mainHome.do Tarikh Akses : 17 Mei 2012

57