rujukan 1
Post on 28-Dec-2015
125 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Bidang linguistik telah muncul pada Mei 1964 dalam satu persidangan khas untuk membicarakan
hubungan antara bahasa dan masyarakat. Sebagai satu bidang ilmiah, sosiolinguistik mula
muncul pada abad ini. Pada mulanya, ia dikenali dengan berbagai-bagai nama, misalnya
“linguistik antropologi”, “bahasa dan kebudayaan”, dan sebagai satu disiplin yang diajar dalam
Jabatan Antropologi di Amerika Syarikat. Pada tahun-tahun 60-an, istilah sosiolinguistik mula
digunakan dan kini statusnya sebagai satu disiplin yang tersendiri telah diterima umum. Keadaan
ini wujud kerana ahli bahasa mendapati bahawa di samping kajian terhadap bahasa, kajian
bahasa yang dikaitkan dengan masyarakat penggunanya menjadi tajuk menarik. Justeru, usaha
untuk mewujudkan sosiolinguistik sebagai satu disiplin ilmu bermula dari sini.
Sosiolinguistik adalah salah satu bidang utama dalam disiplin linguistik. Nama sosiolinguistik
terbentuk daripada dua istilah, iaitu sosio (singkatan daripada sosiologi-disiplin yang meneliti
masyarakat) dan linguistik-disiplin yang meneliti bahasa. Sosiolinguistik adalah bahagian
pengajian (studies) dan pengkajian (research) yang menggabungkan dua disiplin, iaitu sosiologi
dan linguistik. Dengan sifat penggabungan dua disiplin ini, sosiolinguistik memberi tumpuan
kepada dua entiti, iaitu bahasa dan masyarakat. Sosiolinguistik menganggap bahasa dan
masyarakat sebagai satu struktur, yakni hubungan antara kedua-dua entiti tersebut yang rapat.
Pengkajian dan pengajian sosiolinguistik bermatlamat untuk menunjukkan hubungan sistematik
yang wujud antara struktur bahasa dengan struktur sosial, iaitu sama ada sesuatu struktur bahasa
itu menyebabkan sesuatu struktur sosial tertentu atau sebaliknya (Teo Kok Seong: 42-43).
Menurut Dittmar (1976), istilah sosiolinguistik pertama kali muncul dalam tulisan Currie (1952)
yang menyatakan bahawa kajian tersebut bertujuan untuk melihat hubungan antara perlakuan
bahasa dan status sosial. Istilah tersebut, yang pada mulanya bermaksud untuk menyatakan suatu
pendekatan antara-disiplin untuk penyelidikan mendapat penerimaan umum. Di England, tugas
sosiolinguistik muncul dengan buah fikiran Malinowski yang diluaskan oleh Firth. Walaupun
istilah institutional linguistics lebih digunakan, namun bidang yang diliputi tidak berbeza
daripada yang dimaksudkan dengan sosiolinguistik. Bidang sosiolinguistik juga merupakan daya
usaha kelompok ahli antropologi dan sesuai dengan hakikat bahawa sosiolinguistik itu
merupakan cabang kepada bidang antropologi, khususnya antropologi sosial yang mementingkan
analisis struktur sosial masyarakat (Nik Safiah Karim, 1981: 1).
Menurut Fishman, kajian sosiolinguistik adalah bersifat kualitatif. Sosiolinguistik lebih
berhubungan dengan perincian-perincian penggunaan bahasa yang sebenarnya seperti deskripsi
pola-pola pemakaian bahasa atau dialek di dalam budaya tertentu, pilihan pemakaian bahasa atau
dialek tertentu yang dilakukan penutur, topik dan latar pembicaraan.
Bidang sosiolinguistik membincangkan pelbagai aspek hubungan bahasa dengan masyarakat.
Antara aspek tersebut ialah kedwibahasaan, kepelbagaian bahasa, bahasa, kelainan bahasa, sikap
terhadap bahasa, perancangan bahasa dan sebagainya. Bidang sosiolinguistik terapan pula
menggabungkan kajian sosiolinguistik dengan kajian pendidikan. Bidang ini telah menjadi satu
disiplin ilmu yang tersendiri.
Secara kasarnya, sosiolinguistik ialah bidang yang memperkatakan aspek-aspek hubungan
antara bahasa dengan masyarakat. Mengikut Bright (1966), tugas ahli sosiolinguistik ialah
“untuk memperlihatkan perbezaan-perbezaan yang saling mempengaruhi antara struktur bahasa
dengan struktur sosial”. Hymes (1968) mendefinisikan kegiatan bidang sosiolinguistik sebagai
satu aktiviti disiplin di mana ahli-ahli sosiologi, antropologi dan falsafah memainkan peranan
penting masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah yang disumbangkan oleh ahli-ahli
linguistik (Wong Shek Seng, 1987: 1).
Sosiolinguistik sering ditakrifkan sebagai bidang ilmu yang meneliti segala macam aspek yang
berkenaan hubungan antara bahasa dengan masyarakat. Lingkungan hubungan antara bahasa
dengan masyarakat adalah amat luas dan boleh mengambil pelbagai bentuk atau manifestasi.
Contohnya, gaya bercakap yang berlainan antara masyarakat Timur dengan masyarakat Barat.
Selain itu, terdapat beberapa pengertian lain kepada konsep sosiolinguistik (Zulkifley Hamid,
Ramli Salleh dan Rahim Aman, 2006: 113).
Sosiolinguistik merupakan disiplin antara sosiologi dan linguistik, iaitu dua bidang ilmu empiris
yang mempunyai kaitan sangat erat. Sosiologi adalah kajian yang objektif dan ilmiah mengenai
manusia dalam masyarakat, dan mengenai lembaga dan proses sosial yang ada dalam
masyarakat. Sosiologi berusaha mengetahui bagaimana masyarakat itu terjadi, berlangsung dan
tetap ada. Dengan mempelajari lembaga sosial dan segala masalah sosial dalam satu masyarakat,
akan diketahui cara manusia menyesuaikan diri dengan lingkungannya, bagaimana mereka
bersosial dan menempatkan diri dalam tempat masing-masing dalam masyarakat. Linguistik pula
adalah bidang ilmu yang mempelajari bahasa atau bidang ilmu yang mengambil bahasa sebagai
objek kajiannya. Dengan demikian, kesimpulannya ialah sosiolinguistik itu adalah bidang ilmu
disiplin yang mempelajari bahasa dalam kaitannya dengan penggunaan bahasa itu dalam
masyarakat (Noriah Mohamed, 1998: 2).
Berkaitan dengan konsep sosiolinguistik ini juga, de Saussure (1961) telah menyebutkan
bahawa bahasa adalah salah satu lembaga kemasyarakatan, yang sama dengan lembaga
kemasyarakatan yang lain seperti perkahwinan, pewarisan harta peninggalan dan sebagainya.
Dimensi kemasyarakatan bukan hanya memberi ‘makna’ kepada bahasa, tetapi juga
menyebabkan terjadinya ragam-ragam bahasa. Ragam-ragam bahasa ini bukan hanya dapat
menunjukkan adanya perbezaan sosial dalam masyarakat, tetapi juga memberi indikasi mengenai
situasi berbahasa dan mencerminkan tujuan, topik, kaedah dan modus-modus penggunaan bahasa
(Noriah Mohamed, 1998: 3).
Charles Morris dalam bukunya ’Sign, Language and Behaviour’ (1946) membicarakan bahasa
sebagai sistem lambang yang membezakan tiga macam kajian bahasa berkenaan dengan fokus
perhatian yang diberikan. Jika perhatian difokuskan pada hubungan antara lambang dengan
maknanya, ini disebut semantik. Jika fokus perhatian diarahkan pada hubungan lambang dengan
lambang, ia disebut sintaksis dan kalau fokus perhatian diarahkan pada hubungan antara lambang
dengan para penuturnya disebut pragmatik. Kajian antara lambang dengan penuturnya disebut
sebagai sosiolinguistik (Noriah Mohamed, 1998: 3).
Sebagai objek dalam sosiolinguistik, bahasa tidak dilihat atau didekati sebagai bahasa seperti
dilakukan oleh sosiolinguistik umum, melainkan dilihat atau didekati sebagai sarana interaksi
atau komunikasi dalam masyarakat manusia. Sosiolinguistik juga lazimnya didefinisikan sebagai
ilmu yang mempelajari ciri dan pelbagai variasi bahasa serta hubungan antara bahasawan dengan
ciri fungsi variasi bahasa itu dalam suatu masyarakat bahasa (Kridalaksana 1978: 94).
Pengkajian bahasa dengan dimensi masyarakat disebut juga sosiolinguistik (Nababan 1984: 2).
Sosiolinguistik adalah kajian tentang ciri-ciri khas variasi bahasa, fungsi-fungsi bahasa dan
pemakai bahasa kerana ketiga-tiga unsur ini selalu berinteraksi, berubah dan saling mengubah
satu sama lain dalam satu masyarakat tutur atau masyarakat bahasa (Fishman 1972: 4). Menurut
beliau lagi, sosiolinguistik berbeza daripada linguistik. Dalam sosiolinguistik, pada umumnya,
yang dikaji bukan deskripsi linguistik secara terperinci dari segi kegramatisan tetapi tentang
perbahanan dan pemahaman tentang perhubungan antara bahasa dengan berbagai-bagai institusi
sosial. Selain itu, sosiolinguistik adalah kajian mengenai bahasa dan pemakaiannya dalam
konteks sosial dan budaya (Appel, Hubert dan Meijer 1976: 10).
Fishman (1968, 5-13) juga menyatakan bahawa sosiolinguistik merupakan kajian terhadap
‘pattern co-variation of language and society’, iaitu kajian yang mementingkan kewujudan
kelainan bahasa seperti dialek (geografi dan sosial), laras, gaya bahasa dan sebagainya dalam
sesebuah komuniti bahasa. Dalam hal ini, Fishman (1968) juga menyatakan bahawa hanya
sosiolinguistik yang merupakan satu-satunya disiplin ilmu yang mementingkan kajian terhadap
bahasa dan hubungannya dengan pengguna bahasa. Sosiolinguistik adalah cabang ilmu linguistik
bersifat interdisipliner dengan ilmu sosiologi dengan objek penelitian hubungan antara bahasa
dengan faktor-faktor sosial dalam suatu masyarakat tutur atau secara lebih operasional lagi
seperti yang dikatakan Fishman (1972, 1976), “...study of who speak what language to whom
and when” (1998: 5).
Menurut Criper dan Widdowson (1975: 156), sosiolinguistik adalah kajian bahasa dalam
penggunaannya, dengan tujuan untuk meneliti bagaimana konvensi pemakaian bahasa
berhubungan dengan aspek-aspek lain dari tingkah laku sosial. Sementara itu, menurut Booji,
Kersten dan Verkuyl (1975:139), sosiolinguistik adalah subdisiplin ilmu bahasa yang
mempelajari faktor-faktor sosial yang berperanan dalam penggunaan bahasa dan pergaulan
sosial. Bagi Hickerson pula, sosiolinguistik adalah pengembangan subbidang linguistik yang
memfokuskan penelitian pada variasi ujaran serta mengkajinya dalam suatu konteks sosial.
Sosiolinguistik meneliti korelasi antara faktor-faktor sosial itu dengan variasi bahasa (1998: 4).
Di samping itu, Hymes pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai satu bidang yang mengkaji
perlakonan bahasa dari segi hubungan antara latar (setting), peserta (participant), tajuk
perbincangan, fungsi sesuatu interaksi, bentuk perhubungan dan nilai-nilai yang dipegang oleh
ahli-ahli yang terlibat dalam pertuturan terhadap sesama sendiri. Beliau juga mendefinisikan
bidang sosiolinguistik sebagai suatu aktiviti antara disiplin, di mana ahli-ahli sosiologi,
antropologi dan falsafah memainkan peranan masing-masing, tetapi peranan yang penting ialah
yang disumbangkan oleh ahli-ahli linguistik (Nik Safiah Karim, 1981: 4).
Menurut Trudgill, sosiolinguistik adalah sebahagian daripada linguistik yang bersangkutan
dengan bahasa sebagai suatu fenomena sosial dan budaya. Sosiolinguistik menggunakan bahan,
metodologi atau penemuan sains sosial (khususnya sosiologi dan antropologi), tetapi beberapa
aspek geografi sosial atau manusia disentuh juga (1974: 32-33).
Berdasarkan pendapat Hudson, beliau pula mendefinisikan sosiolinguistik sebagai kajian tentang
perhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Sosiolinguistik merupakan sebahagian daripada
kajian bahasa (1980:1). Wackey pula berpandangan bahawa sosiolinguistik menuntut
kemunculan kedua-dua kategori sosial dan kategori bahasa serta kemungkinan kajian
perhubungan antara kedua-duanya, iaitu perhubungan antara kategori sosial sebagai tingkah laku,
budaya, etnik, pekerjaan, keturunan dan pendidikan, dan kategori bahasa keturunan dan
pendidikan, dan kategori bahasa sebagai dialek, aksen, perbendaharaan kata, laras bahasa dan
jenis bahasa (1982: 295). Hudson (1980: 5) pula membicarakan sosiolinguistik sebagai suatu
kajian bahasa yang berhubungan dengan masyarakat. Di sebaliknya, sosiologi bahasa adalah
kajian masyarakat yang berhubungan dengan bahasa. Perbezaan sosiolinguistik dengan sosiologi
bahasa adalah dari segi penekanan sahaja.
Sosiolinguistik juga adalah suatu cabang linguistik yang mengkaji aspek linguistik, struktur
dan penggunaan bahasa yang berhubungan institusi atau fungsi sosial, kebudayaan dan
penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Skop sosiolinguistik ini meliputi soal
seperti perhubungan antara demografi dan pemeliharaan bahasa, penemuan bahasa dan
kedwibahasaan, perkembangan bahasa pidjin dan kreol serta dialek sosial, penukaran kod dan
perancangan bahasa termasuk standardisasi bahasa dan sebagainya (Wong Khek Seng, 1987:2).
Wolfram dan Fasold (1974: xiii) pernah membahagikan skop kajian sosiolinguistik kepada
sosiologi bahasa, etnografi pertuturan, linguistik am dan ekologi bahasa. Sosiologi bahasa adalah
bidang yang mengkaji interaksi antara faktor-faktor secara besar-besaran dengan bahasa atau
situasi dialek. Etnografi pertuturan pula adalah mengenai kegunaan bahasa yang sebenarnya
sebagai suatu peristiwa pertuturan. Linguistik am adalah kajian bahasa dalam konteks sosial dan
dihubungkan dengan teori linguistik. Sementara itu, ekologi bahasa melihat perhubungan bahasa
dengan persekitaran sosial. Hal ini melibatkan aplikasi pengetahuan linguistik kepada masalah
sosial atau pendidikan seperti masalah perancangan bahasa, standardisasi bahasa dan sebagainya
(Wong Khek Seng, 1987: 2).
Sosiolinguistik juga didefinisikan sebagai bidang yang mengkaji perhubungan antara bahasa
dan gejalanya dengan masyarakat. Salah satu perkara yang berdepan dengan ahli-ahli bahasa
ialah masalah bahasa. Masalah ini dengan langsungnya melibatkan pembinaan dan perancangan
bahasa. Pada prinsipnya, sosiolinguistik mengkaji aspek-aspek linguistik yang melihat aspek
bahasa, struktur dan penggunaan bahasa yang ada hubungan dengan fungsi-fungsi sosial,
kebudayaan dan penggunaannya dalam sesebuah masyarakat tertentu. Dengan perkataan lain,
sosiolinguistik melihat hubungan bahasa dengan masyarakat ataupun bahasa sebagai alat
kehidupan manusia. Bidang ini memperlihatkan satu kadar pertalian antara bahasa dan
masyarakat.
Tetapi sosiolinguistik bukan sekadar mengenai disiplin yang terkandung di dalamnya sahaja.
Kajiannya juga melampaui dialek dan bentuk-bentuk pertuturan yang berbeza oleh perbezaan
status individu-individu dalam sesebuah masyarakat bahasa. Jadi, fakta penting dalam
sosiolinguistik ialah bentuk-bentuk kelakuan sosial masyarakat pengguna sesuatu bahasa itu.
Sosiolinguistik juga adalah bidang yang mengkaji berbagai bahan sosiobudaya yang berhubung
dengan aspek-aspek linguistik seperti perhubungan sosial yang berkaitan pula dengan
kebudayaan, masyarakat, kumpulan sosial, bahasa, dialek dan bentuk-bentuk gaya yang
dibezakan oleh keperihalan taraf pemakai-pemakainya dan sebagainya (Arbak Othman, 1983:
156).
Walaupun sosiolinguistik dikatakan mengkaji aspek hubungan antara bahasa dengan
masyarakat atau sebaliknya, mentakrifkan secara tepat pola hubungan antara bahasa dengan
masyarakat merangkumi banyak aspek dan belum ada ahli sosiolinguistik yang menyediakan
satu teori sosiolinguistik yang bersepadu, yang dapat dijadikan kajian mereka. Keadaan ini
menyebabkan ahli sosiolinguistik mencipta ruang lingkup kajian sosiolinguistik mereka
tersendiri. Mereka bebas menamakan kajian sosiolinguistik mereka asalkan kajian tersebut
memperlihatkan hubungan antara masyarakat dengan bahasa atau sebaliknya. Oleh itu, bukan
mudah menentukan ruang lingkup kajian sosiolinguistik. Misalnya, Svejcer dan Nikol’skij
(1986, 33) menyatakan:
“...the subject matter of sociolinguistics is one of its controversial problems. One can find in the
literature different definitions of subject matter, revealing serious disagreements on one of the
fundamental problems of the discipline. Therefore, there is no concensus concerning the status of
sociolinguistics.”
Trudgill (1978:1) juga sependapat dengan Svejcer dan Nikol’skij (1986). Menurutnya:
“The difficulty with sociolinguistics, then, is that it is a term which means many different things
to many different people. This multiplicity of interpretations is probably due to the fact that,
while everybody would agree that sociolinguistics has something to do with language and
society, it is clearly also not concerned with everything that could be considered ‘language and
society’
(Nik Safiah Karim, 1981: 3).”
Eastman (1975,15) menyatakan bahawa ‘sociolinguistics is concerned with the interaction of
language and setting’. Menurutnya, banyak hasil kajian sosiolinguistik yang berfokus kepada
hubungan bahasa dengan organisasi masyarakat. Contohnya, kajian terhadap bahasa dan
hubungannya dengan kelas dan status pengguna bahasa, kajian terhadap repertoir pertuturan
individu yang dikaitkan dengan konteks sosial, kajian kepelbagaian bahasa dan kedwibahasaan
komuniti bahasa serta kajian-kajian yang sama dengannya (Nik Safiah Karim, 1981: 3).
Gumperz dan Hymes (1972) pula menyifatkan sosiolinguistik sebagai kajian yang meneliti
bahasa dalam konteks penggunaannya. Menurut mereka, dalam usaha untuk berkomunikasi
secara efektif dalam sesuatu bahasa, penutur harus memiliki keupayaan sejadi berbahasa yang
merangkumi pemahaman terhadap semua aspek yang berkaitan dengan konteks pertuturan,
termasuklah budaya sesuatu bahasa. Bagi Dittmar (1976), kajian yang memberi tumpuan kepada
aspek perhubungan antara kepelbagaian bahasa dengan kepelbagaian sosial ini dianggap sebagai
kajian sosiolinguistik tulen. Menurutnya, kajian sebegini membincangkan masalah utama
sosiolinguistik. Sosiolinguistik juga tertumpu kepada kajian terhadap perubahan bahasa.
Perubahan bahasa berlaku akibat perkembangan masa dan ruang dan perubahan yang
dimaksudkan berlaku kepada semua unsur bahasa seperti fonem, morfem, ayat, makna, kosa kata
dan seterusnya (Madeliene, 1972).
Ferguson (1966) mengatakan kajian profil sosiolinguistik memerikan pengagihan fungsi
bahasa dan kelainan bahasa yang wujud dalam sesebuah komuniti bahasa. Bahasa-bahasa
misalnya diperuntukkan fungsi sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa pengantar
pendidikan dan sebagainya yang telah melalui dasar bahasa sesebuah negara. Pendek kata, profil
sosiolinguistik bertujuan memaparkan perkaitan antara indeks bahasa dengan indeks sosial
masyarakat (Safiah Karim, 1981: 6).
Dengan kata lain juga, bidang sosiolinguistik ialah bidang yang menumpukan perhatian kepada
bahasa dalam konteks sosial dan kebudayaan. Bahasa adalah kepunyaan manusia. Melaluinya
manusia berhubung, menyampaikan buah fikiran dan perasaan dengan bahasa mereka
mengeratkan hubungan antara satu sama lain sebagai anggota satu masyarakat (Safiah Karim,
1988: 4).
Kesimpulannya, bidang sosiolinguistik itu adalah merupakan satu bidang yang membabitkan
kajian bahasa dan masyarakat yang sangat luas cakupannya. Ahli-ahli sosiolinguistik banyak
memperkatakan mengenai cakupan bidang sosiolinguistik ini. Disiplin ini banyak menawarkan
pelbagai isu menarik yang berhubungan antara bahasa dengan masyarakat. Kebanyakan ahli
sosiolinguistik mengaitkan takrifan mereka dengan subbidang sosiolinguistik yang mereka kaji
dengan fokus sama ada kepada aspek bahasa atau aspek masyarakat bahasa berkenaan. Walau
bagaimanapun, hubung jalin antara aspek bahasa dengan masyarakat itu masih dapat dilihat
dengan jelas, terutamanya apabila kajian membabitkan latar belakang masyarakat dan kaitannya
dengan pelbagai pola penggunaan bahasa (Nik Safiah Karim, 1981: 4). Sosiolinguistik
mempelajari dan membahaskan aspek-aspek kemasyarakatan bahasa, khususnya perbezaan-
perbezaan (variasi) yang terdapat dalam bahasa yang berkaitan dengan fakta-fakta
kemasyarakatan. Selain itu, banyak fungsi yang dimainkan oleh bahasa. Fungsinya sebagai alat
perhubungan. Tetapi ada juga aspek-aspek lain yang disumbangkan oleh bahasa, peranannya
yang dimainkan selari dengan fungsi utamanya. Aspek-aspek ini menjadi antara bidang yang
dicakupi oleh sosiolinguistik.
(Dipetik daripada http://skb.edu.my/index1.php?v_art&id=50&jm=15)
1) Pemupukan nilai
Ilmu lingustik sangat memainkan peranan penting terutama dalam usaha memupuk nilai-nilai
murni dalam masyarakat seperti kejujuran, kerjasama, keihklasan dan seumpanya. Ahli bahasa
bertanggungjawab membimbing masyarakat dan ia tuntutan kepada ilmuwan. Begitu juga dalam
pendidikan, kita mengajar bahasa bukan sekadar untuk membolehkan anak didik cekap
berkomunikasi. Kecekapan berkomunikasi tidak sepatutnya dinilai semata-mata daripada sudut
kepetahan berbicara. Ada aspek nilai, budaya dan agama yang mesti ditekankan.
Linguistik adalah bahagian penting dalam diri manusia dan letaknya pada akal. Tingkah laku
dapat diperoleh kemahirannya melalui latihan berulang kali tetapi ilmu linguistik bukan saja
membabitkan latihan fizikal seperti bertutur dan menulis dengan betul, malah membabitkan
penyemaian sistem nilai, budaya dan persepsi. Isu ini sebenarnya adalah salah satu isu yang
tercakup dalam kajian falsafah bahasa.
2) Membentuk Insan
Dalam huraian ahli falsafah Islam, linguistik, bersama-sama akal, membentuk konsep diri 'insan'.
Istilah haiwan 'natiq dan rational animal' yang digunakan untuk merujuk kepada hakikat
manusia, berkait rapat dengan bahasa kerana istilah natiq yang terbit daripada akar kata nutq
merujuk kepada akal dan linguistik. Maksudnya, akal dan ilmu lingusitik adalah dua unsur yang
membentuk konsep diri manusia dengan pengertian pemilikan kedua-dua unsur itu yang
membezakan manusia daripada makhluk lain.
Akal dan linguistik menjadi bahagian dalam diri yang batin, iaitu diri yang mengawal dan
mengarahkan segala gerak geri dan tindak-tanduk batin, daripada anggota tubuh. Gambaran
bagaimana diri batin menguasai yang zahir digambarkan oleh pujangga Melayu dalam ungkapan.
'Ikut kata hati mati; ikut rasa binasa'. Ilmu linguistik sebagai bahagian diri yang batin menjadi
alat untuk dua proses utama akal.
Ilmu linguistik menzahirkan segala idea dan perasaan dalam akal hingga terbit dalam bentuk
lisan atau tulisan, dan dengan demikian idea serta perasaan dapat difahami, ditanggap dan diberi
reaksi oleh khalayak. Ilmu linguistik yang menterjemah, mentafsir dan menaakul idea atau
perasaan yang diterima oleh seseorang daripada lisan atau tulisan pihak lain ke dalam akal
hingga dapat pula akal merumuskannya dan mungkin pula menzahirkan reaksi. Inilah proses
yang penting yang memungkinkan manusia saling berkongsi ilmu, maklumat, idea dan perasaan.
Inilah juga proses yang memungkinkan berlangsungnya pewarisan sistem nilai, unsur
kebudayaan dan seluruh sistem kehidupan bermasyarakat dari generasi ke generasi.
3) Mengangkat Martabat bahasa
Ilmu Linguistik yang dipelajari secara bersungguh-sungguh dan mendalam mampu mengangkat
martabat bahasa kebangsaan kita. Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) berkongsi pandangan
dan bersetuju sepenuhnya dengan rencana Datuk Rejal Arbee dalam Berita Harian, Khamis 23
September 2010. Itulah juga sebenarnya pendirian PLM sejak sekian lama penubuhannya dan
tanpa bermusim. Perlu diingat bahawa bahasa Melayu bukannya bahasa kebangsaan orang
Melayu seperti tanggapan pihak tertentu seperti zaman sebelum merdeka tetapi bahasa
kebangsaan bagi negara Malaysia yang sudah 53 tahun merdeka.
Sememangnya apa saja acara atau majlis peringkat kebangsaan dan membabitkan mana-mana
pemimpin korporat, hatta menteri sepatutnya menghormati bahasa kebangsaan dengan
menggunakan bahasa Melayu dalam ucapan, atur cara, buku program, bahan cetakan,
pengumuman dan sebagainya.
Seperti yang pernah dinyatakan, PLM menganggap sesiapa saja yang tidak menggunakan
bahasa Melayu dalam acara rasmi di negara ini, mereka sebenarnya memang dapat dianggap
tidak patriotik kerana tidak menghormati bahasa rasmi negara ini seperti dalam semangat Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan dan tidak memiliki rasa megah bahasa akan bahasa kebangsaan
berkenaan.
Apakah antara unsur penting yang membentuk negara ini atau dapat dianggap jati diri negara ini,
membezakan negara ini daripada negara lain selain budaya dan sebagainya? Tentulah bahasa
kebangsaan dan bahasa rasmi antara unsur penting berkenaan. Lima puluh tiga tahun satu
tempoh sangat panjang. Di manakah negara lain di dunia ini yang warga negaranya tidak fasih
atau tidak menghormati bahasa kebangsaannya sendiri dapat kita temui? Kita dapat menemuinya
di beberapa negara termasuk di Afrika Selatan yang masih mengagungkan bahasa penjajahnya
sekalipun mereka tetap terkenal sebagai negara miskin dan mundur.
4) Proses Mendapatkan Ilmu
Yang terpenting daripada segala peranan ilmu linguistik ialah peranannya sebagai wahana
pemerolehan dan pengembangan ilmu. Tamadun atau peradaban timbul hanya dalam kalangan
bangsa yang berilmu dan menghormati serta mengamalkan ilmu. Al-Farabi, al-Ghazali dan
beberapa ahli falsafah Islam yang lain menegaskan peranan ilmu linguistik dalam proses
pemerolehan ilmu. Apabila kita menerima gagasan bahasa merentas kurikulum yang
diketengahkan oleh ahli pendidikan Barat, sebenarnya itulah gambaran mengenai peranan
linguistik dalam soal pemerolehan dan pengembangan ilmu.
Maka itu, pendidikan ilmu linguistik perlu dipertalikan dengan tujuan itu, bukan semata-mata
pemberian kemahiran tanpa pengayaan ilmu anak didik. Demikian pula, proses pendidikan
keseluruhannya perlu dapat memanfaatkan ilmu linguistik untuk memberi ilmu secara berkesan
dan selanjutnya membolehkan pelajar menjadi pengembang ilmu yang berkesan.
5) Penggunaan Ilmu Linguistik dalam Pengaturcaraan Komputer
Banyak bidang linguistik gunaan pada hari ini melibatkan penggunaan komputer secara eksplisit.
Sintesis pertuturan dan pengecaman pertuturan menggunakan pengetahuan fonetik dan fonemik
untuk memberikan antara muka suara kepada komputer. Penggunaan linguistik pengiraan dalam
penterjemahan mesin, penterjemahan dibantu komputer, dan pemprosesan bahasa sejadi
merupakan bidang-bidang yang amat berhasil pada tahun-tahun kebelakangan ini disebabkan
oleh kuasa perkomputeran yang semakin meningkat. Pengaruhnya telah mempunyai kesan yang
besar kepada teori-teori sintaksis dan semantik, kerana pemodelan teori-teori sintaksis dan
semantik dengan menggunakan komputer memaksa teori-teori menjadi operasi-operasi boleh
hitung dan memberikan asas matematik yang lebih ketat.
6) Kepentingan Ilmu Linguistik kepada Para Pendidik
Para pendidik berperanan sebagai penyampai ilmu. Penguasaan ilmu linguistik sangat penting.
Bagaimana seorang guru boleh mendidik anak muridnya, andainya guru sendiri tidak mengusai
bidang tersebut. Profesion keguruan yang berteraskan kepada ilmu memerlukan guru memupuk
minat diri sendiri untuk mencintai ilmu pengetahuan dan mengamalkan konsep pembelajaran
sepanjang hayat. Revolusi yang berlaku dengan begitu pesat dalam pelbagai bidang termasuklah
pendidikan dan perguruan, menuntut para pendidik supaya peka dan menyiapkan diri dengan
pelbagai ilmu terutamanya ilmu linguistik.
Profesion keguruan tidak mungkin dapat dimartabatkan sekiranya guru tidak mempunyai minat
dan kecenderungan untuk meningkatkan pengetahuan dan menjadikan budaya belajar serta
membaca sebagai satu amalan yang penting bagi mengukuhkan imej dan memartabatkan
profesion perguruan (Abd. Rahim, 2005). Seseorang guru itu boleh mengumpul maklumat
mengenai pengajarannya dan mengambil usaha menambahbaikan seset
DIALEK
• Umumnya dialek ialah satu kelainan bahasa yang berbeza dari segi bentuk sebutan, tatabahasa
dan kosa kata daripada bahasa baku.
• Dialek didefinisikan sebagai variasi daripada satu bahasa tertentu yang dituturkan oleh
sekumpulan penutur dalam satu-satu masyarakat bahasa.
• Ia mempunyai bentuk tertentu, dituturkan dalam kawasan tertentu dan berbeza daripada bentuk
baku (dari segi sebutan, tatabahasa dan penggunaan kata-kata - leksikal) tetapi perbezaannya
tidak begitu besar untuk dianggap sebagai satu bahasa yang lain.
• Dialek juga difahami sebagai satu kelainan bahasa yang masih ada ciri-ciri dan sifat-sifat saling
memahami.
• Penentuan status sesuatu dialek kadang-kadang kabur dan menyukarkan kerana pelbagai faktor,
misalnya berkaitan garis sempadan politik.
• Terbahagi kepada 3 pecahan iaitu:
1. Dialek sosial (social dialect)
2. Dialek daerah (regional dialect)
3. Dialek seketika (temporal dialect)
• Dialek Sosial
• Dialek sosial juga dikenali sebagai dialek kelas atau sosiolek.
• Dialek ini digunakan oleh kumpulan penutur mengikut kelas sosial mereka.
• Dalam dialek sosial juga terdapat beberapa kelainan bahasa seperti bahasa kasar, halus dan
neutral.
• Semua kelainan sosial ini menunjukkan ciri-ciri pengguna bahasa yang ditentukan oleh situasi
sosial.
• Penggunaan bahasa berserta susun lapis masyarakatnya adalah berasaskan susun lapis
(stratifikasi) masyarakat Melayu, kerana dalam masyarakat Melayu terdapat satu susun lapis
masyarakat yang berbeza kedudukan dan juga bahasanya.
• Keadaan ini boleh dijelaskan melalui gambar rajah susun lapis masyarakat berikut:
• Dialek Daerah
• Dialek daerah atau regional dialect, local dialect, geographical dialect, territorial dialect ialah
dialek yang dituturkan oleh kumpulan manusia dalam satu-satu kawasan geografi.
• Za’ba (2002) menjelaskan dialek / bahasa daerah sebagai rupa bahasa yang terpakai dalam
percakapan dalam satu-satu daerah atau bahagian negeri dengan mempunyai pelat sebutan yang
terkhas bagi daerah itu dan berlainan daripada bunyi sebutan bahasa umum yang rata-rata
dipakai dalam perhubungan umum, dalam percakapan, dan suratan.
• Konsep ruang bagi dialek daerah dikenali sebagai ruang geografi linguistik iaitu suatu kawasan
tempat satu jenis kelainan bahasa yang sama dituturkan.
• Sempadan kawasan geografi linguistik ditandai oleh satu garis khayalan yang disebut sebagai
isoglos.
• Pada garis isoglos, dialek di dalam satu kawasan bercampur dengan dialek di dalam kawasan
yang berhampiran.
• Penentuan dialek daerah banyak bergantung kepada ruang geografi politik / sempadan negeri.
• Dialek Seketika
• Dialek seketika juga dikenali sebagai dialek temporal atau State of Language / Etat de Langue.
• Dialek ini dilihat dari sudut zaman, iaitu penggunaan dialek mengikut perkembangan zaman
seperti bahasa Melayu kuno, bahasa Melayu klasik, bahasa Melayu zaman Melaka, bahasa
Melayu zaman Johor Lama, bahasa Melayu zaman pramoden, dan bahasa Melayu zaman moden.
• Antara satu zaman dengan zaman yang lain terdapat perbezaan dari segi bunyi dan perkataan.
• Teori Berkaitan Dialek
• Area Defined Theory
Teori yang berasaskan kepada kewujudan dialek disebabkan oleh perbezaan daerah.
• Socially Defined Theory
Teori yang berasaskan kepada perbezaan dialek disebabkan oleh tatatingkat masyarakat.
• Marked Pattern Theory
Teori pola bertanda iaitu setiap dialek mempunyai ciri-ciri bunyi atau yang lainnya yang khas
sebagai perbezaannya dengan dialek yang lain.
• Drift Theory (Teori Hanyut)
Bahasa akan terus berkembang selagi masyarakat penggunanya bertambah. Ia akan terus
meresap ke dalam bahasa lain atau dialek lain.
• Different Locality Theory (Teori Perbezaan Lokaliti)
Sesuatu bahasa berbeza disebabkan oleh daerah yang berbeza kerana pengalaman dan
pengetahuan yang berbeza.
• Wave Theory (Teori Gelombang)
Bentuk-bentuk bahasa berasal dari satu jenis dialek atau bahasa dan selepas itu mengembang dan
tersebar luas ke kawasan yang lebih besar menjadi bahasa / dialek yang ada kaitan dengan
induknya yang asal.
• Faktor Kewujudan Dialek
• Kawasan / geografi
Terpisah dari segi tempat/kawasan. Keadaan muka bumi yang berbeza seperti gunung, pulau,
sungai besar dan lain-lain lagi. Contohnya dialek Kedah dan Kelantan berbeza disebabkan
terpisah oleh Banjaran Gunung Titiwangsa.
• Penjajahan / politik
Bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia walaupun dari induk yang sama iaitu Melayu-
Riau tetapi terpisah apabila dipengaruhi oleh politik yang berbeza – Tanah Melayu (Inggeris),
Riau (Belanda).
• Pengalaman
Pengalaman-pengalaman yang berlainan menghasilkan dialek yang berlainan seperti kata yang
digunakan berbeza dari segi sebutan atau tidak wujud ditempat tersebut. Contohnya perkataan
gewe, gerek, kaseh, buah ati, endot, marka.
• Masa
Dalam bahasa Melayu terdapat dua perbezaan bahasa iaitu ada bahasa Melayu klasik dan bahasa
Melayu moden. Kedua-duanya berbeza dari segi masa. Bahasa klasik diguna pakai pada zaman
dahulu tetapi era moden telah bertukar ke bahasa Melayu moden.
• Perdagangan
Akibat daripada perdagangan, masyarakat belajar menguasai bahasa. Contohnya tersebar
pengaruh bahasa Arab, Portugis dan Cina pada zaman kegemilangan Melayu Melaka. Hasilnya
lahir pelbagai dialek seperti Baba Nyonya.
MASYARAKAT BAHASA
• Masyarakat bahasa juga dikenali sebagai komuniti bahasa.
• Setiap masyarakat mempunyai komuniti bahasa sendiri.
• Sesebuah masyarakat penutur mesti dapat menunjukkan nilai bahasanya.
• Dengan cara itu dapat menjadikan mereka sebuah masyarakat yang setia kepada bahasanya.
• Sikap ini perlu dipupuk dari peringkat individu terlebih dahulu, dan kemudian barulah kepada
masyarakat yang lebih besar.
• Konsep Masyarakat Bahasa
• Charles Hocket (1958)
Seluruh peringkat manusia yang berhubungan antara satu sama lain, sama ada secara langsung
atau tidak, melalui satu bahasa yang sepunya.
• Levi-Strauss (1968)
Sebuah masyarakat yang terkandung di dalamnya individu-individu dan kumpulan-kumpulan
yang berkomunikasi antara satu sama lain.
• John Gumperz (1968)
Kumpulan manusia yang dicirikan oleh interaksi biasa melalui lambang-lambang verbal yang
dikongsi bersama dan bertolak dari agregat yang serupa dengan perbezaan yang jelas dalam
penggunaan bahasa
• John Lyons (1970)
Semua orang yang menggunakan suatu jenis bahasa atau dialek.
• Hartmann & Stork (1976)
Sekumpulan manusia yang biasanya tinggal dalam satu kawasan, bertutur dengan menggunakan
satu kelainan bahasa, atau bahasa baku yang sama.
• Ciri-Ciri Masyarakat Bahasa
• Masyarakat yang menggunakan sesuatu bahasa
• Dalam kawasan-kawasan tertentu, atau kelas-kelas tertentu
• Menggunakan satu bentuk bahasa atau dialek yang serupa
• Menggunakan lambang-lambang verbal
• Bahasa dan Masyarakat
• Diglosia
• Billingualisme
• Multilingualisme
• Diglosia
• Diglosia ialah fenomena yang berlaku apabila terdapat lebih daripada satu kelainan bahasa
dalam masyarakat.
• Diperkenalkan oleh Ferguson (1959), yang menerangkan perbezaan penggunaan kelainan
bahasa disebabkan oleh perbezaan situasi yang berupa kelas sosial, konteks dan juga jantina.
• Ferguson membahagikan bahasa kepada dua jenis berdasarkan taraf, iaitu kelainan bertaraf
rendah (L) dan bertaraf tinggi (H).
• Kelainan rendah (L) ialah jenis kelainan yang digunakan dalam situasi kehidupan seharian, di
rumah dan dalam suasana pekerjaan di peringkat bawahan.
• Kelainan jenis tinggi (H) pula digunakan dalam perbincangan tentang hal-hal keagamaan,
pendidikan, ekonomi, dan dalam bidang-bidang lain yang dianggap tinggi dan formal.
• Menurut Fishman (1967) diglosia ialah penyebaran lebih daripada satu kelainan bahasa dalam
situasi yang berbeza.
• Diglosia dalam masyarakat ekabahasa ditandai dengan perkataan-perkataan tertentu yang
disebut berbeza antara satu situasi dengan situasi yang lain.
• Perbezaan tersebut berlaku akibat adanya dialek dalam masyarakat bahasa tersebut.
• Secara kesimpulannya, diglosia menerangkan fenomena bahasa yang berlaku dalam masyarakat
akibat terdapatnya tatatingkat sosial iaitu ada golongan yang berstatus tinggi dan golongan yang
berstatus rendah.
• Situasi Diglosia di Malaysia
• Diglosia ekabahasa
Wujud apabila satu kelainan bahasa diangkat menjadi bahasa standard (H) dan kelainan-kelainan
lain daripada bahasa yang sama itu dianggap bentuk substandard atau bukan standard (L).
• Diglosia dwibahasa / pelbagai bahasa
Wujud apabila bahasa Melayu standard dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi (H), dan
bahasa ibunda penutur lain di Malaysia dianggap bentuk substandard atau bukan standard (L)
• Diglosia Ekabahasa di Malaysia
• Diglosia ekabahasa yang terdapat dalam masyarakat Melayu di Malaysia terbahagi dua iaitu:
1. Kelainan diraja (H)
a. Kelainan diraja standard
b. Kelainan diraja bukan standard
2. Kelainan bukan diraja (L)
a. Kelainan bukan diraja standard
b. Kelainan bukan diraja bukan standard
Kelainan diraja (H)
Kelainan yang digunakan dalam hubungan kebahasaan apabila sekurang-kurangnya satu pihak
terdiri daripada keluarga diraja. Kelainan diraja biasanya adalah kelainan bahasa yang halus,
yakni bahasa yang digunakan dengan penuh sopan santun dan adab tertib dalam apa keadaan
sekalipun.
1. Kelainan diraja standard
Kelainan standard yang digunakan dalam bahasa tulisan dan komunikasi lisan di kalangan raja
dalam konteks rasmi.
2. Kelainan diraja bukan standard
Kelainan diraja mengikut negeri. Antara satu kelainan diraja bukan standard negeri dengan
negeri yang lain mempunyai perbezaan ciri-ciri tertentu
Kelainan bukan diraja (L)
Kelainan bukan diraja ialah kelainan bahasa yang digunakan oleh rakyat biasa.
1. Kelainan bukan diraja standard
kelainan bahasa Melayu standard yang menjadi bahasa (H) dalam diglosia di Malaysia. Kelainan
ini merupakan kelainan yang menjadi bahasa pengantar dan diajarkan di sekolah-sekolah sbg
mata pelajaran. Ia juga merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi serta menjadi lingua
franca dalam hubungan antara kaum di Malaysia.
2. Kelainan bukan diraja bukan standard
Merujuk kepada kelainan yang disebut sebagai dialek geografi atau dialek daerah bahasa Melayu
di Malaysia seperti Kedah, Kelantan, Terengganu dll. Ia juga merupakan kelainan yang
digunakan dalam lingkungan interaksi tidak rasmi dalam konteks hubungan kebahasaan orang
Melayu di Malaysia.
• Diglosia Dwibahasa di Malaysia
• Jadual di bawah dapat memberikan gambaran yang hampir tepat mengenai situasi sebenar
mengenai diglosia pelbagai bahasa di Malaysia.
H HH Bahasa Melayu Standard
HL Bahasa Inggeris
L LH Semua bahasa bumiputera / bukan bumiputera
LL Bahasa pijin
• Oleh kerana bahasa Melayu telah diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi
negara, maka secara tidak langsung bahasa Melayu dianggap sebagai bahasa tinggi (H).
• Pada mulanya bahasa Inggeris diletakkan sebagai bahasa pertengahan (M). Walau
bagaimanapun, senario kini memperlihatkan bahasa Inggeris dianggap bahasa berprestij dalam
kalangan pengguna bahasa di Malaysia, dan diletakkan sebagai bahasa tinggi yang rendah (HL)
• Hal ini merujuk kepada keadaan lebih rendah jika dibandingkan dengan taraf bahasa Melayu
yang diangkat sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan
• Semua bahasa bukan bumiputera (bahasa Cina, Tamil, Punjabi, Telegu, Benggali dll) dan
bahasa bumiputera (bahasa orang Asli, Kadazan, Iban, Bidayuh, Dusun dll) dianggap sebagai
bahasa rendah yang lebih tinggi (LH) daripada bahasa kacukan seperti bahasa pijin.
• Bahasa pijin diletakkan sebagai bahasa rendah rendah (LL) kerana sifat bahasa ini yang
dikatakan sebagai bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa dan tidak pula boleh
dikategorikan kepada salah satu bahasa asal.
• Billingualisme
• Juga dikenali sebagai kedwibahasaan.
• Perkara ini berlaku dalam dua keadaan:
1. Seseorang yang mengamalkan dan menggunakan dua bahasa dalam kehidupan harian.
2. Seseorang yang mengetahui dan menguasai dua bahasa dalam kehidupan harian.
Konsep Mengamalkan dan Menggunakan
• Menggunakan dan memakai dua bahasa sebagai bahasa basahan sehari-hari.
• Contohnya keadaan apabila seseorang menggunakan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam
kehidupan.
• Dengan kata lain, seseorang itu menggunakan bahasa tersebut bertukar ganti (sekejap Melayu,
sekejap Inggeris dan seterusnya)
Konsep Mengetahui dan Menguasai
• Seseorang yang mempunyai pengetahuan tentang dua bahasa tetapi tidak semestinya
mengamalkan dalam kehidupan harian.
• Wujud dalam keadaan berikut:
1. Menguasai kedua-dua bahasa - (ambilingual)
2. Menguasai kedua-dua bahasa tidak sama baik - (dwibahasawan)
3. Sangat menguasai satu bahasa, sementara satu lagi bahasa sangat lemah - (pengetahuan pasif)
4. Menguasai kedua-dua bahasa, tetapi menyembunyikan pengetahuan salah satu bahasa (tidak
pernah bercakap / menulis / menggunakan bahasa tersebut) – (covert bilingual)
• Faktor Kewujudan Bilingualisme
• Masyarakat majmuk
Dalam masyarakat majmuk, kepelbagaian bahasa wujud hingga menyebabkan pengetahuan
mengenai bahasa lain dianggap lumrah
• Pertembungan budaya
Di kota-kota besar, penutur pelbagai bahasa sering bertembung, berinteraksi dan berkomunikasi,
yang membawa kepada penguasaan bahasa kedua
• Penjajahan
Kedatangan penjajah membawa bahasa mereka menyebabkan keperluan untuk menguasai bahasa
kedua sangat penting (menjajah dan dijajah)
• Perdagangan
Para pedagang perlu mengetahui dan memahami bahasa lain untuk berinteraksi bagi pelbagai
urusan (melariskan jualan, mendapatkan pelanggan baru, transaksi perdagangan)
• Pengembaraan
Pengembara yang mengembara merentasi sempadan geografi politik akan mempelajari pelbagai
bahasa (contohnya Marco Polo dan Ibn Battutah)
• Pengembangan agama
Setiap agama di dunia memiliki bahasa khas sebagai alat untuk mengembangkan agama. Bahasa
Arah misalnya, dipelajari dan dikuasai untuk mendalami ilmu mengenai Islam.
• Pendidikan
Malaysia telah melaksanakan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang membenarkan penggunaan
bahasa pengantar bahasa Cina, Tamil dan Inggeris di sekolah. Di universiti, kerajaan
menggalakkan pelajar mempelajari bahasa lain sebagai persediaan ke alam pekerjaan
• Dasar Bahasa
Kerajaan Malaysia telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa
rasmi. Semua kaum wajib menguasai dan mengamalkannya
• Kahwin campur
Dalam perkahwinan campur, suami berbahasa lain dan isteri berbahasa lain akan melahirkan
kedwibahasaan dalam keluarga tersebut.
• Kesan Bilingualisme
• Gangguan bahasa (linguistic interference)
• Pertukaran kod (code-switching)
• Percampuran kod (code-mixing)
• Penganjakan bahasa / pemindahan bahasa (language shift)
• Asimilasi bahasa (linguistic assimilation)
• Bahasa pijin (pidgin language)
• Bahasa kreol (creole language)
• Poliglosia (polyglossia)
• Gangguan bahasa (linguistic interference)
• Proses penyimpangan daripada norma kedua-dua bahasa yang berlaku dalam bahasa yang
digunakan oleh dwibahasawan kesan daripada kebiasaan menggunakan lebih daripada satu
bahasa.
• Gangguan berlaku dari 6 segi iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, ungkapan, dan
kosa kata.
top related