faktor-faktor yang mempengaruhi keengganan … · mardi institut penyelidikan dan pembangunan...
Post on 18-Mar-2019
233 Views
Preview:
TRANSCRIPT
FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KEENGGANAN USAHAWAN
BUMIPUTERA UNTUK BERPINDAH KE PRASARANA YANG TELAH
DISEDIAKAN OLEH KERAJAAN DI DAERAH JASIN, MELAKA
MASLAN BIN OSMAN
Tesis Ini Dikemukakan Sebagai Memenuhi Sebahagian daripada Syarat
Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Teknologi serta Pendidikan
(Kejuruteraan Awam)
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
2004
DEDIKASI
Istimewa buat ayahanda dan bonda,
Yang sentiasa disampingku
Dalam memberi dorongan dan mendoakan kejayaanku
Doa kalian azimat buat diri ini
Buat kekanda, adinda dan keluarga yang sentiasa diingati
Terima kasih……
Atas segala dorongan dan sokongan yang diberikan
Buat rakan-rakan seperjuangan
Terima kasih……
Atas segala ilmu dan pengalaman yang dikongsi bersama
Semoga Allah sentiasa memelihara
Dan merahmati kalian
PENGHARGAAN
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Syukur Alhamdulillah akhirnya Projek Sarjana Muda yang saya usahakan selama
ini menemui jalan penyudahnya.
Berkat kesabaran pembimbing saya En Yusri bin Kamin, maka hasil kajian ini
dapat dihasilkan dengan lebih sempurna, sekalung budi dan ucapan terima kasih yang tak
terhingga. Juga ucapan terima kasih saya dedikasikan kepada En Hairul Zamani Bin
Othman, Penolong Pegawai Unit Industri di Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka, Tuan
Haji Ghazali Bin Muhamad di Majlis Daerah Jasin sebagai Inspektor Kesihatan Kanan
dan para usahawan di sekitar Daerah Jasin, Melaka yang telah memberi kerjasama.
Dengan dorongan dan restu insan tersayang di kampung yang memberi sokongan
dari segi moral dan material, hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.
Akhir sekali saya memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi kerana memberi peluang
untuk saya mendampingi kesemua insan yang memudahkan perjalanan kehidupan ini
walau di mana berada.
Sekian.
ABSTRAK
Tujuan kajian ini adalah untuk mengkaji faktor-faktor yang mempengaruhi
keengganan usahawan bumiputera di Daerah Jasin, Melaka untuk berpindah ke prasarana
yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal
pasti sejauh mana faktor bayaran perpindahan, faktor modal perpindahan, faktor saingan,
faktor pelanggan, faktor lokasi dan keselesaan serta faktor pendapatan atau keuntungan
mempengaruhi keengganan usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS. Jenis
penyelidikan kajian yang dilakukan adalah berbentuk deskriptif. Sampel bertujuan telah
digunakan dalam kajian terdiri daripada 26 orang pengusaha bengkel kereta dan bengkel
besi. Instrumen yang digunakan adalah berbentuk soal selidik yang mengandungi dua
bahagian utama iaitu latar belakang responden dan persoalan kajian yang telah
ditetapkan. Data yang telah diperolehi diproses dengan menggunakan kaedah
pemprosesan Statistical Package for the Social Sciences Version 10.0 (SPSS for windows
version 10.0) untuk menilai kekerapan dan peratusan. Dapatan kajian menunjukkan
bahawa faktor bayaran perpindahan, faktor modal perpindahan, faktor saingan, faktor
pelanggan, faktor lokasi dan keselesaan serta faktor pendapatan atau keuntungan sangat
mempengaruhi mereka. Di akhir kajian penyelidik mencadangkan supaya pihak PKNM
haruslah mengambil berat dan menganalisis kehendak dan keperluan para usahawan
sebelum membuat keputusan untuk membina premis di beberapa lokasi yang tertentu
dengan berpandukan faktor bayaran dan modal perpindahan, saingan, pelanggan tetap,
kesesuaian lokasi dan pendapatan atau keuntungan para usahawan. Ia boleh diteliti oleh
pihak-pihak tertentu untuk memajukan dan meningkatkan lagi mutu industri ini di
Malaysia.
ABSTRACT
The purpose of this research was it well known the factors that influence
disability of aboriginal entrepreneur in district of Jasin, Malacca to move out to premises
that plan and structured by state government. The Objectives of this research was to
identify either those factors like moving fees, moving capital, regular customer factor,
competition among them, location and comfort ability or factor of income and profit
influence the decision of entrepreneur to use the infrastructure that was built by PKNM.
Methodology of this research was done in descriptive form. The sample was use in this
research to 26 entrepreneurs which each of the offer the product and service in car repair
and metal and welding works. The instrument that used, came in form of questionnaires
and divided into 2 main components such as background of respondent and the other one
is question of research as request by this course. The data was process by using Statistical
Package for the Social Sciences Version 10.0 (SPSS for windows version 10.0) to
evaluate the value of frequency and percentage. The result of analysis show that all the
above factors influence the entrepreneur decision before making any movement. At the
end, the writer suggest that PKNM must concern and analises the need and wants of
enterpeneur before to build the premise on certain location including loyal customer,
suitability of location profit or income and capital moving fees etc. It can be details by
those who suppose to responsibility about entrepreneur to make them compete with other
industry and promote their best quality in Malaysia.
KANDUNGAN
BAB PERKARA MUKA SURAT
DEDIKASI iii
PENGHARGAAN iv
ABSRTAK v
ABSTRACT vi
KANDUNGAN vii
SENARAI JADUAL xi
SENARAI SINGKATAN xiii
SENARAI LAMPIRAN xv
BAHAGIAN SATU
PENGENALAN
BAB 1 PENGENALAN
1.1 Pendahuluan 1
1.2 Latar Belakang Masalah 4
1.3 Penyataan Masalah 8
1.4 Objektif Kajian 10
1.5 Persoalan Kajian 11
1.6 Kepentingan Kajian 12
1.7 Batasan Kajian 13
1.8 Definisi Istilah 14
BAHAGIAN DUA
SOROTAN KAJIAN
BAB II SOROTAN PENULIS
2.1 Pendahuluan 18
2.2 Kepentingan IKS 20
2.3 Faktor-faktor Keengganan Usahawan 24
2.3.1 Bayaran 24
2.3.2 Modal Perpindahan 25
2.3.3 Saingan 26
2.3.4 Pelanggan Tetap 27
2.3.5 Lokasi Dan Keselesaan 28
2.3.6 Pendapatan Atau Keuntungan 29
2.4 Penutup 30
BAHAGIAN TIGA
METODOLOGI KAJIAN
BAB III METADOLOGI KAJIAN
3.1 Pendahuluan 32
3.2 Reka Bentuk Kajian 32
3.3 Sampel dan Populasi 33
3.4 Prosedur Pensampelan 33
3.5 Instrumen Kajian 36
3.6 Kajian Rintis 39
3.7 Prosedur Kajian 40
3.8 Analisis Data 40
3.9 Penutup 42
BAHAGIAN EMPAT
ANALISIS DAN DAPATAN
BAB IV ANALISIS DATA
4.1 Pendahuluan 43
4.2 Analisis Data Bahagian A 44
4.3 Analisis Data Bahagian B 52
4.3.1 Analisis Persoalan Kajian 1 52
4.3.2 Analisis Persoalan Kajian 2 56
4.3.3 Analisis Persoalan Kajian 3 58
4.3.4 Analisis Persoalan Kajian 4 61
4.3.5 Analisis Persoalan Kajian 5 65
4.3.6 Analisis Persoalan Kajian 6 68
4.4 Rumusan Analisis Persoalan Kajian 70
BAHAGIAN LIMA
RUMUSAN DAN CADANGAN
BAB V RUMUSAN, PERBINCANGAN DAN CADANGAN
5.1 Pendahuluan 73
5.2 Rumusan 74
5.3 Perbincangan 76
5.3.1 Perbincangan Latar Belakang 76
Responden
5.3.2 Perbincangan Persoalan Kajian 1 81
5.3.3 Perbincangan Persoalan Kajian 2 86
5.3.4 Perbincangan Persoalan Kajian 3 89
5.3.5 Perbincangan Persoalan Kajian 4 93
5.3.6 Perbincangan Persoalan Kajian 5 96
5.3.7 Perbincangan Persoalan Kajian 6 100
5.4 Cadangan 103
5.5 Cadangan Kajian Lanjutan 106
5.6 Penutup 107
RUJUKAN 108
LAMPIRAN 111
SENARAI JADUAL
NO. JADUAL TAJUK MUKA SURAT
1.1 Kedudukan Jualan Projek IKS PKNM Di Negeri Melaka 7
1.2 Kedudukan Jualan Projek IKS PKNM Di Daerah Jasin,
Melaka. 9
3.1 Kedudukan Jualan Projek IKS PKNM Sehingga 31.Mei.2003
Di Daerah Jasin, Melaka 35
3.2 Bilangan Sampel Usahawan Bumiputera Di Luar Kawasan
IKS Di Daerah Jasin 36
3.3 Taburan Item Soal Selidik Mengikut Faktor Dan Bahagian 37
3.4 Skala Lima Mata 38
3.5 Skala Tiga Mata 38
3.6 Darjah Penilaian Terhadap Responden 41
3.7 Persoalan Kajian Dan Jenis Statistik yang digunakan 41
4.1 Taburan Jenis Perniagaan 44
4.2 Taburan Kelayakan Akademik 45
4.3 Taburan Umur 46
4.4 Taburan Status Perkahwinan 46
4.5 Taburan Bilangan Tanggungan 47
4.6 Taburan Pendapatan 48
4.7 Taburan Tempoh Perniagaan 49
4.8 Taburan Bilangan Pekerja 50
4.9 Taburan Penerimaan Latihan Mengenai Keusahawanan 50
4.10 Taburan Tempat Menerima Latihan Keusahawanan 51
4.11 Analisis Mengenai Faktor Bayaran Mempengaruhi
Keengganan Usahawan Bumiputera Untuk Berpindah Ke IKS. 53
4.12 Analisis Mengenai Faktor Modal Perpindahan Mempengaruhi
Keengganan Usahawan Bumiputera Untuk Berpindah Ke IKS. 56
4.13 Analisis Mengenai Faktor Saingan Mempengaruhi
Keengganan Usahawan Bumiputera Untuk Berpindah Ke IKS. 58
4.14 Analisis Mengenai Faktor Pelanggan Tetap Mempengaruhi
Keengganan Usahawan Bumiputera Untuk Berpindah Ke IKS. 61
4.15 Analisis Mengenai Faktor Lokasi Dan Keselesaan
Mempengaruhi Keengganan Usahawan Bumiputera Untuk
Berpindah Ke IKS. 65
4.16 Analisis Mengenai Faktor Pendapatan Atau Keuntungan
Mempengaruhi Keengganan Usahawan Bumiputera Untuk
Berpindah Ke IKS. 68
4.17 Analisis Keseluruhan Persoalan Mengikut Purata Peratusan. 70
SENARAI SINGKATAN
AFTA Zon Perdagangan Bebas Asia
B.C.I.C Dasar Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputera
DEB Dasar Ekonomi Baru
FAMA Lembaga Pemasaran Pertanian Bersekutu
IB Industri Berat
IKS Industri Kecil Dan Sederhana
KDNK Kadar Dalam Negara Kasar
KHB Kemahiran Hidup
KPM Kementerian Pendidikan Malaysia
MARA Majlis Amanah Rakyat
MARDI Institut Penyelidikan Dan Pembangunan Malaysia
MATRADE Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia
MDJ Majlis Daerah Jasin
MIDA Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia
MITI Kementerian Perdagangan Dan Perindustrian
Antarabangsa
MEDEC Pusat Pembangunan Usahawan Malaysia
MLVK Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan
PKEN Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri
PKNM Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka
PMR Penilaian Menengah Rendah
PORIM Institut Penyelidikan Minyak Kelapa Sawit
PRIM Institut Penyelidikan Getah Malaysia
SIRIM Institut Piawaian Dan Penyelidikan Perindustrian
Malaysia
SKM Sijil Kemahiran Malaysia
SPM Sijil Pelajaran Malaysia
SPMV Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional
SPSS Statistical Package For social Science
SRP Sijil Rendah Pelajaran
STPM Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia
UDA Perbadanan Pembangunan Bandar
UNIDO United Nations Industrial Development Organisation
UPSR Ujian Penilaian Sekolah Rendah
SENARAI LAMPIRAN
LAMPIRAN TAJUK MUKA SURAT
A Borang Soal Selidik 112
B Surat Sokongan Dari Fakulti
Pendidikan 120
C Senarai Bengkel-Bengkel Di Luar
Kawasan IKS Daerah Jasin Tahun 2003 121
BAB 1
PENGENALAN
1.1 Pendahuluan
Bidang perniagaan dan keusahawanan merupakan bidang yang sangat rumit dan
mencabar. Pelbagai faktor yang diperlukan untuk mencapai kejayaan di dalam perniagaan
termasuklah kemahiran pengurusan, kakitangan yang cekap, sumber kewangan yang
kukuh, produk dan perkhidmatan yang unggul serta mempunyai pelanggan yang ramai
dan setia.
Isu-isu seperti perlaksanaan AFTA, kemunculan negara China sebagai kuasa
besar ekonomi, inovasi teknologi yang pesat, peningkatan kehendak pelanggan yang
mahukan barangan yang murah dan berkualiti tinggi dan daya saing dikalangan negara-
negara yang mempunyai pasaran buruh yang murah merupakan beberapa faktor yang
sentiasa memaksa kita supaya meningkatkan lagi kreativiti latihan bagi mewujudkan
lebih ramai pekerja mahir yang bersesuaian dengan teknologi terkini untuk terus berdaya
saing dalam apa jua keadaan. (Abdul Latif bin Ahmad, 2001)
Sebagai sebuah negara membangun yang menceburkan diri dalam pembangunan
industri sepatutnya Malaysia mengkaji pengalaman pembangunan perindustrian di
Negara Jepun, terutama yang berhubung dengan polisi-polisi perindustriannya. Salah satu
faktor yang membawa kepada pembangunan perindustrian yang pesat di Negara Matahari
Terbit tersebut adalah dasar perindustriannya sendiri. Di mana ia memberikan penekanan
ke atas pembangunan yang sama kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dengan
Industri Besar (IB) terutamanya pada awal peringkat pembangunannya. Pembangunan
yang seimbang ini bukan sahaja perlu wujud, malah struktur pertalian di antara kedua-
dua jenis industri diperkukuhkan dari masa ke semasa.
Sebenarnya kerajaan telah memberi perhatian yang lebih kepada industri kecil
selepas perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1971. Pada zaman
penjajahan British, sektor industri kecil boleh dikatakan telah diabaikan sama sekali
seperti sektor pembuatan secara umumnya. Hanya dalam tempoh Rancangan Malaysia
Pertama (1966-1970) sahaja sektor IKS telah mula diberi perhatian yang serius semula
memandangkan betapa pentingnya sektor ini ke atas ekonomi negara. Seterusnya, sejak
perlaksanaan DEB, kerajaan telah mengakui kepentingan IKS dan mengambil langkah
untuk menggalakkan pertumbuhannya. Sikap yang sama ini telah diteruskan sehingga
hari ini ( Abdul Razak Omar, 1988).
Usaha untuk membudayakan konsep keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia
secara amnya telah dilakukan oleh pihak kerajaan melalui Kementerian Pendidikan
Malaysia yang diterapkan kepada para pelajar semasa di bangku sekolah lagi. Ini dapat
dibuktikan dengan mewajibkan para pelajar sekolah menengah rendah untuk mengikuti
mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM).
Sememangnya kerajaan sangat prihatin terhadap kepentingan bidang
keusahawanan dalam pertumbuhan ekonomi negara dan penajaan peluang pekerjaan
baru. Usaha membudayakan keusahawanan di kalangan masyarakat dibuat seawal
peringkat rendah. Pelbagai program dirancang untuk memenuhi sasaran kelompok
masyarakat tertentu dan peruntukan kewangan yang besar diberi dari semasa ke semasa
bagi merangsang pertumbuhan sektor perdagangan dan keusahawanan negara secara
amnya.
Tujuannya adalah untuk memupuk sikap berdikari, yakin diri, semangat ingin
tahu, ingin mencuba dan tidak berputus asa, meningkatkan inisiatif, daya mereka cipta
serta berkeupayaan mengenal pasti peluang perniagaan yang ada. Para pelajar diajar
menggunakan peluang perniagaan dengan bijaksana dan bertindak sebagai pengguna dan
pengeluar yang bertanggungjawab pada masa akan datang.
Dalam usaha menggalakkan pembangunan usahawan bumiputera dalam bidang
perniagaan dan perindustrian, sejumlah RM 214 juta di bawah peruntukan pembangunan
akan digunakan untuk melaksanakan program pembangunan vendor, francais,
pembangunan IKS, skim pinjaman kepada usahawan-usahawan serta pembelian ruang
perniagaan. Beberapa program tambahan termasuklah mengenal pasti golongan
bumiputera yang berpotensi bagi penyertaan dalam projek penswastaan, pembahagian
dan pemilikan saham, pembangunan ruang niaga dan latihan. (Mahathir Mohammad,
1998)
Kerajaan telah menggalakkan kemajuan perindustrian sebagai langkah usaha
untuk meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan sosial masyarakat dalam
merealisasikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam
segala aspek menjelang era wawasan 2020. Malaysia yang sedang menuju ke arah negara
perindustrian kini telah memberi peluang yang lebih terbuka serta kejayaan yang
cemerlang ke arah membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS). Peluang yang
diberi oleh pihak kerajaan ini hendaklah disambut baik oleh warganegaranya sendiri
khususnya para usahawan.
Menurut Jack M Kaplan (2001) Bagaimana perdagangan secara elektronik
sekarang berkesan dan kompetitif pada semua jenis perniagaan. Ianya akan merubah cara
seseorang usahawan menjalankan perniagaan dan cara memasarkan produk dan
perkhidmatan. Sekiranya usahawan berani mencuba E-commerce, mereka akan dapat
memperbaiki cara pemasaran dan mengikuti kaedah yang lebih berkesan untuk
menjalankan perniagaan.
1.2 Latar Belakang Masalah
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) merupakan kumpulan yang penting dalam
memajukan ekonomi di Malaysia. Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa IKS
banyak mewujudkan peluang pekerjaan, mengembangkan bakat keusahawanan dan
sebagai penyokong kepada syarikat-syarikat besar di Malaysia secara amnya. Ia dapat
dibuktikan dengan senario pembangunan di Malaysia yang menunjukkan bahawa IKS
merupakan penyumbang utama kepada pembangunan ekonomi negara sebagai pembekal
barangan dan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat besar tempatan dan di peringkat
pasaran global.
Pada dasarnya, organisasi IKS diasaskan oleh sebuah keluarga atau seseorang
yang akan dibantu oleh beberapa orang operator pengeluaran dan pekerja am yang lain.
Ini menggambarkan tahap atau saiz operasi dalam industri ini yang lazimnya bersifat
lebih kecil. Satu perkara umum dalam operasi perniagaan IKS ialah tahap penggunaan
modal atau kapital yang rendah berbanding dengan syarikat atau firma-firma besar.
Sebahagian besar tenaga kerja adalah terdiri daripada ahli pekerja pengusaha, sahabat,
kawan terdekat atau jiran yang berdekatan. Dari segi jenis pengeluaran produk, boleh
dikatakan bahawa IKS mengeluarkan hampir kesemua barangan keperluan penduduk di
Malaysia. Selain daripada itu, IKS berupaya mengeluarkan barangan yang tidak dapat
dikeluarkan oleh industri bersaiz besar. Ini dapat dilihat khususnya dalam bidang industri
makanan dan minuman. (Mohd. Asri Hj. Abdullah, 1999)
Menyedari tentang hakikat ini, pihak kerajaan sentiasa komited dalam membantu
usahawan-usahawan IKS supaya mampu untuk berdaya saing. Sejumlah RM 1.09 bilion
telah diperuntukkan untuk membiayai pembangunan projek-projek perindustrian IKS di
bawah Rancangan Malaysia Ke-8 berbanding RM 394.6 juta di bawah Rancangan
Malaysia Ke-7. Pelaburan yang besar bagi pembangunan IKS ini tidak akan berkesan jika
usahawan-usahawan IKS masih lagi mempunyai tanggapan negatif dan kurang memberi
perhatian dan tumpuan terhadap produk dan hasil pengeluaran mereka yang amat bernilai
bagi mempertingkatkan lagi keupayaan dalam menjana bidang perindustrian di negara
ini.
Kerajaan juga menyediakan kemudahan seperti prasarana bagi membantu para
usahawan untuk berkembang. Tetapi tidak ramai yang menggunakan peluang yang diberi
secara maksimum terutama dalam konteks prasarana yang telah disediakan oleh pihak
kerajaan. Matlamat Kerajaan untuk mewujudkan usahawan yang berdikari, berdaya maju,
berdaya saing dan berdaya tahan akan diteruskan melalui pelaksanaan dasar masyarakat
perdagangan dan perindustrian bumiputera (“Bumiputera Commercial and Industrial
Community” atau B.C.I.C). Penglibatan usahawan bumiputera di dalam perniagaan
secara kecil-kecilan telah bermula sejak dahulu lagi dan kian berkembang semenjak dasar
ekonomi baru diperkenalkan. (Abdul Latif Ahmad, 2001)
Sebenarnya, boleh dikatakan bahawa usahawan dalam bidang IKS merupakan
tulang belakang kepada asas perindustrian negara. Kerajaan sebenarnya mengambil berat
terhadap kemajuan dalam sektor ini. Pelbagai pelan, program dan mekanisme yang telah
disediakan untuk membangunkan usahawan IKS. Secara amnya, kerajaan telah
menubuhkan agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Usahawan, Pusat
Pembangunan Usahawan Malaysia (MADEC), Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang
berperanan merangka dasar seperti pelan induk perindustrian bagi memajukan
perindustrian di Malaysia. (Abdul Latif Ahmad dan Hamzah Ismail, 1986)
Namun begitu, walaupun lebih 30 tahun masa berlalu sejak D.E.B, penyertaan
usahawan bumiputera dalam pasaran tempatan mahupun luar negeri masih belum
menonjol. Dari segi pemilikan modal pula, saiz kebanyakan perniagaan usahawan
bumiputera adalah kecil. Di samping itu, tahap teknologi, kepakaran pengurusan,
pendidikan, pengalaman dan pendedahan kepada persaingan dikalangan usahawan
bumiputera masih rendah dan perlu diperbaiki. Adakah keengganan usahawan
bumiputera untuk berpindah ke prasarana yang telah disediakan oleh pihak kerajaan
menjadi penyebab kurangnya penonjolan mereka di kalangan usahawan di negara ini?
Lokasi dan tempat kebanyakan industri kecil beroperasi adalah di bangunan lokasi
yang tidak sesuai dan menyewa ruang yang sempit. Dalam kebanyakan contoh, bangunan
atau kedai yang digunakan oleh industri kecil tidak terletak di lokasi yang khusus untuk
kegiatan industri. Di samping itu, ada juga industri kecil yang beroperasi di tempat-
tempat kediaman atau di kawasan perumahan terutama oleh masyarakat luar bandar.
Selalunya aktiviti perniagaan ini ditempatkan di belakang kawasan rumah pengusaha
sahaja. Di Malaysia, pihak yang bertanggungjawab terhadap penyediaan prasarana ini
ialah pihak kerajaan negeri yang bidang kuasanya termasuklah untuk membangunkan
industri estet bagi industri kecil dan sederhana. Hal ini biasanya dilakukan melalui
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri. (Mohd. Asri Hj. Abdullah, 1999)
Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM) yang merupakan sebuah agensi
pembangunan Kerajaan Negeri Melaka yang telah dipertanggungjawabkan untuk
memajukan ekonomi Negeri Melaka di dalam empat bidang utama iaitu perindustrian,
pelancongan, perumahan, perniagaan dan perdagangan. Selain itu, badan ini berperanan
sebagai badan yang menyediakan kemudahan projek industri kecil dan sederhana (IKS)
kepada para usahawan di bandar mahupun di luar bandar.
Jadual 1.1 : Kedudukan Jualan Projek IKS PKNM Di Negeri Melaka
Jenis Telah dijual Kosong Jumlah
Tapak Kosong 268 144 412
Kedai 1½ Tingkat 76 19 95
Kedai 2 Tingkat 50 7 57
Bengkel Berkembar 126 32 158
Bengkel Teres 251 58 309
Sumber : Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.
Nota: Jumlah keseluruhan lot (Bumiputera dan Bukan Bumiputera) = 1031 unit
Daripada statistik jualan projek IKS PKNM sehingga 31.Mei.2003 didapati
daripada 1031 unit bangunan IKS yang disediakan kepada para usahawan, terdapat 260
unit bangunan yang masih belum terjual di sekitar Negeri Melaka. Ini menunjukkan
bahawa walaupun berlakunya pembangunan yang pesat dari segi prasarana yang
dibangunkan oleh PKNM, namun sambutan usahawan terhadap usaha pembangunan
infrastruktur masih lagi berkurangan.
Melalui kerjasama yang dilakukan oleh pihak PKNM dengan Majlis Daerah Jasin
di bawah Bahagian Kawalan Perniagaan dan Kesihatan iaitu Unit Kawalan Perniagaan
yang berfungsi mengeluarkan lesen dan permit serta kawalan premis perniagaan. Satu
pemantauan telah dilakukan dan didapati seramai 50 orang usahawan yang beroperasi di
sekitar Daerah Jasin terutama yang tinggal di luar bandar enggan untuk berpindah ke
prasarana yang disediakan oleh pihak PKNM. Daripada jumlah itu, seramai 35 orang
usahawan bumiputera dan 15 orang usahawan bukan bumiputera yang terlibat beroperasi
di kawasan tanah tidak sah atau tanah haram di luar kawasan IKS Daerah Jasin pada
tahun 2003.
Perniagaan yang dijalankan oleh usahawan ini berkisarkan perniagaan jenis
perkhidmatan iaitu bengkel besi, bengkel kereta dan kedai tayar yang telah dikenal pasti
oleh pihak Majlis Daerah Jasin, Melaka (MDJ). MDJ telah mengenal pasti usahawan-
usahawan ini sejak tiga tahun yang lalu berikutan projek IKS oleh PKNM yang telah siap
dibina pada tahun 1999. Projek tersebut adalah projek yang terakhir buat sementara
waktu ini oleh pihak PKNM berikutan tiada sambutan yang memberangsangkan terhadap
prasarana yang telah disediakan.
1.3 Penyataan Masalah
Sebahagian besar IKS menghadapi masalah ruang pejabat atau bangunan kerana
beroperasi di kawasan tanah yang tidak sesuai, tidak sah sama ada tanah kerajaan atau
milikan orang perseorangan. Sehingga hari ini terdapat sejumlah besar IKS beroperasi di
kawasan perumahan, menumpang di tapak perniagaan runcit, terletak di kawasan
perniagaan yang tidak sesuai bagi aktiviti perusahaan mereka. Senario ini berlaku di luar
kawasan perindustrian sama ada di bandar mahupun di luar bandar. Sebahagian daripada
mereka pula mempunyai masalah ruang pejabat atau bangunan kerana menerima arahan
daripada pihak berkuasa supaya berpindah ke kawasan lain atau yang telah disediakan.
(Mohd. Asri Hj. Abdullah, 1999)
Mengikut perangkaan dan perancangan yang dilakukan oleh Perbadanan
Kemajuan Negeri Melaka (PKNM), didapati bahawa projek terakhir yang dimajukan di
sekitar Daerah Jasin sekitar tahun 1997 hingga 1999 kurang mendapat sambutan daripada
para usahawan. Ini dapat dibuktikan dengan kedudukan jualan projek IKS PKNM
sehingga 31.Mei.2003. Didapati sebanyak 155 unit masih belum dijual kepada para
usahawan di sekitar Daerah Jasin, Melaka.
Jadual 1.2 : Kedudukan Jualan Projek IKS PKNM Di Daerah Jasin, Melaka.
Bil Projek IKS Bil. kosong
1 IKS Ayer Panas 45
2 IKS Selandar ll, 65
3 IKS Nyalas 33
4 IKS Pulai 9
5 IKS Merlimau 3
Jumlah 155
Sumber : Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka.
Dengan ini, penyelidik merasakan perlu dijalankan kajian untuk mengenal pasti
faktor-faktor yang mempengaruhi keengganan para usahawan bumiputera untuk
berpindah ke prasarana yang telah disediakan oleh kerajaan di Daerah Jasin, Melaka. Ini
kerana banyak projek IKS yang diusahakan oleh PKNM tidak mendapat sambutan
daripada para usahawan bumiputera secara amnya.
Adalah diharapkan agar pihak yang berkenaan dapat mengenal pasti punca di
peringkat akar umbi dan mengambil langkah yang sewajarnya untuk menggalakkan para
usahawan berfikiran positif. Sekali gus memancing para usahawan yang berminat untuk
berpindah ke prasarana yang telah disediakan. Dengan ini masalah keengganan para
usahawan untuk berpindah ke prasarana yang telah disediakan oleh kerajaan dapat diatasi
tanpa sebarang paksaan atau tekanan.
1.4 Objektif Kajian
Kajian ini dijalankan adalah untuk mengetahui faktor keengganan usahawan
bumiputera yang berorientasikan IKS berpindah ke prasarana yang telah disediakan oleh
pihak kerajaan.
Di antara objektif kajian adalah bertujuan untuk:
1. Mengenal pasti sejauh mana faktor bayaran mempengaruhi keengganan usahawan
bumiputera untuk berpindah ke IKS.
2. Mengenal pasti sejauh mana faktor modal perpindahan mempengaruhi keengganan
usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS.
3. Mengenal pasti sejauh mana faktor saingan mempengaruhi keengganan usahawan
bumiputera untuk berpindah ke IKS.
4. Mengenal pasti sejauh mana faktor pelanggan tetap mempengaruhi keengganan
usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS.
5. Mengenal pasti sejauh mana faktor lokasi dan keselesaan mempengaruhi
keengganan usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS.
6. Mengenal pasti sejauh mana faktor pendapatan atau keuntungan mempengaruhi
keengganan usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS.
1.5 Persoalan Kajian
Kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan-persoalan berikut:
1. Sejauh manakah faktor bayaran mempengaruhi keengganan usahawan
bumiputera untuk berpindah ke IKS?
2. Sejauh manakah faktor modal perpindahan mempengaruhi keengganan
usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS?
3. Sejauh manakah faktor saingan mempengaruhi keengganan usahawan
bumiputera untuk berpindah ke IKS?
4. Sejauh manakah faktor pelanggan tetap mempengaruhi keengganan usahawan
bumiputera untuk berpindah ke IKS?
5. Sejauh manakah faktor lokasi dan keselesaan mempengaruhi keengganan
usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS?
6. Sejauh manakah faktor pendapatan atau keuntungan mempengaruhi
keengganan usahawan bumiputera untuk berpindah ke IKS?
top related