keberkesanan penggunaan kaedah main peranan dalam pengajaran bahasa inggeris dalam kalangan murid...
Post on 19-Jan-2016
153 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
Keberkesanan Penggunaan Kaedah Main Peranan Dalam Pengajaran Bahasa Inggeris Dalam Kalangan Murid Tahun 6 Di SK. Bolong, Tuaran-->
BAB PERKARA MUKA SURAT
BAB 1 PENGENALAN
1.1 Pendahuluan 4
1.2 Latar Belakang Kajian 5 - 6
1.3 Pernyataan Masalah 6 - 7
1.4 Persoalan Kajian 7
1.5 Tujuan Kajian 7
1.6 Objektif Kajian 8
1.7 Hipotesis Kajian 8
1.8 Definisi Operasional 9-10
1.9 Signifikan Kajian 10
1.10 Limitasi Kajian 11
1.11 Rumusan 11
BAB 2 SOROTAN KAJIAN
2.1 Pengenalan 12
2.2 Konsep Pembelajaran Main Peranan 12
2.3 Teori 13 - 14
2.4 Model 15-17
2.5 Kajian Lepas
2.5.1 Kajian Dalam Negara 18-19
2.5.2 Kajian Luar Negara 19
2.6 Kerangka Konseptual 20
2.7 Penutup 20
BAB 3 METODOLOGI KAJIAN
3.1 Pengenalan 21
3.2 Pendekatan Kajian 21 - 22
3.3 Populasi dan Sampel Kajian 22-23
3.4 Instrumen Kajian 23
3.4.1 Set Borang I Soal Selidik Peribadi 24-25
Responden
3.4.2 Set Borang II Soal Selidik Responden 25-26
3.4.3 Set Ujian Pra 26
3.4.4 Set Ujian Pos 26-27
3.5 Prosedur Kajian 28
3.6 Prosedur Penganalisisan Data 28
3.7 Penutup 28
BIBLIOGRAFI 29-30
Bab 1 : Pengenalan
1.1 Pendahuluan
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) mempunyai matlamat
memperkembangkan fungsi murid secara menyeluruh dan bersepadu
bagi mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani supaya mereka dapat menjalani kehidupan
seharian mereka dengan berkesan dan penuh tanggungjawab. Untuk
mencapai matlamat ini, di antara lain, guru perlu mempunyai kemahiran
memilih kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan bijaksana supaya
kaedah yang dipilih itu sesuai dengan murid-murid yang pelbagai
kebolehan dan minat.
Kepentingan melahirkan individu yang cemerlang jasmani, rohani
dan intelek adalah matlamat utama Falsafah Pendidikan Negara dan ia
seharusnya menjadi misi utama setiap entiti yang terlibat dalam
pendidikan. Oleh yang demikian, segala perancangan pendidikan
semestinya perlu bertunjangkan kepada misi yang penting ini. Kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang benar-benar berkesan perlu diberi
perhatian untuk dilaksanakan kerana kaedah yang berkesan akan mempu
membantu pelajar, guru, sekolah dan seterusnya kementerian untuk
mencapai matlamat yang telah pun digariskan suatu masa dahulu.
Arus pembangunan globalisasi menuntut sistem pendidikan agar
lebih dinamik dan sentiasa peka pada keperluan murid. Proses globalisasi
telah menjadikan dunia kita semakin kecil dan mencabar. Sekiranya kita
tidak melipatgandakan usaha dan mempertingkatkan daya saing, sudah
pasti kita akan jauh ketinggalan di belakang. Maka pemantapan harus
dibuat dalam sistem pendidikan sehingga ke akar umbi iaitu diperingkat
proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di dalam kelas agar sistem
pendidikan yang dinamik yang mampu melahirkan individu yang
seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek dapat diwujudkan.
1.2 Latar Belakang Kajian
Walau sebaik mana pun seseorang pelajar dapat mendengar dan
memahami sesuatu bahasa baru, namun ia belum menentukan pelajar
tersebut boleh bertutur dalam bahasa baru tersebut. Fakta menyatakan
bahasa seseorang pendengar boleh membezakan bunyi tidak selalunya
diikuti dengan pertuturan yang lancar.
Pengkaji juga mendapati seseorang yang bukan penutur asal
bahasa inggeris akan memerlukan masa yang lama untuk belajar bahasa
inggeris ini. McDonough dan Show (1993) dalam kajian mereka
mendapati seseorang penutur yang bukan asal enggan menggunakan
strategi bahasa mereka apabila bertutur bahasa asing. Tambahan pula,
sesetengah pelajar mungkin mampu bertutur bahasa inggeris dengan
sempurna sekiranya diberi stimulus di dalam kelas , tetapi dalam konteks
kehidupan yang sebenar, mereka tidak dapat berhadapan dengan situasi
sebenar di mana mereka perlu bertutur dalam bahasa inggeris. Masalah
ini bertambah parah apabila kaedah mengajar yang digunakan dalam
bahasa inggeris juga tdak tepat kerana guru lebih mendedahkan pelajar
kepada ‘listening’ dan ‘speaking’ pula kurang diberi penekanan.
Kesannya, pelajar kurang beri perhatian pada kemampuan bertutur dalam
Bahasa Inggeris.
Curran (1972), dalam kajiannya mendapati sesetengah pelajar yang
mempelajari bahasa asing selalunya takut dan bimbang seterusnya
menyukarkan pembelajaran bahasa asing tersebut. Hal ini menunjukkan
adalah perlu untuk mengambil kira faktor-faktor psikologi sebelum
memulakan kelas ‘speaking’. Ia menjadi tanggungjawab guru untuk
mencipta fasilitatif, kelas yang selesa untuk pembelajaran Bahasa
Inggeris. Ramai pengkaji yang percaya bahawa aktiviti main peranan
(Role Play) mampu memperbaiki kebolehan pelajar berkomunikasi dalam
bahasa inggeris. Stern (1980) menyatakan bahawa kaedah main peranan
adalah kaedah yang penting dalam pengajaran bahasa asing. Maka kajian
ini bertujuan untuk memperkenalkan kaedah baru dalam pengajaran dan
pembelajaran bahasa inggeris seterusnya menjelaskan keberkesanan
kaedah ini dalam proses P&P.
1.3 Pernyataan Masalah
Berdasarkan pengalaman pengkaji, ramai pelajar dalam kelas pada masa
kini teragak-agak untuk bertutur dalam bahasa inggeris walaupun mereka
sebenarnya cekap dalam bahasa itu.
Apabila pelajar-pelajar diarah untuk bertutur dalam bahasa inggeris,
mereka kurang yakin untuk bercakap kerana beberapa masalah.
Berdasarkan pemerhatian pengkaji, punca utama kepada masalh ini
adalah persekitaran yang tidak menggalakkan di luar kelas untuk mereka
bertutur dalam bahasa inggeris. Pengkaji juga mendapati bahawa
penekanan yang diberi kepada kaedah mendengar dalam bahasa inggeris
juga sebelum ini juga menyumbang kepada ketidakyakinan pelajar untuk
bercakap dalam bahasa inggeris. Selain itu juga, pengkaji mendapati
bahawa guru tidak menyediakan aktiviti yang tertumpu pada oral turut
menyumbang pada masalah ini.seterusnya, pengkaji juga mendapati
bahawa pengajaran ‘speaking’ di dalam kelas juga kurang menarik.
McDonough and Show (1993) dalam kajian mereka mendapati
dalam banyak konteks, kemampuan seseorang bertutur seringkali dinilai
sebagai ‘face value’. Dalam perkataan lain, seseorang itu itu lebih dinilai
kebolehannya dalam kemahiran bertutur daripada kemahiran-kemahiran
lain seperti mendengar dan menulis. Tambahan pula, strategi pengajaran
pada masa kini seharusnya menumpukan perhatian pada pembentukan
aktiviti pembelajaran yang fokus pada aktiviti yang melibatkan pelajar
saling berbincang dan berkongsi tentang situasi kehidupan sebenar.
Namun, kelas ‘speaking’ dalam Bahasa Inggeris tidak menekankan aktiviti
seperti ini. Maka, kaedah main peranan mampu meletakkan pelajar dalam
satu persekitaran yang akan menggalakkan mereka untuk mengenepikan
rasa malu, membina keyakinan diri mereka, dan menjadikan pelajar-
pelajar saling berbincang dan berkongsi pelbagai perkara dalam konteks
kehidupan sebenar.
1.4 Persoalan Kajian.
Persoalan dalam kajian ini adalah seperti berikut;
1. Adakah penggunaan kaedah Main Peranan berbanding kaedah tradisional
berkesan dalam meningkatkan minat dan pemikiran kritis pelajar dalam
mata pelajaran Bahasa Inggeris?
2. Apakah perbezaan kesan kumpulan dengan kaedah Main Peranan dan
kesan kumpulan dengan kaedah tradisional dalam pembelajaran Bahasa
Inggeris?
3. Apakah gaya pembelajaran yang digunakan pelajar sebelum dan selepas
pelaksanaan kajian?
1.5 Tujuan kajian
Tujuan utama kajian ini adalah untuk melihat kesan kaedah pengajaran
secara main Peranan dan pengajaran dengan menggunakan kaedah
tradisional terhadap murid-murid tahun empat dalam meningkatkan
pencapaian dan minat mereka dalam proses P&P. Kesan kedua-dua
kaedah pengajaran ke atas minat dan pencapaian murid dalam proses
P&P diuji.
1.6 Objektif kajian
Objektif khusus kajian ini adalah untuk ;
1. Mengenal pasti keberkesanan penggunaan kaedah main peranan
berbanding kaedah tradisional terhadap minat dan pencapaian murid
dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
2. Menentukan perbezaan kesan kumpulan dengan kaedah pembelajaran
kaedah Main Peranan dan kaedah tradisional dalam mata pelajaran
Bahasa Inggeris dalam kalangan murid tahun enam.
3. Mengenal pasti gaya pembelajaran yang digunakan oleh murid sebelum
dan selepas pelaksanaan.
1.7 Hipotesis Kajian
Sebanyak 2 hipotesis telah dikemukakan berdasarkan tujuan pengkaji
menjalankan kajian ini. Hipotesis null yang dikaji adalah seperti berikut;
I. Hipotesis 1 (HO1)
Tidak terdapat perbezaan antara minat pelajar yang menggunakan
kaedah Main Pernan dalam pembelajaran mereka berbanding minat murid
yang menggunakan kaedah tradisional dalam mata pelajaran Bahasa
Inggeris.
II. Hipotesis 2 (HO2)
Tidak terdapat perbezaan antara pencapaian murid yang menggunakan
kaedah Main Peranan dalam pembelajaran mereka berbanding
pencapaian murid yang menggunakan kaedah tradisional dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris.
1.8 Definisi Operasional
1.8.1 Keberkesanan
Keberkesanan merujuk kepada perihal berkesan atau berkesannya
sesuatu tindakan atau perbuatan (Kamus Dewan, 2005 : 772).
Keberkesanan dalam konteks kajian ini merujuk kepada kejayaan
penggunaan kaedah Main Peranan dalam meningkatkan pencapaian serta
minat murid dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
1.8.2 Kaedah Pembelajaran Main Peranan.
Kaedah Main Peranan atau ‘Role Play’ adalah satu bentuk pendekatan
pendidikan, lazimnya dirujuk sebagai konteks yang sama dengan
permainan dan simulasi. Menurut Marlyna Maros (2007), kaedah main
peranan lebih mirip kepada data interaksi semulajadi kerana adanya
perbualan atau sekurang-kurangnya ujaran lisan daripada subjek.
Terdapat sekurang-kurangnya empat cara pengumpulan data dalam
kaedah ini iaitu (a) lakonan semula, (b) temu ramah lakonan , (c) lakonan
benar, dan (d) olahan skrip bertulis. Menggunakan kaedah Role
Play dalam latihan melibatkan 5 langkah iaitu (1) memilih isu; (2)
menghidupkan dan memilih karakter; (3) membina forum; (4) membuat
keputusan – atau tidak; dan (5) menyimpulkan latihan.
1.8.3 Minat
Menurut Kamus Dewan (2002), minat merujuk kepada keinginan
(kesukaan, kecenderungan) kepada sesuatu. Minat adalah kata sifat yang
menjelaskan kecenderungan seseorang menyatakan keinginan hatinya
kepada sesuatu perkara melalui perubahan emosi dalamannnya setelai
merasai melalui pancaindera (melihat, rasa, bau). Apabila ada minat
terhadap sesuatu seseorang itu akan cuba memilikinya.
1.8.4 Pencapaian
Pencapaian bermaksud keputusan ujian mata pelajaran Bahasa Inggeris
yang diperolehi oleh pelajar setelah selesai menjalani ujian yang
dikendalikan oleh pengkaji. Pengkaji menggunakan topik merangkumi
sukatan pelajaran Bahasa Inggeris Tahun Enam.
1.8.5 Murid
Murid ialah orang yang belajar seperti murid sekolah rendah, sekolah
menengah dan sebagainya (orang yang menyelidik ilmu) (Kamus Dewan:
2002). Murid dalam konteks kajian ini merujuk kepada murid tahun enam
dalam mata pelajaran bahasa inggeris yang mnuntut di SK. Bolong
Tuaran.
1.9 Signifikan Kajian
Kajian ini penting kepada para guru Bahasa Inggeris sebagai asas kepada
pemilihan aktiviti P&P yang berkesan dalam bilik darjah. Selain itu, kajian
ini juga penting kepada kementerian pelajaran sebagai penentu dasar
pendidikan dan juga kepada para penyelidik di luar sana. Dapatan kajian
ini juga penting dalam meningkatkan mutu dan keberkesanan sistem
pendidikan agar mampu melahirkan individu-individu yang mempunyai
kemahiran secara holistik. Kajian ini juga dapat membantu murid dalam
mengenal pasti corak pembelajaran sebenar yang mampu meningkatkan
minat dan prestasi serta kemampuan mereka bertutur dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris.
1.10 Limitasi Kajian
Kajian ini hanya melibatkan murid-murid tahun Enam di Sekolah
Kebangsaan Bolong, Tuaran sahaja dan laporan kajian hanya sahih dalam
konteks sekolah ini sahaja. Selain itu, kajian ini juga hanya tertumpu pada
kaedah Main Peranan dalam proses P&P. Kajian ini juga hanya melihat
kesan kaedah Main Peranan dari sudut minat dan pencapaian murid dari
aspek kebolehan bertutur Bahasa Inggeris dalam proses P&P.
1.11 Rumusan
Kajian ini bertujuan untuk mengkaji keberkesanan kaedah Main Peranan
terhadap minat dan pencapaian pelajar dalam komunikasi bagi mata
pelajaran Bahasa Inggeris. Semoga dengan pembaharuan dan
pengubahsuaian yang sesuai, diharapkan kaedah ini akan dapat
meringankan tekanan kepada guru dan hasilnya kelak dapat melahirkan
generasi yang cemerlang dalam bidang bahasa dan komunikasi.
Bab 2 : Sorotan Kajian
2.1 Pengenalan
Bab ini akan membincangkan teori, konsep serta kajian-kajian yang
berkaitan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran main
Peranan. Tinjauan kajian tertumpu kepada aspek yang menjadi fokus
kepada pengkaji, iaitu aspek pembelajaran Main Peranan dan kesannya
terhadap minat dan pencapaian murid bagi matapelajaran Bahasa
Inggeris.
2.2 Konsep pembelajaran Main Peranan
Kaedah Main Peranan adalah satu metode yang berasal dari sosio drama
yang boleh digunakan juga untuk membantu pelajar memahami aspek
yang lebih halus tentang sastera, kajian sosial, dan juga beberapa aspek
dalam sains dan matematik. Kaedah ini juga boleh membantu dalam
meningkatkan minat pelajar dan meningkatkan penglibatan murid, bukan
sahaja dalam pembelajaran tentang sesuatu perkara, malah pembelajaran
untuk mengintegrasikan pengetahuan ke dalam tindakan dengan
menyelesaikan masalah, mengeksplorasikan alternative, dan melakukan
penyelesaian yang kreatif ( Blatner, 2002). Menurut Brierly, Devonshire
dan Hillman (2002) dalam Pollock (2006), teknik Main Peranan juga akan
meningkatkan fungsi pengetahuan; kombinasi pengetahuan asas,
pengetahuan tentang prosedur ( mengetahui bagaimana – memiliki
kemahiran ) dan pengetahuan kondisi ( mengetahui tentang persekitaran
untuk menggunakan kemahiran tersebut). Kaedah Main Peranan
mencipta satu persekitaran yang menggambarkan realiti sebenar dan ia
memudahkan pelajar untuk menggunakan pemahaman mereka tentang
sesuatu situasi. Murid-murid mendapat gambaran sebenar dalam isu-isu
yang dibincangkan dalam kelas seterusnya memperkembangkan
kemahiran praktikal profesional.
2.3 Teori
Teori-teori pembelajaran merujuk kepada prinsip-prinsip dan hukum-
hukum pembelajaran yang dihasilkan daripada ahli-ahli psikologi
pendidikan. Melalui teori-teori pembelajaran ini, guru akan memahami
pelbagai cara pelajar-pelajar belajar dan seterusnya menghubungkaitkan
prinsip dan hukumnya dengan kaedah dan teknik mengajar untuk
mencapai objektif pengajaran.
2.3.1 Teori Pembelajaran Main Peranan
Teori utama yang digunakan dalam kajian ini adalah teori konstuktivisme.
Konstruktivisime merupakan proses pembelajaran yang menerangkan
bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Unsur-unsur
konstruktivisme telah lama dipraktikkan dalam kaedah pengajaran dan
pembelajaran di peringkat sekolah, maktab dan universiti tetapi tidak
begitu ketara dan tidak ditekankan.
Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah
tidak boeh dipindahkan daripada guru kepada guru dalam bentuk yang
serba sempurna. Murid perlu bina sesuatu pengetahuan iut mengikut
pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha
murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Blok binaan
asas bagi ilmu pengetahuan sekolah ialah satu skema iaiatu aktiviti
mental yang digunakan oleh murid sebagai bahan mentah bagi proses
renungan dan pengabstrakan. Fikiran murid tidak akan menghadapi realiti
yang wujud secara terasing dalam persekitaran. Realiti yang diketahui
murid adalah realiti yang dia bina sendiri. Murid sebenarnya telah
mempunyai satu set idea dan pengalaman yang membentuk struktur
kognitif terhadap persekitaran mereka.
Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru,
guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka.
Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untik dijadikan
sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru
tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini
dinamakan konstruktivisme. Beberapa ahli konstruktivisme yang
terkemuka berpendapat bahawa pembelajaran yang bermakna itu
bermula dengan pengetahuan atau pengalaman sedia ada murid.
Rutherford dan Ahlgren berpendapat bahawa murid mempunyai idea
mereka sendiri tentang hampir semua perkara, di mana ada yang betul
dan ada yang salah. Jika kefahaman dan miskonsepsi ini diabaikan atau
tidak ditangani dengan baik, kefahaman atau kepercayaan asal mereka
itu akan tetap kekal walaupun dalam peperiksaan mereka mungkin
memberi jawapan seperti yang dikehendaki oleh guru.
John Dewey menguatkan lagi teori konstruktivisme ini dengan
mengatakan bahawa pendidik yang cekap harus melaksanakan
pengajaran dan pembelajaran sebagai proses menyusun atau membina
pengalaman secara berterusan. Beliau juga menekankan kepentingan
penyertaan murid di dalam setiap aktiviti pengajaran dan pembelajaran.
Dari persepektif epistemologi yang disarankan dalam konstruktivisme
fungsi guru akan berubah. Perubahan akan berlaku dalam teknik
pengajaran dan pembelajaran, penilaian, penyelidikan dan cara
melaksanakan kurikulum. Sebagai contoh, perspektif ini akan mengubah
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan
murid meniur dengan tepat apa saja yang disampaikan oleh guru kepada
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang menumpu kepada kejayaan
murid membina skema pengkonsepan berdasarkan kepada pengalaman
yang aktif. Ia juga akan mengubah tumpuan penyelidikan daripada
pembinaan model daripada kaca mata guru kepada pembelajaran sesuatu
konsep daripada kaca mata murid.
2.4 Model
Pelbagai model dibina untuk memberi panduan kepada guru ke arah
mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif. Sistem
penyampaian ialah kaedah di mana maklumat dibawa daripada sumber ke
penerima dan sebaliknya untuk tujuan pengajaran. Dalam kajian ini,
penyelidik telah mengambil satu model kajian yang dikemukakan oleh
Heinich dan rakan-rakan (1999).
Model yang digunakan merupakan model ASSURE. Model ASSURE
ialah akronim bagi menghuraikan prosedur dalam memilih dan mengguna
media pengajaran secara umum. Terdapat 5 komponen yang dapat
dihuraikan daripada model tersebut iaitu A-Analyze Leaners, S-State
Objectives, S-Select Methods, Media and Materials, U-Utilize Media and
Materials, R-Require Leaner Perticipantion, E-Evaluate and Revise.
Dalam kelas, pelajar perlu dianalisis dari segi ciri-ciri umum seperti
peringkat umur, tahap kemahiran intelektual, stail belajar sebelum
sesuatu kemahiran dipilih dan digunakan. Pendekatan yang dipilih
hendaklah sesuai dan mengambil kira kemampuan pelajar.
Pernyataan objektif dalam merancang sesuatu pengajaran adalah
amat penting. Objektif ialah suatu pernyataan yang spesifik tentang
kebolehan atau prestasi yang akan dipelajari atau ditunjukkan oleh pelajar
selepas mengikuti pelajaran (Norhashimah, Mazenah & Rose, 1996).
Objektif membantu guru mengenal pasti prestasi yang hendak dibentuk,
menyusun strategi pengajaran dan membentuk kriteria untuk membuat
penilaian.
Dalam komponen memilih kaedah, media dan bahan (select
methods, media and materials) untuk pengajaran, guru perlu menimbang
ciri-ciri pelajar, bentuk objektif, pendekatan pengajaran dan kekangan
situasi pengajaran. Guru boleh mengubahsuai ABM yang dipilih atau
mereka membentuk semula supaya menepati dan sesuai dengan tahap
pelajar.
Model ASSURE mencadangkan agar dalam langkah U (utilize media
and material), guru harus terlebih dahulu mengguna media dan bahan
pengajaran sebelum memulakan pengajaran. Guru perlu mengenal pasti
bentuk persiapan terhadap persekitaran yang perlu disediakan ketika
bahan itu digunakan seperti infrastruktur baik dari segi kedudukan kelas,
perkasasan dan perisisan dan jenis aktiviti yang hendak dijalankan sesuai
dengan objektif pelajaran.
Pengajaran dan pembelajaran yang berkesan memerlukan
penyertaan pelajar (require leaner participant). Menurut model ASSURE,
media pengajaran yang baik membolehkan penyertaan dan respons
pelajar berinteraksi serta mendapatkan maklum balas. Aktiviti dan teknik
pengajaran yang sesuai dilaksanakan dalam kelas supaya menggalakkan
penglibatan pelajar. Ia boleh berlaku secara individu atau secara
kumpulan. Minat dan motivasi kendiri pelajar akan meningkatkan
penglibatan mereka dalam proses pembelajaran.
Komponen terakhir adalah menilai dan mengulang kaji (evaluate
and revise). Penilaian ini dijalankan bukan sahaja di peringkat
penggunaan tetapi di semua peringkat pengajaran. Aspek strategi
penyusunan pengajaran oleh guru seperti penetapan objektif, respon
pelajar, pengamatan serta prestasi pelajar dalam kuiz dan kemahiran.
Rajah2.3: Model ASSURE (Heinich & rakan-rakan, 1999) dalam
menentukan ketepatan dan langkah persediaan dalam pemilihan alat
bantu mengajar (model)
A Analyze Leaner
(Analisis Ciri-ciri Pelajar)
S State Objectives
(Menyatakan Objektif)
S Select Methods, Media and Materials
(Memilih Kaedah, Media, dan
Bahan)
U Utilize Media and Materials
(Menggunakan Media dan Bahan)
R Require Leaner Participantion
(Memerlukan Penyertaan Pelajar)
E Evaluate and Revise
(Menilai dan Mengulang Kaji)
(Heinich & rakan-rakan, 1999)
2.5 Kajian Lepas
2.5.1 Kajian Dalam Negara
Menurut kajian yang telah dibuat oleh Naginder Kaur dari Universiti
Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, beliau mendapati terdapat
hubungan positif antara konsep diri dengan penyertaan pelajar dalam
teknik pembelajaran Main Peranan. Ia boleh dilihat melalui indikator
seperti kegelisahan yang berpanjangan, kemahiran berbahasa, pengaruh
daripada pandangan kendiri, peranan pensyarah, impak dominator,
kesesuaian sama seperti mood pelajar. Kajian juga telah mendapati
bahawa pelajar mengalami perubahan dalam konsep diri, seperti yang
dipamerkan dalam kegelisahan yang semakin berkurangan, kesedaran
tentang kekuatan dan kelemahan diri mereka dan memperoleh keadaan
sebenar sesuatu situasi, perubahan dalam kemahiran berbahasa,
hubungan positif antara pandangan kendiri dengan kesesuaian tugasan
yang telah diberikan.
Pramela Krish (2001) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Bangi telah melakukan kajian yang bertajuk ‘Role Play Activity With
Distance Learners In An English Language Classroom’. Beliau menyatakan
bahawa kaedah Main Peranan dapat membantu meningkatkan tahap
kelancaran komunikasi dengan cara meningkatkan interaksi dalam kelas
dan memotivasikan mereka untuk belajar. Tambahan pula, Kaedah Main
Peranan akan memberi pelajar peluang untuk bercakap dalam pelbagai
konteks sosial. Dalam hal lain, Kaedah Main Peranan juga dapat
membantu pelajar yang malu untuk bercakap dengan lancar dalam
sesuatu situasi. Hal ini kerana mereka perlu mengenepikan rasa malu
mereka yang hanya menyebabkan kesukaran untuk berkomunikasi.
Mereka akan turut serta secara aktif dalam proses pembelajaran dan
menjadikan mata pelajaran mereka menjadi lebih bermakna dimana
pelajar mungkin terdedah kepada pelbagai kaedah pembelajaran seperti
mendengar, mengingat skrip, berbincang, menulis skrip dialog dan Cue
Card kemudian mempersembahkan peranan-peranan mereka
berdasarkan permainan dan penulisan.
2.5.2 Kajian Luar Negara
Mengikut kajian yang telah dibuat di luar negara, kebanyakan keputusan
menunjukkan kesan yang positif. Mark Sutcliffe (2002) dalam kajiannya
mendapati bahawa kaedah Main Peranan akan memberi pemahaman
kepada pelajar dan juga sebagai penghargaan kepada alternatif -alternatif
lain yang digunakan pelajar. Ia akan menggalakkan pelajar-pelajar untuk
mempamerkan idea mereka sendiri dan seterusnya lebih faham akan
posisi atau kedudukan orang lain. Menurut Wahibee (2004), kaedah Main
Peranan adalah satu kaedah yang efektif yang mana pelajar akan dapat
merasai situasi sebenar yang lebih realistik. Dalam kajian yang dibuat
oleh Maciej Karwowski dan Marcin Soszynski (2008), mereka mendapati
bahawa penggunaan kaedah Main Peranan dalam pengajaran dan
pembelajaran akan meningkatkan kreativiti pelajar, merangsang
imaginasi pelajar dan meningkatkan motivasi belajar.
2.6 Kerangka Konseptual
Bahasa Inggeris
Ujian Pra dan Pos
Skor Pencapaian
Kaedah pembelajaran Main Peranan
I. Pemboleh ubah bebas adalah kaedah pembelajaran Main Peranan dan
Kad Peranan yang diberi kepada setiap pelajar yang terlibat.
II. Pemboleh ubah terikat adalah skor pencapaian; dikaji dengan
menggunakan set ujian pra dan pos.
2.7 Penutup
Kajian-kajian yang dibuat berkaitan dengan Kaedah Main Peranan
menunjukkan bahawa kaedah ini amat berkesan dalam meningkatkan
motivasi belajar disamping kefahaman serta kemahiran murid bertutur
Bahasa Inggeris.
Bab 3 : Metodologi Kajian
3.1 Pengenalan
Bab ini akan membincangkan metodologi kajian yang merangkumi aspek
reka bentuk kajian yang digunakan, sampel kajian yang terlibat,
instrumen kajian, prosedur pengumpulan data dan prosedur
penganalisisan data. Menurut Mohd Majid Konting (1990), kaedah
penyelidikan merujuk kepada cara mendapatkan maklumat yang boleh
mencapai objektif sesuatu peyelidikan. Kajian ini bertujuan untuk
mengkaji kesan kaedah Main Peranan dalam kalangan murid Tahun Enam
SK. Bolong, Tuaran terhadap minat dan pencapaian mereka dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris. Maklumat yang dikumpul kemudiannya akan
dianalisis bagi menentukan sama ada maklumat tersebut mempunyai
kaitan atau tidak dengan hipotesis yang diutarakan oleh pengkaji dalam
Bab 1.
3.2 Pendekatan / kaedah kajian
Kajian ini adalah berbentuk Quasi-eksperimen dimana soal selidik akan
dijalankan untuk mengkaji minat dan pencapaian murid dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris. Terdapat dua kumpulan pelajar yang terlibat
iaitu kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan. Pengkaji akan
mengedarkan satu set soal selidik yang bertujuan untuk mengkaji minat
murid terhadap mata pelajaran Bahasa Inggeris. Soal selidik ini
mengandungi soalan umum dan mudah untuk diisi oleh murid. Soal selidik
ini juga dibina sendiri oleh pengkaji dan diberikan kepada murid kumpulan
rawatan sahaja sebelum dan selepas pembelajaran Kaedah Main Peranan
dijalankan. Soal selidik berbentuk skala likert dimana murid perlu memilih
jawapan mengikut skala yang diberikan iaitu skala 5 sebagai ‘sangat
setuju’, 4 ‘setuju’, 3 ‘kurang setuju’, 2 ‘tidak setuju’ dan skala 1 sebagai
‘sangat tidak setuju’.
Seterusnya pengkaji akan mengedarkan satu lagi set soalan ujian
pra iaitu ujian peringkat awal terhadap murid kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan untuk mengetahui pencapaian murid dalam mata
pelajaran Bahasa Inggeris.
Selepas ujian pra dijalankan, kumpulan rawatan akan didedahkan
dengan kaedah pembelajaran Main Peranan manakala kumpulan kawalan
diajar dengan kaedah tradisional. Setelah kedua-dua buah kelas selesai
belajar Bahasa Inggeris berdasarkan sukatan pelajaran dengan
menggunakan kaedah Main Peranan, maka set soalan ujian pasca akan
diedarkan. Kemudian barulah proses penilaian kajian bermula. Reka
bentuk kajian diringkaskan seperti dalam Jadual 1.
Reka bentuk Kajian
Kumpulan Sebelum Selepas
Rawatan Soal selidik minat Soal selidik
minat
Ujian pra penilaian Ujian pos
penilaian
Kawalan Ujian pra penilaian Ujian pos
penilaian
Jadual 1
3.3 Sampel / Populasi Kajian
Sampel kajian merupakan cerapan ke atas sekumpulan individu atau
objek. Mohd Majid (1990) menyatakan individu atau objek yang dicerap
mestilah mempunyai sekurang-kurangnya satu ciri atau sifat yang sama
antara satu sama lain. Sampel kajian adalah terdiri daripada murid-murid
Tahun Enam SK. Bolong, Tuaran. Kesemua sampel yang dipilih merupakan
murid satu kelas yang akan belajar menggunakan kaedah Main Peranan
dan satu kelas lagi menggunakan kaedah tradisional. Kedua-dua kelas
yang dipilih adalah di tahap pencapaian sederhana, iaitu terdiri daripada
murid pintar dan sederhana lemah. Pemilihan sampel ini berdasarkan
sampel secara rawak.
3.4 Instrumen Kajian
Pengkaji menggunakan dua instrumen dalam kajian ini iaitu dua set soal
selidik dan dua set ujian pemahaman. Menurut Sidek Mohd Noah (2002),
penggunaan borang soal selidik dapat membantu dari aspek standardisasi
kajian yang akan dijalankan. Empat instrumen yang digunakan dinyatakan
dibawah.
3.4.1 Set Borang I Soal Selidik Peribadi Responden
Soal selidik yang dijalankan dalam kajian ini memerlukan responden
memilih jawapan yang tepat terhadap soalan yang dikemukakan.
Berdasarkan kepada cadangan-cadangan jawapan yang disediakan, soal
selidik ini adalah bertujuan untuk mendapatkan jawapan yang betul dan
tepat bagi memudahkan teknik analisis yang akan digunakan. Soal selidik
ini dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian A dan bahagian B.
Bahagian A terdiri daripada item-item seperti jantina, bangsa, pekerjaan
bapa atau penjaga, pendapatan keluarga, bilangan ahli keluarga dan taraf
pendidikan ibu bapa. Bahagian B pula adalah berkaitan dengan kekerapan
murid membuat latihan dan bertutur Bahasa Inggeris serta minat
responden terhadap mata pelajaran tersebut. Borang ini diedarkan
kepada responden pada hari pertama pengkaji masuk ke kelas.
Responden diberi masa 10 minit untuk mengisi borang tersebut sebelum
borang tersebut dikutip semula oleh pengkaji.
3.5.2 Borang II Soal Selidik Responden
Borang II Soal Selidik Resonden yang dibuat oleh pengkaji mengandungi
19 item soal selidik. Soal selidik itu adalah berkaitan dengan pendapat
responden mengenai kaedah pembelajaran Main Peranan yang digunakan
oleh pengkaji untuk mengajar mereka di dalam kelas. Di samping itu, soal
selidik tersebut juga adalah bertujuan untuk mengetahui sejauh mana
minat mereka terhadap mata pembelajaran Bahasa Inggeris setelah
pengkaji menggunakan kaedah pembelajaran Main Peranan. Alat ukur
yang dibentuk untuk mengukur minat responden terhadap pembelajaran
Main Peranan terdiri dari item-item berskala likert 5 pilihan dengan skor 1
(Sangat Tidak Setuju), 2 (Tidak Setuju), 3 (Kurang Setuju), 4 (Setuju) dan 5
(Sangat Setuju). Skor skala likert ditunjukkan pada jadual 2 di bawah.
Borang ini diedarkan oleh pengkaji setelah menggunakan kaedah
pembelajaran Main Peranan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Borang soal selidik ini juga hanya diberikan kepada kumpulan rawatan
sahaja. Hal ini kerana kumpulan kawalan tidak diajar menggunakan
kaedah pembelajaran Main Peranan. Pengkaji meminta responden
menjawab borang ini setelah ujian pos dijalankan. Pengkaji memberikan
masa selama 10 minit kepada responden untuk menjawab sebelum
borang ini dikutip semula pengkaji untuk dianalisis.
Jadual 2 : Skor Skala Likert
3.4.3 Set Ujian Pra
Set ujian pra merujuk kepada set ujian yang mengukur kemampuan murid
untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris yang dibentuk oleh pengkaji
berdasarkan sukatan pelajaran Bahasa Inggeris. Set ujian ini adalah
berbentuk subjektif dimana responden diminta memberi pendapat mereka
berdasarkan situasi yang diberi dalam kertas ujian mereka. Set ujian ini
mengandungi 2 soalan dimana murid dikehendaki memilih satu soalan
sahaja dan soalan ini diperuntukkan dengan 40 markah yang meliputi
tahap kelancaran berbahasa, kefahaman pada soalan, ketepatan jawapan
yang diberi dan keyakinan diri murid. Maka, markah minima untuk ujian
ini ialah sifar dan markah maksima ialah 40. Tahap kemahiran yang diuji
adalah sama dengan ujian pos kecuali angka-angka yang diubah bagi
melihat perubahan keputusan yang berlaku. Set ujian ini diedarkan
kepada responden di dalam kumpulan kawalan dan juga kumpulan
rawatan dan responden diminta menjawab dalam masa 10 minit sahaja.
Guru-guru Bahasa Inggeris dan pengkaji akan menilai murid satu persatu
berdasarkan urutan abjad nama dan markah akan diberi. Set ujian pra
digunakan pada sesi pertama pengajaran pengkaji di dalam kelas.
Pencapaian murid daripada ujian ini akan digunakan untuk mengkaji
sejauh mana tahap pembelajaran murid tanpa penggunaan kaedah Main
Peranan.
3.4.4 Set Ujian Pos
Set ujian ini adalah soalan yang mengkehendaki murid untuk menjawab
dengan bertutur dalam Bahasa Inggeris di hadapan guru. Set ujian ini
mengandungi 1 soalan yang setiap satunya berbentuk subjektif di mana
responden diminta memberi pendapat berdasarkan soalan yang
diberikan. Markah maksima adalah 40 markah yang meliputi kelancaran
berbahasa Inggeris, kefahaman pada soalan, ketepatan jawapan dan
keyakinan diri bertutur dalam Bahasa Inggeris. Set ujian ini diedarkan
kepada responden di dalam kumpulan kawalan dan juga kumpulan
rawatan dan guru-guru akan menilai murid satu persatu berdasarkan
urutan abjad nama. Responden diminta menjawab dalam masa 10 minit
sahaja. Pencapaian murid daripada ujian ini akan digunakan untuk
mengkaji sejauh mana keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran
secara Main Peranan.
3.5 Prosedur kajian
Kajian ini menggunakan dua jenis data iaitu data primer dan data
sekunder. Data primer diperoleh daripada responden iaitu merujuk
kepada borang soal selidik yang diedarkan manakala data sekunder
diperoleh daripada perpustakaan dan internet. Pengkaji menentukan
bidang yang hendak dikaji melalui pembacaan kajian-kajian lepas serta
rujukan daripada perpustakaan dan internet.
Kajian ini menggunakan reka bentuk Quasi eksperimen. Ujian pra
telah diberikan kepada kedua-dua kumpulan iaitu kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan pada awal kajian. Selepas tempoh tertentu, pelajar
dari kedua-dua kumpulan diberikan ujian pos.
Pengumpulan data akan dijalankan oleh pengkaji di dalam kelas
Tahun Enam yang terlibat. Semua murid dari kedua-dua buah kelas akan
menjawab soal selidik yang pertama yang akan digunakan untuk
mengkaji latar belakang sampel. Pengkaji akan membuat penilaian
terhadap faktor-faktor latar belakang sampel yang mungkin
mempengaruhi keputusan kajian berdasarkan borang soal selidik yang
diedarkan.
Set soalan atau ujian pra akan dijalankan di kedua-dua buah kelas
dan keputusannya akan digunakan untuk memperolehi data tentang
pengetahuan sedia ada, tahap pencapaian sampel, kebolehan
berkomunikasi, dan minat.
Ujian kedua atau ujian pos pula bertujuan untuk mengkaji sejauh
mana keberkesanan sesi pembelajaran secara Main Peranan mahupun
secara tradisional. Ujian ini mengandungi 2 soalan pilih satu yang
meminta murid untuk memberi pendapat terhadap soalan subjektif yang
diberikan dari pelbagai aras. Masa yang diberikan adalah 10 minit sahaja.
Murid diminta memberi jawapan secara jujur dan mengikut
kesesuaian diri mereka sendiri dan bukannnya mengikut tanggapan orang
lain atau mana-mana pihak. Segala maklumat yang diberi dirahsiakan dan
ia hanyalah digunakan untuk tujuan kajian semata-mata. Jawapan yang
diberikan seharusnya bersifat terbuka, jujur dan ikhlas. Borang soal selidik
dan markah penilaian akan dikumpul semula untuk dianalisis.
3.7 Prosedur Penganalisisan Data
Menurut Mohd Majid (2000), pemprosesan data merupakan teknik
pengumpulan, pengolahan, penganalisaan, penyimpanan dan
pengeluaran data. Data yang dipungut melalui soal selidik dianalisis
menggunakan perisian komputer iaitu Pakej Statistik untuk Sains Sosial
(SPSS) Version 15.0. Analisis deskriptif digunakan untuk memerihalkan
maklumat tentang profil responden. Perisian SPSS merupakan perisian
yang digunakan untuk mendapat keputusan dalam bentuk frekuensi,
peratusan dan min. Kekerapan min dan peratusan merupakan parameter-
parameter yang akan digunakan dalam menilai setiap item yang terdapat
di dalam borang soal selidik (Mohd. Salleh Abu, 2001).
Data yang dikumpul dari instrumen kajian ini akan dianalisis
mengikut tiga jenis data atau maklumat. Maklumat berkaitan minat
pelajar yang diperolehi daripada borang soal selidik dianalisis
menggunakan statistik deskriptif iaitu kekerapan, peratusan dan skor min.
Maklumat kedua yang berkaitan dengan pengetahuan sedia ada murid
dan tahap pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris dianalisis
menggunakan min dan sisihan piawai. Keputusan pencapaian murid
dengan pembelajaran secara kaedah Main Peranan dan murid dengan
kaedah tradisional dibandingkan. Maklumat ini diperolehi daripada ujian
pasca dan data yang diperolehi dianalisis menggunakan min dan sisihan
piawai.
3.8 Penutup
Keseluruhannya apa yang terkandung dalam bab ini adalah penerangan
mengenai tatacara yang dilalui oleh penyelidik dalam proses sebelum,
semasa dan selepas kajian dilakukan. Prosedur yang dirancang di dalam
bab ini bertujuan untuk memudahkan proses penyelidikan dilakukan.
Bibliografi
McDonough, J. and Show, (1993). C Materials and Methods in ELT. Cambridge, MA: Blackwell
Curran, C. A. (1972). Counseling-Learning. New York: Rune and Stratton, Inc.
Stern, S.L. (1980). Drama in Second Language Learning from a Psychological Perspective. Language learning 30 77-97.
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2002). Kamus Dewan; Edisi Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Maros, M. (2007). Penyelidikan Lakuan Bahasa:Pemilihan kaedah dan Pola Penemuan.Akademika , 91-115.
Adam Blatner (2002, August 2). Role Playing In Education. Retrieved October 2009, from www.blatner.com: http://www. blatner.com/adam/pdntbk/rlplayedu.htm
Pollock, D. K. (2006). Role Play as a Teaching Method:A Practical Guide. Mekong: Ubon Ratchathani University.
Sutcliffe, M. (2002, October). The Press Briefing Role Play. Retrieved October, 2009, from Economics Network Web Site: http://www.economicsnetwork.ac.uk/showcase/sutcliffe_press
A-Wahibee, K. M. (2004). Revival of Role-play: The Effectiveness of Role-play Activities In Learning English As A Foreign Language By Saudi College Students.Language And Translation , 25-48.
Maciej Karwowski, M. S. (2008). How to develop creative imagination? Assumption, Aims, And Effectiveness Of Role Playing Training In Creativity (RPTC). Thinking Skill And Creativity , 163-171.
Konting, M. M. (1990). Kaedah Penyelidikan Pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Noah, S. M. (2002). Reka Bentuk Penyelidikan: Falsafah, Teori dan Praktis. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Konting, M. M. (2000). Kaedah Penyelidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Salleh Abu, Z. T. (2001). Pengenalan Kepada Analisis Data Berkomputer SPSS 10.0 For Windows. Kuala Lumpur: Venton Publishing.
Pramela Krish. (2001, July). A Role Play Activity with Distance Learners in an English Language Classroom. Retrieved October from The Internet TESL Journal, Vol. VII, No. 7, website : http://iteslj.org/:http://iteslj.org/Article/Krish-RolePlay.htm
top related