yb dato’ sri ismail sabri bin yaakob menteri · pdf filekepimpinan parti dan sayap parti...

8
TEKS UCAPAN YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH SEMPENA KONVENSYEN JKKK/JKKP DAN ANUGERAH DESA PERDANA 2017 BERSAMA YAB PERDANA MENTERI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC) KUALA LUMPUR 22 OGOS 2017 (SELASA) WAKTU KETIBAAN : 3.00 PETANG

Upload: lamthien

Post on 13-Mar-2018

220 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH

SEMPENA

KONVENSYEN JKKK/JKKP

DAN ANUGERAH DESA PERDANA 2017

BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC)

KUALA LUMPUR

22 OGOS 2017 (SELASA)

WAKTU KETIBAAN : 3.00 PETANG

Terima kasih Tuan / Puan Pengacara Majlis.

ALUAN-ALUAN

Bismillhiirrahmaanirrahiim

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh

Salam Sejahtera Dan Salam Negaraku Malaysia

(SALUTASI)

Yang Amat Berhormat

Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia

Yang Amat Berhormat

Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri

Yang Berhormat Menteri-Menteri

Yang Berhormat

Timbalan-Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan bin Yaakub

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Dewan Rakyat dan Dewan Negara

Yang Berhormat EXCO Luar Bandar

YBhg. Datuk Borhan bin Dolah

Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Yang Berbahagia Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian

Yang Berhormat Setiausaha-Setiausaha Kerajaan Negeri

Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri

Yang Berbahagia Dato’ Haji Shahaimi bin Othman

Presiden Persatuan Gabungan Ketua Kampung Malaysia

Kepimpinan UMNO Bahagian dan Sayap UMNO

Kepimpinan JKKK, JKKKP dan JKKKOA Seluruh Negara

Rakan-Rakan Media

Seterusnya Sidang Hadirin sekalian,

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT

kerana dengan limpah rahmat-Nya jua, maka pada hari ini kita dapat menganjurkan

Konvensyen JKKK, JKKKP, JKKK Orang Asli dan Anugerah Desa Perdana

Peringkat Kebangsaan 2017 bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang

kita kasihi.

2. Terlebih dahulu saya mewakili Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan

Wilayah (KKLW) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih di atas

kehadiran Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Haji Abdul Razak,

Perdana Menteri yang amat kita kasihi ke majlis ini. Sesungguhnya, kehadiran YAB

Dato’ Sri memberi makna yang amat besar kepada kepimpinan JKKK, JKKKP dan

JKKK Orang Asli yang berada dalam dewan ini.

3. Saya juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua tetamu

kehormat, Pemimpin-Pemimpin Kerajaan Peringkat Persekutuan dan Negeri,

kepimpinan parti dan sayap parti serta seluruh kepimpinan akar umbi, penyokong-

penyokong kepada kampung-kampung yang bertanding dalam Anugerah Desa

Perdana dan teristimewa kepada pemimpin-pemimpin JKKK, JKKP dan JKKK Orang

Asli kerana sudi hadir memeriahkan majlis ini. Sesungguhnya perhimpunan ini amat

bermakna kepada kita semua kerana ia adalah pertemuan kedua secara langsung

antara kepimpinan di peringkat akar umbi dari seluruh negara, dengan YAB Perdana

Menteri yang kita kasihi. Ia sekaligus membuktikan sokongan padu JKKK, JKKP dan

JKKK Orang Asli kepada kepimpinan negara.

PENGHARGAAN KEPADA KEPIMPINAN AKAR UMBI

YAB Dato’ Sri dan sidang hadirin sekalian,

4. Untuk makluman Yang Amat Berhormat Dato’ Sri, majlis hari ini

menggabungkan dua acara iaitu Konvensyen JKKK, JKKKP dan JKKK Orang

Asli dan Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan untuk tahun 2017. Turut

berlangsung pada petang ini ialah penyampaian Sijil Tadbir Urus Desa INFRA-

UniKL kepada yang telah berjaya menamatkan kursus khas yang telah diadakan

bermula bulan Mac yang lalu. Manakala Anugerah Desa Perdana Peringkat

Kebangsaan adalah acara kemuncak untuk menyampaikan hadiah kepada

kampung-kampung yang berjaya dalam pertandingan yang telah diadakan baru-baru

ini.

5. Konvensyen JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli adalah acara dwitahunan

yang mula dilaksanakan pada tahun 2015 bertujuan mempertemukan kepimpinan

tertinggi negara dengan kepimpinan akar umbi. Program ini menjadi wacana dan

medan interaktif peringkat nasional yang memberi ruang kepada kepimpinan negara

berinteraksi secara terus dengan pemimpin akar umbi dan masyarakat luar bandar.

Selain itu, kepimpinan tertinggi negara boleh menyalurkan maklumat dan dasar-

dasar semasa Kerajaan serta isu-isu semasa yang sering menjadi tanda tanya dan

menimbulkan kekeliruan rakyat.

6. Untuk makluman Dato’ Sri, bersama kita dalam dewan ini ialah 10,000

kepimpinan JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli yang hadir dari seluruh negara.

Mereka yang hadir pada petang ini adalah sebahagian daripada Pengerusi JKKK,

JKKKP dan JKKK Orang Asli yang berjumlah 16,700 orang di seluruh negara.

Manakala jika ditambah dengan keahlian Jawatankuasa JKKK, JKKKP dan JKKK

Orang Asli di seluruh negara mencecah 250,000 orang atau suku juta orang. Pada

hari ini, mereka hadir dengan komitmen untuk menyuarakan semangat perpaduan

dan taat setia kepada negara. Banner-banner yang dibawa dan berada di sekitar

dewan ini memperlihatkan suara rakyat desa yang bertekad memberi sokongan

tidak berbelah bahagi kepada Kerajaan khususnya kepada YAB Perdana Menteri.

ANJAKAN PARADIGMA KE ARAH KEPIMPINAN LESTARI

7. Sebagai agen transformasi, institusi JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli perlu

memainkan peranan dengan berkesan bukan sahaja dalam mentadbir dan

memajukan desa bahkan mencakupi kebolehan mengubah mindset masyarakat

atau kelompok yang dipimpinnya. Bagi maksud tersebut, para pemimpin akar umbi

seharusnya bersedia untuk mengubah cara bekerja dan berfikir supaya tidak lagi

konservatif dan berupaya melaksanakan kerja berorientasikan pencapaian.

8. Bagi maksud tersebut, Kementerian sentiasa memberi penekanan kepada

kompetensi JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli dengan menyediakan pelbagai

program latihan mengikut keperluan semasa. Bermula dengan latihan jangka

pendek berkaitan kepimpinan, pengurusan kampung dan asas teknologi maklumat

(IT), kini program latihan JKKK/JKKKP dipertingkatkan ke peringkat sijil yang

dikeluarkan oleh universiti iaitu Program Sijil Tadbir Urus Desa dengan kerjasama

Universiti Kuala Lumpur (UniKL). Program ini menggunakan kaedah penilaian

pencapaian terdahulu telah dimulakan pada bulan Mac yang lalu dan sehingga kini

seramai 3,000 orang telah tamat kursus dengan jayanya. Pada petang ini, YAB

Dato’ Sri akan menyampaikan sijil kepada wakil-wakil negeri yang turut dihadiri oleh

peserta-peserta yang telah tamat kursus. Kementerian akan meneruskan program

ini di masa-masa akan datang untuk memastikan kesemua Pengerusi JKKK, JKKKP

dan JKKK Orang Asli dapat mengikuti kursus tersebut.

JKKK PEMANGKIN TRANSFORMASI LUAR BANDAR

YAB Dato’ Sri dan sidang hadirian sekalian,

9. Untuk makluman YAB Dato’ Sri, pada penghujung 2015, saya telah

melancarkan Program Transformasi Luar Bandar dengan aspirasi ‘Membandarkan

Luar Bandar’. Fokus transformasi ialah kepada Prasarana Luar Bandar,

Pembangunan Belia Luar Bandar, Ekonomi, Keusahawanan, Modal Insan dan

Sistem Penyampaian. Bagi menjayakan kesemua program ini, Kementerian

menyedari bahawa komitmen dan keterlibatan pemimpin di peringkat akar umbi

sangat penting kerana ianya menjadi penentu kejayaan. Ini kerana mereka adalah

role model untuk meraih sokongan padu masyarakat. Perkara ini penting kerana

keterlibatan masyarakat dalam proses pembangunan akan dapat menjamin

kelestarian program dan projek memenuhi kehendak dan keperluan masyarakat.

10. Perkara ini telah disah dan disokong oleh beberapa kajian berkaitan JKKK

yang telah dijalankan oleh universiti tempatan seperti Universiti Utara Malaysia

(UUM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). Hasil kajian mendapati bahawa JKKK

adalah entiti penting di peringkat paling asas dalam menjayakan program-program

pembangunan luar bandar untuk kesejahteraan rakyat. JKKK selaku ketua di

kampung akan mengetuai gerakan merealisasikan transformasi dengan sokongan

padu masyarakat di samping bimbingan oleh agensi berkaitan serta kerjasama pihak

swasta dan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO). Kajian ini juga memperlihatkan

bahawa JKKK telah dapat menjalankan tugas dengan berkesan di sebalik bebanan

tanggungjawab yang digalas.

ANUGERAH DESA PERDANA

11. Sebahagian besar program-program luar bandar yang direncanakan oleh

KKLW memerlukan penglibatan dan komitmen JKKK, JKKKP dan JKKK Orang Asli.

Antaranya ialah Pusat Transformasi Luar Bandar atau ringkasnya RTC, mini RTC,

Desa Lestari, program-program galakan usahawan seperti Karnival Usahawan Desa

(KUD), Rural Business Challange (RBC), Mobilepreneur dan program-program

Quick Win. Ia adalah antara inisiatif yang disediakan untuk membantu meningkatkan

sosio ekonomi luar bandar.

12. Bagi tujuan merangsang kelestarian desa yang maju, menarik dan

menguntungkan serta berpendapatan tinggi menjelang 2020, satu lagi inisiatif yang

diketengahkan oleh KKLW adalah Anugerah Desa Perdana. Program ini adalah

salah satu inisiatif Program Transformasi Luar Bandar di bawah strategi

pemerkasaan JKKK/JKKKP. Program berbentuk pertandingan ini diadakan bertujuan

untuk menyemarakkan proses pendayaupayaan masyarakat (community

empowerment) dalam kalangan penduduk. Selain melatih kepimpinan kampung

untuk sentiasa berdaya saing, inovatif dan kreatif, Anugerah Desa Perdana juga

menjadi platform untuk mengiktiraf sumbangan dan komitmen warga desa dalam

memajukan diri dan kampung. Melalui inisiatif seperti ini, kerajaan berupaya

mengukur tahap kejayaan tadbir urus desa khususnya dari segi kebijaksanaan

memanfaatkan sumber bagi kesejahteraan warga desa.

13. Program yang bermula pada tahun 1987 dan dikenali dengan nama Program

Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung (PKKK) telah melalui

beberapa fasa penambahbaikan ke arah matlamat desa yang lestari dan maju

dengan pengukuhan semangat patriotisme dan nilai murni. Mulai 2017, program ini

dijenamakan semula sebagai Anugerah Desa Perdana dan menggariskan objektif

iaitu, pertama: untuk melahirkan masyarakat desa yang berdaya saing, berinisiatif,

berilmu, berdikari dan mempunyai disiplin kerja yang tinggi. kedua: untuk

menyuburkan semangat patriotisme dan nilai-nilai murni di kalangan penduduk

kampung dan ketiga: untuk memastikan kelestarian dalam aspek sosial dan

ekonomi kampung.

14. Untuk makluman Dato’ Sri, pada tahun ini sebanyak 582 kampung

bertanding di peringkat daerah, 159 kampung di peringkat negeri manakala

peringkat kebangsaan diwakili oleh 23 kampung. Pertandingan dibahagikan

kepada tiga (3) kategori iaitu Kampung Tradisional, rumah panjang dan Kampung

Orang Asli. Aspek-aspek yang dinilai meliputi patriotisme dan kemasyarakatan,

kepimpinan dan pentadbiran, pendidikan dan latihan, ekonomi dan keusahawanan,

pemerkasaan peranan belia, teknologi maklumat dan komunikasi, kebersihan,

kesihatan dan keceriaan kampung serta pengawasan kemudahan asas kampung.

15. Hadiah yang disediakan bagi kategori Kampung Tradisional ialah wang

tunai sebanyak RM100,000.00 dan projek bernilai RM600,000.00 untuk Johan.

Tempat kedua akan menerima wang tunai RM50,000 dan RM250,000.00 dalam

bentuk projek manakala tempat ketiga akan menerima wang tunai RM30,000.00

dan RM100,000.00 dalam bentuk projek. Bagi kategori Rumah Panjang dan

Kampung Orang Asli, tempat pertama akan menerima wang tunai sebanyak

RM50,000.00 dan projek bernilai RM100,000.00, tempat kedua menerima wang

tunai berjumlah RM30,000.00 dan projek bernilai RM50,000.00 manakala tempat

ketiga menerima wang tunai RM20,000.00 berserta projek bernilai

RM30,000.00. Bagi kampung yang tidak berjaya, KKLW turut menyediakan hadiah

sagu hati berjumlah RM20,000.00.

16. Pada majlis ini, saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih

kepada semua pihak yang telah menjayakan Program Sijil Tadbir Urus Desa dan

Anugerah Desa Perdana. Banyak masa, tenaga dan idea telah diberikan untuk

memastikan kedua-dua program ini berjalan lancar dan memberi manfaat kepada

masyarakat di luar bandar. Anugerah Desa Perdana misalnya, telah menuntut

komitmen dan permuafakatan semua anggota masyarakat untuk membuat

persediaan yang rapi. Pelbagai inisiatif diambil untuk memastikan kampung masing-

masing menjadi yang terbaik. Selain mempamerkan mutu kepimpinan yang baik,

kampung-kampung dibangunkan dengan pelbagai aktiviti ekonomi yang memberi

pulangan kepada masyarakat. Kesepakatan dan keterlibatan setiap anggota

masyarakat pula berhasil melahirkan idea-idea bernas untuk menjana sumber

ekonomi baru berasaskan sumber jaya kampung seperti pelancongan desa dan

pertanian berskala besar. Keberhasilan usaha yang dijalankan dapat ditingkatkan

dengan sokongan pihak luar seperti swasta dan sumbangan anak-anak kampung

yang telah berjaya dalam bidang masing-masing.

17. Di samping kejayaan yang telah dicapai, saya berharap kita tidak harus berasa

selesa dan berhenti setakat ini sahaja. Kita perlu berusaha lebih gigih

mempersiapkan diri dan keseluruhan anggota masyarakat untuk mendepani cabaran

yang lebih besar ketika negara mencapai kedudukan negara maju pada tahun 2020

khususnya untuk mencapai pendapatan RM4,000.00 sebulan bagi setiap isi rumah.

Kita berupaya untuk memanfaatkan semua sumber alam yang tersedia dengan

banyaknya di negara bertuah ini sebagai sumber ekonomi desa. Di Indonesia, desa-

desa terpencil di pedalaman mampu membangun atas usaha penduduk melalui

inisiatif MANDIRI (program pengupayaan komuniti) yang diusulkan oleh kerajaan. Di

Thailand, masyarakat luar bandarnya menjadi pengusaha IKS melalui inisiatif OTOP

(One Tambon One Product) yang diilhamkan dari program One Village One Product

di Jepun.

Melalui One Tambon One Product dan One Village One Product ini, kita boleh

melihat bagaimana sesebuah kampung dapat mempromosi produk inovatif dan

kreatif lokal yang bersifat unik tetapi mempunyai daya saing yang tinggi. Ia sekaligus

mengembangkan potensi dan ekonomi kampung terbabit. Kita juga boleh

mempelajari bagaimana Huaxi Village, menjadi kampung terkaya di Wilayah

Jiangsu, China disebabkan kesatuan dan muafakat penduduknya. Kita boleh belajar

bagaimana komuniti peladang di Huaxi Village yang suatu ketika dulu miskin,

menjadi sebuah komuniti yang sangat kaya selepas mereka terlibat dengan

pertanian moden, pelancongan dan tekstil.

18. Jika kita pergi ke Vietnam pula, kita dapat lihat banyak aktiviti perniagaan kecil-

kecilan yang dijalankan oleh penduduk luar bandarnya seperti peniaga di pasar

terapung Sungai Mekong dan jualan street food yang menjadi tarikan pelancong.

Luar bandar kita juga boleh maju seperti luar bandar di Korea dan Jepun yang setiap

inci tanahnya dibangunkan dengan aktiviti pertanian walaupun hanya diusahakan

oleh mereka yang telah berusia emas. Semuanya dijayakan melalui kesepakatan

dan inisiatif penduduk dengan bantuan dan bimbingan paling minimum oleh

kerajaan. Di Malaysia, kita sangat beruntung kerana pelbagai bantuan dan inisiatif

disediakan oleh Kerajaan untuk membangunkan sektor luar bandar. Jadi, marilah

kita tanamkan azam untuk menjadikan kampung-kampung kita maju melalui

semangat permuafakatan dan jaya diri keseluruhan warganya.

PERANCANGAN JANGKA PANJANG MELANGKAUI 2020

YAB Dato’ Sri dan sidang hadirin sekalian,

19. Bagi mendepani cabaran masa hadapan, Kementerian juga menyahut agenda

kerajaan untuk melonjakkan lagi kemajuan negara ke tahap yang lebih tinggi

menjelang tahun 2050. Untuk itu, Kementerian telah mengadakan usaha-usaha

perencanaan masa hadapan luar bandar melalui sesi perkongsian aspirasi dengan

rakyat luar bandar terutama dalam kalangan generasi muda dan belia-belia luar

bandar. Beberapa sesi engagement dengan aktiviti Bicara Komuniti TN50 dan

perbincangan Focus Group telah diadakan melibatkan rakyat luar bandar di seluruh

negara. Sesi berkenaan telah berjaya mengumpul ribuan aspirasi untuk dijadikan

input penyediaan perancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan juga

penyediaan Dasar Pembangunan Luar Bandar sehingga 2050.

PENUTUP

20. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi

terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kerana sudi menghadiri

majlis hari ini bagi menyempurnakan sesi pertemuan bersama institusi JKKK,

JKKKP dan JKKK Orang Asli, penyampaian Sijil Tadbir Urus Desa dan penyampaian

Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan Tahun 2017. Semoga dengan

inisiatif dan anugerah ini dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada kepimpinan

JKKK, JKKKP, JKKK Orang Asli dan warga desa untuk membangunkan lagi desa

masing-masing ke tahap lebih berdaya maju dan sejahtera. Terima kasih kepada

semua juga yang telah datang dari jauh dan dekat khususnya para pemimpin akar

umbi. Kehadiran semua pada petang ini menggambarkan sokongan padu kepada

kerajaan khususnya kepada YAB Perdana Menteri. Semoga perhimpunan ini

memperoleh keberkatan dari-Nya dan memberi impak yang akhirnya diterjemahkan

dalam bentuk transformasi luar bandar yang memberi manfaat dan kesejahteraan

kepada rakyat.

21. Sekian, saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Terima Kasih.