13mei

35
http://notapolitik.blogspot.com/2012/02/peristiwa-13-mei-1969- merupakan.html PERISTIWA 13 MEI 1969 MERUPAKAN IMPLEMENTASI KEGAGALAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA. BINCANGKAN. 1.1 PENGENALAN Esei ini akan mendalami peristiwa 13 Mei 1969 dengan menggunakan perspektif hubungan etnik bagi membuktikan hujah bahawa peristiwa ini merupakan implikasi daripada kegagalan hubungan etnik di Malaysia. Bahagian latar belakang peristiwa ini akan memperihalkan peristiwa ini dengan menyatakan perincian tempat peristiwa, tindakan-tindakan sebelum, semasa dan selepas rusuhan oleh perusuh, pihak keselamatan dan kerajaan. Kemudiannya, akibat-akibat daripada peristiwa tersebut terhadap demokrasi di Malaysia, kepimpinan dan dasar awam. Bahagian seterusnya akan menjelaskan latar belakang masyarakat majmuk berdasarkan Teori Masyarakat Majmuk oleh J.S. Furnivall didokong konsep etnik oleh Shibutani dan Kwan. Penjelasan berkenaan tiga etnik terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India akan dihubungkait dengan andaian-andaian dalam Teori Masyarakat Majmuk. Bahagian faktor- faktor pencetus peristiwa ini pula akan menjelaskan tiga faktor utama yang berkait rapat dengan perspektif hubungan etnik. Faktor-faktor tersebut ialah ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat, kempen dan sambutan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum 1969 (PRU 1969) dan kecemburuan sosial antara orang Melayu

Upload: ravindran-ravi

Post on 22-Nov-2014

1.958 views

Category:

Documents


7 download

DESCRIPTION

 

TRANSCRIPT

http://notapolitik.blogspot.com/2012/02/peristiwa-13-mei-1969-merupakan.html

PERISTIWA 13 MEI 1969 MERUPAKAN IMPLEMENTASI KEGAGALAN HUBUNGAN

ETNIK DI MALAYSIA. BINCANGKAN.

1.1 PENGENALAN

Esei ini akan mendalami peristiwa 13 Mei 1969 dengan menggunakan perspektif

hubungan etnik bagi membuktikan hujah bahawa peristiwa ini merupakan implikasi

daripada kegagalan hubungan etnik di Malaysia. Bahagian latar belakang peristiwa ini

akan memperihalkan peristiwa ini dengan menyatakan perincian tempat peristiwa,

tindakan-tindakan sebelum, semasa dan selepas rusuhan oleh perusuh, pihak

keselamatan dan kerajaan. Kemudiannya, akibat-akibat daripada peristiwa tersebut

terhadap demokrasi di Malaysia, kepimpinan dan dasar awam. Bahagian seterusnya

akan menjelaskan latar belakang masyarakat majmuk berdasarkan Teori Masyarakat

Majmuk oleh J.S. Furnivall didokong konsep etnik oleh Shibutani dan Kwan. Penjelasan

berkenaan tiga etnik terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India akan

dihubungkait dengan andaian-andaian dalam Teori Masyarakat Majmuk. Bahagian

faktor-faktor pencetus peristiwa ini pula akan menjelaskan tiga faktor utama yang

berkait rapat dengan perspektif hubungan etnik. Faktor-faktor tersebut ialah

ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat, kempen dan sambutan kemenangan

dalam Pilihan Raya Umum 1969 (PRU 1969) dan kecemburuan sosial antara orang

Melayu dan orang bukan Melayu. Seterusnya, esei ini akan menganalisa peristiwa ini

berdasarkan perspektif sejarah dan kepimpinan. Perspektif sejarah akan menganalisa

pengalaman sejarah masyarakat majmuk sebelum Merdeka. Maka, pengalaman

sejarah ini akan dihubungkaitkan dengan pengeruhan hubungan etnik terutamanya

etnik Melayu dan etnik Cina. Perspektif kepimpinan pula menganalisa peranan Perdana

Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman dalam merencanakan pengurusan negara

yang mana Teori Liberalisme Ekonomi telah mengakibatkan ketidakseimbangan

ekonomi. Akhirnya, esei ini akan merumuskan keseluruhan bahagian esei dan

menyimpulkan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai rusuhan etnik yang berlaku akibat

daripada kegagalan hubungan etnik di Malaysia.

2.1 LATAR BELAKANG PERISTIWA 13 MEI 1969

Peristiwa rusuhan etnik ini merupakan implementasi daripada kegagalan hubungan

etnik di Malaysia. Walau bagaimanapun, peristiwa ini bukanlah satu-satunya peristiwa

pergaduhan antara etnik yang berlaku di negara ini. Beberapa pergaduhan antara kaum

telah direkodkan sejak selepas Perang Dunia Kedua iaitu di Batu Pahat (1945/6), Batu

Kikir (1946), Pulau Pinang (Januari 1958), Pangkor (Mei 1959), Bukit Mertajam (1967),

Kampung Rawa, Pulau Pinang (1998) dam Kampung Medan, Selangor (2001) (Syed

Husin Ali 2008: 171). Peristiwa 13 Mei 1969 ini mempunyai signifikannya terhadap

negara ini kerana ia menjadi titik tolak kepada perubahan dasar dan kepimpinan di

Malaysia selepasnya. Bahagian ini bertujuan untuk melihat beberapa aspek penting

peristiwa ini iaitu lokasi kejadian, perarakan kemenangan dan perarakan balas serta

kesannya terhadap negara Malaysia.

2.2 Kampung Baharu dan Peristiwa 13 Mei 1969

Rusuhan ini bermula di rumah Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris di Jalan Raja

Muda, Kampung Baharu, Kuala Lumpur ketika orang Melayu bersiap sedia untuk

perarakan balas terhadap perarakan kemenangan pilihan raya oleh orang Cina pada

hari sebelumnya. Perarakan balas ini berpusat di Kampung Baharu yang merupakan

petempatan orang Melayu tertua dan kawasan simpanan Melayu paling lama di Kuala

Lumpur. Lokasinya terletak dalam lingkungan Jalan Raja Muda Musa di sebelah utara,

Jalan Tuanku Abdul Rahman di sebelah barat, Jalan Dang Wangi (ketika itu Jalan

Campbell) di sebelah selatan dan Sungai Klang di sebelah timur. Ia wujud di bawah

peruntukan Undang-undang Tanah Seksyen 6 (1877) dan diisytiharkan sebagai

kawasan simpanan orang Melayu pada tahun 1900 (Abdul Rahman 2011: 19).

2.3 Perarakan Kemenangan Orang Cina dan Perarakan Balas Orang Melayu

Peristiwa ini berlaku tiga hari selepas PRU 1969 yang diadakan pada 10 Mei 1969. Ia

tercetus dalam lingkungan pukul 6.00 petang iaitu kira-kira 60 jam selepas keputusan

terakhir pilihan raya negeri Selangor diumumkan (Goh 1971:18). Pada 12 Mei 1969,

setelah perarakan kemenangan oleh orang Cina dari parti Gerakan dan Democratic

Action Party (DAP) dari pukul 5.30 petang hingga 8.00 malam selesai, sebahagian

besar penyokong parti tersebut telah mengadakan perarakan haram yang

memprovokasi orang Melayu terutama di kawasan Kampung Baharu. Maka, Encik

Ahmad Razali iaitu Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor telah merancang

perarakan balas pada keesokan harinya iaitu pada pukul 6.00 petang. Dalam perarakan

balas tersebut, orang Melayu membawa senjata seperti parang, keris dan buluh runcing

atas alasan keselamatan diri kerana mereka akan melalui kawasan yang padat dengan

orang Cina. Ketika itu, 200 hingga 300 orang Melayu keluar dari halaman rumah

Menteri Besar Selangor menuju ke Jalan Tuanku Abdul Rahman. Perkelahian mula

tercetus di Setapak dan merebak ke Jalan Tuanku Abdul Rahman di hadapan

Pawagam Odeon. Perkelahian turut berlaku di Kampung Baharu, Pudu dan Kampung

Pandan. Ia mengakibatkan kecederaan dan kematian. Perbuatan merosak dan

membakar kenderaan serta bangunan turut berlaku. Pihak polis yang tidak dapat

mengawal keadaan telah meminta bantuan daripada pasukan ketenteraan. Operasi

yang melibatkan 3600 orang polis dan 2000 orang tentera ini berjaya menyelamatkan

hampir 3000 keluarga Cina dan meredakan ketegangan.

2.4 Peristiwa 13 Mei 1969 dan Akibat-akibatnya

Akibat daripada peristiwa ini, seluruh negara telah menjadi lumpuh. Yang di-Pertuan

Agong telah mengisytiharkan darurat pada 14 Mei 1969. Selaras dengan itu,

perlembagaan dan Parlimen telah digantung. Selain itu, pilihan raya di Malaysia Timur

iaitu di negeri Sabah dan Sarawak telah ditangguhkan (Abdul Rahman 2011: 87-91).

Urusan pentadbiran negara telah diambil alih oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)

dengan dipengerusikan Timbalan perdana Menteri, Tun Abdul Razak dari tarikh

perisytiharan darurat sehingga tahun 1971. Selaras dengan kajian yang dijalankan oleh

MAGERAN bagi menilai faktor-faktor yang mengakibatkan peristiwa tersebut, beberapa

perubahan telah direncanakan iaitu pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang

bertujuan menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula

masyarakat Malaysia. Selainnya, ideologi rasmi Malaysia iaitu Rukun Negara turut

dibentuk untuk menjamin keamanan dan perpaduan.

3.1 MASYARAKAT MAJMUK DI MALAYSIA: PERSPEKTIF TEORI MASYARAKAT

MAJMUK

Bahagian ini bertujuan untuk memahami latar belakang masyarakat majmuk di Malaysia

yang terdiri daripada tiga etnik utama iaitu Melayu, Cina dan India. Bagi tujuan tersebut,

Teori Masyarakat Majmuk oleh J.S. Furnivall dan didokong oleh pendefinisian etnik oleh

Shibutani dan Kwan akan digunakan.

3.2 Teori Masyarakat Majmuk

Teori ini adalah berdasarkan kajian J.S. Furnivall terhadap masyarakat majmuk di

Burma (Myanmar) dan Netherland India (Indonesia) (Syed Husin 2008: 160). Menurut

Furnivall (1948), dipetik dalam Syed Husin (2008), masyarakat majmuk ialah sebuah

komuniti yang hidup dalam bahagian yang berasingan, sebelah-menyebelah tetapi

terpisah dalam satu unit politik yang sama. Tambah beliau, terpisahnya mereka ini

adalah kerana wujudnya perbezaan daripada segi agama, budaya, bahasa, idea dan

cara tersendiri. Malahan, dalam ruang lingkup ekonomi wujud pembahagian tenaga

buruh mengikut garis perkauman. Furnivall menggunakan istilah kaum dalam kajiannya

tetapi dalam konteks Malaysia, pemakaian istilah etnik adalah lebih sesuai.

Tambahannya, Shibutani dan Kwan (1965) dalam buku berjudul Ethnic Stratification

merujuk istilah etnik sebagai sekumpulan orang yang beranggapan bahawa mereka

adalah daripada keturunan yang sama dan anggapan itu turut diiktiraf oleh orang yang

berada di luar kumpulan mereka. Sama ada anggapan itu benar atau salah tidak

menjadi persoalan. Mereka disatukan oleh ikatan perasaan atau emotional bonds dan

menitikberatkan pemeliharaan kumpulannya. Mereka bertutur dalam bahasa yang sama

dan berkongsi warisan budaya (Syed Husin 2008: 160).

Oleh itu, Teori Masyarakat Majmuk ini akan digunakan sebagai panduan dalam tiga

bahagian berasingan dalam esei ini. Pertama, bagi memahami latar belakang

masyarakat majmuk di Malaysia. Kedua, bagi menghuraikan faktor-faktor yang

mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969. Ketiga, bagi menganalisa peristiwa 13 Mei 1969.

3.3 Latar Belakang Masyarakat Majmuk di Malaysia

Dalam bahagian ini, latar belakang masyarakat majmuk hanya ditumpukan kepada tiga

etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Ciri-ciri utama seperti agama, fungsi

ekonomi, petempatan dan pendidikan melambangkan kehidupan terpisah-pisah dalam

masyarakat di Malaysia sebagaimana yang digambarkan dalam Teori Masyarakat

Majmuk. Segregasi dalam kalangan masyarakat majmuk juga mengurangkan kadar

komunikasi antara etnik di Malaysia seterusnya membantutkan proses integrasi antara

etnik. Dalam keadaan sebegini perpaduan etnik berada dalam keadaan yang rapuh.

Perpaduan antara etnik dapat diibaratkan seperti minyak dengan air.

3.3.1 Etnik Melayu

Etnik Melayu merupakan etnik paling utama daripada segi populasi tetapi paling miskin

dalam bidang sosioekonomi. Mereka menguasai politik tetapi tidak ekonomi. Maka,

kuasa politik begitu penting bagi mereka untuk meneruskan keberadaan di tanah air

sendiri (Jamaie 2002: 51-52). Orang Melayu lazimnya menetap di kampung-kampung

terpencil dan terpinggir daripada pembangunan (Jamaie 2003: 23) dan kawasan

pesisiran pantai. Orang Melayu terlibat dalam pekerjaan seperti petani, nelayan dan

pekebun kecil (Mohd Ali dan Jamaie 2005: 106).

Selain itu, masyarakat Melayu juga mempunyai tradisi yang kuat dalam pendidikan

agama dan aktiviti pertanian. Sikap ini mendorong sesetengah daripada mereka untuk

tidak menghantar anak-anak ke sekolah berpendidikan sekular kerana ia akan

mengurangkan tenaga dalam bidang pertanian selain takut kepada aktiviti mubaligh

Kristian di sekolah berpendidikan sekular tersebut (Mohd Ali 2006: 23). Pendidikan

orang Melayu banyak dipengaruhi sekolah pondok yang menyediakan kuliah agama,

pendidikan vernakular di sekolah-sekolah Melayu. Selain itu, terdapat orang Melayu

yang berpendidikan Inggeris daripada sekolah-sekolah elit seperti Penang Free School

di Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar di Perak.

Sistem sosial masyarakat Melayu mempunyai kekuatan hubungan antara pemerintah

dan yang diperintah. Ia boleh dilihat melalui strata sosial dalam masyarakat yang terdiri

daripada raja, anak-anak raja, golongan bangsawan atau aristokrat sehingga ke unit

politik Melayu paling kecil iaitu kampung. Unit politik terkecil ini diketuai penghulu atau

ketua kampung, kemudiannya rakyat biasa dan seterusnya hamba. Sistem feudal

tradisional ini menjadi lebih birokratik dengan adanya pendidikan sekular Inggeris dan

perkhidmatan awam iaitu Malay Administrative Service (MAS) dan Malayan Civil

Service (MCS). Pemilihan ke jawatan dalam pentadbiran tidak lagi berdasarkan warisan

sebaliknya merit iaitu kemampuan diri seseorang. Penglibatan dalam perkhidmatan

awam ini telah melahirkan golongan kelas menengah Melayu. Selepas kemerdekaan,

jumlahnya bertambah hasil bantuan kerajaan. Jelasnya, golongan kelas menengah

tinggi mempunyai kuasa politik maka ia menjadikan orang Melayu semakin kuat

penguasaan politiknya (Yap 1989: 83). Ciri lain yang harus diperhatikan ialah

kewujudan parti politik yang keahliannya berteraskan satu-satu etnik. Bagi orang

Melayu, parti United Malays National Organisation (UMNO) dan Parti Islam SeMalaysia

(PAS) boleh dianggap sebagai parti yang mewakili kepentingan mereka.

3.3.2 Etnik Cina

Etnik Cina merupakan golongan imigran. Mereka masuk ke Tanah Melayu secara

persendirian atau berkumpulan melalui Sistem Kontrak iaitu ketika zaman kolonial

British. Realitinya, etnik ini telah wujud seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka

sebagai pedagang. Pertambahan populasi orang Cina melalui tiga peringkat iaitu pada

awal abad ke- 18, pertengahan abad ke- 19 dan sejak pentadbiran British bermula dari

tahun 1911. Kebanyakan orang Cina menetap di kawasan bandar dan kawasan

perlombongan seperti di Pulau Pinang, Ipoh, Kuala Lumpur dan Seremban. Mereka

mempunyai fungsi ekonomi yang berbeza mengikut suku-suku dalam etnik Cina.

Contohnya, suku Hokkien bekerja sebagai pedagang di pelabuhan seperti Pulau

Pinang, Melaka, Singapura dan Teluk Anson. Suku Hakka pula bekerja di lombong-

lombong, Suku Teochew dalam aktiviti pertanian ladang gambir, lada dan tebu di Johor

dan Seberang Perai serta perikanan di kawasan pantai negeri Perak. Suku Hailam

menjadi orang gaji di rumah orang Barat dan buruh di ladang getah.

Pendidikan orang Cina berkembang mengikut tradisi dan pembelajaran sebagaimana di

negara ibunda mereka melalui sistem pendidikan vernakular (Mohd Ali Kamaruddin

2006: 29). Sukatan pelajaran dari negara China memperkuat taat setia mereka

terhadap negara asal berbanding kepada Tanah Melayu. Misalannya, pada awal 1920-

an suku Hailam di negara China memperjuangkan pembebasan Pulau Hainan daripada

cengkaman militer. Hal ini telah menentukan sikap politik suku Hailam di Tanah Melayu.

Hanya orang Cina Peranakan yang hampir tidak terpengaruh dengan perkembangan di

China. Dalam pada masa yang sama, terdapat orang Cina yang berpendidikan Inggeris.

Mereka yang lahir dari sistem pendidikan Inggeris inilah yang lantang mempersoalkan

dasar-dasar British yang pro orang Melayu. Misalannya, Tan Cheng Lock menuntut

kewujudan bangsa Malaya yang mengiktiraf pemastautin Cina di Tanah Melayu untuk

diberi hak sama rata (Abdul Rahman 2011: 8).

Sistem sosial masyarakat Cina pula dipengaruhi kewujudan persatuan bagi setiap

wilayah asal dan persatuan mengikut surname group. Kewujudan kongsi gelap turut

penting untuk diperhatikan. Contohnya, terdapat kumpulan Ghi Hin, Hai San, Ghi Hock

dan Sung Pak Kun (Khoo 1971: 15-23). Politik kepartian bagi orang Cina turut

dipengaruhi keahlian berdasarkan etnik. Parti politik seperti Malayan Chinese

Association (MCA), Gerakan, DAP dan Buruh didominasi orang-orang Cina baik dari

segi kepimpinan dan penyokongnya.

3.3.3 Etnik India

Kedatangan etnik India ke Tanah Melayu dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu awal

Masihi, tahun 1920-an dan tahun 1910. Mereka masuk ke Tanah Melayu melalui Sistem

Kangani untuk memenuhi kepentingan ekonomi kolonial British ketika itu. Petempatan

mereka adalah di ladang-ladang getah dan tinggal berselerak di petempatan Melayu

dan Cina (Ho 2004: 132). Maka, fungsi ekonomi mereka adalah untuk keperluan tenaga

buruh di ladang getah seperti Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan. Terdapat

juga orang India yang terlibat dalam aktiviti perniagaan seperti kedai buku, runcit dan

kain yang mana sebahagian besarnya di Pulau Pinang. Sistem pendidikan etnik India

adalah sama seperti etnik Cina iaitu melalui pendidikan vernakular dan Inggeris.

Pendidikan vernakular etnik India menggunakan bahasa Tamil. Ia turut berkembang

mengikut tradisi dan pembelajaran seperti di negara ibunda (Mohd Ali 2006: 29).

Sekolah-sekolah didirikan di kawasan ladang getah untuk memudahkan proses

pembelajaran. Selainnya, pendidikan Inggeris dalam kalangan etnik ini telah melahirkan

segolongan profesional dalam bidang ikhtisas khususnya peguam.

Umumnya, orang India tidak bersifat homogenous. Terdapat beberapa aspek yang

memisahkan mereka. Aspek-aspek tersebut ialah tempat asal yang mana kebanyakan

mereka berasal dari India Selatan, aspek bahasa, aspek kasta seperti Natukottai

Chetty, Maruthuvar dan Adhi Dravidar serta aspek agama kerana etnik India menganut

pelbagai agama iaitu Hindu, Sikh, Islam dan Kristian. Orang India realitinya hidup

terpencil daripada etnik-etnik besar lain khususnya Melayu dan Cina (Khoo 1971: 18).

Parti politik bagi etnik India turut memperlihatkan dominasi satu etnik sahaja iaitu parti

Malayan Indian Congress (MIC) dan People Progressive Party (PPP).

4.1 FAKTOR-FAKTOR PENCETUS PERISTIWA 13 MEI 1969

Bahagian ini ia akan menghuraikan tiga faktor pencetus iaitu ketidakseimbangan

ekonomi, pilihan raya dan kecemburuan sosial. Ketiga-tiga faktor ini mempunyai kaitan

rapat dengan perspektif yang diambil dalam esei ini iaitu perspektif hubungan etnik.

4.2 Faktor Ketidakseimbangan Ekonomi

Ketidakseimbangan ekonomi wujud dalam masyarakat mengikut faham garisan etnik.

Orang Melayu terpinggir dan miskin dalam ekonomi bercorak sara diri tanpa sebarang

pembelaan melalui dasar afirmatif daripada kerajaan. Ia mengakibatkan rasa tidak puas

hati terhadap orang bukan Melayu yang ternyata lebih terkehadapan dalam bidang

perniagaan bercorak kapitalisme. Ciri-ciri dualisme ekonomi ini wujud akibat daripada

dasar-dasar ekonomi kolonial dan mengesankan ekonomi masyarakat Malaysia pasca

Merdeka.

4.2.1 Faham Ekonomi dan Pembahagian Kuasa di Malaysia

Menurut Jomo (1988), ketidakseimbangan ekonomi dalam masyarakat adalah tepat

untuk digambarkan mengikut garisan kelas berbanding etnik. Namun, faham ekonomi

ketika itu adalah mengikut garis etnik. Orang Melayu sering dikaitkan dengan

kemiskinan dan kemelaratan hidup manakala orang Cina ialah golongan yang kaya dan

serba maju. Dalam Teori Marxisme, orang Melayu sesuai dirujuk sebagai kelas

proletariat yang ditindas manakala orang Cina ialah kelas borjuis yang memiliki modal

dan sering memeras golongan proletariat.

Namun, faham sebegini hanya stereotaip kerana dalam satu-satu etnik itu sendiri wujud

golongan miskin dan kaya. Maka, ia membuktikan faham ekonomi mengikut garisan

etnik adalah salah. Bukan semua orang Cina kaya kerana sebahagian besar modal

merupakan milik orang asing. Dalam hal politik pula, orang Melayu tidak berkuasa untuk

membuat keputusan sepenuhnya kerana modal ekonomi mempunyai pengaruh besar

dalam pembuatan keputusan politik (Jomo 1988: 284). Oleh itu, wujud faham yang

salah berkenaan pembahagian kuasa politik dan ekonomi iaitu ‘kuasa politik di tangan

orang Melayu manakala kuasa ekonomi di tangan orang Cina’ (Jomo 1988: 283).

4.2.2 Perangkaan Ketidakseimbangan Ekonomi

Modal Syer Sektor Syarikat Berhad di Semenanjung Malaysia (1969)

Kumpulan Syer Jumlah Syer (%)Melayu 1.5Cina 22.8India 0.9Cawangan asing yang diperbadankan 29.7Bukan pemastautin 26.4Syarikat asing di Malaysia 6.0Individu lain dan syarikat yang dikawal orang tempatan

10.1

Syarikat nomini 2.1Kerajaan pusat dan negeri 0.5

Jadual 1: Modal Syer Sektor Syarikat Berhad di Semenanjung Malaysia (1969)

Koefisien Gini bagi Melayu dan Cina

1957/58 1970Melayu 0.361 0.451Cina 0.383 0.449

Jadual 2: Koefisien Gini bagi Melayu dan Cina

Berdasarkan Jadual 1, jelas bahawa wujud ketidakseimbangan ekonomi antara orang

Melayu dan orang bukan Melayu. Orang Melayu hanya memiliki 1.5 peratus syer penuh

dalam syarikat berhad di Semenanjung Malaysia berbanding orang Cina iaitu sebanyak

22.8 peratus. Jadual 1 ini juga membuktikan bahawa sejumlah besar syer dimiliki oleh

pemodal-pemodal asing dan bukannya orang bukan Melayu sebagaimana faham

ekonomi masyarakat Malaysia. Cawangan asing yang diperbadankan, bukan

pemastautin dan syarikat asing memiliki sebahagian besar syer iaitu 29.7 peratus, 26.4

peratus dan 6.0 peratus masing-masing.

Jadual 2 pula menunjukkan koefisien gini bagi orang Melayu dan orang bukan Melayu.

Koefisien gini merupakan satu kaedah pengiraan jurang pendapatan dalam satu

keadaan ketidaksamaan pendapatan. Koefisien gini bagi orang Melayu dan bukan

Melayu pada tahun 1957/1958 menunjukkan terdapatnya jurang pendapatan antara

kelas dalam satu-satu etnik. Jumlah nisbah koefisien gini bagi orang Melayu ialah 0.361

manakala orang Cina sebanyak 0.383. Angka ini bermaksud terdapatnya jurang

pendapatan antara kelas dalam satu-satu etnik. Namun, jurang dalam satu-satu etnik

tersebut adalah setara antara orang Melayu dan orang bukan Melayu. Jurang

pendapatan ini didapati bertambah pada tahun 1970 dengan orang Melayu sebanyak

0.451 manakala orang Cina sebanyak 0.449. Maka, nisbah koefisien gini ini

membuktikan ketidakseimbangan ekonomi adalah lebih sesuai mengikut garisan kelas

berbanding etnik. Walau bagaimanapun, faham ekonomi mengikut garisan etnik begitu

menebal menyebabkan persepsi ekonomi mengikut garisan etnik tidak dapat dielakkan.

4.2.3 Kemiskinan Orang Melayu dan Usaha Pembasmiannya

Menurut Jomo (1988), ketiadaan golongan kapitalis Melayu telah gagal menyediakan

kesetaraan kuasa ekonomi antara orang Melayu dan orang bukan Melayu. Pada era

penjajahan British, mereka yang berpotensi untuk membentuk golongan kapitalis

Melayu telah diserap ke dalam birokrasi kolonial. Selepas kemerdekaan, mereka terus

berkhidmat dalam pentadbiran awam. Pekerjaan ini menjamin gaji yang tinggi dan

kehidupan mewah. Maka, tiada inisiatif untuk mencari kekayaan melalui jalan lain

seperti penglibatan yang serius dalam perniagaan.

Dalam pada masa yang sama, orang Melayu berkecimpung dalam ekonomi secara

kecil-kecilan seperti pertanian. Namun, mereka tidak memiliki modal yang besar dan

jaringan pemasaran yang luas kerana ia dikuasai orang bukan Melayu khususnya Cina

(Mohd Ali dan Jamaie 2005: 106). Ertinya, orang Melayu berada dalam keterasingan

atau alienation akibat ketidakupayaan mereka untuk memiliki alat pengeluaran atau

means of production sendiri. Orang Melayu juga gagal mengubah nasib melalui aktiviti

ekonomi kecil-kecilan kerana faktor orang tengah dalam setiap aktiviti jual beli. Peranan

orang tengah ini lazimnya dimainkan oleh orang Cina yang digambarkan sebagai

penindas (Jomo 1988: 294). Mereka mengambil keuntungan atau nilai lebihan (surplus

value) daripada golongan nelayan dan petani.

Kerajaan telah mengusahakan pembaikan ekonomi orang Melayu. Institusi yang

bertanggungjawab untuk memajukan orang Melayu luar bandar telah ditubuhkan iaitu

Lembaga Kemajuan Luar Bandar atau Rural Industrial Development Authority (RIDA)

(Mohd Ali dan Jamaie 2005: 108). Ia kemudiannya dikenali sebagai Majlis Amanah

Rakyat (MARA) pada tahun 1966 di bawah Akta Parlimen Seksyen 6 (1) dengan

matlamat untuk melahirkan tenaga kerja terlatih, kemudahan kredit dan khidmat nasihat

kepada peniaga Melayu (Jamaie 2002: 54). Tambahannya, Lembaga Kemajuan Tanah

Persekutuan atau Federal Land Development Authority (FELDA) telah ditubuhkan pada

1956 untuk menyediakan peluang kepada orang Melayu untuk kegiatan penerokaan

tanah pertanian berskala besar. Beberapa institusi ekonomi juga ditubuhkan sebagai

tindak balas kepada Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama (1965) dan Kedua (1968)

seperti Urban Development Authority (UDA), Federal Agriculture Marketing Authority

(FAMA) dan Bank Bumiputera.

Namun, ia tetap tidak berjaya mengubah sosioekonomi Melayu sebagaimana

diharapkan (Mohd Ali dan Jamaie 2005: 108). Ketidakseimbangan ekonomi ini telah

mengakibatkan prasangka dan tidak puas hati dalam kalangan etnik di Malaysia

khususnya Melayu dan Cina. Hal ini akhirnya mencetuskan peristiwa 13 Mei 1969

(Jamaie 2003: 25).

4.3 Faktor Pilihan Raya Umum 1969

Faktor PRU 1969 menghangatkan lagi ketegangan hubungan etnik. Ia merupakan

faktor peledak atau boom factor kepada ketegangan etnik yang membawa pergaduhan

pada 13 Mei 1969. Pembubaran Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

diumumkan pada 20 Mac 1969. Penamaan calon pula ditetapkan pada 5 April 1969 dan

hari pengundian pada 10 Mei 1969. Maka, bahagian ini akan menghuraikan sentimen

perkauman dalam kempen-kempen parti politik dan provokasi setelah keputusan pilihan

raya diumumkan.

4.3.1 Kempen Pilihan Raya Umum 1969

Kempen pilihan raya pada PRU 1969 memperlihatkan isu-isu perkauman begitu hangat

dimainkan oleh parti-parti politik seperti Perikatan, PAS, DAP, Gerakan dan Parti Buruh.

Serangan dan tuduhan dalam kempen pilihan raya ini menghangatkan sentimen

perkauman dalam kalangan masyarakat Malaysia seterusnya menyediakan suasana

tegang dalam kalangan masyarakat berbilang etnik.

Parti Perikatan mendakwa PAS sebagai parti anti Cina. Namun, ia menjadi alasan

sesetengah orang Melayu untuk menyokong PAS kerana sikap mereka sendiri

sememangnya anti terhadap orang Cina. Maka, Perikatan telah mengubah strategi

dengan menyatakan PAS sebagai parti yang komunis dan bakal menubuhkan

pemerintahan komunis malahan mengupah agen komunis dari Thailand untuk

berkempen di Kelantan. Selain itu, PAS didakwa bekerjasama dengan DAP, menerima

tajaan daripada kerajaan Singapura dan berkolaborasi dengan Gerakan di Pulau

Pinang dan Perak (Drummond dan Hawkins 1970: 325). Perikatan turut mendakwa

DAP sebagai parti anti Melayu dan dikawal sepenuhnya oleh Singapura kerana ia

diasaskan oleh Parti Tindakan Rakyat (PETIR) atau People Action Party (PAP) di

negara tersebut.

Sementara itu, PAS memainkan isu kemiskinan di kawasan The Malay Heartland atau

negeri majoriti orang Melayu seperti Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kedah. PAS

menyerang orang Cina, golongan kapitalis, Raja-raja Melayu dan kerajaan sebagai

penyebab kemiskinan orang Melayu. Tambahannya, PAS menyeru pembentukan

negara republik kerana kewujudan raja-raja hanya membazirkan wang negara (Vasil

1972: 28). PAS turut menuduh UMNO sebagai pro Cina dan menjual negara kepada

orang Cina. Mereka telah menjalankan kempen secara halus iaitu menyalahgunakan

gambar Encik Khir Johari iaitu Menteri Kabinet Perikatan berpakaian orang Cina

Mandarin dengan tujuan menuduh beliau sebagai orang Cina (Tunku Abdul Rahman

2007: 24-25). Gaya kempen sebegini mengeksploitasi rasa takut dan pengabaian orang

Melayu. Ia meningkatkan kecurigaan dan kecemburuan orang Melayu terhadap orang

bukan Melayu (Drummond dan Hawkins 1970: 323-324).

Parti politik yang didominasi orang Cina iaitu DAP dan Gerakan memainkan isu hak

sama rata di bawah konsep Malaysian Malaysia. Perspektif perlembagaan melihat

perkara ini sebagai bertentangan dengan hak istimewa orang Melayu. Ia secara tidak

langsung mewujudkan kecurigaan orang Melayu (Tunku Abdul Rahman 2007: 29).

Manifesto daripada DAP menjanjikan pengiktirafan bahasa selain bahasa Melayu

sebagai bahasa rasmi (Drummond dan Hawkins 1970: 324) dan menuntut agar bahasa

Cina, Tamil dan Inggeris bebas digunakan dalam Parlimen dan DUN (Vasil 1972: 31).

Tuntutan dalam manifesto ini bercanggah dengan Perkara 152 iaitu bahasa Melayu

sebagai bahasa kebangsaan. Selain itu, manifesto DAP menyentuh hal pendidikan. Ia

menjanjikan taraf yang sama antara sekolah kebangsaan dengan sekolah jenis

kebangsaan iaitu Cina dan Tamil (Vasil 1972: 31) serta menuntut penubuhan Universiti

Merdeka dengan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar bagi menempatkan lepasan

pendidikan vernakular Cina. Sesungguhnya, manifesto ini menyentuh sensitiviti bahasa

yang menjadi identiti orang-orang Melayu dan ia jelas tidak sah di sisi perlembagaan.

Parti Buruh tidak menyertai Pilihan Raya Umum 1969 kerana ia memboikot pilihan raya

dan menarik keluar wakil parti tersebut daripada Parlimen dan DUN. Namun, pelbagai

usaha dijalankan oleh parti tersebut untuk menggagalkan pilihan raya. Tindakan

tersebut menyalahi perlembagaan, meruntuhkan sistem demokrasi, mengakibatkan

kacau-bilau dan kematian (Drummond dan Hawkins 1970: 325). Dua kematian

melibatkan seorang pekerja UMNO, Encik Kassim Omar yang terbunuh dalam

serangan pemuda Parti Buruh di Jelutong pada 24 April 1969 dan seorang pemuda

Cina, Lim Soon Seng dalam kejadian kejar-mengejar dengan anggota polis pada 4 Mei

1969. Kematian pemuda Cina ini membuka peluang kepada Parti Buruh untuk

menghuru-harakan keadaan. Perarakan mayat yang dirancang pada 10 Mei 1969 iaitu

pada hari pengundian tidak diluluskan oleh polis dan dianjak pada 9 Mei 1969. Ia

bertukar menjadi demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur apabila beribu-ribu orang

turut serta. Perarakan diselang-selikan dengan pelbagai provokasi seperti penampalan

risalah dan sepanduk yang mengandungi kata-kata ‘Rejim Tunku Abdul Rahman

kejam’, ‘teruskan Revolusi hingga ke akhir’ dan ‘ Hancurkan imperialis Amerika dan

British dan patung-patungnya- Lee’ (Tunku Abdul Rahman 2007: 37-53). Peristiwa ini

telah menyediakan satu mood yang tegang dalam kalangan penduduk di Kuala Lumpur

beberapa hari sebelum peristiwa 13 Mei 1969 terjadi.

4.3.2 Keputusan Pilihan Raya Umum 1969 dan Perarakan Kemenangan

Keputusan pilihan raya memperlihatkan parti Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga

di peringkat Parlimen, undi popular menurun daripada 58.5 peratus kepada 44.9

peratus manakala jumlah kerusi Parlimen menurun daripada 89 kerusi kepada 66

kerusi. Dua negeri iaitu Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing jatuh kepada parti

Gerakan dan PAS. Di negeri Perak dan Selangor pula, keadaan genting kerana

penguasaan kerusi oleh Perikatan tidak kuat bagi membentuk kerajaan. Di negeri

Selangor, lokasi di mana rusuhan ini terjadi, Perikatan memenangi 14 daripada 28

kerusi yang dipertandingkan. Selebihnya dimenangi oleh DAP sebanyak sembilan

kerusi, Gerakan sebanyak empat kerusi dan Bebas satu kerusi.

Peningkatan pencapaian parti pembangkang telah disambut dengan perarakan

kemenangan oleh parti DAP dan Gerakan pada 12 Mei 1969 dengan permit polis.

Namun, keadaan penyokong yang tidak terkawal menyebabkan berlakunya perarakan

haram yang memprovokasi orang Melayu terutamanya di kawasan Kampung Baharu

yang didiami 30,000 orang Melayu. Pelbagai kata-kata provokasi telah direkodkan.

Antaranya, ‘Melayu mati’, ‘Engkau Melayu bodoh, tidak berkuasa’ (Tunku Abdul

Rahman 2007). ‘Malai si (Melayu mati), Kuala Lumpur sekarang Cina punya, Melayu

balik kampung, halau semua polis’ (Abdul Rahman 2011: 87). ‘Kapal layar bocor!’,

‘Melayu sudah jatuh!’, ‘Melayu sekarang tak ada kuasa lagi!’, ‘Kuala Lumpur sekarang

Cina punya!’, ‘Melayu boleh balik kampung!’ (Goh 1971: 21).

Jelasnya, kempen pilihan raya ini menimbulkan sentimen perkauman yang begitu kuat.

Kemerosotan pencapaian dalam pilihan raya ini pula telah mengakibatkan orang-orang

Melayu berasa risau dengan penguasaan politik mereka yang kian berkurangan. Selain

itu, perarakan kemenangan dan provokasi daripada orang bukan Melayu telah

memotivasikan mereka untuk mengadakan perarakan balas yang akhirnya

mencetuskan peristiwa rusuhan etnik.

4.4 Faktor Kecemburuan Sosial

Kecemburuan sosial merupakan rasa iri hati, kurang percaya atau syak wasangka

antara etnik. Perkara sebegini merupakan faktor yang berkembang secara evolusi atau

senyap tetapi mempunyai impak yang mendalam terhadap kekeruhan hubungan etnik.

Ia dapat dilihat daripada dua segi sama ada orang Melayu terhadap orang bukan

Melayu atau orang bukan Melayu terhadap orang Melayu.

4.4.1 Orang Melayu terhadap Orang Bukan Melayu

Sejak tahun 1940-an, Rancangan Briggs cuba mengasingkan petempatan orang Cina

daripada kegiatan komunis. Setinggan-setinggan Cina ditempatkan semula dengan

pelbagai kemudahan di kampung baru orang Cina seperti hak milik tanah, tapak rumah,

sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik serta jaminan keselamatan. Walau

bagaimanapun, petempatan orang Melayu ditinggalkan dalam keadaan daif. Akhbar

Warta Negara bertarikh 22 November 1952 melaporkan bahawa petempatan orang

Melayu berada dalam keadaaan lampu usang, perigi buruk dan jalan berlumpur. Majlis

Bandaran Kuala Lumpur hanya menyediakan satu paip air untuk dikongsi penduduk

tiga kampung Melayu. Paip tersebut terletak 0.8 kilometer dari kampung ditambah

keadaan sekitar yang kotor kerana lembu dibenarkan untuk dipelihara bersebelahan

kawasan kampung. Jelasnya, pengasingan orang Cina ke kawasan kampung baru telah

membezakan taraf hidup dan keselesaan antara Melayu dan Cina (Shaw 1976: 128).

Orang Melayu mempersoalkan belanjawan untuk penempatan semula setinggan Cina.

Bagi mereka, ia sepatutnya digunakan untuk memperbaik keadaan petempatan orang

Melayu sebagaimana kemudahan di kampung baru orang Cina. Hal ini kerana mereka

sanggup berhadapan dengan komunis demi memelihara keselamatan negara tetapi

tidak diendahkan oleh pihak kerajaan (Ho 2004: 133).

Orang Melayu turut mencemburui manfaat proses urbanisasi dan modenisasi yang

diperolehi orang bukan Melayu. Menurut Wan Abdul Kadir (1992), urbanisasi dan

modenisasi ialah fenomena yang dibentuk berasaskan kepada kemunculan bandar-

bandar baharu yang dianggap moden dan banyak membawa perubahan kepada

kehidupan orang ramai. Tambah Wan Abdul Kadir (1992) lagi, kegiatan ekonomi di

bandar-bandar melibatkan unsur kapitalis. Maka, peniaga di bandar merupakan pemilik

modal dan kukuh ekonominya. Ia membantu orang bukan Melayu untuk mempunyai

sosioekonomi dan taraf hidup yang lebih baik berbanding Melayu di luar bandar. Maka,

hal ini telah menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan berbanding orang bukan

Melayu dalam hal ekonomi, pendidikan, kesihatan dan gaya hidup moden yang

ditawarkan oleh proses urbanisasi dan modenisasi. Hasilnya, perbezaan ini telah

menimbulkan rasa pengabaian dalam kalangan orang Melayu itu sendiri.

4.4.2 Orang Bukan Melayu terhadap Orang Melayu

Orang bukan Melayu mencemburui aspek-aspek identiti orang Melayu yang lebih

mendapat jaminan dan keistimewaan seperti soal bahasa dan pendidikan.

Sebagaimana menurut Shibutani dan Kwan, setiap etnik itu cuba untuk memelihara

identiti kumpulannya. Pelbagai usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu

direncanakan seperti penggunaan di Parlimen, DUN, mahkamah, sekolah kebangsaan

dan urusan rasmi sepenuhnya 10 tahun selepas merdeka (Comber 1983: 62). Tekanan

ke arah penggunaan bahasa Melayu ini wujud daripada Dewan Bahasa dan Pustaka

(DBP), golongan Melayu ultra atau ultra Malay dan nasionalis bahasa (Abdul Rahman

2011: 46). Maka, langkah perundangan diambil dengan penggubalan Akta Bahasa

Kebangsaan 1967 dan kempen ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ pada poster, kain rentang dan

papan tanda jalan (Comber 1983: 62). Usaha ini telah menimbulkan kerisauan dalam

kalangan orang bukan Melayu termasuk pemimpin MCA berkenaan masa depan identiti

etnik Cina iaitu bahasa ibunda mereka yang kian tenggelam (Abdul Rahman 2011: 46).

Selain itu, wujud usaha untuk menubuhkan sistem pendidikan sepenuhnya dalam

bahasa Melayu. Kelewatan pelaksanaan dasar ini telah menyebabkan anggota

Persatuan Guru-guru Melayu Persekutuan kecewa dengan sikap kerajaan. Sebahagian

anggota persatuan tersebut yang merupakan ahli UMNO bertindak keluar parti.

Rentetan itu, orang Cina menegaskan dasar ini tidak adil terhadap semua kaum kerana

ia membahayakan sistem pendidikan vernakular mereka (Abdul Rahman 2011: 47).

Usul penubuhan Universiti Merdeka juga tidak berjaya dilaksanakan kerana ia

bercanggah dengan Perkara 152 iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Maka, Tunku Abdul Rahman College telah ditubuhkan pada bulan April 1969 sebagai

ganti. Orang Cina menganggap isu ini sebagai sabotaj orang Melayu (Vasil 1972:32).

5.1 ANALISIS PERISTIWA 13 MEI 1969

Konflik 13 Mei 1969 ini berlaku mengikut garisan etnik berbanding garisan kelas dalam

ekonomi. Hal ini selaras dengan pendapat Leo Kuper (1974, 1977) dipetik dalam

Mansor et al. (1966) bahawa apabila sesuatu konflik berlaku dalam masyarakat majmuk

maka ia akan berlaku mengikut garisan etnik berbanding kelas. Dalam konteks

Malaysia, ia berlaku mengikut garisan etnik kerana faham ekonomi masyarakat

Malaysia dan kerapuhan hubungan etnik itu sendiri.

Bahagian ini akan menyelidiki dengan lebih mendalam ketiga-tiga faktor pencetus yang

telah dihuraikan dalam bahagian sebelum ini. Pertama, faktor PRU 1969 dan faktor

kecemburuan sosial penuh dengan sentimen perkauman antara orang Melayu dan

orang Cina. Bibit-bibit perkauman ini tidak terjadi ketika selepas Merdeka sahaja

bahkan telah dibentuk sejak sebelum merdeka lagi. Kedua, ketidakseimbangan

ekonomi yang berlaku harus diselidiki dengan menjadikan perspektif kepimpinan Tunku

Abdul Rahman sebagai panduan. Kepimpinan oleh Tunku Abdul Rahman ini melahirkan

faham ekonomi mengikut garisan etnik dan faham bahawa ‘kuasa politik di tangan

orang Melayu, kuasa ekonomi di tangan orang Cina’.

Oleh itu, analisis ini akan dibahagikan kepada dua bahagian iaitu analisis sejarah

sebelum Merdeka dan analisis kepimpinan Tunku Abdul Rahman. Pengalaman sejarah

hubungan etnik ini telah menyediakan hubungan rapuh antara etnik di Malaysia

manakala kepimpinan Tunku Abdul Rahman telah membentuk kerisauan orang Melayu

terhadap kuasa ekonomi mereka. Kerisauan orang Melayu bertambah setelah PRU

1969 apabila kuasa politik turut mengalami kemerosotan. Ketika ketiga-tiga faktor

pencetus saling mempengaruhi maka mudahlah untuk peristiwa 13 Mei 1969 ini berlaku

mengikut garisan etnik.

5.1.1 Pengeruhan Hubungan Etnik: Perspektif Sejarah Sebelum Merdeka

Persoalan-persoalan sejarah sebelum Merdeka tidak diselesaikan secara tuntas oleh

kepimpinan negara melalui usaha-usaha dalam Community Liaison Committee (CLC)

atau Jawatankuasa Hubungan Kaum. Begitu juga dengan permuafakatan dalam

Perikatan oleh UMNO, MCA dan MIC hanya meredakan seketika ketegangan

hubungan etnik. Hal ini dinyatakan,

“…Kerjasama antara ketiga-tiga buah parti perkauman UMNO, MCA dan MIC secara

dasarnya tidak mencerminkan bahawa unsur perkauman dapat dikikis dan hubungan

antara kaum yang baik wujud. Unsur perkauman masih mewarnai senario politik pada

masa itu dan selepasnya...”

(Ho 2004: 155)

Kecemburuan sosial dan sentimen perkauman dalam PRU 1969 sememangnya

mempunyai kaitan rapat dengan pembentukan hubungan etnik pada era sebelum

Merdeka. Masyarakat majmuk di negara ini melalui pelbagai pemerintahan dan dasar-

dasar yang mengurangkan integrasi etnik dan menimbulkan kekeruhan hubungan.

Pengalaman sejarah ini menyediakan hubungan etnik yang rapuh ketika peristiwa 13

Mei 1969. Hubungan sebab dan akibat dalam pembentukan hubungan etnik pada

sebelum dan selepas Merdeka ini begitu jelas pengaruhnya.

Pada zaman kolonial British, dasar-dasar kolonial British bersikap pro Melayu

berbanding Cina kerana mewujudkan hak istimewa orang Melayu seperti pemeliharaan

kedudukan Raja-raja Melayu dan yang diperintah (Comber 1983: 11). Dasar pecah dan

perintah juga mengurangkan integrasi antara etnik di Tanah Melayu. Semasa

kemelesetan ekonomi dunia tahun 1930-an, jurang ekonomi antara orang Melayu dan

orang Cina begitu jelas. Maka, orang Melayu sedar bahawa dasar British sebenarnya

mengancam kehidupan mereka sendiri (Abdul Rahman 2011: 7).

Selain itu, pendudukan Jepun mengeruhkan hubungan antara orang Melayu dan orang

Cina kerana layanan baik mereka kepada orang Melayu dan India sahaja. Orang Cina

dilayan dengan kasar kerana sentimen orang Jepun terhadap sokongan orang Cina

kepada tanah besar China semasa peristiwa pencerobohan Jepun ke atas China pada

tahun 1937. Orang Cina telah lari ke pinggir hutan dan terpengaruh dengan komunis.

Mereka menyertai Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA). Orang Melayu pula

menyertai pasukan polis di bawah kelolaan Jepun untuk menentang MPAJA. Maka.

wujud situasi orang Melayu dalam pasukan polis menentang orang Cina dalam MPAJA

(Ho 2004: 129-130).

Setelah pengunduran Jepun, berlaku kekosongan dalam pemerintahan negara. Pihak

Parti Komunis Malaya (PKM) yang menaja MPAJA telah memerintah selama 14 hari

dengan menimbulkan huru-hara. Senjata-senjata yang dibekalkan oleh British kepada

penentang Jepun tidak dipulangkan. Hal ini menimbulkan perjuangan bersenjata. Orang

Cina dalam PKM dan MPAJA telah membalas dendam terhadap orang Melayu yang

bekerjasama dengan Jepun untuk menentang mereka. Banyak pertelingkahan etnik

berlaku di Negeri Sembilan dan Johor pada Ogos-November 1945, di Perak dan

Pahang awal 1946. Anggarannya, 690 orang terbunuh dan banyak kemusnahan harta

benda (Ho 2004: 129-130).

Pemerintahan semula Inggeris telah menyaksikan pembentukan gagasan Malayan

Union yang bertujuan menyatukan pentadbiran di Negeri-negeri Melayu Bersekutu

(NNMB), Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (NNMTB) dan Negeri-negeri Selat

(NNS) di bawah bentuk negara kesatuan atau unitari. Ia menjanjkan hak sama rata

antara semua etnik. Namun, wujud penentangan oleh orang Melayu yang risau akan

hak-hak mereka dihakis oleh orang bukan Melayu. Ia menimbulkan syak wasangka

antara orang Melayu dan orang bukan Melayu. Orang bukan Melayu berasa tidak puas

hati dengan pembatalan Malayan Union kerana jumlah asal orang Cina dan India yang

layak untuk mendapat kewarganegaraan ialah 83 peratus dan 75 peratus masing-

masing telah berkurangan kepada 28.3 peratus (Ho 2004: 130-141).

Zaman Darurat (1948-1960) turut menyaksikan pertembungan antara etnik Melayu dan

Cina. Kebanyakan anggota polis, askar dan pengawal kampung terdiri daripada orang

Melayu manakala 90 peratus komunis merupakan orang Cina. Penentangan terhadap

komunis oleh pasukan keselamatan meningkatkan lagi kecurigaan antara etnik.

Tambahannya, penempatan semula orang Cina ke kampung baru telah menambahkan

kecemburuan orang Melayu kerana kelebihan kemudahan di kampung baru dan

segregasi petempatan mengurangkan komunikasi antara etnik.

5.1.2 Kepimpinan Tunku Abdul Rahman dan Dasar Liberalisme Ekonomi

Kepimpinan Tunku Abdul Rahman pasca Merdeka telah tidak menangani soal-soal

kemiskinan dan kemelaratan hidup orang-orang Melayu. Dalam erti kata lain, beliau

tidak menjadi arkitek ekonomi Malaysia kerana disibukkan dengan pelbagai peranan

lain seperti memperkuat dominasi UMNO dalam politik permuafakatan, membanteras

ancaman komunis dan menyelesaikan konfrontasi Indonesia-Malaysia dan pemisahan

Singapura daripada Persekutuan Malaysia. Maka, beliau telah mengamalkan

liberalisme dalam ekonomi. Amalan ekonomi kapitalisme ini telah menguntungkan

orang Cina yang mempunyai modal besar dalam perniagaan manakala orang Melayu

dibiarkan miskin tanpa sebarang dasar afirmatif.

Menurut Yusof Harun (1971), Tunku Abdul Rahman memahami keadaan ekonomi

Melayu selepas merdeka. Namun, beliau sengaja membiarkannya atas alasan sikap

orang Melayu. Orang Melayu dikatakan malas maka kerana itu mereka miskin. Menurut

Yusof Harun (1971) lagi, sikap liberal Tunku Abdul Rahman ini sesuai dengan pendapat

klasik George Leith dalam penulisannya ‘A Short Account of the Settlement, Produce

and Commerce of Prince of Wales Island’ yang menganggap orang Cina sebagai ramai

lagi berguna manakala orang Melayu bangsa yang malas, dengki dan khianat. Sikap

kepimpinan sebegini telah menyebabkan orang Melayu terus ketinggalan dalam

ekonomi sehingga menimbulkan faham ekonomi bahawa orang Melayu ialah orang

yang miskin manakala orang Cina ialah orang yang kaya. Ketika itu, muncul

segolongan penentang dalam UMNO yang digelar golongan muda atau pelampau.

Individu-individu tersebut seperti Dr. Mahathir (Jomo 1988; Yusof 1991), Aziz Ishak

(Yusof 1991) dan Musa Hitam (Jomo 1988). Ada di antara mereka ini telah dipecat

daripada UMNO kerana terlalu lantang memperjuangkan perubahan dasar Tunku Abdul

Rahman yang tidak menyebelahi kepentingan orang Melayu.

Satu lagi faham dalam negara Malaysia yang diterapkan oleh Tunku Abdul Rahman

ialah faham berkenaan pembahagian kuasa ‘kuasa politik di tangan orang Melayu,

kuasa ekonomi di tangan orang Cina’. Beliau mengharapkan penguasaan politik oleh

orang Melayu akan menjadikan orang Melayu menguasai segala-galanya. Namun,

akibat daripada dasar liberalisme oleh Tunku dalam ekonomi, orang Melayu menjadi

risau dan cemburu terhadap pencapaian ekonomi orang Cina yang jauh lebih maju.

Kerisauan berkenaan nasib orang Melayu dalam ekonomi ini bertambah teruk hasil

keputusan PRU 1969 kerana ia menyaksikan kemerosotan kuasa politik orang Melayu.

Kekecewaan dalam hal ekonomi ditambah dengan kekecewaan dalam hal politik. Pada

masa itu, bukan hanya kuasa ekonomi tiada dalam tangan orang Melayu malah kuasa

politik kian terhakis. Maka, kepimpinan Tunku Abdul Rahman telah menyediakan satu

state of mind yang risau, kecewa, meluap-luap bagi orang Melayu pada peristiwa 13

Mei 1969.

6.1 RUMUSAN

Esei ini telah membincangkan peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan implementasi

kegagalan hubungan etnik di Malaysia. Latar belakang masyarakat majmuk iaitu

Melayu, Cina dan India selaras dengan andaian Teori Masyarakat Majmuk oleh J.S

Furnivall yang menyatakan etnik-etnik ini terpisah oleh faktor-faktor agama, bahasa,

budaya dan fungsi ekonomi tetapi hidup dalam satu sistem politik yang sama. Setiap

etnik juga berusaha untuk mempertahankan kumpulannya sendiri selaras andaian

Shibutani dan Kwan yang menyatakan setiap etnik cuba untuk memelihara

kumpulannya sendiri. Faktor-faktor pencetus iaitu ketidakseimbangan ekonomi, PRU

1969 dan kecemburuan sosial pula terbukti membibitkan pelbagai sentimen yang

menjejaskan hubungan etnik. Analisis peristiwa 13 Mei 1969 pula membuktikan bahawa

pengalaman sejarah dan kepimpinan Tunku Abdul Rahman telah menyediakan realiti

hubungan etnik yang rapuh,faham ekonomi dan faham pembahagian kuasa yang tidak

tepat tetapi telah menjadi persepsi yang marabahaya kepada perpaduan etnik di

Malaysia. Tuntasnya, pengalaman masyarakat majmuk sebelum merdeka membentuk

kerapuhan hubungan etnik ketika 13 Mei 1969. Pada era pasca Merdeka, wujud

pelbagai kecemburuan sosial sehingga membentuk faktor senyap dalam mengeruhkan

hubungan etnik tetapi ia telah mengimpak dengan berkesan. Struktur sistem politik turut

gagal menguruskan kehendak daripada etnik Melayu dan etnik bukan Melayu.

Peringkat pembuatan dasar atau legislatif dan pelaksanaan dasar atau eksekutif iaitu

Tunku Abdul Rahman sendiri gagal melaksanakan dasar-dasar yang mampu

menyetarakan kuasa ekonomi dan kuasa politik antara orang Melayu dan orang Cina.

PRU 1969 pula dihangatkan dengan kempen berbaur perkauman daripada pelbagai

parti yang setiap satunya didominasi satu etnik sahaja. Selain itu, provokasi daripada

orang bukan Melayu dalam perarakan kemenangan telah menimbulkan pertembungan

emosi yang sedang risau, marah, kecewa dan cemburu dengan emosi yang sedang

angkuh, sombong dan megah. Maka, terjadilah peristiwa 13 Mei 1969 yang merupakan

implementasi daripada kegagalan hubungan etnik. Pengajarannya, hubungan etnik di

Malaysia harus lahir daripada hati bukan daripada kata-kata sahaja. Maka, alat

sosialisasi dalam sesebuah masyarakat harus berjaya mendidik bermula daripada

keluarga, sekolah, rakan-rakan, parti politik dan kerajaan sendiri. Hanya dengan itu,

hubungan etnik yang kukuh akan dapat dicapai.

RUJUKAN

Abdul Rahman Ibrahim. 2011. 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur. Kuala Lumpur: Dewan

Bahasa & Pustaka.

Comber, L. 1983. 13 May 1969: a historical survey of Sino-Malay relations. Singapura:

Graham Brash.

Drummond, S. & Hawkins, D. 1970. The Malaysia Elections of 1969: an analysis of the

campaign and results. Journal of Asian Survey. 10(4): 320-335.

Goh, Cheng Teik. 1971. The May Thirteenth incident and democracy in Malaysia. Kuala

Lumpur: Oxford University Press.

Ho, Hui Ling. 2004. Darurat, 1948-1960 keadaan sosial di Tanah Melayu. Kuala

Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Jamaie Hamil. 2003. Kepimpinan politik: pola kepimpinan politik UMNO. Akademika. 62:

17-39.

Jomo, K.S. 1988. Pembangunan ekonomi dan kelas sosial di Semenanjung Malaysia.

Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Khoo, Kay Kim. 1971. Latar belakang sejarah masharakat India dan China di Tanah

Melayu. Jebat. 1: 14-23.

Kua, Kia Soong. 2008. 13 Mei: dokumen-dokumen deklasifikasi tentang rusuhan 1969

di Malaysia. Petaling Jaya: Suaram Komunikasi.

Mansor Mohd Noor, Abdul Rahman Abdul Aziz & Mohamad Ainuddin Iskandar Lee.

2006. Hubungan etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Pearson.

Mohd Ali Kamaruddin & Jamaie Hamil. 2005. Budaya politik: perspektif kepimpinan

politik Melayu daripada tradisi ke kontemporari. Dlm. Maizatul Haizan Mahbob & Mohd

Zain Musa. Tinjauan baru politik Malaysia. hlm. 96-124. Bangi: Penerbit UKM.

Mohd Ali Kamaruddin. 2006. Sejarah penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ulang cetak. Bangi: Penerbit UKM.

Shaw, W. 1976. Tun Razak: his life and times. Kuala Lumpur: Longman Malaysia.

Syed Husin Ali. 2008. The Malays their problems and future. Petaling Jaya: Kuala

Lumpur.

Tunku Abdul Rahman. 2007. 13 Mei 1969: sebelum dan selepas. Kuala Lumpur:

Utusan Publications & Distributors.

Vasil, R.K. 1972. The Malaysian General Election of 1969. Kuala Lumpur: Oxford

University Press.

Wan Abdul Kadir Yusoff. 1992. Urbanisasi dan modenisasi budaya Melayu. Kuala

Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.

Yusof Harun. 1991. Tunku- idealisme dalam kenangan. Pulau Pinang: Yayasan

Bumiputra Pulau Pinang.

Dicatat oleh Muhammad Rahimi Bin Hasan di 10:32 PG Label: Politik Hubungan Etnik