karya pelajar
Post on 10-Jun-2015
3.805 Views
Preview:
DESCRIPTION
TRANSCRIPT
KAMIL TERSOHOR
Pelajar-pelajarku,
Setiap kali meniti perjalanan hidup, pasti pelbagai badai melanda. Namun kita tidak seharusnya mudah menyerah kalah. Kita harus terus berjuang walau “nyawa di hujung pedang” kerana itulah harga yang perlu kita bayar untuk mencapai kejayaan dan kebahagiaan. Jangan sesekali lalai pada suruhan AllAH SWT kerana tiba masa, kita akan bertemunya. Biarlah kita hidup diberkati sepanjang hayat dan dirahmati OLEHNYA walau ke manapun arah kita.
1
GEJALA PONTENG DAN LEPAK SEMAKIN MENJADI-JADI DALAM KALANGAN PELAJAR PADA MASA INI.
HURAIKAN PUNCA GEJALA TERSEBUT DAN LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASI MASALAH TERSEBUT.
Oleh: Siti Nasihah bt. Abdul Hamid5 Alfa 2009
Sejak akhir-akhir ini, gejala ponteng dan lepak semakin menjadi-jadi dalam
kalangan pelajar dan membimbangkan masyarakat. Pelajar merupakan modal insan dan
bakal menjadi pemimpin negara pada masa akan datang. Jadi isu ini haruslah diberi
perhatian dan langkah-langkah sewajarnya hendaklah dilaksanakan dengan segera
sebelum menjadi lebih parah dan tidak dapat diselamatkan lagi ibarat “nasi sudah
menjadi bubur.”
Terdapat pelbagai punca gejala tidak sihat ini berlaku dan salah satunya pelajar
kekurangan kasih sayang daripada ibu bapa. Kesibukan ibu bapa di tempat kerja untuk
mengumpul wang demi masa depan anak mereka “memakan diri ‘ sendiri dan hanya
tinggal impian semata-mata. Mereka tidak mempedulikan diri anak-anak mereka yang
memerlukan perhatian dan kasih sayang daripada seorang insan yang menjaga mereka
semenjak kecil. Akhirnya apabila pelajar berasa bosan dengan kehidupan keluarga,
mereka akan mula mencari rakan-rakan yang tidak berakhlak mulia yang suka ponteng
dan lepak. Kadang-kala sikap ibu bapa yang suka menyalahkan anak mereka
membuatkan jiwa pelajar memberontak dan bertukar menjadi seorang yang suka ponteng
dan lepak. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin hendaklah menasihati dan menjaga
perasaan pelajar dengan sebaiknya.
2
Pengaruh rakan adalah punca utama kepada gejala ponteng dan lepak. Pelajar
tidak pandai untuk memilih rakan yang baik dan buruk. Apabila tersalah pilih rakan, agak
susah untuk pelajar kembali kepada sikap asal kerana sikap buruk rakan akan secara
perlahan-lahan meresap dalam jiwa pelajar dan menjadi sebahagian daripada diri
pelajar.Pelajar haruslah tahu membezakan rakan yang membawa kepada jalan yang benar
atau salah. Apabila berkawan dengan pelajar yang suka ponteng dan lepak, seseorang
pelajar itu pada mulanya hanya mahu mencuba tetapi lama kelamaan akan menjadi tabiat
dan tidak takut untuk melakukannya.
Sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam menangani gejala ponteng
dan lepak. Ada juga sekolah yang tidak mempedulikan gejala yang semakin berleluasa ini
walaupun telah diberi amaran oleh pihak kementerian agar segera membendung gejala ini
daripada terus merebak dalam kalangan pelajar-pelajar yang lain. Apabila nama sekolah
tercemar barulah mereka sedar betapa pentingnya menangani gejala ponteng dan lepak
ini.Walaupun begitu , terdapat juga segelintir dalam kalangan ibu bapa yang
“menyerang” pihak sekolah kerana telah bertindak tegas dengan mengenakan hukuman
terhadap anak mereka yang didapati bersalah dan mereka “seperti ular dikutik ekor”
disebabkan ketegasan pihak sekolah menghukum terhadap anak mereka.
Selain itu, sikap masyarakat juga menjadi salah satu punca kegiatan pontenga dan
lepak semakin berleluasa. Masyarakat bertindak “seperti enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing” kerana enggan “menjaga tepi kain orang”.
3
Masyarakat tidak melaporkan kepada pihak sekolah dan pihak berkuasa apabila melihat
pelajar-pelajar ponteng dan lepak Mereka sepatutnya menjadi “mata” dan “telinga”
kepada pihak sekolah dengan terus melaporkan sebarang aktiviti pelajar yang
mencurigakan.Keprihatinan dan kerjasama mereka amatlah penting bagi menangani
gejala ini dengan membantu pihak berkuasa memusnahkan tempat-tempat yang menjadi
“sarang” untuk pelajar-pelajar melepak dan ponteng.Sesetengah masyarakat enggan
bekerjasama dan lebih suka mendiamkan diri kerana tidak mahu menyusahkan diri
sendiri untuk membantu menangani gejala tersebut. Sebagai masyarakat Malaysia yang
bertanggungjawab dan prihatin, mereka perlulah bersama mencegah gejala tersebut demi
kebaikan dan kepentingan pelajar kerana”bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Langkah-langkah yang perlu diambil bagi mengatasi masalah ini ialah dengan
mengadakan ceramah-ceramah kesedaran dan motivasi kepada semua pelajar di sekolah ,
antaranya sempena Minggu Disiplin dan Minggu Penghayatan Islam. Penceramah
tersebut mestilah orang yang berpengalaman dan dapat menarik minat pelajar secara
berkesan seperti penceramah daripada pihak berkuasa iaitu polis.Melalui ceramah
kesedaran tersebut, diharap para pelajar menyedari akan keburukan ponteng dan lepak
yang boleh mengundang kepada gejala sosial yang lain.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk membimbing anak-anak kejalan
yang betul .Mereka hendaklah sentiasa menghadirkan diri ke sekolah untuk bersama-
sama berbincang akan sebarang masalah yang timbul berhubung anak-anak mereka. Ibu
bapa juga perlu sentiasa memantau dan mengambil tahu akan perkembangan anak-anak
4
mereka baik dalam aspek pendidikan mahupun pergaulan seharian anak-anak. Hal ini
pasti akan menghindarkan anak-anak mereka daripada terjebak dalam gejala ponteng dan
lepak.
Intihanya, semua pihak perlu bekerjasama dan saling membantu dalam
usaha untuk membanteras gejala ini daripada terus menular dalam kalangan pelajar.
Setiap pelajar harus bijak membezakan yang mana kawan ataupun lawan agar mereka
tidak terpengaruh dengan gejala yang buruk ini. “Berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing” , itulah peribahasa yang perlu diamalkan oleh semua pihak dalam menangani
gejala negatif daripada terus menjadi “duri dalam daging” yang akan merosakkan
generasi akan datang yang bakal menjadi pemimpin negara nanti.
5
PALESTIN – PENDERITAAN YANG BERPANJANGAN..
OLEH: ROZMA BT MUHAMAD RIDZWAN
5 MUSYTARI 2009
Dewasa ini, banyak berlakunya peperangan yang menyebabkan ribuan mangsa
mengalami kematian. Sepanjang tamadun manusia, peperangan meletus di sana- sini dan
yang terbaru serta masih segar dalam ingatan kita ialah peperangan yang melibatkan
rakyat Palestin di Semanjung Gaza dengan tentera Israel. Umumnya, peperangan meletus
kerana adanya sifat tamak dalam kalangan pemimpin, hasad dengki, balas dendam
malahan hanya untuk menguji kekuatan diri dan senjata moden ciptaan mereka. Manusia
bertindak ganas terhadap sesama manusia demi mencapai citia-citanya sendiri.
Tidak dapat dinafikan, peperangan yang berlaku di Semenanjung Gaza
sememangnya membawa pelbagai kesan buruk, tidak kira sama ada di pihak Israel
mahupun Palestin sendiri. Namun dalam konteks ini, pihak Palestin ternyata menjadi
mangsa kerakusan dan kekejaman rejim zionis yang bertindak tanpa peri kemanusiaan.
Tindakan Israel yang menyerang Palestin sememang tidak wajar dilakukan oleh seorang
pemimpin yang berpelajaran dan tindakan tidak rasional menggambarkan betapa pada
zaman tamadun ini, masih ada manusia yang berhati syaitan, bertopengkan
manusia.Walaupun Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak menyatakan bahawa setakat
ini tiada serangan baru akan dilancarkan ke atas Semenanjung Gaza, tetapi mengapa
masih ramai tentera Israel tidak diarahkan untuk pulang ke negara asal mereka?
6
Mengapa tentera Zionis ini masih berkubu di situ? Sudah pasti akan ada nanti kejadian
serangan ibarat ”baling batu, sembunyi tangan.”
Dunia digemparkan dengan berita serangan tentera Zionis ke atas rakyat
Palestin .Alasan yang digunakan ialah untuk menghapus puak Hamas yang masih
berkubu di Semenanjung Gaza. Dengan kecanggihan peralatan senjata yang tidak
mungkin dapat ditandingi oleh puak Palestin, sudah pasti Israel dapat ‘mengganyang
‘rakyat negara tersebut dengan mudah. Kesannya, lihatlah bagaimana beribu-ribu nyawa
telah terkorban.Anak kecil kehilangan ibu dan bapa, warga tua dibunuh begitu saja malah
nyawa semua rakyat Palestin ibarat “telur di hujung tanduk”, menunggu masa untuk
“disembelih” pada bila-bila masa.Ke mana mereka harus melarikan diri sedangkan pintu
Rafah yang menjadi sempadan Mesir untuk puak Palestin mendapatkan bantuan telah
ditutup. Ibarat “nyawa di hujung pedang”, itulah nasib yang menanti umat Islam di
Palestin. Tangisan anak-anak kecil yang tidak tahu erti kehidupan terdengar di sana-
sini.Mereka kehilangan tempat bergantung apabila kedua-dua orang tua mereka dan
saudara mara terkorban dalam peperangan tersebut.Seorang isteri telah kehilangan suami,
seorang anak pula menjadi yatim piatu, manakala kecacatan kekal dapat dilihat kepada
mangsa akibat peperangan ini. Kejadian ini mendatangkan penderitaan dan tekanan jiwa
yang tidak mampu digambarkan oleh kata-kata, melainkan kita sendiri yang berada dalam
situasi tersebut,ibarat “berat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul”.Bagaimanakah agaknya seorang anak kecil meniti kehidupan sendirian di
negara yang dilanda peperangan? Peperangan ini telah menjadi titik hitam dalam
kehidupan mereka, malahan ada yang bertekad untuk membalas dendam atas kematian
7
keluarga mereka apabila dewasa. Mereka tidak seharusnya dijadikan mangsa dalam
perbalahan ini.
Kekejaman Israel dapat dilihat melalui media cetak dan media elektronik yang
begitu jelas memaparkan bagaimana tindakan kejam tentera Zionis menendang seorang
penduduk Palestin di Kampung Jayous dekat Qalqilya di Tebing Barat. Rakyat Palestin
pula hidup menderita di negara sendiri akibat kekurangan pelbagai keperluan harian
seperti makanan, pakaian, bekalan air bersih dan tempat tinggal. Manakala mangsa-
mangsa yang tercedera pula menderita akibat kekurangan bekalan ubat-ubatan. Golongan
yang paling teruk merasi kesan ini adalah golongan kanak-kanak, orang-orang tua dan
mereka yang uzur. Penderitaan mereka semakin bertambah, ibarat “sudah jatuh ditimpa
tangga” apabila tentera Israel telah menyerang kapal bantuan kemanusiaan untuk
disampaikan kepada penduduk Gaza. Mereka bukan sahaja mengacukan senjata,
memukul krew-krew kapal, malah membelasah pekerja bantuan kemanusiaan tersebut
tanpa rasa bersalah. Tindakan Perdana Menteri Lebanon, Found Siniora yang mengutuk
tindakan tentera rejim yang berlaku kejam itu memang tepat dan wajar bagi menunjukkan
pendirian negara tersebut terhadap isu kekekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.
Palestin yang dahulunya sebuah negara yang aman damai, penuh dengan hilai
tawa anak-anak kecil telah bertukar sepenuhnya. Hujan bom dan peluru-peluru askar
Israel telah menyebabkan bangunan pencakar langit rebah ke bumi.Hilai tawa anak-anak
bertukar menjadi tangisan ketakutan. Banyak harta awam juga musnah akibat
8
peperangan. Kemuadahan asas musnah sama sekali.Mereka kehilangan tempat tinggal,
malah ada di antara mereka terpaksa tinggal di bawah runtuhan rumah sendiri. Penduduk
Palestin boleh diibarat seperti pelarian di tanah air sendiri.
Kekejaman tentera Zionis sememangya tidak boleh dimaafkan ,apatah lagi untuk
dilupakan. Keganasan rejim Zionis sepanjang tiga minggu di Gaza telah mengorbankan
kira-kira 13000- penduduk Palestin. Sementara keadaan di Gaza masih tegang, kapal
tentera laut Zionis pula melepaskan tembakan, mensasarkan sebuah kapal nelayan
Palestin yang didakwa berada di perairan yang diisytihar sebagai zon larangan. Dalam
pada itu, Menteri Luar Israel, Tzipl Livni berlepas ke Brussels dengan harapan untuk
mendapatkan komitmen Kesatuan Eropah untuk menyumbangkan kapal, tentera dan
teknologi bagi menghalang penyeludupan senjata oleh puak Hamas. Tindakan Tziol
Livni sememangnya tidak boleh diterima.Hal ini kerana, Menteri Luar Iran, Manouchehr
Mottaki sendiri telah berkata bahawa Hamas, seperti kumpulan pejuang yang lain di
seluruh dunia, berhak mendapatkan senjata bagi menentang penjajahan. Sesebuah
kerajaan atau orang yang mahu mempertahankan diri sudah pasti bertindak untuk
mendapatkan senjata dengan apa-apa jua cara pun.
Tindakan membantu rakyat Palestin sewajarnya dilakukan oleh semua negara
Islam di muka bumi ini. Lihatlah apa yang dilakukan oleh rakyat Malaysia sememangya
wajar dicontohi oleh semua negara lain sebagai tanda simpati terhadap nasib yang
menimpa rakyat Palestin. Pungutan derma dilancarkan ,sebagai contoh Tabung
9
Kemanusiaan Gaza dan Tabung NSTP yang ditubuhkan diharap dapat meringankan
beban penduduk Palestin ini.Begitu juga dengan bantuan perubatan yang dihulurkan
mampu mengurangkan penderitaan mereka, ibarat “berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing”.
Di samping itu, terdapat juga cara lain untuk menunjukkan tanda protes kita
terhadap kekejaman rejim Zionis ini iaitu dengan memboikot semua produk keluaran
mereka . Produk keluaran mereka harus diboikot kerana hasil keuntungan tersebut telah
digunakan untuk membuat senjata nuklear dan peluru berpandu yang boleh
memusnahkan dunia dalam sekelip mata seperti yang telah berlaku ke atas negara
Palestin.Pemimpin Amerika, iaitu Barack Obama pula sepatutnya memainkan peranan
beliau sebagai pemimpin negara besar dan merupakan rakan kongsi Israel, menyuarakan
pendapat beliau berhubung apa yang berlaku di Palestin tidak sewajarnya dilakukan oleh
rejim Zionis tersebut.Dunia menaruh harapan terhadap beliau agar serangan di bumi Gaza
dapat dihentikan dengan segera dan Israel harus berundur dari bumi Palestin. Apakah
harapan yang kita taruhkan itu bakal menjadi kenyataan kerana sehingga kini, Barack
Obama ternyata juga tunduk kepada tekanan Israel, sebagaimana yang terjadi kepada
mantan Presiden Amerika iaitu Bush.
Intihanya, kekejaman yang melanda rakyat Palestin sememangnnya tidak dapat
dimaafkan.dan Israel seharusnya berasa malu serta bersalah atas tindakan mereka yang
dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan itu. Semua negara ,khususnya negara
Islam melalui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) perlu bersepakat dalam usaha
10
mengembalikan hak Palestin dan mewujudkan keamanan semula di Gaza .Ingatlah
bahawa keamanan sejagat adalah hak milik semua makhluk Allah SWT di bumi ini.
Nasib dan perjuangan rakyat Palestin harus dibela oleh semua negara Islam yang
mengamalkan ajaran Islam berpandukan kitab Al-Quran. Marilah kita sama-sama berdoa
agar Allah SWT akan memberi perlindungan dan kemenangan kepada rakyat Palestin
dalam perjuangan mereka itu. Amin.
11
PALESTIN – BILAKAH PENDERITAAN AKAN BERAKHIR?
OLEH: NASIBAH BT SUKERY
5 MARIKH 2009
Tanah yang didiami oleh Palestin dan Israel sekarang merupakan tanah yang
istimewa bagi kedua-dua pihak Islam dan Yahudi kerana telah ditentukan oleh Allah
sejak ribuan tahun yang lampau.Bagi umat Islam , di tanah inilah terbinanya Masjidil
Aqsa iaitu masjid ketiga paling mulai di dunia ini selepas Masjidil Haram dan Masjid
Nabawi. Manakala bagi penganut Yahudi, tanah tersebut merupakan “Tanah yang
dijanjikan tuhan” kepada mereka. Di situlah kampung halaman mereka dan di situ
jugalah nenek moyang mereka berasal.Mereka percaya bahawa di tanah itulah terletaknya
Bukit Zion dan di situ juga tertanamnya Temple of Solamon, iaitu kuil suci mereka. Atas
kedua-dua sebab itulah tanah tersebut menjadi rebutan antara Muslim dan Yahudi sejak
dari dulu sehingga membawa kepada pertumpahan darah sekarang.Oleh sebab ini jugalah
ramai rakyat yang tidak berdosa telah dibunuh dan diseksa serta terpaksa menjadi
pelarian di negara sendiri.
Faktor yang menyumbang kepada peperangan di Gaza, Palestin hari ini
sebenarnya telah bermula sejak dari tahun 1829 lagi apabila pemimpin Yahudi di
beberapa buah negara membaut rancangan untuk bekerjasama melaksanakan projek
menjadikan Palestin sebagai tempat tinggal Yahudi.Menteri Luar British, Balfour telah
berjanji kepada Kesatuan Yahudi Sedunia untuk mendirikan negara bagi bangsa Yahudi
12
di Palestin. Setelah Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat selaku kuasa besar
memainkan peranan penting dalam penubuhan negara Israel.Pada awalnya, penduduk
Yahudi yang semakin sedikit serta mereka hidup dalam kesusahan dan
ketakutan, Persatuan Yahudi Amerika mengutuskan tuntutan kepada Presiden Amerika
Syarikat .Pada November 1947, tuntutan itu dibawa ke Persidangan Pertubuhan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB) lalu PBB mendeklarasikan pemisahan Palestin.Pada 16 Mei 1948,
kerajaan sementara Israel ditubuhkan di Palestin dengan sokongan dari PBB.Presiden
Amerika Syarikat menyokong sepenuhnya penubuhan negara Israel , maka wujudlah
penempatan Israel di Palestin yang dirampas secara haram sehingga kini.
Sejak berlakunya peperangan di Gaza, rakyat Palestin kini hidup dalam ketakutan
dan kebimbangan.Warga tua, wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa dibunuh dan
diperlakukan seperti binatang tanpa ada sedikitpun rasa belas kasihan oleh pihak
Israel.Bayi yang baru hendak mengenal dunia juga turut ditembak dan dibunuh dengan
kejam.Rakyat Palestin lebih menderita apabila kediaman mereka turut dibom oleh rejim
Zionis tersebut. Mereka terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri.Anak-anak yang
kehilangan ibu bapa pula hilang tempat bergantung dan tempat berlindung serta mereka
terpaksa hidup menderita dengan perasaan takut yang sentiasa menghantui .Alangkah
kejamnya Israel yang memperlakukan mereka sedemikian rupa tanpa ada rasa
kemanusiaan.Sekolah-sekolah turut dibom menyebabkan ramai anak-anak muda di
Palestin tidak dapat meneruskan pembelajaran mereka untuk menuntut ilmu.Penderitaan
ini terus-terusan akan dialami oleh rakyat Palestin sehingga Israel berjaya meluaskan
sempadannya di samping untuk menghapuskan umat Islam sejagat.
13
Israel dengan rakus meratah bumi Gaza dengan bedilan senjata
canggih.Kehidupan rakyat di Genting Gaza diselubungi ketakutan, kebimbangan dan
trauma. Rakyat Palestin sudah lama tidak menikmati situasi aman dan harmoni di negara
sendiri. Mereka terus menerus diasak dengan ancaman, pembunuhan dan kelaparan.
Penderitaan mereka seakan-akan tidak ada noktahnya. Jika diratapi apa yang sedang
berlaku di Palestin hari ini, maka sudah sewajarnyalah kita insaf akan nikmat yang kita
kecapi di negara kita ketika ini.Mereka dihimpit dengan suasana yang menyeksa fizikal
dan mental. Peluang untuk menikmati kehidupan dalam suasana aman dan damai sudah
tidak terlintas lagi. Apa yang ada kini ialah perjuangan untuk mengembalikan yang
hak.Kita sebagai warganegara yang bertuah mendiami bumi Malaysia yang tidak putus-
putus dilimpahi kemakmuran dan kedamaian perlu memanjatkan kesyukuran secara
berterusan.
Sebagai rakyat yang prihatin dan mempunyai belas kasihan, apakah yang boleh
kita lakukan? Adakah kita hanya melihat sahaja di surat khabar atau televisyen tanpa rasa
bersalah dan simpati? Kita sememangnya tidak mampu untuk bertempur dengan senjata,
namun kita masih boleh membantu dari aspek yang lain.Walaupun hal ini tidak seberapa,
tetapi itu adalah salah satu ikhtiar yang boleh kita usahakan untuk meringankan
penderitaan rakyat Palestin. Salah satu daripadanya adalah dengan membuat kutipan
derma khas agar dapat disalurkan kepada mangsa-mangsa peperangan di Gaza. Cara lain
adalah dengan memboikot barangan buatan Israel dan Amerika. Namun, untuk
memboikot sesuatu barang, mungkin bukanlah satu keputusan yang mudah kerana ada
14
antara barang-barang tersebut telahpun menjadi sebahagian daripada keperluan seharian
masyarakat. Kebanyakan jenama yang ada telah lama bertapak di negara ini, malah
diuruskan oleh rakyat negara ini sendiri. Walaupun begitu, kita sebagai pengguna yang
bijak tetap mempunyai hak untuk memilih. Selain itu, cara yang paling mudah untuk
membantu adalah dengan berdoa dan sentiasa melakukan solat hajat.Kita boleh
memohon agar warga Palestin selamat dari kekejaman Israel dan semoga masih ada sinar
kedamaian untuk rakyat Palestin.
Sememangnya tidak ada seorang pun antara kita yang tidak inginkan keamanan
dan kedamaian.Begitu juga dengan rakyat Palestin di Gaza, mereka turut mengimpikan
ketenangan buat diri mereka. Mereka juga mendambakan kebebasan dan kemerdekaan
untuk negara tercinta.Mereka ingin bebas melakukan apa-apa sahaja yang terlintas di
fikiran tanpa gangguan daripada anasir luar. Rakyat juga mahukan kemajuan untuk
negara mereka agar dapat bersaing dengan kuasa-kuasa besar yang lain. Ibu bapa pula
berharap dapat melihat anak-anak mereka bersekolah kerana mereka adalah penggerak
masa depan yang akan membentuk corak pentadbiran negara suatu hari nanti. Saidina
Umar bin Al-Khattab pernah berkata bahawa jatuh dan bangunnya sesebuah negara,
lihatlah pada generasi mudanya.
Cara yang lebih berkesan untuk mengurangkan lagi beban yang ditanggung oleh
mangsa peperangan di Gaza ialah dengan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB) agar memainkan peranan mereka dengan lebih aktif. PBB merupakan pertubuhan
antarabangsa yang dibentuk di San Fransisco, California pada 24 Oktober 1945 , selepas
15
Perang Dunia Kedua. Keahliannya terbuka kepada semua negara di seluruh dunia.
Matlamat utamanya, sebagaimana yang ditetapkan dalam Piagam PBB adalah untuk
mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia,
menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa serta membaiki taraf hidup
penduduk di seluruh dunia. PBB juga berperanan dalam memberi bantuan kemanusiaan
di samping Persatuan Palang Merah yang turut membekalkan makanan, air minuman,
tempat perlindungan dan perkhidmatan kemanusiaan yang lain kepada penduduk yang
mengalami kebuluran, terpaksa berpindah randah akibat perang atau menderita
disebabkan bencana yang lain.Maka untuk peperangan yang sedang berlaku di Gaza kini,
PBB haruslah lebih prihatin akan peranan mereka yang sebenar agar pergolakan tersebut
reda dan episod penderitaan rakyat dapat dikurangkan.
Sememangnya kita perlu bersyukur dengan penubuhan PBB kerana di dalam
dunia yang serba canggih dan moden ini, masih ada warga yang prihatin dan memandang
berat dengan masalah yang berlaku di sekeliling.Sekurang-kurangnya hasrat penduduk di
Malaysia yang ingin menolong saudara seagama dapat disuarakan.Cuba kita bayangkan
dengan kekuatan negara kita yang baru hendak membangun yang sememangnya tidak
standing dengan kekuatan Israel, apakan daya kita untuk melawan mereka.Sekurang-
kurangnya melalui PBB, kita dapat menyuarakan bantahan terhadap pencerobohan yang
dilakukan oleh rejim Zionis ini terhadap rakyat Palestin. Kekejaman Israel haruslah
dihentikan dengan segera.Israel perlu sedar tentang asal usul mereka dan jangan jadi
seperti “kacang lupakan kulit”. Marilah kita terus berganding bahu dan duduk semeja
16
berdiskusi untuk membantah kekejaman rejim Zionis daripada terus meragut lebih
banyak nyawa warga yang tidak berdosa.
17
Semangat kejiranan kini semakin luntur dalam masyarakat Malaysia. Bincangkan punca-punca mengapa semangat ini semakin luntur dan sarankan pelbagai langkah bagi menangani permasalahan tersebut.
Oleh: Asma Nabihah5 Musytari 2009
Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita. Semangat
kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat.Selain dapat
memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pada zaman dahulu,
hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti
aur dengan tebing.” Pada zaman kini, hubungan sesama jiran renggang “bagai enau
dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”.
Pelbagai punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin luntur, antaranya
perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk
menyara keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup dunia
moden sering memaksa warga kota bekerja sepanjang hari. Sebagai akibatnya, mereka
keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa sesama jiran mereka.Corak pekerjaan
yang dilakukan oleh masyarakat dahulu dan sekarang sangat berbeza. Masyarakat zaman
dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat bekerjasama
18
di antara mereka, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.
Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan
kerjasama. Oleh itu, perubahan hidup masyarakat sekarang jelas menjadi penyebab
kepada kelunturan semangat kejiranan masa kini.
Selain itu, kemajuan dalam bidang teknologi turut mempengaruhi kelunturan
semangat kejiranan masa kini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin
berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit,
televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini
semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang
terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan
bersusah-payah untuk mendapatkannya. Kemudahan peralatan canggih seperti ini
selalunya terdapat di dalam rumah mereka yang menyebabkan mereka semakin tidak
menghiraukan semangat kejiranan. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-
mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Oleh itu, kemajuan dalam bidang
teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan.
Arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca
semangat kejiranan semakin luntur pada masa kini. Dewasa ini, pembangunan negara
berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur
kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi
tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan
yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan
19
semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri
sendiri berpanjangan dalam masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat yang
bersikap seperti ini tidak akan berjaya kerana perpaduan mereka amat rapuh dan mudah
dipengaruhi oleh anasir luar. Tuntasnya, pembangunan yang begitu pesat melanda negara
juga menjadi punca kepada lunturnya semangat kejiranan dalam masyarakat Malaysia
pada hari ini.
Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan ,
antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royong .Hal ini membolehkan
masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan
kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-
samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya.
Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota
masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.Aktiviti ini juga
boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran , bak kata pepatah “hati gajah sama
dilapah, hati kuman sama dicecah”.Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali
amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan
dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan
salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui
amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama
pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang
20
kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan
yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang
beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut
Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekali gus dapat mengeratkan
hubungan kejiranan sesama insan. Oleh itu, kempen amalan rumah terbuka harus
diperhebatkan lagi agar boleh mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada
seluruh warga Malaysia yang mendiami di bumi bertuah ini.
Intihanya, semangat kejiranan dapat dipupuk sekiranya masyarakat menyedari
peri pentingnya semangat tersebut dalam kehidupan bermasyarakat.Semangat kejiranan
juga penting dalam konteks negara kita sebagai sebuah masyarakat berbilang
bangsa.Semangat kejiranan yang kental sekali gus dapat membantu usaha-usaha
perpaduan negara yang selama ini menjadi agenda utama kerajaan untuk memastikan
keharmonian negara.Marilah kita sama-sama mempraktikkan slogan “jiran sepakat
membawa berkat” ini dalam kehidupan berjiran agar negara kita terus aman dan
harmoni sepanjang masa.
21
Kegiatan lumba haram sering menjadi ikutan remaja masa
kini.Ibu bapa sering dipersalahkan apabila anak-anak terlibat
dalam gejala tersebut. Pada pendapat anda, wajarkah ibu
bapa dipersalahkan dalam hal ini? Beri komen anda
berhubung isu ini.
Oleh : Hanani Nadiah
5 Musytari 2009
Menurut Kamus Dewan, perkataan “lumba haram” boleh didefinisikan sebagai
satu jenayah atau perbuatan melanggar undang-undang dan peraturan. Kegiatan lumba
haram biasanya melibatkan golongan berkumpulan yang menyumbang kepada
peningkatan kemalangan jalan raya. Kegiatan lumba haram di negara kita semakin
meruncing yang menyumbang kepada jenayah yang lebih berat jika kegiatan ini semakin
menular dan dibiarkan begitu sahaja tanpa inisiatif yang lebih berkesan
dilakukan.Kegiatan ini juga menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat
dan sering menjadi paparan majalah atau menghiasi dada akhbar. Pendedahan demi
22
pendedahan tentang masalah remaja dijadikan agenda penting untuk
diselesaikan.Fenomena yang sudah lama bersarang dalam kehidupan masyarakat kini
dapat memberi satu persepsi bahawa kelekaan dan kealpaan ibu bapa terhadap
tanggungjawab mendidik , mengasuh dan membimbing generasi kita semakin terabai,
malah sudah pasti akan meranapkan impian Malaysia mencapai visi Wawasan 2020.
Saya berpendapat bahawa ibu bapa wajar dipersalahkan sepenuhnya dalam hal
ini.Hal ini kerana kelalaian ibu bapa dalam mengawal anak-anak mereka merupakan
faktor perdana yang menimbulkan masalah ini. Seperti kata pepatah, “sudah terang lagi
bersuluh”, kini sudah menjadi lumrah ibu bapa pada masa sekarang rakus mengejar
kemewahan dan kebendaan semata-mata untuk memenuhi naluri mereka sehingga
sanggup mengabaikan anak sendiri. Ibu bapa masa kini menyerahkan tugas menjaga
anak-anak kepada pemabtu rumah sepenuhnya. Bertitik tolak dari sinilah, remaja
mengambil kesempatan keluar untuk meneroka dunia yang penuh dengan penipuan dan
jenayah di jalan raya kerana merasakan jiwa mereka kosong akibat keperluan emosi tidak
dipenuhi dengan belaian kasih sayang oleh ibu bapa. Akibat kekurangan dan ketandusan
kasih sayang serta goyah pegangan agama, remaja mudah bergaul dengan kumpulan
samseng yang mengheret mereka ke lembah jenayah yang pastinya akan memusnahkan
masa depan mereka. Tidakkah kita berasa takut jika perkara seperti ini terjadi dalam
kalangan anak-anak kita? Tepuk dada, tanya selera.
Petanda kepada kehancuran masa depan generasi masa kini adalah apabila ibu
bapa terlalu memberi kebebasan kepada anak-anak mereka yang merupakan pewaris
23
negara akan datang. Pelbagai cabaran yang menghambat ibu bapa masa kini
menyebabkan mereka lebih cenderung untuk memenuhi segala keinginan, kemahuan dan
kebebasan yang dituntut oleh anak-anak tanpa menyedari akan kesan atau akibat yang
bakal diterima khususnya dari aspek akhlak, moral dan tingkah laku mereka. Hal inilah
yang menyebabkan anak-anak menjadi liar iaitu keluar dari rumah pada awal pagi dan
pulang menjelang senja dan larut malam. Dengan ketiadaan kasih ssayang dan perhatian
serta kebebasan yang kerterlaluan menyebabkan anak-anak tidak betah untuk berada di
rumah, sebaliknya mencari keseronokan yang ada di luar iaitu dengan berlumba haram di
jalan raya..Aktiviti seperti ini akan terus menular jika ibu bapa memberi segala kemahuan
dan keinginan tanpa menghayati peribahasa, “sayangkan anak, tangan- tangankan,
sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan.”
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan penyumbang kepada
berlakunya kegiatan lumba haram yang semakin berleluasa di negara kita ini. Pada
peringkat remaja, pengaruh rakan sebaya amat kuat dan menebal di jiwa mereka.Jika
remaja terlibat dalam kumpulan sebaya yang menyimpang dari landasan sebenar, sudah
pasti akan berupaya mengheret remaja untuk terlibat dalam kegiatan tidak bermoral ini.
Pelbagai cabaran yang menghambat kehidupan remaja sudah pasti akan menenggelamkan
mereka ke dalam arus kehancuran jika tiada benteng penahan yang kuat. Oleh itu, ibu
bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak harus memastikan dengan siapa
anak mereka bergaul dan ke mana mereka pergi bagi memastikan pengaruh yang negatif
tidak meresap ke dalam jiwa anak-anak.
24
Pengaruh media massa turut menjadi penyumbang kepada penularan gejala lumba
haram dalam kalangan remaja masa kini. Pemaparan aksi-aksi berunsur keganasan di
jalan raya telah membangkitkan keinginan remaja untuk mencuba sebagaimana yang
terpapar tanpa memikirkan kesan atau akibat daripada perbuatan tersebut.Sebagai contoh,
kemalangan jalan raya yang sering berlaku adalah sebagai akibat daripada tindakan
sebahagian remaja yang berlumba di jalan raya. Mahukah kita melihat anak-anak
mengalami kecacatan seumur hidup sebagai akibat daripada perbuatan bodoh mereka?
Mahukah kita menyaksikan orang yang tersayang menjadi korban akibat kerakusan
sendiri di jalan raya? Ingatlah, ‘sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak
berguna”.
Oleh itu, siapakah yang harus dipersalahkan dalam hal ini? Persoalan mengapa
dan bagaimana tentulah tidak mudah untuk dijawab.Jadi , masyarakat haruslah
berganding bahu memainkan peranan yang penting untuk membendung gejala ini
daripada terus menjadi wabak yang sukar diubati. Institusi keluarga haruslah memainkan
peranan yang penting bagi menangani senario ini. Mereka harus menjadi pendengar setia
dan bermusyawarah bersama anak-anak untuk mendengar masalah dan menyedarkan
setiap perbuatan yang dilakukan oleh mereka. Ibu bapa harus melengkapkan remaja hari
ini dengan didikan agama yang secukupnya dan sempurna sejak kecil.Hal ini boleh
diumpamakan seperti ‘melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.
Di samping itu, kempen-kempen kesedaran dan program berfaedah haruslah
dijalankan oleh kerajaan bagi mengelakkan peningkatan kadar kegiatan lumba haram di
25
jalan raya. Usaha-usaha ini akan membina motivasi dalam diri remaja , seterusnya akan
dapat membentuk sahsiah remaja yang mementingkan cara hidup berunsur positif bagi
menjulang negara ke puncak jagat. “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara”,
remaja sebagai aset penting negara mestilah berjuang untuk membebaskan diri daripada
terus menjadi penyebab kepada tercalarnya imej negara. Walaupun milineum baru ini
yang pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi, namun tanpa kerjasama yang
utuh dan persefahaman yang jitu dari seluruh warga, hasrat untuk mengurangkan gejala
buruk ini tidak akan kesampaian. Oleh itu, marilah kita berganding bahu ke arah
permuafakatan dalam usaha bersama-sama membasmi lumba haram dalam kalangan
remaja agar masalah sosial dan susila yang meruncing dapat ditangani.
26
top related