· web viewmelalui proses kitar semula dan penggunaan semula bahan terbuang merupakan kaedah...
Post on 18-Mar-2018
233 Views
Preview:
TRANSCRIPT
LMCK 1531 CITRA KEPIMPINAN & KREATIVITI
&
HHHC9101 KEMAHIRAN SOSIAL DAN KEBERTANGGUNGJAWABAN
TAJUK :- KITAR SEMULA
AHLI KUMPULAN:- NORIDAYU BT. ABD. YAMIN (A145475)
QURRATU FARAH AIN BINTI RAUB (A145494)
NUR IZZATI HAZWANI BINTI ABDUL HADI (A146786)
LUQMANUL HAKIM B. MOHAMAND NOOR (A150462)
NOORAINI BT. ISMAIL (A150246)
NORSINAR BT ADILUN (A150701)
PENSYARAH :- ENCIK MUAMMAR GHADDAFI BIN HANAFIAH
&
ENCIK MUHD NURIZAM B. JAMIAN
PENGENALAN
Tahukan anda bahawa setiap hari kita akan menghasilkan sampah? Sampah ataupun sisa
pepejal merupakan sesuatu yang tidak digunakan dan diperlukan lagi yang dijana daripada
aktiviti komersial, agrikultur dan industri. Sampah terdiri daripada pepejal, cecair dan gas.
Untuk mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan oleh masyarakat, salah satu langkah
yang kita harus amalkan ialah kitar semula.
Terdapat banyak definisi mengenai kitar semula. Namun definisi yang sering kali
digunakan ialah suatu proses untuk mengubah bahan yang menjadi sisa kepada suatu sumber
yang mendatangkan nilai. Kitar semula merujuk kepada pengembalian sesuatu bahan atau
produk kepada bentuk lain atau dalam erti mudah membawa maksud penukaran sisa buangan
melalui penjanaan oleh aktiviti manusia kepada bahan lain yang boleh digunakan atau
dimanfaat dalam penggunaan yang berbeza. Dengan erti yang mudah, kitar semula membawa
maksud satu usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan yang dibuang atau
dianggap sebagai sampah. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai memproses barangan terbuang
atau lama untuk dijadikan barangan baru dan boleh digunakan semula sama ada dalam bentuk
asal atau sebaliknya. Melalui proses kitar semula dan penggunaan semula bahan terbuang
merupakan kaedah terbaik bagi mengurangkan kuantiti bahan buangan, disamping
menjimatkan kos perbelanjaan untuk membiayai projek pelupusan sisa buangan ke tapak
pelupusan. Jenis barangan yang dikitar semula terdiri daripada besi buruk, tin aluminium (tin
minuman), kertas, plastik dan getah. Wujud juga premis yang khusus mengumpul barangan
seperti komputer, penyangkut baju, tayar kenderaan, sudu, telefon,cakera padat dan pita video.
Terdapat beberapa jenis bahan buangan atau sampah yang dijana oleh kita yang boleh
dihasilkan sebagai satu barangan baharu ataupun barangan yang sama dengan memproses
semula barangan tersebut. Penggunaan semula produk termasuklah mempelbagaikan
penggunaan bahan dalam mengekalkan bentuk asalnya atau sebagai alternatif dengan atau
tanpa perubahan. Dalam kebanyakan situasi, bekas-bekas terpakai boleh digunakan semula
sebagai pengganti terhadap pembelian produk baru. Sebagai contoh, anda boleh mengecas
semula bateri yang boleh dicas semula sekerap mungkin bagi mengelakkan pembaziran sisa
pepejal berbanding bateri yang tidak boleh dicas. Seterusnya, ia dapat memastikan kita dapat
mengurangkan sisa pepejal serta memelihara sumber asli semula jadi.
Kebanyakkan negara membangun seperti Malaysia menghadapi masalah peningkatan
penjanaan sisa pepejal. Isu ini menjadi cabaran besar kepada pihak berkuasa tempatan. Kitar
semula merupakan pendekatan yang digunakan untuk mengurangkan kuantiti sisa pepejal
yang dilupuskan. Namun, kadar kitar semula di Malaysia masih rendah berbanding negara
jiran.
Hasil kajian Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam mendapati
kesedaran rakyat negara ini untuk melakukan kitar semula kertas akhbar masih lagi pada tahap
kurang memberangsangkan iaitu sebanyak 40 hingga 45 peratus saja. Peratusan ini juga
menggambarkan tahap kesedaran berkaitan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat di
negara ini masih lagi jauh berbanding negara membangun lain. Bukan itu sahaja, tahap
kesedaran kitar semula mahupun menjaga alam sekitar masih sukar dipertingkatkan walaupun
pelbagai program sudah dilaksanakan oleh kerajaan atau badan bukan kerajaan bagi
membudayakan amalan ini di Malaysia. Malah, kegagalan membudayakan amalan kitar
semula ini juga mengakibatkan masalah seperti pencemaran sampah-sarap dan kepupusan
tumbuhan hijau yang kian berleluasa.
PERMASALAHAN
Kitar semula ialah proses mengolah semula bahan buangan untuk menghasilkan barangan
yang baru. Kitar semula mengurangkan bahan buangan, mengurangkan penggunaan bahan
mentah baru, mengurangkan penggunaan tenaga, mengurangkan pencemaran udara (dari
pembakaran), dan pencemaran air (dari tapak perlupusan) dan mengurangkan pengeluaran gas
rumah hijau berbanding penghasilan barang baru dari bahan mentah. Kitar semula adalah
komponen utama bagi pengurusan bahan buangan moden dan komponen ketiga bagi
"Pengurangan Pembaziran, Guna semula, Kitar semula" hieraki buangan.
Dalam erti sebenar, mengitar semula bahan buangan akan menghasilkan bekalan baru
bagi bahan yang sama, sebagai contoh kertas pejabat terpakai digunakan bagi menghasilkan
kertas pejabat yang baru, atau polystyrene terpakai digunakan bagi menghasilkan polystyrene
lain. Bagaimanapun, ini seringkali terlalu sukar atau terlalu mahal (berbanding dengan
menghasilkan keluaran yang sama dari bahan mentah atau sumber lain), dengan itu
kebanyakan barangan atau bahan "kitar semula" sebaliknya membabitkan kegunaan semula
bagi menghasilkan bahan lain (contoh., kadbord). Satu bentuk lain kitar semula
adalah salvage bahan tertentu dari keluaran rumit, samaada disebabkan nilai intrinsik
(contoh, plumbum dari bateri kereta, atau emas dari komponen komputer), atau akibat sifat
beracunnya (contoh, mengeluarkan dan mengitar raksa dari pelbagai bahan).
Pengkritik sering-kali mempertikai kebaikan bersih dari segi ekonomi dan persekitaran
mengitar berbanding kosnya, dan mencadangkan penyokong kitar semula sering kali
menjadikan keadaan lebih teruk dan mengalami pengesahan berat sebelah. Khususnya,
pengkritik mendakwa bahawa kos dan tenaga yang digunakan dalam pengumpulan dan
penggangkutan mengurangkan (dan melebihi) kos dan tenaga yang dijimatkan dalam proses
pengilangan; juga kerja yang dihasilkan oleh industri kitar semula adalah pertukaran
merugikan kepada kehilangan kerja dalam pembalakan, perlombongan, dan industri lain yang
dikaitkan dengan pengeluaran baru; dan bahan seperti pulp kertas hanya boleh dikitar
beberapa kali sebelum penguraian bahan menghalang lanjutan pengitaran semula. Penyokong
kitar semula menafikan semua tuduhan, dan pengesahan pendapat kedua pihak mendorong
kepada pertikaian yang berpanjangan.
Pada masa kini, konsep kitar semula ini kurang diterapkan dalam diri masyarakat
kerana masyarakat pada hari ini lebih mengamalkan sikap tidak menghiraukan alam sekitar.
Antara punca dan halangan utama yang menyebabkan amalan kitar semula ini tidak mendapat
sambutan ialah sikap individu dimana terdapat segelintir masyarakat yang tidak
mempedulikan amalan kitar semula ini. Kebanyakan barangan yang boleh dikitar semula
dibuang dan dibakar begitu sahaja.
Selain daripada itu kurangnya pengetahuan di kalangan masyarakat pada masa kini
yang membuang bahan kitar semula kerana mereka tidak sedar betapa pentingnya amalan kitar
semula. Bagi mereka, amalan kitar semula ini hanya membuang masa dan tidak mendatangkan
sebarang kepentingan. Kebanyakan pusat pengumpulan mengambil barangan kitar semula
dengan harga yang rendah menyebabkan penduduk sekitar lebih senang membakar bahan
tersebut daripada menjualnya. Di samping itu, kurangnya pusat pengumpulan bahan kitar
semula juga menjadi punca utama mengapa amalan kitar semula ini tidak mendapat sambutan.
Selain dar itu, terdapat juga masyarakat yang tidak memberikan kerjasama apabila kempen
kitar semula ini dijalankan oleh kerajaan. Sikap tidak ambil peduli tentang amalan kitar
semula ini menyebabkan usaha kerajaan untuk menjimatkan tenaga dan bahan kitar semula
tidak akan terlaksana.
OBJEKTIF
Kitar semula mempunyai kepentingan yang tersendiri. Antara kepentingan kitar semula ialah
untuk memelihara ruang hidup kita. Seperti yang diketahui, kini terdapat kira-kira 230 tapak
pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar,
bergantung pada lokasi dan jumlah sampah yang dibuang. Jika tapak pelupusan sampah
dipenuhi dengan sampah ini menyebabkan tapak baru perlu dibuka untuk menampung jumlah
sampah yang banyak dan lambat laun, tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi
ruang hidup kita.
Persekitaran yang lebih sihat dan selesa juga diperolehi dengan mengamalkan kitar semula.
Sampah yang banyak akan menjejaskan kesihatan manusia dan kebersihan persekitaran. Kitar
semula ini dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit
daripada menular dengan cepat. Kitar semula ini dapat mengurangkan pencemaran akibat
daripada longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah
yang mana merupakan salah satu punca daripada tiga pencemaran utama.
Selain daripada itu, kos, sumber dan tenaga dapat dijimatkan. Dengan mengitar semula 1 tin
alumunium, kita umpama menjimatkan tenaga elektrik selama 3 jam daripada penggunaan
televisyen. Apa yang dapat kita perolehi daripada mengitar semula kertas secara maksimum
ialah kita dapat mengurangkan penebangan pokok dan secara tidak langsung kita dapat
memelihara sumber hutan semulajadi.
CABARAN DAN MASA DEPAN KITAR SEMULA
Di Malaysia, amalan kitar semula masih lagi berada di peringkat penyesuaian. Walaupun
sudah ada iniasitif dan peraturan diwujudkan untuk menjadikan kitar semula dan guna semula
sebagai amalan kehidupan harian, tetapi usaha ini masih tidak mencukupi memberi kesedaran
dan rasa tanggungjawab kepada semua lapisan masyarakat. Pelancaran amalan kitar semula
buat pertama kalinya pada tahun 1993 telah berakhir dengan kegagalan, sehinggalah usaha
pelaksanaan buat kali kedua pada tahun 2000 dilakukan bagi memberi kesedaran dan
penglibatan kepada orang ramai. Sehingga kini dan setelah termaktubnya akta tentang
pengurusan sisa buangan iaitu Akta Pengurusan Sisa Buangan Pepejal dan Pembersihan
Awam 2007, barulah ada peningkatan ke atas aktiviti dan pusat kitar semula diwujudkan di
Malaysia. Sehingga kini terdapat sejumlah 1515 pusat kitar semula dan kira-kira 15 ribu tong
kitar semula di seluruh Malaysia. Jadual 2 menunjukkan perbandingan senarai pusat kitar
semula yang ada di Malaysia pada tahun 2002 dan 2008. Bagi negeri Selangor sendiri yang
mempunyai kira-kira 44 syarikat yang memberi perkhidmatan kitar semula dan sejumlah 177
pusat kitar semula (KPKT 2008) berbanding sejumlah 15 pusat kitar semula pada 2002.
Berdasarkan peningkatan yang ketara dalam masa lima tahun, adalah menjadi satu harapan
yang amat tinggi bahawa amalan kitar semula ini akan mendapat tempat di kalangan
masyarakat di Malaysia. Cabaran utama untuk memastikan pengurangan kebergantungan
terhadap pengurangan sisa buangan melalui pelupusan di tapak pelupusan pasti dapat diatasi
sekiranya amalan kitar semula ini berjaya menjangkaui sasaran kerajaan untuk menjadikan ia
sebagai alternatif terbaik mengatasi masalah dan pengurusan sisa buangan bersepadu.
Berdasarkan senario semasa dalam kepesatan pembangunan ke atas pinggirannya yang
menjana pelbagai impak perubahan petempatan, sosial, budaya, pengangkutan,infrastruktur
dan alam sekitar. Maka kepentingan kitar semula sebagai salah satu komponen penting dalam
perubahan alam sekitar berkaitan dengan penjanaan sisa buangan domestik yang semakin
kronik menjadi satu agenda yang harus diberi perhatian. Kewujudan premis perniagaan yang
menjalankan aktiviti kitar semula yang tumbuh bagai cendawan di kawasan ini dilihat sebagai
satu petanda baik dalam meningkatkan usaha kerajaan Malaysia memartabatkan amalan kitar
semula menjadi amalan hidup masyarakat yang berdepan dengan pelbagai masalah alam
sekitar global. Pihak kerajaan khususnya pihak berkuasa tempatan harus memberi perhatian
yang serius ke atas kewujudan premis yang tidak berdaftar ini memandangkan kepentingan
aktiviti perniagaan kitar semula ini bukan sahaja memberi pulangan yang menguntungkan dari
segi ekonomi, tetapi apa yang amat penting ialah masalah penjanaan sisa buangan dapat
diatasi. Malah kewujudan premis yang banyak ini juga membantu mengatasi masalah
ketandusan tanah untuk pelupusan sisa buangan dan alternatif bagi kerajaan untuk
melaksanakan teknologi insinerator. Pihak kerajaan harus mengambil inisiatif yang boleh
membantu pengusaha premis yang tidak berdaftar ini sebagai usaha untuk memastikan
tercapainya pengurusan sisa buangan pepejal secara bersepadu. Peranan yang dimainkan oleh
premis kitar semula di kawasan pinggiran ini bukan sahaja menjana ekonomi kepada individu
pengusaha premis berikut,tetapi secara langsung kehadiran premis kitar semula ini memberi
peranan yang penting sebagai sumber penyumbang barangan kitar semula kepada pengilang
atau syarikat barangan kitar semula khususnya yang banyak terdapat di Shah Alam dan
Petaling Jaya,Selangor.
PENYELESAIAN MASALAH KITAR SEMULA
Terdapat pelbagai usaha yang boleh dijalankan bagi memastikan amalan dan juga program
kitar semula ini dapat berjalan dengan lancar. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah
menerusi pemupukan amalan 3R dalam kalangan masyarakat di samping meningkatkan lagi
kesedaran masyarakat untuk melakukan amalan kitar semula barangan buangan yang
dihasilkan setiap hari. Pemupukan amalan ini perlulah dilakukan daripada peringkat awal lagi
iaitu dalam kalangan kanak-kanak lagi. Hal ini kerana, melentur buluh itu biarlah dari
rebungnya. Di sini kita dapat lihat bahawa pepatah ini jelas menyatakan bahawa untuk
menjadikan sesuatu itu berjaya usaha perlu dilakukan dari peringkat awal. Di mana dalam
usaha ini, amalan kitar semula bolehlah diajar atau didedahkan kepada kanak-kanak. Individu
seperti ibu bapa dan juga ahli keluarga perlulah mendidik kanak-kanak agar mengamalkan
amalan 3R di samping menunjukkan tauladan yang baik kepada mereka.
Selain itu, pihak kerajaan sendiri telahpun mengadakan berbagai usaha bagi memupuk
amalan cinta akan alam sekitar dan amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.
Antaranya adalah menerusi kempen kitar semula, sambutan Hari Alam Sekitar yang diadakan
setiap 11 November pada setiap tahun, hari tanpa beg plastik dan juga pengajaran modul
cintakan alam sekitar dalam proses pembelajaran dan pengajaran di peringkat sekolah. Umum
mengetahui bahawa pada 11 November akan diadakan hari Kitar Semula Peringkat
Kebangsaan di negara ini. Ianya bertujuan untuk memupuk kesedaran terhadap pentingnya
amalan kitar semula kepada kita semua. Di samping itu, pada setiap hari Sabtu seluruh pasar
raya dan juga pusat membeli belah telah menyahut seruan kerajaan bagi menjayakan hari
tanpa beg plastik. Di mana, bagi individu yang ingin membeli belah mereka haruslah
membawa beg plastik sendiri dari rumah atau menggunakan beg mesra alam semasa keluar
membeli belah. Beg plastik tidak akan diedarkan kepada pelanggan yang berbelanja pada hari
Sabtu, jika mereka ingin memebeli belah juga mereka perlulah membawa sendiri beg plastik
dari rumah.
Bagi menyokong program ini, pihak berkuasa tempatan perlu menyediakan tong-tong
kitar semula di semua kawasan, terutamanya di kawasan sekolah-sekolah dan bandar serta di
kampung. Tong-tong kitar semula memudahkan masyarakat mengasingkan bahan buangan
seperti kertas, botol kaca dan plastik serta tin aluminium dan ini mempercepat kerja-kerja
pihak kilang kitar semula. Sebenarnya, dengan adanya tong-tong kitar semula mengajar dan
mendidik anak-anak supaya menyayangi alam sekitar dan mengelak daripada berlakunya
pembungan sampah yang berleluasa.
Pusat-pusat kitar semula harus disediakan dengan banyak dan sentiasa beroperasi bertujuan
bagi menyalurkan bahan-bahan kitar semula kepada pengilang-pengilang yang berkaitan.
Pusat-pusat kitar semula memudahkan pengilang mendapatkan input masing-masing. Selain
itu, dengan adanya pusat-pusat kitar semula yang beroperasi akan menarik minat masyarakat
untuk menghantar barang-barang kitar semula. Pemberian insentif atau hadiah kepada sesiapa
yang menghantar bahan-bahan buangan yang boleh dikitar semula akan menggalakkan orang
ramai untuk menghantar bahan buangan terutamanya kanak-kanak. Contohnya dengar
memberikan wang sebanyak 10 sen untuk 3 atau 4 botol kaca, seekor anak patung yang sudah
dibersihkan untuk 10 kg kertas lama atau bermacam-macam lagi.
Di samping menjalankan program sebegini, peranan media massa cetak dan elektronik masih
dan tetap diperlukan. Media massa harus memaparkan kepentingan kitar semula dan faedah
kitar semula dengan cara yang lebih kreatif dan menarik. Contohnya, RTM atau Radio
Televisyen Malaysia sering memaparkan lagu-lagu kitar semula dan visual yang agak menarik
malah ada yang ditayangkan dalam versi kartun dan cerita. Komputer juga boleh digunakan
bagi menjayakan program kitar semula dengan membuka halaman atau ‘homepage’ berkenaan
alam sekitar dan proses kitar semula. Sebagaimana yang diketahui kebanyakan masyarakat
dan orang ramai menghabiskan masa dengan komputer, jadi dengan animasi, fakta dan
maklumat tentang kitar semula yang menarik dan menakjubkan akan menarik minat orang
ramai untuk menyertai program kitar semula ini.
Selain itu, peranan pihak berkuasa amat penting untuk menjayakan program ini.
Penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan tegas terhadap sesiapa yang membuang
sampah sarap sesuka hati terutamanya di tempat-tempat awam, sungai dan longkang patut
dikenakan denda yang maksimum atau di kompaun atau dipenjarakan. ini kerana mereka
bukan sahaja mencemarkan alam malah menyebabkan penyakit kerana pembiakan lalat, lipas
dan tikus. Ekosistem hidupan akuatik dan flora fauna akan terjejas jika mereka tidak berubah
sikap.
Justeru itu, masyarakat patut memainkan peranan mereka dan memberi kerjasama untuk
menjayakan program kitar semula yang bukan sahaja membantu mengurangkan penggunaan
bahan baru malah menyelamatkan beratus-ratus spesis hidupan dan pokok di serata dunia.
KESIMPULAN
Amalan kitar semula perlulah dijadikan sebagai budaya dalam kalangan setiap anggota
masyarakat tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Amalan kitar semula merupakan amalan
yang amat baik, yang seharusnya diterapkan dalam diri masyarakat. Komitmen yang tinggi
perlulah diberikan oleh setiap anggota masyarakat bagi memastikan objektif program kitar
semula ini dapat dicapai. Walaubagaimanapun, masyarakat hari ini kurang cakna terhadap
kepentingan kitar semula, sedangkan melalui amalan kitar semula ini kita akan mendapat
banyak manfaatnya. Mentaliti masyarakat pada hari ini rata-ratanya memandang enteng
tentang program kitar semula ini tanpa mengambil kira kesannya kepada alam sekitar dan
hidupan. Walaupun pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan bagi memupuk
kesedaran dalam kalangan masyarakat tidak kira sama ada melalui surat khabar atau melalui
media massa, namunpun begitu amalan kitar semula ini masih dipandang sepi oleh segelintir
anggota masyarakat. Terdapat pelbagai program yang telah dianjurkan oleh pihak kerajaan
mahupun badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha untuk membentuk masyarakat yang
mencintai alam sekitar dan mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap program kitar semula.
Antara usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan memperkenalkan Hari Kitar
Semula Kebangsaan iaitu pada 11 November. Selain itu, hari Sabtu dijadikan hari tanpa
plastik, dan sebagainya. Namun, usaha-usaha ini seperti menemui jalan buntu apabila sikap
segelintir anggota masyarakat kita seakan tidak menyokong hal ini.
Jika keadaan ini berterusan, maka hasrat murni kerajaan ini akan terkubur begitu sahaja dan
amalan kitar semula ini tidak akan dapat dilakukan. Amalan kitar semula wajar dipraktikkan
dalam kehidupan seharian kerana amalan ini mengandungi pelbagai kebaikan, antaranya ialah
dapat menjmatkan sumber pengeluaran daripada alam semula jadi seperti pengeluaran kertas
dan juga kayu-kayan dalam memproses kertas tersebut. Antara isu yang sering menjadi bualan
pada masa kini ialah sejauhmanakah program kitar semula ini memberi kesan kepada
masyarakat. Jika kita perhatikan, program-program ini memberi kesan dan manfaat yang
cukup besar kepada masyarakat dan alam sekitar tu sendiri. Pelbagai program telah dijalankan
oleh pihak kerajaan bagi memastikan alam sekitar ini terpelihara, antaranya ialah program
hijaukan bumi kita dan kempen tanam semula tumbuhan. Hal ini adalah untuk memastikan
sumbernya terus kekal terpelihara. Pihak berkuasa juga telah menguatkuasakan undang-
undang bagi membanteras kegiatan haram seperti pembalakan haram. Di samping itu juga,
penggunaan medium teknologi juga dapat membantu kempen kitar semula, di samping
dapatmenyebarkan maklumat dengan lebih pantas. Hal ini seiring dengan perkembangan
teknologi yang ada. Kesimpulannya, untuk menjayakan hasrat murni kerajaan ini, semua
masyarakat perlu memainkan peranan agar keseimbangan alam dapat dikekalkan.
top related