kain pua complete
Post on 12-Jun-2015
866 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Kesenian masyarakat Dayak di Malaysia boleh disamakan dengan kehalusan
kesenian masyarakat Melanisia dan Afrika. Hal ini demikian kerana seperti yang
diketahui umum sumber kesenian Melanisia dan Afrika adalah yang terbaik dan unik di
dunia. Kesenian masyarakat Dayak seperti ukiran kayu, binaan rumah panjang, pakaian,
dan sebagainya mempunyai nilai universal dan telah menjadi khazanah berharga dunia.
Menurut Wallace (1983), sumber motif kesenian masyarakat Dayak lebih banyak
dipengaruhi oleh motif dari tanah besar Benua Asia seperti China dan Vietnam. Gaya
seni dari tamadun Dongson yang bermula 300 Sebelum Masihi (S.M) sehingga 100 S.M
di Vietnam telah tersebar ke Kepulauan Borneo. Motif Dongson telah memberi inspirasi
kepada masyarakat Dayak di Borneo untuk mengembangkan hasil kesenian mereka.
Antara hasil motif pengaruh Dongson ialah corak putaran dan perulangan garis yang
pelbagai bentuk. Selain itu, corak atau motif manusia atau haiwan juga mendapat
pengaruh Tamadun Dongson. Corak ini pada menjadi hiasan pada tenunan geometri yang
terdapat pada pakaian masyarakat Dayak.
Pengaruh Tamadun China pula dapat dilihat pada pengaruh Dinasti Chou lagi
iaitu antara 400 S.M hingga 200 S.M. Tamadun ini telah meninggalkan lebih banyak
tanda dalam kesenian masyarakat Dayak. Pengaruh Chou dapat dilihat dalam pembuatan
topeng masyarakat Dayak. Selain itu, kepelbagaian corak binatang legenda Chou dan
diletak bersama dengan pengaruh tamadun lain telah menghancurkan ketidakseimbangan
rekaan, hal ini sebaliknya rekaan yang unik dan harmoni pula dapat dihasilkan. Pengaruh
lain seperti Hindu juga dapat dilihat melalui motif harimau dalam kesenian masyarakat
Dayak, memandangkan haiwan tersebut tidak wujud di kepulauan Borneo. Pengaruh
Tamadun Hindu dikatakan tersebar ke Borneo melalui Kepulauan Jawa.
1
Menurut Kartiwa Dra. Suwati (1983), suku-suku masyarakat Dayak secara
dasarnya satu, iaitu mempunyai ciri-ciri persamaan dalam kebudayaannya. Antara
persamaan yang terdapat dalam kebudayaan tersebut ialah mata pencarian seperti
bercucuk tanam di ladang, prinsip keturunan ambilineal, peralatan perang yang sama,
upacara kematian yang bersifat potlatch, dan agama asli Kaharingan yang tercampur
dengan amalan animisme. Secara umumnya masyarakat Dayak di Kepulauan Borneo
mempunyai pelbagai suku kaum seperti Melanau, Apo Kayan, Bahau, Kenyah, Iban dan
sebagainya. Semua masyarakat Dayak ini mempunyai hasil kesenian yang menjadi
identiti mereka yang tersendiri. Semua hasil kesenian yang dihasilkan mempunyai
keunikan yang berbeza antara satu sama lain. Antara kesenian yang mendapat perhatian
ialah hasil tenunan kain pua yang dihasilkan oleh masyarakat Iban. Tenunan kain pua
merupakan pekerjaan tradisi suku kaum Iban di Sarawak yang berpotensi dimajukan.
Masyarakat Iban secara amnya hidup dalam komuniti harmoni dalam rumah
panjang. Mereka menyara hidup dengan bercucuk tanam, berhuma, menangkap ikan,
memungut hasil hutan dan sebagainya. Cara hidup mereka tidak berbeza dengan
masyarakat Dayak yang lain. Walau bagaimanapun, pada zaman dahulu kala, masyarakat
Iban amat ditakuti oleh masyarakat Dayak yang lain kerana aktiviti memburu kepala yang
diamalkan oleh mereka. Selain itu, mereka juga dianggap sebagai lanun yang digeruni
pada abad ke-19. Meskipun dianggap ganas oleh sesetengah masyarakat, kaum Iban
masih mempunyai nilai-nilai kehalusan seni yang tiada tandingan. Antara hasil seni yang
tersohor ialah kain pua.
Kain pua hanya ditenun oleh kaum perempuan Iban sahaja. Kain pua dikatakan
mendapat sentuhan Tamadun Dinasti Chou. Dalam masyarakat Iban adalah menjadi satu
2
kemestian sesebuah keluarga itu mempunyai satu kain pua. Amat memalukan dan
menjatuhkan maruah jika sesebuah keluarga Iban itu tidak mempunyai sehelai kain pua
dalam simpanan mereka.
Dalam masyarakat Iban tradisional, setelah melangkah ke alam perkahwinan,
seseorang wanita itu akan mula menimba ilmu menenun kain pua. Dalam proses untuk
menjadi seseorang yang mahir menenun Pua, wanita itu akan mempelajari teknik
menenun daripada ibu, nenek, atau perempuan lain yang mahir menenun dalam rumah
panjang yang didiaminya. Setiap wanita yang baru belajar menenun akan mempunyai
impian untuk menjadi indu tau muntang tau engkebang, iaitu seseorang wanita yang
boleh menenun kain pua tanpa perlu melihat corak yang ingin dihasilkan. Apabila wanita
itu telah mencapai tahap sebagai penenun yang mahir, mereka boleh menyertai aktiviti
ngembun pada waktu malam. Aktiviti ini hanya dilakukan oleh sekumpulan penenun
mahir sahaja. Kumpulan ini dikenali sebagai indu takar indu gaar iaitu wanita yang
dicemburui oleh wanita lain sepanjang hayat.
Kumpulan wanita yang mempunyai kemahiran tinggi dalam menenun kain pua
mewariskan kemahiran mereka kerana berdasarkan kepercayaan mereka mendapat magis
atau ubat sewaktu menjalankan aktiviti ngembun. Oleh itu, ramai wanita yang mahu
belajar menenun berusaha mendapatkan ilmu menenun daripada kumpulan tersebut.
Aktiviti ngembun pada kebiasaanya dilakukan pada waktu malam yang kurang hujan atau
musim kemarau. Musim kemarau melanda Sarawak pada bulan Jun, Julai, dan Ogos.
Oleh itu, pada bulan tersebut, aktiviti ngembun akan dijalankan di kawasan terbuka
seperti di tanju atau pentas rumah panjang yang berada di luar. Melalui beberapa
kumpulan penenun wanita yang diketuai indu takar indu gaar, mereka akan
3
mendedahkan benang di bawah air embun. Sewaktu aktiviti ini dijalankan, mereka tidak
akan tidur kerana bimbang hujan akan turun dan merosakkan benang tersebut.
Benang untuk membuat kainpua dibuat daripada kapas atau taiya. Apabila musim
menuai padi huma telah berakhir, tanah tersebut akan dibersihkan bagi menanam pokok
kapas. Ladang kapas dikenali sebagai empelai taiya oleh masyarakat Iban. Penanaman
pokok kapas ini dilakukan pada awal April dan akhir Julai, kapas itu akan dituai. Pada
kebiasaanya, pembersihan ladang dilakukan oleh kaum lelaki Iban manakala kerja
menuai dilakukan oleh kaum wanita.
Secara umumnya, tinggi pokok kapas Dagang ialah setinggi 4 kaki, manakala
tinggi pokok kapas Bendar lebih rendah. Buah kapas dipanggil sebagai kulit kapok.
Selepas dituai kulit buah kapas yang keras dibuang dengan pisau dan kekabu kapas ini
akan diletak dalam bekas yang dipanggil sebagai pemigi. Tujuan kapas itu diletak ke
dalam pemigi ialah untuk mengasingkan biji kapas.Setelah semua biji diasingkan, kapas
itu akan dikerat-kerat dengan pisau. Aktiviti ini dikenali sebagai nganggut taiya. Selepas
itu, kapas ini akan dilonggokkan diatas tikar rotan yang besar yang berukuran 2 kaki
tinggi dan 2 kaki lebar. Selepas itu, kapas itu diputar diatas ‘pelayang benang’ untuk
menjadikan kapas itu berbentuk bebola atau bulat.
Setelah siap diputar, benang itu akan dijemur di atas galah buluh yang tinggi
selama tiga hari dan tiga malam. Pada hari keempat, kapas itu akan diterbalikkan atas dan
bawah, seterusnya didedahkan di bawah udara yang sejuk antara pukul 6 petang hingga
10 malam sama seperti tiga hari sebelumnya. Kemudian kapas itu akan digoncang bagi
membuang kotoran habuk dan air garam yang terdapat pada bebola kapas itu. Selepas
kapas itu dibersihkan, benang kapas itu akan dijemur di atas tanju semula. Kapas itu akan
4
dibiarkan di bawah sinaran matahari dan embun selama tujuh hingga lima belas hari
kecuali jika hujan melanda dalam tempoh tersebut. Pada penghujung hari, bebola kapas
itu menjadi sangat putih. Apabila kapas itu dialihkan dari tanju, kapas itu akan direndam
dan dibasuh di dalam sungai, tujuan benang ini direndam dengan air adalah supaya
benang putih ini akan cepat meresap apabila direndam di dalam air kanji. Kemudian
kapas itu dijemur kembali di bawah cahaya matahari.
Setelah kering, benang itu akan diletakkan di atas rangka buluh untuk disikat
dengan air kanji dan air daun lalang. Proses mengkanji ini dilakukan supaya benang yang
akan digunakan dalam tenunan pua tidak berbulu dan mudah putus. Benang ini akan
dibersihkan dengan dengan lidi kelapa. Aktiviti dinamakan sebagai kerja nyikat. Apabila
nyikat selesai dilakukan, benang itu akan dibilas dengan kayu dan sekali lagi dikeringkan
di bawah cahaya matahari mengikut keadaan cuaca. Biasanya proses pengeringan
mengambil masa antara satu hingga dua hari sahaja.
Kemudian, benang yang telah dikanji ini akan diputar ke dalam alat yang dikenali
sebagai jangkang untuk menjadikan berbentuk bulat. Proses mengirit akan dilakukan,
benang yang telah digulung dalam bentuk bulat akan dimasukkan ke dalam mangkuk
benang untuk memudahkan kerja-kerja mengirit dilakukan. Alat menenun atau loom akan
digunakan dalam proses ini. Proses mengirit dilakukan dengan membawa mangkuk yang
berisi benang dari bahagian kiri loom tenunan dan dibawa dari bawah ke atas. Benang ini
akan diselitkan dengan anak-anak kayu sepanjang tiga puluh inci di antaranya bagi
memudahkan kerja mengarap dilakukan kelak.
Dalam proses mengarap, ‘kayu Lambongan’ digunakan untuk memasukkan
benang yang terselit antara kayu-kayu kecil dan dikaitkan dengan jari. Benang ini
5
kemudiannya akan diikat pada kayu kecil yang disusun antara ’kayu Lambongan’ dan
‘Beliak Besar’ . Benang ini akan diangkat dan dimasukkan pada kayu kecil atau lidi
supaya benang itu tidak bergerak keluar. Kemudian proses menegi akan dilakukan untuk
memendekkan benang dan menjimatkan masa untuk proses mengikat.
Benang yang telah digarap akan dilipat kepada dua bahagian secara berselang-
seli. Proses ini juga dikenali sebagai dandanan benang. Benang yang telah siap dilipat ini
akan dijahit pada bahagian atas dan bawah supaya jaluran urat benang akan selari di
antara kedua-dua bahagian. Proses menegi atau memilih benang atas atau bawah
dilakukan seperti menganyam. Benang akan ditegangkan dengan diselitkan dua batang
kayu pada kedua-dua hujung kayu akan diikat. Benang ini akan diikat dengan daun
Kerupok atau daun Pandan agar benang itu berada dalam keadaan lurus. Pada zaman
moden, tali ‘rafia’ akan digunakan untuk memisahkan benang yang diselitkan berselang-
seli untuk memudahkan kerja-kerja mengikat motif kelak. Tali rafia yang sama akan
dijahit dan digunakan juga untuk mengikat kayu pada loom tenunan dengan tujuan
menegangkan benang. Benang yang telah siap dilipat akan diletak pada alat yang
dipanggil sebagai tiang tendai. Tiang tendai ini juga dikenali sebagai tangga kebat atau
tangga benang. Benang ini tidak ditanggalkan dari tangga benang bagi memudahkan
kerja-kerja mengikat motif dilakukan. Kerja mengikat motif boleh dilakukan sama ada
berseorangan atau berdua mengikut keperluan.
Selepas benang itu diikat dengan kemas, ia akan diambil dari tangga benang
untuk melalui proses mencelup pertama. Benang itu akan direndam dalam air dan dibilas
sebelum direbus. Dalam masyarakat Iban tradisional, bahan pewarna dibuat daripada akar
pokok Jangit dan daun Mengkudu. Bahan ini akan dimasak bersama air yang dicampur
6
dengan garam. Sebelum dimasukkan bahan tersebut, air garam itu akan dibiarkan
mendidih. Tujuan garam diletakkan ke dalam air tersebut adalah bagi mempercepatkan
penyerapan warna. Untuk menyejukkan bahan pewarna ini, air rebusan itu dituang ke
dalam sulang yang merupakan bekas yang diperbuat daripada loyang. Setelah itu,
benang tadi dimasukkan ke dalam bekas campuran warna dan dibiarkan selama tiga
hingga lima minit. Kerja ini dilakukan berulang kali supaya warna yang dicelup menjadi
sekata atau semua bahagian benang menyerap warna seperti yang dikehendaki.
Benang yang telah diwarna akan diangkat dan kemudian dibasuh menggunakan
air biasa sebelum dibilas dan dikanji sekali lagi. Setelah siap dikanji, benang ini akan
diletak semula pada tangga benang lain yang dipanggil sebagai tangga ubong untuk
dikeringkan selama sehari dibawah sinaran matahari.
Benang yang telah dikeringkan, akan menjalani proses mengikat kedua, walau
bagaimanapun, ikatan yang pertama tadi dibiarkan atau tidak dibuka ikatannya. Dalam
proses mengikat kedua ini, ikatan pada benang ditambah bagi tujuan kerja pencelupan
warna kedua. Proses pencelupan kedua ini sama dengan proses pencelupan pertama cuma
pada kebiasaanya warna-warna gelap digunakan seperti warna hitam atau biru. Dalam
masyarakat Iban tradisional, pewarna biru dihasilkan daripada sejenis tumbuhan iaitu
daun Tarum. Bagi masyarakat Iban yang moden pula, sewaktu pencelupan warna kedua
dilakukan, bahagian atas benang akan dibungkus dengan plastik bagi mengelakkan
terkena warna hitam atau biru tadi. Dengan lain perkataan, tidak semua benang dicelup
dengan warna hitam.
Setelah kerja-kerja mencelup selesai, sekali lagi benang akan dibasuh dan dibilas
sebelum dikanji semula. Kemudian benang itu akan dikeringkan di bawah sinaran
7
matahari apabila kering, ikatan benang itu akan dibuka dengan pisau kecil. Setelah semua
ikatan dibuka, lipatan atau hasil proses menegi dan jahitan pada bahagian atas dan bawah
benang turut dibuka. Panjang benang yang telah siap dicelup warna adalah dua kali ganda
panjangnya sebelum dilakukan proses pencelupan warna. Benang tersebut akan
diletakkan pada galah buluh di mana ianya akan diluruskan. Daripada rangka galah
tersebut, benang itu akan diletakkan pada tiang tenun. Bahagian atas benang akan
dimasukkan pada kayu rakup manakala bahagian bawah benang akan disusupkan pada
loom tenunan dan ditarik sehingga tegang.
Kerja menegangkan benang ini dilakukan untuk memudahkan kerja-kerja
menyusun dan mengatur benang supaya selari antara bahagian atas dan bawah. Mana-
mana urat benang yang terputus akan disambung sebelum kerja mengirit bahagian tepi
dan mengarap dilakukan. Bagi menenun sehelai kain Pua yang berukuran lebih kurang
186 sentimeter x 45 sentimeter, masa antara dua puluh hingga tiga puluh hari diperlukan
untuk menyiapkannya. Kepantasan kerja-kerja menenun bergantung atas kepakaran
seseorang penenun.
Kerja-kerja menenun dilakukan setelah benang yang akan ditenun dipasang pada
loom tenunan. Kedudukan bahagian atas yang dipasang pada rakup lebih tinggi daripada
bahagian bawah yang diikat pada kaki loom tenunan. Bahagian bawah ini juga
disambungkan dengan sengkabit iaitu alas belakang semasa menenun. Selain digunakan
sebagai alas belakang, sengkabit juga berfungsi sebagai penegang ketika mengepoh
benang. Proses menenun Pua adalah sama dengan proses menenun kain songket. Benang
yang dilancarkan dengan jengkuan iaitu pemegang yang terdapat pada loom tenunan
akan dipangkah dengan benang kapas untuk dijadikan sebagai kain pua. Walau
8
bagaimanapun, proses menyolek tidak perlu dilakukan kerana benang yang akan ditenun
telah diwarnakan sebagai motif. Terdapat pelbagai motif yang boleh dibuat terhadap kain
Pua, antaranya ialah lebur api, ular sawa, gajah, ketam, katak, burung Enggang, semut
api, dan sebagainya.
Kain pua mempunyai pelbagai kegunaan, contohnya Kain pua boleh digunakan
sebagai hiasan pada penggendong bayi. Walau bagaimanapun, kepelbagai guna kain pua
lebih bercirikan kepada unsur-unsur mistik pada zaman dahulu kala. Dalam adat ngayau
atau memenggal kepala, isteri masyarakat Iban akan menggunakan kain pua dalam
upacara menerima kepala musuh yang dipenggal dari tangan suami mereka. Adat ini
hanya diamalkan oleh masyarakat Iban dahulu kala sahaja dan telah terhapus ditelan
zaman.
Pada zaman moden sekarang, kain pua digunakan untuk menghias dinding rumah
jika terdapat festival atau perayaan tertentu. Selain itu, kain pua juga digunakan untuk
menghias bumbung bot yang digunakan sebagai alat pengangkutan menjemput pengantin
perempuan untuk dibawa ke rumah pengantin lelaki. Kain pua juga digunakan dalam
upacara sapat iaitu kain itu diletakkan pada mayat selama tiga hari dan tiga malam
sebelum mayat itu dikebumikan. Upacara sapat boleh dibaratkan sebagai upacara
bekabung.
Penghasilan kain pua kian dilupai oleh masyarakat muda Iban. Perubahan corak
hidup masyarakat Iban yang kian terdedah kepada kehidupan moden telah membawa
gelombang perubahan gaya hidup mereka. Kini pelajaran dianggap sebagai item penting
9
untuk mengubah status hidup sosial. Oleh itu, masyarakat Iban tidak ketinggalan dalam
meniti arus kemodenan ini. Mereka menghantar anak perempuan ke sekolah untuk
menjadi seorang yang berjaya untuk mengubah hidup keluarga. Hal ini menyebabkan
amalan menenun kain pua tidak lagi dianggap sebagai satu kewajiban yang perlu
dilakukan oleh setiap wanita Iban pada zaman sekarang.
Selain itu, kesenian yang berkualiti tinggi tidak lagi banyak dihasilkan di
Kepulauan Borneo pada zaman sekarang. Semenjak negeri Sarawak menerima kebanjiran
pelancong, banyak kedai cenderamata dan kedai barangan antik dibuka. Pada zaman
moden, sedikit sahaja hasil kesenian dan barangan antik masyarakat Iban adalah yang
benar-benar asli. Kebanyakan barangan seni yang dijual di kedai tersebut adalah tiruan.
Terdapat beberapa jenis barangan tiruan itu mempunyai mutu yang cukup baik dan
hampir menyamai hasil seni yang asli. Barangan tiruan itu kebanyakannya dihasilkan
oleh masyarakat suku Dayak yang lain dan terdapat juga diimport dari kepulauan Jawa
dan Bali. Keadaan ini turut berlaku terhadap hasil seni kain Pua.
Kebanyakan barangan tiruan ini merupakan replika bagi barangan asli yang
dihasilkan pada zaman purba. Terdapat juga dihasilkan berdasarkan fotografi barangan
asli tersebut atau diambil contoh daripada warisan turun temurun dalam sesebuah
generasi keluraga Iban. Barangan asli yang berusia ratusan tahun jarang sekali dapat
ditemui dalam pasaran. Pengedar pada kebiasannya boleh mencari barangan tersebut di
kampung pedalaman tetapi hanya sedikit sahaja barang atau hasil kesenian yang ada.
Kebiasaannya, barangan tersebut dipercayai mempunyai kuasa atau semangat yang
tertentu. Tidak mengira setinggi mana harga tawaran, kebanyakan penduduk kampung
tidak akan sesekali menjual barangan tersebut. Secara amnya, jika pemilik hasil seni
10
dibayar bagi hasil seni tersebut adalah tidak munasabah dengan nilai estetik kesenian
tersebut yang berusia ratusan tahun.
Walau bagaimanapun, ramai orang luar yang datang ke kawasan pedalaman bagi
mencari hasil seni antik pulang dengan tangan kosong. Meskipun barangan baharu
dihasilkan seperti pengendong bayi yang dihiasi dengan kain Pua tetap sukar untuk dibeli
kerana barangan itu dihasilkan untuk tujuan tertentu dan bukan untuk dijual.Walaupun
begitu, bagi mereka yang tidak mengenal erti putus asa dan mempunyai keinginan yang
kuat bagi memiliki barangan tersebut, strategi ‘psikologi harga’ digunakan. Permintaan
bagi membeli barangan tersebut selalu dibuat dengan dengan harga yang terlalu tinggi.
Tujuan meletak harga yang tinggi itu bukanlah bagi mengharapkan tawar-menawar yang
selanjutnya, sebaliknya mereka mengharapkan pemilik barangan itu tertarik dengan
tawaran harga tersebut agar keadaan yang berbeza akan berlaku.
Hasil kesenian masyarakat Dayak khususnya Iban masih lagi dijual dengan harga
yang murah dan menjadi pilihan kebanyakan pelancong yang berkunjung ke Sarawak,
walaupun mereka mengetahui barangan yang dibeli adalah tiruan, hasil kesenian yang
cantik dan unik serta tiada di tempat asal mereka telah mendorong mereka membeli
barangan tiruan tersebut. Situasi ini turut mendorong penghasil kraftangan mengambil
sedikit masa atau tidak berinisiatif menghasilkan sesuatu hasil kesenian yang benar-benar
berkualiti kecuali di kawasan komuniti Dayak yang masih mengamalkan budaya
tradisional yang kuat. Keadaan ini amat berbahaya kepada hasil kesenian Borneo dan
perlu diselamatkan dari jurang nilai komersil murahan lebih-lebih lagi kain pua yang
tiada nilai tandingan dari tempat lain.
11
Menyedari kain pua berpotensi untuk dimajukan, pada tahun 1993 pihak
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia telah berusaha untuk menaikkan taraf
tenunan Pua. Usaha tersebut termasuklah dengan mewujudkan Pusat Latihan Tenunan
Pua di Betong, Sarawak. Selain itu, pusat latihan yang sama turut dibina di Kuching.
Dengan adanya pusat latihan tersebut, kualiti kain pua akan sentiasa dijaga dan dilindungi
dengan baik.
Kesimpulannya, kain pua bukan sahaja mempunyai nilai-nilai kesenian yang
tinggi, sebaliknya tenunan kain pua merupakan identiti masyarakat Iban dan telah sebati
dalam rutin harian mereka. Seperti para isteri sibuk menenun, para suami pula akan sibuk
dengan kerja-kerja lain seperti memungut rotan untuk dijadikan tikar atau bakul. Para
suami juga dipertanggungjawabkan untuk membersihkan ladang dan memungut kayu api.
Semua kerja luar yang kasar dilakukan oleh kaum lelaki Iban manakala kerja mengerit
padi, bertenun, menganyam dan berkebun dilakukan oleh kaum wanita. Oleh itu adalah
tidak menghairankan hasil kerja tenunan kain pua amat halus buatannya.
Walau bagaimanapun, zaman kemodenan mula merentasi desa dan penghasilan
kain Pua telah mengalami perubahan yang drastik. Keadaan ini turut merubah corak
kehidupan masyarakat Iban secara amnya. Hal ini demikian kerana kebanjiran barangan
tiruan ke negeri Sarawak telah memberi impak yang besar kepada masyarakat Iban.
Permintaan yang tinggi mengakibatkan cara-cara penghasilan kain Pua yang asli telah
terhakis sedikit demi sedikit. Selain kedatangan para pengemar barangan antik Sarawak
ke pedalaman telah menganggu corak hidup masyarakat Iban. Selain itu, penghasilan
kain Pua juga mula ditinggalkan oleh kaum wanita Iban yang moden kerana mereka mula
12
didedahkan dengan kehidupan luar yang lebih berorientasikan kebebasan sekular.
Keadaan ini boleh menghapuskan identiti masyarakat Iban sedikit demi sedikit.
Bagi menghasilkan kain pua, nilai kesabaran amat dituntut, hal ini demikian
kerana bagi menghasilkan benang sahaja, masa yang panjang akan diambil. Oleh itu,
kemahiran yang tinggi amat diperlukan dalam proses menghasilkan kain ini. Walau
bagaimanapun, cara membuat kain pua telah dimodenkan mengikut perkembangan
zaman semasa. Pelbagai barangan moden telah digunakan bagi menggantikan bahan lama
yang lebih bercirikan semulajadi. Kain pua juga merupakan lambang maruah kepada
sesebuah keluarga Iban dan menjadi kebanggaan kepada mereka jika berjaya menyimpan
warisan kain pua yang berusia ratusan tahun. Kain pua juga menjadi item penting dalam
upacara keagamaan atau perayaan masyarakat Iban seperti majlis perkahwinan, upacara
berkabung dan sebagainya.
BIBLIOGRAFI
Kal Muller & David Pickell (1996). Kalimantan, Indonesian, Borneo. Jakarta: Periplus
Editions.
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Susunatur Bengkel dan Aliran Proses
Tenunan Pua, 1995
3) Benedict Sandin Iban Adat & Augury, 1980
13
4) Kartiwa Dra Suwati Songket Weaving Indonesia, 1983
14
top related