ggge 2174 program pemulihan dalam...
Post on 31-Jan-2018
283 Views
Preview:
TRANSCRIPT
GGGE 2174 PROGRAM PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
SEMESTER 1 SESI 2016/2017
TUGASAN KUMPULAN
LAPORAN ORGANISASI PDK
&
AKTIVITI MINGGUAN
PENSYARAH
PROF. MADYA DR. MANISAH BINTI MOHD. ALI
PROF. MADYA DR. ROSADAH BINTI ABD MAJID
DR. ALIZA BINTI ALIAS
AHLI KUMPULAN
BIL. NAMA NO. MATRIK
1. MOHAMAD FIRDAUS FAIZ BIN PONIRAN A 155313
2. NOR WAHIDA BINTI SHAHABUDIN A 154428
3. NOOR SYAZANA BINTI MOHAMAD A 154127
4. NURUL ASHIKIN BINTI ABU BAKAR A 155330
5. AVYASVINA ISTINIZA ANAK UNONG A155166
6. SITI NORZILA BINTI MAT DIN A 153445
1.0 SEJARAH PENUBUHAN PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
PERMATA HATI
Pusat pemulihan dalam komuniti (PDK) Permata Hati mula beroperasi pada 1 Jun 2016.
Penubuhan PDK ini merupakan satu inisiatif yang diambil berikutan masalah yang
dihadapi oleh ibu bapa yang merungut tiada PDK yang ditubuhkan berdekatan kawasan
penempatan Presint 11, Putrajaya. Jika sebelum ini, mereka terpaksa menghantar anak-
anak dan ahli keluarga mereka di PDK Presint 14 yang mempunyai jarak jauh dari rumah
mereka. Lanjutan daripada pembukaan PDK Permata Hati di Presint 11 ini akan memberi
kemudahan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak atau ahli keluarga yang
berkeperluan khas untuk mengikuti program pemulihan di sini. Mengikut penyelia PDK,
penubuhan PDK ini belum dirasmikan. Walau bagaimanapun, perasmian yang akan
disempurnakan oleh wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu dijangka
berlangsung pada pertengahan bulan Disember ini. Seterusnya, lokasi PDK ini terletak
berhadapan Taska Permata Bonda yang beralamat di No. 14, Jalan P 11 D/11 Presint 11,
62300 Putrajaya.
2.0 KEAHLIAN JAWATANKUASA
Carta Organisasi Jawatankuasa
Rajah 1: Carta Organisasi Jawatankuasa PDK Permata Hati.
Pengerusi
Ai’iri bin Abu Bakar
Bendahari
Wan Fatma Hamimi bin
Wan Mahammod
Setiausaha
Amirul Khairi bin Mohd Isa
Timbalan Pengerusi
Mohd Yusof bin Maulut
Exco Ekonomi
Mohd Ridwan
Ecxo Kebajikan
Norazah binti Ibrahim
Exco Agama
Syuhada binti Abdullah
Exco Lawatan
Nordin bin Kasman
Carta Organisasi Petugas
Rajah 2: Carta Organisasi Petugas PDK Permata Hati
Penyelia
Nor Syuhada binti Bahaman
Petugas
Mohd Ghadaffi bin Mohd Rawi
Petugas
Laila binti Pangagid
Petugas
Muhammad Fahmi bin Makhtar
Petugas
Nur Natasya binti Roslan
Petugas
Saeni Maria binti Zahari
3.0 KEAHLIAN PELAKSANA
Keahlian pelaksana bagi PDK ini dianggotai oleh ibu bapa atau penjaga ahli keluarga
kurang upaya, pemimpin setempat, komuniti yang berminat dan penasihat bagi
Jawatankuasa PDK iaitu Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) dengan dibantu
oleh Pegawai dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan (Pendidikan Khas)
Malaysia. Keahlian pelaksana PDK bermula dari peringkat tertinggi dalam carta organisasi
jawatankuasa iaitu pengerusi PDK. Tugas pengerusi PDK adalah untuk mengurus,
mentadbir dan melaksanakan program PDK mengikut garis panduan pengurusan PDK.
Selain itu, pengerusi bertindak mempengerusikan semua mensyuarat atau perjumpaan yang
akan diadakan oleh jawatankuasa PDK pada setiap bulan bagi membincangkan perkara-
perkara berkaitan dengan PDK.
Seterusnya, pengerusi akan merancang program atau aktiviti PDK bersama AJK,
penyelia dan petugas di PDK, memastikan penyelia dan petugas PDK bekerja dalam
suasana yang kondusif serta mematuhi etika kerja. Pengerusi juga akan memastikan elaun
khas orang kurang upaya (OKU), saguhati dan sumbangan kepada penyelia dan petugas
PDK dan lain-lain perbelanjaan dilakukan megikut garis panduan PDK. Dalam pemilihan
penyelia dan petugas-petugas di PDK pengerusi akan menjadi ahli panel semasa proses
temuduga tersebut. Setelah selesai temuduga pengerusi akan menandatangani surat
perlantikan penyelia dan petugas PDK dan berusaha untuk menambahkan sumber
kewangan bagi PDK. Pengerusi juga haruslah memastikan keselamatan pelatih OKU dan
keadaan premis yang digunakan sentiasa berada dalam keadaan semalat dan mesra OKU.
Keduanya, bagi tugas timbalan pengerusi pula membantu pengerusi melaksanakan
tugas dan tanggungjawab serta akan mengganti melaksanakan tugas dan tanggungjawab
semasa ketiadaan pengerusi. Timbalan pengerusi lebih kepada membantu pengerusi dalam
semua perkara. Setiausaha pula akan membantu pengerusi dalam pengurusan dan
pentadbiran PDK. Selain itu, setiausaha juga menyediakan dan mengedarkan surat
panggilan mesyuarat jawatankuasa PDK serta melakukan minit mesyuarat. Tambahan lagi,
setiausaha turut menyimpan rekod ahli jawatankuasa dan kakitangan PDK dan membantu
melaksanakan tugas dan tanggungjawab semasa ketiadaan pengerusi.
Dari segi kewangan pula akan diambil alih oleh bendahari. Bendahari akan mentadbir
urus, menyimpan dan mengemaskini buku rekod kewangan. Bendahari juga akan merekod
semua sumbangan, pendapatan dan perbelanjaan berkaitan pengurusan PDK serta
menguruskan pembayaran elaun khas OKU, saguhati dan sumbangan kepada penyelia,
petugas serta semua perbelanjaan berkaitan dibayar mengikut tarikh yang ditetapkan.
Peranan ahli jawatankuasa pula akan menghadiri semua mesyuarat dan program PDK.
Seterusnya, ahli jawatankuasa juga akan membantu penyelia dan petugas dalam
menjalankan aktiviti bagi meningkatkan keupayaan OKU. Penyelia pula akan
menguruskan hal-hal di PDK dan akan dibantu oleh petugas-petugas yang mana akan
mengajar pelatih-pelatih di PDK.
Organisasi di PDK Permata Hati berjalan dengan lancar dan baik walaupun PDK ini
baru sahaja ditubuhkan. Dari segi keperluan peralatan di PDK ini masih lagi tidak
mencukupi dan terdapat lagi kekurangan. Hal ini menyebabkan aktiviti tidak dapat berjalan
dengan sempurna tetapi penyelia dan petugas-petugas dapat menjalankan aktiviti yang
dirancang dengan sebaik mungkin. Pelatih-pelatih PDK ini kurang dapat melakukan
aktiviti tetapi mereka mempunyai inisiatif yang tersendiri dalam menyelesaikan hal ini.
Kawasan PDK ini kurang strategik dan tetapi mempunyai persekitaran kawasan yang
menarik kerana berada di kawasan perumahan. Hal ini akan memudahkan ibu bapa untuk
menghantar pelatih-pelatih ke PDK selain keselamatan mereka juga terjaga. Dari segi
peralatan pula masih lagi terdapat kekurangan. Tambahan lagi, terdapat beberapa
kekangan yang menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakannya. Antaranya dari segi
perbelanjaan yang kurang mencukupi. Apabila kekurangan perbelanjaan menyebabkan
penyelia dan petugas-petugas PDK tidak dapat melakukan sesuatu program dengan lancar.
Secara keseluruhannya, keahlian pelaksana PDK Permata Hati memberikan kerjasama
dengan baik serta terdapat juga sesetengah ibu bapa atau penjaga pelatih yang turut
memberikan sumbangan dari segi bekalan makanan kepada PDK ini.
4.0 PELATIH PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
PELATIH DI PDK
Pelatih di PDK terdiri daripada individu berkeperluan khas yang mengalami pelbagai
ketidakupayaan baik dari segi fizikal mahupun mental. Pelatih-pelatih ini terdiri daripada
pelbagai peringkat umur bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa. Di PDK
Permata Hati, bilangan pelatih yang mendaftar adalah berjumlah 30 orang. Daripada jumlah
ini, pelatih yang mendapatkan pemulihan di PDK (centre based) adalah seramai 22 orang
manakala bagi pelatih yang mendapatkan pemulihan di rumah (home based) berjumlah
lapan orang. Penyelia dan para petugas akan melawat pelatih-pelatih di rumah pada hari
Jumaat setiap minggu.
Seterusnya, pelatih lelaki adalah seramai 18 orang dan pelatih perempuan pula
berjumlah 12 orang. Bilangan pelatih mengikut ketidakupayaan yang dialami adalah lima
orang yang mengalami hiperaktif, lapan orang yang mengalami cerebral palsi, dua orang
yang mengalami epilepsi (sawan), empat orang yang mengalami sindrom down dan 16
orang lagi dikategorikan sebagai masalah lain-lain. Pelatih-pelatih di PDK diberi elaun
khas oleh JKM sebanyak 150 ringgit sebulan di samping kemudahan-kemudahan lain.
5.0 PERJALANAN PUSAT PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
Di PDK Permata Hati, terdapat dua jadual yang berbeza iaitu jadual waktu harian kelas
prasekolah dan jadual waktu harian kelas fisioterapi. Bagi jadual waktu harian kelas
prasekolah ini digunakan oleh pelatih-pelatih yang berumur 12 tahun ke bawah. Seperti
yang dapat kita lihat, untuk kelas prasekolah berfokus kepada akademik, kemahiran motor
kasar dan motor halus serta pengurusan diri. Sebaliknya, untuk kelas fisioterapi pula
merupakan kelas untuk pelatih-pelatih yang memerlukan pemulihan fisioterapi. Kelas ini
dikendalikan oleh seorang petugas yang akan melakukan terapi fisiologi terhadap pelatih
secara bergilir.
Jadual Waktu Harian Kelas Pra Sekolah
Nama guru: Saeni Maria binti Zahari
: Nur Natasya binti Roslan
Masa
Hari
8.00 pagi –
9.00 pagi
9.00 pagi –
10.30 pagi
10.30 pagi –
11.00 pagi
11.00 pagi –
12.00 tengahari
Isnin
Senaman pagi
&
Perbualan pagi
Pra akademik
Rehat
Terapi muzik
Selasa
Terapi renang di Kompleks Presint 11
Rabu
Senaman pagi
&
Bacaan surah yassin
Terapi Seni
Rehat
Terapi sensori
Khamis
Senaman pagi
&
Sukaneka
Pengurusan diri/
Aktiviti luar
Rehat
Terapi seni/
Kraftangan
Jumaat
Lawatan ke rumah dan kemaskini rekod
** Aktiviti luar dilakukan pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan**
Jadual 1: Jadual Waktu Harian Kelas Pra Sekolah PDK Permata Hati
Jadual Waktu Harian Kelas Fisioterapi
Nama guru: Laila binti Pangagid
Masa
Hari
8.00 pagi –
9.00 pagi
9.00 pagi –
10.30 pagi
10.30 pagi –
11.00 pagi
11.00 pagi –
12.00 tengahari
Isnin
Senaman pagi
&
Perbualan pagi
Fisioterapi
Rehat
Terapi muzik
Selasa
Terapi renang di Kompleks Presint 11
Rabu
Senaman pagi
&
Bacaan surah yassin
Fisioterapi
Rehat
Sukaneka
Khamis
Senaman pagi
&
Permainan
Fisioterapi/
Aktiviti luar
Rehat
Bercerita
Jumaat Lawatan ke rumah dan kemaskini rekod
** outing diselang-selikan setiap 2 minggu**
Jadual 2: Jadual Waktu Harian Kelas Fisioterapi PDK Permata Hati
6.0 SUMBER KEWANGAN PROGRAM PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
Pertamanya, peruntukan oleh JKM akan disalurkan kepada PDK baru dan PDK sedia
ada setelah mendapat kelulusan JKM untuk membiayai elaun khas OKU, bayaran saguhati
kepada penyelia dan petugas PDK, sewa premis, pembayaran bil-bil utiliti, perlaksanaan
program atau aktiviti, pembeliaan peralatan (PDK baru sahaja). JKM memberikan
peruntukan kepada PDK Permata Hati sebanyak 200 ribu ringgit setahun. Walau
bagaimanapun, peruntukan yang diberi akan dikaji semula untuk tahun berikutnya. Oleh
yang demikian, jawatankuasa PDK yang terlibat hendaklah mengemukakan permohonan
peruntukan tahunan kepada PKMD sebelum tarikh 30 Oktober setiap tahun. Jawatankuasa
PDK yang gagal mengemukakan permohonan sebelum tarikh tersebut tidak akan
dipertimbangkan. Seterusnya, bagi jawatankuasa PDK yang memerlukan tambahan
peruntukan boleh mengisi boring Permohonan Geran Tambahan.
Keduanya, dari segi pengurusan kewangan, satu akaun iaitu akaun jawatankuasa PDK
hendaklah dibuka atas nama PDK yang diluluskan. Pembayaran peruntukan PDK kepada
Jawatankuasa PDK akan dimasukkan ke dalam akaun tersebut. Peruntukan berkaitan
bayaran saguhati penyelia dan petugas, elaun khas OKU, perlaksanaan program dan
aktiviti, pembelian peralatan, sewa premis, dan bayaran bil utiliti disalurkan terus ke akaun
jawatankuasa PDK dan dikawal selia oleh PKMD. Sebelum peruntukan disalurkan, satu
perjumpaan mesti diadakan oleh PKMD dengan semua pengerusi dan bendahari
jawatankuasa PDK di daerah untuk membincangkan perkara-perkara seperti kegunaan
peruntukan, menandatangani surat pematuhan kegunaan peruntukan PDK, jawatankuasa
PDK menandatangani surat akuan penerimaan geran permulaan program PDK kepada
Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri (PKMN).
Ketiganya, bagi kuasa menandatangani cek pula, setiap pengeluaran cek hendaklah
ditandatangani oleh sekurang-kurangnya dua orang yang terdiri daripada bendahari (wajib)
dan pengerusi atau setiausaha. Dari segi kutipan derma, permohonan kutipan derma perlu
mendapat kelulusan polis dan hasil kutipan derma perlu dilaporkan kepada PKMD. Selain
itu, bagi setiap penerimaan derma atau hadiah samada secara tunai atau barangan di PDK
hendaklah diterima oleh penyelia, petugas atau jawatankuasa PDK dan direkodkan,
dikeluarkan resit atau akuan terima dan disimpan dalam akaun jawatankuasa PDK. Derma
melalui cek hendaklah ditulis atas nama jawatankuasa PDK berkenaan. Bendahari
bertanggungjawab untuk merekod dan menyimpan penerimaan cek dan mengeluarkan
resit.
Seterusnya, setiap OKU yang mengikuti program PDK wajib menyertai Skim Insurans
Berkelompok. Pembayaran insuran berkelompok dibuat oleh jawatankuasa PDK melalui
potongan dari elaun khas OKU sekali dalam setahun. Di samping itu, jawatankuasa PDK
bertanggungjawab terhadap semua bayaran saguhati dan sumbangan kepada penyelia dan
petugas PDK. Saguhati dan sumbangan hendaklah dibayar sebelum tarikh 28 hari bulan
setiap bulan. Pembayaran hendaklah direkod dan slip pembayaran dikeluarkan kepada
penyelia dan petugas PDK. Penyelia dan petugas PDK hendaklah membuat akuan
penerimaan saguhati yang telah diterima.
Selain daripada itu, program PDK tidak boleh dijalankan di premis sewa yang dimiliki
oleh ahli jawatankuasa PDK, penyelia, petugas, atau mana-mana pihak yang mempunyai
kepentingan dengan pengurusan PDK. Dalam hal ini, pemilihan dan penyewaan premis
PDK perlu mendapat persetujuan PKMD. Dokumen perjanjian sewa yang telah
ditandatangani di antara penyewa dan pemilik premis perlu dimatikan setem dan disimpan
oleh jawatankuasa PDK dan satu salinan diberikan kepada PKMD. Tambahan lagi, elemen-
elemen seperti berikut perlu dimasukkan dalam dokumen perjanjian sewa iaitu apa-apa
bencana yang berlaku ke atas premis bukan disebabkan oleh kecuaian pihak pengurusan
PDK adalah di bawah tanggungjawab pemilik premis dan perpindahan PDK ke premis baru
hendaklah dibuat pada awal tahun atau penghujung tahun dan hendaklah dipersetujui oleh
PKMD bagi pengiraan peruntukan. Dalam urusan pembayaran bil-bil utiliti pula telah
diperuntukan untuk membayar bil elektrik, air, telefon, internet dan sebagainya mengikut
keperluan di PDK.
Di samping itu, semua pelatih OKU yang menghadiri program PDK layak menerima
elaun khas OKU berjumlah 150 ringgit sebulan dengan syarat kehadiran ke PDK (bagi
pelatih yang mendapatkan pemulihan di pusat) sekurangnya 8 hari dalam sebulan. Pelatih
OKU yang mengikuti program PDK di rumah juga layak menerima RM 150 sebulan.
Pembayaran elaun khas OKU hendaklah dibuat terus ke akaun bank pelatih oleh
jawatankuasa PDK pada setiap bulan. Pelatih hanya boleh menerima elaun ini daripada satu
sumber sahaja. Jawatankuasa PDK boleh membuat pemotongan ke atas elaun khas OKU
sebanyak 20 peratus melalui surat persetujuan ibu bapa berkenaan pemotongan elaun khas
OKU PDK bagi tujuan seperti bayaran pengangkutan, bayaran makan minum, dan
keperluan-keperluan harian lain. Semua perbelanjaan mesti diluluskan dalam mesyuarat
jawatankuasa PDK dengan kehadiran PKMD atau wakil dari JKM.
Tambahan pula, bagi urusan penyelenggaraan peralatan di PDK pula, setiap peralatan
yang dibeli atau disumbangkan hendaklah direkodkan dan diselenggara dengan baik.
Peralatan yang rosak dan tidak boleh digunakan lagi perlu dimaklumkan dalam mesyuarat
jawatankuasa PDK sebelum dilupuskan. Sebarang pembelian peralatan pemulihan dan
kelengkapan PDK pula perlu dibincangkan oleh jawatankuasa PDK bersama dengan
jurupulih anggota, jurupulih cara kerja, jurupulih pertuturan, penyelia PDK dan pegawai
penyelaras PDK daerah. Jawatankuasa PDK hendaklah mengemukakan senarai peralatan
kepada jawatankuasa penyelarasan PDK daerah dengan menyertakan sekurangnya tiga
sebut harga.
Akhir sekali, dalam aspek ketidakpatuhan tatacara kewangan, sekiranya terdapat
sebarang ketidakpatuhan, penyelewengan, salah guna kewangan di PDK, aduan perlulah
dimaklumkan segera kepada jawatankuasa PDK, PKMD atau PKMN. Langkah seterusnya,
PKMN atau PKMD akan menjalankan siasatan dan menyediakan laporan siasatan kepada
Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) atau PKMN. Sekiranya aduan
didapati berasas, laporan polis akan dibuat untuk tindakan selanjutnya.
7.0 PRODUK PROGRAM PEMULIHAN DALAM KOMUNITI
PDK Permata Hati merupakan PDK yang masih baru ditubuhkan. Pelatihnya terdiri
daripada kanak-kanak berkeperluan khas yang berumur dalam lingkungan empat hingga 10
tahun manakala bagi pelatih remaja dan dewasa pula terdiri daripada mereka yang hanya
boleh menguruskan diri tetapi tidak mampu melakukan sebarang kerja apatah lagi
menghasilkan produk. Oleh itu, PDK Permata Hati ini belum mempunyai sebarang produk
hasilan tetapi menurut penyelia PDK, Cik Nur Syuhada, beliau sememangnya berhasrat
untuk menghasilkan produk dari PDK seperti mana PDK yang lain.
8.0 KEMUDAHAN DAN PRASARANA
Kemudahan dan prasarana yang diterima adalah terhad dan merupakan kemudahan
yang asas seperti dapur, tandas, dan sebagainya. Namun setelah beroperasi selama enam
bulan di Putrajaya, PDK ini telah menerima beberapa kemudahan seperti parallel bar untuk
tujuan fisioterapi kaki, bilik snoezelen, komputer, permainan terapi untuk pelatih PDK dan
permaidani. Fisioterapi untuk berjalan adalah bertujuan untuk memberi latihan berjalan
kepada beberapa orang pelatih yang mengalami cerebral palsi.
Selain itu, PDK ini mempunyai sebuah bilik snoezelen di tingkat atas premis PDK ini
namun kelengkapan dan peralatan di bilik snoezelen ini kurang dan tidak mengcukupi.
Bilik snoezelen ini hanya mempunyai bola plastik, trampolin dan bola besar. Peralatan yang
lain seperti bubble tube, lampu LED, disco ball, refleksologi kaki, muzik, LED projector
dan fiber optic tidak disediakan di bilik snoezelen yang mana peralatan ini seharusnya ada
bagi tujuannya yang sebenar. Ketiadaan peralatan ini disebabkan kekurangan bajet atau
peruntukkan dari JKM dan PDK tiada sumber pendapatan yang sendiri.
Di bahagian bawah PDK, terdapat sebuah televisyen dan komputer untuk membuka
muzik, video dan terapi al quran seperti surah Al-Fatihah, selawat dan sebagainya yang
akan dipasang sepanjang pelatih berada di PDK. Walaupun PDK Permata Hati mempunyai
kurang kemudahan dan prasarana, namun petugas-petugas mampu menguruskan para
pelatih di PDK ini dengan baik.
9.0 HUBUNGAN PETUGAS DENGAN IBU BAPA
Berdasarkan pemerhatian kami, ibu bapa dan keluarga OKU memainkan peranan
penting di PDK. Hal ini kerana, ibu bapa insan pertama mengenal pasti ketidakupayaan
kanak-kanak mereka dan melakukan tindakan segera dengan membuat pemeriksaan doktor
dan menghantar anak mereka ke tempat pemulihan seperti PDK. Ibu bapa dan keluarga
boleh membantu menjayakan dan melancarkan perjalanan PDK.
Namun, ada juga sesetengah ibu bapa di PDK ini yang hanya menghantar anak mereka
atau ahli keluarga tanpa mengambil tahu tentang perkembangan mereka di PDK. Hal ini
memberi kesulitan dari pihak PDK untuk melancarkan perjalanan PDK. Dengan
memberikan bantuan kepada tenaga-tenaga pengajar untuk melaksanakan tugas-tugas di
PDK, ibubapa atau ahli keluarga OKU dapat memahami bagaimana hendak menguruskan
dan mengendalikan anak-anak atau OKU di rumah.
Bantuan yang sering diberi oleh ibu bapa kepada pihak PDK adalah berbentuk
keperluan asas seperti bekalan makanan dan bahan bantu mengajar (BBM). Ibu bapa yang
sering bertanya tentang perkembangan pelatih dan memberikan kerjasama dengan
pengurusan PDK biasanya mempunyai hubungan yang akrab dengan petugas-petugas
PDK. Hal ini sudah tentu, memudahkan mereka untuk membantu pelatih dalam program
pemulihan yang diikutinya,
Seterusnya, penglibatan ibu bapa dalam program PDK membolehkan mereka belajar
kaedah-kaedah membantu, mengawal dan mengasuh anak-anak OKU supaya dapat
diintegrasikan dalam komuniti. Mereka juga boleh bergaul sama dengan ibu bapa anak-
anak OKU yang lain untuk sama-sama berkongsi perasaan, pengalaman dan cerita
berkenaan dengan anak-anak OKU dan juga bertukar-tukar idea dan pendapat untuk
membantu anak-anak OKU. Kehadiran ibu bapa juga adalah untuk sama-sama belajar atau
mendapat latihan daripada tenaga-tenaga pengajar untuk melaksanakan atau meneruskan
sesi pembelajaran dan latihan yang di jalankan di PDK setelah pulang ke rumah.
Secara ringkasnya, untuk tujuan keberkesanan pelaksanaan program PDK, ibu bapa
boleh membantu menghebahkan fungsi-fungsi PDK kepada masyarakat. Kemajuan
teknologi perhubungan seperti aplikasi Whatapps, Facebook dan Twitter membolehkan ibu
bapa menghebahkan tentang keberadaan PDK Permata Hati. Oleh itu, lebih ramai pelatih
dapat didaftarkan masuk ke PDK untuk membantu mereka dalam meningkatkan
perkembangan, kemahiran tingkah laku dan pembelajaran mengikut ketidakupayaan
spesifik.
10.0 KELEBIHAN DAN KEKURANGAN DI PROGRAM PEMULIHAN DALAM
KOMUNITI
Berdasarkan temubual dengan penyelia PDK, banyak kelemahan dari kelebihan yang
ada pada PDK Permata Hati. Hal ini kerana, PDK ini baru sahaja ditubuhkan dan banyak
kelemahan yang telah dikenal pasti sepanjang kunjungan kami ke PDK ini. Walaupun
terdapat banyak kelemahan pada PDK ini, terdapat juga kelebihan yang ada. Antara
kelebihan yang dikenal pasti pada PDK ini adalah infrastruktur dan bangunan PDK yang
masih baru dan selesa. PDK ini dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin dan juga
perabot-perabot baru. Peralatan yang baru memudahkan aktiviti dan latihan dilakukan
dengan lancar. Hal ini demikian kerana, peralatan-peralatan tersebut tidak mempunyai
masalah kerosakan dan tidak merbahaya untuk digunakan oleh para pelatih. Keselamatan
penggunaan peralatan yang baru juga agak terjamin berbanding perlatan yang telah lama.
Kelemahan yang terdapat di PDK ini jelas dari segi kekurangan alat bantu mengajar
(ABM) dan juga bahan bantu mengajar (BBM). ABM dan BBM sangat penting dalam
proses pengajaran dan pembelajaran pelatih-pelatih di PDK. ABM dan BBM yang sesuai
adalah mengikut peringkat umur iaitu ada untuk kanak-kanak dan juga orang dewasa. Hal
ini kerana, terdapaat perbezaan antara ABM dan BBM untuk kanak-kanak dan juga orang
dewasa.
Selain itu, kedudukan ataupun lokasi PDK ini juga kurang sesuai. Kawasan PDK juga
tidak sesuai dengan keperluan pelatih di sini. Lokasi PDK ini yang terletak di tepi jalan
raya boleh mengundang bahaya kepada pelatih. Sebagai contoh, jika ada pelatih PDK yang
keluar dari PDK tanpa pengetahuan petugas, risiko untuk mendapat kemalangan itu sangat
tinggi. Disebabkan hal ini, pintu utama PDK sentiasa ditutup dan dikunci untuk
mengelakkan pelatih keluar dan terus ke jalan raya.
Tambahan lagi, struktur binaan PDK juga tidak sesuai iaitu di rumah teres setingkat.
Ruang di tingkat bawah juga agak sempit dan menyukarkan perlaksanaan aktiviti. Kelas
juga di adakan di tingkat atas dan keadaan ini menyukarkan pelatih. Hal ini juga
menimbulkan kebimbangan kepada petugas kerana kebanyakan pelatih akan memanjat
tangga dan risiko kecederaan itu tinggi. Ruang yang sempit juga menyebabkan perlatan
juga tidak banyak boleh diletakkan di PDK ini.
Penyelia juga ada menyatakan bahawa infrastruktur sangat kosong di mana hanya
terdapat alatan fisioterapi. Peralatan di PDK ini juga tidak mencukupi dengan keperluan
pelatih yang terdiri daripada pelbagai ketidakupayaan. Bilik terapi main dan bilik belajar
agak terhad permainannya dan bahan untuk belajar juga tidak lengkap. Hal ini
menyebabkan proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat berlaku dengan baik
disebabkan kekangan yang dihadapi.
Di samping itu, menurut penyelia PDK juga, PDK ini terletak jauh dari kemudahan
pengangkutan awam. Hal ini menyukarkan PDK untuk memberi pendedahan kepada
pelatih untuk menaiki pengangkutan awam dan juga menyukarkan pergerakan pelatih jika
ingin melakukan aktiviti di luar PDK. Kawasan PDK yang sempit menyebabkan pelatih
tidak boleh melakukan aktiviti di sekitar kawasan PDK seperti aktiviti berkebun.
Persekitaran yang sempit menyebabkan kebanyakan aktiviti dilakukan di ruang dalam PDK
yang agak terhad dan pelatih kurang didedahkan dengan persekitaran alam semula jadi.
Akhirnya, kelemahan utama yang telah dikenal pasti adalah kekurangan peruntukan
dana. Hal ini merupakan perkara lazim yang terdapat di mana-mana PDK. Dana yang
diberikan pihak JKM tidak mencukupi dengan keperluan yang diperlukan oleh para pelatih
dan PDK itu sendiri. Disebabkan hal ini kemudahan tidak disediakan dengan lengkap dan
juga program yang dirancang tidak dapat berjalan dengan baik ekoran daripada kekurangan
peruntukan dana.
11.0 AKTIVITI MINGGUAN
Minggu Pertama (13 Oktober 2016)
Setibanya kami ke Pusat Pemulihan dalam Komuniti (PDK) Permata Hati, kami
disambut oleh para petugas dan pelatih di sini dengan senyuman manis. Mereka sangat
mengalu-alukan kedatangan kumpulan kami ke PDK tersebut. Hal ini memandangkan PDK
ini baru sahaja ditubuhkan dan kumpulan kami adalah kumpulan pelajar Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) pertama yang datang ke sini. Pada awalnya, sesi perkenalan
dilakukan secara ringkas kerana terdapat petugas yang sibuk memasak di dapur. Kami
diberi sedikit penerangan mengenai perjalanan aktiviti pada hari itu oleh penyelia PDK,
Cik Nor Syuhada. Usai penerangan diberi, tanpa perasaan segan kami terus mendekati dan
berkenalan secara tidak langsung dengan pelatih-pelatih yang ada.
Aktiviti pertama pelatih pada hari Khamis adalah senaman pagi dan permainan.
Senaman pagi ini biasanya dijalankan di dalam PDK sahaja memandangkan petugas tidak
dapat mengawal pelatih yang ramai jika diluar. Petugas akan memasangkan video lagu
kanak-kanak seterusnya pelatih-pelatih akan menari dan melakukan pergerakan seperti
yang ditunjukkan dalam video tersebut. Tambahan lagi bagi pelatih yang “malas” dan tidak
berkeupayaan bergerak sendiri, pelatih akan membantu demi memastikan mereka semua
melakukan aktiviti fizikal pada hari itu. Pergerakan fizikal ini penting dalam memastikan
kapasiti dan kekuatan otot pelatih meningkat.
Seterusnya, kami diminta mengikuti sesi pembelajaran bersama-sama pelatih. Pada sesi
pembelajaran, para pelatih dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu kumpulan pelatih
dewasa dan pelatih kanak-kanak. Memandangkan binaan PDK ini terdiri daripada
bangunan rumah setingkat, tingkat atas dijadikan sebagai bilik untuk pelatih kanak-kanak
belajar manakala bahagian bawah untuk pelatih dewasa melakukan fisioterapi. Aktiviti
pembelajaran pelatih kanak-kanak pada hari ini berfokus pada kemahiran fungsi bahasa
kanak-kanak. Mereka dipertontonkan dengan video-video yang berasaskan abjad dalam
Bahasa Melayu. Selepas itu, mereka perlu menyusun abjad mengikut susunan yang betul
pada bahan bantu mengajar (BBM) yang disediakan oleh petugas.
Di samping itu, aktiviti bagi pelatih dewasa pula berfokus pada latihan fisioterapi. Kami
turut sama membantu pelatih melakukan fisioterapi bersama-sama petugas. Sebagai contoh
pada hari ini, kami telah membantu seorang kanak-kanak serebrum palsi berjalan di
parallel bar. Kanak-kanak ini hanya mengesot dan tidak dapat berjalan sendiri meskipun
telah berumur lima tahun. Struktur fizikal badan kanak-kanak ini kecil seperti kanak-kanak
yang berumur dua tahun. Aktiviti pembelajaran kanak-kanak dan latihan fisioterapi
berlanjutan sehingga waktu rehat. Semasa waktu makan, pelatih dewasa dan kanak-kanak
yang boleh menyuap makanan sendiri akan duduk di meja makan sementara kanak-kanak
yang perlu disuap akan duduk di atas tikar (mat).
Selesai makan, penyelia meminta semua petugas dan pelatih duduk secara round table
bagi melakukan sesi perkenalan dengan ahli kumpulan kami. Sesi tersebut berlangsung
dengan baik sehingga diakhiri dengan sesi perbincangan mengenai aktiviti-aktiviti yang
akan dilakukan pada minggu-minggu mendatang. Selepas itu, para pelatih diberikan masa
untuk mereka berehat sambil menonton cerita di televisyen sehingga ibu bapa mereka
dating menjemput. Sementara, sebahagian petugas memantau keadaan pelatih sebahagian
lagi pula bertindak mengemas di bahagian dapur.
Minggu Kedua (20 Oktober 2016)
Pada minggu ini, pelatih-pelatih dibawa keluar beriadah di taman permainan yang
berhampiran dengan kawasan PDK. Walau bagaimanapun, tidak semua pelatih ikut serta
dalam aktiviti ini kerana hanya pelatih yang boleh dikawal sahaja dibenarkan keluar.
Sebaliknya, pelatih yang lain melakukan aktiviti di dalam PDK. Mengikut jadual PDK,
aktiviti di luar sememangnya dilakukan mengikut sela masa dua minggu sekali. Hal ini bagi
memberi pendedahan kepada pelatih dengan suasana di luar. Selain dapat menghirup udara
pagi yang segar, aktiviti riadah ini dapat membentuk perkembangan sosio emosi pelatih.
Setelah sampai di taman permainan, aktiviti pertama yang dilakukan adalah sesi
pemanasan badan. Seorang wakil dari kumpulan kami telah mengetuai sesi tersebut. Para
pelatih melakukan sesi pemanasan badan sambil dibantu oleh kami dan petugas. Selesai
pemanasan badan, pelatih diberi kebebasan untuk bermain jongkang-jongket, buaian atau
papan gelongsor. Namun, pelatih masih dibawah pemantauan petugas yang sentiasa ada
bersama di sisi mereka. Apabila petugas mengesan ada tanda-tanda bosan yang ditunjukkan
pelatih, petugas langsung meminta mereka pelatih lelaki diberi peluang bermain bola sepak
di kawasan lapang.
Permainan bola sepak ini sangat bagus dalam meningkatkan kemahiran motor kasar
melalui pergerakan berlari dan menendang bola. Di samping itu, permainan ini juga
berupaya meningkatkan tumpuan kerana pelatih terpaksa menumpukan perhatian ke arah
pergerakan bola. Sebaliknya, bagi pelatih perempuan pula, mereka melakukan aktiviti
menghantar bola secara berpasangan. Bola akan dihantar secara bergilir-gilir di mana
aktiviti ini lebih berfokus pada perkembangan sosio emosi. Sebagai contoh, pelatih perlu
sabar menunggu giliran mereka menangkap bola.
Sedang leka pelatih lelaki lain bermain bola sepak, terdapat seorang pelatih lelaki yang
berumur 21 tahun membaling bola ke arah pelatih perempuan berumur 19 tahun. Pada
mulanya, kami tidak perasan apa yang cuba dilakukan oleh pelatih lelaki tersebut. Namun
selepas beberapa kali, kami melihat pelatih itu cuba melakukan gangguan seksual terhadap
pelatih perempuan berkenaan. Hal ini kerana, dia dilihat sengaja menekan-nekan bola yang
dipegang pada bahagian payudara pelatih perempuan. Petugas yang ada berhampiran
mereka dilihat tidak pula menegur pelatih lelaki tersebut malah hanya membiarkan perkara
itu berlanjutan sambil ketawa. Perkara ini amat mengejutkan kami, lantas seorang daripada
kami bertindak menjadi orang tengah antara mereka.
Kejadian ini sememangnya menjadi sesuatu peristiwa yang akan diingati supaya kami
dapat lebih berhati-hati dengan pelatih lelaki berkenaan. Setelah itu, aktiviti menyejukkan
badan pula dilakukan sebelum berjalan pulang ke PDK. Apabila sampai di PDK, para
pelatih ini terus dihidangkan dengan makanan iaitu nasi goring dengan air teh o’. Selepas
makan, mereka diberikan masa untuk berehat kerana masing-masing kelihatan letih
melakukan aktiviti di luar tadi. Ada antara mereka yang tidur sementara menunggu ibu
bapa mereka datang ambil.
Minggu Ketiga (03 November 2016)
Pada minggu ketiga di PDK, aktiviti yang kami lakukan bersama pelatih adalah
membuat kolaj menggunakan kertas. Aktiviti ini dirancang bagi memenuhi beberapa
objektif iaitu meningkatkan kemahiran motor halus, menggalakkan pemikiran kreatif dan
memupuk ekspresi diri pelatih. Semua pelatih diberi sehelai kertas bergambar dan mereka
perlu menampal cebisan kertas berwarna pada kertas tersebut.
Aktiviti kolaj ini sememangnya menguji kemahiran motor halus pelatih kerana mereka
perlu mengoyak-ngoyak kertas menjadi cebisan yang kecil. Seterusnya, mereka perlu
menampal cebisan kertas tersebut pada kertas bergambar. Semasa proses menampal, kami
melihat ada pelatih yang mampu melakukan aktiviti ini dengan baik dan sebaliknya. Kanak-
kanak hiperaktif tidak dapat melaksanakan aktiviti ini kerana tumpuan mereka mudah
terganggu. Meskipun begitu, mereka ini dibantu supaya dapat menyiapkan kolaj tersebut.
Pada akhirnya, kesemua pelatih dapat menyiapkan kolaj masing-masing walaupun
lambat. Secara keseluruhannya, pelatih-pelatih dilihat sangat berminat terhadap aktiviti
yang melibatkan kesenian. Aktiviti seni sememangnya memberi faedah yang besar kepada
individu khususnya mereka yang kurang upaya.
Minggu Keempat (10 November 2016)
Pada minggu ini, kumpulan kami mengadakan aktiviti sukaneka mini di PDK. Semasa
proses merancang aktiviti, kami melihat akan keperluan-keperluan serta keupayaan para
pelatih dalam melakukan sesuatu aktiviti. Selain memastikan aktiviti ini selamat dan sesuai
dijalankan kepada pelatih, peringkat perancangan ini juga penting dalam memastikan
kejayaan setiap aktiviti yang dirancang objektif. Antara aktiviti yang dilakukan ialah
senamrobik, mencari abjad di dalam tepung, mengisi air di dalam botol, dan bowling cup.
Aktiviti-aktiviti yang dirancang sememangnya mempunyai tujuan terhadap pelatih.
Objektif aktiviti tersebut dilakukan adalah untuk meningkatkan kemahiran motor halus dan
motor kasar, merangsang koordinasi mata dan tangan, meningkatkan daya tumpuan dan
membantu perkembangan emosi serta sosial.
Pertama sekali, aktiviti senamrobik membantu meningkatkan kemahiran motor kasar
pelatih melalui pergerakan-pergerakan yang dilakukan. Seorang wakil dari kumpulan kami
telah mengetuai sesi senamrobik pada pagi itu. Senamrobik ini dilihat sesuai dilakukan
kerana pelatih-pelatih sangat menggemari muzik. Di samping melakukan aktiviti fizikal,
mereka juga dapat berhibur dengan lagu yang dipasang. Kami telah memilih lagu yang
berentak rancak tetapi masih berunsurkan pendidikan seperti Selamat Pagi Sayang, Head,
Shoulders, Knees, and Toes, dan Hokey Pokey. Semasa sesi senamrobik dijalankan, ada
pelatih yang dapat mengikut arahan langkah demi langkah, tidak kurang juga ada yang
melakukan pergerak bebas mengikut kata hatinya. Dari sini, dapat kita rumuskan terdapat
pelatih yang mempunyai kemahiran komunikasi baik meskipun dia mempunyai
kekurangan dari aspek kecerdasan.
Keduanya, kami meneruskan sesi dengan aktiviti mencari abjad di dalam tepung.
Cetusan idea untuk melakukan aktiviti ini adalah diambil daripada aktiviti mencari gula-
gula dalam tepung. Namun, penggunaan gula-gula sebagai bahan difikirkan kurang sesuai
untuk kanak-kanak hiperaktif. Justeru, kami menukarkannya dengan blok-blok abjad dan
nombor supaya terdapat unsur pendidikan di situ. Pelatih dikehendaki mencari blok abjad
yang telah dicampur dengan blok-blok nombor dalam sebuah pinggan yang berisi tepung.
Selepas menemui abjad, mereka perlu menyatakan abjad apakah yang ditemui dan apakah
warna blok abjad itu. Pelatih yang tidak dapat memberi jawapan akan dibimbing oleh
petugas sehingga mereka sekurang-kurang dapat menyebut kembali abjad dan warna blok
abjad yang ditemui. Langkah ini berulang sehingga tidak terdapat lagi abjad-abjad di dalam
pinggan.
Selesai aktiviti mencari abjad di dalam tepung, pelatih dikehendaki melakukan aktiviti
mengisi air ke dalam botol. Aktiviti ini sememangnya baik untuk perkembangan motor
halus dan koordinasi pergerakan mata dan tangan. Pelatih perlu mengambil air
menggunakan span di dalam baldi yang disediakan. Seterusnya, mereka perlu memerah air
masuk ke dalam botol. Aktiviti ini mengambil masa yang begitu lama kerana kebanyakan
pelatih tidak dapat mengisi air masuk ke dalam botol. Hal ini kerana, mereka hanya
memerah span tersebut tanpa melihat air tersebut masuk betul ke mulut botol. Tambahan
lagi, banyak air yang dibuang berbanding air yang masuk ke dalam botol. Sungguhpun
begitu, kesemua pelatih dapat melakukan aktiviti ini dengan bantuan daripada petugas dan
setidak-tidaknya mereka telah menguasai kemahiran motor halus melalui aktiviti ini.
Aktiviti sukaneka yang terakhir adalah bowling cup, di mana aktiviti ini juga sama
seperti permainan bowling biasa tetapi tenpin telah digantikan dengan cawan-cawan plastik
berwarna-warni. Tujuan kami menggunakan cawan yang berwarna-warni ini adalah untuk
menarik minat serta tumpuan pelatih terhadap aktiviti ini. Selain itu, penggunaan bola juga
telah digantikan dengan bola kertas, di mana pelatih perlu merenyukkan kertas sehingga
menjadi bentuk seperti bola. Perkara ini sengaja dilakukan bagi melihat kemampuan motor
halus mereka. Setelah itu mereka perlu membaling bola kertas tersebut ke arah cawan-
cawan plastik yang telah disusun tinggi. Mereka dikehendaki menjatuhkan kesemua cawan
tersebut sehingga berjaya sebelum dibenarkan rehat.
Pada akhirnya, kesemua aktiviti yang dirancang berjaya dilaksanakan pada hari itu.
Kami sangat berharap aktiviti-aktiviti tersebut mampu memberikan faedah terhadap
pelatih. Selanjutnya, pelatih-pelatih telah diberikan minuman sementara makanan
dihidangkan. Walaupun sedikit penat, tetapi kami berasa sangat puas melihat gelagat
pelatih-pelatih dalam misi melengkapkan kesemua aktiviti yang dijalankan.
Minggu Kelima (17 November 2016)
Pada minggu ini, semua kumpulan tidak pergi ke PDK masing-masing. Walau
bagaimanapun, sesi pembelajaran berlaku di kelas di mana kami perlu membentangkan
tentang pengenalan PDK dan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan selama empat minggu
di sana. Pembentangan ini dilakukan bertujuan untuk melihat bagaimana perjalanan
aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan dan aktiviti yang akan dilakukan pada minggu-minggu
seterusnya.
Minggu Keenam (24 November 2016)
Minggu ini pelatih-pelatih dan petugas PDK Permata Hati melakukan aktiviti bowling
di ARL Power Bowling, Alamanda. Meskipun kehadiran pelatih hanya empat orang tetapi
aktiviti pada hari ini berjalan dengan lancar. Aktiviti bowling di luar memberi pelbagai
kelebihan kepada pelatih baik dari fizikal, mental mahupun sosio emosi. Apabila bermain
bowling, pelatih perlu memegang dan mencengkam bola sebelum membaling ke arah
tenpin. Pergerakan ini membantu perkembangan motor halus dan kasar mereka secara tidak
langsung.
Selepas bermain bowling, para pelatih diberikan masa untuk rehat dan makan minuman
pagi yang telah dibawa. Seterusnya selesai makan, mereka berjalan-jalan di dalam pusat
membeli belah tersebut. Aktiviti ini bertujuan memberi pendedahan kepada pelatih
berkaitan hubungan interaksi sosial. Hal ini penting supaya mereka tidak berasa kesunyian
dan dipinggirkan. Perkembangan sosio emosi terhadap pelatih perlu dibentuk agar mereka
dapat mengawal diri dalam sesuatu situasi. Semasa berjalan, tangan pelatih dipegang oleh
petugas demi mengelakkan kejadian buruk berlaku. Pelbagai aspek keselamatan
dititikberatkan bagi menjamin pelatih-pelatih berada dalam kedaan selamat semasa di luar.
Sebelum berangkat pulang, kami dan warga PDK Permata Hati telah mengambil
gambar sebagai tanda kenang-kenangan di booth karnival Didi and Friends. Pelatih-pelatih
ini kelihatan teruja semasa sesi mengambil gambar. Ternyata mereka sangat menyukai
apabila gambar-gambar mereka diambil. Dari situ terlihat persamaan gambaran sebenar
perasaan mereka dengan kita. Secara ringkasnya, aktiviti riadah di luar ini sangat bagus
dalam memberi pendedahan terhadap para pelatih. Namun, perlaksanaan aktiviti ini
haruslah pelbagai supaya pelatih tidak berasa jemu dengan aktiviti yang sama.
Minggu Ketujuh (01 Disember 2016)
Pada minggu ketujuh, kami melakukan aktiviti yang berfokuskan pada kemahiran urus
diri pelatih. Aktiviti yang dilakukan adalah memberus gigi. Setiap pelatih dibekalkan
dengan sebatang berus gigi, sedikit ubat gigi dan secawan air. Aktiviti ini dilakukan
bertujuan untuk memupuk sikap mengamalkan kebersihan di samping menjaga kesihatan
gigi pelatih. Pelatih-pelatih telah dibantu oleh ahli kumpulan di samping petugas-petugas
PDK.
Aktiviti ini dilakukan menggunakan kaedah simulasi dan tunjuk cara. Seorang wakil
kumpulan berdiri di hadapan sambil menunjukkan cara bagaimana menggosok gigi dengan
betul. Arahan yang digunakan berupa ayat yang ringkas dan jelas supaya pelatih dapat
menangkap maksud arahan yang disampaikan. Melalui kaedah ini, pelatih dapat
meningkatkan kemahiran bahasa reseptif mereka. Pada masa yang sama, ahli kumpulan
lain dan petugas membantu pelatih untuk menggosok gigi. Aktiviti pada hari ini berjalan
dengan jayanya dengan bantuan petugas-petugas PDK.
Minggu Kelapan (08 Disember 2016)
Pada minggu terakhir ini, kami telah melakukan projek mega iaitu lawatan ke Taman
Wetland, Putrajaya. Aktiviti ini menggabungkan dua buah PDK iaitu PDK Presint 11 dan
PDK Presint 14. Terdapat dua aktiviti yang dilakukan di Taman Wetland, iaitu melihat
pelbagai spesies angsa dan lawatan ke Pusat Penghayatan Alam. Aktiviti ini bertujuan
untuk memberi pendedahan dan pengetahuan bukan sahaja kepada pelatih tetapi juga
kepada semua yang terlibat dalam program pada hari ini. Program ini melibatkan semua
pelatih dan petugas di kedua-dua buah PDK. Tambahan lagi, terdapat juga ibu bapa pelatih
yang sudi meluangkan masa untuk bersama-sama terlibat dalam program selama empat jam
ini.
Pertama sekali, semua pelatih dan petugas dibawa mengelilingi Taman Wetland dengan
menaiki tram. Sebelum ke Tasik Angsa (Swan Lake), kami dibawa ke Sel Wetland
(Wetland Cell) di mana di kawasan ini terdapat banyak spesies tumbuhan rawang seperti
rumput mensiang dan gedabong. Semasa di atas tram, pelatih dan petugas diberi
penerangan mengenai haiwan serta tumbuhan yang dijumpai sepanjang laluan tram. Secara
tidak langsung, proses pembelajaran telah berlaku meskipun di atas tram.
Seterusnya, apabila sampai di Tasik Angsa, jurupandu yang membawa kami
mengarahkan supaya kami turun ke wakaf pemerhati burung untuk melihat dengan lebih
dekat pelbagai spesies burung dan angsa di sini. Tujuan kami ke sini adalah untuk
mengenali jenis-jenis angsa yang terdapat di Tasik Angsa. Terdapat banyak spesies burung
dan angsa di sini, antaranya ialah undan putih, undan punagung merah, angsa putih, angsa
hitam, itik Mesir, itik Canada, lembang, purun dan bakong. Sesetengah pelatih dilihat asyik
melihat itik-itik yang berenang di dalam tasik tersebut.
Selepas itu, perjalanan program diteruskan dengan melawat ke Pusat Penghayatan
Alam. Di pusat ini, pelbagai maklumat mengenai ekosistem tanah lembap dipersembahkan
melalui ruang pameran interaktif yang lengkap dengan audio visual, imej tiga dimensi dan
model ekosistem. Pelatih-pelatih sangat teruja melihat pelbagai hidupan di sini yang
kelihatan seolah-olah hidupan sebenar. Tambahan pula, terdapat bunyi desiran air dari
kolam buatan yang terdapat di pusat ini turut menghidupkan lagi suasana alam semula jadi
yang ingin ditonjolkan.
Akhir sekali, kemuncak aktiviti pada hari ini adalah acara penyampaian kalung dan
hamper berupa makanan sebagai tanda penghargaan kepada penyelia kedua-dua buah PDK
kerana sudi menerima kunjungan kami selama tujuh minggu. Sebelum bergerak pulang,
semua pelatih, petugas dan ibu bapa yang hadir sempat menikmati minum pagi yang
disediakan. Secara ringkasnya, meskipun program ini berlangsung selama beberapa jam
tetapi tetapi para pelatih kelihatan puas dan gembira dengan pengisian program yang kami
rancang. Justeru, aktiviti sebegini wajar dilakukan lagi pada masa hadapan supaya pelatih
dapat menikmati keindahan hidupan dan alam semula jadi.
12.0 LAMPIRAN
Minggu Pertama (13 Oktober 2016)
Minggu Kedua (20 Oktober 2016)
Minggu Ketiga (03 November 2016)
Minggu Keempat (10 November 2016)
Minggu Kelima (17 November 2016)
Minggu Keenam (24 November 2016)
Minggu Ketujuh (01 Disember 2016)
Minggu Kelapan (08 Disember 2016)
top related