rimas

Post on 24-Sep-2015

220 Views

Category:

Documents

0 Downloads

Preview:

Click to see full reader

TRANSCRIPT

Rimas cemburu suamiGara-gara suka bersangka buruk yang bakal mengundang bencanaBERSAMA NORAZMAN AMAT|06 Mei 2015 1:41 PM

Mempunyai pasangan hidup yang tidak memenuhi kehendak diri adalah ujian yang besar dalam kehidupan berumah tangga. - Gambar hiasanASTAGHFIRULLAH...! Apa abang ni? Cakap macam orang tak ada iman. Sudah-sudahlah nak syak saya yang bukan-bukan. Saya bukan jenis perempuan macam tulah!, kata Zara kepada Zahid. Zara sama sekali tidak menyangka, perasaan syak-wasangka Zahid terhadapnya sejak kebelakangan ini semakin menjadi-jadi. Ada sahaja yang tidak kena di mata Zahid.

Pantang ada lebam sikit di badan Zara, bermacam-macam-macam soalan akan ditanya kepada Zara. Ibarat inspektor polis yang sedang menjalankan soal siasat suspek yang disyaki, begitulah Zahid memperlakukan ke atas dirinya.

Zara sebenarnya rimas dengan perlakuan Zahid. Masakan sudah lima tahun berkahwin, Zahid masih ada rasa syak kepada dirinya. Sebenarnya lebam di kaki Zara adalah akibat dia terjatuh ketika menaiki tangga di pejabatnya.

Bagi Zara, perkara itu perkara kecil sahaja dan tidak perlu diberitahu kepada Zahid. Tapi lain pula jadinya apabila Zahid melihat kesan lebam tersebut. Mulalah Zahid mengesyakinya mempunyai hubungan sulit dengan orang lain. Katanya, Zara cuba bermain kayu tiga dengannya.

Begitu juga kesan merah yang ada di badannya. Bukan Zahid tak tahu, Zara sememangnya alah dengan gigitan serangga. Pantang digigit semut mahupun nyamuk sekalipun, kesan gigitan serangga tersebut akan kekal lama di badannya.

Jangan sesekali tipu abang. Abang masih suami Zara. Kalau betul Zara dah tak suka dengan abang, cakap betul-betul. Jangan sakitkan hati abang dengan perlakuan curang Zara!, amaran Zahid kepada Zara.

Zara tercengang-cengang tatkala Zahid memarahinya. Puas Zara memberikan penerangan akibat daripada kesan lebam di badannya, namun Zahid enggan percaya kata-katanya. Pernah sekali Zahid menghantar seseorang mengekori Zara, kalau-kalau Zara ada lelaki lain, di luar pengetahuannya.

Bukannya Zara tidak tahu. Tapi Zara buat tidak tahu. Dia sudah mula bosan dengan sikap suaminya yang terlalu menyimpan perasaan syak yang keterlaluan terhadap isteri sendiri. Kadang-kadang Zara terfikir adakah suaminya diserang sindrom sakit mental.

Cuak juga Zara dibuatnya. Bimbang, andai perlakuan suaminya dibiarkan berterusan, ia bukan sahaja menyusahkan tugas-tugas harian Zara, bahkan akan membuatkan dirinya tertekan. Mana tahan kalau suami sering kali bertanyakan hal yang bukan-bukan. Jahat sangat ke aku?, Zara kadang-kadang berfikir sendirian.

Pernah Zara berbincang dengan Zahid agar Zahid berjumpa dengan doktor psikiatri untuk mengesahkan dia seorang yang normal atau sebaliknya. Tapi Zahid menolaknya. Katanya, dia masih waras dan bukannya gila!

Pening kepala Zara dibuatnya. Hari-hari Zara terpaksa menghadap benda yang sama untuk menjawab soalan yang remeh-temeh daripada suaminya. Sudahlah penat bekerja seharian, sampai di rumah pula, terpaksa dibebani dengan pelbagai soalan.

Pernah seketika, dek kerana terlalu marah dan bosan dengan sikap Zahid, Zara membungkus pakaiannya dan tidur di hotel. Satu nota ditinggalkan di atas meja. Jangan cari saya. Saya nak cari ketenangan!, tulis Zara ringkas.

Ternyata perbuatan Zara itu menyebabkan Zahid tidak keruan. Pelbagai mesej Zahid hantar kepada Zara termasuklah memohon maaf kepadanya. Hati perempuan, selalunya cair dek pujukan. Zara pulang juga ke rumah. Tapi hanya tahan seminggu sahaja. Zahid mengulangi sikapnya yang sentiasa syak kepada isteri. Entahlah, bingung juga Zara dibuatnya.

Pandangan kaunselor

KERUKUNAN rumah tangga terletak kepada keharmonian hubungan suami isteri. Sistem komunikasi yang berkesan menjadi faktor utama sebuah rumah tangga menjadi aman dan sejahtera. Selain itu, personaliti yang stabil menyumbang kepada kebahagiaan suami dan isteri. Personaliti yang seimbang seperti rasional dalam membuat sebarang keputusan serta tidak mudah merasa tertekan adalah personaliti yang membantu seseorang untuk menguruskan kehidupan seharian dengan lebih tenang dan menggembirakan.

Kecenderungan berlaku kecelaruan personaliti pada seseorang adalah disebabkan oleh banyak perkara seperti latar belakang sejarah diri seseorang. Sebagai contoh seseorang yang mengalami gangguan mental mungkin berpunca daripada keturunan atau pewarisan kedua ibu bapanya.

Jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai rantaian hubungan kekeluargaan yang mempunyai sejarah pesakit mental berkemungkinan seseorang akan mendapat perkara yang sama apabila mereka dewasa.

Namun faktor keturunan bukanlah menjadi faktor wajib seseorang akan menjadi pewaris penyakit mental yang dihadapi oleh generasi sebelumnya.

Masalah kecelaruan personaliti ini adalah berasaskan masalah dalam membuat penyesuaian diri ke atas persekitaran hidup yang dilalui. Terdapat dua faktor yang menyebabkan seseorang dapat membuat penyesuaian dengan kehidupannya.

Pertama ialah rangsangan yang diterima daripada persekitaran sosial yang berlaku sepanjang hayatnya terutama pada waktu awal kanak-kanak dan remaja.

Kedua ialah sumber yang diperoleh dan dipelajari untuk melakukan perubahan dalam dirinya yang merupakan asas untuk berfikir, merasa dan melakukan sesuatu. Kegagalan seseorang menguruskan persekitaran tersebut akan mengakibatkan sesuatu yang berisiko bukan sahaja dirinya, bahkan orang lain yang mempunyai kaitan dengannya.

Dalam kehidupan seseorang, ia perlu belajar membuat penyesuaian dengan keluarganya, proses pendidikan, pekerjaan, komuniti dan masyarakat tempat tinggalnya.

Sebagai manusia juga kita akan berhubung dengan pelbagai jenis persekitaran sama ada fizikal, mental, sosial dan juga emosi. Oleh itu manusia akan menerima beberapa jenis gerak balas yang pelbagai, sekali gus memberi kesan kepada personaliti seseorang.

Seseorang yang dapat membuat penyesuaian diri dengan persekitaran akan menempuh kehidupan dengan lebih sihat melalui tingkah laku yang dapat diterima oleh orang lain, sekali gus memberi kepuasan dan kesihatan mental kepada dirinya. Sebaliknya jika seseorang gagal menyesuaikan diri dengan persekitarannya akan menunjukkan tingkah laku yang bertentangan dengan sesuatu yang dapat diterima oleh orang lain.

Kegagalan ini mungkin disebabkan berlakunya keadaan tidak seimbang pada trait personaliti dirinya. Hasilnya ia akan menjadi mangsa kepada emosinya yang tidak stabil, sekali gus menimbulkan masalah yang lain kepada dirinya dan orang lain.

Daripada perspektif Islam personaliti diertikan sebagai sahsiah atau akhlak yang terbahagi kepada dua iaitu akhlak yang terpuji dan akhlak yang keji. Antara akhlak yang terpuji seperti sabar, syukur, reda, bersederhana dalam semua perkara dan menerima takdir yang ditentukan oleh Allah SWT.

Sebagai contoh sifat sabar dalam mengawal dirinya ketika menghadapi sesuatu perasaan amarahnya. Maka dia dilihat sebagai seorang yang kuat dan baik akhlaknya. Demikian juga dengan sifat yang tercela seperti berburuk sangka akan mengakibatkan persengketaan dan perpecahan yang membinasakan perhubungan.

Seseorang Muslim yang berakhlak akan dapat membezakan antara sesuatu yang baik ataupun buruk melalui pendidikan dan latihan yang diperoleh daripada persekitaran hidupnya seperti melalui ibu bapa, rakan sebaya, guru-guru yang mengajar serta masyarakat yang hidup bersamanya. Dengan sumber yang diperoleh ini manusia akan belajar banyak perkara untuk dijadikan panduan kehidupan. Sebagai contoh Rasulullah SAW yang menjadi utusan Allah menjalani kehidupan dengan akhlak yang terpuji bukan sahaja untuk dirinya tetapi sebagai manifestasi rasa syukur terhadap Allah. Dan inilah yang dituntut supaya manusia berakhlak kepada ibu bapa, keluarga, suami isteri dan anak-anak sehinggalah jiran tetangga.

Islam sebagai agama yang universal menjadikan adab dan akhlak yang terpuji sebagai sesuatu yang mulia sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan sesungguhnya engkau benar-benar berbudi pekerti yang mulia. (al-Qalam: 4)

Justeru, seorang Muslim yang baik akan sentiasa berusaha untuk menunjukkan tingkah laku yang baik kepada orang lain sebagai penzahiran ilmu yang diperoleh dalam al-Quran dan sunah Rasulullah SAW.

Bahkan melalui akhlak yang mulia manusia akan hidup dengan rukun damai dan harmoni tanpa merasa curiga dan syak wasangka. Manusia akan menjadi tenang dan berlapang dada kerana menyakini setiap apa yang berlaku adalah mengikut ketentuan Allah SWT.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/rimas-8232-cemburu-suami-1.88487#sthash.l58t3cXL.dpuf

top related